Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Isu jalan gelap: Laluan Perling ke Lebuhraya Pasir Gudang bakal dipasang 170 tiang lampu Sept ini – MB

    Isu jalan gelap: Laluan Perling ke Lebuhraya Pasir Gudang bakal dipasang 170 tiang lampu Sept ini – MB

    Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, memaklumkan bahawa kerajaan negeri cakna dengan isu kemalangan jalan raya yang tular dari Perling menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang yang berpunca daripada ketiadaan lampu jalan di laluan berkenaan.

    Walau bagaimana pun, katanya, perkara ini dapat diselesaikan apabila pihak yang bertanggungjawab iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bakal melaksanakan kerja-kerja pemasangan 170 tiang lampu di laluan (FT17) KM 2.6 Jalan Pasir Gudang sehingga KM 9.4 Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Perling pada September 2024.

    “Selain itu, saya juga dimaklumkan jalan tersebut juga terlibat dalam projek pelebaran Lebuhraya Pasir Gudang (Fasa 3) yang ketika ini sedang dalam proses pelantikan perunding oleh Kementerian Kewangan. Projek ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan dijangka bermula awal tahun 2025.

    “Terima kasih kepada MBJB dan KKR atas inisiatif baik ini. Saya amat berharap agar kerja-kerja menaiktaraf ini dapat dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang,” katanya.

    Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 20 saat menunjukkan sebuah kereta serta motosikal mengalami kemalangan akibat mengelak babi hutan yang melintas jalan raya dalam keadaan gelap di lokasi berkenaan.

     
     
  • JPJ siar kempen panggil balik terkini bagi model kenderaan melibatkan Toyota, Mercedes-Benz, Chery

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyiarkan kempen panggilan balik (product recall) Siri 2/2024 bagi beberapa model kenderaan yang terlibat oleh syarikat pengeluar. Menurut JPJ, untuk siri kali ini, pihaknya menyenaraikan model kenderaan yang terlibat berdasarkan kepada rekod yang diterima yang membabitkan jenama Mercedes Benz, Chery dan Toyota.

    Toyota

    • Toyota Corolla Cross (tahun buatan Julai-September 2023) – 2739 unit

    Mercedes-Benz

    • C 200 (tahun buatan Januari-Julai 2023) – 1 unit
    • CLA 200, CLA 45 AMG 4Matic, A 250, A 45 AMG 4Matic, S 400 Hybrid (tahun buatan Jun 2012-Januari 2021) – 11 unit
    • EQS 500 4Matic, EQS 580 4Matic, GLE 300 4Matic, GLE 350 E 4Matic, EQE 53 4Matic, EQS 53 4Matic, SL 43 Roadster, Maybach S 580 4Matic, S 580 E (tahun buatan Januari-November 2023) – 1297 unit
    • GLE 450 4Matic, GLS 450 4Matic (tahun buatan Februari 2018-November 2023) – 1302 unit

    Chery

    • Chery Omoda 5 (tahun buatan Nov 2023-April 2024) – 600 unit

    “Pelaksanaan aktiviti panggilan balik bagi model berikut telah dilaksanakan oleh pihak pengeluar
    kenderaan tersebut sejak dari bulan Mac 2024 dan masih berlangsung sehingga kini. Bagi mana-mana pemilik kenderaan yang terlibat dalam aktiviti panggilan balik ini, anda akan dihubungi oleh pihak pengeluar kenderaan anda untuk penetapan tarikh temujanji bagi pemeriksaan kenderaan,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah JPJ, berkenaan dengan isu yang tular baru-baru ini yang melibatkan kes kegagalan gandar belakang bagi kenderaan Chery Omoda 5, pihak Chery Auto Malaysia Sdn Bhd telah segera melaksanakan aktiviti panggilan balik yang bermula sejak 3 Mei 2024 dan telah memaklumkan kepada pihak JPJ berkenaan aktiviti tersebut.

    “Sehingga 7 Jun 2024, pihak Chery telah memeriksa sebanyak 592 unit daripada 600 unit kenderaan Chery
    Omoda 5 yang terlibat dalam aktiviti ini dengan peratus selesai aktiviti sebanyak 98.67%. Baki pemilik kenderaan telah dihubungi bagi melengkapkan jadual pemeriksaan dan dijangka aktiviti ini akan diselesaikan
    pada akhir Jun 2024,” kata JPJ.

    JPJ turut berkata, tempoh penyelesaian bagi aktiviti panggilan balik ini adalah bergantung sepenuhnya kepada kerjasama yang diberikan oleh pemilik kenderaan. “Sebagai pemilik kenderaan, sila pastikan data maklumat anda di pihak JPJ dan mana-mana pihak yang berkaitan adalah yang terkini bagi memudahkan
    anda dihubungi sekiranya kenderaan anda terlibat dalam mana-mana aktiviti panggilan balik,” sambung JPJ lagi.

     
     
  • Bugatti Tourbillon – pengganti Chiron, 8.3L NA V16 PHEV, 1,800 PS, 0-100 km/j dalam 2 saat, 445 km/j!

    Bugatti Tourbillon – pengganti Chiron, 8.3L NA V16 PHEV, 1,800 PS, 0-100 km/j dalam 2 saat, 445 km/j!

    Sedar tak sedar, sudah lapan tahun Bugatti Chiron berada dalam pasaran. Dan selepas 500 unit hypercar pengganti Veyron itu disiapkan, tibalah masa pengeluaran Chiron dihentikan. Ini dia hypercar generasi baharu Bugatti yang diberi nama Tourbillon!

    Nama “Tourbillon” ini sebenarnya sudahpun digunakan oleh Bugatti untuk jam tangan mewahnya sebelum ini. Ia adalah perkataan dari bahasa Perancis yang bermaksud ‘puting-beliung’. Tourbillon ini juga merupakan model pertama Bugatti selepas ia disatukan bersama pembuat hypercar EV Crotia, Rimac seterusnya menjadi model pertama Bugatti menerima teknologi elektrifikasi.

    Tourbillion tidak lagi dikuasakan oleh enjin W16 8.0 liter empat pengecas turbo yang digunakan oleh pada Veyron dan Chiron sebelum ini. Sebaliknya ia menerima enjin bentangan-V dengan 16 omboh (V16) berkapsiti 8.3 liter yang dibina bersama Cosworth.

    Bugatti Tourbillon – pengganti Chiron, 8.3L NA V16 PHEV, 1,800 PS, 0-100 km/j dalam 2 saat, 445 km/j!

    Enjin tersebut ditimbang hanya 252 kg dan tidak menerima sebarang pengecas turbo, tetapi mampu untuk menghasilkan 1,000 ps dan tork maksima 900 Nm serta mampu ‘menjerit’ pada putaran 9,000 rpm. Ia turut digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 340 PS/240 Nm yang diletakkan antara enjin dan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan yang memutarkan roda belakang di bantu dengan unit LSD.

    Bukan itu sahaja, sepasang lagi motor berkuasa 340 PS turut diletakkan pada gandar hadapan, masing-masing memutarkan roda kiri dan kanan, yang bukan sahaja memberikan kemampuan pacuan semua roda terhadap hypercar ini, malah ia turut menyediakan kuasa keseluruhan berjumlah 1,800 PS!

    Gandingan semua ini membolehkan Bugatti Tourbillon memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2 saat, dan mencapai kelajuan 200 km/j dalam masa kurang dari 5 saat. Ia kemudiannya mencapai kelajuan 300 km/j dalam masa kurang 10 saat dan 400 km/j kurang dari 25 saat.

    Bugatti Tourbillon – pengganti Chiron, 8.3L NA V16 PHEV, 1,800 PS, 0-100 km/j dalam 2 saat, 445 km/j!

    Dalam kebanyakkan masa, kelajuan maksima Tourbillon ini dihadkan pada 380 km/j. Dengan Speed Key, sayap belakang hypercar ini akan direndahkan lagi bagi membolehkan kelajuan 445 km/j dicapai. Kurang laju berbanding Chiron Super Sport 300+ yang mencatatkan kelajuan 490 km/j sebelum ini? Bertenang. Ini baru model asas Tourbillon dan Bugatti mungkin akan menghasilkan versi edisi terhad lebih hardcore bagi memecahkan rekod tersebut.

    Kesemua motor-motor elektrik pada Tourbillon ini menerima kuasa dari bateri 25 kWj yang boleh di cas secara plug-in seperti EV, membolehkan ia bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 60 km. Bugatti mendakwa walaupun Tourbillon menerima sistem hibrid PHEV ini, berat keseluruhannya masih lebih rendah berbanding Chiron yang ditimbang hampir 2 tan.

    Rahsianya, Tourbillon dibina dengan kerangka dan struktur badan komposit baharu dari gentian karbon T800 yang disepadukankan bersama bateri hibrid, diffuser belakang, struktur keselamatan pelanggaran dan juga pengambil udara hadapan. Ada juga komponen yang dihasilkan secara cetakan 3D seperti pada pendakap-pendakap struktur hadapan dan belakang serta lengan-lengan pada sistem suspensi multilink, yang menjadikan keseluruhan sistem suspensi 45% lebih ringan.

    Bugatti Tourbillon – pengganti Chiron, 8.3L NA V16 PHEV, 1,800 PS, 0-100 km/j dalam 2 saat, 445 km/j!

    Bagi memastikan kuasa dari enjin dapat dihantar kepada permukaan tar, Tourbillon dipadankan dengan set rim 20-inci di hadapan dan 21-inci dibelakang, dibalut dengan tayar Michelin Pilot Cup Sport 2 rekaan khas menampilkan saiz 285/35 R20 di hadapan dan 345/30 R21 di belakang.

    Untuk menghentikan kereta dengan kelajuan tak masuk akal ini pula, ia menerima set brek karbon seramik secara standard. Tak cukup dengan itu, sistem brek turut dihubungkan kepada sayap belakang menerusi sistem brake-by-wire bagi memberikan fungsi brek udara.

    Bentuk badan Bugatti Tourbillon ini bukan hanya dipengaruhi oleh kesan aerodinamik yang diperlukan untuk dipandu pada kelajuan lebih 400 km/j, malah ia turut perlu untuk memberikan fungsi penyejukkan untuk unit rangkaian kuasa. Gril tradisi ‘ladam kuda’ pada bahagian hadapan masih dikekalkan, tetapi ia kini lebih besar dan lebar bagi memberikan aliran udara bukan sahaja untuk radiator enjin, malah untuk mengalirkan udara ke bonet hadapan bagi meningkatkan downforce kawasan tersebut.

    Bugatti Tourbillon – pengganti Chiron, 8.3L NA V16 PHEV, 1,800 PS, 0-100 km/j dalam 2 saat, 445 km/j!

    Lampu hadapan Tourbillon ini juga direka lebih nipis dari Chiron, dan di bawahnya juga ditempatkan satu lagi pengalir udara bagi merentasi fender hadapan dan masuk ke skup sisi. Rekaan berbentuk-C besar pada sisi hypercar ini seperti Chiron juga masih dikekalkan.

    Tourbillon diberikan lampu LED yang merentangi sepenuhnya bahagian belakang dengan tulisan “Bugatti” yang menyala di tengah, serta diberikan diffuser udara besar yang bermula dari belakang kabin. Bahagian tersebut turut menjadi perumah bagi empat lubang ekzos yang direka leper.

    Hypercar generasi baharu ini masih mengekalkan rekaan dual-cockpit tipikal Bugatti di mana pemandu dan penumpang dipisahkan menerusi konsol tengah yang besar dari papan pemuka sehingga ke belakang. Untuk masuk ke bahagian ini, pintu direka dengan bukaan seperti kepak kupu-kupu.

    Bugatti Tourbillon – pengganti Chiron, 8.3L NA V16 PHEV, 1,800 PS, 0-100 km/j dalam 2 saat, 445 km/j!

    Tidak seperti kebanyakkan kereta-kereta terkini yang diberikan paparan instrumen digital, Tourbillon dibezakan dengan pemadanan paparan meter mekanikal yang diilhamkan dari jam tangan mekanikal mewah bagi membawa imej mewah pada satu tahap lebih tinggi. Meter tersebut direka dan menerima kejuruteraan pembuat jam tangan Swiss sebenar, yang merangkumi 600 komponen diperbuat dari material titanium dan juga batu permata seperti batu nilam dan batu delima.

    Kluster paparan meter tersebut diletakkan sekali dengan kolum stereng bagi memastikan ia boleh dilihat setiap masa oleh pemandu walaupun posisi roda stereng diubah. Jejari roda stereng tersebut pula direka dihubungkan pada bahagian belakang paparan meter tersebut bagi memberikan gambaran seolah-olah ia terapung.

    Konsep ‘terapung’ ini juga diterapkan pada bahagian konsol tengah Bugatti Tourbillon ini di mana bahagian tersebut turut menerima perapi-perapi aluminium dan kristal di-mesin. Konsol ini menempatkan suis-suis dan butang yang mudah dicapai dan dioperasikan untuk fungsi penghidup enjin, penghawa dingin, tahap bunyi audio, dan pelbagai lagi.

    Sekali tengok, Tourbillon nampak macam tak diberikan skrin tengah untuk fungsi multimedia dan infotainmen bukan? Skrin tersebut sebenarnya ada, ia disorokkan pada bahagian atas konsol tengah dan hanya akan dikeluarkan secara automatik sekiranya diperlukan dan boleh diputarkan berdasarkan keperluan. Tempoh masa menuggu untuk skrin tersebut lengkap keluar juga tidaklah lama – bagi mod potret (untuk kamera undur) hanya 2 saat, dan mod lanskap adalah 5 saat.

    Seperti kereta lumba sebenar, tempat duduk Bugatti Tourbillon ini dipasang tetap pada lantai dan tidak boleh dilaras, sebaliknya larasan perlu dibuat pada padel box bagi menyesuaikan kaki pemandu. Menurut Bugatti, ini bukan sahaja membolehkan mengurangkan berat, malah bumbung kereta ini juga dapat direka lebih rendah. Untuk lebih mengurangkan beratnya, sistem audio Tourbillon ini tidak menggunakan pembesar suara konvensional, sebaliknya bunyi-bunyi dikeluarkan menerusi penguja pada panel pintu dan lain-lain panel yang bergetar.

    Bugatti Tourbillon masih lagi berada dalam fasa pengujian buat masa sekarang, dan pelanggan yang menempahnya akan menerima kereta bermula pada 2026. Bugatti hanya akan menghasilkan sebanyak 250 unit Tourbillion, dan setiap unit dijual pada harga bermula €3.8 juta (RM19.2 juta).

     
     
  • Mercedes-Benz GLB200 dan GLB250 4Matic facelift dilancar untuk pasaran Malaysia – RM291k ke RM342k

    Mercedes-Benz GLB200 dan GLB250 4Matic facelift dilancar untuk pasaran Malaysia – RM291k ke RM342k

    Diperkenalkan kepada dunia Mac tahun lepas, Mercedes-Benz GLB facelift kini dilancarkan di pasaran Malaysia oleh Mercedes-Benz Malaysia (MBM), dengan ditawarkan dalam dua varian iaitu GLB 200 Progressive Line dan GLB 250 4Matic AMG Line.

    Model X247 yang disegarkan semula ini mendapat pembaharuan gaya dan kelengkapan, dengan di bahagian luar terdapat bampar serta apron hadapan rekaan geometri baru bersama lampu utama LED High Performance dengan Adaptive Highbeam Assist. GLB 200 juga diberikan gril baru dengan empat jalur melintang, manakala GLB 250 masih mengggunakan gril dengan kemasan pin krom dan satu jalur melintang.

    Selain grafik lampu belakang baru, kedua-dua varian juga mendapat Night Package, yang memberikan pelbagai kemasan berwarna hitam berkilat, termasuk pada bahagian bawah bampar hadapan, rel bumbung, pelindung cermin sisi, tepi tingkap serta bawah pintu. GLB 250 kemudiannya mendapat tambahan kemasan bampar hadapan dan belakang AMG serta splitter hadapan, manakala muncung ekzos pula diletakkan dengan kemasan hitam berkilat.

    Untuk roda, GLB 200 facelift menggunakan unit 18 inci manakala GLB 250 dipasang dengan unit AMG 19 inci. Dalam katalog warna untuk SUV ini, sekarang terdapat pilihan warna baru Spectral Blue Metallic.

    Di dalam, keadaan kabin kebanyakannya adalah sama sahaja, dengan peningkatan yang dibuat tidak begitu ketara. Ia menerima roda stereng sport pelbagai fungsi baru, yang dibalut dengan kulit pada GLB 200 manakala GLB 250 menerima balutan kulit Nappa. Jumlah soket USB-C juga ditambah dan kini mempunyai kuasa mengecas yang lebih tinggi.

    Tetapan skrin digital 10.25 inci berkembar masih dikekalkan, tetapi sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) telah dinaik taraf kepada generasi NTG7 terkini, memberikan antaranya tema paparan baru, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta Intelligent Voice Assistant yang lebih berkemampuan.

    Mercedes-Benz GLB200 dan GLB250 4Matic facelift dilancar untuk pasaran Malaysia – RM291k ke RM342k

    Tempat duduk pada GLB 200 dibalut kulit buatan Artico, manakala GLB 250 menggunakan gabungan Artico dan gentian Microcut, sementara kemasan corak bintang yang terdapat pada bahagian dalam SUV ini dijadikan lebih menarik pada GLB 250 dengan panel yang berlampu, mengikut lampu suasana yang disediakan.

    Sama seperti sebelum ini, GLB 200 masih menggunakan enjin empat silinder 1.33 liter turbo M282 dengan kuasa 163 PS (161 hp) pada 5,500 rpm, tetapi tork telah meningkat menjadi 270 Nm pada antara 2,000 ke 3,500 rpm. Dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan 7G-DCT, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 9.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 207 km/j.

    GLB 250 pula menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter turbo M260, masih menghasilkan 224 PS (221 hp) pada 5,500 rpm dan tork 350 Nm dari 2,000 ke 4,000 rpm. Enjin ini bagaimanapun ditambah dengan sistem hibrid ringkas 48 volt yang dapat memberikan tambahan 14 PS (13 hp atau 10 kW) apabila memecut.

    Digabungkan bersama transmisi klac berkembar lapan kelajuan 8G-DCT serta sistem pacuan semua roda 4Matic, GLB 250 boleh memecut 0-100 km/j dalam masa tujuh saat dan mencapai kelajuan maksimum 236 km/j. Sistem keselamatan dan bantuan pemandu yang disediakan pada GLB antaranya termasuk Blind Spot Assist, Exit Warning Assist, Active Brake Assist dan Parking Package dengan kamera undur.

    Akhir sekali untuk harga, Mercedes-Benz GLB 200 Progressive Line facelift dijual pada RM290,888, manakala GLB 250 4Matic AMG Line ditawarkan pada RM341,888, tidak termasuk insurans. Jika dibandingkan dengan model sebelum ini, kedua-duanya menyaksikan peningkatan harga RM9,000.

     
     
  • Kelulusan segera bagi permohonan subsidi diesel SKDS yang lengkap, proses mudah, pantas – KPDN

    Kelulusan segera bagi permohonan subsidi diesel SKDS yang lengkap, proses mudah, pantas – KPDN

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberitahu bahawa kelulusan segera akan diberikan kepada permohonan lengkap yang dihantar oleh mereka yang layak untuk program Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). Sekarang ini, program tersebut meliputi 33 jenis kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan, di bawah SKDS 1.0 dan 2.0.

    Menurut menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, surat kelulusan akan dikeluarkan segera kepada pemohon yang layak, membenarkan mereka untuk memohon fleet cars melalui sistem sama. “Proses permohonan adalah mudah dan pantas kerana syarikat hanya perlu mengisikan maklumat tertentu dan pengesahan boleh dibuat secara segera melalui integrasi dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” kata beliau dalam satu kenyataan.

    Armizan turut menggesa syarikat yang layak untuk SKDS ini supaya membuat permohonan dengan segera. Sehingga 23 Jun lalu, kementerian itu memberitahu jumlah kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan yang telah diluluskan untuk subsidi diesel di bawah SKDS berjumlah 226,957, termasuk 75,541 syarikat. Laporan sebelum ini menyatakan kenderaan yang sepatutnya layak ada sekitar 389,000.

    Kelulusan segera bagi permohonan subsidi diesel SKDS yang lengkap, proses mudah, pantas – KPDN

    Beliau turut menambah, bagi pengendali pengangkutan awam dan komersial yang sudah menerima kelulusan SKDS tetapi masih belum mendapat fleet card, mereka cuma perlu menyimpan resit pembelian diesel bagi membolehkan bayaran balik tunai dibuat melalui kementerian kewangan.

    “Bagi kelulusan yang diperoleh sehingga 30 Jun ini, syarikat pengangkutan perlu memohon bayaran tuntutan balik kadar perbelanjaan atas harga subsidi melalui bukti resit pembelian sehingga syarikat pengangkutan menerima fleet card daripada syarikat-syarikat minyak yang terpilih,” kata Armizan.

     
     
  • 652 kes kemalangan melibatkan kenderaan berat di seluruh negara pada suku pertama 2024 – MOT

    652 kes kemalangan melibatkan kenderaan berat di seluruh negara pada suku pertama 2024 – MOT

    Kementerian Pengangkutan (MOT) mendedahkan sebanyak 652 kes kemalangan membabitkan kenderaan berat direkodkan di seluruh negara pada suku pertama tahun ini. Menurut Timbalan Menteri MOT, Datuk Hasbi Habibollah, jumlah tersebut turut merangkumi 287 kes maut, 95 parah dan 270 cedera ringan, laporan Berita Harian.

    Jelasnya, kes kemalangan ini berpunca daripada pelbagai faktor termasuk kecuaian pemandu yang mengantuk, memandu melebihi had laju dibenarkan, dan kenderaan membawa lebih muatan serta tidak diselenggara dengan baik.

    Beliau turut berkata, bagi menangani isu ini, pelbagai tindakan dilaksanakan termasuklah menggiatkan aktiviti penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), khususnya dari segi peraturan had muatan kenderaan dan had laju bagi kenderaan berat.

    652 kes kemalangan melibatkan kenderaan berat di seluruh negara pada suku pertama 2024 – MOT

    “Selain mengoperasikan 53 stesen penguat kuasa di seluruh negara, JPJ turut dibekalkan dengan 75 unit alat timbang mudah alih bagi tujuan penguatkuasaan. Tahun lalu, sejumlah 45,015 notis saman dikeluar membabitkan kesalahan muatan bahaya, manakala hingga April tahun ini pula, sejumlah 9,214 notis saman dikeluarkan,” katanya .

    Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai statistik dan punca kemalangan membabitkan kenderaan berat bagi suku pertama tahun ini.

    Menjelaskan lanjut, Hasbi berkata, Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Kerja Raya sedang dalam proses akhir membangunkan sistem ‘High Speed – Weigh in Motion’ (HS-WIM).

    652 kes kemalangan melibatkan kenderaan berat di seluruh negara pada suku pertama 2024 – MOT

    “Menerusi penggunaan sistem HS-WIM, aktiviti penguatkuasaan kenderaan berat boleh dilaksanakan secara masa sebenar atau automatik tanpa memerlukan kenderaan itu berhenti untuk ditimbang. Penggunaan sistem HS-WIM juga akan dapat mengurangkan kebergantungan pada jumlah tenaga manusia atau anggota penguat kuasa yang tinggi,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata, anggota akan boleh melaksanakan aktiviti penguatkuasaan di lokasi-lokasi lain yang tidak dipasang sistem HS-WIM.

    “Sistem HS-WIM dijangka dapat memperluas capaian, meningkatkan pematuhan dan memperkukuh lagi keberkesanan penguatkuasaan ke atas peraturan had muatan kenderaan motor serta menjadi penyelesaian jangka panjang dalam menangani isu had muatan kenderaan berat,” katanya.

     
     
  • Sekolah memandu terlibat amalan korupsi termasuk ‘lesen terbang’ berisiko hilang lesen operasi – Loke

    Sekolah memandu terlibat amalan korupsi termasuk ‘lesen terbang’ berisiko hilang lesen operasi – Loke

    Kementerian pengangkutan telah memberikan amaran kepada sekolah memandu agar tidak terlibat dengan amalan korupsi termasuklah menawarkan ‘lesen terbang’ atau ‘lesen memandu kopi-o’, kerana jika dikesan melakukan perkara tersebut, mereka bakal berhadapan dengan kehilangan lesen operasi, laporan Bernama.

    Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, kegiatan rasuah semasa menjalani ujian memandu perlu dihentikan kerana tindakan sedemikian membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutama golongan belia. “Sekolah memandu tidak boleh terlibat dalam rasuah. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran lesen terbang yang diiklankan di media sosial. Jika isu ini tidak dibendung, golongan muda akan menjadi mangsa. Matlamat kami adalah untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.

    Loke berkata, sistem ujian pemanduan elektronik (e-testing) yang diperkenalkan kerajaan akan mengurangkan potensi amalan tidak beretika seperti rasuah dari berterusan berlaku.

    Sekolah memandu terlibat amalan korupsi termasuk ‘lesen terbang’ berisiko hilang lesen operasi – Loke

    “Sudah lama kita maklum tentang isu lesen memandu haram ini, tetapi saya lihat perkembangan positif. Walaupun tidak dapat dinafikan masih ada sindiket yang cuba mengeksploitasi sistem tersebut, namun kita akan meneruskan usaha membanteras rasuah,” katanya.

    Selain daripada memudahkan proses audit dan pemantauan aktiviti ujian, sistem yang menggunakan penderia dan kamera untuk penilaian ini dijangka mampu mengurangkan amalan tidak beretika. Diperkenalkan awal tahun ini, sistem tersebut sedang diuji, dan sebelum ini dimaklumkan bahawa institut pemanduan diberi tempoh tangguh selama enam tahun untuk membuat peralihan daripada ujian manual kepada ujian elektronik.

    Loke menyeru agar institut memandu membiasakan diri dengan sistem tersebut sebelum ia dilaksanakan secara mandatori mulai tahun 2030. Tambahnya, kementerian telah menerima beberapa permohonan daripada institut memandu untuk pelaksanaan e-testing ini, dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memproses. permohonan ini, dengan kumpulan pertama dijangka menerima surat kelulusan mereka tidak lama lagi.

     
     
  • Geely Emgrand facelift 2025 didedahkan di China – kembar Proton S70 disegarkan, masih enjin 1.5L NA

    Geely Emgrand facelift 2025 didedahkan di China – kembar Proton S70 disegarkan, masih enjin 1.5L NA

    Geely telahpun mendedahkan imej awalan versi facelift untuk sedan Emgrand generasi keempat di China. Menurut laporan CarNewsChina, model ini bakal dilancarkan dijual di negara tersebut bermula lewat bulan ini.

    Seperti yang anda boleh lihat, tidak banyak perubahan yang dibuat pada model kembar kepada Proton S70 ini, di mana ia hanya diberikan beberapa perubahn kosmetik pada bahagian luar. Ini termasuk gril dengan elemen air terjun bersama logo baharu dalam kemasan perak yang hampir sama seperti versi sebelumnya dan juga lampu kabus baharu yang lebih ringkas dengan jalur LED berbentuk-L.

    Tiada sebarang perubahan dilihat pada sebelah belakang, manakala maklumat dari laman sesawang rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China mendedahkan bahawa model ini menampilkan lima rekaan rim baharu dalam saiz 15-, 16- dan 17-inci, serta pelbagai pilihan opsyen seperti kamera undur, pengimbas bayaran tol elektronik, bumbung suria dan pelbagai lagi.

    Model facelift ini turut mengekalkan unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin 1.5 liter empat silinder NA berkuasa 127 hp. Bagi yang belum tahu, Emgrand tidak menerima enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dan kotak gear 7DCT seperti Proton S70 di Malaysia.

    Masih tiada sebarang imej bahagian dalaman Emgrand facelift 2025 disiarkan, namun ia dijangka turut tidak akan menampilkan sebarang perubahan besar. Bagi versi sedia ada, Emgrand diberikan paparan instrumen, skrin infotainmen, roda stereng dan tombol gear yang nampak kurang premium dari Proton S70.

    Ini kerana Geely Emgrand yang dikelaskan sebagai sedan segmen-B tidak diberikan sebarang sistem bantuan pemanduan (ADAS) dan hanya diobekalkan dengan kotak gear automatik CVT, berbanding S70 yang berkongsi perincian-perincian tersebut dengan SUV segmen-D Proton X90. Bagi model sedia ada, Geely Emgrand dijual pada harga bermula 69,900 yuan (RM45k) sehingga 129,800 yuan (RM84k).

    GALERI: Geely Emgrand generasi keempat sedia ada

    GALERI: Proton S70 Flagship X di Malaysia

     
     
  • Chery Tiggo 7 Pro 2024 dilancar di Malaysia – CKD, RM123,000, saingan Proton X70, 1.6T, 197 hp/290 Nm

    Chery Tiggo 7 Pro 2024 dilancar di Malaysia – CKD, RM123,000, saingan Proton X70, 1.6T, 197 hp/290 Nm

    Selepas beberapa kali dipertontonkan dikhalayak umum, hari ini secara rasmi Chery Tiggo 7 Pro dilancarkan pada pasaran tempatan. Seperti dua model enjin pembakaran dalaman Chery yang telah diperkenalkan di Malaysia sebelum ini, Tiggo 7 Pro turut terus diperkenalkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) bagi menawarkan harga jualan yang kompetitif.

    SUV segmen-C ini diumumkan hanya ditawarkan dalam satu varian di Malaysia, dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM123,000. Bagi 2,000 pelanggan terawal, Chery Malaysia turut akan memberikan harga istimewa untuk model ini iaitu hanya RM119,800.

    Chery Malaysia menawarkan perlindungan waranti selama tujuh-tahun atau 150,000 km bersama khidmat trak tunda percuma 24/7, dan juga pakej servis percuma selama lima tahun untuk Tiggo 7 Pro ini.

    Dengan harga yang ditawarkan ini, Tiggo 7 Pro nampaknya bakal ‘menyerang’ Proton X70 berbanding pesaing lain dalam kelasnya seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5. Malah ia mungkin boleh mengacau SUV dari kelas segmen-B seperti Toyota Corolla Cross dan Honda HR-V kerana varian tertinggi model-model ini dijual pada julat harga yang hampir sama dengan Tiggo 7 Pro.

    Chery Tiggo 7 Pro 2024 dilancar di Malaysia – CKD, RM123,000, saingan Proton X70, 1.6T, 197 hp/290 Nm

    Dari segi saiz, Tiggo 7 Pro menampilkan dimensi 4,513 mm panjang, 1,862 mm lebar dan 1,696 mm tinggi. Jadi jika dibandingkan dengan X70, SUV segmen-C dari Chery ini adalah 6 mm lebih pendek, 31 mm lebih lebar dan 2 mm lebih tinggi. Apa yang menarik, Tiggo 7 Pro dan X70 menampilkan jarak roda yang sama.

    Untuk rupa, Tiggo 7 Pro ini direka untuk kelihatan seperti ‘adik’ kepada Tiggo 8 Pro dan tidak kelihatan seperti ‘abang’ kepada Omoda 5 di mana SUV segmen-C Chery itu menampilkan rekaan yang lebih funky.

    Antara perincian luaran standard yang diberikan pada Tiggo 7 Pro ini termasuk lampu hadapan LED dengan lampu isyarat membelok jenis sequential, lampu nyalaan siang LED, lampu kombinasi belakang bersama lampu kabus LED, penderia hujan dan juga pintu tailgate belakang bantuan kuasa.

    Chery Tiggo 7 Pro 2024 dilancar di Malaysia – CKD, RM123,000, saingan Proton X70, 1.6T, 197 hp/290 Nm

    Manakala dalam kabin, perincian utama pada Tiggo 7 Pro ini adalah skrin berkembar yang bersaiz 24.6-inci secara keseluruhan memberikan fungsi sistem infotainmen dan paparan instrumen digital. Ia turut memberikan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, dihubungkan kepada sistem bunyi premium Sony dengan lapan-pembesar suara.

    Selain itu ia juga menerima kelengkapan lain seperti tempat duduk hadapan dengan liang pengudaraan larasan kuasa (6 hala pemandu, 4 hala penumpang) dan fungsi memori, roda stereng pelbagai fungsi balutan leatherette, sistem pendingin hawa dua zon dan liang udara kabin belakang, lampu suasana kabin 64-warna dań bumbung panaromik.

    Untuk mengecas peranti, Tiggo 7 Pro ini dibekalkan dengan pengecas tanpa wayar pantas 50 watt, port USB Type-C. Dua port 12-volt juga diberikan untuk memberikan bekalan kuasa kepada peralatan elektrik lain, diletakkan pada bahagian hadapan dan but belakang.

    Manakala untuk kunci, ia diberikan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, penghidup enjin jarak jauh dan juga fungsi kunci walkaway.

    Satu-satunya varian Tiggo 7 Pro pasaran Malaysia ini dijana oleh enjin 1.6 liter empat-silinder berkuasa 197 hp dan tork maksima 290 Nm. Jadi walaupun kapasitinya lebih kecil, enjin Chery ini lebih berkuasa dari enjin 1.8 liter T-GDI pada X70 yang mampu menghasilkan 184 PS, namun dengan tork sedikit lebih rendah kerana enjin pada Proton berkenaan menjana kadar tork 300 Nm.

    Enjin berkenaan digandingkan dengan transmisi klac berkembar automatik tujuh kelajuan 7DCT (didakwa mampu menampung beban tork 390 Nm), membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.3 saat. Kadar penggunaan bahan api pula didakwa mampu mencapai kadar 7.0L/100 km. Tiga mod pemanduan diberikan iaitu Eco, Normal dan Sport.

    Untuk keselamatan, Tiggo 7 Pro ini menerima tujuh-beg udara, kamera pemantau panaromik 540-darjah, pemantau tekanan angin tayar, bantuan mula mendaki, kawalan menurun cerun, pemantau titik buta (BSD) dan amaran lintasan trafik belakang (RCTA) bersama fungsi brek (RCTB).

    Ia juga diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), yang memberikan fungsi termasuk Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW) dengan brek kecemasan automatik (AEB), cruise control adaptif (ACC), Multi Collision Brake (MCB), amaran buka pintu (DOW), Integrated Cruise Assist (ICA), amaran pelanggaran belakang (RCW), bantuan tukar lorong (LCA), pengingat tukar lorong (LDR) dan Emergency Lane Keeping (ELK).

     
     
  • Mercedes-AMG C43 dilancar di Malaysia – enjin empat silinder 2.0L turbo 408 PS/500 Nm, CKD, RM444k

    Mercedes-AMG C43 dilancar di Malaysia – enjin empat silinder 2.0L turbo 408 PS/500 Nm, CKD, RM444k

    Selepas dipertontonkan April lalu, Mercedes-Benz Malaysia akhirnya melancarkan Mercedes-AMG C 43 4Matic W206 untuk pasaran Malaysia. Sedan prestasi ini diperkenalkan hari ini bersama Mercedes-AMG A35 4Matic facelift V177 dan GLA 35 facelift H247.

    Dijual pada harga RM443,888 tidak termasuk insurans, C 43 baru ini dipacu oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbo, menggantikan unit V6 3.0 liter pada model W205. Enjin M1391 ini mampu menghasilkan 408 PS dan 500 Nm, bersamaan 41 PS lebih kuasa tetapi torknya berkurang 20 Nm.

    Sama seperti M260 yang digunakan pada model AMG 35 yang lain, enjin ini dipadankan bersama sistem hibrid ringkas 48 volt dengan starter generator tali sawat, yang mampu memberikan tambahan 14 PS (13 hp atau 10 kW) apabila memecut. Ia juga membantu menjadikan sistem start-stop serta mod meluncur lebih lancar.

    Mercedes-AMG C43 dilancar di Malaysia – enjin empat silinder 2.0L turbo 408 PS/500 Nm, CKD, RM444k

    Bekerjasama dengan transmisi automatik Speedshift MCT 9G AMG sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic AMG Performance, enjin ini mampu memecut kenderaan 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat, iaitu 0.1 saat lebih pantas berbanding C43 W205, sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

    Kelengkapan standard yang diberi adalah termasuk lampu utama Digital Light, suspensi Dynamic Body Control dengan penyerap adaptif, rear axle steering, rim AMG 19 inci dan sistem brek sport AMG dengan cakera 370 mm dan angkup empat piston berwarna perak di hadapan dan cakera 320 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Pada bahagian luar anda akan melihat terdapat gril khas AMG dengan jalur melintang berwarna krom, kemasan bampar AMG, bukaan udara lebih sporty, kemasan diffuser belakang berwarna perak serta kemasan empat muncung ekzos berwarna krom.

    Masuk ke dalam pula terdapat kemasan khas AMG termasuk tempat duduk sport AMG yang dibalut kulit sintetik Artico dan gentian Microcut, serta roda stereng AMG Performance yang dibalut kulit Nappa. Turut diberikan adalah tali pinggang warna merah, kemasan papan pemuka gentian karbon, alas kaki AMG serta panel tepi pintu AMG berlampu.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk bumbung panoramik, sistem bunyi Burmester 3D, AMG Track Pace, head-up display, pengecas telefon tanpa wayar serta Driving Assistance Package Plus dengan Distronic Active Distance Assist, Parktronic Active Parking Assist dan Active Lane Keeping Assist.

    GALERI: Mercedes-AMG C43 4Matic W206 di Malaysia

     
     
  • Porsche Macan EV 20204 ditunjuk di M’sia — hingga 639 PS/1,130 Nm, 613 km jarak; tempahan kini dibuka

    Porsche Macan EV 20204 ditunjuk di M’sia — hingga 639 PS/1,130 Nm, 613 km jarak; tempahan kini dibuka

    Selain Porsche Taycan facelift, ada sebuah lagi model EV yang turut dipamer ketika Porsche World Roadshow 2024: model Macan serba baru turut dipertontonkan untuk pertama kali di Malaysia sejak pengenalan globalnya Januari lalu.

    Dijangka mula dijual dalam tahun ini juga, Sime Darby Auto Performance (SDAP) yang mewakili Porsche Malaysia kini mula mengambil tempahan bagi Macan generasi kedua ini. Dibangun menggunakan Premium Platform Electric (PPE), Macan menampilkan senibina 800V dan ditawarkan dalam dua varian: Macan 4 dan Macan Turbo.

    Peralihan kepada platform EV khusus buat pertama kali ini juga membolehkan Macan dilengkapi penyerap hentak suspensi udara dengan dua-injap, yang merupakan kawalan penyerap hentak elektronik Porsche Active Suspension Management (PASM) buat pertama kali sebagai ciri standardnya.

    Porsche Macan EV 20204 ditunjuk di M’sia — hingga 639 PS/1,130 Nm, 613 km jarak; tempahan kini dibuka

    Stereng gandar belakang (sehingga lima darjah) juga merupakan ciri baru untuk Macan, dan ditawarkan sebagai pilihan untuk mengurangkan belokan pusingan kepada hanya 11.1 meter. Kedua-dua varian menggunakan bateri nickel manganese cobalt (NMC) dengan kapasitu 100 kWh (95 kWh boleh diguna) dan mempunyai dua motor tetapan pacuan semua roda — dengan ciri Porsche Traction Management (ePTM) kawalan elektronik.

    Motor elektrik bagi Macan 4 mampu menjana sebanyak 387 PS (382 hp atau 285 kW) output. Tetapi dengan overboost dan launch control diaktifkan, janaan akan mencecah 408 PS (402 hp atau 300 kW) dengan tork 650 Nm. Ini menjadikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat, dan laju maksimum 220 km/j.

    Macan Turbo pula lebih pantas dengan 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan laju maksimum 260 km/j. Ini kerana motor elektriknya menjana output 584 PS (577 hp atau 430 kW), sementara dengan overboost dan launch control akan memberikan output 639 PS (630 hp atau 470 kW) dan 1,130 Nm tork.

    Porsche Macan EV 20204 ditunjuk di M’sia — hingga 639 PS/1,130 Nm, 613 km jarak; tempahan kini dibuka

    Untuk cukai jalan, output sebesar ini akan dikenakan sebanyak RM515 untuk Macan 4, dan RM1,240 untuk Macan Turbo. Dari segi jarak perjalanan, kedua-duanya hanya dibezakan dengan 22 km sahaja — Macan 4 memberikan 613 km mengikut WLTP, manakala Macan Turbo memberikan 591 km.

    Untuk pengecasan, Macan boleh menampung kapasiti DC maksimum sehingga 270 kW untuk pengecas 800V (10-80% dalam masa 21 minit), atau 143 kW dengan pengecas 400V (10-80% dalam masa 33 minit). Sekiranya dalam situasi 400V ini, suis voltan tinggi akan membolehkan agihan pengecasan bateri 800V kepada dua pecahan, dengan setiap satunya menerima 400V.

    Ini didakwa membolehkan pengecasan lebih cekap dengan memerlukan booster HV tambahan untuk melonjakkan 400V kepada 800V. Ada juga pengecasan AC yang lebih perlahan sehingga 11 kW (0-100% dalam masa 10 jam) dan EV ini boleh mencana semula sehingga 240 kW melalui motor elektriknya ketika pemanduan.

    Porsche Macan EV 20204 ditunjuk di M’sia — hingga 639 PS/1,130 Nm, 613 km jarak; tempahan kini dibuka

    Dari segi dimensi, Macan generasi kedua lebih besar daripada model terdahulunya, dengan ukuran 4,784 mm panjang (+58 mm), 1,938 mm lebar (+11 mm), 1,622 mm tinggi (+26 mm) dan jarak roda 2,893 mm (+86 mm). Saiz lebih besar ini memberi kelebihan kepada ruang: 540 liter berbanding 488 liter sebelumnya. Dengan kerusi belakang direbahkan, ruang barangan akan menjadi seluas 1,348 liter.

    Dengan ketiadaan enjin pula memberikan ruang tambahan 84 liter di depan, yang boleh dibuka dengan hanya menggerakkan tangan di lencana Porsche — gerakan yang sama juga akan membuka dua pintu pengecas di setiap sisinya.

    Dari segi rekaan, Macan generasi kedua ini tampil dengan garis bumbung yang lebih rendah ala 911, menjadikannya berimej SUV lebih sporty. Bahagian depan juga dengan bahagian utama lebih rendah, dengan bukaan sayap lebih ketara dan disertai rekaan lampu utama terpisah. Kluster empat lampu di atas itu adalah LED DRL, dengan lampu utamanya diletakkan di kedudukan lebih rendah. Bagi varian Turbo, tirai udaranya lebih kelihatan dan disertakan dengan bilah warna badan.

    Di belakang, lampu LED lebar penuh dengan ejaan Porsche mendominasi. Sedikit di atas, terletak spoiler adaptif yang akan diaktifkan ketika memerlukan lebih banyak downforce dan akan tersorok sekiranya tidak diperlukan. Dengan bukaan aktif penyejukan di bahagian depan, pelindung fleksibel di bahagian bawah badan kereta yang tertutup penuh serta tirau udara dan diffuser menjadikan bacaan rintangan anginnya 0.25.

    Di dalam, Macan meminjam banyak persamaan dengan kabin Taycan, misalnya dengan kehadiran tiga paparan di papan pemuka. Dua daripadanya adalah ciri standard: kluster instrumen melengkung 12.6-inci serta skrin sentuh di tengah 10.9-inci. Sebagai pilihan, skrin sentuh untuk penumpang bersaiz 10.9-inci boleh ditambah.

    Porsche Macan EV 20204 ditunjuk di M’sia — hingga 639 PS/1,130 Nm, 613 km jarak; tempahan kini dibuka

    Satu ciri baru yang pertama kali ditampilkan untuk Macan ialah head-up display dengan augmented realiti yang boleh memancarkan imej kepada pemandu dengan jarak 10 meter dan bersamaan dengan saiz paparan 87-inci. Infotainmen dikenalikan oleh Porsche Communication Management (PCM) yang kini menggunakan Android Automotive OS. Fungsi seperti bantuan suara digital Hey Porsche, aplikasi boleh dimuat turun serta kesepaduan Apple CarPlay dan Android Auto turut tersedia.

    Harga bagi Macan generasi kedua ini belum ada, tetapi memandangkan ia kini sebuah model EV yang diberikan insentif, dijangka harganya akan lebih rendah berbanding model sebelumnya, yang ketika ini dijual dengan harga dari RM469,000 hingga RM895,000.

    Pilihan kustom juga banyak disediakan, termasuklah 72 pilihan warna badan (13 standard dan 59 istimewa) serta lapan rekaan rim. Ruang dalaman juga diberikan lapan pilihan warna dengan tujuh pakej dan empat pakej kemasan.

    Porsche Macan Turbo 2024

    Porsche Macan 4 2024

     
     
  • Mercedes-AMG GLA35 facelift H247 dilancar di M’sia – satu varian CKD dengan enjin hibrid ringkas, RM364k

    Mercedes-AMG GLA35 facelift H247 dilancar di M’sia – satu varian CKD dengan enjin hibrid ringkas, RM364k

    Awal minggu ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah memperkenalkan GLA250 AMG Line, dan sekarang tiba pula versi yang lebih laju iaitu Mercedes-AMG GLA35 4Matic facelift. Sedikit perubahan kosmetik dibuat pada model H247 ini, dan sistem hibrid ringkasnya juga diperbaharui.

    Hanya satu varian CKD ditawarkan untuk GLA35 ini di Malaysia dan ia dijual pada harga RM363,888 tidak termasuk insurans. Sama seperti model Mercedes lain yang dijual di sini, ia datang bersama jaminan empat tahun tanpa had batuan.

    Penggerak model ini masih lagi sama, iaitu enjin empat silinder 2.0 liter turbo M260 berkuasa 306 PS pada 6,100 rpm dan tork 400 Nm antara 2,500 ke 4,000 rpm, tetapi sistem hibridnya dipertingkat dengan starter-generator 48 volt generasi kedua yang mampu memberikan tambahan 14 PS serta dapat membenarkan enjin ditutup semasa sedang meluncur.

    Datang dengan transmisi klac berkembar AMG Speedshift lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic, GLA35 dapat melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat sebelum mencapai laju maksimum yang dihadkan pada 250 km/j. Padan dengan prestasi ini, ia dilengkapi suspensi AMG Ride Control bersama penyerap adaptif yang lebih sporty serta brek lebih besar dengan angkup berwarna merah.

    Mercedes-AMG GLA35 facelift H247 dilancar di M’sia – satu varian CKD dengan enjin hibrid ringkas, RM364k

    Secara visualnya, GLA35 ini boleh dikenali melalui bampar hadapan yang direka semula, seperti GLA250, bersama dengan kemasan keliling bukaan udara hiasan di bucu bampar yang dibuat sama warna seperti badan. Lampu LED hadapan dan belakangnya juga menggunakan grafik baru, selain menjadi satu-satunya GLA di Malaysia yang mendapat lampu projector Multibeam LED.

    Sudah tentu, anda boleh mengetahui ini adalah model yang lebih tinggi melalui gril Panamericana serta diffuser belakang besar dengan corong ekzos berkembar yang bersepadu. Ia juga datang dengan rim AMG 20 inci.

    Pada bahagian dalam, GLA35 menerima peningkatan sama seperti model facelift lain termasuk roda stereng AMG Performance dibalut kulit Nappa dengan tombol kawalan bulat dan panel kawalan sesentuh baru, Mercedes-Benz User Experience (MBUX) terkini dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas USB lebih pantas serta tambahan soket USB-C.

    Mercedes-AMG GLA35 facelift H247 dilancar di M’sia – satu varian CKD dengan enjin hibrid ringkas, RM364k

    Selain daripada itu, bahagian kabin tidak berubah, dan ia masih datang dengan dua skrin 10.25 inci bersambung untuk panel instrumen dan infotainmen, tempat duduk sport larasan kuasa yang dibalut kulit Artico dan gentian Dinamica, kemasan “struktur karbon”, tali pinggang merah Manufaktur dan plet tepi pintu AMG yang menyala.

    Sama seperti sebelum ini, GLA35 datang dengan tiga bahagian penting yang tiada pada model lain iaitu kawalan suhu dua zon bersama corong pendingin hawa belakang, kamera 360 darjah serta sistem bunyi Burmester 12 pembesar suara, 710 watt.

    Kelengkapan lain adalah sama seperti model GLA biasa, termasuk rel bumbung aluminium, sistem tanpa kunci, butang pemula enjin, cermin malap sendiri, lampu suasana 64 warna, bantuan letak kereta, pengecas Qi tanpa wayar, sistem pemerhati tekanan angin tayar serta pintu but bukaan kuasa.

    Bagi aspek keselamatan, GLA35 mendapat tambahan pakej Driving Assistance yang memberikan Adaptive Cruise Control dengan ciri henti dan jalan, serta Lane Centring Assist, sebagai tambahan kepada sistem sedia ada seperti Autonomous Emergency Braking, Blind Spot Monitoring, tujuh beg udara dan Stability Control.

     
     
  • Mercedes-AMG A35 4Matic facelift 2024 dilancarkan di Malaysia – CKD, RM343,888, 306 PS, 2.0L mild hybrid

    Mercedes-AMG A35 4Matic facelift 2024 dilancarkan di Malaysia – CKD, RM343,888, 306 PS, 2.0L mild hybrid

    Selepas beberapa kali ditunjukkan di khalayak umum sejak tahun lalu, akhirnya versi facelift untuk Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan secara rasminya diberikan harga dan dilancarkan pada pasaran Malaysia. Seperti yang sudah diberitahu sebelum ini, A35 sedan yang disegarkan ini masih ditawarkan dalam versi CKD yang dipasang di kilang yang terletak di Pekan, Pahang. Oleh itu ia kekal menampilkan harga yang agak kompetitif, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM343,888.

    Versi facelift Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan generasi V177 ini masih dijana unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin M260 2.0 liter empat-silinder turbo menjana 306 PS pada takat 6,100 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,500 rpm hingga 4,000 rpm.

    Namun apa yang lain berbanding versi sebelumnya, ia kini turut menerima sistem hibrid ringkas (MHEV) 48V yang menampilkan unit starter generator pacuan tali sawat (RSG) memberikan kuasa tambahan 14 ps dan tork 150 Nm ketika ia kerah sepenuhnya ketika memecut.

    Mercedes-AMG A35 4Matic facelift 2024 dilancarkan di Malaysia – CKD, RM343,888, 306 PS, 2.0L mild hybrid

    Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift DCT 8G bagi menggantikan unit AMG Speedshift DCT 7G sebelum ini. Kuasa kemudiannya dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD AMG Performance 4Matic. Walau bagaimanapun, angka prestasi dilihat tidak berubah di mana ia masih mencatatkan masa 4.8 saat untuk pecutan 0-100 km/j dan kelajuan maksima dicatatkan pada 250 km/j.

    Pada sebelah luar, seperti biasa model prestasi ini mengenakan bampar “A-Wing profile” dan gril hadapan AMG yang lebih garang, serta diberikan emblem AMG bagi menggantikan logo bintang tiga penjuru yang berdiri pada muncung bonet hadapan.

    Ia juga hadir dengan lampu hadapan LED baharu seperti A200 dan A250 facelift menampilkan lampu nyalaan siang yang kini lebih nipis dan tidak lagi berbentuk-L seperti versi sebelum ini. Model ini juga menerima rim aloi AMG lima jejari berkembar berdiameter 19-inci dibalut dengan tayar 235/35R19, bersama sistem brek menampilkan cakera lebih besar yang ditebuk bersama angkup dalam kemasan merah.

    Mercedes-AMG A35 4Matic facelift 2024 dilancarkan di Malaysia – CKD, RM343,888, 306 PS, 2.0L mild hybrid

    Di belakang, model facelift ini diberikan lampu baharu dengan grafik LED dalam yang berlainan dari sebelumnya, tetapi untuk bahagian lain seperti, lips spoiler, unit diffuser dan bampar serta dua tip ekzos berbentuk bulat masih lagi nampak sama seperti model pre-facelift.

    Manakala dalam kabin, A35 AMG facelift ini menerima sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan gaya paparan AMG yang dipertingkat kepada versi NTG7, menerusi dua skrin berkembar (infotainmen dan paparan instrumental digital) masing-masing bersaiz 10.25-inci. Sistem ini menampilkan pelbagai servis terhubung, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar, serta sistem navigasi AR dan paparan kamera 360-darjah.

    Ia kemudiannya dihubungkan kepada sistem audio surround dari Burmester berkuasa 710-watt dengan 12-pembesar suara. Namun paparan head-up yang dilengkapi pada versi sebelumnya tidak lagi ditawarkan pada model baharu ini. Selain itu A35 facelift ini juga diberikan port pengecas diperingkat dengan memberikan fungsi cas pantas dan tambahan port USB Type-C

    Mercedes-AMG A35 4Matic facelift 2024 dilancarkan di Malaysia – CKD, RM343,888, 306 PS, 2.0L mild hybrid

    Perincian standard lain yang turut diberikan pada A35 facelift ini termasuk tempat duduk hadapan Sports bersama fungsi memori dengan upholsteri gandingan kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut, tali pinggang keledar berwarna merah, perapi kemasan brushed aluminium, pengecas tanpa wayar Qi, sistem pendingin hawa automatik dua zon Thermotronic, karpet kaki AMG, lampu suasana 64-warna, bendul sisi bernyala AMG, dan juga roda stereng AMG balutan kulit Nappa.

    Untuk keselamatan pula, A35 AMG facelift ini menerima Driving Assistant Package sebagai perincian standard yang menampilkan fungsi brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal tengah lorong, pemantau titik buta dan amaran buka pintu. Selain itu ia turut diberikan tujuh-beg udara, Active Parking Assist bersama Parking Package yang menampilkan kamera pemantau 360-darjah.

    Dengan kehadiran Mercedes-AMG A35 facelift ini menandakan ia kembali memberikan saingan kepada seteru senegaranya iaitu Volkswagen Golf R facelift. Hot-hatch AWD dengan enjin 2.0L turbo berkuasa 320 PS/400 Nm tersebut juga baru sahaja dilancarkan di sini dalam versi CKD, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM334,012. Jadi mana satu pilihan anda?

    GALERI: Gambar rasmi Mercedes-AMG A35 facelift CKD 2024

     
     
  • JPJ Selangor keluarkan 14,417 saman dalam Op HRAA dari 10-19 Jun – operasi diteruskan hingga 30 Jun 2024

    JPJ Selangor keluarkan 14,417 saman dalam Op HRAA dari 10-19 Jun – operasi diteruskan hingga 30 Jun 2024

    Bagi tempoh 10 hingga 19 Jun 2024, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor telah mengeluarkan 14,417 notis atas pelbagai kesalahan menerusi Op Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024.

    Menurut Timbalan Pengarah JPJ Selangor Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat, jumlah itu membabitkan saman sebanyak 11,118 notis, larangan penggunaan kenderaan (1,338), arah periksa kenderaan (1,407) dan penahanan kenderaan sebanyak 554 notis, laporan Bernama.

    “Kesalahan paling banyak direkodkan ialah isu teknikal iaitu 4,697 kes, diikuti tiada lesen memandu kompeten (3,022), lesen kenderaan motor tamat tempoh (2,320), tiada perlindungan insurans (1,893) dan selebihnya lain-lain kesalahan.

    “Op HRAA 2024 akan dilaksanakan hingga 30 Jun bertujuan memastikan penguatkuasaan dilaksana dengan impak tinggi bagi meminimumkan kadar kemalangan serta kematian akibat nahas jalan raya,” katanya.

    Itu baru rekod yang dicatatkan oleh JPJ Selangor untuk sembilan hari operasi HRAA 2024 dijalankan. Kalau nak dicampur dengan operasi yang sama yang dijalankan oleh JPJ negeri lain di seluruh negara, agak-agak berapa pula keseluruhan jumlahnya?

    Kalau mengikut rekod yang dikeluarkan oleh ibu pejabat JPJ pada 16 Jun lalu, setakat empat hari pertama operasi berkenaan dilaksanakan, sebanyak 47,003 notis saman pelbagai kesalahan telah dikeluarkan di seluruh negara. Di mana penyumbang terbesar dalam jumlah saman tersebut ialah melibatkan tiada lesen memandu kompeten (12,188 saman), diikuti dengan cukai jalan tamat tempoh (9,711 saman) dan kesalahan teknikal (8,104 saman).

     
     
  • Toyota Outrun 2024 berlangsung di Dataran Merdeka Ahad ini, tapi KL Car Free Morning tidak dibatalkan

    Laluan untuk kategori 10km Toyota Outrun (kiri) & laluan alternatif KLCFM (kanan) – klik untuk besarkan

    Acara larian Toyota Outrun 2024 akan berlangsung Ahad ini, 23 Jun 2024, di Dataran Merdeka, KL. Seperti penganjuran tahun lalu, ia juga melibatkan kategori 5KM dan 10KM, di mana para pelari yang menyertai larian 10 Km perlu merentasi laluan berbukit termasuk di Bukit Tunku dan Jalan Parlimen sebelum ke garisan penamat di Dataran Merdeka.

    Seperti dimaklumkan oleh UMW Toyota Motor, larian 10KM akan bermula pada jam 7 pagi, sementara 5KM pula pada 7.15 pagi. Bagi peserta yang terlibat, pek larian boleh diambil hari ini dan esok di
    Atria Shopping Gallery di Damansara Jaya, PJ.

    Dalam masa yang sama, acara KL Car Free Morning (KLCFM) turut akan dilangsungkan. Beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar akan ditutup sementara pada waktu pagi untuk memberi laluan pada kelancaran acara terbabit.

    Bagi yang memandu sendiri ke lokasi acara, anda boleh ke Dataran Merdeka menerusi Jalan Tunku Abdul Rahman dari Jalan Chow Kit atau Jalan Bukit Bintang. Anda juga disarankan agar menaiki pengangkutan awam seperti LRT kerana pastinya kawasan parkir di lokasi berhampiran adalah terhad.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025