Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz GLC dengan EQ Technology didedah – struktur 800V, suspensi udara, jarak gerak 713 km

    Mercedes-Benz GLC dengan EQ Technology didedah – struktur 800V, suspensi udara, jarak gerak 713 km

    Mercedes-Benz memperkenalkan model elektrik penuh GLC dengan Teknologi EQ di Pameran Mobiliti IAA 2025 di Munich, sebagai pencabar terus kepada BMW iX3 generasi baru. Model ini bakal dipasarkan bermula separuh pertama tahun 2026, dimulakan dengan varian GLC400 4Matic.

    GLC EQ dibina menggunakan platform MB.EA-Medium, iaitu versi pertengahan dalam struktur binaan elektrik Mercedes-Benz, dengan sistem elektrik 800 volt yang membolehkannya mencapai kecekapan lebih tinggi berbanding model sebelumnya, EQC. Menurut Mercedes-Benz, GLC EQ mampu bergerak sejauh 713 km dengan sekali cas penuh mengikut piawaian WLTP, hasil daripada penggunaan bateri lithium-ion berkapasiti 94 kWh.

    Untuk pengecasan, kadar maksimum pengecasan AC ialah 11 kW, dengan pilihan naik taraf ke 22 kW. Pengecasan pantas DC pula mencecah 330 kW, membolehkan pengecasan dari 10% ke 80% dalam masa 22 minit, manakala jarak sejauh 300 km boleh diperoleh dalam masa hanya 10 minit.

    Di beberapa pasaran, kenderaan ini turut dilengkapi converter DC untuk menyokong stesen pengecasan 400 volt. Penggunaan tenaga dianggarkan serendah 14.9 kWh/100 km dan sistem pengecasan dua hala juga tersedia di pasaran yang menyokong fungsi tersebut.

    Model ini dikuasakan oleh dua motor elektrik synchronous, iaitu satu di setiap gandar, megnhasilkan pacuan semua roda (AWD) dan jumlah kuasa mencecah 489 PS (360 kW). Gandar belakang dilengkapi transmisi dua kelajuan, manakala hadapan menggunakan gear pengurang (reduction) tunggal. Dengan gabungan ini, GLC EQ mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam 4.3 saat, dengan kelajuan maksimum 210 km/j serta keupayaan menunda sehingga 2.4 tan.

    Berbanding EQC, hampir semua aspek GLC EQ telah dipertingkatkan, termasuk saiz fizikalnya. Ia kini berukuran 4,845 mm panjang, 1,913 mm lebar dan 1,644 mm tinggi, dengan jarak roda 2,972 mm – semuanya lebih besar daripada model terdahulu. Ruang simpanan turut ditingkatkan, dengan 128 liter di bahagian frunk dan 570 liter di ruang but belakang, yang boleh dibesarkan sehingga 1,740 liter apabila kerusi dilipat.

    Sistem gantungan dipertingkat dengan Airmatic dari S-Class, yang boleh melaraskan penyerap hentak berdasarkan maklumat car-to-X. Sistem stereng gandar belakang disediakan sebagai pilihan, membolehkan tayar belakang berpusing hingga 4.5 darjah di bawah 60 km/j dan 2.5 darjah pada kelajuan lebih tinggi. Di bahagian depan, sistem gandar four-link digunakan, manakala gandar belakang menggunakan sistem multi-link yang dipasang pada pivot tengah.

    Untuk sistem brek, GLC EQ hadir dengan sistem baru dipanggil One-Box, yang menggabungkan komponen seperti booster, silinder induk dan kawalan ESP dalam satu modul padat. Hampir semua operasi membrek dilakukan melalui sistem penjanaan semula kuasa sehingga 300 kW dan terdapat empat tahap pemulihan tenaga termasuk mod ‘D-’ yang paling agresif, memberikan pengalaman pemanduan satu pedal.

    Mercedes-Benz GLC dengan EQ Technology didedah – struktur 800V, suspensi udara, jarak gerak 713 km

    Seperti biasa, beberapa mod pemanduan disediakan, termasuk Terrain, yang mengaktifkan fungsi “bonet lutsinar” – membolehkan pemandu melihat halangan di laluan menerusi paparan digital.

    Bahagian luaran GLC EQ menampilkan wajah baru Mercedes-Benz, dengan gril hadapan berbingkai krom tebal, struktur jeriji seperti kaca gelap serta lampu keliling. Pilihan gril bercahaya turut ditawarkan, lengkap dengan logo bintang tengah bercahaya dan 942 titik cahaya belakang yang boleh dianimasikan untuk efek seakan piksel.

    Lampu utama LED penuh adalah standard, manakala Digital Light ditawarkan sebagai pilihan, menampilkan jalur lampu siang yang membentuk logo bintang tiga penjuru. Lampu belakang dua bahagian juga hadir dengan elemen bintang di bahagian dalamnya, berserta jalur cahaya yang menunjuk ke arah logo tengah.

    Meskipun rekaan luarannya mengekalkan elemen rekaan GLC standard – termasuk bampar dan garis tali pinggang yang menaik – model elektrik ini tetap menonjol dengan pemegang pintu tersembunyi, bumbung aerodinamik dan lampu serta gril unik.

    Mercedes-Benz GLC dengan EQ Technology didedah – struktur 800V, suspensi udara, jarak gerak 713 km

    Bahagian dalaman pula jauh berbeza. GLC EQ menampilkan sistem MBUX generasi keempat dan kemuncaknya adalah MBUX Hyperscreen 39.1 inci – pilihan tambahan yang meliputi hampir keseluruhan papan pemuka. Ia menggabungkan tiga paparan digital di bawah satu permukaan kaca – paparan instrumen 10.3 inci, serta dua skrin sentuh 14 inci untuk infotainmen tengah dan penumpang hadapan.

    MBUX Hyperscreen menggunakan lebih 1,000 LED untuk ciri malap setempat dan disokong oleh cip berprestasi tinggi serta grafik masa nyata dari Unity Game Engine. Antara ciri pintarnya ialah MBUX Zero Layer, yang memaparkan info penting dan cadangan mengikut konteks, bersama integrasi AI daripada Microsoft dan Google, ChatGPT-4o, serta MBUX Virtual Assistant baru. Pengguna juga boleh memilih dua avatar baru, termasuk “manusia maya dari awan bintang” dan LittleBenz dengan ekspresi wajah yang lebih peribadi.

    Untuk elemen mewah, terdapat pilihan bumbung kaca Sky Control yang boleh ditukar antara lutsinar dan gelap, dibahagikan kepada sembilan zon boleh kawal. Lampu suasana yang mengagumkan turut disepadukan, termasuk 162 bintang bercahaya dalam permukaan kaca.

    Sistem audio Burmester 4D dengan Dolby Atmos disediakan sebagai pilihan, lengkap dengan pengalaman bunyi yang diselaraskan dengan pencahayaan dalaman. Banyak fungsi kabin, termasuk tempat duduk pelbagai fungsi, dihubungkan dengan sistem Energizing Comfort yang menawarkan program rehat semasa perjalanan jauh.

    Mercedes-Benz GLC dengan EQ Technology didedah – struktur 800V, suspensi udara, jarak gerak 713 km

    Saiz lebih besar turut memberi manfaat kepada ruang kabin. Mercedes-Benz menyatakan terdapat tambahan 13 mm ruang kaki dan 46 mm ruang kepala di hadapan, manakala penumpang belakang mendapat 47 mm ruang kaki dan 17 mm ruang kepala tambahan. Kawalan fizikal seperti butang tekan dan guling kini kembali pada stereng untuk sistem seperti Distronic dan pengehad kelajuan, namun panel sentuhan kapasitif masih dikekalkan.

    Dari segi keselamatan dan bantuan pemandu, GLC EQ dilengkapi dengan 10 kamera, lima radar, 12 sensor ultrasonik dan komputer dengan sistem penyejukan air, yang menyokong pelbagai sistem bantuan. Ciri seperti Distance Assist Distronic adalah standard, manakala pakej naik taraf termasuk MB.Drive Assist, MB.Drive Assist Plus, MB.Drive Assist Pro, serta MB.Drive Parking Assist dan Parking Assist 360.

    Tahap bantuan pemanduan juga meningkat secara progresif dari Tahap Autonomous SAE Level 2 hingga ke sistem pemanduan sendiri sepenuhnya dari titik ke titik, yang akan ditawarkan bergantung kepada undang-undang tempatan. Sistem bantuan parkir pula membolehkan kenderaan keluar dari petak secara automatik walaupun diparkir secara manual.

    Model GLC EQ ini akan dipasang di kilang Mercedes-Benz di Bremen, Jerman, dengan pengeluaran tambahan dirancang di Kecskemet, Hungary dan juga di fasiliti Beijing Benz Automotive, China.

     
     
  • Volkswagen ID.Cross Concept muncul – SUV elektrik dengan motor hadapan 211 PS, jarak gerak 420 km

    Volkswagen ID.Cross Concept muncul – SUV elektrik dengan motor hadapan 211 PS, jarak gerak 420 km

    Volkswagen secara rasmi telah memperkenalkan model konsep terbaru mereka, Volkswagen ID.Cross Concept, di Munich Motor Show. Model ini menjadi petanda awal kepada versi produksi yang dirancang untuk dilancarkan sekitar pertengahan tahun 2026.

    Menurut ketua bahagian reka bentuk Volkswagen, Andreas Mindt, rekaan ID.Cross ini mewakili bahasa rekaan baru syarikat yang dikenali sebagai ‘Pure Positive’. Reka bentuk ini dibangunkan berasaskan tiga elemen utama iaitu kestabilan, keperibadian menarik dan elemen istimewa yang akan menjadi identiti utama semua model Volkswagen pada masa akan datang.

    ID.Cross dibangunkan menggunakan platform MEB+, iaitu versi dinaik taraf daripada platform MEB yang mula diperkenalkan pada 2022. Model konsep ini dikuasakan oleh motor elektrik di hadapan dengan kuasa 211 PS, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 175 km/j. Kapasiti bateri berkuasa tinggi tidak didedahkan, namun Volkswagen menyatakan bahawa model ini mampu mencatat jarak perjalanan sejauh 420 km mengikut standard WLTP.

    Volkswagen ID.Cross Concept muncul – SUV elektrik dengan motor hadapan 211 PS, jarak gerak 420 km

    Dari segi saiz, ID.Cross Concept mempunyai dimensi 4,161 mm panjang, 1,839 mm lebar dan 1,588 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,601 mm. Saiz ini hampir menyamai model T-Cross sedia ada. Untuk gaya dan prestasi, ID.Cross dilengkapi dengan rim aloi 21 inci “Balboa” yang dibalut tayar 235/40R21 keluaran Goodyear.

    Ruang simpanan belakang menawarkan kapasiti 450 liter, ditambah 25 liter lagi di bahagian hadapan (frunk), sekaligus menjadikan ia cukup praktikal untuk kegunaan harian. Bahagian dalaman pula direka untuk memberikan suasana yang tenang dan menenangkan, dengan penggunaan tona warna beige sebagai tema utama.

    Tempat duduk, panel pintu dan papan pemuka dilengkapi dengan balutan fabrik, manakala konsol tengah pula menampilkan tumbuhan sebenar bagi menonjolkan elemen semula jadi, yang turut disepadukan dalam rekaan grafik skrin. Tempat duduk juga boleh dilipat rata bagi membentuk ruang baring santai.

    Volkswagen ID.Cross Concept muncul – SUV elektrik dengan motor hadapan 211 PS, jarak gerak 420 km

    Dari segi teknologi, Volkswagen mengekalkan pendekatan baru mereka dengan mengembalikan butang fizikal untuk kawalan utama, berbeza daripada pendekatan skrin sentuh sepenuhnya sebelum ini. Model ini dilengkapi dengan dua paparan digital – satu paparan pemandu 11 inci dan satu lagi skrin infotainmen tengah 13 inci.

    Stereng pelbagai fungsi kini mempunyai butang fizikal dan barisan butang tambahan diletakkan di bawah skrin utama. Konsol tengah turut menempatkan ruang khas untuk telefon pintar dan tempat letak cawan di bahagian bawahnya.

    Secara keseluruhan, Volkswagen ID.Cross Concept memberi gambaran jelas tentang arah tuju reka bentuk dan teknologi jenama ini menjelang tahun-tahun akan datang – menggabungkan elemen moden, mesra pengguna dan mesra alam dalam satu pakej kenderaan elektrik serba baru

     
     
  • Pasaran tentukan harga kereta, bukan kerajaan – MITI

    Pasaran tentukan harga kereta, bukan kerajaan – MITI

    Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyatakan bahawa harga kereta di Malaysia ditentukan oleh pasaran dan tidak dikawal oleh kerajaan, yang telah menyediakan pelbagai insentif serta pengecualian cukai bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) melalui Kementerian Kewangan, laporan Bernama.

    “Tujuan insentif ini termasuk menggalakkan penggunaan komponen keluaran tempatan daripada vendor, mempromosikan pelaburan berkualiti, serta menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia.

    “Melalui insentif dan pengecualian cukai ini, pengeluar kenderaan dapat menawarkan harga yang lebih kompetitif untuk pasaran tempatan berbanding kenderaan import sepenuhnya,” ujar MITI sebagai jawapan kepada Senator Datuk Ahmad Ibrahim yang bertanya di Dewan Negara sama ada kementerian berhasrat menyemak harga kereta keluaran Malaysia, yang dilihat mahal walaupun tanpa duti import, sehingga memaksa orang ramai mengambil pinjaman jangka panjang.

    Tambah MITI, “Perodua menghasilkan kenderaan kategori Rahmah yang ditawarkan pada harga mampu milik RM22,000 tidak termasuk insurans, sekali gus membolehkan lebih ramai memiliki kereta. Proton juga menawarkan model Saga pada harga bawah RM40,000. Kerajaan berharap melalui pendekatan ini, rakyat dapat memilih kenderaan yang sesuai dengan kemampuan kewangan mereka bagi mengelakkan beban kewangan yang berat.”

     
     
  • Honda Prelude 2026 dilancarkan – Hybrid e:HEV 200 hp/315 Nm, suspensi & brek Brembo dari Civic Type R

    Honda Prelude 2026 dilancarkan – Hybrid e:HEV 200 hp/315 Nm, suspensi & brek Brembo dari Civic Type R

    Honda akhirnya mendedahkan versi produksi untuk Prelude generasi ke-enam, di mana coupe tiga-pintu tersebut akan tiba ke bilik pameran di Amerika Syarikat pada musim luruh tahun ini, manakala di Jepun jualannya sudahpun bermula hari ini, 5 September 2025.

    Versi produksi bagi Prelude 2026 ini nampaknya menampilkan rupa yang hampir sama sepenuhnya dengan versi prototaip yang didedahkan buat pertama kali pada Oktober 2023. Apa yang berbeza hanyalah model produksi ini diberikan penderia-penderia parkir pada bahagian bampar hadapan dan belakang.

    Coupe ini menerima muka dengan bentuk muncung yang tirus, diberikan lampu hadapan nipis bersama fungsi lampu tinggi adaptif serta lampu membelok aktif, dengan ‘kening’ jalur LED di atas. Ia turut diberikan bampar hadapan dengan spoiler bawah yang menyerlah, pembuka pintu tersorok, lampu belakang yang merentangi sepenuhnya penutup, bumbung ‘double-bubble’, spoiler but ‘ekor itik’ dan juga diffuser yang agresif.

    Honda Prelude 2026 dilancarkan – Hybrid e:HEV 200 hp/315 Nm, suspensi & brek Brembo dari Civic Type R

    Jalur serlahan biru diberikan pada bampar hadapan dan belakang, dan badan Prelude ini juga nampak ‘bersih’ kerana panel-panel badan dicantum dengan teknik laser brazing tanpa memerlukan kimpalan ditutup dengan perapi dan juga antena yang dicetak pada cermin belakang tanpa memerlukan ‘sirip yu’.

    Rupa luaran model ini dilengkapkan pemandanan set roda yang menampilkan rim 19-inci pelbagai jejari dalam kemasan hitam berkilat, dibalut dengan tayar 235/40R19. Dapat dilihat di sebalik roda tersebut adalah angkup brek empat omboh Brembo di hadapan dalam kemasan biru serta angkup belakang yang lebih kecil juga berwarna biru, yang sebenarnya merupakan sistem yang sama digunakan pada hot-hatch Honda Civic Type R.

    Bukan hanya brek, platform Prelude ini sebenarnya memang dikongsi bersama Honda Civic ke-11, dengan unit rangkaian kuasanya diambil dari Honda Civic Hybrid, manakala suspensi pula disadur dari Civic Type R tetapi semuanya diberikan talaan khas untuk coupe ini.

    Honda Prelude 2026 dilancarkan – Hybrid e:HEV 200 hp/315 Nm, suspensi & brek Brembo dari Civic Type R

    Seperti yang disebut tadi, Prelude menerima unit rangkaian kuasa e:HEV yang diambil dari Civic. Jadi ia menerima enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson yang menjana 141 hp dan juga tork 181 Nm, digandingkan bersama dua motor elektrik yang menghasilkan 181 hp dan tork maksima 315 Nm. Menurut Honda, secara keseluruhan Prelude ini dibekalkan dengan kuasa sebanyak 200 hp dan tork maksima 315 Nm.

    Ini bermakna kuasa pada Prelude ini adalah setara dengan Honda Civic Si dan juga Acura Integra (satu lagi model yang berkongsi platform Civic generasi ke-11), tetapi dengan tork yang jauh lebih besar kerana enjin 1.5 liter turbo pada kedua-dua model prestasi tersebut hanya menjana tork 260 Nm.

    Enjin petrol pada Prelude ini pada kebanyakkan masa hanya akan berfungsi untuk mengecas bateri hibrid, manakala setiap kali mula bergerak roda hadapan akan dipacu oleh motor elektrik membolehkan tork 315 Nm berkenaan diberikan dari 0 rpm. Namun pada situasi tertentu seperti pada kelajuan tinggi, enjin akan dihubungkan kepada motor elektrik untuk bersama-sama memacu roda menerusi klac lock-up yang dibekalkan.

    Pada Civic Hybrid, ia sudahpun diberikan bunyi enjin dan tukaran gear palsu bagi mengelakkan rasa janggal pada pemandu ketika memandu kereta tersebut. Namun untuk Prelude, bunyi berkenaan ditambah baik dengan Active Sound Control (ASC), malah dengan mod Honda S+ Shift, pemandu turut boleh ‘menukar gear’ palsu tersebut secara manual menerusi pedal penukar gear aluminium yang dipadankan pada roda stereng.

    Mod berkenaan akan memberikan lapan nisbah gear palsu, dan akan turut memberikan rasa ‘shift shock’ seperti kotak gear sebenar setiap kali gear ditukar. Menurut Honda, rasa dan kepantasan tukaran gear palsu pada Prelude ini diberikan rasa seperti tukaran kotak gear DCT Honda NSX generasi kedua. Sistem ini juga akan memberikan bunyi throttle blip setiap kali gear palsu berkenaan diturunkan secara manual.

    Untuk casis, Prelude diberikan konfigurasi suspensi hadapan topang dua paksi yang sama seperti Honda Civic Type R dan juga Acura Integra Type S, membolehkan torque steer yang lazimnya terjadi pada kereta pacuan hadapan ketika memecut dilenyapkan sepenuhnya.

    Honda Prelude 2026 dilancarkan – Hybrid e:HEV 200 hp/315 Nm, suspensi & brek Brembo dari Civic Type R

    Prelude juga diberikan penyerap hentak adaptif yang sama seperti Civic Type R/Integra Type S namun diberikan talaan yang lebih tersendiri iaitu keselesaan untuk perjalanan jarak jauh seperti sebuah grand touring sebenar, dalam masa yang sama turut memberikan karekter pengendalian yang sporty. Malah jarak trek roda hadapan dan belakang Prelude ini juga dibuat sama lebar seperti Civic Type R (1,626 mm depan/1,613 mm belakang) bagi memberikan kestabilan serta cengkaman roda ketika mengambil selekoh yang lebih baik.

    Empat mod pemanduan disediakan pada Prelude ini iaitu Comfort, GT, Sport dan Individual. Mod-mod ini akan memberikan larasan semula pada respon unit rangkaian kuasa, tahap bantuan stereng kuasa, serapan hentakan pada suspensi adaptif, bunyi enjin dan juga grafik pada paparan instrumen digital sepenuhnya.

    Tak cukup dengan itu, Prelude turut diberikan fungsi Honda Agile Handling Assist yang ditambah baik, bagi memberikan pengendalian dan keyakinan yang lebih baik kepada pemandu menerusi kawalan unit rangkaian kuasa dan sistem brek yang telah diintegrasikan berdasarkan kawalan stereng pemandu.

    Dalam kabin, sekali tengok papan pemuka Prelude ini mungkin nampak sama seperti Civic, tetapi ia dibezakan dengan rekaan liang penghembus pendingin hawa yang tidak merentangi sepenuhnya papan pemuka tersebut. Konsol tengah juga lebih tersendiri kerana tombol gear konvensional digantikan dengan suis-suis tekan ‘PRND’, di mana pada kiri dan kanan disertakan dengan butang mod ‘S+’, pemilih mod pemanduan dan juga suis brek parkir elektrik.

    Apa yang menarik, rekaan tempat duduk hadapan Prelude generasi keenam ini diinspirasikan dari rekaan tempat duduk ikonik Prelude dari generasi pertama sehingga keempat, di mana sokongan ‘bucket’ diberikan hanya pada bahagian bawah, dengan perehat badan sebelah atas yang kecil. Coupe ini juga menerima konfigurasi tempat duduk 2+2 di mana tempat duduk belakang hanya boleh memuatkan dua orang penumpang.

    But belakang Prelude ini dibuka bersama cermin belakang seperti sebuah model liftback, membolehkan anda meletakkan barang yang panjang sekiranya tempat duduk belakang dilipat (boleh dipisahkan dengan nisbah 60/40).

    Perincian lain yang diberikan pada Prelude 2026 ini termasuk upholsteri kulit dengan corak houndstooth pada tempat duduk, roda stereng balutan kulit dengan rekaan rata di bawah dan serlahan jahitan warna biru serta penanda pukul 12, dan juga upholsteri kulit sintetik pada papan pemuka dengan sulaman logo Prelude.

    Ia juga diberikan paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 10.2-inci, skrin infotainmen 9-inci dengan Google bina dalam serta hubungan Apple Carplay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas telefon pintar tanpa wayar, serta sistem bunyi premium Bose dengan lapan pembesar suara.

    Untuk keselamatan, Prelude ini turut menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Honda Sensing yang menampilkan fungsi seperti brek kecemasan hadapan dengan kawalan pendikit pengelak pelanggaran hadapan, amaran lintasan trafik belakang dengan kawalan pendikit pengelak pelanggaran belakang, sistem stereng pengelak pelanggaran pejalan kaki, cruise control adaptif dengan low speed follow serta sistem kekal lorong dan banyak lagi.

    Lima warna badan monotone ditawarkan untuk Prelude ini iaitu Meteorite Gray Metallic, Crystal Black Pearl, Rally Red dan Boost Blue Pearl, bersama tema dalaman dalam pilihan warna hitam-biru atau putih-biru. Bagi pembeli di pasaran Amerika Syarikat, ia turut ditawarkan dengan warna badan dua tona Winter Frost Pearl bersama bumbung hitam berkilat. Manakala untuk pasaran Jepun, tema warna badan dua tona yang sama (tetapi dipanggil Moonlit White Pearl) bersama dalaman putih-biru ditawarkan sebagai model edisi terhad digelar Honda Prelude ON Limited Edition.

    Pelbagai aksesori asli Honda juga ditawarkan untuk pembeli termasuk rim aloi 19-inci dalam kemasan Berlina Black, spoiler but belakang berwarna hitam, spoiler bawah bampar hadapan, emblem-emblem berwarna hitam dan juga penutup cermin sisi juga berwarna hitam. Di Jepun Honda Prelude 2026 ini dijual pada harga bermula 6,179,800 yen (sekitar RM176k) untuk varian standard, manakala Prelude ON Limited Edition pula dijual pada harga 6,480,100 yen (sekitar RM185k).

    Dengan didedahkan serentak di Jepun dan Amerika Syarikat, sudah tentu Prelude 2026 ini merupakan model yang akan dijual pada pasaran global. Versi prototaip Prelude tersebut sebelum ini telahpun dibawa untuk dipamerkan di Malaysia dan Indonesia, jadi ada harapan besar untuk model ini dibawa secara rasmi ke pasaran tempatan oleh Honda Malaysia!



    GALERI: Honda Prelude 2026 pasaran Jepun

    GALERI: Honda Prelude 2026 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Proton Saga MC3 – dibangun bersama Geely di China, guna enjin baru, ADAS, beberapa rekaan didedah

    Proton Saga MC3 – dibangun bersama Geely di China, guna enjin baru, ADAS, beberapa rekaan didedah

    Ketika pelancaran kilang EV Proton di Tanjung Malim tengah hari tadi, pembuat kereta nasional berkenaan turut memaparkan satu video pendek berkenaan Saga MC3 yang bakal dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi.

    Video tersebut bukan sahaja tentang pembangunan model kemaskini berkenaan, malah turut mendedahkan beberapa perincian dan juga rekaan sedan mampu milik yang dipertingkat itu.

    Sebelum ini Proton sudahpun mengesahkan Saga MC3 ini diasaskan dari platform AMA, iaitu platform yang diasaskan dari model-model yang dibangunkan sendiri oleh Proton sebelum ini dan diberikan pelbagai penambahbaikkan untuk kekal relevan dengan standard keselamatan serta teknologi model-model terkini dalam pasaran.

    Dalam video yang disiarkan ini, Proton mendedahkan bahawa pembangunan Saga ini bukan hanya di buat di Malaysia, malah ia turut dibangunkan bersama Geely menerusi Pusat Kajian dan Pembangunan Proton (PRDC) yang terletak di Hangzhou Bay dalam perkarangan kawasan yang sama dengan Zhejiang Geely Holding. Video tersebut turut memaparkan unit prototaip Saga MC3 yang diuji dalam cuaca bersalji di China, dan pembangunan keseluruhannya melibatkan 240 tenaga kerja dari Malaysia.

    Proton Saga MC3 – dibangun bersama Geely di China, guna enjin baru, ADAS, beberapa rekaan didedah

    Beberapa rekaan Saga MC3 juga terdedah dalam video ini, antaranya rekaan lampu LED hadapan dengan gril baharu, lampu baharu belakang dengan lensa albino bersama grafik jalur LED serta bar lampu merentangi sepenuhnya penutup but belakang diinspirasikan dari Proton S70, serta papan pemuka dengan skrin infotainmen dan juga skrin paparan instrumental digital sepenuhnya yang bersambung.

    Proton juga mengesahkan bahawa Saga MC3 ini akan dijana oleh enjin baharu yang dibekalkan oleh Geely. Perincian berkenaan enjin itu tidak disebut, tetapi sebelum ini ada tertiris maklumat bahawa Saga MC3 akan dibekalkan dengan satu pilihan enjin iaitu 1.5 liter NA, digandingkan dengan pilihan transmisi automatik empat-kelajuan 4AT atau CVT automatik bergantung pada varian.

    Kami menjangkakan enjin yang digunakan tersebut adalah enjin 1.5 liter NA beroperasi dengan sistem suntikan bahan api port (PFI) dikenali dengan kod BHE15PFI, iaitu enjin Geely yang dibangunkan oleh Aurobay. Enjin ini telahpun digunakan oleh Proton pada X50 facelift 2025 tetapi dalam varian suntikan bahan api terus dan disuap pengecas turbo, dikenali dengan kod BHE15TD. Lebih perincian berkenaan enjin BHE15 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Model Saga yang dipertingkatkan ini juga disahkan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk pemantau titik buta dan juga brek kecemasan automatik. Dalam video ini juga nampaknya Saga MC3 telah mula diproduksi.

    Dengan video teaser yang telah disiarkan ini, mungkin pelancarannya akan dibuat tidak lama lagi?

    VIDEO: Rakaman livestream pelancaran kilang EV Proton

     
     
  • Modenas Karisma 125 dijual sebagai Kawasaki Brusky di Filipina – dapat sambutan hangat, penampilan baru

    Modenas Karisma 125 dijual sebagai Kawasaki Brusky di Filipina – dapat sambutan hangat, penampilan baru

    Di negara kita, penjualan Modenas Karisma 125S yang dilancarkan sejak tahun 2022 mungkin sedikit ‘sejuk’, tapi model sama yang dieksport ke Filipina sebagai Kawasaki Brusky mendapat sambutan hangat dalam pasaran yang jualan motosikalnya 65% terdiri daripada skuter.

    Semasa berada di kilang Modenas di Gurun, Kedah untuk mendekati buat pertama kalinya ‘Supermoped’ Modenas semalam, kami juga berpeluang melihat Brusky versi penampilan baru dalam acara yang turut melibatkan hampir 90 wakil pengedar Kawasaki Filipina.

    Sudah dilancarkan di negara itu sejak Jun tahun lepas, Brusky setakat ini mencatat jualan lebih 12,000 unit dan kesemuanya diimport dari Malaysia, iaitu dipasang oleh Modenas di Gurun. Jualan untuk tahun ini disasarkan mencapai jumlah 14,000 unit.

    Modenas Karisma 125 dijual sebagai Kawasaki Brusky di Filipina – dapat sambutan hangat, penampilan baru

    Spesifikasi skuter ini sama sahaja dengan Karisma 125S yang dijual di Malaysia, tetapi apa yang menarik perhatian kami adalah warna dan grafik baru yang dikeluarkan untuk Brusky, terutamanya yang menggunakan gabungan warna hitam dan hijau seperti kebanyakan model Kawasaki serta warna putih/emas.

    Apabila ditanya sama ada pilihan warna ini akan dijual di Malaysia, ketua pegawai eksekutif Modenas, Roslan Roskan menyatakan syarikat kini sedang mengumpul maklum balas daripada pengguna dan tidak mustahil jika positif, ia juga akan ditawarkan di negara kita.

    Karisma 125/Brusky adalah sebuah skuter yang dipacu enjin satu silinder 124.8 cc dengan sistem suntikan bahan api, mampu menghasilkan kuasa 9.4 hp pada 7,500 rpm dan 10 Nm tork pada 6,000 rpm. Transmisi adalah jenis automatik tali sawat V.

    Ia dijual pada harga RM5,397 tidak termasuk insurans di Malaysia dan antara kelengkapan lainnya adalah rim 14 inci, brek cakera di hadapan dan dram di belakang (tiada ABS), tangki bahan api 5.1 liter, soket pengecas USB dan meter kombinasi analog dan digital.

     
     
  • Proton sahkan model-model EV Zeekr turut akan dipasang secara tempatan di AHTV Tanjong Malim

    Proton sahkan model-model EV Zeekr turut akan dipasang secara tempatan di AHTV Tanjong Malim

    Proton hari ini mengesahkan bahawa salah jenama EV premium Geely iaitu Zeekr bakal memasang model-modelnya secara tempatan (CKD) di Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV), Tanjong Malim.

    “Kerjasama Proton dengan Zhejiang Geely Holding Ltd (Geely) turut akan menyaksikan jenama-jenama premium lain, seperti Zeekr, dipasang secara tempatan di AHTV,” kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas merasmikan pembukaan kilang EV pertamanya di Tanjong Malim tengah hari tadi.

    Walau bagaimanapun masih belum diketahui sama ada pemsangan model-model Zeekr ini akan dibuat menggunakan fasiliti Proton, khususnya kilang EV yang baru di bina ini ataupun Zeekr akan mempunyai fasiliti pemasangannya sendiri di AHTV Tanjong Malim.

    Proton sahkan model-model EV Zeekr turut akan dipasang secara tempatan di AHTV Tanjong Malim

    AHTV merupakan projek yang diterajui oleh pemilik Proton iaitu DRB-Hicom dengan kerjasama Geely yang diumum pada 2022 untuk menjadikan kawasan sekitar Proton City di Tanjong Malim sebagai hab automotif serantau. Pada 2023, kedua-dua pihak telah pun menandatangani Perjanjian Kerjasama Utama (MCA) yang akan menetapkan prinsipal asas, rangka kerja tadbir urus dan juga komitmen bersama termasuk peranan-peranan spesifik yang akan diambil untuk pembangunan dan inisiatif promosi bagi projek tersebut.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DRB-Hicom ketika itu, AHTV akan menarik pelaburan tempatan dan luar negara, yang akan memacunya menjadi hab automotif antarabangsa bagi kenderaan tenaga baharu (NEV, istilah yang digunakan China untuk kenderaan yang menerima teknologi elektrifikasi).

    “Tumpuannya bukan sahaja kepada pengeluaran kereta pelbagai jenama, tetapi juga dalam pembuatan komponen dan alat ganti berteknologi tinggi untuk NEV. Ini akan mengembangkan lagi keupayaan vendor tempatan ke arah pengkhususan dalam pembuatan berteknologi tinggi,” tambah DRB-Hicom.

    DRB-Hicom dan Geely juga sebelum ini sudah mendatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan juga Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bagi bersama-sama membangunkan AHTV.

    Manakala untuk Zeekr, jenama tersebut sudah pun bertapak di Malaysia sejak tahun lalu dan sehingga kini telah melancarkan tiga model pada pasaran tempatan iaitu MPV mewah Zeekr 009, crossover Zeekr X dan juga SUV Zeekr 7X.

     
     
  • MATTA Fair 2025, 5-7 Sept di MITEC – bas perantara Rapid KL percuma dari KL Sentral, Sunway Putra Mall

    MATTA Fair 2025, 5-7 Sept di MITEC – bas perantara Rapid KL percuma dari KL Sentral, Sunway Putra Mall

    MATTA Fair kini kembali dan akan berlangsung hujung minggu ini dari 5 hingga 7 September 2025. Seperti kebiasaannnya, ia juga diadakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC). Inilah peluang untuk anda yang mencari pakej percutian dan pelancongan dengan harga yang lebih berpatutan.

    Jangan risau bab kesesakan lalu lintas dan masalah parkir, gunakan saja kemudahan pengangkutan awam yang disediakan oleh pihak Rapid KL. Anda boleh menaiki bas perantara percuma untuk ke MITEC yang disediakan dari jam 8 pagi sehingga 10 malam selama tiga hari berturut-turut.

    Kekerapan ketibaan bas adalah setiap lima hingga 10 minit namun tertakluk kepada keadaan trafik. Lokasi mengambil dan menurunkan penumpang adalah di KL Sentral (Hentian Bas Balai Pelepasan ERL KLIA) dan juga hentian bas di Sunway Putra Mall (bertentangan PWTC).

    Rapid KL juga memaklumkan bahawa pihaknya turut mengambil bahagian untuk acara Matta Fair ini dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik. “Pengunjung dijemput ke reruai Rapid KL di 1K06, Dewan 3, Aras 1, MITEC untuk menikmati tawaran promosi ini, serta mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Rapid KL.

    “Selain Pas MyTourist, Rapid KL turut mengetengahkan produk popular lain seperti Pas MyCity iaitu pas perjalanan tanpa had 1 hingga 3 hari untuk warganegara dan bukan warganegara, serta Pas My50 dan banyak lagi,” kata syarikat tersebut.

     
     
  • Kilang EV Proton di Tanjong Malim dibuka secara rasmi – eMas 7 CKD mula diproduksi, diikuti eMas 5

    Kilang EV Proton di Tanjong Malim dibuka secara rasmi – eMas 7 CKD mula diproduksi, diikuti eMas 5

    Hanya selepas sekitar tujuh bulan majlis pecah tanahnya berlangsung, Proton hari ini secara rasmi melancarkan pembukaan kilang EV pertamanya di Tanjung Malim. Pembukaan kilang yang dibuat dengan pelaburan RM82 juta, dan berkeluasan 9,200 meter persegi yang terletak dalam kawasan kilang utama Proton tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Produksi kilang berkenaan mula beroperasi pada bulan ini, dan ia direka untuk memasang model-model yang menggunakan asas platform Global Modular Architecture (GMA). SUV EV segmen-C Proton eMas 7 menjadi model pertama untuk diproduksi di sini, dan bakal diikuti dengan model lebih kecil eMas 5 – pendedahan awal model ini telah dibuat dan ia dijangka bakal dilancarkan pada lewat tahun ini.

    Berbeza dengan kilang yang memasang model dengan enjin pembakaran dalaman, fasilti baharu ini menampilkan kawasan khusus untuk pemasangan bateri, ujian keselamatan serta elektrikal voltan tinggi, dengan tataletak khusus untuk unit pacuan elektrik serta badan bawah badan EV yang rata.

    Kilang EV Proton di Tanjong Malim dibuka secara rasmi – eMas 7 CKD mula diproduksi, diikuti eMas 5

    Kilang ini juga direka dengan susun atur fleksibel, membolehkannya ia mengadaptasi keperluan jumlah pengeluaran model dan produksi pada masa akan datang. Untuk permulaan, kilang ini mempunyai kapasiti pengeluaran 20,000 unit setahun. Manakala bagi Fasa Kedua, kilang ini akan dikembangkan lagi kepada 14,400 meter persegi dengan kemampuan menghasilkan 45,000 unit kenderaan setahun, bergantung kepada permintaan pasaran tempatan dan eksport.

    “Untuk kawasan penting, setiap baris boleh ditambah beberapa stesen, dengan barisan pengujiannya modular dan boleh memenuhi variasi platform yang berbeza, atau pengeluaran pelbagai model. Di kawasan logistik, kilang ini berupaya untuk diperluaskan pada masa depan, dengan aliran logistik dan sistem storan yang dioptimumkan untuk menyokong kedua-dua keperluan pasaran tempatan dan juga asing,” kata Proton.

    “Kemudahan seperti sistem penggunaan, laluan kendalian material dan alat penjejak digital seperti sistem pelaksanaan pengilangan (MES) dan sistem pengurusan gudang (WMS) sudah siap dipasang untuk menyokong peningkatan skala akan datang tanpa perlu rekaan semula yang banyak,” tambah syarikat itu.

    Kilang EV Proton di Tanjong Malim dibuka secara rasmi – eMas 7 CKD mula diproduksi, diikuti eMas 5

    Buat masa sekarang model-model EV sedia ada dan akan datang masih algi berasaskan dari model-model Geely. Jadi untuk kilang ini Geely memberikan panduan teknikal tentang sistem pengeluaran, membantu dengan pemilihan peralatan dan juga pakar untuk membantu pemasangan serta ujian percubaan.

    Geely turut menyediakan latihan untuk tenaga kerja Proton di China bagi memmastikan kilang EV di Tanjung Malim ini beroperasi dengan standard yang sama seperti kilang EV global. Sebanyak 200 tenaga kerja baharu telah diwujudkan dengan pembukaan kilang baharu ini.

    Majlis pelancaran yang dibuat hari ini juga turut menyaksikan satu memorandum persefahaman (MoU) baharu ditandatangani antara Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) dan juga Railway Assets Corporation (RAC) bagi mewujudkan hab logistik rel di Tanjong Malim, di rancang untuk dibangunkan di kawasan Behrang.

     
     
  • iCaur Petaling Jaya oleh Karrus Automotive Group kini dibuka – wakil pengedaran kedua di Malaysia, dunia

    iCaur Petaling Jaya oleh Karrus Automotive Group kini dibuka – wakil pengedaran kedua di Malaysia, dunia

    iCaur Malaysia telah mengembangkan rangkaian pengedarnya dengan pelancaran bilik pameran baharu yang terletak di Petaling Jaya, yang juga merupakan cawangan pengedaran kedua jenama itu di peringkat global. Dikendalikan oleh Karrus Automotive Group, iCaur Petaling Jaya berkeluasan 18,000 kaki persegi merangkumi empat tingkat, dengan setiap tingkat mempunyai fungsi khusus.

    Ruang pameran kenderaan terletak di tingkat bawah di mana pengunjung boleh melihat barisan model jenama itu yang akan diterajui oleh iCaur 03 yang dijadualkan dilancarkan minggu depan. Manakala tingkat pertama pula menempatkan ruang rehat dan sudut permainan bagi membolehkan pelanggan dan keluarga bersantai.

    Bagi tingkat dua pula, ia menempatkan ruang khas untuk pelanggan membuat penyesuaian personalisasi pada kenderaan mereka, manakala aras bawah tanah pula akan digunakan sebagai pusat servis selepas jualan, di mana kedua-duanya kini sedang dibangunkan dan akan dibuka kepada orang ramai dalam masa terdekat.

    “iCaur mementingkan rekaan, dan mudah diakses, justeru bilik pameran ini lebih daripada sekadar ruang jualan. Ia adalah simbol apa yang diyakini oleh Karrus yang percaya bahawa pemilikan kereta sedang berkembang. Ia bukan lagi semata-mata tentang spesifikasi. Kini ia tentang pengalaman, budaya, dan sikap. Dan di sini tepatnya iCaur berada,” kata Reza Mutalib, pengasas dan pengarah Karrus Automotive Group.

    iCaur Petaling Jaya kini dibuka untuk kunjungan bermula hari ini (4 September 2025) dan beroperasi dari jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari. Bilik pameran ini terletak di No. 54, Jalan Profesor Diraja Ungku Aziz, PJS 12, 46200 Petaling Jaya, Selangor.

     
     
  • BYD siar teaser dengan nombor 6 dalam nama modelnya – sedan Seal 6 EV yang lebih murah?

    BYD siar teaser dengan nombor 6 dalam nama modelnya – sedan Seal 6 EV yang lebih murah?

    BYD Malaysia dilihat sedang bersiap untuk memperkenalkan model baru ke pasaran tempatan, selepas satu video teaser ringkas dimuat naik oleh syarikat itu dengan petunjuk bahawa model ‘6’ akan hadir tidak lama lagi. Walaupun belum ada pengesahan rasmi, berdasarkan barisan kenderaan sedia ada BYD, model yang dijangka akan dilancarkan ialah Seal 6 atau lebih dikenali di China sebagai Seal 06.

    Model ini merupakan sebahagian daripada siri Ocean dan ditawarkan dalam tiga variasi utama di China. Ia mula diperkenalkan sebagai sedan plug-in hybrid (PHEV) dengan nama Seal 06 DM-i, pertama kali di Beijing Auto Show tahun lalu. Kemudian, versi wagon pula diperkenalkan bersama Seal 06 EV semasa Shanghai Auto Show April tahun ini.

    Berdasarkan situasi semasa dan insentif cukai untuk kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) di Malaysia, besar kemungkinan model yang bakal dibawa masuk adalah Seal 06 varian EV, berbanding PHEV yang dikenakan cukai lebih tinggi.

    Tambahan pula, fasiliti pemasangan tempatan (CKD) BYD di Tanjong Malim, Perak dijangka hanya akan mula beroperasi pada separuh kedua tahun 2026. Oleh itu, kemungkinan besar Seal 06 DM-i tidak akan ditawarkan buat masa ini kerana ia tidak kompetitif dari segi harga tanpa insentif CKD.

    BYD siar teaser dengan nombor 6 dalam nama modelnya – sedan Seal 6 EV yang lebih murah?

    Untuk mewujudkan skim peralihan sementara CKD dalam jangka masa panjang juga dilihat kurang praktikal. Sebagai perbandingan, model Volvo S60 yang tiba sebagai unit CBU pada Oktober 2019 hanya dilancarkan sebagai CKD tujuh bulan kemudian, dengan harga yang sama.

    Beralih kepada Seal 6 EV, sedan ini dijual di China pada harga antara 109,800 hingga 129,800 yuan (sekitar RM65,000 hingga RM77,000), menjadikannya jauh lebih mampu milik berbanding model Seal sedia ada yang berharga antara 175,800 hingga 239,800 yuan (RM104,000 hingga RM142,000).

    BYD juga ada menawarkan versi hatchback sporty dikenali sebagai Seal 06 GT berdasarkan konsep Ocean-M, tetapi varian ini dilihat kurang sesuai untuk pasaran Malaysia berbanding Seal 6 EV yang lebih kecil dan murah, berpotensi untuk mengisi jurang besar antara Atto 3 Ultra (RM123,800) dan Seal (RM171,800 hingga RM191,800).

    BYD siar teaser dengan nombor 6 dalam nama modelnya – sedan Seal 6 EV yang lebih murah?

    Dari segi dimensi, Seal 6 EV lebih pendek sedikit berbanding Seal dengan panjang 4,720 mm (-80 mm), lebar 1,880 mm (+5 mm), tinggi 1,495 mm (+35 mm) dan jarak roda 2,820 mm (-100 mm). Sementara itu, versi DM-i pula mempunyai panjang keseluruhan lebih besar iaitu 4,830 mm (+110 mm) namun jarak rodanya lebih pendek pada 2,790 mm (-30 mm), dengan lebar dan tinggi yang hampir sama dengan versi EV.

    Dua pilihan kapasiti bateri ditawarkan untuk Seal 6 EV di pasaran China. Pilihan asas ialah bateri LFP 46.08 kWh yang memberikan jarak pemanduan sehingga 470 km mengikut standard CLTC. Ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 84 kW (30-80% dalam masa 24 minit) serta pengecasan AC 7 kW. Motor elektrik di belakang menghasilkan 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan 220 Nm tork, dengan pecutan 0-50 km/j dalam 4.1 saat serta kelajuan maksimum 160 km/j.

    Bateri kedua pula berkapasiti 56.64 kWh (juga jenis LFP), menawarkan jarak sehingga 545 km CLTC. Ia digandingkan dengan motor elektrik lebih berkuasa iaitu 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 330 Nm. Ini membolehkan pecutan 0-50 km/j dalam masa 3.1 saat dan kelajuan maksimum 180 km/j. Pengecasan pantas DC dipertingkatkan kepada 103 kW, manakala pengecasan AC kekal pada 7 kW.

    Seal 6 EV dibina menggunakan platform e-Platform 3.0 evo, sama seperti model Seal yang lebih baru dan dilengkapi teknologi LiDAR. Model ini turut hadir dengan sistem bantuan pemandu DiPilot 100 (God’s Eye C) sebagai standard. Varian tertinggi pula dilengkapi sistem kawalan badan pintar DiSus-C (Cloud Chariot-C) untuk pengendalian yang lebih selesa dan stabil.

    Ciri-ciri lain yang tersedia termasuk skrin infotainmen tengah bersaiz 12.8 atau 15.6 inci, panel instrumen digital 8.8 inci, bumbung panoramik, tempat duduk hadapan berkuasa dengan fungsi pengudaraan, lampu LED, penyaman udara zon berkembar dengan penapis PM2.5, pengecas tanpa wayar 50W dan lampu suasana dalam kabin.

    Dari segi rekaan, bentuk keseluruhan Seal 6 EV menyerupai Seal, namun dengan beberapa perbezaan ketara. Lampu hadapan dilengkapi lampu siang berbentuk ‘hockey stick’, manakala bampar hadapan tidak mempunyai pencahayaan ekspresif seperti Seal. Di belakang, rekaan lampu juga lebih ringkas. Ruang dalaman menampilkan papan pemuka lebih minimalis, stereng tiga jejari dan tombol gear jenis tuil.

    Setakat ini, BYD Malaysia masih belum mendedahkan sebarang maklumat rasmi. Namun, jika benar model yang bakal dilancarkan ialah Seal 6 EV, ia pasti bakal menjadi pilihan menarik di pasaran tempatan dengan harga lebih mampu milik dan spesifikasi kompetitif. Walaubagaimanapun, BYD turut mempunyai beberapa model lain dengan nama ‘6’, termasuk Sealion 06 (tersedia dalam versi PHEV dan EV) serta Shark 6 (PHEV sahaja), jadi kita perlu tunggu dan lihat pengesahan rasmi dalam masa terdekat

     
     
  • Modenas Supermoped 150 sedia untuk pelancaran Oktober ini, pandangan awal kami lepas mencubanya

    Modenas Supermoped 150 sedia untuk pelancaran Oktober ini, pandangan awal kami lepas mencubanya

    Boleh dikatakan hampir setiap kali ada berita tentang Modenas, pasti akan masuk komen pejuang yang bertanyakan tentang “Supermoped” daripada pengeluar motosikal tempatan ini. Tenggelam timbul dalam masa bertahun-tahun, kami boleh katakan sekarang ia sudah berada dalam fasa yang betul-betul hampir kepada pengguna, dengan pelancaran dirancang berlaku pada bulan Oktober ini.

    Apa yang anda tahu dalam masa beberapa tahun lepas tentang Supermoped ini sudah tidak boleh dipakai lagi kerana ini adalah satu hasil daripada projek serba baru yang dimulakan dari awal, sejak tahun 2023. Berkemungkinan semasa acara MotoGP di Litar Sepang, anda akan dapat melihat secara penuh motosikal ini dan mungkin juga meletakkan deposit pembelian!

    Spesifikasi teknikal masih disimpan rapi Modenas, tapi kami diberitahu, seluruh pembangunan Supermoped ini, termasuk di bahagian enjin dan reka bentuk dibuat sendiri oleh warga Modenas, bersama input daripada rakan kongsi mereka, Kawasaki. Daripada nama rujukan “Supermoped 150” yang digunakan oleh sendiri oleh Modenas, kita juga boleh menjangkakan enjin yang tidak melebihi 150 cc.

    Modenas Supermoped 150 sedia untuk pelancaran Oktober ini, pandangan awal kami lepas mencubanya

    Setelah menjadi antara yang terawal melihat motosikal ini depan mata (tapi masih berbalut pelekat camouflage), kami boleh katakan iras dengan motosikal sedia ada dalam pasaran memang wujud, tapi ia bukanlah betul-betul sama. Modenas menyuntik DNA rekaan mereka, bersama Kawasaki dengan antara yang boleh dilihat termasuk garis-garis tajam Sugomi dan “air ram” (hiasan) di hadapan.

    Kami juga diberi peluang menjadi antara orang luar terawal menunggang Supermoped ini, di kawasan lapang terhad berhadapan pejabat bahagian penyelidikan dan pembangunan Modenas. Antara yang boleh dirasa, pengendaliannya ringan, tiada maklum balas kurang menyenangkan dan mempunyai serapan suspensi yang tegap. Tempat duduk pula, meskipun nampak kurus, masih lagi selesa dan tidak terlalu menjunam ke hadapan.

    Kuasa hentian yang dihasilkan tetapan cakera hadapan dan belakang juga memuaskan, tetapi perlu anda ketahui, ia cuma datang dengan ABS single-channel. Setakat mencuba di jalan pendek, kami boleh katakan kuasanya naik cepat, sementara kemasukan gear pula adalah lancar. Bahagian lain, kami hanya boleh memberitahu apa yang boleh dilihat terus dengan mata.

    Modenas Supermoped 150 sedia untuk pelancaran Oktober ini, pandangan awal kami lepas mencubanya

    Antaranya, rim 17 inci dengan tayar FKR 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, meter LCD yang nampak familiar, butang-butang kawalan kemas serta rekaan lampu LED yang menarik di hadapan dan belakang. Tetapan suspensi biasa sahaja, fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang, manakala bawah tempat duduk pula tiada sebarang ruang simpanan kecuali untuk alatan (tools) kecemasan.

    Menurut wakil Modenas, Supermoped ini perlu dihasilkan dengan berkualiti kerana ia turut membawa nama Kawasaki dan mempunyai kemungkinan untuk dieksport ke negara luar menggunakan jenama Jepun ternama itu. Walaubagaimanapun dalam masa sama, ia masih akan dipasarkan dengan harga yang berpatutan dan mudah dijangkau oleh orang ramai, seperti kebiasaan bagi model-model Modenas sebelum ini.

    Lebih lagi perinician akan didedah apabila pelancarannya semakin hampir, dan kami akan terus sampaikan kepada anda. Jangan terlepas!

     
     
  • Proton X50 2025 – kini 5,000 unit sudah dihantar kepada para pelanggan sejak ia dilancarkan

    Proton X50 2025 – kini 5,000 unit sudah dihantar kepada para pelanggan sejak ia dilancarkan

    Proton telah mengumumkan bahawa sebanyak 5,000 unit model X50 2025 telah pun dihantar kepada para pelanggan yang menempah sejak SUV segmen-B dilancarkan pada 24 Julai lalu.

    Proton X50 facelift 2025 ini ditawarkan dalam tiga varian dan berharga atas jalan bermula RM89,800 untuk varian 1.5TD Executive, diikuti RM101,800 untuk varian 1.5TD Premium, manakala varian tertinggi 1.5TD Flagship berharga RM113,300

    Ketika pelancarannya, Proton turut menawarkan harga pengenalan dengan rebat tunai sebanyak RM4,000 untuk 10,000 unit terawal, menjadikan harga jualan hanya RM85,800 untuk Executive, RM97,800 untuk Premium dan RM109,300 untuk Flagship sebelum 31 Oktober 2025.

    X50 facelift ini menerima unit rangkaian kuasa baharu yang menampilkan enjin i-GT 1.5TD empat-silinder berkuasa 181 PS/290 Nm bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga selinder turbo sebelum ini. Enjin baru ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam masa 7.6 saat, iaitu 0.3 saat lebih pantas berbanding sebelumnya. Menurut Proton, kadar penggunaan bahan apinya juga 4.7% lebih jimat.

    Proton X50 2025 – kini 5,000 unit sudah dihantar kepada para pelanggan sejak ia dilancarkan

    Selain enjin baharu, X50 facelift ini turut tampil dengan rekaan luaran baharu terutamanya pada bahagian hadapan yang direka semula termasuk bampar yang lebih besar dan jelas kelihatan bahagian hitam dengan kemasan krom ala bukaan udara di bucu kiri dan kanannya.Saiz rim bagi X50 ialah antara 17 hingga 18 inci bergantung kepada varian. Lampu belakang kini dengan jalur berkelebaran penuh LED, dengan rekaan yang juga semakin nipis dalam lekuk tersendiri, dengan tulisan Proton berada kemas di bawahnya.

    Di dalam kabin juga diberikan pelbagai ciri naiktaraf termasuk papan pemuka yang lebih rata dan ringkas. Di tengahnya, terletak sebuah skrin infotainmen yang lebih besar dengan saiz 14.6-inci. Skrin berkenaan mempunyai paparan HD penuh (1920 x 1080), paparan skrin lebar 16:9, pemproses quad-core dengan 6GB RAM dan 64GB storan ROM serta Android 10 System. Malah X50 facelift kini telah diberikan fungsi sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Bagi aspek keselamatan, sistem ADAS dengan fungsi dipertingkat bagi ciri pemanduan bantuan Tahap 2, termasuk kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go serta bantuan kekal lorong, sistem parkir automatik yang lebih baik untuk varian Flagship, dan enam beg udara sebagai ciri standard.

     
     
  • Selangor harap dapat sambung semula perkhidmatan van Demand Responsive Transit menjelang akhir 2025

    Selangor harap dapat sambung semula perkhidmatan van Demand Responsive Transit menjelang akhir 2025

    Kerajaan negeri Selangor berkata pihaknya berharap dapat menyambung semula perkhidmatan van Demand Responsive Transit (DRT) menjelang akhir tahun ini. Sebelum ini, perkhidmatan tersebut dilaksanakan sebagai projek percubaan sejak November 2023 hingga Julai 2024.

    Bagaimanapun, perkhidmatan itu yang akan dijalankan di bawah inisiatif Mobiliti Selangor masih berada di peringkat penilaian, dengan aspek tertentu masih dipertimbangkan. Ini termasuk model perniagaan yang akan digunakan serta penyedia perkhidmatan yang akan dipilih, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han.

    “Kurang daripada lima syarikat memberi maklum balas semasa peringkat permintaan cadangan (RFP) kerana mereka dikehendaki mempunyai permit daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk beroperasi, dan kami masih menilai mereka,” katanya.

    Tambahnya, kelewatan pelaksanaan ini juga disebabkan Rapid KL masih mengembangkan rangkaian DRT mereka sendiri. “Kami bekerjasama rapat dengan Rapid KL untuk memastikan tidak berlaku pertindihan kawasan liputan apabila Mobiliti Selangor disambung semula, di samping memaksimumkan sumber terhad kedua-dua pihak,” jelasnya.

    Selangor harap dapat sambung semula perkhidmatan van Demand Responsive Transit menjelang akhir 2025

    Katanya lagi, kerajaan negeri juga sedang dalam proses menentukan model perniagaan terbaik bagi perkhidmatan DRT. Kerajaan perlu memutuskan sama ada untuk terus menawarkan subsidi, seperti yang dilakukan semasa fasa percubaan, atau menggunakan kaedah lain sepenuhnya.

    Menurut Ng, apa jua keadaannya, perkhidmatan itu pasti akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada peruntukan kerajaan negeri di bawah Belanjawan Selangor 2026, seperti yang dilaporkan oleh The Star.

    Beliau menambah bahawa projek perintis tersebut telah menerima maklum balas yang positif, yang membolehkan ia digunakan dalam perkhidmatan terbabit apabila disambung kelak. “Fasa perintis membolehkan kami melaksanakannya dan mengumpul data, kemudian menjalankan analisis untuk menentukan cara terbaik memaksimumkan sumber serta memastikan setiap sen yang dibelanjakan memberikan pulangan maksimum,” katanya.

    Beliau berkata kawasan yang menerima sambutan sangat baik terhadap DRT semasa tempoh percubaan ialah kawasan yang mempunyai universiti dan kolej dan ia meliputi lapan zon di seluruh negeri melalui penyedia perkhidmatan Mobi.

     
     
  • DBKL laksana ujian penutupan belok kanan dari Jalan Kerinchi untuk aliran waktu petang – 5 petang-7 malam

    Klik untuk besarkan

    Sejak 1 September lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mula melaksanakan uji cuba penutupan belok kanan dari Jalan Kerinchi ke Jalan Kerinchi Kiri 3 yang melibatkan Persimpangan SMK Seri Pantai dan RHB Bank. Ujian ini hanya dilakukan pada setiap Isnin hingga Jumaat sahaja, iaitu dari jam 5 petang hingga 7 malam.

    Menurut DBKL, langkah itu bertujuan untuk mengurangkan kesesakan pada waktu puncak petang berhampiran sekolah dan pusat perniagaan di sepanjang Jalan Kerinchi.

    Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengguna yang ingin membelok ke Jalan Kerinchi 3 perlu membuat pusingan di hadapan dengan membelok kanan ke Jalan Kerinchi Kiri 1, belok kanan Jalan Kerinchi Kiri dan membelok kiri ke Jalan Kerinchi sebelum membelok ke kiri Jalan Kerinchi Kiri 3 (persimpangan SMK Seri Pantai/RHB Bank).

    DBKL turut menyiarkan peta laluan (gambarajah di atas) dengan laluan trafik baharu yang ditanda dengan anak panah merah untuk membantu pengguna laluan berkenaan. Ia menambah bahawa sebarang pertanyaan atau bantahan mengenai penutupan laluan berkenaan boleh dibuat menerusi e-mel [email protected].

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025