Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda akan tunjuk siri EV global baru Januari 2024

    Honda akan tunjuk siri EV global baru Januari 2024

    Honda telah mengumumkan bahawa mereka akan menunjukkan buat kali pertama satu siri EV global baru semasa pameran Consumer Electronics Show (CES) di Las Vegas 9-12 Januari 2024 nanti. Perincian berkenannya tidak diberi tetapi dalam siaran akhbar Honda menyatakan selain siri EV global baru itu, mereka juga akan menunjukkan “teknologi penting yang memberi gambaran kepada transformasi utama yang sedang dilalui Honda sekarang.”

    April tahun lalu, Honda mendedahkan rancangan elektrifikasi mereka sehingga 2030, yang akan menyaksikan 30 EV baru diperkenal dan sasaran jumlah pengeluaran tahunan lebih dua juta unit. Ini akan menyumbang kepada misi syarikat untuk mencapai neutraliti karbon bagi semua produk serta aktiviti korporat mereka sehingga tahun 2050.

    Bersama dengan pengumuman ini, Honda telah mengeluarkan satu gambar teaser yang mungkin adalah kereta konsep yang akan ditunjukkan semasa CES 2024 nanti. Dalam keadaan asal, gambar ini mungkin kurang jelas dan cuma menampakkan panel petak yang tertutup, tetapi setelah diterangkan barulah terlihat ia adalah bahagian hadapan sebuah kereta yang mempunyai garis lurus dari bumbung ke bonet, serta rim yang mempunyai garis bercorak.

    Bentuk yang banyak menggunakan garis lurus ini mengingatkan kepada model e:N2 Concept yang ditunjukkan tahun lepas, tetapi ia lebih tinggi dan tidak serendah dan setajalm model yang akan ditunjukkan di CES ini. Honda sudah mempunyai beberapa EV dalam pasaran dan lebih lagi akan dilancarkan, tetapi bukan semuanya adalah model global. Model yang akan ditunjukkan di CES ini bagaimanapun boleh dipandang penting.

     
     
  • Tempahan smart #1 cecah 1,000 unit – percuma data 60GB, aksesori RM2k & pengecas sehingga 31 Dis

    Tempahan smart #1 cecah 1,000 unit – percuma data 60GB, aksesori RM2k & pengecas sehingga 31 Dis

    Tak sampai sebulan selepas dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 21 November lalu, smart Malaysia mengumumkan model EV pertamanya yang di bawa ke sini iaitu smart #1 telahpun mencatatkan jumlah tempahan melebihi 1,000 unit.

    “Kejayaan smart #1 tidak hanya mencerminkan kecemerlangan produk, tetapi juga dedikasi kami untuk menyediakan pengalaman pemilikan yang lancar dan menyeronokkan. Perlindungan jaminan komprehensif, pakej percuma, dan tawaran pengecas rumah smartCharge adalah bukti komitmen kami terhadap kepuasan pelanggan. Penghantaran juga merupakan aspek penting, dan pasukan kami sedang berusaha gigih untuk memastikan kereta disampaikan kepada pelanggan kami yang dihargai tepat pada masanya,” kata ulas Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia.

    Untuk menempah smart #1, anda tidak perlu ke bilik pameran kerana ia boleh dibuat secara atas talian menerusi aplikasi Hello smart. Aplikasi berkenaan akan terus digunakan oleh pelanggan sehingga ke proses pembayaran, dan selepas menerima kereta ia boleh digunakan untuk memantau status kereta, kawalan jauh untuk pelbagai fungsi, mencari lokasi pengecas serta memulakan proses dan memantau pengecasan.

    Tempahan smart #1 cecah 1,000 unit – percuma data 60GB, aksesori RM2k & pengecas sehingga 31 Dis

    Walaupun masih baharu dalam Malaysia, smart kini sudahpun mempunyai 10 cawangan pengedar yang terletak di enam negeri. Menerut syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan, jaringan pengedar berkenaan “tidak hanya bertujuan untuk memudahkan proses pembelian, tetapi juga memastikan perkhidmatan pasca-pembelian terkemuka yang menawarkan bimbingan pakar kepada pelanggan.”

    smart #1 ditawarkan dalam tiga varian untuk pasaran Malaysia. Ia dijual dengan harga bermula RM189,000 bagi varian Pro, dengan varian Premium pula pada harga RM219,000 – kedua-dua varian ini menerima motor elektrik tunggal memacu roda belakang berkuasa 272 PS (200 kW)/343 Nm. Manakala bagi versi yang lebih berprestasi dengan dua motor AWD berkuasa 428 PS (315 kW)/543 Nm smart #1 Brabus pula dijual harga RM249,000.

    Tempahan smart #1 cecah 1,000 unit – percuma data 60GB, aksesori RM2k & pengecas sehingga 31 Dis

    Setiap pembelian smart #1 ini datang dengan pakej waranti komprehensif menampilkan waranti bateri EV selama 8 tahun atau 200,000km, waranti komponen bervoltan tinggi selama 8-tahun atau 150,000km, waranti kenderaan selama 4-tahun tanpa had perbatuan dan waranti alat ganti selama 2-tahun tanpa had perbatuan. Pelanggan juga diberikan khidmat bantuan tepi jalan 24 jam sehari, 7-hari seminggu.

    Sebagai tambahan, smart Malaysia juga menawarkan pakej aksesori percuma bernilai RM2,000 dan data internet 60GB selama lima-tahun. Sempena pelancaran semula jenama smart di Malaysia, syarikat itu turut menawarkan smartCharge Home Charger bernilai RM3,200 secara percuma (tidak termasuk kos pemasangan, yang bermula dari RM2,488). Namun tawaran ini hanya sah sehingga 31 Disember 2023.

    GALERI: Pilihan warna luaran smart #1 2023

    GALERI: smart #1 Premium di Malaysia


    GALERI: smart #1 Brabus di Malaysia

     
     
  • Auto Bavaria bekerjasama dengan DC Handal untuk tambah pengecas EV di Lembah Kelang, P.Pinang

    Auto Bavaria bekerjasama dengan DC Handal untuk tambah pengecas EV di Lembah Kelang, P.Pinang

    Kumpulan pengedar BMW terbesar di Malaysia, iaitu Auto Bavaria (AB), telah menjalin kerjasama dengan pengendali tempat mengecas (CPO), DC Handal untuk menambah lagi pengecas kenderaan elektrik (EV) di kawasan bandar. Kerjasama strategik ini dijadikan rasmi dalam satu majlis di Bamboo Hills, Kuala Lumpur sambil dihadiri timbalan menteri pelaburan, perdagangan dan industri, Liew Chin Tong. Di situ juga sudah tersedia beberapa pengecas DC Handal dengan logo AB dan BMW.

    AB memberitahu, mereka akan bekerja rapat dengan DC Handal untuk menyiapkan pengecas pantas di 10 kawasan utama dalam Lembah Kelang dan Pulau Pinang, dan mempunyai perancangan untuk beberapa tempat lain. Di Bamboo Hills, terdapat empat pengecas Kempower DC 200 kW dengan bayaran RM1.50 bagi setiap kWh. Walaupun mempunyai jenama BMW, pengecas ini boleh digunakan untuk apa sahaja EV, bukannya BMW sahaja.

    Unik berkenaan pengecas DC Handal adalah anda tidak perlu menggunakan aplikasi untuk pembayaran, dan boleh membayar dengan kad kredit atau debit. Sudah tentu, anda juga masih boleh membayar dengan aplikasi seperti JomCharge atau ChargEV. Senarai lokasi pengecas DC Handal ada di sini.

    “Kami percaya inisiatif ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada pelanggan, tetapi juga menyumbang kepada usaha bersama untuk membentuk, mengetuai dan menjadikan landskap automotif Malaysia lebih bersedia untuk masa hadapan, selari dengan matlamat yang telah ditetapkan dalam Bajet 2024,” kata ketua komunikasi korporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambihaipahan.

    Pengarah DC Handal, Lim Chern Chuan pula berkata, “kerjasama dengan Auto Bavaria ini menunjukkan komitmen kami untuk menyediakan kepada pelanggan bukan sahaja teknologi pengecas EV yang terbaik, tetapi juga pengalaman mengecas yang serba mudah melalui rangkaian kami.”

     
     
  • Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia kini cecah 36.3 juta unit, hampir 24 juta masih aktif – Loke

    Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia kini cecah 36.3 juta unit, hampir 24 juta masih aktif – Loke

    Angka kenderaan yang berdaftar di Malaysia kini mencecah 36.3 unit setakat Oktober 2023, lonjakan yang ketara berbanding yang dilaporkan sebelum ini. Pada Jun tahun lalu, ia mencatatkan sejumlah 33.3 juta kenderaan berdaftar, dengan peningkatan sejuta unit setiap tahun sejak 2019.

    Perkara ini didedahkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang turut memberi pecahan jenis kenderaan yang didaftarkan. Beliau berkata, kereta mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 17,244,978 unit, diikuti motosikal sebanyak 16,773,112 unit dan kenderaan untuk mengangkut barangan sebanyak 1,429,403 unit.

    Selain itu, 84,745 teksi telah didaftarkan, serta 64,021 unit bas dan 30,318 unit kereta sewa, dengan 736,410 kenderaan lain yang tidak sesuai dalam mana-mana kategori juga dalam senarai, seperti yang dilaporkan New Straits Times.

    Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia kini cecah 36.3 juta unit, hampir 24 juta masih aktif – Loke

    Ternyata jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia telah melebihi jumlah penduduk negara, yang setakat tahun lepas berjumlah 32.4 juta. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna bilangan sebenar kenderaan di jalan awam adalah lebih tinggi daripada populasi pada masa ini.

    Ini kerana keseluruhan jumlah kenderaan yang berdaftar itu adalah dalam tempoh hampir lapan dekad. Pada November 2021, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika itu Zailani Hashim menyatakan bahawa jabatan itu telah mendaftarkan 33.05 juta kenderaan dalam tempoh 75 tahun sejak ia diperbadankan pada 1 April 1946 sebagai pendaftar dan pemeriksa kenderaan bermotor (RIMV).

    Tetapi berapa banyak kenderaan yang sebenarnya masih digunakan pada ketika ini? Agak banyak sebenarnya. Loke mendedahkan bahawa daripada jumlah itu, 23,822,322 kenderaan masih mempunyai lesen kenderaan bermotor atau cukai jalan yang aktif; manakala 12,540,664 kenderaan tidak aktif tanpa sebarang cukai jalan. Jadi, hampir 24 juta kenderaan berdaftar masih aktif dan angka itu tidak melebihi keseluruhan jumlah penduduk Malaysia setakat ini.

     
     
  • JPJ buka kaunter bergerak dalam acara Setahun Bersama Kerajaan Madani di Bukit Jalil, 8-10 Dis

    JPJ buka kaunter bergerak dalam acara Setahun Bersama Kerajaan Madani di Bukit Jalil, 8-10 Dis

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut akan membuka gerai dan kaunter bergerak dalam acara Setahun Bersama Kerajaan Madani yang bakal berlangsung di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 hingga 10 Disember ini. Di mana banyak aktiviti menarik bakal dianjurkan oleh JPJ, di bawah seksyen Kementerian Pengangkutan (MoT).

    Dalam acara berkenaana, pengunjung boleh mendaftar bagi program MyLesen 2024, yang memiliki empat kategori iaitu lesen motosikal B2, e-hailing, PSV dan GDL. Selain itu, pengunjung juga boleh mendaftar akaun MyJPJ dan JPJ eBID.

    Selain itu, JPJ juga akan membuka kaunter bergerak di lokasi yang sama, di mana pengunjung juga boleh memperbaharui lesen memandu (CDL, PDL), lesen memandu vokasional (GDL, PSV), cukai jalan (LKM), pengambilan dokumen CDL dan LKM (sekiranya memperbaharui secara dalam talian menerusi MySikap) dan membayar saman JPJ (kecuali kes yang telah disenarai hitam).

    Bukan itu sahaja, JPJ juga akan menganjurkan program penukaran topi keledar (helmet), di mana ia terbuka untuk warganegara Malaysia (wajib membawa MyKad) dan terhad untuk satu unit seorang. Jangan lupa untuk bawa topi keledar lama, rosak atau pun yang tidak mengikut spesifikasi SIRIM. Sepanjang acara ini, JPJ bakal memberikan 1,000 unit topi keledar sehari. Anda boleh semak gambar di bawah untuk maklumat lanjut.

     
     
  • Electrikhana TWO: Video terakhir Ken Block disiarkan

    Electrikhana TWO: Video terakhir Ken Block disiarkan

    Awal tahun ini kita digemparkan dengan kematian pemandu rali dari Amerika Syarikat yang popular dengan siri video Gymkhana iaitu Ken Block. Beliau meninggal dunia pada 2 Januari 2023 selepas terlibat dalam kemalangan ketika sedang bermain dengan snowmobile di Utah.

    Namun sebelum kemalangan tragik tersebut terjadi, Block sempat melengkapkan penggambaran video Gymkhana terakhirnya pada November 2022. Video bertajuk Eletrickhana TWO tersebut dirakamkan sekitar Mexico City dengan Ken Block memandu jentera lumba EV yang dibina olehnya bersama Audi, diberi nama Audi S1 e-Tron Quattro “Hoonitron”.

    Jentera berkenaan sebelum ini sudahpun muncul dalam video pertama Electrickhana yang disiarkan pada tahun lalu. Seperti namanya, Audi S1 Hoonitron ini dihasilkan dari inspirasi jentera rali Group B Audi Sport Quattro S1 yang menggegar pentas Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada era 80’an.

    Ia digerakkan oleh dua buah motor elektrik dari sukan permotoran iaitu unit motor-generator unit (MGU) yang masing-masing diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan pacuan semua roda. Secara keseluruhan ia menghasilkan kuasa 671 hp (500 kW) dan tork maksima 640 Nm. Dengan putaran maksima 28,000 rpm, motor-motor berkenaan turut diberikan transmisi dengan nisbah gear 12:1 bagi membolehkan Block melakukan aksi drift dan mencapai kelajuan lebih 200 km/j pada roda.

    Manakala untuk bekalan kuasa, Hoonitron dibekalkan dengan empat buah bateri berkapasiti 14.4 kWj yang diambil dari model-model plug-in hybrid (PHEV) produksi Audi, menghasilkan kapasiti keseluruhan 57.6 kWj dan beroperasi dengan sistem 800-volt menjana unit rangkaian kuasa.

    Seperti jentera Audi Sport Quattro S1 Group B sebenar, S1 Hoonitron ini turut menampilkan jarak roda pendek iaitu kurang dari 2.4 meter (lebih pendek dari model entry level produksi Audi A1 Sportsback dengan jarak 2,563 mm) bagi meningkatkan tahap kelincahannya ketika mengambil selekoh.

    Untuk Electrickhana TWO ini, Ken Block telah melakukan pelbagai ubahsuai tingkat taraf pada Hoonitron S1 tersebut, antaranya menghasilkan nisbah gear maya dengan pedal penukar gear pada roda stereng bagi disesuaikan teknik drift, mod penukaran pantas dari pacuan semua roda kepada pacuan belakang, mod burnout setempat yang membolehkan roda belakang dan hadapan berputar berlawanan arah dan juga kebolehan jentera ini bertukar dari bergerak ke hadapan kepada mengundur dalam apa jua kelajuan.

    Electrikhana TWO: Video terakhir Ken Block disiarkan

    Ia turut dihasilkan dengan nisbah berat hadapan dan belakang hampir sempurna pada kadar 52:48 serta diberikan konfigurasi suspensi Topang McPherson pada bahagian hadapan dan belakang dengan jarak pergerakan spring melebihi 200 mm membolehkan ia melompat dan mendarat dengan selamat.

    Dalam video Electrickhana TWO ini Ken bermula di lokasi ikonik Mexico City iaitu Plaza De Toros Mexico, gelanggang perlawanan lembu jantan terbesar di dunia. Selepas itu beliau memandu Audi S1 Hoonitron berkenaan di sekitar jalan raya, bulatan, lebuhraya bertingkat, terowong dan pelbagai lagi lokasi ikonik di tengah ibu negara Mexico berkenaan seperti Museo Soumaya, dan berakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Benito Juárez.

    Bagi mengenang semula perjalanan keseluruhan Ken Block menghasilkan video-video dalam siri Gymkhana ini, Hoonigan turut memuatkan klip-klip dari semua video yang dibintangi oleh Block sejak bersama Subaru pada 2008, kemudian beralih kepada Ford pada 2010, akhir sekali bersama Audi bermula 2022.

     
     
  • Sarawak jangka trem ART bakal beroperasi seawal 2026 – ujian perjalanan cecah 6,000 km setakat ini

    Sarawak jangka trem ART bakal beroperasi seawal 2026 – ujian perjalanan cecah 6,000 km setakat ini

    Kerajaan negeri Sarawak menjangkakan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) bakal beroperasi sepenuhnya seawal 2026. Biar pun pada asalnya, trem ART yang merupakan sebahagian daripada Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) direncanakan mula beroperasi pada 2028 apabila tiga laluan yang ditetapkan siap pada penghujung tahun 2027.

    Menurut Menteri Pengangkutannya, Datuk Seri Lee Kim Shin, buat masa ini kerja-kerja sedang giat dijalankan bagi menyiapkan laluan dari Depo Rembus di Kota Samarahan ke stesen Hikmah Exchange sepanjang 27.6 km, laporan Harian Metro.

    “Apabila laluan pertama itu beroperasi, kita akan memberi tumpuan pula bagi menyiapkan dua lagi laluan iaitu dari Kuching Central ke Pending, sejauh 12.3 km dan stesen Damai Sentral ke Damai Central di Santubong, meliputi jarak 30 km,” katanya selepas mengadakan lawatan tapak ART ‘Proof of Concept’ di Le Promenade Mall semalam.

    Tambah beliau, laluan berkenaan dijangka siap pada penghujung tahun 2025 dan ART akan memberi perkhidmatan sepenuhnya kepada orang ramai awal tahun 2026.

    Sarawak jangka trem ART bakal beroperasi seawal 2026 – ujian perjalanan cecah 6,000 km setakat ini

    Katanya lagi, buat masa ini, prototaip ART itu masih terus menjalani ujian pemanduan bagi mengenal pasti sebarang masalah terhadap trem tiga gerabak berkuasa hidrogen itu serta laluannya.

    “Trem berkenaan sudah melalui ujian hampir 6,000 km perjalanan. Dalam tempoh September lalu hingga kini, lebih 2,500 orang dibawa sepanjang ujian pemanduan.

    “Kita sedang kumpul data mengenai prestasi ART itu untuk menilai apa yang perlu diubah sebelum kita memaklumkannya kepada pengeluar di China. Antara pengubahsuaian yang akan diminta ialah reka bentuk trem yang lebih aerodinamik,” katanya.

    Setakat ini, Sarawak sudah menempah 38 unit trem ART untuk menyediakan perkhidmatan di tiga laluan yang sudah ditetapkan itu. Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, menamakan trem tersebut sebagai ‘Bulan’, sempena dengan nama keretapi pertama Sarawak yang beroperasi mulai 1841 hingga 1946, sebelum perkhidmatannya ditamatkan ketika zaman penjajahan Jepun.

     
     
  • Mercedes-Benz EQE SUV EV dilancar di Malaysia — varian EQE500 4Matic AMG Line, jarak 552 km, RM486k

    Mercedes-Benz EQE SUV EV dilancar di Malaysia — varian EQE500 4Matic AMG Line, jarak 552 km, RM486k

    Mercedes-Benz Malaysia hari ini memperkenalkan tambahan terbaru bagi model elektriknya untuk pasaran tempatan, EQE SUV. Model berkenaan tiba di sini selepas pengenalan sulung globalnya pada Oktober tahun lalu dalam varian EQE 500 4Matic dan dijual dengan harga RM485,888 (harga atas jalan tidak termasuk insurans, dengan 10% cukai jualan).

    Model ini menjadi model keempat yang dibangunkan menggunakan platform Electric Vehicle Architecture (EVA) selepas EQE dan EQS sedan serta EQS SUV. Untuk pasaran Malaysia, model ini turut dilengkapi dengan lampu utama Digital Light.

    EQE SUV mempunyai saiz dimensi 4,946 mm panjang, 1,961 mm lebar, 1,512 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,120 mm. Sebagai perbandingan, sebuah lagi SUV elektrik Mercedes-Benz yang lebih besar dan sudah pun dilancarkan di sini, EQS 580 4Matic pula mempunyai 5,125 mm panjang, 1,959 mm lebar dan 1,718 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,210 mm.

    Mercedes-Benz EQE SUV EV dilancar di Malaysia — varian EQE500 4Matic AMG Line, jarak 552 km, RM486k

    Sama seperti EQS SUV, model EQE SUV untuk pasaran tempatan dilengkapi dengan pengecas dalaman 22 kW AC (ciri standard ialah 11 kW), menjadikannya model EQ kedua yang hadir dengan ciri ini. Untuk pengecasan 0-100%, ia memerlukan masa empat jam dan 45 minit.

    Dengan pengecasan DC (sambungan CCS2) dengan kadar sehingga 170kW pula, pengecasan kadar 10-80% boleh dicapai dalam masa 32 minit, dan untuk mendapatkan jarak perjalanan 250 km hanya memerlukan pengecasan 15 minit pada kadar maksimumnya.

    SUV elektrik terbaru ini juga hadir dengan ciri suspensi udara Airmatic dengan penyerap hentak ADS+ sebagai standard. Juga disediakan ialah stereng gandar bellakang dengan sudut stereng 10-darjah untuk memudahkan kendalian berkesan.

    Mercedes-Benz EQE SUV EV dilancar di Malaysia — varian EQE500 4Matic AMG Line, jarak 552 km, RM486k

    Model untuk pasaran tempatan juga hadir dengan pakej luaran AMG Line, dengan rekaan bampar dengan warna khusus. Pakej ini turut merangkumi kemasan A-Wing dan krom berkilat serta di bahagian bukaan udara depan dalam warna hitam. Selain itu, rim 21-inci AMG melengkapi imej SUV elektrik ini.

    Bagi varian EQS 500, model ini menampilkan tetapan dengan dua motor elektrik dengan janaan 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 858 Nm. 10 modul bateri 90.6 kWh, 400-volt lithium-ion membekalkan tenaga untuknya, dengan jarak perjalanan sehingga 552 km dalam kitaran WLTP. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa hanya 4.9 saat, dengan laju maksimum 210 km/j.

    Ruang dalaman pula sama dengan EQE sedan, dengan dilengkapi MBUX Hyperscreen dan kluster meter 12.3-inci digital, sert skrin sentuh di tengah bersaiz 17.7-inci dan skrin sentuh 12.3-inci di tengah untuk penumpang belakang. AMG Line ini juga diterjemahkan ke ruang kabin SUV ini, dengan kerusi balutan kulit warna kelabu/coklat dan kemasan kayu bersama corak aluminium, seperti yang ada untuk EQS SUV.

    Mercedes-Benz EQE SUV EV dilancar di Malaysia — varian EQE500 4Matic AMG Line, jarak 552 km, RM486k

    Kelengkapan standard lainnya termasuklah tikar AMG, kerusi dengan pendingin, lampu suasana serta pakej Energising dan Air Balance. Stereng sportnya juga dibalut dengan kulit Nappa. Ruang kaki belakang tersedia dengan luas 1,030 mm serta kapasiti ruang kargo 520 liter, atau sehingga 1,675 liter dengan kerusi belakang dilipat.

    Aspek keselamatan pula terdiri daripada Driving Assistance Package Plus, yang di dalamnya ada ciri Active Distance Assist Distronic, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Evasive manoeuvre support, Pre-Safe Impulse Side serta sensor untuk bantuan penukaran lorong. Kereta ini juga menerima Parking Package dengan kamera keliling 360-darjah sebagai standard.

     
     
  • Johor Bahru dilanda banjir kilat – 25 lokasi terlibat

    Johor Bahru dilanda banjir kilat – 25 lokasi terlibat

    Hujan lebat yang melanda Johor Bahru (JB) sejak jam 1 tengahari tadi telah menyebabkan berlakunya beberapa kawasan dinaiki air di sekitar pusat bandaraya berkenaan sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas serta kemalangan jalan raya.

    Menurut Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Johor Bahru Selatan (BSPTD JBS), anggotanya telah berganding bahu memberi bantuan dan membuat kawalan lalu lintas di kawasan berlakunya kejadian banjir dan kemalangan.

    “Antara kawasan yang terlibat ialah Jalan Skudai Pantai Lido hadapan IBS, kawasan Taman Nong Chik dan Kampung Ubi Majidee. Selain itu, ia turut melibatkan Taman Nong Chik sehingga menyebabkan pergerakan lalu lintas bergerak perlahan yang berpunca daripada sampah sarap yang tersumbat di celah-celah corong dan parit hingga menyebabkan paras air naik, dan telah dibersihkan oleh anggota BSPTD JBS yang meronda di sepanjang kawasan tersebut.

    “Pihak kami juga telah membantu kenderaan-kenderaan yang terperangkap dan mengalami kerosakan akibat dimasuki air. Beberapa jalan telah ditutup untuk laluan kenderaan dan keadaan lalu lintas kembali terkawal setelah banjir surut pada jam 5 petang,” katanya menerusi perkongsian di Facebook rasminya.

    Manakala Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pula berkata, terdapat kira-kira 25 lokasi di sekitar JB dinaiki air. Terdapat beberapa laluan terpaksa ditutup bagi mengelakkan kenderaan terperangkap termasuk persimpangan Jalan Gertak Merah menghala ke Wisma Persekutuan dan sebahagian Jalan Kolam Ayer menghala ke pusat bandar dan Nong Chik Heights, laporan Harian Metro.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor pula melaporkan pihaknya ditugaskan membuat pemantauan di beberapa kawasan termasuk di Taman Bunga Ros, Kampung Kangkar Tebrau, Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir Tebrau dan Kampung Tengah Tebrau di daerah ini.

     
     
  • Harga minyak 7-13 Dis – Semuanya masih dikekalkan

    Harga minyak 7-13 Dis – Semuanya masih dikekalkan

    Untuk minggu bertarikh 7 hingga 13 Disember 2023, Kementerian Kewangan (MoF) memutuskan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada 20 September lalu.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 27 November lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, memaklumkan bahawa kerajaan bersedia untuk memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi petrol RON 95 pada separuh kedua 2024. Rafizi turut berkata, kerajaan mengambil masa untuk melaksanakan program subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar. “Adalah dijangkakan akan ada ketidakpuasan dan masalah sebaik ia dilaksanakan, tetapi kerajaan tidak akan membuat pusingan ‘U’ apabila ia dilaksanakan,” katanya.

     
     
  • Tempahan Proton S70 naik tiga kali ganda selepas dilancar; 900 unit dalam seminggu, kini lebih 3k unit

    Tempahan Proton S70 naik tiga kali ganda selepas dilancar; 900 unit dalam seminggu, kini lebih 3k unit

    Selepas harga sebenarnya diumumkan ketika dilancarkan minggu lalu, tempahan untuk Proton S70 meningkat menepati ramalan yang dibuat oleh syarikat tersebut. Menurut Proton, dalam tempoh masa seminggu pertama, sebanyak 900 unit tempahan baharu diterima untuk sedan segmen-C tersebut atau tiga kali ganda lebih banyak berbanding minggu-minggu sebelumnya.

    Tempahan untuk Proton S70 ini sudah dibuka seawal 1 November lalu, dan ketika dilancarkan pada 28 November tempahan yang diterima adalah sebanyak 1,200 unit. Secara keseluruhan Proton kini sudahpun menerima lebih dari 3,000 unit untuk model yang menggantikan Proton Preve tersebut.

    Proton S70 ditawarkan dalam empat varian bermula dengan varian asas 1.5T Executive dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM73,800, diikuti 1.5T Premium berharga RM79,800, Flagship berharga RM89,800, dan varian paling tinggi Flagship X dijual pada harga RM94,800.

    Sebelum ini Proton turut mensasarkan tempahan akan meningkat sehingga 5,000 unit menjelang akhir tahun ini dengan jangkaan 40% daripadanya dari varian Premium, 40% varian Flagship dan 40% varian Flagship X.

    Tempahan Proton S70 naik tiga kali ganda selepas dilancar; 900 unit dalam seminggu, kini lebih 3k unit

    Dengan harga rasmi yang diumum lebih rendah dari jangkaan, Proton turut meramalkan ramai pelanggan yang telah menempah varian lebih rendah sebelum ini akan bertukar ke Flagship X kerana ia turut ditawarkan dengan kit badan percuma.

    Proton S70 merupakan sedan yang diasaskan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Walaupun dari bahagian luaran ia nampak sama seperti Geely Emgrand untuk pasaran China, Filipina dan beberapa negara Timur Tengah, S70 sebenarnya dibangunkan semula oleh Proton dengan pelbagai perubahan drastik.

    Antaranya enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT yang digantikan dengan enjin 1.5L tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa dan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang lebih responsif, ruang kabin yang lebih sesuai untuk pasaran Malaysia, talaan suspensi “Proton Ride Handling”, kelengkapan keselamatan lebih canggih dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi.

    Untuk perincian lebih lengkap anda bolah baca laporan pelancaran Proton S70 ini pada PAUTAN INI. Kami turut sudah menguji sedan ini di litar ujian Proton tiga minggu sebelum pelancarannya, di mana ulasannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Proton S70 2024 Executive

    Proton S70 2024 Premium

    Proton S70 2024 Flagship X

     
     
  • Stellantis bangunkan enjin pembakaran dalaman guna hidrogen; bangkang idea peralihan penuh kepada EV

    Stellantis bangunkan enjin pembakaran dalaman guna hidrogen; bangkang idea peralihan penuh kepada EV

    Kumpulan automotif Stellantis kini sedang membangunkan enjin pembakaran dalaman yang beroperasi menggunakan hidrogen sebagai salah satu dari empat alternatif penyelesaian kepada pemanduan sifar pencemaran. Perkara ini disebut sendiri oleh CEO Stellantis, Carlos Tavares dalam laporan Autocar.

    Menurutnya Stellantis kini sedang berusaha untuk mempelbagaikan jenis rangkaian kuasa yang boleh digunakan di bawah peraturan penyahkarbonan yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah, dan Tavares mengkritik penggubal undang-undang kerana kaedah ‘kejam’ mereka yang memaksa peralihan dari bahan api fosil kepada EV. Apa yang Stellantis buat ini adalah untuk meluaskan lagi pilihan kepada pengguna agar tidak terbeban dengan pengecasan EV.

    “Persaingan sebenar bermula antara sel bahan api, EV, enjin pembakaran dalaman hidrogen dan juga bahan api sintetik. Kita akan lihat dalam beberapa tahun akan datang apa yang akan menjadi penyelesaian terbaik untuk rakyat,” kata Tavares.

    Walau bagaimanapun Tavares masih boleh memperincikan jenama mana yang bakal menjual kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman hidrogen ini. Buat masa sekarang Stellantis sudah pun menjual model-model van bersaiz sederhana dengan unit rangkaian kuasa sel bahan api hidrogen, lapor Autocar.

    Stellantis bangunkan enjin pembakaran dalaman guna hidrogen; bangkang idea peralihan penuh kepada EV

    Idea untuk mempromosikan penggunaan hidrogen sebagai bahan api ini turut disokong oleh pembuat dan pembekal kenderaan berat di Eropah yang sedang mencari jalan bagi mengelakkan sebarang gangguan terjadi pada operasi mereka. Konsortium dengan nama Pakatan Enjin Hidrogen telah diwujudkan bagi membawa agenda ini, ditubuhkan oleh pelbagai pengeluar seperti Daimler Truck, Claas, Isuzu, JCB dan MAN, dan disertai oleh pembekal seperti Bosch, BorgWarner dan Dana.

    Selain Stellantis, Toyota terlebih dahulu telah memulakan inisiatifnya bagi membangunkan enjin-enjin hidrogen bagi menjadi alternatif kepada EV. Gergasi automotif Jepun itu telah menggunakan enjin 1.6 liter tiga-silinder pada hot-hatch GR Yaris, dan juga pada kereta lumba Corolla Sport yang menyertai perlumbaan lasak lima-jam di negara tersebut.

    Toyota turut telah menghasilkan sebuah enjin prestasi 5.0L V8 berkuasa 455 ps yang beroperasi menggunakan hidrogen, serta turut telah memperkenalkan beberapa model konsep dan prototaip yang menggunakan enjin hidrogen seperti Corolla Cross Hydrogen dan Hiace Hydrogen Prototype.

     
     
  • Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe diperkenal – versi prestasi dengan kuasa sehingga 449 PS, 600 Nm

    Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe diperkenal – versi prestasi dengan kuasa sehingga 449 PS, 600 Nm

    CLE Coupe yang diperkenalkan Julai lalu bagi menggantikan C-Class dan E-Class coupe kini menerima versi prestasi yang dipanggil sebagai Mercedes-AMG CLE53. Ia tiba dengan enjin petrol enam silinder turbo 3.0 liter berkuasa 449 PS (443 hp atau 330 kW) dari 5,800 ke 6,100 rpm.

    Menurut Mercedes-Benz, enjin enam silinder ini adalah unit M256 versi dipertingkat, yang kini dinamakan sebagai M256M. Antara peningkatan yang dibuat adalah termasuk kebuk pembakaran lebih optima dengan lubang masuk dan keluar yang direka semula, piston ring baru serta suntikan bahan api yang dioptimakan semula.

    Pengecas turbo juga adalah baru, dan ia dibantu dengan compressor elektrik tambahan yang dapat meningkatkan tekanan boost sehingga 0.4 bar, menjadi 1.5 bar dan membenarkan tork puncak mencapai 600 Nm semasa overboost dalam tempoh masa sehingga 12 saat. Dalam keadaan biasa, enjin tersebut mampu menghasilkan tork sehingga 560 Nm pada antara 2,200 hingga 5,000 rpm.

    Selain limpahan kuasa, enjin ini juga dijadikan lebih cekap dengan integrated starter generator (ISG) generasi kedua yang bersepadu di dalam transmisi automatik AMG Speedshift TCT 9G. Komponen ini adalah sebahagian daripada sistem elektrik 48 volt dan boleh memberikan pecutan tambahan sementara sehingga 23 PS dan tork 205 Nm, membantu luncuran sekata serta fungsi start-stop yang lebih lancar.

    Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe diperkenal – versi prestasi dengan kuasa sehingga 449 PS, 600 Nm

    Bersama dengan sistem pacuan semua roda boleh ubah AMG Performance 4Matic+ , CLE53 dapat memecut 0-100 km/j dalam masa cuma 4.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j, atau 270 km/j apabila dipasang dengan Driver’s Package daripada AMG.

    Sistem berkaitan pemanduan lain yang terdapat pada model ini adalah termasuk tetapan brek yang terdiri daripada cakera 370 mm berliang serta angkup empat piston di hadapan, dan cakera 360 mm dengan angkup satu piston terapung di belakang.

    CLE53 juga datang dengan suspensi AMG Ride Control yang menggunakan spring besi serta penyerap boleh laras adaptif yang mempunyai pilihan tiga mod iaitu Comfort, Sport and Sport+. Turut disediakan adalah stereng AMG yang boleh mengesan kelajuan serta rear-wheel steering yang boleh beroperasi pada sudut sehingga 2.5 darjah.

    Apabila mengambil pakej AMG Dynamic Plus, pemilik akan menerima mod pemanduan Race yang membolehkan tindakan drift. Pakej ini juga termasuk dengan roda stereng prestasi AMG yang dibalut gentian mikro Microcut dan mempunyai butang kawalan program pemanduan serta tetapan dinamik lain, angkup brek warna merah dengan tulisan AMG serta tapak enjin aktif.

    Secara visualnya, CLE53 berkongsi rekaan sama seperti varian di bawah, tetapi dijadikan lebih garang dengan bampar yang lebih agresif serta lubang udara lebih besar. Fender yang lebih kembang digunakan, bagi menempatkan rim 19 inci yang diberi secara standard (boleh dinaik taraf kepada 20 inci) dan jarak antara roda kiri dan kanan bertambah lebar 58 mm di hadapan dan 75 mm di belakang.

    Melalui pilihan tambahan pakej AMG Optics pula, coupe prestasi ini akan menjadi lebih sporty dengan tambahan panel aerodinamik pada bampar hadapan, spoiler belakang yang lebih tebal serta diffuser di antara muncung ekzos kiri dan kanannnya. Model ini juga boleh ditambah dengan pakej AMG Night serta AMG Carbon.

    Perkara sama dibuat pada bahagian dalam, dengan tetapan asasnya sama sahaja seperti CLE Coupe biasa, tetapi dinaik taraf dengan barangan khas AMG. Sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang mengawal panel instrumen digital 12.3 inci serta skrin sesentuh 11.9 inci di tengah juga mendapat fungsi khas serta paparan AMG.

    Tempat duduk CLE53 dibalut dengan padanan kulit Artico serta gentian Microcut hitam, dan diserikan dengan grafik AMG serta jahitan merah untuk dipadankan bersama tali pinggang yang juga berwarna merah dan kemasan gentian karbon di beberapa bahagian lain. Sudah tentu, pemilik juga diberi pilihan untuk menaik taraf kepada tempat duduk prestasi AMG ataupun pilihan kemasan dan balutan lain.

     
     
  • Triumph Thruxton 400 mula dilihat – versi cafe racer dengan fairing separuh, pemegang clip-on rendah

    Triumph Thruxton 400 mula dilihat – versi cafe racer dengan fairing separuh, pemegang clip-on rendah

    Kita sudah melihat, dua model baru 400 keluaran Triumph iaitu Speed 400 dan Scrambler 400 menyediakan tarikan tersendiri kepada pelanggan – konsep rekaan sama seperti model yang lebih besar (Speed Twin/Street Scrambler) tetapi dengan enjin yang lebih kecil serta harga lebih mampu milik.

    Sekarang nampaknya dua model yang berkongsi asas sama tersebut akan disertai satu lagi versi iaitu Thruxton 400, seperti yang dilihat melalui gambar spyshot dari Autostreet ini. Ketibaannya memang sudah dijangka dan kita cuma perlu menunggu bila ia akan memasuki pasaran – kemungkinan besar awal tahun depan.

    Seperti yang diketahui, Thruxton adalah model Triumph yang menggunakan penampilan cafe racer, tetapi Speed Triple RR juga menggunakan konsep rekaan sama, dan kita perlu mendengar pengumuman rasmi daripada Triumph untuk mengetahui nama sebenar model yang lebih kecil ini.

    Triumph Thruxton 400 mula dilihat – versi cafe racer dengan fairing separuh, pemegang clip-on rendah

    Daripada gambar, apa yang kita boleh lihat cuma bahagian depan sahaja yang diubah berbanding Speed 400 dan Scrambler 400, dengan mendapat fairing atas berlekuk seperti Speed Triple RR serta pemegang yang dikepit pada bahagian atas fork (clip-on).

    Pada Speed 400 dan Scrambler 400, enjin satu silinder 398 cc suntikan bahan api serta padanan gear enam kelajuannya dapat menghasilkan kuasa sehingga 40 PS pada 8,000 rpm dan tork 37.5 Nm pada 6,500 rpm. Untuk Thruxton 400, sekali lagi kita perlu menunggu pengesahan daripada Triumph sama ada sebarang talaan khas akan dibuat untuknya.

    Di Malaysia, Speed 400 dan Scrambler 400 sudah boleh ditempah, dengan harga masing-masing RM26,900 dan RM29,900, tetapi motosikal cuma akan tiba awal tahun hadapan.

     
     
  • Sabah terima 500 kuota bagi Program MyLesen B2 bagi 2023; rekod tertinggi setakat ini – Hajiji

    Sabah terima 500 kuota bagi Program MyLesen B2 bagi 2023; rekod tertinggi setakat ini – Hajiji

    Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan negeri terbabit telah menerima sebanyak 500 kuota lesen memandu Kelas B2 untuk golongan B40, sekaligus mencatatkan angka tertinggi bagi Program MyLesen B2 tahun ini.

    Menurut beliau, pada peringkat permulaan, sasaran pemberian lesen kelas B2 menerusi program itu ialah Tuaran dan Kinabatangan membabitkan 246 calon yang berjaya dalam ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Di mana Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2023 telah memperuntukkan RM2.7 juta untuk kos bayaran latihan dan ujian bagi lesen memandu Kelas B2 yang memberi manfaat kepada 9,000 orang penerima golongan B40.

    “Kerajaan Negeri berharap inisiatif ini akan turut dinikmati oleh lebih ramai lagi masyarakat kurang berkemampuan atau B40 di negeri ini pada tahun hadapan,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya.

    Sabah terima 500 kuota bagi Program MyLesen B2 bagi 2023; rekod tertinggi setakat ini – Hajiji

    Tambahnya, program itu adalah antara usaha murni kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan lesen memandu Kelas B2 untuk motosikal dalam memperkasa mobiliti rakyat untuk memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi kalangan masyarakat luar bandar, laporan Berita Harian.

    Beliau menyifatkan usaha diambil Kerajaan Persekutuan itu menunjukkan pentingnya lesen B2 dimiliki dalam memperkasakan mobiliti rakyat untuk memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi golongan B40.

    Manakala bagi Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan Kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2 (MyLesen B2), e-hailing dan teksi untuk lebih 40,000 belia daripada keluarga kurang mampu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025