Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Yamaha XSR900 Abarth – terhad hanya 695 unit

    2017-yamaha-xsr900-abarth-14_bm

    Untuk peminat kereta Eropah, nama Abarth pastinya akan terus dikaitkan dengan Fiat. Namun, untuk projek terbaharu ini, penala Fiat berkenaan menghasilkan sesuatu yang benar-benar berbeza – bekerjasama dengan Yamaha untuk membina motosikal Yamaha XSR900 Abarth. Motosikal istimewa ini hanya diproduksi sebanyak 695 unit, dijual bermula 17 Januari 2017 dan pelanggan perlu menempahnya melalui tempahan atas talian.

    Rekaan XSR900 Abarth ini menyerlahkan rekabentuk cafe racer era 60’an diinspirasikan dari barisan motorsikal custom “Faster Sons” Yamaha. Ia di bina berasaskan model XSR 900 standard dan dijana oleh enjin Crossplane 3 850 cc, tiga-silinder berkuasa 115 hp. Enjin ini didatangkan standard dengan sistem ekzos penuh dari Akrpovic.

    Motosikal edisi khas ini juga menerima sistem brek ABS, kawalan tarikan serta slipper clutch. Ia juga dilengkapi dengan pelbagai komponen untuk mengurangkan berat keseluruhannya termasuk penutup tempat duduk tunggal dan fender hadapan binaan gentian-karbon dan juga pemegang plat nombor pendaftaran ringan pada bahagian belakang.

    Bagi memberikan rupa cafe racer sebenar, ia dipadankan dengan hendal rendah jenis clip-on serta balutan upholsteri dengan kulit dan sued serta jahitan dengan benang berwarna merah. Untuk keseluruhan, model ini diberikan tema warna kelabu dan merah bagi melengkapkan rupa sebuah motosikal “Sports Heritage” Yamaha.

    Logo Abarth ditempatkan di tangki minyak, dan untuk menaikkan nilai eksklusifnya, plak aluminium yang menunjukkan nombor produksi jentera ini turut diberikan, ditempatkan dikerangka – dibawah tangki minyak. 600 unit motosikal ini akan diedarkan kepada pelanggan menerusi pengedar sah Yamaha bermula April 2017. Manakala 95 unit lagi akan diterima oleh pembeli bertuah yang akan berpeluang untuk menyertai pengalaman Abarth VIP.

    Model istimewa ini mahupun model asas Yamaha XSR900 tidak dijual di pasaran Malaysia, namun Hong Leong Yamaha menawarkan model MT-09 dijana enjin yang sama dijual pada harga RM44,653. Sebuah lagi model yang kelihatan hampir serupa dengan XSR900 – XV950CR – dijana enjin V-Twin 942 cc penyejukkan udara pula dijual pada harga RM55,000.

     
     
  • Liow tidak tahu Singapura bakal naikkan caj jalan raya

    liow tiong lai

    Tindakan Singapura yang mahu menyeragamkan caj jalan raya seperti yang dilaporkan sebelum ini, adalah di luar pengetahuan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    Menurut laporan Bernama, Liow berkata beliau tidak tahu mengenai sebarang langkah oleh Singapura untuk menaikkan caj jalan raya tersebut.

    “Kementerian pengangkutan kedua-dua negara telah saling bertukar-tukar pandangan berhubung perkara itu dari semasa ke semasa, tetapi saya tiada mendengar apa-apa mengenai Singapura menaikkan cajnya. Mereka tidak pernah menyatakan ini kepada saya. Singapura telah melaksanakan caj jalan raya mereka sejak lama dahulu, kita hanya mulakannya sekarang,” ujar beliau kepada pihak media.

    Katanya lagi, keputusan Malaysia untuk mengenakan caj jalan raya bagi kenderaan Singapura yang memasuki Malaysia sejak 1 Nov lalu telah dimaklumkan kepada negara berkenaan sejak setahun yang lalu.

    Liow berkata tidak wujud diskriminasi kerana caj jalan raya itu dilaksanakan di semua sempadan, Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia dengan caj sama iaitu RM20 bagi setiap kereta.

    Katanya caj jalan raya, yang dilaksanakan pada 1 Nov, berjalan lancar dengan purata 20,000 kenderaan berdaftar di Singapura memasuki Malaysia setiap hari melalui Tambak Johor dan Link Kedua.

     
     
  • VIDEO: Husqvarna Vitpilen ditunjuk secara ringkas

    Satu video teaser telah dikeluarkan oleh Husqvarna menunjukkan motosikal terbaru mereka yang dikenali sebagai Vitpilen, lebih awal daripada pengenalan pertamanya yang akan berlaku esok di pameran motosikal EICMA di Itali. Vitpilen bermaksud panah dalam bahasa Sweden dan ia akan datang dalam beberapa model – 701, 401 dan 125. Juga akan terdapat variasi Svartpilen 401.

    Motosikal ini mempunyai gaya serba ringkas seperti naked dengan lampu bulat berserta LED di hadapan manakala badannya pula menggunakan banyak warna hitam dan perak. Tidak dinyatakan model apa yang ditampilkan dalam video ini, tetapi kami menjangka adalah Vitpilen 401 ataupun 701. Vitpillen 701 menggunakan enjin satu silinder 690 cc asas daripada KTM.

    2017-husqvarna-vitpalen-701-concept-19-e1478504220648-850x602-bm

    Informasi berkenaan Vitpilen masih lagi tidak banyak, tetapi apa yang tersebar dalam internet, model 401 dikata menggunakan enjin 373.2 cc satu silinder berkuasa 43 hp, dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair. Berat keseluruhan pula adalah hanya 135 kg.

    Rekaan keseluruhan motosikal ini dihasilkan oleh Kiska Design – yang juga terlibat dalam mereka motosikal KTM. Vitpilen dan Svartpilen 401 juga dianugerahkan pingat perak dalam pertandingan International Design Excellence (IDEA).

     
     
  • Honda WR-V – lampu depan dengan LED pula didedah

    honda-wr-v-teaser

    Sebelum ini, hanya lakaran awal SUV kompak Honda WR-V terbaharu didedahkan. Kini, satu lagi ciri ditujukkan; lampu serta wajah hadapan model baharu berkenaan. Lampu utama trapezoidal nampak jelas, dengan reflektor dan lampu nyalaan siang LED bentuk L.

    Turut kelihatan ialah palang Honda Solid Wing Face di bahagian atas gril. Dirancang akan diperkenalkan secara rasmi ketika Pameran Permotoran Antarabangsa Sao Paolo 2016 di Brazil minggu hadapan, Honda WR-V – yang bermaksud Winsome Runabout Vehicle – adalah berdasarkan model Jazz, dan tidak berada dalam segmen sama dengan HR-V.

    honda-wr-v-sketch-850x498-bm

    Berdasarkan lakaran sebelum ini, ia kelihatan meminjam pendekatan reka bentuk yang sama dengan model hatch berkenaan; dengan wajah depan dan rekaan bahagian belakang yang lebih ranggi dan sporty. Bahagian dalamannya juga tidak jauh beza dengan Jazz, dengan jangkaan ia akan menerima sedikit perubahan kemasan dan trim.

    Selepas Brazil, WR-V akan turut diperkenalkan dipasaran lain di Amerika Selatan, di mana pasaran SUV semakin berkembang. Sama ada ia akan ditawarkan untuk pasaran lain di dunia, ia masih belum pasti.

     
     
  • Beberapa jalan utama di bandaraya KL ditutup sementara 13 Nov ini sempena OCBC Cycle KL 2016

    RON_95_vs_RON_97_Fuel_Test_Malaysia_ 032

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh telah mengumumkan penutupan sementara beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur pada Ahad ini, 13 November 2016. Ia adalah sebagai kelancaran acara OCBC Cycle KL 2016 yang bakal berlangsung pada tarikh tersebut.

    Jalan utama yang terlibat adalah sepanjang 14 km termasuklah Jalan Raja, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Tun Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Sultan Hishamuddin.

    “Acara ini akan melibatkan penyertaan lebih 2,000 peserta termasuklah yang datang dari luar negara. Justeru, kami menasihati anda yang terlibat dengan acara ini agar datang awal ke lokasi terbabit. Untuk orang awam yang ingin memasuki pusat bandar pada tarikh tersebut juga diminta agar menggunakan pengangkutan awam atau bagi yang memandu, sila patuhi arahan pihak berkuasa dan ikut laluan alternatif yang disarankan,” ujar Amar Singh kepada pihak media di dalam taklimat hari ini di ibu pejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur.

    Pihak penganjur turut menyediakan ruang parkir bagi peserta yang terbabit iaitu di sekitar Dataran Merdeka, Taman Botani, Padang Merbok, Dewan Bandaraya Bangunan 1, Masjid Negara, Muzium Negara, Tugu Negara dan Jalan Masjid India.

     
     
  • Teaser kenderaan elektrik CKD pertama di Malaysia disiar sebelum diperkenalkan secara rasmi minggu ini

    msia-baic-ckd-ev-fb-crop-_bm

    Seperti yang diketahui sebelum ini, kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) yang akan diproduksi secara pemsangan tempatan (CKD) bakal diperkenalkan pada Malaysia Autoshow 2016 minggu ini. Untuk menambahkan debaran, laman Facebook Institut Automotif Malaysia (MAI) telah menyiarkan imej teaser model tersebut.

    Imej berkenaan hanya menayangkan lampu hadapan sebelah kiri sahaja. Walau bagaimanapun, telah dilaporkan sebelum ini kereta berkenaan dibina berdasarkan model BAIC EV200, buatan Beijing Auto International Corporation (BAIC) dari China.

    EV200 berkenaan juga sebenarnya dibangunkan dari Mercedes-Benz B-Class generasi pertama. Hatchback elektrik sepenuhnya yang kelihatan hampir serupa dengan B-Class berkenaan dikuasakan dengan motor elektrik berkuasa 53 kW (72 hp) dan tork maksima 180 Nm, menerima suapan tenaga dari bateri litium-ion 30 kWh. Dengan panjang 4,025 mm dan berat 1,295 kg, model ini mampu memecut dari 0-80km/j dalam masa 9.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 125 km/j.

    Di China, model ini turut hadir dengan varian lebih rendah iaitu EV150 dan EV160. Untuk pasaran Malaysia, projek ini direalisasikan dengan kerjasma antara BAIC dan Amber Dual dan produksi EV yang belum diberi nama ini akan dijalankan di Gurun, Kedah. Selain untuk pasaran tempatan, BAIC EV200 CKD ini juga dirancang untuk dieksport ke negara ASEAN lain.

    GALERI: BAIC EV200

     
     
  • SPYSHOT: BMW 2 Series Coupe dapat pembaharuan

    bmw-2-series-coupe-facelift-12-850x538-bm

    BMW 2 Series Coupe, model yang menggunakan enjin di hadapan dan pacuan roda belakang (FR) sudah berada dalam pasaran hampir tiga tahun, dan dalam masa itu, ia tidak begitu popular berbanding Active Tourer dan Gran Tourer yang menggunakan pacuan roda hadapan (FF). Masa untuk pembaharuan bagi 2 Series Coupe sudah tiba dan jurugambar risikan kami dari Eropah berjaya menangkap model facelift ini semasa sedang diangkut di atas treler.

    Nampaknya, pembaharuan yang diberi tidaklah begitu banyak, kalau mengikutkan standard BMW. Malah, pada bahagian luar, bampar hadapan dan belakang yang digunakan juga adalah sama dan sekiranya dilihat lebih teliti, barulah anda akan perasan bahawa terdapat lampu utama LED dengan lampu siang ‘corona ring’ tiga dimensi.

    bmw-2-series-coupe-facelift-8-850x531-bm

    Juga, pada bampar hadapannya terdapat bahagian dalam yang diubah, ditambah dengan radar pengesan di bahagian bawahnya, seterusnya menunjukkan kemungkinan penggunaan sistem active cruise control buat pertama kali. Pelekat camouflage turut digunakan pada bahagian lampu belakang, memberi tanda mungkin teknologi LED penuh akan digunakan seperti pada 1 Series facelift.

    Tiada harapan tinggi diletakkan untuk perubahan enjin kerana 2 Series Coupe baru sahaja menerima peningkatan pada bahagian itu, dengan pilihan enjin turbo generasi baru BMW yang termasuk unit tiga silinder 1.5 liter B38 136 hp, empat silinder 2.0 liter B48 184 hp dan 252 hp, serta enam silinder 3.0 liter B58 340 hp dan 365 hp.

     
     
  • Kadar kemalangan maut penunggang bawah umur meresahkan; 249 kematian bagi kelompok 11-15 tahun

    pdrm_ops_pelajar2

    Kadar kemalangan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang menunggang motosikal secara tidak sah semakin meningkat di seluruh negara, terutama kawasan luar bandar. Dalam sebahagian kes, mereka yang terlibat berusia seawal enam tahun.

    The Sun melaporkan, data rasmi polis trafik menunjukkan ramai penunggang usia muda antara enam hingga 10 tahun terbunuh di jalan raya setiap tahun. Tahun lalu sahaja, 13 kematian dan 88 kes kecederaan dicatatkan. Angka ini meningkat berbanding tahun 2014; 10 kematian dan 79 kecederaan direkodkan.

    Laporan Statistik Kemalangan Jalanraya 2015 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penyiasatan dan Penguatkuasaan Trafik Persekutuan juga mendedahkan seramai 249 penunggang tanpa lesen berusia antara 11 hingga 15 tahun terbunuh, sementara 229 orang mengalami kecederaan serius dan 427 kes kecederaan ringan.

    Ia juga merupakan peningkatan jika dibanding tahun 2014, yang menyaksikan 225 terbunuh, 198 cedera serius dan 324 kecedera ringan bagi kelompok usia yang sama. Laporan sama turut mendedahkan, disebabkan kemalangan motosikal, terdapat 1,235 kematian (3.4 kematian sehari) – bagi penunggang dan pembonceng – yang turut melibatkan bayi.

    Pecahan kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal pada 2015 adalah seperti berikut; 16 orang bayi dan kanak-kanak di bawah umur lima tahun, 17 kanak-kanak enam hingga 10 tahun, 53 kanak-kanak 11 hingga 15 tahun dan 97 remaja berusia dari 16 hingga 20 tahun.

    790 kematian bagi kelompok usia 16-20 tahun, yang turut melibatkan 577 kes kecederaan serius dan 1,112 kecederaan ringan dicatatkan bagi keseluruhan kemalangan jalan raya di seluruh negara – suatu angka kemalangan jiwa dan kecederaan yang paling tinggi pernah dicatatkan bagi kolompok usia berkenaan.

    Bagi angka keseluruhan yang melibatkan penunggang dan pembonceng pula, seramai 3,816 penunggang dan 387 pembonceng bagi semua kelompok usia mati tahun lalu; peningkatan 24 kematian (penunggang dan pembonceng) berbanding tahun sebelumnya.

    Pecahan dari segi kaum menyaksikan 2,509 kematian bagi penunggang Melayu, diikuti 513 orang berbangsa India, 473 orang berbangsa Cina dan 236 warga asing. Kebanyakan kemalangan maut berlaku di kawasan luar bandar, melibatkan 2,193 mangsa, diikuti di kawasan bandar dengan 801 kematian, pekan kecil dengan 572 kematian dan bandar-bandar besar dengan 250 kematian.

    Statistik berkenaan turut mendedahkan seramai 1,295 penunggang dan 108 pembonceng yangt terlibat dalam kemalangan tidak mengggunakan helmet. Masa paling kerap berlaku kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal adalah antara 8.01pm hingga 10pm – dengan 500 kematian, sementara dari 6.01pm hingga 8pm dengan 470 kematian.

     
     
  • Ducati 1299 Superleggera 2017 (Project 1408) – perincian bocor lebih awal; 215 hp, terhad 500 unit

    2017-ducati-superleggera-1-850x478bm

    Sejak wujudnya sebuah laman web Ducati yang dinamakan sebagai ‘Project 1408’, beberapa gambar Ducati 1299 baru yang menggiurkan turut tersebar dalam internet. Ia menunjukkan kerangka, lengan ayun dan rim gentian karbon, bersama jaminan kuasa kuda ‘melebihi 200 hp’.

    Kini, gambar 1299 Superleggera yang lebih sempurna telah pun disiarkan di laman web tersebut, bersama beberapa perincian lain. Spesifikasi bagi motosikal ini termasuk kuasa sebanyak 215 hp hasil daripada enjin Ducati Superquadro V-Twin dan ekzos Akrapovic spesifikasi WSBK.

    Bertepatan dengan prestasi tingginya, kelengkapan lain juga datang daripada yang terbaik, dengan brek Brembo, suspensi Ohlins serta penggunaan meluas bahan jenis magnesium dan titanium pada pelbagai bahagian enjin.

    2017-ducati-superleggera-2-bm

    Dalam bahasa Itali, Superleggera membawa maksud ‘sangat ringan’ dan bagi model ini, berat kering yang dicatat dikatakan hanya 150 kg. Apabila diisi dengan minyak, ini boleh membawa kepada berat yang hampir sama seperti motosikal lumba yang digunakan dalam WSBK. Dengan itu, 1299 Superleggera juga menjadi superbike paling ringan pernah dihasilkan oleh Ducati bagi orang awam.

    Motosikal ini akan dihasilkan dalam unit terhad 500 buah sahaja, dan sudah tentu, kebanyakannya akan dijual kepada pasukan lumba, pelumba persendirian dan juga mereka yang berpengaruh. Harganya sahaja sudah USD 80,000 (RM336,808).

     
     
  • MINI Connected diperkenalkan – aplikasi pintar memudahkan pemandu merancang perjalanan

    mini-connected-01_bm

    Setelah BMW memperkenalkan aplikasi BMW Connected, kini MINI pula memperkenalkan aplikasi serupa untuk versi jenama tersebut. Aplikasi berkenaan akan dilancarkan bersama pendedahan model MINI Countryman F60, yang akan membuat kemunculan sulungnya bulan ini di Los Angeles Auto Show.

    Aplikasi ini, selepas dilancarkan nanti boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store, kemudian untuk versi Android pada masa akan datang. Menerusi aplikasi pada telefon pintar ini, pemandu akan menikmati pemanduan tanpa tekanan, mudah, selesa dan selamat setelah ia dihubungkan ke model MINI mereka menerusi hubungan Bluetooth atau USB.

    Seperti juga BMW Connected, MINI Connected menampilkan pembantu mobiliti persendirian yang akan membantu merancang perjalanan dan memberikan amaran trafik, serta aplikasi berkenaan secara automatik mampu mengakses alamat dan temu janji yang pemandu telah tetapkan di dalam kalender iPhone mereka, seterusnya menggunakan informasi tersebut untuk merancang perjalanan.

    Aplikasi berkenaan akan mengambil lokasi terkini dan destinasi yang telah ditetapkan, serta faktor dari informasi trafik masa sebenar dan situasi trafik untuk menentukan masa yang ideal untuk bertolak, dan menghantar peringatan kepada pemandu secara berkala menerusi telefon pintar mereka.

    Apabila pemandu masuk kedalam kereta, setelah telefon pintar dihubungkan, maklumat kalendar secara automatik akan diselarikan bersama sistem navigasi, memberikan tunjuk arah yang lancar dan mudah. Ia juga turut menawarkan pilihan untuk membawa tempat-tempat dan POI dari aplikasi lain dan memindahkannya ke destinasi pada sistem navigasi.

    Juga sama seperti BMW Connected, aplikasi MINI ini boleh menyimpan lokasi yang sering dituju sebagai destinasi kegemaran dan boleh mengenal pasti perjalanan yang kerap kali dilalui – apabila ia telah mengenal pasti laluan harian antara rumah dan tempat kerja, ia akan memberikan amaran sekiranya terdapat apa-apa ganguan trafik pada laluan tersebut, serta akan memberikan nasihat untuk bergerak lebih awal bagi memastikan pemilik dapat sampai ke destinasi tepat pada masa.

    Khas untuk MINI Cooper S E Countryman ALL4, fungsi spesifik untuk sistem hibrid turut ditambah. Selain dari informasi caj bateri dan jumlah petrol dalam tangki bahan api, aplikasi berkenaan turut memaparkan jarak yang boleh dicapai menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dan juga jarak keseluruhan perjalanan kereta tersebut.

     
     
  • Toyota sasar untuk memperkenalkan model produksi EV dengan jarak yang lebih panjang menjelang 2020

    2017_Toyota_Prius_Prime_01_147F8488B0069894830BB5CA3B28EB2465138498-e1458741760958_BM

    Toyota Motor Corp kini sedang merangka rancangan untuk memproduksikan model kenderaan elektrik (EV) dengan jarak yang lebih panjang menjelang tahun 2020, menurut laporan Nikkei. Malah ini adalah salah satu strategi syarikat bagi terus menjadi jenama automotif yang terunggul di peringkat antarabangsa.

    Walau pun pesaingnya termasuk Nissan Motor Co dan Volkswagen AG telah memperkenalkan kenderaan elektrik dengan kosong-emisi bagi pasaran masa hadapan, namun Toyota berkata kebanyakan EV yang ada di pasaran mahu pun yang bakal diperkenalkan hanya untuk jarak dekat, dengan harga yang tinggi serta mengambil masa untuk mengecas baterinya.

    Maka, dengan itu, Toyota berazam untuk memproduksikan EV yang lebih mampu milik, selain berkeupayaan dipacu dengan jarak yang lebih panjang serta waktu mengecas baterinya dapat dikurangkan. Malahan Toyota tidak teragak-agak untuk mengubah laluan daripada menghasilkan kenderaan hibrid petrol-elektrik dan kenderaan sel bahan api hidrogen (FCV) dengan lebih aktif mengeluarkan EV yang lebih relevan. Ia juga dianggap sebagai salah satu alternatif untuk menggantikan kenderaan konvensional sedia ada.

    Menurut laporan Nikkei itu juga, Toyota bakal menubuhkan satu pasukan khas pada awal tahun 2017 untuk membangunkan EV yang mampu dipandu melebihi 300 km dalam satu kuasa cas penuh.

    Pelan rancangan ini juga diletakkan di bawah platform kenderaan sedia ada termasuk Prius hybrid atau Corolla EV.

    Toyota turut mensasarkan untuk mula menjual EV jarak-panjang ini pada tahun 2020 di Jepun, yang bakal menjadi tuan rumah Olimpik pada tahun tersebut, selain mempertimbangkan pasaran lain termasuk di Amerika Syarikat.

     
     
  • Kamera palsu bantu tingkatkan keselamatan jalan raya

    AES_Camera

    Menurut seorang ahli psikologi lalu lintas, ada cara berkesan untuk buatkan orang ramai lebih terkesan dan lebih berhati-hati di jalan raya; pasang kamera palsu di laluan dan jalan merbahaya dan libatkan lebih ramai wanita di dalam agensi penguatkuasaan undang-undang trafik.

    Memetik laporan The Sun, Profesor Madya Bahagian Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Rozmi Ismail berkata cadangan penggunaan peranti umpanan itu adalah berdasarkan kaji selidik di seluruh dunia untuk membuatkan pengguna jalan raya sentiasa berwaspada.

    “Pasang lima hingga 10 kamera palsu di kawasan yang cenderung berlaku kemalangan, atau pada lampu isyarat, serta biarkan kamera-kamera itu kelihatan dengan jelas; dalam jarak setiap 3 km atau 5 km, biarkan pengguna meneka kamera yang mana satu yang asli. Peranti sebenar pula boleh dipasangkan di antaranya,” ujar beliau.

    Menurut beliau, yang juga mempunyai bidang kepakaran dalam psikologi eksperimental menyatakan, dengan berbuat demikian pengguna jalan raya akan sentiasa menganggap mereka sentiasa diperhatikan dan akan ditangkap sekiranya melakukan kesalahan.

    Beliau yang juga merupakan mantan Presiden Persatuan Psikologikal Malaysia turut mencadangkan agar penglibatan wanita di dalam agensi dan badan penguatkuasa trafik dipertingkatkan. Ini kerana, golongan berkenaan lebih telus dan tegas dalam melaksanakan undang-undang.

     
     
  • BMW X3 sah diperkenal tahun 2020, MINI EV pada 2019

    bmw-x3-12-e1478250059437

    Menerusi laporan prestasi suku ketiganya tahun ini, BMW telah mengesahkan bakal memperkenalkan BMW X3 elektrik sepenuhnya (EV) dan model baharu MINI sebelum dekad ini berakhir. Walau masih tiada perincian lanjut mengenainya, namun difahamkan model MINI EV akan diperkenalkan pada tahun 2019, dan setahun selepas itu model X3 EV sepenuhnya pula bakal berada di bilik pameran.

    Model X3 EV ini bakal menjadi kenderaan elektrik sepenuhnya pertama yang dijual di bawah jenama BMW, selain model i3 yang dipasarkan di bawah BMW i. Inilah masa yang sesuai untuk memperkenalkan penjana kuasa bagi model G01 generasi akan datang ini, walau pun hanya selepas model facelift.

    Bagi versi MINI pula, model elektrik sepenuhnya dimulakan dengan MINI E pada tahun 2008 yang menggunakan motor elektrik berkuasa 208 hp220 Nm dan bateri 35 kWh, yang memberikannya keupayaan pacuan dari 0-100 km/j dalam hanya 8.5 saat. Malah ia boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 152 km/j dan kuasa bateri cas penuh mampu digunakan sehingga 240 km.

    mini-e-e1478250206258

    Baru-baru ini, MINI turut memperkenalkan Cooper S E Countryman All4 plug-in hybrid dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder (136 hp/220 Nm) yang dipadankan bersama motor elektrik berkuasa 88 hp/165 Nm, bateri lithium-ion 7.6 kWh dan transmisi automatik enam-kelajuan. Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dengan hanya 6.9 saat, malah berkeupayaan mencapai 40 km dengan pemanduan elektrik sepenuhnya, bersama kelajuan maksimum 125 km/j.

    Selain itu, BMW juga sekali lagi telah mengesahkan versi produksi bagi model konsep i8 Spyder bakal diperkenalkan pada tahun 2018, dengan nama yang telah dimuktamadkan – i8 Roadster. Bukan itu sahaja, syarikat ini juga telah mengesahkan iNEXT, kenderaan pemanduan sendiri sepenuhnya bakal dilancarkan pada awal dekad akan datang.

     
     
  • Kia K2 Sedan 2017 didedahkan untuk pasaran China

    kia-k2-sedan-06-850x567-bm

    Selepas bocor pada bulan lepas, Kia K2 akhirnya didedahkan secara rasmi, untuk pasaran China. Ia adalah sedan dengan but belakang yang menggunakan asas daripada model Rio baru, tetapi khusus untuk pasaran China. Pasaran lain pula akan mendapat Rio sedan dengan gaya berbeza – seperti Rio hatchback yang berada di Eropah.

    Bagi sebuah kenderaan segmen B yang diasaskan daripada model hatchback, K2 nampak memuaskan dan mempunyai gaya seperti ‘Optima yang lebih kecil’. Melihat kepada gambar, perkadarannya nampak bagus berbanding K2 generasi sebelum ini serta Rio Sedan (ada dijual di Malaysia), dan penggunaan asas hatchback tidak begitu kelihatan. Dengan ukuran 4,400 mm dan 1,740 mm, K2 ini 22 mm lebih panjang dan 40 mm lebih lebar daripada kenderaan yang digantinya.

    Sementara bahagian hadapannya menampakkan gaya keluarga Kia, belakangnya pula lebih unik, dengan adanya kemasan pemantul cahaya yang menyambungkan lampu kiri dan kanan pada bahagian tengah. Juga kelihatan seperti terdapat dua tempat untuk meletakkan nombor plet iaitu di penutup but dan juga bampar.

    Di dalam, papan pemuka K2 ini berbeza dengan versi hatchback dan kelihatan lebih konvensional. Terdapat kemasan hitam berkilat yang membahagikan papan pemuka tersebut dan beberapa elemen dibawa daripada model Rio. Kia jelas cuba membawa konsep premium pada kenderaan ini dengan adanya balutan kulit coklat dan kemasan krom di bahagian luar.

    Pilihan enjin yang disediakan pada kenderaan ini, untuk pasaran China adalah unit 1.4 liter 100 PS/ 133 Nm dan 1.6 liter 123 PS/ 151 Nm. Bagi enjin 1.4 liter, pengguna boleh memilih transmisi automatik enam kelajuan atau manual enam kelajuan tetapi bagi model 1.6 liter, ia hanya dipadankan dengan transmisi automatik. Juga, tiada pilihan enjin tiga silinder 1.0 liter T-GDI Turbo untuk pasaran ini.

    Kelengkapan biasa digunakan untuk bahagian lain seperti sistem stereng kuasa elektrik MDPS, penyerap MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Bagi model 1.4 MT juga, ia sekadar menggunakan brek dram di belakang. Saksikan juga Kia Rio 2017 yang didedahkan September lalu.


     
     
  • Skandal Volkswagen – peranti pengubah ditemui pula pada transmisi automatik Audi model petrol dan diesel

    2015-audi-a6-1.8-driven-local-review- 035

    Skandal ‘dieselgate’ Volkswagen dilihat telah mencapai kemuncaknya apabila firma undang-undang Amerika Syarikat telah mencapai kata sepakat untuk penyelesaian isu berkenaan dan pada tahap sekarang kumpulan automotif berkenaan buat masa ini sedang giat menyelesaikan isu panggilan semula dan juga dana untuk membayar ganti rugi kepada pengguna.

    Namun, menurut laporan terbaharu dari akhbar Jerman Bild am Sonntag, Lembaga Sumber Udara California (CARB) di Amerika Syarikat menemui lagi penggunaan peranti pengubah pada model-model Audi dengan kotak gear automatik pada musim panas lalu yang digunakan untuk menipu dalam ujian pencemaran udara.

    Perisian berkenaan didakwa mampu merendahkan pencemaran karbon dioksida jika kenderaan tersebut mengesan ‘dirinya’ sedang diuji dalam ujian pencemaran udara. Peranti ini juga dikatakan peranti berasingan dari peranti utama yang ditemui dalam skandal sebelum ini dan ia dipadankan pada model-model diesel serta petrol untuk pasaran Eropah.

    Laporan berkenaan menyebut peranti tersebut memantau pergerakan stereng untuk mengesan sama ada ia sedang diuji ataupun tidak. Jika roda stereng tidak bergerak, menunjukkan ia sedang diuji dimakmal, seterusnya talaan pada kotak akan berubah untuk menghasilkan pencemaran karbon dioksida yang lebih rendah dari kadar yang dihasilkan pada pemanduan biasa. Program berkenaan akan dimatikan secara automatik sekiranya roda stereng bergerak lebih dari 15 darjah.

    Dalam laporan Bild am Sonntag itu juga turut menyebut bahawa Audi telah memberhentikan penggunaan peranti berkenaan pada Mei lalu, sebelum CARB menjumpainya pada model-model terdahulu. Audi juga dilaporkan telah menggantung berberapa orang jurutera atas penemuan tersebut. Laporan ini turut menyatakan jurucakap Audi enggan mengulas isu ini dan mengatakan mereka sedang dalam perbincangan dengan pihak berkuasa California dan Amerika Syarikat untuk memperbaiki model-model diesel 3.0 liter yang juga ditemui menggunakan peranti pengubah.

    Menurut Automotive News pula, CARB tidak mengeluarkan komen segera berkenaan laporan Bild tersebut, manakala ulasan dari Audi pula tidak dapat diperolehi kerana mereka gagal untuk dihubungi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025