Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Naza anjur Jualan Auto Merdeka mulai 31 Ogos ini – bakal lancarkan model baharu dari Naza Bikes

    NAZA World Auto-Mania 2.0_1

    Sempena meraikan ulang tahun ke-59 kemerdekaan di negara kita, Kumpulan Syarikat Naza bakal menganjurkan Jualan Auto Merdeka di Naza Automall, Petaling Jaya, mulai 31 Ogos hingga 4 September 2016, dari jam 10 pagi hingga 7 malam.

    Pelbagai aktiviti menarik bakal menanti kehadiran pengunjung, bukan setakat jualan kenderaan mewah seperti Ferrari, Maserati, Brabus, Mercedes-Benz (di bawah NZ Wheels), Chevrolet, Citroen, Peugeot, Kia, Perodua (di bawah Naza Mekar), Indian, Victory, Harley-Davidson, Ducati, Vespa, Aprilia dan Naza Bikes.

    Selain itu, Naza turut menganjurkan peraduan “Spend and Win” dengan menawarkan seunit Ducati Panigale sebagai hadiah utama serta hadiah saguhati yang merupakan lima unit Vespa LT150. Bukan itu sahaja, sesi cabutan bertuah juga akan diadakan termasuk peluang memenangi iPad Air 2 berserta banyak hadiah lain. Malah turut dianjurkan pameran kereta dan motor, peraduan Instagram, aktiviti untuk kanak-kanak dan banyak lagi.

    Acara kemuncaknya, Naza Bikes bakal melancarkan model baharu di karnival tersebut. Malah Chevrolet juga akan mempamerkan trak pikap Colorado serba baharu dan Brabus pula bakal mempertontonkan Startech Land Rover.

     
     
  • Prestasi jualan kenderaan bagi Julai 2016 mengikut jenama – kebanyakannya susut antara 10-50%

    Perodua Bezza Launch Stage

    Pada 19 Ogos lalu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan kenyataan media mengenai prestasi jualan dan produksi bagi Julai 2016.

    Mengikut MAA, rekod jualan kenderaan penumpang untuk bulan Julai 2016 telah mengalami penurunan yang mendadak dengan hanya 37,647 unit, berbanding 52,636 unit bagi tempoh yang sama tahun lalu. Bahkan rekod jualan tahunan dari Januari hingga Julai 2016 hanya tercatat sebanyak 282,004 unit, berbanding 339,244 unit pada tahun 2015.

    Begitu juga dengan rekod jualan kenderaan komersial, di mana tercatat sejumlah 4,824 unit bagi Julai 2016, berbanding 6,041 unit pada bulan yang sama tahun lalu. Malah perbezaannya juga ketara bagi rekod tahunan iaitu antara Januari hingga Julai, di mana tahun 2016 mencatatkan sebanyak 35,926 unit, manakala tahun 2015 pula sejumlah 41,687 unit.

    Di mana Perodua dilihat masih mendahului carta, biarpun mengalami sedikit penyusutan iaitu sebanyak 4,923 unit, dengan sejumlah 15,121 unit jualan pada Julai, berbanding 20,044 unit pada Jun 2016.

    Begitu juga dengan Honda yang menduduki tangga kedua, turun mengalami penurunan iaitu dengan jualan sebanyak 7,827 unit pada Julai 2016, menyusut 1,427 unit (berbanding 9,254 unit pada bulan sebelumnya). Manakala Toyota di tempat ketiga mengalami nasib yang sama dengan jualan sebanyak 5,028 unit, menurun sebanyak 1,775 unit (6,803 unit pada Jun), walau pun Hilux dan Fortuner baharu dilancarkan pada Mei lalu.

    Proton_Persona_Premium_Ext-2

    Mengalami penurunan dua kali ganda, nampak gayanya Proton harus bekerja lebih keras lagi selepas memperkenalkan Proton Persona 2016 semalam, apabila Perdana baharu dilihat tidak begitu membantu jualan Proton. Menyusut sebanyak 3,095 unit iaitu hanya mencapai jualan sekitar 3,866 unit pada bulan Julai.

    Dua jenama premium iaitu Mercedes-Benz dan BMW tidak terlepas dengan ‘senario penurunan jualan’ pada Julai lalu, dengan masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 940 unit (berbanding 1,234 unit pada Jun) dan 689 unit (760 unit pada Jun).

    Begitu juga dengan dua lagi jenama Jepun yang popular iaitu Mazda dan Mitsubishi yang turut menyusut jualannya, masing-masing dengan rekod sebanyak 686 unit (1,295 unit pada Jun) dan 669 unit (732 unit-Jun).

    Walau bagaimana pun, Subaru mampu tersenyum girang apabila mencatatkan peningkatan sebanyak 104 unit iaitu berjaya menjual 591 unit kenderaannya berbanding hanya 487 unit pada bulan sebelumnya. Mungkin juga ia didorong oleh promosi jualan XV dan Forester bagi model 2014/2015 dengan harga yang menjunam, turut menyumbang angka jualan yang memberangsangkan.

    Menurut MAA, jumlah jualan bagi Julai 2016 adalah kurang sebanyak 26% atau 14,887 unit berbanding tempoh yang sama pada 2015 adalah disebabkan dua faktor utama iaitu tempoh waktu bekerja yang pendek disebabkan cuti Hari Raya Aidilfitri dan juga permintaan yang lebih tinggi pada bulan Jun 2016 disebabkan perayaan yang sama.

    Ini bermakna Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi Jumlah Rekod Terkini (YTD) 2016 menurun sebanyak 16.5% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Diharapkan jualan kenderaan kembali stabil dan meningkat pada bulan-bulan seterusnya, apatah lagi selepas pelancaran model yang dinanti-nantikan termasuklah Perodua Bezza, Proton Persona 2016 dan akan datang, model baharu bagi Honda Accord, Toyota Vios, Proton Saga dan sebagainya.

    Carta di bawah ini menunjukkan rekod penuh bagi jualan kenderaan bagi Julai 2016 mengikut jenama:

    July-2016-Malaysian-car-sales

     
     
  • Yamaha Janus 2016 – skuter pertama Yamaha dengan Start/Stop, enjin BlueCore dan direka untuk wanita

    2016 Yamaha Janus 9 BM

    Yamaha Motor Co., Ltd sejak pertengahan Ogos ini sudah memperkenalkan skuter terbaharu keluarannya, Yamaha Janus 125 cc untuk pasaran di Vietnam. Menariknya model ini, varian tertingginya turut dilengkapi dengan sistem kunci pintar sebagai ciri standard serta menampilkan buat pertama kali sistem Start/Stop bagi skuter Yamaha.

    Disasarkan untuk penunggang wanita, Janus 125 cc dilengkapi dengan teknologi enjin BlueCore, dan menjadi model ketiga dengan teknologi berkenaan yang diperkenalkan di sana selepas Nozza Grande (2014) dan Acruzo (2015).

    Janus 125 cc ialah sebuah skuter asas yang direka untuk memberikan empat penawaran ini sebagai keutamaannya; rim 14 inci, enjin BlueCore yang menggabungkan prestasi dan penjimatan, casis dan rangka rekaan baharu yang ringan, pada 97 kg sahaja serta ruang simpanan barang di bahagian bawah tempat duduk dengan kapasiti 14 liter.

    Bagi ciri Start/Stop pula, yang membolehkan enjin dimatikan misalnya ketika menunggu di lampu isyarat, ia ditawarkan bagi dua varian yang lebih tinggi; Janus Deluxe dan Janus Premium. Bagi varian terakhir ini, ia turut disertakan dengan sistem kunci pintar.

    Pasaran motosikal di Vietnam mencatatkan permintaan sehingga 2.85 juta unit pada 2015, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan Yamaha. Daripada jumlah itu, skuter menyumbang 40% kepada angka berkenaan. Menurut Yamaha, Janus 125 cc dikelaskan sebagai skuter bagi volume-priced category, bermaksud syarikat itu mensasarkan model berkenaan dalam jumlah yang besar.

     
     
  • Gagal menyelesaikan saman parkir tertunggak, pesalah trafik tidak akan disenaraihitam – Aziz

    Public-Parking-Lots

    Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi telah menjelaskan berhubung polisi menyenaraihitamkan kenderaan yang tidak menyelesaikan bayaran saman tertunggak. Menurut laporan The Sun, Aziz memberitahu, hanya pesalah trafik yang memiliki saman tertunggak di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang akan disenaraihitamkan.

    Bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan orang awam berkenaan dengan kata dua yang diberikan oleh majlis perbandaran tempatan (PBT) untuk menyelesaikan saman parkir dan trafik, beliau berkata, setakat ini hanya tiga PBT yang diberi akses untuk menyepadukan dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk JPJ menyenaraihitamkan kenderaan yang memiliki tunggakan saman trafik.

    Tiga PBT tersebut ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis bandaraya Shah Alam (MBSA).

    Dalam masa yang sama, Aziz turut mengesahkan kenderaan yang disenaraihitamkan oleh JPJ tidak digunapakai bagi kompaun parkir yang dikeluarkan oleh mana-mana PBT.

    “Sebagai contoh, jika anda tidak membayar kadar parkir yang disediakan oleh PBT dan menerima saman, ia hanya tertakluk di bawah undang-undang kerajaan tempatan termasuk Penguatkuasaan Trafik Lalulintas (di bawah parkir bermeter) dan Perintah Lalu Lintas Jalan Raya (Peruntukan Mengenai Parkir).”

    Beliau turut menambah, walau bagaimana pun pihak PBT boleh mendakwa pesalah berkenaan di mahkamah atas kesalahan tidak membayar parkir tertunggak itu.

    Saman boleh dikeluarkan oleh PBT bagi kesalahan parkir di perhentian bas dan pili bomba, memandu atau menunggang di kawasan pejalan kaki, memarkir di petak kuning, dan semua kesalahan di bawah akta trafik.

    Aziz berkata, sebanyak 125 PBT telah dapat akses terus ke pangkalan data JPJ dengan tujuan untuk mendapatkan alamat pemilik kenderaan yang tidak menyelesaikan kompaun.

    “Ia sekadar perkongsian data dengan PBT untuk mereka menghantar notis peringatan kepada pemilik kenderaan untuk menyelesaikan saman, bukan tujuan disenaraihitamkan,” ujar Aziz.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC 250 SKD dilancar: AMG, RM326k

    Mercedes-Benz GLC 250 4Matic AMG Line 1

    Mercedes-Benz Malaysia telah pun melancarkan versi pemasangan tempatan bagi model Mercedes-Benz GLC 250 4Matic. Ia merupakan SUV pertama yang diproduksi di kilang pemasangan Mercedes-Benz yang terletak di Pekan, Pahang, yang turut ditampilkan dengan elemen yang sama dengan model semasa yang diimport sepenuhnya (CBU), bahkan turut disertakan dengan beberapa kit tambahan.

    Walau bagaimana pun GLC bukanlah model terurai-sepenuhnya (CKD), tetapi lebih kepada semi-terurai (SKD), dengan kerangka dan panel yang telah separa-kimpal dan dicat, didatangkan ke Malaysia dari Jerman. Menurut Timbalan Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Mark Raine, operasi CKD sepenuhnya bagi GLC akan dimulakan apabila fasiliti cat baharu ditambah pada kilang ini kelak.

    Didatangkan dengan spesifikasi AMG Line tunggal, model SKD ini ditawarkan pada harga atas jalan RM325,888 tanpa insurans, sama dengan harga CBU GLC 250 Exclusive dan kurang RM3,000 daripada AMG Line yang diimport. Ia turut termasuk dengan waranti empat-tahun, tanpa had perbatuan.

    Pada bahagian luarannya, model SKD ini seiras dengan model semasa AMG Line, turut didatangkan dengan kit AMG sepenuhnya, termasuk bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif, corong ekzos berkembar dan plat ambang protektif. Selain itu, ia turut ditampilkan dengan lampu utama LED Pintar, lampu belakang LED, pemijak sisi dan roda aloi pelbagai-jejari AMG 20-inci.

    Mercedes-Benz GLC 250 4Matic AMG Line 3

    Manakala bahagian dalamnya pula lebih kurang sama, dengan pakej gaya dalaman AMG pada kulit tiruan Artico, kekemasan kayuan berwarna hitam abu dan roda stereng pelbagai-fungsi tiga-jejari AMG. Malah ia turut menampilkan kemasukan tanpa kunci, bumbung gelangsar panoramik, kawalan suhu automatik tiga-zon Thermotronic, Bantuan Parkir Aktif, tirai tingkap sisi belakang dan pintu bonet belakang larasan kuasa yang boleh dibuka dengan Akses Bebas-Tangan.

    Selain itu, ia turut menampilkan sistem bunyi Burmeister 590 W 13-speaker yang disambungkan dengan sistem infotaimen asas Audio 20 CD, paparan tujuh-inci, sistem kamera 360-darjah dan sistem navigasi Garmin Map Pilot.

    Elemen tambahan termasuklah pad sesentuh dan perehat tapak tangan di atas kawalan COMAND pada terowong transmisi, pakej storan, pencahayaan ambien, plat ambang pintu iluminasi dan pencahayaan tompokan pada logo Mercedes. Manakala kit keselamatan pula lebih komprehensif dan termasuklah tujuh beg udara (termasuk satu untuk bahagian lutut pemandu), Bantuan Tambahan Pencegahan Perlanggaran, Bantuan Angin Lintang, Bantuan Perhatian dan sistem Pra-Keselamatan.

    Sudut mekanikalnya tiada perubahan, di bawah hudnya masih dipadankan dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 211 hp pada 5,500 rpm dan tork 350 Nm bermula 1,200 hingga 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan yang menyalurkan kuasa menerusi sistem pacuan semua-roda 4Matic.

    Jentera ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.3 saat, dan mencapai kelajuan maksimum sehingga 222 km/j. Penggunaan bahan api pula dianggarkan antara 6.5 dan 7.1 liter per 100 km mengikut kitaran European NEDC.

    Sistem suspensi sport AMG turut ditawarkan, dengan mengurangkan ketinggian sebanyak 15 mm. Model CBU yang memiliki Pakej Kejuruteraan Off-Road, dengan menambah fungsi Pengawalaturan Kelajuan Menurun Bukit (DSR) dan mod pemanduan Off-road, Kecondongan, Kelicinan dan Trailer pada sistem Pemilihan Dinamik, telah digugurkan.

     
     
  • Honda patenkan kotak gear 11-kelajuan dan tiga-klac

    Honda-DCT_BM

    Volkswagen, Porsche dan Audi sebelum ini tampil sebagai peneraju kotak gear klac berkembar yang memberikan prestasi penukaran gear yang sangat pantas, manakala pengeluar lain pula dilihat tampil dengan kotak gear 10-kelajuan seperti pada Lexus LC 500 dan trak Ford Raptor F-150 2017.

    Cukup dengan dua set klac atau 10-nisbah gear? Honda nampaknya bakal tampil dengan rekaan transmisi yang lebih sofistikated untuk masa akan datang setelah memfailkan paten kotak gear baharu di Pejabat Paten Jepun (JPO) menampilkan 11-nisbah gear (kelajuan), tiga klac serta tiga syaf gear utama, menurut laporan Auto Guide.

    Menurut laman berkenaan, Honda mengatakan kotak gear baharu honda ini berupaya untuk mengurangkan penyingkiran tork yang berlaku pada transmisi klac berkembar. Jadi, ia akan menjadikan penukaran gear lebih lancar serta memberikan kecekapan bahan api yang lebih baik.

    Setakat ini, Honda masih lagi menggunkan teknologi transmisi klac berkembar Honda DCT (gambar diatas), dan masih belum jelas adakah paten ini akan diterjemahkan dalam bentuk produksi.

     
     
  • VIDEO: Proton Persona 2016 – 8 perkara penting tentangnya yang perlu anda tahu dalam visual ringkas

    Selepas pengenalan Proton Perdana Jun lalu, hari ini merupakan satu lagi pencapaian besar buat Proton dengan pelancaran kereta sedan segmen B terbaharu keluarannya, Proton Persona 2016. Menggunakan platform Iriz, ia sebenarnya melibatkan usaha yang menyeluruh daripada pasukan pereka dan jurutera Proton.

    Tiga varian ditawarkan (termasuk Premium SE dengan tambahan aksesori bodykit dengan kos tambahan RM1,000), Proton Persona 2016 dijual pada harga antara RM46,000 hingga RM61,000. Sistem VSC adalah ciri standard bagi semua varian.

    Setakat hari ini, Proton sudah menerima 1,000 unit tempahan bagi model berkenaan, dengan sejumlah 2,500 unit sudah sedia untuk diedarkan kepada pengedar dan pelanggan terawal. Proton mensasarkan jualan 3,000 hingga 4,000 unit Persona baharu ini setiap bulan; angka yang sama dicapai oleh model sebelumnya.

    Di dalam video pendek ini, kami gariskan lapan perkara penting berkenaan Persona 2016 ini untuk memudahkan anda mengetahui apa yang membezakannya dari Iriz, mahupun Persona terdahulu. Selamat menonton dan jangan lupa kongsikan.

     
     
  • Pusingan U arah utara Lebuhraya Sungai Besi bakal ditutup sementara mulai 24 Ogos selama sebulan

    Jalan-Tun-Razak-traffic-dispersal-plan

    Pengurusan Besraya (M) Sdn Bhd (BMSB) telah memaklumkan pusingan U di KM B 0.8 arah utara Lebuhraya Besraya iaitu dari Razak Mansion ke pusat bandar akan ditutup sementara bermula esok (24 Ogos 2016) hingga 23 Sept ini.

    Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja penambahbaikan lorong di KM B 0.8 lebuh raya tersebut. Di mana
    pengguna lebuhraya yang ingin ke Salak Selatan disarankan agar menggunakan pusingan U sedia ada di Jalan Sungai Besi berhampiran Bangunan South Gate.

     
     
  • DRB-Hicom kekalkan pegangan strategik dalam Proton

    Proton Persona Launch-1

    Selain hal-hal berkaitan Proton Persona 2016 yang baru saja dilancarkan tengah hari tadi, ada beberapa penjelasan penting yang diberi penekanan oleh pihak DRB-Hicom berkaitan kepentingan syarikat itu di dalam Proton turut di sentuh di dalam sidang media yang berlangsung.

    Antaranya, berkaitan laporan bahawa DRB-Hicom ingin menjual 100% kepentingannya di dalam Proton dan sedang giat membuka peluang serta mencari rakan strategik asing yang baharu. Laporan berkenaan kemudiannya disangkal oleh Proton, dan hari ini, perkara berkenaan sekali lagi diberi penekanan agar ia tidak lagi mengelirukan.

    Untuk memahami konteks dan duduk letak sebenar perkara ini, ia bermula susulan daripada pemberian pinjaman mudah (soft loan) dari kerajaan yang berjumlah RM1.5 billion kepada Proton tahun ini. Bantuan itu bagaimanapun bersyarat; Proton perlu mencari rakan stragtegik dari luar untuk membolehkannya berkembang dengan lebih progesif dan berdaya saing selepas ini.

    Dan inilah sebabnya mengapa Proton ingin mencari rakan strategik asing yang baharu. Namun, ia tidak pernah bertujuan untuk menjual sepenuhnya kepentingan DRB-Hicom dalam Proton. Hari ini, Ketua Eksekutif Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar sekali lagi mengulangi bahawa DRB-Hicom akan mengekalkan pegangan strategiknya di dalam Proton walaupun dengan penglibatan rakan strategik asing yang baharu nanti.

    Bantuan mudah itu juga melibatkan penubuhan sebuah pasukan pemantau untuk memastikan Proton bergerak ke arah yang betul di dalam menggalas cabaran yang mendatang. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad juga hari ini menyatakan sokongan kerajaan terhadap Proton dan akan sentiasa komited membantu perjalanan Proton sebagai sebuah jenama kenderaan nasional agar mampu mencapai tahap yang lebih tinggi.

     
     
  • 150 kereta curi M’sia dihantar pulang dari Thai – PDRM

    Cloned-cars-1

    Sebanyak 150 kereta curi milik rakyat Malaysia yang ditemui di Thailand pada tahun lepas telah pun dihantar pulang ke Malaysia. Menurut Pegawai Perhubungan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kedutaan Malaysia di Thailand ACP Fauzi Khan Ismail, kesemua kereta itu menjadi mangsa sindiket curi kereta yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan.

    Katanya, kereta curi yang dihantar pulang itu terdiri daripada kereta mewah termasuk Mercedes Benz, BMW, Audi, Toyota, Honda dan pelbagai jenama lain, laporan Bernama.

    Ketika ditemui oleh pihak media dalam majlis penyerahan kereta curi Malaysia oleh Jabatan Kastam Thailand di ibu pejabat jabatan itu hari ini, Fauzi Khan turut berkata, PDRM perlu mematuhi segala peraturan dan undang-undang Thailand sebelum kereta curi Malaysia itu dapat dihantar pulang.

    “Kita telah meminta 40 (kereta curi Malaysia) tetapi disebabkan prosedur perundangan, kita hanya dapat dua kereta secara rasmi hari ini manakala 18 kereta lain masih dalam proses lagi,” katanya.

    Kes melibatkan 18 kereta mewah itu berlaku pada 2014 di mana ia dicuri dan dibawa masuk ke Thailand menerusi pelabuhan Laem Chabang menggunakan kapal kontena dari Singapura.

    Menurut Fauzi Khan, pihaknya akan berusaha menghantar pulang lebih banyak kereta curi Malaysia yang ditemui di Thailand pada tahun ini dengan kerjasama pihak berkuasa negara itu.

    Hari ini Ketua Pengarah Jabatan Kastam Thailand Kulit Sombatsri telah menyerahkan secara rasmi dua kereta curi terbabit kepada Duta Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain.

    Selepas penyerahan itu, kedua-dua kereta curi itu, Toyota Estima dan Honda Accord akan dihantar pulang ke Malaysia.

     
     
  • PANDU UJI: Mazda CX-5 2.2L SkyActiv-D – paradigma baharu teknologi diesel untuk kenderaan penumpang

    Mazda_CX-5_Diesel_Ext-3

    Mazda merupakan satu jenama dengan pasaran yang agak niche di Malaysia. Jualan jenama ini mungkin tidak sebanyak jenama Jepun lain, tetapi dengan ciri unik yang ada padanya, contohnya rekaan berkonsepkan ‘KODO Soul of Motion‘, enjin petrol SkyActiv-G dengan nisbah mampatan tinggi, serta kotak gear automatik SkyActiv-Drive dengan respon yang baik, membuatkan Mazda sentiasa mengekalkan pengikutnya tersendiri walaupun model-model mereka dijual pada harga yang lebih tinggi berbanding pengeluar senegaranya.

    Dengan bertambahnya stesen minyak yang menjual diesel berkualiti tinggi bergred Euro 5 dalam negara, Bermaz Motor mengambil inisiatif untuk mengembangkan lagi teknologi unik dari Mazda untuk rakyat Malaysia iaitu menawarkan barisan enjin diesel SkyActiv-D untuk model-model mereka iaitu Mazda 6 diesel, Mazda CX-5 diesel, Mazda CX-3 diesel serta Mazda 2 diesel.

    Pengenalan model-model ini dimulakan dengan pelancaran dua model buat permulaan iaitu Mazda 6 2.2L SkyActiv-D serta Mazda CX-5 2.2L SkyActiv-D. Serentak dengan hari pelancaran kedua-dua model ini, Bermaz turut mengadakan sesi pandu uji model baharu ini dari bilik pameran mereka di Glenmerie, Shah Alam ke Melaka. Dalam sesi berkenaan, saya diberi peluang untuk menguji kemampuan SUV segmen-C Mazda CX-5 2.2L SkyActiv-D.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Proton Persona 2016 terima penarafan 5-bintang dari ASEAN NCAP bagi kategori AOP, 4-bintang untuk COP

    BM-proton-persona-teaser-safety360-ep2-3

    MIROS telah mengumumkan hasil ujian Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) bagi Proton Persona 2016 yang baru dilancarkan sebentar tadi.

    Persona 2016 ini memiliki beberapa persamaan elemen standard. seperti Iriz termasuk dua beg udara hadapan, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Amaran Tali Pinggang Keledar (SBR) untuk pemandu dan penumpang hadapan, ISOFIX dan tali penambat bagi tempat duduk khas kanak-kanak

    Bagi kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Persona 2016 memperoleh 14.04 mata, sekaligus membolehkannya menerima penarafan lima-bintang. Bukan itu sahaja, Persona 2016 turut menerima penarafan empat-bintang bagi Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) apabila berjaya mencapai pematuhan sebanyak 82%. Keputusan yang diperoleh adalah sama dengan Proton Iriz memandangkan kedua-dua model ini berkongsi elemen keselamatan yang sama.

    PERSONA_NCAP

    Menurut Pengerusi ASEAN NCAP, Prof.Dr. Wong Shaw Voon, “Sebagai pengeluar kereta nasional, pastinya pengguna mahukan Proton mengeluarkan kereta yang bukan sahaja memiliki imej yang menarik, bahkan dilengkapi dengan elemen keselamatan yang praktikal dan diyakini. Dengan Persona, Proton telah memberikan pilihan kepada pengguna, daripada bentuk hatchback ke sedan (merujuk Persona sebagai Iriz versi sedan), tanpa berkompromi soal keselamatan.”

    Sambungnya lagi, ASEAN NCAP telah mengesahkan keputusan hasil data ujian kemalangan oleh Proton di MIROS CP3 dan turut membandingkannya dengan ujian yang pernah dilakukan terhadap Iriz. “Melalui ujian tersebut, Persona layak menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP. Tahniah kepada Proton atas pencapaian ini,” ujarnya lagi.

    Ketua Setiausaha ASEAN NCAP Khairil Anwar Abu Kassim pula berkata, “Terdapat banyak peningkatan bagi aspek keselamatan kereta yang dikilangkan di Malaysia dan rantau ASEAN secara umumnya, sejak penubuhan ASEAN NCAP. Malah kini kita juga boleh melihat tahap keselamatan terbaik bagi kenderaan yang diproduksi secara tempatan (CKD). Proton Persona antara contoh terbaik kerana memiliki tahap keselamatan yang sangat diperlukan. Tahniah Proton kerana memberikan elemen keselamatan sebagai standard kepada pengguna, bukan yang ditawarkan secara pilihan.”

     
     
  • Proton Persona 2016 secara rasminya dilancarkan – 1.6L VVT, empat varian, harga bermula RM47k

    Proton_Persona_Premium_Ext-3

    Akhirnya, sedan yang dipertaruhkan dalam menentukan jatuh-bangun Proton selepas ini – Proton Persona 2016 – dilancarkan secara rasmi sebentar tadi di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed, dengan diiringi CEO Proton Datuk Fuaad Kenali dan timbalannya Datuk Radzaif Mohamed.

    Seperti yang sudah kami dedahkan sebelum ini dalam ulasan pandu uji pengenalan Persona 2016 di litar ujian Proton lebih seminggu lalu, sedan ini diasaskan dari hatchback Proton Iriz. Ia ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard Manual, Standard CVT, Executive CVT dan Premium CVT.

    Untuk membezakan Persona dengan Iriz, ia dilengkapi dengan sepasang lampu dan gril hadapan yang lebih tirus. ‘Proton Wing’ pada Persona menampilkan palang krom yang lebih nipis dan menempatkan logo 3D Proton pada bahagian tengah. Bampar Persona pula menempatkan gril bahagian bawah yang besar berbentuk trapezoid, dan diapit lampu kabus bulat dengan perumah dengan rekaan seperti disikat ketas. Berbanding Iriz, Persona tidak menerima lampu hadapan projektor (hanya mentol biasa) dan lampu nyalaan siang.

    Lampu belakang Persona juga hanya menerima sepasang lampu dengan mentol biasa (berbanding lampu belakang LED pada Iriz), dimana kedua-duanya dihubungkan dengan bar krom yang tebal. Kemasan hitam dipadankan pada bahagian bawah bampar belakang, yang turut menempatkan sepasang reflektor serta lampu kabus tunggal yang diletakkan pada bahagian tengah.

    Proton_Persona_Premium_Ext-17

    Pada bahagian sisi, tiang-C Persona ditarik panjang kebelakang (menjadikan bahagian butnya kelihatan pendek), mewujudkan garisan badan berasingan diatas ruang roda belakang serta mengekalkan rekaan ‘bilah sisi’ dari Iriz. Kesemua varian diberikan roda aloi berdimeter 15-inci yang sama corak serta tayar yang sama saiz, tetapi berbeza kemasan serta jenis tayar (kemasan kelabu untuk dan varian standard, kemasan perak untuk varian Executive keatas. Manakala varian standard dan Executive diberikan tayar Silverstone Kruizer dan varian Premium diberikan tayar Goodyear Assurance).

    Persona hanya hadir dengan enjin 1.6 liter VVT petrol – untuk memisahkan segmentasinya dengan Saga (Saga selepas ini hanya akan hadir dengan enjin 1.3 liter). Dengan teknologi injap bervariasi (Variable Valve Timing atau VVT), penggunaan bahan api pada enjin ini didakwa mampu memberikan penjimatan sekitar 10% bagi versi transmisi automatik dan 13% bagi versi transmisi manual (dengan purata kelajuan pemanduan 90 km/j), jika dibandingkan dengan Persona generasi terdahulu yang dilengkapi enjin 1.6 liter Campro IAFM.

    Enjin yang digunakan secara mekanikalnya sama dengan enjin 1.6 liter pada Proton Iriz berkuasa 107 hp pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 4,000 rpm. Angka kuasa mungkin kelihatan sama, tetapi menurut Proton ia telah ditala agar sesuai bagi penggunaan sebuah sedan. Begitu juga dengan kotak gear CVT, walaupun ia diambil terus dari Iriz, tetapi ia telah ditala semula agar lebih lancar dan linear ketika memecut.

    Oleh itu, penggunaan bahan Persona 2016 dicatatkan pada 5.6 liter bagi setiap 100 km untuk versi manual dan 6.1 liter bagi setiap 100 km untuk transmisi CVT. Untuk prestasi Persona, mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.9 saat.

    Proton_Persona_Premium_Ext-26

    Walaupun enjin dan transmisi pada Persona diambil dari Iriz, enjin VVT ini diletakkan pada perut Persona dengan menggunakan hanya tiga cagak (mounting) enjin berbanding Iriz yang menggunakan empat cagak. Ini dilakukan untuk mengurangkan getaran dan bunyi enjin dari dipindahkan ke badan, seterusnya memberikan kadar NVH yang lebih rendah dan kadar kebisingan dapat diturunkan lagi sebanyak 6 desibel.

    Untuk kembali berhenti pada kedudukan pegun dari 100km/j pula, Persona baharu ini hanya mengambil jarak 41.4 meter berbanding 44.6 meter pada model generasi sebelum ini. Walaupun hanya meggunakan brek dram pada bahagian belakang berbanding brek cakera sebelum ini, jarak berkenaan dapat dipendekkan kerana ia dilengkapi pelbagai bantuan elektronik seperti ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA).

    Persona baharu ini mungkin kelihatan kecil, tetapi but belakang sedan ini mencatatkan kapasiti 510 liter, berbanding generasi sebelum ini yang hanya mempunyai but berkapasiti 470 liter. Tempat duduk belakang juga boleh dilipat dengan nisbah 60:40 bagi memberikan ruang yang lebih untuk mengangkat barang.

    Untuk sistem keselamatan, kesemua varian Persona dilengkapi dengan sistem kawalan kestabilan kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HHA), cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, selain dari ABS, EBD serta BA yang telah dinyatakan tadi. Varian Standard dan Executive dilengkapi dengan dua beg udara manakala varian Premium menerima enam beg udara. Dengan kesemua ciri ini, kesemua varian Proton Persona 2016 menerima penarafan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP) lima bintang.

    Bagi susunan dalam barisan model, varian Standard diletakkan pada keduduka paling asas – tidak mempunyai lampu kabus dan cermin sisi berwarna hitam. Varian Executive pula dilengkapi unit pemain audio 2-DIN biasa, tiang-B diwarnakan dengan warna badan. Untuk varian Premium, ia didatangkan dengan upholsteri balutan kulit pada tempat duduk dan roda stereng, skrin sesentuh unit infotaimen dengan sistem navigasi, kamera undur serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

    Kesemua ciri yang ada pada varian Premium diterapkan terus pada varian Premium SE tetapi ditambah dengan kit badan penuh dua ton termasuk spoiler pada but belakang.

    Secara ringkas dan lengkap, ciri-ciri dan harga untuk kesemua varian dirangkumkan seperti berikut:


    Brosur rasmi Proton Persona 2016 (klik untuk besarkan)

    Proton Persona 1.6 2016 Standard MT/CVT

    Varian ini datang dengan dua versi transmisi yang boleh dipilih iaitu manual lima-kelajuan dan CVT automatik. Kedua-dua versi ini hadir dengan ciri-ciri yang sama.

    Ciri-ciri

    • Ecodrive Assist
    • Lampu utama reflektor halogen (tinggi boleh laras)
    • Lampu kabus belakang
    • Penderia parkir depan dan belakang
    • Rim 15-inci kelabu (dengan tayar Silverstone Kruizer)
    • Cermin sisi dan pemegang pintu tidak dicat
    • Cermin sisi elektrik
    • Tiang-B warna badan
    • Penghidup enjin kunci dengan kunci kawalan jauh
    • Unit audio 1DIN & Bluetooth
    • Tempat duduk fabrik
    • Tempat duduk boleh dinaikkan
    • Kapasiti but belakag 510 liter
    • Cagak ISOFIX tempat duduk kanak-kanak
    • 2 beg udara
    • ABS dengan EBD dan BA
    • Vehicle Stability Control (VSC)
    • Hill-hold assist
    • Brek cakera depan, brek dram belakang

    Harga

    • 1.6 Standard 5MT – RM46,350 (solid), RM46,800 (metalik)
    • 1.6 Standard CVT – RM49,350 (solid), RM49,800 (metalik)

    Proton Persona 2016 1.6 Executive CVT

    Varian ini hanya hadir dengan kotak gear CVT sahaja.

    Ciri-ciri

    • Ecodrive Assist
    • Lampu utama reflektor halogen (tinggi boleh laras) dengan fungsi automatik
    • Lampu kabus hadapan
    • Lampu kabus belakang
    • Penderia parkir depan dan belakang
    • Rim 15-inci perak (dengan tayar Goodyear Assurance)
    • Cermin sisi dan pemegang pintu warna badan
    • Cermin sisi elektrik
    • Tiang-B warna badan
    • Penghidup enjin kunci dengan kunci kawalan jauh
    • Unit audio 2-DIN & Bluetooth
    • Konsol tengah warna kelabu berkilat
    • Port mengecaj USB
    • 60:40 lipatan kerusi belakang
    • Trim pintu fabrik
    • Tempat duduk fabrik
    • Tempat duduk boleh dinaikkan
    • Kapasiti but belakag 510 liter
    • Cagak ISOFIX tempat duduk kanak-kanak
    • 2 beg udara
    • ABS dengan EBD dan BA
    • Vehicle Stability Control (VSC)
    • Hill-hold assist
    • Brek cakera depan, brek dram belakang
    • Spoiler but belakang

    Harga

    • 1.6 Executive CVT – RM55,350 (solid), RM55,800 (metalik)

    Proton Persona 2016 1.6 Premium CVT

    Varian ini hanya hadir dengan kotak gear CVT sahaja.

    Ciri-ciri

    • Ecodrive Assist
    • Lampu utama reflektor halogen (tinggi boleh laras) dengan fungsi automatik dan follow me home
    • Lampu kabus hadapan
    • Lampu kabus belakang
    • Penderia parkir depan dan belakang
    • Rim 15 inci warna perak (dengan tayar Goodyear Assurance)
    • Cermin sisi dan pemegang pintu warna badan
    • Cermin sisi berkuasa dan boleh lipat
    • Tiang-B hitam
    • Sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin
    • Unit skrin sesentuh (Android) dengan Bluetooth dan kamera undur
    • Konsol tengah warna kelabu berkilat
    • Port mengecaj USB
    • 60:40 lipatan kerusi belakang
    • Trim pintu kulit
    • Tempat duduk dan stereng kulit
    • Tempat duduk boleh dinaikkan
    • Kapasiti but belakag 510 liter
    • Cagak ISOFIX tempat duduk kanak-kanak
    • 6 beg udara
    • ABS dengan EBD dan BA
    • Vehicle Stability Control (VSC)
    • Hill-hold assist
    • Brek cakera depan, brek dram belakang
    • Spoiler but belakang

    Harga

    • 1.6 Premium CVT – RM59,350 (solid), RM59,800 (metalik)

    Kesemua harga yang ditawarkan adalah harga atas jalan dengan insuran. Setiap pembelian Proton Persona turut dilindungi dengan waranti selama 5 tahun tanpa had perbatuan. Istimewa untuk pembeli yang menempah Persona sebelum 30 September ini, Proton juga menawarkan servis percuma selama tiga tahun (termasuk alat ganti dan upah). Khas untuk pembeli varian Premium, anda boleh memadankan kit badan sepenuhnya dua ton terdiri dari lips hadapan, skirt sisi dan lips belakang dengan bayaran tambahan RM1,000. Untuk anda yang berminat menempah Proton Persona 2016, anda boleh lawati laman Carbase.my untuk spesifikasi penuh serta bantuan dari penasihat jualan di sini.

    Proton Persona 2016 1.6 Premium CVT dengan kit badan

    Proton Persona 2016 1.6 Premium CVT

    Proton Persona 2016 1.6 Executive CVT

    Proton Persona 2016 1.6 Standard

    Keratan Rentas Proton Persona 2016

    GALERI: Gambar rasmi Proton Persona 2016

     
     
  • Beberapa jalan utama di KL ditutup pada 26 hingga 31 Ogos ini bagi raptai, sambutan Hari Kemerdekaan

    RON_95_vs_RON_97_Fuel_Test_Malaysia_ 038

    Beberapa jalan utama di sekitar Kuala Lumpur akan ditutup secara berperingkat mulai Sabtu ini, 26 Ogos hingga Rabu hadapan, 31 Ogos 2016, bagi kelancaran sesi raptai dan sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka.

    Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Supt Ahmad Adnan Basri, penutupan jalan secara berperingkat pada tarikh tersebut adalah mulai jam 6 pagi hingga 1 tengahari, laporan Bernama.

    Jalan-jalan yang terlibat ialah Jalan Travers/Jalan Damansara (Muzium Negara), Jalan Mahameru/Jalan Damansara (Carcosa), Jalan Mahameru/Jalan Damansara (dari arah mahkamah), Jalan Lembah/Jalan Perdana (Masjid Negara), Bulatan Hishamuddin/Jalan Lembah, Jalan Tembusu/Jalan Lembah, Jalan Kinabalu/Bulatan Hishamuddin, Jalan Cenderasari/Jalan Perdana, Jalan Leboh Pasar Besar/Jalan Hishamuddin.

    Ini termasuklah Jalan Leboh Pasar Besar/Jalan Mahkamah Persekutuan, Jalan Leboh Ampang/Jalan Tun Perak, Jalan Dang Wangi/Jalan Tuanku Abdul Rahman, Bulatan Dato’ Onn/Jalan Parlimen, Jalan Kinabalu/Bukit Aman, Jalan Tuanku Abdul Rahman/Jalan Raja, Jalan Raja/Jalan Hishamuddin, Jalan Parlimen/Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail/Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Munshi Abdullah/Jalan Dang Wangi.

    “Orang awam diminta menggunakan jalan alternatif atau pun pengangkutan awam jika hendak ke mana-mana di kawasan bandar ini,” ujarnya sambil mengesahkan seramai 150 anggota polis trafik akan bertugas pada 31 Ogos bagi mengawal lalu lintas di kawasan berkenaan.

    Tambahnya lagi, hanya kenderaan yang mempunyai pelekat khas sahaja dibenarkan memasuki Dataran Merdeka menerusi Bulatan Dato’ Onn menghala ke Jalan Gereja dan parkir di tempat letak kenderaan bawah tanah di kawasan berkenaan.

     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • DBKL bakal kunci tayar kenderaan yang salah parkir

    dbkl parking tow bernama pix

    Mulai 1 September ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan mengunci tayar kenderaan yang diletakkan sesuka hati sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

    Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, tindakan tegas itu akan dilaksanakan di seluruh ibu kota terutama di jalan-jalan utama kawasan tumpuan atau pelancongan, laporan Bernama

    Kawasan yang terbabit termasuklah Jalan Masjid India, Jalan Tun Sambanthan (Brickfield), Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Jalan Bulan, Jalan Changkat Bukit Bintang, Jalan Chow Kit, Jalan Kenanga, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Solaris Mont Kiara dan Jalan Klang Lama.

    Menerusi kajian dan penelitian Pemudah (Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan), DBKL mendapati sikap pengguna meletak kenderaan secara tidak bertanggungjawab ini menjadi antara punca utama kesesakan lalu lintas, mendorong tindakan sewajarnya diambil termasuk mengunci tayar kenderaan yang terbabit.

    Katanya, “Dari Januari hingga Julai tahun ini sebanyak 746,185 kompaun telah dikeluarkan kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas. Manakala sejumlah 232,726 kenderaan pula tidak membayar caj parkir serta 4,857 ditunda kerana kesalahan parkir, jadi tindakan lebih tegas perlu diambil,” katanya kepada pihak media.

    Mhd Amin berkata pemilik kenderaan perlu hadir dan menjelaskan bayaran denda berjumlah RM50 dalam tempoh empat jam tayar kenderaan dikunci bagi tuntutan semula sebelum tindakan menunda diambil dengan denda RM100 dikenakan.

    Pelaksanaan undang-undang itu adalah di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025