Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Maybach S650 Cabriolet – terhad 300 unit

    mercedes-maybach-s650-cabriolet-15-e1479279265706-850x445-bm

    Jika berkemampuan, dan anda mahukan kenderaan terbaik yang menggabungkan pengalaman tanpa bumbung dan mewah, model Mercedes-Maybach S650 Cabriolet ini mungkin adalah sesuai. Ia tampil buat pertama kali di Los Angeles Motor Show 2016.

    Harga jualannya adalah 300,000 euro (RM1,406,179 tidak termasuk cukai), dan akan dihasilkan hanya sebanyak 300 unit untuk seluruh dunia. Setiap satunya diasaskan daripada Mercedes-AMG S65 Cabriolet dan diberikan modifikasi khas daripada Maybach untuk menjadikannya lebih istimewa. Selain bahagian bawah bampar yang direka semula dan rim 20 inci unik, perkara paling jelas yang boleh dilihat adalah penggunaan lencana dan logo Maybach di merata bahagian kenderaan seperti gril hadapan, pemijak tepi pintu dan penutup but belakang.

    Masuk ke dalam juga anda akan disambut dengan pantulan cahaya berbentuk logo Maybach pada bahagian lantai dan bahagian dalamnya dibalut dengan kulit. Pada bahagian tempat duduk yang kelihatan empuk dengan pelbagai sokongan, jahitan berbentuk berlian digunakan bagi meningkatkan lagi rasa eksklusif.

    Bagi warnanya kemasan dalamnya, pilihan luas diberikan kepada pelanggan untuk memilih yang bersesuaian, namun yang eksklusif bagi model ini adalah warna coklat designo nut brown magnolia. Pada bahagian pelantar rata di belakang penyandar kepala penumpang, terdapat kemasan kayu unik yang diproses secara khas dan diinspirasikan daripada kapal layar Mercedes-Benz Style ‘Arrow 460-Granturismo’.

    Perincian lain yang terdapat pada bahagian dalam adalah karpet khas, lencana nombor keluaran berhampiran tempat meletak cawan, tulisan Maybach di stereng, Aircap, Airscarf dan lampu utama Swarovski. Tiga barangan terakhir itu sebenarnya datang sebagai pilihan tambahan pada S-Class Cabriolet, tetapi didatangkan secara standard pada kenderaan ini.

    Enjin yang digunakan pada Mercedes-Maybach S650 Cabriolet masih lagi adalah unit M275 V12 6.0 liter biturbo berkemampuan 630 hp dan 1,000 Nm tork. Untuk memecut dari 0 ke 100 km/j, ia hanya memerlukan masa 4.1 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai adalah 250 km/j. Sebagai tambahan kepada ciri ekslusifnya, kenderaan ini juga didatangkan bersama empat buah beg khas yang mempunyai logo Maybach dan ditandatangani oleh ketua pegawai eksekutif Daimler, Dieter Zetsche.

     
     
  • Volkswagen Passat B8 dilancarkan di M’sia – 3 varian, pilihan enjin 1.8L TSI, 2.0L TSI, bermula RM159,990

    b8-vw-passat-launch-1

    Petang ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah pun melancarkan Passat B8 yang menampilkan reka bentuk yang unggul, enjin yang ekonomikal dan dilengkapi oleh teknologi tercanggih masa kini. Passat B8 ini adalah model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang.

    Passat mula diperkenalkan di pasaran Malaysia pada tahun 2006. Kemudian pada tahun 2011, Passat generasi ketujuh menjadi model pemasangan tempatan pertama Volkswagen di Malaysia yang dikilangkan di DRB-Hicom di Pekan. Bagi Passat B8 generasi kelapan ini ditawarkan tiga varian iaitu Trendline, Comfortline dan Highline

    Bagi varian tertinggi iaitu Highline, pastinya ia dipadankan dengan penjana kuasa yang lebih hebat iaitu enjin 2.0L TSI pengecas turbo dengan padanan kotak gear direct shift (DSG) enam-kelajuan. Ia mampu menghamburkan kuasa yang mengagumkan iaitu 220 PS dan tork 350 Nm bermula 1,500 rpm hingga 4,400 rpm.

    Manakala varian Trendline dan Comfortline pula dikuasakan oleh enjin 1.8 TSI turbo dan padanan transmisi automatik klac-berkembar DSG tujuh-kelajuan. Penjana kuasa ini mampu menghasilkan output maksimum sebanyak 180 PS dan 250 Nm tork.

    b8-vw-passat-launch-8-bm

    Ia juga menggunakan platform MQB dan berukuran 4,767 mm panjang, 1,832 mm lebar dan 1,456 tinggi. Ini bersamaan dengan 2 mm lebih pendek, 12 mm lebih lebar dan 14 mm lebih rendah jika dibandingkan dengan Passat B7. Kesan daripada kedudukan yang lebih lebar dan bumbung yang rendah ini juga ditingkatkan lagi dengan ‘muka’ yang lebar, dengan terdapat garisan krom yang menyambungkan kedua-dua belah lampu hadapan.

    Walaupun badan lebih pendek, jarak roda Passat B8 dipanjangkan sebanyak 79 mm, menjadi 2,791 mm dan ini menghasilkan bahagian dalam yang lebih luas. Turut menerima kesan adalah bahagian simpanan barang yang meningkat sebanyak 21 liter, menjadi 586 liter dan berat yang berkurangan sehingga 90 kg hasil daripada penggunaan bahan serba ringan diperkuat pada badan dan enjinnya.

    Bagi Passat 1.8 TSI Trendline, ia didatangkan dengan rim ‘Aragon’ 16-inci, lampu kabus hadapan dan belakang serta lampu belakang LED. Pada bahagian dalam pula, tempat duduknya mempunyai pelarasan manual dengan bahagian sokongan tulang belakang juga boleh dilaras, skrin sesentuh warna ‘Composition’ lima-inci, skrin paparan informasi pelbagai warna, stereng dengan pelbagai butang kawalan, butang penghidup enjin, cermin sisi boleh lipat serta pengesan jarak Park Distance Control (PDC) depan dan belakang.

    Bukan itu sahaja, ia turut didatangkan dengan brek tangan elektrik dengan Auto-Hold, sistem pengesan kecergasan Driver Alert System dan lampu/pengelap cermin automatik. Pendingin hawa pula adalah sistem Climatronic tiga-zon bersama corong tersendiri di belakang.

    Passat 1.8 TSI Comfortline

    Manakala varian 1.8 TSI Comfortline pula, ia memiliki elemen yang sama dengan varian Trendline, cuma ditambahkan dengan beberapa ciri lain termasuk rim 17-inci ‘Istanbul’ (tayar ContiPremiumContact 215/55 R17), lampu utama LED sepenuhnya dan lampu nyalaan siang LED.

    Menjengah bahagian kabinnya, varian 1.8 TSI Comfortline mempunyai kelengkapan seperti yang boleh dijangka pada sedan segmen D. Antaranya, ia mempunyai sistem tanpa kunci ‘KESSY’, manakala tempat duduk pula dibalut dengan kulit ‘Vienna‘. Tempat duduknya mempunyai 12-arah pelarasan bersama sistem memori dan urut, dan diperlengkap dengan sistem audio skrin sesentuh 6.5 inci, Park Assist dan kamera undur.

    Peningkatan lain daripada model 1.8 TSI Trendline adalah cruise control dengan pengehad kelajuan, pedal penukar gear di stereng, but berkuasa elektrik (boleh dibuka dengan menghayunkan kaki di bahagian bawah kereta) dan kemasan krom di bahagian papan pemuka.

    Walau pun imej luarannya masih tidak jauh berbeza dengan model 1.8, namun terdapat sedikit perbezaan pada varian tertinggi 2.0 TSI Highline termasuklah rim aloi ‘Dartford‘ 18-inci yang dibaluti tayar ContiSportContact 235/45 R18, kemasan muncung ekzos trapezoid krom dan lencana ‘380 TSI’.

    Passat 2.0 TSI Highline

    Walau bagaimana pun bahagian kabin 2.0 TSI Highline menerima lebih limpahan elemen yang pelbagai, termasuk penghalang cahaya belakang elektrik, Active Info Display, pencahayaan ambien, kemasan kayu ‘Carolina’ (varian lain menggunakan kemasan ‘Silver Diamond’), Lane Assist dan unit media yang lebih maju Discover skrin sesentuh 6.5-inci dengan MirrorLink dan navigasi.

    Casis untuk varian paling berkuasa ini juga mendapat peningkatan, termasuk XDS electronic differential lock dan Dynamic Chassis Control (DCC) serta pilihan mod pemanduan (Eco, Comfort, Normal, Sport, Individual).

    Selain itu, Passat B8 dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan utama seperti Lane Assist, Automatic Post-Collision Braking System, enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Brek (BA), Intelligent Crash Response System (ICRS), Kawalan Mendaki Bukit, tingkap kuasa anti-pinch dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak.

    b8-vw-passat-launch-6-bm

    Passat serba baharu ini hadir bersama waranti pengilang selama lima-tahun dan didatangkan dalam tujuh warna iaitu putih (Pure White), hitam (Deep Black), perak (Reflex Silver), kelabu (Indium Grey), merah (Crimson Red), coklat (Black Oak Brown) dan biru (Harvard Blue).

    Passat B8 ini ditawarkan pada harga RM159,990 untuk varian Trendline, RM179,990 bagi varian Comfortline dan varian Highline pula berharga RM198,990. Kesemuanya adalah harga sebelum pendaftaran dan tanpa insurans. Dan bagi Passat B8 ini, ia turut didatangkan dengan waranti pengilang selama lima tahun dan tambahan lima tahun servis penyelenggaran percuma yang hanya diperoleh sekiranya kenderaan ini didaftarkan sebelum 31 Disember 2016.

    Kami telah pun memandu uji Passat B8 ini dan untuk mengetahui ulasan mengenainya, sila klik DI SINI. Sekiranya anda ingin mengetahui perincian lebih lanjut mengenai Passat B8 ini, sila layari Carbase.my.

    GALERI: Volkswagen Passat 2.0 TSI Highline

    GALERI: Volkswagen Passat 1.8 TSI Comfortline

    GALERI: Volkswagen Passat 1.8 TSI Trendline

     
     
  • Alfa Romeo Stelvio – crossover pertama dari jenama tersebut, varian tertinggi Quadrifoglio 505 hp/600 Nm

    2018-alfa-romeo-stelvio-1_bm

    Produk lengkap dari salah satu rancangan pembangunan semula jenama Alfa Romeo kini dipamerkan di Los Angeles Auto Show. Model berkenaan merupakan crossover pertama yang diproduksi oleh Alfa Romeo untuk menyertai pasaran segmen tersebut, digelar Stelvio.

    Nama Stelvio ini diambil dari Stelvio Pass, iaitu jalan bukit yang terkenal di Banjaran Alps, Itali. Ia dibina berasaskan platform pacuan roda belakang yang diberi kod Giorgio, iaitu asas yang sama untuk model sedan Giulia.

    Stelvio bakal menembusi pasaran tahun hadapan dengan dua pilihan enjin iaitu enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 280 hp/400 Nm, dan juga enjin V6 2.9 liter turbo berkembar untuk varian tertinggi Quadrifoglio berkuasa 505 hp/600 Nm. Untuk varian Quadrifoglio, ia mampu memecut dari 0-96 km/h dalam masa hanya 3.9 saat dan disertakan bersama sistem nyah aktif silinder untuk menjimatkan penggunaan bahan api.

    Kesemua kuasa dari setiap pilihan enjin disalurkan ke keempat-empat tayar menerusi sistem pacuan semua roda dan juga kotak gear lapan-kelajuan dari ZF. Sistem AWD crossover ini membenarkan 60% tork ke gandar hadapan, manakala unit torque vectoring differential turut dipadankan untuk mempertingkatkan daya tarikan serta kestabilan.

    Bahagian luaran, muka Stelvio adalah seiras dengan model sedan Giulia, begitu juga bentuk pada lampu belakangnya. Bahagian belakang juga direka seakan sebuah hatchback yang sporty bersama empat tip ekzos (untuk varian Quadrifoglio) serta diffuser belakang. Melengkapkan rupanya, ia dipadankan bersama roda aloi dengan rekaan warisan Alfa Romeo.

    Konsep yang sama turut dibawa ke bahagian dalaman, di mana Stelvio turut menerima rekaan bahagian dalaman yang seiras dengan Giulia. Persamaan tersebut turut meliputi dua suis putar pada konsol tengah untuk memilih mod pemanduan (Dynamic, Natural, Advanced Efficiency dan Race), serta sebuah lagi untuk kawalan skrin infotainmen yang diletakkan pada bahagian atas papan pemuka.

    Bakal pembeli boleh memilih saiz skrin paparan lebar berkenaan dengan saiz 6.5 inci atau 8.8 inci. Skrin tambahan bersaiz 7-inci pada kluster instrumen pula merupakan ciri standard.

    Alfa Romeo Stelvio akan diproduksi di kilang Fiat Chrysler Automobiles’ (FCA) Cassino, Itali. Crossover ini bakal bersaing sengit dengan Jaguar F-Pace, Mercedes GLC dan BMW X3 setelah dilancarkan nanti.

     
     
  • Volkswagen Beetle Dune 1.4 TSI kini di Malaysia – terhad 50 unit, CBU, harga bermula RM179,990

    vw-beetle-dune-launch-14

    Sebelum melancarkan Volkswagen Passat B8 pada petang ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) terlebih dahulu memperkenalkan Volkswagen Beetle Dune yang tampil dengan imej lebih ranggi dan eksklusif.

    Bagi pasaran Malaysia, Dune hadir dengan enjin 1.4 liter TSI dengan kuasa 170 PS. Jika di negara lain, Dune turut ditawarkan dengan pilihan enjin 1.2 liter dan 2.0 liter TSI. Penjana kuasa ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 150 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 250 Nm antara 1,500 dan 3,500 rpm. Manakala kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi DSG dwi-klac tujuh-kelajuan.

    Dengan gabungan tersebut, Dune ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 8.8 saat, dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 200 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya dianggarkan sekitar 5.5 liter bagi setiap 100 km.

    vw-beetle-dune-launch-16

    Perbezaan antara Dune dengan model Beetle biasa ialah penampilan Dune yang lebih agresif jelas kelihatan pada bampar hadapan (seperti yang dilihat pada model facelift bagi Beetle R-Line), kekemasan ambang sisi, spoiler belakang dengan dua-tona, lampu belakang LED, lapisan plastik di sekeliling dan skid plate hadapan dan belakang berwarna perak. Ia juga ditampilkan dengan rim aloi dua-tona “Canyon” 18-inci, pelekat pada bahagian sisi dengan perkataan Dune serta jarak kelegaan tanah bagi Dune juga telah dipertingkatkan sebanyak 10 mm.

    Imej ranggi turut menjalari bahagian dalamnya, ini termasuklah dengan logo Dune tertera pada roda stereng, serta jahitan kuning pada roda stereng, tuil gear dan tuit brek tangan. Malah ia juga didatangkan dengan kulit upholstery “Vienna”, bersama lampu utama xenon dengan lampu nyalaan siang LED, kawalan suhu automatik dua-zone Climatronic, roda stereng pelbagai-fungsi dan sistem infotainmen Composition Media dengan skrin sentuh 6.5-inci.

    Hadir dalam warna Sandstorm Yellow yang menyerlah dan diimport sepenuhnya dari Mexico, Beetle Dune dijual pada harga RM179,990 (tanpa pendaftaran dan insurans) dan hanya ditawarkan sebanyak 50 unit sahaja. Ia turut hadir dengan waranti pengilang selama lima tahun.

    Jika anda ingin mengetahui perincian lebih lanjut mengenai Beetle Dune 1.4 TSI ini, sila layari Carbase.my.

     
     
  • Jaguar I-Pace – kenderaan elektrik pertama Jaguar

    jag-i-pace-official-7_1200-bm

    Semakin banyak pengeluar kenderaan yang menghasilkan kenderaan elektrik dan terbaru, Jaguar juga ingin menyertainya dengan menunjukkan model konsep berbentuk SUV kuasa elektrik mereka iaitu I-Pace. Ini adalah model SUV kedua yang pernah dihasilkan oleh Jaguar dan adalah kenderaan elektrik pertama bagi jenama itu.

    Jaguar memilih untuk membangunkan I-Pace lima tempat duduk ini secara sendiri, dengan pengalaman yang diperolehi daripada perlumbaan Formula E. Hasilnya, punca kuasa yang dipilih adalah pek bateri lithium ion 90 kWh dan dua motor elektrik yang masing-masing boleh menghasilkan 200 hp.

    Dengan keseluruhan kuasa sebanyak 400 hp, Jaguar I-Pace boleh melakukan pecutan 0-60 bsj dalam masa hanya empat saat dan hampir 700 Nm tork. Ini adalah satu jumlah yang agak tinggi dan boleh menggerunkan cabaran paling hampirnya iaitu Tesla Model X.

    Perkara penting bagi sebuah kenderaan elektrik adalah jarak pergerakannya. Bagi I-Pace, ia dikatakan boleh bergerak sehingga 500 km apabila dicas penuh, dan ini boleh dilakukan dalam masa dua jam melalui stesen cas DCnpantas berkuasa 50 kW. Menurut Jaguar, jika pengguna I-Pace hanya bergerak sekitar 50 km sehari, mereka hanya perlu mengecas satu kali sahaja dalam masa satu minggu.

    Walaupun masih sebuah kenderaan konsep, Jaguar serius untuk melepaskannya kepada pasaran dan ia dirancang berlaku pada tahun 2018. Walaupun mesra alam, ia dijamin akan membawa identiti Jaguar bukan sahaja daripada aspek gaya, malah juga prestasi dan kepuasan pemanduan.

     
     
  • Mazda CX-5 serba baharu diperkenal di LA Auto Show

    all-new-mazda-cx-5-5

    Mazda CX-5 serba baharu secara rasminya telah pun diperkenalkan di Los Angeles Auto Show, dengan menampilkan gaya terkini bagi falsafah rekaan Kodo Soul of Motion, dan ia akan mula diterapkan bagi rekaan model akan datang Mazda, menurut Julien Montousse, pengarah rekaan Mazda Amerika Utara.

    Menampilkan gril baharu dengan kekemasan gunmetal grey, penampilan CX-5 baharu ini agak berbeza jika dibandingkan dengan model semasa CX-3 dan CX-9. Malah ia juga menampilkan lampu utama LED yang lebih nipis berbanding sebelum ini serta ‘lower apron’ seperti bahagian hadapan CX-3. Bukan itu sahaja, warna merah yang ditampilkan seperti foto ini adalah daripada rona baharu, iaitu evolusi terkini bagi Soul Red Metallic yang dikenali sebagai Soul Red Crystal.

    all-new-mazda-cx-5-38

    Pada bahagian belakangnya pula, serlahan yang kurang dramatik ditampilkan, termasuk rekaan semula bagi garisan yang merintangi bahagian pintu belakang dan hadapan. Sementara ini, lampu belakang baharu telah diinspirasikan berdasarkan model CX-9, dengan sambungan garisan pada dua unit pencahayaan.

    Manakala bagi bahagian kabin pula, papan pemukanya telah direka semula dengan menawarkan bentangan simetri yang lebih baik berbanding sebelum ini. Corong penghawa dingin juga berlainan berbanding model semasa Mazda yang lain, dan paparan infotainmen MZD tidak lagi disaluti seperti sebelum ini.

    Selain itu, ia turut menampilkan roda stereng tiga-jejari baharu, sama seperti CX-9, sementara elemen lain termasuk suiz penghawa dingin, dail Commander Control, pemilih gear, butang start/stop enjin dan kluster instrumen masih seperti model semasa Mazda yang lain.

    all-new-mazda-cx-5-39

    Di bawah hudnya, CX-5 baharu ini dikekalkan enjin yang sama seperti barisan model terdahulu (tiada 2.5 liter turbo seperti CX-9) iaitu dua unit petrol SkyActiv-G 2.0 liter dan 2.5 liter, serta penjana kuasa diesel 2.2 liter SkyActiv-D. Kesemua enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

    SUV ini juga turut ditampilkan dengan teknologi kawalan pergerakan kenderaan SkyActiv-Vehicle Dynamics termasuk sistem G-Vectoring Control (GVC).

    Menurut Mazda, SUV ini bakal dilancarkan di Jepun pada Februari 2017 sebelum ia dipasarkan di negara lain. Malaysia salah satu daripada sasaran pasarannya.

     
     
  • Nissan Sentra Nismo 2017 muncul – Sylphy yang lebih sporty, guna enjin 1.6L turbo 188 hp/ 240 Nm tork

    2017-nissan-sentra-nismo-2-e1479265542618-850x425-bm

    Bersempena dengan Los Angeles Auto Show yang akan berlangsung bermula 18 November ini di Amerika Syarikat, Nissan mendedahkan awal Sentra Nismo yang akan dibawa ke sana. Ia adalah model Nismo keempat yang dibawa ke Amerika Syarikat selepas Juke, 370Z dan GT-R. Di negara kita, Sentra ini dikenali sebagai Sylphy.

    Memacu kenderaan ini adalah enjin empat silinder sama seperti yang terdapat pada varian SR Turbo Sentra iaitu MR16DDT 1.6 liter turbo petrol yang berkemampuan 188 hp dan 240 Nm tork. Ini walaubagaimanapun sedikit berbeza dengan model konsep yang pernah ditunjukkan pada tahun 2013 yang menggunakan enjin 1.8 liter turbo berkuasa 240 hp dan 325 Nm tork, dipadankan bersama kotak gear manual enam kelajuan dan limited slip differential.

    Sentra Nismo akan dijual pada tahun hadapan di Amerika Syarikat dan ia akan ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual enam kelajuan atau Xtronic CVT. Walaupun tiada sebarang naik taraf dilakukan pada bahagian enjin, peningkatan lain diberikan kepada casis, bermula dengan kedudukan yang lebih rendah sebanyak 10 mm dan kerangka yang lebih tegar (tambahan pendakap sokongan).

    Kemudiannya, suspensi dan stereng jenis elektrik pada kenderaan ini juga ditala semula, sementara rim 18 inci padanya diberikan bersama tayar Michelin Pilot Sport 215/45R18. Pembeli juga boleh memilih tayar Bridgestone Potenza RE-71R sekiranya mereka mahu.

    Pada bahagian luar, kit badan Nismo menjadi penyeri utama dan ini termasuk kemasan bahagian bawah bampar dua lapisan, skirting tepi, penghadang angin belakang, gril baru dan beberapa bahagian yang diwarnakan merah. Pada bahagian dalam, Sentra Nismo menerima panel meter Nismo, tempat duduk sports, tombol gear dibalut kulit, hiasan karbon dan stereng yang dibalut dengan kulit Alcantara.

     
     
  • Honda Civic Si Prototype didedahkan di LA Auto Show

    Civic Si Prototype

    Civic Si Prototype

    Selain dari Type-R, tahukah anda Civic turut mempunyai satu lagi varian sporty yang digelar Civic Si? Malah varian Si ini diperkenalkan lebih awal iaitu pada Civic generasi ketiga (SB) berbanding Type-R yang diperkenalkan pada generasi EK. Namun sejak Type-R diperkenalkan di Jepun, Si hanya diproduksi untuk Amerika Syarikat sahaja sebagai model Civic paling berkuasa untuk pasaran berkenaan dalam bentuk badan Coupe dua-pintu.

    Pada Los Angeles Auto Show tahun ini, Honda telah mendedahkan model prototaip Civic Si yang diasaskan dari Civic Coupe dua-pintu dan juga sedan empat-pintu generasi kesepuluh, bersama prebiu Civic Type-R baharu yang diasaskan dari Civic Hatchback lima-pintu. Model-model ini dijangka akan menerjah pasaran dalam bentuk produksi tahun hadapan.

    Varian Si ini akan dikuasakan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dan dipadankan bersama transmisi enam-kelajuan manual dengan mekanisma short-shift. Berbanding enjin 1.5 VTEC Turbo pada varian biasa dan juga versi pasaran Malaysia, enjin pada varian Si dengan dua mekanisma VTC ini dikhabarkan berkuasa 180 hp/240 Nm, menjadikan ia Civic Si paling laju dan berkuasa pernah dibina.

    Civic Si juga turut diberikan pelbagai kelengkapan berprestasi tinggi termasuk sistem penyerap hentak aktif baharu, sistem stereng aktif, LSD serta tayar berprestasi tinggi.

    Pada bahagian luaran, Si diberikan kit badan lengkap Honda Factory Performance (HFP) terdiri dari splitter pada bahagian hadapan dan belakang, spoiler belakang serta tip ekzos berbentuk heksagon. Untuk melengkapkan rupa keseluruhannya, ia turut diberikan rim aloi forged berdiameter 19-inci disaluti tayar 235/35R19.

    Rupa lebih agresif turut diberikan pada bahagian dalaman di mana ia diberikan tempat duduk Si yang lebih sporty dengan jahitan benang merah serta sulaman logo Si. Papan pemuka pula diberikan kemasan “Dry Metal Carbon” dipadankan dengan paparan instrumen dan sistem audio berwarna merah serta set pedal kemasan aluminium. Tema merah berkenaan turut diberikan pada panel dalaman pintu, roda stereng, tuil gear serta karpet lantai HFP.

     
     
  • Caj jalan raya mampu kutip RM144j setahun – Aziz

    johor-causeway-jam-bernama-pix-630x388

    Kerajaan mensasarkan kutipan sebanyak RM144 juta setahun daripada kenderaan asing yang mendaftar menerusi sistem caj jalan raya (RC) di sempadan Malaysia-Singapura.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi yang memberitahu Dewan Rakyat, sasaran itu adalah berdasarkan lebih kurang 20,000 kenderaan asing yang berdaftar yang memasuki Malaysia setiap hari.

    Katanya lagi, berdasarkan pemantauan pinak kementeriannya, tiada implikasi negatif yang dikenalpasti melalui pelaksanaan RC, laporan The Sun.

    Malah selain RC, sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) juga akan diimplementasi mulai 2017 untuk mempunyai satu pangkalan data lengkap bagi kenderaan-kenderaan asing berdaftar memasuki Malaysia.

    “Kesan positif hasil implementasi sistem ini adalah mampu memantau kenderaan asing yang memasuki Malaysia menerusi rekod yang ada. Ia mampu memastikan keselamatan negara lebih terjamin dan dalam masa yang sama mengawal trafik dengan lebih baik, “ujar Aziz bagi menjawab soalan yangb dikemukakan oleh Khoo Soo Seang (BN-Tebrau).

    Khoo telah mengemukakan soalan mengenai implementasi sistem RC dan jumlah kutipan sejak ia mula dilaksanakan pada 1 Nov lalu.

    Menurut Aziz lagi, buat masa ini, kenderaan pendaftaran asing (yang memasuki Malaysia) tiada rekod di sini dan ini turut mendorong berlakunya masalah kenderaan klon.

    “Selain itu, ia turut mendorong pemilik kenderaan yang telah melakukan kesalahan melarikan diri dari tindakan undang-undang di negara asalnya, malah turut terbabit dengan beberapa kesalahan termasuk melibatkan kesalahan lalu lintas atau tinggal melebihi had di Malaysia,” ujar Aziz lagi.

    Malah beliau turut mengakui, ketiadaan rekod bagi kenderaan pendaftaran asing ini juga boleh menyebabkan masalah mengenal pasti seseorang yang miliki rekod jenayah yang masuk dan keluar dari negara ini.

    Justeru, dengan adanya sistem ini, pihak kerajaan mampu mengesan dan memastikan kenderaan asing yang memiliki saman di negara ini agar menyelesaikan saman mereka sebelum keluar dari Malaysia.

     
     
  • VIDEO: Audi R8 Star Of Lucis – edisi khas sambut Final Fantasy XV untuk Jepun, harga RM2 juta

    Final Fantasy adalah satu permainan yang cukup popular sekian lama dan selepas 30 tahun wujud, ia masih lagi mempunyai pemain tegarnya. Dengan populariti seperti itu, pengeluar kenderaan dari Jerman iaitu Audi mengeluarkan edisi khas R8 Star Of Lucis, dengan kerjasama syarikat pembangun permainan tersebut, Square Enix bagi menyambut edisi permainan Final Fantasy XV.

    Ia bukan sekadar kenderaan pameran, malah juga akan dibuka untuk jualan tetapi di Jepun sahaja pada harga 50,000,015 yen (hampir RM2 juta). Harganya memang mahal dan daripada promosi yang dibuat, ini sememangnya seperti kenderaan yang datang daripada dunia Final Fantasy dan ‘boleh menakutkan raksasa’.

    Audi R8 Star Of Lucis menggunakan enjin 5.2 liter V10 yang dipadankan dengan transmisi S tronic tujuh kelajuan dan berkemampuan menghasilkan hingga 610 hp. Ia kemudiannya digayakan dengan pelbagai corak berkaitan dunia Final Fantasy termasuk rim buatan khas lambang Lucis. Warna keseluruhan yang dipilih adalah Ultrossic Black.

    Kita mungkin pernah mendengar orang yang kerjanya bermain permainan video dan memenangi hadiah pertandingan sehingga berjumlah jutaan dolar. Jika ada, mungkin membeli kereta seperti ini adalah cara untuk mereka membelanjakan wang tersebut.

     
     
  • KL MRT: Struktur tambang baharu diumumkan – kadar bermula RM1 untuk perjalanan satu hentian

    mrt-train-1_bm

    Rapid Rail Sdn Bhd, yang akan mengendalikan MRT Sungai Buloh – Kajang (MRT SBK) di bawah jenama perkhidmatan Rapid KL, telah mengumumkan struktur penuh tambang perkhidmatan berkenaan. Tambang nominal minima RM1 dikenakan untuk perjalanan satu hentian berdasarkan kepada struktur tambang tanpa tunai dan RM1.10 mengikut struktur tambang tunai iaitu perjalanan antara stesen Pasar Seni dan Merdeka.

    Tambang maksima adalah RM6.40 berdasarkan kepada struktur tambang tunai, dan RM5.50 berdasarkan tambang tanpa tunai, meliputi perjalanan penuh antara Sungai Buloh dan Kajang, sepanjang 51 kilometer dan melalui 31 stesen.

    Fasa 1 Laluan MRT SBK dijangka beroperasi dari 16 Disember 2016; meliputi 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan. Manakala Fasa 2 Laluan MRT SBK, meliputi baki 19 stesen antara Semantan dan Kajang pula dijadualkan untuk beroperasi pada pertengahan Julai tahun depan.

    mrt-station-kwasa-damansara_bm

    Untuk tambang nominal bagi perkhidmatan bas pengantara MRT pula, penumpang akan dikenakan bayaran RM1 untuk satu perjalanan. Sebanyak 120 bas pengantara MRT akan beroperasi untuk memberi perkhidmatan kepada 26 laluan bagi semua 12 stesen MRT yang dibuka di bawah Fasa 1.

    Menurut Rapid Rail lagi, Fasa 1 Laluan MRT SBK akan beroperasi secara sendirian, tanpa integrasi dengan rangkaian LRT dan monorel sekarang. Oleh itu, para pengguna MRT akan melalui pintu masuk dengan menggunakan token tunai ataupun Kad Touch n’ Go sahaja. Kad-kad MyRapid, yang kini digunakan untuk perkhidmatan LRT, monorel dan bas Rapid KL, akan dinaikkan taraf secara berperingkat sebelum pembukaan Fasa 2 Laluan MRT SBK pada Julai depan.

    “Struktur tambang sudah diluluskan oleh Kerajaan dan adalah berdasarkan kepada bayaran masuk nominal atau ‘nominal flag fall’ dengan kadar menurun untuk setiap empat hingga lima kilometer perjalanan – sama seperti struktur tambang untuk perkhidmatan LRT dan monorel yang dikendalikan oleh Rapid Rail,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Dato’ Ir Zohari Sulaiman.

    mrt-sbk-fare-table-cashless_bm
    mrt-sbk-fare-table-cash_bm

    Klik untuk besarkan

    Menurut beliau lagi, seperti yang diamalkan untuk perkhidmatan LRT, monorel, dan bas Rapid KL, diskaun 50 peratus akan diberikan untuk tambang tunai kepada warga emas, pelajar dan golongan OKU dan mereka hanya perlu menunjukkan Kad Pengenalan, kad pelajar (sekiranya tidak memakai uniform), atau Kad OKU ketika menggunakan perkhidmatan MRT dan bas pengantara MRT. Manakala kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun pula boleh naik secara percuma.

    “Warga emas, pelajar dan golongan OKU boleh membeli token konsesi berwarna merah daripada Pejabat Perkhidmatan Pelanggan di setiap stesen MRT,” kata Zohari.

     
     
  • PANDU UJI: Volkswagen Passat B8 mampu memberi saingan kepada kenderaan segmen lebih tinggi

    volkswagen_passat_b8_ext-3-bm

    Volkswagen Passat sudah wujud sejak tahun 70-an lagi dan kini, pelancaran model generasi kelapannya sudah semakin hampir. Sebenarnya, model ini sudah mula ditemui di atas jalan raya di Malaysia sejak penghujung tahun 2014 lagi, dan masuk tahun 2015, ia muncul sebagai pameran di satu acara khas Volkswagen. Pada masa itu, Passat B8 diberitahu akan dilancarkan pada awal tahun 2016.

    Kini, November 2016, barulah pasti pelancarannya akan dilakukan, malah tempahan juga sudah dibuka lebih awal. Agak lama juga masa yang diambil oleh Volkswagen Malaysia untuk melepaskan model ini kepada pasaran tapi, ia mungkin boleh jadi sesuatu yang baik bagi pengguna, kerana apabila dilancarkan, ia terus dapat dipasang di dalam negara ini (CKD) dan sudah menerima status kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh kerajaan. Dengan itu, harganya boleh jadi lebih menarik.

    Daripada informasi yang didapati daripada pembukaan tempahan Passat B8 ini, harganya dikatakan akan berada di dalam lingkungan RM160,000 hingga RM199,000 untuk tiga varian iaitu 1.8 TSI Trendline, 1.8 TSI Comfortline dan 2.0 TSI Highline. Jika dibandingkan dengan Passat B7 sekarang, terdapat sedikit perbezaan (Passat B7 1.8 TSI CKD dijual pada harga RM174,817), manakala versi coupe empat pintu Passat CC 1.8 TSI Comfortline pula dijual pada harga RM234,967.

    Kenapa CC juga perlu dimasukkan dalam perbandingan? Kerana daripada aspek gaya, selain bumbung belakang yang lebih menjunam pada CC, Passat B8 tetap nampak lebih menarik dengan rekaan baru ini.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Saman AES ditetapkan sebanyak RM150 – menteri

    AES_Camera

    Kerajaan telah meluluskan kadar saman bagi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditetapkan sebanyak RM150.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, mereka yang gagal membayar denda akan disenaraihitam dan tidak dibenar untuk memperbaharui lesen memandu, laporan Bernama.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menyangkal khabar angin bahawa kerajaan akan menyelesaikan kira-kira 1.6 juta saman yang dikeluarkan ke atas kenderaan yang dipandu melebihi had laju di bawah AES apabila ia mula diperkenalkan pada 2012.

    Liow berkata pada masa ini sebanyak 40 kamera AES dipasang di Lembah Klang dan Perak.

     
     
  • Samsung kuasai Harman International dengan harga US$8 bilion – sasar pertumbuhan dalam sektor auto

    mark-levinson

    Samsung Electronics mengumumkan mereka kini memiliki Harman International Industri dengan harga US$8 bilion. Pembelian tunai terhadap syarikat pembuat sistem audio dan hubungan kenderaan dari Amerika Syarikat tersebut dibuat oleh Samsung sebagai usaha mereka untuk masuk ke pasaran elektronik automotif dengan langkah yang besar, lapor Reuters.

    Urusniaga ini merupakan yang terbesar pernah dibuat syarikat dari Korea Selatan tersebut dan dijangka akan lengkap sepenuhnya pada pertengahan 2017 nanti. Pemilikan terbaharu ini disusuli selepas pembelian kepentingan bernilai US$450 dalam pembuat kereta elektrik dari China iaitu BYD. Samsung juga dilaporkan pernah berbincang dengan Fiat Chrysler Automobiles (FCA) atas penjualan berpotensi atau kerjasama untuk unit komponen Magneti Marelli, tetapi perbincangan berkenaan telah ditamatkan.

    Dengan kemajuan sistem elektronik dan perisian dalam kenderaan masa kini, syarikat-syarikat teknologi telah melebarkan perniagaan mereka dalam sektor berkenaan yang menyediakan banyak peluang-peluang baharu. Samsung berharap untuk melabur dalam pertumbuhan ini secepat mungkin.

    “Kami sudahpun membuat kajian terhadap pasaran dalam automotif untuk satu tempoh masa. Kami simpulkan bahawa pertumbuhan organik tidak akan membawa kami kearah hala tuju kami dengan cepat,” kata presiden dan ketua pegawai strategi Samsung Elektronik Young Sohn kepada wartawan menerusi sidang dalam talian. Ia bagaimanapun masih belum dapat dilihat adakah Samsung akan dapat berkembang menjadi sebuah syarikat yang mampu bersaing dengan syarikat-syarikat seperti Bosch dan Continental, menurut penganalisis.

    Harman merupakan pembekal sistem infotaimen, telematik, dan juga perhubungan keselamatan serta perkhidmatan sekuriti yang digunakan oleh lebih 30 juta kenderaan di seluruh dunia. Peralatan syarikat berkenaan boleh ditemui pada kenderaan-kenderaan berjenama seperti BMW, Toyota dan Volkswagen. Selain dari Harman/Kardon, yang juga mengeluarkan sistem audio rumah, Harman turut menaungi pelbagai lagi jenama seperti Infinity, JBL, Bang & Olufsen Automotive serta Mark Levinson.

     
     
  • SPAD diminta bantu percepat proses pindaan undang-undang sedia ada yang melibatkan Uber, Grabcar

    uber-x-car_BM

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mempercepatkan proses pemindaan undang-undang sedia ada untuk mengawal selia aplikasi perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grabcar di negara ini.

    Memetik laporan Bernama, Liow berkata undang-undang sedia ada perlu dipinda agar kerajaan dapat mengawal selia perkhidmatan aplikasi berkenaan untuk memastikan tidak berlaku percanggahan antara perkhidmatan itu dengan teksi.

    “Buat masa ini, tiada undang-undang ke atas Uber dan Grabcar. Jika kita boleh kawal selia Uber, tentunya kita juga akan boleh berbuat yang sama terhadap teksi dan tiada lagi percanggahan. Kami ingin menawarkan platform yang sama adil kepda Uber, Grabcar dan teksi,” jelas Liow.

    Beliau berharap proses berkenaan akan dapat diselesaikan tahun ini dan dikuatkuasakan dalam tahun depan. Bagaimanapun, beliau menjelaskan proses itu akan mengambil masa memandangkan pindaan yang dicadangkan nanti memerlukan kelulusan terlebih dahulu daripada Jabatan Peguam Negara, Kabinet dan akhir sekali, Parlimen.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025