Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Teknologi pemanduan sendiri Nissan ProPILOT mampu berfungsi di persimpangan menjelang 2020

    Nissan mengumumkan teknologi sistem pemanduan sendiri yang mereka bangunkan iaitu ProPILOT bakal berkebolehan untuk berfungsi pada jalan pelbagai lorong pada 2018, dan mensasarkan sistem berkenaan mampu berfungsi pada persimpangan ditengah bandar tanpa bantuan kawalan manusia menjelang 2020.

    Sistem ProPILOT ini kini telah dilengkapi pada Nissan Serena generasi terbaharu, tetapi hanya berfungsi seperti Kawalan Kelajuan Adaptif (Adaptive Cruise Control) dan ditambah dengan kebolehan kawalan stereng secara automatik ketika melalui selekoh.

    Sistem berkenaan berfungsi pada kelajuan bermula 30 km/j hingga 100 km/j. Ia mampu mengekalkan kelajuan dan membrek sendiri untuk mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan di hadapan. Selain dari mampu membelok sendiri dan mengekalkan laluan di selekoh, ProPILOT ini juga mampu mengekalkan Serena dalam aliran trafik.

    Nissan-ProPILOT-3_BM

    Tidak seperti sistem pemanduan sendiri pengeluar lain, misalnya sistem Autopilot Tesla, Nissan mensyaratkan pemandu Serena agar meletakkan tangan mereka pada roda stereng ketika menggunakan sistem ProPILOT ini, sebagai persediaan sekiranya terjadi apa-apa masalah teknikal.

    Setakat ini, hanya Serena dilengkapi dengan ProPILOT dalam barisan model Nissan dan selepas ini akan ditawarkan pula pada SUV Qashqai pasaran Eropah pada tahun 2017 serta untuk kenderaan pada pasaran Amerika Syarikat dan China.

     
     
  • Toyota Crown, Land Cruiser edisi khas dilancarkan di Jepun sempena ulang tahun ke-70 tahun Toyota Store

    crown-athlete-70th-1_BM

    Toyota telah melancarkan beberapa model edisi istimewa di Jepun untuk meraikan ulangtahun ke-70 Toyota Store iaitu outlet pengedar sah Toyota pertama dibuka di Tokyo pada tahun 1946. Model-model yang diberi sentuhan edisi khas berkenaan adalah dari varian Crown Athlete dan Majesta serta Land Cruiser J200 dan Land Cruiser Prado.

    Toyota Crown Athlete Japan-Frontier (atau J-Frontier) ulangtahun ke-70 ini dilengkapi dengan roda stereng kayu maple dua lapis istimewa dan digilap sehingga berkilat oleh tukang yang mahir. Ia juga menerima upholsteri balutan kulit sued-ultra pada bahagian dalaman.

    Untuk Majesta edisi istimewa ini pula, ia turut dilengkapi dengan roda stereng kayu maple yang sama dan menerima bahagian dalaman dengan balutan upholsteri kulit Nappa premium.

    Kedua-dua sedan edisi istimewa ini hadir dengan versi pacuan dua roda dan pacuan empat roda serta dilengkapi dengan pakej keselamatan sokongan untuk mengelakkan pelanggaran Toyota Safety Sense P sebagai ciri standard dimana antara ciri yang terkandung dalam pakej berkenaan adalah radar gelombang-milimeter dan kamera monokular.

    Untuk model Land Cruiser Global-Frontier (G-Frontier) pula, ia dilengkapi dengan material dan kemasan yang lebih mewah, yang didakwa Toyota spesifikasinya setaraf dengan model untuk pasaran luar negara. Land Cruiser J200 menerima upholsteri kulit Nappa premium, manakala Prado pula dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit Redwood dengan jahitan Rusia, sama seperti versi pasaran eksport ke Timur Tengah.

     
     
  • Prasarana tegaskan kadar tiket untuk LRT kekal rendah, pengguna turut ditawarkan opsyen tiket

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menegaskan mereka sentiasa mengekalkan tambang LRT agar berada pada paras yang rendah dengan pelbagai opsyen tiket ditawarkan. Perkara ini ditegaskan oleh Lim Jin Aun, ketua komunikasi dan pemasaran strategik kumpulan Prasarana dalam kenyataannya yang disiarkan di Malay Mail Online, sebagai maklum balas kepada “Upset LRT User” yang menulis kepada The Star baru-baru ini.

    Lim turut menegaskan tambang RM9 yang dinyatakan oleh “Upset LRT User” dari stesen paling hujung di Puchong iaitu Puchong IOI hingga stesen Sunway-Setia Jaya iaitu stesen paling jauh di laluan BRT Sunway adalah tidak benar kerana tambang untuk laluan tersebut hanyalah RM8.20 untuk kadar meggunakan sistem tunai.

    Pengguna juga turut ditawarkan dengan pilihan bayaran tanpa tunai iaitu MyRpid Smart 30 dan MyRapid Smart 7 untuk mereka yang kerap menggunakan perkhidmatan LRT ini, yang turut menawarkan diskaun tambahan, kata Lim.

    Walau bagaimanapun, Lim turut menjelaskan produk MyRapid Smart 30 dan Smart 7 memerlukan yuran pengaktifan RM10 dan RM2.50, selepas tamat tempoh 30-hari atau 7-hari.

    lrt-depot

    Namun, terdapat juga maklum balas positif diterima dari pengguna LRT lain, yang mendapati bergerak dari rumah mereka di USJ, Subang Jaya ke tempat kerja di Kuala Lumpur menggunakan LRT adalah lebih murah berbanding memandu sendiri.

    Pengguna berkenaan yang menggunakan nama “Regular LRT User” menulis di The Star mengatakan tambang RM7.20 untuk pergi dan balik adalah lebih murah dari kadar parkir di tengah bandaraya. Pengguna berkenaan turut berkata walaupun tambang pada BRT dilihat tidak masuk akal, nilai yang tinggi telah dilaburkan di kawasan yang kurang sesak, dan tiada jaringan pengangkutan awam yang mampu memenuhi keperluan setiap pengguna.

    Jadi bagaimana pula pengalaman anda menggunakan jaringan LRT baharu yang telah dikembangkan ini? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah.

     
     
  • Penutupan sementara lorong keluar kenderaan berat di Plaza Tol Gambang selama 2 hari mulai 6 Sept ini

    Karak-highway-01-850x490

    ANIH Berhad, pemegang konsesi bagi komponen Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) telah mengumumkan penutupan sementara di Plaza Tol Gambang yang melibatkan Lorong K01 selama dua hari mulai 6 September 2016. Ia bermula dari 8 pagi bagi memberi laluan pada kerja-kerja pembaikan jalan di lorong berkenaan.

    Lorong K01 merujuk kepada laluan untuk kenderaan berat yang ingin keluar dari lebuhraya ke arah Gambang, Pahang. Sepanjang tempoh kerja dijalankan, lorong berkenaan akan ditutup sementara kepada semua kenderaan berat. Lorong laluan lain pula tidak terlibat sepanjang kerja dijalankan.

    Sehubungan itu, pengguna lebuh raya, terutamanya pemandu kenderaan berat diminta mematuhi arahan petugas trafik di Plaza Tol Gambang demi kelancaran trafik dan keselamatan pengguna lain. Pengguna lalulintas juga dinasihatkan untuk memperlahankan kenderaan ketika menghampiri kawasan plaza tol bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

    Sila rujuk lampiran info grafik di bawah untuk maklumat lanjut mengenai penutupan Lorong K01 dan pergerakan trafik di Plaza Tol Gambang.

    Untuk sebarang maklumat, sila ikuti medium komunikasi seperti Facebook Lebuhraya Pantai Timur dan laman Twitter @LPTTrafik bagi mengetahui status dan keadaan terkini serta isu-isu lain di sepanjang jajaran lebuh raya di bawah kendalian ANIH Berhad. Mesej turut di paparkan menerusi papan tanda elektronik (VMS) di sepanjang lebuh raya bagi membolehkan pengguna membuat persediaan awal.

    Screen Shot 2016-08-29 at 4.56.45 PM

     
     
  • Tol percuma di Lebuhraya MEX sempena Merdeka ini

    MEX-Highway-01

    Maju Expressway Sdn Bhd (MEX) telah mengumumkan pemberian tol percuma di Lebuhraya MEX pada 31 Ogos 2016 ini.

    Menurut Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat dan Komersial, Saiful Bakhri Mohd Annuar, para pengguna bagi semua jenis kelas kenderaan tidak akan dikenakan bayaran tol dari jam 12 tengahmalam sehingga 11.59 malam pada 31 Ogos ini, laporan New Strait Times.

    Pemberian bayaran tol secara percuma ini dijangka bakal dinikmati oleh lebih 97,000 pengguna yang melalui lebuhraya berkenaan pada tarikh tersebut. Ia dijangka melibatkan kos sebanyak RM260,000 bagi pemberian tol secara percuma ini.

    MEX telah mengimplementasikan pemberian bayaran tol secara percuma pada setiap Hari Merdeka sejak enam tahun yang lalu. Ia dianggap sebagai salah satu tanda penghargaan buat para penggunanya sempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-59 tahun.

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-Benz SLC di bilik pameran

    IMG_4551

    Nampak gayanya tidak lama lagi Mercedes-Benz Malaysia bakal melancarkan roadster dua-tempat duduk, Mercedes-Benz SLC, seperti mana foto yang dikirimkan oleh pembaca, yang dirakamkan di bilik pameran Glenmarie. Facelift bagi R172 SLK ini, yang diberi nama gelaran baharu selepas Mercedes menstrukturkan semula barisannya pada tahun 2014 – yang kelihatan di sini adalah daripada kerangka bagi kedua-dua standard dan AMG Line (dengan Night Package).

    Daripada apa yang boleh kita lihat, kedua-dua kereta ini turut dilengkapi dengan lampu utama LED pintar dengan roda bersaiz 18-inci – pelbagai-jejari AMG bagi varian AMG Line, lima jejari-berkembar (yang turut didatangkan dengan pakej sport termasuk suspensi sport) bagi model standard. Turut dilengkapi dengan bumbung berkaca panoramik Magic Sky Control dan Airguide wind deflector bagi SLC 300.

    Kereta AMG berwarna merah dengan lencana SLC 300 ini, dijanakan oleh enjin 2.0 pengcas turbo yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 245 hp pada 5,500 rpm dan tork 370 Nm antara 1,300 hingga 4,000 rpm. Tidak diketahui model mana satukah sebagai standard, tetapi mungkin juga SLC 200 – yang berkongsi enjin yang sama sepet=rti SLC 300, tetapi ditala dengan kuasa 180 hp dan 300 Nm. Kedua-dua enjin juga dipadankan dengan transmisi 9G-Tronic automatik sembilan-kelajuan.

    Perubahan pada pre-facelift SLK ini termasuk lampu utama yang diolah bentuknya, bahagian bampar hadapan dan belakang dengan profil baharu serta grafik lampu belakang yang direka semula. Sementara di bahagian dalamnya, menerima sistem infotainmen terkini termasuk pilihan COMAND Online dan paparan lebih besar iaitu bersaiz tujuh-inci, berbanding 5.8-inci pada model sebelumnya.

     
     
  • nuTonomy uji aplikasi e-hailing dengan kereta tanpa pemandu di Singapura – bakal dilancarkan pada 2018

    nuTonomy – sebuah syarikat yang membangunkan apliksi kini melancarkan ujian awam servis “teksi-robot” rekaan mereka. Ujian berkenaan diadakan di pusat perniagaan One-North, Singapura, di mana penduduk tempatan yang dipilih dijemput untuk menempah kereta tanpa pemandu menerusi aplikasi nuTonomy di telefon pintar.

    Kereta yang digunakan oleh nuTonomy dalam ujian ini adalah kereta elektrik sepenuhnya Renault Zoe dan juga Mitsubishi i-Miev, yang dilengkapi dengan perkakasan pengesanan serta pemprosesan, dan juga perisian pemanduan automatik. Jurutera akan ditempatkan di dalam kereta-kereta ini buat permulaan untuk mengumpul data serta mengawal kenderaan secara manual jika diperlukan.

    nuTonomy berharap untuk menyediakan servis “teksi-robot” ini secara meluas di Singapura menjelang 2018. Syarikat berkenaan dipilih oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) awal bulan ini sebagai rakan R&D, untuk menyokong pembangunan servis kenderaan tanpa pemandu komersial di republik berkenaan.

    “Ujian pertama seumpanya di dunia oleh nuTonomy ini merupakan cerminan terus tahap kematangan yang kami capai dengan sistem perisian AV kami. Ujian ini mewakili peluang luarbiasa untuk mengumpul respon dari penumpang dunia sebenar, dan respon ini akan memberikan kelebihan yang unik kepada nuTonomy dalam usaha kami untuk melancarkan kereta-kereta tanpa pemandu menjelang 2018,” kata CEO dan pengasas bersama nuTonomy, Karl Iagnemma.

    Sebagai tambahan, nuTonomy juga sedang mengoperasikan kereta tanpa pemandu di Michigan dan United Kingdom, di mana mereka menguji perisian mereka dengan kerjasama pengeluar automotif utama seperti Jaguar Land Rover.

     
     
  • Empat masalah utama di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan akan diberi perhatian segera – Menteri

    JKR Fadillah Bike Lane Visit 2016

    Pagi tadi, kami menyertai lawatan kerja Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Haji Yusof meninjau keadaan di sepanjang laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan. Ini merupakan tinjauan kedua yang beliau lakukan, selepas lawatan kali pertama pada tahun 2013.

    Bermula dari Kuala Lumpur hingga ke Bukit Raja, beliau mengakui terdapat banyak perkara perlu dipertingkatkan dan diperbaiki dalam usaha untuk menjadikan laluan berkenaan lebih selamat dan selesa kepada penunggang. Sekadar makluman, kami juga pernah mengutarakan bahaya di laluan motosikal berkenaan di dalam laporan video sebelum ini.

    Jabatan Kerja Raya (JKR) menggariskan empat isu utama yang sudah dikenal pasti dan kini di dalam proses menanti kelulusan peruntukan daripada kerajaan. Masalah-masalah yang dimaksudkan ialah lorong yang sempit di sebahagian laluan, keadaan terowong yang gelap, banjir di terowong berdekatan Jalan 222, Petaling Jaya dan laluan susur masuk dan susur keluar lorong motosikal ke jalan utama yang merbahaya.

    “Semua perkara ini merupakan kerja-kerja berterusan yang akan dilakukan terutamanya oleh JKR. Sebahagian daripadanya sudah pun diambil langkah-langkah yang wajar. Sebagai contoh, terowong yang selalu dinaiki air di Jalan 222 kini sudah mempunyai lapan pam bagi mengatasi masalah berkenaan, namun itu masih belum mencukupi kerana banjir di kawasan itu dipengaruhi oleh paras air Sungai Penchala dan itu berada di luar kawalan sesiapa pun untuk mengelaknya,” ujar Fadillah.

    Sebagai penyelesaian jangka panjang, beliau menyatakan di kawasan itu akan dibangunkan laluan bertingkat (overhead ramp) untuk mengelakkan keadaan banjir yang tidak dapat dijangka itu. “Kini, kami menunggu kelulusan kerajaan terhadap peruntukan yang sudah pun disenaraikan,” tambahnya.

    Laluan keseluruhan lorong motosikal yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Klang kini ialah 28.5 km, dan berada di bawah penyeliaan empat pihak pengurusan berlainan; Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang 2.4 km, Sprint (2 km), JKR (8.1 km) manakala baki 16 km diselenggara oleh PLUS.

    JKR Datuk Fadillah Yusof - 5

    “Inilah sebabnya laluan yang ada sebagai contoh mempunyai kelebaran jalan yang berbeza. Misalnya, laluan yang diselia PLUS lebarnya adalah 3 meter dan selesa untuk penunggang. Tetapi, laluan lama yang masih digunakan ada yang lebarnya hanya 1 meter. Perkara ini juga sedang dipertimbangkan; untuk melebarkan laluan yang sempit,” tambah beliau lagi.

    Sebahagian daripada lorong motosikal yang ada kini pertama kali dibina pada 1970an, menghubungkan Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang waktu itu, dengan jarak laluan 16.2 km.

    “Kapasiti penggunaan sudah berubah dan sebahagian laluan yang terlibat perlu diperbesar untuk tampung kapasiti pengguna harian,” jelas beliau. Bagi kerja-kerja pelebaran jalan ini, peruntukan RM4 juta sudah dikemukakan kepada kerajaan pada Julai 2016.

    “Selain itu, kami juga mendengar isu-isu berbangkit lain berkaitan lorong motosikal ini, antaranya pokok-pokok yang tidak diselenggara dengan baik, kekurangan papan tanda pada kawasan merbahaya dan selekoh tajam dan keadaan terowong yang walaupun sudah dipasangkan lampu, tetapi gelap kerana dindingnya tidak dicat putih. Semua ini akan kami perbaiki dari semasa ke semasa dan secara berterusan,” ujar beliau lagi.

    Berikut laporan video kami berkaitan laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini.

     
     
  • Toyota lancarkan kempen keselamatan Asia 2016, tumpu kepada penggunaan tali pinggang keledar

    Toyota-Safety-Campaign-2016_BM

    Toyota telah melancarkan kempen keselamatan serantaunya untuk tahun ketiga berturut-turut. Kempen tahun ini bukan sahaja melibatkan rantau ASEAN, malah turut meliputi India, Pakistan serta empat negara Asia Barat Daya baharu iaitu Bhutan, Bangladesh, Sri Lanka dan Nepal dengan slogan Be Safety Leaders.

    Dengan slogan berkenaan, Toyota menggalakkan pemandu dan penumpang untuk mengutamakan langkah proaktif dalam keselamatan jalan raya bermula dengan langkah asas iaitu memakai tali pinggang keledar. Kempen tahun ini akan menekan aspek mengubah pemikiran orang ramai dalam penggunaan tali pinggang keledar.

    Memakai tali pinggang keledar seharusnya menjadi tabiat sebelum memulakan perjalanan. Dalam tinjaun yang dilakukan oleh Toyota pada 2014 mendedahkan ramai yang mengabaikan pemakaian tali pinggang keledar dengan lima alasan utama yang memeranjatkan iaitu: kereta sudah pun dilengkapi beg udara; berkeyakinan dengan kemahiran memandu seseorang; hanya perjalanan pendek; tidak selesa; dan tali pinggang keledar akan menyebabkan baju berkedut.

    Untuk kempen ini, Toyota menumpukan pada aspek nilai-nilai asas, dan ia mensasarkan untuk mengubah pemikiran orang ramai. Toyota juga berharap agar orang awam menyedari pengkatifan beg udara memerlukan seseorang itu memakai tali pinggang keledar serta penggunaanya juga adalah 15 kali lebih efektif. Dengan hanya penggunaan tali pinggang keledar, risiko kecederaan maut dapat dikurangkan sehingga 50% untuk penumpang hadapan dan 75% untuk penumpang belakang.

    “Keselamatan trafik merupakan keutamaan untuk Toyota. Kami percaya dalam sumbangan kepada masyarakat dengan kemalangan trafik maut sifar. Menerusi kempen kesedaran serantau kami, kami menggesa pemandu dan penumpang untuk memakai tali pinggang keledar bagi memastikan diri mereka serta keluarga selamat,” kata Hiroyuki Fukui, Presiden Toyota Motor Asia Pasifik dalam majlis pelancaran kempen berkenaan.

    Kempen keselamatan Toyota serantau ini bermula pada tahun 2014 dengan menyasarkan untuk mengurangkan kadar kemalangan maut yang tinggi, penguatkuasaan yang lemah dan tahap kesedaran keselamatan yang rendah dalam rantau ASEAN yang kini sedang membangun dari segi penggunaan kenderaan bermotor. Pada tahun pertama penganjurannya, Toyota memfokuskan penggunaan tali pinggang keledar dengan lebih meluas. Pada 2015 pula, kempen diteruskan dengan menggalakkan penggunaan tali pinggang keledar dan menyasarkan untuk “memperkasakan pengetahuan orang ramai agar menjadi peneraju kepada keselamatan.”

    Kempen berterusan diperlukan agar tabiat dapat diubah, dan tahun ini, ia diharap dapat menjadikan orang ramai sebagai peneraju dalam tindakan, menjadi proaktif dan menyebarkan berkenaan kepentingan menggunakan tali pinggang keledar. Toyota turut menyiarkan video (di atas) yang mampu mengalirkan air mata bertajuk The Promise sebagai satu medium yang boleh menyedarkan orang ramai agar bersikap proaktif dalam keselamatan jalan raya.

    Video kempen ini akan dibawa sekali bersama kempen online yang lain dari kempen tahun lalu termasuk “Aplikasi Selfie Tempat duduk Toyota” dan permainan “Go Go Buckle Up”. Seperti disebutkan tadi, kempen ini berlangsung diseluruh rantau asia termasuk India, Pakistan serta empat negara dalam rantau Asia Barat Daya.

    Kami turut akan mempelajari lebih berkenaan usaha kearah keselamatan dan tekologinya yang dijalankan oleh Toyota beberapa minggu yang akan datang. Pastikan anda setia bersama kami untuk mengikuti perkembangan kempen yang dikendalikan Toyota dalam peranan mereka untuk mengurangkan kadar kemalangan maut.

     
     
  • Lexus LC GT500 bakal bersaing dalam Super GT 2017

    001b-e1472440090720_BM
    Lexus telah mendedahkan pengganti untuk jentera RC F yang digunakan sebelum ini dalam perlumbaan Super GT Jepun – LC 500 GT500 – untuk musim 2017 akan datang.

    Jentera LC 500 untuk kategori GT500 ini dikuasakan dengan enjin 2.0 liter suntikan bahan api terus dengan bantuan pengecas turbo berbanding model produksi sebenar untuk jalan raya yang menggunakan enjin V8 5.0 liter NA berkuasa 467 hp.

    Seiring dengan itu, jentera baharu ini turut dilengkapi dengan kit aerodinamik menampilkan kesemua ruang roda dilebarkan (fender flare), splitter hadapan, skirt sisi, diffuser belakang serta sayap belakang bersaiz besar.LC 500 GT500 ini akan melakukan penampilan sulungnya pada sesi ujian September ini, untuk persediaan menjelang perlumbaan sebenar tahun hadapan.

    Super GT merupakan perlumbaan Grand Touring di Jepun yang spesifikasi jenteranya hampir menyamai jentera-jentera yang bertanding pada kejuaraan German Deutsche Tourenwagen Meisterschaft (DTM) di Jerman. Perlumbaan musim ini masih berbaki lagi empat pusingan dimana empat pasukan Lexus berada di tempat kedua hingga kelima manakala pasukan Nismo kini mendahului carta pungutan mata.

     
     
  • 95,413 penunggang motosikal memperoleh lesen B2 melalui SKSJ dengan kadar bayaran RM200 – JPJ

    gempak-mufors-road-safety-campaign 39

    Menerusi Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara, setakat ini seramai 95,413 orang penunggang motosikal memperoleh lesen B2 melalui 24 program yang dijalankan.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron, jumlah itu membuktikan kejayaan SKSJ yang bertujuan memudahkan masyarakat mendapat lesen menunggang motosikal, laporan Bernama.

    “Di Pahang sahaja, seramai 10,352 orang telah menerima manfaat daripada 22 SKSJ yang dilaksanakan sejak diperkenalkan pada tahun 2009, yang membolehkan peserta mendapat lesen pada bayaran RM200,” ujarnya kepada pihak media.

    Katanya lagi, pelaksanaan program SKSJ dapat mengurangkan jumlah penunggang motosikal tanpa lesen selain mengeratkan hubungan silaturahim antara JPJ dengan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti riadah. Bukan itu sahaja, program ini juga penting kepada masyarakat Orang Asli yang banyak menggunakan motorsikal dalam urusan seharian mereka.

     
     
  • VIDEO: G30 BMW 5 Series’ Remote View 3D diprebiu

    BMW belum mendedahkan lagi model serba baharu G30 5 Series, tetapi telah menyebarkan video ini untuk memprebiu salah satu elemen yang bakal diaplikasikan buat pesaing Mercedes-Benz E-Class itu. “Remote View 3D” merupakan elemen yang membolehkan pemiliknya “melihat” keadaan keretanya dengan menggunakan BMW Connected, aplikasi bagi telefon pintar, yang pertama buat model BMW.

    Video ini termasuklah beberapa penggambaran pemanduan G30, walau pun diambil agak samar-samar, tidak mahu memberikan pandangan yang tepat. Walau bagaimana pun, sewaktu shot bagi fungsi Remote View 3D ini beroperasi, jelas kelihatan “540i” pada bahagian atas kiri di skrin iPhone berkenaan.

    540i mungkin akan mengambil tempat 535i, seperti 340i yang cemerlang selepas 335i. Bagi sudut rekaannya, beberapa spyshot bagi G30 ini menggambarkan ia bakal diadaptasikan dengan rekaan penuh evolusi. BMW turut berkata, mereka bakal menjadi pengeluar kenderaan pertama di dunia yang akan mengimplementasikan sel ukuran optik robot di kilang utamanya di Munich, di mana 5 Series baharu akan menjadi modul pertama.

    GALERI: Teaser bagi G30 BMW 5 Series

     
     
  • Jalan hubungan di Bentong perlu dinaiktaraf – Liow

    2016-Yamaha-Road-safety-3_BM

    Banyak pembangunan perlu dilaksanakan di Bentong pada tahun-tahun akan datang, termasuk pembangunan jalan lingkaran luar, jalan central spine dan mungkin juga sambungan rel keretapi ke Kuala Lumpur.

    Menurut Ahli Parlimennya, Datuk Seri Liow Tion Lain yang juga Menteri Pengangkutan, perkara ini telah pun diajukan kepada Perdana Menteri untuk mempertimbangkan Bentong sebagai salah satu perhentian bagi Jajaran Rel Keretapi Pantai Timur, laporan The Star.

    Sebelum ini terdapat laporan yang menyatakan Jajaran Rel Keretapi Pantai Timur ini bakal dibina sepanjang 550 km dan menghubungkan antara Kuala Lumpur, Kuantan dan Tumpat.

    “Rel keretapi ini mungkin bakal melibatkan kos yang agak besar kerana ia membabitkan pembinaan terowong yang merentasi Banjaran Titiwangsa. Namun, ia dilihat suatu keperluan khususnya bagi penduduk di Bentong, kerana bukan sekadar memberikan kemudahan buat mereka, malah mampu lebih menjana ekonomi setempat,” ujarnya kepada pihak media.

    Beliau turut berkata, jarak Bentong dengan Kuala Lumpur sejauh 70 km, dengan adanya penaiktarafan kemudahan laluan dan jalan utama, ia mampu mengubah Bentong menjadi bandar satelit. “Malah mereka yang tinggal di Bentong juga boleh terus bekerja di Kuala Lumpur dengan berulang-alik setiap hari.”

    Dalam masa yang sama, katanya, memandangkan Bentong semakin popular sebagai lokasi tarikan pelancong, sekaligus membuatkan pekan ini kian sesak terutamanya pada hujung minggu. Justeru, bagi mengurangkan masalah kesesakan, jalan central spine dilihat sangat perlu dibangunkan, malah ia boleh disambungkan dari Bentong terus menuju ke Gua Musang, Kelantan.

    “Jalan central spine bukan seperti jalan persekutuan yang digunakan sekarang. Tetapi lebih kepada lebuhraya. Pembinaan ini akan melibatkan pembesaran jalan antara Bentong dan Raub, dan ia dijangka siap hujung tahun ini,” ujar Liow yang mahukan Bentong memiliki pelan pengangkutan yang lebih baik pada masa akan datang.

     
     
  • Plat nombor V: Senarai pemiliknya dan ketahui individu yang berjaya dalam bidaan nombor pilihan

    V1

    Hari ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan keputusan bagi plat nombor baharu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan abjad ‘V’. Seperti yang diduga, nombor pendaftaran ‘V1’ menjadi milik Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dengan bidaan tertinggi bernilai RM990k.

    Menerusi senarai nombor plat ‘V’ ini, ia turut menjadi perhatian beberapa orang kenamaan, antaranya Sultan Kelantan iaitu Sultan Muhammad V (Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail) dengan ‘V9’, ‘V99’ dan V170, ‘V63’ pilihan Datuk Seri Azalina Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani (V40), Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa (V23), CEO Syabas Tan Sri Rozali Ismail (V59) dan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (V89). Selain beberapa nombor ‘cantik’ yang digunakan oleh pentadbiran kerajaan iaitu ‘V6’ dan ‘V38’.

    Sistem plat nombor telah berubah kepada ‘F’ untuk Putrajaya dan ‘V’ bagi Kuala Lumpur seperti yang diumumkan pada Mei lalu. Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi, orang awam lebih selesa dengan sistem nombor pendaftaran tradisional yang hanya menggunakan abjad pada permulaan nombor berbanding abjad pada permulaan dan penutup nombor, berbanding sistem nombor yang bermula dan berakhir dengan abjad (W XXX A, bermula pada September 2013 dan telah ditamatkan).

    “Ini adalah berdasarkan banyak pembatalan dalam bidaan nombor pendaftaran KL buat masa sekarang. Jadi saya berharap abjad ‘V’, akan membuatkan orang ramai teruja,” kata beliau.

    Di bawah adalah senarai penuh pemilik plat nombor V:

     
     
  • Proton Persona 2016: Perbandingan dengan model lama, serta sedan segmen-B dan Perodua Bezza

    Proton Persona baharu (kiri) & Persona lama (kanan)

    Proton Persona 2016 yang dilancarkan pada 23 Ogos lalu, dilihat mampu menjadi penanda aras bagi membantu proses pemulihan Proton. Tidak seperti abangnya, Perdana 2016 yang dilancarkan pada Jun lalu, yang tidak begitu menjadi perhatian umum hanya kerana ia menggunakan enjin dari Honda. Sedangkan ramai yang tertunggu-tunggu buah tangan sempurna sepenuhnya daripada Proton sendiri.

    Namun sementara menantikan Proton bersedia mengeluarkan enjin baharu bagi model-model sedia ada dan yang akan datang, Persona 2016 tampil dengan olahan gaya yang diperbaharui, sekaligus (setakat ini) mampu menarik perhatian ramai. Malah kami turut menerima pertanyaan dari para pembaca yang mahu mengetahui kelebihan Persona 2016 ini jika dibandingkan dengan model sebelumnya dan juga model-model di bawah segmennya yang sama (segmen-B).

    Carta perbandingan ini menghimpunkan Persona 2016 dengan model sebelumnya, dan yang berada dalam senarai sedan segmen-B iaitu Toyota Vios, Honda City, Nissan Almera, Mazda 2 sedan, Volkswagen Vento, Mitsubishi Attrage, serta dua wakil segmen-A iaitu Proton Saga dan Perodua Bezza 1.3L.

    Persona-comparison-02

    Merujuk carta di atas, Proton Persona baharu dan lama memiliki kapasiti enjin yang paling besar iaitu 1.6 VVT bagi Persona 2016 dan Persona lama pula 1.6 IAFM+. Walau pun begitu, hamburan kuasa yang dihasilkan iaitu masing-masing 107 hp dan 110 hp, tidak dapat menandingi persaing terdekatnya iaitu Honda City dengan enjin 1.5 i-VTEC (118 hp) dan Mazda 2 sedan (114 hp). Tetapi mengatasi Almera (1.5 CVTC) dengan kuasa 101 hp dan Vios (1.5 VVT-i) yang memiliki kuasa sama dengan Persona 2016.

    Lain-lain model yang tersenarai iaitu Vento, Attrage, Saga dan Bezza, memiliki kapasiti enjin yang lebih kecil berbanding Persona 2016, jadi selayaknya kuasa kuda yang terhasil jauh lebih rendah (kecuali dengan Vento yang kurang 4 hp berbanding Persona 2016).

    Malah bagi tujahan tork pula, Vento mendahului carta atas kelebihan enjin TSI dengan jumlah 175 Nm. Manakala Persona lama dan model pesaing terdekat yang lain tidak begitu banyak bezanya dengan Persona 2016, sekitar antara dua ke empat Nm sahaja, berbanding Almera dengan perbezaan 11 Nm.

    Transmisinya pula, hampir semua model sedan di bawah segmen-B, menggunakan kaedah yang lebih kurang sama iaitu 5MT, 4AT atau CVT, melainkan Mazda 2 sedan dengan 6AT dan Vento pula 7DSG.

    Driven_Web_Series_2014_Honda_City_vs_Toyota_Vios_vs_Nissan_Almera_003

    Persona dengan varian tertinggi Premium adalah yang paling berat dari kalangan model di bawah segmennya, iaitu 1,210 kg, 15 kg lebih berat berbanding Persona lama dan model kedua terberat iaitu Vento yang kurang 32 kg berbandingnya. Manakala model yang paling ringan ialah Attrage dan Bezza, masing-masing seberat 905 kg dan 930 kg.

    Bagi nisbah kuasa ke berat (hp per tan) pula, jurang perbezaan antara Persona 2016 dengan Vento, Attrage dan Saga tidak begitu jauh berbeza. Berbanding lain-lain model yang lebih tinggi angkanya iaitu berbeza antara 3.62 hp hingga 18.61 hp.

    Bagi dimensinya pula, Persona 2016 sepanjang 4,387 mm, iaitu di bawah City (4,440 mm), Vios (4,410 mm) dan Almera (4,425 mm). Serta tidak jauh berbeza dengan Mazda 2 sedan (4,320 mm) dan Saga (4,278 mm). Manakala Attrage dan Bezza berada di kedudukan paling bawaj dalam soal ukuran panjang ini dengan masing-masing 4,245 mm dan 4,150 mm.

    2016-Proton-Persona-dimensions-comparison

    Malah Persona baharu ini 90 mm lebih pendek berbanding model sebelumnya. Walau pun begitu, kapasiti ruang but Persona baharu lebih luas berbanding yang lama iaitu 510 liter, jauh berbeza dengan model terdahulu dengan 430 liter. Tetapi City mendahului carta keluasan ruang but dengan 536 liter, dan yang paling kecil ialah Mazda 2 sedan yang hanya 410L, kurang 3L berbanding Saga (413L).

    Mengenai lebarnya pula, Proton berukuran 1,722 mm, iaitu kurang 3 mm berbanding model lama. Tetapi tidak jauh dengan Vios yang selebar 1,700 mm. Walau bagaimana pun, jika dibandingkan dengan Bezza, ‘anak bongsu’ Perodua itu kurang 100 mm berbanding Persona 2016. Kalau diperhatikan soal ketinggian pula, Persona 2016 mendahului carta dengan 1,554 mm, berbanding City dan Vios yang berada di bawah 1.5 meter.

    Akhir sekali, Persona baharu dijual pada harga antara RM44,831 (OTR tanpa insurans) bagi varian asas Standard MT dan RM57,472 untuk spesifikasi tertinggi Premium CVT. Ia lebih mahal berbanding Saga dan Bezza. Tetapi, pastinya jauh lebih murah jika dibandingkan dengan model pesaingnya yang berharga antara RM74k dan RM95k.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Proton persona 2016, sila tonton walk-around video kami, dan sila baca pandu uji ringkasnya, serta pilihan variannya.

    Proton Persona 2016 1.6 Premium CVT

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025