Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hotwheels edisi terhad sempena 40-tahun Proton Saga – ‘Saga Burung’ varian putih dah mula dijual hari ini!

    Hotwheels edisi terhad sempena 40-tahun Proton Saga – ‘Saga Burung’ varian putih dah mula dijual hari ini!

    Hari ini, 9 Julai 2025 merupakan salah satu tarikh bersejarah buat Proton kerana pada tarikh yang sama 40 tahun lalu, unit pertama untuk model pertama Proton iaitu Proton Saga keluar dari kilang jenama automotif nasional berkenaan yang terletak di Shah Alam.

    Bagi meraikan ulangtahun ke-40 Proton Saga, hari ini secara rasmi HotWheels mula menjual satu lagi versi edisi terhad untuk Proton Saga generasi pertama – ini dia Saga dalam varian badan berwarna putih dengan kad blister rekaan adik Saw Jane Harn dari Pulau Pinang.

    Seperti yang anda boleh lihat, rekaan kad blister tersebut masih lagi sama seperti kad untuk model edisi khas dengan Saga berwarna merah yang telah mula dijual pada April lalu. Kad ini dipilih selepas Harn memenangi pertandingan Hot Wheels x Proton Kids Design Competition pada 2023.

    Rekaan berkenaan dihasilkan hanya dengan lukisan tangan menampilkan unsur-unsur Malaysia seperti Menara Berkembar Petronas, Bunga Raya, Harimau Malaya dan Burung Kenyalang pada kad blister tersebut. Dan dengan imej Burung Kenyalang yang mendominasi lukisan kad blister tersebut, model edisi terhad ini sering dirujuk sebagai ‘Saga Burung’ oleh pengumpul-pengumpul HotWheels.

    Manakala Saga dalam varian warna badan putih ini pula sebenarnya sudahpun mula dijual hujung tahun lalu dengan diletakkan di dalam kotak siri mainline Case B 2025. Selain warna badan yang ditukar kepada putih berbanding merah sebelum itu, perincian lain masih lagi sama di mana ia diberikan grafik logo asli ‘Saga’ bagi model 1985 pada pintu belakang dan logo Hot Wheels pada pintu hadapan, serta set roda plastik AeroDisc.

    ‘Saga Burung’ HotWheels dalam varian putih ini masih lagi dijual pada harga runcit yang disarankan RM9.90. Ia tidak terkandung dalam mana-mana kumpulan Dash/Case mainline 2025 serta hanya dijual di pasaran Malaysia sahaja, dan anda boleh mendapatkannya di gedung-gedung beli-belah utama, kedai-kedai mainan, kedai serbaneka dan juga di kedai-kedai stesen minyak seluruh negara.

    Seperti biasa, tinjauan kami di platform-platform jualan atas talian, Saga ini sudahpun mula dijual pada harga yang tidak masuk akal.

     
     
  • Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan – jalan di Dataran Kemerdekaan, MBSA, Tasik Barat ditutup pagi Ahad

    Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan – jalan di Dataran Kemerdekaan, MBSA, Tasik Barat ditutup pagi Ahad

    Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengumumkan bahawa Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan bagi edisi Julai 2025 akan berlangsung pada Ahad ini, 13 Julai.

    Oleh itu, beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar Shah Alam iaitu di sekitar Dataran Kemerdekaan, di hadapan ibu pejabat MBSA dan Tasik Barat akan ditutup dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi. Ini bagi kelancaran beberapa acara yang akan dijalankan di lokasi terbabit termasuk fun run, berbasikal dan sebagainya.

    Jika anda mahu menyertai acara yang diadakan itu, anda boleh parkir kenderaan di beberapa lokasi yang ditetapkan termasuk di perkarangan Masjid Negeri, dan beberapa parkir awam termasuk bersebelahan Maybank Seksyen 14. Sila rujuk foto di atas untuk makluman yang lebih jelas.

     
     
  • JPJ siar kempen panggil balik terkini model Mercedes-Benz, Kia dan Yamaha – 8,322 unit kenderaan terlibat

    JPJ siar kempen panggil balik terkini model Mercedes-Benz, Kia dan Yamaha – 8,322 unit kenderaan terlibat

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyiarkan kempen panggilan balik (product recall) bagi beberapa model kenderaan yang terlibat oleh syarikat pengeluar. Menurut JPJ, untuk kali ini, pihaknya menyenaraikan model kenderaan yang terlibat berdasarkan kepada rekod yang diterima yang membabitkan jenama Mercedes Benz, Kia, dan Yamaha yang melibatkan sejumlah 8,322 unit kenderaan.

    Menurut JPJ, aktiviti panggilan balik ini adalah penting bagi mengelakkan kemalangan berlaku disebabkan oleh kecacatan pada struktur, peralatan atau sistem pada kenderaan tersebut.

    Mercedes-Benz
    Kotak prefuse mungkin tidak diolah semula dengan betul. Kesemua model yang terlibat adalah keluaran tahun 2023-2025.

    • Mercedes-Benz S580 e – 9 unit
    • Mercedes-Benz GLC 300 4Matic – 2 unit
    • Mercedes-Benz EQS 500 – 4 unit
    • Mercedes-Benz AMG SL 43 – 1 unit
    • Mercedes-Benz S 580 e – 1 unit
    • Mercedes-Benz EQE 53 – 9 unit
    • Mercedes AMG EQS 53 – 6 unit

    JPJ siar kempen panggil balik terkini model Mercedes-Benz, Kia dan Yamaha – 8,322 unit kenderaan terlibat

    Kia
    Kenderaan yang terlibat berkemungkinan mengalami litar pintas elektrik dan boleh menyebabkan kebakaran pada circuit board Hydraulic Electronic Control Unit (HECU)

    • Kia Rio UB (keluaran 2010-2017) – 5,123 unit

    Yamaha
    Throttle Position Sensor (TPS) tidak berfungsi dengan baik. Kedua-dua model motosikal terlibat adalah keluaran November 2021-Februari 2025.

    • Yamaha MT09 – 1,649 unit
    • Yamaha Tracer 9 GT – 1,369 unit
    • Operasi klac tidak lancar dan sukar untuk menukar gear.

    • Yamaha Tenere 700 (keluaran 2023-2024) – 149 unit

    JPJ siar kempen panggil balik terkini model Mercedes-Benz, Kia dan Yamaha – 8,322 unit kenderaan terlibat

    “Setiap pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh pihak pengeluar kenderaan masing-masing bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan masing-masing. Oleh yang demikian, semua pemilik kenderaan model yang terlibat adalah dimohon untuk membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin.

    “Untuk makluman, mana-mana komponen yang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh pihak pengeluar kenderaan masing-masing,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, maklumat lanjut berkenaan proses pemanggilan semula ini, pemilik kenderaan boleh hubungi atau kunjungi mana-mana pusat jualan/ perkhidmatan masing-masing yang berdekatan.

    Dalam masa yang sama, JPJ juga akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula ini dan komited untuk memastikan kesemua unit kenderaan yang terlibat akan menjalani pemeriksaan dan disahkan selamat.

     
     
  • Toyota GR Yaris H2 Rally2 Concept – jentera Rally2 guna enjin hidrogen, bakal ke Rally Finland 2025

    Toyota GR Yaris H2 Rally2 Concept – jentera Rally2 guna enjin hidrogen, bakal ke Rally Finland 2025

    Bulan lalu ketika berlangsungnya perlumbaan Le Mans di Itali, Toyota Gazoo Racing telah pun mendedahkan Toyota GR LH2 Racing Concept, iaitu jentera konsep kereta lumba Le Mans Hypercar yang dikuasakan oleh bahan api hidrogen. Dan sempena pusingan ke-9 Kejohanan Rali Dunia (WRC) 2025 iaitu Rally Finland yang akan berlangsung hujung bulan ini, Toyota bakal membawa pula Toyota GR Yaris H2 Rally2 Concept, iaitu sebuah kereta rali dalam spesifikasi FIA Rally2, tetapi beroperasi dengan bahan api hidrogen.

    Jentera ini nanti akan dipandu oleh juara WRC empat kali, yang juga kini merupakan naib prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR-WRT) Juha Kankkunen di SS1 dan SS10 Rally Finland 2025 iaitu SS Harju, menampilkan gandingan permukaan tar dan gravel.

    Menurut Toyota, GR Yaris H2 Rally2 Concept ini dibina di ibu pejabat TGR-WRT yang terletak di Jyväskylä, Finland. Tiada sebarang perincian teknikal yang dilampirkan. Toyota hanya menyatakan bahawa ia masih menggunakan diasaskan dari jentera rali GR Yaris Rally2, dipadankan dengan enjin pembakaran dalaman yang beroperasi dengan bahan api hidrogen mampat, menghasilkan hampir sifar emisi tetapi masih memberikan bunyi enjin dan sensasi untuk dinikmati peminat-peminat rali.

    Toyota GR Yaris H2 Rally2 Concept – jentera Rally2 guna enjin hidrogen, bakal ke Rally Finland 2025

    Jadi demonstrasi ini akan memberikan pengalaman bagaimana hidrogen dapat memberikan satu lagi pilihan dalam sukan permotoran untuk masa hadapan dalam masyarakat neutral karbon, dakwa Toyota.

    Tidak seperti jentera GR Yaris Rally1 yang menggunakan enjin 1.6 liter turbo empat silinder, jentera Rally2 GR Yaris masih menggunakan enjin yang sama seperti model produksi iaitu enjin G16E-GTS 1.6 liter turbo tiga-silinder. Ini bukan kali pertama Toyota membuat uji kaji terhadap enjin berkenaan beroperasi dengan bahan api hidrogen, kerana Toyota turut menggunakan enjin yang sama terhadap kereta lumba hidrogen Corolla yang bertanding dalam siri Super Taikyu Endurance di Jepun.

    Toyota turut telah menghasilkan prototaip berasaskan GR Yaris produksi yang menggunakan bahan api hidrogen, dan ia turut telah didemonstrasikan pada SS rali WRC iaitu di Rally Belgium 2022, yang juga dipandu oleh Juha Kankunnen.

    Selain keluar ke SS Harju, Toyota GR Yaris H2 Rally2 Concept ini turut akan sentiasa dipamerkan di service park pasukan TGR-WRT sepanjang berlangsungnya Rally Finland 2025 bermula 31 Julai hingga 3 Ogos nanti, bersama-sama Toyota Mirai dan juga trak pikap Tundra yang juga telah dihasilkan dalam versi janaan bahan api hidrogen.

     
     
  • Hong Leong Yamaha Motor taja pasukan ragbi Bungaraya 7s Malaysia untuk persiapan ke Sukan SEA

    Hong Leong Yamaha Motor taja pasukan ragbi Bungaraya 7s Malaysia untuk persiapan ke Sukan SEA

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) tampil sebagai salah satu penaja pasukan ragbi tujuh sebelah kebangsaan, Bungaraya 7s, menjelang Sukan SEA ke-33 di Thailand hujung tahun ini.

    Sebagai penaja perak, HLYM menyumbang sebanyak RM200,000 bagi menyokong latihan dan pembangunan pasukan ragbi lelaki dan wanita negara tersebut. Majlis penyerahan cek replika berlangsung di Genblu Cafe, Sungai Buoh, disaksikan oleh barisan pemain, pegawai Malaysia Rugby dan pihak pengurusan HLYM.

    Presiden Malaysia Rugby, Encik Amir Amri Bin Haji Mohamad, melahirkan penghargaan terhadap sokongan ini sambil menyatakan walaupun berdepan kekangan kewangan, pemain dalam pasukan ini kebanyakannya terdiri daripada pelajar IPT yang menunjukkan semangat tinggi dan keinginan kuat untuk berjaya.

    Hong Leong Yamaha Motor taja pasukan ragbi Bungaraya 7s Malaysia untuk persiapan ke Sukan SEA

    Pengarah Urusan HLYM, Profesor Datuk Dr. Jim Khor Mun Wei pula berkata, semangat kental pasukan Bungaraya 7s memberi inspirasi kepada Yamaha. Beliau berharap, sumbangan ini dapat membantu keperluan penting pasukan termasuk latihan, pemakanan dan elaun atlet menjelang temasya Sukan SEA.

    Sebagai simbol kerjasama ini, Genblu Cafe turut memperkenalkan menu baru dinamakan ‘BLUngaraya 7’s Chicken’, diinspirasikan daripada semangat juang pasukan. Hidangan ini mengandungi tujuh bahan utama, melambangkan tujuh pemain dalam satu pasukan ragbi tujuh sebelah, dengan fokus pada pemakanan seimbang dan kesihatan fizikal.

    Pasukan Bungaraya 7s pernah meraih pingat perak dan gangsa di Sukan SEA 2019 serta naib juara di Kejohanan Ragbi Sevens Asia Tenggara di Singapura baru-baru ini.

     
     
  • PACE 2025: Tempah Zeekr 009 dengan Carro, terima pengecas wallbox 22 kW, tint premium percuma

    PACE 2025: Tempah Zeekr 009 dengan Carro, terima pengecas wallbox 22 kW, <em>tint</em> premium percuma

    Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org bakal kembali membawakan pelbagai tawaran automotif terbaik pada 19-20 Julai 2025, bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Dengan Carro dan RHB Bank sebagai penaja bersama, acara ini terbuka kepada umum dari pukul 9 pagi hingga 7 malam sepanjang hujung minggu tersebut.

    Sekiranya anda sedang mencari MPV keluarga yang sarat dengan teknologi, Zeekr 009 menjadi antara pilihan terbaik. Versi motor tunggal dengan tujuh-tempat duduk bagi varian Executive dijual pada harga pengenalan RM310,000, sementara versi dua motor dengan tujuh-tempat duduk Luxury dengan harga RM349,800. Satu lagi penawaran ialah Ultra Luxury dengan dua motor dan enam-tempat duduk, dengan harga RM359,800.

    Jika membuat tempahan bagi mana-mana varian model berkenaan dengan Carro — selaku pengedar Zeekr terbaru — anda akan menerima pengecas wallbox 22 kW, pengecas tiga-pin EVSE dan filem penapis haba premium secara percuma. Berbaloi, bukan?

    PACE 2025: Tempah Zeekr 009 dengan Carro, terima pengecas wallbox 22 kW, <em>tint</em> premium percuma

    Selain Zeekr, antara jenama yang akan ikut serta dalam PACE 2025 ini termasuklah BMW dan MINI (kedua-duanya diwakili oleh Auto Bavaria), Mercedes-Benz (diwakili oleh Hap Seng Star), Audi, BYD, Xpeng, Hyundai, Kia, Mazda, GWM dan Denza. Akan turut dipameran ialah motosikal premium daripada BMW Motorrad, dan turut disertai oleh Kineta dan Trapo.

    Pembelian di PACE 2025 juga datang dengan pelbagai manfaat lain. Antaranya, 200 tempahan kenderaan baru terawal akan diberikan baucar bernilai RM3,000 untuk produk daripada rakan-rakan penyokong acara tersebut, seperti Solar Gard, Dodomat, The Carage, Kuzig Glanz, Gintell dan DK Schweizer.

    PACE 2025: Tempah Zeekr 009 dengan Carro, terima pengecas wallbox 22 kW, <em>tint</em> premium percuma

    Begitu juga dengan 40 tempahan motosikal baru yang terawal, pelanggan akan menerima baucar bernilai RM3,000 daripada rakan-rakan penyokong yang dinyatakan. Dan, tidak hanya itu: tempahan kereta baru yang sudah disah akan membolehkan anda ikut serta dalam cabutan bertuah dengan tawaran hadiah lumayan, termasuk 10 telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu, dan hadiah utama yang melibatkan pakej percutian untuk dua orang bernilai RM25,000!

    Dengan baucar yang akan diberikan serta pelbagai ganjaran lain yang ditawarkan, tiada kesempatan lain yang lebih baik jika anda ingin membeli kereta selain di PACE. Terus ikuti perkembangan di sini dan ketahui tawaran-tawaran utama yang diberikan oleh jenama-jenama terlibat. Selebihnya, tandakan kalendar anda dan jumpa di PACE 2025 pada 19-20 Julai ini di SCCC!

     
     
  • Dekati dan miliki MPV elektrik Denza D9 di PACE 2025

    Dekati dan miliki MPV elektrik Denza D9 di PACE 2025

    Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org bakal kembali membawakan pelbagai tawaran automotif terbaik pada 19-20 Julai 2025, bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Dengan Carro sebagai penaja bersama, acara ini terbuka kepada umum dari pukul 9 pagi hingga 7 malam sepanjang hujung minggu tersebut.

    Denza antara jenama yang akan turut serta dalam PACE 2025 dan akan mempamerkan MPV elektrik D9. Sekiranya anda sedang dalam pertimbangan untuk mencari sebuah MPV mewah, ini peluang terbaik kerana ia hadir dengan penawaran yang menarik khusus untuk acara berkenaan.

    Seramai 150 pelanggan terawal yang mendaftar D9 bagi bulan Jun dan Julai, mereka berpeluang untuk memenangi tiket konsert Jacky Cheung 60+ Concert Tour di Kuala Lumpur, Ogos nanti.

    Beli Denza D9 Advanced FWD dan anda akan berpeluang menerima dua tiket konsert berkenaan yang bernilai RM688 setiap satu. Sementara itu, pembeli model Denza D9 Premium AWD pula berpeluang memenangi dua tiket konsert yang sama, yang bernilai RM1,188 setiap satu. Pemenang akan ditentukan melalui cabutan bertuah.

    Dekati dan miliki MPV elektrik Denza D9 di PACE 2025

    Selain Denza, antara jenama yang akan ikut serta dalam PACE 2025 ini termasuklah BMW dan MINI (kedua-duanya diwakili oleh Auto Bavaria), Mercedes-Benz (diwakili oleh Hap Seng Star), Audi, BYD, Xpeng, Hyundai, Kia, Mazda, GWM dan Zeekr. Akan turut dipameran ialah motosikal premium daripada BMW Motorrad, dan turut disertai oleh Kineta dan Trapo.

    Selain tawaran menarik yang ditawarkan oleh setiap jenama, membeli kenderaan di PACE 2025 juga datang dengan pelbagai manfaat lain. Antaranya, 200 tempahan kenderaan baru terawal akan diberikan baucar bernilai RM3,000 untuk produk daripada rakan-rakan penyokong acara tersebut, seperti Solar Gard, Dodomat, The Carage, Kuzig Glanz, Gintell dan DK Schweizer.

    Dekati dan miliki MPV elektrik Denza D9 di PACE 2025

    Begitu juga dengan 40 tempahan motosikal baru yang terawal, pelanggan akan menerima baucar bernilai RM3,000 daripada rakan-rakan penyokong yang dinyatakan. Dan, tidak hanya itu: tempahan kereta baru yang sudah disah akan membolehkan anda ikut serta dalam cabutan bertuah dengan tawaran hadiah lumayan, termasuk 10 telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu, dan hadiah utama yang melibatkan pakej percutian untuk dua orang bernilai RM25,000!

    Dengan baucar yang akan diberikan serta pelbagai ganjaran lain yang ditawarkan, tiada kesempatan lain yang lebih baik jika anda ingin membeli kereta selain di PACE. Terus ikuti perkembangan di sini dan ketahui tawaran-tawaran utama yang diberikan oleh jenama-jenama terlibat. Selebihnya, tandakan kalendar anda dan jumpa di PACE 2025 pada 19-20 Julai ini di SCCC!

     
     
  • Geely EX5 dapat jaminan bateri sepanjang hayat di Indonesia – kembar Proton eMas 7 harga dari RM124k

    Geely EX5 dapat jaminan bateri sepanjang hayat di Indonesia – kembar Proton eMas 7 harga dari RM124k

    Geely Auto Indonesia mengadakan promosi baru untuk model kenderaan elektrik (EV) mereka, EX5. Berbeza dengan strategi potongan harga di Thailand, promosi di Indonesia untuk kembar Proton eMas 7 ini hadir dalam bentuk pakej “EXceptional Value Deals” yang antaranya memberikan jaminan bateri seumur hidup.

    Walaubagaimanapun, jaminan seumur hidup ini disertakan dengan beberapa syarat termasuk had perbatuan tahunan ditetapkan pada 30,000 km (sekitar 2,500 km sebulan). Ini dianggap munasabah memandangkan EV jarang digunakan untuk perjalanan jarak jauh. Penukaran bateri hanya akan dilakukan sekiranya tahap kesihatan (state of health) bateri jatuh di bawah 70%.

    Perlu diketahui, jaminan ini hanya sah untuk pemilik pertama kenderaan sahaja dan tidak boleh dipindah milik. Oleh itu, ia tidak memberi nilai tambah dari segi jualan semula sebagai kereta terpakai. Selain bateri, Geely EX5 turut dilindungi dengan jaminan selama lapan tahun atau 180,000 km untuk motor elektrik dan sistem kawalan motornya. Pelanggan juga mendapat sokongan bantuan kecemasan tepi jalan secara percuma selama lima tahun.

    Melalui pakej promosi ini juga, pelanggan akan diberikan pengecas mudah alih percuma, pilihan antara pengecas dinding 7 kW atau set aksesori OEM, tempat duduk hadapan dengan fungsi urut dan perehat kaki boleh laras, serta pilihan warna eksklusif untuk varian Max. Tambahan lain termasuk kadar faedah 0% selama setahun (atau subsidi pemasangan pengecas di rumah) dan data internet percuma sebanyak 2GB setiap bulan selama dua tahun.

    Geely EX5 dilancarkan di Indonesia pada Januari lalu dan ditawarkan dalam dua varian – Pro pada harga 475 juta Rupiah (RM123,952) dan Max pada 515 juta Rupiah (RM134,390). Kedua-duanya dilengkapi motor elektrik hadapan berkuasa 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, bersama bateri LFP berkapasiti 60.22 kWh. Jarak pemanduan mengikut standard NEDC ialah 495 km untuk varian Pro dan 490 km untuk varian Max.

    Pengeluaran percubaan bagi model ini telah bermula sejak Mei lalu di kilang PT Handal Indonesia Motor di Purwakarta, sementara pengeluaran besar-besaran dijangka bermula pada suku keempat tahun 2025. Geely turut merancang untuk melancarkan antara lima hingga tujuh model baru di Indonesia dalam tempoh tiga tahun akan datang, merangkumi EV penuh, plug-in hybrid dan model enjin pembakaran dalaman (ICE).

     
     
  • Polis sedang mengesan kumpulan penunggang basikal bertengkar dengan pemandu bas di Batu Arang

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Azaharudin Tajudin mengesahkan pihaknya sedang mengesan kumpulan penunggang basikal ‘yang hangat masa kini’ untuk membantu siasatan susulan video yang tular baru-baru ini.

    Menerusi paparan video berkenaan, kumpulan penunggang basikal terbabit kelihatan bertengkar dengan seorang pemandu bas perantara MRT, pada jam 9.35 pagi pada Ahad lalu di KM 23 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur (arah Sungai Buloh iaitu selepas lampu isyarat Batu Arang. Di mana kumpulan penunggang basikal terbabit mendakwa pemandu bas Rapid KL itu cuba untuk melanggar mereka. Namun pertelingkahan terbabit dileraikan sebaik sahaja peronda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang secara kebetulan lalu di sini berhenti untuk memantau situasi.

    Menurut Azaharudin, siasatan awal mendapati kumpulan penunggang basikal tersebut yag dipercayai berkayuh dalam kelompok besar di sebelah kiri jalan dan dipercayai menghalang laluan bas berkenaan.

    “Siasatan dijalan di bawah Peraturan 42 (3) Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 kerana menunggang basikal secara bersaing. Dalam kejadian tersebut, tiada sebarang kemalangan berlaku. Pihak polis sedang giat mengesan kumpulan penunggang basikal berkenaan dan orang ramai yang melihat kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan atau boleh menghubungi Bilik Gerakan IPS Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

    “Pihak polis juga menasihati orang ramai agar mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan dan menghormati keselesaan pengguna jalan raya yang lain,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Astro Awani pula melaporkan Rapid Bus Sdn Bhd telah menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan dan menurut syarikat tersebut, kejadian berlaku apabila kapten bas berdepan kesukaran untuk memandu selepas kumpulan penunggang basikal terbabit berkayuh secara berkumpulan di hadapan kenderaan berkenaan.

    “Keadaan menjadi lebih rumit apabila ada dalam kalangan penunggang tersebut memasuki lorong kiri dan menghalang laluan bas, menyebabkan pemandu terpaksa memberhentikan kenderaan dan menegur kumpulan terbabit. Susulan kejadian, kapten bas terbabit telah menjalani sesi kaunseling bagi membantu beliau mengurus situasi dengan lebih tenang sekiranya insiden seumpama itu berulang pada masa hadapan.

    “Rapid Bus turut menegaskan bahawa semua pemandu bas di bawah syarikat itu sentiasa diingatkan agar mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi semua garis panduan keselamatan yang ditetapkan. Penunggang basikal khususnya dinasihatkan supaya menunggang dalam satu barisan, tidak memasuki lorong kenderaan dan tidak menghalang pergerakan lalu lintas demi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,”kata Rapid Bus lagi.

     
     
  • Proton jual 11,069 unit kereta pada Jun – jualan separa pertama 2025 jatuh 2%, bahagian pasaran naik 20%

    Proton jual 11,069 unit kereta pada Jun – jualan separa pertama 2025 jatuh 2%, bahagian pasaran naik 20%

    Proton telah mengumumkan bahawa ia telah berjaya menjual sebanyak 11,069 unit kenderaan pada Jun 2025, atau sedikit naik berbanding jumlah 10,999 unit yang dicatatkan pada bulan sama tahun lalu. Dengan angka ini, Proton telah melengkapkan separa tahunnya dengan merekodkan jualan sebanyak 72,156 unit kenderaan.

    Lazimnya apabila ada angka prestasi jualan yang jatuh, ia tidak akan diumumkan oleh Proton. Jadi apabila kami semak semula angka jualan bagi tempoh separa pertama 2024 yang mencatatkan jualan sebanyak 73,696 unit, rekod jualan Proton untuk tempoh sama tahun ini sebenarnya jatuh sebanyak 2.1%. Malah angka tersebut juga jauh lebih rendah dari rekod 77,321 unit pada separa 2023, di mana ketika itu Proton mencatatkan prestasi separa tahun terbaiknya sejak 2012.

    Walau bagaimanapun pegangan bahagian pasaran Proton naik 1.1% berbanding bulan Mei dengan berada pada kadar jangkaan 20.7% pada Jun, serta 1.2% lebih tinggi daripada angka YTD 19.5%. Ini adalah kerana jumlah keseluruhan industri (TIV) dalam negara itu sendiri yang jatuh 21% kepada 53,500 unit pada Jun berbanding 68,007 unit pada Mei 2025.

    Walaupun sudah hampir ditamatkan pengeluarannya untuk memberi laluan kepada versi facelift yang akan dilancarkan dalam sedikit masa lagi, X50 RC masih lagi model yang laris dari Proton di mana sebanyak 1,657 unit telah terjual bulan lalu, di dakwa masih model terlaris dalam kelasnya.

    353 unit dari angka tersebut merupakan unit yang telah dieksport, bermakna 47% dari jumlah kenderaan Proton yang dibawa keluar negara pada bulan lalu adalah X50. Ini juga bermakna untuk pertama tahun ini, sebanyak 11,351 unit X50 RC (model yang menerima tingkat taraf ringan pada Jun tahun lalu) telah terjual, atau 11.3% lebih tinggi dari jualan X50 untuk tempoh sama tahun lalu.

    Proton turut mendakwa, sejak pertama kali dilancarkan pada Oktober 2020, lebih 140,000 unit X50 telah terjual bukan sahaja dalam negara, malah termasuk pasaran eksport. Dua lagi model Proton yang mengungguli kelas masing-masing pada Jun 2025 adalah SUV segmen-D X90 mencatatkan jualan 174 unit dan juga sedan segmen-C Proton S70 dengan jualan sebanyak 1,402 unit.

    Saga masih lagi model terlaris Proton dengan jualan sebanyak 5,206 unit untuk bulan lalu. Manakala kembar sedan dan hatchback segmen-B iaitu Proton Persona dan Proton Iriz masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 1,171 unit dan 288 unit pada bulan lalu.

    Manakala untuk SUV segmen-C Proton X70 pula, model yang diberikan penyegaran pada Ogos tahun lalu itu mencatatkan jualan sebanyak 533 unit pada Jun 2025. Ini menjadikan jumlah jualan separa pertama 2025 bagi model ini telah pun mencapai 4,354 unit, atau naik sebanyak 46.3% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    “Selepas prestasi kukuh pada bulan Mei, jualan automotif menurun sebanyak 15,000 unit pada Jun disebabkan oleh faktor luaran seperti peningkatan ketegangan di Timur Tengah dan perluasan skop SST yang menjejaskan sentimen pembeli. Walau bagaimanapun, Proton berjaya mengatasi prestasi pasaran untuk meningkatkan peratusan pegangan pasaran kami menjelang separuh kedua tahun yang sibuk, di mana kami mempunyai jadual penuh dengan acara dan pengenalan model baharu,” kata Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

    “Dengan model baharu di bilik pameran kami, prospek syarikat adalah untuk mencapai separuh kedua 2025 yang lebih kukuh sambil kami berusaha meningkatkan jualan bagi tawaran ICE dan EV,” tambahnya. Seperti yang diketahui antara model-model baharu yang bakal dilancarkan pada tahun ini termasuk Proton Saga MC3 dan juga EV kompak eMas 5.

    Melihat lebih terperinci berkenaan eksport pula, Jun lalu Proton telah membawa sebanyak 414 unit kenderaan ke pasaran luar Malaysia. Ini menjadikan jumlah eksport Proton untuk separa pertama tahun ini telah pun mencapai angka 2,250 unit, atau naik 39.9% berbanding tempoh sama tahun lalu. Proton menjangkakan momentum tersebut akan terus bertambah untuk separa kedua tahun ini di mana SUV EV eMas 7 akan dilancarkan di lebih banyak pasaran eksport.

    Proton jual 11,069 unit kereta pada Jun – jualan separa pertama 2025 jatuh 2%, bahagian pasaran naik 20%

    Jualan bagi model EV Proton juga mengalami pertumbuhan positif, dengan sebanyak 4,253 unit eMas 7 telah terjual (termasuk eksport) pada separa pertama tahun ini. Menurut Proton ia kini memegang sebanyak 24% bahagian pasaran EV di Malaysia buat masa sekarang, dan ia dijangka akan bertumbuh lebih besar selepas pelancaran model-model EV yang lain.

    “Sebahagian besar volum jualan Proton pada masa ini disumbangkan oleh kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) domestik, namun jualan eksport dan EV mempunyai potensi pertumbuhan yang sangat besar pada masa hadapan. Kami meramalkan peningkatan berterusan dalam jualan eksport apabila syarikat meneroka lebih banyak pasaran baharu. Bagi jualan EV pula, pasaran semakin berkembang apabila lebih banyak infrastruktur diwujudkan dan merapatkan jurang keyakinan pembeli yang masih ragu-ragu. Oleh itu, kami berharap akan berlaku lonjakan kuantum dalam jualan dengan pengenalan lebih banyak model Proton eMas,” tambah Zhang Qiang.

    Bermula 2025, angka-angka jualan yang diumumkan oleh Proton bukan hanya membabitkan model-model ICE Proton dan NEV Proton eMas, malah ia akan turut merangkumi jualan Proton sebagai sebuah kumpulan automotif di Malaysia – bermakna ia turut melibatkan jualan jenama smart yang kini turut dijual oleh subsidiari Proton iaitu Pro-Net.

     
     
  • BYD Atto 2 bakal tiba di Malaysia – 177 PS/290 Nm, bateri 51.1 kWh; pendaftaran minat dibuka

    BYD Atto 2 bakal tiba di Malaysia –  177 PS/290 Nm, bateri 51.1 kWh; pendaftaran minat dibuka

    BYD Cars Malaysia telah menyiarkan teaser menerusi laman Facebook rasminya tentang ‘sesuatu yang baharu’ yang sedang dipersiapkan, dan kebarangkalian ia merujuk kepada BYD Atto 2, walau pun sekadar meletakkan imej capybara yang comel di situ.

    Pertama kali didedahkan pada Februari 2024 di China, sebaggai Yuan Up, Atto 2 diposisikan di antara model Dolphin dan Atto 3, dan ia diperkenalkan di Bangkok International Motor Show 2025 pada Mac tahun ini. Atto 2 berukuran 4,310 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,675 mm tinggi dengan jarak roda cecah 2,620 mm. Sebagai perbandingan, Dolphin pula berukuran 4,290 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,570 mm tinggi dengan jarak roda berukuran 2,700 mm.

    Di China, Atto 2/Yuan Up ditawarkan dalam lima varian, dengan harga antara 96,800 ke 119,800 yuan (sekitar RM59k ke RM73k). Dua penggerak disediakan, dengan yang pertama menggunakan motor elektrik 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan tork 180 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.

    Motor elektrik ini mendapat kuasa daripada bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade, dengan kapasiti tenaga 32 kWh dan jarak gerak 301 km (CLTC). Turut disediakan adalah bateri 45.12 kWh, yang dapat menaikkan jarak geraknya kepada 401 km.

    BYD Atto 2 di Bangkok International Motor Show 2025

    Bateri yang lebih besar itu juga boleh dipadankan dengan motor elektrik yang lebih berkuasa, memberikan kuasa 177 PS (174 hp atau 130 kW) dan tork 290 Nm, dengan jarak gerak CLTC masih sama (401 km). Bagi pasaran luar China, inilah pakej yang disediakan, dan ia mempunyai jarak gerak hingga 312 km mengikut standard WLTP. Pengecas pantas DC pula berkapasiti 65 kW untuk bateri yang besar, dan 45 kW untuk bateri yang kecil, dengan tahap 10-80% dapat dicapai dalam masa 37 minit.

    Baru-baru ini, BYD memaklumkan kepada pihak media Australia bahawa Atto 2 akan memasuki pasaran Australia dengan dua kemasan, kedua-duanya dilengkapi motor elektrik 130 kW (177 PS)/290 Nm dan bateri lebih besar berkapasiti 51.1 kWh tetapi masih belum didedahkan jarak gerak yang boleh dicapai jika mengikut standard WLTP.

    Bagi pengecasannya, Atto 2 dengan bateri 32 kWh boleh menggunakan pengecas DC hingga 45 kW, sementara dengan bateri 45.12 kWh, ia boleh dicas dengan pengecas DC hingga 65 kW, mampu mencapai tahap 10-80% dalam 37 minit. Jika menggunakan pengecas AC 11 kW pula, pengecasan penuh mengambil masa sekitar 5.5 jam.

    Untuk kelengkapannya, Atto 2 di Thailand menerima roda 16-inci, kluster instrumen digital 8.8-inci, skrin sesentuh infotainmen boleh pusing 12.8-inci dan tempat duduk hadapan larasan kuasa. Atto 2/Yuan Up di China tidak didatangkan dengan sistem bantuan pemanduan aktif secara standard, dan spesifikasi ini hanya ditawarkan sebagai pilihan.

    Untuk pasaran Malaysia, BYD Sime Motors telah pun membuka pendaftaran minat untuk EV ini.

    GALERI: BYD Atto 2 di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025

     
     
  • Tiada istilah “patuh JPJ”, “tidak patuh Puspakom” bagi filem penapis haba kenderaan – CEO Puspakom

    Tiada istilah “patuh JPJ”, “tidak patuh Puspakom” bagi filem penapis haba kenderaan – CEO Puspakom

    Puspakom telah mengeluarkan peringatan kepada syarikat filem penapis haba (tint) dan ejen kenderaan agar tidak mengelirukan orang awam dengan memberikan gambaran yang salah mengenai peranan syarikat itu dalam pemeriksaan kenderaan, khususnya berkaitan pematuhan cermin gelap.

    Ini susulan penyebaran kad jaminan oleh satu jenama filem penapis haba terkenal yang mendakwa produk mereka adalah “patuh JPJ” tetapi “tidak patuh Puspakom”.

    Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman, berkata kenyataan tersebut adalah mengelirukan dan tidak berasaskan fakta.

    “Tidak wujud istilah ‘pematuhan tint Puspakom’. Kami tidak menetapkan peraturan kami sendiri. Kami hanya mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan mengaplikasikannya secara seragam dalam semua pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Tiada istilah “patuh JPJ”, “tidak patuh Puspakom” bagi filem penapis haba kenderaan – CEO Puspakom

    Beliau menambah bahawa Puspakom mengecam sekeras-kerasnya perbuatan menggunakan nama syarikat itu untuk menunjukkan seolah-olah terdapat piawaian yang berbeza atau untuk menjustifikasikan kegagalan pemeriksaan akibat penggunaan produk yang tidak mematuhi peraturan.

    “Kami tidak akan bertolak ansur dengan penggunaan nama kami untuk mengelak tanggungjawab. Jika sesuatu kenderaan gagal dalam pemeriksaan, ia adalah kerana nilai gabungan Penembusan Cahaya Tampak (VLT) antara kaca kenderaan dan filem penapis tidak memenuhi keperluan JPJ,” kata Mahmood.

    Di bawah peraturan JPJ, kadar minimum VLT yang dibenarkan ialah 70% untuk cermin hadapan, 50% untuk cermin sisi hadapan serta tiada had peratusan untuk cermin sisi belakang dan cermin belakang.

    Mahmood menjelaskan bahawa kebanyakan kenderaan hari ini dilengkapi dengan kaca yang mempunyai tint semula jadi. Apabila filem tambahan ditampal, walaupun filem itu mematuhi peraturan JPJ secara individu, bacaan VLT mungkin gagal kerana pengiraan dilakukan berdasarkan jumlah VLT antara tint semulajadi kaca dan tint daripada filem tersebut.

    Tiada istilah “patuh JPJ”, “tidak patuh Puspakom” bagi filem penapis haba kenderaan – CEO Puspakom

    “Semua kaca automotif mempunyai kadar penembusan cahaya asas, walaupun tanpa filem ditampal. Contohnya, kaca automotif sudah pun menapis cahaya kerana tona kehijauan atau kebiruan semulajadinya,” katanya yang turut menambah kadar VLT yang dinyatakan pada pembungkusan filem tint biasanya mengandaikan filem tersebut ditampal pada kaca yang jernih sepenuhnya.

    Puspakom juga menasihatkan orang awam supaya berhati-hati dengan ejen atau runner yang menggunakan maklumat tidak tepat untuk menekan pemilik kenderaan supaya menanggalkan tint mereka atau meminta bayaran tambahan atas alasan “membaiki” isu pemeriksaan.

    “Kami menggesa semua pelanggan untuk melaporkan tingkah laku tidak beretika seperti ini dan mendapatkan penjelasan terus daripada sumber rasmi Puspakom. Proses pemeriksaan kami adalah telus, konsisten dan sepenuhnya berdasarkan peraturan JPJ,” tambah Mahmood.

     
     
  • Presiden FIA sasar F1 kembali guna enjin V8 dengan bahan api lestari pada 2029; lebih menarik, kos rendah

    Presiden FIA sasar F1 kembali guna enjin V8 dengan bahan api lestari pada 2029; lebih menarik, kos rendah

    Presiden FIA Mohammed Ben Sulayem mengulangi aspirasinya untuk mengembalikan perlumbaan F1 dengan enjin lebih besar seperti sebelum era hibrid, kali ini beliau turut mendedahkan garis waktu untuk rancangan tersebut.

    Menurutnya dalam laporan Reuters, F1 mungkin akan menggunakan semula enjin V8 tanpa bantuan turbo seawal 2029, dan ia akan menggunakan bahan api lestari bagi menggantikan unit rangkaian kuasa 1.6 liter V6 dan sistem hibrid eletrik kompleks yang telah digunakan sejak 2013.

    “Enjin yang digunakan buat masa sekarang sangatlah rumit, anda takkan faham, dan ia sangat mahal,” kata Ben Sulayem ketika berlangsungnya British Grand Prix di Litar Silverstone hujung minggu lalu.

    “R&D cecah 200 juta (dollar), dan enjin sahaja menelan belanja sekitar 1.8 sehingga 2.1, jadi kalau kita hanya guna V8, nanti kita tengok.

    “Banyak dari pengeluar menghasilkan V8 untuk kereta mereka, jadi secara komersialnya ia tepat. Berapa kosnya? Anda kurangkan. Sasarannya ialah lebih 50% untuk setiap perkara,” katanya.

    Beliau turut menegaskan bahawa dengan menggunakan enjin V8 ia bukan sahaja lebih murah dan lebih logik untuk pengeluar yang menghasilkan kereta produksi menggunakan enjin berkenaan, malah ia juga akan menghasilkan bunyi yang akan mengalu-alukan kembali peminat lama serta mengujakan generasi baharu.

    “Bagi kami, V8 akan kembali. Dengan pasukan sekarang, saya sangat optimistik, gembira dengannya. FOM (Formula One Management) sangat memberi sokongan, pasukan-pasukan akan merealisasikannya segera.”

    “Kami perlu melakukannya tak lama lagi…anda perlukan tiga tahun, jadi harap-harapnya menjelang 2029 kita ada sesuatu di sana, tetapi bahan api juga sangat mahal, dan kami perlu berhati-hati dengan perkara itu. Transmisi juga sangat mahal,” tambah Muhammed.

    Dengan bayangan yang diberikan Mohammed ini, kereta generasi baharu F1 dengan undang-undang teknikal baharu yang akan mula digunakan tahun hadapan mungkin hanya digunakan selama tiga tahun sahaja iaitu sehingga 2028. Bagi musim 2026, enjin 1.6 liter V6 dengan pengecas turbo masih akan digunakan, tetapi ia akan beroperasi dengan bahan api lestari 100% serta bantuan kuasa elektrik yang lebih besar akan diberikan oleh sistem hibrid.

     
     
  • Tokyo Auto Salon KL 2025 – lebih ramai legenda JDM, lebih banyak kereta ubahsuai baru, tiket lebih murah!

    Tokyo Auto Salon KL 2025 – lebih ramai legenda JDM, lebih banyak kereta ubahsuai baru, tiket lebih murah!

    Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2025 secara rasminya telah diumumkan hari ini, dan ia disahkan bakal diadakan bermula 8 hingga 10 Ogos ini, dan masih akan berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

    Untuk acara tahun ini, Element X Strategies iaitu Pemegang Lesen Rasmi Tunggal bagi TASKL, dengan kerjasama San Ei Corporation sebagai pemilik harta intelek Tokyo Auto Salon dan Persekutuan Tokyo Auto Salon, menjanjikan lebih banyak kereta ubahsuai terkini yang di bawa dari Jepun bersama lebih ramai legenda-legenda JDM di bawa kepada peminat di Malaysia.

    Pengasas penala Jepun, Top Secret iaitu Smokey Nagata telah mengesahkan kunjungan tahun ketiganya berturut-turut ke TASKL. Begitu juga ‘Godfather of Modern Nissan GT-R’ Hiroshi Tamura yang akan turut kembali ke Malaysia sempena acara ini.

    Selain itu TASKL turut akan dihadiri oleh lain-lain legenda dan ikon dalam dunia modifikasi JDM, antaranya pakar ubahsuai enjin wankel rotary Mazda dan pengasas RE Amemiya iaitu Isami Amemiya, pengasas Liberty Walk Wataru Kato, pemilik jenama KUHL Racing Takahiro Kataoka, dan juga presiden penala Honda, J’s Racing iaitu Hisaaki Murakami.

    Kedatangan ikon-ikon ini turut akan diiringi oleh pelbagai barangan jenama masing-masing, di mana anda boleh mendapatkannya di reruai rasmi Top Secret, Liberty Walk, KUHL Racing, J’S Racing dan Veilside.

    Ada juga antara jenama-jenama tersebut akan membawa antara ‘demo car’ terbaik masing-masing, antaranya Top Secret VR32 Stealth Nissan GT-R iaitu Nissan Skyline GT-R R32 yang disumbatkan dengan enjin VR38DETT V6 3.8 liter berkuasa 1,072 hp bersama kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan, sistem pacuan semua Attesa ET-S dari Nissan GT-R R35, lengkap dengan dengan bahagian dalaman yang juga diambil dari R35, di mana kereta ini dibina oleh Smokey Nagata sendiri.

    Manakala Liberty Walk akan hadir dengan dua kereta ikonik jenama itu, yang pertama adalah Super Silhouette ER34 iaitu Nissan Skyline R34 yang diberi imej seakan jentera lumba ikonik Nissan Skyline R30 Super Silhouette Group 5 yang dipandu lagenda Nissan, Masahiro Hasemi ketika era Japan GP 80’an. Kereta kedua yang dibawa oleh Liberty Walk adalah Ferrari F40 yang penuh kontroversi apabila model terakhir dibina ketika Enzo Ferrari masih hidup tersebut diberikan kit badan lebih lebar serta suspensi yang ditala serendah-rendahnya.

    RE Amemiya turut akan membawa ‘demo car’ terbaharunya iaitu Matsukiyo Kizami 3ROTOR NA-7 yang baru didedahkan di Tokyo Auto Salon 2025 Januari lalu. Kereta yang diasaskan dari Mazda RX-7 FD3S berkenaan kini menerima muka dan bahagian belakang baharu rekaan RE Amemiya, dan ia menerima enjin wankel rotary dengan tiga rotor menghasilkan kapasiti 1.962 liter, dan mampu menghembuskan 435 hp tanpa sebarang pengecas turbo.

    Dua lagi jentera ubahsuai baharu yang dibawa terus dari Jepun adalah Crewch Delusion GT-R R356C yang merupakan Nissan GT-R dengan rupa diinpirasikan dari model konsep Nissan Hyper Force serta model edisi terhad GT-R50 Italdesign, dan juga ‘Rolls Royce Jepun’ iaitu Toyota Century yang diubahsuai oleh Aless dan diberi nama Aless Century Complete WL, di mana enjin V8 5.0 liter sedan mewah tersebut kini bernafas dengan kuasa 518 hp.

    “Salah satu tugas paling sukar yang kami hadapi setiap tahun ialah pemilihan kereta khas yang akan dibawa masuk dari Jepun. Sejujurnya terdapat banyak, tetapi sekali lagi ini juga bergantung kepada ketersediaan kerana kebanyakan kereta peringkat teratas ini sedang dalam jelajah untuk dipamerkan di pameran di seluruh dunia,” kata Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Element X Strategies Jason Yap.

    TASKL turut tidak melupakan penala-penala dari Malaysia sendiri di mana tahun ini acara berkenaan memperkenalkan Malaysia’s Finest Tuners (MFT) tahun ini, dengan menyediakan kawasan khas bagi mempamerkan, mempromosi dan menghormati penala-penala terbaik dari Malaysia. Ia diharap dapat menjalinkan hubungan antara penala Jepun dan Malaysia serta kedua-duanya dapat menerokai peluang-peluang merentas dua negara itu.

    Seperti tahun-tahun sebelum ini, TASKL turut akan mengadakan pertandingan autoshow yang akan diadili oleh panel juri terdiri dari penala Jepun, perhimpunan kelab-kelab kereta dan juga pameran koleksi kereta-kereta yang sukar ditemui di Malaysia.

    Untuk peminat kereta-kereta die-cast skala kecil, tahun ini TASKL melancarkan model edisi istimewa berasaskan Toyota Supra Mk4 yang akan disediakan dalam dua varian iaitu chase dan super chase. Kedua-dua ini merupakan versi lanjutan Supra Mk4 berwarna Matte Frost Yellow yang telah mula dijual pada harga RM135 bulan lalu.

    Tokyo Auto Salon KL 2025 – lebih ramai legenda JDM, lebih banyak kereta ubahsuai baru, tiket lebih murah!

    Acara-acara lain yang turut berlangsung sekali dengan acara ini termasuk perlumbaan simulator endurance selama dua-jam anjuran RaceRoom, pertandingan Cosplay, dan pelbagai lagi. Tahun ini juga pengunjung berpeluang memenangi sebuah motosikal yang telah diubahsuai yang ditaja oleh EXN Lubricants.

    Untuk tahun ini, TASKL akan diadakan bermula 8-10 Ogos 2025. Harga tiket sehari untuk pengunjung dewasa dijual pada harga RM48, berbanding RM60 tahun lalu. Manakala tiket untuk kanak-kanak berumur 6-12 tahun pula dijual pada harga RM30 sehari. Juga ada disediakan pakej kombo keluarga yang merangkumi dua tiket dewasa dan dua tiket kanak-kanak dijual pada harga RM120 untuk sehari.

    Sekiranya anda mahu datang setiap hari acara ke tersebut sepanjang ia diadakan, juga terdapat pakej lebih jimat iaitu RM120 untuk tiga-hari. Potongan diskaun 50% akan diberikan untuk pemegang kad OKU dan juga penjaga mereka, manakala untuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun masuk adalah percuma.

    Anda sudah pun boleh membeli tiket secara atas talian menerusi laman web rasmi TASKL. Tiket-tiket juga dijual di MITEC ketika berlangsungnya acara ini nanti.

     
     
  • Suzuki GSX-8T dan GSX-8TT diperkenal – enjin dua silinder 776 cc, quickshifter, skrin TFT lima inci

    Suzuki GSX-8T dan GSX-8TT diperkenal – enjin dua silinder 776 cc, quickshifter, skrin TFT lima inci

    Suzuki memperkenalkan kepada dunia dua buah model baru yang menggunakan asas sama, tetapi dengan penampilan berbeza iaitu GSX-8T dan GSX-8TT. Di United Kingdom, harga yang dikeluarkan untuk GSX-8T adalah 9,599 pound sterling (RM55,301), sementara GSX-8TT adalah 400 pound lebih mahal pada 9,999 pound (RM57,605). Sebagai perbandingan, GSX-8S di sana dijual pada harga 7,499 pound (RM43,202), manakala di Malaysia ia berharga RM50,800.

    Menggerakkan dua model baru ini adalah enjin sama seperti GSX-8R dan GSX-8S, iaitu unit dua silinder selari 776 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan sistem pacuan rantai. Kuasa masih belum didedah tetapi pada GSX-8R, enjin ini menghasilkan 82 hp pada 8,500 rpm dan tork 78 Nm pada 6,800 rpm.

    Pada bahagian kokpit, informasi penting dipaparkan oleh panel instrumen TFT-LCD lima inci berwarna penuh, sementara untuk mod tunggangan, ada tiga pilihan disediakan, dengan Mode A yang paling agresif, diikuti Mode B, dan Mode C yang lebih seperti mod hujan.

    Menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, motosikal ini turut datang dengan kawalan cengkaman tiga tahap (boleh tutup), bantuan rpm rendah untuk memudahkan pergerakan awal serta quickshifter (naik dan turun) secara standard. Memegang rim 17 incinya ke atas jalan adalah suspensi daripada Kayaba, dengan fork USD di hadapan, sementara sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm di hadapan, dan cakera 240 mm di belakang.

    Beza antara dua model ini cuma pada aksesori luaran, seperti yang boleh dilihat GSX-8T tampil lebih ringkas, sementara GSX-8TT ditambah dengan fairing atas, pelindung bawah enjin serta jahitan istimewa pada tempat duduk, menjadikannya dua kilogram lebih berat berbanding GSX-8T, pada 203 kg.

    Kelengkapan lain yang datang bersama GSX-8T dan GSX-8TT ini adalah termasuk tangki bahan api 16.5 liter, bateri lithium ion, soket pengecas USB-C, tayar Dunlop Sportmax Roadsport 2 bersaiz 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang serta cermin sisi melekat pada hujung pemegang.


    GALERI: Suzuki GSX-8T 2025

    GALERI: Suzuki GSX-8TT 2025

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025