Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Vinfast VF6 diperkenal dalam versi pemanduan sebelah kanan di Indonesia – harga bermula RM103k

    Vinfast VF6 diperkenal dalam versi pemanduan sebelah kanan di Indonesia – harga bermula RM103k

    VinFast rancak meluaskan pengaruh di Asia Tenggara dengan terbaru memperkenalkan VF6 versi pemanduan kanan ke Indonesia semasa pameran IIMS di Surabaya. SUV elektrik segmen-B ini hadir dalam dua varian – Eco dan Plus – dan masing-masing dijual pada harga sekitar 396,995,000 rupiah (RM103k) dan 451.6 juta rupiah (RM117k).

    VF6 Eco datang dengan motor elektrik hadapan 177 PS/250 Nm, manakala VF6 Plus lebih bertenaga dengan 204 PS/310 Nm. Kedua-duanya menggunakan bateri LFP 59.6 kWh yang mampu menyediakan jarak gerak sejauh 399 km untuk Eco dan 381 km untuk Plus (mengikut ujian WLTP). Jika menggunakan pengecas pantas, tahap bateri dari 10% ke 70% boleh naik dalam 25 minit.

    VinFast juga tawarkan promosi menarik – caj percuma hingga 1 Mac 2028, pakej aksesori bernilai sehingga 13.345 juta rupiah (RM3.5k), pulangan tunai sehingga 15 juta rupiah (RM3.9k) serta insurans percuma untuk pembelian tunai sebelum 30 Jun 2025.

    Vinfast VF6 diperkenal dalam versi pemanduan sebelah kanan di Indonesia – harga bermula RM103k

    Dari segi saiz, VF6 ini hampir sama besar dengan BYD Dolphin – sesuai untuk kegunaan bandar. Untuk kelengkapan pula, kedua-dua varian datang standard dengan lampu LED, paparan head-up display, skrin infotainmen 12.9 inci, enam pembesar suara, sistem tanpa kunci serta sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Sistem keselamatan asas seperti ABS, EBD, bantuan brek, kawalan cengkaman dan bantuan mula bukit juga disediakan.

    Untuk yang ambil varian Plus, ada tambahan rim 18 inci, tempat duduk balutan kulit vegan, pendingin hawa dua zon dan paling penting, sistem keselamatan ADAS penuh termasuk brek kecemasan automatik, pemantauan titik buta, kawalan pemanduan adaptif, kamera 360 dan banyak lagi.

    Satu lagi yang menarik, VinFast turut memperkenalkan polisi tukar dan beli balik yang unik di Indonesia. Mereka menawarkan sehingga 90% nilai kenderaan selepas tempoh enam bulan dan 70% selepas tiga tahun untuk semua model yang dijual. Ini sekaligus menjawab kebimbangan pembeli tentang nilai susut sesebuah EV dan memberi keyakinan jika mereka mahu naik taraf pada masa depan.

     
     
  • Geely lancar trak pikap PHEV Radar King Kong EM-P – 1.5L Turbo, 349 hp/914 Nm, 1,068 km setangki petrol!

    Geely lancar trak pikap PHEV Radar King Kong EM-P – 1.5L Turbo, 349 hp/914 Nm, 1,068 km setangki petrol!

    Selepas trak pikap Radar King Kong yang dikuasakan sepenuhnya oleh elektrik (EV) dilancarkan Disember tahun lalu, kini Geely memperkenalkan pula versi dengan enjin petrol bersama sistem plug-in hybrid (PHEV) trak berkenaan, dikenali sebagai Radar King Kong EM-P.

    Seperti namanya, trak pikap ini menerima unit rangkaian kuasa EM-P kumpulan Geely, menampilkan enjin petrol 1.5 liter turbo dengan keberkesanan suhu mencecah 44.26%, digandingkan dengan kotak gear khas hibrid tiga kelajuan (3DHT) yang diintegrasikan dengan motor elektrik, serta satu lagi motor elektrik ditempatkan pada gandar belakang bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda.

    Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa ini menghasilkan 349 hp dan tork maksima 914 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat, dan Geely turut mendakwa bahawa dengan beban penuh trak pikap ini masih boleh mencatakan masa 8.6 saat untuk pecutan sama.

    Geely lancar trak pikap PHEV Radar King Kong EM-P – 1.5L Turbo, 349 hp/914 Nm, 1,068 km setangki petrol!

    Untuk sistem hibrid, ia dibekalkan dengan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 19.09 kWj, membolehkan ia bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 100 km dalam kitaran ujian CLTC. Penggunaan bahan api dicatatkan serendah 1.5 liter untuk setiap 100 km, dan untuk satu tangki petrol 60 liter ia boleh bergerak sejauh 1,068 km dalam mod hibrid. Malah dengan bateri yang sudah kehabisan tenaga, ia masih boleh mencapai penggunaan petrol 6.4L/100 km.

    Ia bukan sahaja menampilkan sistem Vehicle-to-load (V2L) yang membolehkan kuasa dari bateri mengoperasikan peralatan elektrik lain, malah ia turut diberikan fungsi Vehicle-to-vehicle (V2V) yang membolehkan ia mengecas bateri EV pada kereta lain.

    Manakala untuk sistem AWD, ia tampil dengan empat mod pemanduan off-road iaitu Snow, Mud, Off-road dan juga Sand. Geely mendakwa tanpa membawa beban trak pikap ini boleh mendaki bukit dengan kecerunan 45 darjah, manakala dengan membawa beban penuh ia boleh mendaki sehingga kecerunan 33 darjah. Manakala had membawa beban pula adalah 1,000 kg.

    Geely lancar trak pikap PHEV Radar King Kong EM-P – 1.5L Turbo, 349 hp/914 Nm, 1,068 km setangki petrol!

    Sama seperti versi EV, Radar King Kong EM-P ini masih menggunakan platform sama yang diasaskan dari Multiplex Attached Platform (MAP), iaitu platform yang diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA). Jadi ia bukanlah trak pikap dengan casis ladder frame, namun menurut Geely struktur badan King Kong EM-P ini dihasilkan dari 70% logam berkekuatan tinggi bagi membolehkan ketegaran torsi mencapai 30,300 Nm.

    Juga sama seperti versi EV, Radar King Kong ini turut hadir dalam dua versi badan iaitu jarak roda pendek sejauh 3,120 mm menjadikan panjang keseluruhannya 5,260 mm, serta jarak roda panjang sejauh 3,310 mm bagi memberikan panjang keseluruhan 5,500 mm. Lebar dan tinggi juga sama iaitu masing-masing 1,900 mm dan 1,865 mm.

    Rupa luaran bagi versi EM-P ini nampaknya sama sahaja seperti versi EV, begitu juga pada dalam kabin di mana ia menerima konfigurasi lima-tempat duduk, papan pemuka yang nampak sama seperti Proton X90/Geely Haoyue, skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz 14.6-inci serta paparan instrumen digital dengan skrin LCD bersaiz 10.2-inci.

    Tiga varian ditawarkan pada pasaran China iaitu Radar King Kong EM-P 1000km Standard Bed berharga 139,800 yuan (RM82k), Radar King Kong EM-P All-Round Long Bed berharga 149,800 yuan (RM88k) dan Radar King Kong EM-P Intelligent Long Bed berharga 159,800 yuan (RM94k).

    Menurut laporan CarNewsChina, Radar King Kong EM-P ini turut akan dibawa ke pasaran eksport dan dikenali sebagai Riddara RD6 EM-P. Jadi ia mungkin akan dilancarkan di Thailand kerana negara berkenaan sudah pun menerima trak pikap EV Riddara RD6 yang sudah berada di pasaran tersebut sejak akhir tahun lalu.

     
     
  • MBSA sediakan inisiatif parkir percuma untuk warga emas – 60 tahun ke atas, daftar satu kereta sahaja

    MBSA sediakan inisiatif parkir percuma untuk warga emas – 60 tahun ke atas, daftar satu kereta sahaja

    Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumumkan inisiatif parkir percuma untuk warga emas di bawah kawasan pentadbirannya. Ia ditawarkan sempena dengan sambutan jubli perak ke-25 tahun bandaraya Shah Alam.

    Menurut MBSA, inisiatif ini dibuka untuk warga emas berusia 60 tahun keatas yang merupakan pembayar cukai taksiran MBSA. Selain itu, hanya satu kereta sahaja yang layak didaftar di bawah inisiatif ini, dan kereta terbabit mestilah didaftarkan di bawah nama warga emas berkenaan. Kalau kereta didaftarkan guna nama orang lain termasuk nama anak-anak, kiranya tak layaklah nak mohon parkir percuma ini.

    Bagi warga emas yang menepati terma dan syarat yang ditetapkan, pendaftaran boleh dibuat dengan mengimbas kod QR (seperti yang dipaparkan di foto di atas) atau pun menerusi PAUTAN INI untuk mengisi borang permohonan.

    “Untuk makluman, pendaftaran adalah berterusan dan tiada tarikh akhir ditetapkan. Tuan/Puan boleh hadir ke Wisma MBSA, Seksyen 14, Shah Alam mengikut kesesuaian masa dan tarikh Tuan/Puan, bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja,” kata MBSA.

    Sebarang pertanyaan sila hubungi Seksyen Pengurusan Hasil 03-55133919 (talian terus) sambungan 1540/1521 atau boleh hadir ke Jabatan Kewangan, Tingkat 21, Wisma MBSA.

     
     
  • Kerajaan peruntukan RM350j bagi projek selenggara jalan persekutuan tahun ini – Ahmad Maslan

    Kerajaan peruntukan RM350j bagi projek selenggara jalan persekutuan tahun ini – Ahmad Maslan

    Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM350 juta untuk projek selenggara 563 jalan persekutuan di Semenanjung untuk tahun ini. Menurut Timbalan Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, sebanyak RM275 juta akan digunakan untuk kerja penyelenggaraan turapan berkala dan RM75 juta bagi kerja penyelenggaraan bukan turapan.

    Beliau turut berkata, kerja-kerja penyelenggaraan ditawarkan kepada kontraktor gred G1 hingga G4 melalui undian, dengan proses pengundian program di zon selatan diadakan minggu ini, manakala bagi zon utara akan dijalankan pada 5-6 Jun laporan Bernama.

    Jelasnya lagi, ia adalah bagi memastikan semua kontraktor yang terlibat diberi peluang yang sama. Tambahnya, semua kontraktor yang terlibat dalam urusan pengundian telah ditapis oleh pihak berkuasa bagi memastikan semua projek yang dilaksanakan berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual.

    Beliau berkata, tiada isu mengenai kontraktor tidak dapat menjalankan tugas itu. “Kontraktor-kontraktor ini telah disenarai pendek, yang mana kami menganggap mereka mempunyai kemampuan untuk melakukan kerja, dan kami yakin mereka dapat menyiapkan tugasan yang diberikan.

    “Pengundian dilakukan secara adil dan kontraktor boleh melihat keputusan menerusi dalam talian. Kontraktor yang dipilih tahun lepas tidak layak untuk dipilih tahun ini,” jelasnya.

     
     
  • JPJ laksana operasi khas Hari Raya Aidiladha pada 4 hingga 10 Jun – fokus 7 strategi, 9 kesalahan utama

    JPJ laksana operasi khas Hari Raya Aidiladha pada 4 hingga 10 Jun – fokus 7 strategi, 9 kesalahan utama

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan akan melaksanakan operasi khas Hari Raya Aidiladha Tahun 2025 mulai 4 hingga 10 Jun ini di seluruh negara.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, operasi khas ini adalah bertujuan untuk memantau, mengesan, dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan-peraturan atau undang-undang jalan raya yang dikuatkuasakan.

    “Melalui operasi khas ini, tujuh strategi utama akan dilaksanakan iaitu pemantauan/pemeriksaan audit operasi bas di depoh, Ops Khas sembilan kesalahan utama, Ops Khas Perkhidmatan Awam (bas), Ops Khas Kenderaan Perkhidmatan Barangan, Ops Khas Motosikal dan Ops Khas Teknikal.

    “Selain itu, JPJ juga akan memfokuskan sembilan kesalahan utama di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dam kaedah-kaedah di bawahnya iaitu memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, guna telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang keledar/topi keledar, memandu kenderaan berat di lorong laju dan lebih muatan,” kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

    Tambah beliau, pihak JPJ juga komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara dan bagi mencapai sasaran pengurangan statistik kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50% menjelang tahun 2030.

    Para pengguna jalan raya juga dialu-alukan menyalurkan aduan berkaitan kesalahan lalu lintas sepanjang musim perayaan melalui aplikasi MyJPJ (e-Aduan@JPJ) atau e-melkan kepada [email protected].

     
     
  • Rapid Penang On-Demand diperluaskan ke tujuh zon baharu – ujian selama tiga bulan mulai 31 Mei

    Rapid Penang On-Demand diperluaskan ke tujuh zon baharu – ujian selama tiga bulan mulai 31 Mei

    Rapid Bus telah mengumumkan perkhidmatan Rapid Penang On-Demand akan diperluaskan menerusi fasa proof of concept (POC) selama tiga bulan mulai 31 Mei 2025. Buat masa ini, Rapid Penang On-Demand atau sebelum ini dikenali sebagai Demand Responsive Transit (DRT) memiliki 31 van yang beroperasi di enam zon, dengan purata penumpang seramai 1,828 orang sehari, mendorong syarikat pengendali untuk meningkatkan skop liputan.

    CEO Kumpulan Prasarana Malaysia (operasi) Amir Hamdan berkata perkhidmatan berasaskan van ini akan diperluaskan dengan tujuh zon tambahan, bagi memenuhi permintaan tempatan, kepadatan penduduk dan ketersambungan dengan liputan perkhidmatan laluan bas sedia ada.

    Tambahan zon itu melibatkan Alma dengan menyediakan empat buah van yang akan menghubungkan penumpang dengan laluan bas sedia ada termasuk (No.) 708 (Bukit Mertajam–Junjung), 801 (Penang Sentral–Nibong Tebal) and 802 (Bukit Mertajam–Nibong Tebal).

    Manakala zon Bandar Bukit Mertajam pula akan beroperasi dengan tiga buah zon di pusat bandar Seberang Perai Tengah, yang menghubungkan laluan 606 (Bukit Mertajam–Kepala Batas), 701 (Bukit Mertajam–Penang Sentral), 702 (Bukit Mertajam–Penang Sentral), 707 (Bukit Mertajam–Taman Pelangi), 708 (Bukit Mertajam–Junjung), 709 (Penang Sentral–Machang Bubuk), 802 (Bukit Mertajam–Nibong Tebal) dan CT14 (Bukit Mertajam–Komtar).

    Sementara itu, zon Bayan Baru pula disediakan tiga buah van yang akan memberikan akses untuk laluan bas sedia ada termasuk 301 (Weld Quay-Relau), 302 (Weld Quay–Batu Maung), 303 (Weld Quay–Bukit Gedung), 304 (Gurney Promenade–Bukit Gedung), 306 (Hospital–Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang), 308 (Sungai Nibong–Gertak Sanggul), 401 (Weld Quay Teluk Kumbar), 401E (Weld Quay–Balik Pulau) dan CT13 (Bayan Baru–Seberang Jaya).

    Rapid Penang On-Demand diperluaskan ke tujuh zon baharu – ujian selama tiga bulan mulai 31 Mei

    Untuk zon Bertam pula, disediakan dua buah van untuk menghubungkan penumpang dengan laluan 601 (Penang Sentral–Kepala Batas), 606 (Bukit Mertajam–Kepala Batas) dan 610 (Kepala Batas–Tasek Gelugor) bagi mengurangkan masa menunggu bagi laluan yang terlibat.

    Bagi zon Balik Pulau, dua buah van disediakan untuk laluan bas sedia ada termasuk 401E (Balik Pulau–Weld Quay), 403 (Balik Pulau–Pulau Betong), 404 (Balik Pulau–Pantai Acheh) dan 502 (Genting Town, Balik Pulau–Weld Quay).

    Akhir sekali, zon Transkrian atau Nibong Tebal yang akan mempunyai dua buah van untuk Transkrian dan tiga buah van untuk zon Batu Kawan.

    Amir berkata Rapid Bus akan memantau permintaan dan corak penggunaan sepanjang tempoh percubaan selama tiga bulan bagi memastikan perkhidmatan itu relevan untuk memenuhi keperluan, sambil menambah bahawa penambahbaikan akan dilaksanakan berdasarkan keputusan penilaian dan maklum balas penumpang.

     
     
  • Nik Nazmi letak jawatan menteri — apa akan jadi dengan rancangan 50% EV bagi kenderaan rasmi?

    Nik Nazmi letak jawatan menteri — apa akan jadi dengan rancangan 50% EV bagi kenderaan rasmi?

    Selain Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengumumkan perletakan jawatannya hari ini sebagai Menteri Ekonomi, seorang lagi rakan sejawatnya turun mengambil langkah yang sama. Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (KSAKA), Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengumumkan perletakan jawatannya, bermula 4 Julai nanti susulan kekalahannya untuk mempertahankan kedudukan sebagai Naib Presiden dalam pemilihan PKR minggu lalu.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Ahli Parlimen Setiawangsa itu memaklumkan telah menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau juga akan menghabiskan baki cuti tahunan bermula esok hingga 3 Julai. Beliau akan memberi tumpuan untuk berkhidmat untuk Setiawangsa selepas ini.

    Nik Nazmi menyatakan, sejak pelantikannya kali pertama sebagai menteri sejak Disember 2022, beliau bersama pasukannya telah menjalankan banyak reformasi pengurusan yang berkaitm termasuklah meminda Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (Akta 127) Fasa 1 untuk menjadikan laporan penilaian kesan alam sekitar lebih telus.

    Beliau juga menyenaraikan pelaksanaan penyasaran semula subsidi di bawah mekanisme pelepasan kos ketidakseimbangan elektrik (ICPT) di semenanjung sebagai satu lagi pencapaiannya. Sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pula, Nik Nazmi turut terlibat dalam beberapa perbincangan berkaitan mobiliti, termasuk elektrifikasi, dengan tumpuan terhadap strategi peralihan bagi kerajaan untuk menjadikan separuh daripada pembelian kenderaan rasmi terdiri daripada EV pada 2025. Tidak diketahui sama ada rancangan itu akan diteruskan selepas ketiadaannya dalam kabinet.

    Awal tahun ini, beliau menyatakan harapannya bahawa dengan penarikan subsidi untuk petrol RON 95 dan diesel akan menggalakkan lebih ramai warga Malaysia untuk membeli EV sebagai salah satu cara untuk mendepani kenaikan kos bahan api. Perihal mobiliti lain yang turut pernah disentuh termasuklah untuk negara memberi tumpuan kepada pembangunan berasaskan transit serta mencadangkan caj kesesakan kenderaan dikenakan di Kuala Lumpur bagi memastikan kelestarian jangka panjang ibu kota itu.

    Apa yang akan terjadi kepada semua cadangan serta usaha itu kini tidak ada sebarang kepastian. Hanya masa yang akan menentukannya.

     
     
  • Geely tegaskan bahawa ia akan terus bangunkan enjin pembakaran, tak nak terlibat dengan perang harga

    Geely tegaskan bahawa ia akan terus bangunkan enjin pembakaran, tak nak terlibat dengan perang harga

    Pengerusi Geely Holding Group, Li Shufu menegaskan bahawa syarikatnya akan terus memberikan komitmen terhadap enjin pembakaran dalaman tradisional, dalam masa yang sama terus melabur dalam pembangunan teknologi elektrifikasi kerana syarikat itu tidak mahu terikat dengan perang harga, sebaliknya fokus untuk persaingan yang dipacu oleh teknologi dan kualiti.

    Menurut CarNewsChina, perkara ini dinyatakan oleh Li dalam satu video dalaman syarikat berkenaan, dan menegaskan bahawa Geely akan terus kekal dengan “strategi dua kaki” iaitu memajukan kenderaan elektrik pintar dalam masa yang sama terus membangunkan dan memproduksi kereta-kereta dengan enjin pembakaran tradisional dan hibrid.

    Beliau juga menegaskan bahawa Geely tidak akan meninggalkan teknologi enjin pembakaran dalaman, dan pelaburan yang berterusan terhadapnya akan mengekalkan mereka menerajui sektor berkenaan. “Kita mesti tetap perlu berjalan dengan dua kaki,” katanya dan menambah “”Sambil mempercepatkan elektrifikasi pintar, kita akan terus menerajui rangkaian kuasa tradisional dan hibrid.”

    Buat masa sekarang Geely sememangnya sudah mempunyai dua entiti bagi terus membangunkan enjin pembakaran dalaman termasuk komponen unit rangkaian kuasa lain seperti kotak gear dan sistem hibrid iaitu Aurobay dan juga Horse Powertrain.

    Geely tegaskan bahawa ia akan terus bangunkan enjin pembakaran, tak nak terlibat dengan perang harga

    Aurobay ditubuhkan oleh Geely dan juga Volvo, manakala Horse Powertrain adalah syarikat yang wujud menerusi kerjasama antara Geely dan Renault. Namun bermula pertengahan 2024, Aurobay telah diletakkan sebagai salah satu divisi di bawah Horse Powertrain.

    Dalam video yang sama Li turut menyatakan bahawa pemilikan saham Geely dalam jenama-jenama automotif Eropah seperti Volvo, Lotus, Mercedes-Benz dan Aston Martin bukan untuk spekulasi kewangan, sebaliknya adalah untuk mendapatkan kepakaran yang lebih banyak dalam bidang automotif.

    “Pembuat-pembuat automotif yang sudah matang ini adalah asas kita,” katanya dan menambah “syarikat kereta yang tidak mempunyai warisan sejarah hanya ada sedikit peluang untuk berjaya”. Beliau turut menjelaskan apa yang mahu dipelajari dari jenama-jenama tersebut seperti Volvo untuk keselamatan, Mercedes untuk kemewahan, Lotus untuk aerodinamik dan Aston Martin pentadbiran jenama berkelas tinggi.

    “Kami tidak akan berlawan potong harga tetapi dengan nilai jangka masa panjang”, kata Li menegaskan bahawa syarikatnya tidak akan bersaing dalam “pertandingan harga potong leher”, sebaliknya akan mengketengahkan aspek seperti teknologi, kuaiti, servis, jenama dan persaingan lain yang beretika.

     
     
  • Harga minyak bagi 29 Mei-3 Jun 2025 — diesel untuk Semenanjung diturunkan sebanyak tiga sen seliter

    Harga minyak bagi 29 Mei-3 Jun 2025 — diesel untuk Semenanjung diturunkan sebanyak tiga sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 29 Mei hingga 3 Jun 2025, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit bagi petrol RON 97 kekal pada RM3.10 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia diturunkan sebanyak 3 sen seliter iaitu kini menjadi RM2.77 seliter, berbanding RM2.80 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Minggu lalu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kementeriannya telah menyerahkan sepenuh tanggungjawab bagi pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 kepada Kementerian Kewangan (MoF).

    Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, kerajaan akan tetap melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 seperti yang dirancang pada separuh kedua tahun ini, laporan Berita Harian. Buat masa ini, katanya, perbincangan berkaitan rasionalisasi subsidi masih berjalan di peringkat Jemaah Menteri bagi meneliti mekanisme terbaik untuk pelaksanaan menyeluruh dan adil kepada rakyat.

    Di mana mekanisme tersebut menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. Katanya, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.

     
     
  • Perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang, ETS alami perubahan jadual sementara pada 31 Mei hingga 2 Jun

    Klik untuk besarkan

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan perkhidmatan tren KTM Komuter Lembah Klang dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) akan mengalami perubahan jadual waktu sementara pada 31 Mei (Sabtu ini) hingga 2 Jun 2025. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja menaiktaraf sistem semboyan di laluan antara Stesen Kepong hingga Stesen Salak Selatan.

    Menerusi perkongsiannya di laman Facebook rasminya, KTMB berkata perkhidmatan KTM Komuter laluan Pulau Sebang-Batu Caves-Pulau Sebang dan Tanjung Malim-KL Sentral-Tanjung Malim serta perkhidmatan ETS dijangka mengalami kelewatan hingga 50 minit daripada jadual asal.

    Selain itu, dua perkhidmatan ETS, iaitu EG9425 (Padang Besar-Segamat) dan EG9321 (Butterworth-Segamat) akan mengalami perubahan platform di Stesen KL Sentral dan Stesen Kuala Lumpur pada 31 Mei sahaja.

    Klik untuk besarkan

    “Untuk perkhidmatan ETS di Stesen KL Sentral yang melibatkan tren EG9425 dan EG9321, ia akan berlepas dari Platform 3, manakala semua perkhidmatan ETS yang lain akan menggunakan Platform 1. Penumpang ETS dinasihatkan untuk berkumpul di ruang menunggu Pintu B (aras 2) 30 minit sebelum waktu berlepas.

    “Penumpang diminta semak dan imbas tiket di Automated Control Gate (AGG) di Pintu B, dan akan dibawa oleh pegawai bertugas ke Pintu C (aras 1) untuk menaiki ETS di Platform 3,” kata KTMB.

    Pada 23 Mei lalu, KTMB telah mengumumkan penangguhan pelaksanaan perubahan jadual sementara yang sepatutnya berlangsung selama tiga hari antara 24-26 Mei 2025). Ia adalah bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan tren di Lembah Klang sepanjang tempoh Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.

     
     
  • VTAREC lancar kempen kesedaran kecurian kenderaan dan kemalangan jalan raya di seluruh negara

    VTAREC lancar kempen kesedaran kecurian kenderaan dan kemalangan jalan raya di seluruh negara

    Dengan tema “Lindungi Kenderaan anda, Lindungi Nyawa anda”, itulah yang dilaung-laungkan oleh Majlis Pengurangan Kecurian dan Kemalangan Kenderaan Malaysia (VTAREC) menerusi kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan dan Kemalangan Jalan Raya’ yang baru dilancarkan pagi tadi.

    Kempen bagi tahun 2025 yang turut mendapat kerjasama dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan beberapa agensi lain akan bergerak ke serata lokasi tumpuan masyarakat termasuk pusat membeli-belah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan juga kawasan luar bandar terutamanya lokasi yang kerap berlaku kemalangan jalan raya serta di platform media sosial.

    Pengerusi VTAREC, Datuk Lokman Jaman berkata, berdasarkan statistik berasaskan industri insurans, jumlah kes-kes melibatkan kecurian kenderaan yang telah dilaporkan pada tahun 2024 adalah sebanyak 3,925 kes. Angka ini menunjukkan penurunan berbanding tahun 2023, yang mencatatkan sebanyak 4,370 kes di mana 1,771 kes adalah melibatkan kecurian motokar persendirian, 1,833 kecurian motosikal manakala 321 kes melibatkan kenderaan komersil.

    Manakala bagi kes-kes kemalangan jalan raya pula, juga berdasarkan statistik berasaskan industri insurans, jumlah kes-kes melibatkan kemalangan jalan raya pada tahun 2024 adalah sebanyak 266,716 kes, iaitu 229,739 kes adalah melibatkan kemalangan kenderaan persendirian, 15,149 kemalangan melibatkan motosikal, manakala 21,828 kes melibatkan kenderaan komersil. Angka ini juga menunjukkan penurunan berbanding tahun 2023 yang mencatatkan sebanyak 299,657 kes.

    “Memang tidak dapat dinafikan kolaborasi dan jaringan kerjasama yang ditampilkan oleh VTAREC ini telah membantu pihak berkuasa seperti PDRM dan JPJ terutamanya bagi mengenalpasti kelemahan-kelemahan serta meningkatkan jaringan kerjasama yang strategik dalam usaha mencegah dan mendidik orang ramai dalam membasmi jenayah kecurian kenderaan dan kemalangan jalan raya daripada berlaku.

    “Sebagai langkah seterusnya, VTAREC juga akan melipat gandakan kerjasama dengan Kementerian, agensi-agensi serta para pemegang saham yang berkaitan bagi memastikan langkah-langkah pembanterasan, langkah-langkah pencegahan dan interupsi antaranya ke atas sindiket kecurian kenderaan, sindiket kenderaan klon, sindiket melibatkan ‘Rebirthing of Total Lost Vehicle’ dan sindiket kereta potong akan dijalankan secara strategik agar kita dapat mencipta lebih banyak bilangan intervensi yang lebih berkesan dilaksanakan ke atas eko-sistem berkaitan kenderaan supaya isu ini dapat ditangani secara holistik dan kolektif,” kata Lokman dalam majlis pelancaran kempen ini.

    Lokman turut memaklumkan, di Malaysia, secara purata kenderaan dicuri adalah setiap dua jam, dan mengikut statistik pada tahun 2023, Selangor mencatatkan kes kecurian kenderaan tertinggi iaitu mencapai 1,123 unit, diikuti Kuala Lumpur (580 unit), Johor (391 unit), Sarawak (273 unit), Perak (222 unit) dan Sabah 123 unit).

    Bagi kes kemalangan pula, katanya lagi, secara purata seorang individu maut setiap 80 minit dalam kemalangan dan penunggang/pembonceng motosikal pula mencatatkan jumlah kematian yang tertinggi iaitu 70%. “Bagi kes kemalangan, 80% punca utamanya adalah disebabkan kesilapan manusia, iaitu termasuk memandu laju, mmandu secara agresif, tidak menyelia kondisi kenderaan dan melanggar lampu isyarat. Manakala kes kemalangan yang melibatkan keadaan jalan atau cuaca buruk hanya sekitar 20%,” katanya lagi.

    Dari perspektif infrastuktur jalan raya di negara kita, katanya, ia adalah antara yang terbaik di dunia. Mengikut World Econonomic Forum (WEF) Global Competitiveness Index, kualiti jalan raya di Malaysia disenaraikan di kedudukan ke-21 jalan raya berkualiti di dunia.

    Tambahnya, angka-angka dari indusri insurans memperlihatkan sedikit penurunan jika dibandingkan dengan angka-angka dari PDRM. Ini kerana statistik pihak industri insurans adalah refleksi tuntutan yang dibuat oleh pemilik kenderaan yang mana kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans. Manakala statistik pihak PDRM merangkumi pelbagai kes kemalangan termasuk yang tidak mempunyai insurans.

    Menurut Lokman lagi, sasaran umum bagi kempen ini adalah untuk pengguna jalan raya berusia antara 16 hingga 35 tahun memandangkan golongan ini yang paling kerap terlibat dengan kemalangan jalan raya. Terutamanya bagi golongan anak muda yang masih dibangku sekolah dan di pusat pengajian tinggi yang pastinya kurang pengalaman dalam memgemudi kenderaan di jalan raya. Selain itu, Lokman turut menekankan kepentingan kenderaan mempunyai cukai jalan dan insurans perlindungan, selain pengemudinya yang wajib mempunyai lesen memandu.

    “Sekiranya kita semua mematuhi undang-undang, memandu dengan hemat, setiasa beringat, menjaga ketahanan dan kesihatan diri, menjaga kesihatan kenderaan dan peningkatan penguatkuasaan, saya yakin kadar kemalangan jalan raya akan dapat diturunkan dan seterusnya kemalangan maut juga akan dapat dikurangkan. Ini kerana jika tiada kemalangan jalan raya, maka tiadalah kes kemalangan maut. Hal ini pastinya bukan hanya menuntut komitmen daripada individu tertentu sahaja, tetapi perlu diambil dan dipandang serius oleh semua lapisan masyarakat,” katanya lagi.

     
     
  • Rafizi Ramli letak jawatan menteri ekonomi – apa jadi dengan subsidi RON95 bersasar dan PADU sekarang?

    Rafizi Ramli letak jawatan menteri ekonomi – apa jadi dengan subsidi RON95 bersasar dan PADU sekarang?

    Tengah hari ini negara dikejutkan dengan perletakkan jawatan Rafizi Ramli sebagai menteri ekonomi, di mana perkara berkenaan diumum menerusi satu kenyataan rasmi yang turut disiarkan menerusi akaun Facebook rasmi Ahli Parlimen Pandan itu. Perletakkan jawatan tersebut akan berkuat kuasa 17 Jun ini, iaitu kurang tiga minggu dari sekarang di mana beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025.

    Perletakkan jawatan ini sudah dijangka apabila Rafizi kalah di dalam pemilihan Parti Keadilan Nasional (PKR) dan gagal untuk mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden parti berkenaan baru-baru ini.

    “Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

    Ketika menyandang jawatan menteri ekonomi, Rafizi telah melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU) pada 2 Januari 2024 iaitu pangakalan data sosio ekonomi yang disebut akan menjadi komponen utama bagi menentukan pemberian subsidi dan bantuan kewangan.

    Ia termasuk untuk pengagihan subsidi untuk bahan api petrol RON 95 apabila kerajaan mula beralih ke kaedah subsidi bersasar kelak. Buat masa sekaran subsidi RON 95 masih diberikan secara pukal untuk semua rakyat Malaysia dengan harga siling ditetapkan pada kadar RM2.05 seliter sejak 2021.

    Kemaskini terakhir yang diumumkan oleh Rafizi pada bulan ini bahawa tanggungjawab kementeriannya untuk merangka langkah perlaksanaan tersebut sudahpun selesai, dan ia kini telah diserahkan sepenuhnya kepada kementerian kewangan bagi menjalankan langkah seterusnya.

    Manakala awal minggu ini perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan jamin bahawa harga bahan api RON 95 tidak akan dinaikkan untuk rakyat walaupun rasionalisasi subsidi ini dijalankan, dan ia hanya melibatkan warga asing. Manakala menteri kewangan kedua Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula mengesahkan bahawa langkah untuk merasionalisasikan subsidi bahan api RON 95 itu akan bermula pada separa kedua tahun ini seperti yang dirancang.

     
     
  • Bovensiepen Zagato – legasi Alpina diteruskan, asas BMW M4 G82 dengan kuasa 611 hp, kemasan eksklusif

    Bovensiepen Zagato – legasi Alpina diteruskan, asas BMW M4 G82 dengan kuasa 611 hp, kemasan eksklusif

    Selepas banyak dekad bekerjasama rapat dengan BMW, keluarga Bovensiepen — nama besar di sebalik jenama Alpina — kini bergerak dengan arah baru. Tahun ini menandakan tamatnya kerjasama rasmi Alpina dengan BMW, selepas BMW mengumumkan pada tahun 2022 bahawa mereka telah mengambil alih jenama tersebut sepenuhnya.

    Namun, semangat automotif keluarga Bovensiepen tidak terhenti di situ. Mereka kini tampil dengan projek pertama di bawah nama mereka sendiri, Bovensiepen Zagato — sebuah grand tourer yang cukup eksklusif dan penuh gaya.

    Model ini diasaskan daripada BMW M4 generasi G82, tapi ia bukan sekadar olahan kosmetik biasa. Saiznya lebih panjang dan rendah, dengan ukuran 4,943 mm panjang, 1,913 mm lebar, 1,394 mm tinggi dan berat sekitar 1,875 kg. Sebagai perbandingan, BMW M4 CS sedikit lebih pendek dan juga lebih ringan.

    Bovensiepen Zagato – legasi Alpina diteruskan, asas BMW M4 G82 dengan kuasa 611 hp, kemasan eksklusif

    Di bawah bonetnya terletak enjin 3.0 liter enam silinder sebaris yang menjana 611 hp dan tork 700 Nm. Hasilnya, pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam 3.3 saat dan kelajuan maksimum mencapai lebih 300 km/j. Menambahkan lagi kepuasan memandu, ia dipasang dengan ekzos Akrapovic yang dibuat khas untuknya.

    Bahagian badan luar dibuat “hampir sepenuhnya” daripada gentian karbon, menjadikannya bukan sahaja ringan, tapi juga kelihatan sangat eksklusif. Ada elemen-elemen dari BMW M4 G82 yang masih kekal seperti rekaan lampu depan DRL dan lampu belakang, tapi keseluruhan rupa lebih unik, lebih agresif dan lebih “Zagato”.

    Rimnya bersaiz 20 inci, diperbuat daripada aluminium tempa dengan potongan pada jejari untuk pengurangan berat. Sistem gantungan pula direka khas oleh Bilstein, lengkap dengan tiga pilihan mod – Comfort, Sport dan Sport Plus.

    Bahagian dalaman Bovensiepen Zagato boleh dilengkapi dengan kulit Lavalina sepenuhnya, dalam 16 warna standard. Mahukan lebih gaya? Gabungkan kulit dengan Alcantara, yang ditawarkan dalam 45 pilihan warna. Masih tidak cukup? Program Bovensiepen Bespoke membolehkan pelanggan memilih apa sahaja warna yang diinginkan — dari minimalis sehinggalah ke kombinasi warna eksentrik.

    Menurut Bovensiepen, setiap unit Zagato akan mengambil lebih daripada 250 jam untuk disiapkan dengan buatan tangan. Namun, jumlah unit yang akan dihasilkan masih belum diumum. Harga dan jumlah keluaran rasmi juga hanya akan diberitahu pada suku keempat tahun ini, manakala penghantaran pertama dijangka bermula sekitar suku kedua 2026.

     
     
  • Land Rover Defender dinaik taraf untuk model 2026

    Land Rover Defender dinaik taraf untuk model 2026

    Land Rover Defender — model ikonik untuk pengembaraan lasak — kini diberi nafas baru. Tiga versi badannya, iaitu Defender 90, 110 dan 130, menerima beberapa penambahbaikan dari segi rekaan luaran dan teknologi dalaman. Walaupun perubahan yang dibuat nampak kecil, impaknya tetap besar.

    Defender terbaru kini tampil dengan bampar yang diperbaharui dan kemasan menarik dalam dua pilihan warna – Silicon Silver dan Carpathian Grey Satin. Rekaan pada kemasan bonet dan salur udara sisi juga kini diberi corak bertekstur yang lebih moden. Semua varian kini diberikan dengan penutup tengah rim berjenama “Defender” dalam kemasan hitam berkilat.

    Gril depan pula diberi kemasan hitam berkilat sebagai standard, sepadan dengan logonya yang berwarna gelap. Lampu utama kini mempunyai reka bentuk baru — dua jalur kecil di tepi dan DRL bulat — manakala lampu belakang pula diberi kemasan gelap. Pelanggan juga diberikan lebih banyak pilihan warna dan reka bentuk rim dalam katalog.

    Land Rover Defender dinaik taraf untuk model 2026

    Bahagian dalam menyaksikan penggunaan skrin sesentuh infotainmen yang lebih besar, kini berukuran 13.1 inci berbanding model lama yang hanya 11.4 inci. Skrin ini memenuhi sepenuhnya ruang antara konsol tengah dan papan pemuka, memberikan rupa yang lebih moden dan kemas.

    Konsol tengah juga direka semula — kini ada ruang laci gelungsur yang boleh menyimpan barang kecil dengan lebih rapi. Jika pilih pakej Signature Suite, anda akan dapat poket sisi yang boleh ditanggalkan dan juga saluran khas untuk kabel, supaya ruang kekal kemas dan tersusun.

    Buat pertama kalinya, Defender baru kini dilengkapi sistem Adaptive Off‑Road Cruise Control. Fungsi ini secara automatik melaras kelajuan mengikut permukaan jalan tidak rata untuk keselesaan pemandu. Ia berguna semasa memandu di laluan berbatu, bersalji atau berlumpur.

    Turut ditambah ialah kamera yang menghadap pemandu di bahagian stereng. Ia digunakan untuk sistem Driver Attention Monitor yang memantau sama ada pemandu benar-benar fokus ketika memandu.

    Land Rover masih belum umumkan semua pilihan enjin untuk model yang diperbaharui ini, tetapi mereka mengesahkan versi Octa akan dilengkapi enjin 4.4 liter V8 berkembar turbo yang menjana 635 PS. Untuk rujukan, model sebelum ini ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin termasuk enam silinder sebaris 3.0 liter diesel, petrol 2.0 liter plug-in hybrid dan V8 5.0 liter supercharge.

     
     
  • BMW M2 CS G87 2025 didedah -3.0L bi-Turbo, 530 PS/650 Nm, 30kg lebih ringan, 0-100 km/j 3.8 saat!

    BMW M2 CS G87 2025 didedah -3.0L bi-Turbo, 530 PS/650 Nm, 30kg lebih ringan, 0-100 km/j 3.8 saat!

    Selepas versi facelift untuk BMW M2 generasi kedua (G87) didedahkan Jun tahun lalu, kini tiba masa versi lebih berkuasa, lebih aerodinamik dan juga lebih ringannya iaitu M2 CS didedahkan sepenuhnya secara rasmi.

    Seperti biasa, ia masih dijana oleh enjin S58 3.0 liter enam-silinder turbo berkembar yang sama, namun talaan kuasanya dipertingkat dari 480 PS/600 Nm pada versi biasa kepada 530 PS pada takat 6,250 rpm dan tork maksima 650 Nm untuk versi CS ini.

    Kuasa disampaikan kepada hanya roda belakang menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan M Steptronic, membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat hanya dalam masa 3.8 saat. Tiada pilihan kotak gear manual diberikan pada versi CS ini. Sebagai perbandingan untuk M2 G87 biasa, versi automatik mampu membuat pecutan sama dalam masa 4 saat, manakala varian dengan kotak gear manual enam-kelajuan (tork diturunkan kepada hanya 550 Nm) pula memerlukan masa 4.2 saat.

    BMW M2 CS G87 2025 didedah -3.0L bi-Turbo, 530 PS/650 Nm, 30kg lebih ringan, 0-100 km/j 3.8 saat!

    Kelajuan maksima untuk versi CS ini juga lebih tinggi iaitu 302 km/j secara standard, berbanding hanya 285 km/j untuk CS biasa sekiranya ia datang dengan pakej M Driver yang ditawarkan secara opsyen.

    Dengan kuasa lebih besar dan kelajuan lebih tinggi, M2 CS 2025 ini turut menerima tingkat taraf pada casis, antaranya pemadanan penyerap hentak, spring dan sistem kawalan dengan talaan khas serta direndahkan lagi sebanyak 8 mm. Secara standard ia diberikan brek M Compound dengan angkup yang diwarnakan merah, namun pembeli boleh memilih untuk tingkat taraf sistem brek karbon seramik M.

    Menurut BMW M2 CS ini adalah sekitar 30 kg lebih ringan dari M2 biasa dengan pemadanan banyak komponen luaran dan dalaman yang diperbuat dari material plastik-diperkuat-gentian-karbon (CFRP). Antara komponen CFRP yang digunakan pada sebelah luar dan kit aerodinamik termasuk bumbung (standard untuk M2 biasa), serta diffuser belakang, splitter hadapan, gril kidney dengan aliran udara yang dioptimakan dan penutup but dengan spoiler ekor itik bersepadu yang direka khas untuk M2 CS ini.

    BMW M2 CS G87 2025 didedah -3.0L bi-Turbo, 530 PS/650 Nm, 30kg lebih ringan, 0-100 km/j 3.8 saat!

    Empat warna badan ditawarkan untuk M2 CS ini iaitu Sapphire Black, BMW Individual Velvet Blue, M Brooklyn Grey dan M Portimao Blue. Logo ‘M2 CS’ dengan jalur sekeliling merah dilekat pada penutup but belakang dan juga pad gril hadapan bagi memberikan amaran bahawa ia bukanlah M2 yang biasa.

    Secara standard juga M2 ini menerima set rim aloi forged berdiameter 19-inci di hadapan dan 20-inci di belakang. Pembeli boleh memilih untuk menggunakan tayar sport biasa untuk jalan raya atau tayar yang lebih fokus untuk litar, dengan saiz 275/35R19 di hadapan serta 285/30R20 di belakang.

    Manakala sebelah dalam, M2 CS ini diberikan konsol tengah yang diperbuat dari CFRP, dan juga tempat duduk bucket M Carbon dibalut kulit Merino yang bukan sahaja ringan, malah dapat memeluk pemandu dengan erat ketika dalam situasi ekstrem.

    Bahagian lain dalam kabin ini menerima balutan upholsteri Alcantara termasuk pada roda stereng sport yang turut diberikan penanda pukul 12 berwarna merah. Pelapik bumbung pula dibuat menggunakan material antrasit, dan ia turut menerima banyak kemasan dan komponen dengan logo CS, termasuk yang bernyala seperti pada tempat duduk dan juga plat bendul pintu.

    BMW M2 CS ini akan diproduksi di kilang San Luis Potosi BMW di Mexico, dan akan dihasilkan secara terhad. Antara pasaran utama yang akan menerima model ini termasuk Amerika Syarikat, Jerman dan China. Ia dijual pada harga 115,000 euro di Jerman (sekitar RM553k), dan dijangka akan dihantar kepada pelanggan terawal yang menempah bermula musim panas tahun ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025