Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz GLB200 2024 di Malaysia – galeri penuh SUV 7-tempat duduk; 1.33L turbo; dari RM291k

    Mercedes-Benz GLB200 2024 di Malaysia – galeri penuh SUV 7-tempat duduk; 1.33L turbo; dari RM291k

    Susulan dengan pelancaran Mercedes-Benz GLB X247 facelift beberapa hari lalu, kini kami membawakan pula galeri penuh SUV yang dipertingkatkan ini dengan varian GLB200 Progressive. Ditawarkan pada atas jalan M290,888 tanpa insurans, GLB200 ini merupakan varian asas bari barisan GLB, dengan GLB250 4Matic AMG Line sebagai varian tertinggi yang berharga RM341,888.

    Semakan penggayaan bagi GLB termasuklah bampar hadapan yang direka semula, lampu utama LED High Performance baharu dengan Adaptive Highbeam Assist serta grafik lampu belakang baharu. Ciri spesifik untuk GLB200 adalah gril radiator dengan empat kepingan mendatar, dengan pakej penggayaan Progressive Line dan roda aloi-ringan lima-jejari-berkembar 18-inci. Kesemua varian GLB didatangkan dengan Night Package secara standard, bersama kemasan hitam berkilat untuk luaran.

    Di dalamnya, keadaan kabin kebanyakannya adalah sama sahaja, dengan peningkatan yang dibuat tidak begitu ketara. Ia menerima roda stereng sport pelbagai fungsi baharu, yang dibalut dengan kulit pada GLB 200 manakala GLB 250 menerima balutan kulit Nappa. Jumlah soket USB-C juga ditambah dan kini mempunyai kuasa mengecas yang lebih tinggi.

    Tetapan skrin digital 10.25 inci berkembar masih dikekalkan, tetapi sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) telah dinaik taraf kepada generasi NTG7 terkini, memberikan antaranya tema paparan baru, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta Intelligent Voice Assistant yang lebih berkemampuan.

    Kemasan dalaman GLB200 juga diberikan elemen Star Pattern, tempat duduk balutan kulit upholstery Artico, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, kawalan suhu dwi-zon Thermotronic (dengan corong di belakang), pencahayaan ambien 64-warna dan pad pengecas tanpa wayar. Kedua-dua varian GLB buat masa ini didatangkan dengan versi tiga barisan tempat duduk, dengan barisan kedua boleh dilipat dan dibaring dengan 40:20:40, sementara 50:50 untuk barisan ketiga.

    Risalah spesifikasi Mercedes-Benz GLB200 Progressive Line facelift 2024 (atas), GLB250 4Matic AMG Line (bawah) – Klik untuk besarkan

    Di bawah bonetnya, GLB200 masih terus dijanakan oleh enjin 1.33 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol. Dengan unit M282 ini, pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac basah tujuh-kelajuan 7G-DCT, bersama hamburan kuasa sehingga 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan tork 270 Nm (lebih 20 Nm berbanding sebelum ini). Dengan penjana kuasa tersebut, varian ini mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 9.3 saat dengan kelajuan maksimum mampu dicapai pada 207 km/j.

    Bagi sistem bantuan pemanduan dan keselamatan, ia diberikan Parking Package dengan kamera undur,
    Active Paring Assist, Blind Spot Assist, Exit Warning Assist dan Active Brake Assist. Lain-lain ciri termasuk Easy-Pack tailgate, Keyless-Go, Hands-Free Access, pelindung kenderaan Guard 360 dan sistem pemantauan tekanan tayar.

     
     
  • Penyedia insuran kenderaan di Thailand akan naikkan kadar premium untuk EV – alat ganti 60% lebih mahal

    Penyedia insuran kenderaan di Thailand akan naikkan kadar premium untuk EV – alat ganti 60% lebih mahal

    Di Thailand, Tokio Marine Safety Insurance mengumumkan bahawa ia kini telah menghentikan premium insurans semasanya untuk pelanggan EV baharu, dan kini akan mempertimbangkan kadar premium baharu berdasarkan kes demi kes. Perubahan dalam polisi insurans kenderaan elektrik (EV) ini berkuat kuasa pada 1 Julai, lapor Bangkok Post.

    Penyedia insurans kenderaan itu berkata bahawa ia akan terus menyediakan insurans untuk EV, tetapi menyatakan langkah untuk menyemak semula kadarnya akan dipengaruhi oleh turun naik harga pasaran EV baharu dan terpakai, yang dikatakan memberi kesan kepada nilai insurans. Syarikat itu menambah bahawa pelanggan sedia ada yang ingin memperbaharui polisi akan terus menerima perlindungan standard, tetapi ia kini akan adalah berasaskan kadar premium pembaharuan pada rekod tuntutan.

    Turun naik harga EV yang tidak tentu dan nilai tuntutan yang tinggi dilaporkan menyebabkan penyedia insurans itu perlu memikirkan semula cara menawarkan perlindungan. Menurut laporan media tempatan, Persatuan Insurans Am Thai baru-baru ini turut memberi amaran kepada ahlinya tentang EV.

    Difahamkan bahawa alat ganti dalam beberapa kes adalah 50-60% lebih mahal daripada kereta enjin pembakaran dalaman, dan kebanyakkan tuntutan kerosakan adalah berjumlah 90-100% daripada nilai kereta. Berdasarkan apa yang terjadi di banyak negara, walaupun hanya berlaku kerosakan kecil pada pek bateri EV ketika berlaku pelanggaran sudah cukup boleh mengakibatkan keseluruhan unit perlu diganti. Pek bateri biasanya menyumbang kira-kira separuh daripada kos kenderaan elektrik.

    Penyedia insuran kenderaan di Thailand akan naikkan kadar premium untuk EV – alat ganti 60% lebih mahal

    Presiden persatuan itu, Suwat Supakarndechakul, berkata dua syarikat insurans dilaporkan telah memutuskan untuk menghentikan tawaran polisi untuk EV. “Kami sedang memantau keadaan untuk mengetahui apa yang berlaku dengan kedua-dua syarikat insurans itu,” katanya, tanpa menamakan kedua-dua firma itu.

    Beliau menambah bahawa TAIA merancang untuk bertemu dengan pembuat EV global, yang juga ahli persatuan, serta Persatuan Insurans Am Thai (TGIA) untuk meneliti isu itu. Presiden TGIA Somporn Suebthawilkul berkata persatuan itu meminta ahlinya membentangkan kaedah mereka untuk mengira premium insurans EV.

    Naib pengerusi Persekutuan Industri Thai Surapong Paisitpatanapong berkata masih tidak jelas sama ada dua syarikat insurans mahu berhenti menawarkan perlindungan EV. “Kami tidak tahu sama ada ini berpunca daripada masalah berkaitan pembayaran pampasan kepada pelanggan,” katanya.

    Penyedia insuran kenderaan di Thailand akan naikkan kadar premium untuk EV – alat ganti 60% lebih mahal

    Sementara itu, sumber di Pejabat Suruhanjaya Insurans (OIC) berkata tiada syarikat insurans secara rasmi mengumumkan pembatalan perkhidmatan insurans EV mereka. Pengawal selia itu berkata, sebanyak 23 syarikat insurans masih menyediakan insurans EV di negara ini.

    “Bagi kes Tokio Marine, mungkin berlaku salah faham mengenai pembatalan perkhidmatan insurans EVnya. Baru-baru ini syarikat menjelaskan ia sedang menyesuaikan syarat untuk pelanggan sedia ada dan bukan sahaja menerima pemindahan kereta plat hitam,” kata sumber OIC kepada penerbitan berita itu.

    Perang harga antara pengeluar, kebanyakannya dari China, merumitkan lagi isu bagi pemilik kereta serta syarikat insurans, tambah laporan itu. Sebagai contoh, syarikat insurans yang menilai nilai gantian kereta pada, katakan, satu juta baht dan harga premium yang sewajarnya mungkin mendapati model yang sama berharga baharu pada 750,000 baht beberapa bulan kemudian, dan oleh itu perlu mengakui jumlah yang lebih tinggi jika kenderaan itu mengalami kemalangan yang serius.

     
     
  • Kajian perundangan Lemon Law dijangka selesai Sept ini – had ganti rugi pengguna dipertimbangkan

    Kajian perundangan Lemon Law dijangka selesai Sept ini – had ganti rugi pengguna dipertimbangkan

    Kajian mengenai perundangan berkaitan Lemon Law membabitkan kumpulan perunding pakar yang dimulakan bulan lalu, dijangka selesai September ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

    Lemon Law ialah undang-undang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk berulang kali rosak selain gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi.

    Menurut Asmizan, kajian kebolehlaksanaan Lemon Law itu dilaksanakan susulan pelbagai aduan yang diterima. Di mana hasil kajian berkenaan akan dijadikan asas pertimbangan, sama ada perlu membuat penambahbaikan terhadap kerangka perundangan sedia ada atau perundangan baharu perlu digubal, laporan Bernama.

    “Kementerian akan terus melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan, termasuk penganjuran Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024 esok,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Kajian perundangan Lemon Law dijangka selesai Sept ini – had ganti rugi pengguna dipertimbangkan

    Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai usaha kerajaan menggubal akta baharu atau meminda akta sedia ada, berkaitan Lemon Law bagi melindungi pengguna dalam hal pembelian kenderaan.

    Armizan berkata peruntukan perundangan bercirikan Lemon Law setakat ini termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

    Selain itu, peruntukan undang-undang sedia ada yang memiliki ciri komponen Lemon Law juga terkandung dalam beberapa akta dan peraturan merentasi kementerian serta agensi seperti Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967.

    Beliau turut berkata kadar baharu amaun had tuntutan ganti rugi pengguna terhadap pembekal atau pengilang adalah antara komponen utama dalam pertimbangan menambah baik undang-undang bercirikan Lemon Law. Ini kerana, katanya, Seksyen 98(1) Akta Pelindungan Pengguna 1999 (Akta 599) ketika ini, hanya menetapkan tuntutan ganti rugi pada kadar RM50,000 sahaja.

    “Laporan awal KPDN dalam menambah baik undang-undang Lemon Law, had bidang kuas termasuk nilai had RM50,000 adalah antara empat komponen utama isu berbangkit yang perlu ditambah baik. Saya amat bersetuju bahawa melihat realiti dan tuntutan semasa nilai had amaun ini adalah perkara perlu diperkukuh dan ditambah baik,” katanya menjawab soalan tambahan Shamshulkahar mengenai syor menaikkan had tuntutan kepada RM150,000.

     
     
  • Mercedes-AMG C63S E Performance W206, GLB35 dan GLA45S baru akan lancar di Msia hujung minggu ini

    Mercedes-AMG C63S E Performance W206, GLB35 dan GLA45S baru akan lancar di Msia hujung minggu ini

    Hujung minggu ini, 5 hingga 7 Julai di KL Base, Sungai Besi, Mercedes-Benz Malaysia akan menganjurkan acara Mercedes-Benz World di mana selain pameran model semasa dan pelbagai aktiviti, mereka juga akan memperkenalkan tiga model AMG baru.

    Daripada teaser yang dikeluarkan melalui laman media sosial, kita boleh mengetahui model tersebut adalah Mercedes-AMG C63S E Performance, dan GLB35 4Matic serta GLA45S 4Matic+ facelift.

    Mercedes-AMG C63S E Performance

    Bermula dengan C63S E Performance, ia diperkenalkan kepada dunia pertama kali September tahun 2022 dan menggunakan asas daripada C-Class W206. Tiada lagi enjin V8 pada model ini, dan ia diganti dengan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo plug-in hybrid.

    Secara keseluruhannya, dengan bantuan motor elektrik di gandar belakang, pakej penggerak ini dapat menghasilkan kuasa 680 PS dan tork 1,020 Nm, lebih banyak daripada C63 yang menggunakan enjin V8 sebelum ini. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 3.4 saat manakala laju maksimum adalah 250 km/j.

    Menyampaikan kuasa ini kepada semua empat tayar adalah kotak gear automatik AMG Speedshift MCT 9G sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda boleh ubah AMG Performance 4Matic+. Selain menggunakan kuasa enjin, ia juga boleh bergerak menggunakan kuasa elektrik daripada bateri 6.1 kWh untuk jarak sehingga 13 kilometer.

    Mercedes-AMG GLB35 4Matic facelift

    SUV GLB35 4Matic ini diberikan facelift Mac lalu, bersama varian biasanya yang lain. GLB200 dan GLB250 4Matic baru sudah pun tiba di Malaysia bulan lalu, dan sekarang masa untuk versi AMG pula.

    Enjinnya masih menggunakan unit petrol empat silinder turbo 2.0 liter, tetapi dibantu dengan starter generator (RSG) yang memberikan tambahan 14 PS (13 hp atau 10 kW) apabila memecut. Melengkapi penggeraknya adalah transmisi automatik klac berkembar AMG Speedshift lapan kelajuan bersama sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic.

    Perubahan gaya yang diberi pada GLB35 adalah sama seperti varian bukan AMG, termasuk lampu hadapan baru dan kemasan bampar yang dibentuk semula. Lampu belakang juga mendapat pencahayaan unik baru, manakala bahagian dalam menyaksikan peningkatan pada sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX).

    Mercedes-AMG GLA45S 4Matic facelift

    Sama seperti GLB, GLA juga baru mendapat facelift dan beberapa varian sudah tiba di Malaysia, iaitu GLA200 pada Januari, diikuti GLA250 4Matic dan GLA35 4Matic bulan lalu. Ahli seterusnya yang bakal dilancar adalah GLA45S 4Matic+, dengan kuasa 421 PS (416 hp atau 310 kW) dan tork 500 Nm.

    Enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo pada model ini dipadankan bersama transmisi AMG Speedshift DCT lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda boleh ubah 4Matic+, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum 270 km/j.

    Sama seperti GLB, perubahan gayanya tidak banyak dan antara yang mendapat sentuhan baru adalah bahagian bawah bampar, kemasan keliling roda serta lampu hadapan. Sistem MBUX di dalam SUV ini turut diberi peningkatan.

    GALERI: Mercedes-AMG C63S E Performance

    GALERI: Mercedes-AMG GLB35 4Matic facelift

    GALERI: Mercedes-AMG GLA45S 4Matic facelift

     
     
  • Pakar jangka penyasaran subsidi RON 95 mungkin bermula bulan ini, naik 30 sen kepada RM2.35

    Pakar jangka penyasaran subsidi RON 95 mungkin bermula bulan ini, naik 30 sen kepada RM2.35

    Bloomberg melaporkan bahawa kerajaan Malaysia mungkin akan membuat penyasaran subsidi bahan api petrol RON 95 pada bulan ini juga bagi membolehkan negara mencapai sasaran defisit yang telah ditetapkan.

    Dalam laporan itu, Ketua Pakar Ekonomi Malaysia bagi pihak Citigroup Wei Zheng Kit menyatakan bahawa perbelanjaan fiskal Malaysia untuk lima bulan pertama 2024 sudahpun mencapai 53.9% dari sasaran tahunan yang telah ditetapkan, melebihi tahap perbelanjaan pada tempoh sama tahun lalu.

    Dan bagi memenuhi sasaran defisit negara, beliau menjangkakan bahawa penyasaran subsidi bahan api petrol mungkin akan dilaksanakan seawal bulan ini.

    Laporan ini juga menyatakan bahawa defisit belanjawan Malaysia kini ada 5% dari GDP tahun lalu, dan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mensasarkan untuk merendahkan aanga tersebut sehingga 4.3% dengan mengurangkan subsidi bagi menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara.

    Pakar jangka penyasaran subsidi RON 95 mungkin bermula bulan ini, naik 30 sen kepada RM2.35

    Tahun lalu, Malaysia memperuntukkan sekitar RM81 bilion untuk subsidi, dan sebahagian besarnya digunakan untuk subsidi bahan api bagi mengekalkan harga RON 95 pada RM2.05 seliter dan diesel pada RM2.15 seliter. Langkah merasionalisasikan subsidi untuk diesel sebelum ini dijangka boleh menjimatkan kerajaan sebanyak RM4 bilion setahun.

    Citi menganggarkan kerajaan boleh menjimatkan tambahan RM3 bilion hingga RM4 bilion tahun ini jika kenaikan 30 sen seliter bagi RON 95 dilaksanakan bulan ini, menjadikan harga bahan api itu kepada RM2.35 seliter. Jangkaan ini mengandaikan kenaikan tersebut dibuat secara beransur-ansur kepada harga pasaran, dan bukan kenaikan harga secara drastik.

    Walau bagaimanapun, ini hanyalah kiraan yang dilihat pada sisi ekonomi sahaja, manakala untuk realiti langkah ini turut perlu dinilai dari segi politik. Sesetengah penganalisis percaya pemotongan subsidi RON 95 hanya boleh dilakukan menjelang penghujung 2024.

    Pakar jangka penyasaran subsidi RON 95 mungkin bermula bulan ini, naik 30 sen kepada RM2.35

    Sebelum ini Anwar menyatakan bahawa tumpuan kerajaan sekarang adalah untuk memastikan kelancaran pelaksanaan subsidi diesel berikutan kenaikan harga 56% bulan lepas yang menimbulkan reaksi orang ramai. Beliau turut mengakui bahawa langkah untuk menghapuskan subsidi ini bukanlah mudah.

    “Subsidi yang disasarkan sukar dilaksanakan. Jika anda bertanya kepada saya, kita sepatutnya melakukannya untuk RON 95 sejak dahulu lagi, tetapi ia bukan mudah,” katanya.

    Sehingga kini masih lagi belum ada petanda jelas dari kerajaan sendiri untuk membyangkan bila penyasaran subsidi RON 95 ini akan dilaksanakan. Walau bagaimanapun baru-baru ini menteri ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata kerajaan akan mengambil strategi sama untuk petrol RON 95, seperti diesel, di mana tiada notis awam awal dikeluarkan berkenaan keputusan untuk menarik balik subsidi menyeluruh sedia ada.

     
     
  • Gentari tukar harga cas EV ikut kWh – dari RM1.30 per kWh untuk DC dan 90 sen per kWh untuk AC

    Gentari tukar harga cas EV ikut kWh – dari RM1.30 per kWh untuk DC dan 90 sen per kWh untuk AC

    Gentari adalah antara beberapa syarikat yang masih menggunakan harga mengikut minit pada pengecas kenderaan elektrik mereka. Walaubagaimanapun, sekarang anak syarikat Petronas itu akhirnya mengambil keputusan mengikut kebanyakan syarikat lain dengan menetapkan harga mengikut kWh, pada semua pengecas mereka.

    Kenapa Gentari mengambil masa lama untuk beralih sepenuhnya tidak diketahui, sedangkan mereka sudah mempunyai pengecas per-kWh yang beroperasi di X Park Sunway Serene sejak November 2022. Berkemungkinan, ia mempunyai kaitan dengan lesen Electric Vehicle Charging System (EVCS) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga untuk pengecas per-kWh.

    Melihat di dalam aplikasi Gentari Go, struktur harga rangkaian pengecas sekarang kebanyakannya adalah sama sahaja seperti yang ditetapkan pada April 2023. Sedikit perubahan yang dibuat, pengecas AC 11 dan 22 kW kini diletakkan dalam kategori sendiri, pada harga RM1.05 kWh, membawa ia keluar daripada kategori harga 90 sen per kWh yang masih digunakan pada pengecas 7 kWh.

    Gentari tukar harga cas EV ikut kWh – dari RM1.30 per kWh untuk DC dan 90 sen per kWh untuk AC

    Kemudiannya, Gentari tidak lagi menggunakan pengecas pantas DC 350 kW mereka di X Park Sunway Serene pada kadar maksimum. Ia dihadkan kepada 175 kW dan dikenakan harga RM1.50 per kWh sama seperti pengecas DC yang lain. Struktur harga pengecas Gentari adalah seperti berikut:

    • AC 7kW – RM0.90/kWh
    • AC 11kW/22kW – RM1.05/kWh
    • DC up to 30kW – RM1.30/kWh
    • DC 50kW-180kW – RM1.50/kWh

    Walaubagaimanapun, pengecas Gentari di The Exchange TRX masih mengenakan harga mengikut minit, iaitu 25 sen per minit, untuk pengecas AC 22 kW.

     
     
  • Wing Hin Motorsport terus berlumba di pusingan ke-2 Thailand Super Series 2024 di Bangsean Street Circuit

    Wing Hin Motorsport terus berlumba di pusingan ke-2 Thailand Super Series 2024 di Bangsean Street Circuit

    Selepas menampilkan aksi menyakinkan pada pusingan pembukaan Thailand Super Series 2024 di Litar Antarabangsa Chang Mei lalu, pasukan Wing Hin Motorsport kini meneruskan perjuang ke pusingan kedua siri perlumbaan tersebut yang akan bermula hari ini, 3 Julai hingga 7 Julai di litar jalan raya Bangsean.

    Pasukan itu masih berlumba dalam kelas sama iaitu kelas Super Compact dengan jentera Toyota Yaris, dipandu dua pelumba muda negara iaitu Mitchell Cheah and Naquib Azlan. Dalam pusingan sebelum ini Cheah dan Naquib menawarkan perlumbaan ditempat kedua dan kelima secara keseluruhan serta memenangi tempat pertama untuk kelas NA.

    Ini merupakan kali pertama Naquib dan Wing Hin Motorsport berlumba di litar sepanjang 3.7 km tersebut, jadi harapan diletakkan pada Cheah untuk membimbing pasukan dengan pengalamannya di situ.

    “Apa yang kami tahu tentang trek itu adalah hanya menerusi video on-board yang kami tonton tidak terkira banyaknya sejak dua bulan lalu, dan cuba menentukan apa yang terbaik untuk kereta di sekitar trek,” kata Pengurus Pasukan Wing Hin Motorsports. K. C. Chua

    “Persediaan yang kami ada pada Toyota Yaris kami nampaknya betul, dan jika ya, maka kami akan mempunyai peluang pertempuran yang baik di Bangsaen. Kami tidak akan tahu pasti sehingga hari pertama latihan bebas,” tambahnya.

    Berdasarkan pengalaman, Cheah telah berlumba di Bangsaen beberapa tahun lalu dan setiap pengetahuan di sana akan menjadi bonus untuk pasukan itu, manakala Naquib yang akan terus meluangkan masa mempelajari trek di simulator bagi memahami litar tersebut.

    “Kami hanya mempunyai satu sesi latihan di Bangsaen sebelum terus ke kelayakan dan adalah penting untuk kami menyediakan kereta, nisbah gear yang betul dipilih dan keyakinan pemandu pada tahap tertinggi sepanjang masa dalam had masa 1 jam… Tetapi itu perlumbaan dan kami percaya kami mempunyai orang yang sesuai dalam pasukan untuk melakukannya,” kata Chua.

     
     
  • Belum ada kertas dasar rasionalisasi subsidi petrol RON95, tidak dilaksana dalam masa terdekat – PMX

    Belum ada kertas dasar rasionalisasi subsidi petrol RON95, tidak dilaksana dalam masa terdekat – PMX

    Belum ada kertas dasar dibawa ke Kabinet bagi tujuan rasionalisasi subsidi dilaksanakan ke atas petrol RON95, itulah yang dikatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam masa yang sama, beliau juga mengesahkan bahawa penyasaran semula subsidi petrol RON95 tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat, laporan Berita Harian.

    “Belum ada kertas dasar yang boleh membawa kita untuk melaksanakannya (rasionalisasi subsidi RON95) dengan cepat. Ada kajian dari dulu, tetapi kita fikir lebih baik lihat dulu langkah (penyasaran) ke atas elektrik dan diesel.

    “Lihat dulu kesannya dan bagaimana reaksi rakyat. Barulah (selepas itu) kita sedia berunding apakah (ada) keperluannya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam. Ia adalah bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95.

    Walau bagaimana pun, beliau berkata, pada hematnya, penyasaran semula subsidi petrol RON95 wajar dilaksanakan sejak dulu lagi, namun beliau sedar terdapat pelbagai kekangan yang menyukarkan pelaksanaan semula subsidi bagi bahan api itu.

    Belum ada kertas dasar rasionalisasi subsidi petrol RON95, tidak dilaksana dalam masa terdekat – PMX

    “Kalau tanya saya, (penyasaran semula) subsidi RON95 patut sudah dilaksanakan lama dulu. Tetapi ini tak mudah, masalah kita hadapi adalah 3.8 juta orang asing guna minyak ini, begitu juga orang kaya, ini yang mesti dan amat penting untuk kita hentikan.

    “Bagi isu ini (penggunaan babitkan orang asing dan orang kaya), saya tak tolak ansur kerana mereka sudah gunakan subsidi sejak berpuluh tahun lalu. Justeru (sekarang ini) bagaimana kaedah (terbaik bagi pelaksanaannya) kita perlu fikir supaya ia tidak membebankan rakyat,” katanya.

    Pada hujung bulan lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan sedang meneliti keperluan rasionalisasi subsidi dilaksanakan ke atas petrol RON95. Katanya lagi, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel yang dilaksanakan bermula 10 Jun lalu sehingga penyasaran subsidi itu menjadi stabil, sekali gus mencapai objektif yang ditetapkan.

    Rafizi turut memaklumkan tiada notis awam awal akan dikeluarkan berkenaan keputusan untuk menarik balik subsidi menyeluruh sedia ada, sama seperti yang dilaksanakan terhadap pengumuman harga baharu diesel untuk Semenanjung Malaysia bulan lalu.

     
     
  • PLUS bekerjasama dengan Petronas bangunkan stesen hibrid komersil pertama di lebuhraya Malaysia

    PLUS bekerjasama dengan Petronas bangunkan stesen hibrid komersil pertama di lebuhraya Malaysia

    PLUS Malaysia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petronas Dagangan Bhd untuk membangunkan stesen hibrid komersil yang pertama di lebuhraya Malaysia. Menurut Bernama, Lembah Klang telah dikenalpasti sebagai lokasi perintis bagi projek yang digelar sebagai Stesen Super Hibrid atau ‘Hybrid Super Station’.

    Pengarah Urusan PLUS Nik Airina Nik Jaffar berkata projek ini adalag senada dengan Low Carbon Mobility Blueprint (LCMB) 2021-2030, yang bertujuan untuk menyahkarbonkan sektor pengangkutan Malaysia.

    “Ini merupakan salah satu projek berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat, khususnya pengguna lebuhraya. Dengan wujudnya Stesen Super Hibrid, rakyat yang menggunakan lebuhraya bakal menikmati perjalanan yang lebih selesa dengan pelbagai pilihan sepanjang perjalanan mereka,” katanya.

    Sementara itu, CEO dan Pengarah Urusan Petronas Dagangan Azrul Osman Rani pula berkata, Stesen Super Hibrid berkeluasan lebih 30,000 kaki persegi ini akan menawarkan pelbagai kemudahan komprehensif yang lengkap dan selesa untuk kemudahan pengguna lebuhraya. Ini termasuklah stesen petrol dan diesel serta stesen pengecasan pantas bagi pemilik kenderaan elektrik (EV).

    Fasiliti lain termasuklah kemudahan awam yang selesa, perkhidmatan runcit yang pelbagai, ruang makanan dan diberikan penekanan terhadap kelestarian menerusi reka bentuk bangunan yang cekap tenaga hingga ke penyertaan ruang hijau dan sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

     
     
  • Mercedes-Benz World di KL Base, Sg. Besi 5-7 Julai ini – rasai sesi pandu uji di landasan kapal terbang!

    Mercedes-Benz World di KL Base, Sg. Besi 5-7 Julai ini – rasai sesi pandu uji di landasan kapal terbang!

    Bagi yang belum merancang bagaimana mahu menghabiskan masa hujung minggu ini, apa kata datang ke KL Base, Sungai Besi untuk berkunjung ke acara Mercedes-Benz World yang akan berlangsung dari 5 hingga 7 Julai ini.

    Dalam acara ini anda bukan hanya boleh melihat dengan lebih dekat model-model terkini yang ditawarkan oleh jenama premium Jerman tersebut, malah turut berpeluang untuk memandu uji unit-unit yang disediakan di atas landasan kapal terbang Sungai Besi.

    Anda boleh menguji model-model Mercedes-Benz dengan unit rangkaian kuasa hibrid, Plug-in hybrid (PHEV) dan juga model elektrik sepenuhnya (EV) menerusi sesi pandu uji dan cabaran pemanduan yang disediakan dalam persekitaran yang selamat dan terkawal.

    Malah ada juga model-model baharu yang belum dilancarkan akan dipamerkan terlebih dahulu pada acara ini. Acara ini juga sesuai untuk seisi keluarga kerana ia turut menyediakan pelbagai lagi aktiviti, termasuk sukan memanjat batu dan juga pelbagai lagi aktiviti yang sesuai dan seronok untuk dilakukan seisi keluarga.

    Sudah tentu, akan ada tawaran eksklusif untuk acara ini sahaja, jadi inilah masa terbaik untuk anda memiliki Mercedes-Benz baharu yang diidamkan. Model-model Mercedes-Benz EQ terpilih akan disertakan sekali dengan pengecas wallbox rumah secara percuma termasuk pemasangan, dan pembeli EV turut diberikan pengecasan tanpa had sehingga 18 bulan.

    Tawaran menarik lain termasuk 12 bayaran balik bulanan percuma secara eksklusif untuk model EQS, empat pakej servis untuk memastikan kereta anda dalam keadaan terbaik dan peluang untuk memenangi baucar barangan Mercedes-Benz. Rasai sendiri pengalaman bersama kereta-kereta Mercedes-Benz dan dapatkan tawaran menarik KL Base, Sungai Besi hujung minggu ini, dari 10 pagi hingga 6 petang.

     
     
  • Proton e.Mas — Pro-Net akan kendalikan jenama EV ini

    Proton e.Mas — Pro-Net akan kendalikan jenama EV ini

    Proton telah mengumumkan bahawa Proton New Energy Technology (Pro-Net) mengambil alih pengurusan jenama e.MAS selepas pelancaran rasmi jenama kenderaan elektrik (EV) tersebut pada awal bulan lalu. Pengeluar kereta nasional itu juga berkata, Pro-Net diberikan tanggungjawab yang penting dalam membangunkan jenama e.MAS iaitu rebadge dari Geely Galaxy E5, bagi mengukuhkan pasaran dan bersiap sedia untuk pelancaran produk yang akan datang.

    Tambahnya, Pro-Net juga akan merekrut pasukan yang berdedikasi, menubuhkan rangkaian pengedar yang kukuh serta menjalinkan kerjasama dengan syarikat pengecas bagi memastikan ekosistem EV berjalan dengan lebih lancar.

    Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan Pro-Net. “Kepakaran yang telah dibangunkan oleh PRO-NET sepanjang dua tahun lepas meletakkan kami pada kedudukan yang unik bagi mengangkat jenama Proton e.MAS ke barisan hadapan dalam industri EV di Malaysia.

    Proton e.Mas — Pro-Net akan kendalikan jenama EV ini

    “Bakal pelanggan kami bukan sahaja akan mendapat manfaat daripada rangkaian perkhidmatan yang menyeluruh, malah, melebihi jangkaan mereka, sama seperti pemilikan pengalaman premium yang disediakan kepada pemilik kenderaan smart.” Kata Dr. Li.

    Pengeluar kereta ini juga turut mengumumkan barisan pemenang bagi pertandingan meneka jenama EV ini iaitu Puteri Hanna Batrisha Ibrahim (yang membawa pulang hadiah utama bernilai RM5,000), Noor Hidayah Mohd Rodzi (naib johan dengan hadiah bernilai RM1,500) dan Ahmad Norrizzuan Noor Azhar (di tempat ketiga dengan hadiah bernilai RM1,000). Menurut Proton, seramai lebih 25,000 peserta telah menyertai pertandingan yang dianjurkan ini.

     
     
  • JPJ eBid: Siri DFB dan KFV bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Kelantan, DFB, bakal dibuka bidaan bermula 4 Julai 2024. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 8 Julai ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 9 Julai 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Kedah pula, KFV, bidaannya pula bakal dibuka mulai 5 Julai dan akan berakhir jam 10 malam pada 9 Julai. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 10 Julai 2024.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Xpeng G6 akan dilancar di Malaysia – laman web, saluran media tempatan jenama sudah beroperasi

    Xpeng G6 akan dilancar di Malaysia – laman web, saluran media tempatan jenama sudah beroperasi

    Dengan sekarang Bermaz Auto sudah mendapat hak pengedaran kenderaan jenama Xpeng di Malaysia, The Edge Malaysia melaporkan bahawa syarikat itu akan melancarkan G6 di dalam negara tidak lama lagi.

    Selepas diperhati dalam talian, laman web Xpeng Malaysia kini sudah beroperasi dengan tanda hak cipta “2024 Bermaz Xpeng Sdn Bhd” di bahagian bawahnya. Dalam laman itu, dan juga profail Facebook serta Instagram jenama sama, terdapat logo yang disertai oleh ayat “A new dawn in electric refinement”, memberi petunjuk kepada pengenalan model baru tidak lama lagi.

    Di Thailand, Xpeng G6 sudah dibuka untuk tempahan Mac lalu dalam dua varian – Standard Range berharga dari RM1.5 juta baht (RM200k) dan Long Range berharga dari 1.7 juta baht (RM230k). Pada masa itu, Tesla Model Y dijual pada harga antara 1.749 juta baht (RM229,700) ke 2.049 juta baht (RM269,200) untuk varian Long Range AWD.

    Di Malaysia, Tesla Model Y dijual pada harga bermula RM191,000 untuk varian RWD, dari RM238,000 untuk Long Range AWD dan dari RM280,000 untuk Model Y Performance – harga pada bulan April sewaktu pengurangan RM8,000 dibuat untuk semua model.

    Xpeng G6 akan dilancar di Malaysia – laman web, saluran media tempatan jenama sudah beroperasi

    Biasanya syarikat kereta akan berebut untuk perkongsian pasaran sebaik mula melancarkan model kereta mereka, tetapi bagi Bermaz Auto, mereka tidak mempunyai perancangan untuk membawa masuk jumlah yang banyak kerana masih percaya bahawa ekosistem kenderaan elektrik, terutamanya berkenaan rangkaian pengecas dan kepakaran teknikal masih tidak mencukupi untuk menarik penerimaan EV, kata CEO kumpulan Bermaz, Datuk Francis Lee Kok Chuan kepada The Edge Malaysia.

    Lee berkata lagi, Bermaz Auto mahu membina nilai ekuiti jenama yang mereka bawa, supaya pasaran mempunyai keyakinan untuk membeli kereta daripada jenama mereka, berbanding menunggu waktu diskaun. Dengan itu, beliau turut mengakui bahawa syarikat perlu berada dalam segmen EV, dan Xpeng juga sudah bersetuju untuk mengambil langkah yang tidak terlalu cepat untuk menembusi pasaran.

    “Ada syarikat dari China membawa ‘perang EV’ ke pasaran Malaysia. Anda tahu, kami tidak boleh terlibat. Maksud saya, [jika] kami membeli kereta ini, dan penerimaannya adalah rendah, apa yang perlu dilakukan? Anda perlu memberi diskaun! Ini tidak kena dengan Bermaz,” kata Lee.

    Kedua-dua Xpeng G6 varian Standard Range dan Long Range di Thailand dilengkapi dengan motor gandar belakang, yang menghasilkan kuasa 296 PS dan tork 440 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 6.6 saat.

    Menariknya, varian Long Range dikatakan boleh membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat, iaitu 0.7 saat lebih pantas berbanding varian Standard Range. Di pasaran lain, Xpeng G6 juga ada ditawarkan dalam versi dua motor, pacuan semua roda, yang berkuasa 487 PS/660 Nm.

    Beza antara Standard Range dan Long Range adalah bateri, di mana Standard Range datang dengan pek lithium iron phosphate (LFP) 66 kWh dengan jarak gerak 580 km, manakala Long Range dilengkapi bateri nickel cobalt manganese (NCM) 87.5 kWh, menawarkan jarak gerak 755 km.

    GALERI: Xpeng G6 di Bangkok

     
     
  • Penutupan lorong, lencongan trafik di Lebuhraya persekutuan, dari arah Klang ke KL, 5-20 Julai

    Penutupan lorong, lencongan trafik di Lebuhraya persekutuan, dari arah Klang ke KL, 5-20 Julai

    Kontraktor projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Setia Utama LRT 3 Sdn Bhd (SULRT3) telah memaklumkan bahawa terdapat penutupan lorong dan lencongan trafik akan dilaksanakan di Lebuhraya Persekutuan, bertentangan stesen minyak Petronas dan Shell (arah Kuala Lumpur dan Klang) dari 5 hingga 20 Julai ini.

    Menurut SULRT3, penutupan lorong dan lencongan trafik itu akan dilakukan bermula jam 11 malam hingga 5 pagi, membabitkan tiga peringkat. Selain itu, dalam tempoh penutupan tersebut, satu lorong akan disediakan untuk pemandu yang menghala ke Klang.

    Penutupan lorong, lencongan trafik di Lebuhraya persekutuan, dari arah Klang ke KL, 5-20 Julai

    Bagi peringkat pertama, lorong paling kiri dan tengah Lebuhraya Persekutuan (arah Klang) akan ditutup dari 5 hingga 6 Julai ini.

    Penutupan lorong, lencongan trafik di Lebuhraya persekutuan, dari arah Klang ke KL, 5-20 Julai

    Bagi peringkat kedua, laluan cepat di Lebuhraya Persekutuan (arah Kuala Lumpur dan Klang) akan ditutup dari 12 hingga 13 Julai.

    Penutupan lorong, lencongan trafik di Lebuhraya persekutuan, dari arah Klang ke KL, 5-20 Julai

    Bagi peringkat tiga, lorong paling kiri dan tengah Lebuhraya Persekutuan (arah Kuala Lumpur) akan ditutup dari 19 hingga 20 Julai, dan satu lorong akan disediakan untuk pemandu yang menuju ke Kuala Lumpur.

    “Lencongan itu dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR). Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku kepada orang ramai,” katanya.

    Perkhidmatan LRT3 atau akan dikenali sebagai LRT Laluan Shah Alam ini melibatkan jajaran sepanjang 37.8 km ini. Ia menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Kos pembinaan projek ini dikatakan mencecah RM4.7 bilion dan bakal memberikan manfaat kepada dua juta penduduk sekitar. Bandar Utama merupakan salah satu hentian bagi MRT Laluan Kajang, manakala salah satu stesen pertukarannya terletak di Glenmarie iaitu bagi LRT Laluan Kelana Jaya.

     
     
  • Pemilik Ducati Panigale Malaysia catat rekod dunia

    Pemilik Ducati Panigale Malaysia catat rekod dunia

    Pernah mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records sebelum ini dengan penyertaan 150 buah motosikal, pemilik Ducati Panigale di Malaysia kini sekali lagi mencatat rekod baru dengan pengumpulan 310 buah Panigale dalam sebuah acara yang dianjurkan oleh Panigale Kingdom.

    Bukan setakat itu, kenyataan media yang dikeluarkan juga menyebut bahawa ini adalah satu rekod dunia baru, dalam perhimpunan model Ducati Panigale. Kesemua mereka berkumpul di pusat pameran Ducati KL dan kemudiannya menunggang bersama-sama ke Nilai Springs untuk aktiviti kelab.

    “Panigale Kingdom Mega Gathering ini bukan sahaja satu acara yang memecahkan rekod dunia, tetapi juga sambutan semangat “Malaysia Boleh!” dan menunjukkan cinta kepada Ducati di negara kita,” kata COO Ducati Malaysia, Dennis Michael.

    Selain Dennis dan pengarah pemasaran Ducati Asia Pasifik, Siddhartha Varma, acara ini turut disertai oleh ikon permotoran dan pelumba negara, Hafizh Syahrin.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025