Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MyJPJ kini terima mod pembayaran FPX bagi pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan

    MyJPJ kini terima mod pembayaran FPX bagi pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan MyJPJ kini menerima mod pembayaran Financial Process Exchange (FPX) untuk orang ramai memperbaharui cukai jalan (e-LKM) dan lesen memandu (e-LMM) melalui aplikasi tersebut.

    Ini bermakna anda kini boleh menggunakan perbankan dalam talian untuk membayar melalui FPX. Anda boleh memilih mana-mana bank untuk jumlah wang yang ingin dipindahkan, atau memilih kad daripada senarai yang disediakan untuk dicaj. Sebelum ini, anda perlu memasukkan butiran kad debit atau kredit anda secara manual. Pendek kata, sekarang ini terdapat lebih banyak fleksibiliti yang lebih mudah dan pantas.

    Untuk memperbaharui e-LMM atau e-LKM, hanya pilih lesen yang ingin anda baharui, kemudian pilih tempoh dan mod (digital atau manual..pastikan pilih digital jika hendak guna FPX). Kemudian pilih FPX dan bank anda untuk membuat pembayaran seterusnya.

    Sila ikuti langkah yang ditetapkan dan pengesahan akan dihantar selepas anda selesaikan urusan ini. Gambarajah di bawah ini adalah panduan untuk anda sekiranya ingin menggunakan mod pembayaran FPX dalam urusan pembaharuan e-LKM atau e-LMM.

    Klik untuk besarkan

     
     
  • EV bakal diberi bingkai plat khas oleh syarikat pengeluar untuk bezakan dengan kenderaan ICE

    EV bakal diberi bingkai plat khas oleh syarikat pengeluar untuk bezakan dengan kenderaan ICE

    Dalam pengumumam struktur baharu bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM) (cukai jalan) kenderaan motor tanpa pelepasan asap/Zero Emission Vehicles (ZEVs) atau kenderaan elektrik (EV), semalam Menteri Pengangkutan Anthony Loke turut memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan bingkai plat khas bagi EV.

    Menurut Loke, ia bertujuan untuk membezakannya dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), serta bingkai plat khas itu akan dikeluarkan oleh syarikat pengeluar dan dipasang terus pada kenderaan berkenaan, laporan Bernama.

    “Kita akan perkenalkan plat khas, bukan nombor (pendaftaran kenderaan) bagi membezakan kenderaan ZEV dan ICE dalam tempoh terdekat. Plat itu akan dikeluarkan oleh syarikat kenderaan berkaitan, jadi kita akan bekerjasama dengan mereka, seperti bahan yang akan digunakan dan sebagainya. Saya tidak mahu umumkan hari ini, tunggu nanti,” katanya.

    Pada Oktober 2023, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan notis permohonan cadangan (RFP) untuk pelaksanaan rekaan plat khas (RPK) bagi kenderaan motor tanpa pelepasan gas pencemaran (zero emission vehicle), yang termasuk kenderaan elektrik bateri (BEV) kepada syarikat yang berminat.

    Pengeluaran plat khas untuk kenderaan jenis ini (EV) pernah dimaklumkan oleh Loke pada Julai tahun lalu, dengan contoh EV1-EV999 dan selepas itu diikuti oleh EVA, EVB, EVC dan seterusnya, seperti nombor plat biasa yang dikeluarkan mengikut negeri.

     
     
  • ‘Lemon Law’ disasar dibentang di Parlimen Mac 2025

    ‘Lemon Law’ disasar dibentang di Parlimen Mac 2025

    Kes “Bezza gula” yang tular pada awal tahun ini antara contoh mengapa agak sukar untuk pengguna mendapatkan gantian unit kereta yang baharu sekiranya unit yang baru dibeli dari pengeluar mempunyai masalah yang besar. Perkara ini mungkin akan lebih mudah untuk dikendalikan sekiranya negara kita mempunyai undang-undang ‘Lemon Law’ yang sudah digunapakai di beberapa negara maju.

    ‘Lemon Law’ ialah undang-undang yang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk yang berulang kali rosak selain gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi.

    Oleh itu, semalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan bahawa pembentang usul atau meminda akta baharu berkaitan ‘Lemon Law’ disasarkan akan dibuat di Parlimen seawal Mac tahun depan, lapor Bernama.

    Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagi tujuan tersebut pihaknya telah melantik sekumpulan pakar perunding yang terdiri daripada pakar perundangan akan menjalankan kajian perundangan berkaitan Lemon Law dalam usaha mewujudkan kerangka perundangan perlindungan pengguna yang lebih komprehensif sejajar dengan tuntutan semasa, serta turut akan menyediakan laporan pelaksanaan kajian amalan terbaik di beberapa negara dan mengadakan siri libat urus dengan pihak berkaitan.

    “Mereka akan memulakan kerja dari Jun hingga penghujung September ini dan selepas itu, mereka akan mengemukakan laporan komprehensif untuk dibentang kepada kementerian.

    ‘Lemon Law’ disasar dibentang di Parlimen Mac 2025

    “Laporan itu akan menjadi asas kepada pertimbangan bagi kementerian dapatkan keputusan dasar sama ada perlu wujud satu akta khusus bagi Lemon Law atau kita laksanakan pindaan kepada akta sedia ada,” katanya.

    Menurut Armizan lagi terdapat empat undang-undang di Malaysia yang bercirikan Lemon Law seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967. Tambahnya, KPDN akan membuat keputusan berdasarkan laporan pakar perunding terbabit dan jika dipersetujui di peringkat kementerian, proses seterusnya ialah membawanya untuk penilaian impak kawal selia.

    “Sekiranya semua telah dipersetujui termasuk Jemaah Menteri, kita akan bawa ke proses sama ada pindaan atau akta baharu di Parlimen yang disasar seawal Mac 2025,” katanya.

    Walau bagaimanapun, KPDN akan melaksanakan dua strategi interim sebelum kerangka perundangan baharu dimuktamadkan, kata Armizan. Strategi tersebut adalah pendayaupayaan perlindungan pengguna iaitu penubuhan pasukan rundingan khas berkaitan aduan kenderaan bermotor di KPDN dan pengukuhan proses Tirbunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) melalui kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

    ‘Lemon Law’ disasar dibentang di Parlimen Mac 2025

    Jelasnya lagi kaedah rundingan yang akan digunakan ialah tiga pihak iaitu antara kementerian, pembeli kereta dan pengedar atau pengilang. Antara syarat dan kriteria pelaksanaan rundingan khas dalam terma rujukan itu ialah kenderaan persendirian baharu berusia tidak melebihi enam bulan dari tarikh pendaftaran dan masih dalam tempoh waranti yang sah sepanjang tempoh kelayakan rundingan serta tidak dimodifikasi.

    Beliau mengakui mekanisme aduan bagi pengguna yang berdepan isu kenderaan baharu sedia ada tidak memenuhi standard kualiti dan prestasi serta tuntutan awal dengan pemain industri kurang berjaya selain tidak dapat diselesaikan ialah mengemukakan aduan kepada KPDN melalui saluran rasmi yang disediakan.

    Jadi KPDN pada masa sama sedang dalam proses mendapatkan kerjasama BNM supaya satu penyelarasan dan penyeragaman berkaitan surat persetujuan dibuat antara institusi perbankan atau kewangan bagi membolehkan pengguna mengemukakan tuntutan tebus rugi di TTPM atau mahkamah, tambah Armizan.

    Menurutnya lagi ketika ini, antara kekangan yang dihadapi ialah kesukaran mendapatkan surat persetujuan daripada bank atau institusi kewangan susulan isu pemilikan kenderaan di bawah Akta Sewa Beli 1967 atau Akta 212.

    ‘Lemon Law’ disasar dibentang di Parlimen Mac 2025

    “Tafsiran pemilikan kenderaan di bawah Akta 212 adalah pemilik kenderaan merupakan bank atau institusi kewangan dan penyewa kenderaan pula merupakan pengguna dan hak milik kenderaan hanya akan diserahkan kepada pengguna apabila selesai pembayaran.

    “Maka strategi kedua ini dijangka membantu para pengguna menyelesaikan tuntutan mereka di TTPM dengan jayanya,” kata beliau.

    Armizan juga berkata kedua-dua strategi interim adalah intervensi oleh kerajaan bagi membantu pengguna apabila tuntutan awal dengan pemain industri kurang berjaya dan tidak dapat diselesaikan.

    “Sehubungan itu, kerajaan amat berharap serta berbesar hati sekiranya pemain industri terutama industri automatif bersedia untuk menyahut hasrat kerajaan selain sedia bekerjasama melindungi hak pengguna serta memupuk pasaran yang adil dan telus,” katanya.

     
     
  • PLUS umum lorong motosikal di laluan masuk Plaza Tol Taiping arah utara ditutup hingga 13 Jun 2024

    PLUS umum lorong motosikal di laluan masuk Plaza Tol Taiping arah utara ditutup hingga 13 Jun 2024

    PLUS Malaysia mengumumkan bahawa lorong motosikal di laluan masuk Plaza Tol Taiping (U) sedang ditutup buat sementara sejak semalam sehinggalah 13 Jun 2024 ini. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan di lorong motosikal sedia ada.

    “Pengguna motosikal di laluan tersebut akan dilencongkan di laluan masuk paling kiri di Plaza Tol Taiping (U) sepanjang tempoh kerja-kerja tersebut dijalankan. Kerjasama para pengguna lebuh raya untuk mematuhi arahan papantanda di lokasi sepanjang proses kerja-kerja pembaikan dijalankan amat kami hargai. Terima kasih,” kata PLUS.

    Jika anda menggunakan laluan berkenaan, sila lebih fokus dan berhati-hati dalam pemanduan. Terutamanya untuk pemandu kereta atau lori, bimbang juga sekiranya tidak perasan ada motosikal di laluan masuk paling kiri disebabkan titik buta. Jangan main melencong masuk ke kiri saja tau dan jangan lupa bagi isyarat membelok.

     
     
  • Aveta Ranger Cub Cross 115 dilancarkan di Malaysia – dua versi, enjin 113 cc karburetor, harga dari RM4,988

    Aveta Ranger Cub Cross 115 dilancarkan di Malaysia – dua versi, enjin 113 cc karburetor, harga dari RM4,988

    Selepas Ranger Max Explorer, Aveta Malaysia kini memperkenalkan satu lagi model dengan konsep sama iaitu Ranger Cub Cross 115. Ia ditawarkan dalam dua versi iaitu Standard dan SE, dengan harga masing-masing RM4,988 dan RM5,188 tidak termasuk insurans. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Walaupun sekali imbas Ranger Cub Cross ini kelihatan sama seperti Ranger Max Explorer, panel badannya secara keseluruhan adalah berbeza dan anda juga boleh melihat ia menggunakan penghadang lumpur yang lebih rendah serta lampu yang terletak di bahagian pemegang.

    Kemudiannya, Ranger Cub Cross ini datang dengan enjin yang lebih kecil, iaitu unit satu silinder penyejukan udara 113 cc empat strok, karburetor bersama transmisi empat kelajuan, menghasilkan 8.7 hp pada 8,000 rpm dan 9.0 Nm pada 5,500 rpm. Untuk menghidupkan enjin ini, pengguna disediakan dengan pemula elektrik serta tendang.

    Informasi penting motosikal dipaparkan pada meter jenis LCD digital dan rendah di bahagian bawah pemegang terdapat ruang simpanan yang boleh menempatkan barangan kecil. Kapasiti tangki bahan api yang disediakan adalah 3.5 liter.

    Untuk brek, Ranger Cub Cross datang dengan tetapan cakera di hadapan dan dram di belakang, sementara suspensi pula terdiri daripada fork biasa di hadapan dan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban di belakang.

    Aveta Ranger Cub Cross 115 dilancarkan di Malaysia – dua versi, enjin 113 cc karburetor, harga dari RM4,988

    Membezakan varian Standard dengan SE selain grafik (corak camouflage pada SE) adalah rim, di mana varian Standard datang dengan unit aluminium, manakala SE datang dengan unit spoked. Walaupun begitu, kedua-duanya masih bersaiz 17 inci di hadapan dan belakang.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada Ranger Cub Cross adalah penghadang angin hadapan, penghadang tangan, rak barangan di bahagian hadapan, tempat duduk jenis berasingan, pemegang belakang serta tongkat tengah.

    GALERI: Aveta Ranger Cub Cross 115

    GALERI: Aveta Ranger Cub Cross 115 SE

     
     
  • Polis KL laksana Op Hormat Undang-undang sehingga 15 Jun di sekitar ibu kota – fokus 7 kesalahan utama

    Polis KL laksana Op Hormat Undang-undang sehingga 15 Jun di sekitar ibu kota – fokus 7 kesalahan utama

    Bermula hari ini (4 Jun) hingga 15 Jun 2024, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur melaksanakan Op Hormat Undang-Undang (OP HUU) di sekitar jalan utama di ibu kota.

    Di mana menerusi operasi penguatkuasaan secara total enforcement ini memfokuskan kepada tujuh kesalahan utama dalam tujuh operasi iaitu Op Halangan Lalulintas, Op Garisan Putih dan Op Nombor Pendaftaran. Ia juga membabitkan Op Motosikal, Op Didik, Op Parkir Haram dan Op Lampu Merah/Telefon Bimbit, menurut JSPT KL.

    Manakala jalan utama yang diberikan tumpuan pelaksanaan operasi ini ialah Persimpangan Jalan Dewan Bahasa / Jalan Hang Tuah, Persimpangan Jalan Sultan Ismail /Jalan Bukit Bintang, Persimpangan Jalan Sultan Ismail / Jalan P. Ramlee, Persimpangan Jalan Sultan Ismail / Jalan Raja Abdullah dan Persimpangan Sultan Ismail / Jalan T.A Rahman

    Ia juga membabitkan Persimpangan Sultan Ismail / Jalan T.A Rahman, Persimpangan Jalan Dang Wangi / Jalan T.A Rahman, Persimpangan Puduraya / Jalan Tun Perak, Persimpangan Jalan Sultan Ismail / Jalan Imbi, Persimpangan Jalan Sultan Ismail / Jalan Raja Chulan, Persimpangan Jalan Sultan Ismail / Jalan Ampang, Persimpangan Jalan Sultan Ismail / Jalan Raja Laut dan Persimpangan Jalan Tun Perak /Jalan Raja.

    Op HUU ini adalah susulan kejayaan operasi yang sama dilakukan pada tahun lalu yang dilaksanakan dalam dua fasa iaitu pada Julai dan September 2023. Menurut Ketua Polis KL Datuk Allaudeen Abdul Majid, lebih 200,000 saman trafik pelbagai kesalahan telah dikeluarkan. Dan kesalahan halangan lalu lintas menjadi penyumbang utama dalam pengeluaran saman trafik.

     
     
  • Nissan henti bangunkan enjin pembakaran dalaman, tumpu hasilkan model EV untuk masa hadapan

    Nissan henti bangunkan enjin pembakaran dalaman, tumpu hasilkan model EV untuk masa hadapan

    Berbeza dengan Toyota, Subaru dan Mazda yang baru-baru ini mengumumkan pakatan bersama untuk membangunkan enjin pembakaran dalaman generasi baharu yang lebih bersih bagi mencapai neutraliti karbon, satu lagi jenama automotif besar dari Jepun iaitu Nissan nampaknya mengambil jalan yang lebih mirip seperti pengeluar Eropah dengan menghentikan sebarang pembangunan enjin dan beralih kepada teknologi kenderaan elektrik (EV).

    “Masa hadapan kami adalah EV,” kata naib presiden dan ketua pegawai perancangan Nissan untuk rantau AMIEO (Afrika, Timur Tengah, India, Eropah, dan Oceania), Francois Bailly apabila ditanya oleh portal Drive berkenaan apa masa hadapan teknologi diesel untuk Nissan.

    Tambahnya lagi buat masa sekarang Nissan menggunakan teknologi hibrid e-Power pada model-modelnya sebelum beralih sepenuhnya kepada teknologi EV, dan tiada sebarang pelaburan akan dibuat untuk menghasilkan enjin pembakaran dalaman generasi baharu.

    Sistem e-Power merupakan sistem hibrid jenis range extender, di mana enjin yang dibekalkan hanya bertindak sebagai generator bagi mengecas bateri, sementara roda dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik seperti EV sebenar.

    Bailley menyatakan bahawa kadar peralihan kepada EV ini adalah bergantung kepada kawasan. Beliau memberikan contoh untuk pasaran Afrika – peralihan kepada EV di kawasan sedemikian mungkin lambat, tetapi ia akan disokong dengan teknologi e-Power terlebih dahulu.

    “Pasaran Afrika adalah seperti Euro2, Euro4, jadi rentak penyisihan enjin pembakaran dalaman memang bergantung pasaran demi pasaran, tetapi pelaburan kami adalah jelas. Ia adalah EV, e-Power yang diperkasa,” tegas Bailley.

     
     
  • Struktur cukai jalan baharu bagi EV di M’sia bermula 2026 – lebih murah dari ICE; serendah RM40 setahun

    Struktur cukai jalan baharu bagi EV di M’sia bermula 2026 – lebih murah dari ICE; serendah RM40 setahun

    Walau pun mengikut perancangan asal ia akan diumumkan sekitar April lalu, namun baru hari ini kerajaan bersedia untuk mendedahkan struktur cukai jalan (LKM) baharu bagi kenderaan elektrik (EV). Pengumuman tersebut dilakukan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke pagi tadi.

    Pastinya ini menjadi perkhabaran baik untuk semua pemilik EV kerana kerajaan menunaikan janji untuk memberikan struktur cukai jalan baharu bagi EV yang lebih rendah berbanding kadar masa kini yang pertama kali dilaksanakan pada 2019. Malah struktur cukai jalan baharu bagi EV ini adalah lebih murah berbanding untuk kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), sejajar dengan dasarnya mengenai penyediaan insentif untuk menggalakkan penggunaan EV.

    Walaupun semua EV yang berdaftar di Malaysia pada masa ini tidak membayar cukai jalan, memandangkan pengecualian ini sehingga akhir 2025, namun pemilik EV akan mula membayarnya apabila tempoh pengecualian tamat, dengan struktur baharu itu berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

    Struktur cukai jalan baharu bagi EV di M’sia bermula 2026 – lebih murah dari ICE; serendah RM40 setahun

    Klik untuk besarkan

    Struktur cukai jalan baharu bagi EV ini masih berasaskan kilowatt (kW) dan dikateorikan dalam kadar kuasa motor. Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata kepada pihak media baru-baru ini, ia adalah cara paling relevan untuk menentukan perkara ini.

    Walau bagaimana pun, tujuannya adalah untuk menjadikan struktur baharu itu semudah mungkin dan senang untuk difahami. Seperti yang anda akan lihat di bawah, kadar baharu adalah jauh lebih murah daripada yang ditakrifkan pada masa ini. Dengan pengurangan sehingga 89% dalam kadar daripada yang ditetapkan sebelum ini, yang sudah tentu percuma buat masa ini.

    “Kadar fi baharu LKM EV ditetap berdasarkan kepada kuasa motor elektrik dan meningkat selaras dengan kenaikan kuasa motor elektrik. Peningkatan kuasa motor elektrik akan mewakili peningkatan dalam harga belian, saiz, segmen dan berat kenderaan,” kata Loke.

    Di bawah struktur baharu ini, setiap kadar kuasa mempunyai yuran yang ditetapkan, dengan setiap 9,999 watt (atau 9.9 kW) dan kadar baharu bermula pada RM20 pada peringkat paling rendah, daripada 1 wat hingga 9.9 kW.

    Struktur cukai jalan baharu bagi EV di M’sia bermula 2026 – lebih murah dari ICE; serendah RM40 setahun

    Klik untuk besarkan

    Untuk kadar kuasa tertinggi hingga 100,000 watt (100 kW), kadar bayaranya dinaikkan RM10 pada setiap kadar kuasa, sehingga RM70 pada 100 kW. Dari 100,001 wat hingga 210,000 wat (210 kW), kadar cukai jalannya dari RM80 hingga RM280, dengan kenaikan RM20 untuk setiap 9/9 kW di dalam kumpulan yang sama.

    Dari 210,001 hingga 310,000 watt (310 kW), harga cukai jalan dari RM305 hingga RM575, dengan setiap peningkatan ditetapkan pada RM30. Bagi 310,001 hingga 410,000 watt (410 kW), kadarnya dari RM615 hingga RM1,065, dengan setiap 9.9 kW dinaikkan sebanyak RM50.

    Sebagai contoh, dengan kuasa 100 kW, Hyundai Kona e-Lite ditetapkan kadar cukainya sebanyak RM70 untuk setahun bermula tahun 2026, berbanding kadar semasa RM243. Manakala Ora Good Cat 400 Pro dan 500 Ultra (105 kW), bersama Nissan Leaf (110 kW), ditetapkan kada cukai jalan sebanyak RM80. Manakala pemilik BYD Dolphin Dynamic Standard Range, pada 70 kW, hanya perlu membayar RM40 setahun, begitu juga dengan Neta V yang berkuasa 70 kW.

    Struktur cukai jalan baharu bagi EV di M’sia bermula 2026 – lebih murah dari ICE; serendah RM40 setahun

    Struktur cukai jalan EV sebelum ini. Klik untuk besarkan

    Untuk EV premium pula, cukai jalannya ditawarkan dengan kadar yang lebih berpatutan. Contohnya Mercedes-Benz EQE 350+ ditetapkan pada RM305 berbanding kadar lama RM2,779, serta BMW iX1 xDrive30 dan xDrive40 masing-masing pada kadar RM335 dan RM365.

    Sementara itu, pemilik Tesla Model Y dan Model 3 Highland SR RWD kini hanya perlu membayar RM305 dan RM280, berbanding kadar lama hampir RM2.6k. Manakala EV dengan kuasa 300 kW pula hanya perlu membayar cukai jalan pada kadar RM545 setahun, tidak seperti kadar lama pada RM4,503.

    Manakala pemilik BYD Seal Performance pula hanya perlu membayar cukai jalan pada kadar RM965 setahun (RM7,504 pada kadar lama), sementara Kia EV6 GT ditetapkan kadar cukai jalannya pada RM1,240 setahun (RM7,623 mengikut struktur lama).

    Jika yang memiliki EV prestasi lagi tinggi, seperti Lotus Eletre R dan Porsche Taycan Turbo GT, pemiliknya perlu membayar antara RM4,290 hingga RM6,715 untuk cukai jalan tahunan. Sudah pastilah dah mampu beli EV yang lebih padu dan mewah, kenalah sanggup bayar cukai jalan yang lebih tinggi bukan?

    Selain itu, cukai jalan untuk motosikal elektrik kekal tidak berubah, di mana MOT berkata kadar sedia ada antara RM9 hingga RM42 untuk e-motosikal sudah cukup rendah. Malah individu dari golongan kurang berupaya, juga diberikan pengecualian cukai jalan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2022, sama juga bagi pemilikan EV.

    Menurut Loke, semua kadar fi bagi kenderaan ZEV akan disemak sekurang-kurangnya setiap lima tahun bagi memastikan keberkesanan dalam mencapai objektif peralihan kepada EV serta impak kepada hasil kerajaan. Apa pendapat anda mengenai perkara ini? Kongsikan bersama kami.

    Berikut merupakan pecahan bagi struktur cukai jalan baharu bagi EV berkuatkuasa 1 Januari 2026:

    Struktur cukai jalan baharu bagi EV di M’sia bermula 2026 – lebih murah dari ICE; serendah RM40 setahun

     
     
  • Lamborghini Urus SE 2024 di M’sia — PHEV 788 hp/950 Nm tork, bateri 25.9 kWh; dari RM1.03 juta

    Lamborghini Urus SE 2024 di M’sia — PHEV 788 hp/950 Nm tork, bateri 25.9 kWh; dari RM1.03 juta

    Baru sahaja diperkenalkan ketika Auto China Beijing 2024 pada April lalu, Lamborghini Kuala Lumpur kini melancarkan pula model Lamborghini Urus SE 2024 untuk pasaran Malaysia. Merupakan versi plug-in hybrid (PHEV) yang pertama untuk model SUV jenama mewah berkenaan, ia menampilkan rekaan baru serta menggunaan janaan hibrid 800 CV — versi ini mengurangkan emisi sehingga 80% berbanding versi petrolnya.

    Lamborghini Urus SE 2024 ini memberikan pengalaman pemanduan yang unik dengan sistem plug-in hybrid — dengan lebih kuasa, prestasi tingg serta kendalian tepat dengan pengenalan sistem torque vectoring antara dua gandarnya, serta differential elektronik di belakang. Sebagai rujukan, Lamborghini Urus SE 2024 mempunyai ukuran dimensi 5,123 mm panjang, 2,022 mm lebar, 1,638 mm tinggi dengan jarak roda 3,003 mm.

    Enjin turbo berkembar 4.0L V8 yang digunakan telah diberi kejuruteraan baru untuk disesuaikan secara optimum dengan sistem elektrik. Ia menjana sebanyak 456 kW kuasa dan 800 Nm tork. Enjin ini digandingkan pula dengan sistem janaan elektrik yang memberikan 141 kW dan 483 Nm tork. Kuasa gabungan dua sistem in memberikan janaan maksimum 800 CV atau 588 kW pada 6,000 rpm (788 hp) dengan 950 Nm tork dari 1,750-5,750 rpm.

    Lamborghini Urus SE 2024 di M’sia — PHEV 788 hp/950 Nm tork, bateri 25.9 kWh; dari RM1.03 juta

    Ini membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat, dan mencapai laju maksimum 312 km/j. Angka ini menjadikan Urus SE model Urus paling berkuasa setakat ini, serta sebuah kereta produksi paling laju dalam segmennya.

    Terdapat enam pilihan mod pemanduan yang diganbungkan dengan empat Electric Performance Strategies (EPS) baru, menjadikan 11 pilihan kesemuanya yang tersedia. Mod Strada, Sport dan Corsa (untuk kegunaan jalan dan litar) serta mod Neve, Sabbia dan Terra (untuk permukaan dengan cengkaman berbeza) kini disertai juga dengan pilihan mod EV Drive, Hybrid, Performance dan Recharge.

    Bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih, suspensi udara SUV ini akan dilaraskan untuk jarak kelegaan tanah yang berbeza, dari 15 mm untuk Corsa hingga 75 mm ketika sistem ini diaktifkan.

    Bateri lithium-ion 25.9 kWh yang membekalkan kuasa untuk motor elektriknya terletak di bawah lantai. Motor elektriknya pula terletak di dalam transmisi automatik lapan-kalajuanya dan boleh bertindak selaku booster kepada enjin V8 tersebut — Urus SE ini boleh dipacu secara 4WD dan sepenuhnya elektrik sejauh 60 km dalam mod elektrik, dengan laju maksimum 130 km/j. Pertama kali ditampilkan untuk Urus SE ini ialah longitudinal electric torque vectoring system di tengah dengan plat klac elektro-hidraulik.

    Ini membolehkan agihan tork yang dengan nilai boleh ubah dan secara berterusan antara gandar depan dan belakang. Transfer case pula bekerjasama dengan limited slip differential elektronik yang dipasang di gandar belakang, menjadikan kawalan SUV ini lebih stabil dan cekap untuk banyak permukaan.

    Reka bentuk serta penggayaan luarannya juga membayangkan ciri aerodinamik tahap tinggi. Bahagian depannya hadir dengan hud rekaan terapung baru, kluster lampu utama dengan lampu LED Matrix, rekaan khas baru untuk lampu yang mengambil ilham dari ekor lembu dari logo Lamborghini serta rekaan baru untuk bampar depan dan grilnya.

    Di belakang, bahagian kargonya diberi rekaan serba baru, mengambil ilham daripada model Gallardo yang menyambung kluster lampu belakang dengan lampu Y serta diffuser baru di belakang, menjadikannya tampil dengan keseimbangan rekaan yang lebih bergaya sport. Dengan spoiler baru, diffuser-nya menambah lagi daya ke bawah sebanyak 35% dalam kelajuan tinggi berbanding Urus S, menambah kestabilannya. Kecekapan aerodinamiknya juga dipertingkat sebanyak 15% berbanding Urus sebelum ini, serta memberikan 30% lebih baik terhadap sistem penyejukan udaranya.

    Ruang kabin pula diberikan kemaskini dengan menampilkan skrin lebih besar — kini dengan 12.3-inci — di tengah yang turut hadir dengan Human Machine Interface (HMI) baru yang lebih intuitif. Begitu juga dengan rekaan corong pendingin, ini dengan kemasan aluminium anodized dan bentuk Y, sertai pelapik panel, kerusi dan papan pemuka baru. Butang Push juga menggunakan bahan yang menjadikan rasanya lebih solid.

    Di depan pemandu, kluster instrumen digital 12.3-inci juga tersedia, dan disepadukan dengan paparan skrin sentuh di tengah tadi dan dikendalikan oleh Lamborghini Infotainment System (LIS). Ia juga mengandungi sistem telemetry untuk SE, mempaparkan maklumat berkaitan sistem bantuan pemanduannya untuk memudahkan lagi pemandu.

    Lamborghini Urus SE 2024 di M’sia — PHEV 788 hp/950 Nm tork, bateri 25.9 kWh; dari RM1.03 juta

    Urus SE juga menawarkan pilihan kustom yang luas. Rim aloi misalnya kini ada unit 23-inci Galanthus yang dipadankan dengan tayar Pirelli P Zero yang khusus untuk keperluan pelanggan Urus yang berbeza-beza. Terdapat juga 100 pilihan warna ditawarkan sebagai pilihan, termasuk dua warna baru: Arancio Egon (oren) yang dipadankan dengan ruang dalaman Arancio Apodis (oren), dan juga Bianco Sapphirus (putih) dengan dalaman Terra Kedros (Terracotta). Pilihan warna untuk ruang kabin pula termasuk 47 kombinasi warna dan empat jenis jahitan.

    Lamborghini Urus SE 2024 untuk pasaran Malaysia kini dibuka untuk tempahan dengan harga bermula RM1,028,000 sebelum cukai, duti dan pilihan kustom.

    Lamborghini Urus SE di Auto China Beijing 2024

     
     
  • Ujian Rintis Awam Skim Penyaluran Trafik di Lingkaran Putrajaya, ELITE pada 4-7 Jun dan 10-14 Jun – PLUS

    Ujian Rintis Awam Skim Penyaluran Trafik di Lingkaran Putrajaya, ELITE pada 4-7 Jun dan 10-14 Jun – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan bahawa Ujian Rintis Awam Skim Penyaluran Trafik dilaksanakan di laluan Lingkaran Putrajaya, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah, ELITE di KMP7.40 hingga KMP7.65 (menghala ke Putrajaya) dan di laluan susur keluar di Lebuhraya Maju Expressway Sdn. Bhd (MEX) (menghala ke Putrajaya).

    Ia dilaksanakan mulai hari ini (4 Jun) hingga 7 Jun dan 10 hingga 14 Jun 2024 pada setiap jam 6 pagi hingga 10 pagi. Menurut PLUS, ujian berkenaan bertujuan bagi membantu mengurangkan kesesakan, sekaligus melancarkan pergerakan trafik pada waktu puncak di laluan tersebut.

    “Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dan MEX dari masa ke masa ketika melalui kawasan terbabit,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Honda Beat, Beat Street generasi baru diperkenal di Indonesia – dapat peningkatan gaya, kelengkapan

    Honda Beat, Beat Street generasi baru diperkenal di Indonesia – dapat peningkatan gaya, kelengkapan

    Setelah sekian lama dalam pasaran, Honda akhirnya memperkenalkan Beat generasi baru, yang dilancarkan di Indonesia bersama variasinya, Beat Street. Bagi Beat, ia tersedia dalam tiga varian, CBS, Deluxe dan Deluxe Smart Key (paling tinggi) manakala Beat Street pula tersedia hanya dalam satu varian. Harga untuk Beat bermula 18.43 juta rupiah (RM5,300), sementara Beat pula dijual pada harga 19.3 juta rupiah (RM5,600).

    Dipanggil sebagai model generasi baru, Beat 2024 ini mendapat panel badan serba baru, yang mengubah sedikit penampilannya dan kemudahan ditambah baik. Ia kini datang dengan lampu hadapan LED, dan poket-poket barangan yang tersedia di bahagian hadapan kini bertambah besar. Di bawah tempat duduk, ruangnya masih 12 liter.

    Kelengkapan skuter ini juga ditambah baik, dengan apabila melihat kepada varian paling tinggi, boleh dilengkapi dengan sistem kunci pintar bersama penggera, soket pengecas USB serta meter gabungan analog dan digital.

    Enjin bagaimanapun masih tidak diusik, dan ia masih menggunakan unit satu silinder SOHC 109.5 cc, suntikan bahan api, yang mampu menghasilkan 9.0 PS pada 7,500 rpm dan 9.2 Nm pada 6,000 rpm. Enjin ini boleh dihidupkan dengan pemula elektrik manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter.

    Selain daripada perubahan yang disebutkan tadi, Honda juga berjaya mengurangkan berat skuter ini sebanyak tiga kilogram, selepas mengambil keluar pemula kaki serta mengubah bahan yang digunakan untuk pemegang belakang.

    Honda Beat, Beat Street generasi baru diperkenal di Indonesia – dapat peningkatan gaya, kelengkapan

    Brek Beat terdiri daripada tetapan cakera di hadapan dan dram di belakang, dan ia tidak dilengkapi dengan ABS (cuma CBS), manakala rim pula menggunakan saiz 14 inci, dibalut tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang. Ia kemudiannya dipegang oleh fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap hentak di belakang.

    Beat Street berkongsi perincian yang sama seperti Beat biasa, tetapi seperti yang boleh dilihat, ia tidak mempunyai panel yang melindungi bahagian meter (pemegang terdedah), sementara rim pula menggunakan unit 12 inci, yang dibalut tayar 100/90 di hadapan dan 110/90 di belakang. Meter Beat Street juga berbeza, dengan ia mendapat unit LCD digital penuh.

    GALERI: Honda Beat 2024

    GALERI: Honda Beat Street 2024

     
     
  • Proton Apple CarPlay, Android Auto hanya akan ada untuk model baru — tiada untuk model semasa

    Proton Apple CarPlay, Android Auto hanya akan ada untuk model baru — tiada untuk model semasa

    Pertanyaan sama ada ciri Apple CarPlay dan Android Auto untuk kenderaan Proton kini sudah menjadi soalan standard. Dan, dengan pengenalan Proton X50 RC 2024 hari ini juga situasinya masih sama — belum ada penawaran bagi kedua-dua ciri berkenaan lagi setakat ini.

    Dalam perkembangan terkini berkaitan hal tersebut, Proton telah mengesahkan bahawa model kenderaan semasa yang telah ditawarkan — melibatkan X90, S70 dan X50 RC terbaru ini — tidak akan menerima ciri Apple CarPlay dan Android Auto tersebut. Tiada juga ciri kemaskini over-the-air (OTA) bagi fungsi berkenaan untuk pengguna model sedia sedia ada seperti yang dinyatakan sebelum ini. Perkara ini dinyatakan kepada paultan.org oleh Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah dan ketua jurutera dan teknikal kumpulan, Haizam Ghazali ketika pelancaran X50 RX 2024 hari ini.

    Proton Apple CarPlay, Android Auto hanya akan ada untuk model baru — tiada untuk model semasa

    Sebaliknya, dua ciri sambungan telefon pintar itu akan hanya ditawarkan melalui pengenalan model baru, termasuklah X70 facelift yang akan datang, serta versi kemaskini tahun 2025 bagi X90 dan S70. Ini bermaksud, adakah pelanggan sedia ada — yang mungkin berharap akan dapat menerima ciri berkenaan melalui kemaskini OTA itu — akan ketinggalan daripada menerima ciri berkenaan?

    Roslan juga menjelaskan bahawa Proton kini dalam peringkat akhir untuk mendapatkan lesen kelulusan daripada Apple, jadi bolehlah dijangka bahawa pelancaran berikutnya yang melibatkan X70 facelift tidak lama lagi, akan turut disertakan dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto yang dinanti sekian lama oleh pengguna Proton.

     
     
  • Produksi Mazda 2, Miata RF dihenti di Jepun kerana terlibat penyelewengan ujian bersama 3 model lain

    Produksi Mazda 2, Miata RF dihenti di Jepun kerana terlibat penyelewengan ujian bersama 3 model lain

    Selepas skandal penyelewengan ujian keselamatan Daihatsu yang dibongkar sebelum ini, pihak Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan (MLIT) Jepun nampaknya mula ‘menggali’ kesalahan yang dibuat oleh pengeluar yang lain pula. Terbaharu, Mazda turut dikesan melakukan beberapa kesalahan prosedur ujian yang dihantar untuk kelulusan VTA bagi beberapa model, dan produksi model-model terjejas terpaksa dihentikan sementara serta-merta.

    Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan semalam, kesalahan prosedur ujian ini melibatkan dua model yang kini sedang dijual dan diproduksi iaitu Mazda Miata (dikenali sebagai Roadster di Jepun) RF yang diproduksi bermula Jun 2018 dan juga Mazda 2 yang diproduksi bermula Jun 2021.

    Bagi kedua-dua model ini, Mazda mengaku bahawa ia telah menggunakan perisian kotak komputer enjin yang berbeza ketika ujian dilakukan berbanding unit-unit yang dijual dalam pasaran. Dalam ujian tersebut Mazda telah menyahaktifkan sebahagian fungsi pelarasan pada pemasaan nyalaan palam pencucuh.

    Menurut Mazda, mereka kini sedang menala semula perisian kotak komputer enjin tersebut agar ia sama dengan versi yang dijual dalam pasaran, dan bakal membuat semula ujian pensijilan berkenaan. Sebelum ia diluluskan semula produksi dan jualan bagi model-model terlibat perlu dihentikan terlebih dahulu.

    Walau bagaimanapun, perkara ini hanya melibatkan model-model pasaran Jepun. Di negara tersebut Roadster RF bukan hanya dibezakan dengan bumbung keras yang boleh dibuka, malah adalah varian tunggal dijana oleh enjin 2.0 liter berbanding dengan bumbung fabrik yang hanya menerima enjin 1.5 liter.

    Sebanyak 10,930 unit Mazda Roadster RF dan 42,240 unit Mazda 2 telah diproduksi dalam tempoh yang dinyatakan. Produksi untuk kedua-dua model ini telahpun dihentikan sejak 30 Mei lalu. Namun menurut Mazda, bagi unit-unit yang telah diserah, pemilik masih boleh memandu kenderaan masing-masing memandangkan tiada isu keselamatan yang akan ditimbulkan berkenaan masalah tersebut.

    Produksi Mazda 2, Miata RF dihenti di Jepun kerana terlibat penyelewengan ujian bersama 3 model lain

    Selain itu ia juga melibatkan beberapa model yang dikini sudah tidak lagi diproduksi dan dijual di negara itu iaitu Mazda Atenza (dikenali sebagai Mazda 6 untuk pasaran luar Jepun) yang diproduksi dari November 2014 hingga April 2018, Mazda Axela (dikenali sebagai Mazda 3 untuk pasaran luar Jepun) yang diproduksi bermula Ogos 2016 hingga Februari 2019, serta Mazda 6/Atenza yang diproduksi bermula April 2018 hingga April 2024.

    Untuk ketiga-tiga model ini Mazda mengaku telah membuat kesalahan ketika ujian pensijilan untuk perlindungan penumpang ketika berlakunya perlanggaran hadapan. Dalam ujian tersebut ada ‘peranti luaran’ yang digunakan untuk memulakan pengaktifan beg udara yang sepatutnya diaktifkan secara spontan berdasarkan pengesanan pelanggaran dari penderia sebenar pada kereta tersebut.

    Mazda menyatakan walaupun model-model ini sudah tidak lagi diproduksi dan dijual, pihaknya akan membuat semula proses penentusahan teknikal dalaman dan juga membuat semula ujian bagi mengesahkan bahawa model-model tersebut dibekalkan dengan prestasi untuk melindungi penumpang yang memenuhi standard dibenarkan ketika dalam situasi pelanggaran hadapan.

    Produksi Mazda 2, Miata RF dihenti di Jepun kerana terlibat penyelewengan ujian bersama 3 model lain

    Malah Mazda turut mengesahkan bahawa model-model yang terjejas tersebut masih boleh dipandu oleh pemilik-pemiliknya kerana tiada isu keselamatan yang akan ditimbulkan, dan pada masa yang sama pihaknya akan segera mengambil langkah yang sewajarnya seperti pengesahan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan dengan berunding bersama MLIT.

    Dalam kenyataan yang sama, Mazda menyatakan bahawa antara sebab mengapa kesilapan ini terjadi adalah kerana ketidakcukupan struktur dan mekanisme tadbir urus bagi memeriksa sama ada ujian dijalankan mengikut undang-undang dan peraturan untuk ujian berkenaan, ditambah lagi dengan prosedur yang tidak mencukupi untuk menjalankan ujian serta kekurangan kemudahan untuk memenuhi syarat ujian secara stabil.

    Namun Mazda menegaskan bahawa semua kesalahan ini akan diperbaiki, dan ia turut memohon maaf atas kesulitan dan kebimbangan yang mungkin berlaku kepada pelanggan dan pihak lain.

     
     
  • Proton X50 RC 2024 dilancar – enjin CKD; kamera 360-darjah, NVH ditambahbaik; dari RM86k, diskaun RM7k

    Proton X50 RC 2024 dilancar – enjin CKD; kamera 360-darjah, NVH ditambahbaik; dari RM86k, diskaun RM7k

    Begitu pantas masa berlalu, Proton X50 hampir memasuki usia empat tahun di pasaran selepas pertama kali dilancarkan pada Oktober 2020. Sejak tahun lalu, terdapat desas-desus bahawa SUV segmen-B yang laku keras ini akan diberikan versi facelift, namun ia belum direalisasikan biar pun beberapa kali ia kelihatan diuji di jalan raya.

    Namun hari ini, Proton telah pun melancarkan versi facelift bagi X50, namun ia hanya melibatkan kemaskini minimal. Bermakna, ia bukanlah model facelift yang digembar gemburkan menerusi rakaman spyshot yang dikongsikan sebelum ini. Model versi facelift yang dilancarkan ini dinamakan sebagai X50 RC 2024, dan ditawarkan dengan harga atas jalan RM86,300 tanpa insurans bagi varian 1.5T Standard, RM93,300 untuk 1.5T Executive, RM101,800 bagi 1.5T Premium dan model spesifikasi penuh 1.5T Flagship pula berharga RM113,300.

    Sempena pelancarannya, Proton mengumumkan diskaun tunai sebanyak RM7,000 bagi 5,000 pembeli pertama X50 RC 2024. Bukan itu sahaja, turut diberikan ialah rebat RM1,500 untuk tawaran jual-beli (trade-in), RM6,000 untuk tawaran Value Added Features dengan kesemuanya berjumlah RM14,500. Untuk makluman, ‘RC’ pada nama X50 facelift ini bermaksud ‘Running Change’, seperti mana yang pernah diterima oleh Saga MC 2022 dan Exora RC Premium 2019 yang diberi kemaskini minimal.

    Proton X50 RC 2024 dilancar – enjin CKD; kamera 360-darjah, NVH ditambahbaik; dari RM86k, diskaun RM7k

    Untuk X50 1.5 TGDi RC 2024 ini, tiada perubahan pada penjana kuasanya. Ia masih kekal menggunakan unit 1.5L turbo tiga-silinder petrol dengan output 177 PS dan 255 Nm tork dari 1,500 hingga 4,000 rpm, serta digandingkan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan dan membolehkan SUV ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat.

    Dan buat pertama kalinya, ini merupakan versi pertama bagi X50 yang diberikan enjin pengeluaran tempatan (CKD) yang diproduksi di kilang Proton di Tanjung Malim, Perak. Sebelum ini, enjin X50 dibawa masuk dari China. Selain itu, X50 RC 2024 juga telah diberikan penambahbaikan dari segi Noise, Vibration, and Harshness (NVH), melibatkan lebih 20 poin NVH ditambahbaik untuk memberikan keselesaan yang lebih jitu. Dengan ini, bunyi enjin dan bunyi bising jalan dapat dikurangkan dengan kadar yang agak banyak.

    Berbanding X50 sebelum ini, bunyi enjin dan bunyi bising jalan telah ditebat dengan lebih baik. Bagaimana pun, untuk bunyi bising angin pula, ia masih kedengaran walau pun sedikit berkurangan bagi X50 RC 2024 ini.

    Proton X50 RC 2024 dilancar – enjin CKD; kamera 360-darjah, NVH ditambahbaik; dari RM86k, diskaun RM7k

    Bagaimana pula dengan imej luarannya? Ada perubahan yang dilakukan? Jawapannya tiada apa-apa perubahan untuk luarannya. Malah tiada apa yang dapat membezakan antara X50 RC 2024 dengan versi terdahulu. Menurut Proton, buat masa ini memang tiada perubahan dari segi imejnya kerana “ia sudah kelihatan sempurna”. Jadi ia masih dikekalkan seperti mana versi terdahulu, termasuk lampu utama projektor LED dengan fungsi lampu tinggi automatik (kecuali Standard yang hanya diberikan unit LED), lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan dan belakang.

    Selain itu, ia masih ditampilkan dengan jaluran merah pada bahagian gril infinite weave, rim aloi dwi-tona 18-inci (17-inci untuk Standard). Untuk varian Standard dan Executive, kali ini telah menerima tayar baharu iaitu Goodyear Assurance Tripmax 2, sama seperti model S70. Manakala varian Premium dan Flagship kekal dengan tayar Continental UltraContact UC6. Varian Flagship juga masih mengekalkan dua-tona warna luaran dengan bumbung dan tiang hitam serta bumbung kaca panoramik.

    Proton X50 RC 2024 dilancar – enjin CKD; kamera 360-darjah, NVH ditambahbaik; dari RM86k, diskaun RM7k

    Untuk bahagian kabinnya juga, kalau dilihat dari sudut pandangan mata kasar, ia masih sama seperti model terdahulu. Seperti imej luarannya, tiada perubahan yang dilakukan terhadap bahagian kabinnya. Ia masih mengekalkan ciri termasuk kemasan aluminium brushed, tempat duduk balutan kulit, pendingin hawa zon-tunggal dengan penapis kabin N95, operasi pembuka but dengan Remote Control Activation, parkir brek elektronik dan corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang.

    Namun, semua varian X50 RC 2024 ini menerima kemaskini dari segi unit paparan utama (HUD) bersaiz 10.3-inci dengan resolusi yang lebih tinggi pada kadar 1920 x 720, unit pemprosesasan dual quad-core, 2GB bagi kapasiti RAM, kapasiti storan hingga 64GB, dan aplikasi Spotify Music. Menurut Proton, dengan pembaharuan yang dilakukan HUD ini, prestasi pengkomputerannya menjadi 3.3 kali ganda lebih pantas, dengan 33% lebih kelajuan untuk bootup dan juga 55% lebih pantas untuk loading time.

    Selain itu, dua varian tertinggi bagi X50 RC 2024 ini masih diberikan kamera 360-darjah tetapi telah dipertingkatkan bagi memantapkan lagi aspek keselamatan dan bantuan pemanduan. Dengan menambah jumlah piksel sebanyak 3.3 kali ganda, pandangan imej 3D sekeliling yang dipaparkan dari kamera ini ternyata lebih jelas biar pun dalam keadaan pencahayaan yang rendah, maka urusan parkir kenderaan lebih meyakinkan.

    Dua minggu lalu, kami sempat memandu uji X50 RC 2024 ini di litar ujian Pusat Kecemerlangan Proton (COE) Shah Alam dan berkesempatan untuk menguji kamera 360-darjah yang dipertingkatkan ini dengan ujian umpama melalui lorong (yang diletakkan kon) yang sempit dan parkir.

    Hanya berpandukan kamera 360-darjah ini semata-mata tanpa tidak melihat keadaan sekeliling menggunakan cermin hadapan (windscreen), cermin sisi dan cermin pandang belakang. Ternyata kamera 360-darjah ini lebih jelas dan sangat membantu meningkatkan daya fokus penglihatan, bahkan objek sekecil botol mineral juga agak jelas kelihatan dirakamkan oleh peranti ini.

    Pemandu boleh memilih sama ada menggunakan garisan panduan (guideline) yang dipaparkan menerusi skrin untuk lebih keyakinan atau pun boleh ‘memadamnya’. Kamera 360-darjah ini juga dilengkapi dengan pemantau titik buta berserta 3D Live Feed yang berfungsi ketika hendak menukar lorong sewaktu memandu.

    Untuk tiga varian tertinggi X50 RC 2024 ini juga menerima aplikasi Proton Link yang bertindak untuk memantau dan mengawal fungsi kenderaan secara kawalan, seperti menghidupkan enjin dan pendingin hawa secara jarak jauh.

    Untuk aspek keselamatan, X50 RC 2024 masih dikekalkan dengan enam beg udara (hanya empat beg udara untuk Standard), sistem brek ABS, EBD bersama BA, kawalan kestabilan elektronik, Traction Control, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, Auto Brake Hold serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX di belakang.

    Selain itu, varian Flagship masih mengekalkan fungsi pemanduan sendiri (autonomous) tahap 2, terdiri dari cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal tengah di lorong, bantuan kekal lorong, amaran ketibaan lorong dan juga sistem bantuan parkir yang membolehkan ia diparkir sendiri oleh komputer pada kedudukan selari dan sisi.

    Untuk pilihan warnanya pula, kesemua varian masih dikekalkan dengan Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ocean Blue dan Passion Red. Setiap pembelian diberi waranti lima-tahun/tanpa had perbatuan, lima-tahun pakej data percuma (16G sebulan), dan enam kali penyelenggaraan dengan kos buruh percuma.

    Jika inginkan kelainan untuk bahagian luaran dan dalaman, bagi yang memilih varian Premium atau Flagship, bolehlah membeli pakej aksesori R3 Lite yang ditawarkan pada kos tambahan RM7,500. Pakej ini ditawarkan secara terhad dan bergantung kepada siapa yang mendapatkannya dahulu dan selagi stok masih ada.

    GALERI: Proton X50 RC Flagship 2024

    GALERI: Proton X50 RC Premium 2024

    GALERI: Proton X50 RC Executive 2024

     
     
  • Suzuki V-Strom 800RE tiba di Malaysia – RM54,800

    Suzuki V-Strom 800RE tiba di Malaysia – RM54,800

    Selain GSX-S1000GX dan GSX-8R, Suzuki Malaysia juga telah melancarkan model touring V-Strom 800RE untuk pasaran Malaysia, pada harga RM54,800 tidak termasuk insurans. Untuk pengetahuan, V-Strom 800RE ini adalah satu versi asas yang lebih fokus kepada penggunaan atas jalan biasa bagi V-Strom 800DE yang dilancarkan di pasaran kita tahun lalu.

    Perbezaan utama adalah pada bahagian roda, di mana 800RE datang dengan unit aluminium bersaiz 19 inci di hadapan, dibalut dengan tayar 110/80 dan 17 inci di belakang, dibalut tayar 150/70 di belakang. Tangki bahan api masih lagi bekapasiti 20 liter, tetapi berat keseluruhan 800RE telah berkurang menjadi 223 kg berbanding 230 kg bagi 800DE.

    Meskipun 800RE adalah lebih murah dan berbanding 800DE (RM60,800 semasa dilancarkan), ia datang dengan brek yang lebih berprestasi, iaitu tetapan cakera berkembar 310 mm bersama angkup Nissin empat piston di hadapan dan cakera 260 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Suzuki V-Strom 800RE tiba di Malaysia – RM54,800

    Untuk suspensi, 800RE mendapat perkakasan daripada Showa, yang terdiri daripada fork Separate Function Fork – Big Piston (SFF-BP) dengan pelarasan pra beban di hadapan, dan monoshock dengan pelarasan pra beban serta lantunan. Jarak kelegaan dari tanah 800RE adalah lebih rendah berbanding 800DE, iaitu 185 mm berbanding 220 mm.

    Anda juga boleh melihat terdapat beberapa kekurangan lain pada 800RE seperti penghadang tangan dan penghadang bawah enjin. Panel badan masih sama, dan 800RE juga masih mendapat penghadang angin hadapan yang boleh dilaras secara manual.

    Perincian lain adalah sama termasuk enjin dan kuasa, iaitu unit dua silinder selari DOHC 776 cc dengan crankshaft 270 darjah dan padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 84.3 PS dan tork 78 Nm. Quickshifter juga disediakan secara standard untuk 800RE ini.

    Tiga mod tunggangan disediakan pada 800RE (800DE ada empat mod), iaitu Active (A), Basic (B) dan Comfort (C) sementara kawalan cengkaman juga mempunyai tiga mod manakala ABS mempunyai dua mod. Di hadapan penunggang terdapat skrin TFT LCD lima inci untuk memaparkan informasi penting motosikal.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025