Dijangka bakal melakukan penampilan perdana di Geneva Motor Show 2016 bulan hadapan, BMW M760i xDrive 2017 tampil dengan pakej penggayaan penuh aerodinamik termasuk bahagian hadapan yang nampak lebih agresif dan spoiler belakang yang membuatkan imejnya lebih garang. Model ini juga dilengkapi dengan sistem ekzos sport, kekemasan Cerium Grey dan rim aloi eksklusif 20-inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Super Sport.
Rekaan dalamannya tidaklah begitu menonjol tetapi perekanya telah memberikan sentuhan istimewa termasuk roda stereng tiga-jejari, pedal keluli tahan karat dan plat ambang pintu iluminasi. Malah ia turut menampilkan konsol tengah yang unik dengan kekemasan hitam berkilat dan logo V12.
M760i xDrive 2017 dijanakan oleh enjin 6.6-liter M Performance TwinPower Turbo V12 yang mampu menghamburkan kuasa hingga 600 hp dan puncak tork 800 Nm. Ia juga disambungkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda dengan tumpuan kuasa lebih pada roda belakang berbanding hadapan. Gabungan penjana kuasa ini membolehkan M760i xDrive 2017 dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum pada 250 km/j.
Untuk mengekalkan kawalan pengendaliannya, barisan juruteranya telah menala semula suspensi udara dan sistem Active Comfort Drive dengan teknologi Road Preview. Sedan mewah ini juga mempunyai sistem Integral Active Steering supaya dapat memantapkan lagi pergerakannya.
M760i xDrive ini bakal mula dipasarkan di Amerika Syarikat awal tahun hadapan dan harganya hanya akan diumumkan menjelang pelancarannya.