Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Penutupan di Exit 702 dan Exit 703 Lebuhraya Cheras-Kajang dilanjutkan 11 hari berakhir hujung bulan ini

    535143_1107433665954700_4272840595636883064_n

    Berikutan pembinaan stesen MRT Suntex dan stesen MRT Sri Raya, MMC-Gamuda mengumumkan penutupan jalan di persimpangan Hulu Langat arah Kajang (Exit 702) dan persimpangan Telekom arah Kajang (Exit 703) di akan dilanjutkan. Pemanjangan tempoh ini juga melibatkan penutupan jalan tiga lorong arah Kajang sepanjang Lebuhraya Kajang Cheras.

    Kesemua penutupan jalan ini akan bermula 10 malam hingga lima pagi, setiap hari bermula 20 Mac hingga 31 Mac 2016. Walau bagaimana pun, lanjutan tempoh penutupan jalan selama 11 hari ini akan dilakukan secara berselang-seli.

    Untuk laluan pengguna jalan raya dari Hulu Langat/Pekan Batu 9 yang menuju ke arah Kajang, anda disarankan agar mengambil menggunakan Exit 702 arah KL dan membuat pusingan-U di Exit 701 persimpangan PGA seperti laluan yang berwarna hijau di dalam peta diatas.

    Pengguna dari Pekan Batu 9/Jalan Cheras/Hulu langat, menuju ke Kajang, anda dinasihatkan untuk menggunakan laluan di Exit 703 – Memasuki Cheras – Lebuhraya Kajang Grandsaga arah Kajang seperti laluan yang berwarna biru didalam peta diatas.

    Untuk penutupan di Exit 703 persimpangan Telekom arah Kajang pula, pengguna dari KL menuju ke Pekan Batu 9/ Jalan Cheras/ Hulu Langat adalah disarankan untuk membelok ke kiri menggunakan Exit 702 seperti laluan yang berwarna ungu.

    Pengguna dari KL menuju ke Taman Kota Cheras pula perlu membuat pusingan-U di persimpangan Bandar Tun Hussien Onn (Exit 704) dan menggunakan laluan di Exit 703 arah Taman Kota Cheras seperti yang ditunjukkan pada laluan yang berwarna perang.

    Bagi penutupan tiga lorong antara Exit 702 dan Exit 703 di Lebuhraya Cheras-Kajang pula, masih ada satu lagi lorong dibuka untuk pengguna jalan raya dari arah Kajang untuk melalui jalan tersebut buat masa sekarang.

     
     
  • Subaru Forester 2016 pasaran Asia Tenggara dilancar, Malaysia menerima tiga varian – dua CKD, satu CBU

    Subaru-Forester-BKK-4_BM

    Subaru Forester 2016 secara rasminya telah dilancarkan untuk pasaran Asia Tenggara di Bangkok Motor Show 2016 hari ini. Seperti dilaporkan sebelum ini, crossover yang telah disegarkan kembali itu sedang dipasang di kilang Tan Chong yang terletak ni Segambut, Malaysia. Walau bagaimana pun, tidak semua varian tersebut hadir dalam versi CKD.

    Untuk pasaran Malaysia dan Thailand, Forester ditawarkan dalam dua varian CKD iaitu model asas 2.0i dan 2.0i-P. Model pemasangan lengkap (CBU) dari Jepun turut ditawarkan dalam varian 2.0 XT.

    Kesemua varian mempunyai lebar 1,795 mm dan tinggi 1,735 mm, tetapi mempunyai panjang yang berbeza, kerana perbezaan pada bahagian hadapan. Varian 2.0i yang mempunyai panjang keseluruhan 4,610 mm menerima bampar hadapan facelift seperti yang disaksikan di Tokyo, manakala untuk 2.0i-P dan XT, kedua-duanya mempunyai panjang keseluruhan 4,595 mm kerana berkongsi rekaan pada hadapan yang sama.

    Kesemua varian ini menerima lampu belakang baharu yang sama berbentuk-C dan rekaan gril hadapan baharu yang menempatkan logo Subaru di tengah-tengah bar krom.

    2016-Subaru-Forester-2.0i-P-2_BM

    Lampu hadapan LED-penuh hanya ditawarkan untuk varian 2.0i-P dan XT sahaja bersama lampu kabus jenis mentol biasa. Lampu LED tersebut juga menampilkan ciri Lampu Hadapan Responsif Stereng di mana ia akan menyuluh mengikut arah putaran stereng. Varian 2.0i hanya dilengkapi dengan reflektor halogen berbanding DRL LED.

    Roda aloi baharu juga sebahagian dari pakej facelift baharu Forester. Varian XT dipadankan dengan roda aloi bersaiz 18-inci dibaluti tayar 225/55R18, manakala dua lagi varian dibekalkan dengan roda aloi bersaiz 17-inci dibaluti tayar 225/60R17.

    Untuk varian 2.0i dan 2.0i-P, ia dijana oleh enjin bentangan boxer 2.0 liter DOHC berkuasa 150 PS pada takat 6,200 rpm dan 198 Nm pada takat 4,200 rpm. Untuk varian XT pula, juga dibekalkan dengan enjin boxer 2.0 liter tetapi didesak dengan pengecas turbo dan sistem pancitan bahan api terus, membolehkan enjin tersebut menjana sejumlah 241 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 2,400 rpm hingga 3,600 rpm. Kedua-dua jenis enjin ini menyalurkan kuasa kesemua roda Forester melalui kotak gear Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua roda Symmetrical All-Wheel Drive (S-AWD) Subaru.

    Sistem X-Mode Subaru dilengkapi pada kesemua tiga varian Forester. Sistem tersebut akan mengawal enjin, transmisi, sistem AWD, brek dan lain-lain sistem selepas pemandu menekan hanya satu butang yang diletakkan di depan tuil gear untuk membantu mengawal kenderaan ketika menempuh permukaan jalan yang sukar. Sistem tersebut berfungsi pada kelajuan bawah 40 km/j, dan disertakan dengan fungsi Kawalan Penurunan Bukit yang berfungsi sekali ketika X-Mode diaktifkan.

    Selain dari ciri X-Mode, sistem suspensi juga telah ditingkat taraf untuk meningkatkan lagi kebolehan pengendalian Forester ini. Cross member hadapan direka dengan lebih keras, spring dan penyerap hentak baharu juga di tala semula serta jajaran roda belakang telah ditukar untuk memastikan Forester memberikan pengendalian yang lebih hebat.

    Bahagian dalaman Forester masih lagi kelihatan seiras dengan model terdahulu. Kemasan dalaman menerima lebih banyak balutan kulit, plastik hitam berkilat dan juga panel krom pada bahagian seperti panel pintu, papan pemuka, liang penghawa dingin dan panel kawalan tengah. Balutan kulit adalah standard untuk semua varian. Kadar NVH juga telah dipertingkat selepas crossover ini dilengkapkan dengan material kedap bunyi tambahan dan tingkap yang lebih tebal.

    Paparan instrumen kini lebih segar dengan paparan grafik kini dipaparkan pada skrin TFT LCD berwarna. Pada papan pemuka juga telah dilengkapkan dengan paparan pelbagai info berwarna. Skrin sesentuh unit utama Kenwood DIN berkembar menggantikan unit audio sebelum ini, juga bertindak sebagai skrin kamera undur.

    2016-Subaru-Forester-2.0i-P-18_BM

    Roda stereng rekaan baharu dilengkapi dengan butang mod respon pendikit yang boleh dipilih dalam mod Si atau Intelligent, juga dilengkapi dengan butang Kawalan Kelajuan (hanya untuk varian 2.0i-P dan XT) dan juga penukar gear. Tuil gear turut diberi penampilan baharu, begitu juga pedal kawalan aluminium.

    Ciri eksklusif lain yang disertakan pada 2.0i-P dan XT adalah tempat duduk hadapan pemandu penumpang larasan empat-hala berkuasa (dengan fungsi memori). Tugas untuk memasukkan barang pada bahagian pintu tailgate belakang juga semakin mudah kerana Forester kini dibekalkan dengan pintu tailgate berkuasa lengkap dengan fungsi memori. Kunci Forester juga boleh dibuka tanpa kunci menerusi sistem akses kod PIN, yang membolehkan pemilik mengakses kereta mereka dengan hanya memasukkan PIN rahsia.

    Untuk sistem keselamatan, Forester dilengkapi dengan tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi dan langsir, lutut pemandu), Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Bantuan Mula Mendaki, kerangka diperkuat dengan bentuk-cincin dan sistem ABS lengkap dengan EBD dan BA. Kelengkapan keselamatan ini adalah standard untuk semua varian. Tiada pakej EyeSight disediakan untuk versi pasaran dalam Malaysia.

    Dijangkakan akan masuk kepasaran Malaysia tidak lama lagi, tempahan kesemua varian Subaru Forester 2016 sudah mula boleh dibuat di semua bilik pameran Subaru seluruh negara bermula 22 Mac. Untuk harga pula, Subaru akan mengumumkan di hari pelancarannya di sini kelak.

    GALERI: Subaru Forester 2016 2.0i-P

     
     
  • Alat telematik untuk memantau bas tidak diwajibkan

    MK02_160208_KTB_SKYVIEW

    Menurut laporan The Sun Daily, cadangan daripada Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) untuk melengkapkan bas dengan alat telematik telah digugurkan. Sistem tersebut kekal sebagai pilihan untuk operator bas buat masa sekarang, dan ia tidak lagi wajib dalam terma MMIP.

    Keputusan itu dicapai berikutan mesyuarat bersama penyedia insuran, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Bank Negara, dan pihak-pihak yang berkaitan dengan pengendali perkhidmatan bas awam di Malaysia. Operator bas sendiri sejak awal lagi tidak bersetuju untuk memasang alat tersebut, atas faktor kos yang tinggi mencecah RM3,400 secara keseluruhan yang mana sebahagian RM2,300 untuk alat telematik itu sahaja, RM200 untuk upah pemasangan, dan lagi RM900 adalah yuran tahunan perkhidmatan tersebut.

    Sebelum ini pihak MMIP menyatakan alat telematik tersebut adalah dibina untuk “melindungi jutaan penumpang dengan memperkenalkan telematik insuran.” Sistem ini berupaya mengesan prestasi dan kelakuan pemandu bas, dan juga kelajuan kenderaan dan lain-lain maklumat berkaitan.

    Ini akan membolehkan pihak MMIP, atau pihak berkuasa lain mempunyai akses untuk memantau secara lebih dekat operator bas dan kenderaan mereka. Ia juga menyatakan penyedia insuran boleh mengenalpasti kumpulan berisiko tinggi seperti pemandu muda.

    express-bus-coach-1

    Operator bas mungkin boleh menghembuskan nafas lega sekarang, tetapi SPAD sedang menimbangkan langkah penyelesaian yang lain untuk masa hadapan. “Kami sudah pun mempunyai mekanisma mengesan untuk bas ekpres dan bas berhenti-henti disambungkan terus ke Hab Pemantaun Prestasi SPAD,” kata Mohd Azharuddin Mat Sah, CEO SPAD.

    “Sekarang dengan penglibatan alat telematik, kami akan berbincang dengan lebih lanjut dengan pihak yang terlibat untuk membuat keputusan akhir memilih alat pengesan yang sesuai untuk semua pihak,” tambah beliau. Malah katanya lagi, kerajaan akan membuat keputusan akhir untuk memilih sistem mana yang akan dikuatkuasakan.

    Walaupun pemasangan sistem telemetik kekal diberikan hanya sekadar pilihan, operator bas yang secara sukarela untuk memasang alat tersebut akan ditawarkan diskaun istimewa oleh pihak MMIP. “Operator bas akan diberikan pilihan sama ada untuk membayar tuntutan muatan berganda atau memasang alat telematik tersebut secara sukerala di mana mereka akan menikmati subsidi yang besar dari MMIP, seperti diskaun sebanyak 10% untuk premium asas muatan dan pengeculian pada premium muatan berdasarkan tuntutan berganda,” kata CEO MMIP, Manogaran Sinnathamby.

     
     
  • Honda Civic baharu dijumpai di Indonesia sedang melakukan penggambaran iklan, Malaysia selepas ini?

    Civic-Turbo-baru-2016-Indonesia-All-New_BM

    Honda Civic generasi ke-10 dijumpai tanpa apa-apa penyamaran di Indonesia, lapor AutonetMagz. Kereta tersebut dijumpai di Jakarta tanpa nombor pendaftaran, tetapi digantikan dengan plat bertulis “All New Civic“. Ini mungkin petunjuk yang kereta tersebut sedang membuat penggambaran untuk iklan TV, dan bermaksud pelancarannya di sana akan berlangsung dalam masa yang terdekat, sebaik sahaja pelancarannya di Thailand minggu lalu.

    Berdasarkan roda aloi dengan rekaan turbin dan kemasan berkilat yang dipadankan pada kereta tersebut, ia mungkin varian Turbo RS iaitu varian tertinggi dalam barisan Civic di Thailand, tetapi tanpa spoiler belakang untuk model yang dijual di Indonesia. Ini adalah selaras dengan laporan AutonetMagz sebelum ini, yang mendedahkan Civic dengan bantuan turbo digandingkan dengan transmisi CVT sedang mendapatkan kelulusan di Indonesia.

    Persoalannnya tentulah, bila giliran Malaysia pula akan mendapat Civic Baharu ini? Selepas Indonesia, kita merupakan satu-satunya negara pemanduan sebelah kanan yang belum lagi menerima Civic ini selain Australia. Jadi kemungkinan besar Malaysia merupakan destinasi pendaratan Civic seterusnya, dan mungkin tidak lama lagi. Yang pasti, pelancaran Civic untuk pasaran Malaysia akan berlangsung sebaik sahaja produksinya diadaptasi untuk pemasangan tempatan (CKD) di kilang Honda Malaysia di Pegoh, Melaka.

    Pelancaran Civic serba baharu ini sebenarnya telah diura-urakan oleh Honda Malaysia secara tidak langsung apabila mereka menyatakan akan melancarkan dua model CKD tahun ini. Salah-satu daripadanya merupakan model serba baharu, yang berkemungkinan besar adalah Civic, dan sebuah lagi model facelift, yang dijangkakan Accord.

    Pilihan enjin kemungkinan besar adalah sama seperti di Thailand, termasuk enjin 1.8 liter i-VTEC berkuasa 141 hp/174 Nm dan juga enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 173 hp/220 Nm, di mana kedua-dua enjin tadi dipadankan dengan kotak gear CVT dan tiada lagi transmisi automatik lima-kelajuan.

    Pelbagai ciri baharu juga bakal ditawarkan, termasuk lampu hadapan LED-penuh, Suis Penghidup Enjin Bantuan Kawalan Jauh, Kunci Automatik, Sistem Paparan Audio Honda dengan skrin sesentuh tujuh-inci, hubungan Apple Carplay, enam beg udara dan Sistem Pantuan Garisan dan Titik Buta Honda.

    GALERI: Honda Civic 2016 Spesifikasi Thailand

     
     
  • Amaran untuk Ibubapa, jangan tinggalkan anak anda ketika gelombang haba yang semakin memuncak

    Screen-Shot-2013-07-24-at-2.07.41-AM_BM

    Beberapa persatuan kebajikan dan pihak berkuasa perubatan memberi amaran kepada ibubapa yang meninggalkan anak mereka di dalam kereta, walaupun dalam masa yang singkat. Kenaikan suhu yang dihadapi negara sekarang mampu meragut nyawa, dan tidak boleh dianggap enteng oleh sesiapa sahaja.

    Dalam laporannya di The Star, Dr Raj Kumar Maharajah dari Persatuan Pakatan Pengamal Perubatan berkata, perlakuan tersebut sama sekali tidak boleh diamalkan. “Apabila kanak-kanak ditempatkan di dalam kereta ketika musim panas, kanak-kanak tersebut mungkin akan terdedah kepada strok haba dan kelesuan haba. Tetapi kemampuan untuk melawan haba tersebut berbeza untuk setiap orang,” tambah beliau.

    “Guru sekolah juga perlu mengambil perhatian dalam menjalankan aktiviti luar bilik darjah sepanjang tempoh musim panas ini,” ujar Zuhaimi Omar, pengarah Persatuan Kebajikan Selangor bercakap berkenaan hal yang sama. Beliau juga kerap menyaksikan kanak-kanak berjemur di bawah matahari ketika menunggu untuk diambil pulang ke rumah selepas habis waktu persekolahan.

    “Apabila kanak-kanak dibiarkan tanpa pengawasan, walaupun di dalam kereta, ia sebenarnya sudah menjadi sebahagian dari pengabaian dan juga penderaan kanak-kanak,” kata Rachel Ho dari Persatuan Kebajikan Suriana. Jelas, tanpa mengira musim panas yang dihadapi sekarang, kanak-kanak, mahupun haiwan tidak boleh dibiarkan sendiri didalam kenderaan.

    Gelombang Haba atau tidak, ia hanya mengambil masa kurang dari 15 minit untuk kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kereta yang panas untuk menderita kecederaan yang boleh meragut nyawa.

    Video dibawah adalah satu bentuk pembelajaran grafik berhubung isu ini.

     
     
  • Iklan Toyota Hilux terbaharu dijumpai di laman sosial

    New-Toyota-Hilux-ad-02_BM

    Toyota Hilux nampaknya semakin hampir untuk dilancarkan. Setelah harga anggaran trak pikap ini didedahkan bulan lalu, dan brosur yang tersebar minggu lepas, kini kami menemui pula iklan Hilux terbaharu ini di laman sosial Facebook, dipos oleh Encik Cairo, yang mungkin seorang jurujual Toyota.

    Lima gambar yang disiarkan penasihat jualan ini menampilkan Hilux double-cab berwarna hitam dengan logo yang ditutup dengan pelekat. Berdasarkan gambar tersebut, roda aloi, lampu kabus, cermin sisi krom dan tiada lampu hadapan projektor, boleh disimpulkan ia sebuah varian 2.4G 4×4 automatik, yang dijangka bakal menjadi varian paling laris berikutan ciri-ciri yang dipadankan serta harga yang ditawarkan pada RM125,000 boleh dikatakan agak berbaloi.

    Dengan harga tersebut pembeli bakal menerima gril hadapan krom, cermin sisi krom berkuasa, lampu kabus hadapan, roda aloi 17-inci, paparan pelbagai info, sistem kunci pintar, roda stereng pelbagai fungsi dibaluti kulit, sistem infotaimen DVD dengan skrin sesentuh bersaiz 6.1-inci dan Bluetooth, kamera undur, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, tempat duduk balutan kulit, VSC, A-TRC, Bantuan Mula Mendaki dan filem penapis haba keselamatan.

    Varian 2.4G 4×4 manual juga disediakan. Selain dari kotak gear, varian ini tidak mempunyai VSC, A-TRC, HAC, tempat duduk pemandu larasan berkuasa, tempat duduk balutan kulit dan filem penapis haba, dijual pada harga anggaran RM115,000.

    Dua lagi varian double-cab ialah 2.4G 4×2 manual berharga RM95,000 dan model asas 2.4 Standard 4×4 manual berharga RM105,000 yang hanya dilengkapi cermin sisi berwarna hitam dan roda besi.

    Spesifikasi diatas 2.4G adalah 2.8G 4×4 automatik. Varian ini bakal dijual pada harga anggaran RM135,000 dan dilengkapi dengan lampu hadapan projektor LED automatik beserta lampu nyalaan siang LED, roda aloi 18-inci, paparan pelbagai info LCD bersaiz 2.4 inci seperti Camry dan juga tujuh unit beg udara.


    Klik untuk besarkan imej

    Toyota Hilux generasi baharu ini bakal dikuasakan dengan enjin baharu GD Turbodiesel Toyota dalam kapasiti 2.4 liter dan 2.8 liter dipadankan bersama transmisi enam-kelajuan. Enjin VNT 2.8 liter tersebut berkebolehan menghasilkan kuasa sejumlah 177 hp pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,600 rpm hingga 2,400 rpm. Unit 2.4 liter pula berkemampuan menghasilkan kuasa sejumlah 150 hp pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,600 rpm hingga 2,000 rpm (berdasarkan spesifikasi Thailand dengan kotak gear enam-kelajuan automatik).

     
     
  • Kia Rio Sedan X dibuka tempahan – kit badan, RM78k

    IMG_2981

    Brosur dan senarai harga bagi Kia Rio Sedan X telah pun diedarkan kepada para pengedar, secara tidak langsung tempahan bagi varian ini telah pun dibuka. Dijangkakan pelancaran bagi varian baharu ini berlangsung pada penghujung bulan ini. Model Rio empat-pintu telah pun dilancarkan pada Januari lalu dan menerima beberapa eleman tambahan.

    Pertama, tentang harganya, di mana varian X ini ditawarkan pada harga atas jalan RM77,888 dengan insurans iaitu lebih RM5,000 berbanding sedan standard (yang mendapat rebat sebanyak RM2,000 untuk tempoh waktu terhad) dan hanya kurang RM1,000 berbanding model hatch. Ia juga termasuk dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

    Apakah kelainan yang ditampilkan pada varian X ini? Pastinya kit badan yang lebih menarik termasuklah dengan spoiler lid pada but yang sedikit kecil. Selain itu, kitnya masih sama dengan sebelum ini, termasuk lampu utama halogen reflektor dengan lampu nyalaan siang jenis-mentol, lampu kabus hadapan dan belakang serta rim aloi 15-inci.

    Klik untuk besarkan

    Perubahan di bahagian dalam termasuklah unit kepala aftermarket yang baharu dengan skrin sesentuh tujuh-inci, sambungan USB, AUX, Bluetooth dan MirrorLink serta kamera pandang belakang bersama tempat duduk balutan kulit dengan jahitan sulaman logo “K2”. Selain itu, sama seperti sebelum ini, tidak seperti yang ada pada varian hatch termasuk kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, roda stereng balutan kulit, pedal aloi dan paparan pelbagai-info Supervision.

    Walau bagaimana pun, Rio Sedan X mengekalkan enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki, cagak ISOFIX, sistem pemantauan tekanan tayar dan brek cakera, semuanya sebagai standard.

    Ia juga masih mengekalkan enjin yang sama iaitu 1.4 liter yang mampu memberikan kuasa sehingga 109 PS pada 6,300 rpm dan puncak tork 137 Nm pada 4,200 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik empat-kelajuan.

    Jadi apa pendapat anda mengenai varian ini? Adakah ia berbaloi untuk dipilih berbanding varian sedan standard?

    GALERI: Kia Rio Sedan di Malaysia

     
     
  • Petron Blaze RON 100 kini boleh didapati di 20 stesen

    Petron-Blaze-100-Euro-4M-launch-4_BM

    Petron telah menambah lagi bilangan stesennya yang menjual bahan api petrol Blaze 100 Euro 4M. Menjadikan bilangan stesen yang menjual bahan api ini sebanyak 20 buah stesen iaitu 14 di Lembah Klang dan enam di Johor, berbanding lapan stesen sewaktu ia dilancarkan pada pertengahan Januari lalu.

    Blaze 100 Euro 4M dirumuskan dengan Tri-Activ, sebuah formula mempunyai tiga aksi yang memberikan kuasa, perlindungan enjin dan kilometer lebih baik. Bahan api berprestasi tinggi ini menawarkan tindak balas enjin sangat baik serta kuasa pecutan optimum. Ia turut menawarkan pembersihan enjin luar biasa untuk mengekalkan kecekapan enjin dan penjimatan bahan api lebih baik.

    Kini ia berharga RM2.60 per liter, turun 20 sen berbanding sebelum ini. Ia juga berbeza 65 sen daripada RON 97 (RM1.95/liter pada Mac 2016). Tidak seperti RON 95, RON 97 dan diesel, harga Petron RON 100 ini tidak diaturkan, dan perubahan harganya (jika ada) tidak semestinya akan berlaku pada 1 haribulan pada setiap bulan.

    Senarai stesen Petron yang ada menawarkan Blaze 100 Euro 4M adalah seperti berikut:

    Lembah Klang

    • Petron Elite
    • Petron Bukit Bintang
    • Petron Tmn Universiti
    • Petron Puchong Indah
    • Petron Subang Indah
    • Petron MRR2 Selayang
    • Petron Bukit Lanjan SB
    • Petron Lebuh Bandar Utama
    • Petron Jalan Maarof
    • Petron Tol Sg. Besi (arah selatan)
    • Petron Taman Tun Dr. Ismail
    • Petron Kesas (arah barat)
    • Petron Batu 3 Lebuhraya Persekutuan
    • Petron Damansara Kayu Ara

    Johor

    • Petron Tol Skudai (arah utara)
    • Petron Linkedua (arah selatan)
    • Petron Gelang Patah
    • Petron Jln Danga
    • Petron Puteri Wangsa
    • Petron Tmn Daya 2

    Menurut Ketua Jabatan Dagangan Runcit Petron Malaysia, Faridah Ali, pelancaran Petron Blaze 100 Euro 4M adalah sebahagian daripada janji syarikatnya kepada pengguna untuk memperkenalkan bahan api dan perkhidmatan yang inovatif.

    Dengan adanya Petron Blaze 100, pemilik kenderaan jentera berprestasi tinggi (kereta dan motosikal berkuasa tinggi, termasuk model spesifikasi seperti Honda Civic Type R, Toyota 86 dan sebagainya), kini mempunyai pilihan untuk mendapatkan bahan api yang lebih bersesuaian.

     
     
  • Imej digital rendered Suzuki Swift dan Swift Sport generasi seterusnya telah tersebar di Internet

    Spy-Photo

    Imej digital rendered Suzuki Swift dan Swift Sport generasi seterusnya telah pun tersebar menerusi Internet. Katanya ia tersebar dari persidangan wakil pengedarnya di Perancis. Model Swift generasi ke-empat ini dikatakan mengekalkan bentuk keseluruhannya, tetapi dengan sudut yang lebih bergaya.

    Model berwarna merah ini adalah model biasa Suzuki Swift (foto di bawah). Pada bahagian luarannya, hasil render ini menunjukkan lampu utama baharunya, bampar dan gril hadapan yang direka semula dan lampu nyalaan siang LED baharu dengan diposisikan di atas lampu kabus. Malah roda rekaan baharu juga ditampilkan.

    Paling penting, Swift generasi akan datang ini seperti memiliki pemegang pintu belakang yang tersembunyi (pada tiang-C, sama seperti Honda HR-V) dan rekaan bumbung terapung. Malah bahagian belakangnya juga telah diolah semula, termasuk menampilkan pencahayaan baharu dan bampar yang dipertingkatkan. Sumber foto ini juga mendedahkan Swift baharu ini bakal berukuran 3.84 m panjang dan 1.74 m lebar berbanding Swift generasi masa kini yang 3,850 mm panjang, 1,695 mm lebar dan 1,510 mm tinggi.

    Suzuki Swift

    Model berwarna putih ini pula kelihatan seperti Suzuki Swift Sport. Ia menampilkan perubahan termasuk gril hadapan haksogan yang lebih besar, corong udara yang lebih besar pada bampar hadapan dan tip ekzos berkembar yang disambungkan pada bampar belakang yang agak sporty. Ia juga didatangkan dengan set roda yang tersendiri.

    Malah kelihatan juga dua lakaran bagi bahagian dalamannya, yang kelihatan agak mirip antara satu sama lain. Tetapi lakaran yang lebih sporty dengan kekemasan merah pastinya untuk Swift Sport. Lakaran ini menunjukkan roda stereng baharu yang leper di bawah dengan pelbagai-fungsi, panel instrumen pelantar kompas berkembar, skrin paparan tengah, butang kawalan penghawa dingin dan corong udara baharu pada bahagian tengah.

    Laporan turut menyarankan Suzuki Swift varian asas mungkin akan dijanakan dengan enjin petrol 1.0 liter Boosterjet pengecas turbo, yang dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan atau pun automatik torque converter enam-kelajuan. Malah dijangkakann varian Smart Hybrid Vehicle (SHVS) dengan menampilkan enjin 1.2 liter Dualjet dan ISG (Integrated Starter Generator) yang membantu enjin ketika dipacu dan menjanakan elektrik sewaktu membrek.

    Suzuki Swift Sport

    Manakala Swift Sport pula dikatakan akan dijanakan oleh enjin 1.4 liter Boosterjet suntikan-terus pengecas turbo empat-silinder. Jika kuasa yang dihasilkan sama seperti Vitara S di UK (138 hp/220 Nm), ia mungkin suatu peningkatan yang besar bagi model sedia ada dengan enjin 1.6 liter aspirasi-natural, dengan kuasa 134 hp dan 160 Nm.

    Suzuki Swift generasi baharu ini dijangka akan diperkenalkan pada Disember tahun ini, dan akan ditampilkan di pasaran pada Mac 2017. Manakala Swift Sport pula dijangka tiba beberapa bulan selepas itu.

     
     
  • Mercedes-AMG C63 talaan Piecha Design – Rottweiler

    2016-piecha-design-w205-c63-1-001-e1458280643827_BM

    Penala kenderaan berprestasi tinggi dari Jerman – Piecha Design telah mendedahkan pakej ubahsuai terbaharu untuk Mercedes-AMG C 63 W205 Estate yang merangkumi peningkatan pada rupa paras dan juga sistem mekanikal. Pakej ini juga turut ditawarkan untuk semua barisan C-Class dan boleh dibeli melalui laman web mereka.

    Model yang diberi nama “Rottweiler” ini, menampilkan lip spoiler hadapan baharu, skirt sisi dan sayap tambahan di belakang, diperbuat daripada plastik gentian kaca yang diperkuat (GFRP). Pelbagai pilihan roda aloi Piecha LXM bersaiz dari 19 ke 20-inci boleh dipilih.

    2016-piecha-design-w205-c63-1-002_BM

    Sistem suspensi yang lebih sporty merendahkan lagi badan C 63, di mana ia diserasikan dengan sistem suspensi udara Airmatic Mercedes-Benz. C 63 juga diberikan spacer roda tambahan untuk memberikan stance yang lebih agresif.

    Piecha Design juga turut menawarkan pakej peningkatan kuasa enjin yang membolehkan enjin tersebut mengekstrak kuasa sejumlah 603 hp dan tork maksima 840 Nm dari enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar C 63. Peningkatan kuasa yang boleh dikatakan agak menakjubkan kerana enjin tersebut pada asalnya hanya berkuasa 510 hp dan tork 700 Nm. Ini membolehkan Rottweiler memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.8 saat.

     
     
  • Produksi Honda NSX bakal bermula lewat April 2016

    Carl Mason sits in the aligner chair during the wheel alignment

    Pertama kali diperkenalkan dalam bentuk konsep di Detroit Motor Show 2012, dan hanya hadir dalam bentuk produksi akhir tahun lalu, Honda NSX terbaharu akhirnya dijadualkan akan mula diproduksi lewat April ini di Performance Manufacturing Center (PMC) yang terletak di Marysville, Ohio. Kereta sport tersebut akan dihantar kepada pelanggan sebaik sahaja ia siap dibina.

    PMC yang dibina khas untuk memproduksi secara global supercar hibrid tersebut, dan merupakan fasiliti lengkap bagi membolehkan NSX disiapkan sepenuhnya disitu termasuk badan yang dibina dari pelbagai material dan casis spaceframe yang diperbuat dari aluminium-intensif. Kilang tersebut juga digunakan secara optima, spesifik untuk pengeluaran kereta berprestasi tinggi dalam jumlah yang kecil.

    “Kesemua idea inovatif dan kerja keras yang digunakan untuk mewujudkan kilang tercanggih ini telah memenuhi sasaran kami untuk membina supercar di Amerika,” kata Ketua Kejuruteraan Projek Besar PMC Clement D’Souza, yang mengetuai pembinaan kilang tersebut.

    With no walls to separate departments

    Tiada dinding memisahkan antara jabatan kerana PMC fokus kepada persekitaran yang menjurus kepada kerja berpasukan di mana semua pekerja akan nampak setiap apa yang berlaku di kesemua bahagian dalam kilang.

    “Minat yang tinggi dan semangat untuk mencabar oleh pekerja kami yang berkemahiran tinggi membolehkan kami membina kilang supercar dari bawah serentak dengan ciri-ciri supercar yang mengagumkan di dalam penghasilan Honda NSX.”

    Fasiliti tersebut direka untuk membentuk makna dan cara dalam membina kenderaan istimewa dengan jumlah yang rendah seperti NSX dan meneroka idea baharu untuk hasil kerja dan kualiti generasi seterusnya – menghasilkan 12 aplikasi baharu yang dipaten di Amerika Syarikat. Ia mengambil sekitar 100 orang pekerja yang terlibat secara langsung dalam kerja-kerja pembinaan badan, cat, pemasangan akhir dan pengesahan kualiti, di mana kesemua mereka berkerjasama dengan teknologi robotik terkini.

    Honda NSX TMS-38

    Honda juga mendedahkan beberapa perincian berkenaan proses penghasilan, termasuk fakta yang spaceframe NSX dikimpal 100% menggunakan teknologi robotik dengan kaedah MIG – iaitu teknologi yang memastikan ketepatan yang tinggi dalam proses pemasangan badan. Ia juga turut menjalani proses punaran menggunakan material berasaskan zikronium sebelum dilayangkan cat primer untuk meningkatkan kualiti dan mengurangkan pembaziran persekitaran dalam proses mengecat.

    Dua buah alat rotisserie digunakan dalam proses kedapan badan, memutar spaceframe tersebut 360% untuk aplikasi yang lebih tepat dan meningkatkan ergonomik juruteknik. Unit rotisserie tersebut memegang kerangka pada satu bahagian sahaja membolehkan proses mengangkat dan meletakkan semula kerangka dengan lebih efisien.

    Sementara itu, juruteknik kimpalan memeriksa dan mengukur semua peralatan pada setiap bahagian proses mengimpal sehingga mencapai tahap kualiti yang diluluskan dan mempunyai ukuran yang tepat pada kerangka, di mana ia agak kritikal untuk prestasi dinamik NSX selari dengan pemasangan yang tepat terhadap unit janakuasa, suspensi, panel badan dan komponen lain.Juga terdapat hab pemeriksaan yang dibina dari kaca keseluruhannya dibahagian tengah kilang untuk memerhatikan kesemua aspek proses produksi.

    Honda NSX TMS-49

    Secara keseluruhan, juruteknik pemasangan menggunakan lebih 14 jam memasang unit janakuasa, suspensi, elektronik, komponen bahagian dalaman dan panel badan luaran, di mana standard operasi visual yang terkini membantu mereka memastikan setiap proses dilakukan berdasarkan standard. Setiap bolt dipasang menggunakan tangan dan diketatkan menggunakan torque wrench bagi memastikan ia diikat dengan kekuatan yang sepatutnya.

    Binaan spaceframe memerlukan pemasangan panel badan dipasang pada proses akhir, dan bukan dipadankan menggunakan proses kimpalan. Ini akan memastikan pemasangan dilakukan dengan ketepatan yang tinggi. Untuk mencapai kemasan akhir bertaraf dunia, setiap NSX akan melalui proses menggilap yang ekstensif, dan juga ia disalut dengan 11 lapisan cat dan primer, untuk kemasan permukaan yang tiada tandingannya.

    Enjin 3.5 liter V6 turbo berkembar dipasang menggunakan tangan oleh satu kumpulan kecil juruteknik master di dalam satu lagi kilang berhampiran Anna, Ohio. Setiap enjin tersebut mengambil masa selama enam jam untuk dipasang menggunakan tangan, mengaplikasikan teknik berdasarkan program kejuruteraan perlumbaan Honda untuk mencapai kualiti dan standard prestasi tertinggi.

    Honda NSX TMS-18

    Setiap komponen dipasang menggunakan tangan, dan seperti juga bahagian lain pada kereta ini, kesemua 547 bolt dipasang menggunakan tangan dan diikat dengan torque wrench konvensional. Setelah siap dipasang, setiap enjin diimbang menggunakan mesin, diuji dan beroperasi dengan jarak bersamaan 241 km, untuk memastikan kereta ini terus boleh dipandu dilitar sebaik sahaja keluar dari kilang.

    Akhir sekali, NSX akan menjalani pemeriksaan prestasi dinamik pra-penghantaran yang ketat oleh pakar sukan permotoran Honda. Ini termasuklah proses penjajaran roda selama 45 minit, pemeriksaan berat dan ketinggian pada keempat-empat sudut dan juga pengukuran prestasi brek yang tepat pada semua roda, di mana separuh dari 12 proses baharu yang dipatenkan adalah dari bahagian ini sahaja.

    Honda NSX dikuasakan dengan unit janakuasa hibrid sport yang terdiri dari enjin petrol 3.5 liter V6 turbo berkembar, menghasilkan kuasa 500 hp dan tork 550 Nm dan dibantu sepasang motor elektrik berkuasa 72 hp/146 Nm di kedua-dua roda hadapan serta sebuah motor elektrik di belakang berkuasa 47 hp/148 Nm. Gabungan kesemua ini menghasilkan kuasa keseluruhan 537 hp dan tork maksima 645 Nm, dialirkan ke kesemua roda melalui kotak gear klac berkembar sembilan-kelajuan.

     
     
  • Toyota Yaris TRD Sportivo 2016 didedahkan di Thai

    2016-Toyota-Yaris-TRD-Sportivo-3

    Toyota Thailand telah mendedahkan varian TRD Sportivo untuk Yaris hatchback, yang bakal ditampilkan di Bangkok Motor Show 2016. Varian baharu ini diperkenalkan dengan beberapa elemen tambahan, termasuk yang dipertingkatkan.

    Pada bahagian hadapannya, kini gril berwarna perak Yaris telah dicat hitam, termasuk penyambung di bahagian bampar. Malah bampar juga menerima lip baharu berwarna perak yang dipasang pada plat skid tiruan, bersama lampu nyalaan siang LED.

    Kekemasan luaran berwarna hitam juga ditampilkan dengan bersambung pada sisi kereta, bersama penutup kedua belah mudguard pada gerbang roda sebelum ia bersambung ke bahagian belakang. Malah varian Yaris ini juga menampilkan imej yang lebih mempersona termasuk rel bumbung perak, logo ‘TRD Sportivo’ dan rim aloi.

    Di bahagian dalam pula, ia dipadankan dengan tempat duduk balutan kulit dengan kombinasi warna hitam dan oren berbanding material kulit standard. Malah skim warna tersebut turut diaplikasi pada karpet lantai, termasuk menampilkan logo ‘TRD Sportivo’ dan juga panel pintu.

    Selain itu, sistem audio asas turut digantikan dengan unit double-DIN dengan skrin sesentuh tujuh-inci serta pelbagai input (DVD, CD, Micro HDMI, kad SD dan Bluetooth). Ia juga mempunyai skrin berganda bagi paparan kamera pandang belakang, satu lagi elemen baharu yang ditampilkan.

    Semua elemen tambahan ini adalah sebahagian daripada pakej istimewa TRD Sportivo, di mana ia dikenakan kos tambahan, menurut Toyota Thailand menerusi laman web rasminya. Hanya satu sahaja elemen standard pada kereta ini iaitu sentuhan dalaman hitam dan oren (tanpa unit double-DIN dan kamera undur).

    2016-Toyota-Yaris-TRD-Sportivo-interior-1

    Sudut mekanikal kereta ini tidak berubah. Ia masih dijanakan oleh enjin petrol 1.2 liter 3NR-FE empat-silinder Dual VVT-i yang mampu menghasilkan 86 PS pada 6,000 rpm dan tork 108 Nm pada 4,000 rpm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan Super CVT-i automatik.

    Berkaitan dengan harganya, Toyota Yaris TRD Sportivo ini ditawarkan pada 585,000 baht (RM67,980), tetapi dikenakan pertambahan kos sebanyak 64,000 baht (RM7,437) bagi beberapa elemen istimewa TRD Sportivo yang disebutkan di atas.

     
     
  • Subaru Forester 2016 – model facelift buatan Malaysia tampil perdana di Bangkok Motor Show minggu depan

    Subaru-Forester-facelift-CKD-production-Malaysia-begins-e1456470731346

    Subaru Forester facelift 2016 akan melakukan penampilan perdana di Bangkok International Motor Show minggu hadapan. Pertama kali ia dipertontonkan adalah di Tokyo Motor Show pada Oktober tahun lalu, dengan menampilkan perubahan yang agak sederhana bagi meningkatkan imej dan pengendaliannya.

    Pengumuman yang dilakukan oleh Fuji Heavy Industries (FHI) beberapa minggu selepas syarikat ini mendedahkan Forester 2016 dipasang di kilang Tan Chong Segambut. Malah ia juga menjadi model Subaru kedua selepas XV yang diproduksi secara pemasangan tempatan.

    Dijangka akan dijual di Malaysia menjelang suku kedua 2016, Forester CKD ini juga akan dipasarkan di Thailand dan Indonesia dalam waktu yang sama, menerusi rangkaian pengedaran yang dikendalikan oleh Tan Chong International.

    Perubahan pada model facelift ini hanya sederhana, terdapat beberapa peningkatan elemen berbanding model sedia ada. Bagi luarannya, ia hanya diberi sedikit gaya yang berbeza pada gril hadapan dengan bampar baharu (2.0i-P dilihat mengekalkan bampar hadapan varian sebelum ini XT), lampu nyalaan siang berbentuk-C serta lampu belakang dan roda yang diberi penambah baikan.

    Untuk bahagian dalam, ia dilengkapi dengan panel instrumen baharu bersama paparan pelbagai-informasi LCD berwarna. Selain itu, terdapat beberapa elemen yang dipertingkatkan termasuk menampilkan material kulit. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem navigasi SD dan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu.

    Bagi sudut mekanikalnya, Forester turut menambah baik casis AWD dan NVH bagi pengendalian yang lebih dinamik dan selesa. Peningkatan ini termasuk memantapkan lagi casis, menggunakan kaca pintu yang lebih tebal dan menambah baik kotak gear Lineartronic CVT.

    Di bawah hudnya, dijangkakan ia bakal memilih enjin petrol 2.0 liter aspirasi-natural (150 PS/198 Nm) yang dipadankan dengan kotak gear Lineartronic CVT. Pilihan pengecas turbo yang lebih berkuasa turut ditawarkan, dengan kuasa 240 PS dan tork 350 Nm.

    GALERI: Subaru Forester facelift di Tokyo Motor Show 2015

     
     
  • PANDU UJI : Mazda CX-3 – bila imej diutamakan

    Mazda-CX-3-2.0L-review-2

    Tidak dinafikan pasaran bagi SUV crossover kian mendapat tempat di pasaran tempatan. Apatah lagi selepas kehadiran Honda HR-V yang sehingga kini mendominasi pasaran dalam segmennya sejak ia diperkenalkan pada Februari 2015. Malah pembeli di Malaysia kian tercari-cari model SUV yang seumpamanya, sebagai memenuhi citarasa dan kehendak masa kini.

    Kehadiran Mazda CX-3 dilihat sebagai pesaing terdekat HR-V. Dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada awal Disember lalu, model yang diimport sepenuhnya dari Jepun (pemasangan di kilang Mazda yang terletak di Hiroshima) hadir dengan satu varian iaitu CX-3 2.0 SkyActiv-G 2WD. Ia dijual pada harga atas jalan RM131,218 (tanpa insurans) iaitu RM13,285 lebih mahal berbanding HR-V 1.8L V iaitu RM117,933.

    Tidak dinafikan harganya agak mahal kerana ia adalah model CBU. Namun Bermaz berkata mereka mempunyai perancangan untuk memasang CX-3 ini di kilang tempatan bagi unit CKD, jadi harganya pasti akan menjadi lebih murah, mungkin lebih kurang sama dengan HR-V.

    Mazda-CX-3-2.0L-review-7

    Jika bercerita tentang imej yang dipertaruhkan, ya pastinya CX-3 ini mempunyai kelebihan. Apatah lagi bila ia hadir dengan warna badan Soul Red Metallic, cukup seksi dan penuh menguja. Tetapi jika anda rasakan warna ini kurang sesuai dengan citarasa anda, Mazda turut menampilkan warna lain iaitu Crystal White Pearl, Jet Black, Meteor Grey dan Deep Crystal Blue.

    Seperti model baharu Mazda yang lain, CX-3 turut menerapkan rekaan Kodo pada keseluruhan wajahnya. Memerhatikan bahagian hadapannya, ia ditampilkan dengan gril yang sedikit lebar dengan bingkai krom di sekeliling, yang bersambung pada lampu utamanya. Manakala lampu utamanya pula kelihatan lebih langsing dengan padanan LED, berbanding dengan reflektor halogen. Malah ia juga didatangkan dengan fungsi automatik on/off, sistem pencahayaan hadapan adaptif yang membantu memberikan lebih pencahayaan sewaktu kenderaan melalui selekoh, larasan automatik dan lampu nyalaan siang LED.

    Di bawah lampu utama, lampu kabus LED dan indikator isyarat juga ditempatkan, dan kemudian di bahagian bawahnya kelihatan kekemasan kepingan hitam berkilat menambahkan lagi gayanya. Pengaruh Kodo juga jelas kelihatan menerusi garisan badan dari hud bahagian hadapan sehinggalah ke atas gerbang roda, merintangi kedua-dua cermin sisi (dengan indikator) dan bahagian bawah badan.

    Ia turut memberikan kesan yang lebih sporty apatah lagi dengan padanan gerbang hitam pekat serta penampilan rim aloi lima-jejari bersaiz 18-inci yang dibaluti tayar 215/50R18 Toyo Proxes R40. Malah kekemasan kepingan hitam pekat bersama sentuhan perak yang ditempatkan pada ambang pintu bersambung dari hadapan ke belakang turut menyerlahkan lagi gayanya.

    Bukan itu sahaja, jika dilihat pada sisi, anda akan perasan yang CX-3 ini umpama ditampilkan dengan rekaan ‘bumbung terapung’, dengan tiang-C yang mencipta ilusi tersendiri. Suatu rekaan yang wajar dipuji. Malah anda juga boleh perasan tingkap sisi yang lebih kecil tetapi tidak begitu menonjol.

    Bagi dimensinya, SUV ini berukuran 4,275 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,535 mm tinggi, bersama jarak roda 2,579 mm. Berbanding HR-V yang memiliki ukuran 4,294 mm panjang, 1,772 mm webar 1,605 mm tinggi, dengan jarak roda 2,610 mm. Sekali gus menjadikan CX-3 lebih kecil berbanding model pesaingnya itu.

    Melewati bahagian belakang, lampu belakang dengan LED turut menjadi pilihan, malah ia berbentuk lebih langsing berbanding Mazda 2. Malah terdapat butang kecil di bahagian belakang untuk memudahkan ruang kargo dibuka serta turut ditempatkan kamera undur. Bukan itu sahaja, terdapat lampu kabus/reflektor dan dua corong ekzos krom.

    Secara keseluruhan, gaya yang ditampilkan oleh CX-3 ini cukup rugged dan ranggi, kelibatnya pasti mudah menangkap pandangan mata. Tetapi jika memasuki ruang kabinnya, anda boleh rasakan ia seperti Mazda 2. Tidak seperti HR-V yang menggunakan platform yang sama dengan Jazz, ruang kabin CX-3 lebih kecil seperti Mazda 2.

    Dengan saiz kokpit yang tidak begitu besar, ia turut membantu memudahkan lagi pemandu untuk mencapai segala butang kawalan. Namun jika anda bertubuh sederhana mahu pun kecil, memang cukup sesuai untuk menduduki kabin CX-3 ini. Malah ruang kepalanya juga terasa sedikit luas berbanding Mazda 2, hasil penambahan tinggi iaitu 1,535 mm berbanding Mazda 2 yang hanya 1,495 mm (sedan)/1,470 mm (hatchback). Tetapi jika anda seorang yang tinggi lampai atau bertubuh besar, mungkin ia sedikit kurang selesa atau pun saiz anda sekadar ‘ngam-ngam ho’ untuk berada di dalam perut CX-3 sama ada sebagai pemandu mahu pun penumpang.

    Bentangan dalaman CX-3 juga lebih kurang sama dengan Mazda 2, daripada segi posisi butang kawalan hingga ke corong penghawa dingin, roda stereng, kluster instrumen, elemen gentian karbon tiruan dan juga tempat duduk.

    Apabila duduk di tempat duduk pemandu, terasa badan mudah serasi dan selesa dengannya, hasil pemilihan material upholstery bersama balutan kulit lembut, berbanding kulit-fabrik pada Mazda 2. Begitu juga jika duduk di tempat duduk penumpang. Keselesaannya jelas terasa.

    Malah material kulit lembut juga menjadi pilihan bagi kekemasan bahagian pemegang pintu, seakan sama dengan Mazda 6. Bukan itu sahaja, roda stereng (dengan pedal penukar gear) juga didatangkan dengan butang kawalan baharu termasuk fungsi kawalan kelajuan. Selain itu, elemen lain yang dipertingkatkan termasuklah lampu dan bilah pengilap cermin automatik. Sementara itu, bagi unit hiburan, ia menampilkan skrin sesentuh MZD Connect yang sama seperti Mazda 2, bersama sistem penghawa dingin zon tunggal automatik tiga-dail.

    Malah bahagian konsol tengah yang menjadi perumah bagi Commander Dial yang disambungkan pada sistem MZD kelihatan kemas dan tersusun. Ruang storan di dalam kabin juga agak terhad dan hanya ada satu tempat sahaja untuk anda meletakkan SmartTag, kad akses, kunci dan telefon bimbit, tidak seperti HR-V yang memiliki lebih banyak ruang penyimpanan barang. Sebagai alternatif, anda boleh mengeluarkan tempat pemegang cawan di bahagian konsol tengah untuk menyimpan barang-barang sedemikian dan letakkan botol air anda di tempat pemegang botol di sisi pintu.

    Malah di bahagian atas juga ada tempat penyimpan kaca mata dan juga butang kawalan bagi bumbung matahari yang dilihat sebagai penambah gaya pada CX-3 ini walau pun ia bukanlah suatu keperluan memandangkan cuaca panas di Malaysia pasti tidak tertahan jika bumbung matahari dibiarkan terbuka. Walau pun menjadikan ia lebih bergaya berbanding HR-V.

    Bagi ruang kargo pula, ia hanya berkapasiti 350 liter, berbanding 437 liter pada HR-V. Walau bagaimana pun, jika tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya, ruang tersebut mampu memberikan kapasiti sehingga 1,260 liter berbanding HR-V yang hanya 1,032 liter. Tetapi kalau bab ini, mungkin HR-V memberikan lebih keistimewaan kerana tempat duduknya boleh dikonfigurasi secara lebih banyak dan dengan adanya Magic Seat yang lebih praktikal.

    Mazda-CX-3-2.0L-review-76

    Di bawah hudnya, bentangan enjin petrol 2.0 liter SkyAvtic-G dengan output sehingga 154 hp pada 6,000 rpm dan tork 204 Nm pada 2,800 rpm. Ia juga menampilkan suntikan terus dan sistem melahu Mazda i-Stop bagi memberikan lebih penjimatan. Sebagai perbandingan, HR-V pula hanya dengan enjin petrol 1.8 liter SOHC i-VTEC dengan kuasa 142 hp dan 178 Nm.

    Enjin SkyActiv-G ini juga dipadankan dengan kotak geak SkyActiv-Drive enam-kelajuan automatik, yang menyalurkan kuasa terus ke roda hadapan. Menerusi pemilihan pemanduan, kotak gear juga boleh disambungkan dengan mod Sport yang membolehkan gear melahu dalam masa yang sedikit lama. Sebagai alternatif, anda boleh mengawal gear dengan mod manual dengan menggunakan pedal penukar gear di belakang roda stereng.

    Bagi aspek keselamatan,CX-3 dilengkapi dengan kawalan kestabilan elektronik DSC, kawalan cengkaman, ABS dengan EBD dan Bantuan Brek sebagai standand. Malah crossover ini juga menerima jumlah beg udara yang sama seperti HR-V varian V iaitu enam unit, bersama bantuan mula mendaki dan isyarat berhenti kecemasan. Namun model CBU yang dibawa masuk ke sini tidak dilengkapi dengan pakej i-Activ-Sense (Sistem Brek Bandar Pintar, Paparan Pandang Belakang, Amaran Penukaran Lorong dan lain-lain), jika ada, mungkin harganya akan menjadi lebih tinggi.

    Segala mengenai spesifikasinya jelas sudah terjawab bukan? Jadi sudah pasti anda ingin mengetahui soal pemanduan dan pengendaliannya. Tidak sukar untuk mengendalikan CX-3 ini kerana tubuhnya yang kecil namun mampu menghasilkan prestasi yang memberangsangkan. Sesuai dengan tagline bagi kempen baharunya, “Be a Driver”, CX-3 ini mampu memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.

    Mazda-CX-3-2.0L-review-28

    Walau bagaimana pun, jika bercerita tentang pemanduan yang dinamik, CX-3 masih mampu memberikan keselesaan. Malah enjin 2.0 liter SkyActiv-G yang dipadankan juga adalah sama dengan abangnya iaitu CX-5. Tetapi dengan output CX-5 yang berbeza lebih 1 hp dan kurang 4 Nm berbanding CX-3.Tetapi disebabkan CX-3 bertubuh lebih kecil, enjin ini mampu melonjakkan lebih prestasi kerana bebanan beratnya tidak seperti abangnya. Malah kuasa yang disalurkan terasa lebih lancar.

    Manakala kotak gear SkyActiv-Drive enam-kelajuan juga boleh dikatakan responsif terutamanya pemanduan di bandar yang sering kali mengundang kesesakan trafik. Tetapi jika berada dalam gear yang rendah, terasa sedikit perlahan untuk mendorong pacuan, tetapi ia dikatakan memberikan nisbah penjimatan bahan api yang lebih tinggi. Jadi jika inginkan pacuan yang lebih pantas, lonjakan gear dari rendah ke tinggi boleh menggunakan mod Sport. Ia mampu memberikan lonjakan gear yang lebih pantas, dalam masa yang sama merangsang pedal pendikit untuk memuntahkan hamburan kuasa dari enjin dengan lebih pantas.

    Pedal penukar gear dilihat sebagai satu fungsi yang cukup berguna sekiranya gear auto dirasakan agak lambat untuk bertindak terutamanya jika dalam gear rendah. Jadi, pedal penukar gear mampu membantu melonjakkan gear mengikut kemahuan anda untuk memacu jentera bergerak lebih padu. Sebagai contoh, jika anda baru lepas bayar tol, tentu sahaja kenderaan mula bergerak dalam gear rendah, tetapi anda mahukan kelajuan yang lebih maksimum selepas palang tol diangkat. Jadi di sini tugas pedal penukar gear ditagih, anda juga perlu mengawal sendiri penukaran gear sambil menekan sepenuhnya pedal pendikit untuk mendapatkan kelajuan yang diingini.

    Selain itu, sistem suspensi bagi CX-3 ini juga wajar dipuji. Terutamanya ketika melalui selekoh, topang MacPherson (hadapan) dan palang torsion (belakang) bekerjasama erat bagi memberikan lebih kestabilan, malah ia juga meminimakan olengan badan sekali gus membantu pengawalan roda stereng yang lebih jitu. Namun jika melalui permukaan jalan yang agak kasar, kenderaan akan mudah terasa sedikit understeer terutamanya jika dalam kelajuan tinggi. Walau bagaimana pun, ia masih mudah untuk dikawal.

    Tetapi elakkan memandu dalam kelajuan tinggi jika melalui selekoh iaitu antara 60 km/j atau lebih. Walau pun sistem suspensinya bagus, ia tidak memberikan jaminan sepenuhnya untuk pemanduan yang selamat. Jadi usah bersikap ‘kamikaze’ dengan melenjan kenderaan selaju yang mungkin ketika melalui selekoh. Tidak kiralah apa jua kenderaan yang anda pandu.

    Ketika melalui permukaan jalan yang berlopak atau pun yang bertampal, hentakannya masih boleh dirasai terutamanya dalam kelajuan yang tinggi. Walau pun suspensinya terasa stabil, namun hentakannya tidak begitu menyerap dengan baik. Walau bagaimana pun, CX-3 sebenarnya memiliki kesan hentakan yang lebih baik, berbanding model pesaingnya yang lain termasuk HR-V biar pun memiliki sistem suspensi yang sama.

    Bagi penggunaan setiap hari, CX-3 dilihat dilengkapi dengan elemen yang lebih menarik. Ini termasuklah lampu utama LED yang mampu memberikan kesan iluminasi yang lebih bagus dan juga membantu sudut pencahayaan yang lebih tepat terutamanya ketika melalui kawasan berselekoh pada waktu malam.

    Namun, CX-3 tidak dilengkapi dengan fungsi penahan brek automatik, di mana gear perlu diletakkan dalam posisi N, dan brek tangan ditarik terutamanya ketika berhenti di lampu isyarat. Malah cermin pandang belakang anti-silau juga tidak disertakan, membuatkan pemanduan waktu malam agak kurang selesa.

    Bagi penggunaan bahan apinya, setelah beberapa hari memandu ujinya, keputusan akhirnya menunjukkan penggunaan sekitar tujuh liter bagi setiap 100 km bagi pemanduan kombinasi di bandar dan lebuhraya. Namun jika memandunya hanya di lebuhraya, pastinya penjimatan bahan api lagi boleh diperoleh, itu pun jika anda berhemah menggunakan pedal pendikit. Tidak memecut memanjang atau meminimakan penggunaan brek. Apa pun kalau bab penggunaan bahan api ini, ia juga tertakluk pada cara pemanduan anda.

    Secara konlusi, Mazda CX-3 merupakan crossover yang menarik untuk dimiliki. Terutamanya bagi golongan muda atau yang memiliki keluarga kecil. Di samping memiliki rekaan imej yang menawan, penjana kuasa yang mengagumkan serta pemanduan dinamik yang boleh diharapkan, satu sahaja alasan yang mungkin membuatkan anda harus berfikir banyak kali untuk mendapatkannya iaitu soal harganya yang lebih tinggi berbanding kebanyakannya pesaingnya.

    Walau bagaimana pun, pembeli model Mazda sering kali tidak ‘meletakkan soal harga’ sebagai keutamaan (lihat saja jumlah Mazda 2 di jalan raya sekarang). Juga bukan soal “kekangan ruang”, seperti mana pendapat sesetengah pihak. Bagi mereka, apa yang penting ialah beberapa perkara termasuk pemanduan, imej, material dan praktikalitinya.

    Mungkin bagi pembeli baharu, itu semua terpulang pada penilaian dan bajet anda. Sama ada mahu memilih CX-3 atau HR-V, kerana kedua-dua model ini memiliki keistimewaan yang tersendiri, termasuk elemen yang dipertaruhkan.

    Jadi, jika anda mencari sebuah model crossover yang mempunyai penampilan luaran dan dalaman yang menarik, CX-3 wajar dijadikan pilihan. Tetapi jika anda mahukan harga yang lebih berpatutan, praktikal, imej yang juga menawan, HR-V adalah jawapannya. Apa pun keputusan terletak di tangan anda.

     
     
  • Sistem brek kecemasan automatik bakal dijadikan ciri standard di Amerika Syarikat menjelang tahun 2022

    volvo-city-safety_BM

    Kita di Malaysia mungkin menganggap ia sesuatu yang ‘fancy‘, tetapi dengan kebanyakkan pengeluar kereta di pasaran Amerika yang kini mampu untuk membina sistem brek kecemasan automatik (AEB), sistem berkenaan bakal dijadikan sebagai ciri standard di sana pada masa akan datang.

    Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional (NHTSA) Amerika dan Institut Insuran Keselamatan Lebuhraya (IIHS) Amerika mengumumkan 20 pengeluar di Amerika telah bersetuju untuk menjadikan sistem AEB sebagai ciri standard pada semua kenderaan baharu menjelang September 2022.

    Senarai pengeluar kenderaan tersebut merangkumi lebih dari 99% pasaran Amerika termasuk, Audi, BMW, Fiat-Chyrsler, Ford, General Motors, Honda, Hyundai, Jaguar Land Rover, Kia, Maserati, Mazda, Mercedes-Benz, Mitsubishi, Nissan, Porsche, Subaru, Tesla, Toyota, Volkswagen, dan Volvo.

    Intipati yang mewajibkan sistem AEB ini dipasang pada semua kenderaan adalah untuk mengelakkan pelanggaran menggunakan sistem tersebut yang akan membrek kereta secara automatik untuk pemandu apabila diperlukan. Menggunakan penderia pada kenderaan, sistem AEB boleh mengesan kemalangan yang bakal berlaku, seterusnya memberi amaran kepada pemandu. Jika pemandu tidak dapat bertindak dalam masa yang cepat, sistem ini akan mengambil alih tugas itu dengan memberhentikan sendiri kereta tersebut

    “Ini merupakan masa yang menarik dalam teknologi keselamatan kenderaan. Dengan langkah proaktif menjadikan sistem brek kecemasan sebagai standard pada kenderaan mereka, kesemua 20 pengeluar ini akan membantu untuk mengelakkan beribu kemalangan dan menyelamatkan nyawa,” kata Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat, Anthony Foxx.

    NHTSA berkata komitmen oleh 20 pengeluar untuk menjadikan sistem AEB sebagai ciri standard pada kereta baharu mempercepatkan proses tersebut tiga tahun lebih awal berbanding apa yang mungkin dicapai melalui undang-undang formal. Pada masa tersebut, IIHS menjangkakan sistem baharu ini akan mengelakkan lebih daripada 28,000 kemalangan dan 12,000 kecederaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.13 (0.00)
Last Updated Sep 25, 2025