Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Polis keluarkan 619 saman, sita 234 kenderaan dalam operasi di KL – 13 pemandu ‘mabuk’ turut ditahan

    Polis keluarkan 619 saman, sita 234 kenderaan dalam operasi di KL – 13 pemandu ‘mabuk’ turut ditahan

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) KL telah mengadakan operasi bersepadu dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur (JSJN) di sekitar ibu kota yang bermula jam 10 malam pada 4 Mei sehingga 7 pagi semalam. Operasi terbabit telah diadakan di sekitar pusat bandar, Jalan Tun Razak (Shell), Jalan Sultan Azlan Shah (Sentul), Jalan Sultan Azlan Shah (Chow kit), Jalan Bangsar dan Jalan Kampung Pandan.

    Hasil daripada operasi berkenaan, sebanyak 619 jumlah saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan 171 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

    Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak JAS serta diarahkan mengubah ke struktur asal. Manakala 63 buah kenderaan lain turut disita atas kesalahan ubah struktur kenderaan (ekzos dan enjin). Semua kenderaan yang disita akan menjalani pemeriksaan semula oleh pihak JPJ.

    “Seramai 13 orang lelaki yang berumur dalam lingkungan 23 hingga 53 tahun turut ditahan di bawah Seksyen 45(A) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol. Kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah seksyen yang sama.

    “Manakala tangkapan dua orang yang berumur 19 dan 21 tahun yang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1) AKK 1955. Seterusnya, tangkapan 10 orang yang berumur 19 hingga 35 tahun yang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah yang terlibat bagi tindakan siasatan selanjutnya,” kata JSPT KL.

     
     
  • Chery Malaysia Omoda 5 — punca masalah kimpalan gandar dikenal pasti, laman web baru disediakan

    Chery Malaysia Omoda 5 — punca masalah kimpalan gandar dikenal pasti, laman web baru disediakan

    Chery Malaysia telah mengeluarkan satu lagi kenyataan berkaitan kes gandar yang melibatkan Omoda 5. Ini merupakan kenyataan ketiga yang dikeluarkan syarikat itu terhadap kes yang sama selepas kes berkenaan tular di media sosial pada 28 April lalu. Satu kenyataan dikeluarkan sehari selepas itu, dan kenyataan kedua menyusul pada 30 April, menyatakan panggilan balik untuk 600 unit Omoda 5.

    Kenyataan ketiga dikeluarkan hari ini dengan memaklumkan bahawa Chery Malaysia sedang bekerja sama dengan Kementerian Pengangkutan untuk memastikan pembetulan terhadap semua kenderaan yang terkesan menepati piawaian keselamatan tertinggi. Syarikat itu juga telah mengadakan perjumpaan dengan kementerian berkenaan untuk menjelaskan perkara terbabit, jelas Naib Presiden Chery Auto Malaysia, Lee Wen Hsiang.

    Punca masalah juga sudah dikenal pasti. “Susulan daripada siasatan menyeluruh, vendor melaporkan bahawa masalah itu adalah disebabkan oleh naik taraf fasiliti ketika itu telah menyebabkan hujung mesin kimpalan automatik yang telah haus diganti dengan muncung baru. Penggantian tersebut telah mengakibatkan salah kalibrasi terhadap kelengkapan tersebut,” ujar Lee.

    Sebanyak 60 unit Omoda 5 di Malaysia telah dikenalpasti menggunakan bahagian yang bermasalah itu, yang dikilangkan pada 15 Ogos 2023. Chery Malaysia kemudian meluaskan lagi panggilan semula itu dengan melibatkan bahagian yang dikilangkan pada 14 dan 17 Ogos, menjadikannya 600 unit semua sekali. Setakat semalam, Chery Malaysia telah menghubungi 32 daripada 60 pemilik yang terkesan.

    Sebuah laman web baru juga telah diwujudkan untuk pemilik mengesahkan sama ada kereta mereka terkesan atau tidak dengan panggilan semula ini. Chery Malaysia juga memberi komitmen untuk mengeluarkan kemaskini mingguan kepada umum berkaita hal ini untuk menyalurkan maklumat semasa berkaitan status program panggilan semula tersebut.

     
     
  • BYD Atto 3 2024 di M’sia – tempahan dibuka, hanya varian SR, RM149,800, skrin dan logo belakang baru

    BYD Atto 3 2024 di M’sia – tempahan dibuka, hanya varian SR, RM149,800, skrin dan logo belakang baru

    Selepas muncul di Thailand Mac lalu, model tingkat taraf bagi SUV EV dari China iaitu BYD Atto 3 2024 kini sudahpun mendarat ke pasaran Malaysia pula. Secara rasmi, model ini dijual pada harga yang tidak berubah iaitu RM149,800 (RM150,430 atas jalan tanpa insuran), dan ia kini hanya ditawarkan varian Standard Range (SR) tanpa kehadiran varian Extended Range (ER) dengan jarak gerak lebih jauh.

    Versi kemaskini ini masih lagi menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama seperti model sebelumnya iaitu dilengkapi dengan motor elektrik tunggal memacu roda hadapan berkuasa 204 PS (150 kW) dan tork maksima 310 Nm, digerakkan oleh bateri Blade litium logam fosfat (LFP). Ini membolehkan SUV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat, dan bergerak sejauh 410 km dalam kitaran NEDC atau 345 km dalam kitaran WLTP.

    Atto 3 ini menyokong input AC (Type 2) dengan kadar maksimum 7 kW untuk mengecas. Sistem pengecas pantas DC (CCS2) juga diberikan dengan kadar maksimum 70 kW, membolehkan bateri dipenuhkan dari 0-80% dalam masa 45 minit. Fungsi vehicle-to-load (V2L) untuk membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik lain juga masih dibekalkan.

    BYD Atto 3 2024 di M’sia – tempahan dibuka, hanya varian SR, RM149,800, skrin dan logo belakang baru

    Model 2024 ini boleh dikenali dengan kemasan perapi tiang paling belakang yang kini berwarna hitam berbanding perak pada model sebelum ini. Seiring dengan pengumuman yang dibuat oleh jenama tersebut tahun lalu, tulisan ‘Build Your Dream’ pada pintu tailgate belakang juga kini sudah digantikan dengan hanya logo BYD.

    Pelanggan masih boleh memilih warna badan Surf Blue, Ski White dan Boulder Grey bagi model 2024 ini, namun warna Forest Green dan Parkour Red telah digugurkan dan digantikan dengan warna Cosmos Black baharu. Bagi warna badan Cosmos Black dan Boulder Grey, ia akan dipadankan dengan dalaman dengan tema warna Hitam/Biru Gelap menggantikan pilihan Eclipse Blue/Hazy Grey sebelum ini. Manakala warna badan Ski White dan Surf Blue pula akan menerima tema warna kabin Biru Gelap/Kelabu Cerah.

    Perubahan lain yang turut diberikan pada bahagian dalaman Atto 3 SR 2024 ini termasuk skrin utama yang boleh diputar kini bersaiz 15.6-inci berbanding 12.8-inci sebelum ini, serta diberikan perincian dari varian ER iaitu lampu suasana kabin pelbagai warna dań pengecas tanpa wayar.

    BYD Atto 3 2024 di M’sia – tempahan dibuka, hanya varian SR, RM149,800, skrin dan logo belakang baru

    Perincian lain masih lagi serupa dimana Atto 3 SR 2024 ini diberikan rim aloi 17-inci, lampu hadapan LED dengan fungsi adaptif, lampu belakang LED, bumbung panaromik, instrumen digital dengan paparan skrin lima-inci, upholsteri kulit sintetik, sistem pendingin hava automatik, sokongan Android Auto menggunakan wayar dan Apple CarPlay tanpa wayar, enam pembesar suara dan penapis udara kabin N95.

    Manakala untuk keselamatan, Atto 3 ini masih menerima enam-beg udara bersama tambahan beg udara tengah untuk pemandu, bantuan menurun celrun, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera pemantau 360-darjah, brek auto-hold, brek kecemasan automatik dengan amaran pelanggaran hadapan, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, amaran pelanggaran belakang, pemantau titik buta, amaran buka pintu dań amaran lintasan trafik belakang.

    Pembelian BYD Atto 3 2024 ini akan dilindungi oleh waranti pengeluar selama enam tahun/150,000 km, bersama waranti bateri Blade selama lapan-tahun/160,000 km. Manakala motor elektrik, pengawal motor dan pemasangan kawalan elektrik pada modul pemanduan SUV EV ini pula menerima perlindungan waranti selama lapan tahun/150,000 km.

    Pelanggan juga boleh memilih untuk menambah pakej servis yang disediakan dalam dua pilihan, iaitu pakej Standard berharga dari RM1,688 sehingga RM4,888 untuk tempoh tiga-tahun/60,000 km hingga lapan-tahun/160,000 km, atau pakej Plus berharga dari RM11,688 sehingga RM17,688 dengan tempoh penyelenggaraan lebih lama iaitu dari enam-tahun/120,000 km sehingga lapan-tahun/160,000 km, serta diberikan lebih banyak barangan servis.

     
     
  • Kia EV9 2024 kini di Malaysia – GT Line AWD 6- atau 7-tempat duduk, jarak gerak EV 505 km; dari RM370k

    Kia EV9 2024 kini di Malaysia – GT Line AWD 6- atau 7-tempat duduk,  jarak gerak EV 505 km; dari RM370k

    Selepas mula membuka tempahan sejak 4 April lalu, hari ini Kia EV9 2024 telah pun diperkenalkan secara rasmi di Malaysia. Diperkenalkan dengan dua varian iaitu GT Line enam-tempat duduk dan GT Line tujuh-tempat duduk, masing-masing dengan harga bermula RM369,668 dan RM374,668, kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Merupakan model kedua Kia yang dibangunkan dengan Electric Global Modular Platform (E-GMP), SUV tiga-barisan tempat duduk ini dijanakan oleh pek bateri bervoltan tinggi 99.8 kWh, dipadankan dengan dwi motor elektrik yang menyalurkan kuasa ke gandar hadapan dan belakang dan transmisi e-Shift. Dengan pengecasan penuh, EV9 ini mampu mencapai jarak gerak elektrik hingga 505 km, dengan kuasa keseluruhan mencecah 380 hp dan tork puncak 700 Nm.

    Pek bateri ini boleh dicas menggunakan pengecas AC Type 2 11 kW yang mengambil masa sekitar 10 jam 30 minit untuk penuh, atau pengecas pantas DC CCS2 350 kW yang mampu mencapai status pengecasan 10%-80% dalam 24 minit. Dengan sistem pengecas Integrated Charging Control Unit (ICCU), ia juga boleh berfungsi sebagai vehicle-to-load berkapasiti hingga 3.6 kW untuk menyalurkan kuasa bagi aksesori dan peranti elektrik.

    Kia EV9 2024 kini di Malaysia – GT Line AWD 6- atau 7-tempat duduk,  jarak gerak EV 505 km; dari RM370k

    Untuk sistem suspensinya, ia digandingkan dengan topang MacPherson untuk hadapan dan Multilink di belakang. Manakala sistem breknya pula menggunakan cakera ventilated untuk kedua-dua bahagian hadapan dan belakang.

    Bagi dimensinya pula, EV9 ini berukuran 5,010 mm panjang, 1,980 mm lebar, 1,755 mm tinggi, jarak roda 3,100 mm dan jarak ground clearance mencecah 177 mm dan.

    Mempertaruhkan imej kontemporari dan sofistikated, EV9 dizahirkan dengan identiti Digital Tiger Face , ditemani Digital Pattern Lighting Grille yang menambahkan elemen dynamism. Lampu utama LED automatik bentuk menegak yang menampilkan dua kluster Small Cube Projection dan lampu nyalaan siang LED diberikan untuk bahagian belakang. Untuk belakangnya, ia diberikan lampu Star Map LED yang mampu menarik perhatian.

    Menambahkan lagi gayanya, ia diberikan bampar hadapan dan belakang yang bersifat estetika, rel bumbung, roda aloi 21-inci yang dibaluti tayar 285/45/R21, bumbung suria dan pintu belakang bukaan larasan kuasa.

    Untuk bahagian dalamnya, EV9 ini ditampilkan dengan papan pemuka panoramik ala-terapung yang seakan bersambung dari roda stereng hingga ke bahagian tengah kabin. Ia dilengkapi dengan dua skrin sesentuh 12.3-inci yang disepadukan dengan skrin paparan 5-inci yang menawarkan pengalaman digital, butang penghidup enjin, brek parkir elektronik dan cermin pandang belakang paparan penuh jenis kamera.

    Selain itu, ia juga diberikan sistem audio Meridian® dengan 14-pembesar suara, suis mod pemanduan, pedal penukar gear di belakang stereng, pendingin hawa automatik dwi-zon, pengecas telefon pintar tanpa wayar, dua unit soket kuasa dan empat unit USB port.

    Kedua-dua varian ini turut menawarkan konfigurasi barisan pertama dan kedua tempat duduk dengan rekaan ala-lounge, menyerlahkan sisi kemewahan dan keselesaan. Manakala untuk tempat duduk pemandu, ia diberikan ciri larasan kuasa empat-cara dengan fungsi mengurut dan Premium Relaxion.

    Manakala untuk tempat duduk penumpang hadapan, juga diberikan larasan kuasa dua-cara dengan fungsi Premium Relaxion. Material kulit diberikan sebagai balutan tempat duduk.

    Bagi aspek keselamatan, EV9 ini dilengkapi dengan ciri standard yang merangkumi 10 beg udara (hadapan pemandu dan penumpang, bahagian lutut pemandu, sisi, tirai dan sisi tengah), ABS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Keluar Selamat (SEA), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), EBD, Bantuan Brek (BA), Kepekaan Penumpang Belakang (ROA), cagak ISOFIX untuk barisan kedua dan ketiga serta Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC).

    Bukan itu sahaja, SUV ini juga tampil dengan Ciri Keselamatan Termaju yang terdiri daripada Bantuan lampu Tinggi (HBA), Bantuan Pengelak Pelanggaran Parkir (PCA), Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta (BCA), Bantuan Pelanggaran Trafik Lintasa Belakang (RCCA), Pemantauan Pandangan Titik Buta (BVM, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW), Bantuan Ikut Lorong (LFA2), Kawalan kelajuan Pintar (SCC) dan Bantuan Mengelak Pelanggaran hadapan (FCA2),

    Merupakan model yang diimport sepenuhnya (CB) terus dari Korea Selatan, EV9 ini diberikan lima pilihan warna luaran iaitu Ocean Blue, Snow White Pearl, Pebble Gray, Aurora Black Pearl dan Iceberg Green.

    Dengan harga atas jalan (tanpa insurans) RM369,668 bagi varian GT Line enam-tempat duduk dan RM374,668 untuk GT Line tujuh-tempat duduk, ia turut didatangkan dengan waranti pengeluar lima-tahun/150,000 km dan waranti bateri EV sehingga lapan-tahun/160,000 km. Jika anda berminat untuk membeli EV9 2024 ini, pra-tempahan boleh dilakukan di mana-mana bilik pameran berhampiran.

    Kia EV9 GT Line AWD 7-tempat duduk

    Kia EV9 GT Line AWD 6-tempat duduk

    Foto rasmi Kia EV9 2024

     
     
  • Mercedes-Benz CLE300 4Matic Coupé 2024 dilancar pada harga RM519k – mild hybrid 259 PS, 400 Nm

    Mercedes-Benz CLE300 4Matic Coupé 2024 dilancar pada harga RM519k – mild hybrid 259 PS, 400 Nm

    Selepas dipertontonkan hujung bulan lalu, Mercedes-Benz Malaysia hari ini mengumumkan harga jualan rasmi untuk CLE 300 4Matic Coupe, iaitu RM518,888 tidak termasuk insurans – sedikit lebih rendah berbanding harga jangkaan awal yang dikeluarkan. Jaminan yang diberi adalah selama empat tahun.

    Model ini menggunakan enjin M256 2.0 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol yang menghasilkan sebanyak 259 PS (255 hp atau 190 kW) pada 5,800 rpm dan 400 Nm dari 2,000-3,200 rpm. Ia turut disertai dengan sistem mild-hybrid 48-volt EQ Boost yang memanfaatkan integrated starter generator (ISG) yang menyediakan tujahan sementara sebanyak 23 PS (23 hp atau 17 kW) dan 205 Nm.

    Kuasa ini disampaikan kepada semua roda melalui sistem 4Matic dan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan, membolehkan ia untuk melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 6.2 saat dan laju maksimum 250 km/j.

    Mercedes-Benz CLE300 4Matic Coupé 2024 dilancar pada harga RM519k – mild hybrid 259 PS, 400 Nm

    Melihat kepada bahagian luarnya, CLE 300 4Matic Coupe pasaran Malaysia datang dengan pakej AMG Line, yang memberikan kemasan hitam berkilat pada cermin sisi serta keliling tingkap. Rim AMG 19 inci yang datang secara standard dibalut dengan tayar run-flat, dan kereta ini juga mendapat sistem rear-wheel steer yang menambahkan lagi stabiliti serta kelincahannya.

    Di dalam, ia mempunyai konfigurasi tempat duduk 2+2 yang mirip C-Class, dan ada paparan menegak skrin di tengah dengan saiz 11.9-inci. Ia menjadi antaramuka bagi Mercedes-Benz User Experience (MBUX), yang juga mengisi kluster instrumen digital 12.3-inci dan head-up display — sokongan Android Auto dan Apple CarPlay juga disediakan.

    Kemasan AMG Line terus digunakan pada bahagian dalam, dengan ia mendapat tempat duduk balutan kulit, lapik bumbung hitam, lapik kaki AMG, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan pendingin dan fungsi memori, konsol tengah dengan penyudah fabrik campuran dengan kemasan logam, stereng dibalut kulit Nappa, head-up display serta lampu suasana.

    Sistem bunyi datang daripada Burmester 3D Surround Sound dengan 17 pembesar suara, sementara kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk Keyless-Go, Hands-Free Access, Stowage Space Package, kawalan suhu Thermatic serta pintu but dengan ciri tutup mudah.

    CLE ini juga menerima Driving Assistance Package Plus, yang antara lain terdiri daripada ciri Active Distance Assist Distronic, Active Steering Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Emergency Stop Assist, Active Brake Assist, sokongan belokan evasif, Active Blind Spot Assist, Pre-Safe, Pre-Safe Impulse Side, Memory Parking Assist, Active Parking Assist dengan Parktronic dan kamera 360-darjah.

     
     
  • Neta X tiba di Malaysia — bakal ditawar dalam dua varian, anggaran harga bermula bawah RM125k

    Neta X tiba di Malaysia — bakal ditawar dalam dua varian, anggaran harga bermula bawah RM125k

    Neta Malaysia sebelum ini berkongsi perancangan jenama itu untuk pasaran tempatan. Dan, untuk tahun ini, ada dua model baru yang akan diperkenalkan, iaitu Aya dan X. Perancangan untuk pemasangan CKD bagi kedua-duanya juga sudah berada dalam perancangan, dengan paling awal model Aya CKD dirancang untuk diperkenalkan pada Mac 2025 nanti.

    Dalam perkembangan terkini, unit CBU dari China bagi Neta X sudah pun tiba di Port Klang, Malaysia. Ia akan dipertonton secara kepada umum ketika acara Malaysia Autoshow hujung Mei nanti. Namun, pra-tempahan bagi model ini akan dibuka bermula Isnis, 6 Mei 2024 secara dalam talian ataupun melalui rangkaian pengedar sah Neta.

    Maklumat awal, Neta X ini akan diperkenalkan dalam dua varian untuk pasaran Malaysia. Versi 400 (dengan jarak perjalanan 400 km) akan dijual pada harga jangkaan di bawah RM125k, sementara versi 500 pula pada harga jangkaan di bawah RM140k. Jika dilihat kepada penawaran harganya, Neta X akan bersaing secara langsung dengan model seperti BYD Atto 3, yang harganya bermula sekitar RM130k.

    Neta di Malaysia merupakan usahasama antara GoAuto dan juga Careplus melalui penubuhan dua syarikat baru berasingan — NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB) yang akan menguruskan hal-hal pengilangan dan pengeluaran, sementara Intro Synergy Sdn Bhd (ISSB) akan bertindak menguruskan pengedaran dan jualannya. Dengan kilang yang dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2025 nanti, Neta nampak serius untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran EV tempatan.

    Kilang yang sedang dibangunkan itu juga adalah kilang pemasangan EV yang pertama di Malaysia dan akan mula beroperasi pada suku pertama 2025. Kilang berkenaan bakal mempunyai kapasiti permulaan sebanyak 30,000 unit setahun, dan ia bukan sahaja menghasilkan EV dalam bentuk kereta-kereta penumpang, malah turut bakal memasang kenderaan-kenderaan komersil serta motosikal yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

     
     
  • Proton sah akan keluarkan PHEV pada tahun 2025

    Proton sah akan keluarkan PHEV pada tahun 2025

    Selain X70 facelift, Proton juga semalam mengesahkan bahawa model plug-in hybrid (PHEV) pertama mereka akan dilancarkan tahun hadapan, dalam lingkungan masa yang sama dengan kenderaan elektrik bateri pertama mereka.

    Perincian lain tidak diberitahu, tetapi memandangkan masanya cuma tinggal satu tahun, kita boleh menjangkakan model ini akan menggunakan asas daripada model Geely. Besar kemungkinan dengan penggerak sistem plug-in hybrid NordThor BHE15 Plus yang menggunakan enjin empat silinder Atkinson-cycle 1.5L turbo berkuasa 163 PS/255 Nm.

    Ia kemudiannya dipadankan dengan motor elektrik 145 PS/338 Nm serta transmisi hibrid khas (DHT) tiga kelajuan untuk memberikan kuasa keseluruhan 390 PS an tork 535 Nm. Bergantung kepada model dan varian, pelbagai pilihan bateri disediakan dan boleh memberi jarak gerak elektrik sehingga 90 km.

    Proton sah akan keluarkan PHEV pada tahun 2025

    Di China, penggerak NordThor PHEV ini sudah digunakan pada pelbagai model termasuk Galaxy L7, iaitu model versi plug-in bagi Boyue L yang menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) – boleh ditawarkan sebagai X70 generasi baru di Malaysia. Tetapi memandangkan model generasi pertama akan diberikan facelift tahun ini, kereta itu mungkin dipasarkan dengan nama yang lain.

    Jika Proton mahu menyertai segmen SUV yang sedang popular sekarang, L7 adalah pilihan utama, tetapi ia juga mempunyai versi sedan yang dipanggil sebagai L6. Tidak seperti S70, L6 ini adalah sebuah model segmen C yang sebenar yang lebih besar dan mungkin boleh dijual sebagai pilihan yang lebih premium.

    Penggerak NordThor juga boleh ditemui pada model Geely yang lebih popular, dengan penjenamaan Hi-P. Setakat ini, model PHEV yang ditawarkan adalah termasuk Emgrand L dan Xingyue L, yang turut ditawarkan dengan versi jarak perjalanan jauh dengan jarak gerak elektrik sehingga 205 km.

    Cara lain, Proton secara mudah boleh memasukkan motor elektrik dan bateri kepada enjin tiga silinder 1.5L turbo sedia ada, yang kini turut dipasang di Malaysia. Secara teorinya, pakej ini akan lebih mudah dipadankan pada model sedia ada dan ia juga boleh digabungkan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan mereka.

    Satu cabarannya, pakej seperti itu hanya wujud pada Volvo XC40 T5 Recharge, yang bermakna Proton perlu bekerja sama dengan syarikat dari Sweden itu untuk membawa teknologi tersebut ke pasaran kita. XC40 T5 Recharge itu boleh menghasilkan kuasa 262 PS dan tork 425 Nm, bersama bateri lithium ion 10.7 kWh yang boleh memberikan jarak gerak elektrik sehingga 44 km.

    GALERI: Geely Galaxy L7 di Auto China 2024


    GALERI: Geely Galaxy L6
    GALERI: Geely Emgrand L Hi-P
    GALERI: Geely Xingyue L Hi-X

     
     
  • BMW iX2 xDrive30 M Sport 2024 di Malaysia – jarak gerak EV cecah 449 km; harga bermula RM283k

    BMW iX2 xDrive30 M Sport 2024 di Malaysia – jarak gerak EV cecah 449 km; harga bermula RM283k

    Susulan BMW iX2 yang telah pun mula dibuka tempahan di Malaysia, kini kami dedahkan pula spesifikasi penuh untuk model ini. Ditawarkan dengan varian tunggal xDrive30 M Sport, iX2 elektrik sepenuhnya ini ditetapkan pada harga atas jalan RM297k tanpa insurans, termasuk waranti lanjutan lima-tahun dan pakej servis enam-tahun, tetapi tanpanya, harga turun ke RM282,800.

    Penjana kuasa iX2 lebih kurang sama dengan model spesifikasi tertinggi iX1, dengan dwi-motor dan larasan pacuan semua-roda pada 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan tork 494 Nm. Sekaligus membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.5 saat dan kelajuan maksimum cecah 180 km/j.

    Kuasa yang disalurkan ke motor elektrik dibekalkan oleh bateri lithium-ion dengan kapasiti tenaga 66.5 kWh. Ia mampu memberikan jarak gerak hingga 449 km mengikut standard WLTP berbanding iX1 xDrive30 dengan 438 km.

    Ia boleh dicas mengunakan pengecas DC pantas sehingga 130 kW, mampu mencapai status pengecasan 10-80% dalam masa 29 minit. Pengecas AC pula boleh dengan kapasiti 11 kW, yang memerlukan masa enam jam 30 minit untuk pengecasan penuh.

    Kit standard bagi iX2 termasuk pakej M Sport yng merangkumi bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif, roda aloi ringan M V-spoke style 873 M bicolour 20-inci, M high-gloss Shadowline dengan gril radiator, logo pintu belakang dan perumah cermin dalam warna hitam, gril hadapan iluminasi Iconic Glow, brek M Sport dengan kaliper metalik biru gelap, suspensi M adaptif, dan lampu utama LED adaptif.

    Di dalamhya, pembeli diberikan pilihan upholstery kulit sintetik Veganza atau kombinasi Veganza dan Alcantara, kemasan dalaman ‘Hexacube’ aluminium, roda stereng kulit M, tempat duduk hadapan sport larasan kuasa, anthracite headliner, kawalan suhu dwi-zon, sistem pencahayaan ambien, pad pengecas tanpa wayar dan sistem bunyi Harman Kardon dengan 12-pembesar suara.

    Risalah spesifikasi BMW iX2 xDrive30 M Sport 2024; klik untuk besarkan

    Selain itu, ia juga diberikan sistem Live Cockpit Professional (kluster instrumen digital 10.25-inci dan skrin sesentuh infotainmen 10.7-inci), manakala sistem infotaimen yang dikuasakan oleh BMW Operating System 9 merangkumi perkhidmatan ConnectedDrive dan Connected Package Professional yang turut menyokong penggunaan Android Auto dan Apple CarPlay.

    iX2 di pasaran kita juga didatangkan dengan pakej Bantuan Pemanduan, termasuk Bantuan Kawalan Lorong dan Stereng, Info Pengehad Kelajuan, Bantuan Had Kelajuan Automatik, Amaran Ketibaan Lorong, brek kecemasan sendiri dan Kawalan Kelajuan Aktif dengan fungsi stop and go.

    Ia juga diberikan Parking Assistant Plus yang termasuk dengan Kawalan Jarak Parking Aktif (penderia parkir hadapan dan belakang), Bantuan Mengundur, Bantuan Parkir Sisi, kamera 360-darjah dan juga Perakam Pemandu dan Perakam Kecurian Jarak Jauh.

    Risalah spesifikasi BMW iX1 xDrive30 M Sport 2024; klik untuk besarkan

    Sebanyak tujuh warna ditawarkan untuk iX2 iaitu Alpine White, Black Sapphire, Skyscraper Grey, Cape York Green, Fire Red, M Portimau Blue dan M Brooklyn Grey. Setiap pembeliannya akan menerima waranti bateri lapan-tahun atau 160,000 km, bantuan tepi jalan dan talian bantuan kemalangan serya BMW Service Online.

    Dengan harga RM297,000 (atau RM282,800 dengan waranti standard dua-tahun), iX2 xDrive30 M Sport ini adalah lebih mahal sebanyak RM7,000 jika dibanding dengan iX1 xDrive30 M Sport.

    GALERI: BMW iX2 xDrive30 U10 di Japan Mobility Show 2024

     
     
  • JPJ eBid: NEC dan MDX dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang telah diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Negeri Sembilan, NEC, hari ini (3 Mei) merupakan hari terakhir ia boleh dibida dan anda masih berpeluang membidanya sehingga 10 malam ini. Ia telah dibuka sejak 29 April lalu, manakala keputusannya akan dikeluarkan esok, 4 Mei 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Melaka pula, MDX, bidaannya akan dibuka mulai esok, 4 Mei 2024. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 8 Mei 2024. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 9 Mei ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Proton X70 facelift 2024 disahkan — semi-autonomous Tahap 2, termasuk ciri Lane Centering Assist

    Proton X70 <em>facelift</em> 2024 disahkan — semi-autonomous Tahap 2, termasuk ciri Lane Centering Assist

    Dalam satu taklimat media di Tanjung Malim berkaitan prestasi kawalan kualitinya hari ini, Proton turut memaklumkan yang model SUV X70 facelift akan dilancarkan dalam tahun ini.

    Sebelum ini, tidak ada pengesahan rasmi dilakukan berkaitan berita tersebut. Namun, perkara itu telah disebut secara terbuka dalam taklimat berkenaan, disusuli dengan beberapa perincian lain. Antaranya, X70 terbaru itu nanti akan dilengkapi dengan ciri pemanduan semi-autonomous. Tapi bukankah X70 memang sudah dilengkapi ciri berkenaan seperti kawalan melayar adaptif (ACC)? Memang betul, tetapi ia hanya berfungsi pada kelajuan atas 30 km/j (tiada ciri Stop/Go), dan X70 tidak dilengkapi dengan ciri Lane Centering Assist, hanya amaran penukaran lorong yang ada.

    Ini berbeza dengan model X50, X90 dan S70 yang dilengkapi dengan Intelligent Cruise Control (ICC), yang menggabungkan ACC dengan fungsi Stop/Go dan Lane Centering Assist. Maka tentunya ciri lebih lengkap ini akan turut diberikan untuk X70 facelift nanti, termasuk ciri Lane Keep Assist (LKA).

    Proton X70 <em>facelift</em> 2024 disahkan — semi-autonomous Tahap 2, termasuk ciri Lane Centering Assist

    Kita sedia maklum yang X70 akan menerima kemaskini daripada Boyue facelift generasi pertama berdasarkan spyshot yang pernah dilihat. Perubahan yang dilakukan termasuklah lampu utama LED yang lebih tirus, rekaan gril lima-segi (mungkin sama seperti X90), bampar depan yang direka semula dan rekaan rim baru untuk spesifikasi tertinggi dengan saiz 19-inci. Satu pembaharuan yang bahkan tiada pada Boyue: rekaan bampar belakang baru dengan reflektor melintang.

    Di dalam, X70 akan kekal dengan rekaan papan pemuka yang sama, dan tidak akan menggunakan papan pemuka baru seperti yang dilihat pada Boyue Pro/Azkarra. Kelengkapan teknologinya juga kemungkinan besar akan sama. Bagaimana dengan Apple CarPlay? Itu kita perlu tunggu dan lihat nanti.

    Berdasarkan penawaran sedia ada, boleh dijangkakan enjin X70 facelift nanti masih menggunakan unit 1.5 liter yang menjana 177 PS dan 255 Nm tork, dengan kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi 7DCT. AWD juga mungkin kekal ditawarkan, seperti untuk varian 1.5 Executive ketika ini. Selain itu, ada juga enjin 1.8 liter seperti yang ditawarkan untuk varian paling tinggi X70 1.8 Premium semasa, yang menjana 184 PS dan 300 Nm.

     
     
  • Dongfeng E-Truck – model konsep EV klon Tesla Cybertruck dengan rekaan lebih masuk akal, 1,305 hp!

    Dongfeng E-Truck – model konsep EV klon Tesla Cybertruck dengan rekaan lebih masuk akal, 1,305 hp!

    Ketika Tesla mendedahkan trak pikap EV Cybertruck pada 2019, ia telah mencetuskan kontroversi kerana sebahagian orang suka dengan rekaan futuristik tersebut, dan ada juga yang tidak suka kerana ia tidak masuk akal serta agak berbahaya kerana menampilkan banyak sudut-sudut yang tajam bersama badan keluli tahan karat yang terlalu keras.

    Dengan mengambil inspirasi dari rekaan Cybertruck tersebut, pengeluar automotif dari China iaitu Dongfeng telah menghasilkan ‘Cybertruck’ mereka sendiri dengan rekaan lebih masuk akal – ini dia model konsep Dongfeng E-Truck yang membuat penampilan sulungnya di Auto China 2024 yang sedang berlangsung.

    Menurut Dongfeng, trak ini dihasilkan menerusi platform skateboard EV. Apa yang menarik, berbanding Cybertruck asli yang menerima kuasa 845 hp untuk versi paling buas iaitu Cyberbeast, Dongfeng E-Truck ini digerakkan dengan kuasa lebih besar iaitu 1,305 hp!

    Pelbagai rekaan luaran yang jelas diambil inspirasi dari Cybertruck untuk menghasilkan E-Truck ini, antaranya warna badan perak seakan warna asli keluli tahan karat sebenar, bar LED merentangi sepenuhnya pada bahagian muka, lampu utama yang terletak pada bahagian bawah, dan juga bahagian ‘frunk’ iaitu ruang kargo pada sebelah hadapan.

    Namun E-Truck ini masih mengambilkira aspek-aspek yang lebih masuk akal dengan menampilkan bumbung rata berbanding bentuk baji pada Cybertruck, dan ia tidak mempunyai bucu-bucu yang tajam pada badannya.

    Bahagian belakang turut dilihat menerima pengaruh kuat dari Cybertruck di mana ia diberikan bar lampu belakang LED (yang turut disertakan panel paparan). Manakala pada bahagian bed belakang, ia terus boleh dijadikan khemah apabila penutupnya dibuka ke atas, serta turut dipadankan dengan dapur induksi pada pintu bed tersebut.

    Selain itu, E-Truck ini ada juga tampil dengan rekaannya tersendiri, seperti pintu belakang jenis suicide door ala-Rolls-Royce, serta pemijak sisi yang boleh disorokkan/dikeluarkan secara automatik.

    Dalam kabin, E-Truck ini menerima roda stereng berbentuk petak juga seperti Cybertruck, bersama skrin panjang yang merentangi sepenuhnya papan pemuka. Satu lagi skrin pada bahagian tengah turut diberikan bagi memberikan akses terus kepada pelbagai fungsi kereta seperti mod ‘jalan ketam’, pusingan ala-kereta kebal dan juga mod meredah air pada kedalaman 720 mm.

     
     
  • JPJ perkenal Permit Memandu Antarabangsa (IDP) baru – saiz dan warna dokumen diubah ikut standard

    JPJ perkenal Permit Memandu Antarabangsa (IDP) baru – saiz dan warna dokumen diubah ikut standard

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan pengenalan Permit Memandu Antarabangsa (IDP) baru yang diselaraskan semula dengan model yang ditetapkan dalam Geneva Convention on Road Traffic 1949.

    Meskipun tidak dinyatakan dalam muatan yang dibuat dalam laman Facebook rasmi JPJ, IDP baru ini sepatutnya mengikut dimensi serta warna yang ditetapkan untuk dokumen tersebut, iaitu saiz A6 dengan ukuran 148 x 105 mm dan warna kelabu.

    IDP yang dikeluarkan sebelum ini mempunyai warna kuning cair dan saiznya sedikit besar iaitu 155 x 115 mm. Walaupun boleh diterima sebagai satu dokumen yang sah, saiz yang sedikit berbeza itu boleh membuatkan ia tidak diterima dalam keadaan tertentu.

    JPJ perkenal Permit Memandu Antarabangsa (IDP) baru – saiz dan warna dokumen diubah ikut standard

    Sebelum ini pernah terjadi di Jepun, di mana satu pasangan membuat satu muatan di Facebook menyatakan IDP mereka tidak diterima oleh syarikat sewa kereta di sana kerana saiznya tidak sama seperti yang diperlukan dalam syarat yang ditetapkan.

    Atas keperluan kerja, kami juga mempunyai IDP Malaysia ini, tetapi tidak pernah berhadapan dengan sebarang masalah apabila mengemukakannya kepada pihak berkuasa di pelbagai negara. Apapun, dengan IDP baru ini, kita sepatutnya lebih lega mengetahui ia mematuhi peraturan yang ditetapkan.

    Dalam muatan sama, JPJ memberitahu, IDP baru ini akan dikeluarkan apabila IDP sedia ada habis stok dan IDP yang sudah dikeluarkan sebelum ini masih sah diguna pakai. Harganya masih tidak berubah, iaitu RM150 dan tempoh sah adalah selama satu tahun setiap kali dikeluarkan.

     
     
  • Yamaha Y15ZR ditawarkan dalam warna baru – RM9k

    Yamaha Y15ZR ditawarkan dalam warna baru – RM9k

    Kali terakhir diberikan perubahan pada tahun 2022, Yamaha Y15ZR kini sekali lagi ditampilkan dengan warna baru, dalam tiga pilihan iaitu kelabu, biru dan cyan. Harga yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) masih tidak berubah, iaitu RM8,998 tidak termasuk insurans.

    Bagi warna biru dan cyan, motosikal ini masih lagi datang dengan rim yang berwarna hitam, tetapi bagi warna kelabu, rimnya dicat warna merah, sama seperti jalur yang digunakan pada pelekat di bahagian tepi dan hadapan.

    Selain penampilan, bahagian lain motosikal ini tidak mengalami sebarang perubahan, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc suntikan bahan api yang digandingkan bersama kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.5 PS pada 8,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Motosikal ini datang dengan brek cakera depan dan belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter. Di hadapan penunggang terdapat meter jenis LCD digital manakala lampu utama hadapan pula adalah unit LED. Rim bersaiz 17 inci, dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Perincian lain Y15ZR adalah termasuk berat keseluruhan 117 kg, tinggi tempat duduk 780 mm, fork teleskopik hadapan, monoshock di belakang, pemula enjin elektrik, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch).

     
     
  • Kia EV6 facelift dalam teaser, penggerak dipertingkat?

    Kia EV6 facelift dalam teaser, penggerak dipertingkat?

    Kia telah mengeluarkan gambar teaser EV6 facelift melalui laman media sosial mereka, yang menampakkan separuh bahagian hadapan dan juga belakangnya. Daripada gambar itu, kita boleh melihat beberapa perubahan kecil yang diberi.

    Untuk di hadapan, DRL yang digunakan kini mempunyai bentuk C, mengelilingi lampu utamanya yang terletak lebih rendah. Kemasan tengah yang membahagikan hud dengan bampar juga kini lebih panjang, bersambung dari tengah ke tepi.

    Lampu belakang masih lagi menggunakan jalur LED panjang yang bersambung dari kiri ke kanan tetapi di hujungnya anda boleh melihat terdapat bentuk segi tiga, sama seperti DRL hadapan. Kemasan bergaris yang bersambung dengannya masih lagi ada.

    Kia EV6 facelift dalam teaser, penggerak dipertingkat?

    Tiada perincian lain yang didedahkan secara rasmi oleh Kia setakat ini tetapi menurut laporan Car Magazine, kereta elektrik (EV) ini akan menerima peningkatan pada penggerak serta baterinya supaya menjadi lebih kompetitif dalam pasaran.

    Di negara kita, EV6 dilancarkan pada Jun 2022 lalu dalam satu varian sahaja, iaitu GT-Line AWD pada harga RM301k, menggunakan bateri lithium ion 77.4 kWh, motor elektrik 101 PS/255 Nm di hadapan dan satu lagi motor 224 PS/350 Nm di belakang.

    Ia boleh memberikan jarak gerak sehingga 506 km (WLTP) dan boleh menerima input pengecas DC sehingga 350 kW apabila menggunakan sambungan CCS2 (10-80% dalam masa 18 minit). Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam 5.2 saat manakala laju maksimum pula adalah 183 km/j.

    GALERI: Kia EV6 GT-Line pasaran Malaysia

     
     
  • Rapid KL memperkenalkan mod pembayaran kad debit/kredit di kaunter LRT, MRT, Monorel dan BRT

    Rapid KL memperkenalkan mod pembayaran kad debit/kredit di kaunter LRT, MRT, Monorel dan BRT

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan awam rel Rapid KL memperkenalkan mod pembayaran baharu melalui penggunaan kad debit atau kredit di semua kaunter khidmat pelanggan sejak 30 April lalu.

    Menurut Rapid Rail, pengguna LRT, MRT, Monorel dan BRT kini mempunyai fleksibiliti untuk menggunakan kad debit atau kredit bagi transaksi membeli token, menambah nilai kad Touch ‘n Go, dan melanggan pas perjalanan My50 atau MyCity.

    Mod pembayaran baharu ini turut tersedia untuk Kaunter Pendaftaran Kad Konsesi Rapid KL di Hab Pasar Seni dan Stesen MRT Conlay.

    Rapid KL memperkenalkan mod pembayaran kad debit/kredit di kaunter LRT, MRT, Monorel dan BRT

    “Ia adalah platform tambahan dari pembayaran sedia ada di kaunter stesen iaitu secara tunai dan melalui kod QR. Pembelian token juga masih boleh dilakukan di mesin tiket stesen.

    “Kaedah pembayaran baharu ini bertujuan untuk memberi kemudahan dan meningkatkan kecekapan proses pembelian untuk pengguna Rapid KL. Dengan pilihan pembayaran baharu ini, pengguna tidak perlu risau untuk membawa wang tunai atau mencari mesin bank (ATM) kerana ia dapat memberi transaksi yang lebih selamat dan lancar,” kata Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, pengenalan mod pembayaran baharu ini sejajar dengan komitmen Rapid Rail untuk sentiasa menambahbaik sistem pembelian yang sedia ada dan memenuhi keperluan pengguna kerana ia dapat memberi pengalaman positif kepada penumpang ketika menggunakan perkhidmatan Rapid KL.

    Sehubungan itu, Rapid Rail juga menggalakkan pengguna untuk memanfaatkan sepenuhnya mod pembayaran baharu ini supaya mereka dapat merasai kemudahan baru yang ditawarkan ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025