Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota 86 Solar Orange Limited dan Pakej High Performance untuk GT Limited diperkenalkan di Jepun

    Model edisi khas Toyota 86 Solar Orange Limited telah diumumkan di Jepun dan akan mula di jual pada 10 Mac 2017, manakala tempahannya akan mula dibuka pada 31 Januari. Model berkenaan diasaskan dari varian GT dan bakal dijual pada harga 3,251,880 yen (RM130,200) untuk versi kotak gear manual enam-kelajuan, dan 3,318,840 yen (RM132,900) untuk versi automatik.

    Dengan harga 270,000 yen (RM10,800) dari varian GT biasa, model istimewa ini diberikan badan berwarna oren, serta jahitan benang oren pada roda stereng serta tempat duduk. Model ini juga diberikan kelengkapan dari varian tertinggi GT Limited seperti kemasan fabrik Grand Luxe pada papan pemuka, upholsteri Alcantara serta pemanas tempat duduk.

    Selain itu, seperti yang diumumkan oleh Ketua Jurutera Tetsuya Tada sebelum ini, Toyota turut memperkenalkan Pakej High Performance untuk model facelift GT Limited. Pakej tersebut terdiri dari kelengkapan sistem brek dari Brembo, penyerap hentak Sachs Performance dan juga roda aloi istimewa berdiameter 17-inci.

    Untuk model GT Limited yang hadir bersama Pakej High Performance ini, ia dijual dengan harga 3,394,440 yen (RM135,900) untuk versi manual serta 3,461,400 yen (RM138,600) untuk versi automatik, iaitu 210,600 yen (RM8,400) lebih mahal dari model GT Limited standard. Untuk pelanggan yang membeli model Solar Orange Limited, mereka turut ditawarkan dengan Pakej High Performance ini, dan juga pilihan aksesori opsyen yang terdiri dari spoiler belakang dan pelindung bahagian bawah hadapan dari GT Limited.

     
     
  • Ford EcoSport 2017 didedahkan sebelum pelancaran

    2017-ford-ecosport-us-market-leak-1-e1479174530944-bm-850x446

    Menjelang pengenalan rasminya bagi pasaran Amerika Syarikat (US) dirancang ketika pameran Los Angeles Auto Show, Ford EcoSport 2017 terlebih dahulu “bocor” di internet. Beberapa gambar yang beredar kini memberikan kesempatan untuk kita melihat apa perubahan yang dilakukan ke atas SUV kompak berkenaan bagi pasaran “tempat asalnya” di sana.

    Tidak seperti EcoSport untuk pasaran Eropah, versi di US menerapan wajah utama yang sedikit sebanyak meminjam penampilan dari model Escape (di sini dikenali sebagai Kuga). Tidak lagi menggunakan rekaan gril berkembar, yang tinggal kini adalah gril dalam bentuk trapezoidal.

    Ia juga dipasangkan dengan set lampu utama yang berbeza, begitu juga dengan lampu kabus, serta bahagian bawah bampar yang turut menampilkan penampan warna perak ditengahnya. Rekaan ini selari dengan apa yang pernah dilihat pada unit spyshot sebelum ini.

    Bahagian belakang, lampu tailgate seperti tidak berbeza berbanding dengan model bagi pasaran Eropah. Walaupun tiada maklumat tentang kelengkapan bahagian dalamannya, kami menjangka ia akan disertakan dengan SYNC 3 yang dibangunkan oleh Ford sendiri untuk sistem infotainmen; kendalian melalui skrin sentuh lapan inci.

    Pilihan enjin pula terdiri daripada enjin 1.0 liter tiga silinder EcoBoost antara yang mungkin akan ditawarkan, bersama enjin 2.0 liter atau 1.5 liter petrol. Padanan transmisi dijangka automatik enam-kelajuan sebagai standard, dengan kotak gear manual sebagai pilihan – begitu juga dengan Intelligent 4WD.

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-AMG C63 S Coupe di Malaysia

    2016mercedes-amgc63scoupemalaysiaspy2

    Mercedes-Benz Malaysia bakal melancarkan satu lagi ahli baharu dalam keluarga AMG pada minggu hadapan, dan pagi tadi, kebetulan jurufoto residen kami, Sherman Sim, telah mengesan kehadiran Mercedes-AMG C 63 S Coupe di jalan raya.

    Model yang nampak anggun ini, hadir dengan kerangka dua-pintu, dijanakan oleh enjin M177 4.0 liter biturbo V8 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 510 hp dan tork 700 Nm. Kuasa yang sedikit kurang dari enjin yang sama (476 hp/650 Nm) juga ditawarkan namun tanpa ‘S’ pada gelaran namanya, kami jangkakan ia diperkenalkan dalam bentuk sedan, namun mungkin ia tidak dijual di sini.

    Bagi C 63 S ini, ia turut ditampilkan dengan suspensi sport AMG Ride Control yang boleh dilaras dengan tiga-pelarasan sebagai standard, bersama penguncian elektronik gandar belakang, yang tidak ditampilkan pada varian biasa C 63.

    2016mercedes-amgc63scoupemalaysiaspy3

    Model ini juga kelihatan dipadankan dengan roda aloi AMG nine-dual Y-spoke 19-inci dengan kekemasan hitam kusam. Sebagai model AMG sepenuhnya, kit badannya juga lengkap, termasuk menampilkan bampar, peresap dan skirt sisi baharu. Manakala paip ekzos segi empat, dengan trademark AMG, telah membezakannya dengan model yang bukan dari AMG C-Class Coupe.

    Di bahagian dalamnya, C 63 S Coupe ini hampir sama dengan sedan, termasuk dipenuhi gentian karbon, dan agak lebih kurang mirip dengan W205 C-Class. Ditambah pula dengan switchgear dari AMG Dynamic Select dan beberapa kawalan spesifik AMG yang lain selain pad sentuh yang ada padanya.

    Pasti ramai yang tertanya-tanya, berapakah agaknya tag harga bagi C 63 S Coupe bagi pasaran Malaysia. Dan adakah versi Edition 1 juga akan turut ditawarkan di sini? Untuk pengetahuan, C 63 S Sedan dijual pada harga RM698,888 (OTR tanpa insurans), sementara model Edition 1 pula lebih RM25,000 dari itu.

     
     
  • GALERI: Impresif Proton Perdana, Persona, Saga 2016

    proton_perdana_persona_saga-14

    2016 merupakan tahun yang boleh dikatakan cukup bermakna buat Proton. Biar pun dibelenggu kemelut masalah kewangan sehingga terpaksa memohon bantuan pinjaman bernilai RM1.5 bilion daripada kerajaan, namun pengeluar kenderaan nasional pertama negara ini gigih mengatur langkah agresif. Ini termasuklah telah melancarkan tiga model baharu iaitu Perdana, Persona dan Saga. Manakala satu lagi merupakan model hasil kerjasama di antara Proton dan Suzuki, iaitu Proton Ertiga yang bakal dilancarkan penghujung bulan ini.

    Jun lalu, Proton telah melancarkan model Perdana 2016 dengan menampilkan dua varian iaitu Perdana 2.0 dan Perdana 2.4. Ia ditawarkan pada harga atas jalan (termasuk GST dan insurans) RM113,888 bagi varian 2.0. Manakala 2.4 pula berharga RM138,888. Kedua-duanya turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu).

    Seperti yang sedia maklum, Proton telah menjalinkan usahasama dengan Honda bagi ‘melahirkan’ Perdana 2016 ini. Di mana Perdana 2016 ini dibina berasaskan model Honda Accord (CP)2007. Kalau diikutkan, ia merupakan konsep ‘rebadged’ yang diberikan suntikan tersendiri bagi rekaan luarannya, namun masih menggunakan elemen yang sama bagi organ dalam hudnya termasuk penjana kuasa dan transmisi.

    Di mana Perdana 2.4 digandingkan dengan enjin Honda K24Z 2.4 liter i-VTEC DOHC empat-silinder untuk varian 2.4L dengan kuasa sehingga 178 hp pada takat 6,500 rpm dan tork puncak 222 Nm pada takat 4,300 rpm. Manakala varian 2.0L dengan enjin Honda R20A 2.0 liter i-VTEC SOHC empat-silider dengan hamburan kuasa 154 hp pada takat 6,300 rpm dan tork sehingga 189 Nm pada takat 4,300 rpm. Kedua-dua varian ini juga menggunakan kotak gear automatik lima-kelajuan, juga dari Honda.

    Pada bulan Ogos lalu pula, giliran Proton Persona 2016 pula dilancarkan. Dengan perubahan imej yang boleh dikatakan agak drastik, Persona 2016 ini juga boleh dianggap sebagai Iriz versi sedan. Senarai pilihan bagi variannya adalah Persona 1.6 Standard (MT) yang berharga RM46,350, Persona 1.6 CVT (RM49,350), Persona 1.6 Executive CVT (RM55,350-solid/RM55,800-metalik) dan Persona 1.6 Premium CVT (RM59,350-solid/RM59,800-metalik).

    Persona 2016 ini hadir dengan enjin 1.6 liter VVT petrol dengan teknologi injap bervariasi (Variable Valve Timing atau VVT), penggunaan bahan api pada enjin ini didakwa mampu memberikan penjimatan sekitar 10% bagi versi transmisi automatik dan 13% bagi versi transmisi manual (dengan purata kelajuan pemanduan 90 km/j), jika dibandingkan dengan Persona generasi terdahulu yang dilengkapi enjin 1.6 liter Campro IAFM.

    Enjin yang digunakan secara mekanikalnya sama dengan enjin 1.6 liter pada Proton Iriz berkuasa 107 hp pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 4,000 rpm. Angka kuasa mungkin kelihatan sama, tetapi menurut Proton ia telah ditala agar sesuai bagi penggunaan sebuah sedan. Begitu juga dengan kotak gear CVT, walaupun ia diambil terus dari Iriz, tetapi ia telah ditala semula agar lebih lancar dan linear ketika memecut.

    Tidak mahu menunggu lama untuk memperkenalkan ‘buah tangan’ baharunya, Proton melancarkan Saga 2016 pada September lalu. Empat varian ditawarkan untuk model baharu bermula dengan varian asas 1.3L Standard manual (RM36,800) dan 1.3L Standard CVT (RM39,800), varian pertengahan 1.3L Executive CVT (RM42m800) serta varian tertinggi 1.3L Premium CVT (RM45,800).

    Saga 2016 ini dijana enjin 1.3 liter VVT yang diambil dari Iriz berkuasa 94 HP dan tork maksima 120 Nm, menggantikan enjin 1.3 liter Campro IAFM+ pada model sebelum ini. Hanya varian standard menerima pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan CVT automatik, manakala varian lain hanya dipadankan dengan transmisi CVT.

    Di bawah ini lambakan galeri barisan model baharu yang telah dilancarkan oleh Proton khas untuk tatapan anda. Malah ketiga-tiga model tersebut juga telah kami pandu uji untuk mengetahui dan membongkarkan prestasi, kelebihan dan kelemahannya. Untuk mengetahui ulasan pandu uji tersebut, sila klik pada pautan berikut iaitu Perdana 2016, Persona 2016 dan Saga 2016. Dan jangan lupa, nantikan kemunculan Proton Ertiga yang dijangka bakal dilancarkan sebelum Disember 2016 mengambil tempat.

    GALERI: Proton Perdana 2016

    GALERI: Proton Persona 2016

    GALERI: Proton Saga 2016

     
     
  • MRT fasa pertama Sungai Buloh-Kajang ikut jadual; bersedia untuk mula operasi pada 16 Disember ini

    MRT Testing Semantan

    Fasa pertama projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang (SBK) setakat ini mengikut jadual dan peruntukkan bajet. Laluan berkenaan dijangka akan memulakan operasinya pada 16 Disember ini, seperti dilaporkan Bernama.

    “Dengan pelaksanaan projek MRT ini, selain daripada memantapkan pengangkutan awam darat, ia akan turut membuka peluang perniagaan yang baharu, sekali gus meletakkan imej Kuala Lumpur sebaris dengan bandar raya utama di dunia.

    “Tambang MRT Laluan 1 telah dipertimbangkan dan diluluskan oleh Kabinet dan akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Prasarana selaku pengendali perkhidmatan MRT ini,” jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri di dalam satu kenyataan.

    Sebanyak 120 bas pengantara akan disediakan melalui 26 laluan sekitar 12 stesen untuk Fasa 1, iaitu dari stesen Sungai Buloh hingga ke Stesen Semantan. Kira-kira 400,000 orang dianggarkan akan menggunakan laluan MRT SBK sebaik sahaja ia mula beroperasi sepenuhnya pada Julai 2017.

    “Secara umumnya, reaksi rakyat terhadap projek MRT Laluan 1 ini semakin positif kerana mereka melihat projek itu bukan sahaja membantu warga kota dari segi pengangkutan awam darat, malah dari segi peningkatan nilai hartanah yang begitu ketara terutamanya di kawasan sekitar stesen MRT,” kata Nancy.

    Dijangka 529,000 pengguna pula akan menggunakan laluan itu setiap hari apabila laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) mula beroperasi pada tahun 2022.

     
     
  • Laluan di Jalan Kepong ditutup selama dua bulan

    jalan-pahang-lane-closure

    Bermula Rabu ini, sebahagian lorong di Jalan Kepong arah ke Sungai Buloh dan juga arah ke Jinjang akan ditutup dari 16 November hingga 16 Januari tahun depan. Ini bertujuan untuk kerja-kerja mengalihkan kelengkapan perkhidmatan telekomunikasi, memetik laporan Bernama.

    Menurut kenyataan daripada MMC Gamuda Sdn Bhd, penutupan sebahagian daripada laluan di jalan berkenaan akan bermula dari 11pm hingga 5am setiap hari. Ia akan bermula dari lorong paling kiri Jalan Kepong arah ke Jinjang, di persimpangan Jalan Metro Perdana Barat, bagi jarak 200 meter bermula 16 November hingga 16 Disember.

    “Ini turut melibatkan penutupan lorong paling kiri sepanjang Jalan Kepong selepas simpang Jalan Metro Perdana Timur bagi jarak 600 meter hingga simpang Jalan Metro Perdana Barat memasuki Laman Rimbunan Business Centre.

    “Lorong paling kiri Jalan Kepong selepas persimpangan Jalan Metro Perdana Barat sehingga Tomorrow Furniture Sdn Bhd dalam jarak 150 meter,” memetik kenyataan itu.

    Sementara itu, penutupan lorong paling kanan sepanjang Jalan Kepong (arah ke Sungai Buloh dan ke Jinjang) selepas Pintasan Segambut bagi jarak 400 meter akan bermula pada 17 Disember hingga 16 Januari. Ini turut melibatkan penutupan sepanjang Jalan West Road bagi jarak 70 meter dan Jalan Jinjang Utara (berdekatan Wisma MCA) dalam tempoh yang sama.

    MMC Gamuda juga memaklumkan akan berlaku lanjutan penutupan satu lorong bagi jarak 300 meter sepanjang jalan Cempaka dari 16 November hingga 7 Februari tahun depan, 24 jam setiap hari. “Penutupan ini pula adalah untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pemotongan dahan dan pembersihan tapak, serta mengalihkan paip,” tambah kenyataan itu.

    Selain itu, terdapat beberapa lagi penutupan lorong lain dalam tempoh sama; 200 meter sepanjang Persiaran Dagangan (dikedua-dua arah, 10pm – 6am); jalan keluar dari stesen Shell di Persiaran Industri (arah Kepong) dari 16 November hingga 17 Februari, 24 jam sehari dan penutupan sepanjang 500 meter sepanjang Jalan Kuala Selangor (arah Sungai Buloh dan Kepong) dari 18 hingga 28 Februari, 10pm hingga 6am.

     
     
  • Hyundai Creta dipertingkat untuk pasaran Brazil

    hyundai-creta-1-e1479109936885_bm

    Selain dari model konsep trak pikap Creta STC, Hyundai turut memperkenalkan versi tingkat taraf model asal SUV segmen-B Creta di Sao Paolo Auto Show 2016. Kemunculan sulung versi yang disegarkan untuk peringkat global ini dilihat tampil berbeza dari model-model pasaran India dan China.

    Walaupun baharu sahaja diperkenalkan tahun lalu, Creta kini menerima gril rekaan baharu dengan saiz yang lebih besar dan kemasan krom yang mengelilinginya kini berhubung dengan lampu hadapan. Lampu kabusnya pula kini direka melintang dengan bentuk yang lebih bulat. Skid plate hadapan pula juga lebih besar dengan meliputi sekali liang kemasukan udara bahagian bawah.

    Bentuk lampu belakang kekal tetapi posisi lampunya kini disusun semula serta lampu membelok dan lampu undur kini lebih besar. Bampar belakang juga mendapat sentuhan semula dengan kemasan plastik berwarna hitam yang lebih besar. Ia turut diberikan roda aloi 17-inci baharu.

    Hyundai Creta dilengkapi dengan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, kawalan kelajuan, paparan pelbagai-info Supervision, penghawa dingin automatik dan liang pada bahagian belakang, tempat duduk hadapan berliang, kamera undur dan sistem navigasi dengan sokongan Apple Carplay dan Android Auto.

    Untuk keselamatan pula, Creta hadir bersama enam-beg udara, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX serta sistem pemantau tekanan angin tayar.

    Di Brazil, Creta dijana dengan dua pilihan enjin iaitu petrol 1.6 liter NA D-CVVT berkuasa 130 PS/163 Nm, dan juga enjin 2.0 liter berkuasa 166 PS/201 Nm. Untuk model 1.6 liter, kuasa enjin memacu roda hadapan menerusi pilihan dua kotak gear sama enam-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik, manakala untuk versi 2.0 liter, ia hanya hadir dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

     
     
  • GALERI: Toyota C-HR – gambar perincian tambahan

    2016-toyota-c-hr-exterior-dynamic-bm-01

    Toyota C-HR kini bukan lagi nama yang terlalu asing tentunya. Meruapakan sebuah penawaran kenderaan crossover daripada Toyota dan diperkenalkan pada Mac lalu, semakin banyak perinciannya didedahkan kini. Ini terutama sekali model yang dijual untuk pasaran seperti UK, Jepun dan Australian.

    Di Jepun, Toyota C-HR mula dijual bulan ini, dan ditawarkan dengan empat varian iaitu G dan S bagi sistem hibrid 1.8L serta G-T dan S-T dengan penjana kuasa 1.2L turbo.

    Model ini dibina berasaskan platform TNGA (Toyota New Global Architecture) dengan dimensi 4,350 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,550 mm tinggi, dengan jarak roda 2,640 mm. Untuk membayangkan saiznya, ia 56 mm lebih panjang dan 23 mm lebih lebar dari Honda HR-V, tetapi 55 mm lebih rendah. Jarak roda C-HR juga 30 mm lebih panjang.

    Bagi pasaran Australia pula, model ini dijangka akan mula dijual di sana pada suku pertama 2017, dan akan ditawarkan dengan dua gred premium iaitu Active dan Koba, yang diilhamkan daripada nama ketua jurutera global C-HR, Hiroyuki Koba.

    Malah terdapat lapan warna luaran pilihan akan ditawarkan, termasuk warna baharu Radiant Green. Ia juga dijanakan oleh enjin 1.2 liter turbo dengan janaan kuasa 115 PS dan tork maksima 185 Nm serta digandingkan dengan kotak gear sama ada enam-kelajuan manual atau CVT automatik, serta pilihan pacuan hadapan atau pacuan semua roda (AWD).

    Bergantung kepada pasaran ia bakal dijual, ada tiga pilihan janaan kuasa yang ditawarkan, termasuk versi hibrid. Yang pertama, enjin 8NR-FTS 1.2 liter turbo empat silinder (sama seperti yang digunakan pada model Auris facelift) seperti yang dinyatakan di atas yang dipadankan dengan sistem transmisi CVT atau Intelligent Manual Transmision enam-kelajuan.

    Kedua, enjin 2.0 liter dengan CVT; kemungkinan besar menggunakan enjin sama yang ada pada Altis, dengan output 147 PS dan 187 Nm. Dan ketiga, model hibrid yang diwarisi dari Prius; enjin 1.8 liter VVT-i Kitara Atkinson empat silinder dan motor elektrik. Berikut ialah gambar-gambar baharu yang lebih lengkap dan terperinci untuk tatapan anda.

     
     
  • HSR S’pura-KL jadikan SNCF Perancis sebagai rujukan

    kl-singapore hsr mou

    Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang kini telah pun memasuki fasa kedua, dengan tren pertama dijadual beroperasi pada 2026, memendekkan masa perjalanan kepada 90 minit pada kelajuan lebih 300 km/sejam.

    Menurut Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, bagi projek HSR antara kedua-dua negara jiran ini, pengalaman syarikat kereta api kebangsaan Perancis SNCF dalam HSR di Eropah, dan operasi merentas sempadan telah dijadikan sebagai rujukan terbaik, laporan Bernama.

    Katanya lagi, menerusi HSR, pengguna akan memikirkan Kuala Lumpur (KL)-Singapura sama seperti mereka memikirkan London-Paris, Seoul-Busan, Taipei-Kaohsiung, Shanghai-Nanjing, atau Tokyo-Osaka.

    Di mana SNCF telah mengendalikan lebih 2,000 km laluan HSR iaitu enam kali lebih panjang daripada HSR KL-Singapura sejauh 350 km. Operasi SNCF disambung kepada hampir 8,000km laluan klasik dengan Train a Grande Vitesse (TGV) atau kereta api laju, untuk meneruskan perjalanan mereka. Terdapat dua ratus stesen di Perancis, serta 50 stesen lain di negara Eropah.

    Hitachi Super Express

    HSR KL-Singapura menawarkan tiga perkhidmatan iaitu perkhidmatan ekspres 90 minit antara Bandar Malaysia-Singapura, perkhidmatan ulang-alik domestik yang akan berhenti di stesen transit di Malaysia serta perkhidmatan ulang-alik di antara Iskandar Puteri dan Singapura. Dianggarkan 100,000 penumpang menggunakan perkhidmatan HSR KL-Singapura setiap hari.

    Menurut MyHSR Corp yang bertanggungjawab membangunkan dan mempromosikan projek HSR, penumpang HSR KL-Singapura hanya perlu menjalani pemeriksaan CIQ sekali sahaja iaitu ketika berlepas. Untuk memudahkan perjalanan dengan pantas dan lancar, kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju menyediakan kemudahan CIQ di tiga lokasi iaitu Singapura, Iskandar Puteri dan Kuala Lumpur.

    Keseluruhan proses pelepasan kastam bagi penumpang dijangka lebih pendek daripada jika mereka menggunakan kemudahan penerbangan. Bagi HSR KL-Singapura, semua stesen akan dibangunkan supaya bersepadu dengan sistem pengangkutan awam tempatan bagi memastikan perjalanan yang lancar.

    Lapan stesen HSR meliputi terminal dalam Bandar Malaysia dan Singapura dan enam stesen perantaraan di Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

    Dalam masa yang sama, Duta Besar Malaysia di Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris mengesahkan, pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rakan sejawatannya dari Jepun Shinzo Abe yang bakal berlangsung pada Rabu ini juga akan mengadakan perbindangan mengenai HSR, memandangkan negara matahari terbit itu sudah pun mempunyai pengalaman yang luas dalam perkhidmatan ini.

     
     
  • Honda patenkan ‘tinted’ maya kawalan jari

    honda-window-patent_bm

    Honda baharu sahaja mempatenkan filem penapis haba maya dan mungkin akan digunakan untuk kereta-kereta produksinya. Sebelum ini, penggunaan cermin tingkap electro-photochromic telahpun digunakan dalam industri automotif.

    Honda menggunakan teknologi berkenaan untuk membina sistem filem penapis haba maya yang boleh mengawal kawasan yang diperlukan untuk menapis haba, dengan hanya menggunakan jari.

    Tujuan utama sistem ini dibuat adalah untuk tujuan keselamatan di mana ia hanya boleh digunakan ketika kenderaan tidak bergerak sementara pergerakan pinch akan digunakan untuk mengawal parameter lain untuk filem penapis haba ini.

    Walaupun imej gambarajah untuk fail paten ini hanya menunjukkan cermin tingkap bahagian sisi, ia berkemungkinan akan turut digunakan pada cermin hadapan bagi memberikan fungsi seperti sun visor untuk menghalang silau dari cahaya matahari.

     
     
  • Hyundai Creta STC – sebuah trak pikap konsep baharu

    hyundai-creta-stc-2-e1479098910804-850x405

    Dengan perkembangan terbaharu ini, nampaknya Hyundai kelihatan sangat serius untuk memasuki pasaran trak pikap dunia; jenama dari Korea itu memperkenalkan model Hyundai Creta STC ketika pameran automotif Sao Paolo 2016, Brazil. Ia sebuah model konsep trak pikap terbaharu yang dihasilkan, mengikut jejak langkap pengenalan model konsep Santa Cruz di Detroit sebelum ini.

    Ia diasaskan daripada model cross-over segmen B sebelum ini, Hyundai Creta. STC yang terpampang pada namanya bermaksud Sport Truck Concept, dengan dimensi 4.65 meter panjang 1.85 meter lebar dan 1.63 meter tinggi, dengan jarak antara roda 2.8 meter.

    Jika dibandingkan dengan model Creta, trak pikap ini 38 cm lebih panjang dan 7 cm lebih lebar, sementara jarak antara rodanya ialah 21 cm lebih panjang. Dalam warna hijau terang, ia kelihatan sangat menyerlah dengan lampu utama LED yang lebih tirus, juga rekaan gril baharu yang menonjol. Di belakang, reka bentuk lampu LED sekali lagi memberikan imej yang segar.

    Trak konsep ini menjadi lebih unik dengan penggunaan suicide doors. Ruang barangan di belakang pula berkeluasan 1.30 meter panjang, 1.29 meter lebar dengan kedalaman 0.51 meter. Belum ada perincian spesifikasi yang didedahkan. Namun begitu, jika pada model Creta sebelum ini, ia menggunakan enjin 1.6 liter dan 2.0 liter petrol serta enjin diesel 1.4 liter dan 1.6 liter sebagai pilihan. Semuanya dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

     
     
  • VIDEO: Teknologi enjin FreeValve tanpa aci sesondol diperincikan sendiri oleh pengasas Koenigsegg

    April lalu di Beijing Auto Show 2016, syarikat subsidiary Koenigsegg, Freevalve AB telah mengumumkan kerjasama mereka bersama pembuat automotif dari China iaitu Qoros Auto. Hasil kerjasama dari kedua-dua pihak ini telah membawa kepada pembangunan seterusnya teknologi Penggerak Pneumatik Hidraulik Elekrik (Pneumatic Hydraulic Electric Actuator – PHEV) Freevalve dan enjin “Qamfree” untuk Qoros.

    Menerusi episod terbaharu Drive/Inside Koenigsegg, pengasas syarikat pembuat hypercar dari Sweden tersebut, Christian Von Koenigsegg menerangkan sendiri bagaimana enjin berkenaan berfungsi dan kelebihannya berbanding enjin dengan aci sesondol konvensional.

    Untuk permulaan, kepala silinder untuk enjin Qoros 1.6 liter turbo versi konvensional dan versi Freevalve diletakkan secara bersebelahan. Versi asal enjin Qoros ini dibangunkan di Jerman dan Austria kira-kira lima tahun lalu, tanpa sistem suntikan bahan api terus menjana 160 hp/240 Nm.

    Dlihat secara kasar, kepala silinder Freevalve 15 mm lebih rendah dari kepala silinder biasa kerana ia tidak mempunyai aci sesondol diatasnya. Ia juga lebih kompak dengan 17 mm lebih pendek dan juga kurang lebar kerana tiada mekanisma untuk memutarkan aci seseondol, seperti pulley, tali/rantai pemasa (timing belt/timing chain) dan sebagainya. Jadi, secara keseluruhan enjin ini 15-20 kg lebih ringan bergantung kepada spesifikasi berbanding enjin biasa.

    Komponen-komponen tersebut digantikan dengan teknologi PHEV, yang membolehkan setiap bukaan injap kemasukan (intake valve) dan bukaan injap ekzos (exhaust valve) dikawal sepenuhnya oleh sistem pengurusan enjin dan digerakkan dengan komponen sistem pneumatik, hidraulik dan elektrik pada bahagian atas injap-injap tersebut, pada setiap lejang semasa enjin tersebut beroperasi.

    Kesemua injap berkenaan dapat dikawal secara individu sama ada darjah bukaannya, tempoh tertutup sepenuhnya mahupun untuk ditahan pada darjah bukaan tertentu. Liang kemasukan juga dibina berasingan untuk setiap injap (kemasukan dan ekzos) dan tidak lagi hanya satu liang kemasukan dan satu liang ekzos untuk setiap silinder pada enjin biasa. Liang-liang berkenaan turut mempunyai bentuk berbeza untuk memberikan putaran kemasukan dan pengeluaran asap ekzos yang berbeza bergantung pada situasi. Ini memberikan peningkatan secara drastik pada pembakaran dalam kebuk.

    Liang ekzos individu berkenaan juga membolehkan gas ekzos dibahagikan kepada dua bahagian iaitu satu terus keluar ke muncung ekzos, manakala bahagian satu lagi dihalakan terus ke pengecas turbo. Dengan cara ini dan juga pergerakkan injap ekzos yang boleh dikawal secara individu, pergerakan dan tekanan boost turbo kini tidak lagi perlu dikawal menggunakan wastegate. Back pressure untuk gas ekzos yang keluar juga dapat direndahkan dengan mengawalnya menggunakan injap ekzos pada kepala silinder, membolehkan suhu ekzos dan suhu catalytic converter dikawal bagi memudahkan enjin dihidupkan pada suhu sejuk, malah penggunaan pre-catalytic converter juga dapat disisihkan.

    Dengan setiap injap kemasukan boleh dikawal secara individu, enjin ini tidak lagi memerlukan unit throttle body. Pedal pendikit dihubungkan terus kepada injap kepala silinder, bermaksud kadar kelajuan enjin kini dikawal sepenuhnya oleh bukaan injap kemasukan. Jadi, dengan tiadanya unit throttle body berkenaan, enjin ini bukan sahaja lebih ringkas dan ringan, malah kehilangan kuasa yang terjadi pada bahagian berkenaan kerana udara dengan tekanan atmosfera terus masuk ke kebuk pembakaran tanpa berlegar terlebih dahulu pada bahagian plenum kemasukan. Ini sahaja telah pun menjimatkan sekitar 4-5% penggunaan bahan api secara keseluruhan.

    Buat masa sekarang, enjin turbo tanpa aci sesondol ini beroperasi dengan nisbah mampatan 12:1 dan mungkin akan meningkat kepada 14:1 pada masa akan datang. Angka ini sebenarnya agak tinggi untuk sebuah enjin turbo kerana pada enjin turbo biasa dengan kapasiti yang sama dengannya hanya beroperasi dengan nisbah mampatan sekitar 9:1. Dengan nisbah mampatan yang tinggi ini membolehkan enjin berkenaan berfungsi dengan efisien hanya menggunakan sistem suntikan bahan api tidak terus yang lebih ringkas dan murah.

    Enjin ini juga tidak memerlukan sistem suntikan bahan api terus yang boleh merendahkan suhu pada kebuk pembakaran kerana ia boleh dibuat menerusi bentuk kemasukan udara kedalam kebuk yang boleh dikawal.

    Hasil dari kesemua teknologi ini, enjin 1.6 liter empat silinder berkenaan kini mampu menghasilkan kuasa 45% lebih besar dan tork dilonjakkan 47% lebih kuat, memberikan bacaan keseluruhan 240 hp/320 Nm berbanding jumlah asal 160 hp/240 Nm. Kecekapan bahan api pula kini meningkat kepada 15%. Kadar emisi untuk enjin 35% lebih baik dari sebelum ini, dimana ia disumbangkan menerusi sistem penghidup ketika sejuk yang lebih efisien tanpa memerlukan campuran udara dan bahan api yang terlalu ‘rich‘.

     
     
  • Yamaha Lifestyle Point dibuka di Kuantan – pertama seumpamanya di Malaysia, lebih lagi akan ditambah

    yamaha-kuantan-bm-15

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd baru sahaja membuka sebuah pusat gaya hidup Yamaha di Kuantan, Pahang, demi memberikan servis yang lebih baik kepada penggunanya di sana. Pusat ini digelar sebagai Yamaha Lifestyle Point dan adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.

    Menurut pengarah urusan HLYM, Datuk Jim Khor, pusat ini dibuka untuk memberikan sokongan servis selepas jualan, alat ganti dan jualan barangan rasmi Yamaha. Selain itu, ia juga menempatkan pusat latihan dan pengetahuan bagi pengedarnya dan mempunyai ruang yang luas untuk pemilik motosikal Yamaha mengadakan aktiviti di situ. Satu perkara yang tidak dilakukan di pusat ini adalah jualan motosikal kerana HLYM menyerahkan tugas ini kepada pengedarnya.

    yamaha-kuantan-bm-4

    Pada bahagian pameran, selain motosikal, HLYM turut meletakkan barangan Yamaha Music dan pelbagai jentera lain termasuk jet ski dan ATV. Model yang dipamerkan adalah model yang terbaru dan HLYM akan memastikan tempat ini sentiasa menarik dan menjadi perhatian kepada orang ramai.

    Tambah Jim, HLYM akan membuka lebih banyak pusat seperti ini dan ia akan membawa imej korporat baru Yamaha. Selain ruang dalam bangunan, mereka juga melihat kepada ruang yang luas di bahagian luar supaya pemilik dapat melakukan aktiviti di sini. Oleh sebab itu, ia akan mengambil sedikit masa kerana bukan semua fasiliti yang mereka ada sekarang mempunyai kriteria tersebut.

    Bagi yang pertama ini, ia terletak di Lot 27, Lorong Padang Lalang 8, 25050 Kuantan, Pahang. Ia dibuka dari hari Isnin hingga Jumaat, jam sembilan pagi hingga enam petang. Sabtu, Ahad dan cuti umum, ia ditutup.

     
     
  • Tayar Westlake dari China diperkenalkan di Malaysia

    westlake-tyres-malaysia-launch-25-850x563

    Westlake Tyre, sebuah jenama tayar baharu dari China kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Merupakan sebahagian daripada Zhongce Rubber Group, syarikat berkenaan telah menubuhkan pejabat pemasarannya di Malaysia untuk memperkembang jenama itu di sini.

    Bagi pasaran tempatan, Westlake mensasarkan 85% tayar yang akan dijual akan dikilangkan di Thailand atas sebab-sebab kos dan juga struktur cukai. Beberapa model yang lebih tinggi pula akan dikeluarkan di China.

    “Kami berbangga untuk menjadi pengimport tunggal bagi tayar-tayar Westlake, yang terdiri daripada barisan produk dengan kualiti premium pada harga yang berpatutan. Tahun depan, kami merancang untuk melancrkan lebih banyak tayar untuk memenuhi permintaan yang lebih tinggi,” jelas Pengarah Urusan Westlake Marketing Malaysia, Tan Heong Thong.

    Di China, Westlake merupakan pembekal OEM bagi pengluar kenderaan seperti Geely, BYD, Changan, Suzuki, Land Rover dan Volvo. Syarikat itu juga mempertimbang untuk membekalkan tayar bagi pengeluar kenderaan yang ada di Malaysia, walaupun tidak dinamakan setakat ini.

    Setakat ini, Westlake Malaysia mendakwa mempunyai 300 kedai tayar yang menjual barisan produk mereka di seluruh negara. Selain itu juga, jenama berkenaan turut mempunyai dua kedai konsep yang sudah beroperasi, satu di Terengganu dan satu lagi di Sungai Petani.

    Syarikat itu merancang untuk membuka 10 lagi kedai konsep tahun depan. Westlake mempunyai barisan produk yang pelbagai, daripada tayar untuk kereta penumpang, SUV, 4×4, trak ringan, trak perdagangan hinggalah kepada tayar untuk kegunaan industri dan sektor pertanian.

     
     
  • Perak bakal miliki litar lumba dalam bandar pintar

    tcity-03

    Perak bakal menjadi negeri pertama yang membangunkan perbandaran bersepadu moden bertemakan sukan permotoran tidak lama lagi. Dikenali sebagai T-City, projek mega bertaraf antarabangsa itu akan dibangunkan oleh Goodland Group Limited dan Citrine Capital Pte Ltd, di tapak seluas 184.5 hektar.

    Dengan jangkaan nilai pembangunan kasar (DGV) RM15.1 bilion, pembangunan perbandaran bersepadu moden itu bakal memantapkan kedudukan Perak dan sekali gus menjana pertumbuhan berganda ekonomi negeri serta negara.

    Menurut Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, projek yang dirancang sejak tiga tahun lalu itu turut disokong Majlis Ekonomi Negara, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mahu ia berjaya, laporan Bernama.

    “T-City menerapkan konsep bandar pintar, melibatkan tiga fasa pembangunan dengan lima tunjang utama termasuk kemudahan sukan permotoran dan hab hiburan. Tunjang lain termasuk pusat automotif, rangkaian perusahaan runcit dan makanan, hotel dan pangsapuri perkhidmatan serta kondominium,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek T-City, semalam.

    Menurut Zambry lagi, fasa pertama projek melibatkan kawasan seluas 80.9 hektar, yang antara lain meliputi pembinaan litar perlumbaan Formula 2 (F2) pertama di Malaysia, yang dijangka dibuka Jun depan.

    Projek ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 15 ke 20 tahun dan berharap ia dapat mengadaptasi perubahan pantas pasaran dunia.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025