Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jambatan kedua Pulau Pinang dijangka selesai dinaik taraf awal 2017 – tiada kenaikan tol buat setakat ini

    second-penang-bridge_PT_BM

    Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) menjangkakan kerja-kerja membaiki dan menaiktaraf Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) selesai menjelang 20 Januari 2017.

    Menurut pengarah urusan JKSB Datuk Mohd Ashari Alias, Fasa 1 (Arah Timur) bagi projek ini, telah pun dimulakan pada Julai lalu, melibatkan kawasan dari Batu Maung di bahagian pulau hingga ke Batu Kawan di Seberang Perai Selatan, yang selesai pada 31 Oktober. Sementara Fasa 2 (Arah Barat) pula bermula pada awal bulan ini, laporan Bernama.

    Beliau turut berkata, bagi Fasa 2, yang mana untuk menaiktaraf benteng ke Batu Maung dan menghentikan isu beralun pada Cerucuk Benteng No.7 (PE 7) dari KM 2.8 hingga KM 3.1, sedang dalam progres.

    “Fasa kedua bermula pada 1 November lalu. Aliran kontra telah pun diaktifkan pada Arah Timur untuk kelancaran trafik bagi kedua-dua arah iaitu ke dan dari bahagian pulau,” ujarnya sambil menambah projek bernilai RM12 juta ini dijangka akan siap sepenuhnya menjelang 20 Januari 2017.

    Katanya lagi, peningkatan aliran trafik di jambatan tersebut dilihat meningkat sejak ia dibuka pada tahun 2014. Di mana jumlah trafik sejak dibuka sehingga 2015 mencecah 5.2 juta kenderaan. Manakala dari Januari hingga Oktober tahun ini, mencecah 4.79 juta.

    Dalam masa yang sama, Mohd Ashari turut berkata, sebagai pemegang konsesi JSAHMS, buat setakat ini pihaknya tiada rancangan untuk meningkatkan kadar tol.

    “Jika mengikut perjanjian, kami hanya dibenarkan untuk mengusulkan kenaikan kadar tol selepas lima tahun jambatan ini beroperasi,” ujarnya lagi.

    Buat masa ini, kadar tol di JSAHMS adalah RM1.70 bagi motosikal (Kelas 0), RM8.50 untuk kereta kecuali teksi dan bas (Kelas 1), RM30.50 untuk kenderaan dua-gandar dan enam-roda kecuali bas (Kelas 2), RM70.10 untuk kenderaan tiga-gandar atau lebih kecuali bas (Kelas 3), RM8.50 untuk teksi (Kelas 4) dan RM26.20 untuk bas (Kelas 5).

     
     
  • Toyota terajui penemuan baharu bagi teknologi bateri

    2017_Toyota_Prius_Prime_12_7DF62247FD502A2CAA87BDFD559ED7ED3BA65799_BM

    Kajian dan pemerhatian yang dijalankan oleh Toyota terhadap bateri lithium ion kemungkinan besar berpotensi meningkatkan jangka hayat dan kadar kuasanya sebanyak 15%. Automotive News melaporkan, syarikat sedang membangunkan kaedah pertama di dunia untuk memerhatikan “perilaku” berkenaan, yang kerap menyebabkan penyisihan atau penurunan prestasi bateri, di dalam masa nyata.

    “Bateri lithium-ion adalah teknologi utama untuk membekalkan kuasa elektrik pada kenderaan, dan permintaan serta keperluan terhadapnya sangat jelas. Untuk masa hadapan teknologi ini, menambah baik prestasi bateri adalah yang paling utama,” jelas penyelidik teknologi bateri di Toyota, Hisao Yamashige.

    Dengan kaedah yang dibangunkan oleh Toyota Central R&D dengan kerjasama Nippon Soken dan empat universiti di Jepun, jurutera Toyota kini boleh memerhatikan dalam masa nyata bagaimana lithium ion bergerak di dalam elektrod-elektrod.

    Sebelum ini, adalah dipercayai bahawa penyisihan lithium ion, yang berlaku di dalam elektrod-elektrod serta elektrolit kesan daripada proses mengecas dan menyah-cas, membataskan kawasan penggunaan pada bateri dan mengurangkan kawasan berkenaan, di mana prestasi maksimum bateri sepatutnya boleh dicapai. Bagaimanapun, mengesahkan perilaku ion-ion ini di bawah persekitaran dan suasanan yang sama seperti penggunaan sebenar mereka di dalam produk adalah mustahil jika menggunakan kaedah sedia ada.

    20161124_02_03_en

    Pendekatan oleh Toyota menggunakan beamline yang dibangunkan secara spesifik di dalam kemudahan radiasi SPring-8 synchrotron – yang menghasilkan radiasi synchrotron berprestasi paling tinggu di dunia – bagi menghasilkan sinar-X dengan intensiti tinggi kira-kira satu bilion kali lebih berkuasa berbanding yang dihasilkan oleh sinar-X peralatan komersial yang ada kini.

    Untuk itu, sistem berkenaan mampu menghasilkan imej-imej definisi tinggi pada 0.65 micron setiap piksel dan pengiraan berkelajuan tinggi pada 100 milisaat setiap bingkai. Sementara itu, elektrolit dengan kandungan phosphorus biasa digantikan dengan logam berat, yang menghantar kurang sinar-X dan tampil lebih gelap dalam imej – membolehkan penyelidik memerhatikan dengan lebih jelas perilaku penyisihan lithium ion.

    Toyota akan menggunakan kaedah berkenaan untuk memerhati perilaku ion-ion yang disebabkan oleh perbezaan di dalam bahan-bahan serta struktur katod, anod, pemisah dan elektrolit, dan begitu juga perbezaan di dalam kawalan bateri.

    Perkembangan baharu di dalam pemerhatian ini diyakini akan membuka kepada rekaan baharu yang akan mengelakkan lithium ion daripada bergumpal sesama sendiri dan bergerak secara tidak sekata di dalam elektrod, yang kemudiannya akan mengganggu aliran ion dan membawa kepada keterbatasan jangka hayat dan kadar kuasanya.

    Penambah baikan pada teknologi bateri yang bertolak daripada perkembangan ini akan membantu menerimaan yang lebih meluas terhadap kenderaan elektrik; sekiranya kadar kuasa dan hayatnya mampu bertahan lebih lama, lebih ramai yang akan menerima pakai teknologi berkenaan.

     
     
  • Daimler akan labur €10 bilion untuk kenderaan EV

    Generation EQ

    Menurut laporan dalam surat khabar Jerman, Stuttgarter Zeitung, syarikat induk Mercedes-Benz iaitu Daimler telah mengumumkan akan melabur sebanyak €10 bilion (RM47.4 bilion) untuk pembangunan kenderaan elektrik (EV). Kata ketua pembangunan dan penyelidikannya, Thomas Weber, sasaran pelaburan ini adalah untuk mengeluarkan sehingga 10 buah kenderaan daripada platform sama dan tiga daripadanya akan dijual di bawah jenama Smart.

    Dengan unit bateri lebih besar yang sedang dibangunkan, kenderaan-kenderaan ini akan mampu beroperasi sehingga jarak 700 km (versi Smart walaubagaimanapun dikatakan hanya akan mempunyai jarak 150 km, yang mana menurut Weber sudah mencukupi), dengan barisan kenderaan elektrik EQ Mercedes boleh memecut 0-100 km/j dalam masa bawah lima saat.

    Model pertama adalah versi produksi bagi Generation EQ Concept, yang akan dibina di kilang sama seperti model Mercedes lain iaitu di Bremen, Jerman. Perkara ini disahkan oleh pengerusi Daimler, Dieter Zetsche, seperti yang dilaporkan oleh Autocar. “Kita akan dapat melihat kenderaan ini di atas jalan dalam masa tiga tahun dari sekarang, manakala harganya pula adalah sekitar harga Mercedes-Benz GLC dengan kelengkapan yang memadai,” kata beliau.

    “Matlamat kami adalah untuk menjadikan kenderaan elektrik penyumbang kepada 15 hingga 25 peratus daripada jualan global kami menjelang 2025. Kami melabur sebanyak €1 bilion (RM4.7 bilion) untuk pengeluaran bateri global, termasuk €500 juta (RM237.2 juta) untuk kilang bateri kedua di Jerman.

    Akhir sekali, Weber juga memperkatakan tentang S 500 e plug in hybrid yang dirujuk semula, yang akan dipasarkan tahun hadapan bersama barisan S-Class facelift – jarak pergerakan menggunakan kuasa elektrik kenderaan tersebut akan ditambah menjadi 50 km, daripada asalnya cuma 30 km.

    Sementara itu, Automotive News melaporkan bahawa Daimler akan terus menjual kenderaan diesel di Amerika Syarikat, bertentangan dengan Volkswagen yang terus memberhentikan jualan kenderaan diesel mereka selepas skandal Dieselgate.

     
     
  • Info kenaikan cukai jalan adalah palsu – JPJ

    jpj_palsu

    Kami menerima banyak kiriman mesej yang mahu mengetahui benarkan info mengenai kenaikan kadar fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan dari 800cc ke atas bakal mengalami kenaikan sebanyak 25% mulai Januari 2017.

    Malahan berita ini turut menjadi viral di laman media sosial dan menjadi lebih panas apabila ada pula netizen yang ‘mengesahkan’ perkara ini adalah benar, serta mengecam kerajaan di atas kenaikan tersebut.

    Untuk mendapatkan pengesahan mengenainya, kami telah menghubungi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sendiri. Menurut pengawai yang dihubungi, info tersebut adalah palsu dan tidak benar sama sekali dan meminta agar orang ramai tidak mempercayai dan menyebarkannya.

    Justeru, kami ingin menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan berita yang disebarkan itu. Jika ia benar-benar ada sebarang perubahan harga, pastinya pihak JPJ sendiri yang akan mengumumkannya dan kami akan menguar-uarkankan untuk pengetahuan semua.

     
     
  • Honda EX5 Dream Fi edisi terhad diperkenal – RM4,874

    ex5-dream-limited

    Honda EX5 adalah sebuah motosikal yang cukup popular di negara kita dan tahun lalu, model yang menggunakan enjin 110 cc dan sistem suntikan bahan api diperkenalkan ke pasaran Malaysia. Kini, Boon Siew Honda Malaysia memperkenalkan pula versi edisi terhad bagi EX5 Dream Fi.

    Jika dibandingkan dengan model biasa, EX5 Dream Fi edisi terhad ini mempunyai penampilan berbeza, dengan warna Metal Chrome, logo ‘sayap’ Honda krom di sisi, pemegang belakang krom dan kemasan krom di keliling lampu hadapannya. Melengkapkan gaya baru ini adalah set rim sport lima batang yang dipadankan bersama tayar tanpa tiub (tubeless). EX5 Dream Fi biasa menggunakan rim jejari dan tiub di dalamnya.

    Bagi Honda EX5 Dream Fi edisi terhad ini, ia adalah unit dengan pemula kaki (kick starter), manakala perkara lain pada motosikal ini masih sama, iaitu menggunakan enjin 110 cc dengan sistem suntikan bahan api, berkemampuan menghasilkan 8.4 hp pada 7,500 rpm dan 8.4 Nm tork pada 6,000 rpm. Kuasa ini kemudiannya disampaikan ke roda belakang melalui kotak gear empat kelajuan.

    Harga bagi Honda EX5 Dream Fi edisi terhad ini adalah RM4,874.94 (termasuk GST, tanpa insurans) dan setiap unit didatangkan bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km. Bagi model biasa yang dijual sebelum ini, harganya adalah RM4,715.94 untuk model pemula kaki (kick starter) dan RM4,959.74 untuk model pemula elektrik (electric starter). Jualan bagi model edisi terhad ini akan bermula di Pulau Pinang dan Kedah, diikuti negeri-negeri lain selepas itu.

     
     
  • Saman AES bakal dikurangkan kepada RM150 setelah pindaan undang-undang selesai – Timbalan Menteri

    AES_Camera

    Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata, saman untuk Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dikurangkan dari RM300 kepada RM150 setelah pindaan undang-undang berkenaan dibuat dan bakal dibentangkan di Parlimen Mac tahun hadapan, menurut laporan The Sun Daily.

    Aziz menyatakan pindaan undang-undang berkenaan adalah penting untuk implementasi fasa kedua AES, dan menambah penyeragaman saman trafik yang dikeluarkan oleh polis trafik adalah penting untuk implementasi sistem demerit Kejara, yang turut menghubungkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pihak polis.

    Sementara menunggu undang-undang baru AES untuk diwartakan, implementasi sistem Kejara mungkin akan ditangguhkan sehingga ke tahun hadapan. Kedua-dua sistem ini merupakan sebahagian dari Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

    camera-trap-speed

    Aziz turut menjelaskan mengenai kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai minggu lalu, yang menyatakan bahawa jumlah bayaran saman RM150 berkenaan hanya diskaun kompaun bagi pesalah trafik untuk menjelaskan 2.5 juta saman tertunggak dikeluarkan melalui sistem AES sejak 2012.

    “Tawaran diskaun ini bermula sekarang, untuk tempoh enam bulan akan datang. Selepas tempoh berkenaan, sesiapa yang masih tidak membayarnya akan dihadapkan ke mahkamah.” kata beliau. Tambah beliau lagi, kementerian tidak menolak cadangan yang akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menubuhkan mahkamah khas bagi menyelesaikan tunggakan kes AES masih belum dijelaskan dalam tempoh empat tahun yang lalu.

    Oleh itu, denda RM300 berkenaan masih lagi kekal untuk kesalahan yang dikeluarkan oleh AES sehingga undang-undang sedia ada dipinda. “Kementerian Pengangkutan menyatakan bahawa kabinet telah bersetuju untuk mengurangkan saman kepada RM150. Adakah Seksyen 79 (2) Akta berkenaan sudah dipinda? Saya rasa tidak,” kata Aziz.

     
     
  • GALERI: Toyota Camry 2.0G X dipamer di Mitsui

    toyota_camry_mitsui_ext-1

    Dua minggu lalu ini, UMW Toyota telah mengumumkan Toyota Camry 2016 sudah bersedia menerima tempahan. Terdapat empat varian yang ditawarkan, yang kesemuanya adalah hasil pemasangan tempatan (CKD) termasuklah varian terdahulu 2.0E. Bagi varian 2.0G, ia kini dikenali sebagai 2.0GX, manakala model 2.5 hybrid ditawarkan dengan model asas Premium dan spesifikasi tertinggi Luxury.

    Baru-baru ini pula, model 2.0G X telah pun dipamerkan di Mitsui Outlet Park Sepang, memberikan peluang untuk kami merakamkan fotonya.

    Model baharu ini adalah bagi mengantikan model terdahulu 2.0G, dengan beberapa elemen tambahan. Di luarannya, ia kini dipadankan dengan roda bersaiz 17-inci, berbanding 16-, dengan rekaan dua-tona yang sama seperti model Hybrid. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan lampu utama xenon, lampu kabus dan corong ekzos berkembar, serta pilihan kit badan dengan kos tambahan RM3,169.

    Pada bahagian dalamnya, 2.0G X ini menerima sistem infotainmen DVD baharu dengan skrin sesentuh kapasitif tujuh-inci, WiFi, carian Internet, sambungan Bluetooth dan kamera undur, bersama pengecas tanpa wayar Qi untuk telefon pintar. Malahan ia juga menampilkan balutan kulit upholsteri coklat gelap baharu.

    toyota_camry_mitsui_ext-3

    Selain itu, ia turut menawarkan elemen standard yang turut ada dalam model 2.0G terdahulu, termasuk kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan kelajuan, kawalan suhu automatik dwi-zon, tempat duduk hadapan berkuasa dengan pelarasan lapan-hala, roda stereng pelbagai-fungsi, paparan pelbagai-info TFT LCD 4.2-inci dan tirai matahari untuk tingkap sisi belakang (manual) dan cermin belakang (berkuasa).

    Ia masih mengekalkan penjana kuasa yang sama iaitu enjin petrol 2.0 liter empat-silinder dengan suntikan terus D-4S dan VVT-iW. Ia mampu mencapai hamburan kuasa sehingga 167 PS pada 6,500 rpm dan tork 199 Nm pada 4,600 rpm, disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam-kelajuan.

    Bagi aspek keselamatannya semua model baharu Camru kini menerika tujuh beg udara (termasuk satu untuk bahagian lutut pemandu) dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), berbanding model terdahulu yang hanya dua beg udara (dan tiada VSC untuk model asas 2.0E) yang sebelum ini hanya ditawarkan untuk semua varian Hybrid. Malahan pengepam tayar mudah alih turut diberi secara standard.

    toyota_camry_mitsui_int-1

    Barisan baharu Camry turut menawarkan varian Hybrid Premium, selain model spesifikasi tertinggi Hybrid Luxury. Ia menampilkan roda bersaiz 17-inci (menggantikan roda 16-), lampu dan bilah pengelah cermin auto, paparan titik buta dan cermin pandang belakang anti-silau.

    Walau bagaimana pun, terdapat beberapa elemen yang ditiadakan termasuklah roda stereng kekemasan kayuam, nanoe air ioniser, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh tujuh-inci termasuk Bluetooth dan kamera undur.

    Ia dipadankan dengan roda aloi 16-inci dan tayar 215/60 (17-inci dan 215/55 bagi Luxury) dan didatangkan secara standard sistem audio dan pemain CD (skrin sesentuh tujuh-inci sebagai kit opsyen) dan cermin pandang belakang asas siang/malam (electro-chromic untuk Luxury). Malah Premium juga tidak didatangkan dengan pengecas tanpa wayar, nanoe ioniser dan paparan Titik Buta, tidak seperti Luxury.

    Harga bagi barisan baharu Camry ialah 2.0E berharga RM152,900 (turun RM2k berbanding model semasa dengan RM154,900) dan 2.0GX pula kini RM159,900 (berbanding RM164,900 bagi model semasa). Manakala 2.5 Hybrid Premium pula berharga RM164,900, dan RM174,900 bagi 2.5 Hybrid Luxury. Kesemuanya adalah harga atas jalan, termasuk insurans dan GST.

     
     
  • Petronas sasar akan jual diesel Euro 5 di 50 stesen menjelang hujung tahun – kekal dengan campuran B7

    Petronas Dynamic Diesel Euro5  011

    Setakat bulan November 2016, sejumlah 20 stesen Petronas telah menjual bahan api Petronas Dynamic Diesel Euro 5 sejak ia mula diperkenalkan secara rasmi Ogos lalu. Menjelang hujung tahun ini, angka berkenaan dijangka akan meningkat kepada 50 stesen; sebahagian besarnya di sekitar Lembah Klang dan juga Johor – bagi menampung permintaan kenderaan Malaysia yang perlu memasuki Singapura.

    Berkaitan isu biodiesel B10 yang baru-baru ini terpaksa ditangguhkan lagi pelaksanaannya, Jurutera Bahan Api, Bahagian Kualiti Produk dan Kecemerlangan Operasi Petronas Dagangan Berhad, Mohammad Hafiz Abd. Aziz menjelaskan, sekiranya perkara itu dilaksanakan kelak, Petronas Dynamic Diesel Euro 5 yang dijual kepada pengguna akan kekal menggunakan campuran B7.

    “Bagi biodiesel B10 (jika dilaksanakan nanti), ia hanya akan digunakan pada diesel Euro 2M yang kami tawarkan. Petronas Dynamic Diesel Euro 5 akan kekal seperti sedia ada, dengan campuran B7. Ini adalah bagi mengelakkan kerumitan bagi pihak pengguna kenderaan penumpang yang rata-ratanya khuatir terhadap kesan penggunaan biodiesel B10 terhadap enjin kenderaan mereka,” jelasnya.

    Beliau merupakan seorang daripada ahli jawatankuasa yang terlibat di dalam barisan panel yang aktif terlibat dengan perbincangan yang berlangsung di antara pihak-pihak berkepentingan antaranya pengeluar bahan api, pengeluar-pengeluar kenderaan, pengusaha minyak sawit dan kerajaan.

    “Bagi pihak pengeluar bahan api, kami tidak mempunyai banyak masalah sekiranya kerajaan ingin melaksanakan biodiesel B10 dalam masa terdekat. Tetapi, kami juga menegaskan, sekiranya masih ada perkara berbangkit dan kekhuatiran daripada pengeluar kenderaan sendiri (yang melibatkan hal-hal berkaitan keserasian enjin kenderaan dan isu-isu jaminan), semua itu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kami boleh menjual biodiesel B10 kepada orang ramai,” ujarnya.

    Petronas Dynamic Diesel Euro 5 yang dijual dalam pasaran tempatan kini dibawa masuk dari luar, terutamanya Singapura; sama seperti diesel Euro 5 yang di dijual oleh kebanyakan jenama-jenama lain kini. Pengeluaran tempatan diesel Euro 5 oleh Petronas dijangka akan bermula pada 2019, sebaik sahaja loji moden dan terbaharu syarikat itu di Pengerang, Johor mula beroperasi.

    Senarai 20 stesen yang menjual Petronas Dynamic Diesel Euro 5 kini:

    Johor
    Lebuhraya Pasir Gudang
    LinKedua arah Selatan
    Jalan Mawai, Kota Tinggi

    Wilayah Persekutuan
    Mutiara Damansara
    Lebuhraya Sprint
    Taman Melati
    Lingkaran Tengah 2
    MRR2 arah Kepong

    Selangor
    NKVE Damansara
    Technology Park Malaysia 1
    KM 0.7 Besraya arah Utara
    KM 305 PLUS arah Selatan
    KM 12.3 Lebuhraya Persekutuan arah Klang
    NKVE arah Klang
    USJ 20
    Lebuhraya SILK
    FAS Lebuhraya Persekutuan
    Temasya Lebuhraya Persekutuan

    Pahang
    R&R Bentong

    Negeri Sembilan
    Mambau

     
     
  • Naza Kia buka bilik pameran 3S di Butterworth

    kia-butterworth

    Naza Kia Malaysia Sdn Bhd telah membuka bilik pameran 3S terbaharu dan memilih Butterworth, Pulau Pinang sebagai lokasinya. Ia terletak di Jalan Bagan Jermal, Taman Bintang, Butterworth, menyasarkan jualan sebanyak 20 unit sebulan.

    Terletak dalam keluasan 10,000 kaki persegi, Kia Butterworth mampu mempamerkan lima kenderaan di bilik pamerannya dan memiliki enam petak penyelenggaran yang mampu menyelenggara sehingga 24 buah kereta setiap hari.

    “Fasiliti baharu ini bakal menjadi pusat sehenti bagi pelanggan yang berpotensi dan sedia ada di kawasan Butterworth. Malah Kia Butterworth menjadi bukti komitmen kami bagi memperluaskan lagi rangkaian dan kualiti perkhidmatan,” ujar Dato’ Samson Anand George, CEO Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings.

    Kia Butterworth membelanjakan sejumlah RM1.5 juta bagi pusat 3S ini termasuk untuk bahagian jualan, penyelenggaran, fasiliti alat ganti dan dilengkapi dengan lounge bagi pelanggan.

     
     
  • Sistem VEP masih dalam persediaan akhir – Liow

    johor-causeway-jam-bernama-pix-630x388

    Jika sebelum ini, timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) akan dilaksanakan sebelum 2016 berakhir.

    Beberapa hari lepas, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong mengesahkan VEP kini dalam proses persediaan akhir sebelum dilaksanakan.

    Katanya, apabila ia sedia dilaksanakan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, semua data kenderaan yang telah didaftarkan dalam sistem itu, akan diselaraskan dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan iaitu mySikap, laporan Bernama.

    “Melalui sistem ini, kita akan dapat memastikan pelaksanaan yang lebih sistematik. Sehingga sekarang, sebanyak 200,365 kenderaan Singapura telah mendaftar menerusi laman web JPJ,” katanya pada pihak media.

    Liow berkata rakyat Singapura masih digalakkan untuk mendaftar kenderaan mereka dengan bayaran RM10, selagi tiada tempoh akhir pendaftaran ditetapkan.

    “Apabila pendaftaran telah dilakukan, JPJ akan mengeluarkan satu tag khas kepada pemilik kenderaan berkenaan untuk diletakkan di cermin hadapan kereta. Daripada tag itu, mereka juga sebenarnya boleh membuat bayaran RC secara automatik di kaunter dan tidak perlu menggunakan kad Touch ‘n Go. Namun tag itu harus ditambah nilai dari semasa ke semasa melalui laman web sedia ada dan ia juga boleh diambil di mana-mana kaunter yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

    Sambungnya lagi, VEP akan dilaksanakan di pintu masuk negara melalui Tambak Johor dan Link Kedua, sebelum diperluaskan ke pintu masuk lain seperti di sempadan Thailand, Indonesia dan Brunei.

     
     
  • Modenas Karisma 125, Elegan 250 dan Downtown 250i dilancar – tiga skuter hasil kerjasama dengan Kymco

    modenas-launch-bm-1

    Selepas Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) dilantik sebagai pengedar eksklusif motosikal jenama dari Taiwan iaitu Kymco, kini tiga buah motosikal jenis skuter diperkenal sebagai permulaan. Ia adalah Karisma 125, Elegan 250 dan Kymco Downtown 250i. Bagi Karisma 125 dan Elegan 250 baru ini, walaupun ia menggunakan nama yang sebelum ini pernah digunakan pada model Modenas, disebaliknya juga adalah motosikal Kymco.

    Karisma 125 adalah sebuah skuter yang diasaskan daripada model Kymco Ace 9, dan ia menggunakan enjin 124.6 cc cc satu silinder berpenyejukan udara yang mampu menghasilkan 9.4 hp pada 7,500 rpm dan 9.0 Nm tork pada 5,000 rpm. Enjin ini menggunakan sistem bahan api karburetor dan dipadankan dengan transmisi automatik CVT.

    Berat keseluruhan motosikal ini adalah 113 kg dan suspensi yang digunakan adalah daripada jenis fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap hentak yang disambung pada lengan ayun di belakang. Melengkapkannya adalah rim 14 inci dengan tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang, brek cakera tunggal 220 mm di hadapan dan brek dram di belakang. Tangki minyak yang disediakan pula boleh memuatkan 4.6 liter bahan api dan di bawah tempat duduk terdapat ruang simpanan yang boleh menempatkan sebuah helmet.

    modenas-karisma-125-bm-11

    Elegan 250, sebuah motosikal yang menggunakan asas daripada Kymco X-Town 250i pula menggunakan enjin 249.1 cc satu silinder berpenyejukan cecair SOHC, dan secara maksimum, ia boleh menghasilkan 22.1 hp pada 7,000 rpm dan tork 22.4 Nm pada 6,500 rpm. Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api dan digabungkan dengan transmisi automatik CVT.

    Berat keseluruhan Elegan 250 adalah 191 kg dan pada bahagian hadapan, terdapat fork teleskopik bersama brek cakera 260 mm, rim 14 inci dan tayar 120/80 manakala di bahagian belakang pula, terdapat dua penyerap hentak, rim 13 inci dan tayar 150/70. Ruang simpanan di bawah tempat duduknya boleh memuatkan dua buah helmet sementara tangki minyak pula berkapasiti 12.5 liter.

    modenas-elegan-250-bm-1

    Selain dua buah motosikal yang menggunakan lencana sendiri ini, Modenas turut melancarkan Kymco Downtown 250i untuk pasaran Malaysia. Model ini menggunakan enjin 246 cc silinder tunggal berpenyejukan udara yang mampu menghasilkan 23 hp pada 7,750 rpm dan 23.1 Nm pada 6,000 rpm.

    Selain rekaan berbeza, motosikal ini juga mempunyai beberapa kelebihan berbanding Elegan 250 termasuk empat injap pada silindernya (DOHC), berat 191 kg, jarak roda lebih panjang (+13 mm) dan brek ABS. Kelengkapan lain seperti suspensi, rim dan tayar adalah sama.

    kymco-downtown-250i-bm-3

    Harga termasuk GST untuk model baru ini adalah masing-masing RM5,278 untuk Karisma 125, RM13,599 untuk Elegan 250 dan RM22,790 untuk Kymco Downtown 250i. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km, mana yang dahulu.

    Untuk pasaran Malaysia, semua model ini akan dipasang di Gurun, Kedah dan Modenas akan berusaha untuk meningkatkan lagi jumlah komponen keluaran tempatan padanya. Pada masa hadapan, Modenas akan melancarkan lebih lagi model bersama Kymco ini dan paling hampir adalah Xciting 400i yang dijangka berlaku pada tahun hadapan. Selain itu, EMOS juga akan berusaha mengembangkan lagi rangkaian pengedar dan sokongan Kymco di serata negara dan kini, 30 pengedar eksklusif telah pun dilantik termasuk di Sabah dan Sarawak.

    GALERI: Modenas Karisma 125

    GALERI: Modenas Elegan 250

    GALERI: Kymco Downtown 250i

     
     
  • Peugeot 208 dan 2008 facelift akan diprebiu di M’sia bulan hadapan – bakal tampil enjin PureTech 1.2L

    peugeot-208-preview-teaser

    Laman Facebook salah sebuah pengedar Peugeot di Malaysia telah mengeluarkan teaser mengatakan hatchback Peugeot 208 dan pasangan crossovernya SUV 2008 akan diprebiu di Malaysia bulan hadapan. Ini menandakan kedua-dua model berkenaan akan menerjah pasaran tempatan secara rasmi tidak lama lagi.

    Model 208 facelift telahpun membuat kemunculan sulungnya untuk peringkat global pada Geneva Motor Show tahun lalu dan mula dijual untuk pasaran Eropah pada Jun 2015, kemudiannya dikahbarkan akan mendarat di Malaysia tahun ini.

    2015_peugeot_208_02_bm

    Perubahan pada bahagian luaran untuk hatchback ini melibatkan bampar hadapan yang direka semula, gril lebih besar serta lampu hadapan dengan kemasan krom/hitam yang lebih menyerlah. Bahagian belakang juga menerima perubahan khususnya lampu signatur LED ‘tiga-cakaran’ yang kini menerima sentuhan semula.

    Selain dari perubahan luaran, transmisi empat-kelajuan automatik pada model pre-facelift sebelum ini akan digantikan dengan kotak gear enam-kelajuan Efficient Automatic Transmission (EAT6) dari Aisin.

    Untuk SUV 2008 pula, versi kemaskininya mula diperkenalkan pada awal tahun ini. Seperti juga 208, hanya sedikit perubahan dilakukan pada bahagian luaran. Ia meliputi gril dengan elemen menegak baharu, lampu hadapan yang sedikit berbeza, pelindung ruang roda tambahan berwarna hitam serta diberikan scuff plate baharu. Bahagian dalam pula, 2008 diberikan perubahan yang agak ketara termasuk pemadanan sistem infotaimen yang lengkap dengan Mirror Link dan Apple CarPlay.

    Untuk pasaran Perancis, 2008 diberikan enjin baharu dalam barisan enjin PureTech Peugeot, iaitu enjin tiga-silinder EB 1.2 liter PSA. Dua versi ditampilkan untuk enjin EB ini iaitu versi NA (PureTech 82) dan juga versi suapan turbo dengan dua pilihan talaan kuasa kuda berbeza – PureTech 110 dan PureTech 130. Seperti juga model 208, 2008 turut menampilkan kotak gear EAT6. Lebih perincian akan berikan setelah model-model ini tiba nanti.

    GALERI: Peugeot 208 facelift

    GALERI: Peugeot 2008 facelift 2016

     
     
  • PANDU UJI: Honda BR-V 7-tempat duduk, bakal tiba di M’sia – adakah tepati citarasa dan keperluan semasa?

    honda-br-v-preview-official-1

    Mee-sà~này iaitu perkataan Thailand yang bermaksud menarik. Itulah satu-satunya perkataan yang paling sesuai untuk digambarkan terhadap Honda BR-V ketika berpeluang mendampinginya selama dua hari di Bangkok baru-baru ini.

    Walau bagaimana pun, ini bukan pertama kali penulis berpeluang memandu ujinya. Kali pertama setahun yang lalu sewaktu penulis bersama rakan media permotoran tempatan dibawa oleh Honda Malaysia untuk membuat liputan di Tokyo Motorshow 2015. Ketika berada di sana, kami sempat memandu uji model crossover tujuh-tempat duduk ini di Twin Ring Motegi dan liputannya dimuatkan di Infokereta.com (laman web kami terdahulu sebelum paultan.org/bm).

    Walau bagaimana pun, ketika itu, BR-V masih di peringkat prototaip dan memang sudah ada ura-ura yang Honda Malaysia akan membawa masuknya ke pasaran kita.

    Pada hujung Januari 2016, BR-V secara rasminya mula dijual di Thailand yang menawarkan dua varian dengan harganya bermula 750,000 baht (RM94,183) untuk varian V, manakala varian SV pula 820,000 baht (RM102,973). Manakala pada Mei lalu, ia mula diperkenalkan di India pula, selain turut dipasarkan di Indonesia.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Petron lancar Turbo Diesel Euro 5 – bakal ditawarkan di 70 stesen semenanjung M’sia sebelum akhir tahun

    petron-euro-5-diesel-launch-6-1_bm

    Petron hari ini melancarkan bahan bakar diesel baharu yang digelar Turbo Diesel Euro 5. Diesel bergred lebih tinggi ini sebenarnya telah pun mula menembusi pasaran akhir bulan lalu, dan kini boleh didapati di 14 stesennya di seluruh semenanjung Malaysia. Menurut Petron, angka ini akan meningkat kepada 70 stesen di seluruh semenanjung menjelang akhir tahun ini.

    Petron mendakwa aditif dalam Turbo Diesel Euro 5 ini “direka untuk membolehkan bahan bakar tersebut bertahan pada kepanasan ekstrem dan tekanan tinggi di dalam sistem suntikan terkini”, serta mampu membersihkan sistem suntikan dan membuang deposit sedia ada. Petron juga mendakwa diesel baharu ini mampu memberikan “restorasi cepat dan lengkap terhadap kehilangan kuasa setelah diuji selama tiga ke empat jam.”

    Sama seperti diesel bergred Euro 5 lain di Malaysia, Turbo Diesel Euro 5 dari Petron ini mengandungi kandungan sulfur yang rendah iaitu pada kadar 10 ppm, berbanding 500 ppm pada diesel bergred Euro 2M. Diesel premium ini juga dijual hanya 10 sen seliter lebih mahal berbanding diesel Euro 2M, iaitu RM2.00 seliter (harga untuk November 2016).

    Senarai 14 stesen Petron yang kini mula menawarkan Turbo Diesel Euro 5 adalah:

    Lembah Klang
    1. Petron Subang Indah
    2. Petron Jalan Maarof
    3. Petron Sg. Jati
    4. Petron Damansara Kayu Ara
    5. Petron Grand Saga Arah Selatan
    6. Petron Batu 8
    7. Petron Seri Kembangan Raya
    8. Petron Sg. Rasah
    9. Petron Jalan Kapar
    10. Petron Bangi Seksyen 10

    Johor
    1. Petron Temenggong Ahmad
    2. Petron Buloh Kasap
    3. Petron Majidee
    4. Petron Pasir Gudang Barat 2

     
     
  • Peugeot 301 facelift diperkenalkan – sentuhan rekaan baharu, peningkatan pada ciri sistem infotainmen

    peugeot-301-facelift-06-850x411

    Peugeot telah memperkenalkan model 301 sedan versi facelift, tidak hanya dengan rekaan wajah baharu, tetapi turut hadir dengan kelengkapan yang dipertingkat. Pertama kali diperkenalkan pada 2012, ia dibangunkan untuk negara-negara dengan pasaran sedang berkembang; sebanyak 360,000 unit telah terjual.

    Perubahan luaran paling utama tertumpu pada bahagian wajah hadapan, yang menampilkan gril radiator serta bonet baharu. Lampu utama juga menerima sentuhan yang segar, serta bahagian bampar yang direka semula; dilengapi lampu nyalaan siang LED. Lampu belakang juga menerima pembaharuan dengan rekaan tiga garis baharu.

    Di ruang dalaman, kemasan dan trim baharu mengghiasi, dengan pilihan warna latar cerah atau gelap. Ia berdasarkan kemasan fabrik yang dikenali sebagai Cran Adamantium. Peugeot 301 sedan facelift juga memperkenalkan penggunaan sistem infotainmen dengan skrin sentuh tujuh inci. Ia turut dilengkapi dengan pemain Mirror Screen (dengan ciri MirrorLink, Android Auto dan Apple Carplay), navigasi 3D TomTom dan kamera undur.

    Papan pemuka pula diberikan rekaan terbaharu, dengan kawalan pendingin hawa, serta butang tingkap kuasa yang kini terletak pada konsol tengah, di antara kedua-dua sisi tuil gear. Empat pilihan enjin ditawarkan; 1.2L PureTech 82 (82 hp pada 5,750 rpm dan 118 Nm pada 2,750 rpm), 1.6L VTi (115 hp pada 6,050 rpm dan 150 Nm pada 4,000 rpm) dan dua lagi enjin diesel, 1.6L BlueHDi 100 dan 1.6L HDi 92.

    Bagi ciri keselamatan, 301 sedan facelift ini dilengkapi dua beg udara, ABS, ESP, EBA dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) serta Isofix. Pilihan warna pula ada tiga tambahan yang terkini; Artense Grey, Moka Grey and Deep Blue).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025