Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Art of Speed 2024 angkat tema “Stop the Violence”; pameran ruang tertutup lebih besar, lebih meriah!

    Art of Speed 2024 angkat tema “Stop the Violence”; pameran ruang tertutup lebih besar, lebih meriah!

    Bagi peminat acara kustom culture tempatan, ini dia yang anda tunggu; Art of Speed Malaysia (AOSM) hari ini sudahpun melancarkan acara tahunan Art of Speed untuk edisi 2024, dan ia bakal berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) bermula 27 hingga 28 Julai ini!

    Cakna dengan apa yang berlaku di Malaysia baru-baru ini di mana pemain bola sepak kebangsaan dan pasukan Selangor FC (SFC) menjadi mangsa serangan ‘keganasan bola sepak’, AOS menyokong SFC untuk menyebarkan “cinta tanpa benci; perpaduan tanpa sempadan” dalam dunia budaya automotif tempatan. Malah mesej ini juga disebar untuk peringkat global dengan kempen bagi membebaskan Palestin.

    Sekali lagi AOS menggunakan sepenuhnya kesemua dewan dan juga kawasan luar MAEPS dengan keluasan 8.6 ekar, tetapi kali ini ruang pameran tertutup disediakan lebih besar seluas 452,084 kaki persegi, berbanding 350,000 kaki persegi tahun lalu.

    “Kami amat bersyukur kerana dapat menganjurkan Art of Speed ​​Malaysia selama 13 tahun. Ia bukan sahaja untuk merealisasikan sebuah impian tetapi juga untuk kekal dengan cita-cita asal kami iaitu mengadakan acara yang mengumpulkan peminat-peminat di bawah satu bumbung untuk meraikan segala yang berkaitan dengan seni, gaya hidup, budaya dan permotoran,” kata Encik Asep Ahmad Iskandar, Pengarah Festival, Art of Speed ​​Malaysia (AOSM).

    Art of Speed 2024 angkat tema “Stop the Violence”; pameran ruang tertutup lebih besar, lebih meriah!

    “Kami dengan sedaya upaya telah mencipta acara kami dengan dasar dan cara yang betul untuk diikuti, iaitu menyediakan ruang yang selamat, selesa dan inklusif, kandungan untuk semua deria manusia, aspirasi yang berpatutan, persaudaraan, dan sentiasa meraikan masa yang baik. Kesimpulannya, Art of Speed ​​adalah untuk semua orang; sentiasa ada dan akan sentiasa ada. Terima kasih kerana bersama dengan kami sekali lagi untuk tahun 2024 dan jom kita sama-sama nanti meraikan AOS 2024!”

    Bagi tetamu komuniti kustom antarabangsa, tahun ini pertama kali AOS akan membawa pemandu drift Jepun dan juga pemilik garaj Fat Five Racing, Daigo Saito. Seperti yang ramai tahu, Daigo Saito bukan sahaja bekas juara siri perlumbaan D1GP di Jepun dan bekas juara Formula D Amerika Syarikat, malah garaj Fat Five Racing miliknya turut menghasilkan jentera-jentera drift luar biasa yang diasaskan dari model-model eksotik seperti Lamborghini, Ferrari, Nissan Skyline ‘Hakosuka’ C10 dan banyak lagi.

    Wakil-wakil dari Mooneyes Japan turut akan terus mewarnai AOS 2024 dengan kehadiran Shige Suganuma, Shinotsuka “NATQQ” Michihisa dan Hey Murakamii. Tetamu lain yang hadir dan membawa ‘hasil seni’ masing-masing termasuk Katie’s Customs, Jepun akan menampilkan motosikal kustom Vincent Black Shadow; Masato Ikemori dari STOOP Motorcycles hadir dengan Harley-Davidson Panhead; Pengasas Evilact, Jepun Minato Yamamoto membawa Harley-Davidson Knucklehead EL 1947.

    Turut hadir adalah drifter dan pembina kereta drift serta motosikal custom Nigel Petrie dari Engineered To Slide, Australia yang terkenal dengan jentera drift space frame Toyota Hilux, ‘Prince of Drift’ Malaysia Tengku Djan Ley, Makoto dari Makoto M&K Custom Signs iaitu artis yang menghasilkan poster AOS 2024 dan juga pereka untuk kereta die-cast di Hot Wheels Japan Collectors Convention, serta ramai lagi.

    Antara yang baharu diperkenalkan pada AOS 2024 ini termasuk Komuniti Moto4sale untuk jual beli motosikal bawah 500cc dan Kolaborasi Art of Speed ​​bersama IGL Coatings akan mempamerkan coating edisi terhad yang dibuat khas untuk penunggang motosikal dan motosikal.

    Selain itu, AOS turut berkolaborasi bersama empat jenama tahun ini iaitu Art of Speed X Zippo, Art of Speed X Von Dutch (baju kerja dan topi), Art of Speed X Selangor FC, dan Art of Speed x Mooneyes.

    AOS Invitational Build-Off juga kembali tahun ini dengan 10 orang pembina binaan khas yang akan merebut hadiah wang tunai dan juga peluang untuk menghantar motorsikal kustom mereka ke Jepun untuk acara The 32nd Yokohama Hot Rod Custom Show 2024. Pembina binaan khas yang terpilih adalah Abah & Sons (Padin Musa), Nodie Cycles, Acid Welding, Zuhalfast, RGF, Flying Loser, Chaos Customs, FNG Works dan Son of Abdul.

    Selepas mencatatkan sejarah sebagai konvensyen Hot Wheels yang pertama diaiakan di Asia tahun lalu, “The 2nd Official Hot Wheels Collectors Convention Malaysia” kembali lagi di Dewan C dalam AOS tahun ini. Kali ini pengunjung akan dapat menikmati lebih banyak aktiviti Hot Wheels – yang termasuk Pameran Hot Wheels Rare dan Collectibles, Hot Wheels Skate School, Hot Wheels Swap Buy And Sell, sesi perkongsian pengumpul, Pertandingan Kustom Hot Wheels dan banyak lagi.

    Art of Speed 2024 angkat tema “Stop the Violence”; pameran ruang tertutup lebih besar, lebih meriah!

    Dan untuk satu malam, majlis makan malam juga akan diadakan untuk Hot Wheels Collector Convention di Hotel Concorde, Kuala Lumpur. AOS 2024 akan melancarkan modal die-cast eksklusif konvensyen pertama untuk Malaysia bersama-sama Pengurus Pereka – Kenderaan Hot Wheels, Dwayne Vance.

    Antara yang kembali dalam AOS 2024 termasuk Outdoor ThunderCircus “Brotherhood Rally”, sorotan untuk ThunderCircus termasuk “ride-in” mega dan pengumpulan kumpulan motosikal dari sekitar rantau ini, NEAT Fest di Dewan C oleh No Equal dan Off The Grid akan kembali semula di Dewan C menampilkan “gaya hidup outdoor” yang diadakan di ruangan tertutup dengan keselesaan hawa dingin.

    Manakala acara utama Show & Shine akan terus diadakan di Dewan A, menampilkan kereta-kereta yang telah diubah suai dan motosikal bermodifikasi terbaik dengan peluang memenangi Best of Show iaitu lawatan ke The 32nd Annual Yokohama Hot Rod Custom Show yang akan diadakan pada Disember 2024 nanti.

    Cabutan bertuah tahun ini akan berlangsung pada hari Ahad dan ianya istimewa kerana hadiahnya merupakan kolaborasi antara AOS X QARTEL TV. Seorang pemegang tiket bertuah akan pulang dengan hadiah cabutan bertuah iaitu sebuah Honda yang telah dimodifikasi. Kereta ini merupakan kenderaan “moden” pertama yang dipilih sebagai hadiah, di mana AOS telah bekerjasama dengan Qaqal Jeffry dari Qartel TV.

    Bagi konsert SoundCircus yang sebelum ini dilangsungkan di kawasan terbuka digantikan dengan SoundCircus Takeover yang bakal dipindahkan ke Dewan A MAEPS. Antara penghibur yang akan membuat persembahan di SoundCircus Takeover tersebut termasuk kugiran musik seperti Spider, Gerhana Ska Cinta, Salam Musik, Jemson X Forcesparkbois, Slatan, 53 Universe dan ramai lagi. SoundCircus akan diadakan sepanjang acara berlangsung dari 27 ke 28 Julai 2024 dari jam 4:00 petang hingga lewat.

    Pas hujung minggu AOS 2024 boleh diperolehi di depan pintu dan atas talian dengan harga RM35.00, manakala kanak-kanak di bawah umur 12 tahun masuk secara percuma. Pemegang pas OKU juga diberikan kemasukan secara percuma. Baharu untuk tahun 2024 adalah pilihan untuk mendapatkan parkir tiket valet VIP. Dengan bayaran RM30.00 (tidak termasuk yuran pemprosesan RM3), pengunjung boleh meletakkan kereta mereka di aras bawah di Dewan D dan ia sah untuk kemasukan sehari.

     
     
  • Kereta gelap serap lebih banyak haba? Kami uji menggunakan Perodua Myvi di bawah terik matahari

    Kereta gelap serap lebih banyak haba? Kami uji menggunakan Perodua Myvi di bawah terik matahari

    Warna luaran kerap juga menjadi faktor pemilihan pembeli kenderaan di Malaysia, selain reka bentuk, teknologi dan jenamanya. Pemilihan warna badan kenderaan biasanya bergantung kepada selera masing-masing, mengikut pertimbangan sendiri juga. Warna yang selamat, warna terang, yang tidak terlalu menarik perhatian dan macam-macam lagi — semuanya ada tersedia.

    Namun, untuk iklim panas seperti di Malaysia ini, warna mana yang lebih sesuai sebenarnya? Tambahan jika kereta itu diparkir di bawah terik matahari, yang menjadikannya seperti “ketuhar” jika dibiarkan cukup lama. Jadi, tahap kepanasan dalam kabin ini, adakah ia bergantung kepada warna badan kenderaan? Benarkah ada warna yang menyerap lebih banyak haba berbanding yang lain?

    Semuanya bergantung kepada cara warna terbabit memantulkan atau menyerap gelombang cahaya ketika ia terdedah, dengan tenaga berkenaan yang bertukar menjadi haba. Anda mungkin perasan tentang hal ini melalui baju yang dipakai — hitam akan membuatkan kita rasa lebih panas, sementara putih pula lebih sejuk. Ini kerana warna gelap seperti hitam itu menyerap semua gelombang cahaya yang ada, sementara warna cerah pula memantulkannya.

    Prinsip yang sama juga adalah terpakai untuk semua, begitu juga dengan logam. Sebagai konduktor haba yang baik, permukaan kenderaan akan mengekalkan haba dengan lebih berkesan berbanding kain misalnya. Dengan kaca serta material dalam kabin — dan warnanya — akan memainkan peranan untuk mempengaruhi suhu di dalam, kesan thermal dari radiasi permukaan luaran juga turut memberi kesan sekiranya lama terdedah di bawah matahari.

    Jika semuanya setara, sejauh mana kereta warna gelap lebih panas berbanding kereta putih di bawah matahari?

    Kami melakukan ujian terhadap perkara ini dengan menggunakan Perodua Myvi dengan warna yang berbeza (kelabu gelap, putih dan merah) dan mengukur tahap kepanasannya (menggunakan thermometer industri yang mudah alih) untuk meninjau sepanas mana ia boleh jadi — di dalam dan juga di luar — sekiranya kereta diletakkan di bawah terik matahari dalam satu tempoh waktu yang sama. Semua kereta ini tidak menggunakan filem penapis haba untuk tingkapnya, dengan bacaan diambil di beberapa kawasan di dalam dan juga di luar.

    Ketika diletakkan di bawah khemah, kedua-dua contoh kelabu gelap dan putih itu memberikan bacaan permukaan luaran sebanyak 38.1°C, sementara Myvi merah sedikit lebih panas dengan 39°C. Di dalam, Myvi kelabu gelap mencatatkan bacaan 34.2°C, sementara Myvi merah memberikan 33.7°C, dan yang putih menjadi laing rendah dengan suhu 33.1°C.

    Kemudian, semua kereta di alih dan diletakkan di bawah matahari secara langsung selama sejam. Suhu permukaan luaran Myvi kelabu gelap memberikan bacaan lebih daripada sekali ganda menjadi 74.9°C, iaitu 18.5°C lebih tinggi berbanding bacaan 56.4°C untuk Myvi putih. Myvi merah pula memberi bacaan 67.3°C. Di dalam pula, perbezaannya tidak terlalu besar: bacaan Myvi putih ialah 46°C, hampir empat darjah kurang daripada Myvi kelabu gelap dengan 49.8°C.

    Dengan menghidupkan pendingin ke tahap maksimum untuk tempoh 15 minit selepas itu telah menurunkan suhu dalam kabin, yang mana kereta merah dan putih mencatatkan 35.9°C, sementara yang kelabu gelap menjadi 39.1°C. bacaan di luar pula lebih rendah hampir empat hingga lima darjah.

    Jadi, seperti yang dapat dilihat melalui angka bacaan ini, kereta warna gelap akan menyerab lebih banyak haba. Jika anda ingin menukar warna kereta untuk menjadikannya lebih sejuk, apa kata lakukannya di pusat badan dan cat Carro Care? Servis mengecat semula Carro Care ketika ini sedang mengadakan promosi dengan potongan harga sehingga 40%! Tidak hanya itu, ia juga datang dengan jaminan tiga tahun. Tempah slot untuk kereta anda di sini.

     
     
  • Cycle & Carriage buka Mercedes-Benz Autohaus ke-12 di Malaysia dan yang keempat di Pulau Pinang

    Cycle & Carriage buka Mercedes-Benz Autohaus ke-12 di Malaysia dan yang keempat di Pulau Pinang

    Cycle & Carriage kini telah melancarkan premis Mercedes-Benz Autohaus ke-12 di Malaysia dan yang keempat di Pulau Pinang. Kemudahan berkenaan terletak di sepanjang Jalan Sungai Pinang di George Town. Pusat 2S tersebut dibuka ketika Cycle & Carriage meraikan ulangtahun ke-125 dan akan menampung keperluan pelanggan yang semakin bertambah di kawasan Utara.

    Meliputi keluasan 90,000 kaki persegi, termasuk kawasan binaan seluas 56,822 kaki persegi, kedudukan Cycle & Carriage Sungai Pinang sangat strategik dan berdekatan dengan kawasan ikonik lain seperti Komtar dan Gurney. Pusat 2S itu menampilkan imej runcit jenama Mercedes-Benz yang terkini, dengan ruang menunggu yang selesa serta servis khusus dan Star Assistant.

    Ia juga menjadi satu-satunya pusat badan dan cat Mercedes-Benz di Pulau Pinang melibatkan sebanyak 21 ruang servis. Semua ini ditempatkan dalam bangunan lima-tingkat yang merangkumi bengkel servis, serta dikendalikan oleh juruteknik berkemahiran, dengan kapasiti 550 unit kenderaan sebulan.

    Aspek lain yang menarik tentang Cycle & Carriage Sungai Pinang ini ialah pensijilan bangunan hijaunya yang menerima penarafan emas. Usaha mesra alam termasuklah wajah depan bangunannya yang mengurangkan penembusan haba, penggunaan panel solar, sistem pendingin cekap tenaga, lampu LED dengan fotosel dan penderia gerakan serta pemantauan masa nyata terhadap tahap penggunaan tenaga.

    Kemudahan ini juga dilengkapi dengan sistem tadahan air hujan, pengecas DC 180k DC dan lif kereta untuk capaian ke semua tingkat, serta dengan bekalan kuasa simpanan untuk memastikan kelancaran operasi, termasuk ketika kecemasan.

    “Pasukan kami telah bekerja keras untuk memastikan setiap aspek Cycle & Carriage Sungai Pinang ini akan mencerminkan kesungguhan kami terhadap kecemerlangan, kemapanan dan kepuasan pelanggan. Kami mengalu-alukan kehadiran pelanggan dari kawasan sekitar ke pusat servis Mercedes-Benz Cycle & Carriage terbaru ini,” ujar CEO Cycle & Carriage, Thomas Tok.

     
     
  • Chery rancang eksport dari kilang baru di Shah Alam – hab RHD, R&D, sasar pelaburan RM1 bilion

    Chery rancang eksport dari kilang baru di Shah Alam – hab RHD, R&D, sasar pelaburan RM1 bilion

    Chery Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan media, menyatakan rancangan integrasi serta pelaburan mereka di sini. Semuanya adalah berkenaan dengan kilang Chery Corporate Malaysia yang baru dibuka di Shah Alam bulan lalu.

    Kilang ini memulakan operasi dengan pemasangan SUV Jaecoo J7 untuk pasaran tempatan, sementara model sedia ada Chery seperti Omoda 5, Tiggo 8 Pro dan Tiggo 7 Pro masih lagi dikeluarkan melalui kilang Inokom di Kulim, Kedah.

    Bergerak terus ke depan, syarikat ini mempunyai perancangan yang lebih besar untuk Shah Alam dan Malaysia, iaitu menjadikan ia sebagai hab kenderaan panduan sebelah kanan serta kemudahan penyelidikan dan pembangunan. Sebelum ini ia sudah disahkan oleh presiden Chery International, Zhang Guibing yang melancarkan kilang Shah Alam tersebut.

    “Sementara China menggunakan kenderaan pemanduan sebelah kiri, Malaysia menawarkan peluang unik untuk menyediakan keperluan pasaran pemanduan sebelah kanan. Kami sangat berminat untuk mengembangkan perniagaan di sini dan Malaysia boleh menjadi hab pemanduan sebelah kanan,” kata Zhang sambil menambah syarikat mempunyai perancangan untuk meneroka eksport ke negara RHD dan menggunakan kedudukan strategik Malaysia.

    Zhang juga memberitahu bahawa Chery mempunyai visi masa panjang yang termasuk “memastikan rakan kongsi tempatan berpuas hati, mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia serta memperkenalkan teknologi baru kepada pasaran tempatan.”

    Kesemua usaha ini, menurut Zhang akan menguatkan lagi asas operasi Chery di Malaysia, dan “memastikan kualiti serta kecekapan berstandard tinggi yang seterusnya membina keyakinan pelanggan berpanjangan.”

    Hujung tahun lalu Chery menjanjikan pelaburan RM1 bilion untuk memberi sokongan kepada Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030. Syarikat itu menyatakan ia adalah sebagai satu komitmen jangka masa panjang yang menunjukkan keyakinan mereka terhadap potensi Malaysia.

     
     
  • Lexus Malaysia siar teaser RZ, LBX – pelancaran EV asas sama dengan bZ4X, SUV hibrid semakin hampir?

    Lexus Malaysia siar teaser RZ, LBX – pelancaran EV asas sama dengan bZ4X, SUV hibrid semakin hampir?

    Walaupun sudah agak lambat, UMW Toyota Motor nampaknya akan mula memperkenalkan model elektrik ke pasaran Malaysia, bermula dengan jenama mewah mereka, iaitu Lexus. Dalam Instagram, syarikat itu menyiarkan satu teaser yang menampakkan bayang kereta elektrik (EV) RZ.

    Ia dapat dikenali melalui lampunya, yang bukan sahaja mempunyai jalur DRL berbentuk tajam, tetapi juga tiga bintik di bawahnya, pada setiap sisi. Walaubagaimanapun, kita masih tidak mengetahui varian RZ mana yang akan dibawa.

    Sebagai makluman, RZ dibina atas platform e-TNGA yang sama dengan Toyota bZ4X dan Subaru Solterra, dan di negara luar ia mempunyai dua varian, bermula dengan RZ300e yang menggunakan motor elektrik tunggal 204 PS/265 Nm, bateri 71.4 kWh serta jarak gerak 480 km.

    Di atasnya terdapat varian RZ450e pacuan semua roda, dan berkemungkinan ini yang akan tiba di Malaysia. Varian ini ditambah dengan motor belakang 109 PS/170 Nm, sekaligus menyumbang kepada kuasa keseluruhan 313 PS dan membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat. Menggunakan bateri 71.4 kWh yang sama seperti RZ300e, jarak gerak RZ450e bagaimanapun menurun kepada 440.

    Jika melihat di negara jiran, Thailand, RZ ini sebenarnya tidak murah, ia dijual antara 3.87 juta baht (RM496,800) ke 4.19 juta baht (RM537,900). Tapi, untuk negara kita, harganya mungkin boleh turut sedikit kerana pengecualian cukai EV import masih lagi

    Selain RZ, UMW Toyota juga mengeluarkan teaser ketibaan kereta paling kecil Lexus, iaitu LBX. Ia adalah sebuah SUV segmen B yang menggunakan platform sama dengan Toyota Yaris Cross, dan apabila masuk dalam pasaran nanti, akan diletakkan sebagai produk permulaan, menggantikan UX.

    Di pasaran sedunia, LBX ini cuma ada satu versi sahaja iaitu hibrid yang menggunakan gabungan enjin tiga silinder NA 1.5 liter 91 PS/120 Nm dengan motor elektrik 94 PS/185 Nm, menghasilkan kuasa keseluruhan 131 PS. Pecutan 0-100 km/j dapat dihasilkan dalam masa 9.6 saat.

    Sekali lagi, model ini juga tidak murah, dengan di Thailand ia dijual pada harga bermula 2.229 juta baht (RM286,100). Tidak seperti RZ yang merupakan kenderaan elektrik penuh, LBX tidak layak untuk mendapat sebarang insentif cukai dan harganya mungkin cuma murah sedikit berbanding sedan ES yang dijual bermula RM320,888.

    GALERI: Lexus RZ di acara Toyota Beyond Zero

    GALERI: Lexus LBX di Bangkok

     
     
  • VinFast VF5 EV dilancar di Indonesia – bateri pajakan dari RM70k, keseluruhan RM90k; akan tiba di M’sia?

    VinFast VF5 EV dilancar di Indonesia – bateri pajakan dari RM70k, keseluruhan RM90k; akan tiba di M’sia?

    VinFast VF5 kini telah pun dijual di Indonesia, di mana hatchback EV kompak ini ditawarkan pada harga dari Rp 242 juta. Ia bersamaan dengan RM70k, tetapi dengan harga itu, anda cuma mendapat kereta tanpa bateri. Walau bagaimana pun, ia ditawarkan dengan program pajakan bateri, tetapi jika anda mahukan bateri sendiri, EV kelahiran Vietnam ini berharga Rp 310 juta (RM90k).

    Terdapat tiga pakej bagi program pajakan bateri. Pertama, berharga Rp 990,000 (RM285) dengan perbatuan terhad pada 1,500 km sebulan. Untuk pakej kedua, ia ditawarkan pada harga Rp 1.415 juta (RM407) dengan had perbatuan berganda iaitu cecah 3,000 km sebulan. Manakala bagi perbatuan cecah 3,000 km dan keatas, pakej yang ditawarkan bernilai Rp 2.36 juta (RM680).

    Pajakan bateri untuk EV masih belum dilaksanakan di Malaysia, tetapi adakah anda sanggup membayar harga sebegitu setiap bulan sebagai pertukaran untuk harga pembelian kenderaan yang lebih rendah? Walau bagaimana pun, VinFast Indonesia juga menjual VF5 bersama bateri dengan harga ‘all-in’ Rp 310 juta (RM90k), dan pek bateri berkapasiti 29.6 kWh memiliki waranti tanpa had perbatuan selama lapan tahun. Manakala waranti untuk kereta itu sendiri diberikan selama tujuh tahun atau 160,000 km.

    VinFast VF5 EV dilancar di Indonesia – bateri pajakan dari RM70k, keseluruhan RM90k; akan tiba di M’sia?

    VF5 memiliki imej yang moden, berukuran 3,965 mm panjang, 1,720 mm lebar dan 1,580 mm tinggi, dengan jarak roda cecah 2,513 mm. Crossover kompak ini besar sedikit daripada Perodua Myvi. Di Vietnam, varian tunggal VF5 Plus ditawarkan dari harga VND 458 juta (sekitar RM85k) dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 37.23 kWh yang mampu memberikan jarak gerak hingga 326 km mengikut kitaran NEDC. Dengan menggunakan pengecas pantas DC membolehkan bateri mencapai status pengecasan dari 10-70% dalam masa 30 minit.

    Motor elektrik pemasangan-hadapan mampu memberikan output hingga 136 PS (100 kW) membolehkan VF5 ini dipecut dari 0-100 km/j dalam hanya 10.9 saat. Di Thailand, VF5 telah pun dilancarkan dalam acara BIMS 2024, denganversi 95 PS (70 kW) dan jarak gerak 260 km mengikut kitaran NEDC.

    VinFast VF5 juga pernah dikesan beberapa kali diuji di atas jalan raya di Malaysia. Adakah ini bermakna, ia bakal dilancarkan di sini tidak lama lagi?

     
     
  • Laluan B66 Jalan Batang Kali-Genting Highlands dibaikpulih guna TerraLink Wall System, kos RM19j

    Laluan B66 Jalan Batang Kali-Genting Highlands dibaikpulih guna TerraLink Wall System, kos RM19j

    Semalam tepat jam 3 petang, laluan B66 Jalan Batang Kali-Genting Highland telah pun dibuka semula kepada pengguna jalan raya.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim, kerja pembaikan cerun tersebut dengan kos mencecah RM19 juta menggunakan kaedah Terralink Wall System yang menggabungkan pelbagai kaedah kejuruteraan civil yang kompleks, laporan Harian Metro.

    “Kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor untuk menggunakan reka bentuk TerraLink Wall System kerana ia tidak banyak digunakan. Sistem ini digunakan selepas mengambil kira lokasi yang agak compact dan construction space tidak luas,” katanya selepas merasmikan flag off pembukaan semula laluan berkenaan kepada pengguna jalan raya.

    Pada masa sama, Izham berkata, pembukaan jalan itu juga akan memberi faedah kepada orang awam berbanding dua tahun sebelumnya.

    “Sebelum ini, laluan alternatif ini ditutup dan hanya dibuka satu laluan untuk pekerja-pekerja di Genting Highlands yang menetap di Batang Kali. Saya berharap ia akan memberi manfaat dan keselesaan kepada pengguna,” katanya.

    Sebelum ini, laluan berkenaan ditutup susulan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 31 nyawa pada Disember 2022.

     
     
  • Jualan Tesla Model Y di Eropah jatuh dari no.1 kepada no.18; carta kini diungguli oleh VW T-Roc dan Golf

    Jualan Tesla Model Y di Eropah jatuh dari no.1 kepada no.18; carta kini diungguli oleh VW T-Roc dan Golf

    Mei tahun lalu Tesla Model Y mencatatkan sejarah apabila menjadi model EV pertama yang dinobatkan sebagai model terlaris di Eropah dengan mengungguli carta jualan kenderaan di benua berkenaan. Namun untuk Mei 2024, segala-galanya berubah apabila model tersebut hanya berada di kedudukan ke-18 dalam carta yang sama, menurut laporan Carscoop.

    Data jualan ini diperolehi dari Dataforce, dan ia menunjukkan bahawa Tesla Model Y hanya dijual sebanyak 10,582 unit, turun mendadak sehingga 49%. Laporan ini menyebut kejatuhan jualan ini antaranya berpunca kerana ada negara yang sudahpun menghentikan subsidi untuk pembelian EV, dan juga mogok pekerja Tesla di Sweden yang menjejaskan penghantaran kepada pelanggan.

    Carta jualan kenderaan di Eropah pada Mei 2024 diungguli oleh dua model dengan enjin pembakaran dalaman dari Volkswagen iaitu SUV T-Roc, dan juga versi facelift Volkswagen Golf Mk8.5 yang baru sahaja diperkenalkan di benua berkenaan.

    T-Roc mencatatkan jualan sebanyak 19,748 unit, naik sebanyak 19% berbanding bulan sama tahun lalu. Manakala Golf yang diberikan pelbagai kemaskini termasuk penggunaan suis fizikal semula pada roda stereng mencatatkan jualan 19,333 unit atau naik 28%.

    Walau bagaimanapun, data ini masih belum dimuktamadkan, namun Auto News pula menjangkakan angka akhir kelak mungkin akan menyaksikan jualan Golf mencatatkan jumlah lebih tinggi berbanding T-Roc.

     
     
  • Yuran cetakan Sijil Pemilikan Kenderaan diturunkan ke RM20 untuk Semenanjung Malaysia dan Sabah

    Yuran cetakan Sijil Pemilikan Kenderaan diturunkan ke RM20 untuk Semenanjung Malaysia dan Sabah

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengumumkan bahawa yuran untuk cetakan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) telah diturunkan ke RM20 berkuatkuasa 1 Julai 2024 untuk Semenanjung Malaysia dan Sabah termasuk Labuan.

    Sebelum semakan harga ini, yuran tersebut adalah RM50 untuk Semenanjung dan RM25 di Sabah. Sementara untuk Sarawak pula, ia masih dikekalkan dengan yuran tambahan sebanyak RM5 menjadikannya kadar keseluruhan RM25 untuk VOC.

    “Penyelarasan ini bertujuan untuk merapatkan jurang perbezaan kadar yuran antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.

    VOC diperkenalkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada tahun 2016 bagi menggantikkan Kad Pendaftaran (RC) atau juga dikenali sebagai ‘geran kenderaan’. VOC masih kekal tertera butiran kenderaan dan pemilikan yang berkaitan seperti RC, tetapi tidak seperti RC yang perlu dibawa dalam bentuk fizikal sebagai dokumen untuk transaksi berkaitan seperti pembaharuan cukai jalan, pertukaran pemilikan kenderaan atau pindaan kepada butir-butir kenderaan.

     
     
  • Pakar saran kerajaan tangguh, kurangkan subsidi petrol RON95 berperingkat, bukan secara drastik

    Pakar saran kerajaan tangguh, kurangkan subsidi petrol RON95 berperingkat, bukan secara drastik

    Dalam laporan Sinar Harian, beberapa orang pakar ekonomi telah menyarankan agar kerajaan melaksanakan pengurangan subsidi petrol RON95 secara berperingkat dan bukannya drastik seperti penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan baru-baru ini.

    Menurut Pro Naib Canselor Universiti Kolej Icats Kuching, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor, pengurangan subsidi RON95 secara drastik bukan sahaja membebankan rakyat malah memberikan kesan negatif kepada ekonomi negara. Beliau turut menambah pengurangan itu wajar ditangguhkan sementara waktu sehingga sentimen dan keadaan kembali normal susulan kejutan penarikan subsidi diesel secara drastik.

    “Kalau mahu tarik subsidi RON95 jangan tarik terus kepada harga pasaran, buat sikit-sikit. Sekarang belum sesuai, rakyat pun masih tidak stabil dan belum bersedia dengan kenaikan harga diesel selepas kerajaan tarik subsidi,” katanya.

    Manakala pakar ekonomi dan kewangan dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berpendapat, penstrukturan semula pembahagian subsidi adalah langkah penting untuk memperbaiki kewangan negara iaitu dalam usaha mengurangkan hutang kerajaan dan defisit perbelanjaan tahunan negara.

    Pakar saran kerajaan tangguh, kurangkan subsidi petrol RON95 berperingkat, bukan secara drastik

    Beliau menjelaskan bahawa data yang diberikan oleh rakyat melalui sistem Pangkalan Data Utama (PADU) seharusnya boleh memberikan cadangan jumlah yang sesuai mengikut pendapatan bersih setiap isi rumah dan bukan hanya secara purata seperti diesel.

    “Di sinilah kebijaksanaan kerajaan diperlukan untuk memberikan bantuan yang tepat demi kebajikan rakyat,” katanya.

    Sebelum ini proses penyasaran subsidi bahan api diesel dilaksanakan secara mengejut oleh kerajaan di mana pengumumannya hanya dibuat pada 9 Jun 2024 dan ia mula berkuatkuasa pada 10 Jun. Malah peningkatan harga bahan api tersebut juga naik mendadak melebihi 50% dari RM2.15 seliter kepada RM3.35 seliter.

    Baru-baru ini menteri ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata kerajaan akan mengambil strategi sama untuk petrol RON 95, seperti diesel, di mana tiada notis awam awal dikeluarkan berkenaan keputusan untuk menarik balik subsidi menyeluruh sedia ada.

     
     
  • Tiada rancangan laksana had usia pemandu – Loke

    Tiada rancangan laksana had usia pemandu – Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan buat masa ini tiada rancangan untuk melaksanakan had usia pemandu, seperti dilaporkan oleh The Star. Walau bagaimana pun, beliau mengakui bahawa sebelum ini ada desakan agar had umur dikenakan ke atas pemandu bagi mengelak kemalangan.

    Beliau turut diminta mengulas mengenai kajian keselamatan jalan raya yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendapati 30% pemandu yang berumur 60 tahun ke atas masih aktif memandu di jalan raya. Loke berkata walaupun melibatkan faktor usia, namun ada sebab lain yang menghalang pelaksanaan mengenakan had usia bagi pemandu.

    “Tun Dr Mahathir kini berusia 99 tahun dan beliau masih memandu. Bahkan bapa saya juga masih memandu,”kata Loke lagi. Tambahnya, adalah sukar untuk mengenakan larangan memandu ke atas warga emas, terutamanya jika mereka tinggal di kawasan luar bandar, atau jika mereka perlu memandu disebabkan hal kecemasan.

    Tiada rancangan laksana had usia pemandu – Loke

    Sebelum ini, pada tahun 2021, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengusulkan cadangan untuk mengenakan syarat khas bagi mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas, termasuk keperluan menjalani pemeriksaan doktor bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat untuk memandu.

    Tidak lama selepas itu, Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Wee Ka Siong menafikan dakwaan mengenai pelaksanaan mengehad usia pemandu sedang dalam perancangan. Katanya, kecekapan pemandu tidak seharusnya dinilai berdasarkan usia semata-mata.

     
     
  • Subsidi petrol RON95 dimansuhkan di M’sia – pemilik kereta dapat tunai bulanan RM150, RM50 untuk motor?

    Subsidi petrol RON95 dimansuhkan di M’sia – pemilik kereta dapat tunai bulanan RM150, RM50 untuk motor?

    Walaupun kerajaan berkata ia sedang mengkaji perluasan program rasionalisasi subsidi bahan api untuk petrol RON 95, namun, tiada sebarang keputusan dibuat dalam masa ini. Bagaimanapun, pelaksanaannya tidak dapat dielakkan, walau mungkin bukan dalam masa terdekat.

    Namun, isu yang sedang diperkatakan sekarang ini ialah berapakan jumlah minima bagi bantuan kewangan secara bulanan yang bakal disalurkan kepada individu yang layak? Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berpendapat sekurang-kurangnya RM50 sebulan untuk pemilik motosikal dan RM150 untuk pemilik kereta.

    “Sebelum ini sudah ada pengiraan dibuat cuma tidak rasmi iaitu pemilik motosikal akan dapat RM30 sebulan dan pemilik kereta yang kurang 1,000cc terima RM120. Kalau diikutkan jumlah itu memang tidak cukup,” katanya kepada Sinar Harian.

    Buat masa ini, RON 95 tanpa subsidi dijual pada harga RM3.19 seliter, menurut Double selaku peruncit bahan api tanpa subsidi yang menjualnya di beberapa stesen minyak di Perlis. Berdasarkan kadar ini dan harga bahan api bersubsidi RM2.05 seliter sekarang, bantuan tunai RM150 akan menampung 131.7 liter petrol pertama yang digunakan dalam sebulan. Pada masa ini, jumlah bantuan Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel ialah RM200 sebulan.

    Subsidi petrol RON95 dimansuhkan di M’sia – pemilik kereta dapat tunai bulanan RM150, RM50 untuk motor?

    Berkenan dengan bantuan yang boleh disalurkan, beliau berkata kerajaan mempunyai sekurang-kurangnya lima kaedah untuk pengagihan subsidi petrol bagi mengelakkan ketirisan. Pertama, menggunakan kad pengenalan (MyKad) dan kedua, pengenalan ID khas baharu. Manakala tiga kaedah lain melibatkan pemindahan tunai melalui kad debit atau kredit, baucar tunai dan mewujudkan sistem khas seperti e-dompet.

    “Kad pengenalan adalah antara asas paling penting yang perlu difokuskan kerajaan jika ingin melaksanakan penyasaran minyak petrol RON95 supaya ia sampai kepada golongan sasar,” katanya.

    Walau bagaimana pun, Barjoyai berkata perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah kumpulan yang layak untuk mendapat subsidi ini. Kelayakan ini perlulah ditentukan oleh satu data yang lengkap seperti sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

    Subsidi petrol RON95 dimansuhkan di M’sia – pemilik kereta dapat tunai bulanan RM150, RM50 untuk motor?

    “Sistem inilah (PADU) yang akan menentukan nanti berapa banyak jumlah subsidi boleh diberikan melalui model-model penyaluran sama ada menggunakan kaedah pemindahan tunai melalui kad debit atau kredit, baucar tunai, mewujudkan sistem khas seperti e-dompet dan ID khas nanti,” katanya lagi. Walau pun adanya pendaftaran menerusi PADU, namun kerajaan telah meminta mereka yang layak mendapat subsidi diesel mendaftar sekali lagi menerusi program Budi, membuatkan orang ramai tertanya-tanya apa fungsinya PADU?

    Barjoyai juga percaya langkah terbabit tidak akan berlaku dalam masa terdekat, dan ia mungkin akan dilaksanakan pada seawal-awalnya Jun tahun hadapan.

    “Saya tidak rasa penyasaran subsidi petrol akan dibuat pada tahun ini kerana kerajaan memerlukan data daripada pengalaman subsidi diesel yang baharu dilaksanakan awal Jun ini. Paling penting kerajaan hendak tahu kesan ke atas inflasi, harga barang dan sebagainya.

    “Statistik ini hanya akan diketahui pada suku tahun ketiga pada Oktober depan. Selepas memperoleh statistik ini ada hal-hal lain juga yang perlu diteliti pula oleh kerajaan,” jelasnya.

     
     
  • Aplikasi dan portal PLUSMiles alami gangguan perkhidmatan pada 2-3 Julai, 12 t/malam hingga 3 pagi

    Untuk pengguna PLUSMiles ini ada makluman penting buat anda. Pengendali lebuhraya PLUS telah menguumkan bahawa terdapat gangguan sementara perkhidmatan bagi kelancaran kerja selenggara aplikasi dan portal pada 2 hingga 3 Julai, bermula jam 12 tengahmalam hingga 3 pagi.

    Senarai perkhidmatan yang akan diselenggara ialah aplikasi PLUS (Deals, My Profile, Points Exchange, Bills & Prepaid & Insurance), portal PLUSMiles, Jimat di Penang dan Putri chatbot.

    Dengan makluman ini, harap anda boleh menggunakan aplikasi dan portal terbabit sebelum atau selepas ia diselenggarakan.

     
     
  • Renault Grand Koleos 2025 diperkenal – kembar Geely Xingyue L, 1.5L 3-silinder turbo PHEV dan 2.0L Turbo

    Renault Grand Koleos 2025 diperkenal – kembar Geely Xingyue L, 1.5L 3-silinder turbo PHEV dan 2.0L Turbo

    Bila dengar nama Renault Koleos, kita di Malaysia dan banyak lagi pasaran tentunya terbayang SUV segmen-C yang merupakan kembar Nissan X-Trail bukan? Namun untuk Renault Grand Koleos 2025 yang diperkenalkan di Busan International Mobility Show 2024 minggu lalu ini, ia bukan lagi kembar X-Trail, tetapi dihasilkan dari Geely Xingyue-L.

    Ini merupakan model pertama yang dihasilkan menerusi kerjasama Renault-Geely yang dimeterai sejak Ogos 2021. Sesuai dengan nama yang ditambah dengan ‘Grand’, model ini dihasilkan saiz yang lebih besar dari Koleos sedia ada, menampilkan panjang keseluruhan 4,780 mm dan jarak roda sejauh 2,820 mm. Bertanding dalam kelas segmen-D seperti Kia Sorento dan Mazda CX-8, Renault mendakwa SUV ini hadir dengan jarak roda paling jauh dalam kelasnya, namun masih menampilkan konfigurasi lima-tempat duduk.

    Dari luar, Grand Koloes jelas merupakan model rebadge dari Geely Xingyue L dengan berkongsi kerangka badan yang sama dan beberapa perincian lain termasuk lampu hadapan dan belakang. Oleh itu ia juga merupakan model yang diasaskan dari platform CMA rekaan Volvo yang turut mengasakan model seperti Volvo XC40.

    Renault Grand Koleos 2025 diperkenal – kembar Geely Xingyue L, 1.5L 3-silinder turbo PHEV dan 2.0L Turbo

    Bagi memberikan rupa yang lebih unik berbanding Xingyue L, Grand Koleos ini menerima gril hadapan baharu dengan elemen 3D, bampar hadapan dan belakang, penutup bonet hadapan, pintu tailgate belakang, set rim mengikut tema rekaan terkini Renault, dan logo-logo Geely turut ditukar kepada Renault.

    Manakala dalam kabin, Renault memberikan rombakan agak besar pada papan pemuka berbanding Xingyue L kerana Koleos menerima tiga skrin gergasi masing-masing bersaiz 12.3-inci, di mana satu adalah paparan instrumen digital, satu skrin infotaimen utama, dan satu lagi skrin infotainmen untuk penumpang hadapan.

    Turut boleh dilihat dalam kokpit Grand Koloes ini adalah perincian yang dikongsi bersama Geely, seperti tombol gear dan juga roda stereng yang sama boleh kita temui pada Proton S70 dan X90.

    Antara perician yang ditawarkan mengikut varian termasuk upholsteri kulit Nappa, sistem bunyi Bose dengan 10-pembesar suara, paparan head-up AR 25.6-inci, Apple CarPlay dan Android Auto hubungan tanpa wayar, sistem penghawa dingin tiga-zon dan fungsi arahan suara.

    Renault Grand Koleos 2025 diperkenal – kembar Geely Xingyue L, 1.5L 3-silinder turbo PHEV dan 2.0L Turbo

    Ia juga turut ditawarkan dalam varian tertinggi Esprit Alpine, datang dengan perincian istimewa seperti rim aloi 20-inci, rekaan gril hadapan berbeza, bumbung hitam, tempat duduk balutan kulit dan Alcantara, serlahan biru dan juga benang jahitan dengan warna bendera Perancis.

    Grand Koleos turut berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama dengan Xingyue L. Ketika diperkenalkan Renault menawarkan varian dengan enjin petrol sepenuhnya dan juga model hibrid elektrik.

    Bagi model petrol penuh, Grand Koleos menerima enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 211 PS dan tork maksima 325 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan untuk model pacuan roda hadapan, dan kotak gear automatik konvensional lapan-kelajuan bagi model pacuan semua roda.

    Untuk model hibrid yang dijenamakan sebagai E-Tech (sama nama seperti model elektrifikasi Renault lain) pula, ia menerima teknologi Geely yang menggandingkan enjin tiga silinder 1.5 liter supercharger DHE dan sistem hibrid ‘multimode’ unik yang menawarkan tiga kelajuan bagi memacu roda hadapan serta bateri 1.64-kWj.

    Secara keseluruhan sistem ini membekalkan kuasa 248 PS, dan memberikan penggunaan bahan api sehingga 50% lebih jimat dari model dengan enjin petrol penuh sekiranya dipandu pada kelajuan 40 km/j ke bawah dengan bantuan elektrik.

    Tempahan untuk pelanggan pasaran Korea Selatan telahpun dibuka ketika Renault Grand Koleos ini didedahkan, dan penghantaran pertamanya akan dibuat bermula September ini. Menurut laporan CarNewsChina, Renault turut merancang untuk membawa model ini ke pasaran eksport lain.

     
     
  • smart #3 dilancar di Malaysia pada 10 Julai – tempahan dibuka; tiga varian; hingga 428 PS, jarak EV 455 km

    smart #3 dilancar di Malaysia pada 10 Julai – tempahan dibuka; tiga varian; hingga 428 PS, jarak EV 455 km

    smart #3 bakal dilancarkan secara rasminya di Malaysia pada 10 Julai 2024. Ia ditawarkan dengan tiga varian iaitu Pro, Premium dan juga model spesifikasi paling padu, Brabus. Tempahannya juga sudah dibuka sejak 21 Mei lalu dan dikhabarkan bahawa Malaysia menjadi negara ASEAN pertama yang menerima tempahan bagi #3 ini.

    Dibangunkan dengan platform Sustainable Experience Architecture (SEA), #3 ini merupakan adik kepada #1 tetapi dengan rekaan luaran yang berbeza. Ia memilik garisan bumbung yang lebih rendah dan melengkung, menampakkan #3 ini lebih kepada SUV ala-coupe (smart menggelarkannya sebagai ‘coupe fastback’).

    Dimensi juga sedikit berbeza, di mana #3 berukuran 4,400 mm panjang dan 1,844 mm lebar, iaitu 130 mm lebih panjang dan 22 mm lebih lebar berbanding #1. Ukuran jarak rodanya juga lebih panjang sebanyak 35 mm iaitu pada 2,785 mm.

    Bagi penjana kuasanya, spesifikasi bagi setiap varian adalah seperti berikut:

    Pro

    • Kuasa motor elektrik: 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan 343 Nm; RWD
    • Pecutan 0-100 km/j: 5.8 saat
    • Kelajuan maksimum: 180 km/j
    • Bateri: Lithium Iron Phosphate (LFP) 49 kWh
    • Jarak gerak (WLTP): 325 km
    • Pengecas AC: 7.4 kW
    • Pengecas DC: 130 kW

    Premium

    • Kuasa motor elektrik: 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan 343 Nm; RWD
    • Pecutan 0-100 km/j: 5.8 saat
    • Kelajuan maksimum: 180 km/j
    • Bateri: Nickel Manganese Cobalt (NMC) 66 kWh
    • Jarak gerak (WLTP): 455 km
    • Pengecas AC: 22 kW; SoC 10-80% dalam tiga jam
    • Pengecas DC: 150 kW; SoC 10-80% dalam 30 min

    Brabus

    • Kuasa motor elektrik: 428 PS (422 hp atau 315 kW) dan 543 Nm; AWD
    • Pecutan 0-100 km/j: 3.7 saat
    • Kelajuan maksimum: 180 km/j
    • Bateri: Nickel Manganese Cobalt (NMC) 66 kWh
    • Jarak gerak (WLTP): 415 km
    • Pengecas AC: 22 kW; SoC 10-80% dalam tiga jam
    • Pengecas DC: 150 kW; SoC 10-80% dalam 30 min

    Untuk kelengkapannya, antara ciri yang ditampilkan termasuklah kluster instrumen digital 9.2-inci, skrin sesentuh infotainmen sentral 12.8-inci, bumbung kaca panoramik, lampu utama LED ‘CyberSpark’, paparan utama 10-inci, pencahayaan ambien dan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS).

    #3 telah pun dibuka tempahan untuk pasaran Malaysia dan 333 pelanggan pertama yang mendaftar dengan yuran tempahan RM1,000 bakal menerima cenderahati rasmi smart bernilai hingga RM1,500.

    Buat masa ini, harganya tidak didedahkan, namun #3 dijangkakan akan sedikit mahal berbanding #1. Kami akan mendedahkan lebih banyak perincian mengenai smart #3 ini ketika ia dilancarkan. Untuk mendapatkan gambaran awal mengenai pandu ujinya, sila KLIK PAUTAN INI.

    smart #3 Brabus

    smart #3 Premium

    smart #3 Pro

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025