Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW 1 Series Sedan – foto pertama dalaman didedah

    bmw-1-series-sedan-interior

    Selepas mula didedahkan sejak Julai dan September lalu, kini foto pertama ruang dalamannya pula disebarkan. Kelihatannya imej yang diperagakan bagi ruang dalaman BMW 1 Series Sedan ini agak mirip dengan 2 Series AT/GT dan X1, malah juga menyerupai BMW Concept Compact Sedan yang dipamerkan pada tahun lalu.

    BMW 1 Series Sedan bakal menawarkan tiga varian untuk pasaran China iaitu 125i Sport, 120i Luxury dan varian asas 118i. Model 120i dan 125i bakal dijana oleh enjin 2.0 liter petrol dengan bantuan pengecas turbo, menghasilkan 192 hp pada 120i dan 239 hp pada 125i. Manakala untuk model 118i pula, ia akan dibekalkan dengan enjin 1.5 liter petrol turbo berkuasa 136 hp.

    bmw-1-series-sedan

    Kesemua enjin ini dijangka bakal dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari ZF, dan kemungkinan turut ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Model 1 Series ini juga dibina berasaskan platform UKL yang turut digunakan sebagai asas binaan model MINI, jadi ini merupakan sedan BMW pacuan hadapan yang pertama.

    Sedan 1 Series ini dibina dengan kerjasama bersama rakan kongsi BMW di China iaitu Brilliance Auto, dan akan diproduksi di China bersama X1 dan 2 Series Active Tourer yang turut diproduksi secara tempatan.

     
     
  • 31 lebuhraya di M’sia akan guna kutipan tol elektronik pada 2017; LDP dan SDE tambahan terbaharu

    ldp-petaling-jaya-selatan-toll-bm

    Lanjutan kepada berita yang dimaklumkan sebelum ini, bermula 12 tengah hari 9 November 2016, dua lagi lebuhraya akan melaksanakan kutipan tol secara elektronik sepenuhnya; iaitu Lebuhraya Damansara-Puchong (E11, LDP) dan Lebuhraya Senai-Desaru (E22, SDE). Dengan ini, menjelang hujung 2016, semua kutipan tol di Lembah Klang dilakukan secara elektronik (Electronic Toll Collection, ETC).

    Empat plaza tol terlibat bagi setiap lebuhraya di dalam pelaksanaan terbaharu ini; di LDP ia membabitkan Plaza Tol Penchala, Plaza Tol Petaling Jaya Selatan, Plaza Tol Puchong Barat dan Plaza Tol Puchong Selatan. Sementara bagi SDE pula melibatkan Plaza Tol Senai, Plaza Tol Ulu Tiram, Plaza Tol Cahaya Baru dan Plaza Tol Penawar.

    Timbalan Yang Di Pertua Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia (PSKLM) yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota (Litrak) Sdn Bhd, Sazally Saidi turut memaklumkan, kini hanya tinggal 3 sahaja lagi lebuhraya di Malaysia yang belum menggunakan ETC sepenuhnya.

    “Daripada 31 lebuhraya yang beroperasi di Malaysia ketika ini, 28 daripadanya sudah menggunakan sistem ETC sepenuhnya. Kami mensasarkan tahun depan akan menyaksikan lengkapnya pelaksanaan ETC sepenuhnya ini secara menyeluruh,” ujar beliau ketika taklimat bersama media, hari ini.

    etc-implementation-chart-bm

    Tiga lebuhraya yang dimaksudkan itu ialah Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan Lebuhraya Elite yang berada di bawah seliaan PLUS. “Daripada pemerhatian yang kami jalankan, daripada 149 juta kenderaan yang menggunakan semua lebuhraya di Malaysia pada Ogos 2016, 138 juta daripada jumlah itu menggunakan ETC; ini 93% daripada jumlah keseluruhan pengguna,” jelas beliau.

    “Ini menunjukkan bahawa penerima dalam kalangan pengguna lebuhraya terhadap ETC sangat baik, dan kami yakin, dalam tahun hadapan, semua 31 lebuhraya yang ada di Malaysia akan menggunakan sistem ETC sepenuhnya. Dalam masa sama, kami juga sedang mempertingkatkan kemudahan yang berkaitan secara berperingkat,” jelas beliau.

    Ia antara lain merujuk kepada lorong Touch n’ Go yang turut akan diperbanyak di plaza tol, bergantung kepada situasi dan kadar trafik masing-masing. Setakat November 2016, sebanyak 323 lorong tambah nilai Touch n’ Go disediakan secara keseluruhannya.

    “Antara penambah baikan segera yang dilakukan ialah lorong berkenaan kini beroperasi 24 jam sehari,” tambah beliau. Rangkaian kemudahan tambah nilai kini juga sudah diperbanyakkan, antaranya di pusat perkhidmatan pelanggan (dilanjutkan waktu operasinya kepada 7 pagi – 10 malam), mesin ATM, kiosk layan diri serta Touch n’ Go Spot.

    litrak-etc-november-2016-bm

    Setakat ini, terdapat sebanyak 2,288 lorong tol diseluruh Malaysia. Daripada jumlah itu, 1,232 lorong adalah untuk Touch n’ Go, 496 merupakan lorong Smart Tag dan bagi 560 lorong lagi menerima kedua-dua bayaran tunai dan Touch n’ Go.

    Bagi mempromosi penggunaan ETC di LDP dan SDE, promosi khas turut akan di adakan. Bagi LDP, 68,000 kad Touch n’ Go akan diedarkan secara percuma (pengguna perlu membayar minimum tambah nilai RM5), Smart Tag pula dijual pada harga RM104.95 serta pemberian rebat 10% selama dua bulan dari 9 November hingga 31 Disember 2016. Ia boleh ditebus guna bagi tempoh Januari hingga April 2017, bergantung kepada tarikh awal penggunaan.

    Sama juga di SDE, cuma dengan kadar berbeza; 8,000 kad Touch n’ Go diedarkan percuma (pelanggan perlu menambah nilai RM10), Smart Tag pada harga RM99 serta rebat dengan tempoh tebus guna yang sama dengan pengguna LDP.

    Pelan pelaksanaan sistem bayaran tol secara elektronik sepenuhnya ini bermula berperingkat sejak tahun 2008. Setakat 2016, 78 buah plaza tol sudah beroperasi secara elektronik sepenuhnya. Dan pada 2017 pula, disasarkan 99 plaza tol lagi akan bergerak ke arah pelaksanaan yang sama, menjadikan keseluruhan 177 plaza tol yang akan akan beroperasi secara elektronik sepenuhnya.

     
     
  • Petronas Dagangan akan segera selesaikan kerja penyelenggaraan, naik taraf kemudahan NGV

    Petronas

    Susulan mengenai berita pemberhentian sementara penjualan Gas Asli Kenderaan (NGV) di 67 buah stesen Petronas sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor yang dilaporkan 31 Oktober lalu, Petronas Dagangan Bhd berkata pihaknya nekad untuk menyelesaikan kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf kemudahan tersebut secepat mungkin.

    Ketua Bahagian Perniagaan Runcit, Asdrin Azly, berkata, “Kami sedang bekerja keras untuk memastikan semua stesen terlibat beroperasi semula secepat mungkin. Dari segi keselamatan, kami juga akan memastikan semua penyelenggaraan dilakukan, di samping menaik taraf kemudahan NGV bagi menjadikannya cekap dan selamat untuk orang ramai.”

    Pemberhentian jualan sementara NGV ini adalah disebabkan seorang lelaki maut selepas tangki yang berisi bahan api NGV meletup di sebuah stesennya di Johor Bahru pada minggu lalu. Walau bagaimana pun, perkara ini tidak membabitkan jualan petrol dan diesel, malahan kedai serbaneka ‘Kedai Mesra’ turut beroperasi seperti biasa.

     
     
  • Jambatan baharu hubung Tanjung Lumpur-Bandar Kuantan bakal dibina – kos keseluruhan RM181.2 juta

    jambatan_pahang

    Dikhabarkan sebuah jambatan baharu yang menghubungkan Bandar Putera, Tanjung Lumpur dengan bandar Kuantan bakal dibina tidak lama lagi. Kos pembinaan yang dianggarkan bernilai RM181.2 juta ini telah pun mendapat kelulusan Kerajaan Pusat.

    Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, jambatan baharu yang dijangka siap pada Ogos 2019 itu, merupakan alternatif bagi Jambatan Tanjung Lumpur yang sedia ada sekali gus mengatasi masalah kesesakan yang dihadapi selama ini terutama pada waktu puncak dan hujung minggu, laporan Bernama.

    Pembinaan jambatan baharu ini akan bermula dengan pembinaan jalan dari persimpangan Jalan Pintas Bukit Setongkol dan Jalan Tanah Putih (FT002) melalui sebahagian Jalan Sri Kemunting 2.

    Ia akan merentasi Sungai Kuantan dan berakhir di Jalan Tanjung Lumpur. Pembinaan projek ini akan melibatkan kawasan tanah paya bakau di sebelah Tanjung Lumpur, kawasan di Jalan Kemunting 2 serta kawasan lapang di sebelah Bandar Kuantan.

    “Projek ini akan meliputi kawasan sepanjang 2.5 kilometer melibatkan pembinaan jalan baharu (1.29 kilometer), dan menaik taraf jalan sedia (0.48 kilometer), dan pembinaan jambatan baharu (451 meter),” ujarnya kepada pihak media.

    Malahan ia turut melibatkan kerja pembinaan persimpangan lampu isyarat baharu di Tanjung Lumpur dan kerja menaik taraf satu persimpangan T di Jalan Tanah Putih dan Jalan Pintas Bukit Setongkol kepada persimpangan lampu isyarat.

    Dalam masa yang sama, beliau turut berkata kementerian akan mengkaji tentang cadangan kerajaan negeri untuk membina lebih banyak persimpangan bertingkat di negeri ini dalam usaha mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

    “Kita akan kemukakan cadangan ini ke kerajaan pusat, namun saya tidak dapat berjanji kerana ia melibatkan kos yang tinggi iaitu dianggarkan RM50 juta dan apa yang boleh kita lakukan buat sementara ialah dengan menambah baik persimpangan lampu isyarat,” katanya.

     
     
  • Singapura seragamkan caj jalan raya dengan Malaysia

    johor-causeway-jam-bernama-pix-630x388

    Singapura telah membuat keputusan untuk menyeragamkan caj jalan raya (RC) yang dikenakan Malaysia sebanyak RM20 di dua pintu masuk darat ke Johor iaitu di Tambak Johor dan Link Kedua berkuatkuasa hari ini.

    Tindakan ini adalah dibuat selepas Singapura menuduh Malaysia melakukan “diskriminasi terhadap kenderaan yang didaftarkan di Singapura kerana ia hanya terpakai di pusat pemeriksaan Singapura”, memetik laporan Bernama.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan Singapura, butiran terperinci mengenai langkah yang akan diambil itu akan diumumkan tidak lama lagi.

    Beberapa hari lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pelaksanaan RC ini bukanlah bersifat diskriminasi kerana ia telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada rakan sejawatannya di Singapura.

    “Singapura telah mula mengutip RC lebih lama daripada kita, sejak berpuluh tahun lalu. Malaysia baru saja hendak mula. Bukan setakat Singapura, kita juga akan lakukan perkara yang sama di laluan pintu masuk kita di Thailand, Brunei dan Indonesia. Setiap kenderaan akan dicaj sebanyak RM20,” ujar Liow bagi mengulas perkara itu.

    Setiap hari, purata 20,000 kenderaan yang didaftarkan di Singapura memasuki Malaysia melalui Tambak Johor dan Link Kedua.

     
     
  • SPYSHOT: Honda BR-V dikesan di Malaysia

    honda-br-v-malaysia-01

    Kiriman foto spyshot dari pembaca Kamal Kaiza yang mengesan kehadiran Honda BR-V membelok masuk ke kilang pemasangan Honda di Pegoh, Melaka, ini bagaikan petanda SUV ini bakal diperkenalkan di negara kita tidak lama lagi.

    Untuk pengetahuan, Honda BR-V ini adalah SUV yang berasaskan Mobilio MPV. Ia memiliki ukuran 4,455 mm panjang, 1,735 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula ialah 2,660 m. Di mana ia 161 mm lebih panjang, 35 mm lebih sempit dan 45 mm lebih tinggi berbanding HR-V, dengan 50 mm lebih panjang jarak rodanya.

    honda-br-v-malaysia-02

    Model ini telah pun dijual di negara jiran iaitu Indonesia dan Thailand, BR-V atau ‘Bold Run-about Vehicle’ dijanakan oleh enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC dengan kuasa 120 hp pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,600 iaitu penjana kuasa yang sama dengan City dan Jazz. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi Earth Dreams CVT. Di India, BR-V turut ditawarkan dengan enjin diesel 1.5 liter i-DTEC dengan kuasa 100 PS dan tork 200 Nm.

    Di Thailand, BR-V ditawarkan dengan pilihan lima- atau tujuh-tempat duduk, dan ia standard tujuh-tempat duduk di Indonesia dan India. Di Malaysia, Honda Malaysia masih mendiamkan diri mengenai perincian BR’V ini. Apa pun kena nantikan pengesahan dari Honda Malaysia mengenainya, dan kami akan membawakan perinciannya sekiranya ada.

    GALERI: Honda BR-V di India

     
     
  • Kia Cerato facelift kini di bilik pameran – KX, 1.6L, 2.0L

    kia_cerato_2000_fl_ext-1

    Pasaran kenderaan bagi segmen-C di negara kita kini semakin hebat, apatah lagi selepas pengenalan Honda Civic baharu pada Jun lalu, dan UMW Toyota pula bakal melancarkan Corolla Altis baharu tidak lama lagi. Malah, Kia juga tidak mahu ketinggalan di dalam menyertai barisan segmen yang sama, dengan memperkenalkan model facelift bagi Cerato, yang kini telah pun berada di bilik pameran.

    Cerato seringkali dilihat sebagai kenderaan alternatif bajet di antara dua model pesaingnya iaitu Civic dan Altis. Namun menurut penasihat jualan Kia, ada perubahan harga bagi Cerato facelift yang ditawarkan dengan tiga varian iaitu 1.6 KX, 1.6 liter dan 2.0 liter. Model semasa bagi Cerato masing-masing berharga RM91,888, RM101,888 dan RM119,888, atas jalan dengan insurans.

    Terdapat sedikit semakan gaya pada bahagian luarannya termasuk menampilkan gril “hidung harimau” yang lebih langsing terletak di bawah, sementara lampu utamanya lebih lebar dan bergaya, yang turut ditampilkan dengan lampu nyalaan siang LED. Di bahagian bawahnya pula ditampilkan corong udara dan lampu kabus secara sebaris, dan corong pengambilan udara umpama model BMW yang turut ada pada model Optima baharu turut menyerlahkan gaya Cerato ini.

    Pada bahagian belakang, lampunya turut direka semula, penggunaan lampu jenis mentol bagi 1.6 KX serta LED untuk 1.6L dan 2.0L. Malah lampu indikator dan undur turut ditempatkan di sudut bawah berbanding di atas, serta rekaan ‘apron’ belakang yang lebih ringkas. Roda aloi dua-tona baharu bersaiz 18-inci turut menyerlahkan lagi gaya Cerato facelift ini.

    kia_cerato_2000_fl_ext-3

    Malahan terdapat sedikit perubahan turut dilakukan pada bahagian kabinnya, termasuk paparan bagi kluster instrumen yang disemak semula, suis gear yang direka balik, paten gentian karbon tiruan di sekeliling corong udara dan sedikit kekemasan krom dan hitam berkilat. Untuk

    Namun elemen yang dikekalkan termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu utama auto, kawalan kelajuan, corong udara bagi tempat duduk belakang, pelarasan Flex Steer untuk stereng, pengesan parkir hadapan dan belakang, sistem infotainmen dengan skrin sentuh lapan-inci bersama navigasi dan juga kamera undur.

    Bagi varian 1.6, ia turut menambah elemen lampu belakang LED, kawalan suhu automatik dwi-zon dengan kluster ioniser, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan memori, pedal penukar gear, cermin pandang belakang anti-silau, roda stereng balutan kulit dan sentuhan lembut pada kekemasan bahagian atas pintu.

    kia_cerato_2000_fl_int-1

    Manakala bagi varian tertinggi 2.0 pula menerima spoiler belakang, bumbung matahari, paparan pelbagai-info berwarna Supervision, tempat duduk balutan kulit dengan pemanas dan pengudaraan bagi tempat duduk hadapan. Manakala lampu utama xenon pelarasan-automatik telah disingkirkan, cuma digandingkan dengan lampu utama pelarasan manual sahaja.

    Bagi aspek keselamata, ia kekal sama seperti sebelum ini, varian 1.6 KX didatangkan dengan hanya dua beg udara dan tiada kawalan kestabilan. Bagi model 1.6 pula, ditawarkan dengan enam bge udara dan kawalan kestabilan.

    Tiada perincian mengenai penjana kuasa bagi Cerato facelift, namun ia mungkin kekal sama dengan model semasa iaitu 1.6 liter Gamma II (130 PS/157 Nm) dan 2.0 liter Nu MPI empat-silinder (161 PS/194 Nm), dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

    GALERI: Kia Cerato 2.0 facelift

    GALERI: Kia Cerato 1.6 facelift

     
     
  • Volkswagen Passat B8 dipertonton awal sebelum pelancaran – pilihan enjin 1.8L dan 2.0L TSI, tiga varian

    volkswagen_passat_b8_ext-2-bm

    Ini adalah Volkswagen Passat B8, yang akan dilancarkan dijangka dalam bulan ini. Ia adalah penawaran terbaru segmen D oleh jenama dari Jerman ini dan merupakan pengganti bagi Passat B7 yang sudah dijual di Malaysia sejak tahun 2011 dan kemudiannya dipasang di Pekan, Pahang (CKD) pada tahun 2012. Bagi model baru yang telah memenangi anugerah kereta terbaik Eropah 2015 ini juga, ia akan dipasang di Malaysia (CKD).

    Passat B8 (generasi kelapan) menggunakan platform MQB dan berukuran 4,767 mm panjang, 1,832 mm lebar dan 1,456 tinggi. Ini bersamaan dengan 2 mm lebih pendek, 12 mm lebih lebar dan 14 mm lebih rendah jika dibandingkan dengan Passat B7. Kesan daripada kedudukan yang lebih lebar dan bumbung yang rendah ini juga ditingkatkan lagi dengan ‘muka’ yang lebar, dengan terdapat garisan krom yang menyambungkan kedua-dua belah lampu hadapan.

    Walaupun badan lebih pendek, jarak roda Passat B8 dipanjangkan sebanyak 79 mm, menjadi 2,791 mm dan ini menghasilkan bahagian dalam yang lebih luas. Turut menerima kesan adalah bahagian simpanan barang (but) yang meningkat sebanyak 21 liter, menjadi 586 liter dan berat yang berkurangan sehingga 90 kg hasil daripada penggunaan bahan serba ringan diperkuat pada badan dan enjinnya.

    volkswagen_passat_b8_ext-6-bm

    Secara keseluruhannya, dua pilihan enjin TSI turbo dengan teknologi BlueMotion disediakan bagi Passat B8 dan ia didatangkan dalam tiga varian. Paling bawah adalah 1.8 TSI Trendline, yang dikuasakan oleh enjin 1.8 TSI turbo dan padanan transmisi automatik klac berkembar DSG tujuh kelajuan, menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 180 PS dan 250 Nm tork. Apabila dibandingkan dengan enjin 1.8L TSI pada Passat B7, ia mempunyai 20 PS lebih kuasa. Ini kemudiannya diikuti oleh varian 1.8 TSI Comfortline yang menggunakan enjin sama tetapi kelengkapan berbeza.

    Gambar yang anda lihat ini adalah varian paling tinggi iaitu 2.0 TSI Highline, yang dikuasakan oleh enjin 2.0 liter TSI berkuasa 220 PS dan 350 Nm tork. Transmisi pula menggunakan unit automatik klac berkembar DSG enam kelajuan.

    Jika diperhatikan pada bahagian but kenderaan ini, terdapat lencana ‘308 TSI’ untuk varian 2.0 TSI dan ‘280 TSI’ untuk model 1.8 TSI. Ini adalah merujuk kepada jumlah tork yang dihasilkan oleh model masing-masing, walaupun tidak tepat iaitu 350 Nm untuk model 2.0 dan 250 Nm untuk 1.8. Konsep yang sama digunakan pada model Jetta facelift yang dilancarkan bulan lalu, yang mana boleh dilihat menggunakan lencana ‘280 TSI’ dan mempunyai kuasa 150 PS/ 250 Nm tork hasil daripada enjin 1.4 TSI.

    volkswagen_passat_b8_int-1-bm

    Bagi Passat 1.8 TSI Trendline, ia didatangkan dengan rim ‘Aragon‘ 16 inci, lampu kabus hadapan dan belakang serta lampu belakang LED. Pada bahagian dalam pula, tempat duduknya mempunyai pelarasan manual dengan bahagian sokongan tulang belakang juga boleh dilaras, skrin sesentuh warna ‘Composition‘ lima inci, skrin paparan informasi pelbagai warna, stereng dengan pelbagai butang kawalan, butang pemula enjin, cermin sisi boleh lipat dengan pemanas serta pengesan jarak Park Distance Control (PDC) depan dan belakang.

    Varian paling bawah ini juga datang dengan brek tangan elektrik dengan Auto-Hold, sistem pengesan kecergasan Driver Alert System dan lampu/pengelap cermin automatik. Pendingin hawa pula adalah sistem Climatronic tiga zon bersama corong tersendiri di belakang.

    Mempunyai semua kelengkapan seperti 1.8 TSI Trendline, varian 1.8 TSI Comfortline pula tampil lebih bergaya dengan rim 17 inci ‘Istanbul’ (tayar ContiPremiumContact 215/55 R17), lampu utama LED sepenuhnya dan lampu siang LED.

    Pada bahagian dalam, varian 1.8 TSI Comfortline mempunyai kelengkapan seperti yang boleh dijangka pada sedan segmen D. Antaranya, ia mempunyai sistem tanpa kunci ‘KESSY’, manakala tempat duduk pula dibalut dengan kulit ‘Vienna‘. Tempat duduknya mempunyai 12 arah pelarasan bersama sistem memori dan urut, dan diperlengkap dengan sistem audio skrin sesentuh 6.5 inci, Park Assist dan kamera undur.

    Peningkatan lain daripada model 1.8 TSI Trendline adalah cruise control dengan pengehad kelajuan, pedal penukar gear di stereng, but berkuasa elektrik (boleh dibuka dengan menghayunkan kaki di bahagian bawah kereta) dan kemasan krom di bahagian papan pemuka.

    Varian 2.0 TSI Highline seperti yang anda lihat ini sebenarnya mempunyai lebih banyak kelengkapan tetapi dari luar, perkara yang membezakannya dengan varian 1.8 hanyalah rim aloi ‘Dartford‘ 18 inci (tayar ContiSportContact 235/45 R18), kemasan muncung ekzos trapezoid krom dan lencana ‘380 TSI’ yang disebut awal tadi.

    Kelebihannya lebih banyak berada di bahagian dalam, yang termasuk penghalang cahaya belakang elektrik, Active Info Display (paparan meter digital seperti Audi Digital Cockpit), lampu suasana, kemasan kayu ‘Carolina‘ (varian lain menggunakan kemasan ‘Silver Diamond’), Lane Assist dan unit media yang lebih maju – Discover skrin sesentuh 6.5 inci dengan MirrorLink dan navigasi.

    Casis untuk varian paling berkuasa ini juga mendapat peningkatan, termasuk XDS electronic differential lock (boleh membrek roda sebelah dalam apabila mengambil selekoh dan melawan understeer) seperti model GTI dan Dynamic Chassis Control (DCC) yang memberikan penyerapan aktif serta pilihan mod pemanduan (Eco, Comfort, Normal, Sport, Individual).

    Sehingga masa ini, Volkswagen masih belum dapat mengeluarkan harga bagi Passat B8 baru ini, dan pengarah jenamanya, Roland Ooi memberitahu harganya akan menjadi lebih menarik kerana kereta ini telah menerima status kenderaan cekap tenaga (EEV) dan mereka juga cuba mengusahakan pakej istimewa untuk pembeli awal.

    GALERI: Volkswagen Passat 2.0 TSI Highline

    GALERI: Volkswagen Passat 1.8 TSI Comfortline

     
     
  • Subsidi kerajaan RM400j walaupun selepas kenaikan harga bahan api November – sepatutnya naik 20 sen

    fuel-pump-nozzle-petrol-diesel-ron-95-ron-97-file 702

    Walaupun selepas kenaikan harga bahan api seperti yang diumumkan semalam, kerajaan sebenarnya telah mengeluarkan subsidi sebanyak RM400 juta, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani. Bermula hari ini, harga bahan api naik 15 sen berbanding bulan lalu.

    Johari berkata harga baharu bahan api ini dikira berdasarkan harga purata pada Oktober yang menyaksikan kenaikan lebih tinggi daripada apa yang kerajaan anggarkan bagi pembelian runcit. “Berdasarkan angka Oktober, kenaikan harga bahan api terbaharu sepatutnya 20 sen,” tambah beliau.

    Menurut Johari lagi, selain harga minyak global, faktor lain yang dipertimbangkan dalam mengira harga bahan api ialah kedudukan mata wang Ringgit berbanding Dolar US. Terdahulu, beliau juga memberi penekanan bahawa kenaikan harga bahan api terbaharu ini bukanlah bertujuan untuk mengaut untung kerana harga minyak mentah dunia adalah tinggi pada Oktober,

    Sejak 1 Disember 2014, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaksanakan sistem apungan (float system) bagi menentukan harga bahan api petrol dan diesel berikutan penarikan subsidi.

     
     
  • Empat lebuh raya berhak naikkan tol tahun depan

    Lekas-01

    Berdasarkan perjanjian konsesi lebuh raya semasa, ada empat lebuh raya sahaja yang berhak menaikkan kadar tol pada tahun hadapan, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang memaklumkan empat lebuh raya yang dimaksudkan ialah Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).

    Ini merupakan susulan daripada soalan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh Lim Guan Eng hari ini yang ingin tahu hasil perbincangan dengan syarikat konsesi lebuh raya yang akan menaikkan tol tahun depan dan jumlah pampasan yang perlu ditanggung kerajaan sekiranya tol tidak dinaikkan.

    “Anggaran jumlah pampasan tol bagi tahun 2017 bagi empat lebuh raya terlibat ialah RM59.77 juta,” jelas Fadillah. Satu lagi soalan yang diajukan ialah berkaitan kos pembinaan dan kutipan tol di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) setakat ini, serta mengapa tolnya masih belum dimansuhkan.

    Fadillah menjelaskan, lebuh raya itu dibina pada 1989 dan siap pada 1994 dengan kos RM5.9 bilion. Ia ditanggung sepenuhnya oleh syarikat konsesi, kecuali kos pengambilan tanah yang ditanggung kerajaan.

    Berdasarkan perjanjian asal (1988), konsesi lebuh raya itu sepatutnya tamat pada 2018 namun, berikutan usaha mengurangkan kesan kenaikan tol, kerajaan terpaksa menstruktur semula kadar tolnya iaitu pada 1999, 2002 dan 2011.

    “Di bawah penstrukturan PLUS terkini (2011), semua konsesi tol lebuh raya di bawah syarikat PLUS Berhad – termasuk Lebuhraya Utara Selatan – telah diselaraskan yang mana ia akan berakhir pada 31 Dis 2038,” katanya.

    Fadillah turut memaklumkan, sehingga akhir 2015, jumlah kutipan tol keseluruhan di Lebuhraya Utara Selatan sahaja ialah RM36.39 bilion. Jumlah pampasan tunai yang telah dibayar kepada syarikat konsesi PLUS berikutan penangguhan kenaikan tol bagi lebuh raya berkenaan untuk tempoh sehingga 2015 ialah RM917.1 juta.

     
     
  • ANIH umum penutupan sementara Hentian Sebelah Gombak (hala KL) secara berperingkat mulai 9 Nov ini

    lpt1-bm

    Bagi meningkatkan lagi tahap keselesaan pengguna lebuh rayanya, ANIH Berhad, pemegang konsesi bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) akan menjalankan kerja menaiktaraf lorong dan kawasan parkir melibatkan penutupan di Hentian Sebelah Gombak (menghala Kuala Lumpur).

    Bagi memberi ruang kepada pelaksanaan kerja berkenaan, penutupan laluan masuk ke hentian itu akan dilaksanakan secara dua peringkat bermula 9 November ini.

    Di mana peringkat pertama akan berlangsung pada 9 dan 10 November (selama 24 jam) dan ia melibatkan penutupan kawasan parkir lori, Hentian Sebelah Gombak. Walau bagaimana pun, hanya kenderaan ringan sahaja dibenarkan masuk ke hentian sebelah pada tarikh tersebut.

    pelan-penutupan-hentian-sebelah-gombak

    Manakala peringkat kedua pula akan berlangsung pada 14 hingga 17 Nov yang melibatkan penutupan sepenuhnya Hentian Sebelah Gombak. Ini juga melibatkan penutupan sepenuhnya fasiliti seperti gerai makanan/minuman, surau dan tandas. Sila rujuk info grafik di atas.

    Sehubungan itu, ANIH Berhad menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mematuhi semua papantanda serta arahan petugas dilokasi. Malah mesej penutupan turut dipaparkan menerusi papan tanda elektronik (VMS) di sepanjang lebuh raya bagi membolehkan pengguna membuat persediaan awal dengan berhenti di kawasan R&R atau hentian sebelah yang lain, jika perlu.

    Untuk sebarang maklumat, sila ikuti Facebook: Lebuhraya Pantai Timur dan Twitter @LPTTrafik bagi mengetahui status dan keadaan terkini serta merancang perjalanan di sepanjang jajaran lebuh raya di bawah kendalian ANIH Berhad.

     
     
  • Salah guna laluan kecemasan semakin menurun – JPJ

    JPJ_EMERGENCY_LANE1

    Sejak tindakan tegas terhadap pelaku yang menyalah gunakan laluan kecemasan di lebuh raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mei lalu, jumlah pesalah kini menurun. Memetik laporan The Sun, Pengarah Penguatkuasaan JPJ, Datuk Valluvan Veloo memaklumkan pemandu kini lebih memandang serius kesan daripada tindakan berkenaan, terutama ketika kesesakan lalu lintas.

    Sejak 22 Mei hingga 25 Ogos lalu, seramai 2,783 pemandu dikesan melakukan kesalahan itu dengan seramai 806 pesalah trafik dihadapkan ke mahkamah. Daripada jumlah berkenaan, sejumlah 113 orang dikenakan saman dengan jumlah keseluruhan bernilai RM170,000; secara purata, kira-kira RM1,500 bagi satu kesalahan.

    “Kesalahan berkenaan agak berleluasa dilakukan kerana pemandu tahun anggota JPJ atau polis tidak akan berada di situ sepanjang masa dan kemungkinan untuk ditangkap sangat nipis sebelum ini,” jelas beliau. Maklum balas daripada pemandu ambulans kepada JPJ juga menyatakan bahawa laluan berkenaan sekarang semakin lancar dan tidak selalu terhalang seperti sebelumnya.

    “Kami cuba untuk mengubah sikap segelintir pemandu seperti ini. Dulu, hanya kompaun RM300 dikenakan. Tapi sekarang, terus ke mahkamah,” tambahnya. Tindakan ini adalah sebagai reaksi kepada kejadian di Lebuhraya PLUS di Air Keroh pada Mei lalu yang menyaksikan ambulans gagal tiba ke tempat kemalangan dengan cepat akibat laluan kecemasan dihalang oleh pengguna lain. Akibatnya, dua orang meninggal dunia.

     
     
  • Harga bahan api untuk Nov berdasarkan harga minyak mentah dunia yang tinggi pada Okt lalu – Johari

    RON_95_vs_RON_97_Fuel_Test_Malaysia_ 023

    Umum mengetahui bahawa kenaikan harga bahan api utama iaitu RON 95, RON 97 dan diesel bagi November 2016 iaitu sebanyak 15 sen setiap satu, merupakan yang tertinggi bagi tahun 2016 setakat ini.

    Di mana, mulai 12.01 tengah malam tadi, RON 95 dijual pada harga RM1.95 bagi setiap liter, RON 97 pada RM2.30 seliter, diesel pada RM1.90 dan diesel Euro 5 RM2.00 seliter.

    Ekoran kenaikan ini, ramai yang mendakwa kerajaan makin tidak prihatin dengan bebanan hidup yang dihadapi oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Apabila kos sara hidup semakin meningkat, begitu juga dengan peningkatan harga barang-barang keperluan termasuklah bahan api. Malah ada yang menganggap kerajaan sengaja mahu mengaut keuntungan dengan kenaikan harga bahan api ini.

    Bukan itu sahaja, ada yang mendakwa, kenaikan ini bertujuan mengaut semula peruntukan diberi kerajaan menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), diumumkan kerajaan dalam Bajet 2017 pada 25 Oktober lalu.

    Namun dakwaan tersebut disangkal oleh Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani yang berkata, perubahan harga bahan api itu berpunca daripada harga minyak mentah dunia yang mencatatkan peningkatan secara mendadak sepanjang Oktober lalu.

    Katanya lagi, harga semua bahan api dinaikkan pada kadar 15 sen, selaras mekanisme apungan yang dilaksanakan kerajaan, sejak 1 Disember 2015 lalu, laporan Berita Harian.

    “Harga minyak mentah dunia pada bulan lalu (Oktober) sentiasa berubah, iaitu paling rendah adalah AS$43 setong (RM180), manakala paling tinggi menghampiri AS$54 setong (RM226). Berikutan itu, berdasarkan perkiraan harga minyak mentah dunia pada Oktober menerusi kaedah apungan, harga bahan bahan api bagi sepanjang November meningkat 15 sen,” katanya kepada pihak media di Parlimen sebentar tadi.

    Beliau turut menjelaskan, harga bahan api turut dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk nilai mata wang yang sentiasa berubah mengikut peredaran ekonomi dunia. “Kita pakai mekanisme ‘satu bulan ke belakang’, justeru harga minyak untuk Disember akan turun jika harga minyak mentah dunia menurun sepanjang bulan ini,” katanya.

    Tambahnya lagi, “Kerajaan telah mensubsidi sebanyak 5 sen bagi setiap liter untuk bulan ini kerana tidak mahu membebankan rakyat.”

    Pada hari terakhir Oktober lalu, dilaporkan harga minyak terus susut iaitu mencecah bawah AS$50 setong. Ia berlaku ekoran selepas pengeluar bukan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) tidak menyatakan sebarang komitmen untuk menyertai usaha mengehadkan paras output bagi meningkatkan harga bahan api itu.

    Tiga hari sebelum itu iaitu pada 28 Oktober lalu, niaga hadapan minyak Brent diniagakan pada AS$50.39 setong pada 0033 GMT, turun lapan cents daripada penutup terakhir. Harga minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) susut lima sen pada AS$49.67 setong.

     
     
  • Sambungan jajaran LRT catat peningkatan penumpang

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Penyambungan Jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang mula beroperasi sejak akhir Jun lalu dilihat memberikan impak yang positif. Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri S.K Devamany dalam Dewan Rakyat semalam, ia telah embawa peningkatan purata pengguna harian sebanyak 17,986 sehingga Ogos lalu.

    Katanya lagi, sebahagian besar peningkatan itu membabitkan laluan Kelana Jaya yang meliputi laluan Putra Height ke Gombak iaitu sebanyak 15,404 pengguna setiap hari, laporan Bernama.

    “Bagi laluan Ampang yang meliputi laluan Putra Heights, Sentul Timur dan Ampang pula peningkatan purata jumlah pengguna harian yang dicatatkan adalah sebanyak 2,582,” katanya.

    Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) yang ingin tahu purata jumlah penumpang menggunakan LRT laluan Kelana Jaya dan laluan Ampang setiap hari dari 2011 hingga 2016 dan peningkatan yang dicatatkan sejak pembukaan penuh stesen baharu sejak Jun 2016.

    Devamany berkata secara purata, sebanyak 260,918 pengguna harian LRT bagi laluan Kelana Jaya direkodkan mulai 2011 sehingga Ogos lalu dan sejumlah 204,810 pengguna direkodkan bagi laluan Ampang.

    “Purata jumlah pengguna harian ini tidak termasuk peningkatan penumpang yang direkodkan selepas pembukaan Projek Penyambungan Jajaran,” katanya.

    prasarana-lrt-kj27-glenmarie

    Projek penyambungan LRT Laluan Kelana Jaya meliputi jarak 17.4 kilometer bermula dari stesen Kelana Jaya dan melalui dua belas stesen baharu termasuk Ara Damansara, Subang Jaya dan USJ sebelum berakhir di Putra Heights.

    Selain stesen Subang Alam dan stesen bersepadu Putra Heights, stesen lain ialah Lembah Subang, Ara Damansara, Glenmarie, Subang Jaya, SS 15, SS 18, USJ 7, Taipan, Wawasan, USJ 21 dan Alam Megah.

    Laluan baharu Kelana Jaya dihubungkan dengan rangkaian komuter KTM di stesen Subang Jaya dan Laluan Bas Rapid Transit Laluan Sunway di stesen USJ 7 bagi memastikan perjalanan lebih lancar.

    Melalui perluasan rangkaian ini, jajaran LRT Kelana Jaya akan meliputi perjalanan sejauh 46.4 kilometer melalui kawasan-kawasan yang padat dengan penduduk seperti Petaling Jaya, Bangsar, Taman Melati, Setiawangsa dan pusat perniagaan Kuala Lumpur.

     
     
  • Geely tunjuk minat untuk ambil alih jenama Lotus

    Geely sedang berminat untuk mengambil alih jenama sportscar British, Lotus bagi pembelian syarikat seterusnya, memetik laporan spekulatif oleh Road & Track. Proton, selaku pemilik Lotus pula memang diketahui sedang mencari rakan strategik luar sebagai sebahagian daripada rancangan pemulihannya, yang mungkin melibatkan pengguguran jenama Lotus. Bagaimana pun, Proton belum mengesahkan apa-apa berkaitan perkara ini.

    Sebuah lagi jenama automotif yang tidak dinamakan turut berura-ura akan dibeli juga oleh Geely. Apa pun, jika benar khabar angin ini, Lotus menjadi calon yang lebih ke depan, kerana cabang kejuruteraannya, Lotus Engineering turut terlibat dalam kerja-kerja pembangunan bersama beberapa pengeluar lain.

    Volvo juga kelihatan lebih “meriah” di bawah seliaan Geely; model SUV XC90 generasi kedua yang menerima sambutan menggalakkan diperingkat global serta beberapa lagi model akan datang yang akan menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA), seperti XC40 dan S40.

    Bagi Proton pula, lima pihak yang berpotensi sedang dinilai untuk menjadi rakan strategik asing. CEO DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar memaklumkan bahawa rakan asing itu perlu padan secara strategik, gerak dan budaya kerja dengan Proton. Bagaimana pun, ia tidak akan dijual sepenuhnya, dengan DRB-Hicom berkali-kali menekankan yang syarikat itu akan mempunyai pegangan yang utama dalam Proton.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025