Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Toyota dan Microsoft bekerjasama membina solusi baharu perhubungan kenderaan yang lebih insaniah

    2017_Toyota_Prius_Prime_06_0981B83C4E79F1558857A8BEAD1854FC04384214_BM

    Toyota telah mengumumkan akan melancarkan Toyota Connected,Inc, dengan kerjasama Microsoft untuk mengembangkan kemampuan mudah alih dan analisis data syarikat tersebut. Syarikat berkenaan akan berperanan sebagai hab data sains untuk operasi global Toyota, dan ia akan merangkumi pelbagai inisiatif, termasuk mobiliti.

    Menggunakan kuasa data sains melalui teknologi Azure Microsoft, Toyota mensasarkan untuk “menginsankan pengalaman memandu” dengan membuatkan teknologi bersifat lebih disebalik tabir berbanding menguasai penggunanya.

    Kerjasama baharu ini akan diketuai oleh Zack Hicks, Ketua Pegawai Esekutif Toyota Connected dan Ketua Pegawai Informasi di Toyota Motor Amerika Utara. “Toyota Connected akan membantu pelanggan kami daripada dibelenggu oleh teknologi. Ia akan membuatkan hidup menjadi lebih mudah dan membantu kita untuk kembali kepada sifat kemanusiaan,” kata Hicks.

    “Dari servis telematik yang belajar dari kebiasaan dan pilihan anda, untuk menggunakan model berdasarkan harga insuran yang bertindak balas terhadap bentuk pemanduan sebenar, untuk menghubungkan jaringan kenderaan yang boleh berkongsi keadaan jalan dan informasi trafik, sasaran kami adalah untuk memberikan servis yang memudahkan kehidupan,” tambah beliau.

    toy_hilux_sr5_150703p9519hr

    Sudah tentu pemandu boleh untuk memilih servis sedemikian, sama seperti apa yang diperolehi oleh pengguna telefon pintar (contohnya aplikasi Google Now). Walau bagaimanapun, produk tersebut perlu membuktikan yang ia popular, dan ia mungkin akan menggalakkan penggunaannya dan yang paling penting, penerimaannya.

    Toyota Connected akan berpangkalan di Plano, Texas, dan akan melancarkan dua mandat iaitu memberikan servis yang lancar dan kontekstual, serta menggunakan analisis data yang canggih untuk menyokong pembangunan produk untuk pelanggan, wakil jualan, pengedar, dan rakan kongsi.

    Tidak dihadkan potensinya, syarikat tersebut juga akan membina kerjasama sedia ada bersama Microsoft untuk mempercepatkan proses penyelidikan dan pembangunan dalam menghasilkan solusi perhubungan antara kenderaan baharu.

     
     
  • Tun Mahathir tidak harus dipersalahkan atas masalah yang dialami oleh Proton – PEDA

    tun-mahathir-alami-proton

    Perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai pengerusi Proton pada 31 Mac lalu telah mengundang pelbagai kontroversi dan respons. Ia turut mendapat perhatian Datuk Mustapa Mohamed yang menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengingatkan Proton
    bahawa ia tidak akan menerima perlindungan daripada kerajaan selama-lamanya.

    Katanya, kerajaan juga beranggapan model perniagaan sedia ada PROTON tidak mampu bertahan, justeru jika bantuan diberikan, ia akan bergantung kepada keupayaan syarikat itu memenuhi beberapa syarat, termasuk mengenal pasti rakan strategik asing dan harus diuruskan secara profesional.

    Malah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan turut mengeluarkan kenyataan bahawa Tun Dr Mahathir perlu menjawab mengapa syarikat automotif tempatan itu dilanda masalah kewangan yang serius walaupun berbilion wang rakyat sudah dibelanjakan terhadapnya.

    Rahman turut berkata Tun Dr Mahathir juga perlu bertanggungjawab di atas kegagalan PROTON yang juga ideanya dan sepanjang menjadi pengerusi syarikat terbabit. Kenyataan itu merujuk kepada dana yang diberikan oleh kerejaan kepada Proton iaitu sehingga kini lebih RM13 bilion bantuan termasuk geran dan pelepasan cukai telah diberikan sejak 1983.

    Kenyataan Rahman ini turut mendapat perhatian presiden Persatuan Pengedar Proton Edar (PEDA) Armin Baniaz Pahamin, menerusi entri terbaharu di laman blognya, Stay Tuned.

    Menurut Armin, permasalahan yang berlaku dalam Proton bukanlah berpunca daripada Tun Dr Mahathir Mohamad. Sebaliknya, kemelut syarikat pengeluar kereta nasional ini bermula selepas ia diserahkan kepada Khazanah Nasional oleh pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah.

    Beliau mendakwa Proton hilang kedudukannya sebagai pesaing pertama kereta nasional ketika ia dipengerusikan Datuk Mohammad Azlan Hashim, yang dilantik Khazanah. Di mana Datuk Mohammed Azlan Hashim telah membuat keputusan untuk menamatkan jawatan Tengku Mahaleel (CEO Proton ketika itu) selepas EON enggan menyumbang kepada dana penyelidikan dan pembangunan yang dipohon selepas kerajaan menghentikan geran R&D kepada Proton.

    Tulisnya lagi, Tengku Mahalel telah meninggalkan Proton dengan rezab tunai sebanyak RM4 bilion. Namun akibat perkara ini, telah terwujudnya rangkaian jualan dengan 400 wakil penjual di Malaysia. Keputusan membinasakan ini telah melemahkan rangkaian jualan yang kukuh dan permulaan siri malapetaka.

    Malah katanya lagi, Proton turut tewas kepada Perodua sebagai pengeluar kereta nombor satu negara ketika ia berada di bawah kepimpinan Datuk Mohammed Azlan Hashim dan waktu itu Khazanah Nasional merupakan pemegang saham terbesar Proton.

    Bukan itu sahaja, reputasi Proton kian merosot apabila Pak Lah dilihat tidak mempunyai wawasan yang jelas dan pelan jangka panjang untuk memacu syarikat nasional itu.

    Sambungnya lagi, DRB-Hicom telah diminta mengambil alih Proton atas alasan politik. DRB-Hicom kemudian menyahsenarai Proton dan memodalkan aset-aset perusahaan kereta nasional itu.

    Dakwa Armin, masalah sebenar Proton bermula apabila Khazanah Nasional mahu mengawal Proton dengan menyingkirkan Pengarah Urusan Proton, Tengku Mahaleel. Malah Khazanah telah ‘meratah’ semua milik Proton sehingga semua rizab tunai dan aset kehabisan.

    Kemudian, Tun Dr. Mahathir dipanggil semula sebagai Pengerusi Eksekutif Proton untuk menyelamatkan apa yang masih berbaki di syarikat itu.

    Konklusinya dalam blog tersebut, Armin menegaskan jika ada yang patut dipersalahkan kerana kegagalan Proton, ia adalah Khazanah, bukan Tun Dr. Mahathir.

     
     
  • Tayar jenama BFGoodrich dari Amerika Syarikat secara rasminya dilancarkan untuk pasaran Malaysia

    BF-Goodrich-Launch-4_BM

    BFGoodrich, jenama tayar dari Amerika Syarikat secara rasminya telah diperkenalkan di Malaysia hari ini. Jenama yang kini telah dipunyai oleh gergasi industri pembuatan tayar dari Perancis iaitu Michelin tersebut, akan menumpukan kepada dua segmen pasaran iaitu segmen off-road 4×4 kepakaran mereka dan juga segmen pasaran luas kereta penumpang biasa dengan tagline rasmi “Are You Driver Enough?”

    “Perasaan cintakan pemanduan telah menjadi sumber inspirasi kepada BFGoodrich sejak dahulu lagi. Sebagai jenama Amerika yang paling dipercayai, BFGoodrich tahu apa yang diperlukan untuk memenuhi aspirasi dan jangkaan oleh pemandu yang menghargai nilai kawalan, prestasi dan juga pemanduan yang menyeronokkan. Tayar-tayar ini dibina untuk menjadikan perjalanan harian dan pengembaraan hujung minggu anda sesuatu yang membawa keseronokan,” kata Chandran Thakur, Pengarah Urusan Michelin Malaysia.

    Beliau merujuk kepada dua tayar yang dilancarkan pada pagi ini iaitu tayar BFGoodrich All-Terain T/A KO2 serta tayar BFGoodrich Advantage T/A Drive dan SUV.

    Tayar All-Terain T/A KO2 merupakan tayar off-road yang agak terkenal dalam pasaran. Tayar buatan Amerika Syarikat ini telah dicetak dengan perkataan “Baja Champion” pada bahagian dinding tepinya, setelah dilengkapi dengan teknologi CoreGard (dari tayar perlumbaan off-road Baja T/A KR2) yang memberikan “kekuatan mengelakkan belahan dinding tepi yang tiada tandingan”; serta bahu tayar yang lebih tebal dan lebar. Jika dibandingkan dengan tayar KO terdahulu, tayar baharu ini adalah 20% lebih kuat dalam kriteria prestasi off-road yang kritikal.

    Tayar yang lasak ini juga kini lebih tahan lama. Ia mampu bertahan dua kali ganda pada permukaan jalan batu kerikil dan 15% lebih lama atas permukaan asfal. Tayar All-Terain T/A KO2 ini juga mempunyai kadar cengkaman 10% lebih baik pada permukaan berlumpur berbanding sebelum ini, hasil dari rekaan bunga “Side-Bitter” pada bahagian dinding tepi.

    Telah berada di pasaran sejak Januari lalu, tayar ini disediakan dalam saiz bermula 15-inci hingga 18-inci dan harga bermula dari RM1,000.

    Tayar untuk pengguna biasa – Advantage T/A, hadir dalam dua varian iaitu Drive (untuk kereta penumpang biasa) dan SUV. Digambarkan sebagai “tayar untuk pemandu yang mahukan segalanya” (termasuk harga, yang akan diumumkan kemudian), Advantage didakwa dapat memberikan perjalanan harian yang selesa dengan harga yang sangat berpatutuan.

    Ciri-ciri yang direka pada tayar ini termasuklah rekaan bunga tayar simetri yang dipertingkatkan, blok bunga dan bahu tayar yang lebih kuat, jalur bergerigi untuk pengendalian dan kawalan yang lebih baik, blok bunga yang besar dengan jalur yang dalam dan lebar serta sipe untuk prestasi membrek yang lebih bagus.

    Tayar yang dibuat di Thailand ini dijual dalam saiz popular bermula dari saiz 13-inci hingga 18-inci, dengan harga bermula pada RM100 hingga RM550. Untuk tayar yang bersaiz sama dengan tayar pada Proton Saga, ia hanya dijual pada harga RM100 seunit, menjadikan Advantage lebih murah dari tayar jenama tempatan, dengan reputasi jenama yang sememangnya lebih besar. Juga tiada lagi sebab untuk membeli tayar buatan China yang kualitinya diragui.

    BFGoodrich juga kini dalam rangka persediaan untuk memasuki pasaran tayar bas dan trak.

     
     
  • PM dijadual bakal melancarkan projek Lebuhraya Pan Borneo fasa Sabah pada 23 April ini – Musa Aman

    Pan-Borneo-Highway

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan pelancaran projek Lebuhraya Pan Borneo peringkat negeri Sabah pada 23 April ini.

    Menurut Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman projek sepanjang 706 kilometer bernilai kira-kira RM12.8 bilion berkenaan akan dilancarkan di Jalan Donggongon-Papar, laporan Bernama.

    “Kita akan lancarkan projek ini di Jalan Donggongon-Papar yang merupakan pakej pertama yang akan dibangunkan di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo dan akan dirasmikan perdana menteri,” katanya.

    Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah lalu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata Jalan Donggongon-Papar sepanjang 11.7 kilometer merupakan pakej awal yang akan dibina di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

    Menurutnya, dua lagi pakej awalan di bawah projek berkenaan ialah Jalan Tawau-Semporna dari Km45 ke Km49.7 dan Jalan Lahad Datu Bypass sejauh 7.1km.

    Projek Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,239km dari Sarawak ke Sabah bernilai RM27 bilion dijangka siap menjelang tahun 2025.

     
     
  • Kementerian Pengangkutan cadang turunkan kadar saman trafik daripada RM300 kepada RM150

    PDRM-9

    Kementerian Pengangkutan bercadang menurunkan kadar saman trafik daripada RM300 kepada RM150 bagi kesalahan tertentu.

    Menurut timbalan menterinya Datuk Ab Aziz Kaprawi, bagaimanapun cadangan berkenaan perlu mendapat kelulusan Kabinet serta pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 perlu dilakukan sebelum ia dilaksanakan, laporan Bernama.

    “Ini masih dalam cadangan antara kementerian dan kerajaan, untuk kesalahan tertentu dan diberi tempoh tertentu, contohnya RM150 mesti dijelaskan dalam tempoh enam bulan, jika gagal jelaskan dalam tempoh ditetapkan jumlahnya akan meningkat, anda berlengah-lengah, anda bayar lebih,” katanya.

    Ab Aziz berkata cadangan itu juga bagi menyelaras kadar saman antara agensi berkaitan bagi kesalahan yang sama.

    “Kita tidak mahu untuk satu-satu kesalahan itu, JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) samannya lain, PDRM (Polis Diraja Malaysia) saman lain pula, maka dengan cadangan ini, kita mahu kadarnya diselaraskan,” katanya.

    Dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini, Ab Aziz berkata kementerian itu turut mencadangkan kepada kerajaan untuk melaksanakan semula pembayaran saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang ditangguhkan sebelum ini.

    “Sekarang ini terdapat kira-kira dua juta saman yang belum dijelaskan oleh orang kena saman ekoran pelaksanaan penangguhan pembayaran saman AES sejak 2012,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) mengenai pelaksanaan sistem AES.

     
     
  • Mark Higgins kembali ke Isle of Man dengan Subaru WRX STI, kali ini dengan jentera dibina oleh Prodrive

    12909440_1307706665925970_4766724916241227622_o-e1459823087466_BM

    Setelah berjaya memecahkan rekod sendiri di litar jalan raya Isle of Man TT (terkenal sebagai litar jalan raya untuk perlumbaan motorsikal Manx Grand Prix) pada tahun 2014, juara Rali British tiga kali Mark Higgins bakal kembali ke litar tersebut untuk memperbaharui rekodnya. Jika sebelum ini Higgins menggunakan Subaru WRX STI yang hampir standard untuk mencatatkan rekod di laluan berbukit Snaefell sejauh 60.7 km tersebut, tahun ini beliau hadir dengan dibekalkan sebuah WRX STI yang dibina oleh pasukan berpangkalan di Banbury, England iaitu Prodrive.

    Berbeza dengan jentera yang digunakan Higgins sebelum ini, jentera binaan Prodrive tersebut adalah sebuah jentera ‘time attack‘ yang serius. Ia kelihatan lebih lebar dengan semua fender kereta ini dilengkapi dengan flare. Splitter yang lebar turut dipasang pada bampar hadapan, bersama liang tambahan pada bonet hadapan serta Spoiler bersaiz besar di bahagian belakang.

    Tiada lagi data mekanikal yang didedahkan. Tetapi dengan rupa paras agresif dan saiz roda perlumbaan sebenar yang lebih besar, pastinya enjin boxer STI 2.5 liter turbo berkuasa 296 hp dan tork 407 Nm memacu kesemua roda melalui kotak gear enam kelajuan asal serta sistem suspensinya telah diubahsuai secara ekstensif, tipikal jentera-jentera binaan Prodrive sebelum ini.

    12888536_1307706622592641_8673629468851423963_o-e1459824180637_BM

    Prodrive adalah sebuah pasukan yang sangat memahami WRX STI. Hubungan antara STI dan Prodrive telah wujud seawal 1990 apabila kerjasama mereka bermula dengan pembinaan jentera Subaru Legacy untuk kejohanan rali dunia. Kerjasama tersebut terus terjalin dengan pembinaan jentera WRC Subaru Impreza WRX generasi pertama dan seterusnya, sehingga Subaru mengundurkan diri dari WRC pada tahun 2008. Dalam tempoh tersebut Impreza berjaya menggondol gelaran juara bagi kategori pemandu dan pengeluar beberapa kali, dan Prodrive juga turut bertanggungjawab mengeluarkan beberapa versi edisi terhad Impreza WRX seperti Impreza P1.

    Higgins mencatatkan rekod 19 minit 26 saat, memecahkan rekod 19 minit 56.7 saat yang juga dibuat oleh beliau sendiri pada tahun 2011. Kedua-dua rekod tersebut dilakukan Higgins menggunakan jentera WRX STI yang hampir standard, dengan ubahsuai hanya dilakukan pada bahagian suspensi yang ditala untuk laluan beralun dan melompat pada kelajuan tinggi serta kelengkapan keselamatan perlumbaan seperti roll cage, tali keledar keselamatan perlumbaan, alat pencegah kebakaran, dan juga sistem ekzos terus berdesibel tinggi untuk keselamatan penonton.

    Jadi dengan jentera yang diubahsuai dengan lebih sempurna ini, mungkin catatan masa terbaharu nanti boleh dilakukan kurang dari 19 minit.

     
     
  • Melaka nantikan undang-undang sah bagi Uber, Grab

    uber-x-car_BM

    Sementara Uber dan GrabCar masih belum ada di Melaka, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, pemulihan projek dan perdagangan negeri, Datuk Lim Ban Hong, berkata, pihaknya masih menantikan maklumbalas daripada kerajaan berhubung dengan perkhidmatan ini.

    “Melaka masih menantikan keputusan kerajaan pusat mengenai perkara ini. Setakat ini, kami masih tidak menerima sebarang permohonan untuk pelaksanaan sistem ini (Uber dan Grab) di sini, tetapi kami akan mempertimbangkannya apabila kerajaan pusat sudah membuat keputusan,” ujarnya kepada Bernama.

    Beliau turut menyarankan agar Uber, Grab dan teksi biasa supaya bersaing secara sihat dan menggunakan platform yang sama iaitu menawarkan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan. Tambahnya lagi, perkhidmatan Uber dan Grab seharusnya mengkaji lebih terperinci bagaimana hendak mengelakkan masalah sebegini.

    Terbaru, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mendedahkan akan melancarkan aplikasi dalam talian, seperti yang digunakan oleh Uber dan Grab, untuk teksi konvensional sedia ada.

    Lim menjelaskan, kerajaan negeri Melaka sentiasa memastikan agar semua jenis perkhidmatan teksi ini menggunakan meter bagi tambang penumbang. Beliau berkata, SPAD telah menerima 51 aduan daripada penumpang yang dikatakan telah ditipu bila ada teksi tidak menggunakan meter, malah dikenakan tambang yang lebih tinggi.

    “Kami telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak berkuasa termasuk SPAD Melaka. persatuan teksi dan kereta peribadi yang menawarkan perkhidmatan ini di sini dan kini sedang dalam peringkat terakhir untuk menentukan keputusannya,” jelas Lim.

    “Terdapat lebih 1,000 syarikat operasi kereta persendirian (yang dilantik) di negeri ini dan setakat ini tiada aduan tentang tidak menggunakan meter dilaporkan,” ujarnya.

     
     
  • SPIED: Daihatsu Move di Malaysia – adakah ia bakal ditransformasikan sebagai Perodua Kenari baharu?

    Daihatsu-Move-Custom-spyshot-1

    Terlalu lewat untuk buat cerita lawak sempena April Fool, sebab ini adalah kejadian sebenar-benarnya – pembaca Lakhsmant Ian telah mengesan kehadiran Daihatsu Move Custome generasi ke-enam di jalan raya di Malaysia.

    Walau pun mungkin ada yang mengatakan kereta ini dibawa masuk oleh grey importer, namun untuk pengetahuan anda trade plate yang digunakan adalah milik Perodua – di mana ia turut digunakan ketika menguji Daihatsu Ayla, sebelum pelancaran Axia. Jadi, ini mungkin memberikan bayangan bahawa Perodua sedang mempersiapkan model ganti bagi Kenari, yang berdasarkan generasi pertama Move.

    Daihatsu-Move-Custom-spyshot-2

    Move Custom ini dijanakan oleh enjin 658 cc tiga-silinder bagi mengikut peraturan kei car. Ia mampu memberikan kuasa sehingga 52 PS pada 6,800 rpm dan tork 60 Nm pada 5,200 rpm, sementara versi pengecas turbo pada Custom RS boleh menghamburkan kuasa sehingga 64 PS pada 6,400 rpm dan tork 92 Nm pada 5,200 rpm. Semuanya dipadankan dengan transmisi CVT dan boleh didapati sama ada dengan pacuan dua- atau empat-roda.

    Walau bagaimana pun, enjin ini mungkin terlalu kecil dan kurang berkuasa bagi negara kita. Dan dijangka Kenari generasi akan datang dilengkapi dengan enjin 1KR-DE2 yang sama seperti Axia iaitu 1.0 liter tiga-silinder dengan kuasa 66 PS pada 6,000 rpm dan tork 90 Nm pada 3,600 rpm. Transmisi juga sama seperti Axia iaitu manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan.

    GALERI: Daihatsu Move Custom RS di GIIAS 2015

     
     
  • SPAD bakal lancar aplikasi dalam talian untuk teksi

    Malaysia-Taxi-01

    Bagi melaksanakan transformasi terhadap perkhidmatan teksi, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melakukan pelbagai penambahbaikan termasuk memperkenalkan aplikasi seperti yang digunakan oleh Uber dan GrabCar.

    Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata aplikasi itu akan dibangunkan bersama pengendali rangkaian dalam usaha untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada pengguna, laporan Bernama.

    Abdul Aziz juga menolak dakwaan bahawa sistem perkhidmatan teksi negara berada pada tahap rendah, sebaliknya berkata masyarakat memilih perkhidmatan Uber dan GrabCar disebabkan kedua-duanya menggunakan aplikasi yang mudah diakses.

    Isu mengenai Uber dan GrabCar masih berlarutan kerana sehingga kini tiada kata putus daripada pihak kerajaan mengenai perkhidmatan teksi di dalam talian itu. Malah ia didakwa banyak memberikan tekanan terhadap pengusaha dan pemandu teksi di negara khususnya di sekitar ibu kota sehingga memaksa mereka melakukan protes di hadapan kompleks membeli belah Fahrenheit 88 sepanjang Jalan Bukit Bintang pada 29 Mac lalu.

     
     
  • SPYSHOT: BMW 5 Series G30 M Sport tampil rupa lebih garang, serlah rekaan dalaman seakan 7 Series

    2017-G30-BMW-5-Series-M-Sport-4_BM

    Kami memperoleh imej BMW 5 Series G30 2017 yang paling jelas setakat ini, seperti yang terdapat di dalam gambar tersebut, ia dari varian M Sport yang lebih agresif. Juga dapat disaksikan pada gambar kali ini ialah bahagian dalaman 5 Series M Sport generasi berikutnya, di mana hanya butang kawalannya utamanya sahaja yang kelihatan, sementera rekabentuk sebenar kebanyakan komponen masih disembunyikan.

    Pada bahagian hadapan, bentuk sebenar bampar versi M Sport menampilkan rekaan dengan elemen ‘U’ menegak dengan jaring bermotif sarang lebah berbanding model standard yang direka dengan motif garisan melintang. Turut dapat disaksikan ialah gril hadapan ‘kidney‘ aliran udara aktif, bersama lampu hadapan LED dan radar kawalan kelajuan berbentuk bujur diletakkan dibahagian bawah.

    Turut kelihatan ialah angkup brek berprestasi tinggi M Sport berwarna biru di sebalik roda aloi 19-inci M Sport dan juga lampu belakang LED. Dua unit tip ekzos dilihat ditempatkan di bahagian kiri dan kanan bampar belakang dengan perumahnya berada di atas unit diffuser bampar tersebut.

    Sebahagian kabin 5 Series baharu ini dapat dilihat, menampilkan rekaan seiras 7 Series dengan saiz yang lebih kecil. Paparan skrin yang besar, liang-liang penghawa dingin, tuil gear, dan pengawal iDrive juga kelihatan seiras dengan 7 Series (tetapi dengan butang plastik berbanding butang aloi pada 7 Series). Roda stereng M Sport baharu tersebut menampilkan rekaan jejari yang lebih tebal.

    Seperti model 5 Series F10 sedia ada, G30 tampil dengan instrumentasi Panel LCD Hitam dengan gegelang meter fizikal. Walau bagaimanapun ini mungkin tidak akan diadaptasikan pada kesemua barisan varian G30 kerana BMW kebiasaannya mempunyai dua atau lebih variasi paparan instrumen, berdasarkan tahap spesifikasi.

     
     
  • Mazda CX-3 kini ditawarkan dengan Ceramic Metallic, Dynamic Blue Mica di M’sia – unit terhad, harga sama

    cx-3_design_color_img8.ts_.1510010605590570-e1459769064953

    Nampak gayanya bulan ini Mazda cukup aktif memperkenalkan warna baharu bagi modelnya di Malaysia slepas mendedagkan warna baharu bagi Mazda 2, malah Mazda Sungai Besi telah memuat entri di laman Facebook bahawa Mazda CX-3 juga menerima beberapa warna baharu. Dan berita ini telah disahkan oleh Bermaz sendiri.

    Warna baharu yang ditawarkan ini ialah Ceramic Metallic iaitu putih terang dan juga Dynamic Blue Mica, biru yang penuh menawan, menyertai pilihan warna sedia ada termasuk Soul Red Metallic, Crystal White Pearl Mica, Jet Black Mica, Meteor Grey Mica dan Deep Crystal Blue Mica. Dengan itu, semua warna yang ada makin lengkap seperti mana pasaran lain, cuma warna Titanium Flash Mica belum masuk senarai.

    Apa pun, seperti Mazda 2, warna baharu bagi CX-3 ini hanya boleh didapati dalam unit yang terhad, kerana Bermaz masih menguji permintaan pasaran iaitu mengikut cita rasa rakyat Malaysia. Jika ia mempunyai permintaan yang tinggi, Bermaz akan membawakan lebih banyak stok untuk warna tersebut.

    Walau bagaimana pun, semua spesifikasi dan elemen masih kekal tidak berubah. Bagi CX-3 2.0L SkyActiv-G, ia masih dilengkapi dengan lampu utama LED adaptif larasan-sendiri, lampu kabus LED, lampu belakang LED dan rim aloi dua-tona 18-inci.

    cx-3_design_color_img.ts_.1510010605586500-e1459769112226

    Selain itu, ia tetap menampilkan kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, enjin automatik ‘start-stop’, i-stop, bilah pengilap cermin auto, bumbung matahari, sistem hiburan MZD Connect dengan skrin sesentuh 7.0-inci, kamera undur, pedal penukar gear dan suis pemilihan pemanduan dengan mod Sport. Kit keselamatan termasuk enam beg udara, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), kawalan cengkaman dan ABS dengan EBD dan bantuan brek.

    Ia dijanakan dengan enjin petrol 2.0 liter SkyAvtic-G dengan output sehingga 154 hp pada 6,000 rpm dan tork 204 Nm pada 2,800 rpm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan.

    Harga tidak berubah untuk dua warna ini, masih kekal RM131,218 (atas jalan tanpa insurans). Termasuk dengan waranti tiga tahun dengan tanpa had perbatuan serta pakej servis percuma tiga tahun/60,000 km. Mahu tahu bagaimana prestasi Mazda CX-3 inI? Baca ulasan penuh di sini.

    GALERI: Mazda CX-3 dengan warna Soul Red Metallic

    GALERI: Mazda CX-3 dengan warna Crystal White Pearl Mica

    GALERI: Mazda CX-3 dengan warna Jet Black Mica

    GALERI: Mazda CX-3 dengan warna Meteor Grey Mica

    GALERI: Mazda CX-3 dengan warna Deep Crystal Blue Mica

     
     
  • Renault pembekal rasmi enjin untuk Kejohanan FIA Formula 4 Asia Tenggara yang akan bermula Ogos ini.

    f4-sea-championship-2_BM

    Renault telah dipilih sebagai pembekal enjin eksklusif untuk Kejohanan FIA Formula 4 Asia Tenggara (F4SEA) yang bakal bermula Ogos depan. Triple A, pihak yang bertanggungjawab mempromosikan kejohanan tersebut mengumumkan Renault Sport Racing F4R telah dipilih sebagai enjin rasmi yang bakal dilengkapkan pada semua jentera yang bakal bertanding.

    Pusingan pertama Kejohanan F4SEA ini akan berlangsung pada 6-7 Ogos di Litar Antarabangsa Sepang, dengan jentera baharu yang direka khas berdasarkan undang-undang FIA dikuasakan dengan enjin baharu F4R ini. Enjin tanpa induksi paksaan tersebut direka berdasarkan enjin produksi 2.0 liter F4R, dengan kuasa yang dihadkan pada tahap 160 hp.

    Enjin yang ringan tersebut telah pun diadaptasikan kepada spesifikasi teknikal siri kejohanan ini dengan menyasarkan penghasilan kuasa yang boleh diharap, stabil dan mudah diselanggara dalam suhu dan cuaca yang panas di Asia Tenggara.

    f4-sea-championship-3_BM

    Enjin tersebut juga telah menjalani ujian sejauh 3,000 km di litar Val de Vienne dan Magny-Cours dan juga ujian ketahanan makmal sejauh 8,000 km. Pihak Triple A juga mengatakan enjin tersebut turut telah diuji dalam cuaca panas di Sepang.

    Pasukan perlumbaan dari Malaysia, Meritus.GP pula diberikan hak ekslusif sebagai penyedia servis kejuruteraan perlumbaan kejohanan tersebut. Musim F4SEA 2016 akan menampilkan enam pusingan dengan tiga perlumbaan setiap pusingan – empat dari pusingan tersebut akan berlangsung di Malaysia.

     
     
  • Kia dan Total baharui kerjasama untuk lima tahun lagi

    Kia-Total-Partnership

    Kia Motors Corporation dan Total Lubrifiants SA telah memperbaharui perjanjian kerjasama strategik, dan syarikat Perancis terbabit mahu kekal sebagai pembekal minyak pelincir untuk Kia bagi lima tahun lagi. Kerjasama pertama antara dua jenama ini bermula tahun 2011 yang lalu.

    Minyak pelincir Total kini akan menjadi lebih eksklusif disarankan untuk semua pelanggan Kia di semua rangkaian pusat servis Kia yang telah menjangkau sebanyak 5,500 pengedar di 180 buah negara. Walau bagaimana pun, kami difahamkan pusat servis rasmi Kia di Malaysia turut menawarkan minyak enjin Petronas Syntium.

    “Kami berbesar hati meneruskan kerjasama dengan Kia. Kerjasama yang diperbaharui ini mengesahkan komitmen padu dengan Kia bagi usaha memperluaskan rangkaian di peringkat global. Dalam masa yang sama memberikan sokongan terhadap program selepas jualan bagi pengedar dan pelanggan Kia,” ujar Pierre Duhot, Pengarah Urusan divisi automatik di Total.

    “Selepas lima tahun ini, Total dilihat telah mempunyai liputan rangkaian yang kukuh di peringkat global, di samping memiliki teknologi minyak pelincir berkualiti tinggi dan sesuai dengan rangkaian servis kami. Malah Total akan menjadi rakan kongsi utama bagi kami strategi selepas jualan bagi meningkatkan kepuasan buat pelanggan dan pengedar Kia,” jelas Steven Yoon, naib presiden divisi servis di Kia.

     
     
  • Mazda 2 kini hadir dengan empat warna tambahan


    Smokey Rose (kiri) dan Dynamic Blue (kanan)

    Mazda 2 2016 baru sahaja diperkenalkan di Malaysia di mana kereta segmen-B tersebut (hadir dalam versi sedan hatchback) dilengkapi dengan lampu hadapan LED dan juga lampu nyalaan siang LED baharu. Sebelum ini warna yang ditawarkan hanyalah empat, tetapi kini telah ditambah lagi empat dengan jumlah keseluruhan opsyen warna sekarang adalah lapan.

    Empat warna tambahan tersebut ialah Smokey Rose, Deep Crystal Blue, Dynamic Blue dan Black Mica menyertai Snowflake White Pearl, Aluminium Metallic, Metropolitan Grey dan warna signatur jenama itu, Soul Red di dalam senarai warna pilihan Mazda 2.

    Sebahagian warna pilihan baharu ini telah pun mempunyai stok tetapi dalam jumlah yang terhad dan selebihnya akan hadir dalam masa yang terdekat. Tiada harga tambahan untuk kesemua pilihan warna ini di mana Mazda 2 kini dijual pada harga RM90,766.30 (atas jalan tanpa insuran), kecuali untuk warna Soul Red yang memerlukan pembeli membayar lebih RM530 untuk warna tersebut.

    Selain dari pilihan warna baharu, tiada perubahan lain ditampilkan Mazda 2 ini. Ia masih dikuasakan dengan enjin 1.5 liter SkyActiv-G empat-silinder pancitan bahan api terus dengan sistem I-Stop, menghasilkan 114 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 148 Nm pada takat 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv- Drive memacu roda hadapan.


    Black Mica (kiri) dan Deep Crystal Blue (kanan)

    Bahagian dalaman masih lagi dibekalkan dengan tempat duduk kulit larasan manual, penghawa dingin zon tunggal automatik, penukar gear, dan paparan head-up. Sistem MZD Connect menampilkan paparan skrin sesentuh tujuh-inci dihubungkan dengan suis kawalan Commander Control dan enam unit pembesar suara didatangkan standard sebagai sistem infotainmen Mazda 2. Sistem tersebut juga boleh ditingkat taraf dengan fungsi navigasi sebagai opsyen dengan bayaran RM1,270.

    Imej yang disiarkan ini hanyalah untuk tujuan illustrasi sahaja, oleh itu abaikan plat nama Demio berkenaan dan juga ‘misai’ tanpa warna badan pada gril hadapan tersebut (model pasaran Malaysia dilengkapi dengan ‘misai’ yang dicat dengan warna badan). Kami akan cuba untuk mendapatkan gambar sebenar empat model dengan warna baharu ini pada masa akan datang.

     
     
  • Penutupan hentian sebelah Plaza Tol Sentul Pasar bagi pembinaan DUKE Fasa 2 selama 7 bulan mulai 11 Apr

    DUKE-Highway-02

    Pemegang konsesi bagi Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (KESTURI) telah mengeluarkan kenyataan hari ini berhubung makluman kepada orang ramai tentang penutupan hentian sebelah Plaza Tol Sentul Pasar.

    Menurut Zakaria Shaffie, Pengarah DUKE, penutupan hentian sebelah ini adalah untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan DUKE Fasa 2 bermula 11 April ini hingga 30 November 2016.

    Penutupan hentian sebelah ini melibatkan kemudahan awam termasuk surau lelaki dan wanita, tandas lelaki dan wanita serta tempat letak kereta.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025