Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Remaja 18 tahun di tahan SPRM selepas cubaan rasuah anggota JPJ RM50 untuk lulus ujian memandu

    Remaja 18 tahun di tahan SPRM selepas cubaan rasuah anggota JPJ RM50 untuk lulus ujian memandu

    Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dia cuba memberi suapan bernilai RM50 kepada anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Selasa lalu bagi membolehkannya lulus dalam ujian lesen memandu kereta (Kelas D) di sebuah akademi ujian memandu di Kuala Kangsar.

    Menurut Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed dalam laporan Sinar Harian, pihaknya telah menerima laporan kejadian itu dan lelaki terbabit ditahan pada jam 1 tengah hari semalam.

    “Lelaki itu ditahan semalam ketika hadir ke pejabat SPRM Ipoh untuk memberi keterangan. Dia kemudiannya dibebaskan selepas keterangannya diambil,” katanya.

    Ahmad Sabri menjelaskan bahawa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009. “Kita berharap lebih ramai pihak termasuk dalam kalangan penjawat awam dapat melaporkan kepada SPRM berkaitan rasuah biarpun nilainya rendah,” tambahnya.

     
     
  • Sambutan 100 tahun Tambak Johor – trafik dijangka sesak pagi esok, MB nasihat rancang perjalanan

    Sambutan 100 tahun Tambak Johor – trafik dijangka sesak pagi esok, MB nasihat rancang perjalanan

    Esok genap 100 usia Tambak Johor selepas laluan ikonik yang menghubungkan negeri Johor dengan Singapura itu siap dibina dan dirasmikan pada 28 Jun 1924. Sehubungan itu, satu acara sambutan bagi meraikan satu abad Tambak Johor bakal dibuat di laluan tersebut esok, dan ia dijangka bakal berlaku kesesakan trafik.

    Menurut Menteri Besar Johor Dato’ Onn Hafiz Ghazi dalam satu hantaran Facebook yang dibuat, program ini akan berlangsung sekurang-kurangnya 1 jam bermula jam 8.30 pagi sehingga jam 9.30 pagi. Oleh itu beliau menasihatkan pengguna laluan Tambak Johor yang terlibat agar keluar lebih awal dan rancang perjalanan dengan sebaiknya.

    Antara perkara yang akan dibuat dalam program berkenaan termasuk menandatangani plague sambutan 100 tahun Tambak Johor, pertukaran cenderamata dan juga perlepasan simbolik 100 ekor burung merpati.

     
     
  • Jalan Yong Shook Lin di PJ State ditutup pada 28 hingga 30 Jun 2024 untuk acara ulangtahun ke-18

    Untuk penduduk atau yang bekerja di sekitar PJ State, ini ada makluman penting buat anda. MBPJ telah mengumumkan penutupan Jalan Yong Shook Lin di tengah-tengah bandaraya tersebut, bertujuan untuk menjayakan sesi raptai penuh dan acara sambutan ulangtahun ke-18 Petaling Jaya sebagai bandaraya.

    Menurut MBPJ, Jalan Yong Shook Lin akan ditutup dari jam 5 petang hingga 6 pagi setiap hari dari 28 Jun (esok) hingga 30 Jun. Laluan alternatif bermula dari IJM Land ke Jalan RU 7/1 dan Jalan Taman 7/6 serta berakhir di Menara Choy Fook On. Sila teliti peta di atas untuk gambaran lebih jelas.

    Sambutan utama pula bakal berlangsung pada malam 29 Jun, dan ia juga akan menyaksikan promosi Festival Cerita Rakyat Antarabangsa Petaling Jaya 2025 serta persembahan daripada Fahimi Angau, Victoria Ng, Santesh, Mentor Hitam dan Aisha Retno, dan ramai lagi. Jika anda merancang untuk memeriahkan acara, tempat letak kereta disediakan di Kompleks A, Padang B, Kompleks C, bangunan PKNS dan Menara Choy Fook On.

     
     
  • Volkswagen Golf R dan R Variant Mk8.5 2025 didedah – kini jana 333 PS/420 Nm, kelajuan maksima 270 km/j

    Volkswagen Golf R dan R Variant Mk8.5 2025 didedah – kini jana 333 PS/420 Nm, kelajuan maksima 270 km/j

    Kita di Malaysia baru sahaja menerima Volkswagen Golf R 2024, iaitu versi Mk8 yang menerima kemaskini kecil dan ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan bulan lalu. Namun di Eropah, Golf R kini sudahpun diperkenalkan dalam versi facelift Mk8.5 2025 yang bukan sahaja menerima penyegaran rupa dan perincian, malah ia turut menerima tambahan kuasa kuda!

    Golf R Mk8.5 ini masih dijana oleh enjin 2.0 liter empat silinder turbo seperti sebelumnya. Namun ia kini telah ditala semula bagi menghasilkan kuasa 333 PS dan tork maksima 420 Nm, atau 13 PS/20 Nm lebih berkuasa dari versi sebelum ini. Menurut VW, ini seterusnya menjadikan Golf R Mk8.5 ini sebagai Golf produksi paling berkuasa pernah dihasilkan.

    Enjin berkenaan masih dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan dan juga sistem pacuan semua roda 4Motion. Dengan kuasa tambahan yang diberikan, pecutan 0-100 km/j kini boleh dibuat dalam masa 4.6 saat atau 0.2 lebih pantas dari sebelum ini.

    Volkswagen Golf R dan R Variant Mk8.5 2025 didedah – kini jana 333 PS/420 Nm, kelajuan maksima 270 km/j

    Kelajuan maksima masih dihadkan pada 250 km/j. Namun sekiranya pemandu memilih pakej R-Performance, Golf R Mk8.5 ini mampu untuk mencapai kelajuan maksima 270 km/j seterusnya menjadikan ia sebagai model produksi R Volkswagen paling pantas disamping Arteon R.

    Bagi sistem AWD 4Motion, ia hadir sekali bersama sistem Torque Vectoring R-Performance bagi memberikan kestabilan pemanduan lebih baik serta meningkatkan ketangkasannya dengan mengagihkan tork secara individu pada gandar belakang, bagi mengoptimakan kelajuan di selekoh.

    Selain itu pakej R-Performance turut menawarkan dua tambahan mod pemanduan iaitu Drift dan Special. Mod Drift akan berfungsi seperti namanya, manakala mod Special adalah mod yang telah ditala berdasarkan pemanduan di litar Nürburgring Nordscheleife. Vehicle Dynamics Manager dan Dynamic Chassis Control (DCC) masih diberikan pada model kemaskini ini.

    Volkswagen Golf R dan R Variant Mk8.5 2025 didedah – kini jana 333 PS/420 Nm, kelajuan maksima 270 km/j

    Dari segi rupa, Golf R facelift ini turut menerima rekaan lampu hadapan LED IQ.Light Matrix dan gril serta lampu belakang seiring dengan varian asas dan GTI Mk8.5 yang telah diperkenalkan sebelum ini. Manakala untuk bampar hadapan, ia kini menerima apron yang lebih agresif dan juga liang pengambilan udara yang lebih besar.

    Untuk roda, Golf R 2025 ini diberikan set rim aloi forged Warmenau 19-inci sebagai pilihan opsyen yang menampilkan berat hanya 8 kg setiap rim. Set rim ini didakwa turut memberikan aliran udara lebih baik bagi menyejukkan sistem brek, terutamanya ketika dipandu di litar.

    Sama seperti Mk8.5 yang lain, Golf R 2025 ini turut menerima skrin sesentuh 12.9-inci yang diintegrasikan bersama ChatGPT dan paparan instrumen Digital Cockpit Pro dengan skrin 10.2-inci. Namun khas untuk Golf R, skrin paparan instrumen turut diberikan tema Sport yang diperbaharui, menampilkan pilihan takometer rekaan-R bulat atau melintang R-View. Dengan pakej R Performance, paparan ini juga memberikan fungsi GPS lap timer dan G-meter.

    Seperti biasa Golf R turut diberikan tempat duduk hadapan lebih sporty. Pelbagai opsyen dalaman diberikan antaranya upholsteri kulit Nappa hitam dengan elemen seperti-karbon bersama serlahan biru dan logo ‘R’ pada tempat duduk dan perapi-perapi karbon sebenar.

    Di Eropah, Golf R bukan hanya ditawarkan dalam bentuk badan hatchback biasa, ia juga tampil dalam versi wagon yang digelar sebagai Golf R Variant, memberikan ruang kargo belakang berkapasiti 1,642 liter sekiranya tempat duduk di lipat.

    VW juga menawarkan model khas Exclusive Golf R Black Edition ketika model ini dilancarkan pada pasaran-pasaran Eropah. Ia datang dengan kemasan-kemasan lebih gelap seperti pada emblem ‘VW’ dan ‘R’, angkup brek berwarna hitam dan logo ‘R’ gelap, set rim Estoril 19-inci berwarna hitam, tip ekzos dan serta lampu hadapan yang turut digelapkan. Ia juga datang standard dengan pakej R-Performance.

    Tempahan untuk Volkswagen Golf R 2025 ini boleh dibuat bermula 3 Julai ini di Jerman. Ia dijual pada harga bermula €53,795 (RM271k) untuk model hatchback dan bermula €55,065 (RM278k) untuk Golf R Variant. Versi istimewa Black Edition pula dijual pada harga bermula €58,440 (RM295k).

    GALERI: Volkswagen Golf R facelift MK8.5 2025

    GALERI: Volkswagen Exclusive Golf R Black Edition 2025

     
     
  • Honda Freed 2024 dilancar di Jepun – model generasi keempat dengan enjin 1.5L NA dan hibrid, dari RM74k

    Honda Freed 2024 dilancar di Jepun – model generasi keempat dengan enjin 1.5L NA dan hibrid, dari RM74k

    Selepas beberapa minggu diperkenalkan, Honda Freed generasi ketiga kini sudah mula dijual di Jepun pada harga antara 2.51 juta ke 3.44 juta yen (sekitar RM74k ke RM101k). Dua versi disediakan, iaitu Air yang lebih ringkas dan Crosstar dengan gaya crossover.

    Enjin juga datang dalam dua pilihan, bermula dengan unit petrol empat silinder NA 1.5 liter L15D yang mampu menghasilkan 117 hp pada 6,600 rpm dan 142 Nm pada 4,300 rpm. Enjin DOHC i-VTEC ini dipadankan bersama transmisi CVT untuk menghantar kuasa kepada dua roda hadapan, manakala sistem pacuan semua roda disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Satu lagi enjin adalah unit hibrid dua motor e:HEV yang menggunakan enjin petrol empat silinder NA 1.5 liter LEB berkuasa 106 PS dan 127 Nm sebagai generator untuk bateri lithium ion 48-Ah dan memberi tenaga kepada motor elektrik hadapan yang berkuasa 121 hp dan 253 Nm.

    Pemilik model hibrid juga boleh memilih pacuan semua roda pada transmisi CVT model hibrid dan sistem tersebut akan ditambah dengan satu Intelligent Power Unit (IPU) serta motor elektrik kedua untuk pacuan roda belakang. Honda mendakwa, varian hibrid boleh mencatat penggunaan bahan api sehingga 25 km/l, sementara varian petrol biasa pula 16.2 km/l mengikut standard WLTC.

    Berkenaan saiz, Freed baru ini besar sedikit berbanding model sebelumnya, dengan catatan panjang 4,310 mm, lebar antara 1,695 ke 1,720 mm dan tinggi 1,755-1,780 mm, tetapi jarak rodanya masih tidak berubah, iaitu 2,740 mm.

    Melihat kepada bentuk, secara keseluruhannya model baru ini nampak lebih kemas dan berpetak berbanding model generasi kedua dan di belakang, lampu besar yang bersambung sehingga ke penutup but kini dijadikan lebih ringkas dengan bentuk menegak.

    Honda Freed 2024 dilancar di Jepun – model generasi keempat dengan enjin 1.5L NA dan hibrid, dari RM74k

    Selain kemasan plastik keliling lengkuk roda, varian Crosstar juga dijadikan lebih unik dengan gril bertekstur di hadapan serta bukaan bampar yang lebih besar. Di belakang ia mendapat skid plate hiasan pada bampar.

    Bukan setakat penampilan luar, bahagian dalam juga diubah dengan papan pemuka kini nampak hampir sama seperti yang terdapat pada N-Box terbaru. Tiada lagi panel tinggi untuk paparan instrumen dan ia sekarang diganti dengan skrin digital yang terletak di sebalik stereng.

    Rekaan papan pemuka ini mungkin nampak sedikit rumit, tetapi ia turut menggabungkan ciri praktikaliti dengan terdapat poket barangan di bertentangan penumpang hadapan dan juga pemandu. Honda turut memberitahu, bahan yang digunakan pada bahagian kabin adalah kalis air dan minyak.

    Bagi varian Air, pelanggan boleh memilih tetapan enam (2+2+2) atau tujuh tempat duduk (2+3+2), tetapi bagi Crosstar, ia cuma disediakan dalam pilihan lima atau enam tempat duduk. Tempat duduk paling belakang boleh dilipat ke arah tingkap apabila tidak digunakan manakala tempat duduk jenis bangku pada versi tujuh tempat duduk boleh dilipat secara berasingan (60:40) dan memberikan pelbagai susun atur lain.

    Varian Crosstar lima tempat duduk juga disediakan dengan beberapa lagi kemudahan untuk gaya hidup aktif pemilik seperti ruang kargo boleh ubah, tapak sangkut barang serta lampu yang menerangkan bahagian belakang kenderaan apabila pintu but dibuka.

    Di Jepun, Freed datang secara standard dengan Honda Sensing, yang memberikan fungsi seperti Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist dan pelbagai lagi. Tawaran warna juga ada pelbagai, bersama pakej penggayaan seperti Superior Style untuk varian Air dan Active Tough Style untuk Crosstar.

     
     
  • Kerajaan sentiasa pantau situasi semasa pelaksanaan subsidi diesel, tambahbaik bantuan jika perlu – MOF

    Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa Kerajaan akan sentiasa memantau situasi semasa pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan sekiranya perlu, penambahbaikan bantuan dari semasa ke semasa akan dibuat, laporan Bernama.

    Tambah MOF, ia bagi memastikan golongan yang benar-benar layak terus mendapat perhatian kerajaan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

    “Mekanisme pelaksanaan penyasaran semula subsidi memerlukan kajian yang teliti supaya tidak meningkatkan kos kepada industri sedia ada serta menitikberatkan aspek pelaksanaan dan komunikasi yang berkesan kepada pihak industri agar tidak berlaku kejutan kepada ekonomi.

    Kerajaan sentiasa pantau situasi semasa pelaksanaan subsidi diesel, tambahbaik bantuan jika perlu – MOF

    “Pelaksanaan juga perlu bersesuaian dan boleh dilaksanakan di samping mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat tidak terjejas,” kata MoF dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

    Ia adalah bagi menjawab soalan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) yang meminta MOF menyatakan tarikh melaksanakan mekanisme lebih mantap untuk menentukan siapa yang layak atau tidak layak untuk menerima setiap bantuan subsidi tersebut.

    Bantuan bersasar tersebut iaitu Bantuan Subsidi Madani (atau Budi Madani) adalah untuk sektor logistik serta individu yang memiliki kenderaan diesel di samping petani kecil dan pekebun kecil komoditi bagi mengurangkan impak kepada kos sara hidup dan rakyat.

     
     
  • Hyundai Inster diperkenal – EV kompak dengan kuasa 115 PS dan tork 147 Nm, jarak gerak sehingga 355 km

    Hyundai Inster diperkenal – EV kompak dengan kuasa 115 PS dan tork 147 Nm, jarak gerak sehingga 355 km

    Hyundai telah memperkenalkan sebuah EV kompak baru yang dipanggil sebagai Inster. Rupanya nampak familiar kerana menggunakan asas rekaan daripada model Casper, iaitu SUV paling kecil jenama itu yang diperkenalkan kepada dunia pada tahun 2021.

    Menurut Hyundai, Inster akan diletakkan di dalam kategori antara model segmen A dan segmen B, dengan mencatat ukuran panjang 3,825 mm, lebar 1,610 mm, tinggi 1,575 mm dan jarak roda 2,580 mm. Bergantung kepada varian, rimnya boleh datang dengan unit 15 inci hingga 17 inci.

    Menggerakkan Inster adalah motor yang terletak di hadapan, dengan kuasa 97 PS/147 Nm bagi model asas atau 115 PS pada model Long Range, masing-masing dengan bateri 42 kWh dan 49 kWh. Mengikut ujian WLTP, versi asas boleh memberi jarak gerak sehingga 300 km manakala Long Range boleh membawa kenderaan sehingga 355 km dengan sekali cas penuh.

    Hyundai Inster diperkenal – EV kompak dengan kuasa 115 PS dan tork 147 Nm, jarak gerak sehingga 355 km

    Berkenaan prestasi, varian asas boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 11.7 saat, manakala Long Range satu saat lebih pantas dengan catatan masa 10.7 saat. Laju maksimum pula adalah 140 km/j untuk varian asas dan 150 km/j untuk Long Range.

    Inster boleh menerima pengecasan pantas DC sehingga 120 kW dan ia boleh menaikkan kadar bateri dari 10 ke 80% dalam masa 30 minit. Jika menggunakan sumber AC – sehingga 11 kW – bersama pengecas yang diberi, bateri varian asas akan mengambil masa empat jam untuk penuh manakala Long Range memerlukan masa empat jam 35 minit.

    Di bahagian dalam, Hyundai menggunakan bahan kitar semula antaranya seperti cat kitar semula untuk kemasan warna hitam berkilat, polyethylene terephthalate (PET) untuk balutan tempat duduk dan bio-polypropylene di beberapa bahagian.

    Semua tempat duduk di dalam Inster boleh dilipat rata, termasuk tempat duduk pemandu dan jika pemilik memilih tempat duduk belakang yang boleh dilungsur, ruang barangan belakangnya akan meningkat menjadi 351 liter berbanding 280 liter dalam keadaan biasa. Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk lampu suasana, bumbung suria serta Hyundai Digital Key 2 Touch.

    Pada papan pemuka terletak dua skrin, iaitu unit 10.25 inci di hadapan pemandu untuk paparan instrumen dan satu lagi unit 10.25 inci sesentuh untuk infotainmen. Untuk memudahkan dan membantu pemandu, EV kompak ini juga datang dengan Lane Keeping Assist, Lane Following Assist, Blind Spot Collission Avoidance Assist, Forward Collission Avoidance Assist dan Parking Collission Avoidance Assist.

    Turut disediakan adalah Rear Cross Traffic Collision Avoidance Assist, Safety Exit Warning, Smart Cruise Control dengan stop-and-go, Highway Driving Assist 1.5 (HDA 1.5), Intelligent Speed Limit Assist, Driver Attention Warning, High Beam Assist, Leading Vehicle Departure Alert dan Rear Occupant Alert.

     
     
  • KTM ETS Ekspres bermula Ogos, KL-Ipoh dalam 2 jam

    KTM ETS Ekspres  bermula Ogos, KL-Ipoh dalam 2 jam

    Dalam keadaan aliran trafik di lebuhraya yang tak terduga, untuk sampai ke lokasi yang dituju pada waktu yang direncana adakalanya terbantut. Dah la tersekat kat kesesakan trafik di lebuhraya, penat memandu pulak tu. Jadi, apa kata, gunakan pengangkutan awam sebagai alternatif. Ini termasuklah menaiki tren KTMB yang kini telah memperkenalkan perkhidmatan KTM ETS Ekspres bermula Ogos ini untuk laluan Kuala Lumpur-Ipoh yang hanya mengambil masa hanya dua jam perjalanan.

    Untuk perkhidmatan sedia ada ETS dari KL Sentral ke Ipoh, ia masih diteruskan dengan mengambil masa perjalanan lebih kurang dua jam 40 minit. Jadi dengan perkhidmatan KTM ETS Ekpres pula, anda dapat menjimatkan masa perjalanan.

    “Ini adalah penambahbaikan daripada kami untuk penumpang dari KL ke Ipoh, selaras dengan menaik taraf sistem dan infrastruktur dalam projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) Fasa 1, yang sedang disiapkan secara berperingkat,” kata COO KTMB Mohd Zain Mat Taha di Ipoh semalam.

    Bagaimanakah ETS Ekspres dapat menjimatkan masa? Dengan mengurangkan bilangan stesen yang ia berhenti. Jika kita lihat kepada jadualnya, tren yang lebih laju melangkau bandar seperti Sungai Buloh, Tanjung Malim, Kampar dan Batu Gajah. Di mana, selepas KL Sentral dan Kuala Lumpur (stesen kereta api lama), tren akan terus bergerak ke Ipoh tanpa hentian lain.

    Selain laluan KL-Ipoh yang sangat popular, terdapat juga tren ETS Ekspres dari KL Sentral ke Butterworth (tiga jam 30 minit) dan Padang Besar (empat jam 50 minit). Dengan dua perkhidmatan ETS Ekspres ke ketiga-tiga destinasi, menjadikannya sejumlah enam perkhidmatan tambahan selain daripada jumlah semasa sebanyak 32 perjalanan. Tiket untuk ETS Ekspres ini telah pun dibuka untuk jualan.

     
     
  • Jaecoo Malaysia lancar pusat 3S pertama di Glenmarie

    Jaecoo Malaysia lancar pusat 3S pertama di Glenmarie

    Jaecoo Malaysia telah melancarkan pusat 3S pertamanya yang terletak di Glenmarie, Shah Alam dan dikendalikan oleh ES Premium. Mengikut perancangan, akan ada lagi 34 wakil pengedaran yang akan dibuka untuk mengembangkan lagi jenama ini di Malaysia.

    “Kami sangat teruja untuk melancarkan pengedar 3S utama kami di tengah-tengah Glenmarie Auto City, bukti kesediaan Jaecoo untuk memenuhi keperluan pelanggan di Malaysia. Kami telah melabur dalam rangkaian yang kukuh di seluruh negara untuk membawa pengalaman pemilikan premium pada hari ini dan masa hadapan. Pelaburan kami dalam pengedar utama Glenmarie, yang bernilai RM5.5 juta, merupakan petunjuk jelas komitmen kami untuk mengembangkan pasaran SUV off-road premium untuk jangka panjang,” kata Emily Lek, Naib Presiden Jaecoo Malaysia.

    Pusat 3S Jaecoo Glenmarie ini dibina dengan fasiliti bersaiz 23,000 kaki persegi di kawasan seluas 40,000 kaki persegi. Fasiliti ini menempatkan ruang pameran yang mampu mempamaerkan hingga tujuh model, dengan paparan LED interaktif untuk pengunjung meneliti spesifikasi kenderaan. Selain itu, ia turut menempatkan ruang lounge pelanggan dengan ketersambungan internet berkelajuan tinggi dan juga ruang penghantaran.

    Bagi memenuhi keperluan pelanggan untuk khidmat selepas jualan, disediakan pasukan juruteknik profesional dan dilengkapi ruang servis yang mampu menyelenggara lebih 500 kenderaan sebulan. Turut disediakan ialah ruang kenderaan elektrik (EV) sebagai persediaan untuk model EV yang akan tiba pada masa akan datang.

    Dengan 35 wakil pengedaran yang sudah dilancarkan, rangkaian perkhidmatan Jaecoo Malaysia akan terdiri daripada kira-kira 180 ruang servis di seluruh negara, disokong oleh gudang alat ganti khusus dan kilang pemasangan kenderaan yang dilancarkan baru-baru ini di Shah Alam.

    “Kami bangga menjadi sebahagian daripada rangkaian pengedar Jaecoo Malaysia dan menghidupkan pengalaman premium yang diharapkan oleh Jaecoo, dan yang diperlukan oleh pelanggan. Kami berharap dapat meningkatkan pengalaman eksplorasi apabila pelanggan berkunjung ke sini dengan menyepadukan elemen digital, bersama perkhidmatan yang diberikan oleh penasihat jualan kami yang berkebolehan,” kata Fanny Yap, Pengarah Urusan ES Premium.

    Model pertama Jaecoo yang akan dilancarkan di Malaysia ialah J7 dan SUV terbabit dijangka akan dilancarkan pada 19 Julai ini. J7 juga merupakan model pertama daripada jenama ini yang dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia dan akan dieksport ke pasaran lain di rantau ASEAN.

    Jika anda mahu memandu uji J7 atau pun sekadar mahu cuci mata di pusat 3S Jaecoo Glenmarie ini, ia terletak di No. 2D, Jalan Pelukis U1/46, Temasya Industrial Park, Shah Alam, Selangor.

     
     
  • Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur kembali ke MITEC pada Nov 8-10 2024, tiket early bird sudah mula dijual

    Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur kembali ke MITEC pada Nov 8-10 2024, tiket <em>early bird</em> sudah mula dijual

    Selepas berjaya dilangsungkan buat julung kalinya tahun lalu, Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) bakal kembali semula diadakan di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) tahun ini dan ia akan berlangsung bermula dari 8 hingga 10 November 2024.

    Tahun lalu TASKL telah membawa acara tahunan ulung budaya automotif Jepun, Tokyo Auto Salon ke Malaysia di atas tapak seluas 130,000 kaki persegi dan telah menarik lebih dari 91,000 pengunjung. Selain dari pertandingan kenderaan ubahsuai tempatan, TASKL turut membawa kereta-kereta ubahsuai sebenar milik penala-penala Jepun seperti Top Secret, Spoon, HKS, Greddy dan pelbagai lagi.

    Malah ia turut diserikan dengan kehadiran ‘selebriti’ dalam dunia tersebut seperti pengasas Top Secret, Smokey Nagata, pemilik Vertex Ridge, Takahiro Ueno dan pengarah R&D Spoon Sports, Daisuke Jomoto.

    Bagi TASKL tahun ini, ia akan menampilkan tapak acara yang lebih besar dengan keluasan 170,000 kaki persegi dan akan dihoskan oleh Element X Strategies sebagai pemegang lesen rasmi tunggal dan MUSE Group Asia sebagai penganjur bersama, dengan kerjasama San Ei Corporation – pemilik harta intelek Tokyo Auto Salon dan Persekutuan Tokyo Auto Salon.

    “Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur tahun ini menjanjikan pengalaman yang sangat menarik, lebih besar dan hebat untuk pengunjung dan peserta pameran. Seperti pertunjukan asal di Jepun, banyak usaha telah dilakukan untuk memastikan pameran tahun ini terus mengatasi jangkaan peminat,” kata Jason Yap, pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Element X Strategies.

    Sementara itu, Riduwan Matni, Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Group Asia, mendedahkan bahawa penala dan pempamer Jepun yang hadir di TASKL tahun lepas terkejut dengan sambutan peminat Malaysia terhadap acara tersebut dan berjanji untuk kembali dengan cara yang lebih besar tahun ini.

    “Dengan barangan dan komponen terpilih yang tiba-tiba habis dijual pada hari pertama, mereka perlu menerima pra-pesanan. Ia adalah masalah yang baik untuk dihadapi, tetapi mereka telah memberi jaminan kepada kami bahawa mereka pasti akan lebih bersedia untuk Malaysia tahun ini,” kata Riduwan.

    Tiket-tiket early bird telah pun mula dijual secara atas talian, dijual pada harga RM50 untuk sehari dan RM120 untuk pas tiga hari. Tiket turut boleh beli dikaunter pada hari acara dilangsungkan dengan harga RM60 untuk sehari. Manakala tiket untuk kanak-kanak berumur antara enam dan 12 tahun berharga RM25 sehari (early bird) atau RM30 sehari (hari acara) dan RM60 untuk pas tiga hari. Kanak-kanak di bawah umur enam tahun boleh masuk secara percuma.

    Khas untuk orang kurang upaya (termasuk seorang penjaga jika diperlukan), mereka berhak mendapat potongan 50% daripada harga tiket. TASKL tahun ini juga akan menyaksikan pengenalan tiket Express Lane berharga RM70 sehari untuk early bird dan RM80 sehari pada hari acara. Juga disediakan ialah pas VIP pada harga RM150 sehari yang termasuk akses percuma ke ruang istirahat VIP. Bagi mereka yang mahukan pengalaman paling eksklusif, akses Black Tag khas tersedia dengan harga RM1,500 dan diberikan dengan beberapa keistimewaan.

    GALERI: Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2023

    GALERI: Garage Active Nissan Skyline R32 GT-R Carbon-R di TASKL 2023

    GALERI: Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune milik Tunku Panglima Johor di TASKL 2023

    GALERI: Koleksi replika kereta watak-watak Initial D di TASKL 2023

    GALERI: Van-van dan MPV yang diubahsuai di TASKL 2023

     
     
  • Honda CB350RS tiba di Malaysia – RM20,500

    Honda CB350RS tiba di Malaysia – RM20,500

    Diperkenalkan buat pertama kali di India pada tahun 2021, Honda CB350RS kini tiba di Malaysia dengan harga jualan RM20,500 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dalam dua warna iaitu Mat Massive Gray Metallic dan Athletic Blue Metallic.

    Model ini sebenarnya menggunakan asas yang sama dengan H’ness 350 tetapi dijadikan dengan gaya yang lebih kepada scrambler. CB350RS tidak mempunyai banyak kemasan krom seperti H’ness 350 dan dilengkapi fender hadapan lebih pendek, fender belakang tinggi, getah pelindung fork serta ekzos berwarna hitam (sedikit kemasan krom).

    Penggerak CB350RS adalah enjin satu silinder suntikan bahan api, SOHC, penyejukan udara 348 cc bersama transmisi lima kelajuan dengan klac jenis assist & slipper, mampu menghasilkan 20.8 hp pada 5,500 rpm dan tork 30 Nm pada 3,000 rpm.

    Walaupun nampak seperti model klasik, model ini masih datang dengan kelengkapan moden seperti ABS dual-channel, kawalan cengkaman HSTC yang boleh ditutup menggunakan suis serta meter gabungan analog dan skrin LCD.

    Sistem suspensi ringkas sahaja dengan tetapan fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, dan ia memegang masing-masing rim 19 inci yang dibalut tayar 100/90 dan 17 inci dengan tayar 150/70. Brek kedua-duanya menggunakan unit cakera tunggal bersaiz 310 mm di hadapan dan 240 mm di belakang.

    Berat keseluruhan CB350RS adalah 178 kg dan ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 15 liter. Kesemua lampunya adalah unit LED.

     
     
  • BYD Hartamas dilancarkan – bakal dilengkapi pusat servis dan alat ganti pada suku keempat 2024

    BYD Hartamas dilancarkan –  bakal dilengkapi pusat servis dan alat ganti pada suku keempat 2024

    Sime Darby Motors (SDM) iaitu syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk jenama BYD di Malaysia telah melancarkan BYD Hartamas, yang merupakan pusat 3S pertama jenama ini yang terletak di dalam pusat membeli-belah. Berlokasi di Hartamas Shopping Centre, pusat 3S ini berkeluasan sekitar 8,000 kaki persegi dan menyediakan pelbagai kemudahan yang diwujudkan untuk memperkaya pengalaman pelanggannya.

    Ia menyediakan ruang pameran kenderaan yang cukup luas, ruang menunggu yang mewah untuk pelanggan, bilik rundingan khas serta ruang serahan kenderaan. Untuk lebih selesa, ruang menyambut pelanggan bagi urusan lepas jualan yang menggabungkan reka bentuk moden dengan proses servis khusus untuk setiap pelanggan bersambung terus dari tempat letak kereta pusat beli-belah.

    Terdapat enam tempat letak kereta turut tersedia di luar, dengan setiap satunya dilengkapi empat pengecas untuk dimanfaatkan oleh pemilik BYD. Dengan pelan reka bentuk yang teliti, pusat ini bukan sahaja memudahkan capaian pelanggan, tetapi turut mencerminkan kesungguhan BYD terhadap penyelesaian mobiliti mapan.

    Pusat BYD Hartamas ini juga bakal dilengkapi dengan pusat servis dan alat ganti yang direncanakan siap pada suku ke-empat tahun ini.

    “Pembukaan Pusat BYD Hartamas di Hartamas Shopping Centre ini bukan sahaja membawa aura segar ke pasaran Malaysia, tetapi turut menyuntik momentum baharu dalam memperkenalkan mobiliti hijau di Malaysia,” kata Pengurus Besar BYD Asia-Pasifik, Liang Xinyue sewaktu melancarkan premis berkenaan petang ini.

    Tambah beliau, lokasi itu sesuai kerana ia menawarkan kemudahan membeli-belah produk BYD sekaligus urusan servis kereta pelanggan. Liang percaya pelanggan BYD di Hartamas dan kawasan sekitar semakin bertambah jumlahnya dan pembukaan pusat baharu ini bertujuan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang ingin mencari kenderaan mesra alam.

    Sebagai peneraju global bagi kenderaan tenaga baharu, BYD berdedikasi untuk menyediakan penyelesaian mobiliti hijau termaju di seluruh dunia. Dengan sokongan dasar kerajaan yang menggalakkan, pasaran kenderaan tenaga baharu di Malaysia mempunyai potensi yang cukup besar. Oleh itu, kerjasama dengan Harmony Auto dilihat berupaya membantu mempopularkan kenderaan tenaga baharu di Malaysia yang sejajar dengan matlamat negara untuk pengangkutan mapan.

    Pada masa akan datang, kedua-dua pihak akan mengukuhkan lagi kerjasama dengan membuka lebih banyak cawangan BYD di Malaysia dan bersama-sama mengembangkan lagi pasaran kenderaan tenaga baharu di Malaysia.

     
     
  • Harga minyak 27 Jun-3 Julai – Masih dikekalkan

    Harga minyak 27 Jun-3 Julai – Masih dikekalkan

    Untuk minggu bertarikh 27 Jun hingga 3 Julai 2024, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Pada 10 Jun 2024, harga baharu bagi diesel Euro B10/B20 telah dinaikkan pada kadar RM3.35 seliter untuk Semenanjung Malaysia sahaja. Ia melibatkan kenaikan sebanyak RM1.20 berbanding harga sebelum ini iaitu RM2.15 seliter, yang dikekalkan sejak Februari 2021. Walau bagaimana pun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada pada RM2.15 seliter.

    Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah, harga runcit baharu bagi diesel adalah berdasarkan formula mekanisme harga automatik (APM) bagi bulan Mei. Pada 13 Jun lalu, beliau turut berkata, setakat ini belum ada keperluan subsidi bersasar itu dilaksanakan ke atas petrol RON95. Terkini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pula memaklumkan bahawa Kerajaan sedang meneliti keperluan rasionalisasi subsidi dilaksanakan ke atas petrol RON95.

     
     
  • Aston Martin Valiant – V12 5.2 liter turbo berkembar, 745 PS, 6-kelajuan manual, hanya 38-unit; habis dijual!

    Aston Martin Valiant – V12 5.2 liter turbo berkembar, 745 PS, 6-kelajuan manual, hanya 38-unit; habis dijual!

    Ketika pembuat-pembuat automotif global sedang beralih ke arah teknologi elektrifikasi, jenama kereta sport dari United Kingdom, Aston Martin antara jenama yang ‘degil’ dan masih taksub dengan enjin pembakaran dalaman. Ini dia Aston Martin Valiant, model edisi terhad yang hanya diproduksi sebanyak 38-unit, tidak diberikan sebarang sistem elektrifikasi dan masih menggunakan kotak gear manual!

    Menurut Aston Martin, Valiant dihasilkan sebagai model yang sangat difokuskan pada pemanduan litar tetapi ia masih sah untuk digunakan atas jalan raya. Jentera ini dibangunkan oleh unit pembangunan model-model khas Aston Martin sendiri iaitu Q, dan ia sebenarnya bermula dengan permintaan dari pemandu pasukan Formula 1 Aston Martin Aramco, Fernando Alonso yang mahukan sebuah kereta yang ringan, lebih ekstrem dari Aston Martin Valour, serta diispirasikan dari kereta lumba.

    Valiant masih dijana oleh enjin V12 5.2 liter dengan dua pengecas turbo seperti Valour, namun ia menghasilkan kuasa yang lebih besar iaitu 745 PS berbanding 715 PS/753 Nm pada Valour. Bagi menyampaikan sepenuhnya kuasa ke roda belakang, ia gandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan tanpa menawarkan versi automatik.

    Antara perkara yang dibuat bagi meringankan lagi kereta ini termasuk pemadanan subframe belakang yang dibuat dengan kaedah cetakan 3D (3kg), tiub tork yang diperbuat dari magnesium (-8.6kg) dan bateri jenis lithium ion spesifikasi perlumbaan (-11.5kg). Malah Valiant turut dipadankan dengan set rim magnesium 21-inci (dengan tayar 275/35R21 di hadapan dan 323/30R21 di belakang) bukan sahaja dapat mengurangkan berat sebanyak 14kg, ia juga dapat memberikan respons stereng serta kawalan roda.

    Aston Martin Valiant – V12 5.2 liter turbo berkembar, 745 PS, 6-kelajuan manual, hanya 38-unit; habis dijual!

    Aston Martin menyatakan aspek yang paling memberikan karekter pada Valiant adalah penggunaan penyerap hentak jenis Multimatic Adaptive Spool Valve (ASV) pada kereta ini yang tidak ada ditawarkan oleh mana pengeluar-pengeluar aftermarket. Sistem ini mampu untuk sentiasa menala setiap penyerap hentak kepada satu daripada tiga puluh dua lengkung peredam dalam masa kurang daripada enam milisaat.

    Bagi menghentikan kereta ini, Aston Martin Valiant dilengkapkan dengan set brek seramik karbon secara standard, dengan cakera bersaiz 410mm x 38mm dihadapan dan 360mm x 32mm di belakang.

    Rupa asas luaran Valiant ini masih nampak seperti Valour, namun ia diberikan perincian aerodinamik yang jauh lebih ekstrem. Keseluruhan panel badan Valiant ini diperbuat dari bahan gentian karbon. Di hadapan, ia diberikan spoiler bawah dan splitter bersaiz besar yang mengalirkan udara di sekitar roda hadapan.

    Manakala gril gentian karbon bersaiz besar yang diberikan berfungsi bukan sahaja untuk memberikan aliran udara sejuk pada ruang enjin, malah ia turut mengurangkan beban pada bahagian hadapan bagi membantu memberikan agihan berat lebih seimbang seterusnya memberikan pengendalian lebih baik, menurut Aston Martin.

    Aston Martin Valiant – V12 5.2 liter turbo berkembar, 745 PS, 6-kelajuan manual, hanya 38-unit; habis dijual!

    Set rim magnesium 21-inci Valiant ini turut dilengkapkan penutup cakera aero yang diinspirasikan dari kereta lumba Le Mans RHAM/1 ‘Muncher 1980, dan ia berfungsi bagi mengurangkan golakan dan seretan udara yang terhasil ketika roda berputar.

    Setiap ruang roda juga diberikan liang udara bagi membolehkan aliran Udara masuk dan keluar untuk menyejukkan sistem brek karbon seramik kereta ini. Manakala di belakang, ia menerima rekaan “Kamm tail” bersama spoiler bersaiz besar, bersama diffuser gergasi di bawah yang didakwa mampu menghasilkan pengurangan positif terhadap daya angkat dan seretan. Bahagian tersebut turut menjadi perumah kepada empat tip ekzos titanium yang diletak pada bahagian tengah bagi menyerlahkan raungan enjin V12 kereta ini.

    Kokpit Valiant hanya boleh memuatkan dua orang termasuk pemandu, dan ia turut menerima banyak perincian gentian karbon dalam kemasan satin bagi mengurangkan beratnya dan sepasang tempat duduk perlumbaan Recaro Podium. Pelanggan boleh memilih upholsteri Alcantara atau kulit separa-aniline pada bahagian kabin kereta ini.

    Selain itu, Valiant turut dipadankan dengan separa roll-cage bukan sahaja untuk memberikan imej seperti kereta lumba, malah untuk keselamatan dan membolehkan tali pinggang keselamatan perlumbaan empat poin dipasang pada kabin tersebut. Dan bagi ‘meraikan’ kotak gear manual pada kereta ini, ia turut diberikan tuil penukar gear jenis-H yang menyerlahkan mekanisma mekanikal di bawahnya.

    Aston Martin tidak memberitahu harga sebenar Valiant ini kerana ia bergantung kepada perincian opsyen yang dipilih pelanggan. Walau bagaimanapun kesemua 38-unit Aston Martin Valiant ini sebenarnya sudah habis ditempah dan ia akan mula dihantar kepada pelanggan bermula suku ke-4 2024.

    Kereta ini juga bakal membuat kemunculan sulungnya di khalayak ramai pada Goodwood Festival of Speed 2024 pada 11 hingga 14 Julai nanti, dan ia akan dipandu oleh Fernando Alonso pada laluan Hill Climb acara tersebut.

     
     
  • Carro Care — cat semula kereta anda dari RM1,800 dengan promosi diskaun 40% hingga 6 Julai 2024

    Carro Care — cat semula kereta anda dari RM1,800 dengan promosi diskaun 40% hingga 6 Julai 2024

    Jika anda merancang untuk menggunakan kereta lebih lama, menyuntik penampilan baru yang lebih segar dengan mengecatnya semula merupakan sesuatu yang sangat wajar dilakukan untuk mengubahnya kepada keadaan seperti awal ketika keluar dari kilang dahulu. Untuk ini, ada berita baik — anda kini boleh menikmati promosi Carro Care untuk mengecat semula kereta, dengan menikmati potongan sehingga 40%!

    Apa yang perlu anda lakukan hanyalah mengisi butiran dalam borang ini.

    Perkhidmatan cat semula kenderaan oleh Carro Care juga datang dengan jaminan tiga-tahun. Jadi, jika ada apa-apa masalah atau kecacatan, anda sentiasa boleh membawa kereta kembali untuk diperiksa keadaan catnya.

    Berikut senarai harga dan harga promosinya. Anda boleh mengecat semula apa saja kereta, tidak semestinya hanya model yang tersenarai ini. Model yang dinyatakan ini adalah sebagai contoh harga bagi kategori berbeza.

    Carro Care — cat semula kereta anda dari RM1,800 dengan promosi diskaun 40% hingga 6 Julai 2024

    Ketika ini, Carro Care mempunyai dua pusat badan & cat yang terletak di Taman Perindustrian Subang USJ serta satu di Ulu Tiram, Johor. Pusat badan & cat ketiga akan dibuka tidak lama lagi, dan terletak di Seremban.

    Klik di sini untuk masukkan butiran anda dan membuat tempahan. Hanya masukkan nama dan perincian untuk dihubungi dalam borang yang disediakan. Anda akan dihubungi nanti.

    Carro Care — cat semula kereta anda dari RM1,800 dengan promosi diskaun 40% hingga 6 Julai 2024

    Ini kelebihan jika anda menggunakan pakej cat semula kereta Carro Care:

    • Jaminan tiga-tahun — jika ada sebarang kerosakan cat, anda boleh hantar kereta semula untuk diperbaiki
    • Menggunakan produk cat berkualiti tinggi dari Jepun
    • Pakar cat dari Jepun dengan pengalaman selama 25 tahun yang mengetuai

    Ketahui lebih lanjut tentang pakar cat Jepun Carro Care melalui video ini:

    Berikut video testimoni daripada pelanggan yang sudah pernah memanfaatkan pakej car semula Carro Care:

    VIDEO: Restorasi penuh Proton Waja

    Kadang kala anda tidak mahukan kereta baharu, kerana kereta lama ada banyak nilai sentimental. Dalam kes ini, lebih menarik untuk buat restorasi penuh, bukan?

    VIDEO: Perodua Myvi cat baharu sepenuhnya

    Wanita ini menghantar Perodua Myvi miliknya untuk servis cat sepenuhnya. Tonton video ini untuk lihat hasilnya.

    VIDEO: Auti TT cat semula sepenuhnya

    Audi TT ini dihantar untuk ditukar kepada warna kuning dan hitam!

     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025