Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Infiniti Q60 sport coupe mula produksi di Tochigi

    2017 Infiniti Q60

    Infiniti telah mengesahkan model sport coupe Q60 telah pun memulakan produksinya di kilang pembuatan Infiniti yang terletak di Tochigi, Jepun.

    Q60 dilengkapi dengan reka bentuk luaran yang ekspresif, dinamik dan prestasi yang mengagumkan dapat menambat perhatian orang ramai. Rekaan khas ini boleh menampilkan keunggulan prestasinya.

    Kemajuan dalam teknologi pembuatan Infiniti yang terkemuka membolehkan pakar perekanya menghasilkan sudut tajam dan garis badan ketara yang merupakan ciri-ciri Q60. Barisan pengacuan dan pemasangannya telah banyak mengalami penambahbaikan, terutamanya dengan penggunaan teknologi tekan tera deep-body yang unik serta penggunaan perkakas jentara baharu untuk menghasilkan resin penutup but tersendiri.

    2017 Infiniti Q60

    Turut mengaplikasikan teknologi pertama di dunia di mana penutup but ini merupakan gabungan hibrid kulit resin pada rangka keluli. Selain itu, untuk meningkatkan lagi kawalan kualiti produk, sistem lampu baharu telah diperkenalkan dalam kerja-kerja proses pemeriksaan dan sistem kamera dan video juga digunakan dalam barisan pemasangan.

    Bukan itu sahaja, kemudahan di Tochigi turut dipertingkatkan dengan membina bilik semburan cat khusus yang dipasang semata-mata untuk menghasilkan kemasan cat berwarna Dynamic Sandstone Red baharu Q60.

    Q60 ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol iaitu 3.0 liter turbo-berkembar V6 dari unit penjana kuasa “VR” baharu, dan 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder daripada Mercedes-Benz.

    2017 Infiniti Q60

    Bagi enjin 3.0 liter turbo-berkembar V6, ia mampu menghasilkan dua puncak kuasa iaitu 300 hp pada 6,400 rpm dan tork 400 Nm antara 1,600 hingga 5,200 rpm, serta 400 hp pada 6,400 rpm dan tork 475 Nm dari 1,600 hingga 5,200 rpm.

    Manakala enjin 2.0 liter turbo pula menawarkan kuasa sehingga 208 hp (5,500 rpm) dan tork 350 Nm (1,500 rpm). Kedua-dua enjin ini turut dipadankan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan dengan Adaptive Shift Control sebagai standard, sementara Intelligent All-Wheel Drive sebagai pilihan.

    Bagi rekaannya, ia dilengkami dengan gril Infiniti yang diapit lampu utama yang lebih langsing dengan jaluran LED, dan lampu kabus bersama elemen krom berbentuk-L. Manakala lampu belakangnya mirip seperti yang dipamerkan pada model konsep, serta dipadankan dengan tip ekzos dengan bentuk yang lebih unik.

    Untuk dalamannya pula, ia diberi pilihan sama ada material kulit berwarna putih atau merah, dengan kekemasan gentian kaca perak, aluminium atau kayuan. Selain itu, ia turut menampilkan sistem infotainmen InTuition dan sistem bunyi Bose dengan 13-speaker. Penebat Bunyi Aktif turut dipasang pada semua model Q60 bagi menyingkir bunyi enjin dan faktor luaran daripada memasuki ruang kabin.

     
     
  • Bermain Pokemon Go ketika memandu boleh menyebabkan anda disaman sehingga RM300 – JPJ

    Pokémon GO

    Mereka yang ditangkap bermain Pokemon Go ketika memandu akan disaman sehingga RM300, atas kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu, kata Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Nadzri Siron, menurut laporan Bernama.

    “Sama ada pemandu menggunakan telefon bimbit untuk tujuan komunikasi atau untuk menangkap watak Pokemon, ia tetap menjadi kesalahan dan tindakan serupa akan diambil terhadap pesalah.

    “Jika perlakuan menggunakan telefon bimbit atau bermain Pokemon Go ketika memandu menyebabkan kemalangan atau kehilangan nyawa, mereka akan ditahan dan disabitkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1986,” kata beliau.

    Nadzri turut mengesahkan tiada lagi pemandu yang ditangkap dan dihukum kerana bermain Pokemon Go ketika memandu.

    Pokemon Go telah mencetuskan satu fenomena baharu dalam sejarah aplikasi permainan dalam telefon pintar. Permainan yang dibangunkan oleh Niantic berkenaan boleh dimuat turun dan dimainkan menerusi sistem iOS atau Android berdasarkan lokasi sebenar menggunakan GPS untuk menangkap, berlawan, dan melatih watak raksasa maya yang digelar Pokemon.

    Aplikasi berkenaan mula dilancarkan pada 6 Jun tahun ini bermula di Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat sebelum tersebar ke lebih 30 negara setakat ini.

     
     
  • 80% daripada 117,000 orang pelajar sekolah yang menunggang motosikal tidak mempunyai lesen – JPJ

    Motorcyclist

    Daripada 117,000 pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah, 80% daripada mereka tidak mempunyai lesen, menurut Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk V. Valluvan Veloo. Beliau menyatakan bahawa angka itu diperoleh daripada kaji selidik yang dijalankan bersama Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), seperti dilaporkan akhbar The Sun.

    Dapatan daripada kaji selidik itu juga mendedahkan ramai ibu bapa memberi kebenaran kepada anak mereka untuk menunggang motosikal tanpa lesen. “Alasan yang diberikan oleh ibu bapa antaranya ialah kurangnya perkhidmatan pengangkutan awam di kawasan mereka.

    Ia juga disebabkan mereka sibuk bekerja lantas memaksa mereka memberikan motosikal kepada anak-anak untuk memudahkan mereka ke sekolah,” tambah beliau. Sebagai reaksi kepada kaji selidik, beliau menyatakan bahawa tindakan akan diambil, termasuk merampas motosikal dan mengeluarkan saman kepada pelajar-pelajar yang didapati melakukan kesalahan.

    Namun, sebelum itu, JPJ akan terlebih dahulu akan mengadakan program khidmat nasihat untuk meningkatkan kesedaran pelajar serta ibu bapa mereka tentang peri pentingnya mematuhi peraturan lalu lintas untuk kepentingan dan kesejahteraan bersama.

     
     
  • Audi membina teknologi penyerap hentak yang boleh menjana tenaga elektrik dari pergerakan suspensi

    A168523_large-e1470840430586_BM

    Teknologi regenarative atau pengecasan semula tenaga elektrik menggunakan tenaga kinetik (khususnya untuk sistem hibrid) sering dikaitkan dengan pengecasan menggunakan generator pada unit janakuasa ketika menyah-pecut. Namun untuk masa hadapan, Audi bakal tampil dengan teknologi pengecasan semula menggunakan pergerakan pada sistem suspensi, atau secara spesifiknya penyerap hentak yang boleh mengecas semula tenaga elektrik.

    Prototaip yang dikenali sebagai sistem “eROT” ini menggunakan pergerakan berputar pada motor elektrik yang diletakkan secara melintang, secara tidak langsung turut menjimatkan ruang berbanding penyerap hentak teleskopik konvensional yang diletakkan pada kedudukan menegak.

    “Setiap lubang, setiap bonggol dan setiap keluk pada jalan raya akan menghasilkan tenaga kinetik pada kereta, Hari ini penyerap hentak menyerap tenaga ini, di mana ia akan hilang dalam bentuk haba,” kata Dr. Ing Stefan Knirsch, ahli lembaga untuk pembangunan teknikal di Audi AG.

    “Dengan sistem penyerap hentak elektromekanikal dalam sistem elektrikal 48-volt, kami mengambil tenaga berkenaan untuk digunakan. Ia juga akan memberikan kami dan pelanggan kami dengan kemungkinan baharu untuk menala suspensi,” kata beliau.

    Audi mengatakan konfigurasi ini akan melenyapkan kebergantungan terhadap pantulan semula dan lejang mampatan yang terhad pada penyerap hentak hidraulik konvensional, dan membolehkan karekterisktik penyerap hentak ditala menggunakan perisian.

    Lengan tuil yang menyerap pergerakan pembawa tayar dan roda menggunakan tenaga dari pergerakan mampatan dan pantulan balik pada sistem suspensi untuk menggerakan motor elektrik menerusi satu set gear, yang akan mengubah tenaga kinetik kepada tenaga elektrik.

    Dalam ujian yang dijalankan oleh Audi di jalan raya Jerman, sistem berkenaan mampu menjana kuasa purata sekitar 100 hingga 150 watt: 3 watt dari permukaan yang rata dan baru diturap di lebuhraya hingga 613 watt untuk permukaan yang kasar pada jalan sekunder. Ini menghasilkan penjimatan emisi CO2 sehingga 3g untuk setiap kilometer, menurut Audi.

    Teknologi eROT ini dibina berdasarkan sistem elektrikal 48-volt, yang dikonfigurasikan dengan bateri lithium-ion berkapasiti 0.5 kWh dan kuasa puncak 13 kW. Penukar arus DC menghubungkan subsistem elektrikal 48-volt kepada sistem elektrikal utama 12-volt, yang turut dilengkapi generator dengan jumlah kuasa yang dipertingkat.

    Dengan perancangan untuk meningkatkan implementasi sistem elektrikal 48-volt pada model-model akan datang, yang turut dilengkapi teknologi eROT pada produksi Audi akan datang adalah munasabah, menurut Audi berikutan keputusan ujian awal teknologi berkenaan yang dilihat agak meyakinkan.

    Versi berikutnya dirancang untuk tahun hadapan, apabila sistem elektrikal 48V akan memainkan peranan utama dalam model-model Audi – sebagai varian dalam barisan A4 Avant, dilihat dari diagram yang diberi – dengan bentangan sistem hibrid ringan dan berprestasi tinggi.

     
     
  • Uber, Grab bakal beroperasi secara sah – cadangan e-hailing yang dibentang SPAD diluluskan kerajaan

    uber-x-car_BM

    Perkhidmatan Uber dan Grab bakal sah di sisi undang-undang tidak lama lagi apabila kerajaan telah memberikan lampu hijau buat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mengawal selia konsep e-hailing bagi teksi menjelang akhir tahun ini.

    Keputusan ini dicapai selepas CEO SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah mengemukakan kertas cadangan di Kabinet semalam untuk merombak industri teksi dan memperluaskan perkhidmatan pengangkutan dengan membenarkan Uber serta Grab beroperasi secara sah, laporan The Sun.

    Malah jemaah Kabinet turut menerima cadangan untuk transformasi industri teksi dengan mempertingkatkan model Teksi 1Malaysia, menyelaras teksi bajet dan peruntukan khas bagi teksi baharu.

    Bukan itu sahaja, Kabinet juga bersetuju dengan langkah memberi permit teksi secara individu kepada pemandu teksi yang mempunyai rekod yang baik, di samping cadangan bagi mekanisme baharu untuk syarikat pengusaha teksi mempertingkatkan lagi perkhidmatan mereka. Buat setakat ini, sebanyak 77,000 pemandu teksi berdaftar di seluruh negara.

    Cadangan bagi e-hailing ini adalah mirip kepada model perniagaan yang digunakan oleh Jakarta Blue Bird Taxi Company , Dubai Taxi Corporation dan lain-lain syarikat di serata dunia, menerapkan konsep perkongsian keuntungan atau jaminan peratusan pendapatan harian untuk pemandu teksi.

    Malaysia-Taxi-03

    Konsep ini dianggap pertama seumpamanya di dunia dan akan mewujudkan lapangan persaingan antara pemandu Uber dan Grab dengan pemandu teksi konvensional untuk pengangkutan awam yang lebih cekap dan menawarkan harga yang lebih berpatutan.

    Kerajaan berpendapat Grab dan Uber adalah bagi memberikan pilihan pengangkutan awam kepada rakyat, sekaligus menunaikan permintaan banyak pihak yang mahukan perkhidmatan teksi dipertingkatkan, ujar sumber dalaman Jabatan Perdana Menteri.

    Sehubungan itu, pindaan undang-undang berkaitan oleh agensi kerajaan terlibat akan diputuskan di Parlimen pada November ini.

    Dijangkakan, dalam tempoh tiga tahun akan datang, dianggarkan sebanyak 150,000 pemegang permit baharu, termasuk pemandu teksi konvensional, Uber dan Grab, akan berkhidmat di dalam industri pengangkutan awam ini.

    Menurut sumber dalaman SPAD pula, perincian mengenai persetujuan Kabinet ini akan didedahkan pada minggu hadapan.

     
     
  • PANDU UJI: Nissan Serena S-Hybrid talaan Impul

    Serena Impul -1

    MPV Nissan Serena S-Hybrid C26 mula masuk ke pasaran Malaysia sejak tahun 2013 dalam bentuk CBU. Bagi versi facelift, pihak Edaran Tan Chong Motor berjaya untuk menghasilkan model berkenaan dalam bentuk CKD, seterusnya membolehkan MPV ini dijual di Malaysia dengan harga yang lebih kompetitif.

    Selain dari status CKD, sistem hibrid yang dipadankan pada Serena C26 ini turut membolehkan ia mendapat lebih pengecualian cukai dari kerajaan. Jadi, dalam pasaran MPV ‘van type‘ di Malaysia yang dibarisi oleh model seperti Mazda Biante (RM146k), Volkswagen Cross Touran (RM171k) dan Peugeot 5008 (RM155k), Serena merupakan model paling mampu milik dengan harga atas jalan tanpa insuran RM132,978.59 bagi varian terendah S-Hybrid 2.0 Highway Star.

    Model yang kami peroleh untuk sesi pandu uji kali ini adalah dari varian tertinggi S-Hybrid Premium talaan Impul lengkap dengan roda aloi Impul Aura SX-50 bersaiz 18-inci dan dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 3 bersaiz 225/45R18, yang baharu sahaja dilancarkan bulan lalu dan dijual pada harga RM155,863.43. Model talaan Impul ini juga hadir dengan pilihan roda aloi bersaiz 17-inci dan dijual pada harga RM153,863.43. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Petronas Dynamic Diesel Euro 5 dijual di enam stesen di Lembah Klang, 30 stesen menjelang hujung tahun

    Petronas Dynamic Diesel Euro5 BM 012

    Petronas Dagangan Berhad (PDB) hari ini mengumumkan enam stesen minyaknya di Lembah Klang kini sudah mula menjual bahan api Petronas Dynamic Diesel Euro 5. Syarikat itu juga mensasarkan sejumlah 30 buah stesen akan membekalkan dan menjual bahan api diesel Euro 5 yang bersih itu menjelang hujung tahun ini.

    Enam stesen yang mula menjual diesel terbaharu ini ialah stesen Petronas Technology Park 1, Mutiara Damansara (arah Utara), NKVE (arah Damansara), Solaris Putra, Solaris Serdang (arah Selatan) dan Lebuhraya Sprint. Bahan api tanpa sulfur berkenaan memberi manfaat kepada kenderaan yang dilengkapi enjin diesel piawaian Euro 5, lebih bersih, cekap dan memberikan prestasi terbaik.

    Petronas Dynamic Diesel Euro 5 ini memberi manfaat dari tiga sudut ini; (1) Pelindungan enjin dengan mengelakkan kerosakan komponen penyuntik kritikal serta exhaust after-treatment system untuk memanjangkan hayatnya, (2) Mengembalikan kuasa – meningkatkan prestasi enjin, kecekapan dan keupayaan dengan membersihkan penyuntik minyak dan (3) Pembakaran lebih bersih bagi menghidupkan enjin dengan lebih mudah dan pecutan lancar.

    “Ketika kami memperkenalkan Petronas Dynamic Diesel Euro 5 di Johor, kami berjanji kepada pelanggan di Lembah Klang akan berusaha sebaik mungkin untuk membekalkan minyak berkenaan secepat mungkin. Kini, stesen-stesen minyak Petronas yang terpilih sudah mula menjualnya.

    “Dalam masa sama, kami turut ingin mendapatkan maklum balas pengguna untuk meningkatkan penawarannya, terutama untuk mengetahui prestasinya pada sistem enjin dengan penyuntik common rail yang ada kini,” jelas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus.

    Menurut Petronas, bahan api diesel terbaharu ini dibangunkan melalui pengalaman jenama itu di dalam Rali Dakar untuk memberikan pelindungan enjin, penyediaan kuasa dan pembakaran yang lebih bersih dalam usaha untuk mendapatkan keputusan penjimatan yang lebih baik. Dalam masa sama, prestasi enjin tidak pula berkurangan.

    Petronas juga telah mengenal pasti 25 buah stesen lagi di Lembah Klang yang akan menawarkan diesel berkenaan dalam tahun ini. Ini sebagai tambahan kepada dua stesen di Johor yang pertama menyediakan bahan api berkenaan, iaitu stesen Petronas Pasir Gudang Lebuhraya 2 dan di Gelang Patah, yang mula membekalkannya pada Disember 2014.

     
     
  • Mazda 6 2017 – mengaplikasi G-Vectoring Control

    2017_Mazda6_20

    Model facelift bagi Mazda 6 telah pun diperkenalkan hampir dua tahun yang lalu, tetapi ia tidak pernah membuatkan jenama ini terus ‘berehat’ dari membuat sebarang penambah baikan bagi model tahun 2017. Justeru, terdapat beberapa elemen penambah baikan yang telah diterapkan bagi Mazda 6 2017, termasuk pada bahagian dalamannya, sedikit suntikan pada penjana kuasanya dan juga mempertingkatkan serta menambah teknologi yang kebanyakannya diambil dari model facelift Mazda 3.

    Pada bahagian luaranya, tiada perubahan yang ditampilkan, namun ia diberikan jaluran cermin indikator baharu serta pilihan warna baharu iaitu Machine Grey seperti yang ditawarkan pada CX-9 baharu.

    Selain itu Paparan Pemanduan Aktif atau Active Driving Display turut disemak semula – kini paparan utamanya didatangkan dengan warna sepenuhnya dan telah ditambah kecerahan, kontras dan definisi bagi mempertingkatkan paparannya. Selain itu pelarasan kandungan, sudut dan kecerahannya juga boleh disimpan menerusi butang memori pada tempat duduk pemandu.

    2017_Mazda6_16

    Paparan pelbagai-infomasi pada kluster instrumen juga telah dipertingkatkan menjadi skrin warna sepenuhnya dan ditambahkan fungsinya termasuk meter suhu yang direka semula dan kompas grafik.

    Beberapa elemen lain yang turut disemak semula termasuklah pemanas roda stereng, perehat tangan di bahagian tengah belakang dan kawalan pemanas untuk tempat duduk belakang, serta konsol overhead baharu dengan LED.

    Selain itu, pakej dalaman yang lebih berkualiti tinggi turut ditambah termasuk kulit upholstery Nappa, headlining berwarna hitam dengan pilihan kulit hitam atau coklat gelap, kekamasan warna titanium pada papan pemuka, panel suis tingkap berkuasa dan terowong transmisi, kekemasan tambahan kulit pada roda stereng dengan jahitan istimewa ‘chidori’ dan suis serta kekemasan krom sutera.

    2017_Mazda6_24

    Pada sudut mekanikalnya, respon pendikit ditambah lebih linear dengan padanan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan, bagi mempertingkatkan lagi karakteristik tork. Malah Mazda 6 ini juga diperkenalkan dengan sistem G-Vectoring Control baharu yang mampu mengubahsuai tork enjin menjadi lebih optimum dengan bebanan pada setiap roda, mempertingkatkan respon stereng dan kestabilannya.

    Selain itu, olengannya juga telah dipertingkatkan, dengan kemasukan bunyi yang dipisagkan menerusi jaluran terminal antara pintu dan lapisan sekeliling pintu belakang juga dipertingkatkan. Malah penggunaan kaca pintu hadapan yang lebih tebal dan lebar diaplikasikan bagi menebat bunyi, sementara varian tertinggi pula dipadankan dengan kaca akustik pada cermin sisi hadapan.

    Bagi aspek keselamatannya, elemen i-ActivSense bagi sistem bantuan pemanduan telah ditambah dengan sistem Pengesan Isyarat Trafik baharu, serta dipertingkatkan sistem Sokongan Brek Pintar (SBS) dengan menambah kamera hadapan baharu. Malahan kelajuan maksimum juga telah dipertingkatkan dari 145 km/j menjadi 160 km/j serta sistem Pengesan Pejalan Kaki juga telah diperkemaskinikan.

     
     
  • Ford Mustang Shelby GT500 generasi akan datang bakal muncul dengan ledakan kuasa 800 hp?

    Ford-Mustang-Shelby-GT350-29-e1416297052707

    Ford Mustang Shelby GT350 (gambar di atas) boleh dikatakan memiliki rekaan yang menawan, tetapi masalahnya, kuasa yang dihasilkan tidak segah Dodge Charger SRT Hellcat mahu pun Chevrolet Camaro ZL1. Namun, difahamkan Ford bakal membuat gempak dengan memberikan olahan kuasa yang lebih padu untuk Mustang Shelby akan datang, menurut Autocar.

    Pertambahan baharu ini mungkin lebih sesuai dikenali sebagai Ford Mustang Shelby GT500, di mana ia telah dikesan sedang dibangunkan, turut menampilkan kit aero yang lebih agresif, lengkap dengan rear wing dan pemisah hadapan.

    Di bawah hudnya, GT500 ini dikatakan bakal menampilkan enjin pengecas turbo-berkembar V8 yang berkeupayaan menghamburkan kuasa sehingga 800 hp. Ia meningkat sebanyak 274 hp dari kuasa 526 hp dari enjin 5.2 liter V8 yang terdapat pada Mustang Shelby GT350 dan Mustang Shelby GT350R.

    Jika dibandingkan dengan generasi sebelum ini iaitu GT500 (yang pernah dipamerkan di KLIMS 2013), dengan kuasa 662 hp, model baharu ini memiliki kelebihan 138 hp. Malah ia juga mampu menyaingi model Hellcats (707 hp) dan ZL1 (640 hp). Walau bagaimana pun, masih belum disahkan bilakah model dengan ledakan kuasa 800 hp ini bakal didedahkan.

     
     
  • SPYSHOT: Mazda CX-5 2017 SUV generasi baharu

    IMG_6224-850x478

    Ketika mula diperkenalkan pada 2011, Mazda CX-5 menjadi model sulung yang menampilkan pendekatan SkyActiv yang dibangunkan oleh pengeluar kenderaan berpusat di Hiroshima itu. Dengan penerapan sulung Kodo Design, model berkenaan juga dilengkapi enjin SkyActiv-G serta enjin diesel SkyActiv-D.

    Kini, usianya mencecah lima tahun, dan CX-5 wajah baharu juga sudah pernah diperkenalkan kurang lebih dua tahun yang lalu. Ini bermaksud, sudah sampai masanya Mazda CX-5 ini diganti dengan model generasi baharu seterusnya. Terkini, Mazda CX-5 generasi seterusnya sudah dilihat sedang diuji di Los Angeles. Kelihatannya, ia sudah hampir lengkap sebagai sebuah model akhir untuk diproduksi.

    Sekilas pandang, walaupun ia nampak agak mirip dengan model sebelumnya, terdapat beberapa perubahan yang membezakan di antara keduanya. Bahagian depannya nampak lebih agresif dan dinamik, dengan gril yang lebih besar serta lampu utama yang lebih kurus. Ligkaran krom pada gril merangkumi bahagian bawah lampu utama, yang pertama bagi Mazda. Rekaan bagi ruang kemasukan udara kini lebih tirus pada bampar depan, diambil dari rekaan yang terdapat pada Mazda CX-9.

    IMG_6234-850x478

    Bahagian tepi pula menampilkan garis badan yang berada di atas bahagian fender hadapan, dibawa melintasi pintu sama seperti yang ada pada model baharu Mazda kini. Di bahagian belakang, rekaan lampunya juga nampak lebih nipis berbanding yang lama, dengan rekaan tailgate yang sepertinya diambil daripada Mazda 3 hatchback. Melengkapi imej di belakang ialah rekaan bamper yang lebih nipis, serta lampu kabus yang lebih lebar.

    Rim aloi dwi-tona yang dapat dilihat ini kelihatan satu saiz lebih besar daripada rim 17 inci standard yang digunakan sebelumnya. Bagi enjin pula, dijangkakan model ini nanti akan menggunakan enjin SkyActiv-G petrol generasi baharu, yang dilengkapi ciri Homogenous Charge Compression Ignition (HCCI).

    Enjin SkyActiv-D generasi seterusnya juga dijangka akan ditawarkan, termasuk enjin 2.5 liter SkyActiv-G turbo petrol pada Mazda CX-9. Selebihnya, CX-5 ini nanti mungkin akan dilengkapi teknologi baharu G-Vectoring Control, serta Traffic Sign Recognition dan Advanced Smart City Brake Support dengan pengesan pejalan kaki; semua ciri ini ditampilkan pertama kali pada Mazda 3 versi wajah baharu.

     
     
  • Wartawan jatuh motosikal kerana leka kejar Pokemon

    Pokémon GO

    Memandu kereta atau menunggang motosikal sambil menggunakan telefon bimbit merupakan antara kesalahan trafik yang boleh dikenakan saman oleh pihak berkuasa. Walau pun ketika kenderaan dipandu/ditunggang secara perlahan mahu pun melibatkan jalan yang lengang.

    Kini, demam Pokemon Go yang sedang melanda dunia turut membabitkan pemainnya yang sanggup mengejar karakter tersebut biar pun ketika sedang memandu atau menunggang motosikal. Malah dua hari lalu, Kementerian Pengangkutan telah mengingatkan pengguna jalan raya agar memberikan perhatian sepenuhnya ketika memandu dan tidak terganggu dengan Pokemon.

    Namun petang semalam, media tempatan melaporkan seorang wartawan cedera apabila motosikal yang ditungganginya terlanggar jalan berlubang ketika terlalu leka mengejar ‘charmander’, salah satu karakter dalam Pokemon Go, laporan Bernama.

    Menurut mangsa, Azim (bukan nama sebenar), akibat keterujaan selepas berjaya menangkap ‘poliwag’ di rumahnya, dia terus bersemangat untuk menangkap lebih banyak karakter Pokemon. Apabila ‘charmander’ pula muncul kira-kira 100 meter dari rumahnya, dia bergegas menunggang motosikal secara perlahan untuk menangkap karakter itu. Jalan di sekitar kawasan perumahannya lengang ketika itu dan sambil memegang ‘handle’ motosikal dengan sebelah tangan dan tangan kiri memegang telefon bimbit, beliau menunggang perlahan.

    Namun tiba-tiba tayar motosikalnya termasuk lubang dan dia gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh. Biar pun hanya mengalami kecederaan ringan, dia mengaku akan lebih berhati-hati selepas ini dan masih belum serik untuk menangkap lebih banyak Pokemon.

    Hujung minggu lalu seorang pemuda 32 tahun di Kuantan ditahan polis ketika dia bersama rakan-rakannya sedang memandu dan memburu Pokemon pada Sabtu lalu, ketika hari pertama permainan itu muncul di atas talian di Malaysia. Pemuda berkenaan disaman RM300.

    “Saya menggunakan aplikasi berkenaan untuk mengetahui lokasinya (Pokemon) ketika saya memandu. Tangkapan yang saya peroleh untuk permainan itu sangat baik. Polis hanya senyum sebaik melihat skrin telefon saya dan menyerahkan saman,” kata pemuda itu.

    Permainan augmented reality itu, yang mendapat sambutan luar biasa di Barat ketika diperkenalkan bulan lalu, turut menjadi penyebab kepada beberapa kemalangan di sana. Setakat ini, polis dan bomba di Lembah Klang menyatakan keadaan masih tidak terlalu meresahkan dan tiada laporan berkaitannya diterima, bagi tempoh hujung minggu pertama ia dilancarkan.

     
     
  • Kerajaan sambung beri bantuan RM142.7 juta kepada syarikat pengendali bas henti-henti terpilih – SPAD

    metrobus-fb-pix-2-850x452

    Kerajaan akan menyambung bantuan berjumlah RM142.7 juta kepada lebih 60 syarikat bas henti-henti yang beroperasi di laluan yang kurang menguntungkan di bandar-bandar kecil di bawah Interim Stage Bus Support Fund (ISBSF), seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Star.

    Mengumumkan perkara itu semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk mengubah industri bas henti-henti supaya kualiti perkhidmatan yang diberikan serta kekerapannya dapat dipertingkatkan. Ini terutama sekali bagi laluan-laluan yang kurang pengguna.

    Tahun lalu, sejumlah RM150 juta telah diagihkan. Namun, selepas itu, tiada khabar kedengaran berkenaan ISBSF sehingga Mei lalu, menyebabkan pengendali-pengendali yang terkesan meminta bantuan kerajaan itu disambung. “Peruntukan kritikal ini akan disalurkan kepada 65 pengendali bas henti-henti yang sudah memohon bantuan bagi tahun ini,” jelas Syed Hamid.

    Diperkenalkan pada 2012, ISBSF merupakan langkah sementara yang telah memberi manfaat kepada 347 juta penumpang di 608 laluan. Pada 2015, 100 syarikat pengendali menerima bantuan ini dan dapat meneruskan operasi mereka. Setakat tahun ini, SPAD sudah mengagihkan RM11.62 juta kepada pemohon dari Johor, Kedah, Kelantan, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu sementera pemohon selebihnya sedang dinilai.

    Dalam tempoh empat tahun lalu, kerajaan secara keseluruhannya telah mengagihkan RM519 juta untuk membolehkan 347 juta perjalanan dilakukan, merangkumi 600 juta km jarak perkhidmatan. Secara puratanya bagi tempoh itu, pendekatan ini membabitkan RM130 juta setahun, sebagai subsidi kepada 86.75 juta perjalanan yang merangkumi 150 km. Dengan pengumuman semalam, pembiayaan terkumpul bagi ISBSF kini ialah RM661.7 juta.

    Ketua Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah turut berkata, penyelesaian jangka panjang bagi perkara ini adalah untuk berpindah ke myBas. Ia sebuah inisiatif yang diperkenalkan pada 2015 di bawah program Stage Bus Transformation (SBST). Ia direka dengan matlamat untuk memperbaiki kedudukan kewangan syarikat pengendali serta meluaskan rangkaian laluan perkhidmatan sedia ada.

    Ia juga bakal menyaksikan pengendali bas yang terlibat akan meninggalkan kaedah operasi lama yang dikenali sebagai fare-box revenue model (kadar tambang mengikut kawasan yang diluputi). Ia bakal diganti dengan kaedah baharu di mana operator dibayar sejumlah kadar seperti yang dipersetujui untuk membolehkan mereka beroperasi di sesuatu laluan (yang kurang menguntungkan) dengan kekerapan tertentu. Hasil kutipan tambang kemudian akan diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan.

    Berikutan pelaburan RM100 juta yang dibuat untuk tujuan itu, SPAD kini sudah melaksanakan program myBas ini di Kangar, Seremban dan Ipoh. Ini akan dituruti oleh Kuala Terengganu dan Johor Bahru dalam masa terdekat. “Kerajaan menyedari bahawa di luar Lembah Klang, perkhidmatan bas henti-henti menjadi nadi utama pengengkutan, dan kami perlu memastikan perkhidmatan ini sentiasa berterusan,” tambah Azharuddin.

     
     
  • Lotus Elise generasi seterusnya bakal muncul pada tahun 2020 – lebih selamat dan lebih mudah dipandu

    lotus elise cup 250 01

    Ketika ini, Lotus dilihat sedang giat membina SUV mereka di China. Tetapi usaha tersebut tidak membuatkan syarikat berkenaan melupakan kereta sport ikonik mereka – Lotus Elise. CEO Lotus Jean-Marc Gales mengesahkan syarikatnya masih komited untuk membina Elise generasi seterusnya, lapor Autoblog.

    Gales juga menyatakan, Elise selepas ini akan dilengkapi dengan stereng berkuasa, menggunakan sistem hidraulik. Gales juga menegaskan Elise tidak akan menggunakan sistem stereng berkuasa elektrik kerana ia akan menjejaskan respon natural pada stereng.

    Berita tentang pembangunan Elise ini mula hangat diperkatakan bermula dari laporan dari Autocar bulan lalu, yang memetik Gales sebagai berkata Elise baharu akan membuat kemunculan menjelang tahun 2020, menggunakan teknologi aluminium terekstrud yang digunakan sejak Elise generasi pertama. Autocar turut menyatakan panjang Elise baharu berkenaan adalah sama dengan model sedia, tetapi lebih lebar.

    lotus elise cup 250 02

    Ini kerana, kereta berkenaan turut akan dilengkapi dengan beg udara sisi dan struktur penahan pelanggaran sisi tambahan untuk memenuhi standard perlindungan pelanggaran Amerika Syarikat, di mana Elise akan kembali ke pasaran negara tersebut. Ketiadaan ciri-ciri ini telah menyebabkan ‘adik’ Elise iaitu Exige terpaksa dihentikan penjualannya pada tahun 2011.

    Gales menambah Elise baharu berkenaan tidak ada kena mengena dengan model Elise Concept yang dipertontonkan bersama empat lagi model lain pada tahun 2010 dahulu. Model konsep tersebut merupakan sebuah jentera yang lebih berat, dikuasakan dengan enjin yang 2.0 liter yang lebih besar dan lebih berkuasa, berbanding model sebenar yang akan dibangunkan ini menggunakan konsep asal Elise iaitu kereta sport yang sangat ringan – disasarkan hanya 900 kg atau kurang.

    Selain dari Elise, Gales turut menyentuh berkenaan sumber kuasa alternatif dengan mengatakan Lotus tidak akan membina model hibrid kerana teknologi sedemikian akan menambah berat dan lebih kompleks, serta menggunakan ruang yang lebih banyak. “Selain itu, apabila anda mempunyai beban yang rendah ia lagi mudah untuk menjadi efisien,” kata beliau.

    lotus-apx

    Walau bagaimanapun, Gales mengatakan Lotus mungkin akan mempertimbangkan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV), tetapi ia bukanlah sesuatu yang akan muncul dalam masa terdekat. Malahan Elise berkuasa elektrik sebenarnya sudahpun wujud dalam bentuk Tesla Roadster – yang dibina berasaskan casis aluminium Elise.

    Menyentuh hal berkenaan SUV pula, Gales berkata segmen yang tidak pernah disertai Lotus sebelum ini tersebut “merupakan pasaran yang agak menarik,” dan menambah kenderaan berkenaan masih lagi dalam fasa merekabentuk. “Kami sedang membina konsep tetapi masih lagi belum membuat sebarang keputusan,” kata beliau.

    Sebelum ini, Bernama melaporkan SUV tersebut akan dijual bukan sahaja di China, tetapi pada pasaran Asia yang lain. Ini sejajar dengan komen bekas Pengerusi Proton Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa SUV Lotus akan dipasarkan di luar China (dan boleh juga dijual dibawah jenama Proton), bertentangan dengan laporan sebelumnya.

     
     
  • Lebuhraya Persisiran Pantai Barat dijangka siap 2019

    latar-highway

    Satu lagi projek lebuhraya yang sedang rancak dibina iaitu Lebuhraya Persisiran Pantai Barat dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak dijangka siap pada tahun 2019. Menurut Pengarah Urusan West Coast Expressway Sdn Bhd (WCESB), Datuk Neoh Soon Hiong, lebuhraya sepanjang 233 kilometer yang menelan kos pembinaan sebanyak RM6 bilion ini sudah pun 23% siap.

    Katanya, walau pun pada awal pembinaannya projek yang dimulakan pada tahun 2014 mengalami sedikit masalah, namun buat masa ini ia berjalan seperti yang dirancang, laporan Berita Harian.

    “Ia membabitkan 11 fasa pembangunan dan kini sedang memasuki fasa kelima membabitkan kawasan di Selangor. Manakala fasa ke-lapan dan 11 di Perak. Apabila pakej yang dibina secara berperingkat ini siap sepenuhnya, kita akan mula buka untuk kutipan tol,” katanya kepada pihak media.

    Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat bakal menghubungkan bandar seperti Banting, Shah Alam, Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sabak Bernam dengan Teluk Intan.

     
     
  • Toyota 86 facelift bakal menerima varian lebih sporty

    ta861607_09

    Varian yang lebih sporty dalam barisan Toyota 86 facelift akan diperkenalkan sebelum berakhirnya 2016, menurut laporan Drive. Ketua Jurutera Tetsuya Tada mendedahkan, beberapa peralatan untuk brek dan suspensi dari “jenama besar” akan digunakan pada varian 86 yang lebih hardcore ini.

    Toyota 86 facelift yang sudahpun dijual di Jepun dan menerima kerangka badan yang lebih tegar menerusi kadar kimpalan ‘spot weld‘ yang lebih banyak, membolehkan suspensi ditala sedikit lembut tanpa mengorbankan kejituan pengendalian untuk pemanduan yang lebih selesa. Jadi, ada ruang kosong perlu diisi untuk memenuhi permintaan dari pemandu yang lebih mengutamakan prestasi pengendalian berbanding keselesaan pemanduan.

    “Ia akan dilengkapi dengan brek dan suspensi yang [diubahsuai],” kata Tetsuya, dan menambah pakej brek Brembo dari Subaru BRZ mungkin akan diberikan kepada 86, walaupun ia akan dilengkapi dengan suspensi berbeza. “Bukan sahaja talaan yang berbeza, malah akan melibatkan komponen binaan yang sama sekali [tidak sama]. [Ia akan menjadi] talaan yang lebih sofistikated berbanding suspensi standard,” jelas beliau lagi.

    Tada turut mengatakan 86 yang lebih sporty ini akan dijual secara global menjelang “hujung tahun ini,” manakala untuk model JDM pula “mungkin akan ditawarkan dengan pakej istimewa bersama peralatan lain”. Tada tidak menyatakan berkenaan jumlah kuasa kuda yang bakal dihasilkan tetapi dijangkakan bakal mengekalkan enjin boxer FA20 D-4S pancitan bahan api terus dengan talaan yang sama seperti model sedia ada.

    Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 207 PS pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 212 Nm bermula 6,400 hingga 6,800 rpm – peningkatan 7 PS dan 7 Nm berbanding model asal untuk varian manual enam-kelajuan. Walau bagaimanpun, talaan pada model versi automatik enam-kelajuan, tiada peningkatan kuasa diberikan.

    GALERI: Toyota 86 facelift 2017

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.40
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 16, 2024