Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Penutupan lorong penuh di Lebuhraya LDP hala ke Damansara Perdana pada 21-22 Jun, 11 malam-5 pagi

    Penutupan lorong penuh di Lebuhraya LDP hala ke Damansara Perdana pada 21-22 Jun, 11 malam-5 pagi

    Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd (Prolintas), syarikat konsesi Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) telah mengumumkan bakal melaksanakan kerja-kerja penurapan jalan bagi tujuan baik pulih dan penambahbaikan.

    “Sehubungan itu penutupan lorong penuh sementara akan dijalankan daripada Lebuhraya LDP menghala ke Damansara Perdana dan Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana menghala Lebuhraya LDP bermula malam ini (21 Jun) hingga 22 Jun 2024 dari jam 11 malam hingga 5 pagi.

    “Pihak Projek DASH akan memastikan keadaan lalu lintas dan gangguan bunyi dikawal bagi memelihara kesejahteraan pengguna dan penduduk sekitar. Pengguna laluan terbabit disaran untuk mematuhi arahan lalu lintas di lokasi,” kata Prolintas.

    Justeru, semua pengguna yang melalui lokasi terbabit, sentiasalah berhati-hati dalam pemanduan dan boleh juga menggunakan laluan alternatif jika diperlukan.

     
     
  • Perlu diambil tindakan terhadap pemilik kenderaan pendaftaran asing yang beli petrol RON95 – PDAM

    Perlu diambil tindakan terhadap pemilik kenderaan pendaftaran asing yang beli petrol RON95 – PDAM

    Tindakan pemilik kenderaan pendaftaran asing membeli petrol RON 95 di stesen minyak tempatan bagai sukar untuk dibendung. Ini kerana hukuman yang dikenakan hanyalah terhadap pengusaha stesen minyak terbabit yang dikenakan penalti yang tinggi mengikut undang-undang sedia ada.

    Justeru Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menggesa agar penyelesaian yang sesuai diambil supaya dapat menangani isu ini, laporan Berita Harian

    “Undang-undang semasa di Malaysia tidak menghukum pemandu asing yang sengaja membeli minyak RON95 bersubsidi yang tidak diperuntukkan untuk mereka dan ini mewujudkan situasi di mana pesalahlaku terus membuat percubaan untuk mendapatkan bekalan minyak RON95 bersubsidi ini, secara tersembunyi dan pada waktu-waktu yang dilihat lebih sesuai.

    Perlu diambil tindakan terhadap pemilik kenderaan pendaftaran asing yang beli petrol RON95 – PDAM

    “Ini menjadikan pemantauan dan pencegahan sukar untuk pekerja kami terutama apabila transaksi membabitkan pembelian minyak RON95 menggunakan kad debit atau kredit di pam,” kata Presiden PDAM Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz.

    Tambahnya, adalah penting untuk menekankan bahawa dana yang digunakan untuk subsidi RON95 datang daripada pembayar cukai Malaysia.

    Selain mengambil gambar dan menyebarkan ke dalam media sosial, pihaknya turut meminta orang awam untuk bekerjasama dengan segera dan memberitahu juruwang atau pekerja ‘forecourt’ apabila mereka melihat kejadian seperti ini berlaku.

    Perlu diambil tindakan terhadap pemilik kenderaan pendaftaran asing yang beli petrol RON95 – PDAM

    “Juruwang kami boleh menghentikan pam dengan secepat mungkin melalui sistem dari dalam kedai, namun, pihak PDAM kecewa kerana tindakan yang boleh diambil adalah terhad, hanya mampu untuk menghentikan penjualan kepada pemandu terbabit di stesen sahaja.

    “Tiada laporan lanjut yang boleh dibuat terhadap pemandu terbabit kerana tiada rang undang-undang yang boleh menghukum pemandu yang menyalahgunakan subsidi petrol RON95 ini. Kami juga tidak boleh terbabit dalam konflik bersama pesalah laku kerana ia boleh menyebabkan insiden yang tidak diingini,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau merayu kepada orang awam dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk bekerjasama mencari penyelesaian yang sesuai bagi menangani isu ini dan memastikan dana pembayar cukai digunakan dengan sewajarnya serta adil, untuk manfaat rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi.

     
     
  • ETCM lancar pusat 3S Nissan baharu di Muar, Johor

    ETCM lancar pusat 3S Nissan baharu di Muar, Johor

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mengumumkan pembukaan pusat 3S Nissan baharu di Muar, Johor. Ia dikendalikan oleh rakan pengedar NM Supreme, dan cawangan baharu ini mengikut identiti korporat Nissan Retail Concept (NRC), termasuk papan tanda Nissan berwarna merah di luar bangunan.

    Dibangunkan di kawasan seluas lebih 8,000 kaki persegi, fasiliti serba baharu dengan kos RM2 juta ini menampilkan bilik pameran yang mampu menempatkan enam kenderaan dan ruang lounge untuk keselesaan pelanggan, dilengkapi sambungan WiFi berkelajuan tinggi dan juga hidangan ringkas juadah makanan.

    Ia juga menempatkan pusat servis seluas 4,000 kaki persegi yang dilengkapi empat petak penyelenggara dan dikendalikan oleh enam juruteknik profesional. Ia mampu menyelenggara sehingga 16 kenderaan sehari, ini bermakna pusat servis ini berkeupayaan mengendalikan 352 kenderaan sebulan.

    “Kepuasan pelanggan adalah penting dengan apa yang kami lakukan di ETCM. Kami menghargai usaha yang dilakukan oleh rakan niaga kami di NM Supreme dan tahniah buat mereka kerana menubuhkan pusat 3S yang indah ini di tengah-tengah Muar. Inisiatif untuk meningkatkan wakil pengedaran Nissan dengan mematuhi NRC adalah untuk memastikan pelanggan menerima perkhidmatan bertaraf dunia, sejajar dengan pengalaman jenama Nissan global,” kata CEO ETCM Khoo Cheng Pah.

    Pusat 3S Nissan NM Supreme terletak di 106, Jalan Meriam, Muar, dan bilik pameran ini dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang pada Isnin hingga Sabtu dan dari jam 10 pagi hingga 5 Petang pada Ahad. Manakala pusat seervis pula beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada Isnin hingga Jumaat, dan dari 8.30 pagi hingga 1 tengahari pada Sabtu.

     
     
  • 180,000 kenderaan barangan belum mohon Fleet Card diesel bersubsidi dalam SKDS 2.0 – Fuziah Salleh

    180,000 kenderaan barangan belum mohon Fleet Card diesel bersubsidi dalam SKDS 2.0 – Fuziah Salleh

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh menyatakan bahawa terdapat kira-kira 180,000 kenderaan barangan masih belum memohon mendapatkan Fleet Card menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).

    Menurutnya dalam laporan Berita Harian, dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terdapat sebanyak 389,000 kenderaan yang didaftarkan sebagai kenderaan barangan, namun hanya 209,000 dari jumlah pendaftaran tersebut memohon Fleet Card dalam SKDS 2.0 dan kesemuanya telah diluluskan.

    Fuziah menjelaskan, terdapat 33 kategori kenderaan, termasuk 10 kategori pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres, manakala 23 lagi kategori membabitkan kenderaan pengangkutan barangan, logistik.

    “Kategori kenderaan barangan, ada 389,000 yang berdaftar dengan JPJ, namun yang daftar untuk dapatkan Fleet Card sekitar 209,000, bermakna lebih kurang 180,000 lagi masih belum daftar.

    “Mungkin yang belum berdaftar ingat mereka tak layak atau hanya punya satu, dua kenderaan dan rasa susah. Sebenarnya, walaupun satu, dua atau tiga kenderaan pun layak, tak perlu ada 20 kenderaan dalam syarikat.

    180,000 kenderaan barangan belum mohon Fleet Card diesel bersubsidi dalam SKDS 2.0 – Fuziah Salleh

    “Asalkan mereka termasuk dalam 23 kategori kenderaan mengangkut barang yang tersenarai,” katanya. Beliau turut menasihatkan pemohon dalam 23 kategori itu tidak bimbang memandangkan mereka yang memohon akan mendapat kelayakan serta-merta kerana jika permohonan Fleet Card daripada lima syarikat minyak yang mengambil masa untuk diproses, pemohon boleh menyimpan resit dan kemudian boleh mendapatkan bayaran balik.

    “Bila ada Fleet Card, serta-merta dekat pam minyak sudah ada diskaun,” katanya. Fuziah turut memberitahu tiada kuota Fleet Card ditetapkan bagi kenderaan pengangkutan barang setakat ini jadi tiada isu seperti dakwaan pemberian subsidi RM200 tidak mencukupi bagi kenderaan barangan.

    “Penyasaran subsidi diesel di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ialah syarikat dan kita guna kan sistem Fleet Card. Berbeza dengan dua lagi,” katanya merujuk sistem Budi Individu atau Budi Agri-Komoditi.

    “Setakat ini, tiada kuota ditetapkan menerusi Fleet Card, ia mengikut keperluan syarikat. Kita faham, syarikat logistik barangan membuat penghantaran jauh, contohnya dari utara ke selatan.

    “Selain itu, kita juga buka ruang perbincangan bagi kenderaan yang tidak tersenarai dalam sistem,” katanya.

     
     
  • Projek pelebaran Lebuhraya PLUS di Senai Utara-Sedenak bermula hujung bulan ini – siap tahun 2027

    Projek pelebaran Lebuhraya PLUS di Senai Utara-Sedenak bermula hujung bulan ini – siap tahun 2027

    Fasa pertama projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Johor bakal menjadi kenyataan apabila ia akan dimulakan hujung bulan ini seperti yang dirancangkan. Menurut Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohammad, pihaknya akan mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya dalam masa terdekat ini.

    Bagi fasa pertama ini, projek tersebut membabitkan laluan Senai Utara ke Sedenak, dengan menambah daripada empat menjadi enam lorong. Walau bagaimana pun, katanya, projek berkenaan tidak akan mengganggu aliran trafik kerana dua lorong sedia ada di kedua-dua hala lebuh raya terbabit masih kekal dibuka kepada pengguna, laporan Berita Harian.

    “Sebelum akhir bulan ini, LLM akan keluarkan surat SST kepada kontraktor yang berjaya mendapat tender projek berkenaan. Kita jangkakan fasa pertama projek pelebaran laluan Senai Utara-Sedenak akan dapat dimulakan pada penghujung bulan ini juga.

    Projek pelebaran laluan Senai Utara-Sedenak yang membabitkan jarak 21.8 km itu dijadualkan akan siap dalam tempoh 36 bulan. Proses tender projek pelebaran fasa pertama untuk pakej kedua juga sedang berjalan dan kita jangkakan kontraktor akan dilantik tahun ini juga,” katanya.

    Projek pelebaran Lebuhraya PLUS di Senai Utara-Sedenak bermula hujung bulan ini – siap tahun 2027

    Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, tempoh masa yang diperlukan tersebut adalah kerana kerja pelebaran dari Senai Utara ke Sedenak berkenaan agak mencabar berikutan keadaan muka bumi yang berbukit dan curam. Manakala projek pelebaran Fasa Dua daripada Sedenak ke Machap pula akan bermula pada awal 2025. Ia juga sedang dipertimbangkan untuk dilanjutkan sehingga ke kawasan Ayer Hitam dengan jarak 17.3 km.

    Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor yang melibatkan kos peruntukan sebanyak RM931 juta.

    Pada masa ini, laluan enam hingga lapan lorong di Lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur ke selatan hanya berakhir di Melaka. Manakala laluan selepas itu hanya menampilkan laluan empat lorong (dua lorong sehala) sehingga ke Tol Skudai yang bukan sahaja menyebabkan kesesakan pada waktu puncak, musim cuti dan musim perayaan, malah ia juga telah menyebabkan banyak kemalangan maut berlaku.

     
     
  • smart Malaysia perkenal program smartCare, termasuk sekali pemantauan kesihatan bateri masa nyata

    smart Malaysia perkenal program smartCare, termasuk sekali pemantauan kesihatan bateri masa nyata

    Pro-Net selaku pengedar kenderaan smart di Malaysia telah mengumumkan program servis lepas jualan smartCare terbaru, yang dirangka untuk memastikan keadaan baik setiap kenderaan smart dan memberikan sokongan proaktif kepada pemilik smart sedia ada.

    Ciri penting yang terkandung di dalam ekosistem lepas jualan smart ini ialah sistem Live High Voltage Battery Monitoring, yang telah termasuk di dalam binaan EV terkini smart. Ciri ini meninjau kesihatan bateri dalam masa nyata dan memberi peringatan sekiranya ada masalah kepada smart Central di China, membolahkan langkah proaktif diambil untuk mengekalkan prestasi optimum dan ketahanan bateri.

    Pro-Net juga bekerjasama dengan penyedia servis baik pulih bateri tempatan untuk menguruskan pengurusan baterinya. Ini membolehkan syarikat untuk melakukan baik pulih dengan cepat dan mesra alam dengan cara menggunakan semula komponen yang masih berfungsi, mengurangkan tempoh menunggu serta kesannya terhadap alam.

    smart Malaysia perkenal program smartCare, termasuk sekali pemantauan kesihatan bateri masa nyata

    Pusat rakan kerjasama tempatan ini didakwa mempunyai juruteknik bateri yang bertauliah dan terlatih. Sementara itu, pasukan lepas jualan smart yang terdiri daripada pakar EV mahir dari smart Central akan turut memberi sokongan. Pasukan ini juga dikatakan akan menjalani latihan berterusan dan mempunyai pengetahui semasa berkaitan teknologi EV.

    Dari segi alat ganti, Pro-Net ketika ini mempunyai lebih daripada 3,000 SKU dan lebih 10,000 alat ganti dalam stok, bertujuan untuk mengurangkan masa menunggu dan mempercekap proses baik pulih. Syarikat ini juga mendakwa menjadi yang pertama di Malaysia untuk menyediakan bilik khusus bateri bagi penyimpanan dan operasi yang selamat.

    Pro-Net juga mempunyai pusat baik pulih badan dan cat kenderaan di Ipoh, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang berupaya mengendalikan tuntutan insurans, ganti cermin depan dan cat serta baik pulih badan kenderaan. Alat ganti tulen juga digunakan untuk mengekalkan kualiti serta pelindungan jaminan. Kesemua 10 cawangan smart juga dilengkapi dengan pengecas AC dan DC.

     
     
  • 76,000 sudah terima bantuan bulanan Budi Madani bernilai RM200, 100k pemohonan setakat ini – MOF

    76,000 sudah terima bantuan bulanan Budi Madani bernilai RM200, 100k pemohonan setakat ini – MOF

    Kementerian Kewangan (MOF) mengesahkan sebanyak 100,000 permohonan untuk bantuan bulanan secara tunai menerusi program rasionalisasi subsidi diesel telah pun diluluskan.

    Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, seramai 30,000 pemohon sudah menerima bayaran bantuan tunai sejak 10 Jun lalu, diikuti 46,000 pemohon pula menerima bayaran semalam (19 Jun), laporan Berita Harian.

    “Bagi mereka yang membuat permohonan sebelum hujung bulan Jun ini, pemohon akan menerima bayaran pada awal Julai 2024. Pemohon yang layak akan menerima bantuan RM200 secara bulanan melalui akaun bank masing-masing atau mendapatkan bayaran tunai di kaunter-kaunter Bank Simpanan Nasional,” katanya.

    Tambahnya, bagi individu yang sudah membuat permohonan, bolehlah menyemak status permohonan masing-masing menerusi laman web rasmi Budi Madani.

    “Saya menggesa kepada rakyat Malaysia yang layak, supaya segera mendaftar bagi mendapatkan bayaran bantuan tunai diesel untuk bulan ini. Kerajaan komited untuk menyalurkan bantuan tunai Budi Madani bermula pada bulan permohonan dibuat,” katanya lagi.

    Inisiatif Budi Madani yang dibuka sejak 28 Mei lalu adalah platform untuk mengagihkan bantuan tunai subsidi diesel kepada pemilik kenderaan diesel melalui kategori Budi Individu dan kepada petani kecil dan pekebun kecil melalui kategori Budi Agri-Komoditi.

    Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung layak untuk menerima Budi Individu. Sementara itu, hampir 400,000 petani dan pekebun skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada Budi Agri-Komoditi.

     
     
  • Porsche Taycan facelift dibuka untuk tempahan di Malaysia – tujuh varian disediakan, harga dari RM575k

    Porsche Taycan facelift dibuka untuk tempahan di Malaysia – tujuh varian disediakan, harga dari RM575k

    Porsche Taycan facelift, yang pertama kali didedahkan kepada dunia Februari lalu kini sudah dibuka untuk tempahan di Malaysia. Kereta elektrik (EV) pertama daripada Porsche ini tidak diberikan banyak perubahan pada penampilannya, tetapi penggeraknya banyak dipertingkat. Ia kini sedang dipamerkan di Litar Antarabangsa Sepang bersempena acara Porsche World Roadshow.

    Pilihan yang disediakan untuk Taycan facelift ini bermula daripada model asas yang berharga RM575,000 dan pergi sehingga model Turbo S paling tinggi, berharga RM1.06 juta. Tiada versi Turbo S untuk model Cross Turismo, dan ia dijual pada harga antara RM625,000 ke RM915,000. Harga ini dapat ditawarkan kepada pelanggan setelah mendapat insentif kerana ia adalah EV yang diimport sepenuhnya.

    • Taycan – RM575,000
    • Taycan 4S – RM675,000
    • Taycan Turbo – RM905,000
    • Taycan Turbo S – RM1,060,000
    • Taycan 4 Cross Turismo – RM625,000
    • Taycan 4S Cross Turismo – RM700,000
    • Taycan Turbo Cross Turismo – RM915,000

    Porsche Taycan facelift dibuka untuk tempahan di Malaysia – tujuh varian disediakan, harga dari RM575k

    Di sebalik panel badannya yang sama, Porsche telah membuat beberapa peningkatan termasuk pada sistem pengurusan haba dan inverter untuk menghasilkan jarak gerak yang lebih jauh, serta motor belakang dan pam haba baru. Berat keseluruhan kereta juga berkurang sehingga 15 kg.

    Selain daripada itu, Taycan facelift ini turut mendapat sistem penjanaan semula kuasa brek 30% lebih berkuasa, yang kini boleh menarik sehingga 400 kW tenaga kinetik untuk memberikan lebih kuasa henti tanpa menggunakan geseran brek. Kapasiti bateri dinaikkan dari 93 kWh ke 105 kWh (dengan pilihan Performance Battery Plus), membolehkan ia mencapai jarak gerak yang lebih jauh.

    Model asas Taycan RWD 408 PS kini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat, iaitu 0.6 saat lebih pantas berbanding sebelum ini, sementara jarak geraknya pula meningkat menjadi 678 km (sebelum ini 503 km). Model 4S pula boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat (0.3 saat lebih pantas) dan mencatat jarak gerak 643 km (sebelum ini 510 km).

    Porsche Taycan facelift dibuka untuk tempahan di Malaysia – tujuh varian disediakan, harga dari RM575k

    Paling laju adalah Turbo S yang berkuasa 932 PS, dengan catatan masa 0-100 km/j dalam masa 2.4 saat (0.4 saat lebih pantas) dan boleh memberikan jarak gerak sehingga 630 km dalam kitaran WLTP (sebelum ini cuma 467 km).

    Turut dijadikan lebih pantas untuk Taycan facelift ini adalah proses mengecas, dengan kadarnya ditingkatkan daripada 270 kW kepada 320 kW, dan boleh menerima input lebih 300 kW untuk masa lebih lima minit. Hasilnya, waktu mengecas 10-80% bagi model yang menggunakan Performance Battery Plus dapat dikurangkan empat minit, menjadi 18 minit.

    Melihat kepada bahagian lain, Taycan facelift ini sekarang datang dengan suspensi udara, yang menggantikan penyerap dan spring biasa, serta pilihan Porsche Active Ride untuk model pacuan semua roda. Sama seperti sebelum ini, pelanggan juga boleh mendapatkan pilihan tambahan lain seperti Porsche Torque Vectoring Plus dan brek seramik.

     
     
  • KPDN Kelantan akan pasang CCTV di stesen minyak kawasan sempadan Malaysia-Thai untuk pemantauan

    KPDN Kelantan akan pasang CCTV di stesen minyak kawasan sempadan Malaysia-Thai untuk pemantauan

    Kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di stesen minyak kawasan sempadan Malaysia-Thailand bagi tujuan pemantauan, menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail.

    Jelasnya, sebagai permulaan, CCTV akan dipasang di stesen terpilih yang dipercayai sering menjadi pilihan penyeludup dalam masa terdekat. Di mana, katanya, ia adalah antara langkah mencegah kegiatan pembelian diesel secara berulang yang dibimbangi untuk tujuan penyeludupan.

    “Buat masa sekarang, KPDN meletakkan anggota penguat kuasa secara statik di beberapa stesen terpilih seperti di Tumpat dan Pasir Mas,” katanya kepada Bernama.

    KPDN Kelantan akan pasang CCTV di stesen minyak kawasan sempadan Malaysia-Thai untuk pemantauan

    Tambah beliau, pemasangan CCTV akan membolehkan KPDN memantau dari pejabat dan mudah mengambil tindakan jika berlaku penyeludupan. Walau bagaimana pun, perkara itu masih dalam perbincangan dengan syarikat minyak dan belum dimuktamadkan.

    “Setakat ini, stesen minyak mempunyai CCTV masing-masing dan sekiranya pemantauan mahu dilakukan, pihak KPDN perlu ke stesen minyak untuk membuat pemantauan khususnya melihat di CCTV stesen. Apa yang kita inginkan adalah pemantauan terus dari pejabat. Di daerah bersempadan, ada 46 stesen minyak dalam radius 20 kilometer yang menjadi tumpuan penyeludup bahan api berkenaan,” katanya.

    Sebelum ini, KPDN Kelantan juga telah menetapkan larangan untuk pembelian berulang bagi pengisian petrol RON95 di semua stesen minyak di Kelantan. Ia bertujuan bagi mengelak petrol bersubsidi itu diseleweng ke negara jiran. Di mana arahan itu dikeluarkan selepas ada pihak dikesan cuba menggunakan pembelian berulang untuk mengumpulkan stok RON95 sebelum diseludup ke Thailand,

     
     
  • Nombor plat FFF 1 milik YDP Agong Sultan Ibrahim – bidaan tertinggi dalam sejarah cecah RM1.75 juta

    Nombor plat FFF 1 milik YDP Agong Sultan Ibrahim – bidaan tertinggi dalam sejarah cecah RM1.75 juta

    KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan (YDP) Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diumumkan menjadi pemilik bagi nombor plat kenderaan FFF 1 yang dikeluarkan sempena ulang tahun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ke-78 pada awal Mei lalu.

    Menurut laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, nombor plat berkenaan dibida dengan nilai RM1.75 juta, sekaligus menjadi nilaian bidaan tertinggi yang tercatat dalam sejarah negara. Difahamkan bahawa RM1.75 juta tersebut akan disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membantu rakyat.

    Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri Pengangkutan Anthony Loke, di Istana Negara. Pada pertemuan itu, Loke turut mempersembahkan secara simbolik nombor plat kenderaan berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

    Pada Februari lalu, Sultan Ibrahim diumumkan menjadi pemilik bagi ‘GOLD 1’, nombor plat pendaftaran kenderaan yang dikeluarkan khas sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50. Nombor plat berkenaan dibida dengan nilai RM1.5 juta.

    Siri FFF dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid bermula 11 Mei 2024 dan berlangsung selama lima hari. Tidak seperti bidaan nombor plat yang dikeluarkan khas seperti GOLD, tiada harga minima yang ditetapkan serta tiada kategori untuk bidaan FFF.

    Malah pada 1 Jun lalu, JPJ turut menawarkan baki siri nombor pendaftaran istimewa siri FFF yang boleh dibeli terus di kaunter JPJ Ibu Pejabat Bahagian Pelesenan Kenderaan atau di semua Pejabat JPJ Negeri. Di mana penawaran baki siri FFF ini adalah sehingga ia habis dijual, bermakna tiada tempoh tertentu bagi penjualan yang ditetapkan. Selagi masih ada baki nombor, maka ia akan terus dibuka untuk dijual.

     
     
  • Land Rover beri lesen jenama Freelander kepada Chery untuk bangunkan model EV global baharu

    Land Rover beri lesen jenama Freelander kepada Chery untuk bangunkan model EV global baharu

    Jika anda lihat model-model SUV jenama Jeacoo milik Chery yang seakan “meniru” model-model keluaran jenama SUV mewah British iaitu Land Rover, mungkin minda skeptikal mengatakan memang lazim jenama China menghasilkan model-model ‘tiruan’ sebegitu. Namun tahukah anda Land Rover dan Chery sememangnya sudah sekian lama bekerjasama?

    Kerjasama ini telah berlangsung lebih sedekad yang lalu apabila Chery diberikan hak untuk mengilangkan dan menjual model-model Land Rover di China. Terbaharu, kerjasama ini naik satu tahap lagi apabila Land Rover menyerahkan lesen bagi jenama Freelander kepada Chery bagi membolehkan jenama automotif China tersebut membangunkan model-model SUV elektrik (EV).

    Menerusi kerjasama ini, model-model Freelander tersebut akan direka bersama Chery dan juga Jaguar Land Rover (JLR), namun ia akan diasaskan dari platform EV Chery. Ia kemudiannya akan diproduksi di kilang Chery Jaguar Land Rover (CJLR) sedia ada yang terletak di Changsu, China.

    Buat permulaan model baharu Freelander ini akan dipasarkan di China meneurs jaringannya tersendiri yang berasingan dari mana-mana jenama Chery atau Land Rover lain, dan kemudian ia turut disasarkan untuk dijual ke pasaran eksport global.

    Land Rover beri lesen jenama Freelander kepada Chery untuk bangunkan model EV global baharu

    Sebelum ini Freelander merupakan siri SUV paling mampu milik yang ditawarkan oleh Land Rover sejak 1997. Namun ia hanya bertahan selama dua generasi sebelum digantikan dengan model Discovery Sport pada 2014.

    “Hari ini kami mengambil langkah strategik yang penting ini untuk JLR, yang menggariskan komitmen berterusan kami kepada China dan melengkapkan perniagaan sedia ada kami di China,” kata CEO JLR Adrian Mardell. “Kami percaya bahawa bekerjasama untuk membangunkan model kolobrasi baharu untuk pasaran kenderaan elektrik terbesar dan paling pesat berkembang di dunia, digabungkan dengan daya tarikan jenama Freelander, menjanjikan masa depan yang sangat menarik untuk CJLR.”

    Pengerusi Kumpulan Chery Yin Tongyue pula menambah: “Chery dan JLR sedang menjalin model kerjasama inovatif yang melambangkan hala tuju pertumbuhan kami untuk masa hadapan. Gabungan teknologi EV termaju Chery dengan daya tarikan tersendiri jenama Freelander sudah pasti akan memberikan pengalaman kenderaan elektrik yang unik kepada pengguna China dan global.”

    Kerjasama untuk jenama Freelander ini mungkin hanya sebahagian dari projek yang lebih besar dirancang oleh kedua-dua jenama. Dalam laporan CarNewsChina menyatakan bahawa Land Rover bakal menghasilkan model-model dengan unit rangkaian kuasa hibrid plug-in (PHEV) menggunakan platform M3X yang kini mengasaskan model-model Exeed Chery, dan juga EV menggunakan platform E0X.

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia bagi Mei 2024 naik 18%

    Jualan kenderaan di Malaysia bagi Mei 2024 naik 18%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah pun mengeluarkan data jualan kenderaan bagi Mei 2024, di mana sebanyak 68,665 unit kenderaan telah dihantar kepada pelanggan pada bulan tersebut. Ini mewakili peningkatan sebanyak 18% atau 10,674 unit, berbanding 57,991 unit yang terjual pada April 2024.

    Di mana angka jualan pada Mei 2024 juga 9% lebih tinggi berbanding bulan yang sama pada 2023. Menurut MAA, peningkatan itu berpunca daripada hari bekerja yang lebih panjang pada bulan Mei serta prestasi kukuh oleh jenama nasional. Berkenaan dengan jumlah keseluruhan industri (TIV), sebanyak 328,901 kenderaan telah terjual pada lima bulan pertama tahun ini, iaitu 8% lebih tinggi bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Pengeluaran kenderaan juga menunjukkan tahap yang positif pada Mei 2024, dengan sejumlah 74,174 kenderaan telah dikeluarkan di kilang pemasangan. Ia menunjukkan peningkatan sekitar 30% berbanding yang dicatatkan pada April 2024 (56,895 unit), juga lebih 14% berbanding Mei 2023. Jumlah keseluruhan pengeluaran kenderaan sehingga akhir Mei 2024 mencecah 341,500 unit, naik sebanyak 12% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Untuk bulan Jun 2024, MAA menjangkakan rekod jualan akan lebih kurang sama dengan apa yang telah dicatatkan pada Mei tahun ini.

     
     
  • Pelan Mercedes-Benz Elevate to Electric mudahkan pemilik EV dengan pengalaman pelanggan 5-bintang

    Pelan Mercedes-Benz Elevate to Electric mudahkan pemilik EV dengan pengalaman pelanggan 5-bintang

    Inovasi dan kemewahan selalu sinonim dengan Mercedes-Benz, dan perkara itu akan terus dipererat dalam peralihan kepada elektrikfikasi, yang akan menawarkan keseronokan pemanduan serta keselesaan pada tahap yang sama seperti yang ditawarkan oleh model kenderaan berenjin keluarannya. Sama ada ia model EQA, EQB, EQC, EQE atau EQS, anda akan menikmati bukan sahaja prestasinya, tetapi juga layanan pelanggan lima-bintang seperti yang selalu diberikan oleh jenama ini.

    Dengan teknologi canggih untuk mobiliti mesra alam, Mercedes-Benz turut memberikan tawaran nilai tambah bagi mereka yang ingin beralih kepada mobiliti elektrik melalui barisan kenderaan yang ditawarkan menerusi pelan “Elevate to Electric” yang merangkum segala perkara yang terlibat.

    Untuk tempoh terhad, pembeli boleh memanfaatkan pelbagai kelebihan yang ditawarkan di bawah pelan Elevate to Electric ini, yang meliputi aspek pembiayaan, servis dan juga kredit pengecasan.

    Sebagai permulaan, anda boleh memulakan perjalanan menuju elektrifikasi dengan bayaran balik sehingga 12 bulan percuma: yang mana untuk tahun pertama, ansuran bulanan kereta anda ditanggung oleh Mercedes-Benz Malaysia. Ini membolehkan kewangan anda digunakan untuk tujuan lain sepanjang tempoh tersebut. Juga, jika mendaftar untuk Agility+, anda juga akan menikmati Nilai Masa Depan Terjamin bagi kereta yang dibeli.

    Pelan Mercedes-Benz Elevate to Electric mudahkan pemilik EV dengan pengalaman pelanggan 5-bintang

    Bukan itu saja. Di bawah pelan yang sama, anda juga akan menikmati pengalaman pengecasan mudah, dengan adanya pemasangan wallbox AC percuma di rumah serta kredit pengecasan eksklusif sekiranya anda ingin menggunakan kemudahan pengecasan awam.

    Ini membolehkan pelanggan untuk memanfaatkan rangkaian stesen pengecasan awam di seluruh negara melalui JomCharge, ChargEV dll, yang akan memudahkan lagi pengalaman pengecasan anda sekaligus memberikan kelegaan ketika anda sedang bergerak.

    Pelan ini turut menawarkan kelegaan fikiran dengan memastikan kereta anda dilindungi dari aspek penyelenggaraan, melalui pakej servis percuma dan jaminan bateri sehingga 10 tahun. Turut disertakan ialah pelindungan insurans kenderaan komprehensif.

    Itu untuk keseluruhan barisan model EQ. Jika anda menginginkan kemuncak prestasi elektrik pula, maka tiada yang lebih layak melainkan EV flagship daripada Mercedes-Benz, EQS 500. Ia mempersembahkan seluruh kepakaran pembuatan kenderaan pengeluarnya ke era kenderaan elektrik ketika ini. Model sedan mewah elektrik sepenuhnya yang menjadi model elektrik CKD pertama ini menawarkan prestasi yang tiada tandingan, termasuk jarak perjalanan mengagumkan sejauh 696 km (WLTP) dengan sekali cas.

    Selain daripada pakej empat servis percuma, pakej Elevate dengan Agility+ memberi tambahan sehingga RM6,388 dalam bentuk sokongan insurans, kredit pengecasan bernilai RM2,400 serta sifar bayaran bulanan sehingga 12 bulan.

    Sebagai tambahan, dengan pelan Agility+ akan membolehkan anda menikmati perlindungan dua tahun di bawah MobilityPlus, yang menyediakan kenderaan gantian Mercedes-Benz sekiranya EV EQ anda perlu diservis atau menjalani tuntutan jaminan. Dengan Agility+, anda akan mendapat sebuah kereta ganti Mercedes-Benz serta-merta untuk memudahkan urusan anda.

    Turut disediakan ialah ICE on Demand, yang merupakan program istimewa melibatkan kenderaan berenjin Mercedes-Benz bila diperlukan untuk pelanggan EQS melalui program Agility+, yang menawarkan penggunaan kereta berenjin tersebut sehingga 10 hari.

    Semua ini adalah tawaran yang sangat menarik, baik melalui pelan “Elevate to Electric” mahupun tawaran yang melibatkan EQS. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pelan yang ditawarkan serta manfaatnya, tanya menerusi Pembiayaan Mercedes-Benz di sini.

     
     
  • Skyworth dikendalikan Berjaya melalui kerjasama baru — persetujuan dengan NexV Auto Alliance ditamatkan

    Skyworth dikendalikan Berjaya melalui kerjasama baru — persetujuan dengan NexV Auto Alliance ditamatkan

    Berjaya umumkan bahawa syarikat itu telah menandatangani memorandum kerjasama strategik dengan pengeluar kenderaan elektrik komersil China, Skywell. Dalam satu kenyataan, Berjaya menyatakan yang kerjasama itu bertujuan untuk menjadikann Skywell sebagai jenama kenderaan tenaga baru (NEV) di Malaysia dan rantau ASEAN. Skywell mengeluarkan kedua-dua NEV komersil dan penumpang, dengan yang kedua ini menggunakan jenama Skyworth yang lebih sinonim sebagai jenama kelengkapan elektronik rumah.

    Bersetujuan dengan Skywell ini adalah menerusi anak syarikatnya, Berjaya Eco-Drive (Berjaya ED) dan bertujuan untuk meneroka kerjasama bagi “memperluas teknologi NEV dan ekosistemnya” di Malaysia. Berjaya juga menandatangani perjanjian serupa dengan Skyworth untuk kelengkapan elektrik rumah — kedua-dua syarikat ini ditubuhkan oleh Stephen Wong, yang juga merupakan pemegang kepentingan utamanya.

    Skyworth dikendalikan Berjaya melalui kerjasama baru — persetujuan dengan NexV Auto Alliance ditamatkan

    “Kerjasama strategik dengan Skyworth dan Skywell ini mempunyai prospek transformtif yang akan mengubah landskap beberapa sektor di Malaysia dan Asia Tenggara,” jelas pengasas dan penasihat Berjaya, Vincent Tan. “Dengan menggabungkan kepakaran bersama kami, serta memanfaatkan kekuatan serantau, kami berada di barisan depan untuk merancakkan inovasi, memupuk pembangunan mapan dan membuka jalan kepada masa depan lebih sejahtera di rantau ini.”

    Wong menambah: “Kami percaya, menerusi usaha bersama serta kerjasama jujur antara kedua-dua pihak, kami akan meraih manfaat bersama dengan matlamat yang sama, dengan memperkukuh latihan tenaga kerja dan lokalisasi bagi keseluruhan rantaian industri, serta produktiviti baru disamping mewujudkan projek penting untuk ekonomi China-Malaysia.”

    Dalam perkembangan sebelum ini, perlu juga dinyatakan bahawa Skywell pernah mengumumkan kerjasama dengan NexV Auto Alliance (NAASB) — sebuah anak syarikat pengeluar sarung tangan CarePlus — yang turut melibatkan perancangan untuk memasang Skyworth EV6 di kilangnya di Chembong, Negeri Sembilan. Sumber dari NAASB telah mengesahkan kepada paultan.org bahawa kerjasama itu telah ditamatkan atas sebab adanya keperluan perniagaan yang tidak dapat dipenuhi. Dengan ini, Berjaya akan mengambil tugas untuk mengedarkan jenama EV terbabit.

    Setakat ini, masih belum jelas sama ada jenama Skyworth akan terus digunakann di Malaysia, memandangkan kenyataan media yang dikeluarkan itu menyatakan hasrat untuk mempromosi Skywell sebagai jenama di sini. Untuk makluman, Skyworth EV6 yang dijual di pasaran lain menggunakan nama Skywell ET6, mungkin untuk mengelakkan persamaan nama dengan Kia EV6. Dengan perkembangan ini, belum dapat dipastikan sama ada perancangan awal untuk memperkenalkan model berkenaan pada suku ketiga tahun ini akan diteruskan, begitu juga sama ada ia akan di pasang CKD di sini atau sebaliknya.

    Skyworth EV6

     
     
  • Chery Tiggo 7 Pro 2024 dilancar pada 21 Jun – pesaing Proton X70; 1.6T, 197 PS, 290 Nm; bawah RM130k

    Chery Tiggo 7 Pro 2024 dilancar pada 21 Jun – pesaing Proton X70; 1.6T, 197 PS, 290 Nm; bawah RM130k

    Chery Tiggo 7 Pro sedang mengira detik untuk dilancarkan di pasaran Malaysia, dijangka berlangsung pada Jumaat ini, 21 Jun 2024. Hari ini, sekali lagi Tiggo 7 Pro versi pemasangan tempatan (CKD) dipertontonkan untuk tatapan media tempatan.

    Menurut perkhabaran tidak rasmi, Chery Malaysia bakal menetapkan harga di bawah RM130,000 untuk Tiggo 7 Pro yang didatangkan dengan varian tunggal ini. Dengan harga sedemikian, Tiggo 7 Pro lebih cenderung untuk menjadi pesaing bagi Proton X70.

    Berukuran 4,513 mm panjang, 1,862 mm lebar dan 1,696 mm tinggi, walau bagaimana pun Tiggo 7 Pro lebih pendek sebanyak 6 mm, lebih lebar sebanyak 31 mm dan 2 mm lebih tinggi berbanding X70, manakala jarak rodanya pula lebih kurang dengan SUV Proton itu. Selain itu, Tiggo 7 Pro juga mempunyai ruang but berkapasiti 475 liter yang boleh dipertingkatkan hingga 1,672 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

    Chery Tiggo 7 Pro 2024 dilancar pada 21 Jun – pesaing Proton X70; 1.6T, 197 PS, 290 Nm; bawah RM130k

    Jika dibandingkan dengan Omoda 5 pula yang sudah banyak berada di jalan raya di Malaysia, Tiggo 7 Pro lebih panjang sebanyak 113 mm, 32 mm lebih lebar dan 108 mm lebih tinggi. Tetapi jika dibandingkan dengan SUV tiga-barisan tempat duduk Tiggo 8 Pro, pastinya ia berbeza dari sudut kelebaran dan ketinggiannya. Di mana Tiggo 7 Pro lebih lebar sebanyak 2 mm tetapi 9 mm lebih rendah berbanding abangnya itu.

    Berbanding dengan wajah Omoda 5 yang lebih berani dan ranggi, Tiggo 7 Pro lebih ke arah SUV konvensional. Badannya kelihatan lebih tegak dengan garisan tingkap yang menjulur ke belakang dan tiang-D yang ditampilkan warna hitma seakan memberikan efek ‘bumbung terapung’.

    Tiggo 7 Pro juga ditampilkan dengan gril haksagon yang menyerlah dengan taburan kemasan ala berlian pada perumahnya. Manakala sirip biru pada corong pengambilan udara menyerlahkan lagi wajahnya yang tampil agak unik. Selain itu, ia diserikan dengan lampu utama LED yang lebih nipis dengan disepadukan pada indikator jujukan, lampu nyalaan siang LED serta lampu belakang LED penuh.

    Chery Tiggo 7 Pro 2024 dilancar pada 21 Jun – pesaing Proton X70; 1.6T, 197 PS, 290 Nm; bawah RM130k

    Untuk bahagian kabinnya, ia tampil kemas seakan Tiggo 8 Pro dengan papan pemuka minimalis. Ia diberikan panel paparan widescreen dengan dua paparan bersaiz 12.3-inci untuk instrumen dan infotainmen. Bagi versi CKD ini, Tiggo 7 Pro juga diberikan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar secara standard, selain sistem bunyi Sony dengan lapan pembesar suara.

    Bagi tempat duduknya pula, Tiggo 7 Pro versi CKD ini didatangkan dengan fungsi memori, pengudaraan dan pemanas untuk tempat duduk hadapan. Selain itu, ia juga diberikan cermin pandang belakang tanpa bingkai, kawalan suhu dwi-zon, pengecas tanpa wayar 50-watt, pencahayaan ambien pelbagai-warna, kemasukan tanpa kunci dengan walk-away auto lock, butang penghidup enjin, upholstery kulit tiruan, bumbung kaca panoramik, sistem kamera 360-darjah dan juga powered tailgate.

    Untuk pasaran Malaysia, Tiggo 7 Pro ini ditawarkan dengan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo yang menjana kuasa sebanyak 197 hp dan 290 Nm tork. Ini digandingkan pula bersama transmisi automatik tujuh-kelajuan klac berkembar (7DCT — dengan keupayaan beban tork 390 Nm, lebih tinggi daripada janaan tork enjinnya). Dari segi prestasi, gandingan tersebut membolehkannya mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.3 saat. Kadar penggunaan minyak pula didakwa mampu memberikan bacaan 7.0L/100 km.

    Berbanding dengan Proton X70 yang kesemua variannya kini diberikan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder dengan hamburan kuasa 177 PS dan tork 255 Nm. Versi 1.8 liter turbo empat-silinder dengan 184 PS/300 Nm kini telah digugurkan dari pasaran.

    Tiggo 7 Pro yang dipasang di kilang di Kulim, Kedah ini juga diberikan Advanced Driver Assistance System 2.5. Ia merangkumi Front Collision Warning (FCW), Adaptive Cruise Control (ACC), Multi Collision Brake (MCB), Door Open Warning (DOW), Integrated Cruise Assist (ICA) dan Rear Collision Warning (RCW).

    Selain itu, ia juga terdiri daripada Lane Departure Prevention (LDP), Blind-spot Detection (BSD), Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Departure Warning (LDW), Traffic Jam Assistant (TJA), Rear Cross Traffic Braking (RCTB), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Change Assist (LCA), Lane Departure Reminder (LDR) dan Emergency Lane Keeping (ELK).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025