Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Berhujung minggu dengan Mercedes-Benz World @ KL Base — pandu uji di atas landasan pesawat!

    Berhujung minggu dengan Mercedes-Benz World @ KL Base — pandu uji di atas landasan pesawat!

    Hujung minggu ini akan menjadi satu pengalaman yang menarik! Mercedes-Benz World bakal berlangsung di KL Base, lapangan terbang lama Sungai Besi dan anda berpeluang untuk mengalami sendiri sensasi pemanduan model-model kenderaan terkini Mercedes-Benz dalam persekitaran terkawal yang tidak kalah mengujakan.

    Pandu uji barisan model Mercedes-Benz terbaru, termasuklah model-model AMG yang baru dilancarkan mengharungi laluan pemanduan mencabar yang telah dipersiapkan dengan bantuan pelatih profesional. Mercedes-Benz World juga akan mempamerkan barisan kenderaan yang menyeluruh daripada jenama ini — sama ada sedan, SUV, plug-in hybrid, EQ elektrik mahupun model prestasi tinggi AMG. Semuanya boleh didekati di KL Base hujung minggu ini.

    Juga, jangan lepaskan peluang untuk mendekati model high-end lain seperti G-Class dan Mercedes-Maybach GLS. Turut akan dipamerkan ialah Benz Patent-Motorwagen, yang merupakan kereta pertama di dunia.

    Bawa seisi keluarga ke acara ini kerana ada pelbagai aktiviti disediakan untuk semua golongan. Ini termasuklah aktiviti memanjat batu, golf dan simulator perlumbaan, pengalaman bunyi oleh Dolby Atmos serta sudut untuk kanak-kanak. Ada hadiah untuk dimenangi, dan anda juga boleh mengumpul setem di stesen permainan untuk menuntut pelekat eksklusif Mercedes-Benz World.

    Mercedes-Benz World adalah tempat yang betul untuk menempah kereta impian anda kerana ada pelbagai tawaran istimewa masa terhad yang ditawarkan khas di lokasi sepanjang hujung minggu ini. Berikut adalah antara tawaran yang menanti anda di Mercedes-Benz World hujung minggu ini.

    Yang pertama, jika anda antara 100 pembeli terawal di Mercedes-Benz World, anda akan menerima pemasangan filem penapis haba percuma, dan sah untuk kereta baharu mahupun EQ elektrik.

    Jika anda memilih untuk pengalaman elektrifikasi dengan EV EQ, anda akan menerima wall box dengan pemasangan percuma, atau pengecasan tanpa had selama 18 bulan daripada Gentari untuk memudahkan rutin elektrik anda. Begitu juga dengan tawaran pelan premium Agility+ untuk menikmati sifar ansuran selama 12 bulan.

    Belum bersedia untuk EV? Beli kereta ICE baharu Mercedes-Benz di acara ini dan pulang dengan baucar servis dan cenderahati Mercedes-Benz bernilai RM1,000. Pilih model berprestasi tinggi AMG pula anda akan berpeluang memenangi kunjungan ke “AMG Experience on Ice” di Sweden.

    Pilihan pembiayaan khusus juga disediakan di lokasi, memberikan anda keistimewaan dari pelan Agility+ yang fleksibel — nikmati hingga lapan pakej servis serta sokongan insurans kenderaan sehingga RM7,000.

    Tidak ketinggalan ialah barisan kenderaan terpakai bertauliah yang berkualiti dengan nilai yang berbaloi yang turut akan dipamerkan di sana. Bagi model terpakai EQ, ia datang dengan baucar tayar Michelin sehingga RM600.

    Inilah masanya untuk mengalami sendiri kenderaan Mercedes-Benz dan membuat tempahan anda di Mercedes-Benz World hujung minggu ini, dari 5-7 Julai di KL Base, Sungai Besi (cari KL Base Events di Waze dan Google Maps). Klik di sini untuk maklumat lanjut.

    *Tawaran tertakluk kepada model. Tertakluk kepada terma dan syarat. Selagi stok masih ada.

     
     
  • Subsidi RON95 perlu dimansuh berperingkat; mungkin mula RM2.45, bukan terus RM3.30 – penganalisis

    Subsidi RON95 perlu dimansuh berperingkat; mungkin mula RM2.45, bukan terus RM3.30 – penganalisis

    Bagi mengehadkan kejutan yang mungkin berlaku akibat kenaikan harga bahan api itu, rasionalisasi subsidi petrol RON95 dijangka dilaksana secara berperingkat dan terukur, kata Ketua Penganalisis TA Securities, Kaladher Govindan.

    Beliau menambah kerajaan berkemungkinan akan mengambil masa untuk menilai impak pelarasan harga diesel dan kesediaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi menentukan kelayakan bantuan tunai sebelum melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95, laporan Harian Metro.

    Katanya lagi, pelaksanaan rasionalisasi RON95 adalah lebih rumit berbanding diesel ketika ini kerana ia akan memberi impak kepada sebahagian besar kenderaan berdaftar iaitu sekitar 36 juta serta menyumbang sebanyak RM66.7 bilion dalam jualan runcit bahan api automotif pada 2023.

    Subsidi RON95 perlu dimansuh berperingkat; mungkin mula RM2.45, bukan terus RM3.30 – penganalisis

    “Ia tidak boleh dilaksanakan tergesa-gesa sehingga sistem yang betul disediakan dan kerajaan berkemungkinan akan melaksanakannya paling awal pada suku keempat tahun ini sebelum disemak secara berperingkat sehingga 2025.

    “Kami khuatir kenaikan harga RON95 akan memberi kesan ketara kepada inflasi. Ia membawa wajaran yang lebih tinggi daripada diesel, 5.5% daripada keseluruhan Indeks Harga Pengguna (IHP). Justeru, dijangkakan impak yang lebih luas daripada pemotongan subsidi RON95 terhadap inflasi. Sumbangan langsung kenaikan 10% dalam harga runcit RON95 kepada inflasi utama adalah dianggarkan sekitar 0.5% berbanding hanya 0.02% bagi pelaksanaan diesel,” katanya.

    Tambahnya, jangkakan butiran lanjut tentang subsidi bahan api akan dibentangkan dalam Belanjawan 2025 akan datang, yang dijadualkan pada Oktober 2024. “Pada masa itu, kerajaan mungkin mempunyai beberapa bulan data inflasi (Jun hingga September 2024) untuk menilai kesan mekanisme diesel,” katanya menerusi laporan separuh tahun pasaran TA Securities.

    Subsidi RON95 perlu dimansuh berperingkat; mungkin mula RM2.45, bukan terus RM3.30 – penganalisis

    Beliau turut berkata, dari satu sudut, ketiadaan subsidi secara pukal berkemungkinan akan meningkatkan harga minyak RON95 sebanyak RM1.25 daripada RM2.05 seliter ketika ini kepada RM3.30 seliter.

    Namun, dari sudut yang lain pula, beliau berkata, pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 dapat memberikan penjimatan yang lebih besar kepada perbelanjaan kerajaan, sebahagian daripada penyatuan dan pembaharuan fiskal negara.

    “Dengan menggunakan andaian 20 bilion liter penggunaan bahan api tahun ini, dianggarkan setiap 10 sen kenaikan harga bahan api akan memberikan penjimatan sekitar RM2 bilion dalam subsidi bahan api setahun,” katanya. Seperti yang dinyatakan dalam unjuran inflasi, TA Securities menetapkan harga pelarasan RON95 tahun ini sebanyak 40 sen, melonjakkannya kepada RM2.45 seliter.

    Walau bagaimana pun, beliau menambah, penjimatan penuh subsidi bahan api sebanyak RM8 bilion hanya akan dilihat tahun depan, yang sudah tentu bergantung kepada kuantum dan masa pelarasan. Di mana lebih banyak dapat dijimatkan jika rasionalisasi subsidi bahan api RON95 berlaku tahun ini.

     
     
  • Mercedes-AMG GLB35 4Matic facelift 2024 tiba di Malaysia – RM419k, 306 PS/400 Nm, hibrid ringkas 48V

    Mercedes-AMG GLB35 4Matic facelift 2024 tiba di Malaysia – RM419k, 306 PS/400 Nm, hibrid ringkas 48V

    Selepas versi facelift Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia bulan lalu, hari ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan pula versi prestasi SUV tersebut iaitu Mercedes-AMG GLB35 4Matic facelift ke pasaran tempatan. Ia diperkenalkan sekali dengan Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition dan GLA45S 4Matic+facelift 2024 di KL Base Sungai Besi, sebelum berlangsungnya acara Mercedes-Benz World yang diadakan pada lokasi sama pada 5 dan 7 Julai ini.

    Ia diumumkan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM418,888. Model ini diperkenalkan pada Mac lalu dan ia menerima tingkat taraf yang sama seperti model bukan AMG, termasuk rombakan rekaan pada apron hadapan dan juga lampu LED hadapan dan belakang signatur. Versi AMG penuh ini juga masih menampilkan konfigurasi lima-tempat duduk berbanding tujuh-tempat duduk pada model GLB200 dan GLB250 4Matic.

    Tiada perubahan diberikan pada unit rangkaian kuasa di mana ia masih digerakkan oleh enjin 2.0 liter empat silinder berkuasa 306 PS pada takat 5,800 rpm dan tork maksima 400 Nm Bermuda 3,000 hingga 4,000 rpm. Ia kini turut dibantu oleh sistem hibrid ringkas 48V dengan stater generator digerakkan tali sawat (RSG) generasi kedua yang memberikan tujahan kuasa 14 PS ketika memecut.

    Mercedes-AMG GLB35 4Matic facelift 2024 tiba di Malaysia – RM419k, 306 PS/400 Nm, hibrid ringkas 48V

    Enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik AMG Speedshift lapan-kelajuan, dan kuasa dihantar ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda bervariasi AMG Performance 4Matic. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat dan mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

    Perincian standard luaran yang dibekalkan pada GLB35 ini termasuk lampu hadapan Multibeam LED dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, suspensi AMG Ride Control, AMG Dynamic Select, rim aloi ringan AMG 20-inci, angkup brek berwarna merah, dan rel humbug aluminium digilap.

    Manakala pada bahagian dalaman, ia disertakan dengan tempat duduk sport yang dibalut kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut larasan kuasa dan fungsi memori, roda stereng AMG Performance dibalut kulit Nappa, perapi kemasan Star Pattern, tali pinggang keledar berwarna merah, sistem pendingin hawa dua zon Thermotronic, lampu suasana 64-warna, pad pengecas tanpa wayar, kemasan bendul pintu bernyala AMG dan karpet kaki AMG.

    Mercedes-AMG GLB35 4Matic facelift 2024 tiba di Malaysia – RM419k, 306 PS/400 Nm, hibrid ringkas 48V

    Ia juga menerima sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) generasi NTG7 serta diberikan paparan dan fungsi khas AMG menerusi dua skrin 10.25-inci, disambungkan kepada sistem bunyi surround Burmester, serta menerima sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.

    Untuk keselamatan pula, ia diberikan sistem bantuan pemanduan yang mlerangkumi Parking Package dengan kamera 360-darjah, Active Parking Assist, Driving Assistance Package, Active Distance Assist Distronic, Active Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist dan Exit Warning Assist.

    Sama seperti C 63 SE Performance dan GLA 45 S facelift, MBM menyatakan bahawa penghantaran pertama GLB 35 facelift ini akan dibuat bermula pada bulan Ogos.

     
     
  • Mercedes-AMG GLA45S 4Matic+ facelift 2024 dilancar di Malaysia – RM539,888, 2.0L turbo, 421 PS/500 Nm

    Mercedes-AMG GLA45S 4Matic+ facelift 2024 dilancar di Malaysia – RM539,888, 2.0L turbo, 421 PS/500 Nm

    Selain dari sedan prestasi Mercedes-AMG C 63 S E Performance, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini turut melancarkan dua buah SUV prestasi dan salah satunya adalah Mercedes-AMG GLA45S 4Matic+ facelift 2024. Pelancaran ini dibuat di KL Base Sungai Besi, sebelum berlangsungnya acara Mercedes-Benz World yang dilangsungkan pada lokasi sama pada 5 dan 7 Julai ini.

    Mercedes-AMG GLA45S 4Matic+ facelift ini didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global pada Oktober tahun lalu, menampilkan beberapa tingkat taraf rupa dan perincian. Di Malaysia, model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM539,888.

    Pada bahagian luar, model facelift ini boleh dikenali dengan beberapa perubahan antaranya rekaan apron hadapan baharu dengan logo AMG pada bonet, perapi overfender kini dalam kemasan warna badan, rekaan lampu signatur baharu untuk lampu Multibeam LED hadapan dan lampu belakang.

    Mercedes-AMG GLA45S 4Matic+ facelift 2024 dilancar di Malaysia – RM539,888, 2.0L turbo, 421 PS/500 Nm

    Model pasaran Malaysia ini diberikan pakej AMG Aerodynamics dan pakej AMG Night secara standard, yang memberikan perincian seperti splitter udara hadapan serta perapi-perapi luarsn dan penutup cermin sisi dalam kemasan hitam berkilat.

    Selain itu itu turut diberikan set rim aloi ringan AMG pelbagai jejari berdiameter 21-inci dalam kemasan hitam matte secara standard. MBM turut menawarkan warna badan Manufaktur mountain grey Magno dan Patagonia red metallic dengan bayaran tambahan selain warna-warna standard yang disediakan.

    Manakala untuk unit rangkaian kuasa, GLA45S facelift ini masih dijana oleh enjin petrol turbo M139 2.0 liter empat-silinder sebaris, menghasilkan kuasa 421 PS pada 6,750 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 5,000 hingga 5,250 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi klac berkembar automatik DCT lapan kelajuan AMG Speedshift, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua-roda 4Matic+.

    Mercedes-AMG GLA45S 4Matic+ facelift 2024 dilancar di Malaysia – RM539,888, 2.0L turbo, 421 PS/500 Nm

    Sistem penghantaran kuasa tersebut turut dibantu dengan AMG Torque Control. Gandingan semua ini membolehkan GLA45S 4Matic+ memecut dari 0-100 km/j dalam 4.3 saat, serta mencapai kelajuan maksimum 270 km/j.

    Pada bahagian kabin, GLA45S 4Matic+ facelift pasaran Malaysia ini menerima tempat duduk AMG Performance secara standard bersama pakej tempat duduk pelbagai-kontur dan dibalut dengan kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut. Pemandu pula diberikan roda stereng pelbagai-fungsi AMG Performance yang dibalut dengan kulit Nappa dan gentian mikro Microcut.

    Selain itu, ia turut diberikan tali pinggang keledar Manufaktur berwarna merah, serta set karpet kaku AMG dan kemasan bendul pintu bernyala AMG.

    Infotainmen untuk GLA45S 4Matic+ facelift turut dipertingkatkan dengan sistem MBUX terkini dengan dua skrin 10.25-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta menawarkan MBUX Interior Assistant, sistem navigasi AR MBUX dan MBUX Navigation Premium.

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk pengecas tanpa wayar Qi, paparan head-up, pakeha Light and Sight, lampu suasana 64-warna, bumbung panaromik, sistem bunyi surround Burmester 710 watt dan 12-pembesar suara. Model kemasikini ini juga menerima port pengecas USB dan port tambahan USB-C menerusi pakej USB Plus.

    Juga tidak ketinggalan Mercedes-AMG GLA 45 S ini diberikan AMG Track Pace dan AMG Real Performance Sound, yang membolehkan pemandu memilih bunyi enjin turbo di bahagian dalam kabin. Bagi peralatan keselamatan dan bantuan pemandu, SUV ini dilengkapi dengan Pakej Bantuan Pemanduan, dengan bantuan jarak aktif Distronic, bantuan titik buta aktif, bantuan kekal lorong aktif, bantuan brek aktif dan bantuan amaran keluar, serta beg udara untuk bahagian belakang.

    Seperti C 63 SE Performance dan GLB 35, MBM menyatakan bahawa penghantaran pertama GLA 45 S facelift ini akan dibuat bermula pada bulan Ogos.

     
     
  • Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

    Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

    Mercedes-Benz Malaysia hari ini memperkenalkan tiga model prestasi AMG di KL Base Sungai Besi, sebelum berlangsungnya acara Mercedes-Benz World yang diadakan pada lokasi sama pada 5 dan 7 Julai ini. Antara tiga model tersebut, yang ditunggu-tunggu sudah tentulah versi paling berkuasa untuk C-Class W206 iaitu Mercedes-AMG C 63 S E Performance. Model ini dilancarkan dalam versi F1 Edition di sini, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM958,888.

    C 63 generasi W206 ini didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global pada September 2022. Dan seperti yang diketahui, ia menghasilkan kuasa yang lebih besar dari model generasi sebelumnya, tetapi enjin 4.0 liter V8 twin-turbo sebelum ini telah digantikan dengan enjin 2.0 liter empat silinder yang digandingkan dengan sistem plug-in hybrid (PHEV).

    Enjin yang dimaksudkan adalah unit M139L 2.0 liter empat-silinder sebaris dengan desakan turbo, sama seperti yang terdapat dalam perut Mercedes-AMG A 45 S, tetapi ia dipasang menegak ke belakang seperti pada model C 43 dan SL 43 (sebab itu ia diberi kod “L” di belakang, bermaksud Longitudinal). Enjin M139L pada C 63 S ini juga menerima pengecas turbo lebih besar dari C 43 dan SL 43, tetapi masih menggunakan sistem turbo dibantu motor elektrik yang diadaptasi terus dari teknologi Formula 1 pasukan Mercedes-AMG Petronas.

    Dengan enjin petrol ini sahaja, Mercedes-AMG C 63 S ini dapat mengerah sejumlah 476 hp pada takat 6,725 rpm, dan tork maksima 545 Nm bermula 5,250 hingga 5,500 rpm – ia didakwa sebagai enjin produksi empat silinder paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, jauh lebih berkuasa dari M139 pada Mercedes-AMG A 45 S yang menghasilkan 421 PS dan tork maksima 500 Nm.

    Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

    Tidak cukup dengan itu, ia turut disertakan dengan motor elektrik yang dipasang pada gandar belakang, memberikan kuasa sehingga 204 hp (150 kW). Jadi secara keseluruhan, Mercedes-AMG C 63 S E Performance ini menghasilkan kuasa 680 hp dan tork maksima 1,020 Nm. Dengan sistem hibrid tersebut Mercedes-AMG C 63 S baharu ini ditimbang dengan berat 2,111 kg, atau sekitar 300 kg lebih berat berbanding C 63 S dengan enjin V8 generasi terdahulu.

    Namun ia tetap membolehkan Mercedes-AMG C 63 S E Performance 2024 ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat, lebih pantas dari C 63 S V8 sebelum ini hanya mencatatkan pecutan sama dalam masa 4 saat. Model pasaran Malaysia ini datang standard dengan AMG Driver Package membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 290 km/j.

    Bagi menghasilkan kuasa yang tinggi serta angka prestasi yang menakjubkan ini, unit rangkaian hibrid E Performance bukanlah ringkas seperti sistem-sistem hibrid lain. Pada pengecas turbo misalnya, selain dari bergerak menggunakan gas ekzos, ia turut menerima motor elektrik senipis 4 cm di tengah-tengah antara turbin dan pemampat, yang mampu menghilangkan ‘lag’, memberikan boost segera sebaik sahaja pedal pendikit diperah tanpa perlu menunggu gas ekzos memutarkan turbin, serta memberikan respon lebih baik pada setiap tahap putaran enjin.

    Walaupun bersaiz kecil, motor elektrik yang dikawal secara elektronik pada pengecas turbo berkenaan menggunakan asas sistem elektrik 400-volt (hanya 48 volt pada model-model 43), dan ia mampu berputar sehingga 150,000 rpm.

    Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

    Enjin ini juga dibekalkan dengan dengan unit stater generator yang digerakkan oleh tali sawat (RSG). RSG merupakan komponen yang menggabungkan motor penghidup dan alternator, berfungsi untuk menghidupkan enjin petrol dalam masa yang sama mampu membekalkan kuasa elektrik kepada komponen seperti sistem pendingin hawa dan lampu.

    RSG ini turut berhubung dengan jaringan sistem asas 400-volt pada kereta berkenaan, dan mampun membekalkan kuasa elektrik ketika kereta tidak bergerak sekiranya bekalan kuasa pada bateri voltan tinggi pada tahap yang rendah.

    Kuasa dari enjin petrol berkenaan dihantar ke gandar belakang menerusi kotak gear automatik sembilan-kelajuan baharu AMG Speedshift MCT 9G. Berbeza dengan kotak gear sebelum ini, transmisi baharu ini menggunakan klac start-off (MCT = Multi-Clutch Transmission) bagi menggantikan torque converter konvensional.

    Ini membolehkan ia dihasilkan lebih ringan, serta memberikan respon pedal pendikit lebih baik kerana daya inersia yang lebih rendah. Perisian yang mengawal kotak gear ini juga memberikan masa tukaran gear yang sangat pantas serta membolehkan beberapa gear diturunkan dengan laju sekiranya diperlukan. Ia juga diberikan fungsi RACE START, membolehkan pecutan optima diberikan ketika mula memecut dari kedudukan pegun.

    Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

    Gandar belakang C 63 S ini juga direka begitu sofistikated untuk memadankan sistem hibrid E Performance. Secara umumnya, gandar belakang berkenaan digelar sebagai compact electric drive unit (EDU). Dalam unit EDU tersebut, ia bukan sahaja mempunyai motor elektrik 204 hp, malah ia juga diintegrasikan bersama kotak gear dua kelajuan yang berfungsi dengan sistem elektrik, dan juga LSD yang dikawal secara elektronik.

    Bateri bervoltan dan berprestasi tinggi (High Performance Battery atau HPB) untuk sistem keseluruhan E Performance ini pula diletakkan betul-betul di atas gandar belakang berkenaan, membentuk satu pakej sistem hibrid kompak.

    Dengan rekaan ini, motor elektrik bukan sahaja dapat memberikan boost tambahan 204 PS selama 10 saat ketika diperlukan, malah ia turut dapat berfungsi untuk menghantar kuasa secara mekanikal ke syaf pemacu roda hadapan menerusi syaf kardan, memberikan pacuan semua roda pada setiap masa, walaupun kereta ini bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya tanpa menghidupkan enjin petrol.

    Walau bagaimanapun, menerusi bateri lithium-ion dengan kapasiti 6.1 kWj, Mercedes-AMG C 63 S E Performance ini mempunyai jarak gerak elektrik penuh hanya 13 km. Bateri berkenaan dihasilkan dengan berat 89 kg, dan mampu untuk memberikan kuasa berterusan 70 kW. Manakala untuk memberikan boost selama 10 saat yang disebut tadi, bateri ini turut mampu membekalkan kuasa berterusan 150 kW.

    Binaan bateri berkenaan terdiri dari 560 sel, di mana setiap satu sel tersebut disejukkan secara individu. Keseluruhan modul berkenaan dihubungkan kepada sistem penyejukkan enjin bagi mengekalkan suhu operasi optimum sekitar 45 darjah selsius. Ini membolehkan bateri tersebut memberikan prestasi konsisten ketika mengecas dan mengeluarkan tenaga.

    Menurut Mercedes-AMG, keseluruhan sistem kompak termasuk EDU dan HPB ini dihasilkan hanya seberat 250 kg. Ia boleh di cas secara plug-in menerusi pengecas on-board 3.7 kW. Manakala ketika bergerak, ia diberikan empat mod mengecas semula bateri berkenaan, termasuk Tahap 3 yang membolehkan tenaga sebesar 100 kW dipulihkan semula.

    Seperti biasa, setiap model Mercedes-AMG datang sekali dengan mod-mod pemanduan di dalam sistem AMG Dynamic Select; untuk C 63 S E Performance ini ia diberikan pilihan mod Electric, Comfort, Battery Hold, Sport, Sport+, Race, Slippery dan Individual.

    Bagi mod Electric, model ini boleh dipandu tanpa enjin petrol dihidupkan dengan kelajuan maksima 125 km/j, namun seperti yang disebut tadi ia hanya bertahan untuk jarak 13 km dengan satu cas penuh bateri. Manakala untuk mod Battery Hold pula, sistem ini akan memastikan tenaga bateri berada dalam tahap yang malar.

    Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

    Beralih kepada mod Sport dan Sport+, ia akan memberikan interaksi berbeza antara enjin dan motor elektrik, di mana pada mod Sport+, boost kuasa elektrik akan dibekalkan sehingga 80%. Pada mod Race pula, sistem hibrid ini akan memastikan kapasiti bateri tidak akan berkurangan sehingga bawah 30%, membolehkan tujahan elektrik sentiasa dapat diberikan 100%.

    Untuk mod Slippery, seperti namanya, ia untuk ketika situasi jalan yang licin di mana kuasa akan ‘dijinakkan’ bagi memudahkan kereta ini dikendalikan. Dan bagi mereka yang merasakan satu pun pra tetapan untuk mod yang disediakan tidak sesuai dengan gaya pemanduan masing-masing, anda boleh ‘merojakkan’ sendiri tetapan yang dimahukan menerusi mod Individual.

    Pada bahagian luaran, C 63 S AMG ini menerima muka dengan apron lebih agresif menjadikan bahagian muncungnya 50 mm lebih panjang dan fender lebih lebar berbanding C-Class W206 standard, bersama bonet hadapan menampilkan liang untuk aliran udara.

    Bampar C 63 S ini pula menampilkan liang udara sisi yang jauh lebih besar bersama tirai udara yang mengalirkan udara ke bahagian-bahagian tertentu. Gril Panamericana model ini turut diberikan dua panel udara bagi mengalirkan udara masuk ke ruang enjin. Selain itu, ia turut dibezakan dengan pemadanan skirt sisi, diffuser belakang bersama perumah tip ekzos berbentuk-trapezoid, dan lid spoiler bersaiz besar dalam kemasan hitam pada penutup but.

    Model pasaran Malaysia ini datang dengan set rim aloi ringan 10-jejari 20-inci AMG dalam kemasan hitam matte secara standard. Ia juga diberikan AMG Night Package yang menampilkan serlahan hitam krom pada gril hadapan serta emblem model pada penutup but belakang dan kedua-dua fender hadapan.

    Sebagai model istimewa F1 Edition, C 63 S pasaran tempatan ini juga diberikan pelekat badan unik serta diberikan warna badan Manufaktur Alpine Grey Solid serta serlahan jalur merah pada apron hadapan dan belakang dan sisi badan.

    Kit standard lain yang dibekalkan termasuk lampu hadapan Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, bumbung suria panaromik serta suspensi dengan spring logam biasa AMG Ride Control bersama sistem penyerap hentak adaptif. Ia juga diberikan stereng pada gandar belakang bagi membolehkan roda belakang dikemudi dengan sudut sehingga 2.5 darjah pada kelajuan sehingga 100 km/j.

    Manakala pada bahagian dalaman, ia menerima tempat duduk hadapan AMG Performance dengan uphosteri kulit Nappa hitam bersama serlahan jahitan benang merah dan logo AMG yang ditekap pada perehat kepala. Pemandu pula menerima roda stereng AMG Performance yang dibalut dengan kulit Nappa dan gentian mikro Microcut. Ia turut ditambah dengan elemen-elemen perapi gentian karbon AMG dalam kemasan hitam dan merah, tali pinggang keselamatan merah, kemasan bendul pintu menyala AMG dengan lencana F1 Edition dan karpet lantai F1 Edition.

    Untuk infotaimen, C 63 S ini menerima sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) menerusi skrin LCD utama 11.9-inci, paparan instrumen digital dengan skrin LCD 12.3-inci bersama fungsi AMG Track Pace. Turut diberikan adalah paparan head-up dan juga sistem bunyi surround Bermester 3D.

    Bagi keselamatan pula, sedan prestasi tinggi ini menerima sistem bantuan pemanduan Driving Assistance Package Plus bersama bantuan jarak aktif Distronic, bantuan stereng aktif dan bantuan kekal lorong aktif. Ia juga diberikan Parking Package dengan kamera 360-darjah, bantuan parkir aktif Parktronic dan bantuan parkir memori.

    MBM menyatakan ipenghantaran pertama Mercedes-AMG C 63 S E Performance F1 Edition ini kepada pelanggan di Malalysia akan bermula pada Ogos ini.

     
     
  • MIROS bangunkan pangkalan data Gehana – kongsi rakaman pemanduan sebenar bahaya di jalanraya

    MIROS bangunkan pangkalan data Gehana – kongsi rakaman pemanduan sebenar bahaya di jalanraya

    Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) sedang membangunkan satu pangkalan data yang diberi nama GEHANA. Ia merupakan pangkalan data mengenai bahaya di jalan raya melalui rakaman naturalistik yang dihadapai oleh pengguna jalan raya.

    Justeru, bagi melengkapkan lagi pangkalan data tersebut, MIROS mengalu-alukan pembabitan pengguna jalan raya untuk berkongsikan rakaman situasi-situasi bahaya seperti hampir kemalangan atau pun pelanggaran sebenar. Di mana rakaman terbabit adalah daripada pandangan pemandu atau penunggang motosikal, berlaku pada atau sebelum 28 Jun 2024 dan tidak pernah diterbitkan di mana-mana platform termasuk di laman media sosial.

    “Anda dipelawa untuk menghantar rakaman tersebut kepada kami dan berpeluang menerima saguhati e-dompet bernilai RM5 bagi setiap rakaman. Maklumat lanjut termasuk syarat kelayakan dan langkah-langkah untuk memuat naik, sila ke pautan https://t.me/miros_gehana,” kata MIROS.

    Jadi, bagi anda yang mempunyai rakaman yang diperlukan, sila ikuti langkah-langkah yang dikongsikan menerusi saluran Telegram miros_gehana.

     
     
  • Proton S70 – lebih 10,000 unit terjual pada 6-bulan pertama 2024, lebih laris dari Proton X50 setakat ini

    Proton S70 – lebih 10,000 unit terjual pada 6-bulan pertama 2024, lebih laris dari Proton X50 setakat ini

    Jualan bagi sedan segmen-C Proton S70 sudahpun melebihi 10,000 unit untuk tahun ini selepas 1,440 unit berjaya dihantar kepada pelanggan sepanjang bulan Jun 2024, dan ia masih lagi model terlaris dalam kelasnya untuk pasaran tempatan.

    Ini menjadikan sebanyak 10,914 unit S70 telah terjual bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, dan 11,023 unit secara keseluruhan jika termasuk 109 unit yang telah di terima pelanggan pada Disember 2023 selepas ia dilancarkan pada bulan November.

    Walaupun angka serahan S70 sedikit lebih rendah dari Proton X50 bulan lalu yang berjaya diserahkan kepada 1,711 pelanggan, secara kumulatif dari Januari hingga Jun jumlah jualan S70 sebenarnya sudah melebihi jumlah jualan SUV segmen-B tersebut yang kini mencatatkan angka 10,204 unit.

    Proton S70 – lebih 10,000 unit terjual pada 6-bulan pertama 2024, lebih laris dari Proton X50 setakat ini

    Namun takhta sedan paling laris Proton masih dipegang oleh Saga yang berjaya dijual sebanyak 5,41 unit bulan lalu, menjadikan jumlah keseluruhan untuk enam bulan tahun ini adalah sebanyak 34,838 unit. Manakala sedan segmen-B Proton Persona pula terjual sebanyak 1,309 unit pada Jun, menjadikan jumlah keseluruhan 9,753 unit untuk tahun ini.

    Proton S70 dilancarkan ke pasaran tempatan pada penghujung November 2023, dan ia merupakan sedan yang diasaskan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Walaupun dari bahagian luaran ia nampak sama seperti Geely Emgrand untuk pasaran China, Filipina dan beberapa negara Timur Tengah, S70 sebenarnya dibangunkan semula oleh Proton dengan pelbagai perubahan drastik.

    Antaranya enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT yang digantikan dengan enjin 1.5L tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa dan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang lebih responsif, ruang kabin yang lebih sesuai untuk pasaran Malaysia, talaan suspensi “Proton Ride Handling”, kelengkapan keselamatan lebih canggih dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi.

    Proton S70 2024 Executive

    Proton S70 2024 Premium

    Proton S70 2024 Flagship X

     
     
  • JPJ eBid: JXF dan PRK akan dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Pulau Pinang bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JXF bakal dibuka bidaan bermula 7 Julai 2024. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 11 Julai. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 12 Julai 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Pulau Pinang, PRK, bakal dibuka bidaan mulai 11 Julai 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 15 Julai, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 16 Julai 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Proton eMas7 – nama EV Galaxy E5 versi Malaysia?

    Proton eMas7 – nama EV Galaxy E5 versi Malaysia?

    Nama eMas7 sedang ligat berlegar-legar di laman media sosial dan ia didakwa bakal digunakan sebagai nama bagi kenderaan elektrik (EV) pertama Proton yang bakal dilancar hujung tahun ini. Nama tersebut dikatakan antara yang telah didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), di bawah barisan jenama eMas (sebutan e.MAS) bagi EV pengeluar kereta nasional itu.

    Untuk pengetahuan anda, sejak dahulu Proton memang suka mendaftarkan banyak nama dengan MyIPO sama ada untuk membuatkan pesaingnya meneka nama yang bakal digunakan atau pun sekadar ‘menyimpan’ beberapa pilihan nama. Antara nama yang telah didaftarkan termasuklah S3, S30, S300, S5, S50, S500, C5, C50, V5, V70, PS3, dan banyak lagi, dan tiada satu pun di antara nama-nama tersebut yang telah digunakan.

    Memandangkan bagai sudah banyak pengesahan bahawa model eMas pertama yang diasaskan dari Geely Galaxy E5, dengan ‘7’ diletakkan pada namanya, ada kebarangkalian ia bakal menjadi kenyataan, kerana ia dirancang sebagai SUV segmen-C (besar sedikit daripada X70). Bahkan dikhabarkan juga Proton bakal memasarkan model PHEV seawal tahun hadapan, berkemungkinan berdasarkan Galaxy L7, jadi kami agak percaya bahawa model eMas akan mempunyai awalan dalam nama yang bakal diberi.

    Proton eMas7 – nama EV Galaxy E5 versi Malaysia?

    Render digital Proton eMas oleh Theophilus Chin

    Contohnya, Proton eMas E7 untuk model elektrik, dan mungkin P7 (atau L7) untuk PHEV. Proton sebelum ini telah mengumumkan bahawa ia akan mengeluarkan tidak kurang dari lima model eMas di bawah platform QMA baharu.

    Jadi, adakah anda lebih suka dengan nama eMas7 atau pun eMas E7 untuk SUV elektrik Proton yang akan datang? Atau pun anda mungkin ada saranan nama lain yang lebih menarik? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah.

     
     
  • Kia bakal jadi penyumbang utama Bermaz – sasaran jualan tinggi untuk Sportage, Mazda ke kelas premium

    Kia bakal jadi penyumbang utama Bermaz – sasaran jualan tinggi untuk Sportage, Mazda ke kelas premium

    Sementara Bermaz Auto kini sedang mempersiapkan pelancaran jenama baru Xpeng dari China, syarikat itu juga sedang menyusun strategi untuk dua lagi jenama di bawahnya, iaitu Kia dan Mazda yang terletak dalam segmen lain pasaran kenderaan penumpang.

    Menurut CEO kumpulan Bermaz Auto, Datuk Francis Lee Kok Chuan, beliau percaya Kia akan menjadi jenama penyumbang utama kepada pertumbuhan syarikat dalam masa dua ke tiga tahun akan datang, mengambil tempat Mazda kerana jenama Jepun itu akan dinaikkan ke kelas atas yang lebih premium – lapor The Edge Malaysia.

    “Pejabat Kia Asia Pasifik berada di KL dan mereka mahu projek ASEAN menjadi kerana mereka sudah pun berada di tahap bagus di tempat lain, kecuali ASEAN dan China. Jadi, sekarang, mereka meletakkan banyak perhatian kepada pasaran ASEAN,” kata Lee.

    Sekarang ini, SUV Kia Sorento dan MPV Kia Carnival yang dijual di pasaran Malaysia dipasang dalam engara (CKD), iaitu di kilang Inokom di Kulim, Kedah.

    Kia bakal jadi penyumbang utama Bermaz – sasaran jualan tinggi untuk Sportage, Mazda ke kelas premium

    Mengimbas kepada model yang berada dalam pasaran Malaysia sekarang, Sorento generasi keempat dilancarkan Mac tahun lalu pada harga RM211,498, manakala Carnival pula diperkenalkan pada Februari lalu dengan harga bermula RM199k untuk versi 11 tempat duduk, RM246k untuk lapan tempat duduk dan RM260k untuk tujuh tempat duduk.

    Model yang disasarkan untuk menjadi penyumbang utama kepada Kia adalah Sportage generasi kelima, yang juga akan dipasang di Kulim, Kedah dan Bermaz meletakkan sasaran jualan sebanyak 4,000 ke 5,000 unit setahun bagi model ini. “Sportage terjual agak bagus di seluruh dunia; malah, mereka tidak mempunyai model import (CBU) untuk kami bawa masuk,” kata Lee.

    Apabila dikatakan Mazda akan dinaikkan kepada kelas premium, Bermaz merujuk kepada model seperti CX-60, yang merupakan model pertama jenama itu yang akan dibina atas platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture baru, dengan kedudukan enjin menegak dan pacuan roda belakang, bersama dengan pakej penggerak hibrid ringkas dan PHEV.

    Jika masuk ke pasaran Malaysia nanti, harga CX-60 mungkin akan terletak lebih tinggi. Pada masa ini, SUV paling besar Mazda, iaitu CX-9 pun sudah dijual pada harga RM328,000. Beberapa negara dalam ASEAN sudah pun menerima CX-60, dan di Indonesia, ia dijual pada harga 1.1888 juta rupiah, bersamaan sekitar RM358k.

     
     
  • Harga minyak 4-10 Julai – Semuanya masih dikekalkan

    Harga minyak 4-10 Julai – Semuanya masih dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 4 hingga 10 Julai 2024, harga runcit petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Manakala harga diesel Euro B10/B20 pula, juga dikekalkan pada kadar RM3.35 seliter untuk Semenanjung Malaysia seperti mana yang diumumkan pada 10 Jun lalu. Walau bagaimana pun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada pada RM2.15 seliter.

    Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah, harga runcit baharu bagi diesel adalah berdasarkan formula mekanisme harga automatik (APM) bagi bulan Mei. Terkini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan penyasaran semula subsidi petrol RON95 tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Malah belum ada kertas dasar dibawa ke Kabinet bagi tujuan rasionalisasi subsidi dilaksanakan ke atas petrol RON95.

     
     
  • Kia Sportage CKD 2024 sah masuk pasaran Malaysia – pesaing Honda CR-V, sasar jumlah jualan tinggi

    Kia Sportage CKD 2024 sah masuk pasaran Malaysia – pesaing Honda CR-V, sasar jumlah jualan tinggi

    Kia Sportage generasi kelima sudah wujud sejak tahun 2021, dan sebelum ini ia pernah dilaporkan bakal memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2022. Walaubagaimanapun, sekarang sudah masuk tahun 2024 dan kelibatnya pesaing SUV segmen C seperti Honda CR-V ini masih tidak kelihatan.

    Ini bagaimanapun bakal berubah kerana dalam satu wawancara bersama The Edge, CEO kumpulan Bermaz, Datuk Francis Lee Kok Chuan bukan sahaja mengesahkan ketibaannya, tetapi juga menyatakan bahawa model tersebut akan menjadi antara penyumbang jualan utama dengan sasaran jualan 4,000 ke 5,000 unit setahun. Model ini akan dipasang dalam negara (CKD), iaitu di kilang Inokom di Kulim, Kedah, sama seperti Sorento dan juga Carnival.

    Jika sasaran jualan itu nampak seperti satu jumlah yang agak tinggi bagi sebuah model Kia, ini sebenarnya adalah disebabkan Kia akan diletakkan sebagai penyumbang utama Bermaz, menggantikan Mazda sekarang ini. Walaupun begitu menurut Lee, Mazda akan dinaikkan satu kelas ke atas untuk Malaysia, bersesuaian dengan model generasi baru yang akan diperkenalkan dalam masa dua hingga tiga tahun hadapan.

    “Pejabat Kia Asia Pasifik berada di KL dan mereka mahu projek ASEAN menjadi kerana mereka sudah pun berada di tahap bagus di tempat lain, kecuali ASEAN dan China. Jadi, sekarang, mereka meletakkan banyak perhatian kepada pasaran ASEAN,” kata Lee.

    “Sportage terjual agak bagus di seluruh dunia; malah, mereka tidak mempunyai model import (CBU) untuk kami bawa masuk,” tambah CEO Bermaz itu sambil mendedahkan bahawa syarikat akan memasarkan varian enjin pembakaran dalaman (ICE) dahulu sebelum memperkenalkan versi hibrid.

    Di Eropah, Sportage baru ini dilancarkan dengan pilihan dua enjin ICE (petrol 1.6L turbo dan diesel turbo 2.0L), serta hibrid dan plug-in hybrid. Penampilannya lebih moden, mengikut konsep rekaan terkini ‘Opposites United’ jenama itu.

    GALERI: Kia Sportage Hybrid 2021 (Pasaran Korea)

     
     
  • BAIC BJ40 Plus – luar macam Jeep Wrangler, dalam macam G-Wagen; harga dijangka RM180k-RM190k

    BAIC BJ40 Plus – luar macam Jeep Wrangler, dalam macam G-Wagen; harga dijangka RM180k-RM190k

    Kalau kita sebut nama “BJ40” pada peminat kenderaan-kenderaan off-road, sudah tentu mereka akan terbayang akan SUV legenda dari Toyota iaitu Land Cruiser siri J40 dengan enjin diesel siri-B. Namun kalau anda taip “BJ40” dalam enjin carian Google sekarang, anda mungkin akan bertemu dengan SUV yang kami paparkan ini – BAIC BJ40 Plus.

    Beijing Automotive Group (BAIC) telah mendedahkan BJ40 Plus ini di Malaysia bulan lalu, dan ia diumumkan akan dilancarkan di pasaran tempatan bermula dengan versi yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China tidak lama lagi, diikuti versi pemasangan tempatan (CKD) yang akan dibuat oleh EP Manufacturing (EPMB) di kilang mereka yang terletak di Melaka bermula akhir tahun ini.

    Sebelum dilancarkan, kami berpeluang untuk membelek terlebih dahulu SUV ini, dan ini dia galeri penuh dari kami untuk tatapan anda.

    BAIC BJ40 Plus – luar macam Jeep Wrangler, dalam macam G-Wagen; harga dijangka RM180k-RM190k

    BJ40 Plus ini merupakan SUV off-road sebenar yang menampilkan casis ladder frame, bersama sistem pacuan empat roda dari Borg-Warner dengan transfer case yang menyediakan pilihan 2H, 4H dan 4L menerusi suis putar yang diletakkan pada papan pemuka.

    Namun untuk unit rangkaian kuasa, BJ40 Plus tidak menawarkan enjin diesel, sebaliknya digerakkkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo yang menghasilkan kuasa 221 hp dan tork maksima 380 Nm. Enjin tersebut kemudiannya digandingkan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan konvensional dari ZF.

    Walaupun namanya seperti diinspirasikan dari SUV Toyota, rupa luaran BJ40 Plus ini nampaknya menerima pengarah besar dari Jeep Wrangler. Anda boleh lihat rekaannya yang berkotak dan menampilkan engsel pintu yang terletak diluar serta bahagian overfender yang sangat lebar.

    Ia juga menerima pembuka pintu berbentuk petak bersama silinder kunci konvensional untuk pintu hadapan (lama dah kita tak tengok silinder kunci ni pada kereta baru bukan?), tidak menerima suis bukaan tanpa kunci pada mana-mana pintu, serta tayar gantian bersaiz penuh yang disangkut bersama pembalut pada pintu tailgate belakang.

    Dan kalau anda nak tahu juga, BAIC BJ40 Plus ini tampil dengan bumbung dan juga pintu yang boleh dicabut sepenuhnya, membolehkan anda bergaya di tepi pantai atau ketika meredah off-road di kawasan pedalaman.

    Ia dihasilkan dengan dimensi 4,645 mm panjang, 1,925 mm lebar, 1,871 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,745 mm. Rekaan bampar hadapan dan belakang serta jarak kelegaan tanah setinggi 210 mm pada BAIC BJ40 Plus ini membolehkan ia menampilkan sudut approach 37 darjah dan sudut berlepas 31 darjah.

    BAIC BJ40 Plus – luar macam Jeep Wrangler, dalam macam G-Wagen; harga dijangka RM180k-RM190k

    Perincian luaran lain yang turut ditampilkan pada BAIC BJ40 Plus ini termasuk lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED, lampu kombinasi belakang LED, set rim aloi 17-inci kemasan dua-tona dengan tayar 245/70R17 serta cangkuk penyelamat dalam kemasan merah masing-masing diletakkan dua di hadapan dan dua di belakang.

    Jika bahagian luarnya seperti Jeep Wrangler, bahagian dalaman BAIC BJ40 Plus ini pula diinspirasikan dari rekaan SUV ladder frame Mercedes-Benz G-Class. Pengaruh jenama automotif premium Jerman itu boleh anda lihat pada rekaan suis penghidup enjin dan bentuk-bentuk suis lain, elemen permukaan pada papan pemuka, liang-liang penghembus udara, roda stereng dan lain-lain. Dan jika anda lihat kunci kawalan jauh BAIC ini, rekaannya juga ‘sebiji’ kunci Mercedes-Benz.

    Disebabkan kesemua bumbungnya boleh dicabut, anda boleh lihat BJ40 Plus ini seakan diberikan roll cage, dan ia balut dengan fabrik untuk nampak lebih kemas. Untuk itu pemegang tangannya juga direka seperti tali untuk memudahkan ia dibuka, begitu juga bahagian spring engsel pintu yang turut digantikan dengan tali fabrik bagi memudahkan pintu dicabut sepenuhnya.

    Selain itu, BJ40 Plus ini menerima perincian standard lain seperti upholsteri kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa empat hala, roda stereng balutan kulit, penghawa dingin dua zon, paparan instrumen digital dengan skrin LCD berwarna 12.3-inci, skrin infotainmen 10-inci, enam pembesar suara, brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold, kamera undur dan juga dua port USB.

    Namun terasa sedikit janggal pada BAIC BJ40 Plus ini kerana skrin infotainmen yang dibekalkan tidak diberikan sokongan Android Auto, Apple CarPlay mahupun apa-apa aplikasi screen mirroring kepada telefon pintar, dan ia juga tidak diberikan fungsi auto-naik (hanya auto-turun) pada kesemua tingkat cermin berkuasa.

    Dari segi praktikaliti, ruang kargo belakang BAIC BJ40 ini menyediakan ruang berkapasiti 532 liter, dan ia bertambah sehingga 965 liter. Walau bagaimanapun tidak terdapat penutup tonneu pada bahagian ini, dan ini agak menyukarkan untuk pengguna meninggalkan barang dengan selamat di sini.

    BAIC BJ40 ini mungkin akan dilancarkan pada bulan ini juga. Harganya masih belum dimuktamadkan, namun ia dibayangkan akan dijual pada harga sekitar RM180k hingga RM190k. Nampaknya model ini akan berhadapan terus dengan satu lagi SUV ladder frame dari China, iaitu GMW Tank 300 yang turut dijangka akan dilancarkan pada bulan ini.

     
     
  • Proton catat jualan sebanyak 10,999 unit bagi Jun 2024

    Proton catat jualan sebanyak 10,999 unit bagi Jun 2024

    Sepanjang bulan Jun 2024, Proton telah berjaya menjual sebanyak 10,999 unit kenderaannya bagi pasaran domestik dan juga eksport. Ini sekaligus membolehkan syarikat itu mengukuhkan kedudukannya di tempat kedua bagi jualan kenderaan di Malaysia walaupun jualannya berkurangan sebanyak 12.2% berbanding Mei lalu.

    Bagi Proton, jualan bulan Jun terkesan akibat pemberhentian sementara pengeluarannya seperti yang dirancang untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan berjadual. Bagaimanapun, syarikat itu tetap mampu mencatat angka perkongsian pasaran sebanyak 19.1% bagi bulan lalu, angka yang sama bagi perkongsian pasaran setakat ini (YTD) yang dicatatnya. Jualan keseluruhan yang dicapai bagi tempoh separuh tahun 2024 setakat ini ialah 73,696 unit.

    Jun 2024 merupakan bulan yang sibuk untuk Proton. Selain pengenalan jenama EV Proton e.Mas, Proton juga meraikan pengeluaran ke-5 juta kenderaan dari kilangnya dan melancarkan Proton X50 2024 sebagai versi diperkemas melibatkan 20 penambahbaikan berkaitan NVH.

    Untuk itu, X50 kembali mendahui SUV segmen B dengan jualan sebanyak 1,711 unit yang turut merupakan prestasi jualan terbaiknya dalam tempoh tiga bulan ini. Satu lagi model yang menjadi pendahulu segmennya ialah Proton S70, yang mendahului dalam segmen C sedan dengan mencatatkan jualan sebanyak 1,440 unit.

    Proton catat jualan sebanyak 10,999 unit bagi Jun 2024

    Proton Saga pula terjual sebanyak 5,441 unit sepanjang Jun, menjadikan jualannya setakat ini bagi 2024 ialah 34,838 unit. Secara purata, 5,800 unit Saga sudah terjual setiap bulan, menjadikannya model paling popular di Malaysia. Persona pula mencatatkan jualan 1,309 unit, meletakkannya di kedudukan kedua segmen B sedan.

    Model lain seperti X70 dan X90 pula masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 481 unit dan 248 unit. X70 bakal diberikan kemaskini tak lama lagi. Proton Iriz pula mencatatkan jualan sepanjang Jun sebanyak 369 unit, menduduki tempat keempat dalam segmen hatchback segmen B.

    Jummlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi Jun diramal rendah berbanding bulan lain tahun ini. Dianggarkan sebanyak 57,700 unit kenderaan dijual bulan lalu, lebih rendah berbanding April lalu disebabkan cuti perayaan yang panjang. Bagaimanapun, secara terkumpul bagi enam bulan pertama 2024 ialah sekitar 386,600 unit, hampir 20,000 unit lebih banyak bagi tempoh sama tahun lalu.

     
     
  • Mercedes-Benz GLB200 2024 di Malaysia – galeri penuh SUV 7-tempat duduk; 1.33L turbo; dari RM291k

    Mercedes-Benz GLB200 2024 di Malaysia – galeri penuh SUV 7-tempat duduk; 1.33L turbo; dari RM291k

    Susulan dengan pelancaran Mercedes-Benz GLB X247 facelift beberapa hari lalu, kini kami membawakan pula galeri penuh SUV yang dipertingkatkan ini dengan varian GLB200 Progressive. Ditawarkan pada atas jalan M290,888 tanpa insurans, GLB200 ini merupakan varian asas bari barisan GLB, dengan GLB250 4Matic AMG Line sebagai varian tertinggi yang berharga RM341,888.

    Semakan penggayaan bagi GLB termasuklah bampar hadapan yang direka semula, lampu utama LED High Performance baharu dengan Adaptive Highbeam Assist serta grafik lampu belakang baharu. Ciri spesifik untuk GLB200 adalah gril radiator dengan empat kepingan mendatar, dengan pakej penggayaan Progressive Line dan roda aloi-ringan lima-jejari-berkembar 18-inci. Kesemua varian GLB didatangkan dengan Night Package secara standard, bersama kemasan hitam berkilat untuk luaran.

    Di dalamnya, keadaan kabin kebanyakannya adalah sama sahaja, dengan peningkatan yang dibuat tidak begitu ketara. Ia menerima roda stereng sport pelbagai fungsi baharu, yang dibalut dengan kulit pada GLB 200 manakala GLB 250 menerima balutan kulit Nappa. Jumlah soket USB-C juga ditambah dan kini mempunyai kuasa mengecas yang lebih tinggi.

    Tetapan skrin digital 10.25 inci berkembar masih dikekalkan, tetapi sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) telah dinaik taraf kepada generasi NTG7 terkini, memberikan antaranya tema paparan baru, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta Intelligent Voice Assistant yang lebih berkemampuan.

    Kemasan dalaman GLB200 juga diberikan elemen Star Pattern, tempat duduk balutan kulit upholstery Artico, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, kawalan suhu dwi-zon Thermotronic (dengan corong di belakang), pencahayaan ambien 64-warna dan pad pengecas tanpa wayar. Kedua-dua varian GLB buat masa ini didatangkan dengan versi tiga barisan tempat duduk, dengan barisan kedua boleh dilipat dan dibaring dengan 40:20:40, sementara 50:50 untuk barisan ketiga.

    Risalah spesifikasi Mercedes-Benz GLB200 Progressive Line facelift 2024 (atas), GLB250 4Matic AMG Line (bawah) – Klik untuk besarkan

    Di bawah bonetnya, GLB200 masih terus dijanakan oleh enjin 1.33 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol. Dengan unit M282 ini, pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac basah tujuh-kelajuan 7G-DCT, bersama hamburan kuasa sehingga 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan tork 270 Nm (lebih 20 Nm berbanding sebelum ini). Dengan penjana kuasa tersebut, varian ini mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 9.3 saat dengan kelajuan maksimum mampu dicapai pada 207 km/j.

    Bagi sistem bantuan pemanduan dan keselamatan, ia diberikan Parking Package dengan kamera undur,
    Active Paring Assist, Blind Spot Assist, Exit Warning Assist dan Active Brake Assist. Lain-lain ciri termasuk Easy-Pack tailgate, Keyless-Go, Hands-Free Access, pelindung kenderaan Guard 360 dan sistem pemantauan tekanan tayar.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025