Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua Aruz diberikan dengan rebat RM2,500, servis percuma dua tahun, apabila dibeli secara trade-in

    Perodua Aruz diberikan dengan rebat RM2,500, servis percuma dua tahun, apabila dibeli secara trade-in

    Perodua sedang membuat tawaran istimewa untuk Aruz, apabila dibeli secara jual-balik (trade-in) bulan ini. Sesiapa yang membeli SUV tujuh tempat duduk itu dengan cara jual-balik, akan diberikan rebat tunai RM2,500, daripada harga asal model tersebut.

    Sebagai tambahan kepada tawaran itu, Perodua juga memberi servis kenderaan percuma selama dua tahun apabila membeli Aruz. Promosi ini berlangsung sepanjang bulan ini, berakhir pada 30 Jun 2024. Harga Aruz adalah bermula RM72,900 untuk 1.5 X, dan seterusnya RM77,900 untuk 1.5 AV, tidak termasuk insurans.

    Aruz pertama kali dilancar pada tahun 2019, dan pada tahun 2021 ia diberikan peningkatan yang melibatkan penambahan kelengkapan seperti pemijak sisi bersepadu dan fungsi auto-lock, serta pilihan warna baru yang lebih menyerlah.

    Model ini dipacu oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 102 PS pada 6,000 rpm dan 133 Nm tork pada 4,200 rpm. Enjin Dual VVT-i ini menghantar kuasanya melalui transmisi automatik empat-kelajuan dan memberikan bacaan penggunaan minyak 15.6 km/l (6.4 l/100 km) dengan sistem Eco Idle.

    Bagi kedua-dua varian Aruz, ia didatangkan dengan rim aloi 17 inci dua tona, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula, peranti SmartTAG bersepadu, enam beg udara, ABS, EBD, BA, VSC, Hill Start Assist, Hill Descent Control dan cagak Isofix pada tempat duduk baris kedua.

    Varian 1.5 AV pula dipertingkat dengan fungsi automatik untuk lampu utama, lampu kabus hadapan, rel bumbung, skid plate, balutan kulit (1.5X menggunakan fabrik), roda stereng dan tombol gear dibalut kulit, kemasan papan pemuka serta pintu hitam berkilat dan krom, fungsi SmartLink pada head unit, perakam video bersepadu (DVR) serta pakej keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0.

     
     
  • Proton serah 12,522 unit kenderaan dalam bulan Mei 2024 – naik 13.6% dari bulan lepas, YTD 62,697 unit

    Proton serah 12,522 unit kenderaan dalam bulan Mei 2024 – naik 13.6% dari bulan lepas, YTD 62,697 unit

    Proton mengumumkan ia berjaya menjual 12,522 buah kenderaan (domestik dan eksport) dalam bulan Mei 2024, sekaligus menunjukkan peningkatan 13.6% berbanding April 2024. Jika dibandingkan pula dengan bulan sama tahun lepas, jumlah terbaru ini lebih rendah 6.4%.

    Menurut pengeluar kenderaan tersebut, jumlah jualan keseluruhan bagi lima bulan pertama tahun ini sekarang adalah 62,697 unit, yang mana tidak begitu jauh berbanding 62,970 unit yang dicatat pada tempoh sama tahun lepas. Dengan ini, Proton membuat anggaran pegangan pasaran mereka berada pada 19%.

    Dalam siaran akhbar juga Proton menyatakan eksport pada bulan Mei berjumlah 509 unit, iaitu penghantaran paling tinggi bagi tahun 2024 setakat ini. Ia dapat dilakukan hasil rancangan pengembangan dan pembentukan semula kedudukannya di negara seperti Trinidad dan Tobago, Bangladesh dan Iraq tahun ini.

    Melihat kepada model, Saga terus menjadi Proton paling laris dengan catatan jualan 6,119 unit pada bulan Mei, dan menyumbang kepada jumlah keseluruhan tahun ini (YTD) sebanyak 29,397 unit. Di tempat kedua adalah S70, dengan jualan 2,011 unit (YTD 9,474 unit), sekaligus naik ke kedudukan paling atas dalam kategori sedan segmen C di Malaysia. Seterusnya Persona, dengan mencatat 1,645 unit (YTD 8,444 unit).

    Tempat keempat diduduki oleh X50, dengan jumlah 1,407 unit (YTD 8,493 unit), diikuti X70 523 unit (YTD 2,495 unit) dan Iriz 452 unit (YTD 2,410). X90 kini merampas kembali gelaran SUV segmen D paling laris dengan jualan 364 unit (YTD 1,741 unit).

    “Menuruti bulan April yang agak senyap kerana jualan terkesan akibat cuti perayaan, Mei menyaksikan peningkatan positif kembali berlaku sambil TIV meningkat bagi tempoh tahun ke tahun dan bulan ke bulan, menunjukkan daya tahan industri automotif,” kata CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.

    “Dengan TIV terkumpul sehingga Mei sudah menyumban 44.6% daripada unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 740,000 unit, kami percaya masih ada ruang untuk pertumbuhan dalam industri automotif tempatan,” tambah Roslan.

     
     
  • Yamaha EZ115 tiba dalam warna baru – harga RM5.7k

    Yamaha EZ115 tiba dalam warna baru – harga RM5.7k

    Tahun ini boleh dikatakan hampir semua model kapasiti rendah dari Hong Leong Yamaha Motor diberikan penampilan baru, dan ini termasuklah EZ115. Kapcai permulaan yang pertama kali diperkenalkan kepada pasaran Malaysia Januari tahun lalu itu sekarang ditawarkan dalam tiga warna baru iaitu biru, kelabu dan ungu.

    Bagi warna biru dan ungu, rim motosikal seperti biasa menggunakan warna hitam, tetapi bagi yang berwarna kelabu, ia dijadikan lebih menyerlah dengan rim yang berwarna merah. Harga model ini naik RM100 berbanding harga tahun lepas, menjadi RM5,698 tidak termasuk insurans.

    Walaupun menggunakan nama yang bermula dengan huruf EZ, motosikal ini bukanlah sebuah skuter, sebaliknya adalah kapcai bertransmisi empat kelajuan (tanpa klac tangan), dan dipacu oleh enjin satu silinder, SOHC, suntikan bahan api, 114 cc, mampu menghasilkan kuasa 8.7 PS pada 7,000 rpm dan tork 9.5 Nm pada 5,500 rpm.

    Enjin yang mendapat penarafan Euro 4 itu boleh dihidupkan dengan menggunakan penendang kaki ataupun butang elektrik, sementara pada panel meter pula terdapat lampu penunjuk Eco serta tanda amaran bateri sekiranya bateri mula menjadi lemah.

    EZ115 juga boleh memberikan kemudahan tambahan kepada pengguna dengan menyediakan ruang simpanan di bawah tempat duduk, tetapi ia telah menjadikan tangki bahan apinya sedikit kecil berbanding Lagenda 115Z, iaitu 3.9 liter (Lagenda berkapasiti 4.05 liter).

    Bahagian lain motosikal ini dijadikan ringkas sahaja, dengan lampu masih menggunakan mentol, brek cakera hanya di depan (belakang menggunakan dram) dan rim bersaiz 17 inci dengan tayar 70/90 di depan dan 80/90 di belakang. Suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.

     
     
  • Proton S70 sedan segmen-C paling laris di Malaysia untuk Mei 2024; lebih 2,000 unit diserah, 9,583 terjual

    Proton S70 sedan segmen-C paling laris di Malaysia untuk Mei 2024; lebih 2,000 unit diserah, 9,583 terjual

    Dalam pengumuman jualan bulan Mei yang diumum hari ini, Proton menyatakan bahawa sedan segmen-C terbaharunya yang dilancarkan pada hujung tahun lalu iaitu Proton S70 masih lagi merupakan model yang paling laris dalam kelasnya.

    Menurut Proton, ia berjaya menyerahkan sebanyak 2,011 unit Proton S70 kepada pelanggan bulan lalu, naik 23% berbanding April 2024 yang mencatatkan jualan sebanyak 1,635 unit. Jadi untuk lima bulan pertama 2024, sebanyak 9,474 unit Proton S70 telah terjual, dan keseluruhan 9,583 unit telah diserahkan kepada pelanggan termasuk 109 unit yang diserahkan pada Disember 2023.

    Proton S70 dilancarkan ke pasaran tempatan pada penghujung November 2023, dan ia merupakan sedan yang diasaskan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Walaupun dari bahagian luaran ia nampak sama seperti Geely Emgrand untuk pasaran China, Filipina dan beberapa negara Timur Tengah, S70 sebenarnya dibangunkan semula oleh Proton dengan pelbagai perubahan drastik.

    Antaranya enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT yang digantikan dengan enjin 1.5L tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa dan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang lebih responsif, ruang kabin yang lebih sesuai untuk pasaran Malaysia, talaan suspensi “Proton Ride Handling”, kelengkapan keselamatan lebih canggih dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi.

    Proton S70 2024 Executive

    Proton S70 2024 Premium

    Proton S70 2024 Flagship X

     
     
  • Lebuh raya bertingkat Juru-Sungai Dua dirancang untuk kurangkan trafik Lebuhraya PLUS di P.Pinang

    Lebuh raya bertingkat Juru-Sungai Dua dirancang untuk kurangkan trafik Lebuhraya PLUS di P.Pinang

    Kerajaan Pulau Pinang dan PLUS Malaysia sedang dalam perancangan untuk membangunkan lebuhraya bertingkat Juru-Sungai Dua (JSD) baharu bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di plaza tol Juru dan Sungai Dua di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan. Projek lebuhraya baharu berkenaan dijangka bakal menelan belanja sekitar RM1.8 bilion, laporan The Star.

    Semalam Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Ahmad Maslan berkata PLUS telah menyelesaikan peringkat pertama daripada tiga peringkat yang diperlukan untuk pengesahan.

    “Negeri [Pulau Pinang] secara rasmi meminta projek itu daripada kerajaan persekutuan. Seterusnya, PLUS Malaysia membentangkan cadangan itu kepada Unit Perkongsian Awam-Swasta (Jabatan Perdana Menteri) pada Februari lalu, dan perbincangan sedang dijalankan.

    Lebuh raya bertingkat Juru-Sungai Dua dirancang untuk kurangkan trafik Lebuhraya PLUS di P.Pinang

    “Setelah disahkan, langkah seterusnya melibatkan mendapatkan kelulusan Kabinet,” kata Ahmad Maslan yang turut menambah projek itu menawarkan potensi manfaat jangka panjang untuk Pulau Pinang dan negeri jiran, memandangkan penduduk mereka yang kerap melalui laluan itu secara rutin menghadapi kesesakan lalu lintas.

    “Walaupun dijangka menghadapi cabaran pembinaan di lebuh raya semasa, kami berharap, kerana kami sudah dapat melihat cahaya di hujung terowong pada peringkat ini,” jelasnya lagi.

    Perkara ini juga pernah disuarakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalami sendiri kesesakan itu semasa lawatan pada Februari lalu. “Saya telah membawa Anwar dari Permatang Pauh ke Batu Kawan untuk melancarkan projek taman perindustrian pada waktu puncak dan dia turut merasai masalah ini (kesesakan trafik).

    “Perkara itu dibangkitkan semula pada April lalu dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan agensi lain kemudian melakukan tinjauan di kawasan tersebut,” kata Chow yang turut menambah lebuh raya JSD berada dalam senarai misi pembangunan untuk Pulau Pinang, begitu juga projek LRT yang dijangka mula dibina menjelang akhir tahun ini.

     
     
  • Pasaran automotif M’sia kurang kompetitif kerana kos rantaian bekalan 30% lebih tinggi dari China – Li Shufu

    Pasaran automotif M’sia kurang kompetitif kerana kos rantaian bekalan 30% lebih tinggi dari China – Li Shufu

    Bagi membolehkan satu-satu jenama automotif itu bersaing, syarikat tersebut perlu memastikan bahawa ia beroperasi dengan kos yang rendah, membolehkan kenderaan dijual dengan harga yang kompetitif. Dan kos operasi ini sememangnya bergantung kepada rantaian bekalan yang membekalkan komponen dan material dalam proses produksi.

    Menurut pengerusi Geely, Li Shufu, kos rantaian bekalan merupakan antara sebab mengapa industri automotif di Malaysia kurang kompetitif, di mana ia adalah 30% lebih tinggi dari China serta 10% lebih tinggi dari negara jirannya, Thailand.

    Dalam satu wawancara rancangan “Dialogue” terbitan stesen televisyen China iaitu CCTV dan dipetik oleh portal CNMO, Li menyatakan bahawa sebab utama yang membuatkan kos rantaian bekalan di Malaysia tinggi adalah kerana kekurangan tahap kompetitif pengeluar komponen tempatan.

    Pasaran automotif M’sia kurang kompetitif kerana kos rantaian bekalan 30% lebih tinggi dari China – Li Shufu

    Menurutnya bekalan komponen automotif di Malaysia masih sangat bergantung kepada import dari luar negara, dan disebabkan saiz pasaran automotif tempatan yang kecil agak menyukarkan ia mendapat skala yang cukup bagi mengurangkan lagi kos.

    Sedar dengan apa yang berlaku, Li menyatakan bahawa salah satu keutamaan Geely di Malaysia adalah untuk membantu memperbaiki tahap kompetitif rantaian bekalan industri automotif tempatan. Beliau menegaskan bahawa Geely akan menaikkan industri komponen automotif di Malaysia dengan memperkenalkan syarikat-syarikat komponen automotif global yang maju ke dalam pasaran bagi memperkuatkan kerjasama dengan pembekal tempatan.

    Apa yang diperkatakan oleh Li Shufu ini seiring dengan apa yang sedang diusahakan oleh Geely dengan pembangunan projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di sekitar Bandar Proton, Tanjung Malim. Tahun lalu Geely mengumumkan bahawa ia mempunyai rancangan untuk menaikkan pelaburannya di sini sehingga RM32 bilion bagi menjadikan Malaysia sebagai hab produksi untuk pasaran eksport.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI Clubsport Mk8.5 2024 didedah – rupa lebih agresif, 300 PS/400 Nm, 0-100 km/j 5.6 saat

    Volkswagen Golf GTI Clubsport Mk8.5 2024 didedah – rupa lebih agresif, 300 PS/400 Nm, 0-100 km/j 5.6 saat

    Ketika berlangsungnya perlumbaan Nürburgring 24 Jam hujung minggu lalu, Volkswagen secara rasminya memperkenalkan varian paling pantas untuk Golf pacuan roda hadapan bagi versi facelift Mk8.5 iaitu Golf GTI Clubsport 2024.

    Sama seperti model Mk8 sebelumnya, Golf GTI Clubsport 2024 masih berkongsi enjin EA888 evo4 seperti yang ada pada Golf GTI biasa, namun ia ditala bagi menghasilkan kuasa 300 PS dan tork maksima 400 Nm, berbanding 265 PS/370 Nm untuk Golf GTI standard.

    Kotak gear yang dipadankan pada model ini juga masih sama iaitu transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang hanya memacu roda hadapan. Dengan gandingan tersebut membolehkan GTI Clubsport 2024 ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat – 0.3 saat lebih pantas dari GTI biasa, tetapi masih tidak boleh menandingi Golf R dengan enjin berkuasa 320 PS/400 Nm dan pacuan semua roda yang mampu memecut dalam jarak sama dengan hanya 4.8 saat.

    Volkswagen Golf GTI Clubsport Mk8.5 2024 didedah – rupa lebih agresif, 300 PS/400 Nm, 0-100 km/j 5.6 saat

    Kelajuan maksima bagi Golf GTI Clubsport ini masih sama seperti Golf GTI biasa iaitu dihadkan secara elektronik pada 250 km/j, namun hanya untuk Golf GTI Clubsport Volkswagen menawarkan opsyen pakej Race yang membolehkan kelajuan maksimanya melonjak kepada 267 km/j.

    Selain dari enjin yang lebih berkuasa, model Clubsport ini juga diberikan perincian sistem brek yang lebih baik dengan cakera 18-inci yang lebih besar, berbanding 17-inci pada GTI biasa. Sistem differential lock kawalan elektronik roda hadapan (XDS+) masih ditawarkan secara standard pada Golf Clubsport ini, dan ia turut dibantu oleh Vehicle Dynamics Manager dan Dynamic Chassis Control (DCC).

    Ini membolehkan pemandu diberikan empat mod pemanduan (Eco, Comfort, Sport and Individual), namun khas untuk versi Clubsport ia ditambah dengan satu lagi mod yang dikenali sebagai mod Special. Menerusi mod ini, ia akan memberikan talaan karekter bagi sesuai digunakan pada litar “The Green Hell” Nürburgring Nordschleife.

    Volkswagen Golf GTI Clubsport Mk8.5 2024 didedah – rupa lebih agresif, 300 PS/400 Nm, 0-100 km/j 5.6 saat

    Bagi membezakan rupa versi Clubsport ini berbanding GTI biasa, ia diberikan apron hadapan yang lebih agresif menampilkan bentuk anak panah yang menghala ke tengah pada bampar hadapan dengan ‘sayap’ yang lebih besar. Manakala spoiler bawah bampar hadapan, gril dan juga kemasan sekelilingnya diberikan kemasan hitam berkilat.

    Manakala di belakang, Golf GTI Clubsport ini diberikan spoiler bumbung lebih besar dan tip ekzos berkembar yang boleh ditukar menggunakan tip dari Akrapovic yang lebih agresif sekiranya pelanggan memilih pakej Race. Seperti yang diberitahu tadi Golf Clubsport ini datang standard dengan rim aloi 18-inci, namun pelanggan diberikan pilihan untuk menukar rim Richmond tersebut dengan set 19-inci yang lebih besar, termasuk set rim forged Warmenau yang 20% lebih ringan berbanding rim aloi biasa.

    Model Clubsport menerima ini turut menerima perincian Golf GTI Mk8.5 facelift biasa yang menampilkan rekaan baharu untuk lampu hadapan dan belakang. sistem infotainmen modular generasi keempat (MIB4) yang ditawarkan dalam versi Ready 2 Discover dan Discover, serta skrin sesentuh 12.9-inci yang diintegrasikan bersama ChatGPT.

    Paparan instrumen Digital Cockpit Pro dengan skrin 10.2-inci juga masih diberikan sebagai perincian standart untuk Golf GTI Clubsport ini. Pelanggan ditawarkan dengan perincian opsyen lain seperti paparan head-up dan juga sempat duduk premium sport yang menampilkan fabrik ArtVelours, perapi dalaman kemasan gentian karbon dan juga sistem bunyi Harman Kardon 480W.

     
     
  • Harga minyak 6-12 Jun – Tiada perubahan

    Harga minyak 6-12 Jun – Tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa untuk minggu bertarikh 6 hingga 12 Jun 2024, harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel masih dikekalkan.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 21 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa jemaah menteri telah bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi untuk bahan api diesel. Menurut beliau, sebagai permulaan, penyasaran tersebut hanya melibatkan pengguna bagi kawasan Semenanjung dan tidak melibatkan Sabah serta Sarawak.

    Manakala pada 27 Mei lalu pula, MOF mengumumkan program bantuan subsidi Madani, atau Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil serta pekebun kecil komoditi yang dibuka sejak kelmarin. Ia terbahagi kepada kategori Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi di bawah subsidi Budi Madani. Pemohon yang berjaya bagi kedua-dua kategori akan menerima RM200 sebulan dalam bentuk bantuan kewangan sebagai sebahagian daripada program subsidi bersasar untuk diesel.

     
     
  • Struktur cukai jalan baru EV di M’sia — berapa banyak yang perlu dibayar bermula 1 Januari 2026 nanti?

    Struktur cukai jalan baru EV di M’sia — berapa banyak yang perlu dibayar bermula 1 Januari 2026 nanti?

    Kerajaan telah mengumumkan struktur cukai jalan baru bagi EV yang akan berkuatkuasa bermula 1 Januari 2026. Struktur cukai jalan baru ini akan menggantikan versi lama yang pertama kali ditetapkan pada 2019, dengan matlamat untuk menggalakkan lebih ramai pengguna beralih kepada EV. Ia juga lebih murah berbanding cukai jalan kenderaan enjin biasa.

    Ketika ini, semua EV yang didaftarkan di Malaysia tidak perlu membayar cukai jalan sehingga penghujung 2025 sebagai sebahagian daripada insentif kerajaan yang diumumkan dalam Belanjawan 2022. Jika anda ingin tahu berapa jumlah yang perlu dibayar selepas 31 Disember 2025, di sini kami sertakan senarai contoh. Tetapi sebelum itu, ada sedikit penjelasan.

    Struktur cukai jalan baru EV di M’sia — berapa banyak yang perlu dibayar bermula 1 Januari 2026 nanti?

    Apa yang berubah dengan struktur baru cukai jalan EV ini?

    Seperti juga struktur cukai jalan EV sebelum ini, struktur baru ini masih dikira berasaskan kilowatt (kW) dan dihimpunkan mengikut output kuasa motor elektriknya. Dengan struktur lama, EV dengan output sehingga 80,000W (80 kW) dikenakan caj rata sama ada RM20, RM44, RM56 atau RM72. Di atas 80 kW, ada lima kelompok tahap janaan kuasa yang berbeza dan disertakan dengan kadar progresif — kadar tentu yang berbeza bagi setiap 50W (0.05 kW) bergantung tahap julat output kuasa.

    Struktur cukai jalan EV yang baru ini turut menampilkan beberapa kelompok julat kuasa: yang pertama antara 1W (0.001 kW) hingga 100,000 (100 kW). Cukai jalan minimum bagi setahun untuk kelompok ini ialah RM20, dengan setiap peningkatan per blok 9,999W (9.999 kW) akan dikenakan kenaikan tambahan RM10.

    Julat lain akan mempunyai cukai jalan tahunan minimumnya sendiri (kadar asas) dan harga tersendiri bagi setiap kenaikan secara blok 9.999 kW tersebut. Hanya untuk julat kuasa maksimum akan dikenakan kadar rata RM20,000, walaupun ini sebenarnya hanya akan terpakai untuk EV dengan janaan kuasa yang luar biasa, melibatkan output sekurang-kurangnya 1,010,001W (10,100.01 kW) atau lebih.

    Kenaikan kadar per blok ini adalah sama dengan kadar progresif dalam struktur yang lama, tetapi secara keseluruhannya ia lebih murah kerana julat kenaikan setiap blok adalah lebih besar. Sebagai contoh, EV dengan output kuasa 100 kW dikenakan caj RM70 dengan struktur baru ini, berbanding RM274 dengan struktur lama — angka yang kedua ini dikira dengan menambah kadar asas (RM224) ke atas julat tersebut dengan kadar progresifnya (100,000W – 90,000W)/50W x RM0.25).

    Struktur cukai jalan baru EV di M’sia — berapa banyak yang perlu dibayar bermula 1 Januari 2026 nanti?

    Berapa banyak perlu dibayar untuk cukai jalan EV selepas 1 Januari 2026?

    Untuk menentukan cukai jalan yang perlu dibayar, ketahui kadar output kuasa nominal EV anda (bukan angka dengan overboost dll.) dan lihat ia tergolong dalam julat kuasa yang mana. Sekiranya EV tersebut menghasilkan 155 kW, ia akan jatuh di bawah kelompok julat kuasa 150,001W (150.001 kW) dan 160,000W (160 kW): bermakna cukai jalannya ialah RM180.

    Kami senaraikan output kuasa semua EV yang dijual di Malaysia ketika ini serta model-model baru yang akan dijual di sini di dalam satu jadual untuk memudahkan rujukan anda. Seperti yang dapat dilihat, jumlah yang perlu dibayar adalah jauh lebih murah berbanding dengan struktur sebelum ini. Kami akan gunakan BMW i4 eDrive40 M Sport sebagai contoh.

    BMW i4 eDrive40 M Sport ini mempunyai output kuasa sebanyak 250 kW. Dengan struktur lama, cukai jalannya ialah RM3,724. Melebihi 150,000W (150 kW), kiraan dengan struktur lama menyaksikan kadar asasnya (RM1,024) ditambah kepada kadar progresif: dengan kuasa di atas 150 kW, iaitu 100,000W dibahagi dengan 50W dan didarab dengan RM1.35 menjadikannya RM2,700.

    Dengan struktur baru ini, cukai jalan EV BMW berkenaan hanyalah RM395, melibatkan pengurangan 89.4%. EV dengan kuasa paling rendah dalam jadual ini pula ialah BYD Dolphin Dynamic Standard Range dan Neta V dengan 70 kW, dengan cukai jalannya hanya RM40. Jika inginkan contoh yang lain, anda boleh gunakan pengira cukai jalan EV berdasarkan struktur yang lama di CarBase.my.

    Apa pandangan anda, adakah ini akan lebih menarik perhatian pengguna untuk beralih kepada EV?

     
     
  • Zeekr sah masuk pasaran Indonesia, bakal perkenal MPV EV 009 dan crossover EV X sebagai permulaan

    Zeekr sah masuk pasaran Indonesia, bakal perkenal MPV EV 009 dan crossover EV X sebagai permulaan

    Jenama EV premium di bawah payung Zhejiang Geely Group, Zeekr telah mengesahkan kehadirannya ke pasaran Indonesia dengan menandatangi kerjasama bersama entiti tempatan, PT Premium Auto Prima (Premium Group) yang dilantik sebagai pengedar rasmi jenama itu di negara tersebut.

    Menurut laporan AutonetMagz, Zeekr bakal melancarkan dua model permulaan di Indonesia yang bakal dilancarkan tahun ini juga iaitu crossover EV Zeekr X dan juga MPV EV Zeekr 009. Untuk fasa awal, Zeekr bakal menumpukan bahagian bandar-bandar utama di Indonesia terlebih dahulu dengan membuka jaringan pengedar di Jakarta, Surabaya dan Bandung, di mana pengedar flagship pertama akan di buka di Jakarta Selatan dan diikuti dengan BSD City.

    “Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Zeekr, perintis dalam industri kenderaan elektrik. Kerjasama ini menyerlahkan komitmen kami untuk membawa peneyelesaian automotif yang canggih, premium, dan mesra alam untuk pasaran Indonesia,” kata pengarah urusan PT Premium Auto Prima, JinHong Lin Darwin.

    “Dengan teknologi canggih Zeekr dan kepakarannya dalam pasaran yang luas, kami percaya pada kemampuan kami untuk mengubah lanskap EV di Indonesia” tambahnya.

    Zeekr sah masuk pasaran Indonesia, bakal perkenal MPV EV 009 dan crossover EV X sebagai permulaan

    “Indonesia adalah pasaran utama bagi kami, dan kami tertarik untuk bekerja sama dengan PT Premium Auto Prima untuk menghadirkan EV kami yang inovatif pada konsumen Indonesia” kata pengarah urusan dan ketua rantau ASEAN Zeekr, Alex Bao Zhuangfei pula.

    Selain itu, Zeekr juga merancang untuk membuka premis-premis sedai ‘pop-up’ di pusat-pusat membeli-belah premium di sekitar Indonesia pada suku keempat tahun ini.

    “Kami sangat optimis dengan kerjasama antara Zeekr dan Premium Group. Kolaborasi ini menggabungkan produk yang luar biasa dari Zeekr dengan jaringan pengedar dan layanan dari Premium Group. Bersama-sama, kami mempunyai komitmen untuk memberikan pengalaman mobiliti elektrifikasi, mewah, dan pintar pada pelanggan di Indonesia” kata JinHong Lin Darwin lagi.

    Kedua-dua model Zeekr yang diumumkan akan dijual di Indonesia ini dibangunkan menerusi platform Scalable Electric Architecture (SEA) sama seperti yang digunakan pada model EV Geely yang lain. Bagi Zeekr X walaupun ia merupakan crossover kompak dengan platform SEA3, model ini dihasilkan sedikit lebih besar dari smart #1 yang menggunakan platform dari varian sama.

    Zeekr sah masuk pasaran Indonesia, bakal perkenal MPV EV 009 dan crossover EV X sebagai permulaan

    Namun dengan platform yang sama, Zeekr X turut diberikan unit rangkaian kuasa yang serupa seperti smart #1 dengan pilihan versi motor tunggal pacuan belakang berkuasa 272 PS (200 kW) dan tork maksima 343 Nm, dan versi dua motor pacuan semua roda berkuasa 428 PS (315 kW) dan tork maksima 543 Nm yang sama sepenuhnya seperti smart #1 Brabus.

    Manakala Zeekr 009 pula merupakan MPV EV premium yang dibina menggunakan platform SEA1, dihasilkan dengan saiz seakan Toyota Alphard dan Vellfire. Apa yang menarik, 009 ini juga merupakan asas kepada kembarnya dalam versi lebih mewah iaitu Volvo EM90.

    Di China, Zeekr 009 ini menerima dua motor elektrik pacuan semua roda dengan bekalan kuasa keseluruhan 544 PS (400 kW) dan tork maksima 686 Nm, membolehkan MPV besar ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat. Namun ia datan dengan dua varian bateri NMC, di mana versi 116 kWj didakwa boleh bergerak sejauh 702 km dalam kitaran CLTC dan varian 140 kWj pula boleh mencatatkan 822 km CLTC.

    Kedua-dua model ini sebenarnya telahpun membuat kemunculan sulungnya di rantau ASEAN dengan didedahkan di Bangkok International Motor Show 2024 pada Mac lalu, namun ketika itu ia masih dalam versi pemanduan sebelah kiri. Zeekr juga dikhabarkan bakal masuk ke pasaran Malaysia, dengan pengedar smart di sini iaitu anak syarikat Proton, Pro-Net dibayangkan turut akan menjadi wakil jualan Zeekr pada pasaran tempatan.

    Jadi agak-agak di mana versi pemanduan sebelah kanan model-model dari Zeekr ini akan membuat kemunculan sulung globalnya? Di Malaysia atau Indonesia?

    GALERI: Zeekr 009

    GALERI: Zeekr X

     
     
  • Honda Malaysia anjur promosi sepanjang Jun 2024 — diskaun hingga RM10k bagi model tahun 2023, 2024

    Semakin menghampiri separuh pertama tahun 2024, kita tiba lagi ke tempoh pelbagai tawaran menarik diberikan oleh pengeluar kenderaan untuk merancakkan lagi jualan mereka. Honda Malaysia tidak ketinggalan dalam memanfaatkan peluang ini melalui kempen promosi “Joy Joy Enjoy Deals”.

    Berlangsung sepanjang bulan Jun 2024, ia menawarkan potongan sehingga RM10,000 untuk kereta dari tahun pengeluaran MY2023 atau dari stok semasa tahun 2024 ini. Kedua-duanya diberikan diskaun, tetapi model kenderaan MY2023 lebih banyak potongan, tentunya. Hampir semua model CKD terlibat dengan promosi ini, kecuali CR-V terbaru dan juga City Hatchback facelift.

    Dari stok unit kenderaan 2023, unit terakhir Accord (yang tidak dikeluarkan lagi dalam versi model terbarunya) sudah habis terjual. Tetapi, ada dua lagi model sedan untuk tawaran ini: Civic diberikan diskaun RM10k untuk semua varian, manakala City Hybrid RS juga diberikan potongan harga yang sama.

    Jika inginkan model keluaran tahun 2024, diskaun yang diberikan ialah RM3,000 untuk semua varian City, dan potongan RM3,500 untuk semua model Civic kecuali varian RS Hybrid yang diberikan diskaun RM5,000. Untuk SUV pula, WR-V diberikan potongan sebanyak RM1,000 untuk semua varian, dan RM1,500 diskaun untuk HR-V RS Hybrid.

    Promosi ini sah sehingga 30 Jun 2024.

     
     
  • CFMoto 450NK, 450CL-C tiba di Malaysia – RM25,888

    CFMoto 450NK, 450CL-C tiba di Malaysia – RM25,888

    Selepas 450SR dan 450MT, CFMoto kini memperkenalkan dua lagi model 450 ke pasaran Malaysia iaitu 450NK dan 450CL-C. Kedua-duanya dijual pada harga RM25,888 tidak termasuk insurans, dengan 450NK ditawarkan dalam warna Nebula White dan Zephyr Blue, manakala 450CL-C tersedia dalam pilihan warna Bordeaux Red dan Nebula Black.

    Walaupun datang dalam bentuk yang berbeza, 450NK dan 450CL-C sebenarnya menggunakan enjin yang sama, iaitu unit dua silinder selari DOHC penyejukan cecair 449 cc dengan crankshaft 270 darjah serta padanan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slipper.

    Kuasa bagaimanapun diubah dengan 450NK menghasilkan 49.6 hp pada 9,500 rpm dan 39 Nm pada 7,600 rpm, manakala 450CL-C berkemampuan 40 hp pada 8,000 rpm dan 42 Nm pada 6,250 rpm. Tiada mod tunggangan disediakan pada dua model ini, tetapi ia datang secara standard dengan sistem kawalan cengkaman dan brek ABS.

    Sebagai sebuah model cruiser, 450CL-C menyediakan tunggangan yang lebih santai dan rekaan klasik, didatangkan bersama rim aluminium bersaiz 16 inci yang dibalut tayar 130/90 di hadapan dan 150/80 di belakang.

    Roda ini kemudiannya dipegang oleh fork USD 37 mm di hadapan dan monoshock di belakang, manakala tugas menghentikan motosikal dilaksana oleh brek J.Juan yang terdiri daripada cakera tunggal 320 mm bersama angkup empat piston di hadapan dan cakera 220 mm bersama angkup satu piston di belakang.

    Di hadapan penunggang terdapat meter TFT 3.6 inci, yang boleh disambungkan kepada telefon bimbit melalui pakej T-box yang dijual secara berasingan. Tangki bahan api 450CL-C berkapasiti 12 liter dan berat keseluruhan motosikal adalah 181 kg. Satu lagi ciri 450CL-C adalah ia menggunakan pacuan jenis tali sawat.

    Pergi pula kepada 450NK yang tampil dengan rekaan naked moden, ia menyediakan kedudukan menunggang yang lebih agresif, sesuai dengan kuasanya yang juga lebih tinggi. Rim aluminium model ini menggunakan saiz 17 inci, dan dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.

    Perkakasan suspensi dan brek pula adalah sama dengan 450CL-C, iaitu fork USD 37 mm di hadapan, monoshock di belakang, cakera tunggal 320 mm bersama angkup empat piston di hadapan serta cakera 220 mm bersama angkup satu piston di belakang.

    Panel TFT bagaimanapun adalah berbeza, dengan unit pada 450NK menggunakan bentuk petak, bersaiz lima inci. Berat keseluruhan 450NK adalah 173 kg, dan ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 14 liter.

    GALERI: CFMoto 450CL-C

    GALERI: CFMoto 450NK

     
     
  • Stesen BHP di Lebuhraya PLUS ditutup untuk selenggara pada 5-12 Jun, 10 malam-8 pagi

    Untuk pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, sila ambil perhatian. PLUS telah mengumumkan bahawa terdapat beberapa stesen BHP di sepanjang lebuhraya terbabit akan ditutup dari jam 10 malam hingga 8 pagi, mulai hari ini (5 Jun) sehingga 12 Jun 2024.

    Penutupan stesen BHP terbabit adalah untuk kerja-kerja selenggara, dan lokasi yang terlibat ialah Hentian Sebelah Ladang Bikam (arah utara) dan Plaza Tol Sungai Besi (hari ini), R&R Tapah (arah selatan) pada 9 Jun dan Restoran Jejantas Sungai Buloh arah selatan pada 10 Jun. Ia turut melibatkan stesen BHP di Sungai Dua (arah utara) pada 11 Jun dan Sungai Dua (arah selatan) pada 12 Jun.

    Sekali lagi diingatkan bahawa penutupan stesen BHP itu hanya dari jam 10 malam hingga 8 pagi pada tarikh yang dinyatakan, dan tidak melibatkan keseluruhan R&R atau hentian sebelah. Jika anda memang terbiasa mengisi minyak di stesen terbabit (pada waktu yang dinyatakan tutup), sila ke stesen minyak berhampiran untuk berbuat demikian.

     
     
  • Proton X50 RC 2024 tidak guna muka Geely Binyue facelift kerana ia ‘terlalu agresif’ – Naib CEO Proton

    Proton X50 RC 2024 tidak guna muka Geely Binyue facelift kerana ia ‘terlalu agresif’ – Naib CEO Proton

    Semalam Proton telah melancarkan Proton X50 2024, yang mungkin mengejutkan ramai kerana ia masih menggunakan rekaan luaran dan dalaman yang masih sama sepenuhnya berbanding model sebelum ini. Ini bukan X50 facelift, sebaliknya ia adalah versi RC (Running Change) untuk tahun 2024 yang diberi beberapa penyegaran perincian sebelum model facelift sebenar diperkenalkan pada masa akan datang.

    Menerusi model RC ini, X50 dipertingkat dengan aspek NVH lebih baik, sistem infotainmen yang dikemaskini serta penambahan perincian lain. Menurut naib CEO Proton Roslan Abdullah, pihaknya ada bercadang untuk menukar sedikit rupa X50 ini menggunakan muka Geely Binyue Profacelift, namun ia dikhuatiri tidak sesuai dengan selera tempatan kerana terlalu agresif.

    “Kami ada rancangan untuk membuat perubahan fizikal, namun setelah kami menilai rekaan, apa yang Geely ada, ia tidak sesuai untuk pasaran Malaysia kerana ia terlalu agresif. Model ini agak ‘seksi’, kalau kami tukar ia tidak lagi ‘seksi’, ia akan jadi hodoh,” kata Roslan.

    Proton X50 RC 2024 tidak guna muka Geely Binyue facelift kerana ia ‘terlalu agresif’ – Naib CEO Proton

    Geely Binyue Pro facelift 2021 yang disifatkan terlalu agresif oleh Proton

    Rekaan ‘agresif’ dan ‘hodoh’ yang dimaksudkan oleh Roslan ini bukanlah Geely Binyue Cool, iaitu model yang dilihat diuji oleh Proton sebelum ini dijangka menjadi asas kepada X50 facelift sebenar kelak. Tetapi ia adalah untuk model Geely Binyue Pro facelift yang diperkenal di China pada 2021.

    Binyue Pro facelift 2021 tersebut masih lagi menggunakan lampu hadapan dan belakang yang sama seperti X50 sedia ada di Malaysia, tetapi menggunakan bampar hadapan dengan rekaan sedikit berbeza. “Sayangnya model yang dipertingkat oleh Geely terlebih agresif, yang menyebabkan saya rasa pelanggan tidak akan terus membelinya,” sambung Roslan.

    Menurut Roslan lagi, peralihan kepada rekaan yang lebih serius menggunakan muka Binyue Cool masih belum boleh dibuat kerana produksi versi sedia ada yang telah dipersetujui oleh vendor sebelum ini masih belum tercapai.

    Prototaip Proton X50 facelift berasaskan Geely Binyue Cool yang dilihat diuji oleh Proton sebelum ini

    “Untuk fizikal, bukan sekarang, bukan dalam masa terdekat, kerana jika kami tukar sekarang, vendor akan mengadu berkenaan volume yang belum cukup, serta kos. Jadi apa yang kami buat adalah mengambil kira bagaimana rupa rekaan, penerimaan pasara dan ekosistem, terutamanya vendor-vendor.

    “Kami boleh ubah (rekaan), tapi apa akan jadi dengan pelaburan (yang telah dibuat oleh vendor-vendor)? Jadi ini sesuatu yang perlu kami seimbangkan. Jika kami gagal menangani perkara ini, pelanggan akan gembira tetapi tidak untuk vendor – jadi ini keseimbangan yang perlu kami lakukan,” kata Roslan.

    Beliau juga menjelaskan bahawa berkenaan dengan volume ini juga menjadi menjadi penghalang buat Proton untuk menghasilkan rekaan mereka yang lebih tersendiri berbanding menggunakan terus rekaan dari Geely.

    “Kami sentiasa mengambil kira hal ini (rekaan sendiri), terapi jika kita lihat kepada volume – jika volume X50 adalah 4,000 unit (sebulan) sebelum ini, sekarang ia hanya 1,000 hingga 2,000 – kita kena lihat berapa pelaburan yang perlu dibuat untuk setiap unit. Ia bukan kerana kami tidak mahu buat (rekaan sendiri), tetapi matlamat utamanya adalah untuk mengekalkan harga,” jelas Roslan.

     
     
  • Budi Madani – kenderaan diesel mewah usia lebih 10 tahun sedang dipertimbangkan untuk terima bantuan

    Budi Madani – kenderaan diesel mewah usia lebih 10 tahun sedang dipertimbangkan untuk terima bantuan

    Kenderaan diesel mewah yang berusia lebih 10 tahun kini sedang dipertimbangkan untuk pemberian bantuan subsidi Budi Madani, kata menteri kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Seperti yang dilaporkan oleh Bernama, beliau turut memberitahu bahawa satu senarai kenderaan yang termasuk di dalam kategori mewah akan dikeluarkan tidak lama lagi.

    “Meskipun diklasifikasikan sebagai kenderaan mewah, jika kenderaan tersebut sudah uzur lebih daripada 10 tahun, ia mungkin dapat dipertimbangkan (untuk subsidi Budi Madani),” kata Amir Hamzah sambil menambah bahawa pengumuman sama ada harga diesel akan diapungkan atau tidak akan dibuat pada masa yang sesuai.

    “Beri kami masa kerana kami tidak mahu muncul sebarang spekulasi yang akan menyebabkan aktiviti pengumpulan (hoarding) atau penyalahgunaan diesel,” kata beliau.

    Budi Madani diumumkan 27 Mei lalu untuk pemilik persendirian kenderaan diesel serta pekebun dan petani kecil berdaftar di Semenanjung Malaysia, dengan permohonan untuknya dibuka pada 28 Mei. Bagaimanapun, pemohon perlu memilih salah satu, sama ada Budi Madani atau program SKDS 2.0 untuk syarikat, dan bukan kedua-duanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025