Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga minyak 20-26 Jun – Tiada perubahan

    Harga minyak 20-26 Jun – Tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa untuk minggu bertarikh 20 hingga 26 Jun 2024, harga runcit petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Pada 10 Jun 2024, harga baharu bagi diesel Euro B10/B20 telah dinaikkan pada kadar RM3.35 seliter untuk Semenanjung Malaysia sahaja. Ia melibatkan kenaikan sebanyak RM1.20 berbanding harga sebelum ini iaitu RM2.15 seliter, yang dikekalkan sejak Februari 2021. Walau bagaimana pun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada pada RM2.15 seliter.

    Harga minyak 20-26 Jun – Tiada perubahan

    Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah, harga runcit baharu bahan api itu adalah berdasarkan formula mekanisme harga automatik (APM) bagi bulan Mei. Pada 13 Jun lalu, beliau turut berkata, setakat ini belum ada keperluan subsidi bersasar itu dilaksanakan ke atas petrol RON95.

    Pada 21 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa jemaah menteri telah bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi untuk bahan api diesel. Menurut beliau, sebagai permulaan, penyasaran tersebut hanya melibatkan pengguna bagi kawasan Semenanjung dan tidak melibatkan Sabah serta Sarawak.

    Manakala pada 27 Mei lalu pula, MOF mengumumkan program bantuan subsidi Madani, atau Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil serta pekebun kecil komoditi. Pemohon yang berjaya di bawah program bantuan ini akan menerima RM200 sebulan dalam bentuk bantuan kewangan sebagai sebahagian daripada program subsidi bersasar untuk diesel.

     
     
  • Proton rai pengeluaran kenderaan yang kelima juta

    Proton rai pengeluaran kenderaan yang kelima juta

    Proton mencapai satu lagi kejayaan bermakna apabila mengeluarkan kenderaan yang kelima juta sejak syarikat ditubuhkan pada tahun 1983. Kenderaan yang menjadi tanda pencapaian ini adalah sebuah X90 Flagship dan ia didedahkan kepada beberapa tetamu sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia.

    Daripada lima juta unit itu, lebih dua juta terdiri daripada Saga, sekaligus menguatkan kedudukannya sebagai kereta paling laris di Malaysia. Sementara itu, kerjasama dengan Geely juga dilihat sebagai berjaya dengan penjualan lebih 217,000 unit SUV siri X sejak ia dilancarkan pada tahun 2018.

    Kerjasama ini membawa kepada empat model yang dibangunkan bersama, model tempatan yang dinaik taraf, penambahbaikan dalam kualiti produk, pelaburan dalam pengurusan selepas jualan dan alat ganti serta penubuhan rangkaian pengedar dengan bilangan cawangan 3S/4S tertinggi di Malaysia.

    Proton rai pengeluaran kenderaan yang kelima juta

    “Proton telah ditugaskan untuk memobilisasikan rakyat Malaysia dan mewujudkan ekosistem automotif tempatan apabila ia ditubuhkan pada 1983. Hari ini, kami terus memainkan peranan penting dalam ekonomi negara. Lebih daripada 100,000 orang memperoleh mata pencarian hidup melalui aktiviti yang dikaitkan dengan
    Proton dan setiap pekerja memainkan peranan untuk memacu syarikat ke arah pencapaian lima juta unit ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Li Chunrong.

    Beliau menambah, “Unit kelima juta yang dikeluarkan oleh PROTON adalah Proton X90 Flagship dan ini merupakan simbolik sejauh mana Proton telah berkembang sejak permulaan kerjasamaan dengan Geely. Baru-baru ini, kami telah mengumumkan e.MAS sebagai jenama untuk produk EV Proton masa hadapan dan hari ini kami telah menetapkan satu lagi pencapaian. Oleh yang demikian, masa depan penuh dengan peluang untuk PROTON terus menyediakan mobiliti yang mampan bagi rakyat Malaysia dan pasaran eksport kami.”

     
     
  • BMW X3 2025 didedah — rekaan G45 lebih menonjol, format nama baru; jarak EV untuk PHEV hingga 90 km

    BMW X3 2025 didedah — rekaan G45 lebih menonjol, format nama baru; jarak EV untuk PHEV hingga 90 km

    BMW X3 G45 generasi keempat telah pun diperkenalkan dan akan mula di jual di pasaran AS dan Eropah pada suku keempat tahun ini. Pasaran lain akan mula menerima model ini pada Januari 2025.

    Terjual sebanyak 3.5 juta unit sepanjang kewujudannya, BMW kini memberikan rekaan baru sepenuhnya untuk Sports Activity Vehicle (SAV) ini. X3 G45 2025 kini mempunyai ukuran dimensi yang lebih besar berbanding model G01 yang digantikannya: 4,755 mm panjang (+34 mm) dan 1,920 mm lebar (+29 mm). Untuk menampakkannya lebih sporty, tingginya dikurangkan kepada 1,660 mm (-25 mm), sementara jejak roda depan dan belakang masing-masing ditambah 16 mm dan 45 mm, dengan jarak roda 2,865 mm.

    Ketika pelancarannya, BMW menawarkan beberapa pilihan janaan kuasa untuk model ini, termasuk mild-hybrid dan diesel dan plug-in hybrid. Senarai varian termasuklah X3 20d xDrive, X3 20 xDrive, X3 30e xDrive dan M50 xDrive.

    BMW X3 2025 didedah — rekaan G45 lebih menonjol, format nama baru; jarak EV untuk PHEV hingga 90 km

    Nama varian yang digunakan juga berbeza, tanpa pengenalan “i” (untuk model enjin petrol) yang telah digugurkan sejak pengenalan model 1 Series F70 terbaru. Bagi varian pacuan semua roda, kedudukan nama dan angka yang terlibat juga telah diubah berbanding sebelum ini — angka di depan “xDrive”.

    Dari segi spesifikasi, berikut pecahan bagi X3 G45 dengan elektrifikasi:

    BMW X3 30e xDrive

  • Enjin: 2.0 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol
  • Output enjin: 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan 310 Nm
  • Transmisi: Automatik Steptronic lapan-kelajuan; AWD
  • Output motor elektrik: 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 250 Nm
  • Output keseluruhan sistem: 299 PS (295 hp atau 220 kW; termasuk boost sementara) dan 450 Nm
  • Pecutan 0-100 km/j: 6.2 saat
  • Laju maksimum: 215 km/j; 140 km/j (elektrik)
  • Bateri: 19.7 kWh lithium-ion
  • Pengecasan: 11 kW AC; 0-100% dalam 2 jam 15 minit
  • Jarak elektrik (WLTP): 81-90 km
  • BMW X3 20 xDrive

  • Enjin: 2.0 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol
  • Output enjin: 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan 310 Nm
  • Output motor elektrik mild-hybrid: 18 PS (17 hp atau 13 kW) dan 200 Nm
  • Transmisi: Automatik Steptronic lapan-kelajuan; AWD
  • Pecutan 0-100 km/j: 7.8 saat
  • Laju maksimum: 215 km/j
  • BMW X3 2025 didedah — rekaan G45 lebih menonjol, format nama baru; jarak EV untuk PHEV hingga 90 km

    BMW X3 M50 xDrive

  • Enjin: 3.0 liter turbocas enam-silinder sebaris petrol
  • Output enjin: 381 PS (375 hp atau 280 kW) dan 540 Nm
  • Output motor elektrik mild-hybrid: 18 PS (17 hp atau 13 kW) dan 200 Nm
  • Transmisi: Automatik Steptronic lapan-kelajuan; AWD
  • Pecutan 0-100 km/j: 4.6 saat
  • Laju maksimum: 250 km/j
  • BMW X3 20d xDrive

  • Enjin: 2.0 liter empat-silinder sebaris turbodiesel
  • Output enjin: 197 PS (194 hp atau 145 kW) dan 400 Nm
  • Output motor elektrik mild-hybrid: 11 PS (11 hp atau 8 kW) dan 25 Nm
  • Transmisi: Automatik Steptronic lapan-kelajuan; AWD
  • Pecutan 0-100 km/j: 7.7 saat
  • Laju maksimum: 215 km/j
  • Semua janaan kuasa ini dipadankan dengan badan kenderaan yang lebih ringan dan lebih kukuh, dan turut disokong oleh talaan semula gandar, stereng, gegelung, palang anti-olengan dan penyerap hentak. Semua varian diberikan suspensi M Sport untuk kendalian lebih dinamik, dengan suspensi adaptif ditawarkan sebagai pilihan.

    Dari segi rekaan, X3 G45 ini tampil berbeza dan menonjol dengan wajah depan yang lebih tegak dengan “kidney grille” digelapkan, yang ada bilah aktif untuk penyejukan di bahagian bawahnya. Di situ juga terletak kamera dan penderia radar bagi sistem bantuan pemandu.

    Bonetnya lebih lebar, dengan rekaan lampu bersegi beserta DRL LED bentuk L — boleh dipilih untuk mendapatkan unit adaptif matrix lampu tinggi serta kemasan pakej M Shadowline. Bahagian sisinya ada permukaan berlekuk yang halus, diiringi pemegang pintu yang tersorok dan diserikan juga oleh skirting sisi.

    Perubahan dari generasi G01 ialah garis bumbung yang panjang yang berlanjutan hingga ke belakang. Ini menampakkan X3 jadi lebih muskular dari belakang, yang turut menampilkan garis melintang, spoiler besar, pengalin aliran udara sisi dan lampu belakang LED bentuk T.

    BMW X3 2025 didedah — rekaan G45 lebih menonjol, format nama baru; jarak EV untuk PHEV hingga 90 km

    Apron belakang bagi semua varian juga menyembunyikan corong ekzosnya, kecuali bagi X3 M50 xDrive yang mempunyai empat muncung ekzos yang kelihatan. Untuk pakej, terdapat pelagai pilihan disediakan: termasuklah penyudah metalik Dune Grey, rim bersaiz 18 hingga 21-inci serta pakej M Sport Pro.

    Di dalam, antara kelengkapan yang tersedia ialah paparan digital penuh BMW Curved Display yang terdiri daripada kluster instrumen 12.3-inci, head-up display pilihan dan skrin sentuh 14-9-inci di tengah. Sistem infotainmen iDrive dengan QuickSelect pula dikuasakan oleh BMW Operating System 9 berasaskan Android Open Source Project (AOSP). Ciri seperti sokongan aplikasi, navigasi pintar, bantuan suara digital, kemaskini perisian over-the-air (OTA) dan sambungan 5G juga disediakan.

    BMW X3 2025 didedah — rekaan G45 lebih menonjol, format nama baru; jarak EV untuk PHEV hingga 90 km

    Untuk ruang, X3 G45 menawarkan ruang but seluas 570 liter, 10 liter lebih berbanding sebelumnya, atau 20 liter lebih berbanding X3 30e xDrive yang hanya ada 460 liter. Rebahkan kerusi belakang, ruang yang ada akan menjadi 1,700 liter (1,600 liter untuk versi PHEV).

    Penigkatan lain melibatkan pakej Driving Assistant Plus, yang menambah ciri kawalan melayar adaptif Stop/Go, Speed Limit Info dan Speed Limit Assist. Selain itu, Driving Assistant Professional juga kini menerima tambahan peningkatan had laju bagi ACC (dari 180 kepada 210 km/j), bantuan menukar lorong, bantuan ke tengah lorong, navigasi aktif, bantuan mengekalkan lorong dan amaran lintasan trafik di depan.

    Ciri keselamatan standard lainnya terdiri daripada Parking Assistant dengan Reversing Assistant, serta Parking Assistant Professional dengan Manoeuvre Assistant.

    BMW G45 X3 20 xDrive 2025

    BMW G45 X3 30e xDrive 2025

    BMW G45 X3 M50 xDrive 2025

     
     
  • VinFast VF5 ditemui atas jalan guna plet tempatan – EV jenama Vietnam bakal dilancar di Malaysia?

    VinFast VF5 ditemui atas jalan guna plet tempatan – EV jenama Vietnam bakal dilancar di Malaysia?

    Sekali lagi, Vinfast VF5 ditemui atas jalan di Malaysia. Kali ini oleh pengguna Facebook yang menggunakan nama Akmal Azmi dan kereta elektrik (EV) tersebut dilihat sudah mempunyai nombor pendaftaran rasmi tempatan berbanding nombor pendaftaran perniagaan sebelum ini. Ia memberi gambaran seakan pelancarannya semakin hampir.

    Vinfast sebelum ini sudah mengesahkan mereka mempunyai perancangan untuk meluaskan kedudukan global sedia ada, selepas membuka tawaran awam permulaan (IPO) di Amerika Syarikat tahun lepas. Pada tahun 2024, jenama itu diperkenalkan di Thailand dan Indonesia, dengan beberapa model terpilih untuk setiap pasaran. Filipina juga akan menerima kemasukan Vinfast apabila empat pengedar sudahpun dipilih Mei lalu. Untuk Malaysia, masih belum ada kenyataan rasmi.

    VF5 diperkenalkan kali pertama pada tahun 2022 sebagai crossover segmen-A yang diletakkan di bawah VF e34, iaitu EV pertama VinFast. Bagi aspek dimensinya, VF5 mencatat ukuran 3,965 mm panjang, 1,720 mm lebar, 1,580 mm tinggi dan jarak roda 2,513 mm, menjadikannya sedikit besar berbanding model semasa Perodua Myvi.

    Di negara asalnya, VF5 ditawarkan sebagai VF5 Plus yang berharga dari 458 juta Vietnam dong atau sekitar RM85k. Penggeraknya terdiri daripada motor elektrik hadapan berkuasa 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan tork 135 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 10.9 saat.

    Motor elektrik terbabit mendapat tenaga daripada bateri lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti 37.23 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak hingga 326 km mengikut kitaran-NEDC. Dengan pengecas pantas DC, bateri ini mampu mencapai status pengecasan 10-70% dalam masa 30 minit.

    Sementara VF5 dijual pada harga bawah RM100k (tukaran terus) di Vietnam, ia tidak boleh dijual pada harga tersebut di Malaysia kerana kerajaan sudah menetapkan harga minimum bagi EV yang dieksport pada RM100,000. Harapnya nanti akan ada berita rasmi daripada Vinfast berkenaan kemasukan mereka ke Malaysia dan bersama kita nantikan.

    GALERI: Vinfast VF5

     
     
  • Petronas buka stesen minyak pertama di Sao Paulo

    Petronas buka stesen minyak pertama di Sao Paulo

    Petronas telah membuka stesen minyak pertamanya di Sao Paulo, Brazil minggu lalu, yang merupakan sebuah kerjasama dengan rangkaian stesen minyak Monte Carlo di sana. Perkara tersebut dikongsikan oleh Pengarah Urusan Jenama dan Perlesenan Jenama, Penapisan Hiliran, Pemasaran dan Perdangangan Petronas, Badrul Hisham Mahmud melalui akaun LinkedIn.

    Pembukaan stesen Petronas itu merupakan stesen pertama oleh jenama petroleum Malaysia yang di dibuka di luar Malaysia, seperti yang dikongsikan oleh Pengarah Perancangan, Projek dan Perniagaan Baharu Argenta, Murilo Dancieri Silveria dalam hantarannya.

    “Dengan langkah ini, kami kini menawarkan pilihan kepada pelanggan di Brazil untuk mengisi minyak digunakan oleh jentera juara lapan-kali dalam F1, Petronas Primax. Kami di Argenta dan SIM Distribuidora de Combustíveis berbangga untuk terlibat di dalam perkembangan ini,” ujar Silveria dalam hantarannya.

    “Kami sangat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada perkembangan bersejarah ini bagi sektor bahan api di Brazil, melalui pembukaan stesen minyak pertama Petronas di sini,” jelas Erik Martimiano da Silva mewakili SIM Distribuidora de Combustíveis.

     
     
  • Chery Malaysia beri sokongan buat atlet Malaysia ke Olimpik – Tiggo 8 Pro untuk pemenang pingat emas

    Chery Malaysia beri sokongan buat atlet Malaysia ke Olimpik – Tiggo 8 Pro untuk pemenang pingat emas

    Chery Malaysia dengan bangganya menyatakan sokongan penuh buat atlet tempatan yang bakal menyertai sukan berprestij Olimpik 2024 di Paris yang bakal berlangsung pada hujung Julai ini.

    Atas sokongan itu, Chery Malaysia bakal menyumbang SUV tujuh-tempat duduk Tiggo 8 Pro buat pemenang pingat emas, selain model EV Omoda E5 untuk pemenang pingat perak dan Tiggo 7 Pro untuk pemenang pingat gangsa.

    “Kami tahu mereka telah bekerja keras dan berlatih berjam-jam lamanya untuk menghadapi cabaran ini. Kami letakkan harapan yang tinggi bahawa Malaysia mampu meraih pingat emas yang telah lama diidamkan,” kata Leo Chen selaku Presiden Chery Auto Malaysia.

    Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub pula berkata, “Kami sememangnya sangat gembira dengan sokongan padu yang diberikan oleh Chery Malaysia ini untuk memberikan ganjaran buat atlet Malaysia yang memberikan aksi terbaik dalam Sukan Olimpik di Paris tidak lama lagi. Kami berharap ia juga dapat menggalakkan para atlet agar memberikan yang terbaik dan membanggakan negara.”

    Chery Malaysia beri sokongan buat atlet Malaysia ke Olimpik – Tiggo 8 Pro untuk pemenang pingat emas

    Majlis pengumuman kerjasama antara Chery dan MSN ini turut dihadiri oleh Datuk Stuart Ramalingam selaku CEO Liga Bola Sepak Malaysia dan Koordinator Program Road To Gold, Pengerusi Chery Automobile Co., Yin Tongyue dan Presiden Chery International, Zhang Guibing.

    Tiggo 8 Pro telah pun dilancarkan di Malaysia pada Julai tahun lalu, ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu Premium, dijual pada harga atas jalan RM159,800. Ia dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api penuh (T-GDI) menghasilkan 250 hp dan tork maksima 390 Nm.

    Manakala SUV elektrik penuh segmen-B Omoda E5 pula dilancarkan pada Mac lalu, pada harga RM146,800 tanpa insurans. Ia dijanakan oleh motor elektrik pemasangan hadapan dengan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 340 Nm, yang didakwa mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 7.2 saat. Motor elektrik tersebut dijanakan oleh bateri lithium logam fosfat (LFP) berkapasiti 61 kWj. Ia membolehkan SUV EV ini bergerak sejauh 430 km mengikut kitaran ujian WLTP. Kelajuan maksimumnya pula mencecah 172 km/j.

    Bgai Tiggo 7 Pro pula, ia bakal dilancarkan pada Jumaat ini, 21 Jun 2024 dan dijangka berharga di bawah RM130,000. Ia ditawarkan dengan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo yang menjana kuasa sebanyak 197 hp dan 290 Nm tork. Penjana kuasa ini digandingkan bersama transmisi automatik tujuh-kelajuan klac berkembar. Bagi prestasinya, ia mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.3 saat. Kadar penggunaan minyak pula didakwa mampu memberikan bacaan 7.0L/100 km.

    GALERI: Chery Tiggo 8 Pro

    GALERI: Chery Omoda E5

    GALERI: Chery Tiggo 7 Pro

     
     
  • Dasar AP Terbuka dilaksana mulai 1 Julai – lebih ramai bumiputera boleh ceburi industri import kenderaan

    Dasar AP Terbuka dilaksana mulai 1 Julai – lebih ramai bumiputera boleh ceburi industri import kenderaan

    Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bakal melaksanakan Dasar AP Terbuka berkuatkuasa 1 Julai 2024, sekaligus memberikan peluang kepada mana-mana syarikat Bumiputera, termasuk yang tidak pernah terbabit dalam aktiviti automotif boleh memohon untuk dilantik sebagai syarikat AP Terbuka bagi menceburi aktiviti pengimportan dan penjualan kenderaan di Malaysia.

    Menurut MITI, langkah itu selaras dengan usaha kerjaan untuk terus meningkatkan keterangkuman dan ketelusan dalam proses permohonan AP Terbuka, laporan Bernama.

    Di mana syarikat Bumiputera yang berminat adalah tertakluk kepada syarat utama iaitu berstatus Sendirian Berhad, pemilikan 100% Bumiputera, mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta dan sedang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.

    “Pelaksanaan dasar ini dijangka akan menarik lebih banyak syarikat Bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif. Pertambahan bilangan syarikat akan menjadikan segmen ini lebih kompetitif dan berdaya saing,” kata MITI.

    Dasar AP Terbuka dilaksana mulai 1 Julai – lebih ramai bumiputera boleh ceburi industri import kenderaan

    Tambah MITI, objektif utama kerajaan adalah untuk terus memperkasa agenda sosio-ekonomi Bumiputera dengan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan Bumiputera yang berdaya saing untuk terbabit dalam sektor automotif.

    Justeru, MITI mempelawa syarikat-syarikat Bumiputera yang berminat dan layak untuk membuat permohonan. Garis panduan, borang permohonan dan senarai semak boleh dirujuk menerusi PAUTAN INI.

    MITI berkata, Dasar AP Terbuka yang dilaksanakan sejak 1970 berjaya melahirkan syarikat Bumiputera yang berdaya maju, bukan saja di dalam segmen mengimport dan menjual kenderaan, tetapi juga dalam aktiviti-aktiviti utama di sepanjang rantaian bekalan seperti perkhidmatan selepas jualan, insurans dan logistik.

    Dasar itu adalah antara dasar berkaitan Bumiputera yang masih dikekalkan sehingga kini dan penting bagi mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara seperti yang digariskan di bawah Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

     
     
  • JPJ eBid: Siri JXE dan BRY bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Selangor bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JXE bakal dibuka bidaan bermula 21 Jun 2024. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 25 Jun. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 26 Jun 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BRY, bakal dibuka bidaan mulai 23 Jun 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 27 Jun, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 28 Jun 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Lebuhraya Grand Saga aktifkan laluan tidal dari KM14.9 hingga pusat bandar KL, 6.30 pagi-8.30 pagi

    Lebuhraya Grand Saga aktifkan laluan tidal dari KM14.9 hingga pusat bandar KL, 6.30 pagi-8.30 pagi

    Untuk pengguna Lebuhraya Grand Saga, dimaklumkan bahawa syarikat konsesi lebuhraya ini telah pun mengaktifkan lokasi baharu bagi laluan tidal iaitu bermula dari KM14.9 (dari Kajang menghala ke arah Pusat Bandar Kuala Lumpur iaitu selepas Plaza Tol Batu 11) hingga ke Pusat Bandar Kuala Lumpur bagi kenderaan ringan Kelas 1 sahaja.

    Pengaktifan laluan tidal itu telah pun bermula hari ini (18 Jun) yang beroperasi dari jam 6.30 pagi hingga 8.30 pagi pada waktu puncak pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat sahaja.

    Selain itu, pengguna Lebuhraya Saga juga boleh menggunakan laluan tidal ini untuk ke Taman Connought, Lebuhraya SUKE, susur keluar 702 (Persimpangan Hulu Langat) dan susur keluar 703 (Persimpangan Telekom).

    Laluan tidal ini merupakan laluan yang dibuka di lorong bertentangan yang bertujuan bagi penyuraian trafik yang lebih efiesen dan mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak pagi.

     
     
  • Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES tiba di Malaysia – terima beberapa peningkatan, RM119k

    Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES tiba di Malaysia – terima beberapa peningkatan, RM119k

    Honda CRF1100L Africa Twin 2024 yang didedahkan kali pertama pada penghujung tahun lepas kini sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan RM119,388 tidak termasuk insurans. Ia disediakan dalam dua pilihan warna iaitu Mat Ballistic Black Metallic dan Pearl Glare White, dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

    Bagi model tahun 2024 ini, ia masih lagi menggunakan enjin yang sama seperti sebelum ini, iaitu unit dua silinder selari 1,084 cc, tetapi mampu memberikan lebih kuasa pada tahap rpm rendah dan pertengahan, sementara tork pula bertambah tujuh peratus menjadi 112 Nm pada 5,500 rpm. Kuasa maksimum masih lagi sama, iaitu 102 hp pada 7,500 rpm.

    Penambahbaikan pada bahagian enjin ini adalah hasil daripada peningkatan nisbah mampatan, perubahan pada sistem ekzos serta pelarasan semula pemasaan enjin, salur bukaan udara dan tetapan unit kawalan enjin (ECU).

    Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES tiba di Malaysia – terima beberapa peningkatan, RM119k

    Meskipun di luar negara terdapat pilihan transmisi manual, model yang dibawa ke Malaysia pula cuma datang dengan transmisi automatik DCT enam kelajuan yang telah menerima penambah baikan untuk menjadikan rasa penukaran gear lebih lancar. Tiga mod disediakan melalui transmisi ini, iaitu Manual (tukar gear guna butang), D atau S.

    Pada bahagian suspensi, model Adventure Sports ini didatangkan terus dengan unit larasan elektronik Showa Electronically Equipped Ride Adjustment (Showa EERA) di hadapan dan belakang, yang mempunyai lima mod iaitu Soft, Mid, Hard, Off-road dan User.

    Untuk roda, padanan rim spoked 19 inci di hadapan dan 18 inci di belakang digunakan pada model Adventure Sports, dan ia masing-masing dibalut tayar 110/80 dan 150/70. Dalam keadaan asal, tempat duduk Africa Twin 2024 ini berada pada ketinggian antara 820-820 mm dan ia boleh dilaras secara manual tanpa sebarang peralatan. Tinggi motosikal dari tanah adalah 220 mm.

    Melihat kepada panel badan, Africa Twin 2024 menerima fairing baru yang direka semula untuk memperbaiki ciri aerodinamik, serta penghadang angin hadapan yang boleh dikawal secara elektronik untuk ditetapkan pada pilihan lima tahap tinggi. Berat keseluruhannya tanpa beg barangan adalah 253 kg, sementara tangki bahan api pula berkapasiti 24.8 liter.

    Kelengkapan standard lain Africa Twin 2024 adalah termasuk skrin TFT 5.0 inci dengan sambungan kepada telefon pintar, lima mod tunggangan, cruise control, lampu hadapan dan belakang LED penuh, soket pengecas USB, ABS dual-channel, Wheelie Control, HSTC (kawalan cengkaman) dan Cornering Light.

     
     
  • Zeekr X dikesan di Malaysia – SUV EV bakal dilancar?

    Zeekr X dikesan di Malaysia – SUV EV bakal dilancar?

    Selepas jenama Zeekr secara rasminya sah memasuki pasaran Malaysia, ada pengguna Facebook, Zhi Sheng, berjaya mengesan kehadiran Zeekr X di Klang, Selangor baru-baru ini.

    Pertama kali didedahkan secara rasminya pada Februari tahun lalu, Zeekr X akan menjadi salah satu daripada dua model jenama ini yang akan memasuki pasaran tempatan, selain MPV 009. Zeekr X merupakan SUV kompak premium yang disasarkan bakal bersaing dengan MINI Countryman SE dan BMW iX1.

    Bagi aspek dimensi luaran, Zeekr berukusan 4,450 mm panjang, 1,836 mm lebar dan 1,572 mm tinggi dengan jarak roda 2,750 mm, menjadikannya ia 5 mm lebih pendek, 39 mm lebih sempit, 43 mm lebih rendah dan 30 mm lebih pankang berbanding pencabar terdekatnya, BYD Atto 3.

    Zeekr X dibina menggunakan platform Scalable Electric Architecture (SEA) Geely yang turut digunakan oleh smart #1, #3 dan Volvo EX30. Ia ditawarkan dalam bentuk motor tunggal RWD atau dua-motor AWD. Versi motor tunggal menghasilkan 272 PS (200 kW) dan 343 Nm tork dan memecut 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat. Versi AWD pula menghasilkan 428 PS (315 kW) dan 543 Nm, dan memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat — ini angka pecutan yang sama dengan smart #1 Premium dan Brabus.

    Zeekr X dikesan di Malaysia – SUV EV bakal dilancar?

    Seperti model smart, sUV kompak ini juga dipadankan dengan unit nickel manganese cobalt (NMC) 66 kW yang memberikan jarak 560 km untuk RWD dan 512 km untuk AWD. Ini angka mengikut CLTC — penggunaan nyata masing-masing mungkin di sekitar 440 km dan 400 km seperti yang dinyatakan oleh smart. Model smart juga menerima pengecasan DC 150 kW, dan boleh dicas 10-80% dalam masa 30 minit.

    Antara ciri kelengkapan dalamannya termasuklah paparan instrumen 8.8-inci yang diletakkan di belakang roda stereng dua-jejari, disepadukan dengan skrin sesentuh infotainmen 14.6-inci dan juga unit paparan utama 24.3-inci.

    Selain itu, ia juga diberikan bukaan pintu berkuasa, sistem bunyi Yamaha dengan 13-pembesar suara serta paparan pada tiang-B untuk menunjukkan status pengecasan, dan juga kamera yang menggunakan pengesahan wajah untuk membuka pintunya.

    GALERI: Zeekr X di BIMS 2024

     
     
  • Chery jadikan Malaysia sebagai hab R&D RHD global

    Chery jadikan Malaysia sebagai hab R&D RHD global

    Ketika majlis pengeluaran unit CKD pertama Jaecoo J7 di Shah Alam hari ini, Chery International mengesahkan Malaysia telah dipilih sebagai hab R&D global bagi kenderaan pemanduan sebelah kanan (RHD).

    Bercakap ketika sidang media, Presiden Chery International, Zhang Quibing memaklumkan Malaysia akan diberikan tanggungjawab untuk membangunkan versi RHD bagi kereta keluara Chery untuk pasaran tempatan dan juga di Asia Tenggara, serta pasaran lain seperti UK dan Australia.

    Beliau menambah, Malaysia dipilih kerana iklim tropikalnya — sesuai untuk ujian cuaca panas — serta kepakaran yang dimiliki oleh industri automotif di sini, yang antara lain turut melibatkan jenama tempatan seperti Proton dan Perodua.

    Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada Malaysia akan menjadi hab pengeluaran global bagi kenderaan RHD syarikat tersebut. Dilaporkan sebelum ini bahawa pengeluaran Chery di kilang Inokom, Kulim telah mencapai tahap sepenuhnya, dan kilang di Shah Alam ini hanya dikhususkan untuk kenderaan Jaecoo sahaja dan termasuk juga untuk pasaran eksport ke negara ASEAN.

     
     
  • Pusat 4S pertama Carro Malaysia dibuka di Seremban

    Pusat 4S pertama Carro Malaysia dibuka di Seremban

    Carro Malaysia kini telah membuka pusat 4S pertamanya di Seremban, Negeri Sembilan dan menjadikan rangkaian kemudahannya bertambahn kepada 10 Pusat Pengalaman Runcit, 27 pusat pemeriksaan, lima pusat servis dan dua pusat baik pulih di seluruh negara.

    Dengan bangunan seluas 43,000 kaki persegi, pusat 42 dua-tingkat tersebut menampilkan bilik pameran di ruang bawah yang boleh mempamerkan enam kenderaan dalam satu masa, pejabat jualan serta ruang menunggu untuk pelanggan. Pelanggan juga boleh menerima dan mengambil gambar kenderaan Carro Certified mereka di ruang serahan rasmi di lokasi.

    Pusat 4S pertama Carro Malaysia dibuka di Seremban

    Bagi memenuhi keperluan lepas jualan pelanggan, kemudahan ini disepadukan dengan program Carro Care, yang disokong oleh teknologi Carro dan kepakaran teknikal oleh Jardine Cycle and Carriage. Sebagai tambahan kepada penyelenggaraan kenderaan, pelanggan juga boleh menjangkakan servis mengecat badan kenderaan yang berkualiti tinggi yang diseliakan oleh pakar cat dari Jepun, Junpei Yamamoto yang merupakan ketua bagi servis badan dan cat Carro Care.

    Dengan lapan ruang servis serta satu kebuk khas untuk mengecat, pusat 4S baru ini mempunyai kapasiti untuk menampung antara 250 hingga 300 kereta serta 50 kerja cat badan kenderaan dalam sebulan. Servis ini ditawarkan untuk semua pemilik kenderaan, walaupun mereka tidak memiliki kerderaan Carro Certified.

    Pusat 4S pertama Carro Malaysia dibuka di Seremban

    “Pusat 4S biasanya dimanfaatkan oleh cawangan serta pengedar kenderaan jenama khusus. Bagaimanapun, kami ingin memberikan peluang yang sama dari sudut penjagaan kenderaan, perincian perkhidmatan serta ketelusan proses kepada pemilik kenderaan terpakai,” jelas CEO Carro Malaysia, Derrick Eng.

    “Kami sedang mengubah lanskap bagi perkhidmatan berkaitan kereta terpakai dan lepas jualannya menggunakan teknologi, pakar bertauliah, kelengkapan sebenar serta alat ganti OEM berkualiti — semuanya untu memberikan kenderaan yang berkualiti seperti baru kepada pelanggan.”

    Pusat 4S pertama Carro Malaysia dibuka di Seremban

    Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang hadir merasmikan kemudahan tersebut berkata: “Keselamatan jalanraya adalah sangat penting. Untuk itu, memastikan setiap kenderaan yang berada di atas jalan, terutama kereta terpakai, agar sentiasa berada dalam kadaan baik adalah sangat perlu.

    “Sebagai pelopor pasaran, Carro tidak hanya menjadikan pemeriksaan ketat bagi kereta terpakai satu proses standard di seluruh negara, bahkah melakukannya dengan memanfaatkan teknologi. Ini aras baru yang sepatutnya dicapai oleh pasaran kereta terpakai.”

    Pusat 4S baru Carro Seremban ini terletak di 340, Jln Haruan 2, Oakland Industrial Park, 70300 Seremban, Negeri Sembilan. Waktu operasinya adalah dari 9.30 pagi hingga 8.30 malam setiap hari.

     
     
  • Jaecoo J7 CKD mula dikeluarkan dari Shah Alam — kilang khusus untuk Jaecoo, J7 lancar 19 Julai ini

    Jaecoo J7 CKD mula dikeluarkan dari Shah Alam — kilang khusus untuk Jaecoo, J7 lancar 19 Julai ini

    Chery hari ini merasmikan kilang pemasangannya di Shah Alam, dengan simbolik pengeluaran model Jaecoo J7 CKD yang pertama. Kilang berkenaan yang dikendalikan oleh Chery Corporate Malaysia akan dikhususkan untuk pemasangan kenderaan Jaecoo sahaja, sementara model Chery akan terus di pasang di kemudahan Inokom, Kulim.

    Jaecoo J7 akan dilancarkan secara rasmi pada 19 Julai nanti, dengan teaser-nya untuk pasaran di Malaysia sudah mula didedahkan sejak awal tahun ini. Kilang di Shah Alam ini akan turut memasang model Jaecoo lain yang akan dipasarkan di sini, seperti model J8 dan juga model elektrik J6. Selain itu, pusat R&D bagi kenderaan pemanduan sebelah kanan Chery juga akan ditempatkan di premis yang sama.

    Bagaimanapun, tiada spesifikasi rasmi dikongsi berkaitan kilang berkenaan. Apa yang dapat dilihat, sebagai fasa permulaan pemasangan kenderaan Chery di sini, keluasan kawasan kilang dan kapasitinya juga tidak terlalu besar. Menurut jurucakap Jaecoo, kemudahan berkenaan dikatakan mampu menampung dua shift pengeluaran, dan boleh dikembangkan mengikut keperluan semasa.

    Jaecoo J7 CKD mula dikeluarkan dari Shah Alam — kilang khusus untuk Jaecoo, J7 lancar 19 Julai ini

    Kilang ini juga direncanakan untuk memasang kenderaan bagi tujuan eksport ke rantau ASEAN; dengan sistem janaan seperti enjin biasa, plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya juga mampu dikeluarkan dari kilang tersebut.

    Jaecoo merupakan jenama di bawah Chery yang menawarkan kenderaan SUV off-road yang lebih premium. J7 misalnya menggunakan asas yang sama dengan Chery Tiggo 7 Pro, dan akan ditawarkan dalam varian pacuan roda depan dan pacuan semua roda, dengan harga anggaran masing-masing sekitar RM150,000 (RM20,000 lebih mahal daripada Tiggo 7 Pro) dan RM160,000.

    Kedua-duanya menggunakan enjin Tiggo 7 Pro, unit 1.6 liter turbocas empat-silinder yang menghasilkan 197 PS dan 290 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa lapan saat. Ini digandingkan bersama transmisi klac-berkembar basah tujuh-kelajuan.

    Jaecoo J7 CKD mula dikeluarkan dari Shah Alam — kilang khusus untuk Jaecoo, J7 lancar 19 Julai ini

    Tujuh mod pemanduan disediakan, dengan empat daripada — Snow, Mud, Sand dan Off-Road — dikhaskan untuk model AWD. Kelengkapan standard termasuklah lampu LED, rim Aurora 19-inci dua tona, pemegang pintu tersorok dan sistem tanpa kunci dengan penghidup enjin jarak jauh.

    Di dalam, J7 dilengkapi ciri butang penghidup, kerusi berkuasa dan berliang, balutan kulit, kawalan pendingin dua zon, lampu ambient 64-warna, bumbung panoramik, ruang simpan perehat lengan berpendingin, paparan instrumen digital 10.25-inci, skrin sentuh infotainmen 14.8-inci, pengecas tanpa wayar Qi 50-watt dengan penyejuk, sistem audia Sony dengan lapan-pembesar suara, sistem kamera 360-darjah dan pintu kargo berkuasa.

    Ciri bantuan pemanduan pula antaranya ada AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, bantuan mengekalkan lorong, sistem evasif pintar, amaran perlanggaran belakang, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dengan Auto Brake, amaran pergerakan kereta depan, amaran bukaan pintu, lampu tinggi automatik dan Park Assist.

    Jaecoo J7 CKD

     
     
  • MINI Cooper 5 Door F65 2024 diperkenal – banyak bahagian diperkemas, pilihan enjin 3- dan 4-silinder

    MINI Cooper 5 Door F65 2024 diperkenal – banyak bahagian diperkemas, pilihan enjin 3- dan 4-silinder

    Beberapa bulan selepas versi F66 tiga pintu didedahkan kepada dunia, kini MINI memperkenalkan pula MINI Cooper 5 Door F65 baru yang diberikan beberapa peningkatan dan perubahan. Enjinnya juga terdiri daripada beberapa pilihan.

    Menurut MINI, Cooper 5 Door F65 ini mencatat ukuran panjang 4,036 mm, lebar 1744 mm dan tinggi 1,464 mm, menjadikan ia sedikir lebih besar berbanding F55 sebelumnya. Apabila dibandingkan pula dengan Cooper 3 Door F66, jarak rodanya adalah lebih panjang 72 mm, menjadi 2,567 mm manakala badan pula 172 mm lebih panjang.

    Konsep rekaan terkini MINI yang dipanggil sebagai ‘Charismatic Simplicity’ diterapkan pada model baru ini, dengan terdapat lampu hadapan bulat yang mempunyai DRL jalur melintang di dalamnya, gril berpetak besar serta corak lampu belakang dengan garis putus-putus.

    MINI Cooper 5 Door F65 2024 diperkenal – banyak bahagian diperkemas, pilihan enjin 3- dan 4-silinder

    Seperti yang boleh dijangka, bahagian dalam Cooper 5 Door ini adalah sama seperti versi tiga pintu, dengan antara perhatian utama tertumpu kepada skrin sesentuh OLED 9.4 inci untuk infotainmen yang berbentuk bulat di tengah. Ia berfungsi menggunakan MINI Operation System 9 yang berasaskan Android dan boleh memberikan pelbagai akses kepada fungsi kenderaan serta paparan.

    Ciri lain yang disediakan adalah termasuk pembantu kawalan suara yang boleh dipanggil sebagai ‘Spike’ serta papan pemuka yang dibalut dengan fabrik. Apabila mendapat pakej MINI Experience Modes, pelbagai grafik boleh dipancarkan ke atas papan pemuka tersebut.

    Beberapa butang kawalan utama termasuk pemilih gear dan penghidup enjin diletakkan di bawah skrin infotainmennya, sementara pada konsol tengah terdapat pengecas Qi tanpa wayar serta ruang letak barang tanpa gangguan kerana tiada tuil brek tangan atau tombol gear di situ. Dalam keadaan tempat duduk tegak, ruang barangan yang disediakan berkapasiti 275 liter, tetapi apabila dibaringkan ia boleh menjadi 925 liter.

    Seperti biasa, pelanggan disediakan dengan pelbagai pilihan kelengkapan untuk kenderaan mereka, termasuk empat jenis kemasan (Essential, Classic, Favoured dan JCW Trim), yang bukan sahaja memberi perubahan di bahagian luar, tetapi juga dalam. Pilihan rim bermula dari 16 inci hingga 18 inci.

    Untuk enjin, varian Cooper C mendapat unit petrol tiga silinder 1.5 liter turbo B38, yang menghasilkan kuasa sehingga 156 PS (154 hp atau 115 kW) dan tork 230 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa lapan saat dan mencapai kelajuan maksimum 225 km/j.

    Piilhan kedua adalah Cooper S dengan enjin petrol empat silindern 2.0 liter B48, berkuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 300 Nm, mampu mencatat masa pecutan 0-100 km/j lebih pantas, iaitu 6.8 saat dan laju maksimum 242 km/j.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025