Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BAIC D20 tiba di Malaysia – pilihan enjin 1.3L dan 1.5L

    baic_d20_ext-1bm

    Sebagai tambahan kepada model EV200, BAIC juga memperkenalkan model berenjin petrol dikenali sebagai D20. Pelancaran model ini dijangka berlaku lebih awal berbanding EV200 tahun hadapan dan kini sudah menerima status kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh kerajaan.

    Hasil usaha sama dengan sebuah syarikat tempatan, Amber Dual Sdn Bhd, BAIC D20 akan dipasang di Gurun, Kedah. Dua pilihan enjin berstatus Euro 5 akan disediakan untuk pasaran Malaysia iaitu 1.3 L berkuasa 100 hp/ 128 Nm dan 1.5L yang mampu menghasilkan kuasa 114 hp dan 148 Nm tork. Kuasa ini kemudiannya disalurkan kepada dua roda hadapan.

    Bagi model berenjin 1.3L, ia datang bersama satu pilihan transmisi sahaja iaitu manual lima kelajuan dan dinamakan sebagai varian Comfort 5MT manakala model berenjin 1.5L pula akan ditawarkan dalam dua varian transmisi manual; Comfort 5MT dan Fashion 5MT, dan dua pilihan varian automatik; Comfort 4AT dan Fashion 5MT. Bagi semua varian ini, anda boleh memilih sama ada badan berbentuk hatchback ataupun sedan.

    baic_d20_ext-3bm

    Secara asasnya, BAIC D20 mempunyai ukuran 4,040 mm panjang, 1,720 mm lebar, 1,503 mm tinggi dan jarak roda 2,500 mm. Brek hadapannya menggunakan unit cakera manakala belakang pula daripada jenis dram. Suspensi hadapan D20 adalah daripada jenis MacPherson manakala bahagian belakang pula daripada jenis torsion beam H-type.

    Perbezaan di antara varian yang boleh dilihat pada bahagian luar adalah rim 14 inci besi yang digunakan pada varian 1.3L 5MT Comfort, sementara varian lain menggunakan rim aloi 14 inci dan cermin hadapan kalis UV. Varian Fashion (5MT dan 4AT) juga mendapat tambahan bumbung suria.

    Pada bahagian dalam pula, kelengkapan ekstra yang ada pada varian Fashion (5MT dan 4AT) adalah termasuk kamera undur, kunci alat pengawal jauh, stereng tiga kaki, enam pembesar suara, skrin paparan sistem hiburan 6.5 inci, lampu utama dan pengelap cermin automatik, serta cermin sisi yang boleh dilipat secara elektronik.

    Dari aspek keselamatan pula, semua varian D20 dilengkapi dengan brek ABS dan EBD, dua beg udara di hadapan, stereng boleh ditarik, immobilizer enjin, sistem penggera, lampu siang, lampu kabus belakang dan cangkuk ISOFIX. Selain amaran untuk tali pinggang hadapan, varian Fashion juga akan ditambah dengan amaran tali pinggang belakang.

    Keseluruhannya, terdapat tujuh warna untuk BAIC D20 iaitu perak, putih, emas, merah, biru, oren dan hitam. Semua ini adalah spesifikasi yang didapati untuk D20 pasaran antarabangsa dan untuk Malaysia, kita masih perlu menunggu pelancaran rasminya nanti untuk mengetahui lebih lengkap, bersama harganya.

     
     
  • BAIC EV200 dipertonton di Malaysia Auto Show – kenderaan EV pertama M’sia, dipasarkan tahun depan

    baic_ev200_ext-1bm

    Biasanya, pada sesuatu pameran, model yang akan berada paling hadapan adalah model yang penting, dan bagi pengunjung Malaysia Autoshow yang kini sedang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC), anda akan disambut oleh BAIC EV200.

    Ia adalah kenderaan elektrik (EV) pertama yang dipasang di Malaysia dan merupakan satu produk usaha sama antara Beijing Auto International Corporation (BAIC) dan sebuah syarikat Malaysia iaitu Amber Dual Sdn Bhd. Bagi model pemasangan tempatan ini, ia berbentuk sebuah sedan dengan lima tempat duduk dan sebenarnya diasaskan daripada model hatchback sedia ada BAIC EV200. Badannya mempunyai tinggi 4,025 mm, lebar 1,720 mm dan tinggi 1,503 mm. Jarak roda pula adalah 2,500 mm.

    Motor elektrik buatan Broad Ocean EV yang digunakan untuk menggerakkan kenderaan ini mempunyai kuasa sebanyak 30 kW dan 102 Nm tork, dan ia datang daripada bateri jenis lithium-ion berkapasiti 30.4 kWh. Untuk mengecas bateri ini, ia akan mengambil masa selama enam hingga lapan jam (220V), tetapi jika pengecas jenis pantas digunakan, dalam masa 1 jam 45 minit sahaja, ia sudah boleh penuh.

    BAIC EV200 akan dipasarkan di Malaysia pada tahun 2017 dan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Relaxing Version, Showy Version dan Enjoyable Version. Pada bahagian luar, peralatan standard yang akan diberikan adalah rim aloi aluminium 14 inci dan cermin sisi pelarasan elektrik, namun Showy Version dan Enjoyable Version menerima tambahan cermin kalis UV dan cermin sisi boleh dilipat secara elektronik.

    Di dalam, pada bahagian tengah papan pemuka kenderaan ini terdapat skrin kawalan lapan inci dengan sistem navigasi, aplikasi mudah alih dan MP5, dan bagi varian Showy dan Enjoyable, ia akan ditambah dengan paparan penyampaian kuasa kenderaan, compute-display intercommunication, enam pembesar suara dan alat kawalan jauh untuk aplikasi mudah alih. Satu lagi tambahan bagi varian Enjoyable adalah servis VIP Cloud.

     
     
  • Honda BR-V – SUV tujuh-tempat duduk diprebiu untuk pasaran Malaysia buat pertama kali di MIECC

    honda_brv_bm-2

    Susulan foto spyshot yang kami terima minggu lalu, Honda nampaknya pasti akan melancarkan SUV tujuh-tempat duduk BR-V kepasaran Malaysia. Pada pembukaan Malaysia Autoshow 2016 hari ini yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC), Honda Malaysia sudah mula mempamerkan model berkenaan untuk di prebiu bagi pasaran Malaysia.

    Honda BR-V merupakan SUV yang dibina dari platform MPV tujuh-tempat duduk Honda Mobilio. Ia berdimensi 4,455 mm panjang, 1,735 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula ialah 2,660 mm. Sebagai perbandingan, SUV ini 161 mm lebih panjang, 35 mm kurang lebar dan 45 mm lebih tinggi serta jarak rodanya 50 mm lebih panjang berbanding HR-V.

    Walaupun ia merupakan versi crossover dari Mobilio, BR-V diberikan rekaan luarannya yang tersendiri. Muka hadapan BR-V dengan sepasang lampu hadapan (dengan lampu nyalaan siang) lebih bersegi digabungkan dengan rekaan signatur Honda Solid Wing, bampar hadapan yang kelihatan lebih lasak serta penutup enjin dan lampu kabus baharu, membezakan terus rupanya dari Mobilio.

    honda_brv_bm-4

    Begitu juga pada bahagian belakang, BR-V menerima lampu belakang, pintu tailgate serta bampar yang tidak sama seperti Mobilio. Untuk melengkapkan rupa sebuah SUV, BR-V turut menerima kemasan ala-skid plate pada bampar hadapan dan belakang, rel bumbung, roda aloi bersaiz 16-inci dengan tayar berprofil tinggi serta kelegaan tanah yag dipertingkatkan.

    Honda Malaysia hanya mempamerkan bahagian belakang SUV ini sahaja sementera bahagian hadapan kabi ditutup dan semua cermin hadapan diberikan filem penapis yang sangat tebal. Walau bagaimanapun, jika bedasarkan model-model pasaran negara ASEAN lain, bahagian bahagian pemuka BR-V adal seiras dengan Mobilio.

    Ia menampilkan roda stereng tiga jejari, pemain audio dua-DIN serta penghawa dingin manual. Tempat duduk baris kedua boleh dilipat dengan nisbah 60:40 manakala untuk baris ketiga pula ia boleh dilipat dengan nisbah 50:50 bagi memberikan ruang kargo berkapasiti 539 liter (223 liter sekiranya tempat duduk tidak dilipat).

    Barisan ketiga tempat duduk BR-V turut diberikan tali pinggan tiga poin, dan menurut Honda ia merupakan tempat duduk barisan terakhir paling selesa dalam kelasnya serta turut menerima liang penghawa dingin untuk kabin belakang.

    BR-V atau ‘Bold Run-about Vehicle’ telah pun menerjah pasaran negara-negara jiran iaitu Indonesia dan Thailand. Ia dijana oleh enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC sama seperti City dan Jazz dengan kuasa 120 hp pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm.

    Enjin berkenaan dipadankan transmisi Earth Dreams CVT, menyalurkan kuasa hanya ke roda hadapan. Di India, BR-V turut ditawarkan dengan enjin diesel 1.5 liter i-DTEC dengan kuasa 100 PS dan tork 200 Nm.

    Honda BR-V yang dilengkapi Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) telah menerima penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP, dengan memperoleh 14.79 mata dari 16 mata penuh bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP). Bagi Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) pula, BR-V berupaya mencakupi 72% pematuhan.

    Masih lagi belum diketahui bila tarikh sebenar BR-V akan dilancarkan dan juga harganya untuk pasaran Malaysia. Namun boleh dijangka, ia mungkin tidak akan dilancarkan dalam masa terdekat kerana sebelum ini Honda Malaysia ada menyatakan mereka hanya akan melancarkan dua model untuk tahun 2016 iaitu Honda Civic generasi kesepuluh dan juga Honda Accord facelift. BR-V juga dijangka dijual pada harga lebih murah dari Honda HR-V.

     
     
  • Proton Iriz edisi terhad dilancarkan – olahan Design Series; 2 varian, enjin 1.3L CVT, harga bermula RM44k

    Proton turut mengambil kesempatan untuk memperkenalkan model Iriz edisi terhad di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa MINES sempena dengan penganjuran Malaysia Autoshow 2016 yang sedang berlangsung dari 10 hingga 13 November 2016.

    Didatangkan dengan dua varian iaitu Iriz 1.3 CVT Standard, dan Iriz 1.3 CVT Executive, model edisi terhad ini dibangunkan dari Proton Design Siries. Ia hadir bersama rekaan lebih menarik dengan menampilkan ‘Honeycomb’ yang ditampilkan pada model berwarna Graphite Grey (kelabu) dan Cotton White (putih). Manakala pilihan rekaan ‘The Stripe’ pula bagi model berwarna Fire Red (merah) dan Blue Atlantic (biru).

    Rekaan pelekat istimewa tersebut ditamplkan pada bahagian hud hadapan, kedua-dua belah sisi dan juga belakang, menampakkan ciri yang lebih sporty.

    Tiada perubahan mekanikal yang dipertaruhkan, ia masih dijanakan oleh enjin yang sama iaitu 1.3 liter empat-silinder VVT baharu yang mampu menyalurkan kuasa maksimum sehingga 94 hp pada 5,500 rpm dan tork 120 Nm pada 4,000 rpm bersama transmisi CVT.

    Proton berkata, edisi terhad yang lebih sporty ini dihasilkan untuk pelanggan yang mahukan perbezaan, dengan citarasa eksklusif, muda, moden dan maju ke hadapan di dalam rentak kehidupannya.

    Dihasilkan hanya sebanyak 2,000 unit sahaja, Iriz edisi terhad ini berharga dari RM44,450 hingga RM49,130 bagi Semenanjung Malaysia. Tempahan dibuka di semua cawangan PROTON di seluruh negara.

     
     
  • Kia Grand Carnival – model diesel 2.2 CRDI untuk pasaran Malaysia didedahkan, tempahan kini dibuka

    kia_grandcarnival_ext-1 BM

    Kia Carnival generasi terbaru sudah pernah dijumpai di Malaysia, dan hari ini, di Malaysia Auto Show, Naza Kia mendedahkan spesifikasi serta perincian untuk model yang akan dijual di Malaysia awal tahun 2017, bersama kereta sebenar yang mengisi ruang utama bahagian pameran Kia.

    Kia Carnival baru ini merupakan model generasi ketiga yang pertama kali diperkenalkan secara global di Amerika Syarikat pada tahun 2014 (juga dikenali sebagai Sedona). Bagi pasaran Malaysia, Naza Kia sebelum ini ada menjual Kia Carnival generasi pertama yang ditukar namanya kepada Naza Ria tetapi generasi kedua tidak dijual.

    Bagi generasi ketiga ini, Naza Kia menamakannya sebagai Grand Carnival dan hanya satu varian sahaja yang akan dijual di Malaysia buat permulaan iaitu yang menggunakan enjin diesel turbo 2.2 CRDI VGT berkemampuan 193 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork pada 1,750 hingga 2,750 rpm. Enjin ini kemudiannya dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan.

    Grand Carnival menyediakan lapan tempat duduk dan varian diesel yang dibawa ke Malaysia ini adalah daripada varian yang tertinggi, melihatkan penggunaan lampu siang LED, rim krom 19 inci dan lampu belakang dengan kombinasi LED. Turut disediakan adalah sistem kemasukan tanpa kunci, pintu gelongsor kuasa elektrik di kedua-dua belah dan pintu but belakang kuasa elektrik. Secara keseluruhannya, Grand Carnival berukuran 5,115 panjang, 1,985 lebar dan 1,755 tinggi. Ini adalah 40 mm lebih panjang berbanding model sebelumnya dan jarak roda pula adalah 3,060 mm.

    Pada bahagian dalam, dua warna utama digunakan iaitu hitam dan coklat, melihatkan papan pemuka, panel pintu dan tempat duduk menggunakan warna tersebut. Bagi tempat duduk barisan kedua, ia boleh dilipat sehingga hampir tegak untuk akses ke ruang belakang, dan sekiranya lebih ruang barangan diperlukan, tempat duduk barisan ketiga juga boleh dilipat untuk menjadi rata.

    Barangan lain yang ada pada Grand Carnival adalah butang pemula, cruise control, lampu hadapan dan pengelap cermin automatik, pengawal suhu automatik, sokongan belakang berkuasa elektrik pada tempat duduk, sambungan Bluetooth, pengesan jarak depan dan belakang, serta kamera undur.

    Dari aspek keselamatan, Grand Carnival dilengkapi dengan enam beg udara, brek ABS, Electronic Stability Control (ESC), Traction Control System (TCS), Brake Assist System (BAS), Hill-start Assist Control (HAC), Electronic Brake Force Distribution (EBD) dan cangkuk ISOFIX.

    Tempahan untuk Kia Grand Carnival kini sudah dibuka dan pemilik akan menerima jaminan selama lima tahun tanpa sebarang had catatan batuan, dengan syarat-syarat tertentu.

    GALERI: Kia Carnival di pameran GIIAS 2016

    GALERI: Kia Sedona pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Volkswagen Passat B8 mula dibuka pra-tempahan – 3 varian, harga bermula RM160k hingga RM199k

    volkswagen_passat_b8_ext-4-bm

    Pelancarannya dijangka bakal berlangsung dalam tempoh seminggu lagi, namun pra-tempahannya telah mula dibuka hari ini. Menurut Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), Passat serba baharu ini bakal ditawarkan dengan tiga varian iaitu Trendline, Comfortline dan Highline, dengan harga bermula RM160,000 hingga RM199,000.00.

    Bagi varian tertinggi iaitu Highline, ia bakal dijanakan oleh enjin 2.0L TSI pengecas turbo dengan padanan kotak gear direct shift (DSG) enam-kelajuan. Ia mampu menjana kuasa yang mengagumkan iaitu 220 PS dan tork 350 Nm daripada 1,500rpm hingga 4,400rpm.

    Manakala varian Trendline dan Comfortline pula dikuasakan oleh enjin 1.8 TSI turbo dan padanan transmisi automatik klac berkembar DSG tujuh-kelajuan. Penjana kuasa ini mampu menghasilkan output maksimum sebanyak 180 PS dan 250 Nm tork.

    volkswagen_passat_b8_ext-7-bm

    Bagi Passat 1.8 TSI Trendline, ia didatangkan dengan rim ‘Aragon‘ 16 inci, lampu kabus hadapan dan belakang serta lampu belakang LED. Pada bahagian dalam pula, tempat duduknya mempunyai pelarasan manual dengan bahagian sokongan tulang belakang juga boleh dilaras, skrin sesentuh warna ‘Composition’ lima-inci, skrin paparan informasi pelbagai warna, stereng dengan pelbagai butang kawalan, butang penghidup enjin, cermin sisi boleh lipat serta pengesan jarak Park Distance Control (PDC) depan dan belakang.

    Selain itu, ia turut didatangkan dengan brek tangan elektrik dengan Auto-Hold, sistem pengesan kecergasan Driver Alert System dan lampu/pengelap cermin automatik. Pendingin hawa pula adalah sistem Climatronic tiga-zon bersama corong tersendiri di belakang.

    Bagi varian 1.8 TSI Comfortline pula, ia memiliki elemen yang sama dengan varian Trendline, cuma ditambahkan dengan beberapa ciri lain termasuk rim-17 inci ‘Istanbul’ (tayar ContiPremiumContact 215/55 R17), lampu utama LED sepenuhnya dan lampu nyalaan siang LED.

    Passat 1.8 TSI Comfortline

    Pada bahagian dalam, varian 1.8 TSI Comfortline mempunyai kelengkapan seperti yang boleh dijangka pada sedan segmen D. Antaranya, ia mempunyai sistem tanpa kunci ‘KESSY’, manakala tempat duduk pula dibalut dengan kulit ‘Vienna‘. Tempat duduknya mempunyai 12-arah pelarasan bersama sistem memori dan urut, dan diperlengkap dengan sistem audio skrin sesentuh 6.5 inci, Park Assist dan kamera undur.

    Peningkatan lain daripada model 1.8 TSI Trendline adalah cruise control dengan pengehad kelajuan, pedal penukar gear di stereng, but berkuasa elektrik (boleh dibuka dengan menghayunkan kaki di bahagian bawah kereta) dan kemasan krom di bahagian papan pemuka.

    Walau pun imej luarannya masih tidak jauh berbeza dengan model 1.8, namun terdapat sedikit perbezaan pada varian tertinggi 2.0 TSI Highline termasuklah rim aloi ‘Dartford‘ 18-inci yang dibaluti tayar ContiSportContact 235/45 R18, kemasan muncung ekzos trapezoid krom dan lencana ‘380 TSI’.

    Passat 2.0 TSI Highline

    Walau bagaimana pun bahagian kabinnya menerima lebih limpahan elemen yang pelbagai, termasuk penghalang cahaya belakang elektrik, Active Info Display, pencahayaan ambien, kemasan kayu ‘Carolina’ (varian lain menggunakan kemasan ‘Silver Diamond’), Lane Assist dan unit media yang lebih maju Discover skrin sesentuh 6.5-inci dengan MirrorLink dan navigasi.

    Casis untuk varian paling berkuasa ini juga mendapat peningkatan, termasuk XDS electronic differential lock dan Dynamic Chassis Control (DCC) serta pilihan mod pemanduan (Eco, Comfort, Normal, Sport, Individual).

    Passat serba baharu ini hadir bersama waranti pengilang selama lima-tahun dan didatangkan dalam tujuh warna iaitu putih (Pure White), hitam (Deep Black), perak (Reflex Silver), kelabu (Indium Grey), merah (Crimson Red), coklat (Black Oak Brown) dan biru (Harvard Blue).

    GALERI: Volkswagen Passat 2.0 TSI Highline

    GALERI: Volkswagen Passat 1.8 TSI Comfortline

     
     
  • Toyota Corolla Altis 2016 dibuka untuk tempahan; tiga varian sebagai pilihan, harga bermula dari RM121k

    Shenzhen Skyline

    UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan bahawa model baharu Toyota Corolla Altis kini dibuka untuk tempahan. Ia menampilkan rekaan yang diperkemas, dengan ciri keselatamatan tambahan; kini tujuh beg udara SRS dan kawasan kestabilan kenderaan (VSC) merupakan ciri standard bagi semua varian Altis yang ditawarkan.

    Varian yang dimaksudkan ialah Corolla ALtis 1.8E, Corolla Altis 1.8G dan Corolla Altis 2.0V. Model versi terbaharu ini masing-masing dijual pada harga permulaan RM120,900, RM123,900 dan RM138,000. Harga-harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan termasuk GST bagi pendaftaran persendirian di Semananjung.

    Toyota Corolla Altis baharu ini juga datang dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan. Jaminan ini boleh dipindah milik kepada pemilik seterusnya selagi ia berada dalam tempoh sah dari tarikh pembelian.

    toyota-altis-2016-pricelist-bm

     
     
  • Honda Jazz Sports Hybrid dipamerkan – teaser sebelum dipasarkan secara rasmi di Malaysia?

    honda_jazz_hybrid-1

    Selepas pelancaran Honda Jazz generasi ketiga untuk pasaran Malaysia dua tahun lalu, tiada lagi kedengaran ura-ura dari Honda Malaysia untuk membawa varian hibrid hatchback segmen-B tersebut ke pasaran Malaysia. Namun, apa yang mengejutkan di booth Honda pada Malaysia Autoshow 2016 hari ini, sebuah Honda Jazz GK Sports Hybrid i-DCD turut dipamerkan dengan pelekat penyamaran.

    Selain menerima pelekat penyamaran pada keseluruhan badan, ia juga turut diberikan filem penapis cermin yang sangat gelap -menyukarkan kami untuk melihat bahagian dalamannya. Namun, pengunjung boleh melihat unit janakuasa hibrid kereta ini kerana hud enjinnya memang dibuka untuk dipamerkan kepada orang ramai.

    Jazz GK hibrid menggunakan unit janakuasa yang berbeza dari model generasi sebelumnya. Unit janakuasa yang digelar Sports Hybrid i-DCD berkenaan menggunakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson berkuasa 110 PS/134 Nm bersama motor elektrik berkuasa 29.5 PS/160 Nm dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion.

    Kuasa dialirkan ke roda hadapan bukan melalui kotak gear CVT, tetapi model ini menggunakan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan. Transmisi ini bukan sahaja memberikan aliran kuasa yang lebih responsif, malah dengan sistem i-DCD ini, Jazz Hybrid kini boleh dipandu dengan mod elektrik sepenuhnya. Mod EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive akan berubah secara automatik berdasarkan situasi pemanduan ketika itu.

    honda_jazz_hybrid-3

    Ia juga turut dilengkapi dengan servo brek elektrik bagi meningkatkan kecekapan proses regenerative braking untuk mengecas semula bateri lithium-ion sistem berkenaan. Kompresor penghawa dingin elektrik sepenuhnya juga diberikan bagi mengurangkan beban pada enjin. Kesemua sistem ini memberikan kecekapan bahan api lebih baik kepada Jazz Hybrid sehingga 35% bagi mencapai bacaan 36.4 km seliter.

    Berdasarkan model Jazz (Fit) Hybrid di Jepun, bahagian luaran model ini adalah seiras dengan varian petrol dengan hanya perbezaan pada emblem. Bahagian dalaman juga kelihatan hampir seiras dengan Jazz V, kecuali tuil penukar gearnya ditukar kepada unit yang lebih pendek dan futuristik.

    Tiada lagi pengumuman rasmi dari Honda sama ada akan memasarkan atau tidak model ini di Malaysia. Tetapi, unit bateri lithium-ion yang terletak di bahagian ruang kargo belakang nampaknya sudahpun diletakkan dengan pelekat-pelakat amaran bukan sahaja dalam bahasa Inggeris dan Thai, malah ia turut hadir dengan amaran berbahasa Melayu.

    Dengan papan tanda “Prototype Sports Hybrid” yang berada di sebelah kereta ini, adakah ia sebuah model ujian pasaran Malaysia yang sudah bersedia untuk di produksi? Jazz GK Hybrid ini juga belum lagi dipasarkan dimana-mana negara di ASEAN termasuk Thai.

    Ada dua kemungkinan di sini. Pertama, Jazz Hybrid untuk pasaran Malaysia akan dipasang di kilang Honda Pegoh, Melaka bagi membolehkan ia menerima penarafan EEV serta mendapat pengecualian cukai agar ia boleh dijual dengan harga yang kompetitif. Manakala untuk pasaran negara ASEAN lain pula akan di pasang Thailand.

    Kemungkinan kedua pula, kilang Honda Malaysia akan memasang Jazz Hybrid ini bukan sahaja untuk pasaran Malaysia, malah turut akan dieksport untuk pasaran negara ASEAN lain. Langkah ini adalah sejajar dengan langkah diambil oleh Mazda dan Volvo yang memasang kenderaan mereka di Malaysia untuk dieksport ke pasaran ASEAN lain. Jika ini berlaku, Jazz Hybrid merupakan model pertama yang diproduksi oleh Honda Malaysia untuk dieksport keluar, dan menjadikan Malaysia sebagai negara pertama diluar Jepun yang bukan sahaja memasarkan model ini, bahkan turut memproduksinya.

     
     
  • Hyundai Ioniq hibrid dipertonton secara rasmi di Malaysia; mod elektrik mampu capai 120 km/j

    hyundai_ioniq_ext-1

    Kini bukan lagi rahsia; Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) akan memperkenalkan model Hyundai Ioniq hibrid untuk pasaran Malaysia. Model berkenaan kini sedang membuat penampilan sulung secara rasmi di pameran yang sedang berlangsung di Pusat Pameran & Persidangan Antarabangsa Malaysia (MIECC) di The Mines, Serdang bermula hari ini.

    Merupakan model hibrid pertama Hyundai untuk pasaran Malaysia, ia juga telah dibuka untuk tempahan minggu ini, akan dipasangkan di Kulim, Kedah untuk memanfaatkan insentif kerajaan bagi pemasangan kenderaan cekap tenaga (EEV). Harga jualannya bermula dari RM130,000.

    Hyundai Ioniq, sebuah model yang menjadi pencabar secara langsung kepada Toyota Prius, dijana oleh enjin petrol 1.6 liter Kappa GDI empat-silinder dengan janaan kuasa 105 PS pada 5,700 rpm dan tork maksimum 147 Nm pada 4,000 rpm.

    Hyundai mendakwa enjin pembakaran dalaman (internal combustion) berkenaan merupakan enjin dengan kecekapan haba paling tinggi di dunia pada kadar 40% – sama seperti yang dicapai oleh enjin pembakaran dalaman Toyota Prius generasi keempat terkini.

    Enjin berkenaan digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 43 PS dan tork 170 Nm, menerima tenaga dari bateri polimer litium ion berkuasa 1.56 kWh yang ditempatkan di bawah tempat duduk belakang. Keseluruhan kuasa yang mampu dijana oleh gabungan dua unit ini ialah 141 PS/265 Nm dan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac-berkembar (DCT) enam-kelajuan.

    Motor elektrik pada Ioniq direka spesifik dengan kecekapan tinggi bertaraf dunia, termasuk komponen teras (kepingan logam elektrikal) yang lebih nipis sehingga 10% dan wayar tembaga pada bahagian segi empat untuk mengurangkan teras dan kehilangan haba. Motor tersebut juga membolehkan Ioniq bergerak secara elektrik sepenuhnya pada kelajuan mencapai 120 km/j.

    Kotak gear DCT yang digunakannya juga menjadi satu kelebihan, berbanding pesaing keluaran Jepun yang lain, yang lebih cenderung menggunakan transmisi CVT. Menurut Hyundai, transmisi DCT ini lebih cekap; menggunakan rekaan komponen yang rendah geseran serta minyak berkelikatan rendah. Ia turut menampilkan mod pemanduan Sport dan juga Eco.

    Ia dibangun menggunakan platform yang khas untuk kereta hibrid. Komponen yang digunakan juga bertujuan untuk mengurangkan berat keseluruhannya, antaranya bonet dan pintu tailgate aluminium; ia 12.4 kg lebih ringan jika dibandingkan dengan versi logam.

    Material untuk membina komponen suspensi juga banyak menggunakan aluminium dan berhasil mengurangkan berat sebanyak 10 kg, termasuk lengan bawah hadapan yang 4.6 kg lebih ringan dan lengan bawah belakang yang 7.14 kg lebih ringan. Penutup kargo pada Ioniq ini juga 25% lebih ringan berbanding model Hyundai lain.

    Ia khabarnya akan dilancarkan secara rasmi bulan ini. Sebuah kereta hibrid pertama Hyundai dan ia merupakan pemasangan tempatan (CKD); ini sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.

     
     
  • Nissan Navara jentera rasmi Rainforest Challenge 2016

    ????????????????????????????????????

    Nissan Navara sekali lagi diberi kepercayaan untuk menjadi jentera rasmi bagi penganjuran Rainforest Challenge (RFC) tahun ini. Malahan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) turut mengumumkan penyertaan mereka di dalam aktiviti off-road paling ekstrem di dunia yang bakal berlangsung dari 24 November hingga 5 Disember ini di Pahang.

    Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah Eksekutif ETCM, Tan Keng Meng pada majlis penyerahan kunci yang diadakan di ibu pejabat ETCM semalam. Turut hadir ialah Pengasas dan Pengarah Acara Rainforest Challenge (RFC), Luis J.A. Wee.

    Tahun ini, ETCM menyediakan tiga unit Nissan Navara dilengkapi enjin YD25DDTi yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 163PS dan tork 403Nm/2,000rpm. Dua unit tersebut ialah varian 2.5L SE dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan. Manakala satu lagi unit ialah 2.5L SE dengan transmisi manual enam-kelajuan. Nissan Navara tersebut adalah versi standard dan hanya perlu dipasang dengan peralatan untuk pertandingan seperti bull bars, lampu sorot halogen, winch, bar perlindungan, kit kecemasan, tayar ekstrem, suspensi dan snorkel.

    “Nissan Navara sememangnya terkenal di seluruh dunia dengan kelasakan, kemampuan off-road dan prestasi enginnya yang mampu mengharung hujan lebat, laluan berlumpur, lopak yang licin, lubang dalam, lurah kecil, sungai dan tanah runtuh,” ujar Tan Keng Meng.

    Disifatkan sebagai antara Perlumbaan Motor Paling Sukar di Dunia, Malaysia menganjurkan acara akhir perlumbaan off-road 4×4 Siri Global RFC dengan penyertaan dari 30 buah negara.

    “Dengan kerjasama ETCM, acara ini berhasrat menghidupkan keghairahan terhadap 4×4 di seluruh dunia, selain membawakan semangat adventur dan kerja berpasukan. Ia juga selari dalam mempromosikan industri pelancongan kerana kami akan mengetengahkan Tahun Melawat Pahang 2017. Nissan Navara ialah sebuah kenderaan yang saya percaya mampu bertahan dalam cabaran sukar ini,” kata Pengasas dan Pengarah Acara Rainforest Challenge (RFC), Luis J.A. Wee.

     
     
  • BMW HP4 Race guna kerangka, rim gentian karbon

    p90242019_highres_bmw-hp4-race-advance-e1478679029819-850x549-bm

    Kehadiran BMW HP4 Race di EICMA menarik pengunjung datang ke kawasan pameran BMW bukan kerana warnanya yang terang tetapi bagi mengetahui misteri model berwarna serba gelap ini. Apabila sudah dekat, barulah boleh dilihat ia banyak menggunakan bahan gentian karbon.

    Pada masa ini, panel badan gentian karbon mungkin adalah sesuatu yang sudah biasa, tetapi BMW membawanya ke tahap lebih tinggi, seperti juga Ducati Superleggera dengan menggunakan kerangka dan rim juga daripada gentian karbon. Sudah tentu, ini menjadikan HP4 Race lebih ringan. Walaubagaimanapun, bagi bahagian lengan ayun, BMW masih menggunakan bahan aluminium.

    BMW HP4 Race menggunakan asas daripada model S1000RR dan dalam keadaan asalnya, enjin empat silinder sebaris 999 cc yang digunakan dapat menghasilkan 199 hp pada 13,500 rpm dan 113 Nm tork pada 10,500 rpm. Bagi model istimewa HP4 Race ini, jumlah kuasanya mungkin boleh menjadi lebih.

    BMW Motorrad masih ingin menyimpan rahsia berkenaan spesifikasi motosikal ini, namun memberitahu ia akan dibina dalam jumlah yang terhad dan dipasarkan pada separuh kedua tahun 2017.

     
     
  • Vespa akan keluarkan skuter elektrik tahun hadapan

    02_vespa_elettrica-835-bm

    Pengunjung pameran EICMA di Itali dikejutkan dengan kehadiran sebuah model Vespa yang menggunakan warna krom dan sedikit kemasan biru. Ia bukan setakat hiasan penampilan biasa malah merupakan gambaran kepada sebuah skuter elektrik yang sedang dibangunkan oleh syarikat dari Itali itu.

    Dikenali sebagai Vespa Elettrica, skuter ini akan dikuasakan oleh motor elektrik dan masih lagi mempunyai gaya unik dan terkenal sebuah Vespa. Menurut wakilnya di sana, Piaggio Group yang merupakan syarikat induk kepada Vespa dan beberapa jenama lain sudah mempunyai pengalaman dengan motor elektrik sejak tahun 1970 lagi dan kini adalah masa untuk menghasilkan sesuatu bagi penggemar Vespa.

    Tiada sebarang informasi lanjut diberikan berkenaan motosikal ini tetapi Vespa memberi sasaran untuk memperkenalkan Elettrica secara penuh kepada pasaran menjelang separuh kedua tahun 2017. Buat masa sekarang, apa yang boleh dilihat adalah bahagian luar model konsep ini sahaja.

     
     
  • Ferrari hasilkan lebih banyak model hibrid mulai 2019

    160451-car_laferrari_aperta-e1470217598119

    Setakat ini,Ferrari cuma memiliki dua model yang menggunakan penjana kuasa hibrid iaitu LaFerrari dan LaFerrari Aperta. Namun bermula 2019, lebih banyak model hibrid akan diperkenalkan, termasuk prestasi yang dipertingkatkan, menurut laporan yang disiarkan oleh Autocar UK.

    CEO Ferrari Sergio Marchionne yang menjelaskan di dalam persidangan pelaburan, kombinasi antara enjin pembakaran dalaman dan yang dijana oleh elektrik, bukan setakat membantu jentera itu lebih pantas, malah mempertingkatkan lagi penjimatannya. Bagi pengganti model F12, yang dijangka bakal diperkenalkan pada tahun 2020, ia sepatutnya menjadi model mainstream pertama Ferrari dengan penjana kuasa hibrid.

    Laporan tersebut turut menyebut, Ferrari telah mempatenkan beberapa siri senibina untuk model masa hadapannya, yang boleh dipacu sehingga 48 km dengan janaan kuasa elektrik sepenuhnya. Di samping model pengganti F12, platform tersebut juga akan digunakan oleh lain-lain model, termasuk model spesifikasi tertinggi. Baru-baru ini, Ferrari telah mengumumkan kerjasama projek pembangunan dengan Altair Product Design untuk platform kenderaan generasi akan datang.

    Ferrari memiliki pengalaman dalam siri janaan enjin elektrik ini dengan menghasilkan model konsep 599 HY-KERS yang dipertontonkan di Geneva Motor Show 2010, yang menampilkan motor elektrik dengan transmisi dwi-klac, dijanakan oleh dua pek bateri lithium-ion.

    Selain teknologi hibrid, Marchionne turut mendedahkan syarikatnya mensasarkan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran kenderaannya, dan memperkenalkan lebih banyak model “mewah” seperti GTC4 Lusso. “Malahan adalah menjadi objektif kami untuk meningkatkan pengeluaran, dan tidak mustahil jumlahnya boleh mencapai 10,000 unit menjelang tahun 2025,” ujarnya.

     
     
  • Audi Service KL kini turut dibuka pada hari Ahad

    audi-kl-sc

    Euromobil telah mengumumkan Audi Service Kuala Lumpur turut beroperasi pada hari Ahad. Ini bermakna pusat servis yang terletak di Jalan Chan Sow Lin itu beroperasi selama tujuh hari seminggu sejak September lalu.

    “Kami percaya para pelanggan kami berhak menerima servis yang berkualiti tinggi bagi keseluruhan pengalaman pemilikan dengan jenama Audi. Membuka pusat servis ini pada Ahad adalah sebahagian daripadanya dan ini turut membuktikan komitmen kami terhadap permintaan yang meningkat di kalangan para pelanggan yang sibuk dengan urusan harian sekiranya mahu menghantar kenderaan mereka untuk diselenggara selain pada hujung minggu,” ujar Datuk Seri Syed Faisal Albar, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom.

    Audi Service Kuala Lumpul mempunyai 42 tenaga kerja terlatih termasuk penasihat servis, juruteknik dan konsultan. Ia mempunyai 26 petak penyelenggaran dan dibuka untuk semua kenderaan Audi, sama ada yang dibeli dari pengedar rasmi atau pun saluran pengimport (grey importer). Waktu operasinya dilanjutkan pada Ahad (10 pagi hingga 6 petang) adalah bagi servis standard Audi Fastlane. Hubungi 03-9222 0390 untuk temujanji.

     
     
  • 1.2 juta penunggang motosikal tiada lesen – Ab Aziz

    sym-sport-rider-125i-29-bm

    Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi telah mengeluarkan kenyataan bahawa dianggarkan seramai 1.2 juta individu di negara ini menunggang motosikal tanpa memiliki lesen yang sah. Anggaran itu berdasarkan antara lapan hingga 10% daripada 15 juta penduduk yang layak memiliki lesen menunggang motosikal iaitu kira-kira separuh daripada 30 juta penduduk Malaysia.

    Menurut laporan yang disiarkan oleh Berita Harian, mengikut perangkaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hanya 7.6 juta penduduk memiliki lesen motosikal dan ini bermakna kira-kira 50% yang berumur 16 tahun ke atas memiliki lesen berkenaan.

    “Menurut rekod JPJ, sehingga 31 Disember 2015, sebanyak 12,089,747 motosikal berdaftar di jalan raya. Walau bagaimana pun, hanya 7.6 juta penunggang motosikal berlesen tercatat dalam rekod JPJ,” ujarnya bagi menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Johari ingin mengetahui jumlah motosikal berdaftar di jalan raya ketika ini dan jumlah penunggang yang tidak mempunyai lesen menggunakan motosikal. Selain ingin mengetahui pelaksanaan kursus pemanduan yang diseliakan oleh JPJ.

    Ab Aziz turut berkata, berdasarkan kawalan harga siling ditetapkan, kos pengambilan lesen bukan faktor utama penduduk menunggang motosikal tanpa lesen, sebaliknya lebih kepada sikap dan tahap kesedaran mereka mengenai bahaya menunggang tanpa lesen.

    Menjawab soalan tambahan Johari, Ab Aziz berkata, JPJ melaksanakan kursus pemanduan selama 22 jam secara berperingkat. “Tempoh kursus itu meletakkan Malaysia antara negara paling singkat dari segi tempoh masa menjalankan kursus berbanding Singapura selama 42 jam dan China (72 jam),” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025