Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua jual 167k kenderaan dalam 10 bulan pertama 2016 – Axia paling laris, jumlah jualan menurun tetapi khidmat selepas jualan meningkat, sasaran 216k kekal

    perodua-hatyai

    Bermula dari awal tahun 2016, Perodua telah menetapkan sasaran untuk menjual sebanyak 216,000 unit kenderaan, dan memasuki bulan Julai, syarikat tersebut mengumumkan sasaran tersebut dikekalkan, meskipun keadaan ekonomi dan industri automotif sedikit merudum. Sekarang, dengan hanya tinggal satu bulan sahaja lagi, Perodua perlu bekerja keras untuk mencapainya.

    Sehingga bulan Oktober 2016, Perodua berjaya menjual 167,000 buah kenderaan, dan 44.2 peratus terdiri daripada model Axia (paling tinggi adalah varian G), diikuti Myvi 24.9 peratus, Alza 17.3 peratus dan Bezza 13.6 peratus. Bagi Bezza yang merupakan model terkini Perodua, 22,000 unit telah berjaya diserahkan kepada pelanggan dan tempoh menunggunya terletak dalam sekitar dua minggu sahaja.

    Perodua telah membuktikan orang ramai tidak perlu risau kerana selain kilang utama di Sg Choh yang mengeluarkan Myvi dan Alza, mereka juga mempunyai kilang yang baru dirasmikan awal tahun ini, iaitu Perodua Global Manufacturing Plant Sdn Bhd (PGMSB) yang terletak bertentangan, untuk pengeluaran Axia dan Bezza, dan kilang berasingan untuk enjin dan transmisi di Sendayan.

    Bagi kilang PGMSB, 250,000 buah kenderaan berjaya dikeluarkan, sejak ia mula beroperasi Ogos 2014 yang lalu dan 85 peratus daripadanya terdiri daripada Axia manakala selebihnya adalah Bezza. Secara keseluruhannya, PGMSB mampu mengeluarkan sebanyak 200,000 unit kenderaan dalam masa satu tahun, dengan pelaksanaan dua kitaran kerja (two shift cycle).

    PGM-Opening-1_BM

    Berkenaan pendaftaran pula, dari Januari hingga November 2016, Perodua berjaya mencatat sebanyak 182,000 unit, walaubagaimanapun, jumlah ini adalah 4.8 peratus lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu. Jumlah jualan ini datang daripada 251,546 tempahan yang diterima (peningkatan 4 peratus untuk tempahan), dan selebihnya ditolak kerana masalah seperti pinjaman yang tidak diluluskan.

    Walaupun jumlah jualan lebih rendah berbanding tahun lalu, Perodua berjaya menunjukkan peningkatan di bahagian servis selepas jualan. Sehingga bulan Oktober 2016, 1.7 juta kenderaan masuk ke pusat servis Perodua dan jumlah ini adalah 3 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu. Turut meningkat adalah jumlah kenderaan yang kembali walaupun tempoh jaminan sudah tamat.

    Pada masa hadapan, Perodua akan mengukuhkan lagi bahagian ini, selain kedatangan semula kenderaan yang sudah tamat jaminan, turut diberikan perhatian adalah ProGanti, yang jumlah sebanyak 14 alat ganti di dalam senarai tersebut akan ditambah.

    ProGanti_BM

    Selain itu, menurut presiden dan ketua pegawai eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, syarikat juga melihat terdapat peluang di Sabah dan Sarawak, di mana sekarang bahagian itu hanya menyumbang di antara 14 hingga 15 peratus sahaja daripada jumlah jualan keseluruhan Perodua. Bagi dua negeri itu, model yang popular adalah yang bertransmisi manual (90 peratus kenderaan manual Perodua dijual ke Sabah dan Sarawak).

    Antara langkah yang telah diambil oleh Perodua untuk dua negeri itu adalah harga kenderaan berjaya disamakan untuk seluruh bahagian dalam negeri itu (sebelum ini harga tidak sama untuk daerah tertentu), walaubagaimanapun masih ada perbezaan jika dibandingkan dengan harga di Semenanjung kerana kos logistik. Perodua juga ada menyediakan khidmat servis bergerak bagi tempat yang tidak mempunyai pusat servis dan jumlahnya akan ditambah.

    Bagi pasaran eksport pula, Aminar turut memberitahu masih banyak kerja yang perlu dilakukan kerana jumlahnya masih terlalu sedikit iaitu sekitar 4,600 unit untuk tahun 2016 (pada tahun 2015 4,400 unit). Selain pasaran yang aktif sekarang iaitu Afrika, Singapura, Indonesia, Brunei, Fiji, Sri Lanka dan Mauritius, Perodua juga sedang melihat kepada negara lain yang buat masa ini tidak dinamakan atas sebab-sebab tertentu.

    Berbalik kepada sasaran jualan pada tahun ini, Perodua akan cuba untuk mencapainya, dengan pelbagai promosi dan antara yang paling utama adalah diskaun sehingga RM5,000 untuk model terpilih hanya untuk bulan Disember ini.

     
     
  • Perodua mungkin akan naikkan harga pada tahun 2017 jika keadaan ekonomi terus mencabar seperti kini

    Perodua-Myvi-Advance-Two-Tone-1-e1462523019587_BM

    Dalam majlis pembentangan prestasi 2016 Perodua, presiden dan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh menyatakan harga bagi setiap model mungkin terpaksa dinaikkan pada tahun hadapan dan tidak dapat dielakkan lagi sekiranya keadaan ekonomi seperti sekarang berterusan.

    “Keadaan pada tahun 2016 cukup mencabar dan boleh dikatakan paling sukar sejak krisis kewangan ASEAN sebelum ini. Tahun 2017 juga dijangka sama sukar. Kita melakukan urusan perniagaan dalam dua mata wang utama iaitu US Dollar dan Japanese Yen.

    “Sekiranya dua mata wang ini terus menunjukkan pengukuhan berbanding Ringgit Malaysia, memang ia akan memberi kesan kepada Perodua. Sebenarnya, pada tahap USD 4.4 (USD1 = RM4.4) ini sahaja, ia sudah memberi kesan dan kami terpaksa menyerapnya (absorb) sahaja,” kata Aminar.

    “Jika keadaan terus sebegini, kami mungkin terpaksa merujuk kembali kepada harga sekarang. Kami tidak boleh terus menyerap kesan keadaan ekonomi ini. Walaubagaimanapun, pelbagai langkah perlu dilakukan sebelum itu dan kami faham kami menjual kenderaan yang mampu milik kepada orang ramai,” tambah Aminar.

    Selain pembekal yang membeli alat ganti dari negara luar, turut terkesan adalah pengilang yang membeli alat ganti, contohnya untuk mesin-mesin yang ada.

    “Perkara yang baik adalah bahagian alat ganti kenderaan tidak menerima kesan yang teruk. Tetapi bagi pengilang, kesannya memang besar kerana alat ganti kilang (manufacturing parts) mereka. Sebagai sebuah kumpulan, memang ia memberi kesan kepada Perodua.” jelas Aminar.

    Aminar juga memberitahu, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi industri automotif telah menurun sebanyak hingga 15 peratus.

     
     
  • GALERI: Toyota Innova 2.0G baharu dipamerkan di Mitsui – MPV lapan-tempat duduk, Dual VVT-i, enam-kelajuan auto, tujuh beg udara, VSC, RM126k

    toyota_innova_mop_ext-1

    Bakal dilancarkan pada 5 Disember 2016, MPV Toyota Innova baharu kini sedang dipamerkan di Toyota Concept Store di Mitsui Outlet Park. Foto galeri penuh di bawah ini adalah bagi model spesifikasi tertinggi 2.0G, yang ditawarkan dengan harga atas jalan RM126,000 bersama insurans (RM122,323.35 tanpa insurans).

    MPV baharu ini memang cukup dipengaruhi trap pikap Hilux terkini, dengan ladder frame, platform pacuan roda-belakang.

    Berbanding dengan model sedia ada, Innova baharu ini lebih panjang sebanyak 150 mm (4,735 mm), 55 mm lebih lebar (1,830 mm) dan 35 mm lebih tinggi (1,795 mm). Jarak rodanya pula tidak berubah iaitu 2,750 mm. Walau bagaimana pun, Innova baharu ini lebih berat berbanding terdahulu iaitu antara 105 hingga 125 kg.

    Innova bahari ini dilengkapi dengan enjin petrol 1TR-FE 2.0 liter, yang mampu menghamburkan kuasa 139 PS pada 5,600 rpm dan tork 183 Nm pada 4,000 rpm iaitu lebih tiga PS dan satu Nm berbanding sebelum ini. Malah ia juga dipadankan dengan transmisi baharu iaitu automatik enam-kelajuan, menggantikan kotak gear empat-kelajuan pada model lama. Malah ia juga menerima pengsijilan EEV.

    Apa yang jelas kelihatan, Innova generasi-kedua ini tampil dengan lebih banyak kelainan, malah turut mengetengahkan imej yang lebih premium terutamanya pada bahagian dalamnya. Bagi varian 2.0G ini, ia ditampilkan dengan lampu utama reflektor halogen, roda 16-inci, lampu kabus hadapan dan belakang serta pemegang pintu krom. Malah ia juga dilengkapi dengan sistem kemasukan tanpa kunci dan pintu belakang berkuasa Easy Closer.

    Di dalamnya, ditawarkan lapan-tempat duduk (dengan bentangan 2-3-3, barisan kedua boleh lipat 60:40 dan barisan ketiga 50:50) dengan balutan fabrik bersama motif jaluran serta balutan kulit pada roda stereng dan tombol gear. Ia juga menampilkan kekemasan kayuan, meter Optitron, pencahayaan bumbung LED serta penghawa dingin hadapan dan belakang.

    Ia juga ditawarkan secara pilihan unit utama skrin sentuh lapan-inci (RM2,968 untuk DVD-AVX, atau RM3,816 untuk DVD-AVN bersama navigasi), dengan sambungan telefon pintar, HDMI input dan kamera undur. Elemen standard pula hanya unit utama dengan USB input dan enam pembesar suara. Malah DVR dash-cam turut ditawarkan dengan kos tambahan RM636.

    Untuk keselamatan, Innova 2.0G dilengkapi dengan tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, Isyarat Berhenti Kecemasan dan dua cagak Isofix sebagai standard. Ia juga menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP.

    Barisan Innova baharu ini turut menawarkan model Innova 2.0E dengan harga RM109k bersama transmisi manual lima-kelajuan atau auto enam-kelajuan berharga RM117k. Ia menerima gril berwarna perak, pemegang pintu yang sama warna dengan badannya, penghawa dingin manual hadapan dan belakang serta balutan material poly-urethane pada roda stereng dan tombol gear.

    Ia turut tampil tanpa lampu kabus hadapan, kemasukan tanpa kunci, pencahayaan ambien dan pintu but berkuasa. Malah beg udaranya hanya tiga (dua di hadapan dan bahagian lutut pemandu) dan tanpa BA serta VSC, serta menerima penarafan empat-bintang daripada ASEAN NCAP. Kesemua varian ditawarkan dengan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

     
     
  • Toyota Camry 2016 kini di M’sia, dari RM153k – 2 varian baharu, 7 beg udara dan VSC untuk semua

    Print

    UMW Toyota Motor telah pun mengumumkan model Camry 2016 telah pun rasmi dijual di negara ini. Ia menawarkan empat varian, yang kesemuanya adalah hasil pemasangan tempatan (CKD) termasuklah varian terdahulu 2.0E. Bagi varian 2.0G, ia kini dikenali sebagai 2.0G X, manakala model 2.5 hybrid ditawarkan dengan model asas Premium dan spesifikasi tertinggi Luxury.

    Malah harga bagi barisan baharu Camry ini turut diumumkan iaitu 2.0E berharga RM152,900 (turun RM2k berbanding model semasa dengan RM154,900) dan 2.0GX pula kini RM159,900 (berbanding RM164,900 bagi model semasa). Manakala 2.5 Hybrid Premium pula berharga RM164,900, dan RM174,900 bagi 2.5 Hybrid Luxury. Kesemuanya adalah harga atas jalan, termasuk insurans dan GST.

    Walau bagaimana pun, ia masih kekal dengan enjin petrol 6AR-FSE 2.0 liter empat-silinder dengan VVT-iW dan suntikan D-45 bagi varian 2.0E dan 2.0G yang menawarkan output 167 PS pada 6,500 rpm dan 199 Nm pada 4,600 rpm iaitu 17 PS dan 9 Nm lebih berbanding pra facelift. Penjana kuasa ini berkeupayaan menukar kitaran antara Otto (untuk kuasa) dan Atkinson (untuk penjimatan) – dipadankan dengan kotak gear Super ECT enam-kelajuan.

    Begitu juga dengan 2.5 hybrid. Dengan enjin petrol 2AR-FXE 2.5 liter VVT-i empat-silinder (160 PS pada 5,700 rpm dan 213 Nm pada 4,500 rpm), digabungkan dengan motor elektrik (143 PS/270 Nm) dengan padanan bateri hidrida logam nikel, jumlah keseluruhan kuasa yang mampu dijanakan mencecah 205 PS. Enjin ini juga dipadankan dengan transmisi e-CVT.

    Malahan bagi Camry 2016, ia menerima beberapa elemen tambahan termasuklah memperkenalkan tujuh beg udara (termasuk untuk bahagian lutut pemandu), VSC, kawalan cengkaman, bantuan mendaki bukit dan isyarat berhenti kecemasan untuk semua varian.

    Sebelum ini, varian 2.0E hanya didatangkan dengan dua beg udara dan tidak mempunyai VSC, dan walau pun 2.0GX model terdahulu mempunyai senarai elemen di atas, namun masih didatangkan dengan dua beg udara. Jadi barisan baharu Camry ini telah melonjakkan lagi aspek keselamatan yang lebih optimum. Manakala varian 2.5 hybrid masih kekal seperti sebelum ini termasuk dengan Paparan Titik Buta dengan Kepekaan Lintasan Trafik Belakang.

    04-gx-key-dashboard_client

    Elemen standard bagi semua varian model facelift ini termasuklah kawalan suhu dwi-zon automatik dengan corong udara pada tempat duduk belakang, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, Isofix untuk tempat duduk belakang, pengesan parkir hadapan dan belakang.

    Namun terdapat pertambahan elemen bagi 2.0GX termasuklah roda aloi 17-inci (16-inci bagi model terdahulu) dibaluti tayar 215/55, dua-DIN, unit utama skrin sesentuh tujuh-inci dengan sambungan WiFi. Tidak seperti sistem tujuh-inci pada model hibrid, bagi 2.0GX, ia tidak didatangkan dengan navigasi sebagai standard, dan hanya ditawarkan sebagai opsyen. Juga pengecas tanpa wayar Qi, sama seperti varian hibrid.

    Bagi 2.5 hybrid, untuk varian Premium, ia dipadankan dengan roda aloi 16-inci dan tayar 215/60 (17-inci dan 215/55 bagi Luxury) dan didatangkan secara standard sistem audio dan pemain CD (skrin sesentuh tujuh-inci sebagai kit opsyen) dan cermin pandang belakang asas siang/malam (electro-chromic untuk Luxury). Malah Premium juga tidak didatangkan dengan pengecas tanpa wayar, nanoe ioniser dan paparan Titik Buta, tidak seperti Luxury.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi penuh Toyota Camry 2016, sila layari Carbase.my.

    GALERI: Toyota Camry Hybrid Luxury

    GALERI: Toyota Camry 2.0G X

     
     
  • Jaguar Land Rover buka bilik pameran di Penang

    l-r-syed-iskandar-datuk-aishah-tuan-syed-hussain-syed-khalil-dato-sri-tan-e1480665236648

    Jaguar Land Rover Malaysia telah membuka bilik pameran baharu di Pulau Pinang untuk bahagian utara, menerusi Sisma Auto (Utara) Sdn Bhd, pengedar eksklusif yang dilantik bagi jenama Jaguar dan Land Rover. Terletak di Jalan Sultan Ahmad Shah, di bahagian pulau, ia turut melengkapi bilik pameran Jaguar Land Rover juga kendalian Sisma Auto Utara yang berada di Sungai Pinang dan telah beroperasi sejak setahun yang lalu.

    Dengan keluasan 28,000 kaki persegi, bilik pameran baharu di Penang ini merupakan lokasi ketiga bagi Sisma Auto selepas pusat 3S di Glenmarie dan juga bilik pameran di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Bilik pameran di Penang ini turut menawarkan perkhidmatan ‘drop-off point’, di mana kenderaan Jaguar atau Land Rover boleh diselenggara di sini.

     
     
  • Pemenang ASEAN NCAP Grand Prix ’16 – Honda terima 10, Toyota 8, Nissan 4, Proton 3, Perodua 2

    screen-shot-2016-12-02-at-4-18-46-pm

    Baru-baru ini telah dianjurkan majlis penganugerahan ASEAN NCAP Grand Prix 2016. Ia juga adalah bagi meraikan ulang tahun ASEAN NCAP yang kelima.

    Bagi tahun ini, Honda mengungguli senarai dengan menerima 10 anugerah, diikuti oleh Toyota dengan lapan, Nissan pula empat, sementara tiga untuk Proton dan dua bagi Perodua. Malah Mazda, Hyundai, Ford dan Suzuki masing-masing menerima satu anugerah.

    Anugerah ini diberikan buat model kenderaan yang menerika tahap keselamatan terbaik, menurut kelas kenderaan. Markah bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) amat mempengaruhi keputusan bagi penerimaan anugerah ini untuk setiap kategori.

    perodua-bezza-asean-ncap-1

    Berikut merupakan senarai penerima anugerah bagi prestasi keselamatan, mengikut jenis kenderaan:

    Kereta mini
    AOP – Toyota Agya
    COP – Toyota Agya

    Kereta keluarga bersaiz kecil
    AOP – Perodua Bezza
    COP – Perodua Bezza

    Kereta keluarga bersaiz sederhana
    AOP – Honda Civic
    COP – Honda Civic

    Kereta keluarga bersaiz besar
    AOP – Nissan Teana
    COP – Nissan Teana

    MPV
    AOP – Toyota Sienta
    COP – Toyota Innova

    SUV
    AOP – Suzuki S-Cross
    COP – Toyota Rush

    Trak pikap
    AOP – Ford Ranger
    COP – Toyota Hilux

    Kereta keseluruhan terbaik
    AOP – Nissan Teana
    COP – Nissan Teana

    Untuk pengetahuan, ini merupakan anugerah serantau, bukan setakat bagi kenderaan yang dijual di Malaysia sahaja, termasul dengan model yang tidak dijual di sini seperti Toyota Agya. Kereta yang menerima keseluruhan terbaik, Nissan Teana, dengan markah penuh bagi AOP dan 80% bagi COP, telah mencatatkan rekod tertinggi bagi ASEAN NCAP.

    honda-br-v-asean-ncap-1

    Bagi tahun ini, turut diadakan anugerah baharu bagi keselamatan bagi kereta mampu milik, dengan model yang paling murah bagi setiap negara ASEAN dengan penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP. Proton Iriz menjadi kebanggaan Malaysia kerana memenangi anugerah itu, dan Preve pula bagi pasaran Thailand. Anugerah bagi pasaran lain turut diberikan kepada Honda, menerusi model BR-V (Indonesia), City (Vietnam, Kemboja dan Laos), Jazz (Filipina) dan HR-V (Brunei dan Singapura).

    Malahan Proton turut mencipta satu lagi sejarah apabila Saga menerima anugerah ‘Rising Star’ selepas menerima peningkatan empat-bintang apabila diuji pada tahun 2016, daripada hanya tiga-bintang (2013) dan dua-bintang (2012). Selain itu, Toyota Corolla pula yang menambah tujuh beg udara dan kawalan kestabilan elektronik sebagai elemen standard; dan Hyundai Elantra bagi Konsep Keselamatan Global bagi Kereta Tanpa Kosong Bintang.

    Anugerah teknologi keselamatan khas turut diberikan kepada syarikat yang tampil dengan elemen keselamatan spesifik. Bagi tahun ini, Honda Sensing, Mazda i-ActivSence, Toyota Blind Spot Monitor dan Bosch Motorcycle dengan teknologi inovatif telah menerima pengiktirafan ini. Satu lagi pencapaian yang membanggakan kami, apabila Jonathan Lee dari paultan.org telah menerima Anugerah Penghargaan Kewartawanan bagi tahun ini, melengkapi lagi anugerah yang kami terima iaitu Anugerah Sumbangan Media pada tahun 2014.

     
     
  • KTMB umum pembelian tiket secara manual untuk tren KTM Antarabandar dan ETS pada 6 Disember ini

    KL12_120810_TREN_ETS

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengeluarkan kenyataan berhubung dengan kerja-kerja menaik taraf sistem tiket perkhidmatan tren KTM Antarabandar dan Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) pada 6 Disember ini. Di mana ia akan berlangsung selama 24 jam bermula 12.05 pagi hingga 12 tengah malam.

    Sehubungan itu pembelian tiket pada tarikh tersebut hanya boleh dibuat di kaunter KTMB secara manual.

    Menurut kenyataan terbabit, sebarang transaksi, semakan, pembatalan atau pindaan melalui aplikasi dalam talian juga akan ditutup sementara waktu dalam tempoh tersebut.

    Justeru, orang ramai yang merancang menggunakan kedua-dua perkhidmatan tersebut disaran membuat pembelian lebih awal bagi mengelak sebarang kesulitan.

    Dalam masa yang sama, pihak KTMB juga berkata bagi pengguna yang telah membuat tempahan tiket secara atas talian, mereka boleh mencetak tiket perjalanan mereka selewat-lewatnya pada Isnin depan bagi memastikan mereka mempunyai tiket sah sebelum menaiki tren.

     
     
  • Jalan Kuala Terengganu di Jambatan Jerteh hala ke Kota Bahru ditutup pada 7 Disember ini selama 2 hari

    Road_construction

    Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu telah mengumumkan penutupan jalan utama dari Kuala Terengganu ke Kota Bahru di jambatan Sungai Jerteh ditutup sementara kepada semua jenis kenderaan mulai 11 malam pada 7 Disember hingga 4.30 pagi 8 Disember ini.

    Menurut jurucakapnya, Rosfaizal Rosli, ia dibuat bagi menjalankan kerja-kerja mengangkat, memasang struktur besi jambatan dan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di atas Jambatan Sungai Jerteh.

    Di mana sepanjang tempoh itu, pengguna jalan raya dari Kuala Terengganu ke Kota Bahru boleh menggunakan jalan alternatif Simpang Gong Kemuntong ke Kuala Besut sebelum ke Kota Bahru melalui Seberang Jerteh ke sempadan Kelantan, menurut laporan Bernama

    Bagi pengguna jalan raya dari Kota Bahru pula, mereka boleh menggunakan jalan Seberang Jerteh ke Kuala Besut sebelum mengikuti Jalan Kampung Raja ke Tembila dan ke Renek sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu.

    Sehubungan itu, pihat tersebut juga berharap pengguna jalan raya dapat menggunakan laluan alternatif seperti yang dicadangkan.

     
     
  • KL MRT: Bas perantaran antara stesen Sungai Buloh-Semantan mula beroperasi 16 Disember ini

    MRT_Sg_Buloh

    Setakat ini, Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang (SBK) telah disahkan akan memulakan operasi pada 16 Disember ini. Sehubungan itu, sebanyak 112 bas perantara juga telah diumumkan akan mula beroperasi di kesemua 12 stesen laluan 1 fasa pertama MRT Sungai Buloh-Semantan pada tarikh yang sama.

    Menurut Ketua Perancangan Bas Perantara dan Infrastruktur, MRT Group, Rudyanto Azhar, pengguna hanya perlu membayar RM1 bagi kemudahan bas perantara itu, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Katanya, diskaun sebanyak 20% akan diberikan kepada pelajar, warga emas, pemegang pas mingguan serta pas bulanan.

    Menurut Rudyanto lagi, sebanyak 300 buah bas disediakan sebagai bas perantara yang dikendalikan dengan kerjasama antara MRT Corp dan Prasarana Malaysia Berhad melalui Rapid Bus.

    Manakala sebanyak 188 bas pengantara akan beroperasi mengikut jadual apabila MRT siap sepenuhnya dari Semantan ke Kajang pada 31 Julai 2017.

    Di mana sebanyak 26 laluan bas dari stesen ke stesen akan digerakkan untuk fasa pertama dengan jumlah jaraknya iaitu 256.3km.

    “Sebanyak tiga hingga lima bas beroperasi pada setiap laluan tersebut dengan kekerapannya selama 10 minit setiap satu. Ia dilengkapi tempat duduk selesa, ruang khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kamera keselamatan (CCTV) dan ia boleh memuatkan sehingga 62 penumpang pada satu-satu masa,” katanya.

     
     
  • Peugeot 208 dan 2008 facelift diprebiu di Malaysia – 1.2 liter PureTech, 110 PS/205 Nm, tempahan dibuka

    img_3368

    Peugeot 208 dan 2008 versi facelift kini dipertontonkan di Malaysia, iaitu di Queensbay Mall, Pulau Pinang, dari 1 hingga 4 Disember 2016. Malahan tempahan bagi kedua-dua model segmen-B ini juga telah dibuka serta akan dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.

    Kedua-dua model telah menjalani sedikit peningkatan luaran bagi pembaharuan ini. Mula diperkenalkan pada Februari 2015, 208 facelift ini menerima kombinasi gril dan bampar baharu, bersama lampu utama dengan dwi-tona berwarna hitam yang lebih terang dan bezel krom. Untuk bahagian belakang pula, ia menerima padanan kluster lampu LED-penuh dengan motif cakaran yang menonjol.

    Bagi 2008 pula, SUV kompak ini telah menjalani sedikit perubahan dengan gril hadapan melintang baharu, di samping lampu utama dan sambungan gerbang roda hitam yang diperkemaskini serta scuff plates baharu bagi menyerlahkan lagi gaya SUV tersebut.

    Lebih penting, terdapat perubahan pada bahagian mekanikalnya. Model terdahulu menerima enjin 1.6 liter 122 PS/160 Nm, dipadankan dengan transmisi auto empat-kelajuan. Namun kedua-dua model facelift ini dipadankan dengan enjin baharu 1.2 liter PureTech dengan 112 PS dan 205 Nm, bersama transmisi automatik enam-kelajuan Aisin.

    Bagi 208, ia mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 9.8 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 190 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya sekitar 4.5 l/100 km bagi kitaran kombinasi. Model versi lama pula memerlukan 10.7 saat bagi 0-100 km/j dan penggunaan bahan api sekitar 6.7 l/100 km. Kelajuan maksimum tidak berubah.

    Manakala untuk model 2008 pula, kini ia mampu mencapai 9.9 saat bagi 0-100 km/j, kelajuan maksimum sehingga 188 km/j dan lebih kurang 4.8 l/100 km. Sebagai perbandingan, model pre-facelift hanya 11.2 saat bagi 0-100 km/j, kelajuan maksimum 190 km/j dan menggunakan 6.5 l/100 km.

    Untuk aspek keselamatan, kedua-duanya menerima enam beg udara dan kawalan kestabilan elektronik, seperti sebelum ini. Tiada harga yang diumumkan buat masa ini, namun mungkin ia tidak jauh berbeza dengan harga sedia ada iaitu RM85,888 untuk model 208 lima-pintu hatchback dan RM119,888 bagi 2008 crossover.

    Hanya versi lima-pintu 208 sahaja yang dipamerkan buat masa ini, jadi kita perlu menanti adakah versi tiga-pintu akan diletakkan dalam barisan facelift ini juga. Manakala perkhabaran tentang model penambahbaikan 208 GTi tidak kedengaran sehingga kini. Apa pun, teruskan bersama paultan.org/bm untuk berita selanjutnya.

    GALERI: Peugeot 208 1.2 PureTech facelift

    GALERI: Peugeot 2008 1.2 PureTech facelift

     
     
  • Toyota Camry 2018 – serba baharu, muncul Jan ini

    2018-toyota-camry-teaser

    Ini merupakan imej teaser pertama bagi Toyota Camry 2018, yang direncana bakal diperkenalkan di Detroit Auto Show pada Januari tahun hadapan. Walau bagaimana pun, ia adalah Camry bagi versi pasaran Amerika.

    Imej ini turut mendedahkan sedikit perinciannya, dengan memperagakan kluster lampu belakang LED yang cukup bergaya disambung pada corong udara. Malah kelihatan boot lid spoiler, antena sirip jerung berwarna hitam dan garisan belakang lebih lebih menonjol, memberikan gambaran yang sporty bagi Camry ini. Logo XSE mungkin memberikan gambaran ia lebih sporty bagi model di sana.

    Spyshot dan imej yang bocor bagi jentera NASCAR akan-datang sebelum ini seakan mendedahkan banyak elemen mengenai Camry. Bahagian hadapan kelihatan agresif, sama seperti sudut belakang, malahan ia turut menampilkan lampu utama yang lebih langsing bersama gril ‘terapung’ yang nampak seperti agak kompleks rekaannya, bersama corong terbuka yang besar, lebih kurang sama dengan gril Lexus yang cukup menonjol.

    Toyota Camry 2018 ini turut dijangka akan dibina dengan platform modular baharu TNGA, dan ia mungkin akan dipadankan dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo yang telah pun digunakan pada Toyota Crown dan beberapa model Lexus yang lain, sekurang-kurangnya menggantikan enjin yang lebih besar iaitu 3.5 liter V6 di Amerika, bersama enjin 2.5 liter dan versi hibrid.

    GALERI: Spyshot Toyota Camry 2018 (model pasaran Amerika)

     
     
  • Volvo V90 – ahli baharu kereta rasmi polis di Sweden

    201331_volvo_v90_as_a_police_car-e1480567353383-850x504_bm

    Volvo V90 dipilih sebagai model terbaharu untuk digunakan oleh polis di Sweden; penghantaran unit-unit kenderaan rasmi itu akan dilakukan awal tahun hadapan. Ini adalah susulan kepada prestasi yang dicapai oleh model berkenaan di dalam ujian pemanduan yang dilakukan pihak berkuasa itu.

    Ujian terhadap kenderaan yang ingin digunakan sebagai kereta polis melibatkan lima perkara; membrek, pemanduan berhalangan, mengelak rintangan dengan atau tanpa brek, di dalam kelajuan tinggi serta pemanduan dalam kecemasan. Volvo V90 memperoleh 9.2 mata daripada 10 keseluruhannya; bacaan tertinggi yang pernah dicatat oleh mana-mana kenderaan yang diuji untuk tujuan itu oleh polis Sweden.

    “Keseluruhannya, agak sukar untuk mencari kekurangannya. Casis, stereng, suspensi, kawalan cengkaman dan sistem janaan kuasanya semua mempamerkan prestasi terbaik. Pertukaran lorong secara mendadak terasa sangat mudah; kereta ini lakukan apa yang pemandu inginkan. I dipersetujui sebulat suara oleh pasukan,” ujar wakil pemandu yang melakukan ujian bagi pihak polis Sweden.

    Bahagian Produk Khas Volvo Car ditugaskan untuk mengubah V90 yang sudah diproduksi menjadi sebuah kereta yang sentiasa bersedia sebagai kenderaan dalam suasana kecemasan. Ini melibatkan pengukuhan casis, brek dan komponen suspensi yang dinaik taraf dan kelengkapan komunikasi polis yang diperlukan.

    Proses modifikasi berkenaan mengambil masa seminggu di kemudahan pemasangan Volvo di Torslanda, Sweden. Negara yang yang pernah menggunakan kereta Volvo sebagai kereta polis adalah Norway, Italy, United Kingdom, Belanda dan tidak ketinggalan, Malaysia.

     
     
  • Honda BR-V kini dibuka untuk tempahan – dijangka akan dilancarkan secara rasmi suku pertama 2017

    honda-br-v-preview-miecc-lead

    Honda Malaysia hari ini mengumumkan tempahan bagi model SUV tujuh tempat duduk terbaharunya, Honda BR-V kini dibuka. Model berkenaan dijangka akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada suku pertama tahun depan. Tempahan boleh dibuat di semua 88 pengedar bertauliah Honda di sini.

    Model yang merupakan variasi jenis crossover daripada Honda Mobilio yang dijual di Indonesia, BR-V dibangunkan untuk memenuhi keperluan pengguna dipasaran ASEAN. Ia menggunakan enjin 1.5 liter i-VTEC dengan janaan kuasa 120 PS dan 145 Nm tork yang dipadankan dengan sistem transmisi CVT.

    Dengan semua tempat duduk dinaikkan, ruang barangan yang mampu ditampung oleh model ini ialah 223 liter. Ruang yang sama dapat ditingkatkan kapasitinya kepada 539 liter jika tempat duduk barisan ketiga direbahkan.

    Tempat duduk barisan kedua boleh dilipat dalam nisbah 50:50 dengan ciri One Touch Tilt & Tumble. Bagi tempat duduk barisan ketiga pula, ia boleh dilipat dalam nisbah 60:40.

    Honda BR-V memiliki dimensi 4,456 mm panjang, 1,735 mm lebar dan 1,666 mm tinggi dengan jarak roda 2,662 mm. Sebagai perbandingan, SUV ini 161 mm lebih panjang, 35 mm kurang lebar dan 45 mm lebih tinggi serta jarak rodanya 50 mm lebih panjang berbanding Honda HR-V.

    Dari aspek keselamatan, Honda BR-V diberi penarafan lima-bintang bagi ASEAN NCAP bagi varian dengan ciri ESC. Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan model ini, ikuti laporan pandu uji pertama di Thailand yang sempat kami sediakan sebelum ini.

    Honda BR-V di MIECC

     
     
  • Kawasaki Versys-X 250 2017 dilancarkan di Indonesia

    2017-kawasaki-versys-x-250-5-e1478655092282

    Selepas diumumkan hampir sebulan lalu oleh pengeluarnya, model Kawasaki Versys-X 250 2017 kini diperkenalkan untuk pasaran Indonesia. Dijual dalam dua varian – Versys-X 250 City dan Tourer – harga yang dipamerkan di sana masing-masing ialah 61,900,000 rupiah (RM20,397) dan 72,700,000 rupiah (RM23,956).

    Kedua-duanya membawakan gaya sebuah jentera dual-purpose, dengan dilengkapi enjin 249 cc berkembar selari, DOHC lapan injap dengan sejukan cecair. Tiada maklumat berkaitan output yang diumumkan setakat ini, namun kemungkinan besar ia diasaskan pada enjin sama yang digunakan pada model Ninja 250R; dengan janaan kuasa sekitar 29.9 hp pada 10,500 rpm dan 21.7 Nm tork pada 10,000 rpm.

    Saluran minyak adalah melalui sistem EFI, dengan transmisi enam kelajuan yang menggunakan slipper clutch. Rim pula bersaiz 19 inci di depan, manakala 17 inci di belakang. Brek pula menggunakan cakera tunggal 290 mm di bahagian depan dan 220 mm di belakang, dengan kaliper hidraulik Nissin. Kapasiti tangki minyak yang ada ialah 17 liter.

    Fork depan adalah dari jenis teleskopik 41 mm, yang digandingkan dengan penyerap hentak Kawasaki Uni-Trak tunggal di belakang. Bagi versi Tourer, ia dilengkapi dengan aksosori penghadang serta lampu tunggangan tambahan, serta kotak barangan.

    Setakat yang diketahui daripada penawaran di Indonesia, terdapat empat warna sebagai pilihan; Candy Lime Green/Metallic Graphite Gray dan Candy Burnt Orange/Metallic Graphite Gray bagi versi Tourer manakala Candy Lime Green/Metallic Graphite Gray dan Metallic Graphite Gray/Flat Ebony untuk versi City.

     
     
  • Hyundai Ioniq Hybrid terima Euro NCAP 5-bintang

    Baru saja dilancarkan untuk pasaran Malaysia Selasa lalu, Hyundai Ioniq Hybrid ada satu lagi berita bermakna; model berkenaan dianugerahkan penarafan lima bintang bagi ujian kemalangan Euro NCAP.

    Sistem Autonomous Emergency Braking (AEB) diuji terhadap kenderaaan dan patung ujian; ia berjaya mengelak perlanggaran di dalam ujian kelajuan 50 km/j bagi pemanduan dalam bandar. Ionoq juga berjaya mengelak perlanggaran di dalam ujian AEB terhadap pejalan kaki pada kelajuan 45 km/j. Walaupun patung ujian dilanggar bagi ujian 50 km/j, kelajuan ketika perlanggaran berjaya dikurangkan kepada 25 km/j.

    Bagi pasaran Malaysia, Hyundai Ionoq yang ditawarkan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan lengkap; AEB, Lane Keep Assist, Blind Spot Monitor dan juga Smart Cruise Control (SCC) bagi varian tertinggi HEV Plus. Bagaimanapun, varian HEV yang lebih rendah juga turut dilengkapi dengan tujuh beg udara.

    Untuk mendapatkan perincian lebih lanjut berkaitan model hibrid terbaharu yang menjengah pasaran Malaysia ini, layari laman Carbase.my.

    Hyundai Ioniq HEV Plus

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025