Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Innova baharu dibuka untuk tempahan; Dual VVTi, auto 6-kelajuan, 7 beg udara – anggaran RM109k

    new-toyota-innova-main

    Toyota Innova terbaharu kini dibuka untuk tempahan bagi pasaran Malaysia. Berikut ialah perincian serta anggaran harga model MPV lapan tempat duduk berkenaan. Diperkenalkan di Indonesia hampir setahun lalu, Innova generasi kedua (tidak termasuk model Unser dan Kijang di Indonesia) kini tampil lebih premium, terutama di bahagian dalamnya.

    Sama seperti model semasa, tiga varian akan ditawarkan dengan harga anggaran seperti berikut; 2.0E MT pada RM109,000, 2.0E AT pada RM117,000 dan 2.0G AT pada RM126,000. Semua harga ini adalah harga atas jalan dan termasuk insurans.

    Ia sedikit lebih tinggi berbanding harga Innova sebelum ini, yang dijual pada harga sekitar RM104,000 hingga RM116,000. Bagaimanapun, penawarannya juga lebih nilai tambahan, dan khabarnya hanya 5% komponen yang dikongsi dengan model lamanya.

    new-toyota-innova-airbags

    Dari sudut saiz, Innova yang kini merupakan model pemasangan tempatan (CKD) adalah lebih besar; 4,735 mm panjang, 1,830 mm lebar dan 1,795 mm tinggi, dengan jarak roda 2,750 mm. Berbanding dengan model lama, ia kini 150 mm lebih panjang, 55 mm lebih lebar dan 35 mm lebih tinggi. Jarak antara rodanya kekal sama. Jika dibandingkan versi dengan spesifikasi sama, ia kini 105 hingga 125 kg lebih berat berbanding sebelumnya.

    Enjin sebelum ini, 1TR-FE 2.0 liter petrol kekal, tetapi kini dilengkapi dengan teknologi Dual VVT-i. Ia menjana 139 PS pada 5,600 rpm dan 183 Nm tork pada 4,000 rpm; 3 PS dan 1 Nm lebih berkuasa berbanding sebelumnya. Model paling asas menggunakan kotak gear manual lima-kelajuan, manakala selebihnya dilengkapi transmisi automatik enam-kelajuan – tiada lagi kotak gear empat-kelajuan.

    Seperti dijangkakan, varian dengan enjin diesel 2GD-FTV 2.4 liter dengan kuasa 149 PS dan 359 Nm yang dijual di Indonesia tidak akan ditawarkan di sini. Begitu juga dengan versi paling tinggi, Innova Type Q, dengan rim 17 inci dan lampu utama projektor dengan DRL LED dan enam-tempat duduk juga tidak ditawarkan.

    Untuk pasaran tempatan, semua varian akan menggunakan rim 16 inci dan lampu utama halogen projektor. Varian 2.0G ada tambahan lampu kabus hadaan (lampu kabus belakang adalah standard bagi semua varian) dan kemasan krom pada gril depan dan pemegang pada pintu. Ciri cermin sisi boleh lipat dengan lampu serta pengelap cermin depan dengan pemasa boleh ubah hanya untuk model spesifikasi penuh.

    Di dalam, Innova 2.0G menggunakan instrumen kluster Optitron dengan MID berwarna, pendingin hawa automatik depan dan belakang, stereng dan tombol balutan kulit, termasuk lampu ambient LED pada bumbung. Kemasan kayu turut ada konsol tengah dan stereng.

    Unit radio dengan input USB, Bluetooth dan enam pembesar suara adalah ciri standard bagi semua varian. Pelanggan boleh juga memilih naik taraf kepada unit DVD-AVX (RM2,968) atau DVD-AVN (RM3,816) – dengan skrin sentuh lapan inci dengan sambungan kepada telefon pintar, input HDMI serta kamera undur. Pilihan AVN turut melibatkan tambahan ciri GPS. Dash-cam DVR turut ditawarkan pada harga RM636.

    new-toyota-innova-vsc

    Masukan tanpa kunci dengan butang Push Start, serta pintu kuasa Easy Closer di belakang turut ditawarkan pada variant tertinggi. Varian 2.0G turut mempunyai perehat lengan, cupholder, ruang barangan dikonsol tengah serta meja boleh lipat dibahagian penyandar kerusi bagi tempat duduk barisan kedua.

    Konfigurasi tempat duduk bagi semua varian ialah 2-3-3. Kemasan fabrik hitam dengan nisbah lipatan 60:40 bagi barisan kedua serta nisbah lipatan 50:50 bagi barisan ketiga adalah sebahagian daripada ciri Easy Space Up.

    Dari aspek keselamatan, varian 2.0G paling lengkap; tujuh beg udara, Brake Assist (BA), Vehicle Stability Control (VSC) dengan kawalan cengkaman, Hill-Start Assist dan Emergency Stop Signal. Varian 2.0E hanya ada tiga beg udara dan ABS.

    Ia juga menerima penarafan lima bintang bagi ASEAN NCAP, walaupun hanya bagi model 2.0G. Jaminan lima tahun tanpa had perbatuan diberikan kepada semua varian.

    Toyota Innova Type Q IIMS 2016

     
     
  • Proton tunai impian si kecil 6 tahun, penghidap kanser Medulloblastoma yang meminati dunia automotif

    suk_7945

    Tiada apa yang menggembirakan hati si kecil ini apabila salah satu impiannya tercapai. Begitu meminati dunia automotif, Danish Rizqin Rosli, telah dibawa melawat fasiliti Proton di Subang Jaya, Selangor termasuk melihat sendiri di sebalik pembikinan model kereta nasional pertama negara pagi ini.

    Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini adalah anjuran Proton sendiri dengan kerjasama Make A Wish Malaysia, telah merealisasikan impian Rizqin yang disahkan menghidap kanser Medulloblastoma, iaitu salah satu jenis kanser, di mana terdapat tumor pada bahagian bawah kepalanya. Anak tunggal kepada pasangan suami isteri Rosli Ahmad dan Hazamaratul Damrah Shariat ini telah pun menjalani pembedahan membuang tumor pada Mac lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sebaik sahaja dikesan menghidap penyakit ini.

    Perasaan teruja jelas terlukis di wajah Rizqin apabila diberi kesempatan secara eksklusif melawat kilang pemasangan Proton termasuk bahagian R&D. Malah dia juga petah bertanyakan soalan mengenai model-model Proton.

    Turut hadir sama di dalam majlis ini ialah CEO Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali dan timbalannya Datuk Radzaif Mohamed.

    Si kecil ini begitu menunjukkan minat yang mendalam terhadap dunia automotif termasuk mengenali semua model Proton (termasuk yang sudah tiada dalam pasarannya) dan juga asas teknikal dan teknologi yang digunakan oleh syarikat ini. Ia adalah hasil minatnya yang sering melakukan pencarian menerusi Google untuk mengetahui sesuatu model dan jenis kenderaan.

    Menurut ibunya, Rizqin telah menunjukkan minat terhadap kereta sejak usianya dua tahun. “Ayahnya selalu bawa balik majalah automotif, sejak itu dia cukup berminat dengan kereta. Malah sekarang ini, sebut saja apa jua model kereta, dia pasti tahu. Sekarang dia sudah pandai menggunakan Internet, jadi dia akan cari sendiri maklumat pasal kereta menerusi Google,” ujar Hazamaratul.

    Dengan bantuan Ketua Pereka Bentuk Proton, Azlan Othman, Rizqin juga telah menunjukkan kemahirannya melukis sendiri model kereta dengan menggunakan salah satu teknologi lakaran yang digunakan oleh unit R&D Proton. Manakala Ketua Pegawai Teknikal Proton Abdul Rashid Musa turut hadir memberikan penerangan mengenai teknologi enjin yang digunakan oleh Proton. Menambahkan lagi keterujaanya apabila Rizqin diberi kesempatan menaiki Proton Persona 2016 dan Lotus Evora 400 di trek ujian Proton.

    Ketika ditanya pada Rizqin, apakah perasaannya selepas diberi peluang keemasan sebegini, dia menjawab sambil menangis, “Saya sangat terharu. Terima kasih Proton.”

    Sebelum pulang, Proton dan Make A Wish Malaysia turut meraikan sambutan harijadi buat Rizqin yang bakal berusia genap enam tahun esok. Untuk adik Rizqin, Paultan.org/bm ingin mengucapkan Selamat Harijadi yang ke-enam, kuatkan semangat dan moga cepat sembuh!

     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • Hyundai Ioniq Hybrid bakal dilancarkan di Malaysia bulan ini, dalam versi pemasangan tempatan (CKD)

    2017-hyundai-ioniq-hybrid-uk-spec-08

    Setelah dipamerkan pada Mei lalu di My Auto Fest 2016 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa dan Konvensyen Mines (MIECC) dan kemudian dilihat sedang diuji diatas jalan raya Malaysia, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) mengesahkan kepada paultan.org bahawa model hibrid Hyundai Ioniq akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia bulan ini.

    Untuk memastikan ia boleh dijual dengan harga yang kompetitif dengan mengambil kesempatan atas pengecualian cukai untuk kenderaan hibrid CKD, Ioniq versi hibrid – yang turut direka bagi membolehkan ia disesuaikan dengan sistem plug-in hybrid dan EV – akan diproduksi secara pemasangan tempatan di Kulim, Kedah.

    Trio Hyundai Ioniq iaitu hibrid, plug-in hybrid dan EV muncul buat pertama kali pada Geneva Motor Show tahun ini. Ia mula masuk ke pasaran UK bulan lalu, dan agak mengejutkan, Ioniq akan mendarat di Malaysia dalam masa yang singkat. Malaysia juga turut menjadi lokasi pertama untuk memasang Ioniq selain dari kilang Hyundai di Ulsan, Korea.

    2017-hyundai-ioniq-hybrid-uk-spec-13

    Ioniq Hybrid, pencabar terus Toyota Prius, dijana oleh enjin petrol 1.6 liter Kappa GDI empat-silinder berkuasa 105 PS pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 147 Nm pada takat 4,000 rpm. Hyundai mendakwa enjin pembakaran dalam berkenaan merupakan enjin dengan kecekapan haba paling tinggi di dunia pada tahap 40% – sama seperti yang dicapai oleh enjin pembakaran dalam Toyota Prius generasi keempat terkini.

    Enjin berkenaan digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 43 PS dan tork maksima 170 Nm, menerima tenaga dari bateri polimer litium ion berkuasa 1.56 kWh yang ditempatkan di bawah tempat duduk belakang. Kesemua kuasa gabungan berjumlah 141 PS/265 Nm berkenaan dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac-berkembar (DCT) enam-kelajuan.

    Motor elektrik pada Ioniq direka secara spesifik dengan kecekapan bertaraf dunia, termasuk komponen teras (kepingan logam elektrikal) yang lebih nipis sehingga 10% dan wayar tembaga pada bahagian-segi empat untuk mengurangkan teras dan kehilangan tembaga. Motor tersebut membolehkan Ioniq bergerak dengan elektrik sepenuhnya pada kelajuan sehingga 120 km/j.

    2017-hyundai-ioniq-hybrid-uk-spec-17

    Satu lagi perkara menarik pada Ioniq adalah penggunaan kotak gear DCT dan berbanding pesaingnya dari Jepun yang lebih gemar menggunakan transmisi CVT. Hyundai mendakwa transmisi DCT ini merupakan kotak gear terbaik dalam kelasnya menerusi kecekapan pemindahan tenaga yang paling efisien dengan menggunakan galas rendah geseran serta minyak transmisi berkelikatan rendah. Ia turut menampilkan mod Sport yang akan menggunakan nisbah gear rendah lebih lama, dan juga mod Eco yang memberikan penukaran gear tinggi lebih cepat untuk kecekapan penggunaan bahan api lebih baik.

    Ioniq dibina di atas platform yang sememangnya direka khas untuk kereta hibrid. Oleh itu, ia dipadankan dengan pelbagai komponen untuk mengurangkan berat keseluruhan termasuk penggunaan bonet dan pintu tailgate aluminium, terbukti lebih ringan 12.4 kg dari versi logam. Material untuk membina komponen suspensi juga banyak menggunakan aluminium yang mengurangkan berat sebanyak 10 kg, termasuk lengan bawah hadapan yang 4.6 kg lebih ringan dan lengan bawah belakang 7.14 kg lebih ringan. Penutup kargo pada Ioniq ini juga 25% lebih ringan berbanding model Hyundai lain.

    Model hibrid ini menggunakan sistem suspensi multilink yang menggunakan lengan bawah berkembar pada bahagian belakang bagi memberikan lebih keselesaan, manakala stereng pula ditala bagi memberikan respon yang lebih tepat dengan nisbah dipertingkat untuk karekter lebih sporty. Sistem brek juga dioptimakan untuk memberikan prestasi regenerative braking yang maksimum.

    Aerodinamik pada Ioniq turut berada pada tahap yang sangat baik dengan bacaan Cd dicatatkan pada 0.24. Ia dicapai dengan pelbagai faktor termasuk penggunaan tirai udara pada roda hadapan, flap udara aktif pada gril hadapan, kemasan pada bendul sisi, penutup bahagian bawah lantai dan rekaan tertutup pada roda. Seperti juga kereta hibrid lain, Ioniq turut dibekalkan tayar dengan rintangan golekan yang rendah.

    Selain dari kedudukan bateri yang membolehkan ruang kabin direka lebih luas, Ioniq turut menerima penebat bunyi enjin pada bahagian dalam papan pemuka, penyerap hentak panel lantai, filling dipertingkat pada bahagian dalam tiang-A dan -B, cermin tingkap lebih tebal serta filem penapis bunyi pada cermin hadapan – kesemua ini untuk meningkatkan tahap NVH-nya. Ia juga turut diberikan suspensi dengan talaan yang selesa.

    Buat pertama kali, Hyundai menggunakan komponen-komponen yang boleh dikitar semula menerusi Ioniq. Panel bahagian dalam pintu dibuat dari plastik yang boleh dikitar semula dan disalut dengan serbuk kayu dan batu gunung berapi, mewakili 20% dari keseluruhan meterial konvensional lain. Pembalut panel bumbung serta karpet pula menampilkan bahan asas yang diekstrak dari tebu, manakala cat mesra alam kereta ini diadun dengan bahan minyak kacang soya untuk menghasilkan kemasan metalik pada sebahagian komponen.

    Di UK, Ioniq didakwa mencatatkan penggunaan bahan api serendah 3.4 liter untuk 100 km (29.4 km/l), menjadikan ia sebuah model yang begitu menarik perhatian, tambahan pula sekiranya HSDM dapat memberikan harga EEV. Untuk rekaan, seperti juga model-model Hyundai lain, ia turut menampilkan rupa alternatif bagi memberikan pilihan lebih luas kepada pembeli.

    GALERI: Hyundai Ioniq di Malaysia

     
     
  • Monster binaan khas Beautiful Machine wakili Malaysia ke Yokohama; bakal bersaing dengan 600 jentera lain

    aos-harley-davidson-yokohama-14-bm

    Saban tahun, dunia jentera dua roda binaan khas atau kustom di Malaysia semakin rancak perkembangannya; ia tidak lagi hanya bergerak dalam kalangan komuniti-komuniti kecil yang bergerak secara bersendirian di seluruh negara.

    Sebagai contoh, penganjuran acara khusus seperti Art Of Speed (AOS) sejak lima tahun lalu, yang turut melibatkan penyertaan dan antarabangsa menjadi satu tanda aras baharu bagi penggiat dan peminatnya serta menjadi pemangkin dan pembakar semangat untuk mereka terus menyalurkan kreativiti.

    Kini, kita mempunyai satu lagi alasan untuk tumpang berbangga dengan kelompok ini; sebuah jentera binaan khas yang dihasilkan oleh Beautiful Machine Sdn Bhd akan menjadi jentera pertama yang terpilih untuk bertanding dan mewakili Malaysia bagi acara 25th Annual Yokohama Hot Rod Custom Show 2016 yang akan berlangsung pada 4 Disember nanti di Yokohama, Jepun.

    Jentera yang dimaksudkan, “Monster” yang dibangun berdasarkan model Harley-Davidson Heritage Softail tahun 1993 itu pertama kali disiapkan bagi menyertai acara AOS pertengahan 2016. “Selepas itu, kami tergerak hati untuk menghantar penyertaan bagi pusingan pemilihan bagi acara di Yokohama,” jelas Rajay Singh, seorang daripada pengasas Beautiful Machine.

    Jika mengambil kira dari awal proses pembangunan model binaan khas ini sebelum penyertaan dalam AOS lagi, “Monster” mengambil masa sekitar enam bulan untuk sampai ke tahap sekarang. Apa yang dilakukan terhadap motosikal asal? Bagi membangunkan jentera khas ini, sekurang-kurangnya enam individu bergabung tenaga untuk menghasilkannya.

    Selain Rajay sendiri, beliau turut dibantu oleh rakan kongsi garaj berkenaan, Eng Chin Guan serta Julian Oh selaku pereka gaya, dua orang fabrikator yang terdiri daripada Mohd Azman Mat Hassan dan Azrine Zakaria serta seorang jurutera muda, Irwann Mohd Azlan.

    Enjin jentera ini bersesaran 1,340 cc mampu menjana sekitar 100 hp kuasa. Sebagai tambahan modifikasi kepada unit Monster ini, ia kini turut dilengkapi dengan kit supercharger, dibangnkan khusus untuknya dan didasarkan kepada unit sama yang pernah digunakan pada Nissan March.

    aos-harley-davidson-yokohama-03-bm

    “Setakat yang kami pernah cuba sebelum ini, tanpa kit supercharger berkenaan, jentera ini mampu mencapai kelajuan sekitar 170 km/j,” ujar Rajay. Bagaimanapun, dalam konfigurasi kejuruteraannya yang terkini, prestasi sebenar “Monster” masih belum diuji. Satu-satunya komponen asal yang masih kekal daripada versinya yang asal ialah tangki minyak sahaja.

    Modifikasi besar-besaran yang dilakukan terhadap jentera ini menelan belanja sekitar RM300,000. Dan, disebabkan ia dibangun menggunakan oriestasi sebuah jentera drag race, Beautiful Machine juga merancang untuk membawa jentera berkenaan untuk bertanding di Amerika Syarikat tahun depan bagi acara Bonneville Salt Flats Speed Week, sebuah lagi perhimpunan besar-besaran peringkat global bagi peminat jentera kustom dan hot rod.

    Acara di Yokohama akan menampilkan 600 buah jentera binaan khas dari seluruh dunia dan belangsung satu hari, dalam tempoh hanya lapan jam sahaja. Semoga “Monster” ini akan berhasil menarik perhatian penggemar dan pemerhati di sana. Ia akan dihantar ke Jepun esok.

     
     
  • Volkswagen sah tarik diri dari kejohanan WRC

    vw-2016-wrc-champs_bm

    Volkswagen antara pasukan terawal mengumumkan jentera baharu dibina berdasarkan undang-undang baharu dari FIA untuk kejohanan rali dunia (WRC) untuk musim hadapan yang membenarkan jentera lebih agresif dihasilkan menerusi Polo R WRC 2017. Namun, dukacita dimaklumkan pada mesyuarat ahli lembaga pengarah semalam, pasukan berkenaan disahkan akan menarik diri dari kancah saingan WRC untuk musim hadapan.

    Berita ini bukan sekadar mengundang dukacita kerana Polo R WRC 2017 tidak dapat beraksi, hakikatnya pasukan WRC Volkswagen kini berada pada tahap kemuncak prestasinya apabila ia disahkan sebagai Juara kategori pengeluar WRC 2016 di Rali Great Britain, yang merupakan pusingan kedua terakhir untuk musim ini hujung bulan lalu, dan ia merupakan gelaran yang disandang secara berturut-turut sejak empat tahun lalu.

    Dua minggu sebelum gelaran tersebut disahkan, Sebastian Ogier – pelumba utama pasukan WRC Volkswagen telah mengesahkan gelaran juara kategori pemandu di Rali Sepanyol, juga merupakan gelaran yang dipertahankan selama empat tahun berturut-turut, dengan pasukan yang sama. Sejak tahun 2013, Ogier dan VW telahpun mendominasi WRC dengan menjuarai sebanyak 42 dari 51 rali yang disertai.

    vw-wrc-rally-espana-01_bm

    Sebab utama penarikan diri VW dari kejohanan WRC ini tentunya adalah kerana skandal penipuan ujian diesel yang sedang diharungi kumpulan automotif berkenaan, yang turut menyaksikan sebuah lagi jenama dibawah naungannya iaitu Audi juga mengumumkan akan menarik diri FIA World Endurance Championship dan perlumbaan Le Mans bulan lalu.

    “Dengan pengembangan untuk kenderaan-kenderaan elektrik kami pada masa akan datang kami perlu menumpukan semua usaha kami terhadap teknologi masa hadapan. Kami telah jauh menjangkaui sasaran kami dalam WRC, kini kami sedang mengatur semula Volkswagen Motorsport dan mengalihkan teknologi kenderaan masa hadapan dengan jelas kearah fokus berkenaan,” kata Frank Welsch, ahli lembaga Volkswagen yang bertanggungjawab terhadap pembangunan teknikal.

    “Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pemandu dan juruarah kami atas pencapaian cemerlang mereka,” kata Welsch, dan menambah 200 kakitangan Volkswagen Motorsport akan dijamin pekerjaan mereka.

    Walau bagaimanapun, VW masih tetap membina Polo generasi seterusnya dengan spesifikasi kategori R5 untuk program perlumbaan pelanggan mereka yang akan diperkenalkan pada 2018 nanti.

    “Volkswagen akan memberi tumpuan lebih kepada perlumbaan pelanggan. Seperti Golf GTI TCR untuk perlumbaan litar dan Beetle GRC untuk Rallycross, kami juga ingin menawarkan pelanggan produk terbaik dan akan membangunkan Polo baru mengikut undang-undang R5,” kata Welsch.

    “Sudah tentu, kami dukacita atas penarikan diri dari WRC kerana ia merupakan bab paling berjaya dalam sejarah sukan permotoran jenama Volkswagen. Pasukan ini telah melakukan perkara yang besar. Pada masa yang sama, visi kami adalah tegas ke hadapan, kerana kami sedar cabaran besar yang dihadapi seluruh syarikat. Kami mahu penyusunan semula ini untuk menyumbang kepada kejayaan jenama Volkswagen, “kata pengarah pasukan Sven Smeets, yang akan menyelia penampilan terakhir pasukan itu di Rali Australia bulan ini.

    vw-rally-gb-1_bm

    “Mulai sekarang, tumpuan diberikan kepada teknologi yang akan datang dalam sukan permotoran dan pelbagai peringkat sukan bermotor pelanggan kami, di mana kami akan meletakkan diri kami lebih meluas dan menarik,” tambahnya.

    Hyundai i20, Ford Fiesta dan Citroen C3 akan kekal bersaing dalam WRC musim hadapan dengan undang-undang baharu yang lebih agresif. Berbeza dengan VW, Toyota akan kembali semula dalam WRC untuk musim hadapan setelah menarik diri dari kejohanan berkenaan 18 tahun lalu dengan jentera baharu Yaris WRC.

     
     
  • Toyota dan Mazda akan bekerjasama bangunkan kenderaan sambungan pintar dan kuasa elektrik (EV)

    2016_toyota_yaris_quebec-12-e1443751067967-850x451-bm

    Toyota Motor Corporation dan Mazda Motor Corporation kini sedang bergabung tenaga dalam bahagian pembangunan kenderaan sambungan pintar dan penggerak elektrik, menurut satu laporan daripada Automotive News. Kata timbalan presiden eksekutif Mazda, Akira Marumoto, dua pengeluar kenderaan ini sedang berbincang secara mendalam sejak tahun lepas lagi, namun beliau tidak memberitahu subjeknya.

    Tahun lepas, dua pengeluar ini telah menandatangani satu perjanjian, yang mana menjelaskan Toyota akan menyediakan teknologi hibrid dan advanced fuel-cell mereka kepada Mazda, sementara Mazda pula akan berkongsi teknologi enjin petrol dan diesel SkyActiv mereka sebagai balasan.

    Kerjasama teknologi antara Mazda dan Toyota ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana pengeluar kenderaan Jepun lain juga melakukan langkah yang sama sejak baru-baru ini, sama ada melalui perolehan atau gabungan dalam syarikat. Paling baru adalah Nissan membeli pegangan utama dalam Mitsubishi awal tahun ini. Toyota pula membeli lebihan saham dalam Daihatsu Motor Company dan masih meneroka kerjasama penyelidikan dan pembangunan dengan Suzuki.

    Presiden Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda, dan pengerusi Suzuki, Osamu Suzuki memberitahu bahawa perbincangan antara kedua pihak bermula apabila permintaan kewangan semakin menakutkan untuk mengejar pembangunan kenderaan elektrik dan lebih maju. Toyota juga mempunyai pegangan dalam Isuzu, Fuji Heavy Industries dan Hino Motors.

     
     
  • GIVI lantik Anita Yusof sebagai duta jenama barangnya

    new-givi-ambassador3

    Anita Yusof adalah seorang pensyarah dan guru yang sentiasa gemarkan cabaran. Setelah puas mengembara serata dunia menggunakan pengangkutan awam, beliau meningkatkan lagi cabaran dengan memilih motosikal sebagai pengangkutan utama.

    September lalu, Anita pulang dari pengembaraan bermotosikal terbesar secara solo yang pernah beliau lakukan, mengelilingi dunia sejauh lebih 65,000km, merentasi 4 benua dan 40 negara. Untuk itu, GIVI menganggap Anita sebagai seorang yang berhati waja dan kental.

    Sepanjang perjalanan itu juga GIVI sentiasa memberi sokongan kepada Anita termasuk menyediakan motosikal beliau dengan aksesori yang diperlukan. Apabila pulang daripada pengembaraan getir ini, selain Anita sendiri, barangan GIVI itu juga terbukti tahan.

    Dengan pengalaman luas seperti itu, Givi akhirnya melantik Anita sebagai duta jenama barangan GIVI. Menurut Pengarah Operasi Antarabangsa GIVI, Joseph Perucca, Anita memberi maklum balas yang sangat berguna untuk penambahbaikan barangan GIVI dan beliau merupakan testimoni yang terbaik.

     
     
  • PSKLM nafi kadar tol naik 16 November ini

    2015-npe-pantai-dalam-toll-plaza- 001

    Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) mendakwa berita yang tersebar melalui media sosial berhubung kenaikan kadar tol di beberapa lebuh raya utama berkuat kuasa 16 Nov ini hanyalah khabar angin dan ianya tidak benar, lapor Bernama.

    Menurut Timbalan Yang Dipertua PSKLM Sazally Saidi, khabar angin yang menyebut kadar tol di beberapa lebuh raya antaranya Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) akan naik antara RM1 dan RM5.70 mulai Isnin, 16 Nov, dipercayai telah dikitar semula oleh pihak tidak bertanggungjawab.

    “16 Nov tu pun hari Rabu bukannya Isnin macam dalam ‘statement hoax’ (kenyataan palsu) itu,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

     
     
  • Volvo S90 L dan Excellence didedahkan di China

    Volvo S90 Excellence interior keyboard

    Kita di Malaysia masih lagi menunggu ketibaan Volvo S90, tetapi di China, versi kemaskini sedan mewah berkenaan sudah pun didedahkan. Dua model diperkenalkan iaitu model dengan jarak roda lebih panjang dan sebuah lagi model tiga-tempat duduk yang lebih mewah dan eksklusif digelar S90 Excellence – membuat kemunculan sulungnya untuk peringkat global.

    Untuk pasaran China, mereka tidak menerima S90 versi standard – hanya versi jarak roda lebih panjang S90 L (ditarik 120 mm lebih panjang) dijual untuk pasaran tersebut. Model ini diproduksi di kilang Volvo Daqing, China dan disifatkan sebagai “kereta paling premium pernah dibuat di China” serta bakal dieksport untuk peringkat global.

    Model istimewa tiga-tempat duduk Volvo S90 Excellence turut dibina berdasarkan platform jarak roda panjang berkenaan. Berbeza dengan XC90 Excellence yang masih mengekalkan empat tempat duduk, sedan mewah ini benar-benar dibina dengan hanya tiga-tempat duduk, di mana tempat duduk penumpang hadapan digantikan dengan “Lounge Console“. Volvo juga mendakwa material berkualiti tinggi yang digunakan di dalam kabin S90 ini turut memberikan suasana mewah yang mengasyikkan.

    Volvo S90 Excellence exterior front 3/4

    Volvo S90 Excellence exterior front 3/4

    Model ini juga menerima ciri eksklusif seperti bumbung panaromik penuh, meja kerja yang boleh dilipat, ruang simpanan tambahan, pemegang cawan dengan pemanas dan penyejuk, perehat kaki boleh laras, dan sistem hiburan bina-dalam bersama paparan besar bersepadu. Tempat duduk belakang turut diberikan unit kawalan-sentuh, peti sejuk bina-dalam dan juga gelas dari pembuat gelas dari Sweden – Orrefors.

    S90 Excellence hanya dijana dengan pilihan unit janakuasa paling berkuasa T8 Twin Engine plug-in hybrid (sama seperti SUV XC90 T8 pasaran Malaysia), manakala untuk model S90 L pula turut menerima pilihan enjin petrol yang lebih mampu milik iaitu T4 dan T5.


    GALERI: Volvo S90 L

    GALERI: Volvo S90 Excellence

     
     
  • Geely hanya berminat dengan kerjasama teknologi

    Lotus_TheGardens-20

    Susulan kepada laporan semalam, bahawa Geely mungkin berminat untuk ambil alih Lotus, pengerusi syarikat dari China itu, Li Shufu telah menjelaskan bahawa Geely hanya berminat untuk mengadakan kerjasama teknologi sahaja. “Kami tak pernah berbincang tentang pembelian ekuiti,” tambah beliau.

    Selain pengeluaran kenderaan, Lotus turut menyediakan perkhidmatan rundingan kepada pegeluar lain sebelum ini. Walaupun Li menafikan syarikat itu ada menyerahkan kertas cadangan untuk pembelian Lotus, beliau mencadangkan bahawa Geely berminat untuk bekerjasama dengan pengeluar dari British itu, tetapi tidak dihuraikan dengan lebih lanjut.

    Syarikat induk Geely, Geely Holding Group kini turut merupakan pemilik jenama Volvo dan London Taxi Company. Li menjelaskan buat masa ini tiada rancangan untuk menambah bilangan jenama di bawah syarikat mereka; menumpukan perhatian kepada Geely-Volvo merupakan keutamaan untuk meningkatkan penampilan syarikat itu diperingkat global.

     
     
  • Honda Civic dengan modifikasi muncul di SEMA

    SEMA 2016

    SEMA 2016

    Di Amerika Utara, Honda Civic bukanlah nama yang asing bagi kelompok modifikasi kenderaan. Pameran lima buah Honda Civic yang diberi sentuhan ubah suai yang menarik yang dipamerkan di SEMA 2016 mengukuhkan lagi perkara ini.

    Pertama, Civic Coupe kuning yang dibangunkan oleh TJIN Edition. Ia tidak hanya ubah suai kosmetik, tetapi turut libatkan modifikasi mekanikal. Kit bahagian depan adalah daripada Apollo Top One Auto Part, sementara kit sisi badan dan bahagian belakang menggunakan aksesori daripada Honda Factory Performance Accessories. Kedudukan yang lebih rendah disumbangkan oleh sistem suspensi BC Racing BR Series, dengan rim Rotiform OZT dan brek Baer. Material ruang dalaman menggunakan kulit dari Katzkin.

    Mad Industries menggunakan pendekatan yang sama sepeti TJIN bagi Civic Coupe biru yang dihasilkan. Ia antaranya menggunakan kit gentian karbon dari Carbon 2 Carbon dan bampar belakang dengan rekaan ekzos tunggal di tengah. Suspensi pula menggunakan Eibach Pro Kit, dipadankan dengan tayar Toyo T1R dan rim Rotiform QLB.

    Satu-satunya Civic sedan yang diberi modifikasi adalah Civic X Concept oleh Meguiars. Dengan suspesi coilover menjadikannya lebih rendah, ia dipadankan dengan rim SSR serta bonet gentian karbon memberikan imej yang lebih ranggi. Ruang dalaman menampilkan penggunaan material kulit Alcantara. Talaan enjin turut dilakukan oleh Greddy.

    Tidak ketinggalan sebuah unit untuk litar lumba. Dengan palang keselamatan (roll cage) yang mengikut spesifikasi FIA, jentera ini akan membuat penampilan sulung dalam perlumbaan 25 Hours of Thunderhills Disember nanti. Spesifikasi litar bagi rekaan badan, enjin dan transmisi juga akan disediakan kelak kepada pasukan ini, oleh Honda Performance Development (HPD).

    Akhir sekali, Civic hatchback yang dilengkapi dengan kit dan produk penuh Honda Factory Performance. Ini termasuk kit badan lengkap, termasuk juga rim 19 inci baharu serta cakera brek; semuanya dengan loga HFP. Pameran SEMA sedang berlangsung di Pusat Persidangan Las Vegas, dari 1 hingga 4 November.

     
     
  • Hukuman pelik menanti pemandu di Shenzen, China – memandu dengan memasang lampu tinggi dihukum memandang silauan lampu tinggi selama seminit

    Ford S-Max Adaptive LED Headlamps with Glare-Free Highbeam-01

    Bagi pemandu kenderaan yang menggunakan lampu tinggi (high beam) sewaktu memandu, ada hukuman pelik menanti. Ia diimplementasikan di Shenzhen, selatan China, pemandu yang berbuat demikian akan dihukum memandang silauan lampu tinggi kenderaan dalam tempoh seminit, laporan South China Morning Post.

    Baru-baru ini, polis di bandar tersebut telah mengumumkan hukuman ini bakal dilaksanakan, di mana pesalah akan duduk di atas kerusi dan harus memandang silauan lampu tinggi tersebut selama 60 saat.

    Bukan itu sahaja, pesalah juga akan disaman sebanyak 300 yuan (RM186), di samping amaran sepenuhnya dibaca sendiri iaitu penggunaan lampu tinggi sepenuhnya hanya boleh digunakan pada waktu dan tempat yang tertentu sahaja.

    Maklumbalas daripada masyarakat di sana, rata-ratanya memberikan persetujuan kerana tindakan ini dilihat mampu mengekang kemalangan jalanraya yang berlaku disebabkan penggunaan lampu tinggi dalam keadaan yang tidak sesuai. Malah media di China sering melaporkan berita kemalangan yang membabitkan kematian apabila pemandu menggunakan lampu tinggi sepenuhnya yang cukup menyilaukan.

    Sebelum ini, pihak polis hanya mengeluarkan saman terhadap pesalah iaitu antara 100 hingga beberapa ratus yuan, namun perkara ini didapati semakin menjadi-jadi. Maka hukuman yang dirasakan lebih setimpal harus dilaksanakan.

     
     
  • Toyota Levin 1.2T – enjin kecil, turbocaj untuk China

    toyota-levin-corolla-1-2-turbo-01-850x476

    Toyota Levin di China kini menerima pembaharuan; penggunaan enjin baharu 1.2 liter turbocaj serta lampu nyalaan siang LED. Untuk makluman, model berkenaan merupakan versi tersendiri bagi model Corolla hasil usaha sama antara GAC-Toyota (Guangqi-Toyota) bagi pasaran di sana. FAW-Toyota pula menjual Corolla yang berlainan, yang lebih mirip kepada model Altis.

    Menggantikan model lama yang menggunakan enjin 1.6 liter, enjin baharu 9NR-FTS 1.2 liter empat silinder dengan turbocaj dan suntikan terus menjana 116 hp dan 185 Nm tork – sama seperti unit yang sedang digunakan pada model hatchback Auris untuk pasaran Eropah. Transmisi 6-kelajan manaul atau CVT ditawarkan kepada model Levin 1.2T, dengan lambang D-4T.

    Ciri baharu, Toyota Smart Stop System kini merupakan ciri standard untuk memperbaiki penggunaan minyak. Model dengan transmisi CVT juga hadir dengan Sport Mode. Di China, model ini dijual pada harga 109,800 hingga 133,800 yuan (RM68k hingga RM83k), di bawah Levin 1.8.

    Belum tentu sama ada enjin petrol yang lebih kecil sesarannya ini akan ditawarkan untuk pasaran lain. Sebelum ini, sistem pacuan pad Levin HEV dengan enjin 1.5 liter hibrid juga masih terhad hanya untuk pasaran China.

     
     
  • Syarikat penyedia pengangkutan awam harus contohi Prasarana bagi polisi bayaran balik – 4PAM

    LRT rail pix Bernama

    Persatuan Pengguna-Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM) telah mengemukakan cadangan agar syarikat penyedia pengangkutan awam lain turut menggunakan polisi yang sama yang diamalkan oleh Prasarana Malaysia Bhd dalam membuat bayaran balik kepada penumpang yang mengalami kelewatan.

    Menurut Presidennya Ajit Johl, kenyataan yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri di Dewan Rakyat pada 31 Oktober lepas dianggap sebagai langkah positif bagi pengguna pengangkutan awam, laporan Bernama.

    “Kami mahu ia menjadi amalan standard oleh semua penyedia pengangkutan awam. Pengusaha bas, sama ada antara bandar atau bas ekspres, pengusaha teksi dan semua pengendali tren seharusnya mempunyai polisi ini dan mekanisme mudah untuk membuat bayaran balik,” ujar beliau.

    Tambahnya lagi, walau bagaimana pun Prasarana harus mengkaji semula syarat yang ditetapkan iaitu hak tuntutan itu terbatal dengan sendirinya jika pengguna masih meneruskan perjalanan dengan menaiki perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) atau KL Monorel.

    Nancy dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah) di Dewan Rakyat berkata polisi yang diamalkan Prasarana adalah sekiranya berlaku kelewatan yang melebihi 15 minit, pengguna mempunyai hak untuk menuntut kembali tambang yang dibayar atau mendapatkan kupon sebagai tiket ganti untuk perjalanan pada keesokan harinya.

    Polisi sama akan diguna pakai untuk laluan Mass Rapid Transit (MRT) yang bakal dikendalikan Prasarana, dijangka beroperasi hujung tahun ini.

     
     
  • JPJ sangkal dakwaan kenderaan Singapura tanpa VEP tidak dibenarkan memasuki Malaysia menerusi Johor

    johor-causeway-jam-bernama-pix-630x388

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor telah menyangkal dakwaan terdapat beberapa kenderaan pendaftaran Singapura yang tidak dibenarkan memasuki Kompleks Sultan Abu Bakar di Link Kedua kerana tidak mendaftar dengan sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP).

    Menurut Pengarah JPJ negeri tersebut, Mohd Rusdi Mohd Darus, kerajaan Malaysia masih belum melaksanakan sistem VEP. Justeru, dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali.

    “Kita baru saja melaksanakan caj jalan raya (RC) sebanyak RM20 sejak semalam, tetapi VEP belum dilaksanakan” ujarnya ketika dihubungi oleh News Strait Times.

    Sehingga kini, lebih 120,000 kenderaan dari Singapura mendaftar dengan sistem VEP dan dianggarkan 60 peratus daripada satu juta kenderaan yang keluar masuk Malaysia melalui dua pintu keluar masuk dalam tempoh sebulan merupakan kenderaan dari Singapura.

    VEP yang dicadangkan pada 2006, sepatutnya bermula pada 16 Julai lalu bagi kenderaan asing memasuki Johor, tetapi telah ditangguhkan sebanyak empat kali sebelum ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025