Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz tunjuk van penghantar konsep; tiada stereng dan pedal, dron di bumbung jadi pembantu

    mercedes-benz-vision-8-bm

    Bagi menunjukkan orang ramai ke mana hala tuju serta apa yang sedang dilakukan oleh syarikat bagi segmen kenderaan penghantar, Mercedes-Benz mengeluarkan sedikit perincian berkenaan van konsepnya yang digelar sebagai Vision.

    Ia dikuasakan oleh motor elektrik sepenuhnya berkuasa 100hp supaya dapat beroperasi dengan mudah di dalam bandar yang tidak membenarkan kemasukan kenderaan berenjin biasa dan senyap tanpa sebarang bunyi.

    Untuk mengendalikannya pula, pemandu hanya perlu mengawal joystick seperti permainan video kerana ia tidak mempunyai stereng atau pedal setelah menggunakan sistem drive-by-wire.

    Di atas bumbung van konsep ini, terdapat dua dron yang juga dapat membantu kelancaran penghantaran pakej. Sistem berkomputer pada awalnya telah mengambil rekod alamat, berat, dimensi serta waktu untuk penghantaran, dan penerima juga akan ditanya sama ada mereka mempunyai tapak untuk dron tersebut mendarat.

    Menurut wakil Mercedes-Benz, van konsep Vision ini masih lagi satu konsep dan mungkin mengambil masa 10 tahun lagi sebelum berada di pasaran. Walaubagaimanapun, ini adalah gambaran ke mana hala tuju mereka dan hasil daripada maklum balas mereka yang memerlukannya.

     
     
  • Volvo S60 T6 Drive-E terima status EEV – kini RM239k

    Volvo-S60-T6-Drive-E-official-2-e1463545522418_BM

    Selepas diperkenalkan di pasaran Malaysia pada pertengahan Mei lalu, model pemasangan tempatan (CKD) Volvo S60 T6 Drive-E kini telah diumumkan menerima status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Sekaligus, harganya kini menjadi lebih murah iaitu RM238,888 (harga atas jalan tanpa insurans), iaitu kurang RM42,000 berbanding harga yang diperkenalkan sebelum ini (RM280,888).

    Setiap pembelian didatangkan standard dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan serta pakej bantuan Volvo On Call secara percuma juga selama lima tahun.

    Selain harganya, tiada perubahan yang dilakukan terhadap S60 T6 ini. Ia masih dilengkapi dengan dua sistem induksi paksaan iaitu turbo dan supercharge (untuk takat rpm rendah), membolehkan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder ini mengekstrak kuasa keseluruhan 306 hp pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,100 sehingga 4,800 rpm.

    Kesemua kuasa dari enjin ini memacu kedua-dua roda hadapan menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik dari Aisin, dan dilengkapi dengan penukar gear pada roda stereng. Gabungan tersebut membolehkan sedan ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.9 saat dengan kelajuan maksima 230 km/j.

    Untuk keselamatan, S60 T6 Drive-E dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik bandar (yang berfungsi pada kelajuan sehingga 50 km/j), Sistem Informasi Titik Buta (BLIS) yang beroperasi menggunakan radar, Amaran Lintasan Trafik (CTA), Amaran Pelanggaran dengan Brek Automatik Sepenuhnya. Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Bantuan Kekal Laluan (LKA), Pengesan Pejalan Kaki dan Penunggang Basikal serta Informasi Tanda Jalan (RSI) turut ditawarkan secara standard.

    Untuk maklumat lanjut mengenai S60 T6 ini, sila layari Carbase.my.

     
     
  • VIDEO: Nissan GT-R – menyorot mitos Godzilla

    Nissan GT-R mempunyai sejarah lampaunya yang seakan kisah mitos. Lagenda bermula pada 1964 apabila Shinchiro Sakurai atau dikenali sebagai “Father of Skyline” menyumbat enjin enam selinder sebaris pada Nissan Skyline yang ketika itu merupakan sebuah sedan keluarga, seterusnya menewaskan sebuah Porsche 904 di litar Fuji Speedway.

    Justeru, Nissan telah menyiarkan video untuk menyorot sebahagian peristiwa seakan mitos dalam sejarah perjalanan Skyline GT-R sehingga hadir sebagai sebuah kereta sport asli yang kini dikenali dengan nama Nissan GT-R. Video ini dimulakan dengan babak ketika Nissan Skyline GT-R R32 diharamkan dari menyertai Australian Touring Car Championship (ATCC) setelah menjuarai kejohanan tersebut tiga tahun berturut-turut dari 1990 hingga 1992.

    Dalam kejohanan berkenaan, hanya Ford Sierra RS500 yang dijana enjin turbo berkuasa lebih dari 500 hp dilihat boleh menewaskan R32 GT-R. Tetapi Sierra menghadapi masalah pengendalian pada sesetengah selekoh kerana sistem pacuan belakangnya tidak mampu menampung kuasa yang begitu besar dihasilkan dari enjin. GT-R pula sebaliknya, walaupun dijana oleh enjin RB26DETT berkuasa lebih dari 500 hp, ia masih melekat pada permukaan jalan dalam apa jua situasi kerana dilengkapi dengan sistem pacuan empat roda, sekaligus membuatkan ia seakan seekor raksasa yang tidak boleh dikalahkan sesiapa dan digelar sebagai “Godzilla”.

    Oleh itu, penganjur ATCC telah mengharamkan penggunaan enjin berkuasa turbo dan sistem pacuan empat roda pada musim seterusnya, secara tidak langsung mengharamkan Skyline GT-R untuk terus berlumba dan mendominasi kejohanan di benua itu.

    Walaupun disingkirkan dari perlumbaan litar, lagenda Skyline GT-R tidak terhenti begitu sahaja. Godzilla terus menjadi ikon sebagai sebuah jentera berkuasa dalam dunia perlumbaan jalanan. Akhirnya, pada tahun 2003, Nissan Skyline R34 GT-R muncul dilayar perak, membintangi filem 2 Fast 2 Furious yang memperlihatkan keadaan sebenar bagaimana GT-R dihormati dalam dunia modifikasi jalanan.

    Litar “The Green Hell” Nürburgring Nordschleife merupakan satu lagi episod yang memahatkan kisah lagenda GT-R dalam riwayatnya. Model R35 GT-R telah berberapa kali memecahkan rekod lap terpantas Porsche dilitar tersebut dalam kategori kereta produksi sehingga Porsche mendakwa Nissan mengeluarkan catatan masa palsu. Rekod terkini lap produksi terpantas dipegang oleh R35 GT-R Nismo terbaharu dengan masa 7 minit 8.679 saat.

    Model GT-R 2017 terbaharu menerima rupa luaran yang lebih segar dan bahagian dalaman yang lebih premium dan mewah serta sistem infotainmen yang dipertingkatkan.Ia masih mengekalkan enjin VR38DETT 3.8 liter turbo-berkembar V6 tetapi telah ditala semula bagi menghasilkan kuasa sehingga 565 hp pada 6,800 rpm dan tork 633 Nm dari 3,300 hingga 5,800 rpm, meningkat sebanyak 15 hp dan 3 Nm berbanding model 2016 – hampir lebih 90 hp berbanding versi asal GT-R R35.

    Kotak gear klac berkembar pada model baharu ini turut diolah semula bagi memberikan tukaran gear yang lebih lancar serta lebih senyap. Prestasi pengendalian juga telah dipertingkat menerusi sistem suspensi yang ditala semula serta kerangka badan yang telah diperkuatkan.

    GALERI: Nissan GT-R 2017

     
     
  • SPAD minta pelan penambahbaikan perkhidmatan LRT

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Ekoran masalah gangguan teknikal kuasa elektrik yang berlaku di stesen LRT Kelana Jaya yang menyebabkan perkhidmatan tren ini tergendala pagi semalam, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah meminta Rapid Rail Sdn Bhd, pengendali sistem pengangkutan itu, supaya mengemukakan laporan penuh selewat-lewatnya 21 September ini.

    Dalam masa yang sama, SPAD juga meminta agar Rapid Rail mengemukakan langkah-langkah bagi penambah baikan penyampaian perkhidmatan dan masa tindak balas, laporan Bernama.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SPAD, pihaknya akan terus memantau isu-isu berkenaan LRT dan memandang serius mengenai gangguan perkidmatan di laluan Kelana Jaya pagi semalam.

    Malah SPAD akan memastikan Rapid Rail menjalankan pengauditan dan siasatan untuk mengenal pasti punca utama gangguan dan mengemukakan langkah-langkah mitigasi untuk mengelakkan insiden itu pada masa depan.

     
     
  • Pelajar Palestin bina model prototaip kereta solar bagi mengatasi masalah sekatan bahan api oleh Israel

    Solar_car

    Akibat tindakan Israel yang mengenakan sekatan bahan api terhadap wilayah Palestin, dua orang pelajar kelahiran Palestin yang menuntut di Universiti Al-Azhar cawangan Gaza telah mencipta sebuah kereta yang menggunakan tenaga solar.

    Khalid al-Bardawil dan Jamal al-Miqaty yang mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jabatan Kejuruteraan Mekatronik universiti terbabit telah mengembleng tenaga bagi menghasilkan kereta berkapasiti satu-tempat duduk yang memiliki panel solar di atas bumbungnya, laporan RT.com.

    Walau pun tidak memiliki kos kewangan yang besar, namun hajat untuk membina kereta solar berkenaan berjaya direalisasikan. Masih di peringkat prototaip, kereta beroda tiga ini mampu mencapai kelajuan sekitar 29 km/j.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Universiti Al Azhar, idea membangunkan kereta solar ini adalah satu langkah inovatif dalam menangani sekatan ke atas kehidupan harian dalam wilayah Palestin.

    Menurut Al-Miqaty pula, “Motor penjanaan elektrik tidak ada di Gaza dan tiada siapa di antara kami yang tahu untuk membuatnya. Justeru, kami terpaksa berusaha keras untuk membawa masuknya dari luar dan melakukan modifikasi terhadapnya. Ia bukanlah suatu usaha yang mudah, namun akhirnya kami berjaya melakukannya.”

     
     
  • Spanco anjur program pemanduan defensif; ingin kurangkan kos baik pulih yang mencecah RM8 juta

    2016 SPANCO Defensive Driving - 2

    Bagi mengurangkan pembiayaan baik pulih kenderaan di bawah pengurasannya, Spanco yang bertanggungjawab menguruskan barisan kenderaan milik kerajaan melaksanakan program pemanduan defensif bagi pemandu-pemandu kerajaan yang terlibat mengendalikan kenderaan berkenaan.

    Spanco kini menguruskan lebih daripada 12,000 kenderaan sedan kerajaan yang bernilai RM700 juta di seluruh Malaysia. Berikutan itu, syarikat berkenaan berdepan dengan masalah kos yang semakin tinggi bagi kenderaan yang terlibat dengan kemalangan mahupun kos penyelenggaraan biasa.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Spanco, Datuk Hamzah Mohd Salleh, sebanyak 2,707 kemalangan dicatatkan pada 2015 bagi kenderaan di bawah seliaannya, melibatkan RM8.1 juta kos pembaikan.

    Program berkenaan melibatkan 55 penjawat awam dari beberapa kementerian dan agensi kerajaan. Ia disasarkan kepada mereka yang memandu kenderaan rasmi kerajaan dalam urusan seharian.

    “Lebih membimbangkan, setakat Ogos tahun ini, 2,666 kemalangan dicatatkan, dan ini melibatkan kos baik pulih sehingga RM8 juta. Jumlah berkenaan hampir sama dicatatkan bagi keseluruhan tahun 2015,” jelas beliau. Kenderaan di bawah Spanco turut terlibat dengan 72,000 saman trafik dan had laju.

    Beliau menambah, kadar kemalangan yang tinggi bagi kenderaan kerajaan tidak hanya membawa kerugian besar kepada Spanco, tetapi turut menyebabkan gangguan jadual kenderaan yang tersedia akibat sebahagiannya tidak dapat digunakan kerana sedang dibaiki. Program ini diharap dapat memperbaiki situasi itu, dengan memberikan pendedahan lebih berguna kepada pemandu-pemandu terlibat.

     
     
  • PANDU UJI: Honda Civic 1.5T Premium 2016 – kembalikan semula sedan dengan gaya sporty sebenar

    DSC_0178 civic_kk_drive

    Seingat saya, sejak saya kecil lagi iaitu pada sekitar era 80’an dan 90’an, seperti sudah disematkan dalam minda masyarakat Malaysia, kereta berjenama Honda seringkali dikaitkan dengan kejayaan seseorang. “Aku tengok Amy Search tu, huu.. dah bawak Honda Accord dah! Herrr.. kan, Honda Accord, engkau tahu.. kan”. Ini antara dialog oleh watak Jijo dalam filem Rock (2005) arahan Mamat Khalid untuk menggambarkan betapa berjayanya Amy Search pada era ‘rock kapak’ berkenaan.

    Begitu juga dengan seorang usahawan yang ada bau-bau bacang dengan keluarga saya, memiliki Honda CRX EF dan kemudiannya bertukar kepada Honda Civic EG hatchback dalam usia muda, sering menjadi buah mulut dalam keluarga.

    Ya, Civic sering dikaitkan dengan ‘kaki kereta’ yang mempunyai latar belakang kejayaan dalam kehidupan sejak era 80’an dahulu bermula dengan ‘Civic Mayat’ iaitu Honda Civic hatchback generasi ketiga (SB3) yang hadir dengan varian SI, dijana oleh enjin 1.6 liter ZC DOHC. Kegilaan Civic terus menular pada generasi keempat iaitu Civic EF, apabila Honda memadankan enjin DOHC VTEC buat pertama kali pada kerangka Civic menerusi varian EF9 SiR, seterusnya pada EG6/Ferio EG9 SiR dan beralih kepada Civic pertama dengan lencana Type-R iaitu EK9.

    Kemuncak imej sporty Civic hadir menerusi model generasi kelapannya yang dikenali dengan kod casis FD. Model ini direka mendahului zaman menampilkan bukan sahaja prestasi begitu baik dari enjin DOHC i-VTEC K20 (untuk varian 2.0 liter) dan pengendalian yang jitu, malah rekabentuknya juga tampil sangat sporty dan futuristik. Binaan over-engineered pada Civic FD2 ini membuatkan model generasi kesembilan iaitu Civic FB sebagai sebuah model yang bosan dan tidak memberi aura seperti generasi sebelumnya.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Audi perkenalkan Audi A5 dan S5 Sportback terkini – enjin turut diperbaharui, kelengkapan lebih canggih

    Audi A5 Sportback

    Tujuh tahun selepas pengenalan Audi A5 Sportback yang pertama, kini Audi memperkenalkan versi terbaharu kenderaan coupe lima pintu tersebut.

    Pada aspek luarannya, kenderaan ini direka supaya nampak lebih dinamik dan tegap tetapi masih mengekalkan identiti Audi seperti penggunaan gril Singleframe, namun ia lebih lebar dan rata berbanding model sebelumnya.

    Lampu utama pula kini diberikan pilihan sama ada LED ataupun Matrix LED, dengan lampu penunjuk arah dinamik.

    Perbandingan lain yang boleh dibuat dengan model sebelumnya adalah termasuk pengurangan berat sebanyak 85kg, dengan berat keseluruhan 1,470kg dan kecekapan rintangan angin (drag coefficiency) 0.26cd.

    Untuk bahagian enjin, Audi A5 Sportback akan dilancarkan secara keseluruhan dengan pilihan lima enjin; dua TFSI (petrol) dan tiga TDI (diesel), masing-masing dengan kuasa antara 190hp hingga 286hp. Jumlah ini juga menunjukkan peningkatan kuasa sebanyak 17 peratus dan penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan sebanyak 22 peratus berbanding model sebelumnya.

    Semua pilihan enjin ini akan digabungkan dengan transmisi yang bersesuaian, sama ada manual enam kelajuan, automatik klac berkembar S Tronic tujuh kelajuan ataupun Tiptronic lapan kelajuan.

    Namun, bagi varian prestasi lebih tinggi iaitu Audi S5 Sportback, ia akan ditawarkan dengan enjin 3.0 TFSI V6 yang dipadankan bersama kotak gear Tiptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda Quattro, menghasilkan sehingga 354hp kuasa maksimum dan 500Nm tork.

    Selain itu, Audi A5 Sportback juga akan ditawarkan sebagai bivalent g-tron, yang dikuasakan oleh sama ada e-gas Audi, gas asli ataupun gasolin.

    Audi S5 Sportback

    Casis juga adalah antara tarikan utama Audi A5 dan S5 Sportback, dan untuk model baharu ini, A5 Sportback akan dilengkapi dengan stereng kuasa elektromekanikal dan pilihan stereng dinamik yang boleh mengawal nisbah gear bergantung kepada kelajuan dan sudut pusingan stereng.

    Seperti kenderaan Audi lain, mod pemanduan didatangkan standard pada Audi A5 dan S5 Sportback baharu.

    Pada bahagian dalam Audi A5 Sportback, keluasannya bertambah bagi pemandu dan penumpang, dengan kelengkapan lain yang berkualiti tinggi termasuk lampu suasana dalam 30 warna berbeza yang boleh dipilih.

    Ciri lain pada Audi A5 Sportback adalah ruang simpanan belakang 480 liter, tempat duduk belakang 40:20:40 yang boleh menjadikan ruang simpanan 1,300 liter, monitor TFT 12.3 inci beresolusi tinggi dengan pelbagai paparan serta sambungan telefon pintar Apple Car Play dan Android Auto.

    Bagi yang mahukan lebih daripada itu, Audi turut menyediakan pilihan pengesan untuk membuka ruang simpanan belakang secara automatik, Head Up Display, Audi Connect SIM, MMI Navigation Plus, sistem pengecas telefon tanpa wayar dan sistem bunyi 19 pembesar suara Bang & Olufsen.

    Audi A5 dan S5 Sportback akan berada di pusat pameran di Jerman dan negara Eropah lain pada Januari 2017 dengan harga bermula EUR37,800 (RM172,775) bagi A5 Sportback dan EUR62,500 (RM285,673) bagi S5 Sportback.

    Untuk pasaran Malaysia, ketibaan serta pilihan enjinnya masih belum dipastikan, namun Audi Malaysia sedang memberikan perhatian kepada model A4 baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

     
     
  • KL MRT: Jalan Bukit Bintang ditutup esok malam

    MRT_BukitBintang

    MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT) telah mengumumkan penutupan laluan sepanjang 150 meter di antara Fahrenheit 88 dan Lot 10, Jalan Bukit Bintang pada 8 September ini mulai 11 malam hingga 5 pagi keesokan harinya. Ia adalah bagi kerja-kerja pemasangan eskalator di stesen MRT Jalan Bukit Bintang.

    Sepanjang penutupan ini, laluan alternatif akan dibuka iaitu di Jalan Gading dan Jalan Imbi dan kemudian balik semula ke Jalan Sultan Ismail. Sila semak gambarajah di atas untuk laluan alternatif yang dimaksudkan.

    Sehubungan itu, MGKT menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan laluan terbabit dan sentiasa patuhi isyarat jalan yang diletakkan.

     
     
  • Peugeot 5008 2017 didedahkan – Dulu MPV, kini SUV

    PEUGEOT_5008_SUV-850x468

    Menjelang Paris Motor Show 2016 yang bakal berlangsung hujung bulan ini, ada satu kejutan yang menanti. Peugeot 5008 yang sebelum ini merupakan sebuah MPV tidak lagi akan kekal begitu. Di dalam penampilan model tahun 2017, ia kini ialah sebuah SUV, kekal dengan kapasiti tujuh tempat duduk.

    Peugeot 5008 2017 merupakan sebuah SUV segmen C, dengan panjang 4.64 meter dan jarak antara roda 2.84 meter. Panjang keseluruhan itu sama dengan Nissan X-Trail semasa, namun jarak wheelbase 135 mm lebih panjang. Ini sesuatu yang menarik. Jika dibandingkan pula dengan model 3008 generasi kedua yang diperkenalkan awal tahun ini, 5008 19 cm lebih panjang.

    Di bahagian dalam, baris kedua terdiri daripada tiga tempat duduk individual yang boleh dilipat dengan lima sudut berbeza (MPVnya dahulu hanya benarkan dua sudut berbeza), termasuk tapak Isofix. Baris ketiga pula terdiri daripada dua tempat duduk individu yang boleh dilipat rata dan boleh ditanggalkan, untuk menyediakan ruang kargo dengan kapasiti 1,060 liter.

    Dengan tempat duduk penumpang hadapan yang dilipat sepenuhnya, ruang kargo berkenaan mampu memuatkan barangan dengan panjang 3.2 meter tanpa masalah. Apa yang ingin disampaikan oleh Peugeot melalui model terbaharu ini ialah, walaupun kini menjadi sebuah SUV, ia masih mempunyai praktikaliti sebuah MPV.

    Model ini juga didatangkan dengan rekaletak papan pemuka i-Cockpit Peugeot, yang pertama kali diperkenalkan pada model 208. Saiz stereng yang kompak, skrin sentuh lapan inci dan paparan meter resolusi tinggi 12.3 inci merupakan antara ciri utama kokpit berkenaan.

    Ciri lain yang turut ditawarkan ialah tempat duduk hadapan dengan sokongan badan penuh, serta sistem urutan pelbagai titik, sistem hi-fi premium, pengecaj Qi tanpa wayar bagi telefon pintar, navigasi TomTom dan bumbung panoramik kaca.

    Ia bagaimanapun tidak ketinggalan bagi ciri-ciri keselamatan. Antara yang melengkapi Peugeot 5008 2017 ini adalah Advanced Grip Control dengan Hill Assist Descent Control, Automatic Emergency Braking System, Distance Alert, Active Lane Keeping Assistance, amaran tahap tumpuan pemandu, Smart Beam Assistance, pengenalan papan tanda had laju dan cadangan kelajuan, adaptive cruise control dengan stop feature (kotak gear automatik), tinjauan titik buta, Park Assist dan Visio Park (penglihatan 360 darjah).

    Seperti juga model 308 dan 3008, 5008 2017 ini dibangunkan di atas Efficient Modular Platform (EMP2) dan 95 kg lebih ringan berbanding versi MPV yang terdahulu. Bagi enjin, ia menggunakan enjin petrol Euro 6 (1.2L PureTech 130 dan 1.6L PureTech 165) dan beberapa pilihan enjin diesel (1.6L BlueHDi 100, 1.6L BlueHDi 120, 2.0L BlueHDi 150). Bagi varian tertinggi GT, ia dilengkapi enjin 2.0L BlueHDi 180.

     
     
  • Husqvarna perkenal TC50 dan TC65 model 2017

    25411_TC-50-2017-Studio-1120x717

    Motosikal lasak premium jenama Husqvarna bukan sahaja dikeluarkan untuk orang dewasa malah juga anak muda. Sekiranya sudah mempunyai asas, ini adalah model yang boleh membawa mereka lebih kompetitif iaitu Husqvarna TC50 dan TC65. Syarikat dari Sweden ini baru sahaja memperkenalkan model 2017 bagi motosikal kategori junior ini.

    25413_TC-50-2017-Studio-1120x915

    TC50

    Dari aspek penampilan,TC50 membawa gaya sama seperti model lain Husqvarna 2017 yang lebih besar tetapi ia dikuasakan oleh enjin dua lejang 50cc dan menggunakan rekaan tiga syaf yang dapat membawa crankshaft lebih rendah ke bumi.

    Prestasi enjin kemudiannya disokong dengan kelengkapan lain seperti suspensi hadapan WP AER 35mm USD (terbalik), suspensi belakang monoshock WP boleh laras, rim aluminium, tayar Maxxis, brek cakera hidraulik hadapan dan belakang serta radiator yang besar.

    TC50 menggunakan transmisi klac centrifugal automatik, bermakna penggunanya tidak perlu menarik klac untuk memasukkan gear. Selain itu, Husqvarna juga menawarkan pakej khas untuk merendahkan kuasa enjin motosikal ini.

    25418_TC-65-2017-Studio-1120x894

    TC65

    Bagi TC65 pula, ia menggunakan enjin 65cc dua lejang dan digabungkan dengan transmisi manual enam kelajuan berserta klac hidraulik.

    Kerangka motosikal ini menggunakan besi berkekuatan tinggi manakala subframe pula daripada aluminium dan lengan ayun daripada aluminium diperkuat (cast).

    Pada bahagian suspensi hadapan, TC65 menggunakan unit WP AER 35mm yang boleh dilaras dengan pam angin manakala di bahagian belakang pula menggunakan monoshock WP boleh laras sepenuhnya.

    Kedua-dua model ini akan dipasarkan bermula pada Januari tahun 2017.

     
     
  • Honda Accord 2016 dilancarkan – harga dari RM145k

    Honda Accord facelift 3

    Selepas Civic 2016, kini tibalah pula giliran Honda Accord 2016 pula diperkenalkan. Biarpun ia bukanlah model yang begitu dinanti-nantikan sebagaimana Civic dan HR-V, namun kehadiran Accord 2016 pastinya mampu merancakkan lagi industri automotif tempatan, khususnya bagi segmen-D. Apatah lagi ia dianggap sebagai model unggul bagi Honda Malaysia untuk pasaran tempatan.

    Model facelift ini ditawarkan dengan tiga varian berbeza iaitu 2.0 VTi, 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L serta dua pilihan enjin berbeza. Namun difahamkan, tiada perubahan mekanikal dan ia masih menggunakan penjana kuasa yang sama dengan model sebelum ini.

    Bagi enjin 2.4 liter DOHC i-VTEC dengan teknologi Earth Dream, ia mampu menghamburkan kuasa 172 hp pada 6,200 rpm dan tork 225 Nm pada 4,000 rpm. Manakala enjin 2.0 liter SOHC i-VTEC pula dengan kuasa 153 hp pada 6,500 rpm dan tork 190 Nm pada 4,300 rpm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik lima-kelajuan.

    Honda Accord facelift 34

    Perubahan yang dilakukan terhadap model facelift ini sudah pastinya pada bahagian luaran, terutamanya di bahagian hadapan. Ia dilengkapi dengan gril hadapan berserta gaya baharu Solid Wing ciptaan Honda serta bar krom yang tebal. Bagi model 2.0L, ia dilengkapi dengan lampu utama halogen, sementara 2.4L pula dipadankan dengan lampu utama LED bersama pelarasan automatik dan turut dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED baharu.

    Bahagian belakang juga diberi nafas baharu bagi ketiga-tiga varian dengan beberapa elemen baharu termasuk trunk lid dengan rekaan krom seperti bersambung dengan kedua-dua lampu belakang. Selain itu, elemen baharu yang ditampilkan termasuk lampu belakang LED, lampu kabus dan juga bampar belakang dengan rekaan krom.

    Walau pun bahagian sisinya tiada perubahan besar dilakukan, namun ia dipadankan dengan rim aloi dua-tona rekaan baharu, 17-inci bagi 2.0L dan 18-inci untuk 2.4L.

    Accord 2016 ini memiliki ukuran dimensi 4,935 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,465 mm tinggi dengan jarak roda 2,775 mm.

    Untuk bahagian kabinnya, perubahan yang ditampilkan ialah kekemasan kayuan baharu, skrin paparan pelbagai-info (i-MID) berwarna bersaiz 7.7-inci baharu dan skrin sentuh tujuh-inci bagi audio dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Selain itu, panel instrumen juga ditampilkan dengan gayaan baharu yang lebih segar.

    Elemen lain yang turut ditampilkan termasuklah kemasukan pintar dengan butang penghidup enjin, butang ECON, One-touch Lane Change, kawalan kelajuan, cermin pandang belakang dengan anti silau (hanya untuk 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L), penghawa dingin dua-zon, corong penghawa dingin untuk tempat duduk belakang, soket MP3/iPod/USB/HDMI, kawalan bebas tangan bagi telefon bimbit dan pengesan suara, enam-speaker dan roda stereng tiga-jejari balutan kulit. Hanya varian 2.4 VTi-L menerima sistem bunyi premium dengan subwoofer.

    Honda Accord facelift 20

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan pedal penukar gear hanya bagi varian 2.4 VTi-L, tempat duduk upholsteri dengan material kulit berwarna hitam (fabrik hitam bagi 2.0 VTi) serta lapan-cara pelarasan bagi tempat duduk pemandu dan empat-cara pelarasan bagi tempat duduk penumpang hadapan bagi 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L. Kesemua varian juga dilengkapi dengan Kawalan Bunyi Bising Aktif (ANC) dan Kawalan Bunyi Aktif (ASC).

    Bagi aspek keselamatan, elemen standard yang ditampilkan untuk semua varian termasuklah enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS dengan EBD, Bantuan Mula Mendaki, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), dua pengesan sudut hadapan, empat pengesan sudut belakang dan cagak Isofix.

    Manakala varian 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L menerima elemen keselamatan premium iaitu Kamera Pandang Belakang Pelbagai-Sudut dan Honda LaneWatch Camera. Dua elemen tambahan hanya bagi 2.4 VT-i L pula ialah Active Cornering Light dan Hydrophilic Door Mirror.

    Accord 2016 ditawarkan dengan pilihan warna Modern Steel Metalic, Crystal Black Pearl dengan tiga warna baharu iaitu Obsidian Blue Pearl, Lunar Silver Metallic dan warna premium dengan pertambahan kos sebanyak RM400 bagi White Orchid Pearl.

    Harga atas jalan (termasuk GST dan insurans) yang ditawarkan bagi varian 2.0 VTi ialah RM144,800, RM153,800 untuk 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L pula RM172,800.

    Ia didatangkan dengan waranti selama lima-tahun tanpa perbatuan terhad, tempoh servis diperpanjang kepada 10,000 km serta enam servis buruh percuma yang diselang-seli bersama servis berbayar sehingga 100,000 km.

    Bagi menambahkan sedikit kelainan gaya pada Accord 2016 ini, ia turut ditawarkan dengan kit aksesori Modulo dengan dua pilihan pakej. Bagi Advance Package yang keseluruhan bernilai RM5,500, kit aksesori pilihan ini juga boleh dibeli secara berasingan yang terdiri daripada spoiler hadapan bawah (RM1,200), spoiler sisi bawah (RM1,966.50), spoiler belakang bawah (RM1,300), perlindungan sisi (RM636.50), trunk spoiler (RM769.50) dan puddle light (RM608).

    Honda Accord facelift 4

    Selain itu, Premium Utility Package pula keseluruhan bernilai RM2,930) dengan kit aksesori yang juga boleh dibeli secara berasingan. Ia merangkumi pelindung pintu dengan krom (RM722), trunk tray (RM250), trunk drawer (RM432.25), foot light (RM503.50), pemijak sisi iluminasi (RM1,073.50) dan filem pelindung pintu (RM273). Manakala cermin pandang belakang anti silau turut ditawarkan secara berasingan pada harga RM995.60.

    Tempahan bagi Accord 2016 telah pun dibuka sejak 1 Ogos lalu dan Honda Malaysia mensasarkan mampu menjualnya sebanyak 500 unit sebulan.

    Untuk anda yang berminat dengan Accord 2016 ini, sila layari Carbase.my untuk spesifikasi penuh serta bantuan dari penasihat jualan.

    Honda Accord 2.0 VTi facelift dengan bodykit Modulo

    Honda Accord 2.0 VTi-L facelift

    Honda Accord 2.4 VTi-L facelift

     
     
  • Suzuki India keluarkan Gixxer SP Special Edition – penampilan lebih bergaya, dijual dalam unit terhad

    Gixxer-SP

    Dua motosikal 159.4cc Suzuki yang diterima baik di India iaitu Gixxer dan Gixxer SF (masing-masing sebuah naked dan sebuah lagi dengan fairing) kini dikeluarkan dalam edisi istimewa terhad dalam pilihan warna hitam berkilat dan kelabu matte.

    Kelainan yang diberikan melalui edisi istimewa terhad ini adalah warna dan grafik yang berkonsepkan lumba dengan hiasan kotak-kotak seperti bendera penamat, garisan merah termasuk pada rim dan tempat duduk berwarna merah.

    Suzuki Gixxer SP (naked) dijual pada harga Rs.80,726 (RM4,948) manakala Suzuki Gixxer SF-SP dijual pada harga Rs.88,857 (RM5,446) di pusat pameran Suzuki sekitar India.

    Suzuki Gixxer secara asasnya menggunakan enjin satu silinder 159.4cc, transmisi lima kelajuan, sistem bahan bakar karburator dan mempunyai kuasa maksimum sebanyak dan 14.5hp dan 14Nm tork.

     
     
  • Tindakan tegas terhadap pemandu teksi ingkar yang menaikkan tambang – Persatuan Teksi Langkawi

    Malaysia-Taxi-03

    Persatuan Pemilik dan Pemandu Teksi Langkawi akan mengambil tindakan tegas ke atas ahli-ahlinya yang cuba mengambil kesempatan menaikkan tambang ketika berlangsungnya acara-acara besar di pulau itu, memetik laporan Bernama.

    Presidennya, Ramli Ahmad berkata persatuan itu memandang serius tindakan-tindakan seperti itu oleh ahlinya kerana ia akan memberikan gambaran buruk terhadap perkhidmatan teksi di mata pelancong.

    “Jika benar perkara-perkara seperti ini berlaku, harap boleh laporkan kepada saya. Kita tak teragak-agak untuk meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk tarik balik permit yang diberikan kepada pemandu-pemandu ini,” jelasnya.

    Beliau tidak menolak kemungkinan perkara seperti itu memang berlaku berikutan kekeliruan dalam kalangan pelancong terhadap kadar bayaran yang berbeza bagi perkhidmatan teksi sedia ada jika dibandingkan dengan kaedah penentuan kadar kereta sewa yang ditawarkan oleh individu atau syarikat.

    Menurut beliau lagi, individu atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan kereta sewa dengan atau tanpa pemandu tidak tertakluk di bawah peraturan SPAD, dan kebiasaannya kadar sewa bergantung kepada permintaan dan akan lebih tinggi pada waktu puncak atau ketika berlangsungnya acara besar di sana.

     
     
  • Proton memperbaharui Perjanjian Bersama dengan pihak kesatuan pekerja – PONSB dan PTMSB

    IMG_4878

    Walaupun kini sedang memfokuskan dalam pelbagai usaha pemulihan untuk memncapai keuntungan, Proton Holdings Berhad masih mengutamakan kebajikan para pekerja-pekerjanya. Bertempat di Pusat Kecemerlangan PROTON di Subang Jaya, satu majlis telah diadakan untuk memperbaharui perjanjian bersama (Collective Agreement, CA) antara Proton dan ahli-ahli kesatuan pekerja mereka.

    Perjanjian itu ditandatangani dan diputuskan pada 19 Ogos 2016 antara YBhg Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON dan Presiden Kesatuan, En. Mohd Azmi Abu Bakar yang mewakili kakitangan kesatuan Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) dan En. Ferdaus Mohni, Presiden Kesatuan yang mewakili pekerja kesatuan PROTON Tanjung Malim Sdn Bhd (PTMSB). Majlis berkenaan turut disaksikan oleh pengerusi PROTON, YBhg Dato’ Sri Syed Faisal Albar dan Mr. Fong Khei Por, Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia.

    Penjanjian ini boleh diperbaharui sekali setiap 3 tahun dan perjanjian yang dibuat sebelum ini telah tamat pada Disember 2015, justeru perjanjian baharu ini dibuat sebagai menggantikan perjanjian sedia ada. Dengan semangat “Pemikiran Satu Syarikat” dan “Pengurusan Kesatuan yang saling bermuafakat” perjanjian yang telah diperbaharui itu menandakan kerjasama yang baik dan persefahaman antara kedua-dua belah pihak.

    Perjanjian bersama yang dibuat ini menyediakan beberapa penambahbaikan untuk pekerja antaranya termasuk pelarasan perintah gaji minimum baharu, insurans pekerja bagi kemalangan diri, sepanjang hayat, insurans perubatan dan faedah kematian.

    “Melihat kepada kemampuan kami, PROTON sentiasa mengutamakan kebajikan dan faedah-faedah kepada para pekerja. Syarikat memahami bahawa untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam sesuatu perniagaan, syarikat itu sendiri perlu mendalami pekerjanya agar pekerjanya dapat berkhidmat dengan baik kepada para pelanggan.

    “Kejayaan kebiasaannya diukur melalui kerjasama antara pasukan, memanfaatkan kelebihan dan kepakaran masing-masing untuk mencapai kejayaan yang lebih besar dan lebih baik untuk Syarikat.” jelas Dato’ Fuaad.

    Perjanjian yang diperbaharui antara pihak pengurusan dan kesatuan ini merupakan kali ke-10 bagi PONSB dan kali ke-4 buat PTMSB.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025