Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Polis Sabah beri 50% diskaun saman trafik pada 26-27 September 2023 di IPD Sabah sempena Hari Malaysia

    Polis Sabah beri 50% diskaun saman trafik pada 26-27 September 2023 di IPD Sabah sempena Hari Malaysia

    Sempena dengan Hari Malaysia yang ke-60, Ibu Pejabat Polis Kontijen Sabah bakal menawarkan pengurangan saman trafik terpilih sebanyak 50% pada 26 hingga 27 September 2023, dari jam 9 pagi hingga 4 petang. Untuk mendapatkan kadar diskaun tersebut, pembayaran saman trafik perlulah dibuat di mana-mana kaunter saman trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sabah sahaja.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada Negeri Sabah, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Jangan peram lama saman trafik yang diterima itu, jadilah rakyat yang lebih bertanggungjawab.

     
     
  • Toyota GR86 40th Anniversary Limited 2024 – bermula RM121k, 200 unit hanya di Jepun, rai ulangtahun AE86

    Toyota GR86 40th Anniversary Limited 2024 – bermula RM121k, 200 unit hanya di Jepun, rai ulangtahun AE86

    Tahun ini genap 40 tahun Toyota AE86 (Levin dan Sprinter Trueno) dalam pasaran, iaitu Corolla dalam varian sports terakhir dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang, yang kemudiannya menjadi lagenda dalam sukan permotoran serta dunia ubahsuai model-model pasaran domestik Jepun (JDM).

    Bagi meraikan ulangtahun tersebut, Toyota memperkenalkan model istimewa edisi terhad bagi ‘cucu’ kepada AE86 iaitu Toyota GR86 dalam versi 40th Anniversary Limited. Hanya 200 unit dihasilkan dan hanya untuk pasaran Jepun, manakala pelanggan yang mahu membelinya perlu merebut peluang menerusi sistem loteri.

    Model ini diasaskan dari GR86 dalam gred varian RZ pasaran Jepun. Hanya dua warna badan yang ditawarkan iaitu Spark Red dan Crystal White Pearl. Ia kemudiannya diberikan pelekat bawah pintu berwarna hitam dengan grafik diispirasikan dari tema warna badan dua tona AE86 asli, bersama tulisan ‘Since 1983 40th’ yang juga meniru tulisan-tulisan pada badan Levin dan Sprinter Trueno.

    Ia turut diberikan spoiler ‘ekor itik’ dan cermin sisi dalam kemasan hitam, dan dengan gandingan serlahan hitam pada set rim, kemasan liang udara pada bampar hadapan dan diffuser pada bampar belakang melengkapkan lagi rupa seakan warna badan dua-tona model ini.

    Model ini masih dijana oleh enjin NA FA24D 2.4 liter boxer empat-silinder yang berkuasa 235 PS dan juga tork maksima 250 Nm, dan pembeli masih boleh memilihnya dalam versi kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik enam-kelajuan. Namun model istimewa ini dipadankan dengan set brek Brembo dan juga penyerap hentak prestasi dari Sachs secara standard.

    Tiada perubahan besar diberikan pada bahagian dalaman, cuma tulisan ‘Since 1983 40th’ disulam pada panel pintu dan diberikan set karpet kaki istimewa dengan tulisan sama.

    Selain dari model istimewa ini, Toyota turut mendedahkan kemaskini bagi model-model GR86 biasa untuk versi 2024. Kini bagi model manual, ia turut sudah dipadankan sistem bantuan pemanduan Eyesight yang sama seperti kembarnya iaitu Subaru BRZ. Sebelum ini sistem berkenaan hanya ditawarkan pada model transmisi automatik pada GR86 dan BRZ.

    Model dengan gred varian lebih rendah iaitu SZ kini turut ditawarkan dengan sistem pemantau titik buta (standard pada RZ) dan juga sistem VSC yang dikemaskini bagi meningkatkan kestabilan serta prestasi keselamatan. Toyota turut menala semula karekter pedal pendikit elektronik pada model 2024 ini bagi memberikan kawalan lebih baik. Sistem brek Brembo dan suspensi Sachs ditawarkan secara opsyen untuk gred SZ dan RZ.

    Toyota GR86 40th Anniversary Limited dijual pada harga bermula 3.822 juta yen (RM120,882) untuk model dengan kotak gear manual dan 3.92 juta yen (RM123,982) bagi versi automatik. Manakala versi RZ pula kini berharga 3.476 juta yen (RM109,912) untuk manual dan 3.574 million yen (RM113,010) untuk auto.

    Varian SZ masih menjadi versi paling mampu milik untuk pasaran Jepun dengan dijual pada harga 3.153 juta yen (RM99,722) untuk versi manual dan 3.251 juta yen (RM102,790) untuk versi automatik.

     
     
  • Rapid Bus laksana ujian percubaan bas perantara MRT dan LRT untuk Puchong, Seri Kembangan dan Cheras

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) memperkenalkan dua perkhidmatan percubaan bas perantara ke stesen-stesen LRT dan MRT yang melibatkan kawasan sekitar Puchong, Seri Kembangan dan Cheras. Perkhidmatan percubaan bas perantara MRT Laluan T545 (Stesen MRT Putra Permai – Stesen LRT Puchong Perdana) dan T569 (Stesen MRT Serdang Raya – Stesen MRT Batu 11) akan beroperasi selama tiga bulan mulai hari ini, 25 September sehingga 24 Disember 2023.

    Perkhidmatan tersebut beroperasi pada setiap hari dari 6 pagi sehingga 11.30 malam dengan kekerapan setiap 15 minit.

    “Perkhidmatan-perkhidmatan percubaan ini adalah usaha Rapid Bus Sdn Bhd dalam menyediakan sistem rangkaian pengangkutan yang memudahkan penumpang untuk menyambung perjalanan mereka dari satu laluan rel ke laluan rel yang lain dengan menggunakan bas perantara MRT,” kata Ku Jamil Zakaria, Ketua Pegawai Operasi Rapid Bus.

    Tambahnya, tambang bagi kedua-dua perkhidmatan tersebut adalah RM1 untuk perjalanan sehala. Penumpang boleh membayar tambang menggunakan Pas Perjalanan Tanpa Had My50 atau MyCity, Kad Konsesi MyRapid, atau kad Touch n’ Go.

    Para pengguna boleh memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store bagi merancang perjalanan, aplikasi Google Maps untuk mengetahui lokasi bas serta layari laman web rasmi Rapid KL di https://myrapid.com.my untuk maklumat terkini.

     
     
  • PLUS umum penutupan susur keluar UPM ke Sg Besi pada 25 Sept-14 Okt; Isnin-Jumaat, 10 malam-5 pagi

    PLUS umum penutupan susur keluar UPM ke Sg Besi pada 25 Sept-14 Okt; Isnin-Jumaat, 10 malam-5 pagi

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan jalan susur keluar UPM ke Sg Besi di Persimpangan Bertingkat UPM akan ditutup sementara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat mulai hari ini, 25 September sehingga 14 October 2023, dari jam 10 malam hingga 5 pagi.

    Menurut PLUS, penutupan susur berkenaan adalah bagi membolehkan kerja-kerja penebangan pokok-pokok besar menggunakan jentera khas dapat dijalankan dengan selamat sepanjang laluan tersebut.

    “Sebagai alternatif, pengguna Lebuhraya PLUS dari UPM yang ingin menuju ke Sg Besi dinasihatkan untuk membuat pusingan U di Plaza Tol UPM dan menggunakan Lebuhraya Besraya untuk ke Sg.Besi,” kata PLUS.

     
     
  • Range Rover Velar facelift 2024 kini di Malaysia – bermula RM638,800, tempahan dibuka, 3 varian P250

    Range Rover Velar <em>facelift</em> 2024 kini di Malaysia – bermula RM638,800, tempahan dibuka, 3 varian P250

    Jaguar Land Rover Malaysia hari ini mengumumkan bahawa versi facelift 2024 untuk Range Rover Velar kini sudah sampai ke pasaran tempatan, dan tempahan juga sudah dibuka. Tiga varian ditawarkan untuk L560 yang dikemaskini ini iaitu P250 Dynamic SE M spec, P250 Dynamic SE H spec dan juga P250 Dynamic HSE L spec, dijual pada harga bermula dari RM638,800.

    Pada bahagian luaran, model facelift ini tampil dengan sedikit kelainan. Ia menerima rekaan gril baharu, selari dengan yang ada pada Range Rover terkini. Begitu juga dengan lampu utama Pixel LED dengan DRL, dan di belakang hadir dengan lampu lebih moden dengan apron diperkemas. Dua warna baharu iaitu Metallic Varesine Blue dan Premium Metallic Zadar Grey ditawarkan pada versi kemaskini SUV ini.

    Selain itu, Velar facelift juga diberikan rim rekaan baharu, di mana H dan L Spec datang dengan rim Style 1075 10-jejari 22-inci dalam kemasan kelabu gelap berkilat dengan serlahan diamond turned atau hitam kilat sepenuhnya. Manakala M spec pula menerima set rim 1089 Style 20-inci 10-jejari dalam kemasan hitam berkilat.

    Range Rover Velar <em>facelift</em> 2024 kini di Malaysia – bermula RM638,800, tempahan dibuka, 3 varian P250

    Untuk bahagian kabin, Velar 2024 menampilkan papan pemuka minimalis yang nampak lebih ‘kosong’ dari sebelum ini. Ia dilengkapi dengan sistem infotainmen Pivi Pro terbaru yang menampilkan skrin sentuh lengkung 11.4-inci terapung. Sistem ini menyokong sambungan tanpa wayar Android Auto dan Apple CarPlay dan boleh dikemaskini secara over-the-air.

    Tiada sebarang suis dan butang fizikal dapat dilihat pada papan pemuka ini. Menurut Range Rover, kawalan untuk sistem pendingin hawa, tetapan tempat duduk dan larasan audio boleh dibuat menerusi butang maya pada bar setiap sisi skrin utama yang sentiasa terpampang. Pemandu turut boleh mengakses mod-mod dalam Terrain Response juga dengan cara yang sama.

    Velar facelift ini juga menampilkan fungsi Active Road Noise Cancellation, iaitu sistem unik yang mampu mengira isyarat radio bagi dimainkan semula pada pembesar suara Meridian dalam kabin, dibuat bagi merendahkan tahap desibel dalam kereta.

    Dengan sistem ini Range Rover mendakwa Velar menampilkan kabin paling senyap dalam kelasnya untuk bunyi jalan. Jika anda sentiasa mendengar bunyi dalam frekuensi rendah terlalu lama juga menjadi punca penat, dan sistem ini turut membantu dalam aspek tersebut.

    Cabin Air Purification Plus dan juga lampu kabin 30 lampu yang boleh dikonfigurasikan (kedua-duanya untuk L spec) juga merupakan antara perincian keselesaan lain yang turut disertakan pada Velar 2024 ini. Manakala H dan L spec pula diberikan suspensi Adaptive Dynamics.

    JLR turut menawarkan Technology Pack untuk Velar facelift pasaran Malaysia ini. Pek tersebut memberikan perician seperti paparan head-up, sistem kamera sekeliling 3D, bantuan parkir, dan juga fungsi Wade Sensing bagi membantu pemandu meredah air seperti banjir dan sebagainya.

    Dengan lencana P250 untuk semua varian, ini bermakna semua model pasaran Malaysia hanya ditawarkan dengan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder turbo yang menghasilkan 250 PS (247 hp) dan tork maksima 365 Nm. Untuk pasaran lain Velar turut ditawarkan dengan varian P340 dan P400 yang menampilkan sistem hibrid ringkas, serta varian baharu P400e dengan sistem plug-in hybrid yang menghasilkan kuasa 404 PS/640 Nm dan jarak gerak EV sejauh 64 km.

    “Range Rover Velar L560 merupakan hasil gabungan antara kemewahan dan inovasi. Reka bentuk canggih, ciri-ciri canggih dan prestasi elektriknya yang mengagumkan menekankan komitmen kami untuk membawakan pengalaman tiada tandingan kepada pelanggan kami yang arif,” kata Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau.

    “Dengan Range Rover Velar baharu, kami teruja untuk menawarkan hasil gabungan kemewahan kontemporari dan teknologi terkini. Kenderaan ini membuka era baharu dalam keanggunan dan kehalusan reka bentuk, menarik perhatian peminat automotif dengan daya tarikan yang tidak ditelan zaman,” tambah Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, Pengarah Urusan Jaguar Land Rover Malaysia.

    Jika anda berminat untuk melihat sendiri Range Rover Velar facelift 2024 ini di depan mata, JLR mengalu-alukan kedatangan anda ke bilik pameran Sime Darby Motors City di Ara Damansara. Selain itu, model ini juga turut dibawa ke showcase Jaguar Land Rover yang berlangsung di Bangsar Shopping Centre (BSC) yang sudah pun bermula sekarang dan akan berakhir pada 24 September nanti.

    GALERI: Gambar rasmi Range Rover Velar facelift 2024

     
     
  • Honda Giorno+ masuk pasaran Thailand – skuter 125 cc dengan pelbagai kemudahan dan aksesori pilihan

    Honda Giorno+ masuk pasaran Thailand – skuter 125 cc dengan pelbagai kemudahan dan aksesori pilihan

    Pasaran negara jiran, Thailand menerima sebuah lagi skuter baru yang dipanggil sebagai Giorno+. Ia ditawarkan dalam dua versi, iaitu CBS pada harga bermula 61,900 baht (RM8,058) dan ABS pada harga 66,900 baht (RM8,709).

    Skuter ini dipacu oleh enjin satu silinder 125 cc dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, namun kuasa sebenarnya tidak didedah. Jika melihat kepada Vario 125 pasaran Malaysia yang menggunakan enjin sama, kuasa yang mampu dihasilkan adalah 11.5 hp pada 8,500 rpm dan tork 11.74 Nm pada 5,000 rpm.

    Selain rupa yang elegan bersama lampu LED depan dan belakang, skuter ini menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengguna termasuk poket simpanan di bawah tempat pemegang dengan soket pengecas USB, cangkuk untuk meletak barang, tempat mengisi minyak tinggi di bahagian tengah serta ruang simpanan bawah tempat duduk 30 liter.

    Selain daripada itu, ia juga hadir dengan sistem kunci pintar, panel meter digital serta sistem start/stop yang boleh ditutup dengan menggunakan butang yang terdapat di bahagian kanan pemegang. Kedua-dua versi skuter ini cuma mendapat brek cakera hadapan, dan belakang masih menggunakan dram, sementara versi ABS cuma datang dengan sistem one-channel.

    Kedua-dua rim hadapan dan belakang skuter ini adalah bersaiz 12 inci dan ia dipegang oleh suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap hentak di belakang. Jika keadaan asal masih tidak cukup, pemilik boleh mendapatkan pelbagai aksesori untuk Honda Giorno+ ini.

     
     
  • JPJ buat laporan polis berhubung seorang wanita mendakwa cukai jalan fizikal masih diwajibkan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membuat laporan polis berhubung kenyataan seorang wanita yang tular di Facebook yang mendakwa Lesen Kenderaan Motor (LKM atau cukai jalan) fizikal masih diwajibkan.

    “JPJ ingin menjelaskan bahawa kenyataan dalam hantaran tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan orang ramai. Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Presint 7 di Putrajaya hari ini. Ia bertujuan supaya siasatan dapat dijalankan terhadap pemilik akaun Facebook terbabit bagi mengelakkan perkongsian kenyataan yang tidak betul dan mengelirukan pada masa hadapan,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Menerusi hantaran di Facebook tersebut, wanita berkenaan mendakwa bahawa pemilik kenderaan pada masa ini boleh menggunakan dokumen LKM atau cukai jalan digital sahaja adalah satu pembohongan.

    JPJ buat laporan polis berhubung seorang wanita mendakwa cukai jalan fizikal masih diwajibkan

    Menurut JPJ, sebagaimana kenyataan media Menteri Pengangkutan pada 10 Februari lalu, pihaknya sedang dalam fasa interim pelaksanaan pendigitalan LKM dan Lesen Memandu Malaysia (LMM). Di mana pemilik kenderaan persendirian yang merupakan warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ di bawah satu projek perintis.

    “Pemilik kenderaan dan pemandu yang bersedia digalakkan untuk beralih dari dokumen berbentuk fizikal kepada dokumen berbentuk digital. Walau bagaimana pun, sepanjang tempoh interim berkenaan orang ramai diberi pilihan sama ada menggunakan dokumen dalam bentuk fizikal atau digital.

    “Pemandu atau penunggang yang memilih menggunakan dokumen digital tidak perlu khuatir sekiranya ditahan agensi penguat kuasa untuk pemeriksaan. Penguat kuasa yang terbabit termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dimaklumkan mengenai perkara ini,” tambahnya lagi.

    Dalam masa yang sama, JPJ turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat hantaran atau berkongsi kandungan media sosial yang boleh mengelirukan banyak pihak. Orang ramai juga diminta untuk membuat semakan terlebih dahulu maklumat yang diperoleh untuk memastikan kesahihannya melalui portal atau media rasmi JPJ.

     
     
  • Proton X90 kini dieksport ke Mauritius (dari RM155k), Afrika Selatan (dari RM139k) dan Brunei (dari RM120k)

    Proton X90 kini dieksport ke Mauritius (dari RM155k), Afrika Selatan (dari RM139k) dan Brunei (dari RM120k)

    Dengan perkembangan pasaran eksport yang mengggalakkan, mencecah 5,406 unit pada 2022 yang menyaksikan peningkatan sebanyak 79% berbanding tahun sebelumnya, mendorong Proton untuk memperluaskan lagi pasaran eksportnya. Terkini giliran SUV X90 pula untuk dieksport ke pasaran Mauritius, Afrika Selatan dan juga Brunei.

    Mauritius merupakan pasaran eksport pertama yang menerima X90, apabila SUV keluarga premium dan moden itu telah diperkenalkan pada 4 Ogos di Le Salon de L’ Automobile, SVICC, Pailles. Ia dijual pada harga bemula 1,475,000 rupees (RM155,000).

    Diikuti dengan Afrika Selatan, di mana Proton Afrika Selatan telah mempamerkan X90 di Festival Permotoran di Litar Grand Prix Kyalami yang berlangsung dari 25 hingga 27 Ogos. Harga X90 di pasaran Afrika Selatan dari 559,000 rand (RM138,500) untuk model asas 1.5 TGDi Standard hingga ZAR679,900 (RM168,500) bagi model Flagship.

    Bulan lalu juga, Proton Brunei telah melancarkan X90 dengan menawarkan empat varian. Harganya bermula 35,000 dollar Brunei (RM120,000) untuk varian Standard hingga BND42,000 (RM144,000) untuk model spesifikasi tertinggi Flagship.

    “Tahun 2023 mencabar perniagaan eksport Proton kerana kebanyakan pasaran eksport kami mengalami cabaran ekonomi yang mengakibatkan kawalan ketat pasaran modal. Walau bagaimanapun, usaha kami untuk meneroka peluang dalam pasaran lain diteruskan dengan kerja-kerja asas sedang dijalankan di Fiji, Ghana, Trinidad dan Tobago, serta Iraq.

    “Pada masa yang sama, kami kekal fokus untuk mengembangkan kehadiran dalam pasaran eksport semasa. Pelancaran X90, Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pertama syarikat, dalam tiga pasaran eksport berlangsung hanya tiga bulan selepas pelancarannya di Malaysia pada 7 Mei dan ini membantu meningkatkan imej jenama Proton di pasaran tersebut. Kami melihat ini sebagai pelaburan demi masa depan kerana ia akan membolehkan kami mengambil kesempatan keadaan pasaran yang bertambah baik pada masa hadapan,” kata Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa Proton.

     
     
  • JPJ sita lebih 100 kenderaan dikendali warga asing dalam Op PEWA di KL, Pulau Pinang dan Melaka

    JPJ sita lebih 100 kenderaan dikendali warga asing dalam Op PEWA di KL, Pulau Pinang dan Melaka

    Ada saja netizen yang komplen sana sini yang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) asyik sita kenderaan rakyat tempatan yang langgar undang-undang saja, tetapi tidak pula menyita kenderaan yang dipandu oleh warga asing. Untuk pengetahuan anda, JPJ memang gigih melaksanakan Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) di seluruh negara.

    Kelmarin, JPJ WPKL telah mengadakan op PEWA di Jalan Tasik Tambahan, Ampang yang turut melubatkan agensi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).Operasi ini diadakan setelah JPJ WPKL menjalankan risikan ke atas beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur.

    “Hasil risikan mendapati pelbagai kesalahan dapat dikesan dilakukan oleh pemandu warga asing terutama bagi kesalahan tidak memiliki Lesen Memandu di Malaysia dan juga melakukan pelbagai kesalahan yang lain. Kebanyakan kenderaan yang dipandu oleh warga asing adalah milik warga Malaysia.

    “Sebanyak 79 kenderaan disita dengan motosikal mecatatkan jumlah tertinggi disita iaitu sebanyak 75 buah. Manakala kereta adalah sebanyak dua buah dan juga dua buah lori. Kenderaan tersebut disita kerana penunggang tidak memiliki lesen memandu yang sah, lesen kenderaan motor (LKM) serta insurans tamat tempoh,” kata JPJ WPKL.

    Malah baru-baru ini, JPJ Pulau Pinang telah menyita 26 buah motosikal dan sebuah kenderaan persendirian yang dipandu warga asing, di bawah Sek 64 (1) APJ 1987, atas kesalahan tiada lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dalam operasi di Bulatan Seberang Jaya. Tindakan tegas akan diambil terhadap warga asing yang tidak patuh pada peraturan dan undang-undang semasa memandu di negeri ini.

    JPJ Melaka juga telah mengadakan operasi yang sama kelmarin dan menyita sebanyak 21 buah kenderaan yang terdiri daripada 19 buah motosikal dan dua buah kereta. Kesemua kenderaan yang disita didapati dipandu tanpa memiliki cukai jalan dan lesen memandu yang sah.

    “Kenderaan yang dikesan telah diambil tindakan. Notis berserta saman telah dikeluarkan. JPJ Negeri Melaka sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua jenis kenderaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan,” kata JPJ Melaka pula.

    Untuk pemilik kenderaan warga tempatan, jika anda didapati ‘menyewa’ atau meminjamkan kenderaan anda untuk dipandu oleh warga asing yang tiada lesen memandu, mungkin anda juga akan menjadi ‘intipan’ penguatkuasa JPJ.

     
     
  • Kawasaki akan mula jual motosikal elektrik Z e-1 dan Ninja e-1 di United Kingdom bulan depan, kuasa 12 hp

    Kawasaki akan mula jual motosikal elektrik Z e-1 dan Ninja e-1 di United Kingdom bulan depan, kuasa 12 hp

    United Kingdom nampaknya akan menjadi antara negara terawal yang menerima motosikal elektrik terbaru daripada Kawasaki apabila pengeluar dari Jepun itu mengumumkan Z e-1 dan Ninja e-1 akan tiba pada bulan hadapan. Harga bagaimanapun masih belum didedah.

    Z e-1 dan Ninja e-1 adalah motosikal elektrik yang dibangunkan oleh Kawasaki untuk diletakkan dalam kelas yang sama dengan motosikal 125 cc, tetapi menggunakan casis dan reka bentuk penuh sebuah motosikal kapasiti pertengahan, sambil masih mengekalkan keseronokan menunggang.

    Ia dipacu oleh motor elektrik brushless yang boleh menghasilkan kuasa maksimum sehingga 9 kW (12 hp), dan tenaga yang datang daripada dua bateri lithium ion parallel yang boleh dibawa keluar untuk dicas. Setakat yang diberitahu, ia boleh dicas dengan pelbagai cara termasuk tapak khas yang diberi dan pengecas awam.

    Kawasaki akan mula jual motosikal elektrik Z e-1 dan Ninja e-1 di United Kingdom bulan depan, kuasa 12 hp

    Tidak mempunyai tuil klac dan gear, penunggang hanya perlu memulas pendikit untuk menggerakkan motosikal ini, dan mereka disediakan dengan dua mod iaitu Road dan Eco. Satu lagi fungsi yang disediakan adalah “e-boost“, yang akan memberi kuasa maksimum apabila perlu dan kelajuan maksimum mencecah 99 km/j.

    Satu lagi fungsi menarik Ninja e-1 dan Z e-1 adalah Walk Mode, di mana ia boleh bergerak ke hadapan dan belakang pada kelajuan perlahan dengan bantuan motor, sekaligus memudahkan pengguna di kawasan sempit ataupun sewaktu mahu meletakkan kenderaan.

    Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk panel meter TFT dengan fungsi sambungan kepada telefon pintar, brek ABS sama spesifikasi seperti motosikal 400 cc serta pilihan pelbagai aksesori seperti tempat duduk tempat duduk yang lebih rendah.

     
     
  • Kanak-kanak dua tahun meluru lintas jalan selepas keluar dari kereta – ibu bapa tolong jangan cuai!

    Kanak-kanak dua tahun meluru lintas jalan selepas keluar dari kereta – ibu bapa tolong jangan cuai!

    Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun hampir dirempuh kenderaan selepas keluar daripada kereta dipandu ibunya dan meluru melintas jalan raya di Jalan Melaka Pindah, Alor Gajah pagi kelmarin, laporan Harian Metro.

    Kejadian berlaku sekitar jam 6.51 pagi pada 20 September lalu apabila kanak-kanak itu dipercayai keluar sendiri dari sebuah kereta yang diparkir di kiri jalan dan terus meluru ke tengah jalan dalam keadaan trafik agak sibuk di kedua-dua hala menuju ke Durian Tunggal dan ke Alor Gajah. Insiden mencemaskan itu turut dirakam dashcam kereta yang hampir merempuh kanak-kanak terbabit.

    Menerusi video berkenaan, kedengaran kereta berkenaan sempat membrek secara mengejut dari merempuhnya yang ketika itu sudah berada di tengah jalan. Malah turut terdengar bunyi dentuman kuat apabila kereta berkenaan dirempuh oleh sebuah kenderaan lain dari arah belakang.

    Kelihatan juga seorang lelaki segera mendukung kanak-kanak berkenaan sebelum diserahkan kepada seorang wanita dipercayai ibu kanak-kanak itu yang terus membawanya masuk ke dalam kereta.

    Kanak-kanak dua tahun meluru lintas jalan selepas keluar dari kereta – ibu bapa tolong jangan cuai!

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, laporan kemalangan telah dibuat oleh seorang guru dan operator kilang yang terlibat dalam insiden tersebut.

    “Guru terbabit yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan ke Lendu dan setibanya di Jalan Melaka Pindah berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Melaka Pindah, dia melihat seorang kanak-kanak meluru melintas jalan raya.

    “Dia kemudian telah memberhentikan kenderaan secara mengejut menyebabkan sebuah motosikal Honda CBR 250 yang datang dari arah belakang melanggar keretanya. Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit yang berusia 28 tahun turut mengalami luka-luka kecil,” katanya.

    Tambahnya, setakat ini pihak polis belum mengenakan tindakan terhadap ibu kanak-kanak terlibat, namun wanita terbabit telah dipanggil dan diberikan peringatan tentang aspek keselamatan kanak-kanak.

    “Hasil maklumat diperolehi, ibu kanak-kanak tersebut telah memberhentikan seketika kenderaan di bahu jalan di seberang jalan bagi menghantar anaknya yang bersekolah di SK Melaka Pindah.
    Tanpa disedari anaknya berusia dua tahun yang dibawa bersama di dalam kereta telah keluar dari kenderaan dan melintas jalan. Di dalam kereta itu juga ada seorang lagi anaknya berusia lima tahun,” ujarnya.

    Arshad berkata, setakat ini kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

    Insiden sebegini memberikan pengingatan atau boleh dikatakan sebagai ‘amaran’ kepada ibu bapa atau pemandu dewasa yang membawa penumpang kanak-kanak agar tidak alpa dan wajib mementingkan aspek keselamatan penumpang anda. Ini antara sebab kerajaan mahu mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak walau pun sehingga kini pelaksanaannya masih tertangguh.

    Dan tahukah anda, setiap kereta mempunyai ciri keselamatan ‘child lock’ pada pintu bagi mengelakkan penumpang belakang khususnya anak-anak kecil membuka sendiri pintu dari dalam apabila kenderaan sedang bergerak atau berhenti. Apa pun, sila ingat! Kecuaian membawa padah!

     
     
  • JPJ eBid: SWJ dan CEV bakal dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SWJ, bakal dibuka bidaan mulai 1 Oktober dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 5 Oktober. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 6 Oktober 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Pahang pula, CEV, bidaannya akan dibuka pada 7 Oktober. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 11 Oktober. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 12 Oktober 2023 ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Mazda 2 generasi baharu dengan sistem hibrid enjin rotary akan muncul seawal akhir tahun depan?

    Mazda 2 generasi baharu dengan sistem hibrid enjin rotary akan muncul seawal akhir tahun depan?

    Mazda 2 facelift 2023

    Model generasi terkini untuk hatchback segmen-B Mazda 2 sudah pun berada sekitar sembilan tahun dalam pasaran selepas pertama kali diperkenalkan pada 2014. Walaupun sudah lama dijual, Mazda sentiasa memberikan kemaskini terhadap model tersebut dan menerima facelift terbaharu pada awal tahun ini.

    Namun menurut laporan portal automotif Jepun BestCarWeb, sumber yang boleh dipercayai memberitahu bahawa model generasi keempat Mazda 2 mungkin akan muncul pada lewat 2024 atau awal 2025 dengan kerangka SkyActive-Body yang lebih diperkuat.

    Laporan itu turut menyebut bahawa Mazda 2 generasi baharu ini akan dihasilkan dengan saiz hampir sama dengan model sedia ada tetapi sedikit lebih lebar, serta bakal menggunakan falsafah rekaan Kodo baharu yang menampilkan rupa “lebih bulat dan comel”.

    Mazda 2 generasi baharu dengan sistem hibrid enjin rotary akan muncul seawal akhir tahun depan?

    Mazda 2 facelift 2023

    Pilihan unit rangkaian kuasa juga bakal diperbaharui pada model serba baharu ini. Mazda 2 dikhabarkan bakal menerima enjin petrol NA 1.5 liter empat silinder dipadankan dengan sistem hibrid ringkas.

    Manakala bagi versi diesel, enjin 1.5L turbodiesel SkyActiv-D sedia ada mungkin akan ditukar menggunakan enjin turbodiesel empat-silinder 1.8L. Malah Mazda 2 baharu ini juga bakal ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa hibrid e-Skyactiv R-EV yang menggunakan enjin wankel Rotary.

    Sistem yang sama kini sudah pun dipadankan pada Mazda MX-30 R-EV 2023. Walau bagaimanapun, tugas untuk enjin rotary pada unit rangkaian kuasa ini bukanlah seperti pada kereta sport Mazda RX-7 terdahulu, sebaliknya ia berfungsi sebagai enjin penambah jarak.

    Unit rangkaian kuasa hibrid e-Skyactiv R-EV pada Mazda MX-30

    Pada MX-30 R-EV, unit rangkaian kuasa ini menampilkan enjin Wankel Rotary yang dikenali dengan kod 8C, berkapasiti 830 cc dan mampu menghasilkan 75 PS (74 hp atau 55 kW) tork maksima 116 Nm. Namun enjin ini bukan bertugas untuk memacu roda, tetapi ia hanya befungsi untuk mengecas bateri hibrid lithium-ion dengan kapasti 17.8 kWj diletakkan pada bahagian bawah lantai.

    Bateri berkenaan akan membekalkan kuasa kepada motor elektrik yang mampu menghasilkan 170 PS (168 hp atau 125 kW) dan tork maksima 260 Nm, diletakkan digandar hadapan bagi memacu sepenuhnya roda hadapan.

    Menurut BestCarWeb, beberapa perincian rasmi mungkin akan didedahkan secara rasmi oleh Mazda sebelum Mazda 2 generasi baharu ini membuat kemunculan sulung kelak.

     
     
  • JPJ tidak pernah keluar kenyataan berhubung operasi khas kereta bakal dilaksanakan sepanjang Okt ini

    Memang ramai di kalangan netizen yang berlumba-lumba mahu ‘menyampaikan’ berita terkini dan sensasi, biar pun tidak tahu sejauh mana kesahihan maklumat tersebut. Terkini, ada ‘berita’ yang sedang tular di laman media sosial yang menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal mengadakan operasi besar-besaran untuk pemeriksaan kereta sepanjang Oktober ini.

    Walau bagaimana pun, JPJ menyatakan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan apa-apa notis berhubung dengan operasi yang akan dijalankan seperti yang ditularkan itu.

    “JPJ ingin menasihati serta mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan semasa berada di jalanraya.

    “Dalam hal ini, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan menghubungi pejabat JPJ berdekatan untuk maklumat yang lebih tepat. JPJ sentiasa komited dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan jalan raya demi kesejahteraan orang awam khususnya pengguna jalan raya,” kata JPJ.

    Seperti yang sedia maklum, sepanjang bulan September ini, JPJ sedang mengadakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2023 di seluruh negara. Ia termasuklah mengadakan sekatan jalan raya (SJR) dan snap check untuk mengesan mana-mana penunggang/pembonceng motosikal yang melanggar peraturan lalu lintas termasuk tiada lesen memandu, tiada cukai jalan dan insurans, modifikasi motosikal tidak mengikut spesifikasi dan sebagainya.

    Menurut Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, dalam dua minggu operasi berkenaan dijalankan, sebanyak sebanyak 3,111 motosikal telah disita di seluruh negara. Di mana kesemua motosikal yang disita itu diklasifikasikan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalan raya.

    Dalam tempoh yang sama juga, pihaknya telah mengeluarkan 64,295 notis atas pelbagai kesalahan terhadap pengendali motosikal yang diperiksa.

    “Daripada 64,295 notis, 24,459 membabitkan kes tiada perlindungan insurans, tiada atau tamat lesen memandu (19,928) manakala bakinya bagi pelbagai kesalahan termasuk tidak mematuhi lampu isyarat merah (4,061), ubah suai ekstrem (2,676) dan membonceng motosikal di bawah umur, dengan 259 kes,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

     
     
  • Honda CR-V 2023 dikesan diuji lagi di Putrajaya

    Honda CR-V 2023 dikesan diuji lagi di Putrajaya

    Honda CR-V generasi ke-enam dikesan sekali lagi sedang menjalani ujian jalan raya, kali ini fotonya dirakamkan oleh staf kami sendiri. Jurugambar kami, Sherman Sim bersama rakan setugas Natasha Gill, terserempak dengan CR-V ini di Putrajaya, berhampiran dengan Putrajaya International Convention Centre (PICC), dan berjaya merakamkan beberapa foto spyshot SUV ini.

    Apa yang menariknya, tiada trade plate digunakan pada model ujian ini, mungkinkah ia sedang menantikan kelulusan vehicle type approval atau VTA daripada pihak JPJ? Agak pelik sedikit di situ.

    Ini bukan kali pertama CR-V 2023 dikesan diuji di negara ini. Awal Februari lalu, ia kelihatan diuji di Putrajaya. Kemudian pada Julai lalu pula, ia diuji di Gemencheh, Negeri Sembilan. Manakala bulan lalu pula, ada pembaca kami mengesan CR-V ini diuji di Genting Highlands pula.

    Beberapa siri ujian secara terbuka ini, biar pun masih ditutupi balutan penyamaran, nampak gayanya CR-V generasi ke-enam ini makin menghampiri detik pelancarannya untuk pasaran Malaysia. Pada Mac lalu, Honda Malaysia telah mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan empat model baru tahun ini di sini, dan salah satunya ialah CR-V, kemungkinan besar pada suku keempat. Bulan hadapan, kita bakal memasuki suku keempat dan adakah ia akan dilancarkan sebelum kalendar 2023 melabuhkan tirainya?

    Honda CR-V 2023 ini dihasilkan lebih besar dari model sebelumnya dengan dimensi 4,694 mm panjang, 1,864 mm lebar, tinggi 1,681 mm dan jarak roda sejauh 2,700 mm. Jadi berbanding model generasi kelima, versi baharu ini adalah 69 mm lebih panjang, 10 mm lebih lebar dan jarak roda 40 mm lebih jauh. Namun dari segi tinggi, ia adalah 8 mm lebih rendah yang memberikan rupa lebih sporty.

    Ruang dalamannya juga lebih besar, dengan ruang kaki di belakang mendapat tambahan 15 mm jarak. Rekaan dan binaan papan pemukanya pula meminjam ciri yang sama dengan yang ada untuk Civic, dengan konsol tengah yang menempatkan tuil gear dan pemilik mod pemanduan yang diletakkan sebelah-menyebelah.

    Untuk penawaran spesifikasi yang boleh dijangkakan untuk pasaran tempatan, apa yang ada di Thailand boleh dijadikan rujukan ketika ini. Diperkenalkan pada Mac lalu di sana, CR-V hadir dengan dua pilihan sistem janaan iaitu unit 1.5L turbo petrol yang menghasilkan 190 hp pada 6,000 rpm dan 242 Nm tork dari 1,700 rpm hingga 5,000 rpm, dan digandingkan dengan CVT.

    Pilihan kedua pula ialah sistem hibrid i-MMD yang sama seperti Civic e:HEV iaitu enjin 2.0 liter kitaran Atkinson empat-silinder dengan e-CVT, dengan keseluruhannya menghasilkan 207 PS dan 315 Nm tork. Di Thailand, CR-V ditawarkan dengan konfigurasi lima atau tujuh-tempat duduk. Tetapi untuk Malaysia, seperti juga sebelum ini, kita mungkin hanya akan menerima versi lima-tempat duduk sahaja.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025