Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Proton Perdana 2016 – tempahan telah dibuka mulai hari ini, harga antara RM100k-RM150k

    Proton-Perdana-preview-COE-6

    Dengan segala spyshot Proton Perdana 2016 yang diperoleh sebelum ini, kami dapati beberapa elemen yang ditampilkan bagi model sedan segmen-D Proton yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, banyak berasaskan model Honda Accord generasi sebelum ini.

    Dalam majlis pra-prebiu yang berlangsung pagi tadi di Pusat Kecemerlangan Proton (COE) Shah Alam, Pengerusi Proton Tun Mahathir Mohamed turut mengumumkan Perdana 2016 ini dibuka tempahan secara rasminya mulai hari ini. Malah Tun Mahathir turut mengatakan, harga yang bakal ditawarkan bagi Perdana 2016 ini adalah antara RM100k-RM150k. Walau bagaimana pun, beliau masih enggan mendedahkan tarikh sebenar pelancaran cuma sekali lagi menegaskan, ia bakal berlaku pada suku pertama tahun ini.

    2016 Proton Perdana full media preview 1

    Perdana 2016 ini akan dilengkapi dengan enjin 2.4 liter yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 181 hp dan tork 222 Nm. Antara elemen yang ditawarkan termasuklah pedal penukar gear, kawalan kelajuan, sistem hiburan dengan navigasi GPS dan fungsi kamera undur, penghawa dingin dua-zon, cermin berkuasa anti-perangkap untuk bahagian hadapan, stereng boleh laras kecondongan dan teleskopik serta tempat duduk pemandu boleh laras secara elektronik.

    Bagi aspek keselamatanya pula, Perdana 2016 akan dilengkapi dengan beg udara (tidak dimaklumkan jumlahnya), kawasan kestabilan elektronik termasuk ABS dan EBD.

    Krew kami telah pun menyaksikan secara lebih dekat Perdana 2016 ini sebentar tadi (sayangnya tidak dibenarkan untuk merakamkan sebarang foto), dan akan memperincikannya dalam artikel seterusnya.

    GALERI: Pra-prebiu Proton Perdana 2016

    GALERI: Proton Perdana 2016 hasil rendered

     
     
  • Proton Edar umum harga baharu, naik sehingga RM2k

    Proton-2016-pricelist

    Seperti yang diumumkan dua minggu yang lalu, Proton telah mengesahkan kenaikan harga bagi semua modelnya efektif 15 Februari 2016. Ia melibatkan kenaikan antara RM339 sehingga RM2,024 bergantung pada varian modelnya. Harga yang diumumkan ini adalah termasuk GST dan insurans.

    Di mana model Preve 1.6 CVT Executive menerima kenaikan paling tinggi iaitu sebanyak 1.89% dari RM60,546 menjadi RM62,570.

    Manakala Iriz 1.6 CVT Premium pula mengalami kenaikan harga paling sedikit iaitu hanya 0.55% dengan harga terdahulu RM61,691 dan kini ditawarkan pada RM62,030.

    Proton_Iriz_002_BM

    Menurut Proton, kenaikan harga ini tidak dapat dielakkan berikutan kejatuhan ringgit memandangkan kebanyakan bahan mentah dibeli dalam mata wang asing. Malah kelemahan ringgit turut memberikan kesan terhadap kos operasi dan keseluruhan sistem rantaian syarikat.

    Bagi menyerap impak akibat kesan kejatuhan ringgit, sejak Ogos 2015 lalu, Proton telah melakukan pelbagai usaha termasuklah mengurangkan kos operasi dan rasionalisasi operasi yang diperlukan. Malah impak ini bukan setakat dirasai oleh Proton tetapi boleh dikatakan keseluruhan industri.

     
     
  • LPT : Laluan haiwan liar di lebuh raya bakal dikaji

    LPT2_PTBM

    Kajian berhubung cadangan pembinaan laluan untuk haiwan liar untuk melintas lebuhraya akan dijalankan oleh kerajaan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Menurut beliau lagi, kementerian bersedia membina laluan itu yang dijangka akan menelan kos RM3 juta ke RM4 juta bergantung kepada kedudukan kewangan sekiranya kajian tersebut mendapati cadangan itu boleh dilaksanakan.

    “Saya ada mesyuarat dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, LLM, untuk membincangkan persoalan berbangkit tentang hutan, kalau hutan semakin sedikit, kediaman haiwan semakin sempit, kawasan pergerakan haiwan juga terhad,” kata beliau melalui Bernama.

    “Kerajaan pusat melalui PERHILITAN telah mengambil keputusan untuk mewujudkan ‘Forest Spine’ sekali gus untuk memastikan wujud koridor-koridor hutan yang bersambung supaya ada laluan untuk haiwan liar,” ujar beliau lagi.

    Habitat hidupan liar seperti gajah dan harimau kini terjejas akibat projek pembangunan seperti pembinaan jalan raya dan empangan hidro elektrik yang memaksa haiwan liar itu berhijrah dari satu tempat ke satu tempat selain faktor kurangnya sumber makanan, tambah beliau.

    Rasa sedih dengan kes kematian seekor harimau belang yang sedang bunting akibat dirempuh sebuah MPV di Kemaman baru-baru ini turut dizahirkan Wan Junaidi dan berharap kejadian seperti itu tidak berulang.

     
     
  • Michelle Yeoh lancar program Langkah Selamat Keselamatan Jalanraya – kerjasama dengan FIA, Nat Geo dan Prudence, sarat dengan info berkaitan

    SSRS1-PTBM

    Prudential Corporation Asia telah bekerjasama dengan Federation Internationale de l’Automobile (FIA) dan National Geographic Channel, bersama Tan Sri Michelle Yeoh, melancarkan program Langkah Selamat Keselamatan Jalanraya di Pavilion, Kuala Lumpur pada 13 Februari lalu.

    Menteri Pengangkutan Datuk Sri Liow Tiong Lai turut berbesar hati melancarkan program ini, termasuk dengan Jean Todt selaku presiden FIA dan Duta Khas Keselamatan Jalan Raya Bangsa-bangsa Bersatu, dan Donald Kanak, Pengerusi Prudence Foundation. Langkah Selamat Keselamatan Jalanraya ini merupakan program serantau bagi memberikan kesedaran bahawa salah satu punca utama kematian di dunia ialah akibat kemalangan jalan raya. Malah program ini memberikan informasi yang jelas dan ringkas menerusi mesej mendidik tentang keselamatan jalan raya.

    Menurut statistik, sebanyak 1.3 juta orang terbunuh akibat kemalangan jalan raya setiap tahun, termasuk 500 kanak-kanak setiap hari. Malah kemalangan jalan raya juga dikaitkan sebagai punca utama kematian bagi individu berusia antara 15 hingga 29 tahun. Di Malaysia, dianggarkan sejumlah 6,000 hingga 7,000 kematian dicatatkan dalam tempoh setahun, iaitu agak tinggi berbanding negara lain. Berbanding purata di seluruh dunia iaitu 18 kematian bagi 100,000 populasi, di Malaysia pula mencatatkan 23.6 kematian bagi setiap 100,000.

    Program Langkah Selamat Keselamatan Jalanraya ini akan menyebarkan video mengenai risiko memandu dalam keadaan mabuk, memandu dengan fokus terganggu, kepentingan tali pinggang keledar, mematuhi had laju, serta juga keselamatan motosikal dan pejalan kaki.

    “Adalah menjadi harapan saya untuk kempen ini turut memainkan peranan yang penting seperti mana yang disarankan oleh kementerian saya bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Ia adalah penting bahawa kita terus mendidik orang ramai mengenai langkah-langkah keselamatan jalan raya sehingga ia menjadi satu cara hidup bagi pemilik kenderaan di Malaysia,” ujar Liow.

    Yeoh, selaku duta program ini pula berkata, “Saya sangat berbesar hati dilantik sebagai duta bagi program ini. Keselamatan jalan raya adalah sangat penting. Sudah ramai yang menjadi mangsa termasuk yang mengalami kecederaan disebabkan kemalangan. Jadi dengan adanya program ini, saya dapat mengambil bahagian dalam memberikan kesedaran orang ramai tentang keselamatan jalan raya.”

    Program ini turut disokong oleh Persatuan Automobil Malaysia (AAM), Institut Automotif Malaysia (MAI) dan Bosch.

     
     
  • Suzuki Ertiga, Dreza dilancarkan di Thailand

    2016-suzuki-ertiga-dreza-in-thailand-001_BM

    Suzuki Ertiga Dreza

    Suzuki Ertiga baharu telah pun dilancarkan di Thailand. MPV tujuh-tempat duduk yang dinaiktaraf ini menampilkan dua varian iaitu standard GL dan Ertiza Dreza baharu yang lebih sporty.

    Dipasang di Indonesia, Ertiga GL ialah model yang dipertontonkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show 2015. Model facelift ini telah tampil dengan bampar hadapan, gril dan perumah lampu kabus yang dimodifikasi. Manakala bahagian belakangnya memperkenalkan lampu belakang berbentuk-L baharu dengan kekemasan krom, malah roda baharunya juga diperkenalkan.

    Seperti yang dijangka, Dreza pula hadir dengan spoiler sisi, bampar belakang dan sayap belakang yang lebih sporty. Ia turut menampilkan lampu nyalaan siang LED dan rim aloi 15-inci. Bukan itu sahaja, Dreza turut ditampilkan dengan bampar hadapan dan belakang baharu. Secara keseluruhan, varian ini 60 mm lebih panjang secara keseluruhannya – 4,325 mm ke 4,265 mm.

    2016-suzuki-ertiga-in-thailand-001_BM

    Suzuki Ertiga

    Bahagian dalamnya, ia turut dilengkapi dengan upholstery dan kekemasan berwarna, bersama beberapa elemen yang disenaraikan. Bagi varian tertinggi, Dreza mendapat dua tambahan speaker (tweeter), kekemasan krom pada pemegang pintu dalaman dan kayuan pada bahagian papan pemuka.

    Manakala varian GL pula menawarkan kit yang sedia ada, termasuk unit kepala 2-DIN bagi audio dengan empat-speaker, sambungan USB, corong penghawa dingin hadapan dan belakang, pengesan parkir undur dan beberapa elemen lain.

    Sayangnya, hanya Dreza sahaja dilengkapi dengan sistem brek ABS dan EBD, serta lampu brek ketiga pada sayap belakang. Tetapi kedua-dua varian, mengekalkan ruang but yang sama iaitu berkapasiti 482 liter dengan tempat duduk ketiga dibaringkan, dan 736 liter jika tempat duduk kedua dan ketiga dibaring sepenuhnya.

    2016-suzuki-ertiga-dreza-in-thailand-004_BM

    Kedua-dua varian menawarkan kuasa yang sama iaitu 92 PS/130 Nm dengan enjin 1.4 liter, empat-silinder siri-K dan transmisi automatik empat-kelajuan. Walau pun kuasa yang dihasilkan itu ‘sederhana’ namun ia harus menampung berat 1,195 kg bagi Dreza dan 1,185 kg untuk GL.

    Ertiga GL berharga 655,000 baht (RM76k) dan Dreza pula 715,000 baht (RM83k). Dengan apa yang tertera di sini, adakah anda akan berasa teruja dengan model Suzuki Ertiga yang bakal di’rebadged‘ oleh Proton tidak lama lagi? Kongsikan komen anda bersama kami.

    GALERI: Suzuki Ertiga GL

    GALLERY: Suzuki Ertiga Dreza

     
     
  • UMW Toyota muncul dengan tagline baharu “It’s All About The Drive” – signifikan gaya hidup pantas

    UWM Toyota Motor telah pun memperkenalkan tagline baharu mereka iaitu “It’s All About The Drive”. Sebelum ini, syarikat ini telah pun menggunakan “Moving Forward” sebagai tagline.

    Menurut Toyota, perubahan tagline ini adalah merangkumi pelbagai teknologi kenderaan yang ditawarkan untuk masa hadapan. Bukan setakat mementingkan keselamatan, tetapi ia juga menampilkan pelbagai keseronokan apabila berada di dalam kenderaan, yang disesuaikan dengan “gaya hidup yang pantas berubah”.

    Ini kerana sudah menjadi matlamat Toyota yang menjadikan para pelanggan sebagai keutamaan. Malah dengan penambahbaikan yang berterusan, pengalaman pemanduan sentiasa dipertimbangkan. Bukan itu saja, Toyota turut beranggapan, kepuasan dan kehendak pengguna adalah penentu model kenderaan yang dibangunkan. Pendek kata, apa yang dikehendaki dan diperlukan oleh para pengguna, adalah pemacu dan pendorong Toyota untuk membangunkan sesuatu model.

    Dengan adanya tagline baharu ini, Toyota berazam untuk menghasilkan lebih banyak perkara yang lebih menarik termasuk memperluaskan lagi penggunaan teknologi kenderaan, memastikan perjalanan lebih selamat dan dapat menyesuaikan diri dengan gaya hidup yang pantas berubah.

     
     
  • Honda Civic 2016 aktif diuji sekitar Thailand

    Honda-Civic-tenth-gen-spied-Thailand-1-e1455517510895_BM

    Honda Civic 2016 sekali lagi ditemukan sedang diuji sekitar Thailand. Kali ini dengan visual sedan segmen C tersebut yang lebih jelas ihsan dari grup Facebook Honda Civic X Thailand. Seperti yang anda lihat, sedan ini dipenuhi dengan pelekat bercorak ‘X’ di seluruh badan Civic generasi ke-10 tersebut.

    Sebelum ini Civic berwarna perak tersebut dilihat pada Januari 2016 dan November 2015 dengan sedikit penyamaran ringan. Penampilan terbaharu ini nampaknya tidak berubah dengan kesemua lencana, lampu hadapan dan belakang dilekat dengan pelekat penyamaran. Pada pandangan profil sisi, boleh disimpulkan kereta ini akan dilengkapi rim aloi lima-jejari dan spoiler belakang untuk pasaran Thailand.

    Berdasarkan maklumat dari sumber tersebut, kereta tersebut juga dilihat dilengkapi dengan lampu hadapan LED, lampu isyarat cermin sisi dan yang paling utama ia dikuasakan oleh enjin 1.5 VTEC Turbo terbaharu Honda, dan dipadankan dengan kotak gear CVT. Untuk Civic spesifikasi US, enjin tersebut berupaya menjana 174 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 220 Nm hadir bermula 1,800 rpm hingga 5,000 rpm.

    Honda-Civic-tenth-gen-spied-Thailand-2-e1455518070599_BM

    Difahamkan model ini turut akan dikeluarkan dalam varian 2.0 liter DOHC empat-silinder tanpa bantuan pengecas turbo (berkuasa 158 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 187 Nm pada takat 4,200 rpm). Walau bagaimana pun, ketua R&D Honda Keiji Ohtsu sebelum ini membuat kenyataan tiada lagi kata putus sama ada semua Civic untuk pasaran Asia Tenggara akan dibekalkan dengan enjin janaan pengecas turbo tersebut.

    Kita perlu menunggu Civic ini dilancarkan di Thailand untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut sebelum kenyataan Ohtsu-san tersebut boleh disahkan. Namun begitu, Civic yang dicanangkan oleh Honda sebagai Civic terbaik pernah dibina ini perlu dibangunkan dengan mengambil kira banyak aspek untuk menghadapi pesaing-pesaing dari Eropah seperti BMW 3-Series, Mercedes-Benz C-Class, Audi A4 dan juga pesaing tradisi seperti Toyota Corolla, Mazda 3, Hyundai Elantra dan Kia Cerato.

    GALERI: Honda Civic 2016 spesifikasi Amerika Syarikat

     
     
  • Toyota Hilux 2016 – harga jangkaan bagi Semenanjung dan Sarawak, spesifikasi didedahkan, bermula RM93k

    Awal bulan ini, Datuk Ismet Suki, Presiden UMW Toyota Motor, telah mengesahkan Toyota Hilux baharu dijangka bakal tiba di pasaran Malaysia pada suku kedua (Q2) tahun 2016. Ia akan menawarkan enam pilihan varian iaitu 2.4 MT 4×4 single cab, 2.4 STD MT 4×4 Double cab, 2.4 MT 2×4 Double cab, 2.4G MT 4×4 Double cab, 2.4G AT 4×4 Double cab dan spesifikasi tertinggi 2.8G AT 4×4 Double cab.

    Namun kami menjangkakan ia akan dilancarkan sedikit masa lagi memandangkan sudah ada pengedar yang berani mendedahkan harga jangkaannya bagi pasaran Semenanjung Malaysia dan Sarawak. Berikut merupakan harga jangkaannya (termasuk GST dan insurans) seperti mana yang didedahkan:

    2.4 MT 4×4 single cab – RM93,260 (Semenanjung)/RM94,720 (Sarawak)
    2.4 STD MT 4×4 double cab -RM105,240 (Semenanjung)/RM106,650 (Sarawak)
    2.4 MT 2×4 double cab – RM95,260 (Semenanjung)/RM96,700 (Sarawak)
    2.4G MT 4×4 double cab – RM115,260 (Semenanjung)/RM116,690 (Sarawak)
    2.4G AT 4×4 double cab – RM125,260 (Semenanjung)/RM126,530 (Sarawak)
    2.8G AT 4×4 double cab – RM135,260 (Semenanjung)/RM136,120 (Sarawak)

    HILUX_Exterior_12_BM

    Seperti mana Hilux baharu yang telah diperkenalkan di Australia dan Thailand pada Mei 2015, ternyata Hilux versi Malaysia juga menampilkan dua pilihan enjin dari keluarga GD turbodiesel iaitu berkapasiti 2.4 liter dan 2.8 liter. Kemungkinan besar ia juga dipadankan dengan kotak gear baharu manual enam-kelajuan dan automatik.

    Kesemua varian dilengkapi dengan lampu utama halogen multi-reflektor dan lampu nyalaan siang (DRL) jenis mentol. Kesemua varian (kecuali single cab) turut didatangkan dengan lampu kabus hadapan dan bedliner.

    Bagi bahagian kabinnya pula, ia turut dilengkapi dengan meter Optitron, paparan pelbagai-maklumat, kemasukan pintar dan sistem penghidup enjin bagi semua varian kecuali single cab. Namun tambahan elemen bagi 2.8G AT 4×4 iaitu kawalan iluminasi pada bahagian meter dan paparan berwarna TFT 4.2-inci.

    Untuk sistem hiburan pula, ia menampilkan unit kepala 2-DIN dengan format MP3 dan sambungan AUX, USB untuk semua varian. Namun tambahan bagi 2.4G MT 4×4 double cab, 2.4G AT 4×4 double cab dan 2.8G AT 4×4 double cab yang hadir dengan pemain DVD, skrin sesentuh 6.1-inci, sambungan Bluetooth, kad SD, dan kamera undur.

    Bagi tempat duduk, single cab hanya dibaluti dengan material PVC, manakala fabrik dengan enam-cara pelarasan tempat duduk pemandu bagi 2.4 STD MT 4×4 double cab, 2.4 MT 2×4 double cab, dan 2.4G MT 4×4 double cab. Manakala untuk 2.4G AT 4×4 double cab dan 2.8G AT 4×4 double cab pula dilengkapi dengan kombinasi kulit dan lapan-cara pelarasan tempat duduk pemandu.

    Untuk semua varian 4WD, ia dilengkapi dengan 4WD Transfer Switch dan Rear Differential Lock. Manakala Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC) pula turut ada pada varian 2.4G MT 4×4 double cab, 2.4G AT 4×4 double cab dan 2.8G AT 4×4 double cab.

    Aspek keselamatan yang tertera menerusi spesifikasi yang didedahkan ini ialah semua varian menerima tiga beg udara (enam bagi varian tertinggi), ABS dengan EBD. Manakala Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Bantuan Kawalan Mendaki (HAC) pula hanya untuk 2.4G AT 4×4 double cab dan 2.8G AT 4×4 double cab.

    Melihat harga yang didedahkan ini, ia mengalami peningkatan antara RM10,000 dan RM15,000 berbanding model sebelum ini, di mana varian 2.8G berbeza RM20,000 lebih daripada model 3.0G sebelum ini, walau pun ia tidak didatangkan dengan elemen yang lebih tinggi.

    GALERY: Toyota Hilux pasaran Australia

     
     
  • ASEAN NCAP: Toyota Fortuner, Innova baharu diiktiraf lima-bintang bagi AOP untuk varian dilengkapi ESC

    2016-ancap-crash-results-innova-1_BM

    Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP) telah mengumumkan varian Toyota Fortuner dan Innova baharu yang dilengkapi dengan Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC) telah mencapai rating maksima lima-bintang dalam ujian Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP).

    Toyota Innova mendapat skor 14.10 dalam ujian AOP untuk rating lima-bintang. Bagaimanapun, seperti yang tertakluk pada syarat ASEAN NCAP, hanya kenderaan yang dilengkapi ESC layak menerima rating maksima – varian tanpa ESC hanya mendapat skor empat bintang.

    Untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP), Innova mematuhi 76% keseluruhan, dengan peratusan cukup untuk rating empat bintang. Dipasang di Indonesia, Innova yang diuji juga dilengkapi dengan cangak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX dan tambatan bahagian atas secara standard.

    Toyota Fortuner sebaliknya telah diiktiraf tetapi tidak diuji secara fizikal. ASEAN NCAP menjelaskan mereka telah diberi ‘bukti teknikal daripada Toyota yang menyatakan rekabentuk perlindungan dewasa adalah sama seperti Hilux.” SUV tujuh tempat duduk ini direka berasaskan trak pikap Hilux baharu.

    Ini membolehkan Fortuner dikecualikan dari mana-mana ujian sebenar. Ia diiktiraf sama dengan skor Hilux iaitu 14.53 untuk AOP – skor yang cukup untuk memenuhi rating lima-bintang. Ia juga mencapai skor empat-bintang, 71% memenuhi keperluan untuk COP.

    Hanya Innova dan Fortuner yang dilengkapi ESC diiktiraf skor lima-bintang ini. Varian yang tidak dilengkapi ESC tidak berjaya untuk mendapatkan markah penuh, jadi ia kekal dengan rating empat-bintang.

     
     
  • ASEAN NCAP: Empat bintang untuk Nissan Grand Livina; Hyundai i10 satu bintang bagi ujian kedua

    2016-asean-ncap-Nissan-Grand-Livina-1_BM

    ASEAN NCAP telah pun menyebarkan beberapa keputusan ujian terbaharunya, termasuklah bagi model MPV Nissan Grand Livina dan kereta kompak Hyundai i10.

    Bagi Nissan Grand Livina, pemasangan tempatan dan model facelift tahun 2013, telah menerima markah sebanyak 12.50 dari 16 mata maksimum dan melayakknya menerima penarafan empat-bintang bagi Pelindungan Penumpang Dewasa (AOP). Bagi Pelindungan Penumpang Kanak-kanak, MPV tiga barisan tempat duduk ini menerima 41% markah dengan hanya dua-bintang sahaja. ASEAN NCAP menjelaskan, model MPV ini tidak disertakan dengan peringatan pemasangan tali pinggang keledar atau Kawalan Kestabilan Elektronik, walau pun bagi varian spesifikasi-tertinggi.

    Hyundai-i10-Asean-NCAP_BM

    Manakala Hyundai i10 menerima pemarkahan paling rendah pada ujian ASEAN NCAP yang dilakukan pada Disember 2015, iaitu hanya mencapai penarafan satu-bintang iaitu 4.40 mata dari 16 mata penuh dalam AOP. Ini menunjukkan kemerosotan markah berbanding model terdahulu yang menerima 7.31 mata (dua-bintang) pada ujian fasa pertama ASEAN NCAP tahun 2013.

    i10, yang telah digantikan dengan model baharu di kebanyakan pasaran, yang sebelum ini telah melepasi ujian COP dengan 79% markah dan menerima penarafan empat-bintang. Ini menandakan peningkatan yang signifikan berbanding model pemasangan tempatan yang hanya menerima dua-bintang/48% markah. Kad skor di bawah ada perincian lebih lanjut mengenainya.


     
     
  • Naikkan kadar saman tidak akan kurangkan kemalangan, perlu ketatkan penguatkuasaan – MIROS

    polis_trafik_BM

    Pihak polis menyatakan dengan menaikkan kadar saman trafik mungkin boleh menghalang pemandu daripada melanggar undang-undang, seterusnya mengurangkan kadar kemalangan maut. Namun berbeza dengan pendapat Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang menyatakan kenaikan kadar saman itu sendiri tidak akan mengurangkan kadar kemalangan. Sebaliknya ia perludisertakan dengan penguatkuasaan yang lebih ketat dan lebih banyak kempen keselamatan jalan raya dilaksanakan, lapor The Star.

    Menurut pengerusi MIROS Tan Sri Lee Lam Thye, 140,000 saman trafik telah dikeluarkan oleh pihak polis sejak Ops Selamat 8 yang bermula pada 1 Febuari lalu, di mana ia menunjukkan orang awam tidak mengendahkan kompaun trafik.

    “Malaysia mempunyai undang-undang trafik yang bagus tetapi penguatkuasaannya agak lemah dan perlu diperkuatkan. Sebahagian pengguna jalan raya di negara ini tidak menghormati undang-undang trafik dan keselamatan jalan raya dan menganggap perlakuan tersebut adalah ‘normal’ kerana semua orang melakukannya,” kata beliau dalam kenyataannya.

    Tambahnya lagi idea untuk memberikan hukuman yang lebih berat perlu dipertimbangkan. “Di samping mengekalkan saman RM300 terus untuk pesalah trafik, kita juga perlu mempertimbangkan cadangan kerja-kerja kemasyarakatan seperti memungut sampah dan menyapu tepi jalan raya sebagai salah satu bentuk hukuman untuk pesalah,” kata Lee.

    kemalanga_BM

    Lee menekankan untuk meningkatkan tahap pendidikan keselamatan jalan raya dan mengubah mentaliti orang awam dan memastikan usaha ini menjadi sebahagian amalan harian, beliau berkata lebih usaha perlu dilakukan terutama untuk golongan remaja dan dewasa.

    “Kanak-kanak, bermula dari peringkat pra-sekolah, perlu diberi pendidikan berkenaan keselamatan jalan raya dan implikasi serius pemanduan cuai, dan tidak mengendahkan undang-undang jalan raya. Ini boleh memupuk kesedaran tentang keselamatan jalan raya dalam diri kanak-kanak dan membantu mereka menjadi pengguna jalan raya yang lebih bertanggung jawab dan bertimbang rasa apabila mereka dewasa kelak,” kata beliau.

    Tambah beliau dengan adanya pendidikan sedemikian akan memberikan lebih penekanan semasa pendidikan peringkat menengah dan tinggi.

    “Saya percaya yang pendidikan keselamatan tidak patut berhenti pada peringkat tingkatan tiga. Ia perlu diteruskan di kolej dan universiti agar bekas penuntut sekolah,pemegang diploma dan graduan universiti sentiasa diingatkan dengan amalan keselamatan jalan raya,” ujar Lee.

     
     
  • Malaysia naik taraf 75% jalan menjelang 2020 – laporan

    Bad-road-2

    Malaysia telah menyatakan komitmen untuk meningkatkan keselamatan bagi majoriti 144,000 km jalan di negara ini bagi memenuhi standard antarabangsa menjelang tahun 2020, menurut laporan The Sun dan The Star.

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata lebih banyak langkah perlu diambil untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya. Di mana kadar kemalangan meningkat dari 476,196 kes pada 2014 ke 489,606 kes tahun lalu, dengan jumlah kematian meningkat dari 6,674 pada 2014 ke 6,706 tahun lalu.

    Menurutnya, kemalangan ini telah menyebabkan negara mengalami kerugian sebanyak RM8.63 bilion pada tahun lalu, di mana laporan sebelum ini menyebut jumlah itu termasuk bagi kos perubatan, insurans dan pembaikian kenderaan.

    Liow menambah, pihak kementerian sedang mencari penyelesaian bagi meningkatkan penarafan jalan raya di bawah Program Penilaian Jalan Antarabangsa (IRAP), sebuah badan bukan-berasaskan keuntungan yang menilai tahap keselamatan jalan raya di lebih 70 negara, lebih kurang seperti program penilaian kenderaan bagi keselamatan kenderaan yang dijual di pasaran.

    “Kementerian saya bekerjasama dengan pihak yang berkaitan untuk meningkatkan 75% standard infrastruktur jalan raya di Malaysia pada sekurang-kurangnya tahap tiga-bintang menerusi rangkaian jalan raya menjelang tahun 2020.

    Program ini mendakwa setiap jalan yang hanya mendapat satu bintang, tahap potensi untuk berlaku kecederaan dan kematian akibat kemalangan di jalan tersebut boleh dikurangkan separuh dari jumlah sebelumnya. Walau bagaimana pun, Liow berkata tidak ada gunanya jika membuat jalan yang lebih bagus seandainya sikap pemandu sendiri tidak berubah. Malah IRAP boleh menurunkan tahap jalan tersebut dari empat-bintang ke satu-bintang jika pengguna jalan raya masih mengamalkan sikap tidak berhemah di jalan raya.

    Liow turut berkata IRAP akan membantu untuk mengutamakan jalan yang patut diperbaiki
    “dengan menilai kos dan faedah bagi setiap pelaburan”. Sambil menambah, ASEAN IRAP akan dilancarkan pada tahun 2018.

     
     
  • Honda CBR150R 2016 dilancarkan di Indonesia – RM10,178, enjin kekal sama, hanya suntikan kosmetik

    All-New-Honda-CBR-150-R-2016-Indonesia-BM

    Pada 14 Februari lalu, Honda CBR150R 2016 telah pun dilancarkan di Indonesia oleh pelumba dari Honda MotoGP Racing Team iaitu Dani Pedrosa dan Marc Marquez, di Litar Lumba Sentul, Kabupaten Bogor, Jawa Barat. Imej yang ditonjolkan oleh CBR150R 2016 ternyata lebih berbeza berbanding generasi terdahulu CBR150R.

    Walau pun masih menggunakan enjin 150 cc silinder-tunggal yang sama seperti model sedia ada, namun CBR150R 2016 ini ada perbezaannya, menurut Toshiyuki Inuma, Pengarah Presiden Honda Indonesia. Beberapa perubahan yang disenaraikan termasuklah casis yang ringan dengan penyejuk-cecair bagi mengoptimakan pengendalian dan pergerakan.

    Honda telah memanjangkan bahagian swingarm sebanyak 13 mm, bagi mempertingkatkan daya kestabilannya. Enjin suntikan-terus bahan api ini dipasang pada sudut kecerunan 40-darjah, bagi memberikan beratnya lebih ke depan. Dengan 11.3 ke satu nisbah mampatan, CBR150R 2016 ini kini mampu menghamburkan sehingga 18.2 hp dan tork 12.6 Nm di mana kuasanya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan.

    Modifikasi kosmestik telah pun dilakukan pada CBR150R 2016 ini, dengan tempat duduk belakangnya lebih pendek dan tinggi, memberikan imej yang lebih sporty. Malah fairing hadapannya juga sedikit rendah dan kluster insutrumen LCD digital terletak di bahagian kokpit. Lampu utamanya kini ditampilkan dengan unit LED, sama seperti lampu isyaratnya.

    Honda CBR150R 2016 dijual pada harga bermula 32.5 juta rupiah (RM10,178) dan versi edisi MotoGP pula berharga 33.3 juta rupiah (RM10,302). Terdapat dalam empat pilihan warna iaitu Revolution White, Nitro Black, Racing Red dan warna rasmi Repsol bagi MotoGP.

     
     
  • GoCar – sewa Iriz, Myvi atau Almera ikut jam atau hari

    gocar-1_BM

    Mayflower Acme Tours, subsidiari bagi Warisan TC Holdings mengumumkan bahawa ia telah memperoleh kepentingan majoriti bagi meneruskan operasi GoCar, yang ditubuhkan pada Mac tahun lalu. Pengambilalihan ini menandakan kemasukan Mayflower dalam perniagaan perkhidmatan perkongsian kereta.

    Syarikat ini juga menambah, GoCar memberikan penyelesaian pengangkutan dapat tempoh yang singkat, membenarkan ahlinya menyewa kereta sama ada ikut jam atau hari melalui platform pandu-sendiri, dengan akses menerusi laman web syarikat atau aplikasi dalam talian.

    Sejak dilancarkan, GoCar telah menerima lebih 5,000 jam tempahan untuk keretanya di Cyberjaya, Mont Kiara, Mid Valley dan Bangsar. Perkhidmatan ini masih beroperasi di bawah nama dan jenama yang sama, dan kini mempunyai tiga model kenderaan yang ditawarkan iaitu Proton Iriz, Perodua Myvi dan Nissan Almera.

    go-car-2_BM

    Kadar sewa bagi Myvi adalah yang paling murah, iaitu kadar masa puncak (dari jam 8 pagi hingga 8 malam) hanya RM15.90 per jam. Manakala kadar bukan waktu puncak (dari 9 malam hingga 7 pagi) ialah RM11.90 per jam, dan kadar untuk sewaan 24-jam pula ialah RM159 mengikut penggunaan harian.

    Kadar bagi Iriz pula ialah RM16.90 (waktu puncak) dan RM11.90 (bukan waktu puncak) per jam, dan RM169 sehari. Manakala bagi Almera pula RM19.90 (waktu puncak) dan RM16.90 (bukan waktu puncak) per jam, dan RM209 sehari.

    Mayflower turut memaklumkan, GoCar telah dianugerahkan geran CIP 500 bernilai RM500,000 oleh Cradle Fund, di mana ia bakal digunakan untuk membolehkan perkhidmatan perkongsian kereta ini dapat berkembang ke pasaran baharu dan meningkatkan lagi jangkauan pemasaran.

     
     
  • Toyota C-HR crossover akan diproduksi di Turki

    Toyota_CHR_PTBM_1

    Toyota telah mendedahkan model C-HR yang sebelum ini diperkenalkan sebagai model konsep akan ‘dilahirkan’ dalam versi produksi dan dipasang di kilang Toyota yang terletak di Sakarya, Turki.

    Model Crossover ini akan dihasilkan dalam bentuk terakhir bakal dipertontonkan di Geneva Motor Show pada 1 Mac ini. Walau bagaimana pun, Toyota masih merahsiakan lagi spesifikasi teknikalnya, tetapi kemungkinan besar elemennya banyak diadaptasi dari model terkini Prius. Malah model produksi C-HR (kemungkinan bakal diberi nama lain) juga akan menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang baharu dibangunkan, sama seperti model terkini Prius.

    Ini merupakan model Toyota yang ke-lapan dipasang di Eropah, selepas AYGO, Yaris, Auris, Corolla, Verso, Camry, dan Avensis. Toyota turut menyebut, akan memproduksikan enjin hibrid bagi crossover di UK dan kilang tersebut terletak di Deeside, Wales. Toyota turut berkata, C-HR yang diproduksi di Turki itu akan dijual bagi pasaran benua Eropah termasuk beberapa negara lain yang berhampiran.

    Toyota_CHR_PTBM_8

    Bagi model konsepnya, ia memilih hibrid sepenuhnya sebagai penjana kuasa bersama enjin petrol, yang dikatakan mampu memberikan penjimatan haba lebih dari 40%. Malah turut menggunakan motor elektrik baharu serta bateri yang lebih ringan dan kompak.

    Walau pun membawakan imej yang kelihatan funky, namun masih ada elemen praktikal yang cuba dipertaruhkan termasuklah penambahan pintu belakangnya. Difahamkan pereka Toyota telah menginspirasikan bentuk berlian sewaktu menghasilkan rekaan model konsepnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024