Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • SDAC anjur promosi hebat bagi Ford Fiesta dan EcoSport – rebat tunai dan bayaran bulanan rendah

    Pengedar Ford, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) sedang menawarkan rebat tunai menarik sehingga RM6,000 serta bayaran bulanan lebih rendah untuk varian Fiesta dan EcoSport di seluruh negara, mulai sekarang hingga 30 April.

    Pelanggan yang membeli Ford Fiesta 1.5L Titanium akan menerima rebat tunai sehingga RM6,000. Sementara mereka yang memilih Ford Fiesta 1.5L Sport pula boleh menikmati rebat tunai sebanyak RM4,000. Bayaran bulanan juga rendah iaitu hanya RM588 untuk kedua-dua varian Fiesta tersebut.

    Pelanggan yang membeli Ford EcoSport 1.5L Titanium akan menerima rebat tunai sehingga RM5,000, sebagai tambahan kepada bayaran bulanan sebanyak RM718.

    EcoSport dijanakan oleh enjin petrol 1.5 liter Twin Independent Variable Camshaft Timing (Ti-VCT) empat-silinder. Ia mampu menjana kuasa sehingga 110PS dan tork puncak mencecah 142Nm. Malah ia juga dipadankan dengan transmisi automatik PowerShift enam-kelajuan yang ultra efisien dengan ciri Select Shift.

    Manakala Fiesta 1.5L pula dikuasakan oleh enjin 1.5 liter Durated Ti-VCT empat-silinder dengan output 112 PS pada 6,300 rpm dan tork 140 Nm pada 4,400 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi PowerShuft enam kelajuan.

    Untuk ketenangan minda, pelanggan yang membeli mena-mana daripada tiga varian ini boleh menikmati jaminan pengilang selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km. Di samping jaminan tambahan selama dua tahun atau 100,000km menerusi Program Jaminan Lanjutan SDAC tanpa kos ekstra.

    “Menyediakan pengalaman pemilikan yang hebat bermula dengan alu-aluan yang mesra. Apa yang pasti, gabungan tawaran rebat, bayaran bulanan rendah dan jaminan lanjutan SDAC secara percuma ini merupakan satu cara terbaik untuk mengalu-alukan kedatangan pelanggan baharu ke dalam keluarga Ford,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz.

     
     
  • GALERI: Mazda CX-3 Racing Concept dipamerkan di Bangkok – lebih garang walaupun dengan kit ringkas

    Mazda_Cx-3-2_BM

    Mazda CX-3 Racing Concept yang pernah membuat penampilan di Tokyo Auto Salon 2016, kini dipamerkan pula di Bangkok Motor Show 2016. Kereta ini diubahsuai oleh pihak Mazda sendiri berdasarkan crossover Mazda CX-3, menjadikan ia sebuah kereta dengan rekabentuk yang lebih menarik. Kereta ini kelihatan agak garang walaupun tanpa pengubahsuaian yang melampau seperti spoiler besar mahupun kit badan yang lebih lebar.

    CX-3 ini dilengkapi dengan kit aero Mazdaspeed asli yang diwarnakan dengan warna merah sementara keseluruhan badan kereta ini diwarnakan dengan warna hitam, bagi memberikan efek kontras dan menonjolkan lagi kit aero tersebut. Kit Mazdaspeed tersebut terdiri daripada sepasang sayap yang dipasang disisi bampar hadapan, skirt sisi, dan juga elemen kemasan bahagian belakang di bawah tip ekzos.

    Mazda_Cx-3-5_BM

    Beberapa dekal dilekatkan di bahagian sisi dan hadapan kereta bagi melengkapkan rupa parasnya. Kesemua cakera brek kereta ini ditebuk dan angkup breknya diwarnakan dengan warna merah serta tulisan ‘Mazda’ pada angkup tersebut diserlahkan dengan warna putih. Akhir sekali CX-3 Racing Concept ini dilengkapkan dengan roda aloi gergasi bersaiz 20-inci berjejari halus bersalut tayar berprofil rendah.

    Pada bahagian dalaman pula, kereta ini dilengkapi dengan pelapik pedal aluminium serta papan pemuka dibaluti dengan Alcantara. Tempat duduk turut ditukar dengan tempat duduk yang lebih sporty dari Mazdaspeed juga datang dengan kemasan balutan Alcantara.

     
     
  • Toyota Corolla Altis facelift didedahkan – bakal muncul pada 2017 di Australia dilengkapi, beberapa ciri baharu

    2017-Toyota-Corolla-01_BM

    Beberapa imej Toyota Corolla Altis facelift 2017 secara rasminya telah didedahkan. Asas rekabentuk Corolla baharu ini masih lagi kelihatan sama tetapi dilengkapi beberapa ciri dan teknologi baharu. Sedan tersebut bakal dilancarkan di Australia bermula suku pertama tahun hadapan.

    Lampu hadapan direka semula bagi membolehkan ia seiring dengan bampar dan juga gril hadapan yang menampilkan rekaan baharu yang lebih menarik dan segar. Pada bahagian belakang pula Corolla Altis ini menerima sepasang lampu belakang baharu dengan teknologi LED.

    ZR iaitu varian tertinggi dalam barisan Corolla Altis di Australia akan dilengkapi dengan lampu hadapan LED baharu serta lampu nyalaan siang LED. Ia juga turut hadir dengan pembuka pintu bersalut krom serta kemasan belakang dengan trim krom yang lebih nipis menghubungkan kedua belah lampu belakang.

    Ciri keselematan turut mendapat peningkatan menerusi sistem pra-pelanggaran (PCS), lane departure alert (LDA), dan juga lampu tinggi automatik (AHB) yang dilengkapkan. Sistem tersebut menggunakan laser dan kamera yang diletakkan dibahagian atas cermin hadapan. Sistem ini dilengkapkan secara standard pada varian tertinggi manakala untuk varian lebih rendah iaitu varian Ascent dan SX, ia ditawarkan sebagai opsyen pilihan.

    Tiada pengumuman berkenaan unit janakuasa yang akan dibekalkan untuk model facelift, tetapi boleh dijangkakan ia bakal dikuasakan dengan unit janakuasa yang sama seperti model sedia ada. Untuk pasaran Malaysia, Corolla Altis dikuasakan dengan dua pilihan enjin iaitu enjin 2ZR-FE 1.8 liter berkuasa 139 PS/173 Nm dan enjin 3ZR-FE 2.0 liter berkuasa 145 PS/187 Nm. Kedua-dua enjin tersebut dipadankan bersama kotak gear CVT automatik dengan mod tujuh-kelajuan.

     
     
  • Empat stesen LRT di Puchong mula operasi 31 Mac ini

    lrt-depot

    Lagi empat stesen LRT dari jajaran LRT Ampang iaitu IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong dan Bandar Puteri akan mula beroperasi pada 31 Mac ini.

    Pengumuman ini dilakukan oleh Presiden dan CEO Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd Datuk Azmi Aziz ketika sesi perbentangan oleh delegasi Malaysia dalam persidangan Asia Pacific Rail 2016 di Hong Kong semalam.

    Menurut Prasarana, dengan sejumlah 33 stesen yang beroperasi minggu hadapan, jajaran Ampang turut menjanjikan kemudahan bagi pengguna yang menetap dan bekerja di Puchong, khususnya di sekitar Bandar Puchong Jaya, laporan The Star.

    Tiga daripada empat stesen yang diumumkan ini terletak selari dengan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), yang dihubungkan terus ke Puchong.

    Menurut laporan akhbar berkenaan, sesetengah pengguna turut meluahkan rasa kecewa apabila operasi tiga stesen terakhir iaitu Puchong Perdana, Puchong Prima dan Putra Height ditangguhkan.

    Namun satu sumber memberitahu, pembukaan tiga stesen terakhir bagi jajaran Ampang ini kemungkinan besar akan beroperasi selewat-lewatnya Jun ini.

    Malah pada Jun ini juga, sebanyak 14 stesen LRT dari jajaran Kelana Jaya akan mula beroperasi. Ia melengkapkan lagi program sambungan LRT yang pertama kali diumumkan pada tahun 2006.

    Pada Oktober tahun lalu, empat buah stesen iaitu Awan Besar, Kampung Muhibbah, Alam Sutera dan Bandar Kinrara 5 (BK5) mula beroperasi.

    Sambungan bagi jajaran Ampang adalah bermula stesen Sri Petaling, merentasi Kinrara dan berakhir di Putra Height, Puchong.

    Sambungan jajaran sepanjang 18.1 km dengan 12 stesen ini menjadikan panjang keseluruhan jajaran Ampang ialah 45.1 km.

     
     
  • Proton lantik CEO baharu mulai 1 April 2016

    Proton-CEO-Datuk-Ahmad-Fuaad

    CEO Proton yang baharu Datuk Ahmad Fuaad (berdiri kanan)

    Tampuk kepimpinan Proton berubah sekali lagi dengan perlantikan Dato’ Ahmad Fuaad Mohd. Kenali sebagai Ketua pegawai Operasi (CEO) baharu, menggantikan Datuk Abdul Harith Abdullah, berkuatkuasa 1 April ini.

    Pada masa ini, Ahmad Fuaad memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) di DRB-HICOM. Sebelum menyertai DRB-HICOM, beliau turut memegang jawatan yang sama di Astro Malaysia Holdings Berhad. Dan pernah berkhidmat dengan Arthur Andersen & Co, Petaling Garden dan Ernst & Young pada masa lalu.

    Proton turut melantik Timbalan CEO baharu, iaitu Datuk Radzaif Mohamed, yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi, Pembuatan & Pengedaran Automotif di DRB-HICOM.

    Dengan perlantikan baharu ini, Datuk Harith akan kembali ke DRB-HICOM dan mengambil posisi yang dikosongkan oleh Datuk Radzaif.

     
     
  • Kerajaan terpaksa menanggung bayaran RM1 billion kepada syarikat konsesi jika tol tidak naik tahun ini

    Karak-highway-02

    Jika syarikat konsesi tol tidak menaikkan kadar mereka yang dijangka tahun ini, kerajaan terpaksa membayar ganti rugi kepada mereka sebanyak RM1 billion. Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata angka tersebut adalah seganda dari jumlah bayaran asal yang di cadangkan oleh kerajaan.

    Menurut The Star, kos penyelenggaraan tambahan untuk memastikan lebuhraya dalam keadaan yang baik adalah punca utama kenaikan ini. “Mereka perlu menyelenggara dan melakukan servis pada jalan raya, dan mereka juga perlu menaiktaraf pekerja dan jabatan mereka,” jelas Fadillah.

    Walaubagaimana pun, dengan pengumuman sebelum ini, masih lagi tiada kenaikan terhadap kadar tol disaksikan tahun ini. “Buat masa ini belum ada keputusan, kami masih lagi berbincang berkenaan isu ini,” kata Fadillah kepada wartawan. “Kami perlu mempertimbangkan semua aspek dan berdasarkan punca kewangan kerajaan,” tambah beliau.

    DUKE-Highway-01

    Laporan dari The Star pada Disember lalu juga ada menyebut, Menteri Kerja Raya mendedahkan perincian pembayaran yang perlu dilakukan. Sejumlah RM214 juta diperlukan untuk Lebuhraya Utara Selatan, RM8.24 juta untuk Lebuhraya Linkedua dan RM79.4 juta untuk Lebuhraya Elite.

    Lagi RM3.11 juta diperlukan untuk Lebuhraya Butterworth Kulim, RM1.95 juta untuk Lebuhraya Seremban-Port Dickson, RM92.8 juta untuk KESAS, RM7.8 juta untuk Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru dan RM1885.9 juta untuk LDP.

    Jumlah keseluruhan ini sahaja berjumlah RM597 juta – melebihi RM500 juta dari apa yang kerajaan peruntukkan untuk membayar kepada syarikat konsesi bagi mengelakkan kenaikkan tol.

     
     
  • Toyota Vios 2016 dengan Dual VVTi, CVT, VSC dipertontonkan di Bangkok Motor Show

    Toyota_Vios-1

    Dalam kebanyakan kereta produksi yang dipamerkan di Bangkok Motor Show 2016, ternyata Toyota Vios 2016 antara yang kurang mendapat perhatian, namun tidak bermakna ia tampil kurang menarik. Sebenarnya Vios baharu ini telah menampilkan banyak perubahan yang signifikan walau pun kurang disedari khalayak.

    Bagi pasaran Thai, Vios 2016 menerima padanan enjin dan kotak gear yang kedua-duanya baharu. Dengan enjin baharu 2NR-FBE 1.5 liter Dual VVT-i yang boleh menggunakan bahan api bio E85, ia mampu memberikan kuasa yang sama dengan model Vios berenjin 1NZ-FE yang kini berada di pasaran kita, iaitu 108 hp pada 6,000 rpm dan 140 Nm (kurang 1 Nm) pada 4,200 rpm. Pasaran lain pula dijangka menerima enjin biasa 2NR-FE Dual-VVTi tanpa keupayaan E85, seperti mana pada model facelift Avanza.

    Enjin baharu pula sepatutnya mampu memberikan pemanduan yang lebih jitu di samping penggunaan bahan api yang lebih efisien, terutamanya kotak gear automatik empat-kelajuan telah digantikan dengan transmisi CVT auto tujuh-kelajuan. Manakala kotak gear manual lima-kelajuan telah digugurkan untuk pasaran Thai.

    Bagi aspek keselamatan pula, ia juta telah dipertingkatkan. Beg udara masih kekal dengan dua unit tetapi model 2016 ini juga menampilkan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) selain ABS dengan EBD dan bantuan brek.

    Dengan enjin dan CVT baharu termasuk menampilkan VSC, Vios 2016 di Thai ditawarkan pada harga bermula 599,000 baht (RM68,476) untuk varian J, manakala Exclusive pula berharga 719,000 baht (RM82,194).

    Di mana pertambahan elemen pada varian spesifikasi tertinggi, Exclusive, menampilkan kit badan baharu termasuk lampu nyalaan siang LED, tempat duduk balutan kulit berwarna hitam, papan pemuka dan kekemasan pintu berwarna kelabu, roda stereng dan tuil gear berwarna hitam pekat, sistem hiburan T-Connect dengan skrin sesentuh tujuh-inci dan sambungan Bluetooth.

     
     
  • Dua Timbalan Menteri KDN tidak senada menjawab isu saman kenderaan rasmi kerajaan melebihi had laju

    PDRM-5

    Antara topik yang panas dibicarakan selain musim panas yang sedang melanda negara kita dan juga gejala strok haba ialah isu mengenai saman kenderaan menteri jika melebihi had laju.

    Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat, berkata pihak berkuasa boleh mengenakan saman ke atas kenderaan rasmi menteri yang dibawa melebihi had laju yang ditetapkan, laporan Sinar Harian.

    Beliau turut berkata, saman tersebut akan dikeluarkan oleh pegawai polis trafik ke atas pemandu yang memandu kenderaan rasmi menteri. Kenyataan ini adalah bagi menjawab soalan tambahan daripada Teo Kok Seong (DAP-Rasah) dalam persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

    Kok Seong dalam Dewan hari ini melemparkan persoalan sama ada kenderaan rasmi timbalan menteri atau menteri akan turut disaman sekiranya gagal mematuhi had laju yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Ia berikutan tindakan kerajaan yang mengkaji untuk menaikkan kadar kompaun saman ke atas pengguna jalan raya di negara ini.

    Namun Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang juga merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, memberikan kenyataan yang tidak senada dengan Masir. Nur Jazlan berpendapat kenderaan rasmi menteri perlu diberi kelonggaran terhadap peraturan keselamatan jalan raya.

    Ini kerana katanya, menteri dan timbalan menteri hanya menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk urusan kerajaan dan mereka perlu berkejar ke daripada satu urusan ke satu urusan yang lain.

    “Selalunya pemandu kami terpaksa memecut kenderaan kerana kami (menteri, timbalan menteri) hendak cepat pergi dari satu program ke satu program yang lain kerana kesuntukan masa. Kalau kena tahan polis, biasanya kami akan berterus-terang tentang keadaan ini. Selalunya pihak polis akan memberi kerjasama,” ujar Jazlan ketika menjawab soalan dari pihak media di luar sidang Dewan Rakyat sebentar tadi.

    Dalam pada itu, Nur Jazlan turut mengakui setakat ini, kenderaan rasmi kerajaan tidak pernah menerima saman daripada polis trafik.

    “Kenderaan rasmi kerajaan hanya untuk urusan rasmi kerajaan. Hanya sekali-sekala kami terpaksa memandu lebih had laju. Saman ini sepatutnya difokuskan kepada pengguna jalan raya.

    “Berapa kali kita pernah dengar kenderaan rasmi menteri terlibat kemalangan? Tidak pernah. (Tetapi) Kadang-kadang atas urusan kerajaan, terpaksa lajukan kenderaan. Dan atas urusan kerajaan, ia perlu dimaafkanlah,” katanya lagi.

     
     
  • GALERI: Toyota Yaris TRD Sportivo di Bangkok 2016

    Toyota_Yaris_TRD-2

    Mengotakan janjinya, Toyota Thailand telah memperagakan Yaris TRD Sportivo, di samping Hilux TRD Sportivo dan Fortuner TRD Sportivo baharu, di Bangkok Motor Show 2016.

    Mula bersebaran di Internet sejak minggu lalu, Yaris menerima padanan TRD Sportivo bagi menyerlahkan lagi gayanya yang ranggi. Malah ia juga bagi memberikan kelainan gaya berbanding model pesaingnya dalam segmen-B hatchback iaitu Volkswagen CrossPolo dan Hyundai i20 Active.

    Yaris TRD Sportivo juga dibaluti lapisan plastik hitam dengan sedikit sentuhan perak (bersama logo TRD Sportivo yang agak kecil) pada bahagian hadapan, belakang dan sisi. Malah ia turut menampilkan rel bumbung.

    Toyota_Yaris_TRD-10

    Ia turut menerima padanan lampu nyalaan siang LED pada bahagian bawah bampar hadapan, buat pertama kalinya menampilkan lampu kabus, logo TRD Sportivo pada gril dan belakang serta rim hitam dengan kekemasan perak bersaiz 15-inci.

    Di bahagian dalam pula, ia dipadankan dengan tempat duduk balutan kulit dengan kombinasi warna hitam dan oren berbanding material kulit standard. Malah skim warna tersebut turut diaplikasi pada karpet lantai, termasuk menampilkan logo ‘TRD Sportivo’ dan juga panel pintu.

    Selain itu, sistem audio asas turut digantikan dengan unit double-DIN dengan skrin sesentuh tujuh-inci serta pelbagai input (DVD, CD, Micro HDMI, kad SD dan Bluetooth). Ia juga mempunyai skrin berganda bagi paparan kamera pandang belakang, satu lagi elemen baharu yang ditampilkan.

    Toyota_Yaris_TRD-14

    Semua elemen tambahan ini adalah sebahagian daripada pakej istimewa TRD Sportivo, di mana ia dikenakan kos tambahan, menurut Toyota Thailand menerusi laman web rasminya. Hanya satu sahaja elemen standard pada kereta ini iaitu sentuhan dalaman hitam dan oren (tanpa unit double-DIN dan kamera undur).

    Walau bagaimana pun, ia tidak menampilkan indikator pada cermin sisi, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, MID, penghawa dingin auto dan butang kawalan pada roda stereng.

    Sudut mekanikal kereta ini tidak berubah. Ia masih dijanakan oleh enjin petrol 1.2 liter 3NR-FE empat-silinder Dual VVT-i yang mampu menghasilkan 86 PS pada 6,000 rpm dan tork 108 Nm pada 4,000 rpm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan Super CVT-i automatik. Yaris TRD Sportivo ini ditawarkan pada harga 649,000 baht (RM73,965) di Thailand.

     
     
  • Nissan GT-R 2017 – Lebih premium, lebih berkuasa

    nissan_ny2016_09-e1458787586373

    Sembilan tahun selepas melakukan penampilan perdana peringkat dunia di Tokyo Motor Show 2007, kini Nissan GT-R telah diberikan peningkatan yang signifikan dan dipertontonkan di New York International Auto Show (NYIAS) 2016. Digambarkan sebagai “rombakan yang paling lengkap”, GT-R baharu ini tampil dengan imej yang lebih premium dan lebih berkuasa, dijangka akan mula dipasarkan pada musim panas ini sebagai model 2017.

    Bahagian luaran mengalami suntikan yang lebih besar sejak model facelift 2010 ditampilkan. Di mana bahagian hadapan menerima rekaan gril Nissan V-Motion baharu dengan paten jejaring yang baharu, di samping spoiler lip yang dibentuk semula bagi memberikan kesegaran pada penampilannya. Corong udara palsu juga kini diletakkan di bawah lampu utama, yang turut menampilkan lampu nyalaan siang LED baharu.

    Gril baharu “V-Motion” ini merupakan salah satu rekaan signatur terkini Nissan, yang sedikit diperbesarkan bagi memberikan lebih penyejukan pada enjin dan kini ia menampilkan kekemasan krom dan paten jejaring yang dipertingkatkan. Hud baharu dengan menampilkan garisan berkarakter dari bahagian gril turut diketengahkan, selain menambahkan kestabilan ketika memandu dalam kelajuan yang tinggi.

    2017_nissan_gtr_29-e1458787640448

    Melewati bahagian belakangnya, bonet juga ditampilkan dengan elemen baharu termasuk garisan yang bersambung pada gril ke arah badan jentera. Bampar belakang juga diprofil semula. Ciri aerodinamik turut diolah semula bagi memberikan rupa yang lebih tajam dan sporty, dan mampu memberikan daya seretan sehingga 0.26 Cd. Ambang sisi juga lebih menonjol keluar bagi membolehkan aliran udara lebih sempurna di sekeliling jentera, di samping menampilkan rim aloi 20-inci baharu.

    Bahagian kabin juga diolah semula, dan turut menampilkan papan pemuka baharu (hanya kluster instrumen yang dikekalkan seperti model terdahulu) dan rekaan balutan keliling juga diaplikasikan bagi menambahkan rasa seperti dalam kokpit. Lapisan kusyen pada papan pemuka kini diperbuat daripada material yang lebih nipis bagi mengurangkan berat, begitu juga dengan tempat duduk hadapan yang juga lebih ringan tetapi masih mengekalkan keselesaan.

    2017_nissan_gtr_41-e1458787829969

    Memberikan sentuhan yang lebih premium, papan pemuka juga dibaluti kulit Nappa, begitu juga penampilan pedal penukar gear yang diposisikan pada bahagian belakang roda stereng tiga-jejari baharu, dengan bunyi yang telah dipertingkatkan.

    Corong udara segi empat tepat berkembar di bahagian tengah turut ditampilkan (menggantikan corong bulat pada model terdahulu) bersama sistem hiburan baharu dengan skrin sesentuh lapan-inci. Butang kawalan audio dan navigasi turut dikurangkan dari 27 pada model terdahulu, kini menjadi 11, sementara tombol Display Command baharu pada terowong transmisi gentian karbon juga telah direka semula bagi memudahkan kawalan.

    Di bawah hudnya, enjin VR38DETT 3.8 liter turbo-berkembar V6 dengan kawalan pemasaan-pencucuhan dan hamburan turbo ekstra boleh menghasilkan kuasa sehingga 565 hp pada 6,800 rpm dan tork 633 Nm dari 3,300 hingga 5,800 rpm. Ia meningkat sebanyak 15 hp dan 3 Nm berbanding model 2016, dan hampir lebih 90 hp berbanding GT-R yang asli.

    Kesemua kuasa ini disalurkan pada GT-R 2017 dengan kuasa pendikit yang lebih unggul dari rev sederhana hingga tertinggi (melebihi 3,200 rpm). Pacuan disalurkan pada semua roda menerusi transmisi klac-berkembar enam-kelajuan yang dipertingkatkan dengan kawalan tukaran gear yang lebih lancar dan bunyi yang berkurangan. Malah ledakan pendikit juga adalah hasil kehadiran sistem ekzos titanium baharu yang lebih ringan dengan Active Sound Enhancement (ASE).

    GT-R baharu ini juga dikatakan lebih mantap ketika melalui selekoh walau dalam kelajuan yang tinggi dan struktur keseluruhan badannya yang lebih kukuh dengan suspensi baharu bagi menambahkan pengendalian yang lebih jitu serta kestabilan yang terbaik.

    Malah ia juga telah dipertingkatkan kelancaran pengendaliannya dan mengurangkan bunyi bising menyerapi masuk ke dalam kabin biar pun dalam apa jua kelajuan. Ini adalah hasil sistem Active Noise Cancellation dan material penebat bunyi baharu termasuk kaca cermin akustik.

    Terdapat warna pilihan luaran badan yang baharu iaitu Blaze Metallic Orange, yang diaplikasi dengan proses empat peringkat dan upholstery kulit Rakuda Tan (bagi Premium Edition sahaja) seperti dalam foto yang dipaparkan, selain kulit warna Amber Red dan Ivory . Sesetengah pasaran turut menerima NissanConnect bersama navigasi, aplikasi mobil dan perkhidmatan kecemasan.

     
     
  • Tarif insurans kenderaan bermotor di Malaysia bakal diliberalisasikan – harga berdasarkan risiko premium

    insurance-wm

    Seperti yang diumumkan pada 2012 dan disahkan pada 2014, liberalisasi tarif insurans kenderaan bermotor di Malaysia akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2016. Di mana premium bagi insurans kenderaan bermotor ini akan ditentukan berdasarkan senarai faktor risiko, berbanding polisi penentuan harga yang diamalkan sekarang.

    Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengesahkan langkah ini di dalam Laporan Sistem Pembayaran dan Kestabilan Kewangan 2015, yang diedarkan semalam. Dalam laporan tersebut turut memaparkan pelan hala tuju (roadmap) bagi implementasi liberalisasi tarif insurans kenderaan bermotor, termasuk menentukan harga bagi polisi insurans kenderaan yang reflektif risiko.

    Bagi mengurangkan impak terhadap langkah ini (bagi pengguna dan syarikat insurans), rancangan peralihan yang lebih teratur turut disertakan. Selain syarat-syarat tarif insurans sedia ada iaitu berkaitan harga dan had liputannya – adakah akan ditamatkan secara berperingkat, tetapi bukan serta-merta. Rujuk gambarajah di bawah untuk pelan hala tuju sepenuhnya.

    Untuk fasa pertama ini (bagi tahun pertama implementasi, mulai 1 Julai), industri dibenarkan untuk menawarkan “produk baharu” dan pilihan liputan tambahan mengikut harga pasaran. Sebagai contoh, ini termasuklah polisi perlindungan kekunci-hidro enjin (jika air banjir masuk ke dalam enjin, berbeza daripada insurans kerosakan akibat banjir), penggantian kehilangan kunci dan mungkin kereta sementara atas budi bicara.

    Harga bagi produk baharu ini tidak akan diaturkan, tetapi ditentukan oleh pasaran. Pembekal insurans juga akan membuka sebut harga mereka jika ia dilihat bersesuaian, untuk menarik perhatian pengguna. Ia akan memberikan platform awal kepada para syarikat insurans untuk memperhalusi tawaran dan polisi harga mereka, sementara pengguna berpeluang mendapat pilihan tambahan mengikut keperluan masing-masing.

    Liberisation-Motor-Insurance-Tariff-Malaysia-2

    Bagi fasa kedua pula (2017 dan seterusnya), akan melibat aplikasi kadar tarif yang komprehensif dan untuk pihak ketiga. Pada fasa ini, kadar premium tidak lagi diaturkan, sebaliknya ditentukan sepenuhnya oleh pasaran. Manakala taksiran pula berdasarkan risiko, yang akan diperkenalkan di Malaysia.

    Oleh itu, sesetengah faktor risiko tidak termasuk dalam tarif insurans sedia ada, termasuk lokasi kediaman, tahun buatan kenderaan dan model, pekerjaan pemilik, sejarah tuntutan, jantina dan umur akan diambil mengikut pertimbangan, sama seperti sistem pekerjaan di beberapa buah negara luar termasuk United Kingdom.

    Dalam erti kata lain, kadar premium insurans yang perlu dibayar adalah mengikut risiko yang bakal dihadapi. Misalnya, pemilik pernah membuat kos pembaikan yang tinggi, pemilik kenderaan prestasi tinggi, pemilik yang kurang pengalaman memandu atau mereka yang tinggal di kawasan berisiko jenayah, perlu membayar premium yang lebih tinggi. Dan kadar itu tidak diaturkan, sebaliknya harga boleh berubah mengikut syarikat insurans.

    Penambahan kepada perlindungan pengguna akan turut diperkenalkan, untuk memastikan produk dan penentuan harga adalah bersesuaian. Syarikat insurans juga dijangka akan menilai risiko yang selayaknya dan konsisten bagi layanan yang lebih adil kepada pengguna. Skop standard liputan juga akan dinaikkan, jadi pengguna boleh membuat perbandingan antara syarikat insurans sebelum membuat keputusan insurans mana yang patut dibeli.

    Liberisation-Motor-Insurance-Tariff-Malaysia-4

    Walau bagaimana pun, ini tidak tertakluk pada insurans pihak ketiga yang dikenalpasti daripada kelas kenderaan. Kadar premium bagi kelas kenderaan ini (tidak dispesifikkan lagi) akan terus diaturkan, dengan penyelarasan beransur-ansur akan dibuat.

    Masa kini, terdapat satu perbezaan besar antara premium insurans pihak ketiga dan tuntutan (RM520 juta) disebabkan perbelanjaan yang besar mengikut kelas (RM680 juta). Memandangkan jurang penentuan harga yang agak besar berbanding dengan risiko, satu peraturan bagi pengurangan kadar pasti akan mengakinatkan peningkatan premium. Maka, sata pendekatan akan dilakukan bago menentukan kadar premium bagi pihak ketiga ini.

    Bagi langkah liberalisasi pasaran insurans kenderaan bermotor ini dijangka mampu memberikan harga yang lebih fleksibel antara syarikat insurans, di mana mereka akan bersaing sesama sendiri. Pengguna akan menerima manfaat yang lebih besar daripada pasaran terbuka ini, apabila syarikat insurans berlumba-lumba menawarkan liputan yang lebih baik, perkhidmatan yang unggul dan pastinya dengan kadar harga yang berpatutan. Malah ia juga akan mengurangkan masa menunggu untuk menyelesaikan tuntutan.

    Bagi jangka masa yang panjang, pemilik kenderaan dengan risiko yang rendah juga akan menerima kadar premium yang lebih rendah. Berbanding mereka yang memiliki risiko yang tinggi yang memerlukan lebih insentif bagi memastikan risiko yang bakal dihadapi mungkin dapat dikurangkan. Pengguna juga boleh menentukan had liputan atau pembelian tambahan, iaitu jika bayar kurang, liputan juga akan kurang dan jika bayar lebih, pastinya akan menerima polisi yang lebih komprehensif.

     
     
  • Toyota Prius Prime plug-in hybrid 2017 didedahkan, memerlukan hanya 1.4 liter petrol untuk setiap 100 km

    2017_Toyota_Prius_Prime_12_7DF62247FD502A2CAA87BDFD559ED7ED3BA65799_BM

    Versi plug-in hybrid Toyota Prius 2016 – Toyota Prius Prime telah didedahkan oleh pihak Toyota. Ini merupakan varian plug-in hybrid pertama diperkenalkan dengan rekabentuk yang sangat berbeza dan jauh lebih baik daripada varian hibridnya yang biasa.

    Prius Prime menampilkan rekaan semula sepenuhnya pada bahagian hadapan dan belakang. Lampu hadapan Prius standard yang berbentuk-boomerang telah digantikan dengan lampu hadapan konvensional beserta empat modul LED pada setiap unit. Menurut Toyota lampu tersebut “bersinar seperti berlian di waktu malam” apabila diaktifkan.

    Rekaan gril hadapan yang menghubungkan kedua-dua belah lampu hadapan tersebut diinspirasikan dari gril hadapan Toyota Crown Athlete pasaran domestik Jepun, memberikan rupa paras yang lebih menonjol sebagai sebuah kereta luar biasa, walaupun gril sebenar berada pada posisi rendah yang sama. Lampu nyalaan siang LED dan lampu isyarat yang diletakkan menegak di sisi bampar menyamai rekaan kereta fuel-cell Mirai.

    2017_Toyota_Prius_Prime_02_EFC6829C382FEC9F6311F30B97768D305D509CEF-e1458743121185_BM

    Lampu belakang LED berbentuk-C dihubungkan kedua-dua belah dengan lampu bar melintang yang turut menempatkan lampu brek ketiga, dimana rekaan ini berbeza sekali dengan lampu belakang Prius biasa yang dilengkapi dengan lampu belakang menegak. Pada kedua-dua belah sisi bampar belakang pula, sepasang modul berbentuk segitiga dilengkapkan untuk menempatkan lampu isyarat, lampu undur dan reflektor cahaya, juga seiras dengan rekaan Mirai.

    Pintu tailgate belakang dibina dengan material gentian karbon untuk mengurangkan berat keseluruhan, menjadikan ia merupakan kereta produksi pertama dilengkapi tailgate sedemikian. Keseluruhan badan kereta ini pula dibina dengan keluli tegangan tinggi manakala bonnet hadapan pula dibina dari aluminium. Seperti juga Prius standard, Prius Prime mempunyai pekali geseran yang sangat rendah iaitu hanya 0.24 Cd, yang dijangkakan bakal menjadi kereta produksi yang mencatat bacaan pekali geseran terendah. Selain dari bentuk badan, peralatan seperti penutup gril hadapan automatik dan cermin belakang berbentuk buih berkembar yang unik turut menyumbang untuk mendapatkan bacaan pekali geseran sedemikian.

    Bahagian kabin turut menmpilkan perubahan yang besar termasuk paparan skrin sesentuh gaya Tesla Model-S yang besar bersaiz 11.6-inci. Toyota juga turut menyediakan aplikasi Prius Prime untuk telefon pintar bagi membolehkan pemilik memantau status caj, lokasi caj, kawalan penghawa dingin serta memuat naik markah pemanduan eco di media sosial bagi membandingkan markah mereka dengan markah pemilik Prius Prime yang lain.

    2017_Toyota_Prius_Prime_18_21EC4F466007457060618765B64E5EBC693E7921_BM

    Ciri-ciri Prius Prime yang lain termasuklah empat tempat duduk dilengkapi konsol tengah yang menempatkan pemegang cawan berkembar dibahagian hadapan dan belakang dan juga sistem penghawa dingin S-Flow automatik pertama dalam dunia yang dilengkapi pam pemanas dengan pancitan gas yang membolehkan suhu didalam kabin dikawal sepenuhnya oleh elektrik tanpa perlu menghidupkan enjin. Prime juga dilengkapi dengan sistem pengecaj solar dibahagian bumbung dihubungkan pada bateri khas, juga pertama seumpamanya didunia.

    Prius Prime dijana enjin 1.8 liter kitaran Atkinson VVT-i digandingkan dengan dua motor elektrik. Prestasi gandingan unit kuasa tersebut belum lagi didedahkan, tetapi menurut laporan enjin tersebut bakal menjana 105 hp dan 147 Nm berbanding Prius biasa yang hanya menjana 97 hp dan 142 Nm. Motor elektrik pula mungkin akan menjana sejumlah 90 hp berbanding 71 hp pada Prius biasa.

    Bateri lithium-ion 8.8 kWh juga mempunyai kapasiti berganda berbanding sebelum ini, membolehkan Prime mencapai kelajuan 135 kmj dengan jarak 50 km dalam mod elektrik sepenuhnya berbanding PHEV sebelum ini yang hanya mampu dipandu dalam jarak 23 km berdasarkan kitaran NEDC Eropah. Kereta ini hanya menghasilkan 32 gram karbon dioksida setiap kilometer. Penggunaan bahan api pula disasarkan hanya 1.4 liter setiap 100 km, dimana secara kasarnya dengan harga petrol sekarang, anda boleh memandu dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru dengan isian petrol kurang dari RM10.

     
     
  • Pemenang Petronas ‘Pam & Menang’ diumumkan

    Petronas-Pump-n-Win-winners-01

    Seramai tiga pemenang utama bagi kempen ‘Pam & Menang’ anjuran Petronas telah diumumkan. Kempen ini menyaksikan lebih 1,600 pemenang mingguan selama lapan minggu penganjurannya.

    Annambah Nagappan, 46, yang diumumkan sebagai pemenang hadiah utama, telah berjaya membawa pulang Mercedes-Benz CLA200 dan kad petrol bernilai RM1,000. “Saya telah menggunakan minyak Petronas sejak sekian lama. Malah saya juga telah mengenali kakitangan stesen Petronas yang kerap saya kunjungi. Hari ini, saya rasa kesetiaan saya terhadap jenama ini terbayar jua,” ujarnya.

    Manakala Wan Habib Abdul Rahman Wan Zawawi, 53, dari Kuching, Sarawak, turut diumumkan sebagai pemenang dan memenangi Proton Iriz 1.6 Premium Edisi Petronas Primax. Sementara Lee Fok Key, 62, dari Kota Kinabalu, Sabah turut menerima model yang sama dan kedua-dua pemenang ini turut membawa pulang kad petrol bernilai RM1,000.

    Petronas-Pump-n-Win-winners-02

    Dianjurkan selama lapan minggu, lain-lain hadiah yang turut ditawarkan termasuklah Piaggio Vespa bersama kad petrol RM500, basikal lipat Java dan mata ganjaran Mesra.

    Pengarah Urusan dan CEO Petronas Dagangan Berhad (PDB) turut berkata, syarikat ini akan terus menganjurkan kempen sebegini sebagai menghargai sokongan para pelanggan.

    GALERI: Proton Iriz Edisi Petronas Primax

     
     
  • Kenaikan kadar tol PLUS belum muktamad – Fadillah

    TOL PLUS

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan kerajaan masih belum mencapai keputusan berhubung kenaikan 5% kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang dijadual dilaksanakan tahun ini.

    Fadillah memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa kerajaan masih berbincang dengan syarikat konsesi tersebut dengan mengambil kira manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas, laporan Bernama.

    Katanya manifesto BN itu menyatakan kerajaan tidak akan menaikkan kadar tol bagi lebuh raya menghubungkan antara bandar. Ia hanya melibatkan dua lebuh raya iaitu Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

    Di mana kedua-dua lebuh raya itu sahaja yang menghubungkan antara bandar dan negeri-negeri, sementara lebuh raya lain yang berada di sekitar Lembah Klang tidak termaktub dalam manifesto berkenaan.

    Bagaimanapun, mengikut perjanjian konsesi, PLUS boleh menaikkan kadar tol 5% di lebuh raya tersebut setiap tiga tahun mulai Januari 2016 hingga 31 Dis 2038.

    Ulasan ini adalah bagi menjawab pertanyaan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) yang ingin tahu sama ada lebuh raya PLUS akan menaikkan kadar tol pada Jun ini seperti dilaporkan sebelum ini.

    Bagaimanapun, katanya kerajaan tetap mengambil langkah membantu rakyat dalam bandar menghadapi beban tol termasuk menamatkan tol di lebuh raya tertentu selain menggalakkan syarikat konsesi menjalankan program rebat dan diskaun untuk pengguna.

    “Buat masa ini, belum ada kenaikan. Tunggu sahaja keputusan,” katanya sambil menambah kerajaan telah menyediakan sejumlah peruntukan kepada syarikat konsesi sekiranya bercadang tidak meluluskan kenaikan kadar tol.

     
     
  • SPYSHOT: Proton Saga 2016 tunjuk bahagian hadapan

    2016-Proton-Saga-spyshot

    Semalam kita disajikan dengan foto bahagian belakang Proton Saga 2016, dan hari ini foto bahagian hadapannya pula tersebar menerusi laman Facebook Proton CFE & CVT Technical Discussion.

    Nampak macam tak banyak perubahan berbanding model Saga FLX sedia ada, tetapi jika ditatap betul-betul Saga 2016 ini menampilkan gril hadapan dua-bar, serta lampu utama yang dibentuk semula menampakkan lebih tiga-dimensi. Rekaan bampar juga kelihatan lebih agresif, dengan lampu kabus dan spoiler dagu seperti mana yang ada pada model baharu Proton yang lain (dari model Preve ke atas).

    20160322_095018

    Selain itu, garisan bumbung kelihatan lebih condong dari belakang menurun ke hadapan menampakkan pandangan yang lebih dinamik. Malah pemegang pintu baharu (dari Iriz) turut ditampilkan. Ia turut menggunakan tiang-C yang seakan membentukkan pintu belakang. Malah mengikut foto spyshot semalam, bahagian belakang juga nampak seperti diolah semula termasuk lampu tiga-dimensi dan kepingan plat nombor baharu.

    Buat masa ini perincian teknikal belum didedahkan, namun Saga mungkin akan menggunakan enjin Iriz iaitu 1.3 liter VVT dan pilihan transmisi iaitu manual lima-kelajuan atau CVT. Malah Proton telah mengumumkan enjin 1.0 liter dan 1.2 liter tiga-silinder mungkin ditampilkan bagi model akan datang iaitu menjelang akhir 2017. Malah enjin 1.0 liter pengecas turbo juga mungkin ditampilkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025