Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mazda 3 2022 sedan dengan kit badan Mazdasports dipamerkan di Malaysia; bakal dijual tak lama lagi?

    Mazda 3 2022 sedan dengan kit badan Mazdasports dipamerkan di Malaysia; bakal dijual tak lama lagi?

    Baru-baru ini kami terserempak dengan Mazda 3 Sedan yang agak unik di bilik pameran Mazda Glenmerie – ia tampil dengan pakej pengayaan Mazdasports yang mungkin akan ditawarkan kepada pelanggan tidak lama lagi. Nama Mazdasports bukanlah baru disini kerana ia masih digunakan oleh akedemi pemanduan Mazda Malaysia.

    Ini juga bukan pertama kali Mazda Malaysia menawarkan pakej Mazdasports seperti ini, kerana sebelum ini ia pernah ditawarkan untuk Mazda 3 Hatchback generasi sebelumnya. Pakej tersebut bukan sahaja menampilkan kit penggayaan bahagian luar, malah turut diberikan beberapa perincian pada kabin.

    Mazda 3 2022 sedan dengan kit badan Mazdasports dipamerkan di Malaysia; bakal dijual tak lama lagi?

    Untuk kit badan, pakej Mazdasports ini disertakan dengan splitter udara pada bampar hadapan, skirt sisi, dan juga apron belakang menampilkan kemasan seakan unit diffuser. Ia juga hadir dengan kemasan sekeliling gril hadapan yang digelapkan, tip ekzos oval berkembar lebih besar dan juga spoiler kecil pada penutup but.

    Model yang dipamerkan ini tidak disertakan dengan sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, jadi ia pastinya Mazda 3 Sedan dari varian 1.5 liter. Model tersebut dijana oleh enjin petrol NA Skyactiv-G berkuasa 118 hp dan tork maksima 153 Nm, dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik.

    Varian ini sepatutnya menerima tempat duduk balutan fabrik, namun model dengan kit Mazdasports ini dilihat menerima upholsteri gabungan kulit dan sued, bersama logo ‘MS’ pada perehat badan tempat duduk hadapan. Ia juga menerima balutan sued pada bahagian atas roda stereng dan juga pada sarung tuil penukar gear.

    Kami telah pun bertanya adakah kit Mazdasports untuk Mazda 3 ini sudah boleh dibeli untuk mereka yang berminat, namun kami masih belum menerima sebarang jawapan yang muktamad.

     
     
  • Perodua MyBi – replika saiz sebenar Myvi Extreme 1.5 guna 1.27 juta bongkah Lego, 2 bulan untuk disiapkan!

    Perodua MyBi – replika saiz sebenar Myvi Extreme 1.5 guna 1.27 juta bongkah Lego, 2 bulan untuk disiapkan!

    Perodua Myvi sememangnya antara model paling ikonik di Malaysia, ibarat Mini Cooper di UK. Dan antara versi paling ikonik untuk Myvi itu sendiri sudah tentu ialah Myvi Extreme 1.5 yang diperkenalkan pada September 2011.

    Ia merupakan model pertama Myvi yang menerima enjin 1.5 liter yang boleh dikatakan agak berkuasa untuk badannya yang kecil dan ringan membolehkan model dengan kotak gear manual memecut 0-100 km/h di bawah 10 saat, serta tampil dengan kit badan yang begitu garang terdiri spoiler bawah bampar dan spoiler belakang yang begitu agresif, serta terkenal dengan warna kuning yang begitu sinonim dengannya.

    Perodua MyBi – replika saiz sebenar Myvi Extreme 1.5 guna 1.27 juta bongkah Lego, 2 bulan untuk disiapkan!

    Sebagai penghormatan, Bryks Art telah menghasilkan replika Myvi Extreme 1.5 ini dalam skala 1:1 menggunakan bongkah Lego untuk dipamerkan sempena pameran King of The Road yang kini sedang berlangsung di Publika Shopping Gallery, anjuran kumpulan artis Lego berkenaan.

    Bagi replika 1:1 ini, ia diberi nama sebagai Perodua MyBi, dihasilkan oleh 15 orang rakyat Malaysia dan mengambil masa sekitar dua bulan untuk disiapkan. Seperti yang anda boleh lihat, replika tersebut dibina sangat terperinci dan seiras dengan Myvi sebenar, dengan lengkuk badan serta bahagian dalaman yang lengkap, menggunakan sejumlah 1.27 juta bongkah Lego!

    Emblem ‘Myvi’ pada badan replika ini turut diubah kepada ‘MyBi’ bersama logo ‘P’ Perodua diubah kepada ‘B’ sebagai unsur seakan parodi. Walau bagaimanapun, ada beberapa bahagian yang tidak dihasilkan dengan bongkah Lego, antaranya adalah gandar, rim dan tayar, pembesar suara, cermin serta beberapa buah mentol lampu.

    Bagi replika-replika lain, ia dihasilkan dalam skala 1:4 yang lebih kecil. Ia termasuk MyBi Rocket untuk mengembara ke angkasa, MyBi ATV untuk meredah off-road, MyBi Tractor untuk kerja-kerja ladang, MyBi Tank untuk kegunaan ketenteraan, dan juga MyBi Robot yang kelihatan seperti watak Transformers iaitu Bumblebee.

    Menurut Bryks Art, kesemua replika Myvi ini dihasilkan adalah berdasarkan foto-foto dan meme popular berkaitan Myvi di dunia siber – sebab itulah mengapa pameran ini dinamakan sebagai “King of The Road”. Selain dari pameran ini, pengunjung yang hadir juga boleh turut serta dalam aktiviti seperti membina seni mozek, serta jualan-jualan barangan dari Bryks Art.

    Acara ini telah berlangsung bermula semalam sehingga Ahad ini (29 Mei 2022), dan ia dibuka bermula pada pukul 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari.

     
     
  • LLM, PCSB bangunkan sistem pengurusan lebuhraya pintar – ada ciri e-dompet, perkongsian kenderaan

    LLM, PCSB bangunkan sistem pengurusan lebuhraya pintar – ada ciri e-dompet, perkongsian kenderaan

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB) telah menandatangani perjanjian sefahaman (MoU) bagi membangunkan sistem pengurusan lebuh raya pintar menerusi aplikasi telefon pintar. Ia merupakan sistem pengurusan lebuh raya pintar yang berkonsepkan Smart Highway.

    Menurut LLM, kerjasama itu adalah strategi pihaknya bagi mendepani cabaran era digital dalam industri lebuh raya dan untuk memenuhi keperluan serta jangkaan pengguna lebuh raya.

    “Menerusi MoU ini, ia diharapkan dapat memberikan percambahan idea-idea baharu sebagai nilai tambah dalam meningkatkan perkhidmatan kepada pengguna lebuh raya,” menurut LLM.

    Di mana kerjasama berkenaan merupakan satu daripada inisiatif yang digariskan dalam Pelan Strategik Bisnes LLM Malaysia 2021-2025 yang dilancarkan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof tahun lalu iaitu dalam aspek pemerkasaan pendigitalan aspek pemantauan operasi dan pembinaan lebuh raya menerusi aplikasi Revolusi Industri 4.0.

    LLM, PCSB bangunkan sistem pengurusan lebuhraya pintar – ada ciri e-dompet, perkongsian kenderaan

    “Pendigitalan operasi dan pusat data serta penyeragaman sistem pengurusan lebuh raya akan memudahkan pihak LLM dalam menyalurkan maklumat dan informasi yang lebih pantas dan tepat kepada pengguna lebuh raya.

    “Menerusi konsep lebuh raya pintar yang diketengahkan, ia akan membabitkan pembangunan aplikasi telefon pintar untuk operasi lebuh raya dan juga sistem pengurusan aset lebuh raya yang komprehensif dan sistematik bagi tujuan reka bentuk, pembinaan dan penyelenggaraan lebuh raya,” katanya.

    Jelasnya, aplikasi telefon pintar itu berfungsi untuk menyalurkan maklumat berkaitan situasi trafik di lebuh raya secara masa nyata kepada pengguna bagi membolehkan mereka merancang perjalanan dan mengelak daripada kesesakan lebuh raya serta perjalanan lebih lancar, laporan Harian Metro.

    Selain itu, aplikasi terbabit juga menyediakan kemudahan seperti e-dompet dan ciri tambahan seperti perkongsian kenderaan untuk kemudahan orang ramai.

    “Penggunaan teknologi Internet benda (IoT) dalam pemantauan pembinaan, operasi dan penyelenggaraan aset lebuh raya juga akan meningkatkan tahap kecekapan dalam memastikan pengurusan aset lebuh raya lebih teratur,” katanya.

     
     
  • BMW M 1000 RR versi ulang tahun ke-50 M diperkenal

    BMW M 1000 RR versi ulang tahun ke-50 M diperkenal

    Bersempena dengan sambutan ulang tahun BMW M yang ke-50, BMW Motorrad telah mengeluarkan sebuah motosikal istimewa M 1000 RR edisi ulang tahun. Dipanggil sebagai M 1000 RR 50 Years M Anniversary (atau singkatannya M RR 50 Years M), jentera ini menggunakan asas daripada M 1000 RR yang diperkenalkan pada tahun 2020 dan dipadankan bersama penampilan unik M.

    Menjadikan motosikal ini istimewa pertamanya adalah warna Sao Paulo Yellow pada panel badannya, dan kemudian diserikan lagi dengan lencana khas sambutan ulang tahun ke-50 M di bahagian tangki.

    Kemudiannya, dalam keadaan standard, model ini didatangkan terus dengan pakej M Competition, yang termasuk pakej barangan billet dan gentian karbon M, serta kelengkapan lain seperti lengan ayun aluminium yang lebih ringan, kod M GPS Laptrigger, rantai M Endurance, penutup tempat duduk belakang serta peletak kaki penumpang.

    Bahagian mekanikal model ini sama sahaja seperti M 1000 RR, yang merupakan motosikal M pertama yang menggunakan asas daripada S 1000 RR, termasuk enjin empat silinder 999 cc yang mampu menghasilkan kuasa 212 hp pada 14,500 rpm dan 113 Nm tork pada 11,000 rpm.

    Jika dibandingkan dengan S 1000 RR biasa, enjin ini mempunyai nisbah mampatan lebih tinggi (13.5:1) dan pelbagai bahagian di dalamnya telah dinaik taraf, seperti injap titanium, piston 12 gram lebih ringan, rocker arm lebih kurus dan ringan serta connecting rod titanium.

    BMW M 1000 RR versi ulang tahun ke-50 M diperkenal

    Model M RR juga menjadi motosikal pertama BMW yang menggunakan brek prestasi M, dan ia dibangunkan dengan pengalaman BMW Motorrad dalam dunia perlumbaan, terutamanya Superbike World Championship. Angkup brek ini menggunakan warna biru, berserta logo M dan dipadankan bersama rim gentian karbon M untuk prestasi terbaik.

    Motosikal ini juga dilengkapi dengan sistem ekzos titanium 3.7 kg lebih ringan, klac anti-hopping, tujuh mod tunggangan (Rain, Road, Dynamic, Race dan Race Pro 1-3), Dynamic Traction Control (DTC), DTC Wheelie Control, Engine Braking Control, Shift Assistant Pro (quickshifter) yang boleh diterbalikkan untuk penukaran jenis GP, bateri M serba ringan, Adaptive Cruise Control serta suspensi yang dinaik taraf dengan kinematik Full Floater Pro.

     
     
  • ‘Double park’ tanpa tinggalkan nombor telefon? – kereta anda boleh ditunda dan didenda RM300

    ‘Double park’ tanpa tinggalkan nombor telefon? – kereta anda boleh ditunda dan didenda RM300

    Salah satu tabiat ramai pemandu di Malaysia ialah suka menghalang parkir kenderaan lain atau double park sebab tidak mahu jalan jauh untuk cari parkir lain. Nak jugak letak kereta paling hampir dengan tempat yang dituju.

    Untuk pengetahuan anda (bagi yang tidak tahu atau buat-buat tak tahu), double park atau meletakkan kenderaan anda dengan menghalang parkir orang lain adalah perbuatan salah. Lebih-lebih lagi bila anda parkir dalam waktu yang lama dan tidak meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya pemilik kenderaan yang dihalang itu mahu meminta anda untuk mengalihkan kenderaan anda.

    Sebagai contoh, menerusi video yang tular di media sosial baru-baru ini, seorang pemandu wanita terpaksa menunggu selama 30 minit untuk pemilik Proton Iriz muncul dan mengalihkan kenderaannya. Kejadian ini berlaku di parkir sebuah pusat perubatan yang tidak disebut lokasi sebenarnya.

    Malahan tindakan pemandu Iriz yang juga wanita itu kelihatan ‘chill’ saja, macam tidak rasa bersalah dengan perbuatannya menghalang kenderaan orang lain dengan masa yang boleh dikatakan agak lama. Dia cuma mengangkat tangan dan mengambil masa untuk meletakkan anaknya di dalam kereta dan memuatkan barangan yang dibawa. Bahkan, sewaktu masuk ke dalam kereta, pemandu Iriz berkenaan kelihatan memangku anak kecilnya sebelum menutup pintu kenderaan.

    Tidak dipastikan adakah selepas itu dia meletakkan anaknya duduk di kerusi keselamatan kanak-kanak atau pun terus memangku si kecil itu sambil memandu. Oh ini satu lagi kesalahan sekiranya dia memangku anaknya sambil memandu.

    Suami kepada mangsa, Shahrudin Suhilee, yang berkongsikan video berkenaan di Facebook meluahkan kekecewaan di atas tindakan pemandu Iriz berkenaan. Katanya tindakan wanita tersebut menyebabkan banyak urusan isterinya tergendala termasuk menjemput anak di sekolah.

    Dia berkata, “Bagi mereka yang suka meletak kereta (menghalang parkir kenderaan lain), terutamanya di tempat yang sesak seperti hospital, sila jangan mementingkan diri sendiri dan beringat untuk meninggalkan nombor telefon anda.”

    Ingin kami ingatkan sekali lagi untuk semua pemandu, meletakkan kenderaan dengan menghalang parkir kenderaan lain adalah perbuatan salah. Malahan pemilik kenderaan yang dihalang itu digalakkan untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut termasuk menunda kenderaan yang menghalang anda itu.

    Mungkin ada yang berpendapat, jika membuat aduan kepada polis atau PBT, tentu saja tindakan lanjut dari pihak berkenaan akan mengambil masa untuk mengalihkan kenderaan terbabit. Apa pun undang-undang tetap undang-undang.

    Namun kita yang ada rasa belas ehsan ini adakalanya boleh bertimbang rasa sekiranya ada individu yang terpaksa double park ini. Tetapi tolonglah tinggalkan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya tuan punya kenderaan yang terhalang itu mahu keluar dari parkirnya. Jangan bertindak pentingkan diri sendiri dan tiada kesedaran sivik.

    Jika tidak, bersedialah untuk membayar sekurang-kurangnya RM300 iaitu kompaun atas kesalahan trafik yang anda lakukan ini. Malahan anda juga boleh didakwa di bawah Seksyen 48 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987, di mana saman maksimum RM5,000 atau penjara minimum 12 bulan, atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan ke atas pesalah jika disabit kesalahan.

     
     
  • Kereta Singapura isi minyak tanpa buat pembayaran

    Kereta Singapura isi minyak tanpa buat pembayaran

    Ini sebuah kes aneh tentang sebuah kereta dengan pendaftaran Singapura yang mengisi minyak di Johor dan pergi tanpa membayar. Ia jadi aneh kerana bagaimana sebenarnya hal itu boleh berlaku?

    Begini ceritanya. Sebuah Kia Sorento berpendaftaran Singapura yang anda lihat ini membeli diesel di stesen minyak di Bukit Indah, JB. Melainkan pemandunya tidak membeli minyak tersebut; dia didakwa meninggalkan stesen selepas membuat isian, tanpa membayar. Stesen minyak berkenaan kemudiannya menaikkan notis dan tangkap layar CCTV berkaitan, meminta pemilik kereta itu datang semula dan langsaikan bayaran.

    Macam biasalah halnya sekarang, benda-benda begini akan lekas tular, dan sampai ke perhatian laman media sosial di Singapura, SGRV Admin. Mereka menyemak nombor plat dan mencari SNA 9151 S dan info rasmi menunjukkan 2.2D, jadi dakwaan berkaitan isian diesel itu berasas.

    Apa pun, tidak seperti petrol RON95, kenderaan Singapuran dibenarkan untuk mengisi diesel di Malaysia, namun pembeliannya hanya terhad kepada 20 liter sehari di stesen minyak dalam lingkungan 25 km dari sempadan Malaysia-Singapura (Bukit Indah berada dalam zon berkenaan). Harga diesel di Singapura adalah sekitar S$3 (RM9.60) seliter dan di Malaysia, harga dengan subsidi adalah RM2.15 seliter bagi Euro 5 B10 dan B20. Berdasarkan angka ini, untuk 20 liter, penjimatan yang boleh didapati oleh kenderaan Singapura ini adalah RM149.

    Kereta Singapura isi minyak tanpa buat pembayaran

    Untuk tidak membayar, itu salah. Warga Singapura ketika ini sudah menikmati banyak penjimatan (tambahan dengan kadar tukaran matawang asing SGD-MYR ketika ini) dan untuk tular dengan manfaat kurang daripada S$50 itu tidaklah berbaloi, kan? Mampu guna Sorento, tak akan tak mampu untuk isi minyak dengan harga yang sudahpun ada subsidi di Malaysia.

    Tapi apa yang lebih pelik adalah bagaimana ini boleh berlaku. Mungkin pemandunya ke kaunter dan juruwang terlupa minta bayaran terlebih dahulu sebelum mengaktifkan pam? Kebiasaannya di kaunter, pelanggan perlu membayar terus atau meninggalkan wang terlebih dahulu untuk isian, sepatutnya. Mungkin berlaku kesilapan yang terlepas pandang dalam proses itu.

     
     
  • 70,000 teksi tersadai, jadi besi buruk sejak 2014

    70,000 teksi tersadai, jadi besi buruk sejak 2014

    Sejak perkhidmatan e-hailing mula masuk ke Malaysia, seperti diketahui ia mula ‘membunuh’ industri teksi tempatan. Kemudian situasi berkenaan bertambah teruk apabila negara terpaksa berhadapan dengan pandemik Covid-19. Berapa teruk sebenarnya impak terhadap industri teksi ini?

    Menurut Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia Kamarudin Mohd Hussain dalam laporan Harian Metro, sejak 2014 kira-kira 70,000 teksi termasuk 2,500 jenis eksekutif dan 67,500 jenama tempatan telah tersadai dan menjadi besi buruk membabitkan nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM2.9 bilion.

    Beliau turut menjelaskan bahawa sebahagian besar daripada jumlah itu membabitkan pemandu di sekitar Lembah Klang,
    manakala hanya 40,000 daripada 110,000 pemandu teksi seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak masih bertahan dalam industri terbabit.

    “Daripada jumlah itu, sebanyak 60 peratus syarikat teksi gulung tikar selepas pemandu tidak mahu membawa teksi disebabkan tidak mampu membayar sewa teksi akibat kurang sambutan daripada pengguna.

    “Kebanyakan pemandu teksi yang berhenti mencari haluan lain seperti berniaga kecil-kecilan, memandu lori, menternak, bertani serta ada yang menjadi penganggur malah bagi yang berusia hanya duduk di rumah bergantung harap kepada ahli keluarga lain,” katanya kepada akhbar tersebut.

    70,000 teksi tersadai, jadi besi buruk sejak 2014

    Kamarudin turut menambah implikasi ini adalah disebabkan kemerosotan bilangan pemandu teksi sejak 2014 selepas tiada pengawalan pengoperasian e-hailing dan teksi dengan saksama hingga mewujudkan jurang antara perkhidmatan itu.

    “Banyak syarikat cuba bertahan dalam tempoh itu namun keadaan semakin parah pada 2018 dan ada antara mereka terpaksa gulung tikar. Disebabkan itu, sesetengah syarikat membiarkan teksi yang tidak digunakan di depoh masing-masing. Akhirnya banyak teksi tersadai selain ada yang dilupuskan di premis potong besi,” katanya.

    Kamarudin turut menyatakan bahawa pihak berwajib perlu merombak semula dasar sedia ada bagi mengurangkan jurang antara teksi dan e-hailing bagi mewujudkan persaingan sihat dalam industri pengangkutan awam, mengkaji semula kadar tambang sedia ada yang dibuat melalui kajian kerajaan pada 2014, serta merayu agar kerajaan mengawal selia kadar tambang dan kadar komisyen antara teksi dan e-hailing

    “Sudah tiba masanya kerajaan menyerapkan pemain industri yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan di dalam unit pembuat dasar untuk memulihkan semula industri ini,” katanya.

     
     
  • GALERI: Porsche Cayenne CKD 2022 di Malaysia – harga dari RM550k, kurang RM115k dari model CBU

    GALERI: Porsche Cayenne CKD 2022 di Malaysia – harga dari RM550k, kurang RM115k dari model CBU

    Sejak akhir Mac lalu, unit pemasangan tempatan pertama untuk Porsche Cayenne sudah pun keluar dari kilang pemasangan Sime Darby di Kulim, Kedah. Untuk itu, kami membawakan galeri foto penuh SUV mewah ini untuk tatapan anda.

    Ditawarkan pada harga RM550,000 termasuk cukai dan duti, tetapi tidak termasuk dengan cukai jalan, insurans atau lain-lain pilihan, Cayenne CKD ini adalah RM115,000 lebih murah berbanding versi import sepenuhnya (CBU). Angka ini disebabkan faktor pengecualian cukai jualan sepenuhnya yang bakal berakhir pada 30 Jun 2022.

    Di bawah bonetnya, Cayenne diberikan enjin 3.0 liter pengecas turbo V6 petrol yang mampu menghamburkan kuasa 340 PS (335 hp) pada 5,300 rpm hingga 6,400 rpm dan tork 450 Nm pada 1,340 hingga 5,300 rpm. Penjana kuasa ini turut dipadankan dengan transmisi automatik Tiptronic lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda aktif, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.2 saat dan kelajuan maksimum cecah 245 km/j.

    GALERI: Porsche Cayenne CKD 2022 di Malaysia – harga dari RM550k, kurang RM115k dari model CBU

    Ciri standard yang diberikan termasuklah lampu utama LED dengan Porsche Dynamic Light System (PDLS), lampu belakang LED, kawalan suhu empat-zon, Porsche Communication Management (PCM) dengan skrin sesentuh 12-inci, perkhidmatan Porsche Connect dan kesepaduan Apple CarPlay, Porsche Advanced Cockpit, roda stereng sport, pedal penukar gear, konsol tengah dilengkapi Direct Touch Control dan Comfort Access.

    Versi CKD juga menerima lebih banyak kelengkapan berbanding CBU, termasuk roda rekaan RS Spyder 21-inci, sistem bunyi sekeliling Bose, tempat duduk larasan kuasa 14-hala dengan fungsi memori, Park Assist dengan pandangan sekeliling, belakang dan hadapan. Pembeli juga boleh memilih antara tiga warna luaran – Carrara White Metallic, Jet Black Metallic dan Quartzite Grey Metallic – bersama dua pilihan warna kulit untuk dalaman – Hitam dan dua-tona Black-Bordeaux Red.

    Pilihan kelengkapan yang turut disenaraikan menerusi laman web Porsche Malaysia termasuk
    Porsche Tequipment yang merangkumi jaring tempat simpan barang RM536), boot liner (RM842), alas lantai untuk semua-cuaca (RM1,027), produk penjagaan kereta (RM1,095) dan rak basikal (RM3,032).

    GALERI: Porsche Cayenne CKD 2022 di Malaysia – harga dari RM550k, kurang RM115k dari model CBU

    Selain itu, ia turut menawarkan Pakej Porsche Exclusive Manufaktur yang ditambah dengan pakej penggayaan SportsDesign (apron hadapan yang unik dan gerbang roda yang lebih menyerlah), sistem ekzos sport, kluster pencahayaan lapisan gelap, projektor pintu LED dengan logo jenama dan key fob yang sepadan dengan warna luaran dengan kesemuanya bernilai RM58,000. Akhir sekali, turut ditawarkan pakej personalisasi Porsche Design berharga RM38,888.

    Buat masa ini, hanya versi asas Cayenne sahaja yang dipasang di Malaysia. Manakala varian yang lebih tinggi iaitu Cayenne S dan Cayenne Turbo masih kekal dengan unit CBU, masing-masing ditawarkan pada harga RM907,315 dan RM1,507,375.

     
     
  • Maserati MC20 Cielo 2022 muncul dengan bumbung kaca boleh lipat, kuasa 630 PS dan tork 730 Nm

    Maserati MC20 Cielo 2022 muncul dengan bumbung kaca boleh lipat, kuasa 630 PS dan tork 730 Nm

    Maserati secara rasminya telah memperkenalkan MC20 Cielo, iaitu satu versi bumbung boleh buka bagi kereta sports MC20 mereka. Cielo membawa maksud ‘langit’, dan beratnya cuma bertambah 65 kg berbanding model coupe yang diperkenalkan sebelum ini.

    Cielo bukan setakat kereta convertible biasa kerana bumbungnya diperbuat daripada kaca elektrokromik, dan boleh dilipat kepada dua bahagian untuk ditutup dan dibuka dalam masa 12 saat. Hanya dengan sentuhan satu butang, bumbung ini boleh ditukar daripada lutsinar kepada kabur, dan menurut Maserati, penggunaannya tidak menjejaskan aerodinamik atau kekuatan kenderaan.

    Untuk bahagian mekanikal, MC20 Cielo masih sama seperti MC20 coupe, termasuk enjin iaitu unit V6 3.0 liter twin turbo Nettuno yang mampu menghasilkan kuasa 630 PS pada 7,500 rpm dan 730 Nm tork dari 3,000 rpm. Enjin ini boleh dikerah sehingga 8,000 rpm dan menampilkan sistem pembakaran pre-chamber yang diambil daripada Formula 1.

    Transmisi klac berkembar lapan kelajuan adalah standard, dan kuasa dihantar kepada roda belakang. Maserati masih belum menyiarkan catatan prestasinya, tetapi kita boleh menjangka ia tidak lari jauh berbanding versi coupe yang mencatat 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat, 0-200 km/j dalam masa 8.8 saat dan laju maksimum 325 km/j. Turut diberikan secara standard adalah differential mekanikal limited slip dan boleh kunci sendiri (unit elektronik dijual sebagai pilihan tambahan).

    Model yang anda lihat dalam gambar ini menggunakan warna metalik tiga lapis yang dipanggil sebagai Acquamarina, dan ia ditawarkan melalui program ubah suai Maserati Fuoriserie. Kereta ini juga datang dengan pelbagai sistem bantuan seperti brek kecemasan autonomous, informasi tanda jalan, kamera 360 darjah serta pelbagai lagi.

     
     
  • Legatus Metropolitan 2022 bakal dilancarkan di M’sia – skuter elektrik dengan jarak gerak 140 km, RM13k

    Legatus Metropolitan 2022 bakal dilancarkan di M’sia – skuter elektrik dengan jarak gerak 140 km, RM13k

    Selepas tiga tahun ditubuhkan, Legatus EV kini bersedia untuk memasuki pasaran Malaysia dengan produk pertama mereka, sebuah skuter elektrik bernama Metropolitan akan dilancarkan dalam masa dua bulan lagi.

    Direka lebih untuk penggunaan di dalam bandar dan jarak dekat, Metropolitan cuma boleh menyediakan jarak gerak 120 km dan laju maksimum 100 km/j. Pek bateri lithium ion phosphate yang digunakan berkapasiti 60 volt 50 Ah dan dikatakan boleh dicas penuh dalam masa tiga jam.

    Ada tiga mod penyampaian kuasa yang disediakan untuk penunggang pada skuter elektrik ini, dengan Mode 1 dapat memberikan jarak gerak sehingga 140 km, tetapi kelajuan yang berkurang sementara Mode 3 memberikan laju paling tinggi, bersamaan dengan skuter enjin 110 cc biasa, tetapi jarak gerak akan berkurangan.

    Perincian lain Metropolitan masih tidak boleh didedah, tetapi ia juga dilihat menggunakan motor elektrik yang terletak di luar, bukannya di dalam hab seperti kebanyakan skuter elektrik lain. Dipasang di dalam negara, ia kini sedang menunggu kelulusan VTA daripada JPJ dan diberitahu akan dijual sebagai satu pilihan yang mampu milik, dengan harga “sekitar RM13,000.”

    Berkenaan masalah risau dengan jarak gerak apabila menggunakan kenderaan elektrik, Legatus memberitahu, mereka kini dalam proses untuk melaksanakan projek infrastruktur awam perintis menggunakan Metropolitan. Ini akan membawa kepada khidmat penukaran bateri serta ekosistem mengecas kenderaan awam bagi pengguna EV.

     
     
  • Tiket perkhidmatan KTM ETS dan KTM Intercity bagi perjalanan pada Julai-Dis 2022 telah mula dijual

    Tiket perkhidmatan KTM ETS dan KTM Intercity bagi perjalanan pada Julai-Dis 2022 telah mula dijual

    Keretapi Tanah Melayu (KTM) telah mengumumkan jualan tiket bagi perkhidmatan KTM ETS dan KTM Intercity untuk perjalanan dari 1 Julai hingga 31 Disember 2022 telah pun mula dibuka.

    Buat masa ini, ETS mempunyai 32 perkhidmatan, termasuk 10 perkhidmatan untuk laluan KL Sentral-Butterworth, 10 perkhidmatan bagi laluan KL Sentral-Ipoh, lapan perkhidmatan untuk KL Sentral-Padang Besar, dua perkhidmatan bagi laluan Gemas-Butterworth dan dua perkhidmatan dari Gemas-Padang Besar.

    Manakala KTM Intercity pula beroperasi dengan 22 perkhidmatan termasuk dua untuk Ekspres Timuran, Enam Ekspres Selatan dan 14 bagi Timuran. Bermula 1 Julai, perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran akan kembali beroperasi dari stesen Johor Bahru Sentral ke Tumpat, begitu juga dengan Ekpres Selatan dari JB Sentral ke Gemas. Langkah ini diambil kerana laluan dari Kempas Baru ke JB Sentral telah ditutup untuk kerja-kerja naiktaraf trek berkembar.

    Tiket perkhidmatan KTM ETS dan KTM Intercity bagi perjalanan pada Julai-Dis 2022 telah mula dijual

    “Jualan tiket dibuka untuk tempoh enam bulan bagi membolehkan orang ramai merancang lebih awal, terutamanta yang ingin menyambut Hari Raya Aidiladha, cuti sekolah dan cuti umum yang lain. Pintu sempadan negara juga telah dibuka dan kami menjangka peningkatan kemasukan pelancong asing sehingga menjelang hujung tahun ini.

    “Pelanggan digalakkan untuk membeli tiket lebih awal bagi menikmati tambang lebih murah dan pilihan tempat duduk yang lebih banyak,” ujar CEO KTM Mohd Rani Hisham Samsudin.

    Selain itu, terdapat beberapa promosi yang dijalankan. Antaranya kempen Syoknya Naik Keretapi 2.0 yang dilancarkan pada 17 Mei lalu, menawarkan diskaun sebanyak RM15 dengan kod promo CUTIKERETAPI2 untuk perjalanan sehingga 30 November ini. Untuk perjalanan secara berkumpulan, pakej keluarga Malaysia menawarkan diskaun 25% untuk empat orang ke atas dalam transaksi tunggal dengan kod promo KMKTMB22.

    Tiket boleh dibeli menerusi aplikasi KTM (KITS) atau www.ktmb.com.my.

     
     
  • Lesen operasi pengendali e-hailing boleh ditarik balik atau digantung jika langgar surcaj lebih 200% – Wee

    Lesen operasi pengendali e-hailing boleh ditarik balik atau digantung jika langgar surcaj lebih 200% – Wee

    Lesen operasi syarikat pengendali e-hailing (EHO) boleh ditarik balik atau digantung jika mereka melanggar surcaj melebihi 200% daripada tambang asas iaitu antara 70 hingga 90 sen satu kilometer, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Menurut beliau lagi, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah diarahkan menyiasat perkara itu kerana surcaj tersebut telah diputuskan pada 2019 yang menjadi undang-undang yang telah dipersetujui.

    “Dari segi tambang asas untuk EHO mengenakan 70 sen hingga 90 sen satu kilometer. Mereka juga diberi kelonggaran mengenakan surcaj yang ada peraturan, melihat kepada permintaan dan penentuan harga dinamik,” katanya seperti yang dilaporkan oleh laporan The Star.

    Dalam masa yang sama, beliau juga mengingatkan supaya EHO tidak terus mendesak kerajaan dengan pelbagai permintaan dan alasan atau Kementerian Pengangkutan (MOT) terpaksa mengambil tindakan mengawal selia industri itu.

    Lesen operasi pengendali e-hailing boleh ditarik balik atau digantung jika langgar surcaj lebih 200% – Wee

    “Jangan paksa saya, satu hari nanti saya terpaksa mengawal selia (industri e-hailing). Saya tidak mahu sehingga kami terpaksa ganggu ekonomi gig, sebab itu saya kata kita kena buat secara harmoni,” katanya.

    Pelbagai alasan yang diberikan oleh EHO untuk menaikkan kadar tambang, antaranya
    permintaan mendadak susulan pengeluaran RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tidak cukup pemandu. Wee menyifatkan alasan itu tidak masuk akal dan dakwaan EHO bahawa MOT tidak membantu industri e-hailing sebagai amat mengecewakan kerana kerajaan telah memberi kemudahan kepada mereka untuk mencari pekerja.

    “EHO meminta keistimewaan supaya Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) untuk pemandu e-hailling dimansuhkan. Saya ulang perkara yang sama, kepada mereka yang mahu berkecimpung menjadi pemandu e-hailling, mereka perlu mendapatkan PSV. Ia adalah dasar yang jelas,” tegasnya.

    Tambah beliau, EHO juga tidak boleh menyalahkan MOT sekiranya mereka tidak boleh mencari pemandu kerana mereka telah diberi kelonggaran untuk kursus PSV yang dikendalikan di syarikat masing-masing.

    Lesen operasi pengendali e-hailing boleh ditarik balik atau digantung jika langgar surcaj lebih 200% – Wee

    Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru orang ramai yang mengalami tambang e-hailing empat kali ganda tinggi supaya tampil membuat laporan rasmi dan MOT tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika laporan itu didapati betul.

    Setakat ini, terdapat 28 syarikat e-hailling yang beroperasi di Lembah Klang termasuk yang berkapasiti kecil selain perkhidmatan teksi.

    “Ini membolehkan pengguna membuat pilihan menggunakan perkhidmatan yang lebih murah sekiranya tambang yang ditawarkan tidak munasabah.

    “Saya juga ingin tegaskan di sini bahawa MOT tidak memihak kepada EHO,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai perkara itu.

     
     
  • Selang masa lebih panjang bagi LRT Laluan KJ, MRT Laluan Kajang mulai hari ini, untuk kerja naiktaraf tren

    Selang masa lebih panjang bagi LRT Laluan KJ, MRT Laluan Kajang mulai hari ini, untuk kerja naiktaraf tren

    Rapid KL telah mengumumkan selang masa bagi LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Kajang. Di mana mulai hari ini, 26 Mei 2022, selang masa yang lebih panjang dilaksanakan untuk kedua-dua perkhidmatan berkenaan. Ia adalah bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf tren demi keselamatan dan keselesaan para penumpang.

    Kekerapan bagi LRT Laluan Kelana Jaya kini adalah setiap empat minit untuk waktu puncak dan setiap tujuh minit bagi waktu bukan puncak. Ia dilaksanakan pada setiap Isnin hingga Jumaat. Manakala bagi hujung minggu dan cuti umum pula, kekerapan ketibaan tren adalah setiap tujuh minit untuk sepanjang hari. Sebelum ini, selang masa paling pendek yang pernah dilaksanakan ialah 2.5 minit untuk waktu puncak pada hari biasa.

    Manakala bagi MRT Laluan Kajang pula, kekerapan ketibaan tren yang baharu ialah setiap enam minit untuk waktu puncak dan setiap 10 minit bagi bukan waktu puncak. Ia adalah untuk hari Isnin hingga Jumaat. Manakala kekerapan ketibaan tren setiap 10 minit sepanjang hari dilaksanakan untuk hujung minggu dan cuti umum. Sebelum ini, masa ketibaan tren adalah sekitar empat minit untuk waktu puncak pada hari biasa.

    Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya sedang ditambah baik dengan kos peruntukan sebanyak RM800 juta untuk “mid-life refurbishment” melibatkan 28 set tren siri 818. Perkhidmatan terbabit akan menerima 19 set tren baharu menjelang suku keempat 2023. Langkah ini diambil bagi menangani isu tren bermasalah yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini sehingga menjadi rungutan para pengguna.

     
     
  • Kia EV6 GT-Line 2022 di Malaysia – bateri 77.4 kWj, jarak gerak 506 km, 325 PS/605 Nm; cecah RM300k?

    Kia EV6 GT-Line 2022 di Malaysia – bateri 77.4 kWj, jarak gerak 506 km, 325 PS/605 Nm; cecah RM300k?

    Selepas dilihat di Malaysia tempoh hari, Kia EV6 kini telah dipamerkan secara rasmi di Glenmarie Golf and Country Club sempena kejohanan Professional Golf of Malaysia (PGM) Kia Championship 2022, yang berlangsung dengan kerjasama pengedar Kia tempatan, Dinamikjaya Motors.

    EV6 merupakan model produksi elektrik sepenuhnya pertama dari Kia yang telah didedahkan pada peringkat global Mac lalu, dan ia dihasilkan menerusi platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP) sama dengan Hyundai Ioniq 5, yang telah pun dilancarkan di sini. EV6 turut akan dilancarkan dalam pasaran Malaysia tidak lagi, dilaporkan mungkin pada suku ketiga atau keempat tahun ini.

    Model yang dipamerkan ini adalah dari versi GT-Line, yang menampilkan perincian luaran seperti pelindung ruang roda yang diwarnakan dengan warna badan, serta apron hadapan lebih agresif dengan serlahan hitam berkilat. Apron belakang juga berbeza dari versi Wind biasa, serta diberikan rim 20-inci bersama tayar 255/45R20.

    Kia EV6 GT-Line 2022 di Malaysia – bateri 77.4 kWj, jarak gerak 506 km, 325 PS/605 Nm; cecah RM300k?

    Manakala untuk bahagian kabin, ia menampilkan warna hitam sebagai tema utama bersama serlahan-serlahan putih. Dua skrin bersaiz 12.3-inci diletakkan pada papan pemuka, serta hadir dengan perincian lain yang kami boleh lihat melalui cermin tingkap seperti sistem pendingin hawa dua-zon, upholsteri kulit vegan dan sued serta pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Berdasarkan pada nombor casis (VIN) pada cermin hadapan, EV6 yang dipamerkan ini adalah model pacuan semua roda dengan unit rangkaian kuasa versi Long Range, disertakan dengan bateri lithium-ion 77.4 kWj yang mampu bergerak sejauh 506 km dengan satu cas penuh .

    Ia juga menerima dua motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang yang mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 325 PS (321 hp atau 239 kW) dan tork maksima 605 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.2 saat dan mencapai kelajuan maksima 183 km/j.

    Kia EV6 GT-Line 2022 di Malaysia – bateri 77.4 kWj, jarak gerak 506 km, 325 PS/605 Nm; cecah RM300k?

    Sebagai perbandingan, Hyundai Ioniq 5 dalam varian tertinggi Max menerima bateri 72.6 kWj untuk jarak gerak sejauh 430 km, bersama konfigurasi dua motor elektrik pacuan semua roda berkuasa 305 PS (302 hp atau 225 kW) dan tork maksima 605 Nm membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j juga dalam masa 5.2 saat, dan mampu mencatatkan kelajuan maksima 185 km/j.

    Mungkin ramai yang sudah tengok sendiri Ioniq 5 depan mata – nampak macam saiz VW Golf dalam gambar, tetapi ia sebenarnya jauh lebih besar sehingga rim 20-inci pada hatchback berkenaan nampak seperti hanya 17-inci. EV6 ini pula adalah lebih besar dari Ioniq 5 dengan dimensi panjang 4,695 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,550 mm dan jarak roda sejauh 2,900 mm.

    Walau bagaimanapun, ini hanyalah unit yang dibawa untuk pra-tonton dan model sebenar untuk spesifikasi pasaran Malaysia masih belum dimuktamadkan. Kami jangkakan EV6 ini akan dijual pada harga lebih mahal dari Ioniq 5 kerana menampilkan perincian lebih baik seperti bateri dengan kapasiti lebih besar dan juga suspensi adaptif.

    Buat masa sekarang Ioniq 5 dijual pada harga bermula RM200k sehingga RM270k (spesifikasi penuh dengan waranti yang dipanjangkan), dan tempoh menunggu bagi mereka yang menempah sudah mencapai setahun. Jadi mungkin EV6 ini akan dijual pada harga mencecah RM300k?

     
     
  • Ford Ranger XL, XLT 2022 dilancarkan di Thailand — XLT kini dengan AEB, harga bermula RM71k-RM121k

    Ford Ranger XL, XLT 2022 dilancarkan di Thailand — XLT kini dengan AEB, harga bermula RM71k-RM121k

    Ford secara rasminya telah mengumumkan pengenalan Ranger XL dan XLT di Thailand, dua bulan selepas pengenalan Ranger Sport dan Wildtrak. Terdapat 12 varian ditawarkan untuk barisan XL dan XLT di sana, dengan harga bermula dari 554,000 baht (RM71k) hingga 943,000 baht (RM121k).

    Termasuk dalam harga itu adalah jaminan kilang lima-tahun atau 150,000 km, serta insuran kelas pertama percuma bagi tahun pertama. Menurut Headlightmag, XL ditawarkan dalam tiga gaya badan — Single Cab, Extended Cab dan Double Cab, sementara XLT hanya dalam versi Extended Cab atau Double Cab.

    Semua model menggunakan enjin 2.0 liter EcoBlue empat-silinder turbodiesel, menghasilkan sama ada 150 PS at 3,500 rpm dan 350 Nm dari 1,500 – 2,750 rpm, atau 170 PS pada 3,500 rpm dan 405 Nm dari 1,750 – 2,500 rpm. Ford menyatakan enjin berkenaan serasi dengan biodiesel B20, dan versi 170 PS itu hanya untuk barisan XLT sahaja.

    Pilihan untuk transmisi terdiri daripada manual lima-kelajuan, manual enam-kelajuan (kedua-dua versi berkongsi transmisi MT88 yang baru) atau automatik enam-kelajuan (6R80) bergantung kepada varian, tetapi automatik hanya bagi model terpilih XLT.

    Apa yang lebih menarik adalah walaupun untuk model paling asas 4×2 (dengan lampu utama reflektor, rim logam 16-inci, kemasan luaran tanpa cat dan dua beg udara) datang dengan panel instrumen digital lapan-inci, serta paparan skrin sentuh sebesar 10.1-inci, lengkap dengan sistem SYNC 4A.

    Ini membolehkan sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto, serta mempunyai e-SIM binaan dalam untuk kemaskini perisian OTA, fungsi hotspot WiFi, serta capaian telefon jarak jauh melalui aplikasi FordPass. Model Extended Cab menerima empat pembesar suara, sementara varian Double Cab menerima naik taraf dengan enam beg udara dan enam pembesar suara.

    Ford Ranger XL, XLT 2022 dilancarkan di Thailand — XLT kini dengan AEB, harga bermula RM71k-RM121k

    XLT pula menerima lampu utama LED reflektor dengan lampu DRL bentuk C, rim 17-inci, stereng multi-fungsi balutan kulit, corong pendingin hawa belakang dan kamera undur. Varian 4×4 pula datang dengan differential lock belakang elektronik serta mod pemanduan Terrain Management.

    Pakej pilihan RM5,000 juga boleh diambil bagi pelanggan XLT. Ini termasuk sensor parkir depan dan belakang, ESC dengan sistem perlindungan free wheel, bantuan mula mendaki dan penghindaran terbalik, lampu tinggi auto, AEB dengan pengesan pejalan kaki, amaran perlanggaran hadapan dengan sokongan brek dan bantuan mengekalkan lorong.

    Dengan itu, barisan Ranger di Thailand pun lengkap. Ranger Raptor telah pun dilancarkan di sana, dengan enjin 3.0 liter EcoBoost V6. Pikap prestasi tinggi itu dijual pada harga 1,869,000 baht, iaitu sekitar RM234k selepas tukaran mata wang. Semua model ini juga akan tiba di Malaysia tak lama lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025