Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Suzuki V-Strom 800RE tiba di Malaysia – RM54,800

    Suzuki V-Strom 800RE tiba di Malaysia – RM54,800

    Selain GSX-S1000GX dan GSX-8R, Suzuki Malaysia juga telah melancarkan model touring V-Strom 800RE untuk pasaran Malaysia, pada harga RM54,800 tidak termasuk insurans. Untuk pengetahuan, V-Strom 800RE ini adalah satu versi asas yang lebih fokus kepada penggunaan atas jalan biasa bagi V-Strom 800DE yang dilancarkan di pasaran kita tahun lalu.

    Perbezaan utama adalah pada bahagian roda, di mana 800RE datang dengan unit aluminium bersaiz 19 inci di hadapan, dibalut dengan tayar 110/80 dan 17 inci di belakang, dibalut tayar 150/70 di belakang. Tangki bahan api masih lagi bekapasiti 20 liter, tetapi berat keseluruhan 800RE telah berkurang menjadi 223 kg berbanding 230 kg bagi 800DE.

    Meskipun 800RE adalah lebih murah dan berbanding 800DE (RM60,800 semasa dilancarkan), ia datang dengan brek yang lebih berprestasi, iaitu tetapan cakera berkembar 310 mm bersama angkup Nissin empat piston di hadapan dan cakera 260 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Suzuki V-Strom 800RE tiba di Malaysia – RM54,800

    Untuk suspensi, 800RE mendapat perkakasan daripada Showa, yang terdiri daripada fork Separate Function Fork – Big Piston (SFF-BP) dengan pelarasan pra beban di hadapan, dan monoshock dengan pelarasan pra beban serta lantunan. Jarak kelegaan dari tanah 800RE adalah lebih rendah berbanding 800DE, iaitu 185 mm berbanding 220 mm.

    Anda juga boleh melihat terdapat beberapa kekurangan lain pada 800RE seperti penghadang tangan dan penghadang bawah enjin. Panel badan masih sama, dan 800RE juga masih mendapat penghadang angin hadapan yang boleh dilaras secara manual.

    Perincian lain adalah sama termasuk enjin dan kuasa, iaitu unit dua silinder selari DOHC 776 cc dengan crankshaft 270 darjah dan padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 84.3 PS dan tork 78 Nm. Quickshifter juga disediakan secara standard untuk 800RE ini.

    Tiga mod tunggangan disediakan pada 800RE (800DE ada empat mod), iaitu Active (A), Basic (B) dan Comfort (C) sementara kawalan cengkaman juga mempunyai tiga mod manakala ABS mempunyai dua mod. Di hadapan penunggang terdapat skrin TFT LCD lima inci untuk memaparkan informasi penting motosikal.

     
     
  • Rapid Rail catat rekod jumlah penumpang harian tertinggi melebihi sejuta penumpang pada 29 Mei 2024

    Pada 29 Mei 2024, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), Monorel dan transit aliran massa (MRT) di Lembah Klang berjaya melakar satu lagi sejarah iaitu
    mencatatkan rekod mengendalikan lebih sejuta penumpang dalam sehari, jumlah tertinggi yang pernah dicapai sejak penubuhannya.

    Menurut kenyataan yang dikongsi menerusi laman Facebook rasminya, Rapid Rail berkata pada tarikh berkenaan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mencatatkan bilangan penumpang sebanyak 287,102, diikuti LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dengan 224,184 penumpang.

    Manakala perkhidmatan Monorel mencatatkan jumlah penumpang seramai 61,236 orang, dan MRT Laluan Kajang dengan 274,302 penumpang dan MRT Laluan Putrajaya pula mencecah 157,767 penumpang. Sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,004,591 iaitu peningkatan lebih 35% berbanding tarikh sama pada tahun 2023 (739,818 penumpang).

    “Lonjakan ini dipacu dengan beberapa inisiatif yang digerakkan seperti proses penambahan kapasiti tren di (LRT) Laluan Kelana Jaya dan (MRT) Laluan Kajang, pembukaan semula perkhidmatan tren di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya bagi (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling pada 17 Feb 2024 lalu akibat kerosakan struktur jejambat, serta pembukaan beberapa lokasi tarikan baru di sepanjang jajaran rel.

    “Selain itu beberapa acara berskala besar yang diadakan di sekitar stesen rel dan musim cuti sekolah turut menyumbang kepada peningkatan jumlah penumpang,” kata kenyataan yang dikeluarkan.

    Sambungnya, “Rapid Rail amat berbangga kerana sasaran membawa sejuta penumpang sehari berjaya dicapai enam bulan lebih awal daripada jangkaan yang ditetapkan. Ini juga bukti sokongan padu khususnya daripada warga Lembah Klang yang setia menggunakan perkhidmatan rel pada setiap hari.

    “Segala usaha penambahbaikan yang dilakukan oleh Rapid Rail selama ini juga seiring dengan aspirasi kerajaan dalam memajukan sektor perkhidmatan pengangkutan awam ke tahap lebih baik. Kesungguhan dan komitmen jurutera dan barisan hadapan Rapid Rail dalam menjalankan kerja-kerja penyelanggaran bagi menyediakan bilangan tren yang mencukupi serta memastikan kelancaran dan kestabilan perkhidmatan untuk manfaat pengguna.”

    Rapid Rail turut berkata, kejayaan ini juga merupakan satu perkembangan yang positif selaras dengan visi dan misi syarikat induk Rapid Rail iaitu Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam memajukan mobiliti dan memperkayakan pengalaman pengguna pengangkutan awam.

    “Rapid Rail ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penumpang di atas sokongan berterusan terhadap perkhidmatan yang disediakan. Kejayaan ini akan menjadi titik pengukur baharu untuk Rapid Rail sentiasa menyediakan perkhidmatan yang lebih baik serta dapat menarik lebih ramai pengguna untuk beralih kepada pengangkutan awam pada masa hadapan,” katanya lagi.

     
     
  • Jaecoo J7 PHEV ditunjuk di Malaysia — 1.5 TGDi jana 347 PS/525 Nm, jarak EV 88 km; pengecasan DC, V2L

    Jaecoo J7 PHEV ditunjuk di Malaysia — 1.5 TGDi jana 347 PS/525 Nm, jarak EV 88 km; pengecasan DC, V2L

    Jaecoo J7 PHEV mula ditunjuk di peringkat global ketika pameran Auto China 2024 di Beijing bulan lalu, dan model sama turut dipertontonkan untuk pertama kali di Malaysia minggu lalu ketika Malaysia Autoshow 2024 — dipamer juga bersama model elektrik J6.

    Jaecoo J7 menggunakan enjin 1.5 liter TGDi petrol yang menampulkan kadar kecekapan thermal sehingga 44.5% seperti didakwa jenama itu. Ini digandingkan pula dengan transmisi khusus hibrid (DHT) serta motor elektrik di depan, dengan keseluruhannya menjana sebanyak 347 PS dan 525 Nm tork.

    Sebagai perbandingan, versi petrol Jaecoo J7 dikuasakan oleh enjin 1.6 liter turbocas petrol dengan janaan 197 PS dan 290 Nm tork, dengan kuasa disalurkan ke semua roda melalui transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Jaecoo J7 PHEV ditunjuk di Malaysia — 1.5 TGDi jana 347 PS/525 Nm, jarak EV 88 km; pengecasan DC, V2L

    Mod elektrik sepenuhnya SUV ini memberikan jarak perjalanan sehingga 88 km, sementara pacuan hibridnya mampu memberikan penggunaan minyak sehingga 4.9 l/100 km, atau 20.4 km seliter. Jika menggunakan mod hibrid sepenuhnya, dengan 60 liter minyak dan bateri penuh, J7 PHEV mampu memberikan lebih daripada 1,200 km jarak perjalanan.

    Apa yang membezakan Jaecoo J7 PHEV berbanding model plug-in hybrid lain adalah kemampuannya untuk menerima pengecasan pantas DC, dengan kehadiran port pengecasan CCS2 yang dapat dilihat padanya. Kemampuan elektrikalnya juga melibatkan ciri V2L.

    Bagaimanapun, perincian kelengkapannya untuk pasaran tempatan masih sedikit yang diketahui. Papan pemuka meminjam daripada model petrolnya, dengan ciri kluster instrumen pemandu 10.25-inci yang disertai oleh skrin sentuh untuk infotainmen bersaiz 14.8-inci menegak.

    Jaecoo J7 PHEV ditunjuk di Malaysia — 1.5 TGDi jana 347 PS/525 Nm, jarak EV 88 km; pengecasan DC, V2L

    Namun, konsol tengahnya berbeza daripada versi petrol, dengan tuil pemilih gear digantikan dengan ruang meletak kawan bersebelahan. Pemilik mod pemanduan bulat pada versi petrolnya digantikan dengan barisan butang kendalian untuk J7 PHEV.

    Ketika dipertontonkan di sini Januari lalu, Jaecoo J7 dijangka dijual dengan harga sekitar RM150k untuk varia pacuan roda depan, dan dari RM160k untuk varian AWD untuk versi petrolnya. Bagaimana dengan versi PHEV ini?

     
     
  • Pro-Net jalin kerjasama dengan ChargeSini — perluas rangkaian pengecasan melalui aplikasi Hello smart

    Pro-Net jalin kerjasama dengan ChargeSini — perluas rangkaian pengecasan melalui aplikasi Hello smart

    Proton New Energy Technology (Pro-Net) selaku pengedar kenderaan smart di Malaysia telah mengumumkan telah memeterai perjanjian persefahaman dengan ChargeSini untuk menyediakan akses rangkaian pengecasan kenderaan EV yang lebih meluas kepada pelanggannya.

    Melalui kerjasama ini, rangkaian stesen pengecasan ChargeSini akan disepadukan ke dalam rangkaian pengecasan sedia ada Pro-Net melalui aplikasi Hello smart. Dengan ini, syarikat itu memaklumkan yang liputan pengecasannya akan meningkat daripada 70% kepada 75% di seluruh negara.

    Pro-Net juga menambah, kemaskini bagi aplikasi Hello smart akan dilakukan pada suku ketiga tahun ini. Dengan penyepaduan tersebut, pengguna hanya perlu aplikasi Hello smart untuk mengakses semua stesen pengecasan tersebut yang melibatkan empat pengendali berbeza, dengan tiga lagi termasuk oleh Gentari, chargEV dan JomCharge.

     
     
  • Model baharu Subaru yang dijual di Malaysia mulai 2025 sah akan dibawa masuk dari Jepun – TC Subaru

    Model baharu Subaru yang dijual di Malaysia mulai 2025 sah akan dibawa masuk dari Jepun – TC Subaru

    TC Subaru (TCS), selaku pengedar rasmi kenderaan dan penyedia perkhidmatan selepas jualan Subaru di Malaysia, telah mengumumkan bahawa mulai tahun 2025, semua kenderaan baharu Subaru yang dijual di negara ini adalah model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

    Ia susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Chong International Limited (TCIL) baru-baru ini yang mengesahkan penamatan operasi pemasangan tempatan (CKD) di Thailand, Vietnam, Malaysia dan Kemboja menjelang akhir 2024.

    “Selepas pertimbangan yang teliti, TCIL dan Subaru Corporation telah bersama-sama memutuskan untuk menjalani transformasi perniagaan proaktif dengan menghentikan model perniagaan CKD sedia ada secara berperingkat, yang dipercayai tidak lagi mampan dalam jangka panjang,” ujar TCIL dalam kenyataan itu.

    Buat masa ini, hanya XV generasi kedua yang dipasang di Malaysia oleh Tan Chong Motor Assemblies (TCMA), anak syarikat Tan Chong Motor Holdings (TCMH) yang terletak di Segambut. Sebelum ini, Forester generasi ke-empat juga dipasang di sini tetapi bagi model generasi kelima, ia telah ‘berpindah’ pemasangannya ke Thailand.

    “Bagi pemilik sedia ada kenderaan Subaru, TCS mengesahkan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk menyediakan pengalaman pemilikan yang luar biasa. Setiap pengedar Subaru di seluruh Malaysia akan terus menawarkan sokongan dan perkhidmatan yang komprehensif, dengan kepakaran juruteknik bertauliah Subaru dan alat ganti tulen yang boleh diperoleh di semua pusat servis sah di sini,” kata TCS dalam kenyataannya lagi.

     
     
  • Chery sudah pasang 10,000 unit model CKD di Malaysia dalam masa 8 bulan menerusi kilang Inokom

    Chery sudah pasang 10,000 unit model CKD di Malaysia dalam masa 8 bulan menerusi kilang Inokom

    Chery Auto Malaysia hari ini mengumumkan bahawa operasi pemasangan tempatannya bersama Inokom Corporation Sdn Bhd (Inokom) sudahpun mencapai angka produksi mencecah 10,000 unit, hanya selepas lapan bulan ia bermula.

    Pemasangan tersebut dibuat di fasiliti sebesar 200 ekar milik Inokom di Kulim, Kedah selepas kerjasama kedua-dua pihak dimuktamadkan pada Mei 2023. Manakala kumpulan pertama Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro berjaya disiapkan dan dihantar kepada pelanggan pada bulan Ogos tahun yang sama.

    Menurut Chery Malaysia, dengan permintaan yang semakin meningkat pada pasaran tempatan, barisan produksi kedua turut akan beroperasi di kilang berkenaan, serta bakal memproduksi dua lagi model iaitu Tiggo 7 Pro yang bakal dilancarkan dan juga model EV Omoda E5 yang turut bakal dihasilkan secara CKD di sini.

    “Fokus kami adalah sentiasa untuk memberikan produk yang selamat dan boleh diharap kepada pelanggan,” kata presiden Chery Auto Malaysia, Leo Chen.

    “Kami komited untuk mengekalkan proses-proses ketat bagi menjamin kualiti selari dengan pengembangan operasi kami di sini,” kata pengarah urusan Sime Darby Motors, Andrew Bishop ketika melancarkan barisan produksi baharu tersebut.

     
     
  • Pelarasan subsidi diesel disebabkan peningkatan kos 10 kali ganda untuk kerajaan — Menteri Kewangan II

    Pelarasan subsidi diesel disebabkan peningkatan kos 10 kali ganda untuk kerajaan — Menteri Kewangan II

    Keputusan untuk menjalankan pelarasan semula subsidi diesel di Malaysia adalah disebabkan kos yang terlibat telah meningkat sebanyak 10 kali ganda yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh lima tahun terakhir, lapor The Star.

    Kerajaan Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM14.3 bilion untuk subsidi diesel tahun lalu, berbanding RM1.4 bilion pada 2019. Ketirisan diesel bersubsidi telah dikenal pasti sebagai penyebab utama berlakunya peningkatan bayaran subsidi, dengan jumlah diesel bersubsidi naik daripada 6.1 bilion liter kepada 10.8 bilion liter bagi tempoh yang sama.

    “Satu daripada sebab mengapa pelarasan semula subsidi diesel ini diteruskan adalah untuk menutup ketirisan tersebut. Tumpuan sekarang adalah terhadap pelarasan semula tersebut supaya kerajaan boleh menjalankannya secara berkesan. Kerajaan yang digerakkan dengan cekap akan membantu rakyat dalam bentuk yang lain,” jelas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

    Pelarasan subsidi diesel disebabkan peningkatan kos 10 kali ganda untuk kerajaan — Menteri Kewangan II

    Kerajaan berharap untuk dapat menjimatkan sekitar RM4 bilion setahun melalui pelarasan semula subsidi diesel ini, dengan penjimatan itu boleh disalurkan untuk kegunaan lain.

    Sebab utama ketirisan diesel bersubsidi itu berlaku adalah kerana perbezaan harga yang jauh bagi diesel jika dibandingkan dengan harga di negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia. Dengan harga diesel di tetapkan pada kadar RM2.15 seliter ketika ini, harganya di Thailand pula ialah RM4.12 seliter, di Indonesia RM4.73 seliter sementara di Singapura RM8.87 seliter.

    Awal minggu ini juga kerejaan Malaysia telah mengumumkan program bantuan subsidi Budi Madani yang mana pemohon yang berjaya akan menerima RM200 sebulan untuk kenderaan diesel mereka. Laman web Budi Madani juga sudah beroperasi untuk melayani keperluan tersebut.

    Pelarasan subsidi diesel disebabkan peningkatan kos 10 kali ganda untuk kerajaan — Menteri Kewangan II

    Sementara itu, program Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS 2.0) telah dimulakan pada Mac tahun ini, dan lima syarikat minyak telah mengeluarkan 90,000 kad fleet kepada syarikat pengangkutan yang layak bermula minggu ini.

    Program SKDS disasarkan untuk sektor logistik atau mereka yang menyediakan perkhidmatan penting untuk pelanggan, sementara Budi Madani disasarkan untuk pemilik kenderaan diesel persendirian serta pekebun dan petani kecil. Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan semalam bahawa mereka yang berhasrat menerima subsidi diesel boleh memohon melalui Budi Madani atau SKDS, tetapi bukan daripada kedua-duanya.

     
     
  • Honda CB750 Hornet dilancar di Malaysia – RM50,800

    Honda CB750 Hornet dilancar di Malaysia – RM50,800

    Pernah dipertontonkan di Litar Sepang sempena hujung minggu MotoGP tahun lalu, Honda CB750 Hornet kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada harga RM50,800 tidak termasuk insurans. Ia disediakan dalam tiga warna iaitu Graphite Black, Pearl Glare White dan Mat Goldfinch Yellow, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Model naked ini dipacu oleh enjin dua silinder selari penyejukan cecair, OHC 755 cc yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan klac assist & slipper, mampu menghasilkan 90 hp pada 9,500 rpm dan 74.4 Nm tork pada 7,000 rpm. Menambah lagi tarikannya, motosikal ini turut didatangkan dengan quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear secara standard.

    Empat mod tunggangan disediakan pada CB750 Hornet, dan ia juga datang dengan sistem elektronik lain seperti Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan Wheelie Control, manakala informasi penting dipaparkan pada skrin TFT warna penuh lima inci. Penunggang juga boleh melaras tahap kuasa enjin dan engine braking pada motosikal ini.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api 15.2 liter, ABS dual-channel, suspensi daripada Showa, yang terdiri daripada fork SFF-BP USD 41 mm di hadapan, dan monoshock berserta sambungan lengan ayun Pro-Link di belakang, brek cakera berkembar 296 mm dengan angkup Nissin empat piston di hadapan, dan cakera 240 mm tunggal dengan angkup satu piston di belakang, serta rim 17 inci.

    Melihat kepada model yang lebih kecil, iaitu CB350RS, ia sudah diperkenalkan kepada dunia sejak tahun 2021 lagi, bermula antaranya di India, dengan membawa rekaan klasik yang diterapkan dengan konsep scrambler. Enjinnya adalah unit satu silinder 350 cc dengan suntikan bahan api dan kuasa 20.8 hp/30 Nm tork.

    Walaupun nampak ringkas, CB350RS ini datang dengan kelengkapan moden termasuk brek cakera depan dan belakang yang dilengkapi sistem ABS two-channel, kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC), rim 19 inci di hadapan, 18 inci di belakang, transmisi lima kelajuan serta sambungan Bluetooth.

     
     
  • Donald Trump ugut untuk kenakan tarif 100% bagi pengeluar kenderaan China jika ia diperbuat di Mexico

    Donald Trump ugut untuk kenakan tarif 100% bagi pengeluar kenderaan China jika ia diperbuat di Mexico

    Bekas presiden Amerika Syarikat (USA) yang juga calon presiden yang sedang bertanding, Donald Trump mendedahkan sekiranya dia memenangi kerusi untuk kembali ke White House, dia akan mengenakan tarif 100% untuk kenderaan (termasuk kenderaan elektrik) dari jenama China, sekiranya ia diperbuat di Mexico.

    Awal bulan ini, presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengumumkan beberapa tarif baharu ke atas barangan buatan China, salah satunya akan menyaksikan duti ke atas EV yang diimport dinaikkan empat kali ganda daripada 25% kepada 100%. Walau bagaimanapun, penganalisis menegaskan bahawa syarikat kereta China boleh mengelak undang-undang tersebut dengan menubuhkan fasilitipengeluaran di luar China, seperti di Mexico. Laporan oleh Reuters dan Mexico News Daily menunjukkan jenama seperti BYD dan Jaecoo sedang mencari jalan untuk melakukannya.

    Dalam ucapannya di Ohio, Trump berkata dia tidak akan membenarkan perkara ini berlaku. “Jika anda melihat United Auto Workers, apa yang mereka lakukan terhadap rakyat mereka amat mengerikan. Mereka mahu melakukan perkara karut ini, di mana kereta tidak boleh bergerak jauh, harganya terlalu mahal dan semuanya dibuat di China,” katanya.

    Trump terus mendakwa bahawa dalam tempoh 30 tahun, Mexico telah mengambil 34% daripada perniagaan pembuatan kereta di Amerika Syarikat. “Kini China sedang membina beberapa loji besar di mana mereka akan mengeluarkan kereta di Mexico dan berfikir mereka akan menjual kereta tersebut di Amerika Syarikat tanpa cukai di sempadan.

    “Tidak, kita akan meletakkan tarif 100% pada setiap kereta yang melintasi sempadan dan anda tidak akan dapat menjual kereta tersebut,” tambahnya. Walau bagaimana pun, tidak dijelaskan sama ada tarif yang dicadangkan akan dikenakan kepada semua kereta yang dipasang Mexico yang dibawa masuk ke Amerika Syarikat atau hanya kereta dari jenama China.

     
     
  • Suzuki GSX-S1000GX tiba di Malaysia – RM89,900

    Suzuki GSX-S1000GX tiba di Malaysia – RM89,900

    Didedah kepada dunia pertama kali hujung tahun lalu, motosikal Suzuki yang dipanggil sebagai sebuah “crossover tourer“, iaitu GSX-1000GX kini sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan RM89,900 tidak termasuk insurans.

    Dalam pasaran, model ini akan memberi saingan kepada saingan model seperti BMW S1000XR, Kawasaki Versys 1000 dan Tracer 9 GT, dan ia menggunakan enjin empat silinder 999 cc DOHC yang mampu menghasilkan kuasa 152 PS pada 11,000 rpm dan 106 Nm tork pada 9,250 rpm. Kotak gear enam kelajuan yang digunakan datang secara standard dengan quickshifter.

    Asas yang digunakan untuk GSX-S1000GX ini sebenarnya adalah daripada model sport tourer GSX-1000GT. Untuk menjadikannya lebih tinggi, Suzuki bukan setakat menggunakan fork yang lebih panjang, tetapi juga menggunakan unit dengan sistem kawalan elektronik semi aktif yang dipanggil sebagai Suzuki Advanced Electronic Suspension (SAES).

    Suspensi yang datang daripada Showa ini boleh melaras secara automatik mengikut keadaan jalan untuk menjadikan tunggangan lebih lancar dan stabil. Ia menyediakan beberapa mod iaitu Hard, Medium, Soft dan User, dan daya serapan akan berubah bergantung kepada mod tunggangan.

    Sebagai sebuah motosikal yang lebih fokus kepada tunggangan di atas jalan biasa, GSX-S1000GX datang dengan rim 17 inci, yang dibalut masing-masing tayar 120/70 di hadapan dan 190/50 di belakang, sementara breknya pula datang dengan tetapan cakera berkembar bersama angkup Brembo empat piston di hadapan dan cakera tunggal dengan angkup Nissin satu piston di belakang.

    Ciri elektronik lain yang disediakan adalah termasuk Cruise Control, Traction Control, Wheelie Control, Roll Torque Control, Cornering ABS serta skrin TFT 6.5 inci yang boleh disambungkan kepada telefon pintar untuk pelbagai fungsi. Berat keseluruhan GSX-S1000GX adalah 232 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 19 liter.

     
     
  • MSF Superturismo 2024 Pusingan kedua – kehangatan ‘Saturday Night Fever’ kembali ke Sepang minggu ini!

    MSF Superturismo 2024 Pusingan kedua – kehangatan ‘Saturday Night Fever’ kembali ke Sepang minggu ini!

    Siri perlumbaan MSF Superturismo 2024 bakal masuk ke pusingan kedua pada hujung minggu ini. Dan apa yang menarik, pada pusingan kali ini ia akan dilangsungkan pada sebelah malam di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Selatan) untuk mengenang kembali asal-usul MSF yang sebelum ini dikenali sebagai ‘Saturday Night Fever'(SNF), di mana kali terakhir ia dilangsungkan 10 tahun lalu!

    Sesuai dengan tema ‘SNF Revival’ perlumbaan ini akan dilangsungkan pada 1 Jun 2024 iaitu pada hari Sabtu malam minggu ini. Ia bakal disertai lebih dari 200 pelumba yang bersaing dalam 10 kelas berbeza, dengan tumpuan diberikan kepada empat kelas utama iaitu Super Touring; Vision HKS GT86 x BRZ Racing Cup; Super Production; dan Rennplatz Standard Production.

    “Untuk pemandu dan penonton ini adalah satu pengalaman yang luar biasa untuk dapat berlumba selepas matahari terbenam, dan selepas aksi perlumbaan sengit Pusingan 1 pada bulan Mac, kami cukup pasti persaingan akan menjadi sama jika ia tidak lebih menarik selepas berehat selama dua bulan,” kata Prinsipal MSF Superturismo, Adian Yein Khalid.

    “Pusingan 2 juga akan menyaksikan elemen baharu diperkenalkan iaitu hanya penggunaan Trek Selatan (2.609km) berbanding keseluruhan 5.543km jarak litar. Ia sememangnya resipi untuk perlumbaan yang lebih pantas dan sengit dari awal hingga akhir dan kelebihannya ialah penonton boleh menyaksikan keseluruhan perlumbaan berlangsung dari tempat duduk mereka di kawasan paddock grandstand,” tambah Adian lagi.

    Untuk penonton yang datang, anda bukan sahaja akan menikmati pertarungan yang akan disajikan oleh pelumba yang bertanding, malah sejumlah besar kereta dan peralatan prestasi kenderaan turut akan dipamerkan, bersama barangan cenderahati yang bakal dijual di kawasan hospitaliti.

    Dalam perlumbaan pusingan kedua ini, kelas Super Touring dijangka akan menampilkan saingan sengit antara Mohamed Hafez Kamarudin yang memandu Toyota GR Yaris dan juga Umar Abdullah yang memandu Honda Civic Type R FD2R. Hafez menang dalam pusingan pertama sebelum ini dengan menamatkan perlumbaan 53 saat di hadapan Umar. Manakala sebuah lagi Type R FD2 yang dipandu pasangan Wu Junyi Ken dan Russell Tan turut menjadi antara pesaing utama dalam kategori ini.

    MSF Superturismo 2024 Pusingan kedua – kehangatan ‘Saturday Night Fever’ kembali ke Sepang minggu ini!

    Untuk Vision HKS GT86 x BRZ Racing Cup pula, tumpuan akan diberikan kepada Ng Teck Ming dari pasukan Rennplatz Racing Team dan juga Muhd Khairul Nizam Yaacob dari pasukan EXN-JR Speed Sucimuci. Khairul Nizam perlu berusaha lebih kuat untuk pusingan kedua ini untuk memintas kedudukan mata Ng Teck Ming kerana dia tewas dalam pusingan pertama dengan Ng mendahului di hadapan dengan kelebihan 32 saat.

    Bagi kategori Super Production, walaupun ia disertai oleh pelbagai jentera produksi jalan raya yang diubahsuai seperti Proton Satria Neo, Toyota Vios, Proton Gen.2, Proton Iriz dan Perodua MyVi, ia seolah-olah dikuasai oleh segerombolan Honda Jazz/Fit.

    Pada pusingan pertama podium bagi kategori ini dihuni sepenuhnya oleh tiga buah Honda Jazz/Fit dengan Jonathan Xie berada di hadapan, menewaskan Teo Hong Zhou 29 saat di belakang, manakala Nurul Husna Nasharuddin berada di tempat ketiga.

    Honda Jazz/Fit GK5 juga menguasai kategori Rennplatz Standard Production. Dalam pusingan sebelum ini, kategori tersebut di menangi oleh Ng Chong Chin yang bersaing rapat dengan Aiman Asyraaf dan Hayden Haikal dari pasukan Piston Project di mana jarak yang membezakan kedua-dua GK5 ini hanyalah 3 saat.

    Hafez Kamarudin turut bertanding dalam kelas ini memandu Fit RS GK5 pasukan Fawster 55Twelve, menghabiskan pusingan pertama di tempat ketiga. Jentera bukan Honda paling pantas dalam kategori ini buat masa sekarang adalah Suzuki Swift Sport yang dipandu Stewart Hine yang menduduki tempat keempat dalam pusingan pertama.

    Teruja nak tonton perlumbaan? Tiket untuk akses ke paddock akan dijual di pintu masuk Litar Selatan SIC pada hari perlumbaan bermula 7 pagi hingga tengah malam dengan harga RM35, manakala bayaran parkir pula adalah RM10. Anda juga boleh menonton perlumbaan ini secara percuma menerusi grandstand utama Litar Antarabangsa Sepang.

     
     
  • Rapid KL lancar van DRT untuk Sri Rampai, Wangsa Maju, Taman Bahagia, Taman Paramount; via Kumpool

    Rapid KL telah memperluaskan perkhidmatan van Demand-Responsive-Transit (DRT) untuk beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya baru-baru ini.

    Untuk yang menetap di sekitar Sri Rampai dan Wangsa Maju, van DRT laluan T221 akan menghubungkan anda dengan stesen LRT Sri Rampai. Laluan baharu T221 itu meliputi kawasan komersil dan pusat membeli-belah termasuk Aeon Big Wangsa Maju, Dataran Wangsa Maju, Melawati Mall dan perumahan Wangsa Budi, serta beberapa lokasi berhampiran.

    Manakala untuk penduduk di sekitar PJ, perkhidmatan yang sama juga telah diperkenalkan untuk Taman Bahagia dan Taman Paramount. Dengan van DRT laluan T785 bagi Taman Paramount, ia akan menghubungkan anda dengan stesen LRT Taman Paramount dan melalui beberapa kawasan termasuk perumahan SS1 dan Star Grocer Taman Paramount. Manakala van DRT laluan T783 untuk Taman Bahagia akan menghubungkan anda dengan stesen LRT Taman Bahagia. Ia turut melalui UNITAR, SMK Sri Permata dan banyak lagi.

    Untuk menggunakan perkhidmatan van DRT ini, anda hanya perlu menempahnya menerusi aplikasi Kumpool dengan kadar bayaran RM1 untuk setiap perjalanan. Sebelum ini, perkhidmatan tempahan van e-hailing dimulakan di Johor Bahru, sebelum ia diperluaskan pula di sekitar Lembah Klang termasuk Subang Jaya.

     
     
  • JPJ eBid: Siri JXD dan QS_U dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Sarawak dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JXD dibuka bidaan bermula hari ini, 31 Mei 2024. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 4 Jun. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 5 Jun 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QS_U, bakal dibuka bidaan mulai 8 Jun 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 12 Jun, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 13 Jun 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Subaru akhiri operasi CKD di Malaysia, pasaran Asia Tenggara lain tahun depan – tukar ke CBU dari Jepun

    Subaru akhiri operasi CKD di Malaysia, pasaran Asia Tenggara lain tahun depan – tukar ke CBU dari Jepun

    Dalam pemfailan dengan Bursa Saham Hong Kong, Tan Chong International Limited (TCIL) dan Subaru Corporation telah mengumumkan bahawa mereka akan menamatkan operasi pemasangan tempatan (CKD) di Asia Tenggara.

    “Selepas membuat pertimbangan yang teliti, TCIL dan Subaru Corporation telah bersama-sama memutuskan untuk menjalani transformasi perniagaan yang proaktif dengan menamatkan perniagaan model CKD sedia ada secara berperingkat, kerana ia dipercayai tidak lagi mampan dalam jangka panjang.

    “Mulai tahun depan, pasaran CKD di Thailand, Vietnam, Malaysia dan Kemboja akan beralih kepada model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Walaupun langkah itu terpaksa diambil, namun kedua-dua pihak akan terus meneroka jalan perniagaan tambahan yang berdaya maju bersama-sama dalam pasaran ini,” dalam kenyataan kemas kini terbabit.

    Bagi Malaysia, Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) anak syarikat bagi Tan Chong Motor Holdings (TCMH) di Segambut bertanggungjawab memasang XV generasi kedua untuk pasaran tempatan dan eksport. Sebelum ini, syarikat terbabit juga memasang Forester generasi ke-empat, dan selepas itu model generasi kelima dipasang pula di Thailand. TCIL dan Subaru Corporation telah membentuk usahasama iaitu Tan Chong Subaru Automotive (Thailand), atau TCSAT pada Februari 2017 untuk memasang kenderaan Subaru di Thailand.

    “TCIL dan Subaru Corporation yakin keputusan strategik ini akan meletakkan Subaru untuk terus berjaya dalam pasaran dinamik ini. Ketika TCIL memulakan lembaran baharu ini bersama-sama dengan Subaru Corporation, kedua-dua TCIL dan Subaru Corporation kekal teguh dalam komitmen mereka untuk menyampaikan nilai luar biasa kepada pelanggan, rakan kongsi dan pihak berkepentingan,” kata kenyataan itu lagi.

     
     
  • Proton perkenal inisiatif Penarafan 5 Bintang untuk jaringan pusat servis bagi tambahbaik perkhidmatan

    Proton perkenal inisiatif Penarafan 5 Bintang untuk jaringan pusat servis bagi tambahbaik perkhidmatan

    Bagi meningkatkan lagi tahap perkhidmatan selepas jualan untuk pelanggan di semua cawangannya di seluruh negara, Proton hari ini telah melancarkan program baharu yang digelar sebagai initiatif penarafan 5 bintang. Ini merupakan lanjutan daripada inisiatif Proton Operational Excellence (POE) yang telahpun berjalan sebelum ini bermula pada 6 Mac 2023.

    Menurut Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan, pengiktirafan baharu ini akan diberikan berdasarkan skor POE dan kualiti perkhidmatan bagi menggalakkan semua cawangan untuk mencapai dan mengekalkan tahap perkhidmatan dan kepuasan pelanggan yang tinggi.

    Manakala kualiti perkhidmatan akan dinilai dalam dua kategori iaitu kelajuan dan pematuhan SOP, dan ini kemudiannya dinilai dalam 6 bidang tumpuan, di mana matlamat akhirnya adalah untuk menguruskan keprihatinan pelanggan di cawangan dengan berkesan dan untuk memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik, kata Proton.

    Dalam inisatif POE sebelum ini, Proton menekankan pematuhan kepada syarat-syarat seperti proses perkhidmatan, kecekapan juruteknik, inventori stok dan pengurusan pelanggan. “Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan prestasi perniagaan cawangan dan menambah baik kecekapan operasi pusat perkhidmatan di seluruh negara,” tegas Proton.

    Menerusi inisiatif ini juga setiap cawangan diberi penilaian pada setiap bulan dan hasilnya dikongsi dengan semua cawangan lain untuk menunjukkan dengan jelas kedudukan mereka dalam rangkaian. Manakala bahagian selepas jualan Proton turut akan bekerjasama rapat dengan cawangan untuk meningkatkan perkhidmatan mereka secara proaktif menerusi jelajah suku tahunan yang diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada pencapaian terbaik serta mengukuhkan prestasi dengan perkongsian amalan terbaik.

    Proton juga menjelaskan dengan permulaan inisiatif penarafan 5 bintang, lima pengedar Proton akan dianugerahkan pengiktirafan tertinggi setiap bulan, menandakan mereka sebagai pusat kecemerlangan selepas jualan dan perkhidmatan pelanggan.

    Dan bagi memastikan pariti dan penerimaan daripada rangkaiannya, KPI untuk inisiatif itu ditetapkan berdasarkan maklum balas daripada semua cawangan serta penandaarasan amalan terbaik daripada OEM lain, jelas Proton lagi.

    Program Inisiatif 5 bintang ini secara rasminya bermula selepas acara pelancaran telah diadakan di Melinau Auto di Kuching, iaitu salah satu daripada tiga cawangan Proton yang diberi pengiktirafan baharu selepas memenuhi semua syarat.

    Proton perkenal inisiatif Penarafan 5 Bintang untuk jaringan pusat servis bagi tambahbaik perkhidmatan

    Proton menyatakan bahawa selepas pelancaran inisiatif 5-bintang, senarai cawangan yang diiktiraf akan diterbitkan di laman web korporat Proton iaitu di www.proton.com, dan disertakan dengan lencana tersendiri untuk pengiktirafan pengedar.

    “Proton percaya bahawa penyampaikan perkhidmatan selepas jualan tahap tinggi kepada pelanggan akan membantu membezakan kami daripada jenama saingan. Oleh itu, kami akan terus melabur dalam perkhidmatan pelanggan dan operasi selepas jualan di semua cawangan untuk memastikan kakitangan yang berurusan dengan pelanggan mampu menyampaikan tahap kepuasan tertinggi kepada pelanggan,” kata CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.

    “Kami akui penawaran rangkaian model premium spesifikasi tinggi pada harga kompetitif mampu menarik pelanggan ke bilik pameran, tetapi menyampaikan perkhidmatan pelanggan yang bertaraf tinggi dan menyediakan layanan selepas jualan akan memberi peluang untuk membina kesetiaan pelanggan kepada jenama dan membuka pintu untuk pembelian berulang, tambahnya lagi

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025