Lim Guan Eng menyatakan, kutipan tol di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sepatutnya dimansuhkan dan bukannya dinaikkan lagi. The Malay Mail Online melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendakwa PLUS sudahpun memperoleh semula kos pembinaan dan semua perbelanjaan yang terlibat dahulu, yang mencecah RM5.9 bilion.
Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof yang memaklumkan jumlah keseluruhan yang telah dikutip oleh PLUS setakat tahun 2015 ialah RM36.39 bilion. “Ini ditambah pula dengan pampasan yang dibayar oleh kerajaan kepada PLUS akibat penangguhan kenaikan tol sehingga 2015 ialah RM917.1 juta,” tambah beliau.
“Dalam maksud lain, jumlah RM36.39 bilion yang telah dikutip daripada pengguna itu adalah enam kali ganda daripada kos asal,” merujuk kepada kenyataannya yang dikeluarkan hari ini. Lim juga menambah, kos pengambilan tanah ketika itu ditanggung oleh kerajaan persekutuan.
“Jika kita mengambil kira kos penyelenggaraan serta pelebaran jalan, kos berkenaan tidak akan melebihi jumlah RM36.39 bilion yang dikutipd daripada pengguna,” ujarnya. Untuk itu, menurut Lim, kutipan tol PLUS sepatutnya dimansuhkan.
“Memandangkan PLUS sudah meraih pendapatan melebihi daripada perbelanjaan modalnya, kenapa kadar tol tidak diturunkan untuk mencerminkan hanya kepada kadar kos penyelenggaraan sahaja?” tanya beliau.
Mengulas kenyataan Fadillah sebelum ini bahawa kenaikkan tol bagi empat lebuh raya tahun depan akan ditangguh, Lim menyatakan itu hanya “kejayaan kecil” kepada pengguna kerana hakikatnya, rakyat (wang cukai) masih perlu membayar pampasan berjumlah RM59.77 juta kepada konsesi tol yang terlibat.
Lim juga ingin tahu sama ada tempoh konsesi bagi empat lebuhraya berkenaan Eastern Dispersal Link (EDL), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Senai-Desaru Expressway (SDE) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) akan dilanjutkan lagi susulan pembayaran pampasan berkenaan, seperti yang dilakukan terhadap PLUS yang menerima tambahan 20 tahun, dari 2018 hingga 2038 atas alasan yang sama.
Satu-satunya pusat servis Volkswagen bertauliah di Sabah kini secara rasminya telah mula beroperasi. Dimiliki oleh Kota Bumi Sdn Bhd, pusat servis berkenaan terletak di Lot 162, Lok Kawi Industrial Estate, KM18, Lok Kawi, 88820 Kota Kinabalu – dibuka setiap Isnin hingga Sabtu bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.
Untuk memenuhi kehendak pelanggan di Sabah, pusat servis ini mempunyai sejumlah tiga ruang servis serta sepasukan juruteknik yang berpengalaman dan bertauliah. Pusat ini juga merupakan satu-satunya pusat untuk pelanggan di Sabah bagi membuat sebarang tuntutan waranti untuk kenderaan berjenama Volkswagen mereka yang dilindungi waranti selama lima tahun.
Sebagai promosi sempena pembukaannya, pusat servis ini menawarkan pemeriksaan diagnostik percuma untuk semua model Volkswagen, diskaun 20% untuk caj upah bagi kerja-kerja servis dan juga diskaun tamabahan 3.5% untuk alat ganti. Promosi ini hanya sah sehingga 30 November ini sahaja.
Pelaksanaan biodiesel B10 bagi industri pengangkutan di Malaysia akhirnya akan bermula pada 1 Disember, memetik laporan Reuters. Agensi berita itu melaporkan pelaksaan itu akan berlangsung secara berperingkat bermula dengan Johor, sementara biodiesel B7 bagi sektor industri turut akan dilaksanakan pada tarikh sama di seluruh negara.
Tindakan berkenaan dinyatakan di dalam emel daripada Lembaga Sawit Malaysia kepada pemain-pemain industri. Bagaimanapun, stesen minyak yang menjual diesel Euro 5 serta jentera-jentera industri yang tidak sesuai dengan penggunaannya adalah dikecualikan daripada pelaksanaan terbaharu ini.
Pelaksanaan penuh biodiesel B10 ini dijangka akan menggunakan 750,000 tan sawit setiap tahun, seperti dinyatakan oleh Menteri Perusahaan Perdagangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong Ogos lalu. Kerajaan sepatutnya ingin memperkenalkan biodiesel berkenaan Jun lalu, tetapi ditunda selepas ia didakwa tidak serasi dengan spesifikasi pengeluar kenderaan.
Kami turut meminta pandangan daripada jurucakap BMW Malaysia, yang mencadangkan bahawa semua pengguna kenderaan keluaran jenama itu untuk menggunakan diesel Euro 5, yang kekal dengan campuran B7. “Enjin-enjin kenderaan kami berfungsi dengan lebih baik dengan diesel Euro 5,” jelas beliau.
Nissan telah mendedahkan perincian awal berkenaan untuk model Note e-Power, serentak dengan penjualannya yang kini telah bermula di Jepun. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, sistem hibrid dengan enjin penambah jarak (range extender) untuk Note ini bukanlah seperti sistem hibrid sedia ada seperti sistem pada jenama Honda atau Toyota. Bagaimana ia berfungsi?
Note e-Power dibekalkan dengan enjin HR12DE 1.2 liter tiga-selinder berkuasa 79 PS/103 Nm. Kuasa dari enjin ini tidak dialirkan ke mana-mana transmisi, gandar dan roda, sebaliknya hanya digunakan untuk mengecas bateri motor elektrik yang akan memacu kereta ini. Jadi, model ini dibekalkan dengan motor elektrik yang sama dari model EV sepenuhnya iaitu Nissan Leaf, berkuasa 109 PS dan tork maksima 254 Nm yang sentiasa bersedia walaupun pedal pendikit belum ditekan.
Dengan tork berada pada tahap maksima walaupun kereta belum bergerak, Note e-Power tidak memerlukan kotak gear dan kuasa dari motor elektrik akan terus dialirkan ke kedua-dua roda hadapan, sama seperti Leaf. Menurut Nissan, dengan enjin penambah jarak yang berfungsi sebagai generator, ia hanya memerlukan bateri yang kecil (hanya 1/20 dari saiz bateri Leaf) untuk menyimpan kuasa, disamping pemandu mendapat kuasa yang sama seperti kenderaan EV sepenuhnya.
Menerusi bentangan sistem ini, Note e-Power mencatatkan penggunaan bahan api 37.2 km untuk setiap liter petrol dalam kitaran ujian JC08 Jepun. Untuk mengurangkan bunyi dari enjin petrol ketika ianya sedang berfungsi, kesemua model menampilkan penebat bunyi lebih banyak pada bahagian hadapan dan belakang, manakala varian tertinggi Medallist turut menerima penebat bunyi pada kedua-dua bahagian sisi bagi menyaring bunyi dari jalan raya.
Untuk membezakan model hibrid dan model petrol standard, e-Power diberikan kemasan biru disekeliling gril dan juga lencana-lencana e-Power ditempat-tempat sepatutnya. Pada bahagian dalaman pula, ia menerima suis penukar mod yang diambil dari Leaf menggantikan tuil penukar gear konvensional. Ia juga diberikan paparan instrumen yang tersendiri yang turut memberikan pelbagai informasi untuk sistem janakuasanya.
Ia dijual pada harga bermula 1,772,280 yen (RM72,000) untuk varian asas e-Power S yang hadir denga lampu hadapan halogen, roda besi 14-inci dengan penutup hab, sistem kunci pintar dengan butang penghidup serta penghawa dingin manual. Untuk varian e-Power X pula, ia dijual pada harga 1,959,120 yen (RM79,600) dan ia ditambah dengan penghawa dingin automatik, Bantuan Brek Pintar serta Amaran Keluar Lorong.
Varian tertinggi e-Power Medalist pula dijual pada harga 2,244,240 yen (RM91,200) dan ia turut dilengkapi lampu hadapan LED, lampu kabus, roda aloi 15-inci, stereng balutan kulit dan juga perehat tangan bahagian belakang.
Nissan turut mendedahkan perincian terhadap semua model Note facelift dimana kini semua model menerima gril hadapan V-motion yang lebih menonjol, bersambung dengan lampu utama baharu serta bampar hadapan yang disentuh semula – memberikan imej lebih rendah dan lebar pada Note ini. Di bawahnya, gril dengan elemen krom di tengah turut ditampilkan bersama lampu kabus yang direka semula. Lampu belakang LED juga telah diberikan grafik signatur boomerang, dipadankan bersama bampar belakang baharu.
Pada bahagian dalaman, Note menerima roda stereng tiga jejari rekaan rata dibawah yang diambil terus dari Serena generasi baharu. Monitor Pandangan Sekeliling Pintar yang bersepadu dengan cermin pandang belakang diberikan sebagai opsyen.
Untuk model petrol sepenuhnya pula, pembeli diberikan dua pilihan enjin iaitu enjin 1.2 liter HR12DE sama seperti pada model e-Power (tetapi lengkap dengan transmisi dan kuasa dari enjin dialirkan ke roda hadapan) atau enjin 1.2 liter HR12DDR dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 98 PS/142 Nm.
Kedua-dua enjin berkenaan dipadankan bersama kotak gear CVT Xtronic, memacu roda hadapan. Untuk model pacuan semua roda pula, ia turut dipadanakan dengan motor elektrik yang diletakkan dibahagian belakang untuk memacu roda belakang.
Note versi enjin petrol ini dijual pada harga bermula 1,393,200 yen (RM56,700) hingga 1,985,040 yen (RM80,700), dengan pilihan varian S, X, Medalist X, X DIG-S, serta model Medallist suntikan bahan api terus. Nissan juga turut menawarkan pakej Mode Premier untuk varian X, X DIG-S dan model e-Power X yang hadir bersama kit badan Autech serta roda aloi dua ton bersaiz 16-inci.
Ford adalah antara pengeluar yang membawa banyak kenderaan modifikasi ke pameran SEMA 2016 di Las Vegas. Selain Fiesta, F-150 dan Focus, sudah tentu model yang turut berada di sana adalah Mustang. Bagi model Mustang GT4 ini, ia adalah istimewa kerana bukan untuk kegunaan di atas jalan biasa, tetapi khas untuk perlumbaan.
Ia dibangunkan bersama oleh Ford Performance dan Multimatic Motorsports untuk bersaing dalam siri perlumbaan global kenderaan sports termasuk GT4 European Series. Jika dalam perlumbaan FIA World Endurance Championship, Mustang GT4 ini akan terletak satu kelas dengan kenderaan lumba seperti Porsche 911 RSR, Ferrari 488 GTE dan Aston Martin Vantage. Kereta ini juga mendapat inspirasi daripada Ford Shelby GT350R-C yang memenangi kejuaraan IMSA Continental Tire SportsCar Challenge di Amerika Syarikat bulan lepas.
“Semakin nama mustang terus berkembang dalam pasaran seluruh dunia, begitu juga dengan penglibatannya dalam dunia sukan permotoran. Mustang GT4 ini serba lengkap untuk bersaing dan menawan litar di seluruh dunia, dan kami menjangka ia akan menjadi popular di kalangan pelumba, seperti juga model produksinya,” kata pengarah global Ford Performance, David Pericak.
Enjin yang digunakan pada Mustang GT4 adalah unit 5.2 liter V8 N/A khas untuk perlumbaan dan ditala secara khusus untuk perlumbaan GT4. Enjin ini dibangunkan, diperiksa dan dibina oleh Ford Performance dengan kerjasama Roush Yates Engines.
Transmisi Holinger enam kelajuan kompak serba ringan, lengkap dengan pedal penukar di stereng digunakan untuk penyampaian kuasa dan penukaran gear transmisi ini terbukti pantas, positif dan konsisten dalam perlumbaan. Sistem takungan minyak kering turut digunakan bersama klac plet berkembar dan flywheel ZF.
Pada bahagian casis, Mustang GT4 mempunyai kelengkapan seperti penyerap hentakan Dynamic Suspension Spool Valve (DSSV) dari Multimatic untuk jangkaan lebih mudah, ketepatan, pengulangan dan kawalan kenderaan terbaik. Juga terdapat rear lower control arms yang direka khas untuk spring coil-over serta stabiliser hadapan dan belakang, dari Multimatic. Setiap rimnya menggunakan unit aloi diperkuat serba ringan dari Forgeline, serta cakera dan angkup brek Brembo.
Ciri aerodinamik ditingkatkan dengan pemasangan sayap belakang, pembelah angin hadapan, lubang udara pada hud, diveplane dan diffuser belakang. Di dalam, kenderaan lumba global ini menggunakan roll cage berkelulusan FIA dan pengumpul data MoTeC.
Ini adalah varian ketiga dan terakhir yang melengkapi keluarga Audi A5 yang dinamakan sebagai Audi A5 Cabriolet 2017. Ia datang selepas A5 Coupe dan A5 Sportback, dan memberi keistimewaan sendiri dengan bumbung yang boleh dibuka secara elektronik.
Seperti sebelum ini, Audi telah memilih bumbung jenis fabrik lembut untuk A5 Cabriolet dan operasinya mengambil masa 15 saat untuk dibuka dan 18 saat untuk ditutup, bermula apabila butang ditekan. Ini boleh dilakukan pada kelajuan sehingga 50 km/j. Hasil daripada sistem kedap bunyi yang efektif, pemandu tidak akan begitu terkesan dengan bunyi rintangan angin pada kenderaan ini.
Bagi menguatkan kenderaan ini, jika dibanding dengan versi Coupe, Audi telah menambah badan A5 Cabriolet dengan besi sokongan serta kerangka yang diperkuat. Sekiranya berlaku perlanggaran dan kenderaan terbalik, beg udara bahagian toraks kepala dan pelindung aluminium yang akan keluar secara automatik akan memberikan perlindungan tambahan kepada yang berada di dalamnya.
Pada bahagian lain, perubahannya berbanding A5 Cabriolet sebelum ini adalah sama sahaja seperti A5 Coupe yang terbaru, memandangkan ia hanyalah versi tanpa bumbung bagi kenderaan dua pintu tersebut. Bahagian hadapan melihatkan penggunaan gril 3D Singleframe yang lebih rata dan lebar berbanding sebelum ini, bersama ‘garisan bahu’ yang lebih jelas.
Rekaan unik yang terdapat pada A5 Cabriolet adalah lampu brek ketiganya disepadukan secara kemas pada bahagian atas penutup but. Ini perlu dilakukan kerana tiada cermin belakang yang tetap pada kenderaan ini.
A5 Cabriolet berukuran 4,673 mm, iaitu 47 mm lebih panjang berbanding model sebelum ini dan jarak rodanya adalah 2,765 mm (14 mm lebih panjang). Hasilnya, lebih ruang dapat dinikmati di bahagian dalam. Digabungkan dengan tempat duduk hadapan yang lebih nipis, ruang kelegaan kaki bahagian penumpang belakang yang disediakan adalah 18 mm, sementara ruang bahu hadapan juga mendapat tambahan sebanyak 26 mm dan ruang simpanan belakang menjadi 380 liter (tambahan 60 liter). Tempat duduk belakang boleh dilipat 50:50 dan semua A5 Cabriolet mempunyai penutup but automatik yang boleh dibuka dengan menghayunkan kaki di bahagian bawahnya.
Audi memberitahu, kekuatan kilasan bagi A5 Cabriolet ini meningkat sebanyak 40 peratus berbanding model sebelum ini dan pada masa sama, beratnya masih dapat dikurangkan sehingga 40 kg.
Suspensi lima sambungan yang diperbaharui digunakan pada bahagian gandar hadapan, sementara di belakang, suspensi sambungan trapezoid juga diganti dengan suspensi jenis lima sambungan ini. Penyerap adaptif boleh didapati sebagai pilihan tambahan, dan ia akan dimasukkan ke dalam sistem pilihan mod pemanduan Audi standard yang sudah sedia ada. Juga boleh didapati sebagai tambahan adalah stereng dinamik, yang boleh mengubah nisbah gear stereng bergantung kepada kelajuan dan sudut pusingan stereng.
A5 Cabriolet akan dilancarkan di Eropah dengan tiga pilihan enjin – 2.0 TFSI dengan 252 hp, 2.0 TDI dengan 190 hp dan 3.0 TDI dengan 218 hp. Ia kemudiannya akan disertai oleh 2.0 TFSI dengan 190 hp dan 3.0 TDI dengan 286 hp. Pilihan kotak gear pula terdiri daripada manual enam kelajuan, S tronic klac berkembar tujuh kelajuan dan automatik Tiptronic lapan kelajuan. Secara standard, ia datang dengan pacuan dua roda hadapan, tetapi orang ramai masih boleh memilih sistem pacuan Quattro AWD.
Bagi yang inginkan lebih prestasi, anda boleh memilih S5 Cabriolet, dan versi ini dikuasakan enjin turbo 3.0 TFSI dengan 354 hp dan 500 Nm tork di antara 1,370 hingga 4,500 rpm. Ini bersamaan dengan lebih kuasa berbanding enjin enam silinder supercas sebelum ini, dan pecutan 0-100 km/j boleh dilaksanakan dalam masa 5.1 saat. Sistem pacuan AWD dan transmisi automatik adalah standard dan unsur rekaan S biasa juga boleh didapati bagi membezakan variannya.
Kelengkapan lain pada A5 Cabriolet adalah sama seperti A5 yang lain (sistem bunyi 3D 19 pembesar suara Bang & Olufsen, kokpit virtual Audi, kotak telefon Audi dengan pengecas Qi, MMI Navigation Plus serta MMI Touch), tetapi terdapat satu kelengkapan tambahan iaitu mikrofon yang terletak pada tali pinggang untuk pemandu dan penumpang hadapan, supaya suara masih boleh didengari walaupun bumbung dibuka.
Di Malaysia, Audi baru sahaja melancarkan model A4 B9 sementara A5 Coupe pula hanya dijangka akan dilancarkan pada tahun 2017.
Ford sekarang ini sedang membangunkan sistem stereng yang dipanggil evasive steering assist, untuk melengkapi sistem autonomous emergency brake (AEB), dalam waktu kecemasan dan mengelakkan sebarang perlanggaran.
Cara dua sistem ini bekerja juga hampir sama, iaitu dengan mendapatkan input daripada radar dan kamera yang ada untuk menentukan kadar pengurangan laju kereta berbanding kereta lain di hadapan. Dengan data itu, sekiranya brek sahaja dirasakan tidak mencukupi untuk mengelak perlanggaran, stereng juga akan dijadikan lebih pantas bagi membantu pemandu.
“Sebaik sahaja pemandu cuba mengelak kenderaan yang lebih perlahan dalam keadaan kecemasan, evasive steering assist akan aktif untuk membantu pemandu melakukan pengendalian agresif dengan menjadikan stereng lebih pantas,” kata pakar teknikal pemanduan automatik dan kawalan brek Ford, Peter Zegelaar.
Evasive steering assist hanya akan bertindak apabila pemandu mengelak secara tiba-tiba, bermakna ia tidak akan masuk mengganggu secara sendiri dalam pemanduan biasa. Sebagai tambahan kepada sistem stereng baru ini, Ford juga sedang membangunkan sistem yang dapat mengelak pemandu memandu dalam arah bertentangan. Sistem ini mendapat input daripada sistem pengecaman tanda trafik, yang sudah pun berada pada beberapa kenderaan.
Selain itu, Ford juga mengumumkan sedang membangunkan sistem amaran trafik bertentangan sendiri, yang boleh memberi amaran kepada pemandu sekiranya terdapat trafik dari belakang apabila mereka mengundur. Turut diperbaiki adalah sistem bantuan letak kereta aktif yang bertujuan untuk memasukkan kenderaan di dalam kotak letak kenderaan secara sendiri tanpa sebarang input dari pemandu.
KTM Berhad (KTMB) telah mengumumkan bakal melaksanakan pindaan proses dan terma baharu penjualan tiket bagi Perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau bagi laluan JB Sentral-Woodlands-JB Sentral mulai 1 Disermber ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkannya menyebut, rasionalisasi pindaan ini adalah untuk membendung gejala penyalahgunaan tiket dan lebihan penumpang di dalam tren. Maka, dengan pelaksanaan ini, KTMB dapat memastikan semua penumpang memiliki tiket yang sah untuk menaiki tren.
Di mana, pembelian tiket perkhidmatan tren shuttle Tebrau ini boleh dibeli di semua kaunter tiket KTMB manakala pembelian dalam talian telah dimansuhkan.
Walau bagaimana pun, tiket hanya boleh dibeli satu hari lebih awal daripada tarikh perjalanan bermula 8.30 pagi setiap hari dengan had maksimum empat keping tiket sahaja untuk seorang pembeli.
KTMB turut menjelaskan, tiket perjalanan tidak dibenarkan dipinda tarikh atau masa perjalanan namun begitu, pembatalan tiket dibenarkan sebelum tren dijadualkan berlepas dengan pemulangan tambang 50 peratus sahaja.
Kadar tambang bagi perkhidmatan shuttle Tebrau adalah kekal pada harga RM5/SGD5 sehala.
Kebiasaannya, untuk membeli kenderaan baharu, kebanyakan pemilik akan memikirkan untuk menjual kenderaan sedia ada mereka terlebih dahulu sebelum membuat pembelian. Ini menjadikan nilai jualan semula atau resale value kenderaan merupakan perkara penting.
Bagi Kia Sportage dan Sorento, walaupun merupakan SUV yang menarik, aspek berkenaan masih tidak menyebelahi pengeluar kenderaan Korea. Dan, inilah perkara yang ingin dicapai melalui skim “Value 5” Kia Malaysia.
Menarik tentang skim ini ialah ia menawarkan Guaranteed Future Value (GFV) selepas lima tahun. Sebagai contoh, melalui skim ini, GFV bagi sebuah Sportage GT yang dijual pada harga RM141,888 selepas lima tahun ialah RM72,000.
Penyusutan harga kenderaan memang tidak dapat dielakkan. Namun, untuk “hilang” RM70,000 dalam masa lima tahun pemilikan kenderaan (atau RM14,000 setahun) tidaklah terlalu teruk. Lebih menarik, ia akan dinyatakan dengan jelas dalam kertas jual-beli kenderaan anda sejak dari awal lagi.
Skim ini ditawarkan bagi model Kia Sportage OL dan Sorento UM terbaharu. GFV bagi setiap varian yang terlibat adalah seperti berikut, di dalam kurungan; Sportage GT Line RM141,888 (RM72,000), Sportage KX RM121,888 (RM61,000), Sorento LS Diesel RM155,888 (RM78,000), Sorento MS RM165,888 (RM83,000) and Sorento HS RM175,888 (RM88,000). Tawaran ini sah sehingga 31 Disember 2016.
Bagaimana pun, ia memerlukan pengguna untuk menghantar kenderaan mereka untuk diservis di pusat servis sah Kia selama tempoh lima tahun itu. Pembaharuan insurans juga perlu menggunakan perkhidmatan panel insurans yang dilantik Kia.
Skim berkenaan juga tidak boleh dipindah-milik, dan datang dengan bantuan kerosakan selama lima tahun. Ia juga tidak boleh ditukar kepada nilai tunai, yang bermaksud GFV ini hanya bertujuan untuk tukar-beli (trade-in ) kenderaan sahaja. Untuk maklumat lanjut, hubungi Kia Malaysia.
Kementerian Pengangkutan akan memuktamadkan pelan keselamatan jalan raya khas untuk Batu Pahat, Johor menjelang tahun ini. Ia adalah disebabkan Batu Pahat telah mencatatkan daerah tertinggi yang sering berlakunya kemalangan jalan raya di negara ini.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi, semua agensi di bawah kementerian kini sedang mengenal pasti “kaedah panduan mikro” untuk daerah berkenaan.
“Kami akan meletakkan satu perdekatan yang bersesuaian di daerah berkenaan. Walau bagaimana pun, ia akan melibatkan pelan khas yang mungkin tidak digunapakai untuk daerah lain atau pun memang pelan keselamatan jalan raya baharu,” ujarnya memberitahu The Sun.
Bulan lalu, Pengerusi Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan bagi Strategi Laut Biru Prof Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, pelan untuk menganalisi sikap pemandu di Batu Pahat harus dilakukan. Selain itu, katanya lagi, modul baharu bagi keselamatan jalan raya juga harus diperkembangkan di semua negeri.
Batu Pahat telah dilaporkan sebagai daerah yang mencatatkan kadar kematian yang tertinggi dalam kemalangan jalan raya selama dua tahun berturut-turut. Pada tahun lalu, sebanyak 191 nyawa terkorban berbanding 165 pada tahun sebelumnya, Penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan senarai mangsa tertinggi dengan rekod 63%.
Malah pada tahun yang sama juga, tercatat 7,698 kes kemalangan direkod di Batu Pahat dengan 54 mangsa parah dan 293 orang mengalami kecederaan kecil berbanding 7,445 kes pada tahun sebelumnya (47 mangsa parah dan 547 cedera ringan).
Jalan di Laluan 50 (FT 050) Batu Pahat-Kluang, KM5 hingga KM24 Jalan Jluang, Jalan Muar dari Batu Pahat menghala ke Semerah dan KM76 ke KM80 dari Lebuhraya PLUS (arah utara) dikenalpasti sebagai laluan yang sering berlaku nahas jalan raya.
Malahan laluan FT 050 turut dilabelkan sebagai ‘jalan maut’ di negara ini.
Menurut kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini, empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) berhak menaikkan kadar tol pada tahun hadapan berdasarkan perjanjian konsesi lebuh raya semasa.
Namun, dalam penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 peringkat kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat semalam, beliau berkata Jemaah Menteri pada 12 Okt 2016 lalu telah bersetuju memutuskan untuk menangguhkan cadangan pelarasan kadar tol bagi tahun 2016 dan 2017, menurut laporan Bernama.
Ini bermakna tiada kenaikan tol bagi 12 konsesi lebuh raya pada tahun ini dan tahun hadapan. Menurut beliau, selain dari empat lebuhraya berkenaan, terdapat lapan lebuh raya yang berhak menerima kenaikan tol pada tahun ini.
Lapan lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Link Kedua Malaysia-Singapura, Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Butterworth-Kulim Expressway (BKE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB).
Dilaporkan, lapan lebuh raya itu berhak menaikkan kadar tol dan jumlah pampasan dianggarkan sebanyak RM593 juta perlu dibayar kerajaan jika tidak membenarkan kenaikan itu. Manakala jumlah pampasan bagi empat lebuh raya bagi tahun 2017 adalah sebanyak RM59.32 juta.
Sebanyak 125,000 infrastruktur stesen pengecas kenderaan elektrik akan dibina dan peningkatan pasaran kenderaan elektrik kepada 202,000 buah untuk tempoh sehingga 2020 disasarkan oleh kerajaan, menurut laporan Bernama.
Semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat semalam, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 0.58 juta tan CO2 di negara ini.
Jelasnya lagi, dalam Pelan Tindakan Mobiliti Elektrik, kementerian melalui Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) akan menerajui pembangunan kenderaan elektrik di Malaysia.
Menerusi pelan itu juga, kementerian juga sedang melobi beberapa pihak berkuasa tempatan untuk mengadakan perkhidmatan pengangkutan awam menggunakan bas elektrik seperti yang dilaksanakan di Melaka melalui Panorama Melaka, Prasarana BRT Sunway Line dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Ongkili turut menjelaskan, kerajaan juga menyasarkan peningkatan penggunaan tenaga boleh baharu dalam menangani isu perubahan iklim di negara ini. Menurut beliau, peningkatkan tersebut nanti diharap akan membantu mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 85 juta tan CO2 menjelang 2030 dan antara usaha yang dilaksanakan bagi menggalak penggunaan tenaga boleh baharu termasuk memperkenalkan inisiatif seperti mekanisma Feed-In-Tariff (FiT), Large Scale Solar (LSS), Net Energy Metering (NEM) dan off-grid.
Bermula Januari 2017, harga kenderaan Mazda akan meningkat, dan ini adalah kenyataan yang dibuat oleh ketua pegawai eksekutif Bermaz Motor, Datuk Seri Ben Yeoh dalam satu acara di Kuala Lumpur.
Menurut beliau lagi, Mazda sudah berusaha sebolehnya untuk mengekalkan harga tetapi ia tetap tidak dapat dielakkan dan sebab utamanya adalah kadar pertukaran mata wang asing – Yen Jepun semakin kuat berbanding Ringgit Malaysia.
Pada acara yang sama, Bermaz Motor turut mempertontonkan model CX-9 generasi kedua, dan ia akan dilancarkan di Malaysia Jun 2017. Kenderaan tujuh tempat duduk ini akan ditawarkan dengan enjin SkyActiv 2.5 Turbo, dalam dua varian; 2WD dan AWD.
Lewat petang ini, Mazda menerusi Bermaz Motor, telah mempamerkan model CX-9 baharu untuk tatapan pihak media permotoran tempatan. CX-9 generasi kedua ini dijangka dilancarkan di pasaran tempatan pada Jun 2017. Bakal diimport (CBU) dari Jepun, Bermaz juga merancang untuk melaksanakan pemasangan tempatan (CKD) bagi SUV tujuh-tempat duduk ini dan turut direncana untuk pasaran eksport.
Didedahkan di LA Auto Show pada hujung tahun lalu, CX-9 baharu ini masih digayakan dengan rekaan Kodo, malah model yang diprebiu ini adalah daripada spesifikasi Australia. Menurut CEO Bermaz, Datuk Seri Ben Yeoh, bagi pasaran Malaysia, bahagian mekanikalnya adalah sama dengan spesifikasi Australia tetapi seperti kebiasaan, terdapat beberapa perbezaan elemen bagi bahagian luaran dan dalamannya. Apa yang boleh disahkan buat setakat ini, CX-9 baharu bagi pasaran Malaysia akan didatangkan dengan dua varian iaitu varian asas CX-9 2.5L 2WD dan spesifikasi tertinggi CX-9 2.5L 4WD.
Bagi model spesifikasi Australia ini, ia berukuran 5,075 mm panjang dan 1,969 mm lebar. Bagi memberikan pembaharuannya, overhang bagi SUV ini telah diperkemaskinikan dan jarak rodanya turut dipanjangkan sebanyak 55 mm menjadi 2,930 mm, berbanding model sebelum ini.
Bagi bahagian dalamannya ditampilkan dengan elemen baharu, termasuk bentangan papan pemuka yang membawakan imej lebih segar seperti mana model Mazda baharu yang lain. Ini termasuklah tiga set bentangan panel meter utama dengan peningkatan rekaan yang lebih signifikan.
Sebenarnya, rekaan baharu yang ditampilkan pada bahagian luaran dan dalaman bukan suatu daya tarikan utama, sebaliknya langkah Mazda dalam mengubah kapasiti enjin lebih menarik perhatian. Bagi CX-9 baharu ini, Mazda memadankannya dengan 2.5 liter turbo SkyActiv iaitu enjin pengecas turbo suntikan-terus dengan teknologi i-stop dan i-ELOOP. Ia adalah bagi menggantikan enjin model terdahulu iaitu 3.7L naturally-aspirated V6. Walau pun kapasiti enjin telah dikurangkan, namun tidak bermakna kuasa prestasinya turut dikurangkan.
Pilihan enjin 2.5 liter turbo SkyActiv ini memberikan kuasa 250 hp/420 Nm untuk CX-9 pasaran USA, dan 228 hp/420 bagi Australia. Mazda turut mengetengahkan teknologi Dynamic Pressure Turbo bagi mengurangkan turbo lag di mana hamburan ekzosnya adalah bergantung pada kelajuan enjin.
Menurut Ben, bagi pasaran Malaysia, ia akan memadankan enjin yang sama dengan model Australia namun mungkin terdapat sedikit perbezaan kuasanya. Malah enjin ini turut dipadankan dengan kotak gear automatik Skyactiv torque converter enam-kelajuan.
Tidak berkompromi soal keselamatan, CX-9 baharu ini yang menerima penarafan lima-bintang daripada Australasian NCAP dipadankan dengan enam beg udara, Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Smart City Braking Support (SCBS) dan Mazda Radar Cruise Control (MRCC), serta ditambah dengan fungsi Stop & Go untuk mengendalikan fungsi stop-stop di lampu isyarat. Semua elemen ini adalah pakej lengkap bagi i-ActiveSense yang akan ditampilkan pada semua varian.
Selain kit keselamatan ini, elemen lain yang ditampilkan termasuklah skrin sentuh lapan-inci untuk sistem infotaimen MZD Connect, sistem bunyi premium Bose 12-pembesar suara dan unit utama Active Driving Display yang dipertingkatkan kini berwarna sepenuhnya.
Turut ditampilkan bumbung suria, tailgate berkuasa, penghawa dingin tiga-zon dan lampu utama LED. Walau bagaimana pun, untuk pasaran Malaysia, elemen yang bakal ditampilkan masih belum dimuktamadkan. Berkenaan harganya, dijangkakan di bawah RM300k iaitu antara RM280k-RM290k. Kami akan membawakan maklumat lanjut dari semasa ke semasa sekiranya ada.
Toyota Land Cruiser dikenali sebagai sebuah SUV bersaiz besar dan terkenal dengan sifatnya yang lasak dalam dunia off-road. Tetapi, untuk SEMA tahun ini, Toyota USA menampilkan sisi lain SUV tersebut dengan membina Land Speed Cruiser dijana enjin V8 5.7 liter turbo berkembar berkuasa 2,000 hp.
“Dari luar, Land Speed Cruiser mempunyai penampilan yang normal, tidak ketara. Ini yang menjadikan agak istimewa. Setiap sistem dan komponen telah diberikan sentuhan semula. Helahnya adalah membawa semula badannya pada kerangka yang telah menerima pengubahsuaian besar,” kata pengurus pusat teknikal sukan permotoran Chuck Wade.
Enjin Toyota V8 3UR-FE 5.7 liter petrol dijadikan asas untuk projek kuasa kuda besar ini, yang di suap dengan pengecas turbo “bersaiz-bola tampar” pada kedua-dua tebing blok enjin V berkenaan, menyedut udara terus dari liang kemasukan pada bampar hadapan. Kesemua kuasa 2,000 hp berkenaan dihantar menerusi kotak gear ATI.
Bahagian hadapan Land Speed Cruiser ini turut diberikan splitter aliran udara yang dalam bagi membolehkannya kekal melekat pada permukaan jalan, lebih-lebih lagi ketika ia mencapai kelajuan maksima 352 km/j. Pada pameran di SEMA itu, Land Speed Cruiser turut akan ditemani ‘moyang’nya, iaitu Toyota Land Cruiser generasi pertama keluaran tahun 1961.