Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Jelajah Mitsubishi Triton Extra Hardcore beri peluang kepada orang ramai alami kelasakan kenderaan 4×4

    mitsubishi-triton-extra-hardcore-setia-alam-3

    Masih lagi berlangsung sehingga esok (2 Oktober 2016) di tapak letak kenderaan Pusat Konvensyen Setia Alam, kempen jelajah Mitsubishi Triton Extra Hardcore memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai kemampuan kenderaan 4×4 Mitsubishi dari tempat duduk penumpang.

    Satu trak khas diletakkan di tapak acara dan padanya terdapat halangan seperti tanjak memuncak, jalan bertangga, curam sisi dan tanjak tidak rata. Setelah mendaftar secara percuma, peserta akan dibawa menaiki kenderaan termasuk Triton dan Pajero Sport untuk melalui laluan mencabar ini.

    Lebih mengujakan, sesi ‘taxi ride’ bersama atlet sukan permotoran Malaysia, Leona Chin dan juara rali, Kenneth Koh juga dibuka untuk semua dan dalam sesi itu, pemandu profesional ini akan membuat aksi menggelungsur (drift) menggunakan Triton dipertingkat yang baru sahaja diperkenalkan kepada pasaran awal bulan lalu. Kenderaan ini menggunakan enjin MIVEC 2.4 liter VGT turbo diesel berkuasa 181 PS.

    Setelah tamat di Setia Alam ini, jelajah Mitsubishi Triton Extra Hardcore akan singgah pula di Juru Auto City, Pulau Pinang pada 8 dan 9 Oktober, seterusnya di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 15 dan 16 Oktober 2016. Acara ini berlangsung dari jam 10 pagi hingga jam 8 malam manakala sesi ‘taxi ride’ bersama Leona dan Kenneth pula berakhir jam 7 malam.

     
     
  • Harga bahan api bagi Oktober 2016 – petrol RON95 dan RON97 naik 10 sen, diesel naik 5 sen

    Petronas-Primax-97-Euro-4M-002-BM

    Selepas harga bahan api RON95 dan RON97 diumumkan turun sebanyak 5 sen pada bulan lalu, berkuatkuasa 12:01 tengah malam ini, terdapat perubahan pada harganya.

    Bagi bulan Oktober 2016, kedua-dua bahan api tersebut mengalami kenaikan masing-masing sebanyak 10 sen, iaitu RM1.80 seliter bagi RON95 dan RM2.15 seliter untuk RON 97.

    Malah harga bagi diesel juga mengalami kenaikan sebanyak 5 sen, iaitu RM1.75 seliter, berbanding bulan lalu RM1.70 seliter iaitu dua bulan berturut-turut tiada perubahan. Manakala diesel Euro5 juga naik 5 sen iaitu RM1.85 seliter, berbanding RM1.80 seliter pada bulan lalu.

    Pada September 2016, RON95 berharga RM1.70 seliter, RM2.05 bagi RON97 dan RM1.70 untuk diesel.

     
     
  • VIDEO: Mercedes-Maybach 900 dipersiap secara khas

    Mercedes-Maybach yang ditampilkan dalam video ini adalah versi khas yang diubahsuai daripada Mercedes-Maybach S600. Asalnya, enjin 6.0 liter V12 pada kenderaan ini mempunyai kuasa 523 hp – yang mana sebenarnya sudah cukup memuaskan tetapi dipertingkat sehingga kapasitinya menjadi 6.3 liter dan berkuasa 888 hp.

    Antara kelengkapan pada bahagian enjin yang diberi naik taraf adalah custom billet crankshaft, piston diperkuat, rod penyambung diimbang secara tepat, pengecas turbo lebih besar, manifold baharu dan pembalut kalis haba warna emas.

    Bukan setakat pada enjin sahaja, luar dan dalam kenderaan ini turut dipertingkat dengan kemasan yang lebih menggambarkan prestasi serta kemewahan seperti kemasan gentian karbon, kulit Alcantara serta sistem bunyi yang mempunyai kualiti seperti di dalam panggung wayang.

    Sudah tentu, bagi kenderaan yang dijual pada harga €508,000 (RM2.7 juta) di Jerman ini, ia memerlukan peralatan khas untuk memastikan kekemasannya dan dalam video ini anda akan dapat melihat bagaimana SGS Engineering melaksanakan tugas tersebut.

     
     
  • Audi RS3 LMS – Jentera versi perlumbaan sebenar dibina untuk kategori TCR, 2.0 liter TFSI, 330 hp

    audi-rs3-lms-tcr-racecar-05_bm

    Selain dari RS3 sedan versi jalanan, Audi turut memperkenalkan RS3 sedan yang dibina khas untuk tujuan perlumbaan. Audi Sport customer racing telah mendedahkan Audi RS3 LMS yang bakal digunakan di litar-litar lumba pada tahun 2017.

    “Audi telah aktif dalam sukan permotoran pada peringkat tertinggi untuk berberapa generasi. Dengan Audi R8 LMS, Audi Sport Customer Racing, dalam masa yang singkat, mampu untuk membina program sukan bermotor untuk pelanggan bersama komitmen pasukan rasmi dalam WEC dan DTM. R8 LMS telah menjadi pendahulu pasaran dalam segmennya sejak itu. Kami mempunyai rancangan yang sama untuk RS3 LMS, yang menawarkan pelanggan dengan peluang menarik untuk memulakan perlumbaan bersama Audi yang mengujakan,” kata Stephan Winkelmann, Pengarah Urusan di Audi Sport.

    Audi RS3 LMS dibina untuk perlumbaan kategori TCR, yang sebenarnya masih lagi baharu. Untuk tambahan kepada siri TCR antarabangsa, dengan berberapa perlumbaan diadakan sebagai perlumbaan sokongan Formula 1, kini lebih banyak siri perlumbaan touring car nasional TCR diadakan. Perlumbaan-perlumbaan endurance seperti Nurburgring 24 Jam juga kini mempunyai kategori TCR.

    audi-rs3-lms-tcr-racecar-08_bm

    “Pasaran TCR kini mempunyai potensi yang lebih besar berbanding kategori GT3. Pada 2016, sebanyak 10 siri TCR dengan perlumbaan di 18 negara, dan lebih banyak lagi siri akan ditambah. Dengan RS3 versi TCR kami juga turut sampai ke negara yang tiada siri GT3 diadakan,” kata Chris Reinke, ketua Audi Sport customer racing.

    “Kos untuk perlumbaan TCR sangat rendah. Dalam aspek sokongan dan pembekalan komponen, mereka akan mendapat kelebihan atas pengalaman yang kami kumpulkan dengan Audi R8 LMS sejak 2009, di mana pelanggan GT3 kami berpuas hati,” tambah beliau.

    Untuk memenuhi peraturan kategori perlumbaan, jentera perlumbaan sebenar RS3 LMS ini dijana oleh enjin perlumbaan 2.0 liter TFSI berkuasa 330 hp, berbanding versi jalan rayanya yang dijana enjin 2.5 liter lima silinder TFSI berkuasa 400 hp. Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat, sedikit perlahan dari RS3 versi jalan raya yang mampu mencatatkan masa hanya 4 saat. RS3 LMS mencatatkan kelajuan maksima 240 km/h.

    Kelengkapan lain yang dilengkapi pada jentera perlumbaan ini termasuk tangki minyak keselamatan yang diluluskan FIA, roll cage, tempat duduk perlumbaan, jaring keselamatan FIA pada kedua-dua belah tempat duduk, dan rescue hatch pada bumbung seperti yang terdapat pada Audi R8 LMS.

    Audi Sport customer racing akan mula menghantar RS3 LMS kepada pelanggan pertamanya Disember ini, sebelum siri perlumbaan besar TCR untuk tahun 2017 bermula. Ia dijual pada harga 129,000 euro (RM599,312) termasuk VAT untuk versi TCR dengan kotak gear perlumbaan enam-kelajuan sequential dan 99,000 euro (RM459,906) untuk versi clubsport.

     
     
  • SsangYong LIV-2 Concept – penyambung generasi Rexton, versi produksi akan diperkenal pada 2017

    ssangyong-liv-2-concept-01-850x486bm

    SsangYong LIV-2 Concept yang dipertonton semasa Paris Motor Show ini mungkin nampak seperti sebuah kereta konsep tetapi sebenarnya sudah hampir bersedia untuk produksi – buang sahaja lampu pameran dan tayar itu, dan bayangkan semua bahagian dalamnya berwarna hitam, ia seperti sudah siap.

    LIV-2 yang membawa maksud Limitless Interface Vehicle-2 adalah sebuah SUV premium bersaiz besar dan merupakan evolusi daripada LIV-1 Concept yang pernah dipertonton semasa Seoul Motor Show tahun 2013. Membawa tema ‘Dignified Motion’ dan falsafah pembangunan ‘Robust, Specialty, Premium’, LIV-2 tampil gagah dan maskulin.

    SsangYong memberitahu kereta produksi akan diperkenalkan pada tahun 2017 dan ia akan menjadi ‘model strategik utama’ untuk syarikat itu, seterusnya memacu pertumbuhan pada masa hadapan. Kenderaan yang menggunakan pacuan 4×4 ini akan menggunakan struktur body-on-frame dan dilengkapi dengan enjin 2.2 liter Euro 6 buatan SsangYong sendiri yang mempunyai tork 420 Nm dari 1,500 rpm hingga 2,500 rpm.

    Enjin ini menggunakan VGT elektronik dan melakukan pengiraan untuk mengurangkan geseran seperti pam minyak boleh ubah dan pek piston ring ketegangan rendah. Pusingan semula gas ekzos pada tekanan rendah dapat mengurangkan pengeluaran NOx semasa di rpm dan beban tork tinggi. Ia akan dipadankan dengan kotak gear automatik tujuh kelajuan daripada Mercedes-Benz. Turut akan ditawarkan adalah enjin 2.0 liter GDi petrol turbo.

    Konsep rekaan di bahagian kabin adalah seperti ruang rehat eksekutif kontemporari dalam limosin yang dipandu orang lain, dengan banyak ruang untuk bekerja atau beristirehat, dan teknologi komunikasi yang maju. Dua tempat duduk berasingan di belakang dipisahkan dengan konsol tengah. Tempat duduk itu mempunyai fungsi mengurut dan terdapat lampu suasana yang boleh dilaras di bahagian atas. Bagi versi produksi, mungkin tempat duduk yang lebih biasa akan digunakan.

    Sistem komunikasi bersepadu dalam SsangYong LIV-2 Concept datang dengan tiga skrin paparan – 9.2 inci di tengah, dan 10.1 inci di setiap penyandar kepala hadapan. Ia juga dilengkapi dengan WiFi, sambungan Apple CarPlay/Android Auto dan kualiti hiburan premium. Semuanya boleh dikawal dari konsol tengah di tempat duduk barisan kedua. Masuk ke produksi nanti, mungkinkah model ini akan menggunakan nama Rexton?

     
     
  • Shell lancar edisi terhad Koleksi Kanister Warisan sempena sambutan ulangtahun ke-125 di Malaysia

    image002

    Berita baik untuk pengumpul cenderamata dari Shell, sempena sambutan ulangtahun ke-125 Shell di Malaysia, syarikat petroleum berkenaan telah melancarkan Koleksi Kanister Warisan Shell edisi terhad. Koleksi kanister dengan rekaan menyerupai bentuk-bentuk stesen dan pam minyak Shell dari era 1920 hingga era 1980 berkenaan sudahpun boleh didapati di stesen servis Shell seluruh negara bermula 18 September hingga 31 Oktober 2016.

    “Shell telah memperkasakan Malaysia, serta perjalanan rakyat Malaysia di jalan raya yang tidak terkira. Kami telah menempuh perjalanan yang jauh dan rekaan stesen serta pam kami perlu berubah seiring dengan masa. Kami mahu memberikan pelanggan kami peluang untuk membawa balik sebahagian kecil dari sejarah kami menerusi koleksi edisi terhad ini. Kami harap rekaan berkenaan mampu membangkitkan semula nostalgia, dan memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus maju dalam masa akan datang,” kata Ben Mahmud, Ketua Pemasaran Runcit , Shell Malaysia Trading Sdn Bhd.

    Kanister ini hadir dengan dua saiz iaitu mini dan besar. Pelanggan yang berbelanja dengan jumlah minimum RM40 untuk mana-mana bahan api Shell layak untuk membeli kanister besar pada harga RM12.90 sebuah, yang turut hadir bersama magnet peti sejuk. Untuk pelanggan yang membeli mana-mana barangan di kedai Shell Select bernilai sekurang-kurangnya RM6 atau mana-mana promosi Shell Select, layak untuk membeli kanister mini pada harga RM7.90 sebuah. Rekaan baharu akan diperkenalkan setiap minggu, dan boleh didapati di semua stesen Shell seluruh negara sehingga kehabisan stok.

    Tambahan kepada set kanister berkenaan, kanister dengan rekaan Lori Tangki Minyak Shell Edisi Terhad dan Kit Penjagaan Kereta Helix dengan rekaan kanister seperti minyak enjin Shell vintaj turut diperkenalkan. Pelanggan layak untuk membeli Lori Tangki Minyak Shell dengan harga RM12.90 setelah membeli mana-mana bahan api Shell dengan jumlah minimum RM40. Pelanggan perlu membeli minyak pelincir Shell Helix HX5 3L/4L untuk melayakkan mereka membeli Kit Penjagaan Kereta pada harga RM12.90 sebuah. Manakala dengan pembelian minyak pelincir premium Shell Helix Ultra atau HX7 (4L), pelanggan akan menerima kit berkenaan dengan percuma, sehingga kehabisan stok.

     
     
  • Volkswagen I.D Concept akan bawa transformasi – dirancang masuk fasa produksi menjelang tahun 2020

    volkswagen-i-d-concept-10-850x567bm

    Pembuat kereta dari Wolfsburg, Jerman iaitu Volkswagen ingin membuat transformasi dalam barisan produknya dan model pertama yang akan menggalas cabaran ini adalah Volkswagen I.D Concept. Ia diangkat sebagai kenderaan elektrik generasi baharu dan mengikut perancangan, akan memasuki fasa produksi pada tahun 2020.

    Rekaan yang digunakan berkonsepkan minimalis dan sesuatu yang baru bagi kenderaan elektrik kompak – bampar, lampu dan c-pillar bermotif heksagon dan penutup but belakang warna hitam yang seakan bersambung dengan bumbung panoramiknya. Turut digunakan adalah kemasan berwarna biru termasuk pada tayar.

    Di dalam, kenderaan ini membawa konsep ruang terbuka, dengan kelengkapannya boleh dikawal menggunakan pemuka sesentuh. I.D Concept mempunyai saiz lebih pendek berbanding Golf tetapi ruang dalamnya boleh menyamai Passat hasil peletakan motor elektrik di gandar belakang dan bateri di lantai.

    Pemandu boleh masuk dan menghidupkan kenderaan ini dengan menggunakan telefon pintar yang bertindak sebagai kunci digital, dan setiap pemandu akan menerima pengenalan Volkswagen ID yang menyimpan informasi seperti tetapan tempat duduk, pendingin hawa, stesen radio, senarai lagu, sistem bunyi, hubungan dan navigasi.

    Satu janji yang dikeluarkan oleh Volkswagen mengenai kereta ini adalah ia boleh bergerak sehingga jarak 600km melalui motor elektrik berkuasa 170 PS dan ini adalah hasil daripada penggunaan platform Modular Electric Drive Kit (MEB) baharu. Harganya pula berada pada tahap seperti Golf, dengan kuasa yang sama.

    Pada tahun 2025, Volkswagen I.D akan dijadikan boleh bergerak sendiri (fully-autonomous) dalam mod Pilot dan stereng akan masuk ke dalam, memberi gambaran yang lebih menyamai seperti di angkasa.

     
     
  • Audi Puchong secara rasminya dibuka

    photo-1

    Audi Malaysia telah mengumumkan Swire Motor sebagai pengedar sahnya yang terbaharu dan bilik pameran sementara Audi Puchong milik syarikat berkenaan kini secara rasminya dibuka. Bilik pameran sementara yang terletak di SetiaWalk Mall tersebut disokong oleh pusat servis berasingan yang terletak dilokasi berdekatan. Kedua-dua fasiliti berkenaan bakal digantikan dengan pusat 3S yang komprehensif serba baharu dalam masa dua tahun akan datang.

    Pengarah Pemasaran Audi Malaysia, Rudi Venter menyatakan, ” Dengan kedudukannya di tengah-tengah Lembah Klang, Puchong merupakan daerah yang penting untuk Audi di Malaysia dari perspektif jualan dan selepas jualan. Kami di Audi Malaysia gembira kerana Swire Motors menyertai kami dalam jaringan pengedar dan saya tidak sabar untuk memanfaatkan pengalaman automotif mereka yang besar di Malaysia dan di pasaran serantau lain seperti Taiwan, Hong Kong dan China. Penyertaan Audi Puchong dalam rangkaian pengedar sah kami adalah tepat pada masanya dan ia juga seiring dengan pelancaran Audi A4 serba baru, yang bukan sahaja model yang paling popular, tetapi juga penanda aras bagi segmen eksekutif junior.”

    Eric Khoo iaitu Pengurus Besar Swire Motors Asia Tenggara pula menyatakan, “Audi merupakan satu jenama automotif premium yang berdasarkan pemikiran progresif, sporty dan canggih, jadi pembukaan rasmi Audi Puchong pasti menandakan satu pencapaian penting bagi kami di Swire Motors. Kami mempunyai rancangan yang besar dalam bulan-bulan akan datang dan dengan komitmen Audi Malaysia untuk mencapai kecemerlangan dan prestasi Swire Motor di Malaysia yang terbukti, saya amat yakin bahawa kami akan dapat mencapai sesuatu yang hebat.”

    Sebagai outlet rasmi jualan yang kelapan Audi di Malaysia dan yang pertama dari Swire Motors, fasiliti sementara Audi Puchong mampu mempamerkan empat kenderaan di bilik pameran berkeluasan 3,500 kaki persegi, manakala fasiliti pusat servis sementara akan mempunyai tiga ruang servis. Buat permulaan, Audi Puchong beroperasi dengan sejumlah 20 kakitangan, dan akan meningkat kepada 40 orang kakitangan apabila pusat 3S serba baharunya beroperasi sepenuhnya pada 2018.

     
     
  • BMW perkenal pusat 4S baharu di Alor Star

    bmw-01-3

    Bilik pameran dan pusat servis BMW di Alor Star, Kedah milik Lee Motors Auto Care kini telah dinaik taraf kepada pusat berstatus 4S. Terletak di Lorong Perak, kini syarikat tersebut mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan di seluruh negeri berkenaan dan kawasan-kawasan yang berdekatan.

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun, ketika memperkenalkan pengedar baharu BMW berkata, “Bahagian utara merupakan kawasan yang penting kerana ia menyumbang kepada jualan lebih 3,000 buah kenderaan dalam segmen premium. Sejajar dengan itu, pengembangan baru ini mencerminkan komitmen kami terhadap jenama dan pelanggan-pelanggan kami. BMW Group Malaysia telah lama mengenali Lee Motors – mereka telah menjadi rakan kongsi utama kami sejak 13 tahun yang lalu dan pengembangan terbaru ini mencerminkan wawasan mereka.”

    bmw-02-2

    Ruang pameran serba baharu yang berkeluasan 15,000 kaki persegi berbanding hanya 8,000 kaki persegi sebelum ini, dibina berdasarkan konsep dan rekabentuk yang yang menampilkan perabot serta identiti terkini jenama BMW. Ia menepati semua standard dan spesifikasi bertaraf antarabangsa jenama berkenaan. Ruang pameran yang serba baharu itu menempatkan pejabat untuk kakitangan jualan, Isetta Café dan lounge pelanggan yang berfungsi sebagai ruang penyerahan dan perbincangan. Manakala pusat servis yang telah dinaik taraf pula dilengkapi dengan ruang pejabat untuk penasihat servis, Isetta Café, serta 4 ruang servis bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

    Ruang pameran Lee Motors yang baharu terletak di No 86-C, Lorong Perak 18, Kawasan Perusahaan Mergong II, 05150 Alor Setar, Kedah manakala pusat servis yang telah diubahsuai dan dinaik taraf kekal beroperasi di 302, Lorong Perak 16 Mergong II, 05150 Alor Setar, Kedah.

     
     
  • Audi RS 3 Sedan diperkenalkan – 2.5 liter TFSI, lima silinder, 400 HP/480 Nm, 0-100 km/j hanya 4.1 saat

    audi-rs3-sedan-01_bm

    Pada acara Paris Motor Show tahun ini, Audi telah mendedahkan model prestasi sebenar dan varian tertinggi dalam barisan model A3 iaitu RS 3 sedan. Model ini merupakan sedan A3 pertama yang diberikan lencana RS (sebelum ini hanya model Sportsback RS 3) dan dipadankan dengan enjin lima silinder paling berkuasa dalam dunia.

    Enjin 2.5 TFSI baharu yang menjana RS 3 ini mampu menghasilkan kuasa 400 hp (33 hp lebih dari Sportsback RS 3 sebelum ini) dan tork maksima 480 Nm bermula 1,700 hingga 5,850 rpm. Enjin ini dipadankan dengan crankcase aloi sepenuhnya membolehkan beratnya dikurangkan sebanyak 26 kilogram lebih ringan berbanding enjin sebelum ini.

    Dua penyuntik bahan api dibekalkan untuk setiap silinder enjin iaitu satu pada manifold kemasukan serta satu lagi suntikan terus ke kebuk pembakaran, bagi memberikan suapan bahan api yang lebih cepat, responsif serta efisien. Sistem pemasaan bukaan injap bervariasi (valvelift) turut dipadankan pada setiap injap ekzos bagi memberikan binaan kuasa yang lebih optimal serta merendahkan lagi penggunaan bahan api.

    Seperti yang diketahui, enjin lima silinder menghasilkan bunyi deruman yang mengasyikkan dengan karekter tersendiri. Bunyi dari enjin TFSI Audi ini juga dihasilkan dari corak pengagihan pencucuhannya yang unik dan ia boleh dikawal menerusi mod pemanduan Audi Drive Select dan dihubungkan bersama flap boleh laras pada sistem ekzos.

    audi-rs3-sedan-10_bm

    Kuasa dilalirkan ke setiap roda menerusi kotak gear klac berkembar S-Tronic tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda Audi Quattro, dengan unit karbeda klac pelbagai elektro-hidraulik mengagihkan tork antara gandar. Menerusi sistem ini juga, lebih tork segera akan dialirkan gandar belakang bagi memberikan karekteristik lebih tangkas dan sporty pada pengendaliannya.

    Dengan gabungan kesemua sistem ini, RS 3 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.1 saat dan kelajuan maksimanya dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. Walau bagaimanapun, pemilik boleh memohon kepada Audi untuk membuka had kelajuan tersebut, membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 280 km/j.

    Selain dari mengawal bunyi enjin seperti yang disebutkan tadi, mod pemanduan Audi Drive Select turut berintegrasi dengan sistem pengendalian dinamik yang turut melaras talaan stereng, transmisi S-Tronic, dan talaan pengurusan enjin dengan tiga mod yang boleh dipilih iaitu Comfort, Auto dan Dynamic. Sistem berkenaan turut berintegrasi dengan sistem suspensi RS Sport bersama kawalan serap hentak adaptif yang ditawarkan sebagai opsyen.

    Sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) pada Audi RS 3 ini turut menampilkan wheel-selective torque control iaitu perisian pintar yang mengawal agihan tork pada setiap roda. Ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi, roda pada bahagian dalam akan diberikan sedikit brek. Dengan cara ini, ia dapat memindahkan kuasa lateral yang lebih banyak, memberikan pengendalian yang lebih lancar serta stabil. Sistem ESC untuk RS ini juga hadir dengan mod Sport yang boleh mengawal aksi drift secara elektronik, dan boleh dimatikan sepenuhnya bagi memberikan karekter pemanduan yang lebih sporty.

    Casis RS 3 sedan ini ditala sempurna untuk menerima kuasa yang dibekalkan menampilkan stereng progresif, gandar belakang empat hubungan, talaan yang ketat, serta suspensi yang lebih rendah 25 mm berbanding model standard. Brek hadapan dibekalkan dengan cakera berdiameter 370 mm dengan angkup lapan silinder dan cakera 310 mm pada bahagian belakang. Audi turut memberikan pilihan cakera seramik gentian-karbon untuk bahagian hadapan. Model ini dilengkapi dengan roda aloi 19-inci dan dibaluti tayar 235/35/R19. Pilihan tayar 255/50/R19 turut diberikan pada bahagian hadapan.

    Model RS ini dibezakan dari varian standard dengan gril hadapan tiga dimensi kerangka tunggal dengan corak sarang lebah serta logo Quattro ditempatkan di sebelah logo Audi. Gril berkenaan diapit dengan sapasang liang kemasukan yang lebih besar untuk mengalirkan udara ke ruang roda.

    Lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang signatur Audi dipadankan secara standard manakala lampu hadapan LED matrix ditawarkan sebagai opsyen. Ruang roda sedan ini juga dilebarkan menyebabkan lebar keseluruhan meningkat 20 mm berbanding model standard. Roda belakang juga dijarak 14 mm lebih lebar dari model standard. Ia turut diberikan spoiler bersepadu pada but belakang, diffuser pada bampar belakang serta sepasang tip ekzos oval bersaiz agak besar. Dua warna eksklusif – Nardo Grey dan Catalunya Red turut ditawarkan sebagai opsyen.

    audi-rs3-sedan-17_bm

    Bahagian dalaman model ini diberikan tema warna hitam dan turut dilengkapi dengan lampu logo RS 3 pada bendul, tempat duduk kulit Nappa berwarna hitam berserta logo RS. Tempat duduk RS Sport yang direka dengan perehat kepala bersepadu ditawarkan secara opsyen. Roda stereng rata di bahagian bawah serta paparan instrumen yang kelihatan agresif melengkapkan bahagian dalaman yang sporty RS 3 ini.

    Ia turut dilengkapi dengan sistem navigasi MMI dengan MMI Touch, bersama paparan skrin sesentuh tujuh inci. Paparan informasi pemandu yang diletakkan dibahagian tengah memberikan maklumat berkenaan penunjuk tekanan boost turbo, suhu pelincir serta jam randik. Paparan meter maya digital sepenuhnya dengan skrin 12.3-inci dibekalkan secara opsyenal. Paparan tersebut memberikan skrin RS istimewa yang memindahkan takometer ke bahagian tengah, diapit dengan meter tekanan angin tayar, tork serta daya-G.

    Untuk sistem hiburan dalam kereta, RS 3 dibekalkan dengan sistem audio Bang & Olufsen 705-watt dihubungkan kepada 14 pembesar suara. Ia hadir dengan kotak telefon Audi yang boleh mengecas telefon pintar tanpa menggunakan wayar dan dihubungkan kepada antena kereta menerusi sistem NFC.

     
     
  • Audi Q5 2017 diperkenalkan – lebih besar, lebih ringan

    Static photo, Colour: Garnet red

    Audi telah pun memperkenalkan model baharu bagi SUV Q5 2017 di pentas pameran Paris Motor Show 2016. Menurut Audi, Q5 baharu ini lebih besar, lebih ruang dan lebih ringan berbanding model sebelumnya.

    Benarkah ia bersifat lebih ringan? Dibangunkan dari platform MLB Evo yang disemak semula, Q5 baharu ini 90 kg lebih ringan berbanding model terdahulu. Ia adalah hasil penggunaan besi dengan ketegaran maksimum dengan campuran aluminium. Walau pun dimensinya telah dipanjangkan, iaitu 4.66 meter panjang, 1.89 meter lebar dan 1.66 meter tinggi, serta jarak rodanya pula 2.82 meter.

    Malah rekaannya juga telah banyak dipertingkatkan, turut menerima tempias rekaan daripada Q7. Pada bahagian hadapannya, ia dipadankan dengan gril bingkai tunggal yang kelihatan cukup bergaya, dengan bingkai tebal yang kelihatan bersambung pada lampu utama trapezoidal. Ia juga dilengkapi sama ada LED atau Matrix LED bersama indikator.

    Static photo, Colour: Garnet red

    Pada bahagian sisinya pula, garisan beralun jelas kelihatan, seperti model A5, menunjukkan ketegaran sistem pacuan semua-roda quattro. Walau bagaimana pun, bahagian belakangnya tidak banyak perubahan, melainkan penampilkan lampu belakang LED yang lebih anggun, bersama diffuser baharu yang bersambung pada corong ekzos. Model empat-silinder ini mempunyai daya seretan aerodinamik pada 0.30 Cd.

    Sebagai model terbaharu Audi, rekaan dan elemen sport baharu yang ditampilkan memang cukup menyerlahkan gayanya. Ia turut ditawarkan dengan pakej luaran S Line dan S Line sport serta pembeli boleh memilih antara 14 warna menarik, serta barisan roda dari 17- hingga 21-inci.

    Di bahagian dalamnya, rekaan papan pemuka melintang dipertaruhkan, sama seperti model A4, A5 dan Q7, walau pun ia tidak menerima padanan rekaan corong udara seperti model yang disebut ini. Selain itu, ia turut menampilkan roda stereng baharu, paparan kokpit Audi Virtual 12.3-inci, navigasi MMI dengan skrin 8.3-inci dan skrin sentuh MMI (dengan pad sentuh yang lebih besar) serta paparan unit utama.

    Seperti Q7 dan A4, Q5 juga mempunyai fungsi bantuan self-learning personal route assist pada sistem navigasi yang membolehkan pemandu merujuk laluan yang dicadangkan.

    Selain itu, Q5 turut dilengkapi dengan modul sambungan Audi bersama LTE dan WiFi hotspot, kotak telefin Audi bersama pengecas tanpa wayar Qi, sistem bunyi Bang & Olufsen 3D, paparan muka telefon pintar Audi dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta Audi tablet dari Q7 yang digunakan sebagai peranti hiburan pada tempat duduk belakang.

    Audi mendakwa, Q5 lebih besar berbanding model sebelumnya dan pesaingnya yang lain. Ruang butnya 10 liter lebih besar berbanding model semasa, iaitu 550 liter dan boleh diluaskan menjadi 610 liter sekiranya tempat duduk belakang dikonfigurasi. Malah ia juga boleh mencecah sehingga 1,550 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.

    Q5 baharu ini turut didatangkan dengan banyak bantuan pemanduan dan sistem keselamatan baharu termasuklah kawalan kelajuan adaptif dengan bantuan kesesakan trafik, bantuan lorong aktif Audi, amaran keluar, bantuan elak kemalangan, bantuan membelok, bantuan parkir, bantuan menurun bukit dan pengesan isyarat trafik.

    Dengan enjin 2.0 liter TFSI petrol, ia mampu memberikan kuasa sehingga 252 hp dan penjimatan bahan api sekitar 6.8 liter bagi setiap 100 km. Bagi varian diesel pula, enjin 2.0 liter TDI mempunyai pilihan hamburan kuasa 150 hp, 163 hp dan 190 hp, sementara 3.0 liter TDI V6 pula dengan 286 hp dan 620 Nm.

    audi-q5-2017-bm-2

    Kesemua enjin dipadankan dengan pilihan transmisi sama ada manual enam-kelajuan, dwi-klac S tronic tujuh-kelajuan atau untuk 3.0 TDI dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan.

    Ia turut dilengkapi dengan pacuan semua-roda quattro bersama teknologi ultra, penvektoran tork dan varian 3.0 TDI meneria quattro kekal yang boleh dipilih dengan sport rear differential yang menghantar tork ke roda belakang.

    Selain itu, ia juga menampilkan suspensi lima-sambungan baharu, sistem stereng berkuasa elektromekanikal baharu dengan stereng dinamik bersama nisbah pembolehubah sebagai pilihan. Turut ditampilkan ialah suspensi udara adaptif sepenuhnya, pertama buat Q5. Ia turut menawarkan tujuh mod pemanduan termasuk lift/offroad dan allroad.

    Diproduksi di kilang barunya di Mexico, Q5 baharu ini dijangka tiba di Eropah pada awal 2017, dengan model asas Q5 2.0 TDI 163 hp quattro S tronic yang dijual pada harga €45,100 (RM209,360).

     
     
  • KTM Malaysia lancar model motocross dan enduro 2017 – 250/350/450 cc, harga bermula RM38,160

    2017-ktm-350-exc-f-1-850x567bm

    Barisan motosikal kegunaan lasak model tahun 2017 keluaran jenama dari Austria iaitu KTM kini sudah tiba di Malaysia dan dilancarkan untuk jualan. Kesemuanya ada enam model yang diimport penuh (CBU), dengan pilihan enjin 250 cc, 350 cc dan 450 cc.

    Secara keseluruhan, model 2017 ini adalah lebih ringan dan mempunyai ergonomik yang lebih baik. Bermula dengan model enduro empat lejang EXC-F, kerangka baharu berjaya mengurangkan berat sehingga 550 gram, manakala suspensi WP Progressive Damping Geometry (PDS) di belakang pula adalah 602 gram lebih ringan.

    Pada bahagian enjin pula, EXC-F 250 dan EXC-F 350 berjaya mengurangkan masing-masing 1.5 kg dan 1.9 kg manakala EXC-F 450 mempunyai enjin yang lebih ringan 2.4 kg. Kemudiannya, bateri lithium-ion yang digunakan pada semua model turut mengurangkan berat sebanyak 1 kg lagi.

    Juga baharu bagi model 2017 adalah fork terbalik hadapan WP Suspension XPLOR 48 dengan pelarasan 30 tahap dan dibahagikan antara kiri dan kanan untuk lantunan (rebound) dan serapan (damping). Pemula elektrik juga didatangkan standard manakala kit untuk pemula kaki boleh didapatkan sekiranya mahu.

    Tugas membrek dilaksanakan angkup Brembo dan cakera Galfer di hadapan dan belakang sementara rekaan kotak udara baharu dengan Computational Fluid Dynamics (CFD) memberikan prestasi lebih baik dan lebih mudah untuk menukar penapis udara. ECU dan throttle body pula dari Keihin.

    Selain yang biasa, model 2017 ini turut didatangkan dengan versi istimewa Six Days, yang ditambah dengan pelarasan pra-beban pada fork hadapan, Traction Control dan dua pilihan pemetaan pendikit yang boleh dipilih melalui suis di tempat pemegang.

    Model KTM 2017 terdiri daripada tiga yang berenjin 250 cc – EXC-F 250 pada harga RM41,870, EXC-F 250 Six Days RM45,050 dan EXC 250 (dua lejang) RM38,160. Model yang menggunakan enjin 350 cc pula ada dua – EXC-F 350 berharga RM42,400 dan EXC-F 350 Six Days RM45,580. Paling tinggi pula adalah model berenjin 450 cc, EXC-F 450 yang dijual pada harga RM42,930 dan EXC-F 450 Six Days RM46,110. Semua ini adalah model yang mempunyai lampu dan boleh didaftar untuk kegunaan di atas jalan biasa.

    Untuk perlumbaan, KTM Malaysia menawarkan model SX-F 450 yang dijual pada harga RM39,750. Semua harga yang disebutkan di atas adalah termasuk GST tetapi tanpa insurans.

     
     
  • Uber di Sarawak, Sabah dikenakan tindakan – Nancy

    uber-x-car_BM

    Tindakan bakal diambil terhadap Uber di Sarawak dan Sabah kerana modus operandinya adalah sama seperti “teksi lanun” di kedua-dua negeri, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri.

    Menurut Nancy, sehingga kini, Uber masih belum memohon sebarang permit kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di kedua-dua negeri berkenaan, laporan The Star.

    “Di bawah Seksyen 33 Akta LPKP adalah jelas menyatakan negeri berkenaan tidak membenarkan perkhidmatan kenderaan awam tanpa lesen daripada beroperasi. Justeru, JPJ dan pihak polis berhak untuk menyita kenderaan tanpa lesen itu di bawah Seksyen 51 Akta LPKP,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Nancy turut berkata, LPKP, JPJ dan polis akan terus memantau operasi dan perkhidmatan pengangkutan yang beroperasi tanpa sah ini. Ini adalah untuk memastikan bahawa keselamatan dan kepentingan penumpang diberi keutamaan oleh pengendali teksi berlesen yang mematuhi peraturan sekarang.

    Kenyataan Nancy ini adalah susulan berita yang melaporkan LPKP Sarawak, JPJ dan polis yang akan mengambil tindakan terhadap pemandu Uber yang masih terus beroperasi di negari berkenaan.

    Baru-baru ini, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Alexson Naga Chabu berkata, pemandu Uber boleh disaman antara RM1,000 dan RM10,000 serta kenderaan mereka juga akan disita di bawah Akta LPKP.

     
     
  • Renault Trezor didedahkan – model konsep GT elektrik

    TREZOR (Z32) CONCEPT-CAR

    Renault memperkenalkan kereta konsep terbaharunya pada Paris Motor Show 2016 iaitu Trezor. Rekaan pada Trezor ini akan menjadi rujukan kepada rekaan kereta-kereta keluaran pengeluar automotif dari Perancis berkenaan untuk masa akan datang, seperti kereta konsep Renault DeZir yang diperkenalkan pada 2010.

    Rekaan pada Trezor ini lebih ringkas dari DeZir, menampilkan muka tanpa sebarang elemen gril, dan sepasang lampu hadapan yang nipis. Liang kemasukan udara yang besar diletakkan di kedua-dua sisi bampar hadapan. Rekaan lampu nyalaan siang LED yang bersambung dari lampu hadapan hingga ke bampar pada Trezor, sudah pun diaplikasikan pada model-model baharu Renault seperti Megane dan Koleos.

    Menurut Renault, gaya yang hangat dan ciri-ciri yang ditumpukan untuk keselesaan pada Trezor ini merangkumi visi mobiliti masa hadapan dan semangat meriah yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan.

    Bahagian dalaman kereta konsep ini didominasi dengan warna merah dan menggunakan material berkualiti tinggi termasuk kayu dan kulit sebenar serta digabungkan dengan hasil kerja, teknologi dan sentuhan sebenar masyarakat Perancis. Bahagian kokpit kereta ini juga menggambarkan rekaan lebih anggun dan perincian bahagian dalaman diperhalusi untuk model-model Renault akan datang.

    Trezor turut dilengkapi dengan skrin ultra HD terkini, pengenalan dan hubungan dari telefon pintar, dan paparan antara-muka skrin sesentuh yang boleh dipersonalisasikan.

    Tiga mod pemanduan disediakan pada Trezor iaitu Neutral, Sport dan pemanduan automatik. Mod pemanduan automatik boleh diaktifkan menggunakan menu MULTI-SENSE. Kereta konsep ini juga menggunakan unit janakuasa elektrik sepenuhnya (EV) yang diambil dari jentera Renault e.dams yang menjuarai kejohanan Formula E dua kali berturut-turut dan mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya empat saat.

     
     
  • Mercedes-Benz SLC Roadster dilancar dalam dua varian – SLC 200 RM398,888 dan SLC 300 RM468,888

    mercedes-benz-slc-bm-1

    Turut dilancarkan pada majlis yang sama dengan C-Class Cabriolet adalah sebuah lagi kenderaan dengan bumbung boleh buka dan terletak dalam kategori ‘Dream Cars’ oleh Mercedes-Benz iaitu roadster Mercedes-Benz SLC. Gaya kenderaan ini diambil daripada model SLK dan kini adalah wakil pengganti bagi penawaran kenderaan roadster saiz kecil Mercedes-Benz.

    Kesemuanya ada dua varian bagi SLC iaitu SLC 200 yang dijual pada harga RM398,888 dan SLC 300 AMG Line pada RM468,888 (termasuk GST, tanpa insurans). Jaminan yang diberikan adalah selama empat tahun tanpa had batuan. Kedua-duanya menggunakan enjin sama – empat silinder 1,991cc petrol dan padanan transmisi automatik 9G-TRONIC namun mempunyai kuasa berbeza; 184hp dan 300Nm untuk SLC 200 dan 245hp dan 370Nm bagi SLC 300.

    Bahagian hadapan kenderaan telah direka semula daripada model SLK dengan lampu utama bentuk baharu (LED Intelligent pada kedua-dua model) bersama gril ‘diamond’ baharu, sementara tiga corong udara yang lebih agresif turut digunakan pada bahagian bampar hadapan.

    Pada bahagian belakang pula, terdapat lampu LED serta kemasan yang disepadukan bersama corong ekzos. Kedua-dua model menggunakan rim aloi 18 inci – lima cabang berpecah pada SLC 200 dan AMG dua tona pada SLC 300. Selain itu, SLC 300 juga mendapat bahagian hadapan serta bampar belakang AMG, Night Package dengan kemasan hitam berkilat dan pin krom pada gril.

    Pada bahagian dalam, tidak banyak yang berubah, dengan penambahan paparan tengah COMAND lebih besar (daripada 5.8 inci ke 7.0 inci), stereng AMG, paparan pelbagai informasi warna baharu dan tombol gear daripada model A 45 AMG. SLC 200 menggunakan kemasan aluminium gelap dengan corak seperti gentian karbon sementara SLC 300 menggunakan panel hitam berkilat.

    Bumbung besi pada SLC boleh beroperasi sehingga pada kelajuan 40km/j dan bahagian penghadang but belakang semi automatiknya pula kini boleh menggunakan sistem Keyless-GO.

    Pakej standard pada SLC 200 adalah suspensi sports, kemasan kulit dalam AMG Line, tempat duduk, stereng dan cermin memori, pengawal suhu dua zon Thermotronic dan penghadang angin Airguide.

    Kelengkapan lain termasuk sistem informasi dan hiburan 20 CD bersama navigasi Garmin Map Pilot dan Apple CarPlay, kamera undur, Adaptive Highbeam Assist Plus, Pre-Safe dan Active Brake Assist. SLC 300 mempunyai penambahan sistem kemasukan tanpa kunci Keyless-GO, kemasan kulit Nappa, bumbung panoramik elektrokromik Magic Sky Control, sistem bunyi Harman Kardon dan navigasi COMAND Online.

    Mercedes-Benz SLC 200



    Mercedes-Benz SLC 300


     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jun 27, 2024