Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Nissan Almera kini didatangkan dengan lampu nyalaan siang LED di Malaysia, untuk semua varian

    2016-Nissan-Almera-facelift-DRL-16-e1459757865287

    Nissan Almera kini tampil dengan satu elemen baharu bagi pasaran Malaysia – lampu nyalaan siang LED. Ia telah pun diwar-warkan menerusi laman web Edaran Tan Chong Motor (ETCM) dan laman sosial Facebook bagi mempromosikan kereta sedan segme-B ini, di mana lampu nyalaan siang LED ini dikatakan ditawarkan pada semua varian Almera.

    Penambahan lampu nyalaan siang LED ini bertepatan dengan kenaikan harga yang diumumkan oleh ETCM baru-baru ini. Seperti yang dilaporkan pada minggu lalu, Almera 1.5E M/T kini berharga RM68,500, 1.5E A/T pula RM72,200 dan varian tertinggi 1.5V A/T pula RM82,000, semua harga atas jalan tanpa insurans. Harga baharu ini efektif 1 April 2016 lalu, iaitu meningkat RM3,734.88 (5.8%), RM4,521.64 (6.7%) dan RM4,610.88 (6.0%) lebih tinggi, dari sebelumnya.

    Jadi, dengan peningkatan harga (disebabkan penukaran mata wang asing, termasuk model seperti Honda, Toyota, Lexus, Mitsubishi, Kia, Peugeot, Citroen, Audi dan Proton yang turut mengumumkan kenaikan harga), pembeli Almera menerima elemen tambahan ini sebagai ‘saguhati’. Elemen-elemen lain masih kekal.

    GALERI: Nissan Almera Nismo Performance Package

     
     
  • SPAD harus memasang peranti telematik bagi memantau bas – pakar keselamatan jalan raya

    Transnasional

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) didesak oleh pakar-pakar keselamatan jalan raya agar mempertimbangkan semula keputusan tidak mewajibkan pemasangan peranti telematik di dalam bas sebagai sebahagian daripada syarat di bawah Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP).

    Profesor Madya Dr Law Teik Hua dari Pusat Kaji Selidik Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia berkata, dengan mewajibkan pemasangan peranti telematik ini, ia mampu menyalurkan maklumat yang lebih berguna untuk polisi dan peraturan yang berkaitan.

    “Di Malaysia, kadar kemalangan yang melibatkan bas dan kadar kecederaan penumpang bas dilihat tinggi berbanding pengangkutan lain. Pada tahun 2013, kadar kemalangan yang melibatkan bas membabitkan sebanyak 140 kes bagi setiap 1000 buah bas,” ujarnya, laporan The Sun.

    Beliau menambah pemandu bas terdedah dengan risiko kemalangan yang tinggi dan juga persekitaran jalan yang berlainan sepanjang masa mereka memandu. Langkah ini dilihat mampu meningkatkan pemahaman mereka berkenaan tahap keselamatan, dalam masa yang sama mempertingkatkan lagi keselamatan. Bagi membantu pelaksanaan ini, Law menyarankan agar subsidi kewangan diberikan kepada syarikat pengendali bas untuk pemasangan dan penyelenggaran peranti telematik tersebut.

    express-bus-coach-1

    Telematik membenarkan pihak berkuasa untuk mengetahui berapa lama pemandu bas tersebut memandu, menurut pensyarah Jabatan Kejuruteraan Sivil Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Jocelyn Ng. Di mana masa tersebut boleh diperoleh daripada data peranti itu dan kemudian ia akan dianalisa.

    Malah Timbalan Naib Cancelor Universiti Sains Malaysia Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah pula berkata jika pelaksanaan peranti ini diwajibkan, ia boleh syarikat-syarikat bas terbabit memantau dengan lebih terperinci keselamatan bas mereka.

    Pada Mac lalu, satu keputusan bagi pelaksanaan peranti telematik ini telah dibuat di mana ia tidak diwajibkan dipasang di dalam bas, di bawah syarat yang ditetapkan oleh MMIP. Malah sistem tersebut masih kekal sebagai pilihan untuk syarikat pengendali bas buat masa ini.

    CEO SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah berkata peranti telematik ini tidak lagi diwajibkan memandangkan mereka mempunyai GPS yang mampu memantau mekanisme bagi bas tersebut yang disambung terus pada Sistem Hab Prestasi SPAD.

    The Sun turut melaporkan pemasangan peranti telematik pada bas ini dianggarkan dengan kos RM3,400 bagi setiap kenderaan iaitu RM2,300 bagi harga peranti, RM200 kos pemasangan (di luar Lembah Klang) dan RM900 untuk yuran servis tahunan.

     
     
  • SPYSHOT: Proton Persona 2016 dijumpai dengan pelekat penyamaran baharu, serlah rupa lebih jelas

    12941079_1006446759446892_722686739_o_BM

    Gambar spyshot serba baharu Proton Persona 2016 telah kami terima dari pembaca Kamal Mcd Asn – imej-imej baharu ini menampilkan sedan segmen-B yang dibina berasaskan Proton Iriz itu menggunakan pelekat penyamaran dengan grafik pusaran baharu yang membuatkan pandangan turut berpinar apabila melihatnya.

    Selain dari pelekat penyamaran corak baharu, Persona baharu ini turut kelihatan di dalam keadaan penyamaran yang lebih ringan, mendedahkan perincian yang lebih jelas. “Diffuser” belakang yang besar jelas kelihatan, dan juga “bilah sisi” seiras Iriz juga boleh dilihat, begitu juga lampu belakang berbentuk-badam serta but belakang yang tinggi seperti imej spyshot sebelum ini

    Gambar spyshot sebelum ini turut menampakkan rekaan lampu hadapan Persona yang lebih tirus dari Iriz hingga ke gril. Gril krom bahagian atas “sayap Proton” yang merentasi kedua belah lampu hadapan turut jelas kelihatan dalam foto ini. Rekaan tersebut adalah seiras dengan imej render yang dibuat oleh pakar Photoshop Theophilius Chin dan pemenang Pertandingan Rekabentuk Proton 2014, Pow Ying Hern.

    Bampar hadapan dengan gril bawah yang menonjolkan splitter dagu adalah seiras rekaan Iriz, manakala lampu kabus kini direka dengan bentuk bulat berbanding tiga segi – seiras dengan imej bayangan Theo. Pada bahagian sisi, Persona kelihatan hampir serupa dengan Iriz, kecuali pada bahagian tiang-C sedan berbanding Iriz yang direka sebagai sebuah hatchback.

    Lakaran Proton Persona 2016, oleh Theophilus Chin (atas) dan Pow Ying Hern (bawah)

    Persona kelihatan lebih tinggi dari bakal pesaingnya dalam pasaran sedan segmen-B kelak. Dengan mengambil ketinggian asal Iriz yang dicatat 75 mm lebih tinggi dari Honda City dan Toyota Vios, membuatkan rupa paras Persona ini kelihatan sedikit pelik berbanding pesaingnya.

    Persona akan membuat kemunculan sulungya selepas pelancaran Proton Perdana serba baharu yang dijangka tidak lama lagi, tetapi lebih awal daripada Proton Saga baharu. Ia juga dijangka akan dikuasakan dengan pilihan enjin yang sama seperti Iriz iaitu enjin 1.3 liter atau enjin 1.6 liter VVT semasa pelancarannya nanti. Model ini juga turut dijangka bakal menggunakan enjin baharu 1.3 liter dan 1.6 liter pancitan terus (GDI/TGDI) Proton selepas produksi enjin tersebut dimulakan akhir 2017 nanti.

     
     
  • Perkhidmatan bas percuma di Petaling Jaya Selatan

    pj-city-bus-public-transport

    Penduduk Petaling Jaya Selatan (PJS) kini boleh mendapatkan perkhidmatan bas komuniti secara percuma untuk kawasan sekitarnya. Perkhidmatan yang diwujudkan oleh Majlis Perbandaran petaling Jaya (MPPJ) ini bertujuan untuk kemudahan pengangkutan kepada penduduk sekitar khususnya warga tua, dari Kg. Lindungan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang melibatkan perjalanan pergi dan balik.

    “Perkhidmatan bas percuma ini hanya boleh didapati setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Ia akan bergerak dari Klinik 1 Malaysia di Kg. Lindungan jam 7 pagi ke PPUM. Pada jam 2 petang, bas ini akan kembali dari PPUM ke klinik berkenaan,” ujar datuk bandar PJ Mohd Azizi Mohd Zain, laporan The Sun Daily.

    Mohd Azizi turut menambah, selain PJ City Bus, perkhidmatan bas percuma juga sedang dipertimbangkan di bandar berkenaan. “Buat masa ini, kami mempunyai PJ City Bus yang meliputi jalan utama di PJ, di mana dalam tahun ini kami akan menambah dua laluan baharu iaitu di Kelana Jaya dan Kampung Tunku,” ujarnya.

    Bagi laluan PJ01, iaitu dari Taman Medan ke Kampung Tunku dan laluan PJ02 dari stesen LRT Asia Jaya ke PPUM, kini mampu mencapai bidangan 10,000 penumpang sehari. Manakala laluan PJ03 dan PJ04 iaitu Kelana Jaya dan Kampung Tunku pula dianggarkan dengan 2,000 penumpang sehari.

    “Walau bagaimana pun, PJ03 dan PJ04 masih dalam peringkat ujian, jadi kita akan menetapkan semula laluannya pada bulan ini. Dan jika jumlah penumpangnya tidak seperti mana yang kita harapkan, mungkin kita akan mempertimbangkan perkhidmatan ini di kawasan lain memandangkan kami turut menerima banyak permintaan dari ahli majlis dan ahli dewan kawasan terbabit untuk memberikan kemudahan ini di tempat mereka,” ujar Mohd Azizi.

     
     
  • Jeep Wrangler Unlimited Sahara “Batwrangler” – hanya sebuah dibina, padat dengan aksesori Mopar

    Jeep-Wrangler-Unlimited-Sahara-Batwrangler-1_BM

    Jeep Malaysia telah mendedahkan Jeep Wrangler Ultimate Sahara versi custom di Tropicana City Mall hujung minggu lalu. Digelar sebagai “Batwrangler”, kenderaan off-road ikonik dalam bentuk lima-pintu jarak roda panjang yang hanya dibina satu unit sahaja. Ia dilengkapi dengan aksesori Mopar serta cat istimewa untuk memperingati hubungan Jeep dan filem Batman V Superman: Dawn of Justice.

    Rekaan grafik pada badan Jeep ini bukan dibuat dengan balutan pelekat, tetapi ia sebenarnya merupakan hasil lukisan airbrush yang direka oleh divisi Projek Khas Jeep. Jeep Malaysia turut memberitahu akan ada lagi model edisi istimewa seperti ini akan dibina dan didedahkan untuk masa akan datang.

    Jeep-Wrangler-Unlimited-Sahara-Batwrangler-2_BM

    Aksesori Mopar yang ditampilkan pada Jeep ini termasuklah bampar hadapan besi off-road, fender flare rata, pengunci bonet, penutup cermin sisi dengan logo Jeep, lapisan badan, penutup pengisi bahan api, pelindung lampu belakang serta roda aloi 18-inci standard Sahara versi warna hitam.

    Secara keseluruhannya, aksesori-aksesori yang ditampilkan (tidak termasuk cat khas) berharga RM52,899, tetapi Batwrangler dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM368,888, iaitu RM39,999 lebih mahal dari Wrangler Unlimited Sahara standard yang dijual pada harga RM328,889. Sumber dari Jeep Malaysia juga memberitahu kami, diskaun tambahan sebanyak RM30,000 juga akan ditawarkan untuk pembeli.

    Kelengkapan asal Sahara Unlimited termasuk bumbung Freedom Top yang boleh dibuka, kawalan kelajuan, penghawa dingin automatik, roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit, sistem infotaimen dengan skrin sesentuh 6.5-inci dan hubungan Bluetooth, kawalan suara, cakera keras, sistem audio Alpine Premium dengan sembilan-pembesar suara, serta sulaman “Sahara” pada tempat duduk hadapan adalah kekal standard pada model ini. Untuk Aspek keselamatan, Batwrangler dilengkapi empat beg udara, ESC, Bantuan Mula Mendaki dan sistem Electronic Roll Mitigation.

    Kereta ini dijana oleh enjin 3.6 liter Pentastar VVT V6 yang berkuasa 284 hp pada takat 6,350 rpm dan tork maksima 347 Nm pada takat 4,300 rpm. Kesemua kuasa ini dialirkan ke keempat-empat roda menerusi kotak gear lima-kelajuan automatik.

     
     
  • BMW C 650 Sport dan C 650 GT facelift kini di M’sia

    The new BMW C 650 GT and the new BMW C 650 Sport (3)

    BMW Group Malaysia telah melancarkan model facelift baharu dalam barisan BMW Motorrad Malaysia iaitu BMW C 650 Sport dan BMW C 650 GT yang berada di dalam segmen skuter maxi keluarannya. Ia memiliki gabungan aspek praktikaliti dengan keseronokan dan keselesaan tunggangan dalam jarak yang jauh.

    BMW C 650 Sport ini menampilkan komponen badan yang telah direka semula secara sepenuhnya. Reka bentuk yang segar ini menterjemahkan penampilan sebuah skuter maxi yang menyerlahkan prestasi dinamik dengan maksimum. Bahagian hadapan yang merangkumi panel sisi atas, bawah, kemasan panel hadapan dan perumah lampu hadapan juga telah direka semula.

    BMW C 650 GT pula menerima rekaan baharu pada bahagian belakang dengan panel kemasan pada sebelah kini, kanan dan tengah, di samping lampu belakang baharu. Perumah cermin sisi BMW C 650 GT telah dioptimumkan bagi memastikan penunggang mempunyai pandangan belakang yang jelas dalam apa jua keadaan.

    Pelindung bar hendal pada kedua-dua varian menunjukkan gayaan baharu melalui bahagian tengah yang berkilat dan kemasan krom. Manakala semua permukaan yang berada pada medan penglihatan penunggang telah diberi struktur baharu.

    The new BMW C 650 Sport (1)

    BMW C 650 Sport facelift

    BMW C 650 Sport dan BMW C 650 GT ini juga didatangkan dengan dial instrumen dan rekaan kemasan bar hendal baru. Bahagian tengahnya dipasang dengan kemasan berkilat dan aplikasi krom yang boleh diubah suai mengikut keperluan individu.

    Kedua-dua model facelift ini dijana oleh enjin dua-silinder empat-injap dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 647cc dan sistem pancitan bahan api elektronik. Ia mampu memberikan kuasa mencecah 60 hp pada 7,750rpm dan tork maksimum 63 Nm pada 6,000rpm.

    Komponen pada enjin dua-silinder sebaris itu membolehkannya mencapai keseimbangan suhu yang optimum. Konsep penyejukan yang sofistikated mengalirkan cecair penyejuk secara melintang melalui kepala silinder. Menerusi kesan penyejukan yang intensif, haba panas dapat dihilangkan dengan pantas. Sekali gus memastikan suhu optimum dapat dikekalkan.

    Pemetaan enjin BMW C 650 Sport dan BMW C 650 GT telah dibuat untuk bagi memastikannya menepati piawaian emisi Euro4. Emisi gas ekzos mampu dikurangkan dengan menggunakan sistem ekzos serba baharu yang terdiri daripada satu unit pancarongga bersama pengubah bermangkin (catalytic converter) bersepadu dan peredam berkembar.

    Kedua-dua model ini juga dipadankan dengan talaan terkini transmisi CVT yang menggunakan pelapik klac baharu. Ia mengoptimumkan kemasukan klac, sekali gus memberikan maklum balas yang lebih dinamik.

    The new BMW C 650 GT (1)

    BMW C 650 GT facelift

    Reka bentuk sistem brek brek terbaik juga ditampilkan dengan roda hadapan menggunakan sistem brek cakera berkembar berdiameter 270 milimeter yang turut merangkumi dua omboh angkup terapung untuk memperlahankan jentera dengan berkesan. Tugas membrek roda belakang pula diserahkan kepada sistem brek cakera tunggal berdiameter 270 milimeter dan dua omboh angkup terapung.

    Malah ia turut menawarkan keseimbangan sempurna di antara penampilan yang sporty dan keselesaan. Ia mengekalkan sistem suspensi dengan struktur komposit hibrid yang tegar, kerangka tiub besi dan unit aluminium tuangan terap pada bahagian galas lengan ayun.

    Penggunaan lengan ayun tunggal daripada aloi ringan dengan titik sepaksi pangsi juga menyumbang kepada kestabilan tunggangan yang maksimum. Ini membolehkan BMW C 650 Sport dan BMW C 650 GT menggabungkan aspek kestabilan menukar arah ketika berada pada kelajuan tinggi di lebuh raya serta lincah dalam kesesakan trafik.

    Bukan itu sahaja, kinematik tongkat bahagian tengah telah direka semula supaya lebih mudah digunakan. Hasilnya, tenaga fizikal yang diperlukan berjaya dikurangkan sehingga 30 peratus.

    The new BMW C 650 GT and the new BMW C 650 Sport (2)

    Kedua-dua model ini turut dilengkapi dengan aspek keselamatan terbaik termasuk Kawalan Kestabilan Automatik (ASC), selain ABS yang kedua-duanya merupakan elemen standard.

    BMW C 650 Sport dan BMW C 650 GT facelift ini didatangkan dalam warna Blackstorm Metallic dan Lightwhite Solid Paint. Malah turut menampilkan warna eksklusif iaitu Valencia Metallic Matt dan Frozen Bronze Metallic.

    Harga atas jalan (tanpa insurans) yang ditawarkan untuk BMW C 650 Sport ialah RM64,900, manakala RM68,900 bagi BMW C 650 GT.

    Menurut Ketua BMW Motorrad, BMW Group Malaysia, Owen Riley, “Konsep yang berbeza di antara kedua-dua model skuter maxi ini membolehkan kami mensasarkan kelompok pengguna yang lebih luas berbanding sebelum ini. BMW C 650 Sport lebih terarah kepada penunggang yang gemar menunggang secara sporty. Sementara BMW C 650 GT baharu pula disasarkan kepada mereka yang lebih mementingkan aspek keselesaan dan kemampuan bergerak dalam jarak yang jauh (touring).”

     
     
  • Pusat 2S GDSI Hyundai pertama di Melaka kini dibuka

    unnamed-2

    Pusat 2S GDSI (Identiti Ruang Pengedar Global) Hyundai yang pertama di Melaka di buka oleh Premium Autoworld bertempat di No 1, Jalan PK 8B-1, Taman Perindustrian Krubong, 75260 Melaka. Pusat tersebut beroperasi pada hari Isnin hingga Sabtu bermula 8 pagi hingga 5 petang kecuali pada cuti umum.

    Sebagai fasiliti kelima Hyundai di Malaysia yang menampilkan rekaan dalaman dan luaran standard GSDI, pusat 2S GDSI Hyundai Premium Autoworld menampilkan ruangan menunggu dengan WiFi dan kopi percuma untuk pelanggan. Servis lain yang disediakan termasuk bengkel badan dan cat kenderaan, dandanan kereta, pembaharuan insuran dan cukai jualan serta khidmat pengambilan/penghantaran kereta pelanggan untuk diservis (temu janji awal diperlukan untuk perkhidmatan ini).

    Sempena pembukaan rasmi pusat ini, Premium Autoworld menawarkan diskaun 50% kos upah untuk pakej servis asas Hyundai bagi pelanggan yang pertama kali berurusan dengan mereka. Pelanggan perlu memuat-turun dan menggunakan aplikasi Hyundai Care di telefon pintar mereka untuk mendapatkan tawaran berkenaan.

    Tambahan lagi, syarikat tersebut turut menawarkan kos upah percuma bagi servis pelinciran (penukaran minyak enjin dan penuras minyak sahaja) dan diskaun 15% untuk alat ganti model yang tidak lagi dilindungi waranti seperti Matrix, Getz, Avante, XD Elantra, Atos dan NF Sonata. Pemeriksaan 22-poin percuma juga disediakan pada hari bekerja sahaja.

    Untuk keterangan lanjut atau membuat temujanji dengan pusat 2S GDSI Premium Autoworld, anda boleh menghubungi 06-3322552. Premium Autoworld juga mempunyai bilik pameran GDSI di Melaka yang terletak di T199, Jalan Munshi Abdullah, 75100, Melaka. Bilik pameran berkenaan dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 6 petang.

     
     
  • Sistem AWAS – pindaan untuk Akta Pengangkutan Jalan bakal dibentangkan di Parlimen Mei ini

    malaysian-driving-license-001

    Nampak gayanya implementasi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) semakin menghampiri. Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan dijadualkan akan dibentangkan di Parlimen pada Mei ini.

    “Buat masa ini, kami sedang berbincang mengenai isu yang berkaitan. (Bagi mengimplementasikan AWAS), kami perlu meminda Akta Pengangkutan Jalan,” jelas Liow.

    Klik untuk besarkan imej

    Ia bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Abdul Aziz Kaprawi pada Mac lalu, di mana timbalan menteri kementerian berkenaan berkata, ia akan dibentangkan pada April (bulan ini) dan pelaksanaannya akan bermula bulan hadapan.

    AWAS adalah kombinasi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan sistem pemberian mata demerit Kejara, yang disasarkan untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya. Liow turut mendakwa sistem ini adalah lebih efektif berbanding kadar saman yang tinggi.

     
     
  • Mazda mempatenkan rekabentuk enjin rotari wankel baharu di Amerika Syarikat, mungkin paten SkyActiv-R

    Screen-Shot-2016-04-04-at-10.45.02-AM-e1459737837601_BM

    Setelah produksi Mazda RX-8 dihentikan pada 2011, tiada lagi apa-apa pengumuman dibuat oleh pengeluar kereta dari Jepun tersebut berkenaan model gantiannya. Sehinggalah pada tahun 2015, Mazda menampilkan kereta konsep Mazda RX-Vision, membayangkan generasi seterusnya siri kereta sport berenjin rotari Mazda bersama enjin rotari baharu diberi nama SkyActiv-R. Tetapi perinciannya berkenaan enjin tersebut masih lagi belum diumumkan sehingga kini.

    Walau bagaimanapun, Autoevolution telah menemui fail permohonan paten dari Mazda di pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat, membuktikan usaha pembangunan enjin wankel-rotari generasi baharu berkenaan sedang giat dijalankan.

    Penemuan tersebut menyaksikan enjin rotari baharu Mazda yang berkemungkinan akan membawa nama SkyActiv-R seperti dicanangkan sebelum ini, mempunyai kedudukan port ekzos dan port kemasukan terbalik berbanding enjin rotari Mazda sebelumnya. Kini port ekzos diletakkan di bahagian atas dan port kemasukan pula diletakkan di bahagian bawah berbanding konfigurasi terbalik pada enjin wankel-rotari sebelum ini.

    Susunan semula kedudukan setiap port tersebut akan menambahbaik prestasi enjin rotari Mazda. Posisi port kemasukan yang diletakkan di bahagian bawah membolehkan lebih kemasukan udara kedalam kebuk pembakaran berikutan unit rotor berkenaan yang bergerak lebih jauh kebawah dan ‘mengaut’ lebih udara sebelum port tersebut ditutup. Mazda menggelar jumlah kemasukan udara secara semula jadi yang lebih banyak ini sebagai “efek induksi paksaan dinamik oleh efek inertia” membolehkan letusan pembakaran yang lebih besar berlaku seterusnya meningkatkan prestasi enjin.

    Mazda RX-Vision 14

    Konsep Mazda RX-Vision

    Kedudukan port ekzos yang telah diubah keatas pula membolehkan manifold ekzos diletakkan dibahagian atas dan membolehkan laluan ekzos menjadi lebih pendek, mengurangkan halangan serta menghasilkan lebih kuasa kuda.

    Kedudukan tersebut juga membolehkan pengecas turbo diletakkan dibahagian atas enjin, berbanding enjin 13B RX-7 FD-3S sebelum ini yang menyaksikan pengecas turbo terletak dibahagian bawah. Susunan ini membolehkan enjin diletakkan dengan kedudukan yang lebih rendah, membolehkan titik pusat graviti keseluruhan kereta tersebut juga menjadi lebih rendah, secara tidak langsung memberikan pengedalian yang lebih bagus. Tidak seperti sebelum ini dimana pengecas turbo yang diletakkan hampir dengan crossmember dan komponen lain dibahagian bawah menyebabkan enjin terpaksa diletakkan diposisi sedikit tinggi.

    Rekaan ini juga mungkin mengesahkan kereta sport siri RX seterusnya akan kembali ‘liar’ seperti RX-7 dengan kembalinya pengecas turbo pada enjin rotari Mazda untuk SkyActiv-R ini berbanding enjin Renesis pada RX-8 yang lebih ‘jinak’ tanpa didesak apa-apa induksi.

    Perubahan posisi liang port ini mungkin salah satu inovasi yang dilakukan oleh Mazda dalam pembangunan enjin SkyActiv-R baharu, kerana mereka juga dijangka akan menampilkan teknologi yang lain pada enjin tersebut menjadikannya lebih boleh diharap, serta mempunyai lebih kecekapan bahan api dan mengurangkan emisi. Kereta sport siri RX tersebut dijangka akan membuat kemunculan pertamanya pada tahun 2018, sempena ulangtahun ke-40 RX-7.

    GALERI: Mazda RX-Vision

     
     
  • Kerajaan sedang menyediakan mekanisma untuk teksi, Uber dan Grabcar beroperasi bersama – Menteri

    liow tiong lai

    Dalam usaha untuk membenarkan aplikasi perkongsian kenderaan atas talian seperti Uber dan Grab beroperasi di atas platform yang sama seperti pengusaha teksi, Kementerian Pengangkutan sedang dalam usaha merangka mekanisma kearah itu.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Kerajaan sedang mengkaji pelbagai isu berkaitan servis perkongsian kenderaan ini, termasuk keperluan untuk pemandu servis tersebut untuk mendaftarkan kenderaan mereka, dan mengambil lesen servis kenderaan awam (PSV).

    Liow juga berkata Kementerian sedang mencari jalan untuk mengurangkan masalah pemandu teksi. Contohnya, setiap unit teksi hanya perlu untuk menjalani prosedur pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) selepas setiap enam bulan.

    Taxi Drivers Protest Against GrabCar 6

    “Kerajaan berharap untuk menyelesaikan isu berkaitan Uber dan GrabCar secepat yang mungkin. Saya harap kami mampu untuk mempercepatkannya. Ia sepatutnya tidak memerlukan masa yang terlalu lama,” kata beliau kepada The Star dan The Sun.

    Perselisihan faham antara pengusaha teksi dan pengendali aplikasi perkongsian kenderaan ini menyaksikan pemandu teksi mengambil beberapa tindakan termasuk tindakan undang-undang untuk memastikan suara mereka didengari. Tindakan yang paling drastik diambil oleh kumpulan pemandu teksi ini ialah mengadakan perhimpunan jalanan di sepanjang Jalan Bukit Bintang, menyebabkan laluan tersebut tertutup dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan itu.

     
     
  • Malaysia bakal berunding dengan Brunei untuk pendekkan masa perjalanan darat Kuching ke Lawas

    Pan-Borneo-Highway

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengesahkan Malaysia bakal berunding dengan Brunei untuk mencari kaedah sesuai bagi memendekkan perjalanan dari Kuching ke Lawas berikutan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM16 bilion.

    Katanya, sekarang perjalanan darat dari Kuching ke Lawas dianggarkan 20 jam berikutan adanya pemeriksaan imigresen dan kastam di sempadan Malaysia dan Brunei, laporan Bernama.

    “Kita akan bincang dengan Brunei, bagi cari kaedah untuk memendekkan perjalanan dari Kuching ke Lawas iaitu antara 12 hingga 14 jam,” ujarnya tempoh hari dalam lawatannya ke Sarawak.

    Kini terdapat empat pemeriksaan kastam dan imigresen di sempadan Malaysia-Brunei iaitu di Sungai Tujuh, Miri dan Kuala Belait, Brunei serta Tedungan, Limbang dan Kuala Lurah, Brunei.

    Najib berkata untuk perjalanan dari Kuching ke Miri, masa perjalanan akan dapat dipendekkan daripada 14 jam kepada sembilan jam kalau tidak berhenti-henti setelah projek lebuh raya itu siap kelak.

    Perdana Menteri sekali lagi memberi jaminan projek Lebuh Raya Pan Borneo tidak akan dikenakan tol kerana ia merupakan laluan utama pengguna jalan raya di negeri ini.

     
     
  • Penang kemuka pelan laluan 30km LRT Bayan Lepas

    lrt-depot

    Kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengemukakan pelan bagi laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Menurut laporan The Star, Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, Chow Kon Yeow, telah mengesahkan permohonan ini dikemukakan pada 29 Mac lalu untuk laluan LRT pertama di negeri tersebut.

    Projek LRT ini adalah sebahagian daripada Pelan Utama Pengangkutan Penang (PTMP) bernilai RM27 bilion. Ia akan menghubungkan antara Komtar dan Bayan Lepas bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memendekkan jarak perjalanan di antara dua kawasan terbabit.

    Laluan sepanjang 30 km itu akan bermula di bahagian utara pulau berkenaan, melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Penang dan berakhir di bahagian selatan pulau. Mengikut perancangan awal, terdapat 27 stesen LRT di sepanjang laluan, malah pada masa hadapan ia akan bersambung dengan laluan bagi monorel dan juga LRT lain.

    Ketua Menteri Penang, Lim Guan End, berkata PTMP ini adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri berkenaan, di samping menambah baik pengangkutan awam lain termasuk teksi, bas, teksi air, feri, kereta kabel dan terbaharu sistem LRT/monorel.

    “Rangkaian pengangkutan awam juga akan ditambah baik dan ia turut melibatkan laluan bagi basikal. Perubahan ini bukan setakat untuk pembangunan ekonomi negeri, ia juga bagi menambah baik Penang sebagai sebuah bandar tumpuan ramai,” ujarnya.

     
     
  • Khairul Idham berjaya membuatkan lagu Negaraku berkumandang di podium Moto3 GP buat pertama kali

    89-pawi_gp_0133_0.big

    Dalam musim pertamanya di Moto3 Grand Prix World Championship, dan hanya dengan perlumbaan ketiganya, Khairul Idham Pawi yang berumur 17 tahun dari pasukan Honda Team Asia berjaya mengungguli perlumbaan Gran Premio Motul de la Republica Argentina. Sekali gua menjadi rakyat Malaysia pertama berjaya menaiki podium sebagai juara pusingan di dalam kejohanan tersebut dan membolehkan Jalur Gemilang berkibar dan lagu Negaraku berkumandang buat pertama kali pada sesi penyampaian hadiah dalam siri MotoGP.

    Perlumbaan yang diadakan di litar Termas de Rio Hondo itu menyaksikan ia bermula dalam keadaan basah, dengan Khairul memilih untuk menggunakan tayar kering dan berharap litar akan kembali kering, membolehkan beliau mendapatkan cengkaman terbaik dari permukaan litar.

    Brad Binder yang berasal dari Afrika Selatan mewakili pasukan Red Bull KTM Ajo memulakan perlumbaan dari petak pertama, di pintas oleh Khairul pada lap pertama dengan kelebihan setengah saat setelah dia hanya bermula di petak ketujuh. Khairul terpaksa bermula di petak ketujuh setelah dikenakan penalti tiga petak kebelakang kerana menunggang terlalu perlahan ketika sesi kelayakan bebas Jumaat lalu.

    Tindakan itu dilakukan oleh Khairul dalam usaha beliau untuk mendapatkan catatan masa yang lebih baik dengan cara mengekori dan ‘belajar’ dari penunggang yang lebih pantas, menjadikan petak keempat yang berjaya diperolehinya ditolak tiga tempat kebelakang.

    Khairul menghabiskan perlumbaan dalam masa 41 minit dan 35.2 saat di hadapan penunggang Sepanyol Jorge Navarro dari pasukan Estrella Galicia 0,0 dan Binder dengan kelebihan 26.1 dan 30 saat. Seorang lagi penunggang negara, Adam Norrodin juga berumur 17 tahun dari pasukan Drive M7 SIC Racing Team hanya berpuas hati di tempat ke-11.

    Ekoran selepas motosikalnya tergelincir setelah melalui bahagian litar yang masih basah berhampiran garisan penamat semasa pertarungan merebut tempat kedua dengan Navarro. Adam bingkas bangun menolak jenteranya melintasi garisan penamat untuk memastikan tempat ke-11 tersebut.

    Menamatkan setiap lap dengan kelebihan tiga saat secara konsisten meninggalkan kelompok di belakang, prestasi Khairul mendapat pujian dari peminat MotoGP. “Untuk perlumbaan hari ini saya sangat gembira! Ada bahagian yang agak sukar di litar tetapi saya terus mengekalkan masa setiap lap dan kekal sebagai pendahulu perlumbaan. Saya menunggang sepantas mungkin pada lap pertama untuk menjarakkan diri dari pelumba lain,” kata Khairul.

     
     
  • Kemalangan jalan raya 2015 lebih tinggi – JPJ

    Sand lorry Jalan Duta accident 3

    Jumlah kemalangan jalan raya di negara ini menunjukkan peningkatan tahun lepas selepas angkanya turun pada 2014, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Arifin Che Mat.

    Katanya sepanjang tahun lepas, sebanyak 489,606 kemalangan dicatatkan iaitu peningkatan kira-kira 2.8 peratus berbanding 476,196 pada 2014, laporan Bernama.

    “Jumlah kemalangan jalan raya di negara ini terus mencatat peningkatan dalam tempoh enam tahun sejak 2010 kecuali pada 2014 apabila ia turun 0.2 peratus sebelum meningkat semula tahun lepas,” katanya.

    Arifin berkata 414,421 kemalangan dicatatkan pada 2010, meningkat kepada 449,040 kes pada 2011 diikuti 462,423 (2012) dan 477,204 (2013) sebelum turun 476,196 pada 2014.

    “Kes kemalangan maut turut meningkat sebanyak 32 kes atau 0.48 peratus kepada 6,706 kes pada tahun lepas berbanding 6,674 pada tahun sebelumnya,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau berkata JPJ melaksanakan pelbagai program dan kempen kesedaran serta meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan, sekali gus membantu mengurangkan kes kemalangan dan kematian pada masa akan datang.

     
     
  • Lencongan trafik sementara di LDP mulai 4 April

    damansara-puchong-expressway-ldp

    Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) telah mengeluarkan kenyataan hari ini berhubung dengan laluan trafik di persimpangan bertingkat Puchong Jaya, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) akan dilencongkan sementara bagi melancarkan kerja membaik pulih jalan mulai 4 hingga 10 April.

    LITRAK berkata kerja pemulihan jalan di kaki lima akan dijalankan di persimpangan lampu isyarat bagi meningkatkan kemudahan pemanduan, laporan Bernama.

    Kerja pemulihan berkenaan akan memberi kesan kepada pemandu yang datang dari Jalan Puchong (Jalan Klang Lama), Lebuhraya Bukit Jalil dan Puchong Jaya menuju ke persimpangan lampu isyarat berkenaan.

    Papan tanda akan diletakkan bagi memberi panduan kepada pengguna lebuh raya mengenai lencongan trafik berkenaan. Pengguna lebuh raya dinasihat mengikuti arahan papan tanda bagi memastikan lalu lintas yang lancar.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025