Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • IIMS 2016: Honda Brio Satya facelift, tampil varian RS

    Honda_Brio-2_BM

    Lagi berita langsung dari Indonesia International Motor Show (IIMS) 2016, Honda Indonesia telah melancarkan Honda Brio Satya facelift ketika acara tersebut sedang berlangsung. Ia tidaklah begitu memeranjatkan kerana untuk pasaran India, Honda Amaze (nama Satya di India) versi facelift telah pun dilancarkan di sana awal bulan ini.

    Hatchback kecil lima-pintu ini diberikan muka yang lebih comel dari sebelum ini dengan rekaan baharu pada bampar dan gril hadapan. Bahagian belakang Brio ini masih kelihatan sama kecuali rekaan baharu yang di buat pada lampu belakang. Brio juga kini dilengkapi dengan roda aloi 14-inci baharu, manakala untuk varian RS yang hanya diperkenalkan bermula versi facelift ini, ia turut dilengkapi dengan skirt sisi, lampu hadapan projektor dengan lampu nyalaan siang LED, cermin sisi boleh-lipat berkuasa dengan lampu isyarat membelok LED, kemasan kaca bahagian belakang dan juga lencana RS, selain dari roda aloi bersaiz 15-inci.

    Beralih ke bahagian dalaman, Brio menerima rupa kabin baharu sepenuhnya. Papan pemuka kelihatan lebih segar dengan rekaan seiras Honda Jazz, yang menampilkan rupa yang lebih kontemporari dan premium. Turut kelihatan panel kawalan penghawa dingin digital diletakkan ditempat sepatutnya dan juga butang mod ECON.

    Honda_Brio-23_BM

    Varian E dan S dilengkapi dengan pemain audio utama 2-DIN, manakala untuk varian RS ia diganti dengan skrin sesentuh bersaiz 6.2 inci. Kesemua varian kecuali varian asas S menerima butang kawalan audio di jejari sebelah kanan roda stereng. Satya E dan S dilengkapi dengan kemasan dalaman kabin berwarna hitam dengan tempat duduk berwarna beige. Sementara untuk varian RS, ia hadir dengan kabin berwarna hitam sepenuhnya dengan sulaman benang oren, serta warna badan eksklusif Passion Red Pearl yang kelihatan hampir seperti oren.

    Prestasi kereta kecil ini turut diberi nafas baharu. Enjin 1.2 liter empat silinder SOHC i-VTEC masih lagi kekal, tetapi kuasanya telah dipertingkat – daripada 88 PS/ 109 Nm pada model terdahulu, meningkat kepada 90 PS/ 110 Nm pada versi baharu ini. Enjin yang diberi penarafan Euro 4 tersebut dipadankan dengan pilihan transmisi sama ada CVT automatik Earth Dream Technology baharu ataupun kotak gear lima-kelajuan manual. Brio diklasifikasikan sebagai “Mobil Hijau Murah” (LCGC) di Indonesia.

    Honda Brio facelift dijual pada harga bermula Rp. 129.6 juta (RM38,397) untuk Satya manual hingga Rp. 174.7 juta (RM51,733) untuk varian RS CVT. Pilihan aksesori dari Modulo juga disediakan yang terdiri daripada visor pintu, kemasan tip ekzos, kemasan krom pada pembuka pintu, kemasan menyala pada side-step serta kemasan krom pada cermin sisi.

    GALERI: Honda Brio facelift di IIMS 2016

    GALERI: Honda Brio RS di IIMS 2016

     
     
  • Perodua mula eksport Myvi dan Alza ke Brunei

    AAJ_8978 (v2)

    Sebagai langkah untuk mengembangkan lagi rangkaian eksportnya, Perodua mengeksport sejumlah 310 unit model Myvi 1.5E dan Alza 1.5SE ke Brunei pada tahun ini.

    “Ini merupakan langkah yang besar untuk Perodua memperkukuhkan lagi jenama di rantau ini sekali gus menjadi pemain industri pasaran auto di peringkat Asia pada tahun akan datang,” ujar CEO dan Presiden Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    Sambungnya lagi, “Kami percaya dengan adanya permintaan di sana bagi model-model ini sekali gus membuktikan penerimaan terhadap kenderaan kompak semakin berkembang.”

    “Myvi 1.5E dan Alza 1.5SE melakukan penampilan perdana di Brunei Motoring BM iaitu pertunjukan automotif di negara tersebut yang berlangsung hari ini. Malah harganya juga akan didedahkan tidak lama lagi,” ujar Pengarah Urusan GHK Motors Sdn Bhd Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin. GHK Motors adalah salah satu pengedar rasmi Perodua di Brunei.

    Kedua-dua model ini telah pun dilancarkan oleh Menteri Komunikasi Brunei, Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat, Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh, Datuk (Dr) Aminar dan Kurinami Takamasa selaku Pengarah Eksekutif Perodua.

    Brunei yang mempunyai populasi seramai 417,784 penduduk menurut Bank Dunia dengan jumlah keseluruhan industri bagi kenderaan pada tahun 2015 ialah 14,243 unit.

    Buat masa ini, Perodua telah mengeksport model kenderaannya di lima buah negara iaitu Singapura, Mauritius, Brunei, Sri Lanka dan Fiji. Malah Perodua turut mengeksport Myvi ke Indonesia tetapi sebagai Daihatsu Sirion (dengan logo Daihatsu).

     
     
  • Teksi akan pupus sekiranya aplikasi perkongsian kenderaan atas talian tidak diharamkan – PERS1M

    Malaysia-Taxi-02

    Naib pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) Kamarudin Mohd Hussain memberi amaran teksi akan pupus sekiranya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak menyelesaikan masalah berkenaan aplikasi perkongsian kenderaan seperti Uber dan GrabCar secepat mungkin, lapor The Sun Daily.

    Beliau memberi amaran tersebut berikutan jumlah pemandu teksi meninggalkan industri tersebut yang semakin meningkat kerana sumber pendapatan mereka berkurangan. “Saya telah diberitahu semasa perbincangan tertutup dengan syarikat-syarikat teksi yang mendakwa mempunyai beberapa unit teksi yang tidak lagi digunakan kerana pemandu mereka meninggalkan industri ini. Jika ini beterusan, perkhidmatan teksi akan mati tidak lama lagi,” kata Kamarudin.

    Dengan itu, Kamarudin menggesa agar aplikasi terbabit diharamkan sepenuhnya kerana situasi ini. Beliau juga menyatakan adalah tidak adil kerana lesen pemandu teksi boleh digantung sekiranya mereka melanggar undang-undang yang terkandung dalam Akta Pengangkutan Jalan, manakala pemandu Uber dan GrabCar tidak akan dikenakan dengan apa-apa tindakan sekiranya membuat kesalahan yang sama.

    Taxi Drivers Protest Against GrabCar 6

    Kamarudin turut mengeluh berkenaan pengeluaran lesen teksi baharu yang dihentikan untuk mengelakkan ia menjadi terlalu banyak seperti yang dinyatakan oleh pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar pada tahun 2013. “Jika Uber dan GrabCar diberikan lesen, apa yang akan terjadi?” soal Kamarudin.

    Sementara itu presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyatakan kegagalan SPAD membuat keputusan telah membawa ketidakselesaan terhadap pemandu-pemandu teksi. “Isu Uber dan GrabCar ini sudah berlanjutan lebih dari setahun, dan kami telah menerima banyak aduan dari pemandu teksi yang mana punca pendapatan mereka telah berkurangan,” kata beliau.

    Berdasarkan situasi ini, beliau menekankan ketika NGO tersebut berhadapan dengan masalah ini, presiden akan menggesa pihak SPAD untuk mengambil tindakan segera seperti memperkenalkan undang-undang yang komprehensif. Beliau juga menekankan pemandu Uber dan GrabCar tidak perlu untuk melalui proses mendapatkan pengesahan dan lesen yang sukar, dan ini amat tidak adil kepada pemandu teksi.

    KL06_181115_PEMANDU_TEKSI

    “Adakah pemandu Uber dan GrabCar mempunyai lesen? Adakah mereka cukup sihat untuk memandu? Adakah mereka mempunyai rekod jenayah? Kita tidak tahu kerana ini tidak termasuk dalam syarat kelayakan,” kata beliau. Beliau mendakwa ini adalah risiko yang merbahaya untuk pengguna jika mereka terlibat dalam kemalangan dan kebertanggungjawaban pemandunya tidak sebaik pemandu teksi.

    Presiden PPIM itu juga mengakui, pengguna sentiasa mencari harga yang termurah dan sebab itulah pemandu teksi bermasalah dengan fakta tersebut. Beliau mencadangkan agar pemandu Uber dan GrabCar membentuk satu syarikat di mana mereka akan mempunyai syer yang sama untuk beroperasi secara sah.

    Beliau juga turut berkata ini hanya sebahagian kecil impak dari apa yang akan melanda setelah Perjanjian Kerjasama Trans-Pacific (TPPA) dilaksanakan sepenuhnya menyaksikan syarikat-syarikat besar akan menghapuskan pesaing-pesaing tempatan.

     
     
  • IIMS 2016: Toyota Sienta dilancarkan di Indonesia

    IIMS-Toyota-Sienta-5_BM

    MPV Toyota serba baharu yang kemunculannya di Asia Tenggara amat dinantikan – Toyota Sienta baru sahaja dilancarkan di Indonesia sebentar tadi. Pelancaran tersebut diadakan di Jakarta International Expo (JIExpo) Kemayoran sempena Indonesia International Motor Show (IIMS) 2016 yang sedang berlangsung sekarang.

    Diproduksi di kilang baharu PT Toyota Manufucturing Indonesia yang terletak di Karawang, Jawa Barat, ia akan dieksport ke pasaran ASEAN, bermaksud ia turut akan mendarat ke pasaran Malaysia kelak. Dengan ukuran 4,235 mm panjang, 1,695 mm lebar dan 1,675 mm tinggi, ia adalah 5 mm lebih panjang dan 55 mm lebih tinggi dari Perodua Alza. Walaupun dengan dimensi yang hampir sama, ketinggian Sienta mungkin faktor utama menampakkannya lebih besar dari Alza. Sienta juga diukur 20 mm lebih panjang tetapi 40 mm lebih rendah berbanding pesaingnya dari Jepun – Honda Freed.

    Apa yang menarik, rekaan yang agak ‘funky‘ dikekalkan untuk pasaran rantau ini seiras dengan rekaan yang dijual di Jepun. Lampu hadapannya direka seperti ‘disikat’ kebelakang, berhubung dengan gril hadapan yang besar menerusi kemasan berbentuk-J yang turut menempatkan perumah lampu kabus.

    Toyota_Sienta-14_BM

    Beralih ke bahagian sisi, pintu belakang MPV ini direka dengan bentuk-lengkok di bahagian belakang, memberikan rupa seperti pintu bukaan biasa, tetapi sebenarnya ia adalah pintu jenis ‘sliding’ (seperti pintu van). Rekaan tersebut juga menjadikan jarak landasan pintu belakang menjadi lebih pendek dan kelihatan seperti garisan kemasan, dibantu dengan rekaan kemasan berbentuk-U yang terletak pada bahagian bawah pintu tersebut. Lampu LED belakang turut dihubungkan pada kemasan landasan pintu dan bampar berbentuk-U seiring dengan rekaan di bahagian hadapan.

    Begitu juga pada bahagian dalaman, motif rekaan beralun turut mendominasi bahagian kabin. Papan pemuka direka dengan rekaan dua-tingkat. Bahagian tingkat atas diletakkan dengan corong pendingin hawa, unit utama pemain audio 2-DIN, dan juga paparan instrumen seperti rekaan pada Peugeot 208. Manakala untuk bahagian tingkat bawah pula diletakkan suis kawalan penghawa dingin dan tuil penukar gear yang kelihatan seperti rekaan pada Perodua Alza. Walau bagaimanapun, tempat duduk untuk model pasaran ASEAN ini nampaknya berbeza daripada tempat duduk Sienta pasaran Jepun.

    Varian Sienta pasaran Indonesia dibahagikan kepada empat iaitu E, G, V dan Q. Kesemua varian ini dikuasaan dengan enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i yang sama seperti yang terdapat pada Toyota Avanza facelift, menghasilkan kuasa 107 PS dan tork 143 Nm. Ini berbeza daripada model pasaran Jepun yang dibekalkan dengan pilihan sama ada enjin 2NR-FKE 1.5 liter VVT-iE (abjad ‘K’ pada kod enjin bermaksud ia menggunakan teknologi kitaran Atkinson) berkuasa 109 hp/ 136 Nm, ataupun jana kuasa hibrid menggunakan enjin 1NZ-FXE 1.5 liter berkuasa 74 hp/111 Nm.

    Toyota_Sienta-27_BM

    Kuasa dari enjin akan dipacu roda hadapan menerusi pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau transmisi CVT automatik dengan mod tujuh-kelajuan. Model asas E hanya hadir dengan transmisi manual, manakala varian tertinggi Q hanya hadir dengan transmisi CVT.

    Varian asas E dilengkapi dengan lampu hadapan projektor halogen, roda besi 15-inci dengan penutup plastik, pintu sliding manual, penghawa dingin manual, unit pemain audio utama 2-DIN dengan sambungan USB, AUX, CD/MP3, dan juga kemasan dalaman berwarna putih dan beige sebagai ciri standard.

    Sienta G pula ditambah dengan lampu kabus, roda aloi, pintu sliding sebelah kiri elektrik, penderia parkir, sistem immobilser dan juga sistem infotaimen dilengkapi paparan skrin sesentuh 5.6-inci dengan sambungan Bluetooth, Miracast dan juga fungsi Air Gesture.

    Untuk varian V pula, ia dilengkapi dengan roda aloi 16-inci, penghawa dingin digital dengan penghembus udara berasingan untuk bahagian belakang (ciri ini tidak terdapat pada model JDM), sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, dan juga pintu sliding berkuasa elektrik untuk kedua-dua belah. Varian tertinggi Q dengan harga yang paling mahal pula dilengkapi lampu hadapan LED dengan fungsi larasan-sendiri, paparan pelbagai info TFT LCD bersaiz 4.2-inci dan juga tempat duduk berwarna perang gelap.

    Untuk aspek keselamatan pula, kesemua varian dilengkapi dengan dua beg udara, ABS dengan EBD serta bantuan brek secara standard. Tidak seperti versi JDM, model pasaran Indonesia tidak dilengkapi dengan sistem kawalan stabiliti kenderaan (VSC) dan bantuan mula mendaki (HSA), serta pilihan beg udara sisi dan langsir tambahan. Ia juga tidak dilengkapi dengan pilihan sistem bantuan pemanduan Safety Sense C yang mempunyai ciri brek dengan Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), amaran keluar laluan (LDA), dan juga lampu tinggi automatik (AHB).

    GALERI: Toyota Seinta di IIMS 2016

     
     
  • Harga kenderaan dijangka turun pada 2018 – Azalina

    JB09_010815_AZALINA

    Harga kenderaan dijangka akan turun sebanyak 30% menjelang 2018, ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Kata Azalina, penurunan harga kenderaan ini adalah secara berperingkat-peringkat iaitu dari 20%, laporan News Strait Times.

    “Terdapat pelbagai langkah yang dilakukan termasuk memberikan geran insentif bagi mengurangkan jumlah duti eksais kepada syarikat pengeluar kenderaan dan juga termasuk nilai-tambah bagi komponen automotif tempatan.

    “Insentif ini dilihat dapat memberikan kesan terhadap pengurangan harga jualan yang pernah direkodkan pada tahun 2013 iaitu sebanyak 3%, diikuti dengan 7% pada 2014 dan 2.7% pada 2015,” ujarnya.

    toll booth

    Berkenaan dengan kadar tol pula, Azalina memberitahu sejak tahun 2008, kerajaan telah berunding dengan syarikat konsesi lebuhraya untuk mengurangkan beban kadar tol yang ditanggung oleh pengguna. “Rundingan ini adalah bagi mencari mekanisme terbaik bagi mengurangkan kadar tol dengan situasi ‘menang-menang’ untuk semua pihak yang terlibat, termasuk kerajaan, konsesi, pelabur dan pengguna,” jelasnya.

    Katanya lagi, “Hasil rundingan tersebut, keputusan untuk menaikkan kadar tol lebuhraya ditangguhkan sejak lapan tahun yang lalu, dari 2008 hingga 14 Oktober 2015.”

    Ini turut melibatkan keputusan lain termasuklah menghapuskan kutipan tol dan penutupan lapan plaza tol di enam buah lebuhraya, mengurangkan kadar tol yang melibatkan tiga konsesi lebuhraya, menstruktur semula kadar tol di lebuhraya dan menyemak semula klausa dalam perjanjian konsesi, termasuk klausa semakan mekanisma tol.

    Kenyataan ini adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang bertanya janji kerajaan dalam Pilihanraya lalu untuk mengurangkan harga kereta dan mengurangkan kadar bayaran tol.

     
     
  • Proton dijangka kembali untung dan berupaya meningkatkan jualan dengan kerjasama Suzuki – MAA

    GST Aishah

    Walau pun dilihat daripada segi jualan yang kian merosot sebagai antara penyebab Proton dilanda kemelut, namun Persatuan Automotif Malaysia (MAA) masih optimis dan mengatakan syarikat pengeluar kereta nasional ini mampu bangkit tidak lama lagi.

    “Apatah lagi selepas kerjasama dengan pengeluar kereta Jepun, Suzuki Motor Corp, yang dilihat mampu membantu meningkatkan jualan Proton,” ujar presiden MAA Datuk Aishah Ahmad.

    Beliau berkata MAA mahu melihat Proton meneruskan kelangsungannya dan berjaya, laporan Bernama.

    Katanya lagi, keupayaan Proton untuk melakar semula kejayaan juga adalah baik untuk sektor automotif tempatan.

    Aishah percaya jualan Proton akan meningkat dan mengembalikan jumlah vendor bagi kereta nasional itu sebaik ia mengambilkira isu mengenai mendapatkan produk yang sesuai melalui kerjasamanya dengan Suzuki.

    Dalam masa yang sama, Aishah turut memberikan kenyataan mengenai jualan kenderaan pada tahun lalu. Katanya, sehingga Februari 2016, jumlah kenderaan yang dijual adalah sebanyak 82,465 unit berbanding 100,992 unit pada Februari 2015.

    “Jumlah jualan yang rendah itu disebabkan terutamanya oleh keyakinan pengguna yang masih rendah berikutan ekonomi yang tidak menentu dan ringgit lemah,” katanya.

    Katanya ia turut disebabkan kesukaran untuk mendapat pembiayaan bagi pembelian kereta baharu berikutan keengganan bank untuk memberi pinjaman kepada pembeli kereta.

     
     
  • Kerajaan negeri Perak cadang tambah lagi pembinaan litar lumba selepas litar Formula 2 Simpang Pulai siap

    Tambah Litar Lumba Sekitar PerakSaya melihat apabila saya membuat ucapan tahniah kepada adik Khairul Idham Pawi dalam fb saya, saya dapati begitu banyak respon yang baik dari peminat bidang permotoron Berdasarkan maklumat dalam facebook ini, saya dapati ramai anak-anak muda yang meminta litar-litar lumba di kawasan masing-masing.Saya sudah meminta exco yang berkenaan Shahrul Yahya untuk mengenalpasti lokasi-lokasi lain yang boleh kita bina litar seperti ini.Kita juga dalam usaha membangunkan projek Litar Lumba di Spg. Pulai, yang melibatkan sukan F2 yang mungkin boleh digunakan sebagai tambahan untuk litar-litar yang akan kita bina di tempat-tempat lain sekitar negeri Perak.

    Posted by Zambry Abd. Kadir on Wednesday, April 6, 2016

    Bercakap menerusi sidang medianya baru-baru ini, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak, mengesahkan yang kerajaan negeri tersebut akan membina lebih banyak litar selepas Litar Formula 2 Simpang Pulai siap dibina kelak. Pengumuman ini adalah respon beliau dari suara-suara peminat sukan bermotor di negeri terbabit setelah mengucapkan tahniah di laman Facebooknya keatas kejayaan anak jati Perak, Khairul Idham Pawi menjuarai perlumbaan Moto3 di Argentina baru-baru ini.

    “Kejayaan Khairul Idham Pawi sebelum ini pada perlumbaan Moto3 di Argentina telah membuatkan rakyat Malaysia bangga. Kami bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan tahniah atas kejayaan beliau. Beliau boleh menjadi contoh yang baik bagi mereka yang berminat dalam sukan permotoran, sekiranya dijaga dan didik. Beliau boleh menjadi idola kepada semua rakyat Malaysia yang berminat dalam sukan permotoran ini.” Kata Zambry

    Menteri Besar Perak itu juga turut berkata semasa mengucapkan tahniah kepada Khairul dalam laman Facebook peribadinya, beliau dihujani dengan pelbagai komen positif dari peminat sukan permotoran, dan meminta lebih banyak litar dibina berdekatan dengan tempat mereka. “Perkara ini akan kami perincikan, dan saya telah bercakap dengan exco negeri, Datuk Shahrul, untuk mencari lebih banyak lagi lokasi untuk membina litar sedemikian untuk mereka,” tambah beliau.

    “Saya juga telah menyatakan sebelum ini yang kami sedang membina litar di Simpang Pulai untuk siri kejuaraan F2 (Formula 2). Mungkin litar tersebut juga boleh digunakan untuk orang ramai sebagai tambahan pada litar lain yang akan dibina di Perak kelak, dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan masalah lumba haram,” simpul beliau.

    Perak setakat ini terkenal dengan Litar Pulau Dato’ Sagor yang terletak di Kg. Gajah. Litar sepanjang 1.32 km itu menjadi pusat pembangunan sukan bermotor peringkat akar umbi dan turut menjadi pentas awal Khairul Idham Pawi untuk mengasah bakat sebelum digilap ke peringkat yang lebih tinggi.

     
     
  • Setuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan untuk kurangkan kadar saman trafik – PDRM

    PDRM-2

    Pihak polis telah menyatakan sepenuhnya sokongan terhadap cadangan Kementerian Pengangkutan untuk mengurangkan kadar saman trafik dari RM300 ke RM150. Walau bagaimana pun, bagi kesalahan trafik yang serius, kadar samannya harus dikekalkan.

    Menurut Ketua Trafik Pasukan, Jabatan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Asisten Komisioner Mahamad Akhir Darus, “sebagai contoh jika ia melibatkan kesalahan trafik yang serius termasuk memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah dan memotong barisan, kadar saman harus dikekalkan.”

    Beliau menambah, pihak polis telah mengemukakan cadangan untuk mengurangkan kadar saman bagi kesalahan trafik ringan seperti kesalahan parkir sejak tahun 2011, di mana kadar yang ditetapkan ialah RM100, laporan The Star.

    “Walau bagaiamana pun, kadar saman bagi kesalahan serius iaitu sebanyak RM300, terutamanya bagi yang menyebabkan kemalangan, harus dikekalkan,” ujarnya. Pesalah trafik perlu membayar saman mereka dalam tempoh kurang dari dua minggu dan jika melebihi had masa tersebut, jumlah saman akan dinaikkan.

    SAC Mahamad Akhir juga mengatakan sokongannya untuk menyeragamkan kadar saman trafik polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Sebagai contoh, buat masa ini, menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu/menunggang akan dikenakan saman sebanyak RM150 oleh polis, dan RM300 oleh JPJ.

    Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata cadangan untuk mengurangkan kadar saman akan dibentangkan ke kabinet selain pindaan bagi Akta Pengangkutan Jalan 1987 dilaksanakan.

     
     
  • Kadar adaptasi sistem brek ABS dan ESP pada model CKD, Malaysia jauh di belakang Thailand dan China

    bosch-abs-esp-slide-2_BM

    Pada persidangan teknikal yang dianjurkan oleh Institut Automotif Malaysia (MAI) semalam, Bosch mendedahkan statistik yang agak mengejutkan berkenaan kadar adaptasi sistem brek anti-kunci (ABS) dan Program Stabiliti Elektronik (ESP) untuk kereta-kereta yang dipasang di Malaysia pada tahun 2015.

    Berdasarkan data yang ditunjukkan, hanya 36% kereta penumpang pemasangan CKD dan kenderaan komersial ringan yang dipasang di Malaysia tahun lalu dilengkapi dengan sistem ABS. Ini menjadikan Malaysia lebih rendah daripada Indonesia, di mana kadar adaptasi mereka adalah pada 37%. Tangga seterusnya adalah Thailand pada paras 40%, manakala China lebih jauh di hadapan dengan 87% kenderaan yang dipasang di sana dilengkapi dengan sistem asas ABS.

    Ini agak membimbangkan kerana Malaysia juga antara yang terendah mengadapatasikan sistem ESP. Pada tahun 2015, hanya 11% kereta penumpang dan kenderaan komersial ringan pemasangan tempatan dilengkapi dengan sistem yang dapat mengelakkan kemalangan tersebut. Kadar adaptasi sistem ESP di Indonesia dicatatkan pada kadar hanya 4%, sementara di Thailand dan China mencatatkan paras yang lebih tinggi iaitu 31% dan 41%. Secara global, kadar adaptasi sistem ABS dicatatkan pada 89% manakala untuk sistem ESP pula 64%,

    Dengan undang-undang kerajaan yang agak minimal, isu kenderaan yang tidak dilengkapi dengan sistem keselamatan yang mencukupi ini adalah kerana pengeluar terpaksa ‘mengorbankan’ ciri tersebut untuk menjadikan harga kereta lebih murah. Di Malaysia, contohnya, kereta paling murah yang boleh dibeli adalah Perodua Axia. Pada tahun 2015, model asas Axia E (RM24k) dan G (RM31k) tidak dilengkapi dengan sistem ABS. Tanpa sistem ESP, varian G Perodua Axia telah ditingkat taraf dengan pemasangan sistem ABS pada tahun 2016.

    Kes yang sama pada pengeluar automotif nasional negara, Proton. Proton Saga, kereta paling murah dalam barisan model mereka, juga tidak dilengkapi dengan sistem ABS dan ESP. Juga, tiada model Perodua yang dilengkapi dengan ESP, mujur Proton tidak ketinggalan dalam mengadaptasikan sistem tersebut. Model terbaharu Proton, iaitu Iriz, telah dilengkapi dengan sistem ABS dan ESP secara standard walaupun pada varian asas (1.3 Standard Manual – RM39k).

     
     
  • Beli kereta bukan kerana sikap patriotisme – Salleh

    Mohd-Salleh-Keruak

    Isu kemelut Proton masih belum reda dah kurang tahap kepanasannya. Bagai lebih panas dan hangat membara berbanding suhu panas yang sedang melanda negara kita. Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Mustapa Mohamed dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan telah memberikan pendapat masing-masing mengenai isu ini.

    Kemudian Tun Dr Mahathir Mohamed yang telah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Proton tampil menjelaskan sebab-sebab perundurannya dalam syarikat pembuat kereta nasional itu, selepas presiden Persatuan Pengedar Proton Edar (PEDA) Armin Baniaz Pahamin meminta masyarakat supaya tidak menyalahkan bekas Perdana Menteri itu.

    Terbaru, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak juga tidak ketinggalan dalam memberikan pendapatnya mengenai isu kemelut Proton yang sedang hangat diperkatakan.

    Katanya, Proton sedang berhadapan dengan situasi “pembeli sukarela, penjual sukarela” dan tiada kena mengena dengan kurangnya semangat kenegaraan dan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

    “Jika terdapat permintaan dengan itu anda wujudkan bekalan, tetapi anda tidak dapat wujudkan permintaan dengan meminta rakyat Malaysia untuk membeli produk anda hanya kerana mereka ialah rakyat Malaysia dan Proton juga syarikat Malaysia,” katanya menerusi catatan terbaru dalam blog beliau pada Rabu.

    Berikut merupakan kenyataan daripada blognya:

    Pembeli Proton sukarela, penjual sukarela.

    Tun Dr Mahathir Mohamad mahukan rakyat Malaysia membantu Proton sebagai khidmat negara atau sebagai tanda patriotisme.

    Secara peribadi saya tidak mempersoalkan tentang perkara ini. Lagipun, saya juga cintakan Malaysia sepertimana Dr Mahathir dan apa sahaja yang dapat membantu mengibarkan bendera Malaysia saya akan menyokongnya

    Ia adalah tentang membelanjakan, kadang kala, sehingga separuh gaji bulanan anda (membayar ansuran pinjaman, cukai jalan, insurans, minyak, caj tol, bayaran tempat letak kereta, servis, dan lain-lain), tidak termasuk penyusutan nilai, yang mungkin sehingga 20% sebaik sahaja anda daftarkan kereta anda dan memandunya keluar dari bilik pameran.

    Jadi apabila seseorang membeli kereta, hanya satu menjadi keutamaan, nilainya dari segi kewangan, dan sama ada kemudiannya boleh mendapat pulangan sebaiknya daripada pelaburan anda apabila anda memutuskan untuk menjualnya atau ‘trade-in” kereta anda.

    Membeli kereta merupakan pelaburan tidak menguntungkan kerana nilainya akan menyusut sebaik sahaja seseorang itu membelinya. Akhirnya isu kuasa pasaran dan undang-undang bekalan dan permintaan menentukan apa perlu anda lakukan.

    Kerajaan Sweden tidak meminta rakyatnya membeli Volvo untuk mengelak syarikat itu daripada dijual kepada syarikat China manakala Britain tidak meminta rakyatnya membeli Mini untuk menghalang syarikat itu dijual kepada syarikat Jerman. Malah isu masa kini yang dihadapi oleh kerajaan Britain ialah tiga kilang keluli Tata (yang kerugian RM6 juta setiap hari) bakal ditutup di UK, dan ia mampu membuatkan 40,000 orang bakal kehilangan kerja kerana ramai yang membeli besi keluli yang lebih murah dari China.

    Ini adalah tentang pembeli sukarela, penjual sukarela. JIka pembeli tidak sukarela membelinya, tiada apa yang jurujual boleh lakukan. Amat malang apabila persaingan dan globalisasi telah mengubah dunia menjadi pasaran pembeli. Itu yang dihadapi oleh Proton, bukan disebabkan sikap kurang kecintaan atau patriotisme di kalangan rakyat Malaysia.

     
     
  • Singer Vehicle Design jalin usahasama dengan Historic Motoring Ventures bagi projek restorasi model klasik Porsche 911 di Malaysia dan Singapura

    Singer-Porsche-7-e1459991345237

    Bagi kerja-kerja restorasi model klasik Porsche, pakar dalam bidang ini iaitu Singer Vehicle Design telah bekerjasama dengan Hictoric Motoring Ventures untuk memberikan perkhidmatan unik Singer kepada pemilik Porsche di Malaysia dan Singapura. Sebagai rakan kerjasama Singer untuk Malaysia dan Singapura, Historic Motoring Ventures akan membantu para pelanggan bagi menentukan tahap restorasi dan berurusan dengan pereka dan pekerja-pekerja mahir Singer di California dalam urusan restorasi dan proses pra-imaginasi.

    Diwujudkan sejak tahun 2009 oleh Rob Dickinson, Singer berkepakaran dalam restorasi model Porsche 911. Dengan menjadikan Porsche 911 milik pelanggan dalam kerja-kerja restorasi, Singer menggunakan elemen canggih bagi meningkatkan prestasi kereta, dengan nilai-nilai estetika dan moden, tetapi masih mengekalkan keasliannya. Bagi satu projek restorasi, ia mengambil masa lebih 4,000 masa untuk disempurnakan.

    Historic Motoring Ventures pula dibangunkan pada tahun 2010 oleh Andrew Suresh dan menawarkan perkhidmatan pakar dalam menjual model kereta dan motosikal klasik serta kontemporari, malah aktif dalam menganjurkan aktiviti permotoran.

    “Kerjasama kami bersama Historic Motoring Ventures akan mengembangkan minat kami hingga ke Malaysia dan Singapura, jadi kami dapat berkongsi kecintaan kami terhadap model 911 dengan para penggemarnya di rantau ini, serta menjadikan keunikan kepakaran kami bagi Porsche untuk keseluruhan pada tahap yang baharu,” ujar Dickinson.

     
     
  • Proton dan Perodua bakal dilengkapi sistem AEB dan amaran keluar laluan menjelang 2020 – ASEAN NCAP

    2016-saem-mai-conference-khairil-anwar-001_BM

    Pengeluar automotif nasional Proton dan Perodua dijangka akan mengadaptasikan sistem brek kecemasan automatik (AEB) dan sistem amaran keluar laluan (active lane-keeping system) sebagai ciri standard menjelang tahun 2020. Bercakap ketika persidangan teknikal yang dianjurkan oleh Institut Automotif Malaysia (MAI), Pengerusi Persatuan Jurutera Automotif (SAE) Malaysia dan Setiausaha Am ASEAN NCAP Khairil Anwar Abu Kassim membuat ramalan yang agak berani.

    Dengan Program Penilaian Kereta Baharu Eropah (Euro NCAP) menjadikan sistem AEB sebagai ciri wajib bagi membolehkan sesebuah kereta itu menerima penarafan lima-bintang sejak tahun 2012, kenyataan Khairil tersebut adalah berdasarkan fakta ASEAN NCAP akan mengambil langkah yang sama menjelang tahun 2017. Program berkenaan akan menetapkan sistem AEB dan sistem amaran keluar laluan adalah wajib untuk penarafan lima-bintang “bertaraf tinggi” ASEAN NCAP.

    “Dari tahun 2011 hingga 2016, syarat dan ciri yang diperlukan untuk sesebuah kereta itu mendapatkan penarafan lima-bintang hanyalah sistem stabiliti elektronik (ESC) dan sistem amaran pemakaian tali keledar untuk kedua belah tempat duduk hadapan. Dari 2017 hingga 2020, untuk mendapatkan penarafan lima-bintang anda masih lagi perlu melengkapkan dua ciri tadi, tetapi anda hanya menerima markah lima bintang bertaraf rendah. Untuk mendapatkan penarafan lima bintang bertaraf tinggi, anda perlukan sistem AEB dan amaran keluar laluan,” jelas Khairil

    “Seperti yang anda tahu, Proton dan Perodua sudah pun mempunyai kereta empat-bintang sekarang, dan kami tidak fikir mereka mahu markah yang lebih rendah daripada itu. Mereka juga sedang mencabar diri mereka sendiri untuk mempunyai kereta lima-bintang,” ujar Khairil. Beliau menambah, sebahagian pengeluar mungkin tidak menyukai undang-undang baharu tersebut, tetapi ini adalah cara ASEAN NCAP untuk maju kehadapan dalam usaha mereka untuk memperbaiki standard keselamatan kenderaan di dalam rantau ini.

    2015_Perodua_Myvi_facelift_vs_Proton_Iriz_-001_BM

    “Walaupun tanpa undang-undang kerajaan, ASEAN NCAP telah menggalakkan pengeluar untuk mengekalkan sekurang-kurangnya penarafan empat-bintang. Jangkaan saya menjelang 2020, kita akan dapat lihat sekurang-kurangnya separuh dari model Proton dan Perodua telah dilengkapi dengan sistem AEB. Selepas 2020, mungkin tanpa sistem AEB, anda hanya akan menerima penarafan tiga-bintang sahaja. Ini adalah cara kami untuk menggalakkan pengeluar terus maju kehadapan.

    Pembangun teknologi automotif, Bosch, turut tampil untuk berkongsi kepakaran teknikal. Klaus Landhaeusser, pengurus besar jualan automotif, kelengkapan asli Asia Tenggara, senada dengan Khairil dengan mengatakan tahap persaingan antara pengeluar automotif nasional itu akan membawa kepada penghasilan kereta yang lebih selamat.

    “Kami di Bosch menyaksikan setiap hari bagaimana tahap kompetitif pengeluar-pengeluar ini. Contohnya, apabila syarikat “A” memperkenalkan ciri baharu, sudah tentu syarikat “B” akan hadir kepada kami dan memohon untuk ciri yang sama,” kata beliau.

    “Saya bersetuju sepenuhnya yang ASEAN NCAP memainkan peranan penting dalam mendesak pengeluar untuk mencapai penarafan tertinggi mereka. Tetapi dalam sudut yang berbeza, anda juga tidak boleh memandang rendah kuasa komunikasi dengan kehadiran konsumer di dalam organisasi. Ini merupakan titik pertemuan penting di mana konsumer mula menagih ciri-ciri canggih ini dari pengeluar,” tambah Landhaeusser.

    volvo-city-safety_BM

    Apabila pihak paultan.org bertanyakan ketua Bosch itu adakah mereka telah bersedia untuk menyediakan sistem keselamatan aktif terkini dan mampu milik seperti AEB dan amaran keluar laluan kepada pengeluar automotif tempatan, Landhauesser menjawab “semestinya.”

    “Kami adalah pemain global dan kami mempunyai banyak negara yang telah dibekalkan dengan sistem ini. Tidak ada persoalan kepada faktor mampu milik lagi sekarang,” tambah beliau. “Pengenalan secara besar-besaran kepada teknologi seperti ini juga membantu kami untuk mengurangkan harganya. Ia tidak sepatutnya langsung menjadi penghalang yang besar.”

    Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan kerajaan sedang merangka untuk mengazetkan undang-undang berkenaan sistem AEB dan sistem amaran keluar laluan menjelang tahun 2020 – secara keseluruhan 126 undang-undang automotif UN akan dijangka diperkenalkan dalam buku undang-undang baharu kelak.

    Baru-baru ini juga, Proton dilihat sedang menguji Iriz yang dilengkapi dengan Advanced Driver Assistance System (ADAS), manakala Perodua juga telah dilihat menguji sebuah Daihatsu Move dengan sistem serupa. Perkembangan ini mungkin petanda ciri-ciri tersebut akan dilengkapi pada model-model baharu keluaran mereka pada masa akan datang.

     
     
  • Lexus ES terlibat dengan kempen panggil semula di Malaysia disebabkan isu penggerak brek – 90 unit

    Lexus-ES-250-Luxury-3

    Toyota Motor Corporation (TMC) telah mengumumkan panggilan semula di peringkat global yang membabitkan model Lexus ES dan RX ekoran masalah penggerak brek (brake actuator). Ia hanya melibatkan model yang dilengkapi dengan ABS, sistem Kawalan Cengkaman (TRC) dan sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), yang kesemuanya dikawal oleh penggerak brek.

    Di mana terdapat kemungkinan sesetengah penggerak brek yang dipasang pada pam yang mengandungi lingkaran-O didapati rosak, yang boleh menyebabkan tekanan cecair brek tidak dapat dikawal secara sempurna apabila ABS, TRC dan VSC ini diaktifkan. Ia juga boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan kestabilan dan meningkatkan risiko kemalangan.

    Namun, di Malaysia, UMW Toyota Motors telah mengesahkan hanya model ES sahaja yang terlibat dan tidak membabitkan model RX. Model ES yang terlibat adalah buatan dari tarikh September 2015 hingga Februari 2016. Menurut sumber TMC, sebanyak 90 unit yang diimport oleh Lexus Malaysia dan ia akan dipanggil semula untuk kempen ini.

    Semua kos penggantian komponen dan buruh bagi kempen panggil semula ini akan ditanggung sepenuhnya oleh Lexus Malaysia. Lain-lain model Lexus di negara ini walau bagaimana pun tidak terbabit.

    Lexus Malaysia akan memaklumkan pada semua pemilik yang terlibat dan bagi yang tidak mendapat sebarang notifikasi, diminta untuk menghubungi Lexus Malaysia di talian bebas tol 1800-8-LEXUS (53987) atau berhubung dengan mana-mana wakil jualan Lexus yang berhampiran.

     
     
  • GrabCar beroperasi di Johor Bahru mulai 7 April

    GrabCar-JB-April-7-01

    Bagi sesiapa yang berada di Johor Bahru dan inginkan pilihan teksi persendirian yang boleh ditempah menerusi aplikasi dalam talian, GrabCar telah mengumumkan perkhidmatan mereka di sekitar bandar berkenaan mulai 7 April ini.

    “Johor Bahru kini sedang pesat berkembang dan kami lihat ini sebagai salah satu jalan untuk memperkenalkan perkhidmatan kami sebagai pengangkutan alternatif mampu milik kepada orang ramai di sekitar Johor Bahru,” ujar Jaygan Fu, Pengurus Grab Malaysia.

    Fu turut berkongsi, pihaknya akan menambah elemen baharu yang akan didapati di JB. Ia termasuklah perkhidmatan pelanggan 24/7 (untuk pemandu dan penumpang), butang kecemasan PDRM, perkongsian lokasi bagi membenarkan ahli keluarga dan rakan mengetahui lokasi penumpang.

    GrabCar-JB-April-7-02

    “Sebagai tambahan, GrabCar juga akan memperkenalkan polisi insurans untuk penumpang dan pemandu, di samping itu, kami juga akan memperkenalkan pemandu wanita sebagai inisiatif keselamatan penumpang dan pemandu,” jelas Fu.

    GrabCar beroperasi secara asas tambang-tetap, dan ini membolehkan penumpang mengetahui tambang mereka sebelum menaiki kenderaan terbabit. Malah penumpang juga mempunyai pilihan cara pembayaran sama ada secara tunai ataupun kad debit/kredit.

     
     
  • Mitsubishi Outlander serba baharu dilancarkan untuk Malaysia esok – CBU dari Jepun, 2.4L, 4WD, RM167k

    MIt_outlander

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) tekah mengumumkan SUV Mitsubishi Outlander serba baharu akan dilancarkan ke pasaran tempatan pada 7 April 2016 ini iaitu esok. SUV tujuh-tempat duduk ini telah pun berada di semua bilik pameran Mitsubishi seluruh negara.

    Harga pengenalan yang ditawarkan bagi Outlander serba baharu ini ialah RM166,720 bagi Semenanjung Malaysia dan RM168,488 untuk Sabah/Sarawak. Harga-harga tersebut (tanpa insurans, termasuk GST) adalah untuk tempahan dan pendaftaran sebelum 31 Mei 2016 ini. Malah SUV ini turut didatangkan dengan pakej waranti selama lima tahun atau 100,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu.

    Ia didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Merah Metalik, Putih Mutiara dan Kelabu Metalik. Outlander ini juga akan dipertontonkan di pusat membeli-belah Mid Valley dari 20 hingga 24 April ini jam 10 pagi hingga 10 malam.

    Mitsubishi Outlander Review 61

    Outlander serba baharu ini didatangkan dengan varian 4WD, kenderaan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun ini dipadankan dengan enjin petrol 2.4 liter Mitsubishi Innovative Valve timing Electronic Control (MIVEC) yang mampu menghamburkan kuasa maksimum 169 hp pada 6,000 rpm dan kuasa tork maksimum 222 Nm pada 4,100 rpm.

    Kuasa dari enjin dihantar ke keempat-empat roda menerusi kotak gear automatik CVT dan sistem pacuan empat-roda Mitsubishi Multi-Select. Sistem tersebut membolehkan pemandu memilih tiga mod pemanduan iaitu 4WD ECO, 4WD Auto, dan 4WD lock. Gandingan enjin dan sistem transmisi ini mampu membuatkan Outlander 2016 ini mencapai kecekapan bahan api 12.8 km/l jika mod 4WD Eco dipilih.

    Ia turut menampilkan elemen premium termasuk lampu hadapan LED berserta lampu nyalaan siang LED bina dalam, bumbung matahari, pintu tailgate kuasa elektronik dan roda aloi 18-inci dua-tona yang dibaluti tayar bersaiz 225/55R18.

    Pada bahagian dalam pula, ditampilkan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh, dan suis kawalan penghawa dingin dua-zon diletakkan di bahagian tengah papan pemuka. Suis kawalan sistem infotainmen, telefon dan kawalan kelajuan turut dilengkapi pada roda stereng Outlander serba baharu ini.

    Outlander Msia Cabin

    Bagi pengendalian yang lebih sporty, pedal penukar gear turut ditampilkan. Kesemua tempat duduk dibaluti kulit rona hitam. Tiada sistem brek parkir elektronik ditampilkan pada model ini, Outlander masih lagi menggunakan tuil brek tangan konvensional.

    Untuk ciri keselamatan, ia dilengkapi dengan semua ciri terkini termasuk tujuh beg udara, Kawalan Stabiliti Aktif (ASC),Kawalan Aktif Mula Terjahan (ASTC) Bantuan Mula Mendaki (HSA), ABS beserta EBD dan Bantuan Brek (BA). SUV ini juga dilengkapi sistem kunci pintar yang membolehkan pengguna membuka kunci pintu dan menghidupkan enjin dengan butang penghidup tanpa mengeluarkan kunci dari poket.

    Outlander baharu ini mempunyai ruang kargo yang agak besar iaitu berkapasiti 1,608 liter (setelah tempat duduk barisan ketiga dilipat) dan jarak pusingan sehingga 5.3 meter.

    Bagi Outlander ini, MMM mensasarkan jualan sebanyak 100 unit sebulan dan kini telah menerima lebih 200 tempahan sejak pra-tonton untuk pihak media pada akhir Februari lalu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025