Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • 20 model EV terlaris bagi Jun 2025 — Proton eMas 7 pendahulu, BYD Atto 3 dan Tesla Model Y tiga teratas

    20 model EV terlaris bagi Jun 2025 — Proton eMas 7 pendahulu, BYD Atto 3 dan Tesla Model Y tiga teratas

    Selepas turun ke tempat kedua pada Mei 2025, Proton eMas7 kini kembali ke tangga teraras bagi EV paling laris di Malaysia bagi bulan Jun 2025. Berdasarkan data terkini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 604 unite eMas 7 telah didaftarkan bulan lalu, menjadikan jumlah keseluruhan tahunan setakat ini (year-to-date, YTD) kepada 4,003 unit.

    Tesla Model Y yang merampas kedudukan teratas itu pada Mei 2025 beralih ke tempat ketiga dengan 460 unit (1,571 YTD), membolehkan BYD Atto 3 naik ke tempat kedua dengan 471 unit (1,701 YTD). Selain tempat tiga teratas, BYD Sealion 7 kini menduduki tangga ke empat dengan 320 unit (1,960 YTD), sementara tempat kelima dihuni oleh Chery Omoda E5, yang menyaksikan jumlah pendaftaran tertingginya tahun ini dengan 186 unit (394 YTD), yang disumbangkan oleh tawaran rebat yang banyak.

    Di bawahnya ialah Tesla Model 3 dengan 127 unit di tempat ke-enam, diikuti rapat oleh BYD Seal di tempat ketujug dengan 125 unit. Jika berdasarkan angka YTD, pertembungan ini dimenangi oleh Model 3 dengan 825 unit pendaftaran setakat 30 Jun, berbanding Seal dengan hanya 679 unit.

    MPV elektrik pula naik dari tangga ke-11 ke tangga kelapan: BYD M6 mencatatkan pendaftaran sebanyak 114 unit bulan lalu (977 YTD). Denza D9 (jenama premium BYD) mengikut rapat di belakang dengan 91 unit (615 YTD), sementara Xpeng X9 di tempat ke-10 dengan 85 unit (242 YTD). Di tempat ke-11, Zeekr 009 dengan 55 unit (457 YTD).

    Dengan 47 pendaftaran bulan lalu, Xpeng G6 (395 YTD) berjaya naik satu anak tangga ke tempat ke-12. Porsche Taycan di tempat ke-13 dengan 44 unit (205 YTD), dengan angka yang termasuk model recon yang diambil kira oleh JPJ.

    Di tangga ke-14 ialah BMW iX2 dengan 43 unit (277 YTD), sementara MINI Aceman tampil dengan jualan terbaiknya setakat ini dengan 42 unit di tangga ke-15. Volvo EX30 pula di tangga ke-16 dengan 41 unit (138 YTD), diikuti oleh Porsche Macan Electric di tempat ke-17 dengan 39 unit (154 YTD).

    Tiga tempat ke bawah pula diisi oleh BMW iX1 di tangga ke-18 dengan 33 unit (167 YTD), BMW i5 di kedudukan ke-19 dengan 28 unit (251 YTD) dan GWM Ora (Good Cat dan 07 disekalikan oleh JPJ) ke-20 dengan 27 unit (200 YTD).

     
     
  • Petronas FP1 buat penampilan di Goodwood FoS 2025

    Petronas FP1 buat penampilan di Goodwood FoS 2025

    Goodwood Festival of Speed yang berlangsung di Sussex, United Kingdom (UK) lebih banyak dikenali dengan penampilan pelbagai jenis jentera empat roda tetapi tidak bermakna motosikal tiada di sana. Tahun ini sambil menyambut satu tempoh yang digelar sebagai “golden era” untuk World Superbike, beberapa jentera lagenda membuat penampilan, bukan setakat sebagai pameran, tetapi juga ditunggang di hadapan penonton.

    Dalam barisan motosikal kategori ini terdapat pelbagai model, dari yang paling lama adalah Ducati 888 tahun 1993 hinggalah yang paling baru Aprilia RSV4 Milwaukee 2018, dan di antaranya ada beberapa model lagi. Tapi satu yang mencuri perhatian kita di Malaysia adalah jentera Petronas FP1.

    FP1 ini sangat istimewa kerana ia cuma dihasilkan sebanyak 150 unit oleh Petronas bersama rakan teknikal mereka, Sauber. Ia dipanggil sebagai motosikal homologasi kerana dengan jumlah produksi sebegitu, ia dapat bertanding dalam perlumbaan World Superbike bermula pada tahun 2003.

    UK memainkan peranan penting dalam sejarah motosikal ini kerana separuh daripada jumlah produksi ini dikeluarkan di sana (separuh lagi di Malaysia) dan ia duduk dalam pasukan Foggy Petronas Racing Team yang diuruskan oleh Juara World Superbike tahun 1994, 1995, 1998 dan 1999, Carl Fogarty, yang juga berasal dari UK.

    Pada awal tahun 2000, spesifikasi FP1 ini boleh dikatakan antara yang canggih, dengan pelbagai kelengkapan prestasi seperti suspensi Ohlins, brek Brembo, meter digital dan panel badan karbon. Enjin pula menggunakan unit tiga silinder bersama transmisi enam kelajuan, menghasilkan 127.4 hp dan tork 92 Nm.

    Walaubagaimanapun, penglibatan FP1 dalam dunia lumba hanya bertahan beberapa tahun sahaja kerana peraturan sudah membenarkan penggunaan enjin berkapasiti lebih tinggi dan projek ini ditutup oleh Petronas. Jika mahu melihat dan mendengar FP1 ini ditunggang di Goodwood, pergi ke tempoh 4:34:10 dalam video di atas.

     
     
  • Geely Galaxy A7 PHEV dilancarkan di China – sedan plug-in hybrid jarak gerak cecah 2,100 km, dari RM62k

    Geely Galaxy A7 PHEV dilancarkan di China – sedan plug-in hybrid jarak gerak cecah 2,100 km, dari RM62k

    Geely secara rasmi telah melancarkan sedan plug-in hybrid terbarunya, Galaxy A7 di pasaran China. Model ini mengisi ruang antara Galaxy L6 dan Starshine 8, sebagai sedan segmen-D jenama tersebut. Dengan pelancaran ini, spesifikasi penuh dan harga rasmi telah diumumkan.

    Galaxy A7 dikuasakan oleh sistem plug-in hybrid generasi terbaru EM-i yang menumpukan kepada kecekapan bahan api. Enjin yang digunakan adalah unit 1.5 liter BHE15PFI dengan teknologi Atkinson-cycle, menghasilkan 111 PS dan tork 136 Nm.

    Enjin ini menerima beberapa naik taraf termasuk kebuk pembakaran baru, teknologi pengurangan geseran, pam minyak boleh laras dan sistem pengurusan haba yang dipertingkatkan. Hasilnya, ia mencatat kecekapan termal tertinggi dunia iaitu 47.26%.

    Geely Galaxy A7 PHEV dilancarkan di China – sedan plug-in hybrid jarak gerak cecah 2,100 km, dari RM62k

    Motor elektrik P3 yang dipasang pada transmisi hibrid satu kelajuan model ini menghasilkan 238 PS dan 262 Nm tork, lebih 20 PS berbanding model Starray EM-i. Ia membolehkan Galaxy A7 memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 7.1 saat, dengan kelajuan maksimum 190 km/j.

    Satu inovasi utama ialah sistem pengurusan tenaga pintar cloud-based dan kecerdasan buatan (AI), menggunakan pusat pengkomputeran Xingrui 2.0. Dengan keupayaan pemprosesan 23.5E FLOPs, sistem ini dioptimumkan untuk lebih 1,000 senario pemanduan tanpa perlu bergantung kepada peta.

    Hasilnya, Galaxy A7 mencatat penggunaan bahan api serendah 2.67 liter per 100 km, menggunakan bateri LFP 8.5 kWh yang memberikan jarak pemanduan elektrik sejauh 70 km.

    Geely Galaxy A7 PHEV dilancarkan di China – sedan plug-in hybrid jarak gerak cecah 2,100 km, dari RM62k

    Varian lebih tinggi dilengkapi bateri 18.4 kWh dari CATL, dengan jarak pemanduan elektrik sejauh 150 km dan jumlah jarak keseluruhan melebihi 2,100 km. Ia turut menyokong pengecasan pantas DC hingga 37 kW (30-80% dalam 18 minit) serta fungsi vehicle-to-load (V2L).

    Walaupun dibina dengan pendekatan lebih bajet berbanding Starshine 8, Galaxy A7 masih kelihatan moden dengan panjang 4,918 mm, lebar 1,905 mm dan jarak roda 2,845 mm. Ia menampilkan bar lampu LED penuh di depan dan belakang dengan rekaan “ripple effect”.

    Bahagian dalaman menampilkan skrin paparan digital 10.25 inci, skrin infotainmen 15.4 inci serta sistem operasi Flyme Auto. Ciri lain termasuk head-up display 16.6 inci, sistem audio Flyme Audio 1,000 watt dengan 16 pembesar suara, pengecas tanpa wayar 50W dan tempat duduk urut “akupunktur” 14 titik untuk pemandu dan penumpang hadapan.

    Untuk keselamatan, A7 dilengkapi enam beg udara dan sistem bantuan pemanduan Geely G-Pilot. Antara ciri bantuan yang diberi termasuk pemanduan separa automatik di lebuh raya dan bandar, brek kecemasan automatik kelajuan rendah, kawalan silap pedal dan bantuan parkir memori – yang akan dikemas kini melalui over-the-air (OTA).

    Geely Galaxy A7 dijual pada harga bermula 103,800 yuan (RM61,600), manakala varian dengan bateri lebih besar berharga sehingga 133,800 yuan (RM79,400). Dengan A7 dikategorikan sebagai model “global”, terdapat kemungkinan ia akan diperkenalkan di pasaran Malaysia di bawah jenama Proton eMas, menyertai eMas 7 serta eMas 5 dan eMas 7 PHEV yang bakal dilancarkan.

     
     
  • KTMB jenamakan semula sistem tiket bersepadu yang kini dikenali sebagai SuperApp KITS Style

    KTMB jenamakan semula sistem tiket bersepadu yang kini dikenali sebagai SuperApp KITS Style

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menjenamakan semula sistem tiket bersepadu (Integrated Ticketing System (KITS)) yang kini dikenali sebagai SuperApp KITS Style. Ia adalah bagi mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih cekap, selamat, mampan dan berdaya saing sekali gus meningkatkan mutu hidup rakyat.

    Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, penjenamaan itu bukan hanya platform pembelian tiket tetapi menjadi sebuah Mobility-as-a-Service (MaaS) SuperApp yang menyatukan mobiliti harian dan gaya hidup rakyat dalam satu ekosistem digital yang moden, interaktif dan serba lengkap, laporan Bernama.

    “Melalui KITS Style, pengguna boleh menikmati pelbagai kemudahan termasuk pembelian tiket ETS, KTM Komuter, Shuttle Tebrau, tempahan tiket penerbangan, hotel, pembayaran bil utiliti, pembaharuan insurans kenderaan, penghantaran wang, membeli-belah e-dagang dan perancangan perjalanan dengan KITS AI Journey Planner,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Aplikasi KITS Style malam tadi.

    KTMB jenamakan semula sistem tiket bersepadu yang kini dikenali sebagai SuperApp KITS Style

    Tambah beliau, aplikasi KITS Style dibangunkan hasil kolaborasi strategik antara KTMB dan ManagePay Systems Berhad (MPay) sebagai sebuah platform digital yang dinamik.

    “Aplikasi ini dibangunkan melalui konsep kerjasama pintar tanpa sebarang kos ditanggung KTMB atau peruntukan daripada kerajaan. Ini satu contoh terbaik agensi kerajaan dengan memanfaatkan kerjasama strategik sektor swasta untuk melaksanakan projek digital yang kompleks bagi memberi manfaat besar kepada rakyat,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, KTMB dengan kerjasama Mastercard dan MPay juga sedang membuat penyediaan bagi pelancaran Kad Prabayar KITS Style Mastercard, iaitu kad prabayar transit gelung terbuka pertama di Malaysia dan ASEAN yang dikeluarkan oleh operator rel.

    “Kad ini dalam bentuk maya sudah tersedia melalui aplikasi KITS Style manakala kad fizikal akan mula diperkenalkan pada September nanti. Dengan ini, rakyat bukan sahaja dapat mengakses pengangkutan awam dalam negara, malah boleh digunakan merentas sempadan ASEAN dengan lebih mudah dan selamat,” katanya

     
     
  • Continental EcoContact 6 dan EcoContact 6Q kini di Malaysia — tersedia dalam saiz 15-inci hingga 21-inci

    Continental EcoContact 6 dan EcoContact 6Q kini di Malaysia — tersedia dalam saiz 15-inci hingga 21-inci

    Continental Tyre Malaysia kini telah memperluas barisan tayar keluarannya di pasaran Malaysia melalui pengenalan Continental EcoContact 6 dan EcoContact 6Q. Direka untuk kegunaan kenderaan petrol, hibrid dan elektrik, tayar baru ini disifatkan oleh pengeluarnya mampu memberikan keselesaan yang tiada tandingan, rintangan golek yang lebih rendah serta pemanduan yang lebih senyap.

    Memanfaatkan kejuruteraan untuk kecekapan maksimum, EcoContact 6 mengurangkan pembebasan CO2 melalui asas silika berteknologi tinggi yang digunakan, yang turut berfungsi mengoptimumkan rintangan golek, tanpa memberi kesan kepada prestasinya. Ini kerana ia menggunakan corak dan binaan khusus yang menawarkan cengkaman terbaik serta kestabilan dalam hujan mahupun ketika jalan kering.

    EcoContact 6Q juga mempunyai ciri yang sama tetapi dengan tambahan teknologi pengurangan senyap yang lebih canggih bagi memastikan pemanduan lebih senyap dan lancar: Q untuk Quiet. Ciri utamanya termasuklah corak bunga khusus dan asas kompaun Advanced Green Chili 2.0 yang disifatkan mampu mengadaptasi keadaan jalan dan memperbaiki rintangan golek dan penjimatan tenaga.

    Continental EcoContact 6 dan EcoContact 6Q kini di Malaysia — tersedia dalam saiz 15-inci hingga 21-inci

    Selebihnya, ciri asymmetric rib dan sipe geometry yang ada padanya membolehkan tayar 6Q untuk mengekalkan sentuhan yang konsisten dengan jalan dan menyediakan kestabilan yang diperkaya, terutama ketika ingin menukar lorong laluan.

    Menjadikan dua tayar ini lebih senyap adalah penerapan teknologi ContiSilent, yang hadir dalam bentuk penyerapan hentakan busa polyurethane yang inovatif, membantu mengurangkan kebisingan dalam kabin sehingga 9 dB(A).

    EcoContact 6 dan 6Q yang digunakan sebagai tayar keluar kilang oleh beberapa pengeluar kenderaan global ini ditawarkan dalam beberapa saiz, dari 15-inci hingga 21-inci di Malaysia, dengan tanda OE menandakan yang ia dibangunkan khusus dan disahkan oleh BMW dan Mercedes-Benz.

    Kedua-dua model tayar terbabit boleh didapati melalui pengedar sah Continental di seluruh negara, dan juga melalui kedai dalam talian rasmi Continental di Shopee, Lazada dan TnG eWallet. Klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang EcoContact 6 dan EcoContact 6Q.

     
     
  • 20 model terlaris untuk Jun 2025 – Bezza ungguli carta; Saga pintas Myvi; Jaecoo J7 atasi Corolla Cross

    20 model terlaris untuk Jun 2025 – Bezza ungguli carta; Saga pintas Myvi; Jaecoo J7 atasi Corolla Cross

    JPJ telah mengeluarkan data pendaftaran kenderaan terkini bagi bulan Jun 2025, dan inilah senarai 20 model kereta paling laris untuk bulan lalu serta secara kumulatif bagi enam bulan pertama tahun ini, yang menandakan berakhirnya separuh pertama tahun 2025.

    Seperti dijangka, podium bagi separuh pertama 2025 dikuasai sepenuhnya oleh Perodua. Fenomena jualan “lama tapi masih laku” iaitu Bezza berada selesa di tangga teratas (6,150 unit pada Jun dan 46,175 unit setakat tahun ini (YTD)), diikuti Axia di tempat kedua (5,207 unit pada Jun, 40,653 unit YTD), dan Myvi di tempat ketiga (4,183 unit pada Jun, 34,148 unit YTD).

    Biar pun, Proton Saga berada di tangga ke-empat dengan 30,985 units YTD, namun model terlaris Proton itu sebenarnya memintas kedudukan Myvi untuk berada di tangga ketiga pada Jun dengan jualan 5,195 unit. Adakag dengan pelancaran Saga baharu pada hujung tahun ini, mampukan Proton memecah dominasi Perodua yang kekal utuh di podium?

    Kedudukan Saga juga diapit dengan satu lagi model Perodua iaitu Alza yang terjual sebanyak 2,807 unit pada Jun dengan 21,600 YTD. Ia diikuti dengan SUV tunggal dari Perodua iaitu Ativa dengan 2,675 unit pada Jun dan 16,740 YTD. Ternyata lima dari enam model Perodua berada di tangga teratas, sebab itulah jumlah keseluruhan jualan Perodua bagi separuh pertama 2025 (166,188) adalah dua kali ganda daripada Proton (69,771),

    20 model terlaris untuk Jun 2025 – Bezza ungguli carta; Saga pintas Myvi; Jaecoo J7 atasi Corolla Cross

    Model teratas bagi jenama bukan-nasional diungguli Toyota Vios yang berada di tangga ketujuh (2,273 unit), yang berjaya mengatasi pesaingnya Honda City (1,643, sedan dan hatchback) dan juga Proton S70 (1,395). City berada di tangga ke-10 dan S70 pula di kedudukan ke-11.

    Jika kita lihat kepada tiga sedan segmen-B dalam carta YTD di bawah, kelebihan tipis yang dimiliki Honda City berbanding Toyota Vios kini sudah tiada, dan Toyota kini mendahului dengan 13,388 unit berbanding 12,875 unit sebelum ini. Sementara itu, Proton S70 dikategorikan sebagai model segmen-C tetapi dengan harga segmen-B kini berada di tangga ke-11 dengan 9,272 unit.

    Semasa pelancaran, Proton menyatakan bahawa mereka menjangkakan jualan S70 akan mengatasi X50, namun perkara itu tidak berlaku, hanya sekitar 10,314 unit setakat tahun ini. Dan X50 berjaya memintas sedan tersebut untuk berada di tempat ke-10. Sebenarnya, angka jualan X50 agak mengagumkan memandangkan model ini sedang menghampiri penghujung kitaran hayatnya dan bakal digantikan dengan versi facelift besar-besaran, yang telah pun dipertontonkan dan akan dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi. Selepas itu, besar kemungkinan X50 akan meninggalkan S70 jauh ke belakang..jika itulah nasibnya.

    20 model terlaris untuk Jun 2025 – Bezza ungguli carta; Saga pintas Myvi; Jaecoo J7 atasi Corolla Cross

    Dalam carta 10 model terlaris, Toyota Hilux berjaya menduduki tangga ke lapan dengan 2,196 unit terjual pada bulan lalu (di tangga ke-9 untuk YTD, 11,317 unit). Ia bukanlah perkara yang baharu, tetapi agak menghairankan apabila tiada trak pikup lain yang berada di tangga ke-20 teratas walau pun dengan model pesaing Hilux yang lebih baharu, dengan kelengkapan dan ciri yang lebih padu, namun ternyata Hilux tetap ‘raja trak pikap’ di Malaysia.

    Dalam pasaran SUV bukan nasional bawah RM150k yang sedang hangat, Jaecoo J7 (1,119 unit) telah mengatasi Toyota Corolla Cross (1,103 unit) dan Honda HR-V (712 unit) pada bulan lalu, namun HR-V kini sedang bersiap sedia untuk menerima model facelift yang kini sudah dibuka untuk tempahan. Dalam gambaran lebih besar bagi separuh pertama 2025, HR-V (8,673 unit) masih mendahului dengan selesa berbanding Corolla Cross (7,661 unit) dan J7 (5,858 unit) – dengan facelift yang bakal tiba tidak lama lagi, Honda dilihat mempunyai kelebihan untuk separuh kedua tahun ini. Di kedudukan ke-17, J7 merupakan satu-satunya kenderaan jenama China dalam senarai 20 teratas.

    Hanya terdapat dua MPV bukan Perodua dalam senarai ini dan kedua-duanya sangat berbeza – Toyota Alphard di tempat ke-13 (kebanyakannya unit ‘recond’) dan Mitsubishi Xpander (4,776 unit, tempat ke-19). Manakala Proton eMas 7 merupakan EV pertama yang memasuki senarai 20 teratas bulanan pada April, namun selepas itu, gagal berbuat demikian untuk dua bulan berturut-turut.

     
     
  • Mazda jelaskan mengapa CX-5 generasi ketiga tiada suis fizikal pada papan pemuka, guna skrin besar

    Mazda jelaskan mengapa CX-5 generasi ketiga tiada suis fizikal pada papan pemuka, guna skrin besar

    Papan pemuka Mazda CX-5 2026

    Mazda antara pengeluar automotif yang begitu mengambil berat hal ergonomik dan mengutamakan kepuasan memandu dalam menghasilkan rekaan dalaman. Malah menerusi Mazda3 generasi keempat, ia hanya dibekalkan dengan skrin infotainmen tanpa fungsi sesentuh yang direka bagi mengelakkan ia mengganggu tumpuan pemandu ketika memandu, di mana kawalan boleh dibuat secara intuitif tanpa melihat skrin tersebut menerusi suis kawalan putar yang digelar Commander Control yang terletak berhampiran tombol gear.

    Namun apa yang mengejutkan minggu lalu ketika Mazda mendedahkan model generasi baharu CX-5 yang bakal dijual bermula akhir tahun ini di Eropah, SUV segmen-C berkenaan kini menerapkan rekaan yang sinonim dengan model-model rekaan China iaitu diberikan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz gergasi, serta tiada langsung suis fizikal untuk kawalan audio dan penghawa dingin pada papan pemuka, digantikan dengan suis-suis maya yang diletakkan di dalam skrin berkenaan.

    Mazda jelaskan mengapa CX-5 generasi ketiga tiada suis fizikal pada papan pemuka, guna skrin besar

    Papan pemuka Mazda 3 dengan skrin tanpa fungsi sesentuh, di mana kawalan dibuat menerusi suis Commander di belakang tuil penukar gear

    Namun menurut pengurus perhubungan awam operasi Mazda Amerika Utara Tamara Mlynarczyk dalam laporan Motor1, rekaan baharu ini dibuat berasaskan kajian dalaman yang dibuat oleh Mazda bahawa pelanggan kini mahukan sistem infotainmen dengan skrin bersaiz besar.

    “Berdasarkan maklum balas pelanggan, kami membangunkan antaramuka mesin-manusia (HMI) baharu yang mengutamakan penggunaan yang mudah dalam masa yang sama mengekalkan falsafah pemanduan selamat Mazda. CX-5 baharu berubah dari menggunakan commander kepada paparan tengah dengan skrin sesentuh, yang paling sesuai untuk meminimakan pergerakan tangan dari roda stereng ketika menggunakan: arahan suara termaju bagi membolehkan pemandu mengoperasikan fungsi-fungsi kenderaan seperti pendingin hawa, audio dan sistem navigasi; Suis-suis pada roda stereng yang diibuat berpusatkan manusia bagi membolehkan pemandu mengoeprasikan kawalan tanpa membebankan punca-punca tumpuan manusia,” jelas Mlynarczyk.

    Mazda jelaskan mengapa CX-5 generasi ketiga tiada suis fizikal pada papan pemuka, guna skrin besar

    Papan pemuka Mazda 6e

    Walau bagaimanapun rekaan papan pemuka ringkas dengan skrin gergasi serta tanpa suis-suis fizikal ini bukanlah diperkenalkan oleh Mazda buat pertama kali menerusi CX-5 ini kerana ia sudah mula diterapkan pada sedan EV Mazda 6e. Namun sedan berkenaan dihasilkan bersama jenama China iaitu Deepal, subjenama dari Changan. Jadi sudah tentu perincian tersebut diberikan kerana ia berkongsi komponen dengan sedan EV China berkenaan.

    Ia berlainan dengan CX-5 yang merupakan model dibangunkan sepenuhnya oleh Mazda, dan ia adalah model global yang akan dilancarkan ke seluruh dunia.

     
     
  • JPJ eBid: Siri SWP dan CFD dibuka untuk bidaan

    Kenderaan yang anda tempah bakal diperoleh tidak lama lagi, pasti anda teruja tercari-cari plat nombor pendaftaran yang sesuai kan. Ini ada dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor terkini dari Sabah, SWP, telah dibuka bidaan sejak 12 Julai 2025. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir pada 16 Julai, jam 10 malam. Keputusannya akan dikeluarkan keesokan harinya, 17 Julai 2025. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Pahang pula, CFD, bidaannya pula bakal dibuka mulai 17 Julai dan akan berakhir jam 10 malam pada 21 Julai. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 22 Julai 2025.

    Jadi, jika anda mengingini mana-mana siri yang ditawarkan ini, anda boleh membidanya menerusi JPJ eBid tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa.

     
     
  • Proton R3 dilapor ditutup sepenuhnya – penampilan S70 R3 di S1K tahun lalu adalah yang terakhir

    Proton R3 dilapor ditutup sepenuhnya – penampilan S70 R3 di S1K tahun lalu adalah yang terakhir

    Selepas pelbagai khabar angin bertiup, akhirnya pasukan lumba rasmi Proton, Race.Rally.Research atau Proton R3 akhirnya dilaporkan telah ditutup sepenuhnya. Perkara ini diberitahu oleh bekas ahli pasukan berkenaan yang masih rapat dengan ahli pasukan sedia ada iaitu Suriya Sankaran bahawa divisi tersebut secara rasminya telah ditutup semalam, 11 Julai 2025.

    Menurut Suriya yang juga merupakan pengasas bersama Dream Street Restoration (DSR) iaitu pakar restorasi model-model lama Proton, beberapa kakitangan Proton R3 yang masih lagi berkhidmat telah menamatkan tugas mereka di fasiliti R3 di Shah Alam semalam, dan mereka diserapkan dalam operasi kilang pengeluaran di Shah Alam, sebelum berpindah ke kilang Tanjung Malim pada 1 Januari 2026.

    Sebelum ini Proton telah dilaporkan akan berpindah sepenuhnya ke Tanjong Malim tahun ini, selepas berakhirnya produksi model terakhir yang di buat di Shah Alam iaitu Saga MC2, manakala model terbaharu Saga yang sedang dibangunkan menerusi platform AMA dan dijangka akan dilancarkan lewat tahun ini akan terus dipasang di Tanjung Malim.

    Proton R3 dilapor ditutup sepenuhnya – penampilan S70 R3 di S1K tahun lalu adalah yang terakhir

    Rancangan Proton untuk berpindah sepenuhnya ke Tanjung Malim sudah disebut ketika 2017 lagi, ketika proses berkenaan dirancang untuk dilengkapkan selewat-lewatnya pada 2022. Namun rancangan tersebut tergendala kerana berlakunya pendemik Covid-19 pada 2020.

    Proton R3 ditubuhkan pada 2003 untuk meneruskan legasi pasukan Petronas EON Racing Team (PERT) yang membawa nama Proton dalam sukan permotoran selepas pasukan berkenaan dibubarkan. Menerusi R3, nama Proton terus menyinar dalam sukan permotoran tak kira dalam disiplin rali dan litar, dalam negara dan peringkat antarabangsa.

    Dengan jentera Satria Neo S2000, Proton pernah berlumba dalam Intercontinental Rally Challenge bermula tahun 2009 hingga 2011, S-WRC pada tahun 2012 dan Kejohanan Rali Asia Pacific (APRC) pada tahun 2010 hingga 2012.

    Proton R3 dilapor ditutup sepenuhnya – penampilan S70 R3 di S1K tahun lalu adalah yang terakhir

    Kejayaan terbesar yang dicatatkan oleh Neo S2000 ini adalah pada APRC musim 2011 apabila pemandu mereka Alister McRae (adik kepada lagenda WRC mendiang Colin McRae) dinobatkan sebagai juara keseluruhan, tempat kedua keseluruhan juga disandang pemandu Proton Motorsport Chris Atkinson (bekas pemandu Subaru World Rally Team), dan secara tidak langsung Proton Motorsport juga dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori pengeluar.

    Untuk perlumbaan litar, Proton R3 merupakan juara Merdeka Millennium Endurance untuk tahun 2004 dan 2005 menggunakan Lotus Exige 300RR, juara Kejohanan Asia Touring Car Championship 2008 kategori 1500 Max dengan Satria Neo.

    R3 juga kuasa besar dalam kejohanan Malaysia Super Series kategori Malaysia Touring Car (MTC) dengan menjadi juara musim 2007,2008, 2012, 2013, 2015 dan 2019, serta juara perlumbaan Endurance Sepang 1000km (S1K) untuk tahun 2012, 2014, 2017, 2018 dan 2019. Semua ini dicapai menerusi barisan kereta lumba R3 yang dibangunkan mengikut undang-undang MTC termasuk Satria Neo, Preve, Suprima S dan juga Iriz.

    Tahun lalu Proton R3 kembali semula ke perlumbaan S1K selepas lima tahun menyepi dari sebarang perlumbaan, mempertaruhkan dua sedan Proton S70 baharu yang turut dibina berasakan undang-undang MTC. Nampaknya perlumbaan tersebut merupakan penampilan terakhir S70 R3 MTC berkenaan di bawah panji Proton R3.

    Suriya turut memberitahu selepas ini dia akan bertemu dengan pihak pengurusan Proton untuk menentukan nasib kereta-kereta lumba di bawah jagaan Proton R3. Kereta yang masih kompetitif berlumba mungkin akan dijual ke pasukan-pasukan yang berminat, manakala kereta lumba yang bersejarah akan diusahakn untuk disimpan mungkin di muzium.

    Selain dari berlumba, sebelum ini Proton R3 turut mempunyai divisi yang membangunkan serta menjual peralatan prestasi untuk kereta-kereta Proton, serta jabatan pembangunan model-model prestasi edisi terhad yang telah memperkenalkan model-model legenda seperti Proton Satria R3, Satria Neo R3, Satria Neo R3 Lotus Racing dan banyak lagi. Divisi berkenaan telah ditutup lebih awal iaitu pada Mei 2017.

    Di bawah Geely, Proton R3 diletakkan di bawah Proton Global Service (PGS) dan dirancang untuk memulakan semula penghasilan barangan serta peralatan prestasi serta aksesori R3 untuk kereta Proton. Ia telah dimulakan dengan pengenalan minyak enjin serta penapis minyak R3 dan juga pelbagai barangan R3, namun dengan perkembangan terbaharu ini nampaknya rancangan tersebut masih lagi dalam keadaan tidak menentu. Mungkin kita perlu menunggu kenyataan rasmi dari Proton sendiri berkenaan perkara ini.

     
     
  • Hyundai Ioniq 6 N didedah – 650 PS/770 Nm; prestasi litar, mod Drift, bunyi & tukaran gear palsu lebih baik

    Hyundai Ioniq 6 N didedah – 650 PS/770 Nm; prestasi litar, mod Drift, bunyi & tukaran gear palsu lebih baik

    Sayap perlumbaan dan prestasi Hyundai N secara rasmi memperkenalkan jentera elektrik penuh (EV) kedua yang mendapat talaan penuhnya – ini dia Hyundai Ioniq 6 N yang membuat kemunculan sulung di acara Goodwood Festival of Speed (GFOS) 2025!

    Seperti hatchback Ioniq 5 N yang turut membuat penampilan pertamanya di GFOS dua tahun lalu, sedan Ioniq 6 N ini juga menerima unit rangkaian kuasa yang sama iaitu satu motor elektrik berkuasa 226 PS (166 kW) memacu roda hadapan dan satu lagi motor berkuasa 383 PS (282 kW) memacu roda belakang, menjadikan kuasa keseluruhan pacuan semua roda 609 PS/740 Nm.

    Ia turut dibekalkan dengan N Grin Boost (NGB) menerusi satu butang merah pada roda stereng, membolehkan kuasa maksima 650 PS/770 Nm dicapai dan dibekalkan dalam masa 10 saat dengan menekan butang berkenaan. Ini membolehkan Ioniq 6 N ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.2 saat (0.2 saat lebih pantas dari Ioniq 5 N) sebelum mencapai kelajuan maksima 257 km/j.

    Hyundai Ioniq 6 N didedah – 650 PS/770 Nm; prestasi litar, mod Drift, bunyi & tukaran gear palsu lebih baik

    Walaupun kuasa yang dihasilkan dilihat sama, Ioniq 6 N ini sebenarnya menerima beberapa penambahbaikkan berbanding Ioniq 5 N bagi memberikan prestasi pemanduan di litar yang lebih baik. Motor elektrik pada sedan ini diberikan magnet yang dipertingkat serta struktur penyejukkan pada rotor bagi melambatkan nyahkadaran.

    Bateri nikel mangan kobalt (NMC) 84 kWj yang dibekalkan masih lagi sama, tetapi perisian kawalan pengurusan bateri tersebut dipertingkat dengan penambahan fungsi N Battery bagi memastikan suhu operasi berada pada tahap optimum.

    Fungsi ini beroperasi sekali dengan fungsi sedia ada seperti N Race dan N Battery Conditioning, bagi memastikan kuasa puncak dapat diberikan lebih tinggi, dalam masa lebih lama. Kawalan pada bateri ini membolehkan beberapa mod dihasilkan iaitu Endurance, Drag dan Sprint.

    Hyundai Ioniq 6 N didedah – 650 PS/770 Nm; prestasi litar, mod Drift, bunyi & tukaran gear palsu lebih baik

    Fungsi lain yang dikongsi dari Ioniq 5 N termasuk N Drift Optimiser yang membantu mengagihkan tork pada roda menggunakan kawalan kestabilan supaya pemandu mudah melakukan aksi drift. Sistem ini turut diperkemas dengan tambahan fungsi yang membolehkan pemandu melaras bagaimana untuk memulakan drift serta tahap penghasilan gelinciran pada tayar mengikut kesesuaian kemahiran serta gaya pemanduan masing-masing. Ia juga menerima N Torque Distribution yang membolehkan agihan tork antara gandar hadapan dan belakang dilaras.

    Fungsi ikonik Ioniq 5 N iaitu N e-Shift dan N Active Sound + yang menghasilkan bunyi enjin serta rasa tukaran gear palsu turut dibawa ke Ioniq 6 N. Namun ia menerima pelarasan semula bagi memberikan rasa nisbah gear yang lebih pendek untuk pecutan yang lebih pantas. Kedua-dua fungsi ini juga kini telah disepadukan dengan fungsi lain seperti launch control, N Drift Optimiser dan N Torque Distribution. Manakala fungsi shift light bukan hanya diberikan pada paparan instrumen, malah ia turut dipancarkan ke paparan head-up dan berkelip sekali dengan lampu suasana kabin.

    Manakala untuk fungsi N Active Sound +, bunyi Supersonic seperti bunyi jet pejuang telah digantikan dengan bunyi Lightspeed, disifatkan sebagai bunyi “fiksyen sains futuristik”. Bunyi-bunyi palsu ini juga kini lebih baik dengan Acoustic Design Processor (ADP) yang lebih berkuasa, dibantu dengan pembesar suara luar yang lebih kuat membolehkan pejalan kaki mendengar “bunyi enjin” EV ini dengan lebih kuat.

    Hyundai Ioniq 6 N didedah – 650 PS/770 Nm; prestasi litar, mod Drift, bunyi & tukaran gear palsu lebih baik

    Sistem N Track Manager yang membolehkan prestasi anda di litar dianalisa juga dikemaskini. Fungsi ini sekarang membolehkan antara mencipta litar sendiri dan kemudian mencatatkan masa lap secara automatik. Kemudian data tersebut boleh dilihat semula, malah turut ada fungsi ghost car untuk melihat tayangan semula catatan masa tersebut seperti dalam permainan video.

    Rupa luaran Ioniq 6 N ini dengan Ioniq 6 biasa mungkin nampak hampir sama, namun ia menampilkan banyak perubahan disebaliknya. Hyundai N telah merombak semula sepenuhnya geometri suspensi sedan ini dengan mengalihkan kawasan-kawasan utama ke pusat graviti lebih rendah.

    Sudut caster suspensi hadapan ditambah bagi memberikan pelbagai kesan termasuk tindak balas stereng dan juga kestabilan pada kelajuan tinggi. Casis kereta ini juga telah diperkuat menerusi penambahan cross bar pada bahagian bulkhead belakang, penutup lantai bawah lebih keras serta penambahan pendakap-pendakap pada cagak suspensi, lantai belakang dan panel suku.

    Hyundai Ioniq 6 N didedah – 650 PS/770 Nm; prestasi litar, mod Drift, bunyi & tukaran gear palsu lebih baik

    Ia kemudiannya dilengkapkan dengan set bushing suspensi yang lebih keras bersama penyerap hentak adaptif yang mengesan strok dengan pelarasan serapan hentakan yang lebih luas.

    Pada bahagian luaran, rekaan Ioniq 6 N ini banyak dipengaruhi oleh model konsep “makmal bergerak” RN22e, di mana model konsep tersebut juga sebenarnya diasaskan dari Ioniq 6. Ia masih lagi mengekalkan asas muka Ioniq 6 facelift dengan lampu nyalaan siang yang begitu nipis terletak di atas.

    Lampu utama pula berada pada bampar, namun versi lebih agresif ini menampilkan liang ambilan udara yang lebih besar. Manakala di belakang versi N penuh ini menerima spoiler dengan sayap yang dipegang oleh ‘leher angsa’.

    Hyundai Ioniq 6 N didedah – 650 PS/770 Nm; prestasi litar, mod Drift, bunyi & tukaran gear palsu lebih baik

    Sama seperi Ioniq 5 N, Ioniq 6 N ini juga menampilkan badan lebih lebar, khususnya pada bahagian fender untuk memuatkan set rim aloi forged 20-inci yang lebih besar dan lebar, dibalut dengan tayar Pirelli P Zero yang didakwa dibangunkan khas untuk model ini. Seperti biasa, model ini juga tampil dengan warna badan Performance Blue sebagai warna hero sebuah model N penuh.

    Sistem brek yang dibekalkan bukan sahaja lebih besar, malah turut dibantu oleh sistem regenarative braking dengan daya sehingga 0.6 g. Sistem itu juga dipertingkat bagi membolehkan brek regen tersebut berfungsi sehingga 0.35 g walaupun ABS sedang diaktifkan, mengelakkan brek utama menjadi terlalu panas dan kehilangan fungsi ketika digunakan di litar.

    Ia juga mempunyai fungsi N Pedal, di mana ia akan membantu berat dialih kehadapan sebaik pedal pendikit diangkat dengan menggunakan brek regen sehingga 0.3 g, memudahkan bahagian hadapan masuk ke selekoh yang lebih tajam.

    Dalam kabin pula antara perincian N yang diberikan termasuk roda stereng tiga jejari dengan dua butang N yang boleh disusun atur fungsinya, tempat duduk bucket dengan logo N dan juga serlahan-serlahan warna Performance Blue termasuk pada tali pinggang keledar, serta cagak khas pada bumbung untuk meletakkan kamera aksi.

    Tidak pasti sama ada Hyundai Ioniq 6 N ini akan tiba di Malaysia atau tidak, kerana Ioniq 5 N yang sebelum ini nampak bakal dilancarkan juga seperti sudah dibatalkan. Baru-baru ini Hyundai Motor Malaysia (HMY) iaitu syarikat prinsipal terus dari Hyundai Motor telah mengambil alih hak pengedaran jenama Korea Selatan itu di Malaysia dari Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), dan antara perancangan yang diumumkan adalah untuk tidak mengutamakan pelancaran model-model EV baharu ke pasaran tempatan.


     
     
  • Volkswagen ID.3 GTX Fire+Ice dikeluarkan terhad 1,990 unit – inspirasi daripada Golf Mk2 tahun 90-an

    Volkswagen ID.3 GTX Fire+Ice dikeluarkan terhad 1,990 unit – inspirasi daripada Golf Mk2 tahun 90-an

    Setahun selepas memperkenalkan model konsep di acara ID. Treffen di Locarno, Switzerland, Volkswagen kini bersedia untuk memasarkan model edisi terhad ID.3 GTX Fire+Ice. Model ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 1,990 unit di seluruh dunia, sebagai penghormatan kepada model klasik Golf Mk2 Fire and Ice dari tahun 1990 – hasil kerjasama asal dengan jenama pakaian sukan Bogner Fire+Ice yang mempunyai ramai peminat sehingga sekarang.

    Untuk pasaran Jerman, harga ID.3 GTX Fire+Ice bermula dari 56,020 euro, bersamaan kira-kira RM278,000. Ia masih mengekalkan asas ID.3 GTX dan pembeli boleh memilih antara dua varian – 286 PS atau 326 PS – daripada motor elektrik pacuan belakang. Tork kedua-duanya adalah 545 Nm. Versi lebih berkuasa mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat sebelum dihadkan secara elektronik kepada 200 km/j. Suspensi adaptif DCC disediakan secara standard untuk model 326 PS, sementara untuk varian 286 PS ia adalah pilihan tambahan.

    Bateri lithium-ion berkapasiti 79 kWh menyokong pengecasan pantas DC sehingga 185 kW, membolehkan pengecasan dari 10% hingga 80% dilakukan dalam masa sekitar 26 minit. Dengan cas penuh, jarak garak mengikut kitaran WLTP mencecah 591 km – angka yang sangat memuaskan bagi sebuah hatchback elektrik berprestasi tinggi.

    Rekaan luar model ini menampilkan sentuhan istimewa – warna badan Ultra Violet Metallic yang diinspirasikan daripada model asal 1990, jalur bingkai bumbung berwarna merah, pelekat lut sinar “Fire+Ice” pada tiang-C, logo Fire and Ice era 90-an pada spoiler bumbung, rim Locarno 20 inci dengan penutup tengah GTX berwarna merah serta lampu belakang gelap. Satu lagi ciri unik tambahan adalah apabila pintu dibuka, grafik ‘api’ akan dipancarkan ke atas lantai di sisi pemandu, manakala grafik ‘ais’ muncul di sisi penumpang.

    Bahagian dalaman juga diberi sentuhan eksklusif – tempat duduk berjahit quilted dengan warna khas ‘On Fire Red’ untuk pemandu dan ‘Keep Cool Blue’ untuk penumpang hadapan. Stereng, papan pemuka, trim pintu dan karpet turut menerima jahitan dan logo berwarna mengikut tema Fire+Ice.

    Dari segi kelengkapan, ID.3 GTX Fire+Ice hadir dengan pelbagai ciri standard seperti suspensi sport, pakej Interior Plus (tempat duduk sukan dengan fungsi urut, head-up display A.R dan sistem bunyi Harman Kardon), pakej Convenience (navigasi dan kawalan suhu dua zon), serta pakej Assistance (Park Assist Plus, kamera undur, akses tanpa kunci dan kawalan jarak ACC).

     
     
  • Proton Saga MC3 2025 dengan sensor LiDAR dilihat diuji di Putrajaya — sedang lakukan kalibrasi ADAS?

    Proton Saga MC3 2025 dengan sensor LiDAR dilihat diuji di Putrajaya — sedang lakukan kalibrasi ADAS?

    Sekali lagi, model Proton Saga MC3 2025 dilihat sedang diuji, kali ini di Putrajaya. Tetapi, ada kelainan yang dapat dilihat: ada sesuatu yang dipasang di bahagian bumbung, dan kami jangkakan itu adalah sensor LiDAR untuk tujuan kalibrasi sistem bantuan pemanduan canggih (ADAS).

    Ya, model Saga akan datang ini akan dilengkapi dengan ADAS, walaupun mungkin itu hanya akan ditawarkan untuk varian paling tinggi, sama seperti X50 facelift dan S70 sedan. Lebih menarik, ini adalah kali pertama Proton melakukan kalibrasi ADAS sendiri, kerana model sebelum ini semuanya merupakan model dari Geely dengan teknologi dan perisian sedia ada.

    Bulan lalu, Proton mengesahkan bahawa Saga baru ini akan dilengkapi ADAS. Ia terselit dalam satu hebahan media bersama vendornya, dengan menyebut barisan produk akan datang dan yang dilancarkan bermula tahun ini, termasuk platform AMA terbaru untuk model peringkat kemasukan.

    Proton Saga MC3 2025 dengan sensor LiDAR dilihat diuji di Putrajaya — sedang lakukan kalibrasi ADAS?

    Antara yang menarik adalah kerjasama antara Imotion Automotive Technology dari China dengan vendor jangka panjang Proton, Delloyd Technology, yang akan membolehkan syarikat China itu membantu “mempercepatkan pembangunan dan aplikasi sistem ADAS untuk AMA01.” Saga merupakan model yang berasaskan AMA yang akan dilancarkan tahun ini.

    Kita perlu menunggu untuk mengetahui pakej ADAS dengan kelengkapan yang bagaimana akan ditawarkan untuk Saga nanti — mungkin akan sedikit ringkas disebabkan segmen dan harga jualan Saga sebagai model peringkat kemasukan. Apa pun, untuk dilengkapi dengan ciri AEB sahaja pun sudah cukup baik untuk Saga dan meletakkannya setara dengan Perodua Bezza, yang datang dengan pilihan AEB dalam pakej ASA 2.0 yang ditawarkan sejak 2020.

    Saga baru ini juga akan menampilkan rekaan luaran yang diperbaharui, berasaskan rekaan Saga semasa yang diilhami sejak model BLM pada 2008 lagi. Daripada gambar yang bocor sebelum ini, Saga dilihat menggunakan lampu utama projektor, gril berkelebaran penuh dengan bahagian “busur” krom serta rekaan bampar baru.

    Proton Saga MC3 2025 dengan sensor LiDAR dilihat diuji di Putrajaya — sedang lakukan kalibrasi ADAS?

    Di dalam, perubahan yang dilakukan lebih banyak: papan pemuka baru, paparan skrin lebar untuk panel instrumen dan infotainmen, corong pendingin bentuk bujur serta suis pendingin rekaan baru. Roda stereng juga baru dengan tiga-jejari dan rata di bahagian bawah yang dipinjam dari X50.

    Hasil perkembangan dengan X50, kami menjangkakan Saga baru ini akan menampilkan enjin versi NA bagi unit 1.5 liter i-GT TD turbo empat-silinder yang digunakan X50 terbaru — dan ia memang padan untuk kegunaan Saga, dan tersedia dalam katalog produk semasa Aurobay (bahagian janaan kuasa Geely di Sweden, kini juga sebahagian Horse Powertrain).

    Daripada dua unit NA dalam keluarga enjin terbabit, unit BHE15PFI adalah yang paling rendah-kos, dengan suntikan port dan kelihatan sangat sesuai untuk ditawarkan untuk Saga. Janaan unit DOHC VVT-nya ialah 99 PS dan 110 PS pada 6,000 rpm dan antara 125 Nm hingga 135 Nm tork dari 4,000 rpm-5,000 rpm. Saga dengan platform AMA ini akan dilancarkan dalam tahun ini.

     
     
  • Konvoi motosikal halang kenderaan lain atas jalan raya boleh didakwa, Bukit Aman keluarkan amaran

    Konvoi motosikal halang kenderaan lain atas jalan raya boleh didakwa, Bukit Aman keluarkan amaran

    Ini bukan benda baru, dan sekali lagi ia berlaku dan menjadi tular di laman media sosial. Sekumpulan penunggang motosikal berada di lorong kiri sambil diiringi oleh beberapa “penjaga” yang biasanya digelar sebagai marshal dan dalam video yang dimuat naik oleh pengguna @turtleispenyu dalam Tiktok, kelihatan ada marshal yang berada di laluan tengah seakan menghalang pergerakan kenderaan lain.

    Susulan daripada video ini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengeluarkan amaran bahawa penggunaan marshal atau pengiring untuk mengawal lalu lintas semasa pergerakan konvoi adalah dilarang sama sekali – lapor Bernama.

    Beliau menegaskan bahawa tindakan boleh diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menjalankan tugas kawalan lalu lintas tanpa kehadiran polis trafik. Jika didakwa dan disabit kesalahan mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987, pesalah boleh dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau hukuman penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

    @turtleispenyu

    Aku pagi2 auto baran tau. Pakai vest ada tulis POLIS/AADK automatic boleh block2 jalan, tahan kete lori atas highway ke?!!

    ♬ original sound – Hunter 🎣

    Menurut beliau, setiap pergerakan berkumpulan atau konvoi perlu dimaklumkan kepada pihak polis terlebih dahulu untuk tujuan penyelarasan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya. Sekiranya sesebuah konvoi motosikal tidak menerima bantuan kawalan keselamatan rasmi daripada pihak polis, mereka wajib mematuhi sepenuhnya segala peraturan lalu lintas yang ditetapkan.

    Kejadian terbaru yang tular ini dipercayai berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Nilai, Negeri Sembilan dan pihak polis mengingatkan bahawa tindakan seperti ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

     
     
  • Xpeng G6 facelift ditemui di Glenmarie, bakal dilancar?

    Xpeng G6 facelift ditemui di Glenmarie, bakal dilancar?

    Model yang kelihatan seperti Xpeng G6 facelift tahun 2025 ditemui di Glenmarie, satu lokasi yang juga merupakan ibu pejabat Xpeng Malaysia. Gambarnya dimuat naik oleh pengguna Fareez Azhar dalam kumpulan Facebook paultan.org Automotive/Car Discussion sekaligus memberi bayangan kuat bahawa pelancaran tempatan model facelift ini mungkin akan berlaku tidak lama lagi.

    Xpeng G6 yang ada dalam pasaran sekarang dilancarkan di Malaysia pada Ogos 2024. Maka, tidak mustahil versi baru ini sedang dipersiapkan untuk kemasukan ke pasaran Malaysia. Di China, G6 facelift ditawarkan dalam tiga varian dengan harga bermula dari RMB176,800 (RM105,000) hingga RMB198,800 (RM118,000). Dua varian pertama dilengkapi bateri 68.5 kWh dengan jarak gerak CLTC sehingga 625 km, manakala varian tertinggi menggunakan bateri 80.8 kWh yang mampu memberikan jarak 725 km.

    Ketiga-tiga varian menggunakan motor elektrik tunggal berkuasa 296 PS dan tork 450 Nm yang memacu roda belakang dan menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat. Jika dibandingkan dengan model sebelum facelift, jarak pemanduan juga berubah seiring dengan kapasiti bateri – sebelum ini 66 kWh dengan jarak 580 km dan 87.5 kWh dengan jarak 755 km.

    Xpeng G6 facelift ditemui di Glenmarie, bakal dilancar?

    Perubahan paling ketara pada G6 facelift adalah pada sistem pengecasannya. Model ini masih menggunakan struktur 800 volt, namun kadar pengecasan dipertingkat daripada 3C ke 5C. Secara teori, ini membolehkan pengecasan penuh dilakukan dalam masa hanya sekitar 12 minit dari 10% ke 80%. Buat masa ini, belum dapat dipastikan sama ada versi pacuan semua roda (AWD) akan diperkenalkan di Malaysia atau tidak. Sebagai rujukan, model AWD sebelum ini hadir dengan kuasa 487 PS, tork 660 Nm dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat, tetapi masih belum masuk ke Malaysia.

    Dari aspek reka bentuk, logo Xpeng kini dipindahkan ke bahagian bonet, membolehkan jalur lampu depan penuh disambungkan merentasi bahagian hadapan. Reka bentuk rim aloi juga diperbaharui, bersama spoiler belakang gaya ‘ducktail’ dan perincian hitam seperti kit badan serta angkup brek.

    Dimensi kereta masih mengekalkan lebar 1,920 mm, tinggi 1,650 mm dan jarak roda 2,890 mm. Panjang keseluruhan bertambah sedikit sebanyak 5 mm kepada 4,758 mm. Di dalam kabin, terdapat skrin sesentuh baru bersaiz 15.6 inci (berbanding 14.9 inci sebelum ini), disertai panel instrumen digital 10.25 inci yang sama. Stereng kini menggunakan kawalan sentuhan kapasitif, lubang pendingin hawa direka semula dan tempat duduk hadapan hadir dengan fungsi urutan.

    Tempat duduk belakang kini boleh dilaraskan pada 12 tahap dari sudut 27 hingga 38.4 darjah. Lampu suasana juga dipertingkat dengan efek ‘galaxy rhythm array’ dan ‘four-door diffuse reflection’. Bahan dalaman turut ditambah baik dengan kemasan baldu di siling, panel pintu berlapis kulit, trim papan pemuka bercorak kayu dan permukaan lembut di kawasan pengecas tanpa wayar.

    Sama seperti facelift yang diberi pada X9, G6 facelift turut menerima sistem pemanduan pintar yang dipacu oleh cip Turing AI yang dibangunkan sendiri oleh Xpeng. Perkakasannya termasuk dua cip Nvidia Drive Orin dengan kuasa pemprosesan keseluruhan sebanyak 508 TOPS.

    Segala petunjuk ini memberi isyarat bahawa Xpeng G6 facelift sudah hampir bersedia untuk menembusi pasaran Malaysia. Kita hanya perlu tunggu pengumuman rasmi daripada pihak Xpeng Malaysia dalam masa terdekat.

    GALERI: Xpeng G6 facelift di Shanghai

     
     
  • Mazda CX-5 2026 didedah di Eropah – lebih besar dan praktikal, papan pemuka ringkas tanpa suis fizikal

    Mazda CX-5 2026 didedah di Eropah – lebih besar dan praktikal, papan pemuka ringkas tanpa suis fizikal

    Mazda secara rasminya telah mendedahkan model generasi ketiga untuk SUV segmen-C Mazda CX-5 yang bakal menggantikan model generasi sedia ada yang sudahpun berada lapan-tahun dalam pasaran. Model generasi baharu ini masih menerima prinsip rekaan ‘kodo-design’ signatur Mazda – walaupun nampak macam hampir sama seperti model sebelum ini, namun ia kini sebenarnya lebih besar untuk memberikan praktikaliti yang lebih baik, berbanding versi sebelumnya yang hanya mementingkan rupa sporty dan prestasi pemanduan semata-mata.

    Mazda CX-5 2026 ini menampilkan dimensi panjang 4,690 mm, lebar 1,860 mm dan tinggi 1,695 mm. Ini bermakna model generasi baharu ini adalah 115 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dan juga 15 mm lebih tinggi dari model sebelumnya. Menurut Mazda jarak roda model generasi baharu ini juga lebih jauh (namun tidak memperincikan angkanya), membolehkan ruang kabin direka lebih luas, dalam masa yang sama turut memberikan pengendalian yang lebih stabil.

    Dengan badan yang lebih tinggi, Mazda bukan hanya dapat menyediakan ruang kepala yang lebih selesa kepada penumpang, malah pintu belakang SUV ini dapat direka dengan bukaan lebih luas bagi membolehkan penumpang masuk dan keluar dengan lebih mudah – penumpang yang tinggi tidak perlu terlalu menunduk, manakala penumpang kanak-kanak dan juga warga emas juga lebih mudah masuk kerana bendul pintu yang direka lebih rendah.

    Mazda CX-5 2026 didedah di Eropah – lebih besar dan praktikal, papan pemuka ringkas tanpa suis fizikal

    Saiz badan yang lebih besar dan panjang ini juga memberikan ruang but 61 liter lebih luas berbanding model generasi sebelumnya. Malah ia bukan soal ruang semata-mata, kerana Mazda menghasilkan pintu tailgate belakang juga dengan bukaan lebih luas dan bahagian bawah lebih rendah bagi memastikan barang yang besar boleh dimasukkan dengan mudah ke ruang berkenaan.

    Untuk pengayaan luaran, Mazda menyatakan rekaan Kodo pada SUV serba baharu ini menerapkan konsep “Wearable Gear”. Lampu hadapan masih direka nipis, namum kali ini ia kelihatan seperti sebahagian dari gril hadapan berwarna hitam yang masih lagi besar. Gril bawah bampar CX-5 baharu ini juga nampak lebih besar dari model sebelum ini.

    Secara asasnya identiti bayangan sisi badan CX-5 ini masih dikekalkan, namun untuk menghasilkan pintu belakang dan dan pintu tailgate yang lebih praktikal tadi menyebabkan garis bumbung belakang nampak lebih tinggi dan kurang landai. Ruang roda model baharu ini juga nampak lebih ‘petak’ berbanding model lama yang lebih bulat.

    Mazda CX-5 2026 didedah di Eropah – lebih besar dan praktikal, papan pemuka ringkas tanpa suis fizikal

    Di belakang pengayaan lampu diubah terus dengan rekaan kluster berbentuk-L yang lebih nipis dan panjang seperti dari barisan SUV lebih besar Mazda CX-60 dan CX-80. Tiada logo ‘M’, tetapi menampilkan skrip ‘MAZDA’ baharu yang lebih ringkas dilekat di tengah pintu tailgate. Sepasang tip ekzos bulat masih kelihatan pada kedua-dua sisi bahagian belakang CX-5 baharu ini.

    Untuk bahagian dalaman, CX-5 nampaknya cuba merapatkan jurang dengan saingan-saingannya dari China. Tiada lagi suis-suis fizikal untuk kawalan suhu dan penghembus penghawa dingin serta kawalan audio, di mana semuanya telah dipindahkan ke skrin sesentuh gergasi dengan pilihan saiz 12.9-inci dan 15.6-inci yang diletakkan di tengah papan pemuka.

    Konsol gear juga nampak lebih ringkas dengan hanya menampilkan suis untuk brek parkir elektronik serta fungsi auto hold, dan tiada lagi suis putar serta suis tekan Mazda Commander, serta tiada lagi suis pemilih mod pemanduan. Ia juga mempunyai pad pengecas telefon pintar tanpa wayar yang terletak di bawah perehat tangan.

    Bagi sistem infotainmen, selain skrin yang dibekalkan kini semakin besar, CX-5 2026 ini juga merupakan model pertama Mazda yang dibekalkan dengan servis Google bina dalam, memberikan fungsi seperti Google Maps, kawalan menggunakan suara AI Gemini, Google Apps Store dan banyak lagi. Sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara juga dibekalkan pada varian terpilih.

    Untuk pemandu, maklumat pemanduan diberikan menerusi paparan instrumen digital bersaiz 10.25-inci. Roda stereng juga menerima rekaan baharu, di mana ia turut menampilkan skrip Mazda pada modul beg udara dan tidak menggunakan logo ‘M’.

    Pelbagai tema warna dan upholsteri ditawarkan untuk kabin CX-5 ini, termasuk kulit dalam kemasan hitam atau tan, kulit sintetik kemasan hitam dan putih serta material sued. Bergantung pada varian, pembeli turut ditawarkan dengan bumbung kaca panaromik.

    Bagi unit rangkaian kuasa, nampaknya masih belum ada teknologi baharu ditampilkan oleh Mazda untuk CX-5 generasi terkini ini. Buat masa sekaran model pasaran Eropah disahkan hanya ditawarkan dengan hanya satu pilihan penggerak iaitu e-SkyActiv-G yang menggandingkan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris dan juga sistem hibrid ringkas 24-volt.

    Namun enjin berkenaan ditala dengan kuasa lebih rendah iaitu 141 PS dan tork maksima 238 Nm berbanding 195 PS sebelum ini pada enjin 2.5 liter yang sama, mungkin untuk membolehkan ia melepasi undang-undang emisi yang semakin ketat di benua berkenaan. Kuasa dialirkan ke kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 10.5 saat.

    Sebelum ini Mazda pernah mengumumkan bahawa ia akan memperkenalkan enjin generasi baharu dikenali sebagai SkyActiv-Z yang lebih efisien, didakwa mampu beroperasi dengan campuran bahan api dan udara pada tahap 1 lambda hampir pada setiap tahap rpm, namun ia hanya akan muncul pada akhir 2027.

    Manakala untuk casis, CX-5 generasi baharu ini menampilkan teknologi brake-by-wire. Ia juga masih ditawarkan sama ada dalam versi pacuan roda hadapan dan pacuan semua roda, dan kini ia didakwa mempunyai kemampuan menunda sehingga 2,000 kg.

    Mazda CX-5 generasi ketiga ini akan mula dijual di Eropah bermula akhir tahun ini – di Jerman, ia dijual pada harga bermula €34,500 (RM172,000). Selepas itu ia turut akan masuk ke pasaran-pasaran lain bermula pada 2027.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025