Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Vios NGC102 MTC Wing Hin Motorsport bersedia untuk perlumbaan MCS 2024 pusingan ke-2

    Toyota Vios NGC102 MTC Wing Hin Motorsport bersedia untuk perlumbaan MCS 2024 pusingan ke-2

    Selepas sesi shakedown yang dibuat di Litar Antarabangsa Sepang semalam, hari ini kereta lumba Toyota Vios NGC102 yang di bina oleh pasukan Wing Hin Motorsport untuk kelas Malaysia Touring Car (MTC) dalam perlumbaan Malaysia Championship Series (MCS) dan Sepang 1000km (S1K) kini sudahpun bersedia untuk berlumba untuk pusingan kedua MCS yang bakal berlangsung hujung minggu ini.

    Dalam hantaran terkini pada akaun Facebook pasukan tersebut, Vios generasi baharu tersebut kini sudahpun diberikan livery perlumbaan dengan grafik bertemakan Toyota Gazoo Racing menggunakan warna rasmi putih-merah-hitam. Kereta lumba ini mengenakan nombor perlumbaan ’36’, iaitu nombor yang sama digunakan pada Vios MTC generasi NSP151 yang digunakan Wing Hin Motorsport sebelum ini.

    Pendedahan rupa sebenar jentera lumba ini juga mengesahkan bahawa ia akan dipandu oleh dua pelumba muda negara iaitu pasangan Naquib Azlan dan Mitchell Cheah, yang baru sahaja memenangi kelas Super Compact di perlumbaan pusingan pertama Thailand Super Series 2024 berlangsung di Litar Antarabangsa Chang awal bulan lalu.

    Toyota Vios NGC102 MTC Wing Hin Motorsport bersedia untuk perlumbaan MCS 2024 pusingan ke-2

    Kereta lumba ini diasaskan dari Vios 1.5E tetapi menggunakan kit badan yang sama seperti Vios 1.5G yang dijual di bilik pameran. Sebagai jentera yang dibina untuk kelas MTC, ia secara tidak langsung tampil dengan rupa lebih agresif berbanding Vios NGC102 yang digunakan oleh selebriti dalam kategori Promotional siri perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge yang didedahkan tahun lalu.

    Antara yang boleh dilihat, Vios NGC102 MTC ini menggunakan tingkap dan cermin belakang jenis polycarbonate yang lebih ringan, diberikan injap untuk sistem jek pneumatik pada bampar hadapan, dibekalkan dengan tangki bahan api perlumbaan ATL yang menampilkan corong pengisian pantas pada ruang nombor plat penutup but belakang, sudut larasan camber roda hadapan yang nampak jauh lebih agresif berbanding jentera Vios Challenge serta dibekalkan dengan set brek perlumbaan sebenar.

    Manakala dalam kokpit, Vios MTC ini berikan roda stereng dengan suis-suis perlumbaan dan shift-light dari Motec, selain dari paparan instrument perlumbaan juga dari Motec.

    Kelas MTC ini menggunakan asas undang-undang FIA Group A yang memerlukan kereta lumba tersebut masih menggunakan enjin produksi, tetapi membenarkan segala isi perut enjin tersebut menggunakan komponen perlumbaan sebenar, dengan kapasiti ditingkatkan sehingga maksimum 1,600 cc, serta transmisi asal boleh ditukar kepada kotak gear perlumbaan manual jenis dog-box.

    Jadi boleh dilihat Vios ini masih dijana oleh enjin 2NR, tetapi diberikan pelbagai peralatan perlumbaan dalam ruang enjin tersebut.

     
     
  • Tapak pemasangan kamera AWAS diuji di KM 262.5 berhampiran Terowong Menora pada 10-11 Jun – PLUS

    Tapak pemasangan kamera AWAS diuji di KM 262.5 berhampiran Terowong Menora pada 10-11 Jun – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa ujian integrasi tapak dan kalibrasi “Day 0” bagi cadangan pemasangan kamera (Automated Awareness Safety System – AWAS) bakal dijalankan di KM 262.5 Arah Selatan Jajaran Terowong Menora, Lebuhraya Utara-Selatan.

    Menurut pengendali Lebuhraya PLUS itu lagi, tarikh ujian integrasi tapak dan kalibrasi “Day 0” dijadualkan pada 10 Jun dari jam 11 malam sehingga 5 pagi pada 11 Jun 2024.

    “Bagi memastikan keselamatan pengguna Lebuhraya PLUS, laluan kontra akan diaktifkan dari KM260.9 hingga KM263.8 arah selatan. Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan terbabit,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Pada Jun tahun lalu, kerajaan bercadang untuk menambah lagi jumlah penggunaan kamera AWAS ini disebabkan keberkesanannya bagi pematuhan dan penguatkuasaan trafik di kalangan pengguna jalan raya. Di mana kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan tahap pematuhan pengguna jalan raya kepada peraturan had laju dan isyarat lalu lintas di lokasi pemasangan kamera itu telah mencecah sehingga 99%.

     
     
  • VinFast VF5 dilihat di Malaysia – EV dengan kuasa 136 PS, jarak gerak hingga 326 km; bakal dilancar di sini?

    VinFast VF5 dilihat di Malaysia – EV dengan kuasa 136 PS, jarak gerak hingga 326 km; bakal dilancar di sini?

    Adakah ini petanda yang Vinfast bakal tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi? Ini hah ada pembaca paultan.org Haritharan Gunasegaran yang terserempak dengan model VF5 (sebelum ini dikenali sebagai VF e32) yang tidak dibaluti penyamaran yang memakai trade plate tempatan di Negeri Sembilan. Mungkinkah pengeluar kereta dari Vietnam ini sedang menguji modelnya yang dilihat berpotensi menembusi pasaran Malaysia.

    Beberapa minggu lalu, satu lagi model EV keluaran Vinfast, VF e34, turut terlihat berada di jalan raya kita dengan memakai trade plates. Untuk pengetahuan anda, jenama ini telah pun memasarkan beberapa modelnya di negara jiran kita iaitu Indonesia dan Thailand.

    Pertama kali VF5 diperkenalkan di Consumer Electronics Show (CES) 2022 sebagai crossover segmen-A yang diposisikan di bawah VF e34, yang merupakan EV pertama VinFast. Bagi aspek dimensinya, VF5 berukuran 3,965 mm panjang, 1,720 mm lebar, 1,580 mm tinggi dan jarak roda 2,513 mm, sedikit besar berbanding model semasa Perodua Myvi.

    Di negara kelahirannya, VF5 ditawarkan sebagai VF5 Plus yang berharga dari 458 juta Vietnam dong atau sekitar RM85k. Penjana kuasanya terdiri daripada motor elektrik pemasangan-hadapan berkadar 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan tork 135 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 10.9 saat.

    Motor elektrik terbabit dijanakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti bateri
    37.23 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak hingga 326 km mengikut kitaran-NEDC. Dengan pengecas pantas DC, bateri ini mampu mencapai status pengecasan 10-70% dalam masa 30 minit.

    Buat masa ini VF5 telah disenaraikan dalam laman web VinFast Thauland dengan pengurangan output cecah 95 PS (94 hp atau 70 kW), dan jarak gerak juga berkurangan hanya sekitar 260 km (juga menurut NEDC), yang mungkin disebabkan faktor bateri yang lebih kecil. Media Thailand melaporkan VF5 bakal dilancarkan di sana sekitar bulan Ogos atau September ini, selepas VF e34 mula dijual pada bulan ini.

    Hasil pemeriksaan kami menerusi LinkedIn dengan menaip perkataan ‘VinFast’ dan ‘Malaysia’, keluar pula informasi mengenai individu bernama Jean Jacques, yang menyenarikan jawatan semasanya sebagai Timbalan CEO VinFast Indonesia dan Malaysia. Sekaligus menambahkan petanda yang jenama ini bakal memasuki pasaran kita.

    GALERI: Vinfast VF 5

     
     
  • BMW 218i Gran Coupe Final Edition 2024 diperkenal di Malaysia — kemasan hitam, rim baru; dari RM224k

    BMW 218i Gran Coupe Final Edition 2024 diperkenal di Malaysia — kemasan hitam, rim baru; dari RM224k

    BMW Malaysia telah melancarkan model 218i Gran Coupe Final Edition, yang diberdasarkan varian M Sport sedia ada dan diberikan kelengkapan tambahan untuk penampilannya. Dengan jaminan standard dua-tahun, varian terbaru ini dijual pada harga RM223,800 atas jalan tidak termasuk insurans. Jika inginkan jaminan lanjutan lima-tahun dan pakej servis, harganya ialah RM244,400.

    Berbanding 218i Gran Coupe M Sport biasa, ini melibatkan pertambahan sebanyak RM5,000 (dengan atau tanpa kos jaminan lanjutan dan pakej servis) untuk kelengkapan tambahan yang diberikan bagi Final Edition ini.

    Satu daripada tambahannya ialah lanjutan bagi pakej M hitam berkilat Shadowline: kini dengan kemasan sama diberikan untuk bahagian gril dan muncung ekzos (asalnya kemasan krom). Rekaan bampar M Sport yang agresif juga digunakan untuk Final Edition ini.

    BMW 218i Gran Coupe Final Edition 2024 diperkenal di Malaysia — kemasan hitam, rim baru; dari RM224k

    Selain itu, rim 18-inci Style 553 M dwi-warna yang ada untuk varian baru ini juga berbeza daripada Style 819 M untuk M Sport. Di dalam, Final Edition ini menerima juga ciri pengecasan tanpa wayar serta sistem bunyi hi-fi dengan 10-pembesar suara, serta amplifier 205W.

    Selebihnya, ciri yang ada untuk Final Edition ini adalah sama dengan M Sport, dengan kelengkapan standardnya termasuk pelapik bumbung anthracite, kerusi sport di depan, balutan kulit Dakota, kemasan dalaman “Illuminated Boston”, lampu utama LED (dengan bantuan lampu tinggi) serta lampu kabus, Comfort Access, kawalan pendingin dua zon, pakej Driving Assistant, pakej Parking Assistant serta BMW Live Cockpit Profesional dengan paparan 10.25-inci.

    Begitu juga dengan enjin, unit 1.5 liter turbocas tiga-silinder sebaris petrol kekal ada, menjana sebanyak 140 PS (138 hp atau 103 kW) dan 220 Nm tork. Ini digandingkan dengan transmisi klac berkembar Steptronic tujuh-kelajuan yang memacu roda depan. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.7 saat, dan laju maksimum 213 km/j.

    Pilihan warna pula ada tiga: Skyscraper Grey, Black Sapphire dan Alpine White, dengan kemasan kulit hitam dan perincian biru. Setiap pembelian datang dengan bantuan tepi jalan dan sokongan hotline kemalangan dan juga BMW Service Online.

     
     
  • JB Car Free Morning berlangsung esok, 8 Jun

    JB Car Free Morning (JBFM), acara yang sama dengan KL Car Free Morning, bakal berlangsung pada esok, 8 Jun 2024. Memandangkan hujung minggu rasmi di Johor ialah Jumaat dan Sabtu, maka JBFM dilangsungkan pada Sabtu, bukan Ahad seperti yang dilakukan di KL.

    JBFM kali ini melibatkan acara larian sejauh lima kilometer di tengah bandaraya Johor Baharu di mana jalan-jalan utama di sana akan ditutup kepada lalu lintas. Ia akan berrtukar menjadi trek terbuka di mana sesiapa sahaja boleh berjoging, berlari mahu pun berbasikal (sebanyak 100 buah basikal akan dipinjamkan oleh OCBC selaku penaja, siapa cepat dia dapat) atau pun bermain papan luncur secara bebas di tengah jalan.

    Untuk acara larian JBFM kali ini, ia akan bermula di hadapan Pejabat MBJB di Jalan Dato Onn dan jalan yang ditutup ialah Persiaran Abu Bakar Sultan, Jalan Tun Dr Ismail, Jalan Ibrahim, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gereja, Jalan Trus, Jalan Abdullah Ibrahi dan Jalan Air Molek. Kesemua jalan ini ditutup dari jam 6.45 pagi hingga 9 pagi.

    Sesi pelepasan acara larian akan bermula jam 7 pagi, selain itu banyak acara menarik turut dianjurkan termasuk tarian fitnes, promosi oleh pihak penaja dan juga cabutan bertuah. Acara ini berlangsung sekali sebulan di JB, jadi inilah masanya untuk anda bebas beriadah di jalan raya.

     
     
  • Kerajaan sudah tetapkan tarikh pelaksanaan pelarasan subsidi diesel, umum pada masa dirasakan tepat

    Kerajaan sudah tetapkan tarikh pelaksanaan pelarasan subsidi diesel, umum pada masa dirasakan tepat

    Kerajaan telah menetapkan tarikh bagi pelaksanaan pelarasan semula subsidi diesel, tetapi hanya akan mengumumkannya pada masa yang dirasakan tepat. Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan, ini bertujuan untuk mengurangkan sebaik mungkin spekulasi inflasi daripada berlaku.

    “Ini adalah berkaitan masanya perlu tepat, serta untuk menyeimbangkan dan mengurangkan risiko ke atas inflasi. Kami telah menetapkannya,” ujar beliau, dengan menambah bahawa kerajaan akan memastikan tidak ada kesan yang tidak perlu ke atas inflasi, lapor Bernama.

    Satu lagi sebab mengapa masih tidak mengumumkan tarikh berkenaan lebih awal adalah untuk mengelakkan pengumpulan stok diesel daripada berlaku. “Kadang-kadang jika diumumkan awal, pengguna secara tiba-tiba akan mengumpulkan stok lebih awal kerana tahu harganya akan naik dalam masa dua atau tiga bulan lagi,” jelasnya.

    “Sekiranya kita melakukan subsidi bersasar diesel untuk tujuan menguruskan penyeludupan dan pengumpulan stoknya, pengumuman awal akan menyumpang kepada peningkatan penyeludupan bahan tersebut,” jelasnya lagi. Beliau menambah, adalah mustahil untuk menjalankan penguatkuasaan yang lebih ketat, mengambil kira hanya ada sekitar 2,500 pegawai penguatkuasa.

    Penamatan subsidi menyeluruh untuk diesel bakal menyaksikan subsidi bersasar dijalankan melalui program bantuan Budi Madani. Diumumkan pada 27 Mei lalu, program berkenaan terbuka kepada pemilik persendirian kenderaan diesel serta petani kecil di Semenanjung Malaysia. Penerima yang layak bagi kedua-dua kategori akan menerima RM200 sebulan sebagai bantuan.

     
     
  • Porsche Panamera 2024 di Malaysia – 2.9L biturbo V6, 353 PS/500 Nm, suspensi udara PASM; dari RM1.3 juta

    Porsche Panamera 2024 di Malaysia – 2.9L biturbo V6, 353 PS/500 Nm, suspensi udara PASM; dari RM1.3 juta

    Diperkenalkan secara rasmi pada November 2023, namun tempahan bagi Porsche Panamera generasi ketiga ini baru dibuka untuk Malaysia pada bulan lalu. Grand tourer empat-pintu ini tiba di pasaran tempatan dengan harga bermula RM1.3 juta. Kini kami mempertontonkan galeri imej penuh Panamera dengan unit pemanduan sebelah-kanan untuk anda.

    Jentera berkuasa ini diberikan enjin 2.9 liter V6 pengecas turbo-berkembar petrol dengan hamburan kuasa 353 PS dan tork 500 Nm, bersama transmisi autimatik dwi-klac lapan-kelajuan. Ia membolehkan Panamera ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.1 saat dan mampu capai kelajuan maksimum sekitar 272 km/j.

    Kelengkapan pencahayaannya merangkumi lampu utama matrix LED secara starndard, yang menampilkan lebih daripada 32,000 piksel bagi setiap lampu utama dan membolehkan pencerahan lorong khusus, serta mempunyai julat pencahayaan sehingga 600 m.

    Ia juga diberikan roda aloi 20-inci secara standard untuk pasaran Malaysia, namun unit yang dipamerkan untuk rakaman foti ini menggayakan Panamera SportDesign 21-inci, dengan tayar berukuran 275/35R21 di hadapan dan 325/30R21 di belakang.

    Untuk sistem breknya, ia diberikan cakera 360 mm dengan kaliper enam-piston untuk gandar hadapan, sementara brek belakang pula dengan cakera 330 mm bersama kaliper empat-piston. Kelengkapan casis untuk Panamera 2024 ini pula ialah dwi-chamber, suspensi udara dua-injap dengan Porsche Active Suspension Management (PASM) secara standard. Sementara stereng roda-belakang ditawarkan sebagai pilihan.

    Di dalamnya, Panamera 2024 di Malaysia menerima upholstery kulit kemasan lembut, dan unit ini diberikan ciri spesifik dengan kombinasi dua-tona Dark Knight Blue dan Chalk Beige.

    Porsche Panamera 2024 di Malaysia – 2.9L biturbo V6, 353 PS/500 Nm, suspensi udara PASM; dari RM1.3 juta

    Kelengkapai standard lain termasuklah Porsche Entry, pintu soft-close, kawalan suhu automatik empat-zone, pakej storan, tirai suria elektrik untuk setiap tingkap sisi belakang (termasuk cermin belakang), tempat duduk hadapan dengan fungsi memori dan larasan 14-cara dan sistem bunyi sekelilung Bose. Turut ditawarkan sebagai pilihan ialah tempat duduk individual larasan kuasa lapan-cara dengan fungsi memori.

    Selain itu, ia juga menampilkan unit instrumentasi untuk pemandu yang terdiri daripada paparan digital 12.6-inci dan skrin sesentuh sentral 12.3-inci. Turut ditawarkan pakej Sport Chrono, serta paparan untuk penumpang hadapan bersaiz 10.9-inci.

    Bagi ketersambungan telefon pintar, Panamera 2024 ini uuta dilengkapi Apple CarPlay dan Android Auto. Untuk peranti iOS, ia menampilkan aplikasi MyPorsche yang membolehkan operasi fungsi termasuk pendingin hawa, kerusi urut dan pencahayaan ambien dikendalikan menerusi CarPlay atau bantuan suara Siri.

     
     
  • PLUS umum lorong motosikal di laluan masuk Plaza Tol Jawi ditutup sementara hingga 12 Jun 2024

    PLUS umum lorong motosikal di laluan masuk Plaza Tol Jawi ditutup sementara hingga 12 Jun 2024

    PLUS Malaysia telah memaklumkan bahawa lorong motosikal di laluan masuk Plaza Tol Jawi ditutup sementara mulai hari ini (7 Jun) hingga 12 Jun 2024. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja penebangan pokok di lorong motosikal sedia ada.

    “Pengguna motosikal di laluan tersebut akan dilencongkan di laluan masuk paling kiri di Plaza Tol Jawi sepanjang tempoh kerja-kerja tersebut dijalankan. Kerjasama para pengguna lebuh raya untuk mematuhi arahan papan tanda di lokasi sepanjang proses kerja-kerja pembaikan dijalankan amat kami hargai. Terima kasih,” kata PLUS.

    Jika anda menggunakan laluan berkenaan, sila lebih fokus dan berhati-hati dalam pemanduan. Terutamanya untuk pemandu kereta atau lori, bimbang juga sekiranya tidak perasan ada motosikal di laluan masuk paling kiri disebabkan titik buta. Jangan main melencong masuk ke kiri saja tau dan jangan lupa bagi isyarat membelok.

     
     
  • Insentif cukai sahaja tidak mencukupi untuk galakkan penerimaan EV, perlu langkah proaktif – MCA

    Insentif cukai sahaja tidak mencukupi untuk galakkan penerimaan EV, perlu langkah proaktif – MCA

    Dalam satu laporan yang disiarkan oleh MalaysiaKini, timbalan presiden MCA, Wee Jeck Seng dipetik berkata bahawa insentif cukai yang diberikan oleh kerajaan untuk kenderaan emisi sifar di Malaysia tidak cukup untuk menggalakkan orang ramai beralih kepada kereta elektrik (EV). Menurut Wee, lagi, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif untuk mewujudkan satu ekosistem kenderaan elektrik yang lengkap.

    Beliau turut menyatakan, antara langkah yang boleh diambil adalah termasuk mempersiapkan stesen pengecas EV yang mencukupi, kadar pengecasan yang berpatutan serta naik taraf infrastruktur sedia ada.

    “Polisi serta insentif sokongan juga sepatutnya ditawarkan, bagi menggalakkan pemasangan lebih banyak pengecas di stesen petrol, pusat beli-belah, kondominium dan tempat awam untuk meluaskan lagi akses bagi pemandu EV. Ini adalah kerana kurangnya jumlah pengecas serta harga EV yang tinggi menjadi antara faktor yang memberi kesan kepada keputusan pengguna untuk membeli kenderaan EV,” kata Wee.

    Insentif cukai sahaja tidak mencukupi untuk galakkan penerimaan EV, perlu langkah proaktif – MCA

    Awal minggu ini, menteri pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan struktur cukai jalan baru untuk kenderaan elektrik, yang akan diguna pakai bermula 1 Januari 2026. Buat masa sekarang, semua EV dikecualikan daripada cukai jalan, dan ini akan berakhir pada 31 Disember 2025.

    Struktur cukai jalan baru ini sepatutnya didedahkan April lalu, tetapi melalui apa yang diumumkan baru-baru ini, ia menyaksikan kadar yang lebih rendah berbanding apa yang ditetapkan pada tahun 2019. Menurut Wee, kadar ini lebih rendah berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman, sekaligus selari dengan polisi kerajaan untuk memberikan insentif bagi menggalakkan penggunaan EV.

    Perincian berkenaan struktur cukai jalan EV baru di sini.

     
     
  • Tiada rancangan kurangkan cukai jalan kenderaan dengan enjin biasa kerana ia sudah murah – Loke

    Tiada rancangan kurangkan cukai jalan kenderaan dengan enjin biasa kerana ia sudah murah – Loke

    Awal minggu ini, kerajaan telah mengumumkan struktur cukai jalan baharu untuk kenderaan elektrik (EV), yang menampilkan bayaran yang lebih rendah berbanding kadar yang ditentukan pada 2019.

    Ketika sesi soal jawab selepas pengumuman itu dibuat, kami turut bertanyakan sama ada kerajaan ada rancangan atau tidak untuk mengkaji semula struktur cukai jalan (atau dikenali sebagai Lesen Kenderaan Motor/LKM) untuk kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman biasa yang menggunakan bahan api petrol dan diesel bagi memberikan bayaran yang lebih rendah.

    Menjawab persoalan itu, menteri pengangkutan Anthony Loke menyatakan bahawa setakat ini kerajaan masih belum berminat untuk membuat apa-apa perubahan terhadap struktur tersebut bagi mengurangkan bayaran LKM bagi kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman.

    Menurut Loke, kadar sedia ada yang menggunakan kapasiti enjin sebagai asas sememangnya sudah rendah dan berpatutan. “Untuk kenderaan enjin pembakaran dalaman sedia ada, pada masa ini kami tidak akan membuat sebarang perubahan terhadap cukai jalan kerana kebanyakkan orang masih menggunakannya, dan jika kami mahu naikkan kadar, ia mungkin akan menjejaskan kos mereka,” katanya.

    Tiada rancangan kurangkan cukai jalan kenderaan dengan enjin biasa kerana ia sudah murah – Loke

    “Jika kami lakukan perubahan, kadarnya mungkin akan lebih tinggi, dan jika kadarnya lebih tinggi bebannya akan ditanggung orang ramai, ditambah dengan rasionalisasi subsidi (bahan api), kami tidak berminat untuk melakukannya,” tambah Loke.

    Tahun lalu Loke menyatakan bahawa sementara kajian semula struktur LKM sedang dipertimbangkan, kadar itu mungkin kekal tidak disentuh sekiranya pelaksanaan itu dibuat.

    “Ini kerana cukai jalan merupakan antara penyumbang pendapatan terbesar bagi kerajaan, dan sebarang keputusan yang boleh mengurangkan hasil negara, seperti menurunkan bayaran cukai jalan, hanya akan menimbulkan kesan negatif,” katanya.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), cukai jalan telah menjana pendapatan hampir RM3 bilion untuk kerajaan pada tahun lalu.

     
     
  • Tiada penutupan lorong di lebuhraya dari 12 hingga 19 Jun 2024 sempena cuti Hari Raya Aidiladha – KKR

    Tiada penutupan lorong di lebuhraya dari 12 hingga 19 Jun 2024 sempena cuti Hari Raya Aidiladha – KKR

    Kementerian kerja Raya (KKR) telah mengumumkan perintah larangan penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan dari 12 Jun hingga 19 Jun 2024, sempena musim Hari Raya Aidiladha akan datang, laporan Bernama.

    Menurut Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, hanya kerja-kerja kecemasan dibenarkan (contohnya melibatkan kemalangan) dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan. “KKR mempunyai perancangan jangka panjang dan pendek bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya setiap kali musim perayaan atau cuti persekolahan,” kata Nanta.

    Beliau turut menambah, selain larangan penutupan lorong, syarikat konsesi lebuhraya juga perlu untuk mengaktifkan smartlane di lokasi yang dikenalpasti bagi memastikan aliran trafik lebih lancar. “Advokasi terhadap pengguna jalan raya mengenai smartlane dan keberkesanan tindakan penambahbaikan akan dilaksana dan dipantau oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” katanya.

     
     
  • Wing Hin Motorsport mula uji jentera lumba Toyota Vios NGC102 untuk Malaysia Championship Series

    Wing Hin Motorsport mula uji jentera lumba Toyota Vios NGC102 untuk Malaysia Championship Series

    Pengedar aksesori dan peralatan prestasi asli untuk Toyota, Wing Hin Motorsport hari ini telah mendedahkan jentera lumba baharu yang diasaskan dari sedan segmen-B Toyota Vios generasi NGC102 yang diuji buat pertama kali di Litar Antarabangsa Sepang.

    Menurut Wing Hin Motorsport, jentera ini bakal beraksi di siri perlumbaan Malaysia Championship Series (MCS) 2024. Dan berdasarkan rupanya yang lebih agresif berbanding Vios NGC102 yang digunakan oleh selebriti dalam kategori Promotional siri perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge yang didedahkan tahun lalu, jentera lumba ini sudah pastinya dihasilkan untuk kelas MTC yang lebih berkuasa.

    Jika dilihat pada lencana pada but belakang, kereta lumba ini diasaskan dari Vios 1.5E tetapi menggunakan kit badan yang sama seperti Vios 1.5G yang dijual di bilik pameran. Namun ada beberapa perincian yang menandakan bahawa ia dibina berdasarkan undang-undang MTC antaranya penggunaan tingkap dan cermin belakang jenis polycarbonate yang lebih ringan dan diberikan injap untuk sistem jek pneumatik pada bampar hadapan.

    Wing Hin Motorsport mula uji jentera lumba Toyota Vios NGC102 untuk Malaysia Championship Series

    Turut dapat dilihat Vios ini menerima tangki bahan api perlumbaan ATL yang menampilkan corong pengisian pantas pada ruang nombor plat penutup but belakang, serta sudut larasan camber roda hadapan yang nampak jauh lebih agresif berbanding jentera Vios Challenge.

    Bagi kelas MTC ini, ia menggunakan asas undang-undang FIA Group A yang membenarkan segala isi perut enjin produksi menggunakan komponen perlumbaan sebenar, dengan kapasiti ditingkatkan sehingga maksimum 1,600 cc, serta transmisi asal boleh ditukar kepada kotak gear perlumbaan manual jenis dog-box.

    Dengan pengenalan jentera baharu ini, ia mungkin akan menggantikan Vios NSP151 MTC yang telah digunakan sejak sekian lama oleh Wing Hin Motorsport dan pasukan Toyota Gazoo Racing (TGR) Malaysia. Jentera berkenaan sebelum ini sudahpun bergelar juara dalam perlumbaan Sepang 1000km (S1K) pada 2022, dan agak menarik untuk kita lihat pertarungan antara Vios NGC102 TGR Malaysia, Honda City GN Honda Malaysia Racing Team (HMRT) dan juga Proton S70 R3 Motorsport dalam kategori MTC pada perlumbaan S1K tahun ini!

     
     
  • Beberapa stesen BRT terpilih dilanjutkan waktu operasi hingga 1 pagi pada 8 Jun, 15 Jun dan 22 Jun

    Beberapa stesen BRT terpilih dilanjutkan waktu operasi hingga 1 pagi pada 8 Jun, 15 Jun dan 22 Jun

    Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan BRT telah mengumumkan bahawa beberapa stesen BRT terpilih akan dilanjutkan waktu operasinya sehingga jam 1 pagi pada 8 Jun, 15 Jun dan 22 Jun 2024. Menurut syarikat tersebut, lanjutan operasi tersebut adalah sempena sebuah acara yang bakal berlangsung di Sunway Lagoon pada tarikh tersebut.

    Stesen BRT yang terlibat ialah Stesen Sunway Lagoon, Stesen SunMed, Stesen SunU-Monash dan Stesen South Quay.

    “Lanjutan operasi stesen-stesen tersebut adalah bagi memudahkan pengguna yang ingin mengelak kesesakan lalu lintas dengan meletakkan kenderaan mereka di kawasan parkir berhampiran dan menggunakan perkhidmatan BRT uhtuk menghadiri acara di Sunway Lagoon itu,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Rapid Bus.

    Pengguna dinasihati untuk menggunakan kad Touch ‘n Go dan memastikan mempunyai baki yang mencukupi bagi memudahkan perjalanan. Walau bagaimana pun, untuk stesen BRT yang tidak disenaraikan, ia akan ditutup mengikut waktu operasi biasa.

     
     
  • JPJ eBid: Siri ANP dan PRJ dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Perak, ANP, telah dibuka bidaan mulai hari ini, 6 Jun 2024. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 10 Jun ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 11 Jun 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang pula, PRJ, bidaannya pula bakal dibuka mulai 9 Jun dan akan berakhir jam 10 malam pada 13 Jun. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 14 Jun 2024.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Kementerian Kewangan bakal umum senarai model mewah diesel yang tidak layak terima subsidi

    Kementerian Kewangan bakal umum senarai model mewah diesel yang tidak layak terima subsidi

    Kementerian Kewangan bakal mengumumkan senarai kenderaan mewah berkuasa diesel yang tidak layak untuk menerima subsidi bersasar di bawah program bantuan subsidi Budi Madani. Menurut menteri kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ini merupakan langkah seterusnya yang bakal diambil dalam program rasionalisasi subsidi bahan api diesel, lapor New Straits Times.

    Tambahnya lagi lebih perincian berkenaan program tersebut akan diumumkan kemudian. “Tarikh (perlaksanaan implementasi) dan harga akan diumumkan kemudian. Kami perlukan masa untuk elak spekulasi yang boleh membawa kepada penimbunan atau kenaikan harga secara mendadak,” katanya.

    Walau bagaimanapun, Amir menerangkan bahawa walaupun sesebuah kenderaan berkuasa diesel itu dikategorikan sebagai kendertan mewah, ia masih boleh diberikan subsidi bahan api sekirannya ia berusia lebih dari 10-tahun. “Walaupun ia diklasifikasikan sebagai kenderaan mewah, jika kenderaan-kenderaan ini ‘sakit’ lebih dari 10-tahun, ia mungkin boleh dipertimbangkan [untuk menerima subsidi],” kata Amir.

    Program Budi Madani ini telah diumumkan pada 27 Mei lalu untuk pemilik-pemilik kenderaan berkuasa diesel milik persendirian (Budi Individu), petani kecil serta pekebun kecil komoditi (Budi Agri-Komoditi) di Semenanjung Malaysia dengan pendaftaran dibuka pada 29 Mei.

    Kriteria kelayakan bagi pemohon Budi Individu adalah seperti berikut:

    • Warganegara Malaysia
    • Pemilik kenderaan persendirian diesel yang didaftarkan dengan JPJ, kecuali kenderaan mewah diesel yang kurang daripada 10 tahun
    • Kenderaan dengan cukai jalan sah
    • Pendapatan tahunan RM100,000 dan ke bawah (individu dan pasangan)
     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025