Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Kia Niro Hybrid 2017 diperkenalkan di Chicago

    2017 Niro

    Kia turut mengambil kesempatan memperkenalkan Niro 2017 di Chicago Auto Show 2016 yang sedang berlangsung.

    Diletakkan di bawah segmen-B, SUV crossover ini digambarkan sebagai kenderaan hibrid tanpa kompromi, tampil dengan gril yang lebih langsung, spoiler belakang, rel bumbung, lapisan plastik pada badan, dan rim aloi 18-inci.

    Manakala bagi bahagian kabinnya, ia menampilkan roda stereng tiga-jejari, kekemasan putih berkilat dengan sentuhan metalik. Niro turut menampilkan butang penghidup enjin, kluster instrumen berteknologi tinggi, dan sistem hiburan UVO3 dengan paparan tujuh-inci, termasuk sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Kejuruteraan pembangunan Niro 2017 juga menumpukan pada pengurangan bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH) supaya boleh memberikan keselesaan sebaik mungkin. Sebahagian daripada inisiatifnya, Niro 2017 dilengkapi dengan lapisan kaca akustik, pemegang enjin yang direka khas dan aci pacu pelengkap (driveshaft) sama-panjang.

    Niro 2017 memilih penjana kuasa Kappa 1.6 liter GDI suntikan-terus bahan api dengan padanan motor elektrik berkuasa 43 hp, dengan bateri polimer lithium-ion 1.56 kWh yang terpasang di bawah tempat duduk belakang, untuk kuasa yang diperlukan ke motor daya tarikan.

    2017 Niro

    Enjin ini turut dipadankan dengan transmisi dual-klac enam-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan, dengan sistem gabungan kuasa sehingga 148 PS dan 264 Nm. Sistem hibrid elektrik-petrol pada Niro ini juga sama seperti yang ada pada Hyundai Ioniq hybrid.

    Bagi memberikan penjimatan bahan api yang lebih optimum, Niro 2017 turut dilengkapi dengan Sistem Bantuan Pemanduan Eco, termasuklah Panduan Perlahan yang secara efektif akan memaklumkan pada pemandu bila kenderaan harus diperlahankan dan dibrek.

    Malah ia turut menampilkan sistem Kawalan Tenaga Ramalan dengan menggunakan sistem navigasi dan kawalan kelajuan untuk “perubahan topografi pada jalan dan menguruskan aliran tenaga, masa yang sesuai untuk menukar bateri dan masa yang terbaik untuk menggunakan storan tenaga bagi penjimatan yang optimum”.

     
     
  • Hyundai Santa Fe dan Santa Fe Sport 2017 – dipertingkatkan gaya dan teknologi

    2017 Santa Fe

    Hyundai telah pun memperkenalkan model facelift bagi Santa Fe yang membuat penampilan perdana di Chicago Auto Show 2016 yang sedang berlangsung. Ia tampil dengan rekaan yang lebih segar dan didatangkan lebih banyak teknologi terkini.

    Kedua-dua varian Santa Fe dan Santa Fe Sport 2017 ini telah diberikan suntikan yang lebih segar bagi menyerlahkan lagi penggayaannya termasuk padanan gril hadapan yang kelihatan lebih mantap, lampu nyalaan siang LED baharu, lampu utama dan lampu belakang yang diberi penambahbaikan, ekzos berkembar dan panel jumpelang (rocker) baharu dengan kekemasan perak.

    Hyundai turut menambah lebih banyak teknologi terutamanya bagi pilihan sistem hiburan dengan sambungan terkini termasuk menampilkan sistem audio dengan paparan LCD berwarna lima-inci, paparan skrin sesentuh tujuh-inci dengan Android Auto™ bagi Santa Fe Sport, sistem navigasi dengan skrin sesentuh lapan-inci bersama Android Auto™, audio premium Infinity®, QuantumLogic® Surround dan Teknologi Penyimpanan Muzik Clari-Fi™ serta Hyundai Blue Link® dan port USB untuk barisan ketiga (kedua-duanya standard untuk Santa Fe).

    Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan tempat duduk penumpang dengan pelarasan ketinggian secara elektronik, pemegang cawan untuk barisan kedua (model terhad Santa Fe), kawalan kemasukan tanpa kunci, sistem telefon pintar dengan Bluetooth, butang kawalan audio pada roda stereng, kekemasan dalaman kayuan dan ruang konsol tengah yang direka semula.

    Malah turut memantapkan lagi sistem keselamatan yang lebih jitu termasuk Kawalan Kelajuan Pintar, Amaran Penukaran Lorong, Brek Kecemasan Automatik dengan Pengesan Pejalan Kaki dan set lampu adaptif dengan Bantuan Lampu Tinggi. Ia turut menampilkan kamera pandang belakang, dan cermin sisi dengan paparan titik buta.

    Elemen lain yang turut ditambah ialah pemilihan Mod Pemanduan dengan tiga pelarasan iaitu Sport, Eco dan Normal. Malah Hyundai turut menawarkan model Santa Fe dengan versi pacuan roda-hadapan dan semua-roda.

    2017 Santa Fe Sport

    Santa Fe 2017 ini dijanakan oleh enjin 2.4 liter dengan kuasa 185 hp dan 2.0 liter pengecas turbo (245 hp) bagi Santa Fe Sport, dengan Santa Fe tujuh-tempat duduk pula dipadankan dengan enjin 3.3 liter V6 (290 hp). Kesemua model digabungkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Hyundai turut menawarkan pilihan baharu Blue Link bagi sambungan keselamatan dan diagnostik yang menampilkan Kawalan Menghidup Enjin dengan Kawalan Suhu, Pelindungan Kecurian Kenderaan dan Kawalan membuka/Mengunci Pintu.

    Harga yang ditawarkan bermula $25,350 (RM105,529) untuk model 2.4L FWD Sport dan $30,800 (RM128,217) bagi FWD Santa Fe SE.

    GALERI: Hyundai Santa Fe 2017


    GALERI: Hyundai Santa Fe Sport 2017

     
     
  • Johor negeri pertama guna ANPR di pintu masuk negara – bakal diperluaskan menjelang Jun ini

    bkk-ratchaprasong-dt-1

    Johor akan menjadi negeri pertama yang menggunakan peranti pengimbas nombor plat kenderaan atau ‘Automated Numbers Plate Recognition’ (ANPR) untuk mengesan pemilik kenderaan yang memiliki waran tangkap dan saman trafik tertunggak.

    Menurut Ketua Polis Johor Bahru Selatan Assistant Komisioner Sulaiman Salleh, peranti tersebut akan di pasang di Tambak Johor pada minggu hadapan dan boleh mengesan pesalah trafik yang berhenti di pusat pemeriksaan tersebut.

    JBS (Johor Bahru Selatan) turut menerima tiga peranti, salah satunya dipasang secara tetap di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) bangunan Sultan Iskandar, menurut laporan The Star.

    “Manakala lagi dua peranti digunakan ketika melakukan operasi khas,” ujar Sulaiman.

    Pesalah trafik pertama yang ditangkap menerusi peranti ANPR adalah pemandu kereta yang sepatutnya sudah dilupuskan dengan plat pendaftaran palsu. Ia dikesan dalam operasi yang berlangsung semalam.

    PDRM_1

    ASP Sulaiman turut berkata, kamera pada peranti tersebut akan terus disambungkan ke tablet yang mengandungi pengkalan data pesalah trafik. Peranti tersebut akan memberi isyarat pada pegawai trafik yang bertugas sekiranya terdapat kenderaan yang dikesan menerusi pengkalan data terbabit.

    “Peranti ANPR akan digunakan untuk kenderaan pendaftaran tempatan atau pun luar, akan digunakan oleh polis daerah dan dipasang di semua pintu masuk negara menjelang awal Jun ini. Malah sistemnya akan disambungkan ke rekod Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan kenderaan yang dicuri atau pun kenderaan tidak berdaftar mahu pun individu yang dikehendaki polis,” tambahnya lagi.

    Dalam masa yang sama, ASP Sulaiman turut berkata pengeluaran saman trafik juga boleh dilakukan dengan menggunakan Sistem Bayaran Kompaun Dalam Talian (MCOPS).

    “Peranti MCOPS lebih kurang macam pencetak mini yang boleh digunakan di mana-mana secara lebih mudah dan mempunyai aplikasi mobiliti khas, pegawai yang bertugas boleh memasukkan data pesalah trafik bagi mengeluarkan saman secara serta-merta. Malah ia juga boleh mencetak gambar kenderaan terbabit sebagi bukti kesalahan trafik,” ujarnya lagi sambil menasihati pesalah trafik supaya menyelesaikan saman tertunggak secepat yang mungkin.

     
     
  • Kia Malaysia memperkenalkan Kia Cares sebagai pelan perlindungan komprehensif – bukan untuk komersil

    Kiacare1

    Kia Malaysia telah memperkenalkan pelan pelindungan baharu untuk semua pemilik kenderaan Kia iaitu Kia Cares. Sama seperti RTI-GAP Insurance untuk kereta Nissan dan Peugeot Protect, Kia Cares ini dibuat bagi memberikan liputan yang lebih komprehensif bagi polisi insurans kenderaan.

    Secara umumnya, kenderaan yang rosak teruk akibat kemalangan, kebakaran, banjir, bencana alam atau dicuri, polisi insurans kenderaan biara hanya akan membayar mengikut nilai pasaran semasa kenderaan berkenaan, dan bukannya harga jualan sebenarnya.

    Namun Kia Cares mencipta liputan yang berbeza iaitu mengikut harga jualan dan juga jumlah yang diinsuranskan. Sebagai tambahan, pelan ini juga termasuk dengan pilihan kenderaan ganti termasuk jika terlibat dengan kemalangan yang mengakibatkan kenderaan tidak boleh diperbaiki lagi, dicuri atau bencana alam.

    Kia-Cares-e1455175841581

    Contohnya, jika anda membeli model baharu Kia Cerato 1.6 SX dengan harga RM101,888 (OTR dengan insurans), dengan jumlah yang diinsurans sebanyak RM97,000. Kemudian kereta tersebut dicuri tidak lama selepas anda baru sahaja mendapatnya.

    Pihak syarikat insurans bersetuju untuk membayar jumlah yang diinsuranskan iaitu RM97,000, dan ia boleh membantu bayaran balik pinjaman (RM101,888), dan memerlukan anda menggunakan duit sendiri sebanyak RM4,888. Dengan Kia Cares, ia akan membantu anda menyelesaikan bayaran selebihnya itu iaitu RM4,888, jadi anda tidak perlukan mengeluarkan duit poket sendiri. Malah Kia Malaysia juga berkata proses ini akan berlangsung dengan pantas dan tidak mengambil masa yang lama.

    Walau bagaimana pun, terdapat beberapa terma dan syarat yang ditetapkan bagi pelan perlindungan Kia Cares ini. Pertama, ia hanya boleh didapati bagi setiap pembelian model baharu Kia mulai 1 Januari 2016. Kedua, ia tidak melindung kenderaan yang digunakan untuk tujuan komersil. Terakhir, pelan ini tidak boleh dipindah milik.

     
     
  • Honda Civic hatchback prototaip akan dipertontonkan di Geneva – miliki gabungan rekaan sedan dan coupe

    Civic Hatchback Prototype

    Honda telah merancang untuk mempertontonkan model prototaip Civic hatcback generasi akan datang di Geneva Motor Show bulan hadapan.

    Selepas memperkenalkan Civic dalam bentuk sedan dan coupe, Honda kini lebih bersedia untuk memperkenalkan Civic hatchback lima-pintu yang dijangka bakal menjengah pasaran Eropah mulai 2017 ini. Ia bakal dipasang di kilang Swindon, United Kingdom serta unit pemasangan di sana juga akan dieksport ke beberapa pasaran luar termasuk Amerika Syarikat.

    Menerusi foto yang tersebar ini, kelihatannya ia senada dengan konsep sedan dan coupe, malah boleh dikatakan gabungan antara dua bentuk kerangka itu serta ternyata ia nampak begitu sporty. Bahagian bamparnya lebih lebar dengan ekzos berkembar yang terpasang di bahagian tengah serta spoiler menambahkan lagi gayanya. Lampu belakang pula umpama berbentuk boomerang dan sangat berpadanan dengan hatchback ini.

    Ia bakal dijanakan oleh enjin 1.0 liter bersama pengecas turbo baharu tiga-silinder dengan kuasa yang dijangka sehingga 127 hp dan tork 200 Nm. Malah ia turut dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

    Ia juga akan menyertai unit 1.5 liter pengecas turbo seperti Civic untuk pasaran Amerika Syarikat. Enjin yang lebih berkuasa ini dipadankan dengan transmisi CVT, tetapi model 2017 ini juga dikatakan bakal mempunyai pilihan kotak gear manual enam-kelajuan terutamanya bagi pasaran Eropah.

    Selain model prototaip Civic hatchback ini, Honda juga akan mempertontonkan Clarity Fuel Cell bersama model konsep Jazz Keenlight di Geneva bulan hadapan. Dalam masa yang sama, Honda turut mengesahkan model NSX bakal tiba di Eropah pada tahun ini.

    GALERI: Honda Civic coupe 2016

    GALERI: Honda Civic sedan 2016

     
     
  • Perodua Axia jadi pilihan pasukan peronda PDRM

    DSC_0447

    Perodua telah menyerahkan empat buah Perodua Axia kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu majlis Penyerahan Kunci Kenderaan Pasukan Perodua Axia yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.

    Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Dr. Zahari Husin dengan menyerahkan replika kunci Perodua Axia kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri, Khalid Abu Bakar.

    “Kami berharap dengan sumbangan ini, ia adalah sebagai menyatakan dedikasi kami dengan adanya “kenderaan peronda komuniti” terhadap pegawai polis yang menjalankan tugas mereka,” ujar Presiden dan CEO Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    Tujuan penyerahan kenderaan ini adalah untuk kegunaan PDRM bagi penugasan rondaan di komuniti penempatan dan kawasan perumahan.

    Dua buah kenderaan tersebut akan ditempatkan di Balai Polis Brickfield dan Taman Tun Dr. Ismail (T.T.D.I) manakala dua buah lagi adalah bagi kegunaan AMANITA di IPK Kuala Lumpur dan Selangor.

    Setakat ini, PDRM telah menggunakan lebih 670 unit kenderaan Perodua sebagai kenderaan rasmi sejak tahun 1995.

     
     
  • Suzuki S-Cross versi facelift muncul dalam sesi pembentangan para pengedar di Perancis

    Suzuki-SX4-S-Cross-001

    Kami telah menerima beberapa foto Suzuki S-Cross versi facelift, yang dikatakan telah dipertontonkan menerusi sesi pembentangan para pengedarnya di Perancis baru-baru ini. Versi facelift bagi generasi kedua SUV ini kelihatannya mempunyai beberapa perubahan gaya.

    Bahagian hadapannya paling ketara dengan perubahan yang lebih diperkemaskini termasuk penampilan bampar baharu, gril hadapan trapezoidal yang lebih besar serta rekaan lampu utama baharu.

    Malah S-Cross facelift ini juga dikatakan memiliki jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi. Malah bahagian kabinnya juga menerima perubahan termasuk pada papan pemukanya.

    Suzuki-SX4-S-Cross-002_BM

    Malah barisan enjin Boosterjet baharu dijangka turut dipadankan termasuk pilihan 1.0L dan 1.4L petrol dan 1.6L diesel. Ia bakal digabungkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan bagi kesemua unit. Namun ada ura-ura mengatakan enjin 1.4L dan 1.6L juga akan dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, sementara unit 1.0L pula dengan manual lima-kelajuan.

    Suzuki kini tidak lagi dipasarkan di Malaysia selepas Proton-Suzuki menandatangani perjanjian kerjasama pada tahun lalu. S-Cross yang dipasarkan di negara ini yang dilancarkan pada akhir 2014 lalu dijual pada harga atas jalan RM129,888, dijanakan oleh enjin 1.6 liter M16A empat-silinder dengan kuasa 117 hp dan tork 156 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi CVT serta didatangkna dengan konfigurasi pacuan roda-hadapan.

    GALERI: Suzuki S-Cross di Malaysia

     
     
  • Volkswagen mungkin terpaksa jual Ducati, Scania dan MAN untuk tampung kos kerugian akibat Dieselgate

    Ducati

    Skandal Dieselgate sememangnya menggemparkan industri automotif seglobal, malah bukan setakat menjejaskan reputasi dan kredibiliti Volkswagen (VW), malahan turut menyebabkan kerugian besar pada syarikat terbabit.

    Menurut The Detroit Bureau, Volkswagen telah mengumumkan sedang mempertimbangkan kemungkinan besar terpaksa menjual kepentingannya dalam Scania, dan MAN. Mereka menjelaskan, “Kami sedang mempertimbangkan pelbagai jalan penyelesaian termasuk menarik diri dari pasaran saham dan menjual kepentingan dalam beberapa buah syarikat utama.”

    Man-D38-truck-BM

    Walau bagaimana pun, sebarang keputusan muktamad masih belum diambil namun menegaskan ‘kos yang amat besar’ sangat-sangat diperlukan untuk menampung sejumlah kerugian akibat skandal ini.

    Menurut analisis Citi, VW memerlukan sejumlah $13.5 bilion, namun anggaran jumlah keseluruhan yang diperlukan adalah sekitar $55 bilion. Buat setakat ini, VW telah membelanjakan lebih $7 bilion untuk menampung kos bagi skandal ini dan turut menerima pinjaman tambahan berjumlah $20 bilion dari bank Eropah.

    Malah jika kos yang diperlukan masih tidak mencukupi, ada ura-ura mengatakan kemungkinan besar VW turut terpaksa menjual kepentingannya dalam Ducati.

     
     
  • Mitsubishi bakal pasang Mirage dan Attrage di Filipina

    Mitsubishi_Mirage_facelift_Thailand-1_BM

    Mitsubishi Motors Corporation (MMC) telah mengumumkan bakal mengambil bahagian dalam Program Strategi Penambahbaikan Automotif Komprehensif (CARS) di Filipina.

    Ia merupakan inisiatif daripada kerajaan negara terbabit untuk menambah baik industri automotif, dan menurut Mitsubishi, bagi mengembangkan operasi pengeluaran di Filipina, ia akan memasukkan model Mirage hatchback dan Attrage sedan (atau lebih dikenali sebagai Mirage G4 di sana) dalam program terbabit menjelang tahun 2017.

    mitsubishi-attrage-thailand-23_BM

    Penambahan dua model terbabit dalam produksi pemasangan tempatan, Mitsubishi akan menyuntik dana sebanyak 4.3 bilion peso (RM372 juta) di kilang Santa Rosa bagi membina prasarana baharu. Malah pelaburan tersebut juga membolehkan kilang terbabit meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran mereka.

    “Mitsubishi Motors telah membina produksi dan perniagaan jualan di Filipina lebih 50 tahun. Filipina merupakan salah satu daripada pasaran paling penting bagi kami. Malah kami berbesar hati untuk menyumbang sesuatu yang cukup bermakna buat industri automotif Filipina dengan membangunkan fasa baharu ini,” ujar Osamu Masuko, pengerusi dan CEO MMC.

    Mitsubishi Motors Philippines Corporation (MMPC) telah memulakan operasi pemasangan di kilang pengeluaran baharu di Santa Rosa sejak Januari 2015. Terletak 45 km dari Manila, kilang ini mampu memproduksikan sehingga 50,000 unit setahun, berbanding kilang di Cainta yang menghasilkan pengeluaran sebanyak 30,000 unit setahun, sejak tahun 1964.

     
     
  • Honda Australia umum panggilan semula bagi isu beg udara Takata – Jazz, CR-V, Insight dan City terlibat

    jazz-hybrid

    Honda Australia telah mengumumkan panggilan semula (recalled) ekoran masalah beg udara Takata. Setakat ini, sebanyak 21,083 unit kenderaan di Australia yang terlibat.

    Ia melibatkan Honda Jazz (2012-2014), Jazz Hybrid (2012-2013), CR-V (2011), Insight (2012-2013) dan City (2012). Walau bagaimana pun, untuk pengetahuan, tidak semua kenderaan yang disenaraikan ini terlibat dan ia masih dikenalpasti.

    Bagi kenderaan yang disenaraikan, untuk kepastian, para pemiliknya diminta melayari laman web Honda Australia untuk mengetahui adakah kenderaan mereka terlibat dalam kempen ini. Sekiranya terlibat, mereka dikehendaki menghantar segera kenderaan masing-masing ke pusat servis yang dilantik untuk menukar beg udara terbabit.

    Buat masa ini, kenderaan Honda di Malaysia masih belum disahihkan turut terlibat mahu pun tidak. Nantikan perkembangan selanjutnya dari paultan.org.

     
     
  • Honda HR-V RS diperkenalkan di Jepun

    Honda-HR-V-Vezel-RS-1_BM

    Jika anda mempunyai Honda HR-V dan inginkan kelainan pada gayanya, ini mungkin boleh dijadikan idea buat anda. Honda Japan telah pun memperkenalkan varian RS bagi Honda Vezel (nama yang digunakan bagi pasaran domestik). Dengan gaya yang lebih ranggi, ia bakal menyertai varian Style Edition yang telah pun menjengah pasaran berkenaan, selain model standard.

    Malah Honda Japan juga mengesahkan akan memperkenalkan varian Honda Vezel Hybrid RS selain Honda Vezel RS. Bagi varian RS ini, ia ditampilkan dengan spoiler lips, skirt sisi, rim yang lebih bergaya bersaiz 18-inci, lampu kabus hadapan LED dan bahagian kabinnya pula dihiasi dengan kekemasan serba hitam. Walau bagaimana pun, tiada perubahan daripada sudut mekanikalnya.

    Penjana kuasa hibrid masih kekal dengan 1.5 liter SOHC i-VTEC empat-silinder (132 PS/156 Nm) dengan gabungan motor elektrik i-DCD (30 PS/160 Nm), bersama kuasa yang disalurkan menerusi transmisi CVT tujuh-kelajuan. Manakala versi tanpa hibrid juga sama tanpa motor elektrik sebagai penjana kuasa.

    Buat masa ini, harga bagi Honda Vezel RS ini masih belum diumumkan, tetapi dijangka ia bakal mula dipasarkan di Jepun pada hujung bulan ini. Sebarang perkembangan terkini akan dilaporkan dari semasa ke semasa.

     
     
  • Audi bakal pamerkan model baharu Q Mac ini

    AUDI_2016

    Audi telah menyebarkan gambar pengenalan pertama bagi model baharu Q, dijadualkan di Geneva bulan hadapan. Gambar yang disebarkan menerusi laman Facebook rasmi Audi ini memaparkan model SUV Q3, Q5 dan Q7 yang diparkir di garaj dengan ada satu petak parkir kosong yang tertulis “soon”. Ia seakan memberikan gambaran bahawa Audi bakal memperkenalkan model baharu Q bagi melengkapkan barisan Q sedia ada.

    Buat masa ini, tiada sebarang klu tetapi pemerhati industri automotif global ada yang berpendapat kemungkinan besar ia akan menggunakan Q2 memandangkan Audi sudahpun mendaftarkan nama tersebut.

    Malah Audi juga pernah mengumumkan Q2 bakal dipasarkan pada suku kedua tahun 2016, jadi kemungkinan besar model versi produksi akan dipamerkan di Geneva bulan hadapan.

    Jika benar ia Q2, ia menggunakan platform MQB tetapi sedikit pendek dan dipacukan oleh pacuan roda-hadapan tetapi turut ditawarkan dengan sistem AWD. Apa saja perkembangannya, kena tunggu di Geneva bulan hadapan.

     
     
  • Polis cadang naikkan kadar saman trafik untuk membendung kemalangan – statistik kian meningkat

    PDRM-9

    Melihat kenaikan kadar kemalangan jalan raya termasuk yang menyebabkan kematian semakin meningkat, pihak polis bercadang untuk menaikkan kadar saman. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata cadangan tersebut diharap dapat menghalang para pemandu daripada melanggar undang-undang terutamanya yang gemar memandu laju.

    “Ia juga mampu mencegah pemanduan yang berbahaya di lebuh raya, terutamanya menjelang musim perayaan kerana kadar kematian akibat kemalangan dilihat agak tinggi ketika ‘Op Selamat 8/2016’ dijalankan sempena Tahun Baru Cina,” ujar Khalid dalam laporan yang disiarkan oleh The Sun.

    Khalid turut meluahkan kekesalannya apabila ada sesetengah pengguna jalan raya yang ingkar mematuhi undang-undang ini kerana berpendapat kadar kompaun sebanyak RM300 tidak memberikan apa-apa makna buat mereka. “Kami mungkin akan meningkatkan kompaun tetapi kadar tersebut perlu dibincangkan kemudian,” katanya lagi.

    PDRM-5

    Menurut Khalid, Op Selamat sempena Tahun Baru Cina pada tahun lalu mencatatkan peningkatan sebanyak 18.8% jumlah kemalangan dengan sebanyak 17,632 kes direkodkan berbanding 14,836 kes pada tahun sebelumnya. Manakala kadar kematian akibat kemalangan pula meningkat sebanyak 22.4% iaitu sebanyak 186 kes berbanding 152 kes pada tahun 2014.

    “Sesiapa yang melanggar undang-undang perlu berhadapan dengan kompaun yang maksimum. Sudah tiba masanya untuk kita bersikap tegas terhadap semua pengguna jalan raya. Tiada lagi advokasi di jalan raya dari kami,” tegas Khalid. Beliau turut berkata Ops Selamat akan berakhir pada 16 Feb ini.

     
     
  • Ferrari GTC4 Lusso pengganti FF – kuasa 680 hp

    Ferrari_GTC4Lusso_PTBM_2

    Maranello telah pun mengumumkan Ferrari FF tidak akan disambung, sebaliknya bakal digantikan oleh GTC4 Lusso dengan ledakan kuasa yang lebih hebat.

    Kalau nak diikutkan, GTC4 Lusso ini sebenarnya model facelift bagi FF tetapi telah diterapkan rekaan yang lebih evolusi dengan perubahan kosmetik yang sedikit berbeza, serta namanya turut diubah. Rekaannya juga banyak perubahan termasuk bahagian bampar hadapan yang direka semula dengan pengambilan udara terbina dalam, bersama corong udara belakang, spoiler yang terpasang di bumbung dan lampu belakang yang diperkemaskinikan. Malah Ferrari turut menampilkan peresap belakang dan berkata perubahan pada bahagian badannya mampu membantu meningkatkan lagi aerodinamik yang lebih efisien.

    Menjengah bahagian kabinnya, GTC4 Lusso menampilkan sistem hiburan terkini dengan skrin paparan 10.25-inci dan juga roda stereng yang lebih kecil untuk menempatkan beg udara yang lebih kompak. Malah butang kawalan baharu turut melengkapi elemennya.

    Paling menguja, GTC4 Lusso ini dijanakan oleh enjin 6.2-liter aspirasi-natural V12 yang diangkat dari model FF tetapi dipertingkatkan lagi kuasanya menjadi 680 hp dan tork 697 Nm (berbanding 651 hp/683 Nm pada FF). Jentera ini juga mampu mencapai kelajuan dari 0-100 km/j dalam hanya 3.4 saat, namun kelajuan maksimumnya masih kekal pada 335 km/h.

    Selain itu, GTC4 Lusso turut menampilkan Slip Side Control yang bekerjasama dengan peredam dan kawalan perbezaan elektronik. Menurut Ferrari, teknologi ini membolehkan jentera ini memiliki pengendalian yang lebih bertenaga dengan kuasa tork tambahan termasuk ketika dipandu pada “pemukaan jalan yang dilitupi salji, basah atau kurang cengkaman”.

    Ferrari GTC4 Lusso ini dijangkakan bakal didedahkan pada umum pada Mac ini di Geneva dan kebarangkalian harganya juga lebih mahal berbenading FF kerana menampilkan elemen yang diperkemaskinikan dan dinaiktaraf.

     
     
  • Yamaha 135LC 2016 sah berharga RM7,068

    2016 Yamaha LC135 Malaysia 11

    Hong Leong Yamaha, selaku pengedar rasmi Yamaha bagi pasaran tempatan, telah mengesahkan model Yamaha 135LC 2016 akan dijual pada harga RM7,068 termasuk GST. Ia dijadualkan bakal dilancarkan pada Mac ini.

    Yamaha 135LC 2016 ini ditawarkan dengan tiga warna baharu iaitu merah, putih dan biru, bersama skim warna putih dan rim dengan warna kontras merah. Ia masih mengekalkan enjin yang sama seperti model terdahulu iaitu 134 cc penyejuk-cecair silinder tunggal yang memberikan kuasa sehingga 12 hp pada 8,500 rpm. Manakala tork puncaknya pula ialah 11.8 Nm pada 5,500 rpm.

    Terdapat beberapa perubahan pada model facelift ini termasuklah lampu ‘pilot’ LED, lampu belakang yang diberi rekaan semula yang disambung pada lampu brek belakang dan juga chin visor baharu. Model 135LC versi 2015 ialah RM6,318 menjadikan harga bagi model facelift naik sebanyak RM747.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024