Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BYD Bao 5 dipamer di Malaysia – SUV off-road PHEV

    BYD Bao 5 dipamer di Malaysia – SUV off-road PHEV

    BYD membuat kejutan dengan mempamerkan BYD Bao 5 di Malaysia Autoshow 2024 yang sedang berlangsung di Maeps, Serdang. Penampilan SUV off-road PHEV di sini selepas ia dipamerkan di Thailand pada bulan lalu menerusi Bangkok International Motor Show (BIMS), dan ia merupakan unit pemanduan sebelah-kiri.

    Turut dikenali sebagai Leopard 5, Bao 5 ini berukuran 4,890 mm panjang, 1,970 mm lebar dan 1,920 mm tinggi menampilkan penjana kuasa plug-in hybrid yang mampu menghamburkan output sehingga 687 PS (677 hp atau 505 kW) dan tork 760 Nm. Membolehkan ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.8 saat.

    Dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) pula, ia diberikan dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol dengan hamburan kuasa 194 PS (192 hp atau 143 kW) dan tork 273 Nm, dipadankan bersama CVT elektronik.

    Ia juga diberikan dua motor elektrik, setiap satunya diletakkan di hadapan dan belakang, mendorong lebih ledakan kuasa. Dengan motor hadapan menawarkan kuasa 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan 360 Nm, sementara di belakang menyalurkan 387 PS (382 hp atau 285 kW) dan 400 Nm.

    Motor elektrik terbabit dijanakan oleh bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti tenaga 31.8 kWh. Ia mampu memberikan Bao 5 jarak gerak elektrik-sahaja hingga 125 km (mengikut standard CLTC).

    Bagi aspek pengecasan, bateri ini menyokong pengecasan pantas DC dengan kadar maksimum 100 kW, di mana tahap pengecasan antara 30% hingga 80% boleh dicapai dalam 16 minit. Ia juga mempunyai sistem vehicle-to-load (V2L) yang membolehkannya membekalkan hingga 6 kW untuk aksesori dan peranti elektronik.

    Serlahan dalaman yang ditampilkan termasuklah tiga skrin paparan, iaitu kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin sesentuh bahagian penumpang 12.3-inci dan skrin sesentuh sentral 15.6-inci. Larasan tiga-skrin ini adalah standard untuk varian tertinggi yang dijual di China, bersama paparan utama dengan kawasan projection merentangi 50-inci.

    Setakat ini, belum dipastikan bila atau adakah Bao 5 ini akan diproduksi untuk versi pemanduan sebelah-kanan (RHD), tetapi memandangkan SUV ini ditampilkan di Thailand dan di sini, maka mungkin juga ia dalam perancangan. Di pasaran China, Bao 5 ditawarkan dengan tiga varian, dengan harga dari 289,900 hingga 352,800 yuan (sekitar RM188k to RM229k).

     
     
  • Harga minyak 23-29 Mei – Tiada perubahan

    Harga minyak 23-29 Mei – Tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa untuk minggu bertarikh 23 hingga 29 Mei 2024, harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel masih dikekalkan.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa jemaah menteri telah bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi untuk bahan api diesel. Menurut beliau, sebagai permulaan, penyasaran tersebut hanya melibatkan pengguna bagi kawasan Semenanjung dan tidak melibatkan Sabah serta Sarawak.

    Anwar turut menjelaskan bahawa melalui usaha penyasaran subsidi diesel tersebut, jumlah penjimatan kepada kerajaan secara kasar adalah dijangka sekitar RM4 bilion setahun.

     
     
  • Jemaah menteri setuju laksana subsidi bersasar ke atas diesel bermula di Semenanjung – PM Anwar

    Jemaah menteri setuju laksana subsidi bersasar ke atas diesel bermula di Semenanjung – PM Anwar

    Dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan malam ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa jemaah menteri telah bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi untuk bahan api diesel.

    Menurut beliau, sebagai permulaan, penyasaran tersebut hanya melibatkan pengguna bagi kawasan Semenanjung dan tidak melibatkan Sabah serta Sarawak.

    “Bezanya, Sabah dan Sarawak hampir setiap keluarga menggunakan diesel untuk kegunaan kenderaan, jadi kita menangguhkan sebarang tindakan kerana membebankan kebanyakan rakyat.

    “Di Semenanjung, bagi membendung kenaikan mendadak harga barang, kerajaan berikan subsidi diesel kepada pengguna komersial melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

    “Ini termasuk pengusaha bas dan teksi. Kerajaan juga akan terus memberi subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu,” katanya.

    Anwar turut menjelaskan bahawa melalui usaha penyasaran subsidi diesel tersebut, jumlah penjimatan kepada kerajaan secara kasar adalah dijangka sekitar RM4 bilion setahun.

    “Kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.

    “Bantuan tunai ini pastinya tidak memanfaatkan golongan T20,” katanya lagi. Walau bagaimanapun, bila tarikh sebenar perlaksanaan subsidi bersasar untuk bahan api diesel ini masih belum diumumkan.

     
     
  • GAC Aion Y Plus di Malaysia — dua varian, bateri 63.2 kWh, jarak perjalanan 490 km; harga bermula RM120k

    GAC Aion Y Plus di Malaysia — dua varian, bateri 63.2 kWh, jarak perjalanan 490 km; harga bermula RM120k

    WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA) hari ini memperkenalkan secara rasmi buat pertama kali model GAC Aion Y Plus 2024, sebuah crossover elektrik untuk pasaran Malaysia. WTCA merupakan anak syarikat Warisan TC Holdings Bhd dan merupakan pengedar tunggal bagi kenderaan elektrik GAC Aion di sini.

    Untuk pasaran tempatan, GAC Aion ditawarkan dalam dua varian, iaitu Elite (RM119,800) dan Premium (RM135,800). Tujuh pilihan warna diberikan dan lima warna ruang dalaman disediakan, menjadikan 35 kombinasi kesemuanya yang boleh dipilih oleh pelanggan.

    Pakej lepas jualan dengan jaminan komprehensif juga disediakan, termasuklah jaminan lapan tahun/160,000 km bagi kenderaan, dan juga jaminan lapan tahun/200,000 km bagi bateri EV, motor elektrik dan kawalan elektriknya.

    GAC Aion Y Plus di Malaysia — dua varian, bateri 63.2 kWh, jarak perjalanan 490 km; harga bermula RM120k

    Sempena dengan pengenalan ini, WTCA juga menawarkan 200 pelanggan terawal yang membuat tempahan bagi GAC Aion Y Plus ini pengecas wallbox 7 kW di rumah secara percuma (yang bernilai RM3,500) serta kredit pengecasan JomCharge percuma bernilai RM1,000.

    Dari segi rekaan luaran, Aion Y Plus menggabungkan elemen dari SUV dan juga imej canggih. Antaranya termasuk lampu utama LED Angel Wing, lampu belakang LED Skyline, pemegang pintu tersorok, bumbung panoramik bagi kedua-dua varian serta rim 17-inci bagi Elite dan 18-inci bagi Premium.

    Model ini dilengkapi dengan bateri Magazine 63.2 kWh 2.0 dari jenis lithium iron phosphate (LFP). Dengan kitaran NEDC akan memberikan jarak perjalanan sejauh 490 km. Untuk pengecasan pula, kedua-duanya hadir dengan pengecas dalaman AC 6.6 kW (Type 2) yang turut boleh menampung sehingga 80 kW pengecasan pantas DC (CCS2).

    GAC Aion Y Plus di Malaysia — dua varian, bateri 63.2 kWh, jarak perjalanan 490 km; harga bermula RM120k

    Kedua-dua varian ini menggunakan sebuah motor elektrik pacuan depan yang menjana sebanyak 150 kW (204 PS) dan 225 Nm. Ini membolehkan kereta ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat. Ia juga hadir dengan fungsi pemanduan pedal tunggal i-Pedal.

    Ruang kabinnya luas, dengan kerusi larasan kuasa enam-arah untuk pemandu, skrin kluster instrumen 10.25-inci digital, sistem tanpa kunci, kawalan pendingin automatik dengan corong di belakang termasuk penapis udara PM2.5 sedia ada serta skrin sentuh 14.6-inci untuk infotainmen dengan sambungan Apple CarPlay.

    Khusus untuk varian Premium, ada tambahan kerusi berliang, kerusi penumpang depan larasan kuasa, pengecas telefon tanpa wayar serta lampu ambient 32-warna. Ruang barangan yang tersedia pula ialah 405 liter, dan boleh dilanjutkan menjadi 1,200 liter, dengan varian Premium dilengkapi ciri pintu barangan berkuasa bebas kendalian tangan.

    Bagi aspek keselamatan pula, GAC Aion Y Plus datang dengan enam beg udara, serta ciri umum lain seperti ABS, kawalan kestabilan, Hill Hold Control, peninjau 360-darjah dan sistem pemantau tekanan tayar — ini untuk kedua-dua varian.

    Selebihnya, Premium turut dilenkapi dengan barisan ciri keselamatan aktif ADAS pemanduan autonomous Tahap 2, yang terdiri antaranya daripada Adaptive Cruise Control (ACC) dengan fungsi Stop & Go dan Intelligent Cruise Assist, Forward Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane-Departure Warning (LDW) dengan Lane-Keeping Assist (LKA), serta Traffic Jam Assist (TJA).

    GAC Aion Y Plus Premium

     
     
  • Leapmotor C10 – SUV EV ‘mampu milik’ dari Stellantis bakal dilancarkan di Malaysia suku ke-empat 2024

    Leapmotor C10 – SUV EV ‘mampu milik’ dari Stellantis bakal dilancarkan di Malaysia suku ke-empat 2024

    Jenama EV mampu milik dari Stellantis iaitu Leapmotor bakal melancarkan model pertamanya ke pasaran Malaysia pada suku ke-4 tahun ini, menerusi sebuah SUV yang dikenali sebagai Leapmotor C10. Sebelum dilancarkan, model berkenaan didedahkan terdahulu kepada orang ramai di acara Malaysia Autoshow 2024 yang sedang berlangsung di MAEPS Serdang bermula hari ini.

    Model ini baru sahaja dipamerkan di Auto China 2024 yang berlangsung di Beijing baru-baru ini, bersama beberapa barisan model Leapmotor yang lain termasuk C11, C16 dan hatchback T03.

    C10 bukanlah model paling mampu milik dalam barisan EV dari Leapmotor. Namun mengapa Stellantis mengambil keputusan untuk menjadikan C10 sebagai model pengenalan berbanding hatchback T03 yang lebih murah?

    Leapmotor C10 – SUV EV ‘mampu milik’ dari Stellantis bakal dilancarkan di Malaysia suku ke-empat 2024

    Menurut pengarah urusan Stellantis Malaysia, Jamie Morais kepada paultan.org, ini kerana sasaran pembeli EV di Malaysia adalah tertumpu kepada segmen lebih premium dan kurang dipengaruhi oleh harga, jadi adalah lebih logik bagi Stellantis untuk memperkenalkan model yang lebih besar.

    Stellantis Malaysia juga belum mendedahkan harga untuk model ini di pasaran tempatan, tetapi Morais memberikan bayangan bahawa ia akan dijual pada julat lebih kurant sama dengan “model EV paling popular di Malaysia buat masa sekarang”.

    Leapmotor C10 ini dihasilkan dengan saiz yang agak besar seperti SUV segmen-D, dengan dimensi 4,739 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,285 mm. Jadi ia mungkin akan diposisikan lebih tinggi dari BYD Atto 3 iaitu SUV EV segmen-C yang dilihat sangat popular di pasaran tempatan, dijual pada harga bermula RM130k.

    Leapmotor C10 – SUV EV ‘mampu milik’ dari Stellantis bakal dilancarkan di Malaysia suku ke-empat 2024

    Spesifikasi penuh bagi model ini masih belum didedahkan, namun menurut pengarah dan CEO Leapmotor Jiangming Zhu ketika pengumuman kerjasama formal Leapmotor International bulan ini, C10 bakal dilengkapi dengan bateri yang membolehkan ia bergerak sejauh 420 km dalam kitaran WLTP untuk satu cas penuh.

    C10 merupakan salah satu antara dua model yang disenaraikan sebagai produk permulaan Leapmotor bagi pasaran global, dan ia akan disertai oleh satu lagi SUV tahun hadapan. Leapmotor juga akan memperkenalkan dua lagi hatchback yang akan dijadikan model global pada 2026, diikuti satu lagi SUV pada 2027.

     
     
  • MINI Countryman 2024 di Malaysia — EV U25 SE jarak hingga 432 km, JCW dengan 300 PS, dari RM260k

    MINI Countryman 2024 di Malaysia — EV U25 SE jarak hingga 432 km, JCW dengan 300 PS, dari RM260k

    BMW Group Malaysia hari ini turut memperkenalkan MINI Countryman U25 serba baru di Malaysia. Dengan saiz yang lebih besar berbanding model generasi kedua F60 yang terdahulu, ia ditawarkan dalam janaan enjin petrol dan untuk pertama kali, versi elektrik sepenuhnya.

    Varian yang ditawarkan terdiri daripada Countryman SE All4 elektrik, dengan harga anggaran RM260,000 — ini RM26,000 lebih murah berbanding BMW iX1 xDrive30. Varian petrol pula diwakili oleh John Cooper Works Countryman, yang dijual dengan harga RM399,000. Serahan dijangka akan dilakukan pada suku ketiga tahun ini.

    MINI Countryman SE All4

    Bagi model SE, All4 merupakan konfigurasi dengan dua motor elektrik, yang secara keseluruhannya menjana 313 PS (230 kW) dan 494 Nm. Ini angka janaan yang sama dengan iX1 xDrive30, dan membolehkannya mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat (0.1 saat lebih pantas berbanding model BMW tersebut), dengan laju maksimum 180 km/j.

    Model ini dilengkapi dengan bateri 66.5 kWh, dengan jarak perjalanan 432 km mengikut kitaran WLTP. Untuk pengecasan, Countryman memanfaatkan pengecas pantas DC 130 kW (bateri 10-80% dalam masa 30 minit), dengan input pengecasan AC 22 kW. Menggunakan UKL2 platform yang sama dengan iX1, Countryman baru ini lebih besar dengan 130 lebih panjang dan jarak roda bertambah 22 mm berbanding model sebelumnya.

    MINI Countryman 2024 di Malaysia — EV U25 SE jarak hingga 432 km, JCW dengan 300 PS, dari RM260k

    Antara kelengkapan yang ada termasuklah lampu utama LED berpetak dengan DRL, gril depan besar, kemasan fender besar, pemegang pintu unik dan lampu belakang LED “matrix” boleh kustom. Spesifikasi untuk Malaysia adalah dengan kemasan Favoured, yang hadir dengan tambaran kemasan luar hitam berkilat, skid plate hiasan serta pilihan antara bumbung warna Piano Black atau Vibrant Silver. Ini dilengkapi dengan rim Windmill Spoke 20-inci dua-tona.

    Di dalam, ruangnya juga lebih luas — ruang barangan misalnya boleh dipertingkat dari 460 liter menjadi 1,350 liter dengan kerusi belakang dilipat. Rekaan papan pemuka balutan fabrik Dark Petrol, stereng sport tiga jejari, corong pendingin menegak dan konsol tengah lebar dengan banyak ruang simpanan.

    Skrin sentuh OLED di tengan bersaiz 9.4-inci dengan perisian MINI Operating System 9 berasaskan Android, dengan sistem kawalan suara “Hey MINI”. Kluster instrumen pula diganti oleh head-up display. Turut tersedia ialah MINI Digital Key Plus untuk telefon pintar, MINI Driving Sounds dan sistem kamera 360-darjah dengan Remote 3D View. Suis di bawah skrin diringkaskan menjadi dua — untuk pemilih gear dan juga mod pemanduan, serta ada tombol pembesar suara, butang brek parkir dan tombol penghidup yang unik.

    MINI Countryman 2024 di Malaysia — EV U25 SE jarak hingga 432 km, JCW dengan 300 PS, dari RM260k

    Kemasan Favoured melibatkan tambahan kerusi sport JCW yang diperbuat daripada kulit buatan Vescin Beading dalam warna Vintage Brown atau Dark Petrol. Selain itu, ada juga ciri kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori dan urut, pelapik bumbung hitam dan sistem bunyi Harman Kardon dengan 12-pembesar suara.

    Dari segi kelengkapan, kereta ini datang standard dengan pakej Driving Assistant Plus, yang hadir dengan tambahan AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, bantuan stereng evasif, peninjau titik buta dan pengesan papan tanda trafik. Selain itu turut dipasang ciri Parking Assistant Professional — terdiri daripada bantuan parkir jarak jauh melalui telefon pintar, Manoeuvring Assistant dan Reversing Assistant.

    MINI John Cooper Works Countryman All4

    MINI Countryman 2024 di Malaysia — EV U25 SE jarak hingga 432 km, JCW dengan 300 PS, dari RM260k

    Walaupun sebagai model prestasi, versi JCW mempunyai kuasa yang kurang berbanding varian EV. Enjin B48 2.0 liter turbocas empat-silindernya menghasilkan 300 PS dan 400 Nm tork. Digandingkan bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan dan pacuan semua roda, model ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, dengan laju maksimum 250 km/j. Penyerap hentak adaptif juga disediakan.

    Membezakan versi JCW daripada SE ialah pakej luaran lengkap yang datang dengan bampar depan lebih agresif, rekaan diffuser besar dengan empat muncung ekzos serat bumbung dan perumah cermin warna merah. Rim pula 21-inci JCW Flag Spoke dengan tayar Pirelli P Zero, serta kaliper brek JCW Performance merah.

    Di dalam, yang berbeza ialah stereng JCW, kemasan fabrik dalaman khusus JCW dalam warna merah-hitam, kerusi balutan kulit buatan JCW Black Vecsin. Ruang butnya juga lebih besar dengan 505 liter dan boleh dilanjutkan menjadi 1,530 liter dengan kerusi dilipat.

    MINI Countryman SE All4

    MINI John Cooper Works Countryman All4

     
     
  • Perodua catat jualan terbaik sepanjang masa pada 2023 dengan 330,325 unit, meningkat sebanyak 17.1%

    Perodua catat jualan terbaik sepanjang masa pada 2023 dengan 330,325 unit, meningkat sebanyak 17.1%

    Perodua mencatatkan jualan terbaik sepanjang masa pada tahun lalu dan ia diumumkan oleh Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam ucapannya menerusi acara Malaysia Autoshow 2024.

    Di mana pada tahun lalu, Perodua berjaya merekodkan jualan sebanyak 330,325 unit, iaitu kenaikan sebanyak 17.1% berbanding 282,019 unit yang didaftarkan pada tahun 2022. Apa pun, jualan yang dicatatkan pada tahun 2022 merupakan peningkatan yang begitu ketara iaitu sekitar 48.2% berbanding 190,291 unit yang dijual pada 2021.

    Pada November 2023, Perodua telah menyemak semula sasaran jualan iaitu dinaikkan ke 325,000 unit berbanding sasaran awal 314,000 unit yang diumumkan pada Januari. Sasaran baharu itu dilakukan kerana Perodua berjaya meningkatkan pengeluaran mereka, dengan Bezza menjadi model keluarannya yang paling popular.

    Perodua catat jualan terbaik sepanjang masa pada 2023 dengan 330,325 unit, meningkat sebanyak 17.1%

    Untuk tahun ini, Perodua menyasarkan untuk mengekalkan jualan pada 330,000 unit. Ia boleh disifatkan sebagai sasaran yang optimis, apatah lagi suku pertama tahun ini bermula dengan baik di mana Perodua mencatatkan jualan cecah 112,845 kenderaan, meningkat sebanyak 15.8% berbanding 97,438 unit yang terjual antara Januari hingga April 2023.

    Seperti biasa, jualan yang dicatatkan adalah sepadan dengan pengeluaran, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 15% kepada 118,547 unit dari Januari hingga April 2024, meningkat daripada 103,041 unit yang dilancarkan pada suku pertama 2023. Berkenaan dengan tempoh waktu menunggu pula, Perodua berkata kini disasarkan antara satu hingga lima berbulan, berbanding lapan hingga 10 bulan tempoh menunggu pada tahun lalu.

    Untuk penganjuran Malaysia Autoshow 2024 ini, Perodua turut mempamerkan kenderaan elektrik konsep Myvi yang digelar emo-1 dan juga model konsep Aruz X-Cape yang sesuai untuk aktiviti luar termasuk perkhemahan.

     
     
  • Masak mee segera di stesen minyak Genting Highland: Empat individu didenda RM500 atau penjara tiga hari

    Masak mee segera di stesen minyak Genting Highland: Empat individu didenda RM500 atau penjara tiga hari

    Mahkamah Majistret Bentong menetapkan denda RM500 atau penjara tiga hari terhadap empat individu yang didapati bersalah memasak mi segera di kawasan stesen minyak di Genting Highlands pada minggu lalu, laporan Harian Metro.

    Majistret Nadhratun Naiem Zainan menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga kedai makan Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran Ji, 24, pegawai perkhidmatan pelanggan Nurfatin Irdina Shahrulnizam, 24, pembantu pergigian Nur Anis Salleh, 24, dan ejen hartanah Nur Azira Azman, 23, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memasak menggunakan dapur gas mudah alih dalam kawasan stesen minyak Taman Cendawan, Genting Highlands kira-kira jam 1.30 pagi pada 12 Mei lalu. Pendakwaan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid memohon hukuman denda maksimum terhadap kesemua tertuduh bagi memberi pengajaran selain mengambil kira kesalahan serius sehingga menimbulkan persepsi dan kontroversi negatif dalam kalangan masyarakat.

    “Tertuduh melakukan kesalahan dengan perbuatan gopoh iaitu memasak dengan menggunakan dapur gas di kawasan larangan dan memuat naik video sehingga tular di media sosial. Perbuatan tertuduh melakukan aktiviti memasak di kawasan berkenaan boleh menimbulkan bahaya dan kecelakaan bukan hanya kepada tertuduh tetapi juga orang sekeliling di kawasan stesen minyak berkenaan,” katanya.

    Sebelum ini klip video berkenaan dimuat naik pada 13 Mei sebelum tular di laman sosial X dan Polis Daerah Bentong telah menerima laporan kejadian terbabit pada keesokan harinya dan mengesahkan seramai 15 individu telah ditahan.

     
     
  • Nissan Kicks e-Power ditunjuk di Malaysia – 900 km untuk 1 tangki penuh petrol, bakal dilancar tahun ini

    Nissan Kicks e-Power ditunjuk di Malaysia – 900 km untuk 1 tangki penuh petrol, bakal dilancar tahun ini

    Pelbagai model baharu yang belum dilancarkan ditayangkan di Malaysia Autoshow 2024 berlangsung MAEPS Serdang, yang bermula hari ini. Untuk Nissan, jenama yang diwakili oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM) tersebut membawakan SUV segmen-B Nissan Kicks e-Power yang dipamerkan secara rasmi buat pertama kali di Malaysia.

    Kicks telah didedahkan buat pertama kali sejak 2016, namun unit rangkaian kuasa e-Power hanya ditawarkan bermula versi facelift yang membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand pada pada 2020. Ia menggunakan sistem hibrid elektrik jenis range extender di mana tayar hadapan dipacu sepenuhnya menggunakan motor elektrik, sementara enjin petrol hanya berfungsi untuk mengecas bateri.

    Unit rangkaian kuasa e-Power pada Kicks ini terdiri dari enjin pembakaran dalaman petrol tiga silinder 1.2 liter HR12DE berkuasa 79 PS pada 5,400 rpm dan tork maksima 103 Nm untuk mengecas bateri 1.57 kWj yang diletakkan di bawah tempat duduk hadapan. Kuasa elektrik dari bateri berkenaan kemudiannya akan memacu motor elektrik EM57 berkuasa 129 PS (95 kW) dan 260 Nm bagi menggerakkan SUV ini.

    Nissan Kicks e-Power ditunjuk di Malaysia – 900 km untuk 1 tangki penuh petrol, bakal dilancar tahun ini

    Ini menjadikan pemanduan model hibrid ini benar-benar seperti kenderaan elektrik (EV) sebenar, termasuk tork puncak seawal 0 rpm dan menyediakan fungsi pemanduan One-pedal seperti Nissan Leaf, di mana pecutan dan brek semuanya boleh dikawal menggunakan satu pedal sahaja. Tiga mod pemanduan diberikan iaitu Smart, Eco, Normal dan EV.

    Dengan sistem ini juga pengguna tidak perlu mengecas bateri seperti model-model EV atau plug-in hybrid (PHEV), dan dengan satu tangki petrol penuh ia mampu bergerak sejauh 900 km. Dengan bateri yang terletak di bawah tempat duduk hadapan, ia tidak mengganggu ruang simpanan but dengan kapasiti 432 liter.

    ETCM menyatakan model ini bakal dilancarkan pada pasaran Malaysia menjelang hujung tahun ini. Ura-ura pelancaran Kicks ke pasaran tempatan sebenarnya sudah disebut sejak 2018, manakala model facelift dengan unit rangkaian kuasa e-Power ini telahpun muncul dalam iklan Tahun Baharu China ETCM pada 2022. Malah pada Kuala Lumpur International Auto Show (KLIMS) ETCM turut pernah mempamerkan Nissan Note yang turut menggunakan sistem e-Power untuk mendapatkan respon orang ramai terhadap teknologi berkenaan.

     
     
  • MINI Cooper S 2024 diperkenal di Malaysia – F66 baharu dengan 2.0T 204 PS/300 Nm; jangkaan RM280k

    MINI Cooper S 2024 diperkenal di Malaysia – F66 baharu dengan 2.0T 204 PS/300 Nm; jangkaan RM280k

    BMW Group Malaysia telah memperkenalkan MINI Cooper F66 baharu di Malaysia Autoshow 2024, dijangka mula dihantar pada suku ketiga (Q3) tahun ini. MINI Hatch F66 baharu ini ditawarkan dengan varian tunggal Cooper S dan dijangka berharga RM280,000.

    Untuk makluman, F66 bukanlah versi elektrik penuh bagi hatchback ikonik MINI yang kita nampak pada September lalu (nama kod J01). Tetapi sebaliknya ia merupakan versi yang disemak semula dari MINI Hatch F56 yang sebelum ini mengekalkan enjin pembakaran dalaman.

    Bagi Cooper S ini, ia diberikan unit B48 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol yang mampu menghamburkan kuasa 204 PS (201 hp) dan tork 300 Nm. Ia digandingkan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan yang sama seperti sebelum ini dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.6 saat dan kelajuan maksimum cecah 242 km/j.

    Walau pun penjana kuasanya lebih kurang sama, namun rekaan luaran bagi Cooper F66 ini nampak berbeza dan diilhamkan dari penggayaan minimalis kenderaan elektrik (EV) J01.

    MINI Cooper S 2024 diperkenal di Malaysia – F66 baharu dengan 2.0T 204 PS/300 Nm; jangkaan RM280k

    Ciri kelengkapan yang menyerlahkan gaya luarannya termasuklah lampu utama LED bulat dengan lampu nyalaan siang melintang, dengan gril berbentuk octagonal. Terdapat ciri yang telah disingkirkan iaitu corong bonet palsu dan juga scuttle sisi pada fender.

    Hanya ada satu ciri yang membezakan F66 dengan J01 ialah saiz pada kepingan fender berhampiran bonet yang lebih kecil. Manakala pemegang pintu dan lapisan badan berwarna hitam seperti F56 masih dikekalkan.

    Tetapi F66 ini juga masih meneruskan penggayaan J01, termasuk lampu utama LED berbentuk segi tiga dengan kepingan kemasan yang tertulis nama model. Manakala bahagian bawah diberikan seksyen hitam dan terdapat beberapa ciri yang menunjukkan ia adalah versi enjin pembakaran dalaman termasuk kedudukan cangkuk tunda dan reka bentuk tiang-C yang menuju ke spoiler belakang.

    Di dalamnya, Cooper S F66 menerima paparan OLED bulat seperti J01 berukuran 9.4-inci dengan bentangan papan pemuka yang lebih kurang sama. Ia dikendalikan oleh Sistem Operasi MINI berasaskan Android dan memberikan akses untuk hampir kesemua fungsi kenderaan, termasuk sistem suhu.

    MINI Cooper S 2024 diperkenal di Malaysia – F66 baharu dengan 2.0T 204 PS/300 Nm; jangkaan RM280k

    Model ini juga masih mendapat kawalan fizikal termasuk pemilih gear, kawalan media serba ringkas dan kawalan untuk mod MINI Experience.

    Selain itu, ada perubahan lain yang dibuat untuk F66 termasuk papan pemula balutan fabrik. Untuk pasaran tempatan, kita menerima Cooper S dengan kemasan Classic, yang dihiasi fabrik hitam-biru, bersama kulit Vescin untuk roda stereng serta tempat duduk kemasan kelabu/hitam dan biru.

    MINI Cooper terkini dengan enjin petrol ini masih menerima bentangan empat-tempat duduk dan ruang but berkapasiti 210 liter, namun dengan fungsi tempat duduk belakang yang boleh dibaringkan dengan nisbah 60:40, maka kapasiti kargo boleh dipertingkatkan menjadi 725 liter.

    Cooper S versi Malaysia juga dilengkapi dengan roda aloi ringan dua-tona ‘Slide Spoke’ 18-inci, pantulan logo MINI pada kedua-dua sisi, sistem bunyi Harman kardon, paparan utama, Comfort Package Plus, Comfort Access dan MINI Interaction Unit.

    Untuk sistem bantuan pemandu, Cooper S menerima pakej Driving Assistant termasuk amaran menukar lorong dengan fungsi kembali lorong aktif, amaran ketibaan lorong dengan campur tangan stereng aktif, info pengehad kelajuan, bantuan pengehad kelajuan manual, kawalan cruise pasif, brek kecemasan autonomous, kepekaan trafik lintasan belakang dengan campur tangan brek dan amaran keluar.

    Ia juga diberikan Driving Assistant Plus yang menambah ciri kawalan cruise adaptif dengan fungsi stop and go, batuan kawalan lorong dan stereng serta bantuan pengehad kelajuan automatik.

    Ciri standard bagi Parking Assistant Plus termasuk Bantuan Parkir, Kawalan Jarak Parkir Aktif, kamera undur, Bantuan Mengundur, Pandangan Parkir, Remote 3D View dan dashcam.

     
     
  • Perodua emo-1 EV Concept — Myvi elektrik dengan 68 PS/220 Nm, bateri 55.7 kWh, jarak perjalanan 350 km

    Perodua emo-1 EV Concept — Myvi elektrik dengan 68 PS/220 Nm, bateri 55.7 kWh, jarak perjalanan 350 km

    Setahun lalu, Perodua mempamerkan rekaan konsep Electric Motion Online (emo), ketika itu dalam bentuk model skala 1:6 yang saiznya kecil sahaja. Kini, setahun kemudian, syarikat itu mempamerkan pula emo-1 yang menggunakan Myvi sebagai kerangkanya untuk menzahirkan prototaip kereta elektriknya pula — kereta dalam saiz sebenar dengan spesifikasi mekanikal yang berfungsi.

    Dipamerkan ketika Malaysia Autoshow 2024, model Myvi Conversion ini seperti yang dinyatakan oleh namanya, menggunakan Myvi sebagai kenderaan tumpangannya. Kereta ini dikuaskan oleh sebuah permanent magnet synchronous motor tiga-fasa yang menawarkan 68 PS (kadar 50 kW, dengan puncaknya pada 120 kW) dan 220 Nm (angka 315 Nm dipaparkan di skrin pameran), membolehkan Myvi ini mencapai 100 km/j dalam masa antara tujuh ke sembilan saat.

    Perodua emo-1 EV Concept — Myvi elektrik dengan 68 PS/220 Nm, bateri 55.7 kWh, jarak perjalanan 350 km

    Motor berkenaan mendapatkan kuasanya daripada bateri lithium-ion NMC dengan kapasiti 55.7 kWh (paparan di panel menunjukkan 56.7 kWh), dan menurut Perodua dapat memberikan jarak perjalanan 350 km (dipaparkan di skrin 400 km) dengan satu cas penuh. Ia mengambil masa lima jam untuk dicas sepenuhnya melalui pengecas AC 11 kW, manakala pengecas DC 50 kW memerlukan hanya satu jam lebih.

    Spesifikasi model prototaip ini berbeza daripda kajian EV yang didedahkan tahun lalu, dengan motor elektriknya dikatakan menjana sebanyak 95 PS dan 121 Nm. Pecutan 0-100 km/j pula dalam masa 10 saat, dengan pecutan maksimum 160 km/j. Model prototaip terbaru ini pula didakwa akan memberikan kelajuan maksimum 150 km/j.

    Perodua emo-1 EV Concept — Myvi elektrik dengan 68 PS/220 Nm, bateri 55.7 kWh, jarak perjalanan 350 km

    emo-1 dikerjakan bermula sejak September 2022, dan sembilan bulan diperlukan untuk membangunkannya sehingga mencapai bentuknya yang terkini sejak Julai tahun lalu, dengan kerjasama rakan niaga dari Australia. Menurut Perodua, satu lagi kemaskini rekaan konsep bagi EV ini akan ditunjukkan pada hujung tahun nanti, berkemungkinan besar ketika KLIMS 2024.

    Pengeluaran model EV Perodua dijangka bermula pada tahun depan. Anggaran harganya juga sudah diberikan bayangan: tidak kurang daripada RM50k, dan tidak juga akan melebihi RM100k. Perodua juga akan mengusahakan satu mekanisma bagi memastikan nilai jualan semula EV mereka akan tetap stabil dan tinggi.


     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • BMW 520i G60 2024 di M’sia – 2.0T hibrid ringkas 208 hp/330 Nm, Driving Assistant Plus; jangkaan RM340k

    BMW 520i G60 2024 di M’sia – 2.0T hibrid ringkas 208 hp/330 Nm,  Driving Assistant Plus; jangkaan RM340k

    Selain melancarkan model i5 M60 menerusi acara Malaysia Autoshow 2024 di Maeps, Serdang, BMW Malaysia turut memperkenalkan model pemasangan tempatan (CKD) BMW 520i yang ditawarkan pada harga jangkaan RM340,000.

    Sebagai model asas bagi barisan BMW 5 Series G60, ia diberikan penjana kuasa hibrid ringkas, dengan menampilkan unit B48 2.8 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol yang mampu menghamburkan kuasa hingga 208 hp dan tork 330 Nm, disepadukan dengan binaan 48-voltan bagi pemacu komponen elektrik.

    Pacuannya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan, dan membolehkan 520i ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.5 saat dan kelajuan maksimum cecah 230 km/j.

    Bentangan suspensi untuk versi enjin pembakaran 5 Series dan varian EV i5 adalah sama iaitu larasan double wishbone untuk suspensi hadapan dan five-link di belakang. 520i ini juga diberikan rim aloi aero 934 bicolour grey 19-inci dengan dibaluti tayar 245/45R19 untuk hadapan dan belakang.

    BMW 520i G60 2024 di M’sia – 2.0T hibrid ringkas 208 hp/330 Nm,  Driving Assistant Plus; jangkaan RM340k

    Di dalamnya, kelengkapan yang diberikan untuk 520i antaranya roda stereng pelbagai-fungsi dua-jejari flat-bottomed, ciri BMW Curved Display dengan panel instrumen 12.3-inci dan skrin sesentuh infotainmen 14.9-inci, yang boleh diakses menerusi kawalan iDrive, dan penumpang tempat duduk hadapan juga boleh mengakses alas pengecas tanpa wayar.

    Bagi sistem bantuan pemandu, ia diberikan Driving Assistant Plus yag terdiri daripada sistem bantuan berasaskan radar dan kamera termasuk Kawalan Cruise Aktif, bantuan Kawalan Lorong dan Stereng serta Amaran ketibaan Lorong.

    Di Malaysia, BMW 520i G60 ditawarkan dengan empat pilihan warna luaran iaitu Black Sapphire Metallic, Mineral White Metallic, Phytonic Blue Metallic, dan Cape York Green Metallic, bersama dua pilihan kemasan dalaman Veganza sama ada warna hitam atau coklat espresso.

    BMW 520i G60 2024 dengan kelengkapan M Performance

     
     
  • Perodua Aruz X-Cape tunjuk potensi sebagai kenderaan sesuai untuk aktiviti perkhemahan

    Perodua Aruz X-Cape tunjuk potensi sebagai kenderaan sesuai untuk aktiviti perkhemahan

    Buat masa sekarang, Perodua mempunyai dua MPV segmen-B yang boleh memuatkan tujuh penumpang iaitu Perodua Alza dan juga Perodua Aruz. Namun kedua-dua model ini sebenarnya dibina dengan dua karekter dan kegunaan berbeza di mana Alza lebih sesuai sebagai pengangkutan harian di dalam bandar, manakala Aruz dengan jarak kelegaan tanah lebih tinggi mempunyai kebolehan hampir seperti SUV.

    Bagi menyerlahkan lagi apa yang boleh dilakukan oleh Aruz, Perodua telah pun mendedahkan model konsep Perodua Aruz X-Cape ketika berlangsungnya Malaysia Motorshow 2024 di MAEPS, Serdang yang sudahpun bermula hari ini.

    Perodua Aruz X-Cape ini diasaskan dari varian tertinggi model berkenaan iaitu AV. Kelengkapan seperti kemasan skid plate berwarna perak di bawah bampar hadapan dan belakang sememangnya adalah perincian standard untuk Aruz, sementara pemijak sisi di bawah pintu pula juga merupakan aksesori standard yang dibekalkan untuk model ini sejak versi kemaskini 2021.

    Perodua Aruz X-Cape tunjuk potensi sebagai kenderaan sesuai untuk aktiviti perkhemahan

    Keseluruhan badan Aruz X-Cape ini dibalut dengan pelekat berwarna hijau matte gelap dan diberikan grafik ‘bukit-bukau’ pada bahagian sisi. Bagi memberikan imej lebih garang, lampu hadapan dan belakang Aruz X-Cape ini telah digelapkan manakala rim 17-inci asal turut menerima kemasan hitam berkilat.

    Apa yang paling menonjol adalah set khemah boleh lipat dipadankan pada bahagian atas bumbung yang boleh diakses menerusi tangga yang boleh dilipat pada sebelah kanan. Manakala pada sebelah kiri ia turut dipasang dengan set kajang (awning) yang boleh digulung untuk disimpan semula.

    Perodua Aruz menampilkan jarak kelegaan tanah setinggi 220 mm, dan walaupun hanya dibekalkan dengan enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 102 PS dan tork maksima 133 Nm, ia diberikan kotak gear automatik empat kelajuan yang memacu roda belakang serta ditala bagi membolehkan ia memanjat bukit dan meredah laluan off-road ringan tanpa masalah.

    Jadi untuk mereka yang gemarkan aktiviti luar bersama keluarga, mungkin Aruz lebih sesuai untuk anda berbanding Alza?

     
     
  • BMW i5 M60 xDrive 2024 kini di M’sia – hingga 601 PS, jarak gerak hingga 516 km; harga jangkaan RM480k

    BMW i5 M60 xDrive 2024 kini di M’sia – hingga 601 PS,  jarak gerak hingga 516 km; harga jangkaan RM480k

    Enam bulan selepas pelancaran BMW i5 eDrive40 M Sport di Malaysia, kini giliran varian M Perfomance pula dilancarkan iaitu i5 M60 xDrive. Hanya harga jangkaan sahaja yang diumumkan iaitu RM480,000, lebih RM80,000 berbanding eDrive40. Ini termasuklah dengan waranti pilihan lima-tahun/perbatuan tanpa had dan lima-tahun untuk penyelenggaraan berkala.

    M60 mengekalkan motor elektrik belakang 340 PS (250 kW) seperti eDrive40, tetapi dengan motor hadapannya pula hadir dengan kuasa 261 PS (192 kW), ia mampu menghamburkan keseluruhan output mencecah 517 PS (380 kW) dan tork 795 Nm. Ia mencukupi untuk pemanduan normal, tetapi jika inginkan kuasa yang lebih padu, pilih sahaja mod Sport dan aktifkan sama ada M Sport Boost (hanya tarik pedal penukar gear “Boost”) atau M Launch Control.

    Dengan mod tersebut, ia mampu menghasilkan sehingga 601 PS (442 kW) dan 820 Nm, membolehkan M60 dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam hanya 3.8 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai hingga 230 km/j. Varian ini dibekalkan dengan bateri 83.9 kWh yang didakwa boleh mencapai jarak gerak antara 455 km dan 516 km mengikut kitaran WLTP.

    BMW i5 M60 xDrive 2024 kini di M’sia – hingga 601 PS,  jarak gerak hingga 516 km; harga jangkaan RM480k

    Seperti eDrive40, M60 juga menyokong pengecas pantas DC berkapasiti 205 kW, yang mengambil masa sekitar 34 minit untuk mencapai tahap sifar hingga 80% dan memberikan jarak hingga 156 km bagi setiap 10 minit. Ia juga boleh dicas menggunakan pengecas AC 22 KW, yang memberikan pengecasan penuh dalam 4 jam 15 minit.

    M60 juga diberikan casis yang dipertingkatkan termasuk Adaptive M Suspension Professional yang bukan sahaja menambah damper talaan-M tetapi juga diberikan active roll stabilisation 48-voltan (dengan fungsi Active Roll Comfort) dan juga stereng roda-belakang.

    Bagi pandangan luarannya, M60 lebih kurang sama dengan eDrive40, yang diperagakan dengan kit badan M Sport. Walau bagaimana pun, ia ditambah dengan lencana M dan juga beberapa ciri lain untuk membezakannya termasuk gril ‘kidney’ dengan BMW Iconic iluminasi dan cermin pintu M dual-arm.

    Ditambah dalam pakej M Sport Pro termasuk gril hitam berkilat, lampu utama LED adaptif M Shadow Line, lampu belakang yang lebih gelap dan boot lid lip spoiler. Brek M Sport merah pula tersembunyi di belakang roda aloi dua-tona BMW Individual style 954 21-inci.

    BMW i5 M60 xDrive 2024 kini di M’sia – hingga 601 PS,  jarak gerak hingga 516 km; harga jangkaan RM480k

    Di dalamnya pula, M60 masih menampilkan Live Cockpit Professional, yang merangkumi paparan instrumen digital 12.3-inci dan skrin sesentuh infotainmen 14.9-inci. Selain itu, ia juga diberikan ketersambungan tanpa wayar Apple carPlay dan Android Auto tanpa wayar secara standard, dan sistem bunyi Bowers & Wilkins dengan 18-pembesar suara.

    Bagi aspek keselamatan, M60 dilengkapi dengan pakej Driving Assistant Professional yang terdiri daripada brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, pengesan isyarat trafik, pemantauan titik buta dengan pengelak pelanggaran, kepekaan trafik lintasan hadapan dan belakang dengan brek auto, bantuan lorong kecemasan dan bantuan berhenti kecemasan. Selain itu, ia juga diberikan Parking Assistant Plus dengan kamera 360-darjah dan Remote 3D View.

    BMW i5 M60 xDrive ditawarkan dengan pilihan warna luaran terdiri daripada Black Sapphire Metallic, Mineral White Metallic, Brooklyn Grey Metallic, Phytonic Blue Metallic, Sophisto Grey Metallic, Oxide Grey Metallic, Cape York Green Metallic, dan Fire Red Metallic. Untuk upholstery premium, ia menawarkan pilihan kulit Merino Black/Atlas Grey, kulit Merino Copper Brown/Atlas Grey dan kulit Merino Silverstone/Atlas Grey.

     
     
  • smart #1 – Harga untuk Malaysia disemak semula; Kini Pro berharga RM169k, RM209k untuk Premium

    smart #1 – Harga untuk Malaysia disemak semula; Kini Pro berharga RM169k, RM209k untuk Premium

    Setelah dilancarkan pada November lalu, kini smart Malaysia telah menstrukturkan harga baharu mampu milik untuk smart #1 Premium dan Pro. Harga baharu atas jalan (OTR) tanpa insurans untuk #1 Premium kini ialah RM209,000, manakala varian Pro pula berharga RM169,000.

    Ketika dilancarkan, varian Pro diumumkan berharga RM189k dan Premium pula RM219k. Ini bermakna harga baharu yang diumumkan hari ini melibatkan penurunan sebanyak RM20k untuk Pro dan Premium pula kurang RM10k.

    smart Malaysia turut menawarkan pakej servis kenderaan empat-tahun secara percuma kepada pemilik sedia ada smart #1 Premium dan Pro. Inisiatif ini menunjukkan dedikasi smart untuk memastikan para pelanggan dihargai dan memupuk komuniti smart dengan lebih kukuh. smart dengan bangganya menyediakan faedah ini sebagai tanda penghargaan ke atas kesetiaan mereka.

    “Penyesuaian strategik ini selari dengan harga dari smart Global, dalam mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan nilai yang hebat dan memupuk inklusiviti dalam komuniti smart. Dengan mempermudahkan akses kepada kenderaan elektrik, smart ingin meningkatkan pengalaman memiliki kenderaan elektrik serta mengukuhkan ikatan bersama dengan para pelanggan.

    smart #1 – Harga untuk Malaysia disemak semula; Kini Pro berharga RM169k, RM209k untuk Premium

    “Kami sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan kami. Dengan menurunkan harga smart #1, kami berhasrat untuk menyatukan pelanggan ke dalam komuniti smart, memupuk kesepaduan dan membolehkan penyertaan penuh dalam ekosistem yang kami sediakan. Dengan berbuat demikian, smart dapat meningkatkan Pengalaman Pemilikan Premium kepada pembeli,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia.

    Kedua-dua varian Pro dan Premium menerima motor elektrik tunggal memacu roda belakang berkuasa 272 PS (200 kW)/343 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 6.7 saat. Ia menggunakan bateri lithium nickel manganese cobalt oxide (NMC) 66-kWh yang menyediakan jarak perjalanan sejauh 440 km mengikut kitaran WLTP. Kadar pengecasan maksimumnya ialah 150 kW DC dan kadar bateri dari 10-80% boleh dicapai dalam masa 30 minit. Manakala jika menggunakan pengecas AC berkapasiti 22 kW, status bateri dari 10-80% boleh dicapai dalam masa tiga jam.

    Selain Pro dan Premium, smart #1 juga menawarkan varian yang paling padu iaitu #1 Brabus, namun harganya masih dikekalkan pada RM249,000.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025