Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Genesis G80 Sport muncul – enjin V6 3.3L Twin Turbo

    2018 G80 Sport

    2018 G80 Sport

    Genesis baru sahaja mendedahkan model prestasi pertama mereka di Los Angeles Auto Show iaitu G80 Sport. Ia adalah kenderaan sedan eksekutif kelas pertengahan yang dikeluarkan oleh jenama kenderaan mewah Hyundai dan bagi model baru ini, ia diberikan tambahan kuasa, serta penampilan lebih sport yang bersesuaian.

    Pada bahagian luar, G80 Sport menggunakan gril baru, bahagian bawah bampar yang lebih agresif, skirting tepi lebih dalam dan bahagian bawah bampar belakang baru bersama empat muncung ekzos. Rim yang digunakan pula adalah bersaiz 19 inci, dan terdapat kemasan berwarna hitam satin dan tembaga.

    Di dalam pula, roda stereng yang lebih tebal digunakan, bersama pedal aloi, kemasan gentian karbon asli, alas bumbung suede hitam serta tempat duduk yang dibalut kulit sama ada berwarna hitam atau kelabu, dan jahitan benang warna bertentangan. Ini adalah antara naik taraf yang diberikan kepada G80 model 2018, termasuk sistem Apple CarPlay, Android Auto dan pengecas telefon tanpa wayar Qi.

    Walaubagaimanapun, perkara paling utama adalah enjin – unit V6 3.3 liter twin-turbo yang mampu menghasilkan sehingga 365 hp pada 6,000 rpm dan 510 Nm tork dari 1,300 hingga 4,500 rpm. Ia kemudiannya dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan. Bagi memastikan kereta terus stabil, bahagian suspensi turut dinaik taraf dengan kawalan penyerapan berterusan, tetapan brek belakang digandakan dan cakera dengan liang penyejukan.

     
     
  • Enjin Qamfree tanpa aci sesondol dari Koenigsegg FreeValve bakal muncul di Guangzhou Auto Show

    dsc_0978-edit_lj

    Pada Beijing Auto Show April lalu, enjin Qamfree 1.6 liter turbo yang berfungsi tanpa aci sesondol hasil rekaan FreeValve AB iaitu subsidiari dibawah pembina hypercar dari Sweden – Koenigsegg, hanya diperkenalkan secara ringkas. Namun, pada Guangzhou Auto Show, enjin berkenaan akan dipasangkan pada hatchback Qoros 3 dan kereta berkenaan akan dipandu keatas pentas.

    Sebelum ini, pengasas Koenigsegg iaitu Christian Von Koenigsegg telah memperincikan bagaimana enjin berkenaan berfungsi dan juga apa kelebihannya. Secara ringkas, enjin ini berfungsi tanpa aci sesondol dimana kesemua injapnya digerakkan dengan teknologi PHEV, yang membolehkan setiap bukaan injap kemasukan (intake valve) dan bukaan injap ekzos (exhaust valve) dikawal sepenuhnya oleh sistem pengurusan enjin dan digerakkan dengan komponen sistem pneumatik, hidraulik dan elektrik.

    Oleh itu, selain dari tanpa camshaft serta kepala silinder yang lebih ringkas tanpa pulley dan timing belt/chain, enjin ini juga berfungsi tanpa throttle body, tanpa wastegate untuk mengawal boost turbo, serta back pressure ekzos kini boleh dikawal bagi memudahkan ia dihidupkan semasa cuaca sejuk. Nisbah mampatan untuk enjin turbo ini juga sangat tinggi iaitu 12:1, membolehkan pembakaran yang efisien dicapai dengan hanya menggunakan sistem suntikan bahan api tidak terus.

    Hasil dari kesemua teknologi ini, enjin 1.6 liter empat silinder berkenaan kini mampu menghasilkan kuasa 45% lebih besar dan tork dilonjakkan 47% lebih kuat, memberikan bacaan keseluruhan 240 hp/320 Nm berbanding jumlah asal 160 hp/240 Nm. Kecekapan bahan api pula kini meningkat kepada 15%. Kadar emisi untuk enjin 35% lebih baik dari sebelum ini, dimana ia disumbangkan menerusi sistem penghidup ketika sejuk yang lebih efisien tanpa memerlukan campuran udara dan bahan api yang terlalu ‘rich‘.

     
     
  • VIDEO: Tesla tunjuk operasi Autopilot pada Model S

    Pernah tertanya bagaimana keadaan apabila duduk di dalam sebuah kenderaan yang boleh bergerak sendiri dan apa yang dilihat oleh sistem kenderaan ini untuk memastikan pemanduan selamat? Ini adalah videonya. Tesla mengeluarkan video ini bagi menunjukkan bagaimana kenderaan terbaru mereka, Model S bergerak dalam kawasan yang mempunyai trafik sederhana dan apa yang dilihat oleh kamera pada kenderaan tersebut.

    Jika diperhatikan, pemandunya, tidak menyentuh langsung stereng atau alat kawalan lain pada kenderaan dari mula hinggalah sampai ke destinasi. Walaupun melalui persimpangan yang tidak mempunyai lampu isyarat atau hendak membelok ke lorong yang terletak bertentangan, kereta ini tidak mempunyai masalah untuk mengesan objek lain. Selain kenderaan, ini juga termasuk manusia atau pejalan kaki.

    Pada bahagian kanan video ini, anda boleh melihat pandangan tiga kamera iaitu hadapan, belakang kiri dan belakang kanan. Bagi setiap kamera ini pula, anda boleh melihat bagaimana ia menganalisis situasi dan menghasilkan pemanduan yang selamat dan berhati-hati.

    Tesla Model S adalah sebuah kenderaan elektrik pintar yang ditawarkan dalam empat varian, dengan kuasa di antara 315 hp hingga 503 hp. Malaysia juga sudah mendapat perlepasan oleh kerajaan untuk membawa 100 unit model ini dan 10 daripadanya sudah pun tiba. Anda boleh menggunakan kenderaan ini sama ada melalui cara sewaan dengan harga bermula RM10,500 sebulan (untuk tempoh sewaan dua tahun) atau sewa-beli dari harga RM326,055 (harga asas sebuah kenderaan sebelum GST dan caj penghantaran).

     
     
  • Jaguar bina semula sembilan unit XKSS spesifikasi asli, ganti kehilangan semasa kebakaran pada 1957

    jaguar-xkss-03_bm

    Jentera Jaguar D-Type telah memenangi perlumbaan Le Mans pada tahun 1955, 1956 dan 1957. Sebagai untuk meraikan kejayaan tersebut, Sir Williams Lyons mengambil keputusan pada Januari 1957 untuk mengubah 25 unit D-Type terakhir dari kereta lumba sebenar kepada jentera kegunaan jalan raya biasa digelar XKSS.

    Malangnya, hanya 16 unit berjaya dilengkapkan, manakala sembilan unit lagi yang rancang untuk dieksport ke Amerika Utara telah hilang dalam kebakaran kilang Browns Lane pada bulan Februari tahun berkenaan.

    Awal tahun ini, Jaguar Classic telah mengumumkan akan membina kembali sembilan unit jentera yang hilang hampir enam dekad lalu berkenaan di Experimental Shop, Warwick – dibina dengan tangan dan spesifikasi asli tahun 1957. Jentera pertama telah pun siap serta baharu sahaja didedahkan di Los Angeles Auto Show, dan ia akan dijadikan sebagai blueprint untuk sembilan unit model produksi yang bakal dilengkapkan tahun hadapan.

    Jentera-jentera berkenaan bakal dibina lengkap dengan nombor casis mengikut turutan log casis asal XKSS, dan akan dijual dengan harga melebihi £1 juta setiap satu. Model yang membuat kemunculan di LA ini dihasilkan oleh Jaguar Classic dengan kesinambungan yang tepat menggunakan gabungan lukisan kejuruteraan asal dan juga teknologi moden. Jaguar membuat imbasan terhadap berberapa versi XKSS 1957 untuk membantu dalam penghasilan imej digital lengkap kereta berkenaan, dari badan hingga ke casis, termasuk semua komponen yang diperlukan.

    Seperti pada jentera pada tahun 1957, badan XKSS ini di bina dari magnesium alloy. Badan baharu yang dibina berdasarkan badan asal pada era 50’an dihasilkan menerusi kaedah tradisional yang digelar hand-whelling – dan kaedah ini akan digunakan untuk produksi sembilan unit jentera yang bakal dibina.

    Walau bagaimanapun, Reynolds – pembuat kerangka yang popular dengan penghasilan tiub 531 – menerangkan, komponen-komponen baharu akan dihasilkan dengan unit imperial dan bukan unit metrik. Kerangka kereta ini akan dikimpal menggunakan gangsa sama seperti tiub casis XKSS. Jentera-jentera ini juga akan menampilkan brek cakera Dunlop untuk kesemua roda dengan pam Plessey, tayar-tayar Dunlop serta rim magnesium aloi two-piece yang dihubungkan dengan rivet.

    XKSS ini dijana oleh enjin enam silinder sebaris 3.4 liter yang sama pada Jaguar D-Type. Enjin yang dibina dengan blok dan kepala silinder besi tempa berkenaan disuap dengan tiga unit karburator perlumbaan side-draf Weber DC03, menghasilkan kuasa 262 hp.

    Pada bahagian dalaman, kesemua komponen termasuk kayu pada roda stereng hingga ke corak pada tempat duduk kulit, dan juga suis-suis tembaga pada pemuka adalah sama seperti model pada tahun 1957, tetapi dengan sedikit perubahan spesifikasi dibuat untuk meningkatkan keselamatan pemandu dan penumpang.

    Ini bukan projek pertama seumpanya yang dibuat oleh Jaguar Classic. Pada tahun 2014, enam buah E-Type Lightweight yang tidak dibina pada tahun 1963 (hanya 12 unit yang siap pada tahun tersebut, berbanding 18 unit yang dirancang untuk diproduksi) berjaya disiapkan. Jaguar menyatakan, kepakaran yang dicapai menerusi projek E-Type Lightweight berkenaan akan digunakan untuk pembinaan XKSS ini.

     
     
  • Naza Premira anjur sambutan ulang tahun ke 70 Vespa

    vespa-70th-anniversary-29

    Pengeluar motosikal dari Itali, Vespa sudah beroperasi sejak tahun 1946 dan sehingga kini, ia terus popular dan mempunyai penggemarnya. Masuk tahun 2016, Vespa sebagai sebuah syarikat sudah berusia 70 tahun dan bagi meraikan kewujudannya, Naza Premira selaku pengimport dan pengedar rasmi Vespa di Malaysia melakukan satu acara sambutan di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur.

    Acara bermula dengan konvoi dari Naza Automall, Petaling Jaya dan untuk itu sahaja, ia sudah berjaya mengumpul lebih 500 buah motosikal yang memenuhi jalan raya, namun secara teratur ke tapak acara. Sampai di Publika, pelbagai aktiviti disediakan bagi peserta dan pemilik Vespa, selain pelancaran tiga buah model edisi khas ulang tahun yang terdiri daripada model Primavera, GTS 150 dan PX150.

    Berlangsung sehingga lewat petang, peserta dan pengunjung acara turut dihiburkan dengan persembahan secara langsung oleh beberapa kumpulan muzik dan turut tidak ketinggalan, penyanyi rock terkenal tanah air, Amy Search. Dua pemilik Vespa dari Johor Bharu turut diberikan penghargaan khas kerana menunjukkan semangat dengan berpakaian seperti penguatkuasa pada tahun 70 an dan kata mereka, beginilah caranya mereka menaiki Vespa pada zaman dahulu. Kemuncak acara adalah cabutan bertuah daripada golongan peserta dan diberikan hadiah sebuah motosikal Vespa.

     
     
  • GALERI: Vespa PX150 edisi ulang tahun ke-70 – enjin dua lejang 150 cc, terhad 36 unit sahaja di Malaysia

    vespa-px150-70-1

    Apa yang anda lihat ini adalah sesuatu yang boleh menggembirakan peminat tegar motosikal Vespa. Ia adalah Vespa PX150 yang dikeluarkan khas sebagai memperingati ulang tahun jenama itu yang ke 70 dan istimewanya, menggunakan enjin dua lejang berkapasiti 150 cc dan gear jenis pulas di pemegang bahagian kiri.

    Motosikal ini mengekalkan ciri-ciri klasiknya seperti model yang menjadi kegilaan ramai lebih 30 tahun yang dahulu dan ini boleh dilihat dengan kelengkapannya yang asas. Pemula enjin jenis tendang masih dikekalkan (penghidup elektronik juga masih ada), butang kawalan pula hanya untuk fungsi asas, badan menggunakan besi dan pedal brek di bahagian kaki kanan.

    Di bawah tempat duduknya, terdapat dua tangki berasingan; satu untuk minyak petrol dan satu lagi untuk minyak dua lejang. Bermakna, pemilik tidak perlu menyukat sendiri minyak dua lejang apabila mengisi minyak dan hanya perlu menuangnya dalam tangki yang disediakan.

    Bagi model edisi khas ulang tahun ini, Vespa mengenakan PX150 dengan warna biru mutiara unik dan mempunyai tempat duduk serta beg belakang yang dicetak dengan logo ulang tahun ke 70. Turut boleh disaksikan adalah lencana ulang tahun ke 70 di bahagian panel dalam berhampiran kaki penunggang.

    Naza Premira menjual Vespa PX150 edisi ulang tahun ke 70 ini pada harga RM28,780 dan ia datang dengan jumlah yang begitu terhad- 36 unit sahaja untuk pasaran Malaysia. Selain PX150, Vespa edisi ulang tahun ke 70 turut didatangkan bagi model Primavera 150 dan GTS 150 yang harganya masing-masing RM18,440 dan RM20,627.

     
     
  • Implementasi Biodiesel B10 ditangguhkan lagi

    biodiesel1

    Rancangan untuk implementasi biodiesel B10 dalam negara untuk sektor pengangkutan akan dijadualkan semula, lapor The Star. Pengenalan biodiesel B10 dan B7 (untuk sektor industri) sebelum ini dilaporkan akan dimulakan bulan hadapan, tetapi kerajaan telah mengumumkan rancangan berkenaan perlu ditangguhkan ke tarikh yang masih belum ditetapkan.

    Menteri pertanian dan komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, kerajaan mahu memperkasakan program implementasi Biodiesel untuk mempertingkatkannya dengan dua jenis campuran dan penangguhan pengenalan berkenaan adalah untuk tidak membebankan orang ramai.

    “Selepas satu kajian menyeluruh, mengambil kira perbezaan harga antara minyak sawit mentah dan diesel dalam pasaran yang tidak menentu, saya mengumumkan mandat untuk implementasi biodiesel akan ditangguhkan. Walaupun usaha yang signifikant telah dilakukan untuk implementasi ini, kerajaan komited untuk memastikan tiada kos tambahan yang akan membebankan rakyat kali ini,” kata beliau.

    Implementasi program biodiesel B10 ini telah ditangguhkan berberapa kali. Kerajaan pada mulanya memperkenalkan bahan api campuran diesel dan minyak sawit dengan nisbah 90:10 berkenaan pada Jun lalu, tetapi ia telah ditangguhkan kerana data yang tidak mencukupi menyatakan ia memenuhi spesifikasi pengeluar-pengaluar kenderaan.

    Implementasi penuh biodiesel dengan formulasi berkenaan dijangka bakal menggunakan 750,000 tan minyak sawit setiap tahun. Mandat ini mengecualikan stesen minyak yang menjual diesel bergred Euro 5 dan juga mesin-mesin industri yang sensitif dan tidak sesuai menggunakan biodiesel ini yang telah menerima “justifikasi teknikal” dari pengeluar mesin berkenaan.

     
     
  • PANDU UJI: Proton Ertiga, MPV EEV enam-tempat duduk – bakal berikan nilai terbaik untuk pengguna?

    front-lamp-brown_protonertiga_bm

    Ini kali keempat saya ke litar ujian Proton di Shah Alam dan berkemungkinan kali terakhir untuk tahun ini. Proton berjanji untuk melancarkan empat model tahun ini bermula dengan Perdana, Persona, Saga, dan ini merupakan yang terakhir dari siri tersebut – MPV enam-tempat duduk segmen-B, Proton Ertiga.

    Seperti yang diketahui, Ertiga merupakan projek rebadge Proton terbaharu hasil usahasama dengan Suzuki. Proton, Suzuki Motor Corporation dan DRB-Hicom telah menandatangani MoU kerjasama Jun tahun lalu, dan kemudian menyaksikan penutupan Suzuki Malaysia Automobile Sdn Bhd (juga dibawah DRB-Hicom) dan juga kesemua 29 pusat jualannya di Malaysia bertukar kepada Proton Edar pada Januari tahun ini.

    Seminggu selepas itu, berita dari Indonesia melaporkan Suzuki Indomobil Sales (SIS) menyatakan, Ertiga akan dieksport ke Malaysia dalam bentuk komponen terurai (knocked down) dan kemudian akan dipasang semula secara CKD di sini mulai suku kedua tahun 2016. Pada bulan April pula, kami mula menerima imej spyshot pertama sebuah Ertiga yang diuji oleh Proton di atas jalan raya Malaysia.

    Akhirnya, selepas majlis pelancaran Proton Perdana 2016, CEO Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali telah mengesahkan model pertama hasil kerjasama dengan Suzuki akan diperkenalkan pada Oktober tahun ini, dan ia sebenarnya sedikit tersasar kerana Ertiga hanya akan dilancarkan minggu hadapan.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Proton Ertiga – perincian dan penawaran bagi setiap varian; enjin 1.4 liter, ASEAN NCAP empat bintang

    Dengan pengenalan secara rasmi MPV kompak Proton Ertiga yang akan berlangsung pada minggu hadapan, maka lengkaplah barisan empat model baharu yang ingin diperkenalkan oleh Proton bagi tahun 2016.

    Tidak seperti model Persona dan Saga yang merupakan produk “asli” Proton, Ertiga mengiringi Perdana sebagai sebuah model yang dijenamakan semula (rebadge). Ia model dengan spesifikasi yang hampir sama dengan model asalnya, iaitu Suzuki Ertiga – yang sudah dipasarkan di Indonesia ketika ini.

    Dan, khabarnya, tidak banyak perkara yang diubah oleh Proton melainkan gril dengan logo di hadapan (dan semua bahagian lain yang melibatkan logo Proton). Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman awal kami memandu uji Ertiga di litar ujian Proton serta serba sedikit maklumat teknikalnya, sila rujuk laporan pandu uji ringkas ini.

    proton-ertiga-engine

    Seperti dicadangkan oleh tajuk di atas, artikel ini akan memberi tumpuan kepada pilihan varian yang ditawarkan serta spesifikasi yang membezakan di antara setiap satunya. Secara umum, Proton Ertiga ditawarkan di dalam tiga varian; Ertiga Executive MT, Ertiga Executive AT dan Ertiga Executive Plus AT.

    Bagaimanapun, bagi varian Executive MT dan Executive AT, kedua-duanya berkongsi senarai spesifikasi yang sama melainkan penggunaan sistem transmisi manual dan satu lagi transmisi automatik. Untuk itu, di dalam senarai yang akan digunakan selepas ini, kedua-duanya dikelompokkan sekali bagi tujuan memudahkan penjelasan tentang spesifikasi yang melengkapinya.

    Proton Ertiga menggunakan enjin sama yang ada pada Suzuki Swift; iaitu 1.4 liter K14B janaan petrol. Ia mampu menghasilkan kuasa 92 PS pada 6,000 rpm manakala tork 130 Nm pada 4,000 rpm. Merupakan enjin DOHC dengan pemasa injap boleh ubah serta penggunaan metal timing chain, ia turut dilengkapi sistem suntikan multi-point, pendikit drive-by-wire serta transmisi automatik empat kelajuan (Aisin) atau manual lima kelajuan.

    proton-ertiga-dimensions

    Penggunaan minyaknya pula, dengan ujian dalam kelajuan purata 90 km/j ialah seperti berikut; 5.7 liter/100 km bagi versi manual, manakala 6.0 liter/100 km bagi versi automatik. Bacaan pecutan 0-100 km/j pula ialah 11.8 saat bagi versi manual, sementara versi automatik mencatatkan masa 13.9 saat.

    Proton Ertiga dibina menggunakan platform dari Suzuki Swift yang dilanjutkan. Dimensi keseluruhan Ertiga adalah seperti berikut; 4,265 mm panjang, 1,695 mm lebar dan 1,685 mm tinggi. Jarak antara roda pula ialah 2,740 mm, dengan legaan dari permukaan tanah 185 mm.

    Berat bagi versi manual ialah 1,175 kg, manakala berat bagi versi automatik pula ialah 1,185 kg. MPV kompak ini mempunyai keupayaan radius pusingan 5.2 meter. Selain itu, kapasiti tangki minyaknya ialah 45 liter.

    Sistem suspensinya menggunakan jenis MacPherson Struts untuk bahagian depan, sementara di belakang menggunakan jenis Torsion Beam. Bagi brek, bahagian depan menggunakan brek cakera dan di belakang menggunakan brek dram.

    Tempat duduk barisan kedua dan ketiga juga agak fleksibel. Bagi barisan tengah, ia boleh dianjak sebanyak 240 mm, dengan nisbah lipatan 60:40. Akses ke barisan ketiga hanya melalui satu butang sahaja. Turut dilengkapi dengan perehat lengan, barisan ini disediakan dengan dua tapak Isofix. Sementara tempat duduk barisan belakang pula mempunyai nisbah lipatan 50:50.

    Berikut merupakan senarai perincian bahagian luaran dan dalaman yang melengkapi model Proton Ertiga:

    Luaran
    Lampu utama reflektor halogen
    Lampu kabus depan dan belakang
    Lampu belakang jenis bulb
    Gril depan krom
    Kemasan krom di bahagian belakang, lanjutan daripada lampu belakang
    Penunjuk lampu isyarat di bahagian fender depan
    Cermin sisi kawalan elektrik
    Kunci kawalan jauh
    Rim aloi 15 inci dengan tayar GT Radial Champiro Eco (185/65/R15)
    Tayar ganti jimat ruang
    Dua sensor parkir di belakang
    Pengilap cermin belakang
    Empat warna: Ruby Red, Carnelian Brown, Metal Grey dan Cotton White

    Dalaman
    Kemasan dwi-tona warna (kelabu dan beige)
    Roda stereng Polyurethane (boleh laras ketinggian)
    Unit radio dengan sambungan USB/CD
    Empat pembesar suara
    Kluster meter nyalaan belakang dengan fungsi Trip Meter
    Pendingin hawa manual
    Pendingin hawa belakang pada bumbung (dengan kawalan tahap kekuatan angin)
    Soket kuasa 12V (1 di depan, 1 di barisan tengah)
    Enam tali keledar 3-poin
    Fabrik dalam warna beige
    Ruang storan bawah lantai

    logo-white_protonertiga_bm

    Sebagai membezakan varian Ertiga 1.4L Executive Plus AT pula, ia dilengkapi dengan beberapa ciri dan kemasan tambahan. Antara kelengkapan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

    Kemasan krom pada bahagian lampu kabus
    Cermin sisi kuasa (power-foldable)
    Lampu isyarat LED pada cermin sisi
    Penebat bahagian bawah bonet
    Kawalan audio pada stereng
    Dua dashboard tweeter (enam pembesar suara semuanya)
    Larasan ketinggian tempat duduk pemandu
    Kemasan krom pada pemegang pintu di sebelah dalam
    Poket di belakang tempat duduk hadapan

    Dari segi aspek keselamatan, Ertiga menerima penarafan empat bintang bagi ASEAN NCAP. Antara lain, ia juga dipasangkan dengan dua beg udara, ciri ABS dengan EBD serta penghadang hentaman sisi untuk mengurangkan risiko kecederaan kepada pemandu dan penumpang.

    GALERI: Suzuki Ertiga bagi pasaran Indonesia

     
     
  • SPAD berunding dengan pihak berkaitan pinda undang-undang kawal selia aplikasi e-hailing

    SPAD-Syed-Hamid-Albar-01

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini berhubung dengan pihaknya yang sedang mengadakan rundingan dengan Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pengangkutan untuk meminda undang-undang bagi mengawal selia aplikasi e-hailing.

    Menurut kenyataan tersebut, pindaan yang dimuktamadkan itu kemudiannya akan dibentangkan kepada kabinet sebelum diluluskan Parlimen. Di mana SPAD mengatakan bahawa kelulusan kabinet oleh Parlimen dianggarkan tercapai pada suku pertama 2017. Apabila pindaan kepada undang-undang itu diluluskan Parlimen, SPAD akan melaksanakan dan mengawal selia aplikasi e-hailing, laporan Bernama

    Aplikasi e-hailing menjadi pilihan pengguna pengangkutan awam di negara ini kerana ia lebih mudah ditempah, kadar tambang lebih murah dan penumpang dapat menganggar kadar tambang sebelum memulakan perjalanan.

    Dalam melaksanakan Program Transformasi Industri Teksi, SPAD menjelaskan pihaknya telah menjalankan langkah-langkah segera bagi inisiatif yang tidak memerlukan pindaan undang-undang oleh Parlimen, seperti liberalisasi permit teksi kepada pemandu teksi individu di bawah sistem model Pajak.

     
     
  • Rezvani Beast Alpha – pintu gelungsur, enjin Honda

    rezvani-beast-alpha-ext-10

    Syarikat yang beroperasi di California iaitu Rezvani, telah mengeluarkan kenderaan terbaru mereka digelar Beast Alpha. Ia sebenarnya boleh dianggap sebagai versi hardtop bagi model tahun lepas dan kini dilengkapi dengan bumbung gaya Targa dan pintu gelungsur ‘SideWinder’.

    Praktikaliti pintu seperti ini, melihat cara ia dibuka masih tidak dapat dipastikan, tetapi yang pasti, memberi karekter unik pada Beast Alpha. Badan dengan gaya menarik ini dipadankan dengan enjin K24 2.4L DOHC daripada Honda, dengan pengecas turbo. Kuasa sebanyak 500 hp mampu dihasilkan oleh enjin ini dan transmisi yang digunakan adalah manual enam kelajuan.

    Berat Beast Alpha hanya 884 kg, dan ini membolehkan ia membuat pecutan 0-96 km/j (0-60 bsj) dalam masa 3.5 saat sahaja, dengan kotak gear manual. Jika unit yang dilengkapi kotak gear automatik, ia boleh mencatat 0.3 saat lebih pantas.

    Masuk ke bahagian dalamnya, anda akan disambut dengan bahagian yang sama ada dibalut dengan kulit atau Alcantara. Walaupun adalah sebuah kenderaan prestasi, pengguna juga dapat menikmati kelengkapan yang menjamin keselesaan seperti tingkap kuasa elektrik, pendingin hawa serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Bagi informasi operasi kenderaan, paparan digital seperti kenderaan lumba digunakan.

    Rezvani Beast Alpha ini sudah tentu bukan sembarangan kereta kerana harganya sahaja sudah USD200,000 (RM881,530). Jika wang bukan satu hal, anda fikir ia berbaloi?

     
     
  • 58 jalan bakal ditutup di sekitar KL pada 19 Nov ini

    RON_95_vs_RON_97_Fuel_Test_Malaysia_ 032

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh mengesahkan sejumlah 58 jalan di 10 kawasan utama di sekitar KL akan ditutup esok, 19 Nov, mulai jam 7 pagi, disebabkan perhimpunan jalanan Bersih 5.

    Jalan-jalan di kawasan yang terlibat termasuklah Dataran Maybank Bangsar, Little India, Brickfields, Masjid Negara, Muzium Negara, Sogo, Dataran Merdeka, Parlimen, Bank Negara, Jalan Pudu, PWTC dan Chow Kit.

    Penutupan jalan ini adalah bagi mengelakkan pertembungan antara beberapa kumpulan, terutamanya kumpulan Bersih yang berbaju kuning dan pro-kerajaan berbaju merah. Selain itu, polis turut menjangkakan dua lagi kumpulan yang bakal terlibat iaitu Baju Putih dan Baju Hitam, yang turut serta dalam demostrasi jalanan pada masa dan tempat yang sama, laporan News Strait Times.

    Amar turut berkata, sehubungan itu lencongan jalan akan dilaksanakan bagi penguraian trafik di jalan-jalan yang terbabit. Walau pun pihak polis telah mengarahkan kumpulan-kumpulan terbabit tidak meneruskan rancangan untuk perhimpunan jalanan ini, namun mereka masih berdegil. Malahan pihak polis akan menempatkan sejumlah besar anggotanya di sekitar KL, dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya jika ada di antara peserta perhimpunan tersebut didapati mencetuskan kekecohan dan melanggar undang-undang.

     
     
  • Nissan GT-R Nismo GT500 2017 guna enjin 2.0L 600 hp

    2017_nissan_gt_r_nismo_gt500_02-e1479455573247-850x630-bm

    Kehangatan perlumbaan SuperGT untuk tahun 2017 sudah bermula apabila semakin banyak pengeluar yang menunjukkan kenderaan mereka untuk musim baru. Nissan adalah yang terkini dengan jentera GT-R Nismo GT500 2017 mereka. Sudah tentu, kenderaan baru ini dipersiap supaya menepati peraturan baru yang ditetapkan.

    Ini termasuk saya belakang baru, yang jika dilihat dari tepi, melebihi keseluruhan bahagian belakang. Lengkuk roda juga lebih besar, dengan pelbagai lagi ‘pembelah angin’ pada bahagian bonet, bampar hadapan dan tepi.

    Walaupun kelihatan begitu, sebenarnya peraturan baru menyebabkan 25 peratus kurang daya tolakan ke bawah (downforce). Tetapi Nissan telah mengimbangi perkara tersebut dengan kelebihan kuasa, yang mana berbunyi seperti lebih kemampuan daripada enjin empat silinder 2.0 liternya. Walaupun enjin yang digunakan adalah sekadar 2.0 liter, ia sebenarnya mampu mengeluarkan sehingga 600 hp.

    Kenderaan ini juga diihat mempunyai titik graviti lebih rendah, bersama dengan pembahagian berat yang lebih optimum. Ini sepatutnya dapat membantu GT-R Nismo mendapat kembali kejayaan dalam kategori GT500, yang mana pada tahun 2014 dan 2015 mereka dapat mengaut gelaran juara bagi pemandu dan pengeluar, tetapi tewas pada tahun 2016 kepada Lexus. Bagi musim 2017, GT-R Nismo akan bersaing dengan LC GT500 dan NSX-GT.

    Dengan berat yang hanya lebih sedikit daripada 1,000 kg, Nissan GT-R Nismo GT500 2017 adalah hampir setengah tan lebih ringan berbanding GT-R versi produksi biasa. Nissan juga memberitahu lebih lagi peningkatan akan dilakukan sebaik ia diuji dan mula berlumba nanti.

     
     
  • BAC Mono 2017 – berat 580 kg, kuasa 305 hp, 308 Nm

    bac-mono-2016_06-bm

    Pengeluar kenderaan yang beroperasi di United Kingdom, Briggs Automotive Company (BAC) membawa kenderaan satu tempat duduk terkenalnya, dipanggil Mono ke Los Angeles Motor Show. Model tahun 2017 ini menggunakan enjin 2.5 liter N/A dan mempunyai kuasa maksimum sebayak 305 hp dan tork 308 Nm. Jumlah ini mungkin tidak seberapa, tetapi disebabkan badan yang ringan – 580 kg, nisbah kuasa dan beratnya boleh jadi menakjubkan iaitu 525 hp bagi setiap tan.

    Dengan tetapan seperti ini, BAC Mono 2017 boleh mencapai kelajuan maksimum 273 km/j dan boleh memecut dari 0-60 bsj dalam masa 2.8 saat. Prestasi ini juga dibantu dengan penggunaan kotak gear sequential enam kelajuan daripada Hewland FTR. Bahagian gandar pula dilengkapi dilengkapi dengan LSD.

    Naik taraf lain yang diberi bagi model 2017 ini adalah kawalan cengkaman lima tahap, intelligent launch control dan fungsi penukaran gear ke atas secara automatik yang juga boleh ditutup dengan butang yang ada pada sterengnya. Selain itu, rak stereng kenderaan ini juga boleh dipusing dengan lebih pantas dan hanya memerlukan pusingan sebanyak 1.7 kali dari satu hujung ke hujung yang lain.

    BAC Mono sudah diimport ke lebih 28 negara dan Amerika Syarikat adalah antara negara yang semakin menunjukkan minat terhadap kenderaan satu tempat duduk unik ini. Oleh sebab itu, BAC kini sedang berusaha untuk meningkatkan servis serta penawaran produk mereka di negara tersebut dengan melantik lebih banyak pengedar. Bagi model semasa, BAC Mono dijual pada harga 74,950 pound (RM409,714).

     
     
  • Vespa Edisi Ulang Tahun ke-70 – dari RM18,440

    2017-vespa-primavera-70th-anniversary-19-850x708-bm

    Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke 70 Vespa, Naza Premira mengeluarkan tiga model istimewa yang terdiri daripada Primavera 150, GTS 150 dan PX 150. Harga untuk setiap model edisi khas ini masing-masing adalah RM18,440, RM20,627 dan RM28,780.

    Semua model edisi ulang tahun ke 70 ini datang dalam warna biru muda berkilat yang dipanggil Azzurro 70, dan dilengkapi pakej aksesori termasuk rak belakang berserta beg buatan Itali. Barangan lain yang membezakan model edisi khas ini dengan model standard adalah tempat duduk berwarna coklat siap dengan logo Vespa Settantesimo 70th Anniversary, pelekat di bahagian sisi dan lencana edisi khas di bahagian depan.

    Model Primavera dan GTS 150 menggunakan enjin 154.8 cc satu silinder, empat strok EFI yang sama dan masing-masing mampu menghasilkan 12.7 hp dan 11.6 hp. Bagi model PX150 pula, ia menggunakan enjin dua strok 150 cc berpenyejukan udara satu silinder bersama sistem minyak karburator. Ini menghasilkan bunyi unik sebuah Vespa seperti waktu dahulu dan masih boleh menghasilkan 8.85 hp.

    Primavera dan GTS 150 menggunakan kotak gear CVT automatik manakala PX 150 pula dilengkapi kotak gear empat kelajuan dan penukaran gear dilakukan dengan memulas bahagian kiri pemegang. Ketiga-tiga model edisi khas ini ada dipamerkan di pusat pameran Naza Premira dan kuantiti yang dibuka untuk jualan adalah terhad.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025