Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • VIDEO: Juara F1 2016 Nico Rosberg di Malaysia

    Pelumba pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas yang telah dinobatkan sebagai Juara Dunia Kejohanan Formula Satu pada perlumbaan terakhir yang berlangsung di Yas Marina, Abu Dhabi hujung minggu lalu telah tiba di Kuala Lumpur bersama pengarah eksekutif pasukan berkenaan, Toto Wolff.

    “Lewis merupakan antara yang terbaik di dunia, antara yang terbaik setakat ini, sudah tentu untuk berlumba dengannya adalah sesuatu yang amat sengit dan tahap persaingan adalah sangat tinggi; saya rasakan seperti saya telah berlumba dengannya selama-lamanya. Agak sukar untuk mendapatkan kejuaraan-kejuaraan berkenaan kerana beliau sentiasa menewaskan saya, dan sekarang saya berjaya menewaskannya, ia adalah hebat,” kata Rosberg.

    “Saya pasti kami menyebabkan Toto tumbuh lebih banyak uban selama ini,” Rosberg berseloroh, dan berterima kasih kepada Wolff kerana berjaya menguruskan pemandu, serta menyumbang kepada kejayaan pasukan kepadanya, Niki Lauda dan Paddy Lowe.

    Apabila ditanya apa cabaran yang bakal dihadapi apabila pasukan F1 Mercedes-AMG yang kini telahpun dinobatkan sebagai juara kategori pelumba dan pengeluar, Wolff menjawab, “Saya rasa ia akan jadi lebih mudah, kerana Nico telahpun mencapai apa yang dihajatinya, dan apabila kami memulakan projek ini pada tahun 2014 ia adalah jelas kami tidak mahu memiliki hanya seorang pemandu pilihan.”

    Rosberg kemudiannya ditanya adakah beliau dahagakan kejayaan pada masa akan datang setelah berjaya menjadi juara pada tahun ini, beliau menjawab, “saya suka bersaing, saya suka menewaskan semua orang, dan ia tidak akan berubah. Ia sentiasa sama, walaupun apa jua keputusan yang dicapai sebelum ini.”

     
     
  • LRT: Perjalanan terus melibatkan Laluan Ampang dan Sentul Timur tanpa perlu menukar tren mulai 1 Dis ini

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Rapid Rail Sdn Bhd telah mengumumkan, mulai 1 Disember 2016 ini, pengguna perkhidmatan Rapid KL Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang boleh menikmati perjalanan terus dari stesen Ampang ke Sentul Timur tanpa perlu lagi menukar tren di stesen Chan Sow Lin.

    Di mana kerja-kerja menaik taraf sistem isyarat atau terma teknikalnya Communication-Based Train Control (CBTC) untuk keseluruhan Laluan Ampang dan Sri Petaling bagi kegunaan tren AMY baharu enam gerabak, telah pun siap.

    Menurut CEO syarikat berkenaan Datul Zohari Sulaiman, mulai tarikh tersebut, keseluruhan Laluan Sri Petaling dan Ampang akan menggunakan tren AMY enam gerabak. Tren Adtranz yang digunakan sejak 1996 untuk laluan Ampang kini akan ditamatkan perkhidmatan sepenuhnya, laporan Bernama.

    Rapid Rail merupakan anak syarikat Prasarana, mengendali Rapid KL LRT Laluan Ampang, Sri Petaling, Kelana Jaya, Monorail dan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang, yang akan memulakan Fasa 1 antara Sungai Buloh dan Semantan pada 16 Dis.

    Prasarana memperoleh sebanyak 50 tren baharu enam gerabak dari CRRC Zhuzhou Electric Locomotive, China untuk LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling termasuk 11 stesen baharu yang dibina di bawah Projek Penyambungan Jajaran LRT (LEP).

    Sehingga kini, 45 set tren telah dihantar kepada Rapid Rail dengan lima set lagi sedang dipasang di kilang CRRC di Batu Gajah, Perak dan dijangka diserahkan secara berperingkat menjelang Januari tahun depan.

     
     
  • SPYSHOT: Porsche 718 Boxster GTS guna enjin empat silinder yang lebih berkuasa – dijangka cecah 375 hp

    porsche-boxster-gts-3-850x428-bm

    Dengan ketibaan model 718 Boxster yang menggunakan enjin empat silinder, Porsche dilihat mengurangkan jumlah silinder (sebelum ini menggunakan enjin enam silinder N/A) dan mengambil kelebihan pengecas turbo pada model berenjin tengah ini untuk lebih kuasa tork, pada masa sama cekap dalam penggunaan bahan api.

    Model dengan bumbung boleh buka ini sudah dipasarkan dalam dua versi iaitu Boxster dan Boxster S, manakala model yang boleh dilihat dalam gambar ini pula adalah model GTS, dengan lebih banyak kelengkapan yang bertumpu ke arah prestasi.

    porsche-boxster-gts-7-850x429-bm

    Sementara model tertinggi Boxster Spyder dan Cayman GT4 menggunakan enjin enam silinder N/A, bersama naik taraf pada bahagian casis hasil kerja Porsche GT, model 718 Boxster GTS pula masih menggunakan enjin sama seperti model asas, tetapi ditala untuk menjadi lebih berkuasa.

    Biasanya nama GTS ini digunakan pada model yang dinaik taraf daripada model S, dan peningkatan sama boleh dijangka pada 718 Boxster. Jika model S boleh menghasilkan sehingga 350 hp dan 420 Nm tork, model GTS pula dijangka boleh mencapai hingga 375 hp, dengan kedua-dua kotak gear manual dan PDK akan ditawarkan.

    Seperti yang dikatakan berkenaan lencana GTS tadi, 718 Boxster GTS ini juga akan mendapat ‘sentuhan’ pada bahagian casis supaya menjadi lebih rendah, suspensi lebih tegap dan penampilan lebih agresif. Ia dijangka membuat kemunculan rasmi pada separuh kedua tahun 2017.

     
     
  • Ciri kawalan kestabilan elektronik (ESC) bagi kenderaan baharu di M’sia akan diwajibkan pada 2018

    stability-control-button

    Kerajaan Malaysia mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan peraturan bagi ciri kawalan kestabilan elektronik (ESC) pada acara Stop The Crash anjuran Global NCAP yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

    Untuk itu, semua kenderaan baharu di Malaysia akan diwajibkan untuk dilengkapi ciri berkenaan menjelang Jun 2018. Pengumuman itu dilakukan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika majlis perasmian acara berkenaan.

    “Kami amat berbangga dengan langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia ini; ia merupakan langkah penting untuk keselamatan jalan raya dan menjadi negara pertama di ASEAN yang memberikan mandat kepada penggunaan ESC,” ujar beliau.

    Kawalan kestabilan atau ESC sudah pun menjadi ciri standard yang melengkapi kenderaan-kenderaan di beberapa pasaran dunia. Ia diwajibkan di Eropah dan Amerika Syarikat sejak 2012. “Global NCAP mengalu-alukan pengumuman berkenaan.

    Tahun ini, Perhimpunan Agung UN mengesyorkan negara-negara mewartakan perturan bagi memperkenal teknologi penghindar kemalangan dan Malaysia telah memberi maklum balas yang positif terhadapnya,” jelas Setiausaha Agung Global NCAP, David Ward.

    Pengarah MIROS merangkap Pengerusi ASEAN NCAP, Profesor Wong Shaw Voon menambah; “Kami amat berbesar hati kerajaan mengambil langkah ini. ESC akan menyelamatkan ribuan nyawa di Malaysia. MIROS dan ASEAN NCAP menggesa negara lain di rantau ini turut mengikut jejak yang sama dan memberi mandat kepada teknologi yang mampu menyelamatkan nyawa ini.”

    Dalam perkembangan yang sama, beberapa pengeluar kenderaan di Malaysia seperti Volvo, Ford, Subaru dan Mazda telah memberikan komitmen mereka untuk melaksanakan perkara ini lebih awal daripada tempoh yang diumumkan ini – iaitu pada 1 Januari 2017.

     
     
  • Bosch tunjuk kelebihan unit asas brek ABS 1-channel untuk motosikal kos rendah – brek hadapan sahaja

    Bersempena dengan acara kempen ‘Stop The Crash’ anjuran Global NCAP di Litar Sepang, Bosch yang turut mengambil bahagian menyediakan sebuah Piaggio Liberty 125 untuk menunjukkan keberkesanan brek anti kunci (ABS) motosikal di kawasan demonstrasi. Sistem ABS yang digunakan pada motosikal ini adalah unit asas 1-channel yang disasarkan untuk motosikal kapasiti kecil.

    Bosch sudah menghasilkan sistem brek ABS untuk motosikal sejak tahun 1994 dan mereka mempunyai sistem yang bersesuaian untuk pelbagai jenis motosikal. Tetapi, bagi sistem 1-channel yang digelar sebagai Bosch ABS 9 Light, ia adalah unit asas, dibangunkan khas untuk motosikal kos rendah.

    Kemasukan sistem yang bertujuan meningkatkan ciri keselamatan ini adalah hanya pada brek hadapan sahaja dan menurut pengurus kanan aplikasi keselamatan motosikal Bosch Japan, Christian Grouger, bahagian ini dipilih kerana dapat memberi daya henti yang lebih berkesan pada waktu kecemasan berbanding tayar belakang.

    bosch-abs-light-9m-scooter-dz-2-600x330-bm

    Semasa demonstrasi yang dilakukan di atas permukaan licin, boleh diperhatikan bahawa motosikal yang mempunyai sistem ABS 9 Light ini kekal tegak dan tayarnya tidak terkunci di satu tempat. Namun apabila ditutup, motosikal tersebut mula condong dan menggambarkan risiko kemalangan.

    Apa yang jelas, sistem brek ABS ini sememangnya dapat meningkatkan aspek keselamatan sesebuah kenderaan. Bagi motosikal kos rendah, Bosch telah membangunkan sistem Bosch ABS 9 Light ini supaya mereka juga boleh menikmati tunggangan dengan lebih tenang, termasuk dalam waktu kecemasan.

    Sekarang, yang tinggal hanyalah penguatkuasaan serta penawaran motosikal dengan ciri ini oleh pengeluar. Di Eropah, sejak tahun ini, undang-undang EU telah mewajiibkan semua motosikal 125 cc untuk dilengkapi dengan ABS. Di Malaysia, masih belum ada undang-undang yang mewajibkan semua motosikal termasuk yang berkapasiti rendah untuk dilengkapi dengan brek ABS, dan menurut wakil MIROS, mereka masih berbincang dengan syarikat pengeluar motosikal.

    Melihatkan penawaran produk termasuk ‘kapcai sports’ yang semakin mendapat populariti di Malaysia, kami juga rasa peraturan seperti ini perlu bagi mengurangkan risiko kemalangan, atau lebih teruk, yang meragut nyawa di atas jalan raya. Motosikal anda mungkin boleh memecut laju, tapi apabila tiba waktu kecemasan dan perlu membrek, dapatkah ia berhenti dengan baik?

     
     
  • Hyundai Ioniq Hybrid dilancarkan; dua varian sebagai pilihan, pemasangan CKD – harga bermula RM100k

    hyundai_ioniq_hevplus-16

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) hari ini memperkenalkan secara rasmi Hyundai Ioniq Hybrid, sebuah model hibrid pertama keluaran jenama itu untuk pasaran tempatan, yang sebelum ini sudah dibuka untuk tempahan. Merupakan model pemasangan tempatan (CKD) di Kulim, Kedah, ia ditawarkan di dalam dua varian – 1.6 (Auto) HEV dan 1.6 (Auto) HEV PLUS.

    Lebih menarik ialah tanda harga yang ditawarkan bagi model ini; varian 1.6 (Auto) HEV dijual pada harga RM100,328, manakala varian 1.6 (Auto) HEV Plus pula dijual pada harga RM110,828. Kedua-duanya merupakan harga atas jalan (termasuk GST) dan tanpa insurans.

    Hyundai Ioniq Hybrid adalah model yang menjadi pencabar secara langsung antaranya kepada Toyota Prius, dijana oleh enjin petrol 1.6 liter Kappa GDI empat-silinder dengan janaan kuasa 105 PS pada 5,700 rpm dan tork maksimum 147 Nm pada 4,000 rpm.

    Hyundai mendakwa enjin pembakaran dalaman (internal combustion) yang digunakan ini merupakan enjin dengan kecekapan haba paling tinggi di dunia pada kadar 40% – sama seperti yang dicapai oleh enjin pembakaran dalaman Toyota Prius generasi keempat terkini.

    Enjin berkenaan digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 43 PS dan tork 170 Nm, menerima tenaga dari bateri polimer litium ion berkuasa 1.56 kWh yang ditempatkan di bawah tempat duduk belakang. Keseluruhan kuasa yang mampu dijana oleh gabungan dua unit ini ialah 141 PS/265 Nm dan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac-berkembar (DCT) enam-kelajuan.

    Kotak gear DCT yang digunakannya juga menjadi satu kelebihan, berbanding pesaing keluaran Jepun yang lain, yang lebih cenderung menggunakan transmisi CVT. Menurut Hyundai, transmisi DCT ini lebih cekap; menggunakan rekaan komponen yang rendah geseran serta minyak berkelikatan rendah. Ia turut menampilkan mod pemanduan Sport dan juga Eco.

    Motor elektrik pada Ioniq direka spesifik dengan kecekapan tinggi bertaraf dunia, termasuk komponen teras (kepingan logam elektrikal) yang lebih nipis sehingga 10% dan wayar tembaga pada bahagian segi empat untuk mengurangkan teras dan kehilangan haba. Motor tersebut juga membolehkan Ioniq bergerak secara elektrik sepenuhnya pada kelajuan mencapai 120 km/j.

    Ia dibangun menggunakan platform yang khas untuk kereta hibrid. Komponen yang digunakan juga bertujuan untuk mengurangkan berat keseluruhannya, antaranya bonet dan pintu tailgate aluminium; ia 12.4 kg lebih ringan jika dibandingkan dengan versi logam.

    Material untuk membina komponen suspensi juga banyak menggunakan aluminium dan berhasil mengurangkan berat sebanyak 10 kg, termasuk lengan bawah hadapan yang 4.6 kg lebih ringan dan lengan bawah belakang yang 7.14 kg lebih ringan. Penutup kargo pada Ioniq ini juga 25% lebih ringan berbanding model Hyundai lain.

    Ioniq tampil dengan gaya futuristik yang menawan, terutama bagi varian HEV Plus. Dari sudut luaran, ia dilengkapi dengan ciri utama HID Bi-Xenon serta lampu nyalaan siang LED.Bahagian grilnya pula bukan kosong; ia menempatkan sensor bagi ciri keselamatan seperti AEB dan juga SCC, seperti yang dijelaskan di bawah.

    Bagi ruang dalaman , antara ciri menarik yang melengkapinya ialah penggunaan kluster meter TFT-LCD definisi tinggi serta talaan tempat duduk 10-posisi. Selain itu, ciri pengecas telefon pintar tanpa wayar (bagi telefon yang didatangkan dengan ciri ini) turut tersedia, selain kawalan pendingin hawa Dual-Zone Climate Control.

    Sebagai sebuah kereta hibrid, ia mempunyai aspek aerodinamik yang begitu baik, pada bacaan 0.24 Cd. Purata penggunaan bahan apinya pula ialah pada kadar 3.4 liter bagi setiap 100 km.

    Senarai ciri keselamatannya juga sangat mengkagumkan, apatah lagi jika mengambil kira tanda harga yang ditawarkan. Antara yang melengkapinya ialah tujuh beg udara, Lane Keeping Assist System (LKAS), Autonomous Emergency Breaking (AEB), Blind Spot Detection (BSD) serta Smart Cruise Control (SCC).

    Senarai berkenaan sebetulnya adalah ciri-ciri tambahan kepada ciri keselamatan sedia ada dan ditawarkan sebagai standard seperti berikut; Anti-Lock Brake System (ABS), Brake Assist System (BAS), Hill-Start Assist Control (HAS), Electronic Stability Control (ESC) dan Vehicle Stability Management (VSM).

    Hyundai Ioniq Hybrid di datangkan dengan pakej perlindungan Care Plus, yang merangkumi jaminan kenderaan selama lima tahun atau 300,000 km; jaminan bateri selama lapan tahun tanpa had perbatuan, servise percuma selama tiga tahun atau 60,000 km; insurans Guaranteed Automotive Protection (GAP) selama tiga tahun dan kadar faedah serendah 2.28%.

    Untuk mengetahui spesifikasi dan perincian lebih lanjut bagi Hyundai Ioniq ini, layari juga laman Carbase.my.

    Hyundai Ioniq HEV Plus

    Hyundai Ioniq HEV

     
     
  • BMW i3 facelift bakal diperkenalkan tahun hadapan

    2017-bmw-i3-94ah-munich-1

    BMW i3 telah direncanakan untuk hadir dengan model facelift tahun hadapan, menurut berita yang dilaporkan oleh akhbar Jerman Welt am Sonntag. Kenderaan elektrik ini dijangka akan diolah rekaan luarannya untuk mempertingkatkan lagi jualannya.

    Perubahan termasuklah semakan semula bahagian hadapan dan belakang kereta, serta dipadankan dengan bateri baharu yang mampu menyalurkan penggunaan elektrik yang lebih tinggi. Selain itu, BMW turut memperkenalkan peningkatan bagi barisan i3 sebanyak 50%, iaitu dari 190 km ke 300 km.

    Rangkaian ini turut dijangka akan menambah model dalam barisan dengan beberapa ciri yang berbeza. Buat setakat ini, i3 didatangkan dengan dua bateri dengan kapasiti yang berbeza sebagai standard bersama satu lagi original untuk 190 km sebagai pilihan bajet. “Bagi penggunaan jangka masa panjang, pengguna mempunyai pilihan untuk memilih penggunaan yang berbeza,” ujar ahli lembaga pengarah BMW untuk divisi pembangunan Klaus Froehlich.

    Reuters turut melaporkan BMW kini memperlahankan rentak dalam membangunkan kenderaan elektrik, terutamanya apabila jumlah jualan yang dicatatkan tidak memberangsangkan, sedangkan perlaburan besar telah pun dibuat. Tahun lalu, hanya sejumlah 25,000 unit i3 telah terjual.

    GALERI: BMW i3 2017

     
     
  • Toyota Gazoo Racing bakal bina kereta berprestasi tinggi untuk jalan raya menggunakan jenamanya?

    Toyota RC F Tom's Gazoo Racing Nurburgring-02

    Toyota Gazoo Racing yang kini mengendalikan dan membina jentera-jentera perlumbaan Toyota dalam perlumbaan World Endurance Championship dan Kejohanan Rali Dunia (WRC) dikhabarkan bakal membina kereta-kereta berprestasi tinggi untuk jalan raya pula, lapor Autocar.

    Setakat ini, Gazoo Racing telahpun memproduksi model-model talaan istimewa untuk jalan raya edisi terhad dalam pasaran domestik Jepun di bawah jenama GRMN (Gazoo Racing Masters of Nürburgring) dan G’s. Untuk projek seterusnya di bawah nama Gazoo Racing, ia disasarkan untuk bersaing dengan Mercedes-AMG dan BMW M.

    Menurut ketua Gazoo Racing yang juga boss divisi unit janakuasa Toyota Koei Saga, sememangnya beliau sudah berniat untuk mempertingkatkan penampilan Gazoo dalam pasaran kereta jalan raya biasa di luar Jepun, untuk mempromosikan hubungan antara kereta lumba sebenar dan juga jentera jalan raya.

    “Di Eropah, cabarannya lebih luas kerana kami mempunyai lebih banyak saingan, dan juga isu berkenaan kos. Walau bagaimanapun, saya sedang berusaha kearah itu bagi membolehkan kami mempunyai jenama seperti jenama M dari BMW,” tambah Saga.

    Dijangkakan, kereta jalanan pertama bakal menerima lencana Gazoo ialah Toyota Yaris berprestasi tinggi yang akan bersaing dengan hot-hatch eropah seperti Ford Fiesta ST dan Peugeot 208 GTi. Namun, dengan sasaran yang difokuskan kepada jenama seperti BMW M, Saga enggan mengulas sama ada Gazoo turut terlibat dengan pembinaan Toyota Supra baharu, yang mana Toyota bekerjasama dengan BMW untuk membina model berkenaan.

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Supra generasi seterusnya diuji di atas jalan raya dengan penyamaran lebih ringan

    Spy-Photo

    Setelah ia dilihat diuji dilitar Nurburgring minggu lalu, kini Toyota Supra generasi baharu dilihat keluar semula dijalanan – kini dengan penyamaran yang sedikit ringan dari sebelum ini.

    Menerusi penampilan berkenaan, dapat dilihat bentuk keseluruhan kereta sport flagship Toyota berkenaan banyak diinspirasikan dari model konsep Toyota FT-1 yang muncul buat pertama kali di Detroit Auto Show 2014.

    Muncung ala-kereta F1 dari FT-1 disadur terus kepada Supra, bersama liang kemasukan udara yang besar dengan tiga bahagian pada bampar hadapan, tetapi unit prototaip sebenar ini dilihat tidak mempunyai skup udara pada hud enjin.

    Supra turut menampilkan rekaan cermin hadapan yang seperti bersambung dengan cermin tingkap sisi, bersama bumbung yang direka dengan dua benjolan kelihatan seperti buih. Penampilan kali ini juga memperlihatkan rekaan lampu belakang yang tirus, bersama spoiler belakang yang tinggi, bersepadu dengan badan kereta.

    Spy-Shots of Cars This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Tiada imej bahagian dalaman pada set imej kali ini, tetapi pada gambar yang kami terima sebelum ini Supra dilihat mengambil terus rekaan dalaman dari BMW Z5, dengan roda stereng tiga jejari, skrin paparan pada bahagian tengah papan pemuka, paparan instrumen separa-maya dan juga suis-suis kawalan penghawa dingin. Namun, ini hanyalah model ujian dan diharapkan ia akan berubah dengan rekaan lebih tersendiri pada model produksi sebenar nanti.

    Toyota Supra dan BMW Z5 dibina oleh kedua-dua pengeluar berkenaan di atas platform kereta sport terbaharu yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z5 dan Supra dilakukan secara berasingan. Namun, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z5 yang tampil dengan bentuk badan Roadster.

    Supra generasi baharu ini dijangka akan dikuasakan dengan enjin empat silinder sebaris dan enam silinder sebaris bersama pengecas turbo dari BMW dan varian paling berkuasa dengan unit janakuasa hibrid bakal dilengkapi kapasitor serta sistem pacuan empat roda. Jentera baharu ini turut menggunakan kepakaran BMW dalam pembinaan komponen gentian karbon, seperti yang terdapat pada BMW i3, i8 dan 7 Series G12.

    GALERI: Spyshot Toyota Supra di litar Nurburgring

    GALERI: Toyota FT-1 Concept

    GALERI: Evolusi Toyota Supra

     
     
  • HSR Bangkok-KL: Thailand sedia mula perbincangan

    thai hsr render 1

    The State Railway of Thailand telah menghantar surat kepada pihak berkuasa kereta api Malaysia, menyatakan hasrat untuk memulakan perbincangan tentang kebolehlaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Bangkok dan Kuala Lumpur.

    Menurut gabenornya, Wuttichart Kanlayanamit, surat tersebut dihantar pada minggu lepas.

    “Menjelang hujung minggu ini, segala butiran bakal diperoleh tentang tempat dan tarikh perbincangan itu akan diadakan, sama ada di Malaysia atau Thailand,” katanya kepada Bernama.

    Beliau yakin dengan potensi projek HSR itu yang akan menghubungkan kedua-dua bandar raya tersebut.

    Wuttichart berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pengumuman Menteri Pengangkutan Thailand Arkom Termpittayapaisith pada minggu lepas bahawa perbincangan antara Malaysia dan Thailand mengenai kebolehlaksanaan projek HSR sejauh 1,400 kilometer akan diadakan tidak lama lagi.

    Menurutnya, projek HSR itu akan memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar tersebut kepada enam jam, sambil menambah perbincangan tersebut akan bermula pada peringkat pegawai sebelum ia diteruskan ke peringkat menteri.

    Projek HSR tersebut dibangkitkan semasa mesyuarat rundingan tahunan Malaysia-Thailand di sini pada September, yang mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya di Thailand Jen Prayut Chan-o-cha bersetuju untuk menjalankan satu kajian daya maju mengenai cadangan tersebut.

    Najib berkata projek HSR itu akan melengkapkan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.

     
     
  • European Car of The Year 2017 – 7 finalis diumumkan

    Finalis untuk anugerah European Car of the Year 2017 telah pun diumumkan, dengan tujuh kereta dari tujuh pengeluar berbeza kini bersaing untuk merebut gelaran berkenaan. Senarai kereta yang telah diundi oleh 58 orang juri berkenaan adalah:

    Alfa Romeo Giulia
    Citroen C3
    Mercedes-Benz E-Class
    Nissan Micra
    Peugeot 3008
    Toyota C-HR
    Volvo S90/V90

    Nampaknya, tiada pengeluar dari Amerika dan Korea disenarai pendekkan sebagai finalis untuk kali ini. Turut dilihat, tiada juga kereta hibrid atau elektrik sepenuhnya yang dicalonkan pada senarai akhir berkenaan. Kesemua pengeluar yang tercalon juga pernah merangkul gelaran tersebut sebelum ini, kecuali Volvo.

    Alfa Romeo Giulia – sedan terbaharu dari jenama berkenaan nampaknya berjaya menambat hati para juri. Begitu juga model-model baharu yang menampilkan rekaan dan juga teknologi terkini seperti Nissan Micra (atau dikenali juga sebagai March) dan juga Citroen C3.

    Dari kesemua kereta yang dicalonkan,kami telahpun memandu uji Mercedes-Benz E-Class W213. Toyota C-HR dan Volvo S90 belum lagi masuk kepasaran Malaysia, namun kedua-dua model ini dijangka akan menerjah pasaran tempatan tidak lama lagi.

    Pemenang untuk anugerah ini akan diumumkan semasa berlangsungnya Geneva Motor Show pada Mac tahun hadapan. Kesemua 58 juri akan membahagikan 25 markah kepada paling kurang untuk lima calon finalis. Untuk anugerah sebelum ini, Opel/Vauxhall Astra telah merangkul tempat pertama, diikuti Volvo XC90 ditempat kedua serta Mazda MX-5 ditempat ketiga.

     
     
  • Volkswagen Arteon 4-pintu coupe didedah, ganti CC

    db2016au01055_large-e1480332977722

    Volkswagen telah menyebarkan lakaran teaser pertama model coupe empat-pintu akan datang, Volkswagen Arteon. Namanya digabungkan dengan dua perkataan iaitu “art” dan “eon” – yang menggambarkan ia sebagai model premium, seperti model pasaran China Phideon – yang bakal menggantikan model CC dan diposisikan di atas Passat yang bakal diperkenalkan di Geneva Motor Show 2017.

    Lihat sahaja lakarannya, nampak seperti menyamai versi Sport Coupe Concept GTE, yang didedahkan pada Ogos lalu. Bahagian hadapannya dengan gril yang lebih lebar dan bar yang disambung pada lampu utama tiga-dimensi, telah dikekalkan.

    Turut dikekalkan ialah corong pengadang atau fender, garisan bumbung yang agresif dan bahagian belakangnya. Seperti model CC sedia ada, Arteon juga didatangkan dengan tingkap tanpa bingkai, serta menambahkan pintu tailgate yang dipasang di atas (seperti model Audi A5 dan A7 Sportback, serta BMW 4 Series Gran Coupe) sekaligus membuatkannya sebagai lima-pintu.

    Selain menampilkan rekaan dalaman yang lebih berketerampilan, imej yang diinspirasikan dari Passat turut jelas kelihatan untuk bahagian dalamannya termasuk corong penghawa dingin, panel instrumen dan terowong transmisi yang condong. Malah seperti model sedia ada CC, Arteon juga didatangkan dengan pilihan lima- dan empat-tempat duduk.

    Penjana kuasanya termasuklah enjin petrol TSI dan diesel TDI daripada Passat, serta transmisi manual dan dwi-klac DSG. Turut dijangkakan GTE plug-in hybrid yang digunakan pada enjin V6 TSI pada Sport Coupe Concept GTE dengan dipadankan bersama dua motor elektrik untuk menghasilkan gabungan kuasa 380 hp, berkeupayaan dengan pacuan 0-100 km/j dalam hanya 5.2 saat dan kelajuan maksimum 5.2 saat, serta penggunaan bahan api sekitar 50 km untuk per liter, 50 km daripada janaan elektrik dan jumlah keseluruhan mencecah 1,000 km.

    GALERI: Volkswagen Sport Coupe Concept GTE di Geneva 2015

     
     
  • VIDEO: Arrinera Hussarya GT kereta supercar Poland dengan latar belakang sejarah dari United Kingdom

    Kita tahu banyak pengeluar kenderaan supercar datang dari negara Eropah seperti Jerman, Itali dan United Kingdom. Namun masih ada lagi yang lain seperti Koenigsegg dari Sweden dan Bugatti dari Perancis. Tidak ketinggalan, Poland juga mempunyai pengeluar kenderaan eksotik sendiri iaitu Arrinera.

    Kenderaan keluaran syarikat ini digelar Hussarya GT, padat dengan prestasi seperti kereta lumba, bermula dengan casis yang dibina menggunakan kerangka spaceframe cukup kuat untuk menanggung kuasa yang datang daripada enjin GM V8 7 liter N/A berkuasa 505 hp dan 652 Nm tork.

    Kulit luar badannya pula menggunakan bahan komposit, kebanyakannya adalah gentian karbon dan kevlar, lengkap bersama ciri aerodinamik yang dapat memastikan kereta ini kurang rintangan angin dan mempunyai daya tolakan ke bawah yang mencukupi. Bagi memudahkan pemilik yang kerap menggunakannya di litar, keseluruhan bahagian hadapan dan belakang boleh ditanggalkan dengan mudah.

    Pada masa ini, model tersebut dijual hanya untuk kegunaan litar pada harga USD229,000 (RM1.02 juta), tetapi dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman webnya, model produksi untuk kegunaan jalan biasa juga akan dilancarkan pada tahun hadapan.

    Dalam video di atas, pengurus pemasaran Arrinera menerangkan bagaimana sejarah pengasas syarikat ini mempengaruhi pembangunan Hussarya GT. Jika anda tertanya bagaimana bunyi dan prestasi kenderaan ini, lihat pula video di bawah, di mana kenderaan tersebut dibawa ke Goodwood Festival Of Speed.

     
     
  • Polis Jerman guna Ford Mustang 5.0L V8 talaan Wolf Racing untuk galakkan ubahsuai kereta secara selamat

    polizei-ford-mustang-gt-tuner_8_bm

    Untuk menjayakan kempen TUNE IT! SAFE! di Jerman, polis negara berkenaan kini menerima Ford Mustang V8 GT semasa berlangsungnya Essen Motor Show. Kereta berkenaan bukan sahaja dari varian tertinggi dengan enjin 5.0 liter, malah ia turut menerima sentuhan pengubahsuaian dari pakar penala Ford Mustang iaitu Wolf Racing.

    Diberi nama “Wolf Wide 5.0”, enjin V8 asal Mustang ini diubahsuai bagi mengekstrak sejumlah 455 hp, berbanding jumlah asal 421 hp. Ini membolehkan jentera berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 238 km/j.

    Pengendalian Mustang ini turut diambil berat. Wolf Racing memadankan suspensi boleh laras serta memberikan rim berdiameter 20-inci, dibaluti tayar-tayar dari Hankook. Ia turut diberikan kit badan penuh yang merangkumi apron bahagian depan dan belakang, skirt sisi, diffuser belakang, spoiler belakang bersaiz besar.

    polizei-ford-mustang-gt-tuner_9_bm

    Untuk melengkapkan penampilannya, Wolf Wide 5.0 diberikan warna tema rasmi ‘Polizei’ Jerman, lengkap dengan lampu berwarna biru serta siren dari Hella. Tingkap sisi juga diberikan perlindungan keselamatan dari Securelux bagi mengelakkan ia pecah berderai.

    Kempen TUNE IT! SAFE! ini merupakan usaha yang dijalankan oleh berberapa badan kerajaan Jerman bersama pihak-pihak dalam industri berkenaan, pengeluar alat ganti serta pihak Essen Motor Show sendiri bagi mempromosikan kaedah ubahsuai kenderaan yang selamat selari dengan undang-undang kenderaan di negara tersebut.

    Mustang ini turut akan menyertai pertunjukkan-pertunjukkan kereta dan acara lain dalam tempoh masa 12 bulan akan datang, sepanjang kempen itu berlangsung. Setiap tahun, kereta-kereta polis yang diubahsuai akan ditampilkan untuk kempen ini. Antara kereta yang digunakan untuk tahun-tahun sebelum ini termasuk Corvette C7, BMW 4 Series AC Schnitzer, Mercedes-Class Brabus, Audi R8 ABT serta Mini elektrik.

     
     
  • Sistem M-BIKE dikuatkuasa mulai 30 Nov ini di pintu masuk M’sia-S’pura; khusus untuk rakyat tempatan

    sym-sport-rider-125i-28-bm

    Bermula 30 November ini, sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-BIKE) akan dikuatkuasa di kedua-dua pintu keluar masuk Malaysia-Singapura, khusus bagi penunggang dan pembonceng motosikal warganegara Malaysia berdaftar.

    Menerusi kenyatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), kedua-dua pintu keluar masuk itu adalah di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor Bahru.

    Di mana melalui sistem ini, pemeriksaan dokumen perjalanan melalui pintu masuk Malaysia-Singapura akan dilaksanakan secara automatik. Pemeriksaan dokumen akan mengambil masa lapan hingga 10 saat sahaja bagi setiap individu dengan 100 laluan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) BSI dan 50 laluan di CIQ KSAB, laporan Bernama.

    Sistem itu merupakan inisiatif terbaharu kerajaan Malaysia untuk menambahbaik kawalan keselamatan di pintu masuk negara serta situasi trafik di CIQ BSI dan KSAB. Menurut kenyatan itu, pengguna motosikal disaran untuk mendaftar segera di Pusat Sehenti (OSC) yang beroperasi 24 jam setiap hari di CIQ BSI dan KSAB bagi memastikan mereka dapat menggunakan kemudahan itu apabila sistem berkenaan mula dikuatkuasa.

    Syarat pendaftaran M-BIKE adalah secara percuma kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan memiliki pasport Malaysia antarabangsa yang sah dengan tempoh laku minima enam bulan. Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.mbike.my atau menghubungi di talian 07-2182400 (24 jam).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025