Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Selain minyak enjin dan penapis minyak, apa lagi perlu diselenggara sebelum memulakan perjalanan jauh?

    Merc_Raya

    Setiap kali perkara yang tidak diingini berlaku – kereta rosak dalam perjalanan – terutamanya ketika musim perayaan, satu soalan selalu muncul dari orang sekeliling terhadap pemilik kereta, “Kau tak servis kereta ke sebelum jalan jauh?”

    “Servis kereta” dalam pemahaman orang kita ialah menukar minyak enjin dan penapis minyak enjin. Bila Hari Raya hampir tiba, selain dari Bazar Ramadan, Uptown dan pusat membeli-belah lain, bengkel dan pusat servis kereta antara premis yang cukup sibuk dan sering dikunjungi pelanggan.

    Sudah menjadi lumrah dalam masyarakat kita untuk “menservis kereta” setiap kali menjelang Hari Raya. Yang peliknya, pada bulan-bulan lain, ada sebahagian dari pemilik langsung tidak mengendahkan tentang “servis kereta”. Hanya menjelang Hari Raya, barulah mereka teringat untuk “menservis kereta”. Anda jangan terkejut, ada juga yang menganggap dengan hanya menukar minyak enjin dan penapis minyak enjin perjalanan akan menjadi selamat.

    Sebenarnya menukar minyak enjin dan penapisnya hanyalah sebahagian perkara utama yang perlu dititik beratkan untuk memastikan perjalanan anda pada musim perayaan ini selamat. Jika anda menghantar kereta anda ke pusat servis pengedar sah, setiap kali sesi servis berkala dilakukan, pemeriksaan keseluruhan pada kereta anda turut akan dilakukan dan anda akan dibantu dengan khidmat nasihat dari Penasihat Servis yang bertugas.

    Pada musim perayaan juga, selalunya pusat servis bertauliah ini akan mengadakan kempen pemeriksaan percuma, lengkap dengan ‘check sheet‘ yang akan dikeluarkan setelah kereta anda diperiksa.

    Untuk mereka yang tidak lagi menghantar kereta mereka ke pusat servis seperti yang dinyatakan di atas, anda perlu lebih berhati-hati. Bengkel biasa selalunya tidak mempunyai Penasihat Servis untuk membimbing anda serta memberitahu maklumat terperinci kepada mekanik apa yang perlu diperiksa pada kereta anda. Akhirnya, permintaan anda untuk menservis kereta hanyalah dilakukan sekadar menukar minyak pelincir dan penapis.

    Jadi apa yang anda perlu tahu berkenaan pemeriksaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi perjalanan yang jauh? Secara amnya, dua bahagian perlu diperiksa iaitu bahagian dalam ruang enjin dan bahagian bawah kenderaan.

    SERVIS2

    Pemeriksaan pada bahagian ruang enjin

    1. Periksa tahap dan keadaan minyak enjin

    Ini untuk mereka yang telah membuat penukaran minyak enjin terlebih dahulu sebelum ini. Pastikan minyak enjin berada pada tahap antara ‘Max’ dan ‘Min’ pada dipstick. Tambahkan minyak pelincir jika perlu. Juga perlu dipastikan minyak enjin tersebut tidak bercampur dengan air (menjadi seakan warna teh tarik). Jika itu berlaku, berita buruk buat anda kerana air dari sistem penyejukkan enjin telah bocor ke dalam enjin, dan sudah tentu enjin anda perlu dirombakrawat (overhaul).

    2. Periksa tahap dan keadaan bendalir brek

    Pastikan minyak brek juga berada pada tahap antara ‘Max’ dan ‘Min’. Jika didapati bendalir tersebut berada pada tahap terlalu rendah dan anda dapati pedal brek anda perlu dipam terlebih dahulu sebelum mendapat tekanan yang diperlukan, ini bermaksud ada kebocoran berlaku pada sistem hidraulik brek anda. Kehilangan tekanan juga boleh disebabkan kerana wujudnya udara dalam sistem hidraulik brek, maka proses bleeding perlu dilakukan untuk membuang udara dalam sistem tersebut.

    Jika tiada kehilangan tekanan dirasakan tetapi bendalir tersebut berada pada tahap rendah, ini bermaksud pad brek anda sudah menipis. Tambahkan bendalir brek, tetapi jangan sehingga pada paras maksimum jika pad brek masih boleh digunakan. Ini kerana bendalir brek tersebut akan melimpah keluar jika pad brek baharu ditukar kelak.

    Minyak brek perlu ditukar sekiranya ia kelihatan sangat kotor atau ia telah digunakan dalam jarak 40,000 km atau dua tahun. Bendalir brek adalah diasaskan dari bahan glikol, dan ia cenderung untuk menyerap air dari atmosfera. Jadi jika terlalu lama minyak brek tidak ditukar, ia akan menyebabkan brek gagal berfungsi sepenuhnya dan mungkin juga menyebabkan pengaratan berlaku dalam sistem brek yang bukan sahaja akan menyebabkan kebocoran, ia mungkin juga akan menyebabkan omboh pada angkup dan pam brek tersekat (jammed).

    3. Periksa tahap dan keadaan bendalir transmisi automatik (ATF)

    Tidak semua transmisi automatik mempunyai dipstick untuk memeriksa tahap ATF ini. Cara untuk memeriksa tahap bendalir ATF adalah berbeza dengan cara memeriksa tahap minyak/bendalir lain. Ini kerana tahap ATF adalah berbeza pada keadaan sejuk dan keadaan panas (suhu bekerja). Jika kereta anda belum dihidupkan dan enjin masih sejuk, pastikan tahap ATF berada disenggatan ‘cold’ pada dipstick.

    Untuk memeriksa tahap pada keadaan panas pula, hidupkan enjin sehingga kipas radiator berfungsi (menandakan enjin telah sampai ke suhu bekerjanya), kemudian periksa dipstick, pastikan tahap ATF berada pada senggatan ‘hot’.

    Pastikan ATF tidak bercampur dengan air (sebahagian kotak gear automatik mempunyai sistem penyejuk ATF yang turut melalui bahagian bawah radiator, berisiko untuk bocor dan menyebabkan air masuk ke kotak gear).

    Semak buku manual anda untuk mengetahui berapa jarak perbatuan yang telah ditetapkan untuk menukar ATF (secara amnya ATF perlu ditukar dalam jarak 40,000 km sekali). ATF juga perlu ditukar sekiranya ia sudah terlalu kotor. Juga pastikan sistem kotak gear anda kerana untuk kotak gear automatik CVT (menggunakan bendalir CVTF) dan kotak gear klac berkembar menggunakan bendalir yang berlainan.

    4. Periksa tahap dan keadaan bendalir stereng kuasa

    Stereng kuasa juga menggunakan sistem hidraulik. Pastikan bendalir berada pada senggatan antara ‘Min’ dan ‘Max’. Jika cecair berada pada tahap sangat rendah, ada kemungkinan sistem stereng anda mengalami kebocoran pada saluran paip, pam, atau rak stereng itu sendiri. Bendalir tersebut juga perlu ditukar jika ia sudah terlalu kotor.

    5. Periksa tahap dan keadaan cecair penyejuk radiator (coolant)

    Sebelum memeriksa cecair dalam tangki radiator, periksa dahulu cecair pada tangki simpanan. Pastikan cecair berada pada senggatan antara ‘Min’ dan ‘Max’. Jangan tambah cecair melebihi senggatan ‘Max’ kerana cecair tersebut memerlukan tekanan atmosfera untuk menolaknya ke tangki radiator utama. Jika tangki simpanan langsung kosong, periksa cecair di dalam tangki utama. Buat pemeriksaan tekanan jika perlu, dikhuatiri ada kebocoran berlaku pada sistem penyejukkan.

    Jika anda hanya menggunakan air biasa untuk sistem penyejukkan, air perlu ditukar sekiranya ia telah terlalu kotor. Untuk yang menggunakan cecair penyejuk pula, anda perlu menukarnya setiap 100,000 km perjalanan.

    6. Periksa keadaan semua hos

    Semua hos bermaksud kesemua hos termasuk hos sistem penyejukkan, hos vakum dan kesemua hos sistem hidraulik pada sistem enjin, sistem stereng kuasa dan sistem brek. Selain memastikan ia bocor atau tidak, tekan hos-hos tersebut dan pastikan ia masih fleksibel. Jika ia sudah keras, pastikan anda menukarnya kerana dikhuatiri akan patah semasa beroperasi pada tekanan tinggi.

    7. Periksa keadaan semua tali sawat (belting)

    Semua tali sawat bermaksud kesemua tali sawat yang memusingkan sistem alternator, pemampat (compressor) sistem penghawa dingin, kipas (sekiranya kereta anda tidak menggunakan kipas elektrik untuk sistem penyejukkan) dan pam air pada enjin. Pastikan ia tidak merekah, berbulu atau tanda-tanda lain yang kelihatan seperti hampir terputus. Periksa juga keadaan tali sawat pemasaan (timing belt) jika kereta anda tidak menggunakan sistem rantai pemasaan (timing chain).

    Tali-tali sawat ini biasanya perlu ditukar setiap 100,000 km, manakala untuk tali sawat pemasaan pula adalah berbeza mengikut pengeluar (rujuk buku manual kereta anda).

    8. Pemeriksaan terhadap bateri

    Pertama sekali, uji bateri dengan alat penguji bateri. Alat penguji bateri moden akan memberikan bacaan ‘bad and replace‘ sekiranya bateri tidak mampu menyimpan cas dengan baik. Tukar bateri segera kerana bila bateri tersebut akan rosak sepenuhnya tidak boleh dijangka. Jangan pelik sekiranya bateri anda perlu ditukar setahun sekali kerana kereta moden dilengkapi dengan sistem penggera, kotak komputer enjin, kotak gear dan pelbagai lagi dalam sistem elektrikal badan yang memorinya masih berjalan – menghasilkan parasitic load – walaupun enjin telah dimatikan sepenuhnya.

    Ia berbeza dengan Proton Iswara yang baterinya boleh bertahan sehingga lima tahun kerana parasitic load yang terhasil hanyalah pada sistem memori radio dan sistem penggera.

    Selain itu, kotoran pada terminal bateri juga perlu dibersihkan dan jika anda tidak menggunakan bateri maintenance free, periksa juga kadar air pada bateri tersebut.

    SERVIS1

    Pemeriksaan di bahagian bawah kenderaan (undercarriage)

    1. Periksa kebocoran minyak/cecair bendalir di lantai tempat letak kereta

    Ini merupakan pemeriksaan asas yang paling mudah sebelum memeriksa bahagian bawah kenderaan anda di bengkel (dengan mengangkat kereta menggunakan lift), periksa sama ada atau tidak minyak atau cecair bendalir menitik dari kereta anda ke lantai. Jika ada, mahu atau tidak, segeralah ke bengkel untuk membuat pemeriksaan yang lebih teliti.

    2. Periksa keadaan keseluruhan bawah kenderaan

    Setelah kereta diangkat, pemeriksaan yang lebih jelas boleh dilakukan sama ada terdapat kebocoran pada mana-mana sistem, keadaan paip ekzos, paip sistem brek dan keadaan casis bahagian bawah itu sendiri.

    3. Pemeriksaan terhadap sistem suspensi

    Pemeriksaan secara visual turut boleh dilakukan terhadap sistem suspensi contohnya keadaan penyerap hentak (terdapat kebocoran atau mungkin telah bengkok), keadaan semua bushing pada sambungan-sambungan sistem suspensi.

    Satu lagi pemeriksaan yang boleh dijalankan untuk memastikan suspensi anda berada dalam keadaan baik atau tidak ialah letak kereta anda pada permukaan rata kemudian tekan badan kenderaan sekuatnya. Sekiranya kereta anda melantun lebih daripada tiga kali, ini bermaksud penyerap hentak anda berada dalam keadaan yang teruk dan perlu ditukar.

    umwt-tyre-fair

    4. Pemeriksaan terhadap roda dan tayar

    Setelah kereta diangkat, keadaan roda dan tayar dapat diperiksa dengan lebih jelas. Setiap tayar boleh dipusing untuk diperiksa sama ada terdapat paku atau benda lain tercucuk pada tayar yang menyebabkan tayar sentiasa perlu dipam.

    Periksa juga keadaan bunga tayar. Secara ringkas:

  • Tayar yang hanya habis pada kedua-dua bahagian bahu adalah disebabkan tayar berjalan dengan keadaan tekanan angin yang tidak mencukupi.
  • Tayar yang hanya ‘botak’ pada bahagian tengah adalah kerana tekanan angin tayar yang terlalu tinggi.
  • Tayar yang hanya ‘botak’ pada bahagian sebelah sisi, atau bunga tayar kelihatan seperti dihiris-hiris, adalah kerana penjararan roda (wheel alignment) yang tidak betul.
  • Tayar hadapan haus lebih cepat berbanding tayar belakang – ini adalah normal kerana bahagian hadapan mempunyai beban yang lebih (enjin, transmisi dan sebagainya). Apa yang perlu anda lakukan adalah untuk menukarkan kedudukan tayar, tayar bahagian belakang dialihkan ke hadapan dan begitu juga sebaliknya untuk tayar bahagian hadapan. Tayar belakang yang ditukarkan ke hadapan perlu diseimbang semula (balancing) untuk mengelakkan stereng bergegar apabila mencapai kelajuan tertentu.
  • Ketika memusingkan tayar, anda turut boleh memeriksa sama ada rim bengkok atau tidak, dan juga keadaan galas roda (wheel bearing) yang akan menyebabkan komponen suspensi lain (seperti gegelung pegas) akan bergetar jika ia sudah rosak.

    5. Pemeriksaan visual terhadap pelapik brek (brake pad)

    Jika anda menggunakan rim aloi dengan jejari yang jarang, anda boleh membuat pemeriksaan ini tanpa membuka tayar. Setiap pad brek mempunyai sebatang plat besi penanda kadar maksimum penggunaannya. Plat tersebut akan bersentuhan dengan cakera brek dan menyebabkan bunyi geseran antara besi dengan besi terhasil menandakan pad perlu ditukar.

    Sebaiknya, tukarlah pad brek sekirannya penanda tersebut hampir mengenai cakera untuk memanjangkan jangka hayat cakera brek anda, dan yang paling penting keselamatan ketika anda dalam perjalanan yang jauh.

    6. Pemeriksaan terhadap tahap dan keadaan minyak gear transmisi manual

    Transmisi manual tidak mempunyai dipstick untuk memeriksa tahap minyaknya. Ia boleh diperiksa dengan membuka skru lubang untuk mengisi minyak tersebut pada kotak gear. Secara am, minyak gear transmisi manual ini perlu ditukar sekitar 50-60k km sekali (rujuk buku manual kereta anda untuk jarak yang lebih tepat).

    Namun setelah semua pemeriksaan ini dijalankan, anda perlu faham, manusia hanya merancang dan Tuhan yang akan menentukan segalanya. Terdapat beberapa perkara yang tidak dapat diperiksa oleh mekanik atas batas-batas tertentu.

    Kipas radiator elektrik misalnya, anda bertuah sekiranya ia tidak berfungsi (perlu diketuk, barulah ia berfungsi semula) semasa pemeriksaan dilakukan, dan ditukar ketika itu juga. Motor kipas ini tidak diketahui berapa lama jangka hayatnya, bila ia akan rosak, serta tiada tanda-tanda awal kerosakan.

    Apa yang paling penting, servis dan pemeriksaan ini perlu dilakukan segera dan jangan tunggu di saat-saat akhir. Ini kerana dikhuatiri alat ganti yang diperlukan tidak dapat diperolehi dalam masa terdekat dan juga ia membantu anda untuk mengatur semula kewangan anda sekiranya perbelanjaan yang diperlukan untuk pembaikkan melebihi bajet raya anda.

    Anda juga dinasihati jangan mengamalkan budaya memeriksa kereta anda hanya pada musim perayaan, ini akan menyebabkan anda hanya menyedari ‘kerosakan terkumpul’ pada kereta anda ketika banyak perkara lain lagi yang perlu dilakukan menggunakan wang. Selenggaralah kereta anda mengikut jadual yang telah disarankan dalam buku manual yang dibekalkan pengeluar.

    Bayangkan anda menservis kereta anda pada hari terakhir sebelum anda pulang ke kampung, setelah diperiksa, pam stereng kuasa anda bocor dan kedai alat ganti terdekat tidak mempunyai stok. Lebih memburukkan keadaan, harganya melebihi bajet raya anda untuk pulang ke kampung, jadi bagaimana?

     
     
  • Skuter CMC Italjet 125 2016 di Malaysia – RM6,996

    2016 CMC Italjet 125 -24

    Jenama Italjet, dari Itali, memang terkenal dengan penghasilan skuter urban serba bergaya, bahkan ia mudah untuk dikendalikan dan dijaga. Selepas ketiadaannya di pasaran Malaysia selama 10 tahun, Italjet kembali semula dengan memperkenalkan model CMC Italjet 125 2016 yang dibawa masuk oleh Chear Global.

    CMC Italjet 125 2016 ini dipadankan dengan enjin 125 cc silinder-tunggal empat-lejang yang mampu memberikan kuasa sehingga 8.8 hp dan tork 8.6 Nm pada 6,500 rpm. Tujahan kuasa tersebut juga hasil bantuan transmisi automatik yang menggunakan V-belt, yang biasa digunakan untuk skuter dengan kapasiti tersebut. Manakala berat skuter ini dikatakan hanya sekitar 106 kg.

    Selain ditampilkan dengan roda 13-inci, Italjet 125 2016 ini turut dipadankan dengan cakera brek, sepit udang (fork) tidak boleh laras dengan penyerap hentak tunggal boleh laras untuk pra-bebanan di belakang. Selain itu, di bawah tempat duduknya juga ada ruang penyimpanan barang yang boleh memuatkan sebuah helmet.

    Melengkapkan lagi gayanya, skuter ini turut dipadankan dengan lampu LED di hadapan dan di belakang, termasuk lampu nyalaan siang. Ia turut menawarkan dua skim warna bagi badannya iaitu Chilli Red dan Sporty White.

    Dijual pada harga RM6,996 termasuk GST, tanpa cukai jalan dan insurans, penghantaran bagi CMC Italjet 125 2016 ini akan bermula pada minggu pertama Julai ini. Jadi bagi yang berminat untuk mendapatkannya bagi kegunaan pada Hari Raya, bolehlah menempahnya di semua pengedar CMC di seluruh Malaysia.

     
     
  • Data jualan kenderaan di Malaysia bagi Mei 2016 – Toyota ungguli semula segmen bukan-nasional

    2016-Toyota-Hilux-44_BM

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan baharu bagi bulan Mei 2016, mengikut jenama. Setelah meneliti data ini, ternyata ia mempunyai sedikit peningkatan berbanding bulan-bulan sebelum ini.

    Sebanyak 38,699 kenderaan penumpang dan 5,970 kenderaan komersial berjaya dijual pada bulan Mei, dengan jumlah keseluruhan 44,669 unit. Walau pun jumlah ini sedikit tinggi berbanding April (42,177), ia masih agak rendah berbanding bulan yang sama pada tahun 2015 iaitu 51,252 unit.

    Masih mengekalkan kedudukannya dalam keseluruhan data, Perodua yang berjaya menjual 15,247 unit kenderaan pada tahun lalu, meningkat 2.3% berbanding bulan sebelum ini (14,898). Manakala Proton pula berjaya menjual 5,064 unit, juga meningkat iaitu sebanyak 13.1% berbanding 4,477 unit pada bulan April.

    Malah Toyota turut membuat kejutan dengan lonjakan jualannya iaitu dari 2,052 unit pada April 2016, meningkat menjadi 6,141 unit pada Mei 2016 iaitu peningkatan lebih dua kali ganda.

    Pastinya ia adalah hasil pengenalan dan pelancaran model Hilux baharu sekali gus turut melonjakkan jualan kenderaan komersial Toyota dari 489 unit menjadi 2,216 unit. Malah lonjakan jualan Toyota ini telah memintas kedudukan Honda dalam mengungguli segmen bukan-nasional.

    BMW-X1-vs-Mercedes-GLA-vs-Audi-Q3-003

    Sebut pasal Honda, jenama ini cukup berhempas pulas bulan lalu, memandangkan jualannya menurun sebanyak 5.1% iaitu sekadar 5,659 unit. Namun pelancaran Civic baharu pada bulan ini pastinya akan membantu melonjakkan semula jualan Honda. Untuk Mei 2016, Honda terpaksa berpuas hati berada di tempat ketiga bagi data keseluruhan dan masih berada di hadapan Proton yang menduduki kedudukan ke-empat.

    Bagi lain-lain jenama, Nissan turut menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 3% iaitu 3,106 unit, dna kekal di tangga ke-lima. Sementara Mazda pula dengan jualan sebanyak 1,194 unit, juga masih kekal di tangga ke-enam. Sementara bagi segmen premium, Mercedes-Benz masih mengungguli carta malah turut mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 6.9% iaitu 1,128 init, sementara BMW juga meningkat sebanyak 8.9% iaitu 725 unit.

    Selain itu, jenama lain yang turut mencatatkan peningkatan jualan ialah Renault (+65.4%), Subaru (+43.1%) dan Kia (+23.7%). Namun agak kurang bertuah buat Volkswagen yang mengalami penurunan iaitu -27.5% dan juga Audi (-18.6%). Volvo turut mencatatkan penurunan jualan dengan hanya mampu menjual 15 unit iaitu menurun sebanyak 60 unit berbanding bulan sebelum ini.

    Jika mengikut jumlah keseluruhan sehingga bulan lalu bagi tahun ini, Perodua masih mendahului carta dengan perkongsian pasaran sebanyak 35.8% (77,326 unit), diikuti oleh Honda (30,400 unit) dan Proton (28,766 unit). Manakala Toyota (20,466 unit) pula berjaya ‘menyingkirkan’ Nissan (16,894 unit) di belakangnya.

    May-2016-sales-data-by-brand_01

     
     
  • Mitsubishi ASX Orange Edition secara rasminya dilancarkan di Malaysia – hanya 180 unit, RM133k

    Mitsubishi ASX Orange Edition

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini melancarkan model edisi terhad Mitsubishi ASX Orange Edition dengan harga atas jalan tanpa insuran RM132, 900.19

    Diasaskan dari varian tertinggi 4WD, ASX Orange Edition dibina sebanyak 180 unit sahaja. Untuk membezakan model edisi terhad ini dengan model standard, warna badan keseluruhan hanya ditawarkan dengan warna putih dan dilengkapi dengan kemasan-kemasan berwarna oren pada bahagian bawah bampar hadapan dan belakang, spoiler belakang serta kedua-dua belah cermin sisi. Ia juga dilengkapi dengan visor pintu, pelekat badan ‘Spirit of Competition’ serta roda aloi berdiameter 17-inci dengan kemasan akhir matte black secara standard.

    Bahagian dalaman pula, Orange Edition menerima tempat duduk kulit berwarna hitam dengan serlahan jahitan berwarna oren serta karpet kaki dengan fabrik hitam disulami kemasan berwarna oren. Ia juga dipadankan dengan scuff plate serta kemasan motif gentian karbon pada panel kawalan sistem audio dan trim pintu.

    ASX edisi terhad ini juga menerima empat kamera yang pasang pada bahagian hadapan, kedua belah sisi serta bahagian belakang, dihubungkan kepada skrin utama yang memaparkan ‘sudut imej mata burung’ untuk membantu pemandu memarkir SUV ini. Sistem kunci pintar beserta butang penghidup enjin, sistem penghawa dingin automatik, kawalan kelajuan dan penukar gear masih kekal sebagai ciri standard.


    Tiada perubahan yang dilakukan pada sistem mekanikal. ASX Orange Edition masih dijana enjin 2.0 liter MIVEC berkuasa 150 PS/197 Nm. Kesemua kuasa dialirkan ke keempat-empat roda menerusi kotak gear CVT automatik INVECS-III dan sistem 4WD kawalan semua roda.

    Untuk ciri keselamatan, ASX edisi terhad ini masih kekal dilengkapi dengan tujuh beg-udara, sistem ABS serta EBD, Kawalan Stabiliti Aktif (ASC), Kawalan Cengkaman serta Bantuan Mula Mendaki (HSA).

    Khas sempena Hari Raya, pelanggan yang menempah dan mendaftarkan ASX Orange Edition mereka sebelum 31 Julai 2016 akan menerima rebat tunai sehingga RM8,000. Setiap pembelian ASX juga disertakan dengan pakej perlindungan waranti lima tahun.

     
     
  • Garis panduan bagi menyelaraskan perkhidmatan teksi, Uber dan Grabcar perlu diwujudkan – SPAD

    Malaysia-Taxi-02

    Garis panduan bagi menyelaraskan perkhidmatan teksi, Uber dan Grabcar perlu diwujudkan segera bagi mewujudkan keseimbangan dan persaingan sihat di antara operator servis berkenaan. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berpendapat peraturan baharu yang akan diperkenal kerajaan terhadap perkhidmatan Uber dan Grabcar diyakini mampu mewujudkan keseimbangan terhadap ekosistem perkhidmatan awam negara.

    Menurut Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar, usaha merangka peraturan terhadap perkhidmatan aplikasi itu yang dibuat kerajaan ketika ini adalah bagi memastikan semua perkhidmatan yang ditawarkan di negara ini dipantau undang-undang, laporan Berita Harian.

    “Ternyata perkhidmatan Uber dan Grabcar makin diminati dan menjadi pilihan ramai. Mungkin kerajaan akan membenarkannya, namun peraturan akan dibuat supaya tiada pihak yang berada pada keadaan yang berbeza (terlepas daripada peraturan perkhidmatan pengangkutan). Peraturan ini nanti akan wujudkan keseimbangan,” katanya yang enggan memperincikan bentuk peraturan yang akan diperkenal itu.

    Tambahnya lagi, SPAD begitu mengalu-alukan sebarang bentuk perkhidmatan yang menggunakan aplikasi kerana ia terbukti memudahkan, selain sudah berkembang di seluruh dunia.

    “Memandangkan teknologi ini semakin berkembang di seluruh dunia, kita menjemput sesiapa yang ingin beroperasi menggunakannya namun harus mengikut undang-undang yang akan ditetapkan,” ujarnya lagi.

    Beliau turut mengulas mengenai insiden sekumpulan 50 lelaki dipercayai pemandu teksi yang berang terhadap kemunculan pemandu perkhidmatan Uber di KL Sentral baru-baru ini. Katanya, ia satu tindakan yang mengecewakan dan pemandu teksi tidak seharusnya bertindak keterlaluan.

    “Makin kamu sekat, makin ramai orang nak guna. Kita jangan bertindak di luar batas, mogok di jalan pun akhirnya menyusahkan orang, jalan sesak. Kerajaan sedang lakukan tindakan terhadap perkhidmatan Uber dan Grabcar, kita tunggulah keputusannya nanti,” katanya.

     
     
  • SMART tawar diskaun tol 10% sempena Aidilfitri

    SMART_Tunnel_-001

    Selain PLUS dan Litrak, Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) turut mengumumkan diskaun tol sebanyak 10% atau pun 30 sen kepada semua pengguna lebuhraya berkenaan sempena Aidilfitri ini.

    Kadar tol selepas diskaun adalah RM2.70 berbanding kadar biasa RM3 untuk setiap laluan masuk dan keluar di ibu negara. Tawaran diskaun ini adalah mulai jam 6 pagi pada 6 Julai hingga 6 pagi keesokan harinya.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi Lebuh raya SMART, Sharifah Alauyah Wan Othman, diskaun tol diberikan adalah sebagai menghargai pengguna yang menggunakan Lebuh raya SMART pada hari raya. “Ini adalah antara tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat menjelang Aidilfitri tahun ini khususnya kepada pengguna setia lebuh raya kami,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.

     
     
  • BMW X5 xDrive40e baharu dilancarkan di M’sia – 2.0L pengecas turbo, CKD, harga bermula RM388,800

    BMW-X5-xdrive40e-MY-2

    Malam ini BMW Group Malaysia telah memperkenalkan BMW X5 xDrive40e baharu, kenderaan plug-in hybrid premium terkini yang dipasang di dalam negara iaitu di kilang pemasangannya di Kulim, Kedah. BMW X5 xDrive40e baharu ditampilkan dengan sentuhan rekaan luaran yang eksklusif dan tersendiri yang menyerlahkan model ini. Pada masa sama, ia menunjukkan kemampuan hibridnya yang unik.

    Memandangkan BMW X5 xDrive40e baharu ini merupakan unit pemasangan tempatan (CKD), ia turut menerima insentif dari kerajaan dan ditawarkan pada harga RM388,800. Ia merupakan harga atas jalan tanpa insurans. Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa perbatuan terhad bersama Program Servis Berkala Percuma dan Program Waranti Tayar BMW. Manakala waranti bagi bateri plug-in hybrid ialah enam tahun.

    Karekter dinamik Sports Activity Vehicle (SAV) ini dipertingkatkan menerusi Pakej M Sport Aerodynamic yang hadir sebagai satu ciri standard. Selain lampu utama jenis Adaptive LED, BMW X5 xDrive40e turut dipasang dengan lampu kabus LED.

    Badan kenderaan ini diserlahkan dengan BMW Individual Exterior Line Aluminium. Jentera ini menggunakan rim aloi ringan dua-jejari M bersaiz 19-inci dengan tayar-tayar campuran. Malah ia juga menampilkan bumbung panoramik.

    2016 BMW X5 xDrive40e ext 1

    Ia juga menampilkan sambungan pengecasan untuk bateri bervoltan tinggi pada bahagian depan kiri kenderaan. Bagi menunjukkan aliran tenaga, lampu berwarna biru akan menyala sebaik sahaja proses mengecas dimulakan.

    Selain daripada logo model pada bahagian hadapan kenderaan, logo “eDrive” yang biasa dilihat pada model-model BMW i kini dilekatkan berhampiran lampu belakang dan konsol tengah bersama latar berwarna biru. Sistem ekzos pada BMW X5 xDrive40e ini pula mempunyai rekaan paip berkembar dengan hujungnya berbentuk trapezoidal.

    Bagi bahagian kabinnya, ia didatangkan dengan kluster instrumen panel berwarna hitam yang mempunyai fungsi hibrid yang spesifik dan pelbagai bacaan lain. Paparan kenderaan sedia untuk dipandu daripada “OFF” kepada “READY” diposisikan pada bahagian bawah suis kaunter rev enjin, sebaik sahaja butang start/stop ditekan.

    Kondisi caj bateri bervoltan tinggi ditunjukkan dalam bentuk simbol bateri di bawah paparan gear. Suis tetapan Driving Experience Control juga dijelaskan, sebaik sahaja mod pemanduan dipilih selepas butang eDrive ditekan.

    Selain itu, ia turut menampilkan tempat duduk sport, roda stereng M Leather, pedal penukar gear, tirai matahari untuk tingkap sisi, empat-zon kawalan penghawa dingin, sistem bunyi Harman Kardon, cermin pandang belakang anti-silau, dan sistem hiburan untuk tempat duduk penumpang belakang.

    Ciri BMW ConnectedDrive yang inovatif membantu merangka perjalanan dengan SAV ini bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya sebanyak mungkin dan berada pada kecekapan maksimum sepanjang masa. Navigation System Professional dengan monitor paparan bersaiz 10.25-inci dipasang pada BMW X5 xDrive40e sebagai satu ciri standard. Ia memberi pilihan kepada pemancu untuk mendapatkan laluan ECO PRO ke destinasi yang dituju.

    Bagi aspek keselamatan, ia turut dilengkapi dengan Lane Departure Warning, City & Pedestrian Collision Warning dan Park Distance Control (PDC) pada bahagian hadapan dan belakang yang memberi maklum balas dalam bentuk visual dan akustik, selain Surround View serta kamera belakang. Bagi BMW ConnectedDrive Services pula, ia hadir bersama perkhidmatan Intelligent Emergency Call, BMW TeleServices, Concierge Services dan eDrive Services.

    Klik untuk besarkan imej

    BMW X5 xDrive40e baharu ini dijana oleh enjin pembakaran dalaman 2.0 liter yang telah memenangi anugerah “Enjin Terbaik Antarabangsa” sebanyak tiga kali. Ia menampilkan teknologi pengecas turbo TwinScroll, High Precision Injection, injap pemasaan boleh ubah VALVETRONIC dan kawalan aci sesondol boleh ubah pada bahagian pengambilan serta ekzos.

    Selain itu, keistimewaan SAV ini turut terletak pada gabungan kawalan rangkaian kuasa hibrid pintar dan pacuan semua-roda menawarkan prestasi serta penjimatan luar biasa di atas jalan raya. Ia memiliki sistem pacuan yang terdiri daripada enjin petrol 2.0 liter empat-silinder dengan teknologi BMW TwinPower Turbo dan sebuah motor elektrik bersepadu yang diintegrasikan bersama transmisi Steptronic lapan-kelajuan.

    Sebagai enjin petrol empat-silinder paling berkuasa dalam portfolio enjin BMW Group, SAV ini dikuasakan dengan prestasi menguja bersama karakter enjin yang telah diperhalusi. Enjin ini berupaya menjana kuasa maksimum 245 hp dan tork puncak 350 Nm.

    Sementara motor elektriknya pula menawarkan kuasa mencecah 83 kW dengan tork maksimum 250 Nm yang boleh diperoleh secara serta-merta. Ia berperanan meningkatkan output enjin untuk maklum balas lebih pantas apabila memecut dari titik pegun. Di samping menawarkan prestasi terbaik ketika kelajuan diperlukan pada bila-bila masa.

    2016 BMW X5 xDrive40e ext 19

    Gabungan rangkaian kuasa ini membolehkan BMW X5 xDrive40e baharu mencatat pecutan 0-100 km/j dalam masa cuma 6.8 saat. Kelajuannya dihadkan secara elektronik kepada 210 km/j dan tork puncak 450 Nm. Ketika berada dalam mod elektrik sepenuhnya, SAV baharu itu mampu bergerak dengan kelajuan maksimum 120 km/j. Pecutan dinamik luar biasa BMW X5 xDrive40e turut menawarkan penjimatan bahan api sekitar 3.3 liter bagi setiap 100 kilometer dan emisi C02 hanya 77 gram bagi setiap kilometer.

    Rekaan plug-in hybrid pada BMW X5 xDrive40e menyediakan asas yang ideal untuk penggunaan ekstensif sistem pacuan elektrik bagi mobiliti yang paling efisien. Biarpun dalam pemanduan tanpa emisi di bandar.

    Bateri bervoltan tinggi menawarkan kapasiti tenaga sehingga 9.2 kWh. Kuasanya boleh ditambah menggunakan soket kuasa biasa di rumah. Apabila dicaj menggunakan soket kuasa konvensional, bateri ini boleh dicaj penuh daripada kosong dalam masa 3 jam 50 minit.

    Talaan kenderaan serta kawalan rangkaian kuasa boleh dikonfigurasi mengikut kehendak pemandu menerusi suis Experience Control dan eDrive. Butang eDrive yang terletak di konsol tengah membolehkan pemandu untuk menukar di antara tetapan AUTO eDrive, MAX eDrive atau SAVE Battery.

    Dalam tetapan AUTO eDrive, enjin dan motor elektrik bekerjasama dalam kecekapan paling tinggi. Motor elektrik digunakan untuk keperluan kuasa yang normal. Manakala kuasa enjin akan masuk pada kelajuan sekitar 70km/j atau apabila pemandu mahu mula memecut. Dalam mod ini, strategi operasi pintar akan menentukan kombinasi pemanduan yang paling efisien pada setiap masa dan akan menukarnya secara automatik.

    2016 BMW X5 xDrive40e ext 2

    Apabila bertukar kepada mod MAX eDrive, pemandu akan bergerak dalam mod elektrik sepenuhnya. Maknanya, kenderaan dikuasakan oleh motor elektrik sahaja. Mod ini direka untuk pemanduan selesa dengan emisi sifar dan enjin tidak diaktifkan. Ia menawarkan jarak maksimum 30 km dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 120km/j.

    Mod ketiga, SAVE Battery membolehkan pemandu menjimatkan atau meningkatkan simpanan tenaga bateri bervoltan tinggi untuk kegunaan berikutnya. Misalnya, ketika memandu di atas jalan, caj akan dibiarkan konsisten atau ditingkatkan untuk membolehkan tenaga bateri digunakan apabila memandu di kawasan bandar nanti. Dengan cara ini, tenaga yang disimpan boleh digunakan apabila perlu sahaja.

    Sebagai tambahan, BMW X5 xDrive40e juga didatangkan dengan suis Driving Experience Control sebagai satu ciri standard yang berfungsi mengaktifkan mode talaan kenderaan seperti COMFORT, SPORT dan ECO PRO.

    Setiap mod ini mengubah suai pemetaan pendikit, karekteristik stereng, maklum balas transmisi Steptronic lapan-kelajuan dan suspensi Adaptive M dengan talaan suspensi sport, Dynamic Damper Control yang ditala khas dan suspensi udara yang dipasang sebagai standard pada SAV ini.

    The all-new BMW X5 xDrive40e (4)

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Sejak mencipta segmen SAV premium, BMW X5 telah menetapkan penanda aras dalam segmennya di seluruh dunia. Di samping teknologi canggih masa depan daripada BMW i kepada peminat automotif di negara ini.”

    Di bawah pakej BMW 360° ELECTRIC, pelanggan yang membeli jentera ini akan ditawarkan dengan perkhidmatan ChargeNow yang merangkumi sekeping kad ChargeNow. Kad itu menawarkan akses terus kepada stesen-stesen pengecasan, ChargEV yang disediakan hasil kerjasama di antara BMW Group Malaysia dengan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia). Stesen-stesen ChargEV kini sudah beroperasi di 19 lokasi strategik di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Melaka dan Johor.

    BMW X5 xDrive40e didatangkan dalam warna Glacier Silver, Mineral White, Space Grey dan Carbon Black bersama pilihan upholsteri kulit Dakota Terra atau Dakota Black.

     
     
  • Kia duduki tangga #1 kebolehpercayaan kereta baharu di Amerika 2016 menerusi kaji selidik JD Power

    Kia badge

    Kia secara rasminya menduduki tangga pertama Kaji Selidik Kualiti Awal (IQS) JD Power untuk kereta baharu di Amerika Syarikat, setelah 27 tahun kedudukan tersebut didominasi oleh jenama mewah.

    Menurut kaji selidik yang dijalankan, hanya 83 masalah dihadapi pemilik Kia dalam setiap 100 kenderaan (PP100) keluaran Korea tersebut, mengalahkan Porsche (84 PP100), Hyundai (92 PP100), Toyota (93 PP100) dan BMW (94 PP100). Tahun lalu, Kia menduduki tangga kedua di belakang Porsche. Kesemua jenama dalam lima tangga teratas ini mempunyai kurang masalah berbanding jenama lain yang dicatatkan pada purata 105 PP100, yang juga telah meningkat berbanding 112 PP100 pada tahun lalu.

    Menurut CNBC, Timbalan Presiden JD Power untuk kualiti automotif Renee Stephens berkata, prestasi Kia yang kuat tahun ini adalah kerana jenama tersebut menumpukan kepada pelancaran model-model baharu yang lebih “bersih” dari masalah berulang serta kilang dan pengedarnya di Amerika Syarikat menghasilkan kereta yang lebih baik.

    “Sepuluh tahun lalu, mereka berada di tangga bawah kedudukan dan mereka perlahan-lahan mendaki tangga, dan mendaki keatas lagi ke kedudukan lebih tinggi beberapa tahun kebelakangan ini,” kata beliau.


    Klik untuk besarkan

    Ketua pegawai operasi Kia Motors Amerika Micheal Sprague berkata kedudukan nombor satu tersebut “adalah hasil tumpuan selama sedekad Kia terhadap hasil kerja dan peningkatan secara berterusan, dan mewakili suara dari pelanggan kami, yang merupakan ikrar yang muktamad.”

    Perhatian yang diberikan pada kualiti kereta baharu tersebut walau bagaimanapun menyebabkan Kia jatuh ke tangga ke-17 dalam Kaji Selidik Keboleharapan Kenderaan dalam Jangka Masa Panjang (VDS) JD Power yang telah dikeluarkan awal tahun ini, yang mengambil kira masalah dihadapi pengguna dalam masa tiga tahun, berbanding IQS yang mengambil kira tempoh dalam masa 90 hari sahaja. Untuk VDS, Kia mencatatkan markah 153 PP100, lebih tinggi berbanding markah purata yang dicatatkan pada 152 PP100.

    Prestasi Kia tahun ini merupakan penunjuk prestasi am jenama kenderaan arus perdana, menerima aduan yang kurang dari pemilik jenama mewah. Salah satu sebab utama adalah trend yang sedang meningkat dalam industri kerana penambahbaikkan telah dilakukan pada sistem infotaimen – yang merupakan sebab utama ketidakpuasan hati pelanggan sebelum ini -dengan sistem pada model baharu yang lebih mudah dan kurang mengalami kerosakan.

    “Pengeluar telah memudahkan kawalannya dengan hanya menyerlahkan kawalan yang hanya relevan kepada pengguna sahaja,” kata Stephens.

     
     
  • SPYSHOT: Ford Fiesta ST 2017 lima pintu

    ford-fiesta-st-7-e1466599059223_BM

    Imej Ford Fiesta ST 2017 telah ditangkap oleh jurugambar pengintip kami di Eropah dan kini dapat disahkan varian hatchback berprestasi tinggi segmen-B berkenaan turut akan diteruskan pada Fiesta generasi ke-tujuh.

    Menerusi badan yang dilindung oleh pelekat penyamaran, bentuk keseluruhan varian ST ini masih lagi sama dengan varian Fiesta biasa. Tetapi ST dilengkapi dengan liang kemasukan udara, roda aloi dan brek yang lebih besar. Brek belakang juga dilengkapi dengan cakera (dram untuk model biasa) dan ekzos berkembar. Badan keseluruhan Fiesta generasi baharu ini juga kelihatan lebih besar, mungkin untuk memberikan lebih ruang pada kelegaan kaki pada bahagian belakang.

    Fiesta ST generasi baharu yang diuji ini juga tampil dengan bentuk badan lima pintu, berbanding model sedia ada hanya hadir dengan bentuk badan tiga pintu. Ini berkemungkinan ST bakal hadir dengan dua bentuk badan, atau mungkin hanya ditawarkan dalam bentuk badan lima pintu sahaja, mengkuti langkah pesaingnya dari Perancis iaitu Renault Clio RS 200. Ia mungkin juga unit untuk pasaran Amerika Utara di mana Fiesta hanya ditawarkan dengan bentuk badan lima pintu untuk pasaran berkenaan.

    ford-fiesta-st-4_BM

    Fiesta generasi baharu ini dijangka menggunakan platform Global B sama seperti model B299 sedia ada, tetapi dengan peningkatan dilakukan pada kualiti, perincian, ciri-ciri serta harga untuk memastikan ia seiring dengan permintaan pelanggan masa kini. Ia juga bagi memberi laluan kepada Ford Ka+ pasaran Eropah baharu, yang diasaskan dari Ford Figo untuk pasaran India.

    Bahagian dalaman turut dijangka akan diberi perhatian dimana Fiesta sedia ada mempunyai kualiti bahagian dalaman yang agak rendah. Bukan sahaja dari segi material binaan akan ditingkatkan, skrin sesentuh kapasitif besar lapan inci pada sistem infotaimen SYNC 3 turut dijangka akan dipadankan.

    Sistem SYNC 3 tersebut sebenarnya telah ditawarkan sebagai pilihan opsyen pada Fiesta sedia ada pasaran Amerika Syarikat. Disebabkan skrin yang terlalu besar, papan pemuka telah diubah sedikit dan hasil akhirnya membuatkan papan pemuka tersebut kelihatan agak janggal. Papan pemuka untuk model generasi baharu ini bakal direka dengan lebih sempurna untuk memuatkan sistem SYNC 3.

    Spy-Shots of Cars This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Ciri lain yang turut dijangka akan dipadankan termasuk sistem bantuan pemanduan seperti Pengesan Pejalan Kaki (sistem Active Stop sudahpun dilengkapi pada Fiesta pasaran Eropah), AMmaran Keluar Laluan, SIstem Informasi Titik Buta serta Pengesan Papan Tanda Trafik.

    Fiesta ST generasi baharu ini turut dijangka akan dibekalkan dengan enjin 1.6 liter turbo empat-silinder EcoBoost dari model sedia ada, tetapi dengan talaan berbeza menghasilkan kuasa yang lebih tinggi (Fiesta sedia ada berkuasa 182 PS/240 Nm). Ford setakat ini telah pun menala enjin tersebut untuk mengekstrak sejumlah 200 PS/290 Nm khas untuk Fiesta ST200. Model generasi terbaharu ini juga dikatakan turut akan dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan.

     
     
  • Adakah kerusi khas anak anda dipasang dengan sempurna? Adakah ia sesuai untuk anak anda? Daftar untuk pemeriksaan percuma kerusi khas kanak-kanak!

    Child car seats paultan.org 008

    Anda telah membeli sendiri kerusi khas kanak-kanak untuk keselamatan anak anda. Bagus, permulaan yang baik! Tetapi adakah kerusi tersebut dipasang dengan sempurna? Adakah kerusi tersebut sesuai untuk anak anda? Terdapat banyak variasi kerusi khas kanak-kanak yang dijual di Malaysia, dan setiap satunya memiliki kaedah pemasangan yang tersendiri. Dan 90% daripada kerusi khas kanak-kanak di Malaysia tidak dipasang secara sempurna.

    Kesilapan pemasangan yang kerap berlaku termasuklah:

    • Kerusi khas kanak-kanak tersebut tidak dipasang secara betul atau terlalu longgar.
    • Pemilihan kerusi khas kanak-kanak yang tidak mengikut usia, berat dan ketinggian anak anda. Contohnya, anak kecil berusia tiga tahun diletakkan di dalam bakul bayi atau pun pengalas tempat duduk (booster seat)
    • Kerusi khas kanak-kanak dipasang, tetapi anak anda tidak dipakai tali pinggang keselamatan dengan sempurna, atau longgar – sama ada anak anda mengadu tali tersebut ketat atau dia membuka sendiri tali pinggang keselamatan tersebut.
    • Anak anda dipakaikan tali pinggang keselamatan biarpun kerusi khas untuknya tidak dipasang sempurna. Ada sesetengah ibu bapa beranggapan, asalkan anak mereka dipakaikan tali pinggang keselamatan itu sudah mencukupi dan selamat.
    • Slot tali pinggang keselamatan salah digunakan. Ada sesetengah kerusi khas kanak-kanak yang perlu ditukarkan slot tali keselamatannya apabila anak sudah membesar.
    • Menggunakan kerusi khas kanak-kanak yang sudah rosak atau tamat tempoh penggunaannya.

    Memandangkan perkara ini sangat penting demi keselamat si kecil anda, kami di paultan.org dengan Child Passenger Safety Malaysia (CPS Malaysia) akan mengadakan kempen pemeriksaan kerusi khas kanak-kanak secara percuma pada hujung minggu ini (25 dan 26 Jun). Anda boleh menyertai kempen ini sekiranya anda ragu-ragu mengenai pemasangan atau pemilihan kerusi khas kanak-kanak yang tepat. Isi borang di bawah untuk menyertainya, pemeriksaan akan dilakukan oleh mereka yang pakar.

     
     
  • PLUS tawar rebat tol sebanyak 30% sempena Aidilfitri

    toll booth

    PLUS Malaysia Berhad telah mengeluarkan kenyataan media berhubung tawaran rebat tol sebanyak 30% kepada orang ramai yang membayar tol secara elektronik menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG di lebuh raya PLUS bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

    Menurut Pengarah Urusannya, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid, “Rebat tol tersebut ditawarkan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar tol secara elektronik pada Hari-Hari Bukan Puncak iaitu 4, 8 dan 11 Julai bersempena dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri. Ia boleh dinikmati oleh pengguna yang menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jarak jauh iaitu melebihi 100 kilometer pada hari-hari tersebut.”

    Pemberian rebat tol ini adalah salah satu daripada strategi PLUS untuk mengagihkan trafik serta menggalakkan orang ramai bergerak pulang ke kampung sebelum Hari Raya Aidilfitri dan kembali ke bandar selepas berhari raya pada Hari-hari Bukan Puncak. Ia juga merupakan penghargaan PLUS kepada orang ramai yang terus menyokong perkhidmatan rangkaian lebuh raya tersebut.

    Menurut Noorizah, bagi perjalanan pada 4, 8 dan 11 Julai ini, pengguna yang membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG masih perlu membuat bayaran tol seperti biasa, tetapi rebat tol 30% tersebut boleh ditebus dalam bentuk tambah nilai di antara 15 Ogos 2016 sehingga 14 November 2016 akan datang di semua pusat khidmat pelanggan di lebuh raya PLUS.

    PLUS akan turut mengambil pelbagai langkah lain untuk membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa pada musim perayaan yang akan datang. Ia termasuklah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

     
     
  • Aston Martin Vanquish Zagato – Terhad 99 unit sahaja

    Aston-Martin-Vanquish-Zagato-03

    Aston Martin Vanquish Zagato bukan lagi sekadar model konsep. Gaydon telah mengumumkan kerjasama terkini dengan pereka terkemuka Itali Zagato, bagi melahirkan Aston Martin Vanquish Zagato sebagai model produksi. Walau bagaimana pun, ia hanya akan diproduksi dalam jumlah yang terhad iaitu 99 unit sahaja.

    Pembuat kereta Britain itu berkata, Vanquish Zagato akan diproduksikan agak mirip dengan model konsep yang pernah dipertontonkan di Lake Como. Jentera GT ini adalah bancuhan kekemasan dan keupayaan Aston Martin dengan padanan rekaan karakteristik Zagato.

    Keseluruhan badannya disaluti dengan gentian karbon, Manakala perumah kacanya pula membaluti seluruh badannya termasuk visor, malah jejalur sisi diolah dengan evolusi terkini yang merentasi dari gerbang roda ke pintu, sama seperti model baharu DB11. Satu lipatan tajam pada roda belakang turut diubah menjadi rusuk belakang, hingga ke garisan bumbung.

    Aston-Martin-Vanquish-Zagato-06

    Bahagian belakangnya juga nampak memiliki persamaan dengan profil aerodinamik DB11, dilengkapi dengan spoiler dan hatch yang boleh ditarik balik untuk akses yang lebih mudah. Ambang gentian karbon juga menjalari pada bahagian bawah badan dari hadapan ke belakang, hingga ke ekzos berkembar. Malah turut menampilkan bumbung double-bubble yang merupakan signatur bagi Zagota.

    Selain itu, ia turut menampilkan lampu baharu dengan reflektor lampu belakang seperti Zagota klasik, serta teknologi LED mirip dengan Aston Martin Vulcan. Sementara cermin sisinya pula kelihatan sama seperti One-77.

    Bahagian dalamnya, ia turut dipadankan bersama gentian karbon dengan konsep bayangan dan kekemasan tembaga serta pilihan kulit anilin. Malah turut menampilkan jahitan paten lapis unik ‘Z’ pada tempat duduk dan panel pintu, serta sulaman ‘Z’ pada perehat tangan dan jahitan pada konsol tengah.

    Jentera ini bakal dijanakan oleh enjin 6.0 liter V12 yang telah dipertingkatkan dengan kuasa 600 PS, mampu dipacu dari 0-96 km/j dalam hanya 3.5 saat. Malah sistem suspensinya juga telah dilaras semula bagi memberikan “pengalaman pemanduan GT yang lebih unik dan spesifik bagi model Vanquish Zagato.

    Vanquish Zagato merupakan projek kereta kelima yang menerima kerjasama ini sejak lima dekad yang lalu. Ia bermula dengan model perlumbaan DB4 GT Zagato pada tahun 1960, yang kini memiliki nilai melebihi £10 million. Selain itu, V8 Vantage Zagato dilancarkan pada 1986, DB7 Vantage Zagato (2002) dan V12 Vantage Zagato (2011). Perhantaran pertama Vanquish Zagato ini dijangka bermula pada suku pertama 2017.

     
     
  • Honda Malaysia panggil balik 147,894 unit kenderaannya ekoran masalah beg udara – lapan model buatan tahun 2003-2011 terlibat

    Honda Malaysia mengumumkan sebanyak 147,894 unit kenderaannya terlibat dengan kempen panggilan balik (recall) untuk menggantikan inflator beg udara bahagian penumpang hadapan buatan Takata.

    Model yang terlibat dengan kempen ini ialah Accord (tahun buatan 2003-2011), City (2009-2011), Civic (2007-2011), CR-V (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011) dan Odyssey (2004-2008).

    Penggantian komponan terbabit adalah sangat diperlukan bagi memastikan keselamatan para pemandu dan penumpangnya. Kos penggantian komponen terbabit termasuk kos buruh adalah ditanggung oleh pihak Honda Malaysia sendiri.

    Para pemilik model kenderaan yang terlibat akan dimaklumkan oleh pihak Honda dalam jangka masa terdekat ini. Malah boleh juga menghubungi talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020 atau larari www.honda.com.my, atau segera berkunjung ke mana-mana pusat serbis Honda bertauliah untuk pemeriksaan lanjut.

    Walau bagaimana pun Honda Malaysia mengesahkan model-model baharunya di pasaran tidak terlibat dengan masalah ini.

    Senarai model Honda dan tahun buatan yang terlibat adalah seperti berikut:

    Honda_Malaysia_recall

    Sehingga kini, terdapat 13 kematian telah diumumkan di seluruh dunia akibat kegagalan beg udara Takata ini, termasuk dua kes yang berlaku baru-baru ini di Malaysia.

    Di mana Kedua-dua kemalangan yang berlaku di negara ini menyebabkan kematian tragik kepada pemandu. Kemalangan pertama dilaporkan pada 16 April tahun lalu yang berlaku di Sabah. Honda telah mengesahkan pemeriksaan yang dilakukan bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menemui inflator beg udara Takata SDI bahagian pemandu telah pecah dalam kemalangan yang melibatkan Honda City 2006.

    Kereta tersebut adalah tersenarai dalam panggilan semula oleh pihak Honda Malaysia yang diumumkan pada 21 Mei 2015, yang memerlukan unit inflator beg udara Takata SDI bahagian pemandu tersebut ditukar.

    Kemalangan kedua pula berlaku pada 1 Mei 2016 di Kedah. Hasil pemeriksaan yang dilakukan bersama PDRM menemui inflator beg udara Takata SDI bahagian pemandu telah pecah dalam kemalangan yang melibatkan Honda City 2003.

     
     
  • Usah hon jika ada haiwan liar di jalan raya – Perhilitan

    Chickaboo-Ostrich-Federal-Highway

    Selepas burung unta yang diberi nama Chickaboo menjadi viral selepas kemunculannya berlari di Lebuhraya Persekutuan baru-baru ini, tiba pula giliran seekor kuda yang ‘marathon’ di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Baharu pula.

    Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) menyeru kepada orang ramai agar tidak membunyikan hon sekiranya terserempak dengan haiwan-haiwan ini di jalan raya. Ini kerana bunyi hon tersebut boleh mencetuskan rasa panik haiwan terbabit, sekali gus membuatkan ia bertambah sukar untuk dikawal.

    Timbalan Pengarah II Perhilitan, Fakhrul Hatta Musa, berkata, selain panik, bunyi hon tersebut boleh menyebabkan haiwan itu keliru, malah ia boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya dan haiwan itu sendiri.

    “Jika berhadapan dengan situasi ini, pemandu harus memperlahankan kenderaan dan cuba membantu menyelamatkan haiwan tersebut dengan menghubungi pihak-pihak berkaitan seperti PLUS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Perhilitan sendiri untuk tindakan seterusnya,” ujarnya kepada Bernama.

    Fakhrul Hatta berkata, insiden baru-baru ini yang melibatkan dua haiwan terbabit adalah disebabkan kecuaian pemiliknya dan mereka boleh disaman sekiranya ia melibatkan kemalangan. “Pemilik atau pembiak berlesen haruslah mengikuti garis-garis panduan yang ditetapkan termasuk menempatkan haiwan ini di tempat yang selamat.

    Sekali lagi diingatkan, jika terserempak dengan haiwan liar di jalan raya, jangan hon! Dan utamakan keselamatan anda dan haiwan terbabit. Segera hubungi jabatan terlibat untuk menyelamatkan haiwan tersebut.

     
     
  • Polis nafi laporan serangan beramai-ramai terhadap kereta Uber di KL Sentral, beri amaran kepada pemandu teksi usah bertindak keterlaluan

    Malaysia-Taxi-02

    Polis telah menafikan terdapat laporan yang mengatakan kereta Uber telah diserang di KL Sentral, yang melibatkan seramai 50 pemandu teksi dengan menarik pelancong asing keluar dan seterusnya merosakkan kereta tersebut.

    Wanita dari Iran berusia 43 tahun yang membuat laporan polis ekoran insiden tersebut dikatakan mengalami sedikit kecederaan pada tangannya. Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah KL, SAC Rusdi Mohd Isa memberitahu The Sun, wanita asing berkenaan adalah penuntut di Malaysia dan bukannya pelancong, dan serangan tersebut tidaklah melibatkan kumpulan yang besar seperti mana yang dilaporkan.

    “Kami tidak menerima sebarang laporan daripada pemandu Uber. Mangsa hanya mengalami sedikit kecederaan ringan di tangannya apabila dia ditarik keluar dari kereta terbabit. Hanya seorang atau dua orang pemandu teksi yang terlibat, bukannya lebih daripada 50 orang pemandu teksi dalam insiden tersebut. Jika ia melibatkan serangan beramai-ramai, pastinya polis mengetahuinya dan akan segera ke sana untuk tindakan,” ujarnya.

    Dalam masa yang sama, Rusdi turut memberikan amaran kepada pemandu teksi agar tidak bersikap keterlaluan dan bertindak melulu, jika tidak, mereka akan berhadapan dengan tindakan dari polis. “Jika ada penumpang yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan menerusi aplikasi ini, itu pilihan mereka. Saya percaya kerajaan sedang mengkaji isu ini sebelum membuat keputusan,” ujarnya lagi.

    Sambungnya lagi, “Sementara itu, pemandu teksi harus menantikan keputusan muktamad dari kerajaan, bukannya bertindak dengan kekerasan. Kita tidak ada pilihan lain untuk bertindak sekiranya mereka ini melakukan sesuatu di luar batasan termasuk mengancam keselamatan orang awam.”

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jun 27, 2024