Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Malaysia – stok tersedia inflator beg udara penumpang cecah 55%; gesa pelanggan segera tukar

    honda-malaysia-tech-with-airbag-inflator

    Honda Malaysia telah memaklumkan kemaskini status stok beg udara berikutan panggilan balik untuk menggantikan inflator beg udara Takata pada kenderaan keluarannya. Stok yang tersedia bagi inflator beg udara penumpang hadapan disasarkan akan ditambah 55% menjelang hujung bulan ini. Ia sebulan lebih awal daripada jangkaan awalnya. Pada Disember, angka berkenaan dijangka bertambah kepada 70%.

    Dengan perkembangan terbaharu ini, syarikat itu menggesa pemilik yang terlibat untuk tampil dan menukar inflator beg udara penumpang depan ini dengan segera. Mereka digalakkan untuk membuat temu janji di mana-mana Hub Servis Sentral Honda atau mana-mana pusat servis bertauliah Honda untuk tujuan itu bagi mengelak sebarang kesulitan.

    Setakat 23 November, Honda Malaysia telah berjaya menukar sejumlah 62,300 unit inflator bahagian penumpang pada kira-kira 125,000 unit kenderaan yang terlibat – angka itu merangkumi kira-kira 50% jumlah kenderaan yang berkaitan. Syarikat itu juga mengumumkan bahawa mereka akan mengambil langkah segera untuk menukar sebanyak 147,894 unit peralatan yang sama bagi panggilan semula berasingan yang diumumkan pada Jun lalu.

    01_honda_malaysia_mobile_hub_bm

    Sementara itu, bagi inflator beg udara bahagian pemandu, Honda Malaysia turut menggesa pelanggan yang terkesan dengan panggilan semula ini menukarnya dengan segera, memandangkan stok alat bekenaan yang tersedia kini ialah 100%.

    Syarikat itu juga mengesahkan bahawa semua Hub Servis Sentral Honda dan pusat servis bertauliah Honda kini mempunyai stok yang mencukupi untuk aktiviti menggantikannya. Sejumlah 175,000 unit inflator beg udara bahagian pemandu telah ditukar daripada 264,000 unit yang terlibat; ini merupakan 66% yang telah dapat diselesaikan.

    Honda Malaysia juga memperbanyakkan lagi lokasi Hub Bergerak di lokasi pusat membeli-belah, daripada 11 lokasi kepada 18 lokasi kini sehingga 25 Disember nanti. Ini termasuk di Aeon Metro Prima di Kepong, Aeon Shah Alam, Tesco Extra Cheras dan Giant Superstore Bandar Puteri di Puchong. Senarai lengkap lokasi boleh disemak pada pautan productrecall.honda.com.my.

    Anda juga boleh menyemak status kenderaan anda melalui talian 1-800-88-2020 atau lawati mana-mana pengedar sah Honda. Selain itu, ia juga boleh disemak melalui VIN Checker ini.

     
     
  • SPYSHOT: Mitsubishi ASX terbaru ditemui atas jalan

    mitsubishi-asx-3-850x478-bm

    Sudah enam tahun sejak Mitsubishi ASX pertama kali diperkenalkan kepada pasaran, dan masanya sudah tiba untuk ia diberikan pembaharuan, walaupun pengeluarnya begitu pandai menyimpan rahsia. Walaubagaimanapun, jurugambar Eropah kami berjaya menangkap generasi seterusnya bagi SUV kompak ini sewaktu ia sedang menjalani ujian. Sebelum ini ia juga pernah dilihat di Amerika Syarikat.

    Walaupun penuh dengan pelekat, ASX baru ini jelas menggunakan inspirasi rekaan daripada model konsep XR-PHEV, namun sudah pasti ia akan lebih disesuaikan untuk model produksi. ‘Muka’ hadapan kenderaan ini nampak lebih agresif dan kita boleh melihat garis luar gril Dynamic Shield Mitsubishi.

    Sepanjang sisinya, garis karekter tinggi dan cermin belakang yang menjunam XR-PHEV dibawa kepada model ini, dengan perubahan untuk versi produksi dapat dilihat pada cermin sisi, pembuka pintu, tingka berangka dan pintu yang lebih besar. Bahagian hujung belakangnya tinggi dan menampilkan penggunaan cermin belakang terpisah, seperti Prius.

    mitsubishi-asx-12-850x537-bm

    Bahagian dalam kenderaan ini juga dapat dilihat, di mana tengah papan pemukanya menggunakan rekaan bertingkat, hampir seperti Lexux NX dan kemudiannya disertai unit skrin sesentuh di atasnya. Bawah sedikit, ASX akhirnya mendapat pengawal suhu dengan suis yang diambil daripada Outlander. Stereng tiga kaki dan pedal penukar gear di stereng pula nampak sama seperti sebelum ini.

    ASX baru ini dijangka ditawarkan dengan enjin diesel dan petrol yang biasa, bersama enjin plug-in-hybrid daripada XR-PHEV yang menggunakan enjin petrol tiga silinder 1.1 liter turbo bersama motor elektrik 120 kW dan bateri 12 kWh. Juga boleh dijangka adalah model hibrid yang akan mengambil nama Evolution daripada barisan model Lancer.

     
     
  • Volvo tunjuk casis bas terbesar di dunia – panjang 30 meter, boleh bawa 300 penumpang dalam satu masa

    volvo-gran-artic300-bm
    volvo-gran-artic-300-bm

    Dalam satu pameran di Rio de Janeiro, Brazil, Volvo telah menunjukkan casis bas paling besar di dunia – dibangunkan sendiri oleh syarikat yang terkenal dengan pengeluaran jentera pengangkutan awam dan berat itu. Dinamakan sebagai Gran Artic 300, casis ini mempunyai beberapa sambungan bersendi (biarticulated), mempunyai panjang 30 meter dan boleh memuatkan 300 orang dalam satu masa.

    Ia dibangunkan khas bagi kegunaan sistem bas BRT di Brazil – satu sistem pengangkutan yang mempunyai permintaan tinggi di mana setiap bas bergerak dalam laluan khas. Adanya Gran Artic 300 ini, ia dapat membawa lebih banyak penumpang dan setiap satu dapat menggantikan tiga bas yang ada sekarang.

    Selain itu, bas berkapasiti tinggi seperti Gran Artic 300 juga dapat mengurangkan trafik di dalam laluan bas berkenaan, seterusnya memberikan kelajuan purata lebih tinggi dan kurang pembebasan karbon (lebih mesra alam).

    Selain Gran Artic 300, Volvo juga mempunyai beberapa model casis bas lain untuk sistem pengangkutan urban berkapasiti tinggi seperti Artic 150 berukuran 18.6 m dan boleh membawa 150 orang, Artic 180 21 m/ 180 orang, Super Artic 210 22 m/ 210 orang dan seterusnya Gran Artic.

     
     
  • Lotus kembali catat keuntungan pertama bagi tempoh 40 tahun, rancang model baharu Elise pada 2020

    Lotus Cars dikhabarkan mencatat keuntungan pertama dalam temppoh hampir 40 tahun Ogos lalu, dan kini berkemampuan untuk menyediakan dana pembangunan bagi produk generasi seterusnya selepas ini – ia akan dimulakan dengan model serba baharu Lotus Elise pada tahun 2020.

    Autocar UK melaporkan, ketuanya, Jean-Marc Gales menerajui usaha rancangan pemulihan (kewangan) berkenan ketika menyertai syarikat itu dua tahun setengah yang lalu. Beliau memberi tumpuan kepada mempertingkat barisan kenderaan sedia ada, mengurangkan kos serta membuatkan syarikat itu berada dalam keadaan kewangan yang stabil dan cekap; sesuatu yang tidak pernah di capai oleh Lotus sejak tahun 2000.

    Penambah baikan terhadap model sedia ada menyaksikan versi dengan kemaskini penting bagi model-model Elise, Exige dan Evora semasa. Kini, Gales dan Lotus sudah memulakan pembangunan barisan model-model baharu; yang pertama ialah model Elise yang dijangka diperkenalkan pada tahun 2020 nanti.

    Kemudiannya, model Exige pula akan menurut jejak yang sama. Versi baharu casis aluminium yang lebih dinamik juga sedang dibangunkan. Gales menjelaskan barisan model-model baharu itu nanti akan mewarisi saiz dan dimensi yang lebih kurang sama dengan model lama, serta kekal di bawah berat 1,000 kg.

    Gales turut berkata, Lotus kini beroperasi secara positif dengan jualan tahunan sekitar 1,700-1,800 unit terjual tahun ini. Tahun depan, jualan disasarkan sebanyak 2,000 unit, diikuti 2,500 unit pada tahun berikutnya. Sebaik sahaja Elise dan Exige serba baharu diperkenalkan nanti, Lotus mensasarkan untuk menjual 4,000 unit modelnya. Evora baharu akan mengikuti selepas itu, pada tahun 2022.

     
     
  • Ford Mustang Power Wheels untuk kanak-kanak kini dilengkapi Traction Control dan sistem anti-guling

    Kereta elektrik replika untuk kanak-kanak Ford Mustang Power Wheels dari Fisher Price dan Ford kini dilengkapi unit janakuasa Smart Drive baharu yang lebih pintar dan selamat.

    Unit janakuasa berkenaan memberikan fungsi Traction Control untuk Mustang comel ini – ia boleh mengawal kuasa yang dialirkan pada roda belakang bagi mengelakkannya tergelincir semasa dipandu pada permukaan yang licin. Sistem Smart Drive ini juga akan memotong kuasa motor elektrik sekiranya ia mengesan Mustang ini dipandu pada sudut yang boleh menyebabkan ia terbalik.

    Selain itu, Mustang Power Wheels Smart Drive ini turut diberikan skrin sesentuh LED untuk menukar kelajuan serta memberikan informasi berkenaan jumlah kuasa bateri. Ia juga turut diberikan pembesar suara bersaiz besar serta port AUX bagi membolehkan muzik dimainkan dari telefon pintar ketika ia dipandu.

    Selain untuk mendengar lagu, pembesar suara berkenaan juga berfungsi sebagai ‘ekzos’ yang memberikan bunyi V8 ketika pedal pendikit ditekan. Tahap bunyi enjin berkenaan juga berubah mengikut kadar kelajuan kereta, seperti Mustang sebenar.

    Ford Mustang Power Wheels akan menembusi pasaran Amerika Syarikat bermula bulan hadapan dan dijual pada harga US$359.99 (RM1608.60).

     
     
  • Perodua jelaskan surat jemputan kepada pemilik Myvi bukanlah panggilan semula, tetapi untuk pemeriksaan

    img_2016-11-24-184616

    Kami ditunjukkan sepucuk surat oleh pembaca yang didakwa surat dari Perodua kepada pelanggan yang bertajuk “Undangan ke aktiviti pemeriksaan kualiti di Pusat Servis Perodua”, dan pembaca berkenaan bertanyakan adakah surat berkenaan benar atau sekadar berita palsu yang disebarkan. Kami juga seperti pembaca tersebut tertanya-tanya berkenaan surat berkenaan kerana kami tidak menerima apa-apa hebahan media dari Perodua berkenaan aktiviti tersebut sebelum ini. Jadi, kami terus menghubungi pihak Perodua untuk pengesahan isu tersebut.

    Menurut Perodua, surat berkenaan adalah benar dan diberikan kepada pemilik Perodua Myvi. Ia adalah jemputan dari Perodua kepada pemilik-pemilik terlibat untuk melakukan pemeriksaan wajib keatas kereta mereka. Langkah berkenaan dilakukan Perodua untuk membuat penyelidikan terhadap keadaan unit pam brek ABS (ABS actuator/modulator) setelah digunakan untuk tempoh yang lama.

    Ia juga sebagai langkah Perodua untuk berhubung kembali kepada pelanggan-pelanggan mereka yang tidak lagi melakukan servis dan penyelenggaraan kereta mereka di pusat servis Perodua bertauliah serta mengumpulkan maklum balas dari mereka.

    Tambah Perodua lagi, ini bukanlah panggilan semula kerana panggilan semula hanya dibuat jika ada masalah yang timbul terutamanya yang berkaitan dengan keselamatan. Syarikat berkenaan turut menegaskan, aktiviti ini tidak langsung melibatkan isu keselamatan dan mereka tidak berkompromi berkenaan keselamatan pelanggan mereka serta menjamin kualiti produk dan servis mereka.

    2015_Perodua_Myvi_1.5_Advance_-001

    Perodua mensasarkan untuk mendapatkan sampel dari 200,000 unit Myvi menerusi aktiviti ini, iaitu 10% dari jumlah keseluruhan 2 juta kenderaan yang datang ke pusat servis setiap tahun. Ia dijalankan secara berperingkat serta dijangka akan lengkap dalam masa tiga tahun dan setakat ini mereka belum lagi menetapkan tarikh tutup untuk pemeriksaan ini.

    Bagi pemilik yang menerima surat tersebut, mereka terlebih dahulu perlu menghubungi pusat servis pilihan mereka untuk membuat temujanji agar Penasihat Servis boleh mengatur pemeriksaan tersebut bagi membolehkan operasi pusat servis berjalan lancar dan tidak terganggu. Setiap sesi pemeriksaan ini akan mengambil masa sekitar dua hingga tiga jam.

    Perodua tidak mewajibkan pemeriksaan ini, tetapi pemilik Myvi yang terlibat adalah digalakkan untuk mengambil bahagian dalam pemeriksaan yang dilakukan secara percuma ini.

    Akhir sekali, Perodua memohon maaf kepada pelanggan-pelanggan yang terkejut dengan jemputan yang diberikan dan menyatakan itu bukanlah niat mereka. Untuk pelanggan yang menerima surat dan berminat dengan pemeriksaan berkenaan, mereka boleh terus menghubungi pusat servis pilihan dan membuat temujanji.

     
     
  • SPYSHOT: Honda BR-V sekali lagi dikesan di M’sia

    honda-br-v-spotted-in-malaysia-1

    Pada awal bulan ini, kelibat Honda BR-V dikesan sedang diuji di Malaysia, dan kini sekali lagi ia kelihatan. SUV tujuh-tempat duduk yang dikesan ini disaluti tona hitam dan sedikit balutan penyamaran. Berbanding warna putih seperti yang dikesan menerusi foto spyshot yang pertama tersebut.

    Walau pun ia dilitupi pelekat penyamaran yang menutup beberapa bahagian yang melindungi beberapa elemen yang mungkin pemegang pintu krom (atau sama warna badan), kepingan kemasan krom dan logo. Namun kelihatan rim 16-inci, dan adakah ia menandakan model tersebut merupakan varian spesifikasi tertinggi?

    Dua minggu lalu, Honda Malaysia telah mempamerkan BR-V secara eksklusif di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) sempena acara Malaysia Autoshow 2016.

    honda-br-v-spotted-in-malaysia-4

    Buat setakat ini, Honda Malaysia belum mendedahkan perincian lanjut mengenai BR-V bagi pasaran Malaysia, namun difahamkan ia mungkin bakal dilancarkan tidak lama lagi…mungkin Januari 2016.

    Untuk pengetahuan, BR-V merupakan SUV yang dibina dari platform MPV tujuh-tempat duduk Honda Mobilio. Ia berdimensi 4,455 mm panjang, 1,735 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula ialah 2,660 mm. Sebagai perbandingan, SUV ini 161 mm lebih panjang, 35 mm kurang lebar dan 45 mm lebih tinggi serta jarak rodanya 50 mm lebih panjang berbanding HR-V.

    BR-V atau ‘Bold Run-about Vehicle’ telah pun menerjah pasaran negara-negara jiran iaitu Indonesia dan Thailand. Ia dijana oleh enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC sama seperti City dan Jazz dengan kuasa 120 hp pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm.

    Enjin berkenaan dipadankan transmisi Earth Dreams CVT, menyalurkan kuasa hanya ke roda hadapan. Di India, BR-V turut ditawarkan dengan enjin diesel 1.5 liter i-DTEC dengan kuasa 100 PS dan tork 200 Nm.

     
     
  • Kutipan tol secara elektronik sepenuhnya (ETC) di Utara bermula 30 Nov; libatkan sembilan plaza tol

    Toll

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan melaksanakan kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya bermula 30 Nov ini yang melibatkan sembilan plaza tol di Utara.

    Bernama melaporkan, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi menyatakan, sembilan plaza tol yang dimaksudkan itu ada terdiri daripada plaza tol Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Bertam dan Sungai Dua.

    “Bermula darip tarikh berkenaan, semua transaksi kutipan tol akan dilakukan secara elektronik, sama ada melalui Touch n Go, PLUSMiles atau SmartTAG,” jelas beliau. Untuk menggalakkan orang ramai beralih kepada kaedah bayaran elektronik ini, PLUS kini giat menjalankan promosi dengan menawarkan kad PLUSMiles dan Touch n Go pada harga RM5, hingga 31 Disember nanti.

    “Sebagai tambahan, pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar secara elektronik di sembilan plaza tol berkenaan layak menerima rebat 10% bagi tempoh 30 Nov 2016 hingga 31 Januari 2017,” tambah beliau. Menurutnya lagi, lebih daripada 70% pengguna jalan raya yang melalui plaza-plaza tol berkenaan sudah pun menggunakan kaedah bayaran elektronik.

    Jumlah berkenaan dijangka mencecah 80% selepas ETC sepenuhnya dilaksanakan nanti. Selain itu, jelas beliau, lorong Touch n Go dan SmartTAG (di plaza tol terlibat) kini mengendalikan sejumlah 1,000 transaksi, berbanding 180 transaksi bagi lorong tunai.

     
     
  • Bina kemudahan hentian berteduh untuk penunggang, pembonceng motosikal demi keselamatan – MIROS

    sym-sport-rider-125i-28-bm

    Demi keselamatan para penunggang dan pembonceng motosikal, pihak berkuasa jalan raya dan lebuh raya digesa membina kemudahan hentian berteduh atau ‘lay bay’ di jalan raya dan lebuh raya.

    Menurut Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan raya (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye, hentian berteduh di jalan raya dan lebuh raya yang menjadi laluan utama perlu dibina bagi meningkatkan tahap keselamatan serta melindungi penunggang dan pembonceng motosikal daripada dirempuh kenderaan lain, laporan Berita Harian.

    “Langkah itu dilihat mampu mengelakkan kemalangan membabitkan penunggang motosikal yang maut dirempuh kenderaan ketika berteduh di bawah jejambat. Ini adalah satu bentuk perlindungan untuk semua penunggang dan pembonceng motosikal yang selalunya berteduh daripada hujan lebat di bawah jejambat di lebuh raya,” ujarnya yang merujuk pada satu kemalangan yang berlaku di Kajang, Ahad lalu.

    Pada Ahad lalu, seorang pembonceng motosikal maut manakala sekumpulan penunggang motosikal yang sedang berteduh sewaktu hujan lebat di bawah jejambat Lebuhraya Cheras-Kajang, nyaris mengalami nasib sama apabila sebuah kereta jenis Honda Civic, yang gagal dikawal pemandunya terbabas ke arah mereka. Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, kereta dipandu seorang wanita itu dalam perjalanan dari arah Kajang ke Cheras, dilaporkan berpusing sebelum merempuh sebuah motosikal jenis Honda EX5, yang dipandu di lorong paling kiri.

     
     
  • Lotus Exige Sport 380 berkuasa 375 hp, berat 1,066 kg

    lotus-exige-sport-380-1-e1479950556621-850x478-bm

    Lotus telah mengeluarkan Exige paling ekstrim pernah dihasilkan, direka untuk menyaingi prestasi kenderaan supercar jutaan ringgit, dipanggil Lotus Exige Sport 380. Ia menggunakan enjin yang lebih berkuasa dan lebih banyak bahan ringan berbanding model Sport 350.

    Badan bahagian luar kenderaan ini kebanyakannya menggunakan gentian karbon berkilat, termasuk pada pembelah angin, panel hadapan dan kemasan diffuser belakang, seterusnya berjaya mengurangkan 2.7 kg berat. Juga terdapat cermin belakang polycarbonate yang lebih ringan hampir satu kilogram, sementara panel belakang telah direka semula dengan hanya dua lampu belakang, berbanding sebelum ini empat. Lampu penunjuk arah juga dimasukkan sekali dalam lampu belakang ini.

    Ciri aerodinamik juga dipertingkat, seperti yang boleh dilihat di bahagian depannya terdapat banyak panel angin, sementara di belakang pula, sayap baru dapat memberikan sehingga 140 kg daya tolak ke bawah. Ini adalah peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding Sport 350 – tanpa sebarang peningkatan pada rintangan.

    Melengkapkan perubahan pada kereta baru ini adalah rim aloi ultra-lightweight berukuran 17 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2. Tersembunyi di sebalik itu adalah angkup brek empat piston AP Racing dan cakera berkembar berlubang. Semua ini berjaya mengurangkan 10 kg.

    Pada bahagian dalam, tempat duduk gentian karbon – dibalut dengan sama kulit, Alcantara atau tartan – mengurangkan lagi 6 kg dan terdapat juga pilihan untuk menambah plet tepi pintu gentian karbon. Kotak gear manual dengan sambungan yang terdedah juga masih dikekalkan pada Sport 380.

    Pada bahagian lain, bateri lithium-ion yang diguna berjaya mengurangkan 10.3 kg, sementara pilihan pakej Track Pack menambah penyerap boleh laras Nitron dan anti-roll bar Eibach di depan dan belakang. Lotus juga menyediakan pilihan ekzos titanium yang 10 kg lebih ringan, bersama pakej Carbon Exterior Pack dengan bumbung dan penutup but gentian karbon.

    lotus-exige-sport-380-3-e1479950641410-850x480-bm

    Bumbung gentian karbon ini 2 kg lebih ringan berbanding bumbung kain (Sport 380 datang standard sebagai roadster; badan jenis coupe yang disediakan sebagai pilihan adalah lebih berat), tetapi diimbangkan kembali dengan penutup but yang 2 kg lebih ringan. Secara keseluruhan, Lotus Exige Sport 380 mencatat berat kering 1,066 kg dengan semua barang yang ringan ini dan ia adalah 49 kg lebih ringan berbanding Sport 350 biasa dengan kotak gear manual.

    Badan serba ringan ini kemudiannya dipacu oleh enjin V6 Toyota 3.5 liter supercas yang diperelok, menghasilkan 375 hp pada 6,700 rpm dan 410 Nm tork pada 5,000 rpm. Jumlah ini adalah 30 hp dan 10 Nm lebih tinggi berbanding Sport 350. Padanan kotak gear yang disediakan adalah sama ada manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan dengan pedal penukar di stereng. Sport 380 boleh mencatat masa 0-100 km/j dalam hanya 3.7 saat dan kelajuan maksimumnya adalah 286 km/j bagi manual dan 274 km/j bagi automatik.

    Akhir sekali, Sport 380 datang dengan Dynamic Performance Management (DPM), dengan tetapan Sport dan Race yang dipertingkat. Dalam tetapan ini, tindak balas pendikit dinaikkan secara berperingkat, sementara campur tangan kawalan cengkaman dikurangkan bersama pengesan understeer, seterusnya memberikan lebih kawalan kepada pemandu.

     
     
  • MHA gesa kerajaan tingkatkan dialog dan penyelidikan penggunaan biodiesel B10 untuk elak masalah

    biodiesel1

    Persatuan Haulier Malaysia (MHA) menerusi presidennya Nazari Akhbar menggesa kerajaan melakukan lebih banyak perbincangan serta penyelidikan terperinci mengenai biodiesel B10 sebelum mandat itu dilaksanakan di negara ini, menurut laporan Bernama,.

    Nazari berkata pada satu sidang media di sini hari ini, MHA tidak membantah sepenuhnya pelaksanaan mandat itu, tetapi ia sendiri tidak pasti mengenai hala tuju B10 dan menggesa kerajaan mengadakan lebih banyak perbincangan dengan pihak berkepentingan. “Komponen trak seperti pam bahan api, injektor dan turas minyak adalah sensitif kerana ia diperbuat bagi penggunaan minyak mentah diesel,” katanya.

    Menurut Nazri, sebuah trak lazimnya dilengkapi enam silinder dan sebarang langkah penggantian bagi tujuan penyesuaian akan menelan kos RM60,000 untuk setiap trak. Malah, bagi trak berusia melebihi 10 tahun, aspek kesesuaian penggunaan biodiesel B10 ini akan menjadi isu manakala trak lain pula berkemungkinan berdepan masalah kerosakan jika persoalan itu tidak ditangani.

    Tambah Nazari lagi, bagi tempoh jangka panjang, pelaksanaan B10 itu akan mengundang lebih banyak kos penyelenggaraan dan memberi impak ketara kepada industri pengangkutan. “Ketika itu, pasti sukar bagi Malaysia untuk bersaing di rantau Asia dari segi logistik. Inilah antara perkara yang perlu kerajaan pertimbangkan,” katanya.

    Implementasi program biodiesel B10 ini telah ditangguhkan berberapa kali. Kerajaan pada mulanya memperkenalkan bahan api berkenaan pada Jun lalu, tetapi ia telah ditangguhkan kerana data yang tidak mencukupi menyatakan ia memenuhi spesifikasi pengeluar-pengeluar kenderaan.

    Implementasi berkenaan kemudiannya dijadualkan pula untuk dilaksanakan bulan hadapan, namun ia diumumkan ditangguhkan sekali lagi ke tarikh yang masih belum ditetapkan kerana kerajaan mahu memperkasakan program tersebut untuk mempertingkatkannya dengan dua jenis campuran serta untuk tidak membebankan orang ramai.

     
     
  • SYM bakal lancar skuter CRUiSYM 300i tahun depan

    sym_cruisym_06_bm

    SYM Malaysia mengesahkan bahawa syarikat itu bakal melancarkan model skuter terbaharu, CRUiSYM 300i untuk pasaran tempatan tahun hadapan. Jentera dua roda berkenaan baharu saja dipertontonkan kepada umum ketika acara pameran Intermot 2016 di Cologne, Jerman Oktober lalu.

    Pengurus Jualan Nasional Mforce Bike Holdings Sdn Bhd, Asri Ahmad menyatakan, model CRUiSYM ini akan dilancarkan pada suku kedua 2017 unntuk pasaran Malaysia. Setakat ini, ia dianggarkan akan dijual pada harga sekitar RM15,000 hinggar RM20,000, bergantung kepada nilai tukaran mata wang asing semasa.

    SYM CRUiSYM 300i menampilkan pendekatan reka bentuk yang agresif serta sporty jika dibandingkan dengan barisan jentera SYM sebelum ini. Ditawarkan di dalam dua pilihan warna iaitu merah dan kelabu kesat (matte), ia turut dilengkapi dengan pelindung dengan corak gentian karbon.

    Lampu depannya menerima rekaan unik ala fisheye dengan penggunaan lampu LED. Ini dilengkapkan lagi dengan penggunaan lampu belakang yang juga dari jenis LED, dengan bentuk rekaan heksagonal.

    Model ini tidak hanya menampilkan gaya yang futuristik. Ia juga disifatkan mampu memberikan pengendalian tunggangan yang terbaik dan pengalaman tunggangan yang lebih selesa, serta prestasi keseluruhan yang lebih dinamik. Selain sepasang cermin sisi boleh dilipat, terdapat juga penghadang angin boleh dilaras dan tempat letak kaki yang selesa untuk perjalanan jarak jauh.

    Skuter ini dilengkapi dengan ruang simpanan di bawah tempat duduk yang luas untuk memuatkan dua unit topi keledar, baju hujan serta barang-barang keperluan lain. Ia juga dilengkapi ciri-ciri unik seperti corong udara dikedua-dua sisi, ‘gloves box’, port USB serta pengecas 12V.

     
     
  • Proton kaji semula strategi eksport ke negara luar

    proton-persona-1-6-premium-bm-05

    Pada masa ini, Proton aktif untuk pemasaran eksport di lima hingga enam negara, walaubagaimanapun, perkara itu mungkin berubah apabila ketua pegawai eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali memberitahu wakil media semasa pelancaran model Ertiga bahawa syarikatnya sedang mengkaji semula strategi eksport.

    “Kami berhadapan dengan waktu yang cukup sukar tahun ini daripada aspek saingan. Sedikit pengunduran dilakukan, tetapi kami tidak akan berhenti terus daripada melakukan aktiviti eksport. Kami sedang melihat kembali strategi eksport dan perlu memastikan produk kami cukup kuat dan berdaya saing untuk kembali masuk ke pasaran itu,” kata Fuaad.

    Bagi model yang sudah sedia dieksport, Fuaad memberitahu Proton akan memperlahankannya secara berperingkat dan ada juga pasaran yang mereka tidak boleh masuk terus kerana peraturan yang tertentu. Jadi, strategi baru perlu dirangka dengan melihat daya saing produk yang ada.

    Bagi pasaran eksport yang aktif sekarang juga, jumlahnya tidak seberapa dan ini membuatkan Proton melihat secara aktif kepada pasaran lain yang boleh menerima produk mereka, terutamanya yang baru dilancarkan seperti Saga, Persona dan Iriz.

     
     
  • No. pendaftaran VIP: Pahang tunggu kelulusan JPJ

    vip_bm

    Pada Jun lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai telah meluluskan pemohonan Jawatankuasa Pelancongan Dan kebudayaan negeri Pahang untuk menggunakan nombor pendaftaran khas siri VIP 1 hingga VIP 9 sempena Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP2017).

    Walau bagaimana pun, sehingga kini, nombor pendaftaran khas terbabit masih belum diluluskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), laporan Bernama.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, proses penjualan tidak boleh dimulakan sehinggalah penggunaan nombor pendaftaran istimewa itu diwartakan pihak berkuasa.

    “Bila selesai proses mewartakan, kita akan mengadakan sistem membida. Siapa (membida) paling tinggi, dia akan mendapat nombor tersebut. Hasil penjualan itu akan membantu dalam mempromosi dan menjayakan TMP2017,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini, bagi menjawab soalan Lee Chean Chung (PKR-Semambu) yang ingin tahu status terkini permohonan nombor pendaftaran itu.

    Berhubung jumlah dana yang akan diperoleh daripada penjualan nombor pendaftaran itu, Mohd Sharkar berkata perkara itu hanya boleh diketahui selepas proses penjualan tamat pada 31 Dis 2017.

    “Ini adalah inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan untuk menjana pendapatan bagi menjayakan TMP2017 dengan meminimumkan penggunaan duit rakyat dan kita bernasib baik kerana dapat memikirkan cara ini bagi menyokong TMP2017,” katanya.

    Sebelum ini iaitu pada Ogos lalu, bidaan untuk “VIP” ini dikatakan dijalankan oleh Jawatankuasa Pelancongan Dan kebudayaan negeri Pahang sendiri menerusi syarikat yang dikenali sebagai Digital Tourism. Walau bagaimana pun, sehingga kini, statusnya masih menjadi tanda tanya memandangkan ia belum mendapat kelulusan JPJ sendiri.

     
     
  • Proton akan umum tiga rakan kongsi strategik baru sebelum pertengahan tahun 2017 – perincian dirahsia

    Grill Ertiga BM

    Bagi memulihkan kembali keadaan kewangan syarikat, selain pengenalan model baru, Proton juga sedang meneliti beberapa buah syarikat untuk dijadikan sebagai rakan kongsi strategik. Bermula dengan lebih 14 buah syarikat, kini tiga yang utama telah dipilih, dan walaupun tidak diberitahu namanya, ia boleh menjadi Suzuki, PSA Group dan Renault.

    Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Bernama 17 November lalu, perjanjian dengan tiga syarikat itu dilapor akan dapat dimeterai pada 31 Mac 2017, tetapi terbaru, pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar memberitahu ia mungkin boleh lanjut sehingga bulan Jun 2017.

    Perkara ini diumumkan semasa dalam satu sidang akhbar yang berlangsung selepas pelancaran MPV kompak terbaru Proton iaitu Ertiga hari ini. Tambah Faisal, perlanjutan proses ini berlaku selepas melihat realiti sebenar dan terdapat jangka masa yang tidak dapat dikawal. Rakan kongsi itu juga mempunyai kepentingan lain dalam masa sama.

    “Jika boleh kami ingin menyelesaikan perkara ini dalam suku pertama tahun 2017, tetapi untuk lebih pasti, kami menetapkannya pada separuh tahun pertama 2017,” kata Faisal.

    Beliau walaubagaimanapun masih belum mahu mendedahkan berapa pecahan perkongsian atau perincian berkenaan perjanjian dengan tiga syarikat tersebut. Dengan adanya kerjasama tiga rakan kongsi ini, Proton diharap dapat menjadi sebuah syarikat yang lebih berdaya saing dan maju, termasuk dalam pasaran antarabangsa.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025