Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Porsche 718 Boxster dan 718 Boxster S – Pemanduan di litar yang menguji kemampuan mengendali kuasa

    Porsche 718 Boxster S Official 02

    Hari Ahad yang memuaskan mungkin dapat dikecapi misalnya ketika anda berhasil meluangkan masa beberapa jam di sebelah tengah harinya untuk memandu barisan kenderaan prestasi tinggi di dalam litar dan belajar banyak perkara tentang pemanduan.

    Dan itulah yang kami lakukan hujung minggu lalu; cuaca di litar Sepang agak baik. Mendung walaupun sedikit berjerebu. Lebih penting adalah barisan kenderaan yang menanti di sana; antaranya yang ingin dipaparkan di dalam laporan ini ialah dua varian dari model terbaharu yang diperkenalkan oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP) Sdn Bhd untuk pasaran Malaysia – Porsche 718 Boxster dan 718 Boxster S.

    Di Malaysia, Porsche 718 Boxster ini baru saja dilancarkan secara rasmi awal Ogos lalu. Namun, sejarahnya – atau paling tidak, angka pada namanya – adalah warisan dari dekad-dekad sebelumnya. 718 adalah nama yang dipilih sebagai tanda hormat kepada jentera lumba 718 yang dilahirkan pada 1953. Pada 1960an, jentera ini mengungguli lebih daripada 1,000 perlumbaan.

    Dari semangat inilah model 718 Boxster ini dilahirkan. Dan, di mana lagi tempat yang terbaik untuk merasakan kejituan pemanduan dua model terbaharu ini jika bukan di litar?

    Ia terdiri daripada dua varian/model; 718 Boxster dan 718 Boxter S. Yang menjadi tarikan utama model ini tentulah enjinnya; ia menggunakan enjin empat silinder baharu dengan pengecaj turbo bagi kedua-duanya. 718 Boxster, ia dilengkapi enjin 2.0 liter dengan janaan kuasa 300 hp, sementara tork yang mampu dihasilkan pula ialah 380 Nm (pada 1,950 hingga 4,500 rpm).

    Baca laporan lanjut di sini

     
     
  • Motor Image buka Pusat 4S Subaru baharu di Cheras

    Subaru-Cheras-1

    Motor Image (MI), pengedar bertauliah kenderaan Subaru di Malaysia, telah melancarkan pusat 4S pertama di Cheras. Pembukaan pusat 4S baharu ini adalah seiring dengan misi MI untuk memperluaskan lagi jenama ini ke merata lokasi, sekali gus memberikan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik untuk para pelanggannya.

    Dengan keluasan 3,417 meter persegi, Pusat 4S Subaru ini terletak di Batu 4 1/2 Jalan Cheras. Ia bagi menggantikan pusat 3S lama yang juga di Cheras, sekali gus menjadikan pusat jualan dan servis Subaru kini menjangkau 29 buah cawangan di seluruh negara.

    Selain sebagai pusat jualan, servis dan alat ganti, Pusat 4S Subaru di Cheras ini juga memiliki fasiliti mengecat badan kenderaan, 12 petak penyelenggaraan yang mampu mengendalikan 48 kereta sehari selain menyediakan ruang lounge untuk para pelanggan.

     
     
  • Shell sumbang RM735k kepada 6 pertubuhan amal

    The Shell family with children of Persatuan Dyslexia Malaysia at the cheque presentation event

    Menerusi kempen amal ‘Balik Kampung’ yang dianjurkan pada Hari Raya Aidilfitri lalu, Shell Malaysia berjaya mengumpulkan sebanyak RM735,000 bagi kanak-kanak kurang bernasib baik. Kempen yang telah dianjurkan untuk dua tahun berturut-turut, juga menerima sumbangan tambahan daripada peruncit. Menerusi kempen ini, Shell menyumbang 1 sen (RM0.01) untuk setiap liter minyak yang dibeli di stesen-stesennya di seluruh negara, dari 1 hingga 3 Julai 2016.

    Dana yang dikumpul menerusi sokongan daripada pelanggan, pengedar dan peruncit Shell dari kempen ini akan disalurkan kepada enam pertubuhan amal yang terpilih. Dua pertubuhan yang menerima sumbangan dari kempen ini memberi tumpuan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik dan mereka bercadang untuk menggunakan dana ini untuk program pembangunan seperti kem kepimpinan, kelas komputer dan kelas memasak.

    Empat lagi pertubuhan akan memberi tumpuan untuk membantu kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran dan menggunakan dana masing-masing untuk menyokong program yang menambah baik kemahiran komunikasi dan stimulasi deria seperti terapi muzik, kelas seni lukis, dan juga latihan kemahiran deria dan motor.

    Menurut Datuk Azman Ismail, Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. Dan Shell Timur Sdn. Bhd., “Pada tahun ini Shell merayakan ulang tahun yang ke-125 di Malaysia dan kami mahu melakukan sesuatu yang istimewa untuk memperingati ulang tahun ini. Kami ingin menyumbang kembali dan mendorong masyarakat ke arah masa depan yang lebih baik, dan satu daripada golongan yang memerlukan perhatian segera adalah kanak-kanak dengan keperluan khas.”

    Kempen amal Shell pada tahun lepas telah menyumbang kepada kejayaan salah seorang daripada penerima sumbangan. Kisah beliau telah menjadi sumber inspirasi kepada orang ramai. Dana daripada Shell telah membolehkan Zulkifli Mohammad, seorang murid kurang upaya di salah sebuah rumah kebajikan, mengikuti latihan renang yang akhirnya melayakkan kanak-kanak itu terpilih untuk mewakili negerinya ke SUKOM 2016 baru-baru ini.

     
     
  • Sultan Johor menang bidaan ‘V1’ bernilai RM990k

    V1

    Keputusan bagi plat nombor baharu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan abjad ‘V’ telah pun keluar, dan seakan tidak menjadi kejutan apabila nombor pendaftaran ‘V1’ menjadi milik Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Sultan Johor berjaya membida nombor berkenaan dengan nilai RM990k.

    Sebelum ini, Sultan Johor juga telah berjaya memperoleh nombor pendaftaran ‘F1’ dengan bidaan sebanyak RM836,660, ‘W1N’ pada tahun 2014 (RM748k) dan ‘WWW 1’ pada 2012 (RM520k). Ia adalah bayaran tertinggi bagi plat nombor siri biasa di Malaysia.

    Manakala terdapat seorang individu misteri yang memenangi bidaan nombor pendaftaran siri khas ‘PATRIOT 1’ pada tahun lalu dengan bayaran RM1.308 juta. Selain itu terdapat beberapa siri plat istimewa baharu termasuk PERFECT (oleh Persatuan Ping Pong Malaysia), VIP (sempena Tahun Melawat Pahang 2017) dan yang dilaporkan semalam, NAAM (Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu).

    Sistem plat nombor telah berubah kepada ‘F’ untuk Putrajaya dan ‘V’ bagi Kuala Lumpur seperti yang diumumkan pada Mei lalu. Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi, orang awam lebih selesa dengan sistem nombor pendaftaran tradisional yang hanya menggunakan abjad pada permulaan nombor berbanding abjad pada permulaan dan penutup nombor, berbanding sistem nombor yang bermula dan berakhir dengan abjad (W XXX A, bermula pada September 2013 dan telah ditamatkan).

    “Ini adalah berdasarkan banyak pembatalan dalam bidaan nombor pendaftaran KL buat masa sekarang. Jadi saya berharap abjad ‘V’, akan membuatkan orang ramai teruja,” kata beliau.

    Menerusi senarai nombor plat ‘V’ ini, kelihatan ia turut menjadi perhatian beberapa orang kenamaan, antaranya Sultan Kelantan iaitu Sultan Muhammad V (Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail) dengan ‘V9’, ‘V63’ pilihan Datuk Seri Azalina Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani (V40) dan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (V89). Selain beberapa nombor ‘cantik’ yang digunakan oleh pentadbiran kerajaan iaitu ‘V6’ dan ‘V38’.

     
     
  • GALERI: BMW 2002 1975 dan model replika E30 M3 DTM 1987 dipamerkan di BMW Innovation Day 2016

    BMW_2002_M3DTM-1

    BMW Innovation Days 2016 mula berlangsung hari ini selama tiga hari di Desa Park City, selain melancarkan model BMW 330e iPerformance plug-in hybrid, tarikan utama yang dipertonjolkan ialah mempamerkan model klasik BMW 2002 buatan tahun 1975 dan juga model replika BMW E30 M3 DTM.

    Malah 2002 merupakan model pertama BMW yang menggunakan teknologi turbo iaitu pada tahun 1975 dan kini kekal menjadi model lagenda. Bukan itu sahaja, ia juga menjadi penanda aras bagi pengendalian untuk segmen sedan eksekutif kompak.

    BMW_2002_M3DTM-2

    Turut dikenang sebagai lagenda terutamanya bagi penggemar BMW M, sudah pasti ialah model E30, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 238 hp daripada penjana kuasa 2.5 liter empat-silinder sebaris. Dalam sukan perlumbaan kereta, E30 M3 sering mendapat gelaran juara, termasuklah di World Touring Car Championship 1987, British Touring Car Championship 1988 dan 1991 serta Deutsche Tourenwagen Meisterschaft pada 1987 dan 1989.

    Selain model-model klasik tersebut, turut dipamerkan di BMW Innovation Days 2016 ialah BMW i8, X6 M, 740Li, dan F10 5 Series dengan padanan aksesori M Performance.

    GALERI: BMW 2002 1975

    GALERI: Replika BMW E30 M3 DTM

     
     
  • Proton Celerio – Apa khabar model ‘rebadge’ pesaing Axia ini, adakah akan jadi kenyataan atau sebaliknya?

    Proton-Celerio-Front-850x464 BM

    Tahun ini nampak gayanya Proton mungkin menjadi jenama pengeluar kenderaan yang paling kerap dibicarakan di Malaysia. Bayangkan, untuk 2016 sahaja, empat model sudah dan akan dilancarkan. Model Perdana dan Persona sudah selamat diperkenalkan, dengan mengundang pelbagai reaksi.

    Dan, seperti yang kita sedia maklum, ada dua lagi menanti untuk dilancarkan; Saga pada September ini dan MPV kompak Ertiga (dari model sama keluaran Suzuki) akan mula masuk pasaran Oktober nanti. Empat model baharu setahun? Ini mungkin pertama kali Proton bekerja sekeras ini sepanjang sejarah penubuhannya.

    Kerja sama dengan Suzuki yang dimeterai tahun lalu sebetulnya turut melibatkan desas-desus pengeluaran sebuah model kompak. Apa jadi dengan hal itu? Asalnya, memang itulah niat asalnya; Proton akan membangunkan sebuah kereta kompak segmen A, yang sebelum tidak ada model yang mewakili jenama pengeluar kenderaan kebangsaan itu.

    Proton-Celerio-Rear-850x510 BM

    Ia khabarnya sebuah kereta kompak dengan kapasiti enjin 1.0 liter, dan bakal menjadi saingan dekat bagi model Perodua Axia, yang selesa mendominasi pasaran sehingga ke saat ini. Menariknya, Suzuki mempunyai model sedia ada yang menepati keperluan ini, iaitu Celerio.

    Dibuat di India, Celerio merupakan sebuah kereta kompak hatchback lima pintu dengan padanan enjin 1.0 liter tiga silinder dengan janaan 67 hp / 90 Nm tork, digandingkan dengan transmisi manual atau “Auto Gear Shift” AMT. Versi enjin 800 cc dua silinder turbodiesel dengan output 47 hp/125 Nm turut ditawarkan.

    Dipersembahkan di sini ialah versi rendering model berkenaan, jika di’rebadge’ sebagai sebuah model Proton, oleh siapa lagi kalau bukan Theophilus Chin khusus untuk kami. Ia bukanlah sekadar menukar lambang pada bahagian depan dan belakang.

    Yang dibayangkan di sini ialah jika Celerio meminjam beberapa sentuhan dari reka bentuk model Proton, khususnya Persona yang baru dilancarkan minggu ini. ‘Proton Wings’ pada bahagian gril yang dilanjutkan ke bahagian lampu depan adalah antara perubahan yang dibayangkan.

    Proton_Aria_interior-850x510 BM

    Bahagian belakangnya pula, rekaan asal Celerio yang kosong ditambah dengan kemasan krom sebagai kesinambungan rekaan gril hadapannya yang kini nampak lebar. Turut ditambah ialah diffuser yang diperagakan sebelum ini oleh Iriz.

    Adakah “Proton Celerio” ini akan menjadi kenyataan? Jika jawapannya ya, kita akan memperoleh sebuah model yang mampu memberi saingan kepada Perodua Axia. Menarik untuk memerhatikan perkara ini sekiranya ia menjadi kenyataan nanti. Sementara itu, nikmati dahulu imej rendering yang ada buat masa ini.

     
     
  • BMW 330e iPerformance Sport plug-in hybrid kini di Malaysia – 0-100 km/j 6.1 saat, 2.1l/100km, RM249k

    BMW_330e_Ext-3

    Sempena dengan BMW Innovation Days Malaysia 2016 yang berlangsung mulai hari ini, BMW Group Malaysia mengambil kesempatan melancarkan model BMW 330e iPerformance Sport plug-in hybrid baharu. Ia merupakan kenderaan hibrid dengan Teknologi eDrive kedua yang dipasang di negara ini. Malah ia menjadi model ke-12 yang menyertai portfolio kenderaan pemasangan tempatan di kemudahan BMW Group Malaysia di Kulim Hi-Tech Park.

    BMW 330e ini dilengkapi dengan enjin 2.0 liter empat-silinder teknologi BMW TwinPower Turbo, motor elektrik dan kotak gear Steptronic lapan-kelajuan yang sama dengan yang ada pada BMW X5 xDrive40e dan 740e. Bagaimana pun, enjin berkenaan menghasilkan kuasa 180 hp dan tork maksima 290 Nm, dan digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 87 hp dan tork 250 Nm.

    Malahan ia ia juga didatangkan dengan sistem pacuan roda belakang sepenuh masa dan teknologi eDrive. Secara keseluruhan, model ini memberikan kuasa 248 hp dan tork 420 Nm, berbeza dengan model 330i petrol yang menawarkan kuasa 252 hp dan tork 350 Nm.

    Hasil gabungan penjana kuasa dan sistem yang dipertaruhkan ini, 330e mampu mencapai bacaan 0-100km/j dalam masa 6.1 saat dan kelajuan maksimum 252 km/j. Ini hampir dengan bacaan yang dihasilkan oleh model 330i iaitu 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat dan laju maksimum 250 km/j.

    Dari sudut penggunaan minyak pula, 330e mampu mencapai 2.1 liter per 100 km, berbanding 6.1 liter per 100 km bagi model 330i. Ia juga boleh dipacu menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan jarak 37 km, pada kelajuan sehingga 120 km/j.

    Talaan kenderaan serta kawalan rangkaian kuasa boleh dikonfigurasi mengikut kehendak pemandu menerusi butang eDrive dan suis Driving Experience Control. eDrive menawarkan tiga mode pemanduan iaitu AUTO eDRIVE, MAX eDRIVE dan SAVE BATTERY.

    Dalam talaan AUTO eDrive, enjin dan motor elektrik berfungsi secara selari dengan sangat efisien. Motor elektrik digunakan untuk keperluan kuasa yang normal. Kuasa enjin kemudian digunakan apabila kenderaan mencecah kelajuan sekitar 80k m/j atau ketika pemandu ingin mula memecut.

    Bertukar kepada mod MAX eDRIVE akan menggerakkan sistem pacuan elektrik pada output penuh tanpa sebarang emisi. Dikuasakan sepenuhnya oleh motor elektrik, BMW 330e mencapai kelajuan maksimum sehingga 120 km/j. Jika lebih banyak kuasa diperlukan daripada sistem pacuan elektrik, enjin pembakaran dalaman akan diaktifkan secara serta-merta dan memastikan gangguan yang minimum pada pemanduan.

    Manakala dengan jarak maksimum sejauh 37 km pada mode elektrik sepenuhnya, MAX eDRIVE nyata sesuai untuk pengguna di bandar yang mahukan perjalanan lebih efisien dan prestasi sewajarnya. Bagi mod SAVE BATTERY, tenaga elektrik disimpan atau diganti menerusi proses ‘pemulihan’ ketika kenderaan meluncur di atas jalan raya.

    Selain daripada butang eDrive, BMW 330e hadir bersama butang Driving Experience Control yang membolehkan pemandu untuk melakukan konfigurasi ke atas stereng, fungsi chasis dan karekter penukaran kedudukan gear. Boleh dikawal menggunakan suis Driving Experience Control pada konsol tengah, mod-mod yang ditawarkan adalah COMFORT, SPORT dan ECO PRO.

    Mengekalkan reka bentuk luaran BMW 3 Series, BMW 330e baharu menyerlahkan sifat hibridnya. Pada masa yang sama mengekalkan identitinya sebagai sebuah sedan ikonik. Kemampuan hibrid BMW 330e diserlahkan melalui rekaan ringkas dan sofistikated yang dijelaskan oleh rasa elegan dan sporty.

    Ciri luaran khas sebuah kenderaan plug-in hybrid termasuklah sebuah soket panel pengecas yang diposisikan di bahagian kiri hadapan kereta ini. Lampu berwarna biru akan menyala sebaik sahaja proses mengecas bermula bagi menunjukkan aliran tenaga elektrik.

    Lencana “eDrive” daripada model BMW i pula dipasang pada sisi kereta. Karekter dinamik BMW 330e baharu diserlahkan lagi oleh rim aloi ringan jejari-V bersaiz 18-inci dengan saiz tayar yang berbeza-beza.
    BMW 330e baharu juga dilengkapi dengan head-up display, bantuan parkir, kamera undur dan bumbung kaca elektrik sebagai ciri standard.

    Jentera ini juga dilengkapi dengan ciri inovatif BMW ConnectedDrive termasuklah pelbagai sistem bantuan pemanduan yang baharu. Ia merangkumi Navigation System Professional generasi terkini seperti iDrive Touch Controller dan juga Parking Assist dengan stereng automatik ketika hendak memarkir di ruang selari dan menegak.

    Bateri bervoltan tinggi pada BMW 330e baharu menawarkan kapasiti tenaga kasar mencecah 7.6 kWh dan boleh ditambah melalui mana-mana soket kuasa domestik. Caj penuh menggunakan soket kuasa domestik konvensional akan mengambil masa selama lima jam. Manakala BMW Wallbox Pro menawarkan tempoh pengecasan lebih pantas iaitu 3.5 jam.

    Sebagai sebahagian daripada BMW 360° ELECTRIC, para pelanggan akan ditawarkan dengan perkhidmatan ChargeNow. Ia terdiri daripada sekeping kad ChargeNow yang menawarkan akses terus ke stesen-stesen pengecasan seperti ChargEV, hasil kerjasama di antara BMW Malaysia dan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia). Stesen-stesen ChargEV kini beroperasi di 19 lokasi strategik di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Melaka dan Johor.

    BMW 330e didatangkan dalam warna hitam (Black Sapphire), kelabu (Mineral Grey), biru (Mediterranean Blue) dan putih (Alpine White) bersama uplshoteri kulit hitam (Dakota Black).

    Ditawarkan pada harga atas jalan RM248,800 tanpa insurans, pembelian 330e turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun bersama servis berjadual percuma.

    Klik untuk besarkan

    GALERI: Foto rasmi BMW 330e iPerformance Sport plug-in hybrid

     
     
  • LRT3 beri manfaat kepada dua juta pengguna di koridor barat Lembah Klang menjelang 2020 – Liow

    liow tiong lai

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan inisiatif LRT3 yang dilancarkan baru-baru ini bertujuan untuk mempertingkat capaian pergerakkan bagi pengguna di sekitar Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya melalui 26 stesen yang akan dibina.

    “Laluan sepanjang 37 km itu dijangka akan memberi manfaat kepada 2 juta populasi pengguna di koridor barat Lembah Klang menjelang tahun 2020,” katanya. Tambahnya lagi, inisiatif oleh kerajaan ini bertujuan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan masyarakat, memetik laporan The Sun.

    “Antara usaha lain bagi tujuan yang sama adalah termasuk peningkatan kapasiti bagi jajaran Kelana Jaya dan Ampang sedia ada, perkhidmatan bas percuma Go KL, Sunway Bus Rapid Transit (BRT), projek lanjutan laluan LRT dan yang akan mula beroperasi tidak lama lagi ialah Mass Rapid Transit Line 1 (MRT1),” jelas Liow.

    Beliau juga menambah, projek-projek ini telah meningkatkan perkongsian modal bagi pengangkutan awam urban dari 10% pada 2009 kepada 20% pada penghujung 2015; sasaran yang diletakkan adalah untuk mencapai 40% menjelang 2030.

    LRT3

     
     
  • Potongan 50% bagi kompaun kesalahan parkir – MPT

    Public-Parking-Lots

    Jika anda masih mempunyai saman-saman kesalahan trafik tertunggak di Taiping, September ini adalah masa terbaik untuk melunaskannya. Ini kerana, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan memberikan potongan 50 peratus ke atas kompaun atau notis kesalahan lalu lintas bermula dari 1 hingga 30 September ini.

    Bernama melaporkan, Ketua Bahagian Pelancongan dan Hal Ehwal Media MPT, Hanim Ramly berkata diskaun itu membabitkan kadar kompaun atau notis berjumlah RM10 dan RM50.

    Tindakan ini selari dengan peruntukan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MPT 2004. Bagaimanapun, ini tidak termasuk kompaun atau notis yang sudah dikenakan tindakan mahkamah.

    Orang ramai boleh membuat bayaran pada kadar diskaun itu di kaunter bayaran MPT di Wisma Perbandaran, Jalan Taming Sari, Taiping mulai 8.30 pagi hingga 3.45 petang.

    Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai diskaun itu boleh menghubungi MPT di talian 05-8080777 sambungan 212/224.

     
     
  • Honda Civic Hatchback 2017 – adakah akan ke M’sia?

    honda_civic_touring_hatchback-e1471258952678_BM

    Setelah Prototaip Honda Civic Hatchback dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016 dua minggu lalu, seakan semakin pasti Civic Hatchback akan masuk ke pasaran ASEAN.

    Semasa sesi pandu uji Honda Civic 2016 dijalankan di Kota Kinabalu, Sabah, ia turut dihadiri oleh Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Katsuo Hayashi. Ketika sesi soal jawab, Hayashi mengatakan pasaran di Indonesia berbeza dengan di Malaysia, kerana model hatchback adalah lebih popular berbanding sedan dan hatchback juga dijual lebih murah daripada model sedan berikutan skema percukaian yang ditetapkan di sana.

    Kerajaan Indonesia mensubjekkan sedan di bawah cukai mewah di mana sedan dengan enjin berkapasiti bawah 1,500 cc dikenakan cukai 30% manakala sedan dengan enjin berkapasiti 1,501 hingga 3,000 cc dikenakan cukai 40%. Bagi sedan berkapasiti lebih 3,000 cc, cukai dikenakan lebih tinggi iaitu 70%. Walau bagaimanapun, cukai untuk model hatchback dan MPV dikenakan hanya pada paras 10%.

    4160815_001H-e1471245540531_BM

    Khabar angin yang mengatakan Civic Hatchback akan masuk kepasaran ASEAN bermula apabila Honda Australia mengesahkan mereka akan menerima Civic hatchback generasi kesepuluh pada separuh pertama tahun hadapan dan ia akan dipasang di negara jiran kita iaitu Thailand.

    Civic Hatchback 2017 akan menembusi pasaran Amerika Syarikat yang dijangka pada musim luruh ini. Model tersebut hanya dikuasakan oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo, tanpa varian yang dikuasakan enjin 2.0 liter i-VTEC NA. Enjin 1.5 liter VTEC Turbo pada varian LX, EX dan EX-L bakal menghasilkan kuasa 174 hp/220 Nm, manakala model Sport dan Sport Touring yang dipadankan sistem ekzos dengan aliran lebih besar bakal menghasikan kuasa maksimum 180 hp.Model hatchback ini juga menampilkan pilihan transmisi baharu untuk Civic iaitu transmisi enam-kelajuan manual untuk model LX, Sport dan EX, bersama pilihan CVT yang masih dikekalkan.

    Teruja dengan rupa dan spesifikasi Civic ini? Buat masa sekarang, Honda Malaysia belum lagi merancang untuk membawa masuk model ini ke pasaran tempatan, tetapi mereka menyatakan adalah tidak mustahil untuk membawa Civic Hatchback ke Malaysia sekiranya terdapat permintaan yang tinggi dari orang ramai.

    GALERI: Prototaip Honda Civic Hatchback di GIIAS 2016

    GALERI: Prototaip Honda Civic Hatchback

     
     
  • Volvo S90 dijangka bakal diperkenalkan untuk pasaran Malaysia tahun hadapan, versi CBU terlebih dahulu

    VOLVO-S90-2_BM

    Sebelum ini, sedan Volvo S90 pernah dilihat sedang diuji di Shah Alam, dipercayai dari varian enjin dieselnya. Ini merupakan perkembangan yang sangat menarik. Diperingkat global, Volvo mempunyai barisan kenderaan generasi baharu yang dilengkapi teknologi termaju.

    Dan, di Malaysia, kita sudah pun ditawarkan dengan SUV XC90 Plug-In Hybrid, yang kini sudah mula dipasang di kilang Volvo Shah Alam di bawah insentif EEV kerajaan.

    Ketika bertemu dengan Pengarah Urusan Volvo Cars Malaysia, Lennart Stegland pada majlis pembukaan bilik pameran baharu Volvo di Menara MBMR Kuala Lumpur hari ini, kami mendapatkan pengesahan berkaitan perkembangan model Volvo S90 untuk pasaran Malaysia.

    Lennart Stagland Volvo

    “S90 merupakan sebuah model yang penting bagi kami, termasuk untuk pasaran Malaysia jika dilihat dari sudut segmentasinya. Memang kami merancang untuk memperkenalkan model ini, kemungkinan besar dalam tahun depan; tidak di awal tahun atau pun hujung tahun. Kami berharap untuk membawa masuk model CBU terlebih dahulu,” ujar beliau.

    Kami jangka ia akan dilakukan dalam pendekatan yang sama ketika syarikat itu memperkenalkan XC90 sebelum ini; selepas pengenalan model CBU, dengan tambahan pelaburan di kilang pemasangannya, barulah versi CKD akan diperkenalkan kemudiannya.

    Menyentuh tentang Volvo S90 yang kelihatan sedang diuji tempoh hari, ini komen Lennart; “Ia adalah kenderaan bagi pasukan pengeluaran untuk membuat persediaan bagi proses produksi model ini kelak. Ia melibatkan banyak perkara; setiap kilang mempunyai kemampuan yang tersendiri untuk mengeluarkan kenderaan, dan kaji selidik terperinci perlu dilakukan untuk memahami keperluan berkenaan.

    “Perlu juga untuk melatih tenaga kerja, naik taraf infrastruktur serta memastikan kualiti produk yang dikeluarkan berada ditahap tertinggi. Ini antara perkara yang perlu dilakukan terlebih dahulu. Unit yang anda lihat itu bertindak sebagai kenderaan pra-produksi bagi tujuan ini,” tambahnya.

    Berkaitan sistem janaan kuasa yang akan melengkapi S90 ini nanti, bagi pasaran Malaysia ia berkemungkinan besar akan diperkenalkan dengan enjin T8 Twin Engine dan Plug-In Hybrid yang sama seperi XC90 yang dijual kini, di atas satu faktor utama; untuk menikmati insentif EEV oleh kerajaan.

     
     
  • Plat nombor NAAM diperkenal, RM500k untuk NAAM 1

    NAAM-No-Plate

    Selepas beberapa siri plat nombor khas seperti G1M, 1M4U, PATRIOT, PERFECT dan Pahang yang sedang menunggu untuk mewartakan VIP, kini muncul lagi satu siri baharu iaitu NAAM.

    NAAM merupakan singkatan bagi New Affirmative Action Movement atau Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM), adalah organisasi bukan-kerajaan yang memfokuskan pembangunan ekonomi untuk belia INdia menerusi perniagaan, kewangan dan pembangunan modal insan. Antara sektor komersial yang difokuskan oleh NAAM ialah aktiviti peladangan termasuk menanam cili dan pisang, menurut Bernama. NAAM diasaskan oleh Datuk M Saravanan dan mendapat sokongan penuh dari Kementerian Belia dan Sukan.

    Plat nombor NAAM ini boleh didapati menerusi Anan Motor, syarikat yang menjadi sumber bagi nombor pendaftaran khas. Bagi “NAAM 1”, ia ditawarkan pada harga RM500,000 dan tiada bidaan dilakukan buat setakat ini. Manakala “NAAM 2” hingga “NAAM 10” dijual pada harga dari RM200k hingga RM300k. Bagi nombor VIP hanya “NAAM 11”, “NAAM 13” dan “NAAM 33” yang semuanya telah dijual setakat ini.

    Setakat ini, nombor plat PATRIOT 1 menjadi yang termahal pernah dijual di Malaysia iaitu mencecah RM1.308 juta. Selain itu, nombor pendaftaran lain yang turut menerima bayaran tertinggi ialah “F1”, di mana Sultan Ibrahim Ismail iaitu Sultan Johor, membidanya dengan harga RM836,660, selepas pernah memenangi bidaan bagi “W1N” pada harga RM748,000.

     
     
  • SPYSHOT: Mitsubishi Triton 2016 divariasikan di M’sia – bakal ditampilkan dengan enjin 2.4L MIVEC GT?

    Triton-Blue-Spy-2

    Ini bukan Triton biasa, tetapi bukan juga yang telah diperkenalkan oleh Mitsubishi Motors Malaysia (MMM). Foto yang dihantar oleh pembaca Damien yang mengesan kehadiran trak pikap dengan warna biru ini, kelihatan satu lagi variasi bagi Mitsubishi Triton 2016 seperti mana yang kami pernah jumpa di Bangkok Motor Show pada Mac lalu.

    Dengan warna Impulse Blue dan rim 17-inci, ia berpadanan dengan Triton Plus Special Edition yang dipamerkan di Impact Muang Thong Thani itu.

    Awal tahun ini, varian Triton di Thai telah ditambah dengan beberapa elemen termasuk stereng teleskopik yang boleh dilaras untuk semua model, serta soket 12V kedua untuk varian King Cab dan Double Cab. Manakala varian tertinggi GLS LTD pula sebelum ini hanya ditawarkan untuk Double Cab 4×4, telah diperkenalkan pada model Mega Cab dan Double Cab Plus 4×2.

    Kesemua GLS LTD dilengkapi dengan roda stereng empat-jejari yang diambil terus dari Pajero Sport. Malahan roda stereng balutan kulit juga menerima jahitan paten. Ia juga dilengkapi dengan sistem pacuan empat-roda Easy Select 4WD yang disadur terus dari sistem Super Select 4WD II Pajero Sport. Sistem tersebut memberikan mod 4H pacuan empat roda sepanjang masa, dengan unit karbeda tengah yang mengagihkan tork antara bahagian hadapan dan belakang. Mod 4HLc dan 4LLc akan mengunci unit karbeda, sama seperti mod 4H dan 4L seperti sistem terdahulu, manakala mod 2H pacuan dua roda dikekalkan untuk penggunaan bahan api yang lebih efisien.

    Nampak gayanya MMM telah bersedia untuk mempertingkatkan Triton, namun kita belum pasti apakan elemen yang disebutkan di atas akan diaplikasikan pada trak spesifikasi Malaysia. Triton spesifikasi Thai juga dijanakan oleh enjin 2.4 liter MIVEC VGT turbodiesel dengan kuasa 182 PS dan tork 430 Nm. Malaysia tidak akan menerima enjin serba baharu ini dengan penukaran model, tetapi bersama versi yang dipertingkatkan bagi 2.5 liter VGT dengan 178 PS dan 400 Nm.

    Alasan yang diberikan oleh MMM sewaktu pelancaran Triton pada Mei 2015 ialah kualiti minyak kita kurang sesuai dengan enjin 2.4L “Clean diesel”, di mana ia lebih berkuasa dan 20% lebih efisien. Tetapi memandangkan diesel Euro 5 telah ditawarkan di Malaysia, adakah kita bakal menerima enjin generasi baharu ini? Tunggu jawapan daripada pihak MMM.

    Sila baca ulasan pandu uji Mitsubishi Triton 2016 untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

    GALERI: Mitsubishi Triton Plus Special Edition 2016, spesifikasi Thailand

     
     
  • Volvo buka bilik pameran baharu di Menara MBMR, KL

    Volvo MBMR Showroom 01

    Volvo Car Malaysia bersama Federal Auto Holdings Berhad hari ini membuka bilik pameran baharu di Menara MBMR, Kuala Lumpur. Ia menggantikan bilik pameran lama di premis di lokasi sama sejak ia mula beroperasi pada 1971, yang terletak di tepi Lebuhraya Persekutuan, dan kini dikenali sebagai Jalan Syed Putra.

    Bilik pameran berkenaan itu dirombak sepenuhnya, dan menjadi premis pertama jenama itu di Malaysia yang menerapkan konsep Volvo Retail Experience (VRE), satu lembaran baharu bagi pengeluar kenderaan dari Sweden ini dalam memperkukuhkan kedudukannya sebagai sebuah jenama mewah di sini.

    Dengan keluasan 16,685 kaki persegi, ia menelan belanja sebanyak RM10 juta untuk direalisasikan. Bilik pameran ini juga akan menerapkan tahap perkhidmatan dengan standard global – ia memberikan pelanggan sebuah pengalaman yang sama sekali berbeza, termasuk dari segi khidmat lepas jualannya.

    “Bilik pameran baharu ini menampilkan rekaan dari sentuhan Scandinavia yang khusus. 40% daripada ruangnya mencerminkan ruang tamu, bertujuan membuatkan pelanggan sentiasa selesa ketika berurusan dengan kami,” ujar Pengerusi Federal Auto Holdings Berhad, Aqil Ahmad Azizuddin.

    Pengarah Urusan Volvo Cars Malaysia, Lennart Stegland menyatakan, ini merupakan langkah awal jenama itu untuk merapatkan jurang dengan pesaing lain. “Memandangkan kami dalam usaha untuk memperkenalkan lebih banyak produk-produk mewah dan selamat, kami komited untuk meningkatkan juga pengalaman pelanggan tidak hanya kepada produk tetapi bermula dari pertama kali mereka melangkah ke bilik pameran seperti ini,” ujarnya.

    Bilik pameran baharu di Menara MBMR ini dibuka dari 9 pagi hingga 7 malam, Isnin hingga Sabtu. Pada hari Ahad, ia dibuka dari 9.30 pagi hingga 5 petang. Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke talian 03-22601411.

     
     
  • Mercedes-Benz GLE Coupe – harga, elemen disemak

    2016-mercedes-benz-gle-450-coupe-launch-official- 057

    Mercedes-Benz GLE Coupe telah menerima semakan harga semula berserta elemen baharu, dengan GLE 400 Coupe kini berharga RM636,888, dan GLE 450 AMG Coupe pula RM705,888. Di mana harga yang disebutkan ini masing-masing mengalami peningkatan sebanyak RM6,000, dengan harga terdahulu bagi GLE 400 Coupe ialah RM630,888 dan GLE 450 AMG Coupe pula RM699,888.

    Dengan peningkatan harga ini, GLE 400 Coupe turut menerima elemen tambahan termasuk bumbung matahari larasan elektrik, sementara GLE 450 AMG Coupe pula menambah elemen yang sama, dan juga Apple CarPlay serta kulit Artico untuk kekemasan bahagian atas papan pemuka. Apple CarPlay bakal diaplikasikan di semua barisan model kereta penumpang Mercedes-Benz Malaysia, dan ia telah ditampilkan pada W213 E-Class.

    GLE 400 dan 450 AMG Coupe dijanakan oleh enjin 3.0 liter biturbo V6 petrol, dengan kuasa 333 hp dan tork 480 Nm bagi GLE 400, dan GLE 450 AMG pula menerima 367 hp dan 520 Nm. Malah kedua-dua varian juga disalurkan kuasanya menerusi kotak gear 9G-Tronic automatik sembilan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

    Hasil prestasi bagi GLE 400 Coupe ialah dari 0-100 km/j dalam hanya 5.9 saat, dengan kelajuan maksimum 247 km/j. Manakala GLE AMG Coupe pula dengan hanya 5.7 saat dari 0-100 km/j dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 km/j.

    Mengenai aspek keselamatannya, GLE 400 dilengkapi dengan Collision Prevention Assist Plus dan Lane Tracking Package (Blind Spot Assist, Lane Keeping Assist). Manakala GLE 450 AMG pula menambah Distronic Plus dengan Pre-Safe Brake, Rear Impact Warning dan Protection System, Steering Assist, Cross Traffic Assist, Pre-Safe Plus serta Pre-Safe Brake.

    GALERI: Mercedes-Benz GLE 450 AMG Coupe

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025