Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kerusi kanak-kanak akan diwajibkan sebelum 2019

    paultan.org_free_child_seat_rental_-004

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyatakan bahawa kerusi kanak-kanak dalam kenderaan sepatutnya diwajibkan lebih awal daripada tarikh cadangan pelaksanaannya yang ditetapkan pada 2019.

    Rohani berkata, beliau akan menemui wakil dari Kementerian Pengangkutan dan pihak-pihak berkaitan yang lain berkenaan hal ini, memetik laporan akhbar The Sun.

    Ini adalah berikutan kematian tragis seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Ulu Tiram, Johor Sabtu lalu. Kanak-kanak itu terjatuh keluar daripada kereta yang dipandu oleh bapanya sebelum digilis oleh kenderaan lain.

    “Sebelum melaksanakan sesuatu peraturan yang baharu, kami di kementerian selalu memberikan rentang waktu yang memadai bagi orang awam untuk membiasakan diri mereka agar mereka tidak akan dikenakan tindakan.

    “Bagaimana pun, isu-isu seperti penggunaan kerusi khas bagi kanak-kanak ketika berada di dalam kenderaan tidak boleh dilengahkan kerana ia berkaitan keselamatan nyawa,” ujar beliau.

    Sementara gesaan untuk mempercepat pelaksanaan itu disepakati, ibu bapa terlebih dahulu mengambil berat tentang keselamatan anak-anak mereka. “Kementerian akan terus memberi penekanan terhadap lebih banyak kempen kesedaran berkaitan hal ini dapat dijalankan.”

     
     
  • Sekitar 60k pemandu Uber dan Grab direkodkan, rang undang-undang dibentang tahun hadapan – Menteri

    uber-x-car_BM

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wee Ka Siong mendedahkan dianggarkan 50,000 hingga 60,000 individu berdaftar melalui aplikasi e-hailing sebagai pemandu perkhidmatan pengangkutan Uber dan Grabcar di seluruh negara setakat ini, menurut laporan Bernama.

    Wee memberitahu perkara berkenaan di persidangan Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) mengenai jumlah pengguna yang berdaftar sebagai penyedia perkhidmatan Uber dan Grabcar di seluruh negara sehingga Oktober 2016.

    Menurut Wee lagi,daripada jumlah itu hanya 20 peratus pemandu yang aktif manakala selebihnya pemandu separuh masa yang mempunyai pekerjaan tetap. “Kebanyakan pemandu yang menyediakan perkhidmatan Uber dan Grabcar tertumpu di kawasan bandar seperti Lembah Klang dan Pulau Pinang,” katanya.

    Wee juga menjelaskan satu rang undang-undang bagi mengawal selia perkhidmatan ‘ride hailing’ akan dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan dan kerajaan sedang memuktamadkan rang undang-undang berkenaan yang turut melibatkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan bagi Sabah dan Sarawak.

     
     
  • BMW 1 Series Sedan – lebih perincian didedahkan

    bmw-1-series-sedan-4-e1479784027306-850x480-bm

    Bermula dengan sebuah kenderaan konsep, BMW 1 Series Sedan akhirnya membuat penampilan awam pertama di Guangzhou Motor Show 2016. Lebih banyak perincian berkenaan kenderaan empat pintu, pacuan roda hadapan ini didedahkan dan BMW juga menyebarkan lebih banyak gambar bersamanya.

    Kita sudah pernah melihat bahagian luar kenderaan yang dikhaskan untuk pasaran negara China ini sahaja, yang mana kelihatan seperti sebuah 3 Series F30 yang dikecilkan dan mempunyai ‘muka’ seperti 1 Series hatchback. Pada bahagian depan, terdapat lampu utama LED berbentuk trapezoid dan gril ‘double kidney’, manakala salur udara yang terletak rendah di bawah dikatakan mendapat inspirasi daripada model M BMW.

    Walaupun susun atur enjin dan transmisi berubah, kenderaan ini masih lagi mengekalkan ciri estetik BMW dengan overhang yang pendek, bonet panjang, Hofmeister Kink pada tiang C-pillar dan lampu belakang berbentuk L. Lebih 10 warna yang ditawarkan untuk kenderaan ini termasuk Estoril Blue yang sebelum ini hanya untuk model M Sport dan Luminous Gold.

    Bahagian dalam pula sama seperti kebanyakan model BMW lain yang dibina atas platform pacuan roda hadapan UKL, termasuk 2 Series Active Tourer, Gran Tourer dan X1. Seperti juga model-model ini, terdapat brek kecemasan elektronik, manakala tempat duduk belakang pula boleh dilipat 40:20:40 untuk ruang yang lebih luas.

    Kelengkapan yang boleh didapati pada 1 Series Sedan adalah termasuk skrin paparan tengah LED (berkemungkinan sebahagian daripada sistem BMW Navigation Professional seperti pada model lain), head-up display berwarna, bumbung panoramik, sistem pemasukan tanpa kunci Comfort Access serta but belakang yang boleh dibuka tanpa sentuhan. Daripada aspek keselamatan, kenderaan ini dilengkapi dengan antaranya Lane Departure Warning, Collision Warning dan Pedestrian Warning.

    1 Series Sedan akan ditawarkan dengan pilihan dua enjin petrol turbo dan tiga jumlah kuasa berbeza. 118i dikuasakan oleh enjin tiga silinder 1.5 liter 136 hp, manakala 120i Luxury dipacu enjin empat silinder 2.0 liter 192 hp. Varian paling tinggi, 125i Sport menggunakan enjin sama, tetapi jumlah kuasanya ditingkatkan sehingga 231 hp. Semua model boleh didapati dengan sama ada kotak gear manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan.

     
     
  • VIDEO: Honda Civic Speedfactory Racing – B-series 2.0 liter turbo, 1,850 hp, FWD paling pantas di dunia

    Jentera perlumbaan drag Honda Civic yang dibina Speedfactory Racing dari Washington, Amerika Syarikat telah mencatatkan rekod pecutan suku batu dalam masa hanya 7.61 saat, seterusnya dinobatkan sebagai kereta pacuan hadapan (FWD) paling pantas didunia buat masa ini.

    Catatan masa 7.61 saat itu dicapai ketika Civic berkenaan berada pada kelajuan 320.96 km/j dan rekod speed trap dalam perlumbaan drag untuk kategorinya juga berjaya dipecahkan dengan catatan 323 km/j. Rekod-rekod ini dicatatkan semasa berlangsungnya perlumbaan ImportVsDomestic.com World Cup Finals di Maryland International Raceway.

    Civic berkenaan merupakan jentera ubahsuai produksi, dan bukannya sebuah jentera perlumbaan prototaip. Ia masih menggunakan kerangka asal Civic hatchback produksi, bersama enjin produksi B-Series 2.0 liter. Ubahsuai pada enjin tersebut turut melibatkan pemadanan pengecas turbo gergasi dari Percision Turbo bersaiz 86 mm, menghasilkan kuasa maksima 1,850 hp.

    Apa yang menarik, kesemua kuasa dari enjin berkenaan dihantar ke roda hadapan hanya menggunakan kotak gear dengan corak penukaran H-Pattern, tanpa mekanisma sequential-shifting.

     
     
  • VIDEO: BMW Motorrad K100 1986 Xaver binaan khas

    Motosikal binaan khas dari jentera-jentera dua roda retro memang mempunyai pengikut dan peminat sendiri. Apa lagi jika ia mempamerkan idea-idea kreatif yang radikal; misalnya ketika cuba membayangkan model BMW K100 LT 1986 – LT bermaksud Luxury Touring – dan “melucutkan” sepenuhnya hal-hal yang “mewah” dan “touring” yang ada pada model asalnya.

    Titan Motorcycles dari Jerman mempunyai jawapan untuk itu. Bermula dengan cuba meyakinkan seorang pelanggan yang datang ke kedai dengan sebuah Harley-Davidson yang bateri telah “mati”, beliau kemudiannya mencuba jentera BMW R100. Namun, bukan motosikal itu yang memikat hati, sebaliknya sebuah K100 LT.

    BMW K100 Xaver ini kemudiannya menjadi sebuah projek baharu bagi Titan Motorcycles. Ia kemudiannya dibina khas untuk menjadi sebuah jentera kustom yang ada gaya tersendiri. Antaranya penggunaan sistem ekzos Rasmus pada enjin 987 cc “Flying Brick” empat silindernya.

    Tangkin khas buatan tangan, bahagian tempat duduk dan kemasan bahagian lampu utama di sediakan oleh Blechmann Aluminium. Meter analog digantikan dengan panel meter digital dari Motoscope. Kelengkapan elektronik yang minimum digunakan pada jentera ini, dengan hanya CAN-Bus untuk nyalaan lampu LED, serta Tomaselli Endurobar dengan pendawaian dalaman.

    Melengkapi binaan khas ini, tempat duduk kulit dengan jahitan ala diamond cross-hatch dari Titan menyerlahkannya lagi dengan imej scrambler. Brek Brembo serta tayar Continental TKC80 gaya enduro memenuhi penampilan unik ala scrambler jentera BMW K100 Xaver ini.

     
     
  • Honda Avancier 1.5 liter VTEC turbo berkuasa 190 hp/ 243 Nm bakal ditawarkan untuk pasaran China

    0x0_1_autohomecar__wkgh5fguxakav4dtaai6rfpxq_8211_bm

    Honda Avancier, SUV segmen-D yang kini hanya dipasarkan di China kini bakal menampilkan enjin 1.5 liter VTEC turbo menurut laporan dari laman web autohome.com.cn. Sebelum ini Avancier hanya ditawarkan dengan enjin empat-silinder 2.0 liter turbo, dan dengan pengenalan enjin baharu yang lebih kecil ini, ia bakal memberikan pilihan yang lebih mampu milik kepada pengguna.

    Enjin 1.5 liter VTEC turbo yang menjana Avancier adalah enjin yang sama dipadankan pada Civic, tetapi ia ditala bagi mengekstrak kuasa lebih besar iaitu 190 hp pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 243 Nm bermula 2,000 hingga 5,000 rpm, kuasa yang hampir sama dihasilkan CR-V generasi seterusnya.

    Enjin berkenaan dipadankan bersama transmisi CVT, sama seperti model-model lain yang menggunakan enjin yang sama. Sebagai perbandingan, Avancier 2.0 liter turbo mampu menghasilkan kuasa 268 hp/370 Nm dan kesemua kuasa berkenaan dialirkan ke kotak gear automatik sembilan-kelajuan.

    0x0_1_autohomecar__wkjbyvguxakai3soaai6u4jljrc392_bm

    Bahagian belakang model 1.5 turbo ini diberikan lencana ‘240 Turbo’, membayangkan kuasa tork yang dihasilkan oleh enjinnya. Ciri lain, model 1.5 liter ini dilihat agak seiras dengan versi 2.0 liter, kecuali roda aloinya yang kini hadir dengan rekaan baharu.

    Honda Avancier 1.5T hadir dengan lampu hadapan projektor halogen sebagai ciri standard manakala lampu LED penuh seperti pada model 2.0 liter ditawarkan sebagai opsyen. Turut ditawarkan sebagai ciri opsyen ialah lampu kabus hadapan LED, monitor titik buta LaneWatch, kamera undur dan bumbung panaromik. Ia dijadualkan untuk menembusi pasaran China pada Mac 2017 dan dijual pada harga 220,000 yuan (RM140,200).

    GALERI: Honda Avancier 2.0 liter turbo

     
     
  • Peugeot 3008 – model generasi kedua akan diperkenal untuk pasaran Malaysia menjelang suku kedua 2017

    peugeot-3008-bologna-1-850x467-bm

    Sedikit berita berkenaan Peugeot 3008 generasi kedua – kenderaan SUV serba baru yang dipertonton pada Mei lalu ini, dijangka tiba di Malaysia dan desas-desus yang kami dengar, ia akan dilancarkan pada suku kedua tahun hadapan.

    Daripada aspek varian yang ditawarkan, sekali lagi enjin petrol dipilih dengan unit 1.6L THP 165 S&S dan transmisi automatik enam kelajuan dilihat sebagai sudah pasti. Masih tiada sebarang kata sama ada varian 1.2L PureTech 130 S&S juga akan tiba, tetapi petanda menunjukkan enjin ini mungkin akan sampai di sini, walaupun melalui jenama lain.

    Harga juga masih belum diketahui – tetapi besar kemungkinan akan meningkat sedikit berbanding harga yang ditetapkan untuk model semasa iaitu RM159,000.

    Banyak kelengkapan yang boleh menarik perhatian pembeli pada kenderaan ini, antaranya adalah bahagian dalam yang lebih premium, rekaan papan pemuka i-Cockpit yang lebih maju, bahan binaan baru dan kemasan yang boleh mengatasi tahap pada beberapa kenderaan mewah lain.

    Barang-barang lain yang ada pula termasuk skrin sesentuh lapan inci di tengah, suis seperti kekunci piano untuk kawalan radio, suhu, navigasi, parameter kenderaan, telefon dan aplikasi mudah alih. Namun begitu, yang paling menyerlah adalah skrin paparan 123 inci resolusi tinggi yang melengkapkan panel instrumennya.

    Paparannya boleh diubah mengikut kemahuan pemandu, dengan terdapat lima mod yang ditawarkan dan kesemuanya boleh dikawal dengan butang yang terdapat pada stereng.

    Masih lagi terlalu awal untuk mengetahui apa tahap kelengkapan yang akan diterima untuk kenderaan spesifikasi Malaysia, tetapi sebenarnya banyak yang disediakan pada Peugeot 3008 termasuk bumbung panoramik, pintu but belakang yang boleh dibuka tanpa sentuhan, manakala kelengkapan pilihan pula terdiri daripada sistem audio Focal Premium 10 pembesar suara serta Driver Sport Pack.

     
     
  • Edaran Modenas jadi pengedar rasmi Kymco di M’sia – bakal memperkenalkan tiga model baharu Jumaat ini

    kymco-xtown-300i-bm

    Kymco X-Town 300i.

    Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), sebuah anak syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) di bawah Kumpulan DRB-HICOM, kini dilantik selaku pengedar eksklusif baharu bagi jenama Kymco di Malaysia.

    Melalui kerjasama baharu ini, EMOS akan bertanggungjawab bagi pengedaran, jualan dan pemasaran motosikal Kymco di sini. Sebagai permulaan, EMOS akan membawa masuk dua model Kymco – skuter Downtown 250i dan Xciting 400i ke pasaran Malaysia dalam masa terdekat.

    Kymco Downtown 250i akan mengiringi dua lagi model versi terbaharu keluaran Modenas, Elegan 250 cc dan Karisma 125 cc, yang akan diperkenalkan secara rasmi Jumaat ini; menjadikan keseluruhannya tiga model baharu yang akan dilancarkan untuk pasaran tempatan oleh Modenas sendiri setelah sekian lama agak sepi daripada pengenalan model baharu.

    kymco-downtown_300i-bm

    Kymco Downtown 300i.

    Mungkin kami tersilap, tetapi dua model Modenas yang bakal dilancarkan ini kami jangkakan turut merupakan hasil usahasama dengan Kymco juga. Bagi model Elegan 250 cc, ia mungkin dibina berdasarkan model Kymco X-Town 300i, manakala bagi Karima 125 cc pula, ia dibangun berdasarkan model Kymco Ace 9.

    Kymco Downtown 250i yang akan diperkenalkan di sini nanti kami jangkakan dibina berdasarkan model Kymco Downtown 300i yang sudah pun dijual untuk pasaran Taiwan. Kapasiti enjin yang lebih rendah diperkenalkan untuk pasaran tempatan sudah tentu disebabkan oleh dua faktor.

    Faktor-faktor yang dimaksudkan ialah pertama, untuk membolehkannya dijual pada harga yang lebih rendah dan kedua, bagi menarik perhatian dan memenuhi keperluan penunggang dari kelompok lesen kelas B2 (250 cc ke bawah) yang merupakan kelompok majoriti dalam kalangan pengguna di Malaysia. Harga rasmi akan diumumkan Jumaat nanti.

    15179065_10154435683627224_6346172617658018036_n

    Pelantikan terbaharu berkenaan bukan sahaja menandakan kemunculan semula jenama Kymco untuk pasaran tempatan, tetapi yang lebih penting adalah jalinan usahasama strategik yang akan membuka peluang yang saling menguntungkan bagi kedua-dua pihak.

    “Ia merupakan satu penghormatan kepada kami bahawa Kymco, yang merupakan pengeluar skuter terbesar di Taiwan, dan kelima terbesar di dunia dalam segmen skuter dan motosikal, telah memilih untuk bekerjasama dengan EMOS bagi mengukuhkan semula jenama Kymco di sini.

    “Kami berhasrat untuk memberi nafas baharu kepada Kymco dan mempromosikannya sebagai salah satu jenama skuter yang terkemuka di Malaysia,” jelas Pengarah Urusan Kumpulan, DRB-HICOM Berhad, Datuk Sri Syed Faisal Albar.

    Dengan barisan skuter-skuter baharu Kymco ini nanti, EMOS mensasarkan untuk menguasai lebih daripada 25% pasaran skuter tempatan menjelang bulan Mac 2017. Skuter menyumbang sebanyak 13% daripada keseluruhan jumlah industri jualan motosikal negara sebanyak 60,000 unit pada tahun lalu.

    EMOS juga telah melantik 30 pengedar eksklusif di seluruh Malaysia, termasuklah di Sabah dan Sarawak. Selepas ini, skuter Kymco hanya boleh didapati di kedai-kedai pengedar eksklusif ini sahaja.

    Kymco merupakan pengeluar motosikal, skuter dan kenderaan serbaguna (ATV) nombor satu di Taiwan, dan mempunyai kedudukan yang kukuh di Eropah, Amerika Utara dan Australia. Sepanjang lima dekad lalu, Kymco telah berjaya memasarkan lebih daripada 10 juta unit skuter, motosikal, motosikal elektrik dan ATV di 100 buah negara, dengan perolehan jualan tahunan melebihi USD 1 bilion.

     
     
  • NextEV Nio EP9 catat rekod kereta elektrik terpantas di Nürburgring, kuasa 1,360 hp dari empat motor elektrik

    nio-ep9-front34-bm

    Pembuat kereta dari China, NextEV telah memperkenalkan jenama kenderaan Nio mereka dan kereta pertama yang menggunakan nama ini adalah Nio EP9 – sebuah kereta elektrik prestasi tinggi. Bagi menunjukkan kemampuannya, kereta ini telah dibawa ke merata dunia untuk mencatat rekod pusingan terpantas dan paling baru, ia telah memecahkan rekod bagi kenderaan elektrik di litar Nürburgring.

    Masa yang dicatat oleh Nio EP9 untuk satu pusingan lengkap 20.8 km di litar Nürburgring (atau juga dikenali sebagai ‘Green Hell’) adalah 7 minit 5.12 saat, sekaligus mengatasi rekod sebelum ini yang dicatat oleh Toyota TMG EV P002 7 minit 22.329 saat. Sebelum ini juga Nio EP9 sudah memecahkan rekod kenderaan EV di litar Paul Ricard, Perancis dengan masa lebih pantas 50 saat.

    Kemampuan hebat Nio EP9 datang daripada empat motor elektrik dan empat kotak gear yang keseluruhannya mampu menghasilkan sehingga 1,360 hp dan boleh memecut dari 0-97 km/j (0-600 bs/j) dalam masa hanya 2.7 saat. Kelajuan maksimum yang mampu dicapai pula adalah 313 km/j.

    Selain prestasi, bateri pada kenderaan ini juga boleh memudahkan penggunanya, dengan boleh dicas penuh dalam masa hanya 45 minit dan setelah itu, ia boleh bergerak sehingga 427 km. Dengan semua nombor prestasi ini, Nio EP9 boleh memberi saingan kepada model prestasi Tesla P100D.

     
     
  • Malaysia sah henti anjur F1 selepas 2018

    F1_2014_Malaysian_GP_03

    Desas-desus bahawa Malaysia akan menarik diri dari menganjurkan perlumbaan Formula Satu setelah disuarakan oleh CEO SIC sendiri akhirnya terjawab. Menurut laporan Malay Mail, setelah menganjurkan F1 selama 17 tahun bermula sejak 1999, menteri pelancongan dan kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz sahkan kerajaan tidak akan memperbaharui kontrak penganjuran sedia ada yang akan berakhir pada tahun 2018.

    “Perjanjian sedia ada adalah dari 2016 hingga 2018. Jadi setelah tamat, tiada lagi [F1 di Malaysia],” kata Nazri dan menambah beliau bersetuju dengan menteri belia dan sukan Khairy Jamaludin yang menyatakan Malaysia perlu ‘berehat’ dari menganjurkan perlumbaan tersebut.

    Nazri menambah negara tidak mendapat pulangan dari perbelanjaan yang dikeluarkan pada setiap perlumbaan. “Kedatangan penonton F1 kini menurun dan ia kurang daya penarik buat masa sekarang,” katanya. “Kita membelanjakan lebih RM300 juta setahun [untuk perlumbaan tersebut]. Kita tidak dapat semula RM300 juta.”

    Menurut beliau lagi, penonton yang hadir ke grand prix kini menurun bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia, dan menambah kegagalan untuk menempatkan pelumba Malaysia dalam perlumbaan berprestij berkenaan turut menyumbang kurangnya minat terhadap sukan tersebut di sini. “Ia berbeza dari MotoGP, kerana minat orang ramai masih lagi disitu. Kita akan kehilangan banyak peluang dalam pelancongan sekiranya MotoGP dihentikan,” kata beliau.

    Selain dari Malaysia, satu lagi negara penganjur F1 di Asia Tenggara iaitu Singapura turut dikhabarkan tidak berminat untuk memperbaharui kontrak penganjurannya yang bakal berakhir tahun hadapan atas alasan yang hampir sama.

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Supra baharu di Nürburgring

    toyota-supra-2-1_bm

    Perkembangan terbaharu berkenaan Toyota Supra generasi seterusnya yang baharu kami terima, setelah di jumpai buat pertama kali membuat ujian jalan raya sebelum ini, kini kereta sport flagship Toyota berkenaan dikesan sedang membuat ujian di litar Nürburgring pula.

    Penampilan Supra di Nürburgring agak seiras dengan unit ujian yang dijumpai sebelum ini. Walaupun menggunakan penyamaran berat dengan dilindungi pelekat pada hampir keseluruhan badan, masih dapat dilihat rekaan Supra ini diinspirasikan sepenuhnya dari model konsep Toyota FT-1.

    Muncung Supra generasi baharu ini direka dengan bentuk kon, cermin hadapan kelihatan seperti bersambung dengan tingkap sisi serta spoiler dibina bersepadu dengan bahagian belakang yang agak tinggi, sama seperti model konsep FT-1. Tetapi, liang udara pada hud hadapan dari FT-1 tidak kelihatan pada model yang sedang diuji ini.

    toyota-supra-5-1_bm

    Menurut Toyota sebelum ini, fasa pembinaan Supra adalah sama dengan pembinaan ‘kembarnya’ dari Jerman iaitu BMW Z5. Walaupun dibina dengan platform yang sama, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z5 yang tampil dengan bentuk badan Roadster, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ.

    Tetapi, lain pula hal nya pada bahagian dalaman. Supra dilihat mengambil terus rekaan dalaman dari BMW, dengan roda stereng tiga jejari, skrin paparan pada bahagian tengah papan pemuka, paparan instrumen separa-maya dan juga suis-suis kawalan penghawa dingin. Namun, ini hanyalah model ujian dan diharapkan ia akan berubah dengan rekaan lebih tersendiri pada model produksi sebenar nanti.

    Supra generasi baharu ini dijangka akan dikuasakan dengan enjin empat silinder sebaris dan enam silinder sebaris bersama pengecas turbo dari BMW dan varian paling berkuasa dengan unit janakuasa hibrid bakal dilengkapi kapasitor serta sistem pacuan empat roda. Jentera baharu ini turut menggunakan kepakaran BMW dalam pembinaan komponen gentian karbon, seperti yang terdapat pada BMW i3, i8 dan 7 Series G12

    GALERI: Spyshot BMW Z5


    GALERI: Toyota FT-1 Concept

    GALERI: Evolusi Toyota Supra

     
     
  • Singapura enggan perbaharui kontrak Formula 1?

    singapore-gp_bm

    Setelah Malaysia khususnya SIC menyuarakan kemungkinan menarik diri dari menganjurkan perlumbaan Formula 1, sebuah lagi negara dari Asia Tenggara iaitu Singapura dilihat juga mungkin akan menghentikan penganjuran perlumbaan tersebut. Singapura mempunyai kontrak setahun lagi untuk menganjurkan Formula 1 iaitu pada tahun hadapan, namun khabar angin mengatakan republik berkenaan tidak berminat untuk menyambung kontrak selama lima tahun itu.

    Dalam temuramah bersama Auto Motor und Sport dari Jerman, Boss Formula Satu Bernie Bernie Ecclestone berkata, Singapura mungkin tidak akan mengambil bahagian untuk penganjuran F1 selepas tahun 2017.

    “Lihat apa yang telah kami lakukan untuk Singapura. Ya, Grand Prix telah menelan banyak wang milik Singapura, tetapi kami juga telah memberikan mereka wang yang banyak. Singapura tiba-tiba sahaja menjadi lebih dari sebuah negara yang mempunyai lapangan terbang untuk berlepas ke destinasi lain atau dari tempat lain. Kini mereka percaya mereka telah mencapai sasaran mereka dan mereka tidak lagi memerlukan Grand Prix,” kata beliau.

    singapore-gp-grandstand_bm

    Penganjur GP Singapura enggan untuk mengulas berkenaan isu ini. Laporan mengatakan perlumbaan edisi 2016 menunjukkan kemerosotan kedatangan penonton, dengan jumlah jualan tiket untuk perlumbaan malam berkenaan 15% lebih rendah berbanding jumlah purata kedatangan sejak perlumbaan pertama pada 2008.

    Dalam temuramah berkenaan Ecclestone turut mengatakan, wajah F1 mungkin akan berubah, dengan pengeluar sedia ada – termasuk pasukan juara Mercedes AMG Petronas – mungkin akan menarik diri dari perlumbaan pada masa akan datang. “Ia mungkin akan terjadi kepada kami bahawa Mercedes dan Ferrari akan menarik diri. Tetapi secara jujurnya, jika perlumbaan semakin baik, visi yang teruk ini tidak akan terjadi.”

    Ecclestone jelas tidak berterus-terang mengenai perkara itu. “Mercedes akan menarik diri pada waktu yang sesuai, dan ia adalah sesuatu yang terjadi pada kami sebelum ini. Lihatlah Honda, BMW dan Toyota. Mereka pergi apabila Formula One telah memberikan apa yang mereka mahukan. Tiada ucapan terima kasih,” katanya.

     
     
  • Ford EcoSport facelift untuk pasaran Amerika Syarikat

    fordecosport_08_hr-e1479712577882-850x568-bm

    Seminggu selepas gambarnya tersebar di internet, Ford EcoSport facelift akhirnya muncul secara rasmi di Los Angeles Auto Show. Kereta jenis crossover segmen B ini akhirnya akan dipasarkan di Amerika Syarikat tetapi hanya bermula pada awal tahun 2018. Pembaharuan yang diberi terdiri daripada di luar dan dalam.

    ‘Muka’ hadapannya direka semula sepenuhnya, dan kini menampilkan gril trapezoid baru Ford. Kemudiannya, ia diapit dengan lampu utama bentuk baru, dengan unit projector dan lampu siang LED bagi varian SE, SES dan Titanium. Lampu kabus dan penghadang lumpur juga direka semula, sementara tayar simpanan sebelum ini yang diletak di luar tidak lagi digunakan untuk penampilan lebih bersih, seperti model Eropah.

    Bahagian dalam juga direka semula – melihatkan konsol tengah yang baru, bersama paparan informasi dan hiburan yang terletak bebas dan pengawal suhu baru. Panel meter juga mempunyai rekaan baru, manakala roda stereng yang digunakan pula kini adalah berbentuk tiga kaki, diambil daripada model Focus facelift. Turut ditambah adalah pilihan tambahan soket kuasa 110 volt untuk penumpang belakang.

    Sistem hiburan dan informasi SYNC 3 baru juga ditawarkan, dengan skrin lapan inci dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Model Titanium juga mendapat pilihan sistem bunyi 10 pembesar suara Bang & Olufsen, radio satelit SiriusXM dan SYNC Connect dengan FordPass.

    Pembeli Ford EcoSport facelift di AS mendapat pilihan enjin tiga silinder 1.0 liter EcoBoost dan empat silinder 2.0 liter N/A. Menurut Ford, kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan. Tiada sebarang nombor jumlah kuasa atau prestasi yang diberikan tetapi pacuan semua roda didatangkan standard bagi model 2.0 liter.

     
     
  • Hyundai Starex 2016 muncul di oto.my – RM164k

    hyundai-starex-on-oto

    MPV 12 tempat duduk Hyundai Starex versi kemaskini untuk tahun 2016 kini dilihat sudah muncul di laman web oto.my dan diletakkan pada harga RM163,888, lebih mahal dari varian asas VGT Royale yang berharga RM156,888. Apa yang ketara pada model kemaskini ini adalah bahagian gril hadapannya yang kini didominasi salutan krom.

    Dengan ruang perincian di bawah yang bertulis “latest facelift“, model kemaskini ini dijangka sebahagian besarnya adalah sama seperti model sedia ada. Ia dijana oleh enjin diesel CRDi 2,497 cc dengan kuasa 170 PS. Walau bagaimanapun spesifikasi tork enjin berkenaan dilihat meningkat kepada 441 Nm dari 392 Nm sebelum ini. Kuasa masih lagi dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear lima-kelajuan automatik.

    Untuk rekaan luaran, Starex masih lagi mengekalkan cermin sisi dengan lampu nyalaan siang LED, serta bampar dan gril hadapan kini dilihat seperti bersungguh-sungguh untuk menyaingi Toyota Alphard. Bahagian belakang turut menerima perubahan dengan sentuhan semula pada lampu dan juga bampar yang menyaksikan ia kini bersepadu dengan liang tip ekzos.

    GALERI: Imej spyshot Hyundai Starex

    GALERI: Hyundai Grand Starex Royale

     
     
  • 30,000 kakitangan Volkswagen seluruh dunia bakal kehilangan pekerjaan untuk jimatkan kos €3.7 bilion

    volkswagen-beetle-dune-9

    Sebagai langkah untuk menjimatkan sekitar 3.7 bilion euro (RM17.4 bilion),Volkswagen Group mengumumkan sejumlah 30,000 orang tenaga kerjanya seluruh dunia akan dibuang. Dari keseluruhan jumlah berkenaan, 3.5 bilion euro (RM16.4 bilion) akan digunakan untuk pembinaan kenderaan elektrik dan berautonomi, bagi mengatasi masalah yang timbul setelah kumpulan berkenaan terbabit dengan skandal Dieselgate, menurut laporan Reuters.

    Jumlah 30,000 berkenaan adalah dari jenama VW itu sendiri, di mana 23,000 orang daripadanya adalah dari Jerman, walaupun VW tidak mendedahkan semua ini secara langsung. Volkswagen mengatakan bahawa “kehilangan pekerjaan yang sesuai secara sosial” akan berlaku melalui “turun naik semula jadi dan persaraan separa awal.” Sebaliknya, 9,000 pekerjaan baru telah diwujudkan untuk pengeluaran bateri dan perkhidmatan mobiliti untuk memenuhi haluan baharu ke arah teknologi elektrik.

    “Kami perlu melabur berbilion-bilion euro untuk kereta dan perkhidmatan baharu manakala pesaing baru akan terus menyerang kami; transformasi pasti akan menjadi lebih radikal daripada segala yang telah kami alami setakat ini, “kata Ketua Pegawai Eksekutif jenama VW Herbert Diess. Pembuangan pekerja ini adalah sekitar 5% dari jumlah keseluruhan 610,000 orang pekerja VW atau 19% di Jerman, di mana seramai 120,000 orang bekerja dengan jenama berkenaan.

    Volkswagen mensasarkan untuk meningkatkan keuntungan operasi dari 2% kepada 4%; sementara Renault dan Peugeot Citroen mensasarkan keuntungan operasi sebanyak 6% menjelang 2021. Kenderaan-kenderaan elektrik Volkswagen akan dibina di kilang Zwickau dan Wolfsburg, Jerman, manakala motor elektrik akan dihasillkan di Kassel sementara produksi sel bateri pula akan dibuat di Salzgitter. Pek bateri untuk kenderaan elektrik sepenuhnya dan hibrid pula akan dibuat di Braunschweig.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025