Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lebuhraya DASH bakal dirasmikan — ini petanya

    Lebuhraya DASH bakal dirasmikan — ini petanya

    Berdasarkan hantaran di akan media sosial pengendalinya, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) semakin hampir untuk dilancarkan secara rasmi tidak lagi. Hantaran yang dimaksudkan disertai dengan mesej yang memaklumkan bahawa lebuhraya berkenaan akan berada dalam Google Maps dan Waze sedikit masa lagi.

    Lebuhraya DASH mempunyai kepanjangan jarak 20.1 km dengan 13 susur keluar. Ia bermula dari Puncak Perdana di Shah Alam dan berakhir di Penchala di Damansara. Berikut adalah semua susur keluar yang terlibat:

    • Puncak Perdana
    • Alam Suria
    • Denai Alam
    • Kampung Melayu Subang
    • Pinggiran Subang
    • Subang Dua
    • Subang Airport
    • RRIM (Kwasa Damansara)
    • Surian
    • Seksyen 5 Kota Damansara
    • Sunway Damansara
    • Damansara Perdana
    • Penchala

    Lebuhraya DASH juga menghubungkan pengguna dengan beberapa lagi lebuhraya lain di Lembah Klang, seperti Lebuhraya Koridor Guthrie, NKVE, LDP dan Penchala Link. Kadar tol bagi laluan di sepanjang DASH bagaimanapun belum lagi diumumkan. Mungkin, tempoh awal pembukaannya ia akan beroperasi secara percuma, sama seperti yang dilakukan untuk Lebuhraya SUKE sebelum ini.

     
     
  • ERL beri 30% diskaun untuk tiket pergi-balik stesen Putrajaya, Cyberjaya pada 8 Okt sempena HSN 2022

    ERL beri 30% diskaun untuk tiket pergi-balik stesen Putrajaya, Cyberjaya pada 8 Okt sempena HSN 2022

    Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) telah mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 30% bagi tambang tiket pergi-balik bagi perkhidmatan tren KLIA Ekspres untuk stesen Putrajaya dan Cyberjaya. Tambang istimewa ini hanya ditawarkan pada 8 Oktober 2022 (sabtu) dari jam 5 pagi hingga 5 petang sempena dengan Hari Sukan Negara (HSN) 2022 yang bakal berlangsung esok di Dataran Istana Kehakiman, Putrajaya.

    Menurut ERL, untuk mendapatkan diskaun ini, pengguna perlu membeli tiket di kaunter tiket KL Sentral, Bandar Tasik Selatan atau Salak Tinggi. Dengan hanya sebut “Tambang Istimewa Hari Sukan Negara/Hari Sukan Negara Special Fares” semasa pembelian tiket membolehkan anda memperoleh diskaun terbabit.

    Jika membeli tiket di KL Sentral, kadar tambang berserta diskaun ialah RM19.60 bagi dewasa dan RM8.90 bagi kanak-kanak. Sekiranya membeli tiket di Bandar Tasik Selatan pula, tiket yang perlu dibayar ialah RM11 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak). Dan bagi yang membeli tiket di Salak Tinggi pula, hanya RM6.60 untuk dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak.

    Jadi, inilah masanya untuk merasa menaiki tren KLIA Ekpres dengan harga yang lebih murah, dan tak perlulah memandu ke Putrajaya atau Cyberjaya esok untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik sempena HSN 2022.

     
     
  • Honda Wave 125i baharu tiba di Thailand – beberapa ciri diubah termasuk lampu belakang serta meter

    Honda Wave 125i baharu tiba di Thailand – beberapa ciri diubah termasuk lampu belakang serta meter

    Bersama dengan pelancaran Forza 350 dan CRF300L Enduro Pro Edition, Honda Thailand juga telah memperkenalkan Wave 125i baharu untuk pasaran negara itu. Informasi berkenaan model ini agak terhad kerana laman web Honda Thailand masih sekadar menunjukkan Wave 125i yang lama, jadi gambar yang anda lihat ini diambil daripada siaran langsung yang dibuat melalui media sosial.

    Tidak banyak perubahan yang diberi pada bentuk luaran motosikal ini, tetapi di bahagian belakang terdapat lampu baru, yang menggunakan cermin putih, sementara di dalamnya barulah terdapat bahagian LED yang berwarna merah di tengah dan mentol kuning dengan pemantul cahaya di kedua-dua sisi untuk penunjuk arah.

    Kemudiannya untuk memaparkan operasi motosikal, terdapat panel meter baru yang menggunakan kombinasi petunjuk analog untuk kelajuan, serta panel LCD di bawahnya untuk kedudukan gear, tahap bahan api dan catatan jarak perjalanan. Di bahagian atas meter terdapat lampu amaran dan petunjuk operasi lain.

    Satu lagi penambah baikan yang dilakukan pada Wave 125i baru adalah tempat meletak barangan kecil di bahagian bawah pemegang, yang kelihatan seperti mampu memuatkan botol air atau barangan kecil lain. Seperti biasa, Wave 125i ini ditawarkan dalam versi asas yang menggunakan rim spoked dan penghidup enjin jenis tendang, sementara satu lagi versi datang dengan rim sport serta pemula enjin elektrik.

    Jika melihat kepada laporan media di sana, enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api PGM-FI 124.89 cc pada Wave 125i ini turut menerima sedikit perubahan yang dapat menjadikannya lebih senyap serta jimat bahan api. Suspensi pula dikatakan telah dilaras semula.

    Perincian lain Wave 125i masih sama seperti sebelum ini, termasuk ruang bawah tempat duduk 17 liter yang boleh menempatkan sebuah helmet, tangki bahan api 5.4 liter, lampu hadapan LED, brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang.

     
     
  • Perodua jual 24,626 unit pada Sept 2022 – jumlah tahunan kini 196,354 unit, 64.9% lebih tinggi dari 2021

    Perodua jual 24,626 unit pada Sept 2022 – jumlah tahunan kini 196,354 unit, 64.9% lebih tinggi dari 2021

    Perodua telah mengumumkan sejumlah 24,626 unit kenderaannya telah terjual pada September 2022, di mana ia kurang sebanyak 5.4% berbanding 26,039 unit yang dicatatkan pada Ogos. Walau bagaimana pun, jumlah keseluruhan bagi jualan untuk suku ketiga tahun ini (3Q22) meningkat sebanyak 5% iaitu 69,011 unit berbanding suku kedua (2Q22) dengan 65,719 unit.

    “Peningkatan pendaftaran bagi 3Q22 menunjukkan bahawa kebanyakan isu utama dalam rantaian bekalan automotif telah pulih. Kini tiba masanya untuk menambah baik pengeluaran kerana kami perlu mengurangkan tempoh menunggu untuk pelanggan kami yang dihargai,” kata Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad.

    Dengan angka yang direkodkan ini, jumlah keseluruhan jualan setakat ini (YTD) untuk sembilan bulan pertama tahun ini mencecah 196,354 unit, 64.9% lebih tinggi berbanding 119,093 unit yang dijual pada tempoh yang sama tahun lalu. Sasaran jualan untuk tahun ini ialah 247,800 unit.

    Perodua jual 24,626 unit pada Sept 2022 – jumlah tahunan kini 196,354 unit, 64.9% lebih tinggi dari 2021

    Peningkatan ketara tahun ke tahun sebahagian besarnya disebabkan oleh sekatan yang dikenakan pada 2021 untuk membendung penularan Covid-19, yang menghalang pengeluaran dan pendaftaran kenderaan. Ini juga refleksi mengikut perbandingan antara suku tahunan ke suku tahunan, kerana 3Q22 menyaksikan 216.5% lebih banyak penghantaran berbanding 3Q21. Untuk rekod, Perodua hanya menjual sekitar 21,803 unit antara Julai dan September tahun lepas.

    “Buat masa ini, kami memfokuskan untuk meningkatkan pengeluaran pada suku keempat tahun ini termasuk memaksimakan pengeluaran pada suku pertama tahun depan untuk memastikan semua pelanggan kami yang membuat tempahan semasa tempoh pengecualian cukai jualan akan menerima kereta mereka pada atau sebelum 31 Mac 2023,” kata Zainal.

    Sebelum ini, pada tarik akhir pengecualian SST (30 Jun 2022) Perodua menyatakan bilangan tempahan tertunggak yang layak untuk pengecualian adalah melebihi 200,000 unit. Bagi pengeluaran pula, bulan lalu menyaksikan jumlah kereta paling banyak dikeluarkan setakat tahun ini iaitu sebanyak 29,077 unit, manakala pengeluaran YTD berjumlah 206,387 unit.

     
     
  • ‘Proton’ Stevens Cipher Coupe 1996 dilelong di UK; kereta sport guna sistem mekanikal dari Putra!

    ‘Proton’ Stevens Cipher Coupe 1996 dilelong di UK; kereta sport guna sistem mekanikal dari Putra!

    Laman lelongan kenderaan di United Kingdom, Car and Classic telah menyenaraikan sebuah kereta sport dua pintu Stevens Cipher Coupe untuk di lelong bermula 21 Oktober ini.

    Jika anda lihat dengan teliti, bahagian luar kereta sport ini dihasilkan dengan pelbagai komponen dari Proton era 90’an termasuk pembuka pintu, cermin sisi, lampu isyarat membelok fender hadapan, dan yang paling jelas adalah rim 14-inci lima jejari dengan penutup tengah bertulis ‘Proton’!

    Kereta apa sebenarnya Stevens Chiper Coupe ni? Adakah ia projek rahsia dari Proton dari era berkenaan seperti jentera rali Proton Putra WRC? Kereta ini sebenarnya dihasilkan oleh Stevens Motors Company pada tahun 1996, iaitu syarikat milik Profesor Tony Stevens, seorang jurutera mekanikal dari UK. Chiper Coupe ini merupakan prototaip terakhir yang dihasilkan oleh Stevens dan dirancang untuk diproduksi secara besar-besaran, melibatkan kerjasama dari Proton.

    ‘Proton’ Stevens Cipher Coupe 1996 dilelong di UK; kereta sport guna sistem mekanikal dari Putra!

    Sebelum menghasilkan prototaip Chiper Coupe ini, Prof. Stevens pernah menghasilkan beberapa prototaip Chiper Roadster, antaranya menggunakan sistem mekanikal dari kereta Reliant Kitten dan juga Lada Samara. Prototaip-prototaip berkenaan pernah dibawa ke Motor Show dan pelbagai acara di UK, namun Stevens tidak berjaya mendapatkan pelabur untuk merealisasikan projek produksinya.

    Untuk Chiper Coupe ini, seperti yang anda boleh lihat, ia menggunakan kelengkapan mekanikal dari model Proton, secara spesifiknya model coupe Proton Putra. Namun Stevens sebenarnya menghasilkan kerangka logam tiub yang dikimpal rekaannya sendiri, bersama badan yang juga rekaan aslinya sendiri dihasilkan dengan material gentian kaca GRP, tetapi digandingkan dengan sistem rangkaian kuasa, mekanikal dan pelbagai komponen luaran dan dalaman yang diambil terus dari Proton Putra.

    Kerangka berkenaan direka bagi memuatkan enjin 4G93P 1.8 liter DOHC bersama kotak gear manual lima kelajuan dari Putra, dan ia masih dipasang melintang dalam konfigurasi enjin hadapan pacuan hadapan. Padanan ini membolehkan Stevens Chiper Coupe berkenaan mencapai kelajuan maksima 220 km/j.

    ‘Proton’ Stevens Cipher Coupe 1996 dilelong di UK; kereta sport guna sistem mekanikal dari Putra!

    Badan Coupe ini direka sebagai sebuah kereta sport sebenar dengan asas bentuk ‘dua-kotak’ (tanpa ekor di belakang), bersama muncung yang tirus dan tajam, garis bumbung landai ke belakang serta garis but yang agak tinggi. Ia diberikan lampu hadapan bulat berkembar yang ‘tertanam’ bagi mengekalkan ciri aerodinamik pada bahagian muncung, serta lampu bulat tunggal dibelakang dengan pintu hatch yang boleh dibuka sebagai sebuah liftback.

    Kabin Chiper Coupe ini menampilkan hampir keseluruhan komponen yang diambil terus dari Proton Putra. Ia termasuk papan pemuka, tempat duduk hadapan Recaro, tempat duduk belakang, sistem audio dengan pemain kaset Blaupunkt, konsol terowong tengah dan tombol gear. Namun tidak kelihatan roda stereng Momo dari Putra pada Chiper Coupe ini, tetapi diberikan roda stereng empat jejari dengan beg udara.

    Walau pintu Coupe ini tidak diberikan panel dalaman yang sama dengan Putra kerana berlainan bentuk, ia masih diberikan pembuka pintu dan pembuka tingkap manual dengan model-model Proton era 90’an.

    ‘Proton’ Stevens Cipher Coupe 1996 dilelong di UK; kereta sport guna sistem mekanikal dari Putra!

    Hanya sebuah Stevens Chiper Coupe ini pernah dibina, dan semestinya ia sangat-sangat rare. Jarak perjalanan yang dicatatkan hanya 1,911 batu (3,075 km) dan menurut Car and Classic, unit ini masih lagi dalam keadaan asli tanpa sebarang perubahan. Ketika Stevens Motor Company ditutup, Prof. Stevens sendiri membeli kereta ini bagi membolehkan ia terus berada di bawah jagaannya.

    Jika anda lihat pada roda kereta ini, rim 14-inci lima jejari dari Proton Putra berkenaan masih dibalut dengan tayar Sime Tyres Monza HR7 ‘Made in Malaysia’ yang dikilangkan pada minggu-16 tahun 1996! Sekiranya anda berjaya membida kereta ini kelak, anda akan turut menerima set manual asli dari Proton dan juga lukisan rekaan asal Cipher Coupe ini yang dilukis dan ditandatangani oleh Prof. Stevens sendiri.

    Prof. Tony Stevens pernah menyatakan bahawa Cipher Coupe ini merupakan “kereta terbaik yang pernah dihasilkan olehnya”. Sekiranya projek ini diteruskan dahulu, ia mungkin diproduksi di kilang Proton Shah Alam, dengan sasaran produksi sebanyak 50,000 unit! Namun hasrat terakhir Prof. Stevens tersebut tidak kesampaian kerana projek ini terpaksa dihentikan akibat kegawatan ekonomi yang berlaku ketika itu.

     
     
  • PANDU UJI: Kia Carnival 2.2D 7-Tempat Duduk High 2022 — boleh tapau MPV premium grey importer?

    PANDU UJI: Kia Carnival 2.2D 7-Tempat Duduk High 2022 — boleh tapau MPV premium <em>grey importer</em>?

    Yang mendominasi pasaran MPV premium atau mewah di sini secara umumnya adalah model-model terpakai daripada pengimport persendirian. Paling tidak, ini merupakan situasinya bagi model-model MPV besar yang popular — sebagai contoh, Toyota Estima, Alphard/Vellfire (walaupun antaranya ada yang pernah ditawarkan oleh pengedar rasmi di sini sebelum ini) misalnya.

    Sangat jarang ada penawaran yang menempati segmen ini daripada pengedar rasmi; yang banyak di atas jalan dari kelompok ini pula adalah kenderaan MPV untuk kegunaan komersial, bukan MPV premium untuk penumpang. Itu cerita lain. Tetapi, dengan Kia Carnival 2022 CKD yang ditawarkan dalam pasaran ketika ini, ia secara tak langsung menjadi sebuah model yang cukup menarik dan penting untuk diperhatikan.

    Walaupun tidak duduk dalam satu kelompok yang setara dengan Alphard/Vellfire dari segi saiz dan penawarannya, namun dengan harga jualannya yang berada di dalam kurungan yang hampir sama dengan model-model grey import yang dinyatakan itu menjadikannya sebagai pesaing yang tidak langsung, yang sangat wajar dipertimbangkan oleh mereka yang sedang mencari sebuah MPV besar, premium dan mewah.

    Lebih setanding dengan penawaran Kia Carnival 2022 ini di Malaysia sebenarnya adalah penawaran dari jenama “saudara” dari Korea Selatan sendiri, mana ada yang lain selain Hyundai. Ini kerana, jika dilihat daripada kapasiti atau konfigurasi tempat duduk, Hyundai Grand Starex pernah hadir dengan 11-tempat duduk juga. Tetapi ia diklasifikasikan sebagai kenderaan komersial, serta tempoh penawarannya untuk pasaran tempatan juga sudah agak lama. Tetapi ada satu lagi model MPV Hyundai yang terbaru, dengan nama Staria, sebagai ganti lawannya.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Beberapa jalan di Putrajaya ditutup pada 7-9 Okt sempena penganjuran acara Hari Sukan Negara 2022

    Klik untuk besarkan imej

    Sempena dengan sambutan Hari Sukan Negara 2022 di Putrajaya yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 8 Oktober ini, beberapa jalan di sana akan terlibat dengan penutupan sementara selama tiga hari mulai jam 3 pagi pada 7 Oktober sehingga 12 tengahmalam Ahad (9 Okt) ini.

    Menurut pengumuman yang dilakukan oleh KBS menerusi laman Facebook rasminya, jalan yang terlibat ialah Boulevard Presint 3 hingga Boulevard Presint 4 iaitu dari simpang empat Menara LPPSA hingga ke Lebuhraya Wadi Presint 4 di hadapan Galleria.

    Manakala Lebuh Setia (antara Menara KBS dan Galleria), Jalan P4Y (belakang Menara KBS) dan Lebuh Wadi (jalan antara Bangunan KETSA dan Bouleverd Presint 4) pula akan ditutup dari jam 7 pagi pada 7 Oktober hingga 12 tengahmalam pada 9 Oktober 2022.

    Justeru, semua pengguna jalan raya di kawasan terlibat diminta untuk patuhi isyarat papan tanda trafik dan arahan pihak yang bertugas serta lebih berhati-hati dalam pemanduan.

    Acara kemuncak bagi Hari Sukan Negara 2022 akan diadakan di hadapan Dataran Istana Kehakiman Putrajaya pada 8 Oktober dan antara aktiviti yang bakal dianjurkan ialah Neon Ride, Fun Ride, Fun Run dan Fun Walk. Selain itu, turut dianjurkan ialah pertandingan bola keranjang 3×3, Airapay Belia Berselawat, Skim & Surf Festival dan banyak lagi.

     
     
  • Honda CRF300L Enduro Pro Edition tiba di Thailand

    Honda CRF300L Enduro Pro Edition tiba di Thailand

    Di Thailand, Honda telah memperkenalkan satu versi istimewa untuk motosikal dual purpose mereka, iaitu CRF300L Enduro Pro Edition. Model ini menggunakan CRF300L biasa sebagai asas, tetapi dipasang dengan beberapa aksesori untuk menjadikannya lebih menarik.

    Pertamanya, ia menggunakan grafik khas, yang menampakkan jenama Yoshimura, Gcraft serta H2C. Jenama ini bukan diletakkan pada motosikal sesuka hati, tetapi berpadanan dengan ekzos Yoshimura RS-4J serta pelindung Gcraft yang dipasang terus pada motosikal keluaran khas ini.

    Selain daripada itu, spesifikasi teknikal versi Enduro Pro Edition ini masih sama seperti CRF300L biasa, termasuklah suspensi – terdiri daripada fork USD 43 mm dan monoshock dengan sambungan Pro-Link di belakang – serta jarak dari tanah, iaitu 244 mm. Tinggi tempat duduk adalah 830 mm.

    CRF300L dipacu oleh enjin satu silinder DOHC 286 cc dengan sistem suntikan bahan api PGM-Fi dan penyejukan cecair, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan serta klac jenis slipper. Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan tetapan cakera, manakala tangki bahan apinya pula berkapasiti 7.8 liter.

    Selain daripada versi biasa, CRF300L juga ditawarkan dalam satu lagi versi yang dipanggil sebagai CRF300 Rally. Model ini datang dengan grafik, panel badan serta lampu hadapan khas, sementara tangki bahan apinya pula berkapasiti 12.8 liter.

    Bagi CRF300L Enduro Pro Edition ini, ia dijual pada harga yang masih lebih rendah berbanding CRF300 Rally (172,200 baht atau RM21,464), iaitu 169,600 baht (RM21,140). CRF300L biasa pula dijual pada harga 145,800 baht (RM18,173) di negara itu.

     
     
  • Dijangkakan 1.9 juta kenderaan bakal guna Lebuhraya PLUS pada 6-9 Oktober sempena cuti Maulidur Rasul

    Dijangkakan 1.9 juta kenderaan bakal guna Lebuhraya PLUS pada 6-9 Oktober sempena cuti Maulidur Rasul

    Pastinya ramai rakyat Malaysia bakal mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman atau bercuti di mana-mana destinasi tempatan sempena cuti sambutan Maulidur Rasul ini. Bagi yang ingin memandu, sila rancang perjalanan anda bagi elak terkandas di kesesakan trafik di lebuhraya. Malahan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendaliannya setiap hari bermula 6 hingga 9 Oktober ini.

    Menurut PLUS, jumlah ini merupakan lonjakan daripada 1.7 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa, justeru pengendali lebuhraya tersebyt turut menggesa pelanggan merancang perjalanan mereka bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kesesakan dan memanjangkan tempoh perjalanan mereka.

    Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, “Sejak beralih ke fasa endemik, PLUS telah merekodkan jumlah trafik harian sepertimana tempoh pra-pandemik iaitu 1.7 juta kenderaan setiap hari pada hari-hari biasa. Pada ketika ini, jumlah tersebut melonjak kepada 1.9 juta kenderaan pada hujung minggu dan kami menjangkakan ia berterusan ketika cuti hujung minggu ini dan cuti sambutan Maulidur Rasul di mana pelanggan lebuh raya akan mengambil kesempatan cuti selama tiga hari.

    “Oleh itu, kami menasihatkan supaya pelanggan yang ingin menggunakan lebuh raya pada hujung minggu ini supaya membuat persediaan dan memastikan kenderaan mereka berada di dalam keadaan yang baik bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kesesakan akibat lonjakan trafik tersebut.”

    Dijangkakan 1.9 juta kenderaan bakal guna Lebuhraya PLUS pada 6-9 Oktober sempena cuti Maulidur Rasul

    Beliau menambah, sebelum memasuki lebuh raya, para pengguna Lebuhraya PLUS dinasihatkan untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go dan e-Wallet (bagi mereka yang menggunakan RFID) dan memastikannya sentiasa mempunyai baki yang mencukupi dan tambah nilai sebelum memulakan perjalanan untuk mengelakkan kesulitan ketika keluar di plaza tol.

    Selain itu, dengan memuat turun aplikasi PLUS, pengguna lebuh raya ini boleh merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya. Sebagai alternatif, anda juga boleh mengikuti laporan trafik menerusi Twitter @PLUSTrafik, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI serta papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih.

    Malahan, orang ramai juga disaran menggunakan aplikasi Waze atau Google Map. Dan perlu diingat bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah memberi penerangan tentang SOP pasca Covid-19 yang masih kekal dikuatkuasakan dan orang ramai juga dinasihatkan supaya memakai pelitup muka apabila berada di kawasan yang sesak.

     
     
  • BMW 530i M Sport 2022 dengan pakej M Performance Parts di Malaysia – terhad 30 unit sahaja, RM421k

    BMW 530i M Sport 2022 dengan pakej M Performance Parts di Malaysia – terhad 30 unit sahaja, RM421k

    BMW 5 Series facelift G30 yang diperkenalkan pada Mei tahun lalu, kini hadir dengan pakej M Performance Parts menerusi Auto Bavaria, bagi kedua-dua varian 530e M Sport dan 530i M Sport. Walau bagaimana pun, ia ditawarkan dengan jumlah terhad iaitu sebanyak 30 unit sahaja.

    Foto yang anda lihat di sini ialah 530i M Sport, pakej ini (lebih kurang sama untuk kedua-dua varian) ditambah dengan gril ‘kidney’ hitam berkilat M Performance, pelindung cermin gentian karbon M Performance, pedal penukar gear M Performance, elemen pelindung stereng gentian karbon M Performance dan alas lantai M Performance.

    Malahan edisi khas ini turut diberikan kemasan corong udara hitam berkilat, projektor lampu pintu LED, Advanced Car Eye 2.0 dashcam, dan beberapa ciri sempena ulang tahun M yang ke-50 iaitu penutup roda dan lencana hadapan/belakang M50 Years. Selain itu, pembeli juga bakal menerima telefon pintar Samsung Galaxy S22 Ultra, cawan seramik Sttoke dan lapisan pelindungan cermin percuma.

    Untuk harganya, 530i M Sport dengan pakej M Performance Parts ditawarkan pada RM420,800, sementara itu, 530e M Sport plug-in hybrid dengan pakej M Performance Parts pula berharga RM362,800. Sebagai perbandingan, model standard 530i M Sport berharga RM402,800, dan 530e M Sport ditawarkan pada RM358,217.

    Tiada perubahan untuk bahagian mekanikal bagi kedua-dua varian. Untuk 530i, ia masih menggunakan unit B48 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan hamburan output 252 PS dari 5,200 hingga 6,500 rpm dan tork 350 Nm antara 1,450 dan 4,800 rpm, yang menyalurkan kuasa ke roda belakang menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan.

    Bagi 530e pula, unit B48 mampu menghasilkan 184 PS dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 300 Nm antara 1,350 dan 4,000 rpm, dengan motor elektrik 50 kW (68 PS) bantu menambah keseluruhan kuasa menjadi 252 PS dan 420 Nm, sama seperti model pre-facelift.

    Kit tambahan bagi M Performance Parts menambahkan lagi penampilan pakej M Sport yang telah pun dipasang pada kedua-dua varian ini. Pakej M Sport ini termasuklah corong udara hadapan yang lebih besar dengan kontur berbentuk-U hingga ke bahagian lampu utama, ditambah pula dengan bampar belakang yang direka semula dengan kemasan bampar kelabu dan corong paip trapezoidal, serta roda aloi Style 845 M jejari-Y 19 inci.

    Di dalamnya, pek M Sport merangkumi roda stereng tiga-jejari yang lebih tebal, plat sill scuff M dan pedal aloi M, serta tempat duduk sport larasan kuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu, upholstery kulit Dakota, kemasan Smoke Grey Aluminium Rhombicle dan headlining hitam.

    GALERI: BMW 530i M Sport LCI G30 dengan pakej M Performance Parts

     
     
  • Vespa GTS 2023 diperkenal – empat varian, pilihan enjin 125 cc dan 300 cc, panel instrumen TFT 4.3 inci

    Vespa GTS 2023 diperkenal – empat varian, pilihan enjin 125 cc dan 300 cc, panel instrumen TFT 4.3 inci

    Vespa telah memperkenalkan model GTS 2023 di Eropah, dengan kini ditawarkan dalam empat varian iaitu GTS, GTS Super, GTS SuperSport dan GTS SuperTech. Penampilan skuter ini, walaupun masih nampak sama, tetapi sebenarnya melibatkan perubahan yang diberikan secara terperinci.

    Ada dua pilihan enjin yang disediakan untuk Vespa GTS baru ini, iaitu unit 125 i-GET dan 300 HPE yang didakwa boleh menghasilkan sehingga 23 hp. Kedua-dua enjin ini menggunakan tetapan satu silinder dengan sistem suntikan bahan api, penyejukan cecair serta mendapat penarafan emisi Euro 5.

    Pembaharuan lain yang dibuat untuk GTS 2023 ini adalah di bahagian suspensi. Meskipun masih menggunakan tetapan single arm yang sama di hadapan, ia telah ditala semula untuk menjadikan skuter tersebut lebih stabil pada kelajuan tinggi, sambil turut memperbaiki keselesaan dan pengendaliannya.

    Keselesaan juga diambil penting melalui Vespa GTS baru ini, di mana tempat duduknya telah direka semula supaya penunggang dan penumpang tidak terkesan walaupun menggunakannya untuk perjalanan jarak jauh. Semua varian Vespa GTS kini diberikan dengan sistem tanpa kunci dan butang pemula enjin, dengan fungsi kunci pemegang dan bukaan tempat duduk boleh dilakukan dengan alat kawalan jauh.

    Sistem sambungan bluetooth Vespa MIA disediakan untuk kedua-dua GTS SuperSport dan SuperTech, tetapi SuperTech dipertingkat lagi dengan paparan TFT 4.3 inci warna penuh. Kelengkapan lain yang disediakan pada Vespa GTS adalah termasuk brek cakera hadapan dan belakang dengan sistem ABS, kawalan cengkaman dan rim 12 inci hadapan dan belakang.

     
     
  • Bajet 2023 akan dibentangkan Jumaat, 7 Oktober 2022

    Bajet 2023 akan dibentangkan Jumaat, 7 Oktober 2022

    Menteri Undang-undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mengesahkan yang Bajet 2023 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada jam 4 petang, Jumaat ini, 7 Oktober 2023, lapor Malay Mail.

    Keputusan untuk mempercepatkan pembentangan bajet itu awal tiga minggu daripada tarikh asal itu diambil pada penghujung Ogos lalu. Khabar angin mengatakan langkah itu bertujuan untuk memberi laluan kepada pembubaran parlimen dilakukan beberapa hari selepas bajet dibentangkan, sekaligus memberi laluan kepada pilihanraya umum (PRU).

    Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Ogos lalu bahawa keputusan untuk mempercepat pembentangan Bajet 2023 bukanlah asing, dan pernah dilakukan sebelum ini. “Ini normal. Ketika Pak Lah menjadi PM, bajet pernah dibentangkan pada September,” ujarnya.

    Julai lalu Tengku Zafruk memberi gambaran yang Bajet 2023 akan tertumpu kepada pengurusan subsidi yang lebih cekap dan pengukuhan daya tahan ekonomi negara berdepan cabaran pendatang. Dari aspek automotif, berita paling besar dalam bajet tahun lalu adalah pengecualian cukai dan duti bagi kereta elektrik (EV).

    Berkemungkinan dalam Bajet 2023 nanti akan ada perkembangan terbaru berkaitan hal ini, misalnya langkah untuk merancakkan lagi pertumbuhan prasarana pengecasan serta peraturan yang berkaitan dengannya. Bulan lalu, MITI memaklumkan pihaknya telah mencadangkan lebih banyak insentif EV untuk disertakan dalam bajet tahun ini.

    Kami akan membuat liputan semua hal berkaitan automotif dan pengangkutan yang akan dibentangkan dalam Bajet 2023. Jangan lupa untuk bersama kami esok.

     
     
  • 16,163 saman direkodkan dalam Op Khas Lampu Isyarat Merah di seluruh negara pada 15-30 Sept

    16,163 saman direkodkan dalam Op Khas Lampu Isyarat Merah di seluruh negara pada 15-30 Sept

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan Operasi Khas Lampu Isyarat Merah di seluruh negara bermula 15 hingga 30 September lalu dan hasilnya telah merekodkan sejumlah 16,163 saman.

    Menurut Setiausaha PDRM Dato’ Hajah Noorsiah Saaduddin, operasi khas itu dijalankan di 1,659 lokasi seluruh negara membabitkan 1,541 anggota. Ia menumpukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah dengan sebanyak 71, 069 kenderaan telah diperiksa.

    “Saman paling banyak dikeluarkan adalah membabitkan motosikal iaitu 8,211 saman, diikuti kereta (6,083), lori (528), van (264), bas (22) dan 1,055 saman untuk lain-lain kenderaan. Selain itu, sebanyak 24,276 saman membabitkan kesalahan lalu lintas yang lain turut dikeluarkan.

    “Dalam operasi iu juga, seramai 27 individu ditahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan memiliki waran tangkap saman trafik dalam operasi itu,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah beliau, PDRM memandang serius sikap dan trend pengguna jalan raya yang mewujudkan risiko kemalangan ekoran tidak memberhentikan kenderaan di lampu isyarat.

    “Orang ramai dinasihat supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi isyarat lalu lintas yang telah ditetapkan bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya lagi.

     
     
  • Jemaah Menteri setuju sistem tol tanpa palang diguna pada 2025, guna sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong

    Jemaah Menteri setuju sistem tol tanpa palang diguna pada 2025, guna sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong

    Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan bahawa Kementerian Kerja Raya (KKR) menyasarkan untuk memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa palang menjelang 2025, dan cadangan tersebut telah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

    Sistem kutipan berkenaan akan beroperasi menggunakan teknologi Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF), dan ia dibuat sebagai salah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol. Menerusi sistem tersebut kenderaan tidak perlu lagi berhenti untuk membayar tol.

    “Seterusnya adalah rundingan bersama semua syarikat konsesi tol mengenai bagaimana ia akan dilaksanakan supaya dapat memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya,” kata Fadillah dalam laporan Bernama.

    “Selepas itu, bagaimana kita integrasikan daripada sistem MLFF… kita akan mewujudkan command centre (pusat arahan) diuruskan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang perlu integrasi dengan semua majlis perbandaran atau bandar raya,” tambahnya lagi.

    Fadillah mengumumkan perkara ini ketika berucap pada Sesi Libat Urus Menteri Kanan Kerja Raya Bersama Media di Kuala Lumpur malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup. Beliau menjelaskan bahawa MLFF merupakan antara inisiatif di bawah Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) 2019-2023 KKR yang dibangunkan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan memacu pembangunan aplikasi ITS di negara ini.

    Jemaah Menteri setuju sistem tol tanpa palang diguna pada 2025, guna sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong

    Februari lalu Fadillah mengesahkan bahawa kementeriannya mencadangkan satu undang-undang jenayah baharu terhadap mereka yang mengelak untuk membayar tol sebagai sebahagian daripada pelaksanaan MLFF dalam tempoh 24 bulan akan datang.

    “Ini bagi mengelakkan ketirisan kerana kami sedang meneliti peruntukan undang-undang yang merangkumi Kanun Keseksaan dan sama ada mengelak tol boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah kerana tiada halangan lorong di bawah MLFF,” katanya.

    Tahun lalu dilaporkan bahawa ujian sistem MLFF oleh Green Packet di Lebuhraya Besraya telah bermula tahun ini, namun tiada sebarang berita susulan selepas itu. Menerusi sistem MLFF ini, bayaran tol akan dikutip menggunakan teknologi RFID, bersama sistem Pengecaman Automatik Nombor Pendaftaran Kenderaan (ANPR).

    Sistem yang hampir sama turut bakal digunakan oleh Indonesia, juga bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di negara berkenaan. Mei lalu Ketua pengarah pengangkutan darat republik tersebut, Budi Setiyadi menyatakan bahawa sistem bayaran MLFF itu bakal digunakan bermula akhir tahun ini atau selewat-lewatnya pada 2023.

     
     
  • Proton jual 14,872 unit kenderaan pada Sept; jualan suku ke-3 2022 cecah 102,353 unit, naik 40.2%

    Proton jual 14,872 unit kenderaan pada Sept; jualan suku ke-3 2022 cecah 102,353 unit, naik 40.2%

    Proton mengumumkan bahawa ia berjaya menjual sebanyak 14,872 unit kenderaan (domestik + eksport) sepanjang bulan September 2022. Jumlah berkenaan adalah 1,008 unit lebih rendah berbanding rekod jualan bulanan tertinggi untuk tahun ini yang dicatatkan pada Ogos lalu.

    Namun jumlah jualan yang dicatatkan pada bulan lalu berkenaan sudah membolehkan Proton merekodkan jualan suku ketiga 2022 berjumlah 102,353 unit, atau naik sebanyak 40.2% berbanding tempoh sama tahun lalu. Malah rekod ini juga membolehkan Proton mencapai sasaran jualan tahunan 100,000 unit untuk tahun keempat berturut-turut, serta rekod tahun ini berlaku dua bulan lebih awal berbanding 2021.

    Menurut Proton lagi, rekod jualan ini membolehkan ia kekal di tempat kedua dalam carta jualan dalam Malaysia, dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 23.8% untuk bulan September. Angka pegangan pasaran terkumpul tahun ini sehingga September lalu pula berada pada 20.1% – angka melebihi 20% pertama yang dicatatkan tahun ini.

    Untuk pecahan jualan mengikut model, Saga terus menjadi model paling popular untuk Proton dengan jualan sebanyak 6,442 unit sepanjang September (40,603 unit secara keseluruhan untuk tahun ini), diikuti X50 sebanyak 4,517 unit (jualan kumulatif tahunan 29,591 unit), X70 sebanyak 1,730 unit (SUV segmen-C paling laris bulan lalu, jualan kumulatif tahunan 14,145 unit), Persona sebanyak 1,159 unit (jualan kumulatif tahunan 10,787 unit), Iriz sebanyak 606 unit (jualan kumulatif tahunan 4,119 unit) dan Exora sebanyak 418 unit (MPV segmen-C paling laris bulan lalu, jualan kumulatif tahunan 3,108 unit).

    “Prestasi suku ketiga Proton adalah suku terbaik bagi tahun ini, dengan 42,229 unit untuk tiga bulan dari Julai ke Ogos. Pencapaian ini adalah hasil gabungan kestabilan dalam pengeluaran serta daya tarikan berterusan model kami, terutamanya Proton Saga 2022 dan Proton X50. Oleh itu, walaupun permulaan tahun ini lemah, kami yakin dapat mencapai pertumbuhan jualan dua digit bagi tahun keempat berturut-turut,” kata Naib CEO Proton, Roslan Abdullah.

    “Selain memberi tumpuan pada pertumbuhan jualan, suku terakhir juga menyaksikan kami membina asas untuk pertumbuhan masa depan kami. Perjanjian Pengedaran Am dengan smart menetapkan kami untuk menjual EV daripada jenama itu bermula pada tahun 2023 manakala pembentukan PRO-NET membuktikan komitmen Proton untuk membangunkan dan menawarkan kenderaan tenaga baharu pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

    Dalam kenyataan yang sama, Proton turut mengumumkan subsidiarinya untuk urusan pembiayaan kenderaan iaitu Proton Commerce turut mencatatkan pretasi yang memberangsangkan. Sepanjang September 2022, syarikat itu telah mengeluarkan sebanyak 2,872 pinjaman, melepasi pencapaian tertinggi sebelumnya pada bulan Mac. Ini meningkatkan jumlah pinjaman yang dijamin pada tahun 2022 kepada 15,504, melebihi 14,550 pinjaman yang dikeluarkan pada keseluruhan tahun 2021.

    “Peningkatan OPR sebanyak 75bps pada tahun ini meyebabkan pelanggan giat mencari pakej terbaik yang tersedia untuk membiayai pembelian kereta baharu mereka. Sebagai pembiaya pilihan untuk kenderaan Proton, Proton Commerce menawarkan pelbagai tawaran inovatif termasuk kadar terendah untuk pembeli Proton Saga serta keperluan pendapatan bulanan yang rendah. Tawaran sebegini telah terbukti berkesan, jadi kami menjangkakan lebih banyak pertumbuhan pada suku keempat tahun ini,” kata Roslan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025