Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ayala Corporation mahu membangunkan hab kereta pandu-sendiri di Filipina bagi Asia Tenggara dengan pelaburan bernilai USD 100 juta menjelang 2019

    google-self-driving-1

    Syarikat konglomerat berjaya di Filipina, Ayala Corporation, menerusi jabatan kenderaan AC Industrial Technology Holdings (ACITH), telah bersedia untuk melabur sehingga USD 100 juta (RM403 juta) bagi membangunkan hab pengeluaran kereta bagi Asia Tenggara.

    Syarikat berkenaan kini sedang mengadakan perbincangan dengan “lebih dari tiga” syarikat kenderaan asing untuk kerjasama dengan perkongsian saham awalan sebanyak 50% bersama AC Industrial. Perkara ini disahkan oleh ketua ACITH sendiri, Arthur Tan, dalam temubual bersama Nikkei Asian Review.

    Tanpa menyebut sebarang nama yang terlibat dengan perbincangan beraama ACITH, dengan berkata beliau terikat dengan perjanjian untuk tidak mendedahkannya. Walau bagaimana pun, Tan mendedahkan perbincangan dengan Volkswagen yang berlangsung sejak tahun 2013 masih berjalan sehingga sekarang.

    Uber-self-driving-Ford-Fusion-01

    Malah beliau juga berkata, kerjasama (JV) ini bertujuan untuk membangunkan kereta pandu-sendiri, dan berharap ia akan termasuk dengan topik perbincangan tersebut dan persiapan bagi projek ini boleh dimulakan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

    Tan turut berkata, JV ini tidak akan membangunkan ‘kereta konvensional’, kerana pasaran terbabit telah dimonopoli oleh Thailand, Indonesia dan Malaysia. “Kita melihat peluang di mana industri automotif sendiri telah banyak terganggu. Jadi fasiliti pembangunan sedia ada tidak akan menghasilkan kenderaan sebegini untuk generasi akan datang,” ujarnya.

    Ayala Corporation turut memiliki Integrated Micro-Electronics (IM), unit perniagaan yang membuat produk elektronik bagi industri automotif global, termasuk kamera untuk kereta pandu-sendiri.

     
     
  • GALERI: Proton Persona 2016 – Pecahan mengikut perbezaan spesifikasi setiap varian yang ditawarkan

    Proton Persona 2016 atau generasi kedua sudah pun dilancarkan secara rasmi. Jika anda ketinggalan, kami sudah membuat liputan yang menyeluruh berkaitan model ini.

    Bermula dengan majlis pelancarannya Selasa lalu, yang antara lain menyaksikan harga jualannya dari RM46,000 hingga RM60,000.

    Selain itu, laporan berkaitan penarafan lima bintang bagi Asean NCAP (ia menggunakan platform sama dengan Iriz) turut disediakan.

    Bagi anda yang ingin tahu secara ringkas apa kelainan dan kelebihan kereta sedan segmen B terbaharu Proton ini tanpa perlu membaca panjang lebar laporan yang disediakan, kami turut menyertakan video ringkas lapan perkara utama yang perlu anda tahu berkenaan Proton Persona 2016 ini.

    Di sini, kami bawakan pula pecahan dan perbezaan bagi setiap varian yang ditawarkan kepada pelanggan. Tiga varian semuanya; Standard, Executive dan Premium (termasuk satu lagi Premium SE dengan tambahan bodykit). Maklumat lanjut tentang pecahan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

    Proton Persona 1.6 2016 Standard – RM46,350 (M/T), RM49,350 (CVT)

    Varian ini datang dengan dua versi transmisi yang boleh dipilih iaitu manual lima-kelajuan dan CVT automatik. Kedua-dua versi ini hadir dengan ciri-ciri yang sama.

    Ciri-ciri

    • Ecodrive Assist
    • Lampu utama reflektor halogen (tinggi boleh laras)
    • Lampu kabus belakang
    • Penderia parkir depan dan belakang
    • Rim 15-inci kelabu (dengan tayar Silverstone Kruizer)
    • Cermin sisi dan pemegang pintu tidak dicat
    • Cermin sisi elektrik
    • Tiang-B warna badan
    • Penghidup enjin kunci dengan kunci kawalan jauh
    • Unit audio 1DIN & Bluetooth
    • Tempat duduk fabrik
    • Tempat duduk boleh dinaikkan
    • Kapasiti but belakag 510 liter
    • Cagak ISOFIX tempat duduk kanak-kanak
    • 2 beg udara
    • ABS dengan EBD dan BA
    • Vehicle Stability Control (VSC)
    • Hill-hold assist
    • Brek cakera depan, brek dram belakang

    Harga

    • 1.6 Standard 5MT – RM46,350 (solid), RM46,800 (metalik)
    • 1.6 Standard CVT – RM49,350 (solid), RM49,800 (metalik)

    Proton Persona 2016 1.6 Executive CVT – RM55,350

    Varian ini hanya hadir dengan kotak gear CVT sahaja.

    Ciri-ciri

    • Ecodrive Assist
    • Lampu utama reflektor halogen (tinggi boleh laras) dengan fungsi automatik
    • Lampu kabus hadapan
    • Lampu kabus belakang
    • Penderia parkir depan dan belakang
    • Rim 15-inci perak (dengan tayar Goodyear Assurance)
    • Cermin sisi dan pemegang pintu warna badan
    • Cermin sisi elektrik
    • Tiang-B warna badan
    • Penghidup enjin kunci dengan kunci kawalan jauh
    • Unit audio 2-DIN & Bluetooth
    • Konsol tengah warna kelabu berkilat
    • Port mengecaj USB
    • 60:40 lipatan kerusi belakang
    • Trim pintu fabrik
    • Tempat duduk fabrik
    • Tempat duduk boleh dinaikkan
    • Kapasiti but belakag 510 liter
    • Cagak ISOFIX tempat duduk kanak-kanak
    • 2 beg udara
    • ABS dengan EBD dan BA
    • Vehicle Stability Control (VSC)
    • Hill-hold assist
    • Brek cakera depan, brek dram belakang
    • Spoiler but belakang

    Harga

    • 1.6 Executive CVT – RM55,350 (solid), RM55,800 (metalik)

    Proton Persona 2016 1.6 Premium CVT – RM59,350

    Varian ini hanya hadir dengan kotak gear CVT sahaja.

    Ciri-ciri

    • Ecodrive Assist
    • Lampu utama reflektor halogen (tinggi boleh laras) dengan fungsi automatik dan follow me home
    • Lampu kabus hadapan
    • Lampu kabus belakang
    • Penderia parkir depan dan belakang
    • Rim 15 inci warna perak (dengan tayar Goodyear Assurance)
    • Cermin sisi dan pemegang pintu warna badan
    • Cermin sisi berkuasa dan boleh lipat
    • Tiang-B hitam
    • Sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin
    • Unit skrin sesentuh (Android) dengan Bluetooth dan kamera undur
    • Konsol tengah warna kelabu berkilat
    • Port mengecaj USB
    • 60:40 lipatan kerusi belakang
    • Trim pintu kulit
    • Tempat duduk dan stereng kulit
    • Tempat duduk boleh dinaikkan
    • Kapasiti but belakag 510 liter
    • Cagak ISOFIX tempat duduk kanak-kanak
    • 6 beg udara
    • ABS dengan EBD dan BA
    • Vehicle Stability Control (VSC)
    • Hill-hold assist
    • Brek cakera depan, brek dram belakang
    • Spoiler but belakang
    • Tambahan RM1,000 bagi bodykit SE

    Harga

    • 1.6 Premium CVT – RM59,350 (solid), RM59,800 (metalik)

    Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan dengan insuran. Setiap pembelian Proton Persona turut dilindungi dengan waranti selama 5 tahun tanpa had perbatuan. Istimewa untuk pembeli yang menempah Persona sebelum 30 September ini, Proton juga menawarkan servis percuma selama tiga tahun (termasuk alat ganti dan upah).

    Untuk anda yang berminat menempah Proton Persona 2016, anda boleh lawati laman Carbase.my untuk spesifikasi penuh serta bantuan dari penasihat jualan di sini.

    Proton Persona 2016 1.6 Standard

    Proton Persona 2016 1.6 Executive CVT

    Proton Persona 2016 1.6 Premium CVT

    Proton Persona 2016 1.6 Premium CVT dengan kit badan

     
     
  • Laluan KTM Butterworth-Kamunting dilanjutkan ke Taiping dan Padang Rengas bermula 1 September ini

    ktm-intercity-antarabandar-train

    Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTM) akan melanjutkan laluan Butterworth-Kamunting sedia ada untuk turut merangkumi stesen di Taiping serta Padang Rengas, bermula 1 September ini, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Pengguna dari Padang Rengas yang ingin menuju Butterworth perlu melalui stesen Bukit Mertajam yang kini akan bertindak selaku stesen pertukaran. Hal yang sama perlu dilakukan oleh pengguna dari Padang Besar dengan destinasi tujuan Padang Rengas.

    Stesen Padang Rengas akan beroperasi dari 5.22 pagi hingga 10.54 malam, stesen Taiping dari 5.35 pagi hingga 11.07 malam, stesen Kamunting pula dari 5.39 pagi hingga 11.11 malam manakala stesen Bukit Mertajam beroperasi dari 5.42 pagi hingga 10.42 malam.

    KTM Promo Padang Rengas

     
     
  • Malaysia dalam kedudukan antara negara teratas di peringkat global dalam kes curi kenderaan tertinggi; Proton Wira dan Toyota Hilux jadi sasaran utama

    Clone-cars-04

    Data daripada Persatuan Insurans Awam Malaysia (PIAM) tidak boleh dipandang remeh; bagi tahun 2015, Malaysia berada di antara kedudukan teratas dalam kalangan negara-negara di dunia yang mencatatkan kes kecurian kenderaan tertinggi.

    Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Mark Lim menyatakan, dalam sehari purata kenderaan yang dilaporkan dicuri di seluruh negara mencecah 60 kes, seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Star.

    Separuh pertama 2016 menyaksikan industri menanggung jumlah tuntutan sehingga RM2.41 bilion. “Jumlah keseluruhan kenderaan yang dicuri dalam tempoh setengah tahun pada 2016 ialah 11,796 unit, berbanding 12,412 kenderaan dicuri bagi tempoh sama pada 2015,” ujar beliau.

    Walaupun dengan penurunan 5%, angka kes kecurian di Malaysia masih tinggi. Dalam sehari, ia melibatkan kira-kira RM13.2 juta bayaran tuntutan insurans yang perlu ditanggung oleh industri berkenaan.

    Klik untuk besarkan

    Secara pecahannya, sejumlah 4,472 kenderaan persendirian, 6,502 motosikal dan 821 kenderaan komersial secara keseluruhannya telah dicuri dalam tempoh berkenaan tahun ini. Untuk rekod, pecahan kecurian kenderaan pada separuh pertama tahun 2015 adalah seperti berikut; 4,539 kenderaan persendirian, 7,122 motosikal dan 751 kenderaan komersial dilaporkan hilang oleh Vehicle Theft Reduction Council of Malaysia (Vtrec).

    Bagi tahun 2014, 10 model kenderaan yang merekodkan kes kecurian tertinggi adalah seperti berikut; Proton Wira (1,268), Toyota Hilux (762), Proton Iswara (717), Proton Waja (694), Perodua Kancil (638), Perodua Myvi (477), Proton Saga (414), Proton Satria (273), Toyota Vios (252) dan Proton Perdana (243).

    Kemudian, bagi tahun 2015, turutan model yang menjadi sasaran utama pencuri adalah seperti berikut; Proton Wira (1,214), Toyota Hilux (595), Proton Iswara (552), Perodua Kancil (550), Proton Waja (538), Perodua Myvi (379), Proton Saga (318), Proton Satria (238), Nissan Vanette (208) dan Honda Civic (200).

     
     
  • Volkswagen Malaysia jadi rakan rasmi ‘KL Wangan’

    Isabela Pascu, Marketing Director of Volkswagen Malaysia and Pekin Ibrahim

    Volkswagen Malaysia dan Centro Pictures telah menandatangani perjanjian kerjasama baru-baru ini yang menyaksikan Volkswagen menjadi penaja rasmi bagi filem ‘KL Wangan’ terbitan syarikat produksi terbabit. Ini merupakan kali pertama jenama kereta antarabangsa menjadi penaja syatikat produksi tempatan di Malaysia.

    ‘KL Wangan’ mengisahkan perlumbaan kereta pada waktu malam di KL, menjanjikan pelbagai aksi menarik yang melibatkan pelbagai barisan kenderaan. Menurut pengarahnya, Pekin Ibrahim, model-model VW akan ditampilkan di dalam filem ini, termasuk Golf R, Golf GTI, Beetle dan Passat serba baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

    “Volkswagen Malaysia berbesar hati menjadi sebahagian daripada filem aksi ini. Peluang ini dilihat sebagai platform terbaik untuk menaikkan lagi jenama kami di pasaran Malaysia,” ujar Isabela Pascu, Pengarah Pemasaran Volkswagen Malaysia.

    Selain Pekin yang turut memiliki jentera Volkswagen, filem ini turut dibintangi oleh Faizal Hussein, Jasmine Suraya, Kazuto, Emily Lin dan Farouk. Siri penggambarannya telah pun bermula pada 21 Ogos lalu, melibatkan banyak lokasi ikonik di sekitar Malaysia.

     
     
  • Naik taraf laluan sehala di PJ dijangka siap lebih awal

    petaling-jaya-one-way-loop

    Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Johari Anuar memaklumkan kerja-kerja naik taraf laluan sehala (One-Way Loop system, OWL) di Petaling Jaya akan siap lebih awal daripada tarikh akhir yang diumumkan sebelum ini. Terdahulu, kerja-kerja berkenaan disasarkan akan disiapkan pada 31 Ogos ini.

    Memetik laporan The Sun, beliau menjelaskan, setakat ini hampir 98% naik taraf itu sudah disiapkan dan baki 2% lagi adalah melibatkan kerja-kerja permukaan semula jalan di sebahagian kecil laluan yang terlibat.

    “Bagaimanapun, kerja-kerja di Jalan Yong Shook Lin mungkin akan sedikit tertangguh disebabkan beberapa aktiviti yang akan diadakan di sekitarnya, seperti PJ Fair 2016 yang akan berlangsung hujung minggu ini serta GP Run anjuran kerajaan negeri,” ulasnya.

    Sebaik sahaja kerja-kerja itu selesai nanti, MBPJ akan menjalankan audit terhadap keselamatan jalan raya dan kesesakan lalu lintas dilaluan berkenaan.

     
     
  • Volkswagen Golf Mk7 facelift disebar di Internet

    vw-golf-7-facelift-leaked-photos-e1472029999716

    Imej Mk7 Volkswagen Golf versi facelift telah pun bersebaran di Internet, ehsan Autoblog.nl, yang menunjukkan bahagian luarannya disemak semula bagi versi standard, wagon dan GTI, dan perlu diperhati betul-betul untuk melihat apa perubahan yang ditampilkan.

    Perubahan yang paling jelas kelihatan ialah lampu utamanya, seperti yang diwar-warkan menerusi khabar angin, ia dipadankan dengan set lampu LED sepenuhnya, sebagai elemen pilihan. Lain-lain semakan semula termasuk roda dengan rekaan baharu, bampar hadapan dan belakang yang berlainan serta model biasa pula bakal memiliki corong ekzos yang bersambung ke bampar belakang.

    Di bahagian dalamnya pula, Golf versi facelift ini ditampilkan dengan kluster instrumen digital baharu sama seperti model B8 Passat, yang dijangka ditawarkan sebagai elemen pilihan. Malah sistem infotainmen yang lebih berteknologi juga dijangka akan ditampilkan, termasuk dengan sokongan kawalan pergerakan seperti yang ada pada model konsep Golf R Touch di Consumer Electronics Show (CES) di Las Vegas tahun lalu.



    Mk7 Golf GTI facelift (kiri) VS model semasa (kanan)

    Bagi varian GTI, bampar hadapannya kelihatan lebih mendalam dan di belakangnya pula ditampilkan corong ekzos berkembar, bersama lampu reflektor yang diposisikan di bawah bampar. Menerusi imej ini, GTI kelihatan mengalami penggayaan semula yang lebih minimal bagi roda lima-jejari seperti model semasa mk7 GTI, dengan roda yang lebih bervariasi dijangkakan.

    Di bawah hudnya, Golf standard dijangka akan menggantikan enjin 1.4 TSI petrol dan 1.6 TDI diesel dengan unit petrol serta diesel yang baharu, kedua-duanya bersesaran 1.5 liter. Namun tiada perincian mengenai GTI, tetapi mungkin enjin 2.0 liter sedia ada akan disemak semula, dengan suntikan-terus pengecas turbo empat-silinder.

     
     
  • Kia Rio 2017 – hatch gen ke-4 sedia diperkenal di Paris

    4th-Gen-Kia-Rio-Teasers-03

    Paris Motor Show 2016 bakal tiba tidak lama, pastinya mengundang banyak kemasukan model konsep, yang bakal diperkenalkan dan sebagainya, bagi mewarnai pentas pameran. Tidak ketinggalan pastinya Kia Rio 2017 yang bakal mengambil tempatnya, bagi memberitahu dunia, generasi ke-empat hatch ini bersedia menggegar dunia.

    Jika model semasa segmen-B ini memiliki bentuk rekaan yang lebih umum dan ia dikekalkan, namun bagi generasi terbaharu ini, ia tampil dengan garisan yang lebih lurus dan permukaan yang lebih diperkemaskinikan, memberikan karakter yang lebih segar.

    Tiada lagi juntaian yang lebih panjang di bahagian hadapan mahu pun bonet, jarak roda yang lebih panjang dan C-pillar yang lebih tegak, berbanding Rio sedia ada. Hasilnya, ia kelihatan lebih berkeyakinan dengan penampilan yang lebih seimbang, ujar Kia. Malah kelihatan lampu nyalaan siang LED berbentuk-U dengan alis dan signitur LED belakang “triple 7” yang kelihatan menyerlahkan lagi gaya Rio 2017 ini.

    Malah rekaan Rio baharu ini dikepalai oleh pusat rekanan Kia di Jerman dan California, dengan kerjasama lebih rapat bersama pusat rekaan utama di Namyang, Korea. Malah Kia turut menjanjikan “teknologi keselamatan dan praktikaliti mendahului kelasnya, menampilkan elemen sambungan terkini, dan memberikan pengendalian yang lebih berkarakteristik.”

    Menerusi perkhabaran ini, turut disebarkan lakaran papan pemuka model baharu ini, yang kelihatan menampilkan ciri lebih moden. Malah ia juga bersifat lebih sporty dan minimalis, dengan skrin sentuh lebih besar, kawalan penghawa dingin, dan barisan rocker switches.

    Rio baharu ini, bakal sebaris dengan Volkswagen Polo, Ford Fiesta, Renault Clio dan Peugeot 208 di Eropah – merupakan model paling penting bagi jenama ini. Malah, Kia merupakan antara jenama paling laris di pasaran global iaitu mampu mencatatkan jualan sehingga 473,000 unit di seluruh dunia pada tahun 2015. Rio 2017 ini dijangka memasuki produksi pada akhir tahun ini untuk pasaran Eropah.

    GALERI: Spyshot Kia Rio 2017

     
     
  • LRT, monorel beri 50% diskaun tambang mulai 16 Sept

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Mulai 16 September ini, pengguna sistem transit aliran ringan (LRT) dan monorel akan menerima 50% diskaun tambang dari jam 6 hingga 7 pagi.

    Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa perasmian LRT3 semalam, langkah ini diambil untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan utama, laporan Utusan Malaysia.

    “Saya yakin langkah ini dapat menyumbang kepada usaha untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas ketika waktu puncak,” katanya.

     
     
  • Projek LRT3 telah dilancarkan oleh Perdana Menteri – sepanjang 37 km, dijadualkan siap pada 31 Ogos 2020

    LRT3_1

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun melancarkan Projek Transit Aliran Ringan (LRT3) yang bakal dimanfaatkan oleh kira-kira dua juta penduduk di Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Projek yang bakal dimulakan oleh Prasarana Malaysia Bhd pada awal 2017 ini dijadualkan siap pada 31 Ogos 2020, menelan kos sebanyak RM9 bilion.

    “LRT3 ini akan menggunakan teknologi baharu iaitu ‘U-Trough’ sebagai penambahbaikan sistem konvensional sedia ada. Ini dijangka akan percepatkan proses dan masa dari segi pelaksanaan. Saya mahukan LRT3 ini mencapai standard dan aspek keselamatan bertaraf dunia,” ujarnya dalam majlis pelancaran yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam.

    LRT3 ini akan menghubungkan Johan Setia di Klang ke Bandar Utama, Petaling Jaya melalui Shah Alam yang melibatkan laluan sejauh 37 kilometer, dengan 26 stesen termasuk satu stesen bawah tanah. Sebanyak 10 stesen LRT akan dilengkapi dengan kemudahan ‘park n ride’ selain dibantu dengan bas pengantara untuk mewujudkan sistem yang bersepadu, laporan Berita Harian.

    Lima daripada stesen-stesen LRT3 ini juga akan diintegrasikan dengan rangkaian perkhidmatan sedia ada atau yang baharu.

    Menurut Perdana Menteri lagi, dengan adanya integrasi di tempat-tempat tersebut, LRT3 dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas, meningkatkan mobiliti pekerja dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu sekitar Lembah Klang menjelang penyiapannya pada tahun 2020.

    LRT3

     
     
  • Ford Transit baharu tiba di Malaysia – enjin 2.2L turbo diesel Duratorq, harga bermula RM149k tanpa insurans

    New Ford Transit 03

    Van Tingkap Ford Transit baharu telah pun dilancarkan hari ini untuk pasaran Malaysia oleh Ford dan pengedarnya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC). Ia direka khas untuk pengendali perniagaan, organisasi dan jabatan kerajaan yang perlu mengangkut ramai orang serta mahukan sebuah van komersial yang lebih berkeupayaan, selesa, efisien dan memiliki rangkaian ciri keselamatan komprehensif.

    Dengan reka bentuk kontemporari dan profesional yang sesuai untuk kegunaan perniagaan, van tingkap Transit didapati dalam warna putih (Frozen White). Ia ditawarkan pada harga RM148,888 di atas jalan tidak termasuk insurans di Semenanjung Malaysia dan RM151,888 seunit di Sabah/Sarawak.

    Jentera ini dikuasakan oleh enjin turbo diesel Duratorq bersesaran 2.2 liter. Enjin itu menawarkan kuasa mencecah 155 PS dan tork 385 Nm. Sama seperti Transit yang lain, enjin TDCi itu dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

    Rangkaian ciri keselamatan yang ada pada Ford Transit baharu termasuklah penambahan pemijak sisi kuasa yang akan memanjang dan dimasukkan semula apabila pintu gelangsar dibuka dan ditutup. Manakala pintu belakang dengan bukaan 180 darjah bersama dua langkah bukaan 90 dan 180 darjah nyata memudahkan akses dan mengangkut barang. Ford Transit juga dilengkapi dengan Emergency Release Hammer pada sebelah pintu bagi tujuan memudahkan untuk mengangkut barang.

    Van Transit 14-tempat duduk mempunyai kabin yang penuh fungsi dan luas. Ia menyediakan tahap pandangan yang baik dan posisi pemanduan lebih selesa berbanding model terdahulu. Kolum sterengnya kini boleh diubah suai sepenuhnya.

    Tahap bunyi bising dikurangkan dan keselesaan penumpang telah ditambah baik. Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan panel instrumen yang bergaya dan rangkaian ruang penyimpanan pintar. Ini termasuklah satu ruang kompartmen yang disembunyikan di bawah tempat duduk berkembar di hadapan, selain poket pada pintu yang boleh memuatkan satu papan klip A4 dan botol minuman dua liter.

    Teknologi termaju yang ada pada Transit akan memberikan penumpang dan pemandu ketenangan minda. Ini termasuklah ciri mitigasi terbalik yang berfungsi mengenakan brek ke atas tayar-tayar tertentu secara automatik apabila alat pengesan mengesan risiko kenderaan mungkin terbalik.

    Ciri kawalan cengkaman pula menyediakan cengkaman sepenuhnya pada apa jua kondisi jalan dengan cara menghantar kuasa tork ke roda yang mempunyai paling banyak cengkaman.

    New Ford Transit 05

    Bagi bahagian luarannya, ia tampil dengan reka bentuk signatur kinetik membantu memberikan van tingkap Transit satu karekter unik. Ia merangkumi gril berbentuk trapezoidal, garis bahu yang mantap dan maskular serta arca roda yang menyerlah. Malah ditampilkan dengan lampu utama jenis Halogen bersama Quad Beam dan ciri Follow Me Home Lighting dan cermin sisi dua tingkat.

    Ciri keselamatan canggih yang lain termasuklah Program Kestabilan Elektronik dengan Fail Boost Support, dua beg udara, ABS, Bantuan Mula mendaki, Bantuan Brek Kecemasan dan Amaran Brek Kecemasan, mitigasi terbalik, alat pengesan parkir pada bahagian hadapan dan belakang, tali pinggang keledar tiga poin untuk semua penumpang serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX di tempat duduk baris kedua.

    “Mengangkut penumpang dengan selamat merupakan misi nombor satu mana-mana van penumpang. Transit menawarkan rangkaian ciri keselamatan termaju, selain kombinasi terbaik di antara penjimatan bahan api, kuasa dan kapasiti,” kata Pengarah Urusan, Malaysia dan Pasaran Membangun Asia Pasifik Ford Motor Company, David Westerman.

    Sambungnya lagi, “Van Transit 14 tempat duduk yang baharu kini juga lebih panjang, lebar, tinggi dan menawarkan kabin lebih segar. Sekali gus memberikan pemandu dan penumpang pengalaman yang selesa seperti sebuah kereta.”

     
     
  • Perodua tauliahkan 17 pelajar program latihan belia

    Perodua Latihan Belia BM 2

    17 pelajar yang mengikuti Program Latihan Belia Perodua (Perodua Youth Training Programe, PYTP) ditauliahkan dengan menerima Sijil Kemahiran Malaysia Gred 2 hari ini. Program berkenaan, yang merupakan sebahagiand daripada program tanggungjawab korporat Perodua kini telah memasuki kali ke-25 penganjurannya.

    Dengan sijil yang diperoleh itu, pelajar-pelajar berkenaan kini diiktiraf sebagai pembantu mekanik di bahawa Kementerian Sumber Manusia Malaysia.

    “Program ini dianjurkan secara tahunan sebagai tanggungjawab korporat syarikat, dengan penekanan untuk memperkasa belia menerusi pendidikan,” jelas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

    Perodua Latihan Belia BM 1

    Setakat ini, lebih daripada 500 pelajar sudah ditauliahkan melalui program ini sejak ia diperkenalkan pada 1999. Daripada jumlah berkenaan, 397 orang diambil bekerja di Perodua.

    Program ini terbuka kepada calon SPM yang lebih cenderung ke arah pembelajaran vokasional dan teknikal berbanding kecenderungan terhadap akedemik. Perodua menyediakan tempat tinggal, makan-minum, pengangkutan, kemudahan kesihatan asas serta elaun bulanan kepada pelajar yang terpilih.

    Bagi edisi tahun ini, Perodua turut membabitkan penglibatan tujuh pelajar di bawah Perbadanan Tabung Kemahiran (PTPK, di bawah PTPTN) untuk turut serta. “Kami ingin berkongsi kejayaan kami dengan Malaysia. Kami juga percaya bahawa pengetahuan dan kebergantungan terhadap diri sendiri adalah perkara penting yang boleh memperkasakan belia kita,” tambah Aminar.

     
     
  • KESAS beri 10% diskaun tol di LSA pada 31 Ogos ini

    KESAS highway

    Konsortium Expressway Shah Alam Selangor Sdn Bhd (KESAS) tekah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 10% bagi pengguna kenderaan kelas satu di Lebuhraya Shah Alam (LSA) pada 31 Ogos ini.

    Menurut CEO syarikat konsesi terbabit, Imran Gulcharan Abdullah, tawaran tersebut adalah sempena meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-59 itu. Ia akan bermula pada jam 12.01 tengah malam hingga 11.59 malam pada tarikh berkenaan, laporan Bernama.

    Di mana pengguna kenderaan kelas satu akan menikmati pengurangan kadar sebanyak 20 sen dengan transaksi pembayaran elektronik di LSA.

    Menurut Imran, dianggarkan hampir 265,000 pengguna LSA akan menikmati manfaat dengan sejumlah RM53,000 subsidi tol yang ditawarkan pada sambutan kemerdekaan kali ini.

    Katanya sejak dilaksanakan dari tahun 2010 hingga tahun lalu, KESAS telah membelanjakan sejumlah RM1.5 juta susbsidi tol untuk dinikmati oleh pengguna LSA setiap kali musim perayaan utama di Malaysia.

    “Penerimaan baik dan sokongan pengguna LSA dengan pelaksanaan kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya sejak dilaksanakan pada 2 Mac lalu banyak membantu kelancaran transaksi pembayaran dan menjimatkan masa.

    “Sehubungan itu diskaun yang diberikan adalah tanda penghargaan KESAS dan ucapan terima kasih kepada pengguna LSA,” katanya.

     
     
  • Proton Persona 2016 dengan penarafan 5-bintang dari ASEAN NCAP didedahkan keratan rentasnya

    Proton_Persona_Cutout-15

    Semasa pelancaran Proton Persona 2016 semalam, pengeluar kenderaan nasional tersebut turut mempamerkan model keratan rentas sedan segmen-B ini untuk tatapan umum.

    Keratan rentas ini bagi memberikan gambaran mengenai struktur badan Persona baharu, yang menggunakan keluli tempa panas atau hot press formed (HPF), kaedah yang pertama kali digunakan pada Preve. Ia adalah bagi menghasilkan kerangka yang ringan dan kuat. Di mana model Iriz versi sedan ini menjadi 20 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya.

    Malah seperti Iriz, Persona baharu ini turut menerima penarafan lima-bintang bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) daripada ASEAN NCAP, bagi kesemua variannya iaitu Standard, Executive dan Premium. Manakala dalam ujian Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) pula, ia mencapai pematuhan sebanyak 82% dengan penarafan empat-bintang.

    Persona 2016 ini memiliki beberapa persamaan elemen standard seperti Iriz termasuk dua beg udara hadapan (enam untuk varian premium), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Amaran Tali Pinggang Keledar (SBR) untuk pemandu dan penumpang hadapan, ISOFIX dan tali penambat bagi tempat duduk khas kanak-kanak. Lantas ia tidak tidak menjalani ujian yang sama seperti Iriz, tetapi tetap diberikan penarafan tersebut memandangkan ia memiliki elemen keselamatan yang sama dengan model hatchback tersebut.

    Menerusi video Safety360 di atas, anda juga boleh melihat secara mendalam mengenai keratan rentas Persona yang diperbuat daripada keluli HPF ini.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Proton persona 2016, sila tonton walk-around video kami, pandu uji ringkasnya, dan pilihan variannya.

     
     
  • Mercedes-Benz C350e plug-in hybrid bakal tiba di M’sia – Airmatic, 0-100 km/j 5.9 saat, dijangka RM299k

    Mercedes-Benz C 350 e 1

    Mercedes-Benz Malaysia telah memprebiu model plug-in hybrid, Mercedes-Benz C 350 e. Tidak seperti BMW yang harganya antara RM240,000 hingga RM260,000, C 350 e akan ditawarkan dengan harga indikatif RM299,000. Sekaligus bakal memposisikan di bawah C 300 yang berharga RM307,888. Pengecas wallbox juga akan ditawarkan sebagai pilihan, dengan harga sekitar RM7,200.

    Ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder yang lebih kurang sama talaan pada C 250, dengan kuasa 211 hp dan tork 350 Nm. Malah ia juga memiliki kuasa tambahan sebanyak 80 hp/340 Nm hasil janaan motor elektrik yang bertugas di antara enjin dan transmisi automatik 7G-Tronic Plus, sekaligus memberikan sistem kuasa maksimum 279 hp dan 600 Nm.

    Dengan kuasa yang dihamburkan itu, C 350 e mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 5.9 saat, malah penggunaan bahan apinya dianggarkan sekitar 2.1 liter per 100 km mengikut kitaran European NEDC. Manakala terjahan kuasa menerusi elektrik sepenuhnya dianggarkan mampu mencapai 31 km, dengan kelajuan maksimum 130 km/j dalam mod tersebut. Pelepasan karbon dioksida pula sekitar 48 hram bagi setiap kilometer.

    Motor elektriknya pula dikuasakan oleh bateri lithium-ion sejukan-air bervoltan tinggi 6.2 kWh yang dipasang di bahagian belakang kereta, sekaligus mengurangkan ruang barangan dari 475 liter menjadi 335 liter. Ia mengambil masa sekitar 1 jam 45 min untuk pengecasan penuh menerusi wallbox atau lebih kurang dua jam jika menggunakan soket domestik standard 230 V. Port pengecasannya terletak di bawah bahagian kanan lampu belakang.

    Kereta yang ditunjukkan ini adalah kereta pra-produksi dari Thailand, bagi varian Exclusive. Bagi model spesifikasi tempatan, akan menerima kit penuh AMG Line dengan bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif serta skirt sisi yang lebih mendalam, selain roda aloi pelbagai-jejari MAG 19-inci. Kabinnya pula menerima rekaan dalaman AMG, termasuk roda stereng pelbagai-fungsi AMG.

    Kebanyakan kitnya mirip dengan C 300, termasuk bumbung matahari gelangsar, 590 W, sistem bunyi Burmester 13-speaker, kawalan suhu automatik tiga-zon Thermotronic. Kit tambahan pula termasuk suspensi udara Airmatic, sistem kamera 360-darjah dan sistem pra-penghawa dingin yang membolehkan anda memprogram penghawa dingin untuk menghidupkannya pada masa yang ditetapkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025